PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 29 1A-3U
  • Yoel

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Yoel
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Yoel

YOEL

1 Yoel* anak Petuel telah menerima perkhabaran daripada Yehuwa, dan dia menyampaikan perkhabaran itu.

 2 “Dengarlah, hai para pemimpin,

Tumpukanlah perhatian kamu, hai penduduk negeri ini.

Pernahkah perkara seperti ini berlaku pada zaman kamu

Atau pada zaman nenek moyang kamu?+

 3 Ceritakanlah perkara ini kepada anak-anak kamu,

Supaya mereka dapat menceritakannya kepada anak-anak mereka,

Dan anak-anak mereka pula dapat menceritakannya kepada generasi seterusnya.

 4 Apa sahaja yang ditinggalkan oleh kawanan belalang pelahap, dimakan oleh belalang bersayap;+

Apa sahaja yang ditinggalkan oleh belalang bersayap, dimakan oleh belalang muda;

Dan apa sahaja yang ditinggalkan oleh belalang muda, dimakan oleh kawanan belalang pemusnah.*+

 5 Bangunlah dan menangislah, hai pemabuk!+

Merataplah, hai peminum wain,

Kerana wain baharu sudah dirampas daripada mulut kamu.+

 6 Kawanan belalang juta telah bangkit untuk menyerang negeriku; belalang-belalang itu seperti sebuah bangsa yang kuat dan tidak terhitung bilangannya.+

Gigi belalang seperti gigi singa,+ dan tulang rahang belalang seperti tulang rahang singa.

 7 Kawanan belalang itu memusnahkan semua pokok anggur dan pokok ara.

Ranting-ranting pokok menjadi putih,

Kerana semua kulit pokok anggur dan pokok ara telah dikupas dan dibuang.

 8 Meraunglah seperti anak dara yang memakai kain guni,

Yang sedang meratapi kematian pengantin lelakinya.

 9 Korban bijirin+ dan korban wain+ tidak lagi dipersembahkan di Rumah Yehuwa.

Para imam, ya, para hamba Yehuwa, sedang berkabung.

10 Ladang telah binasa dan tanah berkabung,+

Kerana biji-bijian telah musnah, wain baharu tiada lagi, dan semua minyak sudah habis.+

11 Para petani akan berasa hampa, dan para pekebun akan meratap,

Kerana gandum dan barli tiada lagi,

Dan kerana hasil tuaian ladang sudah musnah.

12 Pokok anggur sudah kering.

Pokok ara sudah layu.

Pokok delima, pokok palma, pokok epal,

Dan semua pokok di ladang sudah kering dan kecut.+

Ya, segala sukacita yang dirasai semua orang sudah lenyap.

13 Hai para imam, pakailah kain guni dan berkabunglah.

Merataplah, hai kamu yang berkhidmat di mazbah.+

Hai para hamba Tuhan, masuklah dan bermalamlah dengan memakai kain guni,

Kerana korban bijirin+ dan korban wain+ tidak lagi dipersembahkan di Rumah Tuhan.

14 Isytiharkanlah waktu untuk berpuasa dan adakanlah perhimpunan suci.+

Kumpulkanlah para pemimpin dan semua penduduk negeri ini.

Pergilah ke Rumah Yehuwa+ dan berserulah kepada Yehuwa untuk memohon bantuan-Nya.

15 Hari Yehuwa sudah dekat!+

Ya, hari itu akan datang!

Tuhan Yang Maha Kuasa akan membawa kebinasaan!

16 Makanan di depan mata kita sudah diambil.

Kegembiraan dan sukacita di Rumah Tuhan sudah lenyap.

17 Semua benih* sudah musnah.

Semua jelapang sudah menjadi kosong.

Semua gudang sudah dirobohkan kerana biji-bijian tiada lagi.

18 Binatang ternakan pun mengerang.

Kawanan lembu merayau-rayau tidak tentu arah, kerana tidak menjumpai padang rumput.

Kawanan bebiri juga menderita akibat dosa manusia.

19 Namun aku akan berseru kepada-Mu, ya Yehuwa,+

Kerana api telah membakar kawasan berumput di padang belantara,

Dan nyala api telah menghanguskan semua pokok di ladang.

20 Binatang liar pun berseru kepada-Mu,

Kerana air sungai sudah kering,

Dan kawasan berumput di padang belantara sudah dijilat api.”

2 “Tiuplah trompet* di Sion!+

Teriakkanlah laungan peperangan di gunung suci Tuhan.

Biarlah semua penduduk bumi gementar,

Kerana hari Yehuwa akan datang!+ Ya, hari itu sudah dekat!

 2 Hari itu gelap dan suram,+

Hari itu mendung dan kelam.+

Keadaannya seperti cahaya fajar yang terhalang oleh gunung.

Akan muncul kawanan belalang juta* yang kuat dan tidak terhitung bilangannya.+

Sejak purbakala, tidak ada yang setandingnya,

Dan dari generasi ke generasi,

Tidak akan ada yang dapat menandinginya.

 3 Seperti api, kawanan belalang melahap segala sesuatu di hadapannya,

Dan memusnahkan segala sesuatu di belakangnya.+

Tanah di hadapannya kelihatan seperti Taman Eden,+

Tetapi tanah di belakangnya menjadi seperti padang belantara yang tandus.

Segala-galanya dibinasakan oleh belalang.

 4 Rupa belalang juta itu seperti kuda,

Dan belalang juta berlari seperti kuda perang.+

 5 Semasa belalang naik ke atas gunung, bunyinya seperti bunyi kereta-kereta kuda+

Dan seperti bunyi jerami yang dibakar api.

Belalang-belalang itu berbaris seperti pasukan askar yang siap untuk berperang.+

 6 Kerana belalang-belalang itu, penderitaan akan melanda semua orang,

Dan ketakutan akan terpancar pada setiap wajah.

 7 Belalang menyerang seperti pahlawan,

Dan memanjat tembok seperti askar.

Semua belalang terus mara ke depan

Tanpa menyimpang daripada haluan masing-masing.

 8 Semasa belalang mara ke depan,

Belalang tidak saling berlanggar.

Meskipun ada yang mati dipanah,

Yang lain terus maju tanpa mengubah haluan.

 9 Belalang menyerbu ke dalam kota dan berlari di atas tembok.

Belalang memanjat rumah-rumah dan masuk melalui jendela seperti pencuri.

10 Ketika belalang juta mara, bumi bergoncang dan langit bergegar.

Matahari dan bulan menjadi gelap,+

Dan bintang-bintang tidak lagi bercahaya.

11 Dengan suara yang lantang, Yehuwa akan memberikan perintah kepada tentera-Nya+ yang tidak terhitung bilangannya.+

Dia sangat berkuasa dan Dia akan melaksanakan segala yang difirmankan-Nya.

Hari Yehuwa sungguh hebat dan menakutkan!+

Siapakah yang dapat bertahan apabila hari itu tiba?”+

12 Yehuwa berfirman, “Maka sekarang, kembalilah kepada-Ku dengan segenap hati.+

Berpuasalah+ sambil menangis dan meratap.

13 Jangan hanya mengoyakkan pakaian kamu,+ sebaliknya biarlah hati kamu yang remuk itu menyatakan penyesalan.*+

Kembalilah kepada Aku, Yehuwa, Tuhan kamu.

Aku Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. Aku tidak cepat murka+ dan Aku penuh dengan kasih setia.+

Aku akan mempertimbangkan semula keputusan-Ku dan tidak mendatangkan bencana yang telah Aku firmankan.

14 Mudah-mudahan, Aku akan berpaling daripada kemurkaan-Ku dan mengubah fikiran-Ku,+

Lalu mencurahkan berkat ke atas kamu.

Dengan demikian, kamu dapat mempersembahkan korban bijirin dan korban wain kepada Aku, Yehuwa, Tuhan kamu.

15 Tiuplah trompet di Sion!

Isytiharkanlah waktu untuk berpuasa dan adakanlah perhimpunan suci.+

16 Kumpulkanlah seluruh umat* dan sucikanlah mereka.+

Kumpulkanlah semua orang tua, anak-anak, dan bayi yang masih menyusu.+

Panggillah juga pengantin lelaki dan perempuan dari bilik tidur mereka.

17 Para imam yang berkhidmat kepada Aku, Yehuwa,

Di antara anjung dengan mazbah,+ harus menangis sambil berkata,

‘Kasihanilah umat-Mu, ya Yehuwa.

Jangan biar mereka dihina

Dan dikuasai oleh bangsa-bangsa lain.

Jangan biar bangsa-bangsa itu bertanya, “Di manakah Tuhan kamu?”’+

18 Kemudian Aku, Yehuwa, akan melindungi tanah milik-Ku,

Dan Aku akan berbelas kasihan terhadap umat-Ku.+

19 Aku, Yehuwa, akan berfirman kepada umat-Ku,

‘Sekarang Aku akan memberi kamu bijirin, minyak, dan wain baharu,

lalu kamu akan makan sehingga puas.+

Aku tidak akan membiarkan kamu dihina lagi oleh bangsa-bangsa lain.+

20 Kawanan belalang juta yang datang dari utara akan Aku jauhkan daripada kamu.

Aku akan mengusir kawanan itu ke tanah yang kering dan tandus.

Barisan hadapan kawanan itu akan dihalau ke laut di sebelah timur,*

Dan barisan belakang pula dihalau ke laut di sebelah barat.*

Bangkai-bangkai kawanan yang datang dari utara itu akan berbau,

Dan bau busuk itu akan tersebar ke seluruh tanah itu.+

Sesungguhnya, Aku akan melaksanakan perkara-perkara yang menakjubkan.’

21 Hai ladang-ladang, janganlah takut.

Bersukacitalah dan bergembiralah, kerana Aku, Yehuwa, akan melakukan perkara-perkara yang menakjubkan.

22 Hai binatang-binatang, janganlah takut,

Kerana rumput akan menghijau semula di padang belantara,+

Dan pokok-pokok akan berbuah.+

Sesungguhnya, pokok ara dan pokok anggur akan menghasilkan buah yang berlimpah-limpah.+

23 Hai penduduk Sion, bersukacitalah dan bergembiralah, kerana Aku, Yehuwa, Tuhan kamu,+

Akan memberikan hujan yang cukup pada musim luruh.

Ya, Aku akan menurunkan hujan lebat untuk kamu.

Seperti dahulu, Aku akan menurunkan hujan pada musim luruh dan musim bunga.+

24 Tempat mengirik* tuaian akan penuh dengan biji-bijian,

Dan tempat pemerasan akan berlimpah-limpah dengan minyak dan wain baharu.+

25 Kawanan belalang juta yang telah Aku utus ke tengah-tengah kamu bagaikan pasukan tentera yang besar.

Meskipun hasil tanaman kamu dimakan oleh kawanan belalang pelahap, belalang bersayap, belalang muda, dan belalang pemusnah,*

Aku akan mengganti segala kerugian yang kamu alami pada tahun-tahun tersebut.+

26 Kamu pasti akan makan sehingga puas,+

Dan kamu akan memuji nama-Ku, iaitu Yehuwa.+

Aku, Tuhan kamu, telah melakukan hal-hal yang luar biasa demi kamu.

Ya, umat-Ku tidak akan dihina lagi.+

27 Hai orang Israel, kamu akan mengetahui bahawa Aku berada di tengah-tengah kamu,+

Dan bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.+ Tidak ada tuhan lain kecuali Aku!

Ya, umat-Ku tidak akan dihina lagi.

28 Kemudian Aku akan mencurahkan kuasa suci-Ku*+ ke atas segala macam orang.

Anak lelaki dan anak perempuan kamu akan bernubuat,

Orang tua dalam kalangan kamu akan mendapat mimpi,

Dan anak muda kamu akan mendapat penglihatan.+

29 Pada masa itu, Aku juga akan mencurahkan kuasa suci-Ku

Ke atas hamba lelaki dan hamba perempuan-Ku.

30 Aku akan menunjukkan mukjizat di langit dan di bumi;

Akan ada darah, api, dan kepulan asap.+

31 Sebelum hari Yehuwa yang hebat dan menakutkan itu datang,+

Matahari akan menjadi gelap, dan bulan akan menjadi merah seperti darah.+

32 Tetapi, semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.+

Aku, Yehuwa, telah berfirman bahawa akan ada orang yang terselamat di Gunung Sion dan Yerusalem.+

Orang yang telah Aku panggil akan hidup. Akulah Yehuwa.”

3 “Hal ini demikian kerana pada masa itu,

Aku akan membawa kembali orang Yehuda dan Yerusalem yang ditawan.+

 2 Aku akan mengumpulkan semua bangsa

Dan membawa mereka ke Lembah* Yehosafat.*

Demi umat Israel yang merupakan milik-Ku,

Aku akan menghakimi semua bangsa itu di sana,+

Kerana mereka mencerai-beraikan umat-Ku dalam kalangan bangsa-bangsa lain,

Dan membahagi-bahagikan tanah-Ku untuk diri mereka sendiri.+

 3 Mereka membuang undi untuk mendapatkan umat-Ku.+

Mereka menjual budak lelaki supaya dapat membayar pelacur,

Dan menjual budak perempuan supaya dapat membeli wain.

 4 Hai Tirus, Sidon, dan seluruh wilayah Filistia,

Alangkah beraninya kamu melawan Aku!

Adakah kamu mencuba membalas dendam terhadap-Ku?

Jika kamu berbuat demikian,

Aku akan segera membalas kamu setimpal dengan perbuatan kamu.+

 5 Kamu telah merampas emas dan perak-Ku,+

Dan membawa harta-Ku yang bernilai ke dalam kuil-kuil kamu.

 6 Kamu telah menjual penduduk Yehuda dan Yerusalem kepada orang Yunani,+

Supaya mereka berada jauh dari negeri mereka.

 7 Tetapi sekarang Aku akan membawa mereka kembali dari tempat-tempat kamu menjual mereka.+

Aku akan membalas kamu setimpal dengan perbuatan kamu.

 8 Aku akan menjual anak lelaki dan anak perempuan kamu kepada orang Yehuda.+

Orang Yehuda pula akan menjual mereka kepada orang Syeba yang tinggal di tempat yang sangat jauh.

Aku, Yehuwa, telah berfirman.

 9 Isytiharkanlah perkara ini kepada semua bangsa:+

‘Bersiaplah untuk berperang! Bangkitkanlah semangat para pahlawan kamu!

Hendaklah para askar maju dan bersedia untuk menyerang!+

10 Tempalah mata bajak untuk dijadikan pedang dan juga sabit untuk dijadikan tombak.

Hendaklah orang yang lemah berkata, “Aku sangat kuat!”

11 Hai bangsa-bangsa di sekitar, berkumpullah dan bantulah satu sama lain!’”+

Ya Yehuwa, utuslah para pahlawan-Mu ke tempat mereka berkumpul.

12 “Hendaklah bangsa-bangsa bangkit dan datang ke Lembah* Yehosafat,

Kerana di situ, Aku akan duduk dan menghakimi semua bangsa di sekitar.+

13 Ayunkanlah sabit kerana tuaian sudah masak.

Datanglah untuk memeras anggur kerana tempat pemerasan sudah penuh.+

Tempayan wain sudah melimpah kerana kejahatan semua bangsa itu bertimbun-timbun.

14 Begitu banyak orang yang akan berkumpul di Lembah* Penghakiman.

Di situ orang akan dihakimi, kerana hari Yehuwa sudah dekat.+

15 Matahari dan bulan akan menjadi gelap,

Dan bintang-bintang tidak akan bercahaya lagi.

16 Di Sion, suara-Ku akan kedengaran seperti ngauman singa,

Dan di Yerusalem, Aku, Yehuwa, akan berseru dengan suara yang lantang.

Langit dan bumi akan bergoncang,

Tetapi Aku, Yehuwa, akan menjadi tempat perlindungan bagi umat-Ku,+

Dan Aku akan menjadi kubu pertahanan bagi umat Israel.

17 Sesungguhnya, kamu akan mengetahui bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, dan bahawa Aku berada di Sion, gunung suci-Ku.+

Yerusalem akan menjadi tempat yang suci,+

Dan orang asing tidak akan sekali-kali melintasinya.+

18 Pada hari itu, gunung-gunung akan diliputi wain manis,+

Bukit-bukit akan melimpah dengan susu,

Dan sungai-sungai di Yehuda akan penuh dengan air.

Mata air akan mengalir dari rumah milik Aku, Yehuwa,+

Dan mengairi seluruh Lembah* Akasia.

19 Namun, Mesir akan menjadi terlantar,+

Dan Edom akan menjadi padang belantara yang terbiar,+

Kerana keganasan yang dilakukan oleh mereka terhadap orang Yehuda.+

Mereka telah membunuh orang yang tidak bersalah di negeri orang Yehuda.+

20 Tetapi, dari generasi ke generasi,

Yerusalem dan Yehuda akan sentiasa dihuni.+

21 Meskipun mereka berhutang darah, Aku akan menghapuskan hutang darah itu.+

Sesungguhnya, Aku, Yehuwa, akan berada di Sion.”+

Maksudnya “Yehuwa ialah Tuhan.”

Teks Ibrani menggunakan istilah-istilah yang berbeza untuk merujuk kepada empat jenis belalang juta.

Atau mungkin, “buah ara kering.”

Atau “tanduk biri-biri jantan.”

Atau “Akan muncul pasukan tentera.”

Harfiah, “sebaliknya koyakkanlah hati kamu.”

Atau “sidang.” Lihat Kamus.

Iaitu, Laut Mati.

Iaitu, Laut Mediterranean.

Proses memisahkan buah daripada tangkai.

Teks Ibrani menggunakan istilah-istilah yang berbeza untuk merujuk kepada empat jenis belalang juta.

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Atau “Dataran Rendah.”

Maksudnya “Yehuwa ialah Hakim.”

Atau “Dataran Rendah.”

Atau “Dataran Rendah.”

Atau “Wadi.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi