PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 36 1A-3T
  • Zefanya

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Zefanya
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Zefanya

ZEFANYA

1 Inilah perkhabaran Yehuwa kepada Zefanya* pada masa Raja Yosia+ anak Amon+ memerintah Yehuda. (Zefanya ialah anak Kushi, Kushi ialah anak Gedalia, Gedalia ialah anak Amaria, dan Amaria ialah anak Hizkia.)

 2 Yehuwa berfirman, “Aku akan melenyapkan segala sesuatu dari muka bumi.”+

 3 Yehuwa juga berfirman, “Aku akan melenyapkan manusia dan binatang.

Aku akan melenyapkan burung di langit dan ikan di laut.+

Aku akan memusnahkan batu sandungan*+ dan orang jahat.

Aku akan menyingkirkan manusia dari muka bumi.

 4 Aku akan menghukum Yehuda

Dan semua penduduk Yerusalem.

Aku akan melenyapkan Baal sehingga sisa penyembahannya tidak kelihatan di tempat ini.+

Nama imam-imam yang menyembah dewa asing dan imam-imam palsu akan Aku padamkan juga.+

 5 Aku akan membinasakan mereka yang naik ke bumbung untuk bersujud kepada benda-benda di langit,+

Dan mereka yang bersujud kepada Aku, Yehuwa, serta bersumpah akan setia kepada-Ku,+

Tetapi juga bersumpah akan setia kepada Dewa Malkam.+

 6 Aku akan memusnahkan mereka yang tidak lagi mengikut Aku, Yehuwa,+

Dan mereka yang tidak mencari Aku, Yehuwa, atau meminta petunjuk daripada-Ku.”+

 7 Hendaklah kamu berdiam diri di hadapan Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, kerana hari Yehuwa sudah dekat.+

Yehuwa telah menyediakan korban, dan Dia telah menyucikan mereka yang dijemput-Nya.

 8 “Pada hari Aku, Yehuwa, menyembelih korban, Aku akan menghukum para pemimpin,

Putera-putera raja,+ dan semua yang memakai pakaian bangsa asing.

 9 Pada hari itu, Aku akan menghukum setiap orang yang berada berhampiran dengan takhta,

Dan mereka yang memenuhkan rumah tuan mereka dengan keganasan serta tipu muslihat.”

10 Yehuwa berfirman, “Pada hari itu,

Suara tangisan akan kedengaran di Pintu Gerbang Ikan,+

Suara raungan akan kedengaran dari Wilayah Kedua di kota itu,+

Dan bunyi dentuman yang kuat akan bergema dari bukit-bukit.

11 Merataplah hai penduduk Maktes,*

Kerana semua pedagang telah dibinasakan,

Dan semua yang menimbang perak telah dimusnahkan.

12 Pada masa itu, Aku akan mengambil pelita dan menggeledah kota Yerusalem.

Aku akan menghukum orang yang puas dan yakin dengan diri sendiri, yang berkata dalam hati,

‘Yehuwa tidak akan melakukan apa yang baik, dan Dia juga tidak akan mendatangkan apa yang buruk.’+

13 Kekayaan mereka akan dirampas, dan rumah mereka akan dimusnahkan.+

Mereka akan membina rumah, tetapi tidak mendiaminya.

Mereka akan mengusahakan ladang anggur, tetapi tidak minum wain yang dihasilkan dari ladang itu.+

14 Hari besar Yehuwa sudah dekat!+

Hari itu sudah hampir dan akan segera tiba!+

Hari Yehuwa* ialah hari kesusahan.+

Pada hari itu, pahlawan akan meraung.+

15 Itulah hari kemurkaan dan kemusnahan,+

Hari kesusahan dan kegelisahan,+

Hari yang gelap dan suram,

Hari yang mendung dan kelam.+

Pada hari itu, ribut akan melanda.+

16 Pada hari itu, bunyi trompet dan pekik perang akan kedengaran+

Kerana serangan terhadap kota bertembok dan menara tinggi di sudut tembok.+

17 Aku akan mendatangkan kesusahan kepada umat manusia,

Lalu mereka akan berjalan seperti orang buta,+

Kerana mereka telah berdosa terhadap Aku, Yehuwa.+

Darah mereka akan diinjak seperti debu,

Dan daging* mereka akan dibuang seperti najis.+

18 Pada hari kemurkaan Yehuwa, emas dan perak tidak dapat menyelamatkan mereka.+

Seluruh bumi akan dihanguskan oleh kemurkaan-Ku* yang berkobar-kobar.+

Aku akan mendatangkan kebinasaan yang dahsyat* kepada semua penduduk bumi.”+

2 Hai bangsa yang tidak tahu malu,+

Datanglah dan berkumpullah+

 2 Sebelum hari kemurkaan Yehuwa tiba,

Sebelum penghakiman Tuhan dilaksanakan,

Sebelum hari itu berlalu bagaikan sekam yang ditiup angin,+

Dan sebelum kamu merasai bahang kemurkaan Yehuwa.

 3 Carilah Yehuwa,+ hai semua yang rendah hati di bumi,

Dan yang mentaati hukum-Nya yang adil.

Berusahalah untuk melakukan apa yang benar dan untuk menunjukkan kerendahan hati.

Mungkin kamu akan dilindungi* pada hari kemurkaan Yehuwa.+

 4 Gaza akan menjadi kota yang terbiar,

Dan kota Askelon akan menjadi tempat yang tandus.+

Penduduk Asdod akan diusir pada tengah hari,

Dan penduduk Ekron akan dibuang dari tempat tinggal mereka.+

 5 “Malanglah bangsa Kreti yang tinggal di persisiran laut!+

Aku, Yehuwa, telah mengutuk kamu.

Hai Kanaan, negeri orang Filistin, Aku akan memusnahkanmu

Sehingga tidak ada lagi pendudukmu.

 6 Kawasan persisiran laut akan menjadi padang rumput;

Di situ akan ada perigi untuk para gembala dan kandang* untuk biri-biri.

 7 Tempat itu akan menjadi milik orang Yehuda yang terselamat.+

Di situlah mereka akan makan.

Pada waktu malam, mereka akan berbaring di dalam rumah-rumah di kota Askelon.

Aku, Yehuwa, Tuhan mereka, akan menjaga mereka,

Dan Aku akan membawa pulang umat-Ku yang ditawan.”+

 8 “Aku sudah mendengar cemuhan orang Moab+ dan celaan orang Ammon.+

Mereka telah mengejek umat-Ku dan bercakap besar bahawa mereka akan merampas tanah umat-Ku.+

 9 Oleh itu, demi Aku yang hidup,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel,

“Aku bersumpah bahawa Moab akan menjadi seperti Sodom,+

Dan Ammon akan menjadi seperti Gomora.+

Kedua-duanya akan dipenuhi semak dan lubang garam, serta menjadi tanah tandus buat selama-lamanya.+

Umat-Ku yang terselamat akan menjarah harta penduduk di situ,

Dan merampas apa yang dimiliki oleh mereka.

10 Itulah kesudahan mereka kerana mereka angkuh dan sombong,+

Serta mencela umat milik Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.

11 Aku, Yehuwa, akan membuat mereka ketakutan.

Aku akan menghancurkan dewa dewi di bumi.*

Semua bangsa yang tinggal di pulau akan menyembah-Ku,+

Masing-masing di tempat sendiri.

12 Orang Etiopia* juga akan Aku bunuh dengan pedang.+

13 Aku akan menghulurkan tangan-Ku ke arah utara dan memusnahkan Assyria.

Aku juga akan menjadikan Niniwe tempat yang tandus+ dan kering-kontang bagaikan padang gurun.

14 Di situ, kawanan pelbagai jenis binatang liar akan berbaring.

Pada waktu malam, burung undan dan landak akan tidur di antara tiang-tiang yang runtuh.

Nyanyian yang pilu akan kedengaran di jendela,

Reruntuhan akan kelihatan di ambang pintu,

Dan papan kayu sedar pada dinding akan dibiarkan terdedah kepada angin dan hujan.

15 Dahulu kota itu menganggap dirinya tenteram,

Dan berkata dengan angkuh dalam hatinya, ‘Akulah yang terutama, tiada sesiapa pun yang dapat menandingiku.’

Tetapi kota itu akan menjadi tempat yang menakutkan,

Tempat binatang-binatang liar berbaring!

Setiap orang yang lalu di kota itu akan menggeleng kepala dan mentertawakannya.”+

3 Malanglah kota yang memberontak, yang tercemar, dan yang menindas penduduknya!+

 2 Kota itu tidak mahu mendengar nasihat+ dan tidak mahu ditegur ajar.*+

Kota itu tidak bergantung pada Yehuwa+ dan tidak menghampiri Tuhannya.+

 3 Para pemimpinnya bagaikan singa yang mengaum.+

Para hakimnya seperti serigala yang memburu pada waktu malam,

Yang tidak meninggalkan seketul tulang pun untuk keesokan pagi.

 4 Para nabinya bongkak dan licik.+

Para imamnya mencemari apa yang suci,+

Dan mereka melanggar hukum.+

 5 Yehuwa ada di kota itu. Dia adil+ dan tidak pernah berbuat salah.

Sebagaimana fajar pasti menyingsing,

Tuhan pasti menyatakan keadilan-Nya+ setiap pagi.

Namun orang jahat tidak tahu malu.+

 6 “Aku telah memusnahkan banyak bangsa dan menyebabkan menara-menara* mereka terbiar.

Aku menghancurkan jalan-jalan mereka sehingga tiada orang melaluinya.

Kota-kota mereka kini hanya reruntuhan yang tidak berpenduduk.+

 7 Aku berfikir, ‘Sudah pasti engkau akan takut dan hormat kepada-Ku, serta menerima disiplin.’+

Jika demikian, engkau tidak akan dibinasakan.+

Tetapi pendudukmu lebih giat berbuat jahat.

Oleh itu, Aku akan menghukum mereka atas segala dosa mereka.+

 8 Aku, Yehuwa berfirman, ‘Teruslah menantikan Aku+

Sehingga harinya Aku bertindak untuk mengambil barang rampasan.*

Aku telah membuat keputusan* untuk mengumpulkan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan,

Dan menimpakan kemurkaan-Ku yang bernyala-nyala kepada mereka.+

Seluruh bumi akan dihanguskan oleh kemurkaan-Ku* yang berkobar-kobar.+

 9 Pada masa itu, Aku akan mengajar bangsa-bangsa untuk menuturkan bahasa yang murni,

Agar mereka semua menyeru nama Aku, Yehuwa,

Dan berganding bahu untuk berkhidmat kepada-Ku.’*+

10 Dari kawasan sungai di Etiopia,*

Mereka yang merayu kepada-Ku, iaitu umat-Ku yang tercerai-berai, akan membawa persembahan kepada-Ku.+

11 Pada hari itu, engkau tidak perlu berasa malu

Atas semua perbuatanmu semasa engkau memberontak terhadap Aku.+

Aku akan menyingkirkan semua orang yang sombong dan angkuh dalam kalanganmu.

Engkau tidak akan bersikap angkuh lagi di gunung-Ku yang suci.+

12 Aku akan membiarkan orang yang rendah hati dan lemah lembut untuk tinggal dalam kalanganmu.+

Mereka akan menjadikan nama Aku, Yehuwa, tempat perlindungan mereka.

13 Orang Israel yang terselamat+ tidak akan berbuat jahat.+

Mereka tidak akan berdusta atau menggunakan lidah untuk memperdaya orang.

Mereka akan makan* lalu berbaring, dan tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka takut.”+

14 Bersoraklah, hai Sion!

Berserulah dengan gembira, hai Israel!+

Bersukacitalah dan bergembiralah dengan sepenuh hatimu, hai Yerusalem!+

15 Yehuwa tidak akan menghukummu lagi.+

Dia telah mengusir musuhmu.+

Yehuwa, Raja orang Israel, menyertaimu.+

Engkau tidak lagi perlu takut akan malapetaka.+

16 Pada hari itu, Aku akan berkata kepada Yerusalem,

“Hai Sion, janganlah gentar.+

Janganlah membiarkan tanganmu menjadi lenguh.

17 Aku, Yehuwa, Tuhanmu, menyertaimu.+

Aku perkasa dan Aku akan menyelamatkanmu.

Aku akan bergembira keranamu,+

Dan berpuas hati* kerana kasih-Ku terhadapmu.

Aku akan bersorak dengan riang keranamu.

18 Orang yang bersedih kerana tidak dapat menghadiri perayaan di tempatmu, akan Aku kumpulkan;+

Mereka tidak dapat hadir kerana menanggung hinaan di negeri asing.+

19 Pada masa itu, Aku akan menghukum semua orang yang menindasmu.+

Aku akan menyelamatkan orang yang tempang,+

Dan mengumpulkan mereka yang tercerai-berai.+

Aku akan menyebabkan mereka dipuji dan disanjung

Di tempat-tempat mereka pernah dimalukan dahulu.

20 Pada masa itu, Aku akan mengumpulkan pendudukmu

Dan membawa mereka pulang.

Engkau akan melihat Aku membawa pulang pendudukmu yang ditawan.

Pada masa itu, Aku akan membuat semua penduduk bumi memuji+ dan menyanjungmu.” Demikianlah firman Yehuwa.+

Maksudnya “Yehuwa Sudah Menyembunyikan (Menyimpan).”

Nampaknya merujuk kepada benda atau kegiatan yang berkaitan dengan penyembahan berhala.

Nampaknya merujuk kepada sebuah kawasan di Yerusalem yang berdekatan Pintu Gerbang Ikan.

Harfiah, “Bunyi hari Yehuwa.”

Harfiah, “usus.”

Atau “semangat-Ku.”

Atau “kebinasaan secara tiba-tiba.”

Atau “disembunyikan.”

Merujuk kepada kandang yang diperbuat daripada tembok batu.

Atau “akan menyebabkan dewa dewi di bumi menjadi lemah dan tidak berdaya.”

Atau “Habsyah.”

Atau “tidak mahu menerima disiplin.”

Atau “menara-menara di sudut tembok.”

Atau mungkin, “Aku bangkit sebagai saksi.”

Atau “ketetapan.”

Atau “semangat-Ku.”

Atau “bersatu padu untuk menyembah Aku.”

Atau “Habsyah.”

Atau “Mereka akan menjadi seperti biri-biri yang makan rumput.”

Atau “berdiam diri; berasa tenang.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi