SURAT PERTAMA KEPADA SIDANG DI KORINTUS
1 Aku, Paulus, yang dipanggil menurut kehendak Tuhan untuk menjadi rasul+ Kristus Yesus, dan saudara kita Sostenes, 2 mengirim surat ini kepada sidang Tuhan di Korintus,+ iaitu kepada kamu yang telah disucikan untuk bersatu dengan Kristus Yesus,+ dan yang dipanggil oleh Tuhan untuk menjadi umat suci-Nya. Surat ini juga ditujukan kepada semua orang di merata tempat yang menyeru nama Tuan kita, Yesus Kristus,+ iaitu Tuan mereka dan Tuan kita:
3 Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita, dan Tuan Yesus Kristus.
4 Aku sentiasa bersyukur kepada Tuhanku bagi kamu, kerana Tuhan telah menunjukkan kebaikan hati-Nya yang unggul kepada kamu melalui Kristus Yesus. 5 Melaluinya, kamu menjadi kaya dalam segala hal. Kamu pandai berucap dan memiliki pengetahuan yang serba lengkap,+ 6 kerana kesaksian mengenai Kristus+ telah berurat berakar dalam kalangan kamu. 7 Oleh itu, kamu tidak kekurangan apa-apa* sementara kamu menanti-nantikan masanya Tuan Yesus Kristus disingkapkan.+ 8 Dia akan meneguhkan kamu sampai akhir, supaya tiada sesiapa pun yang mempunyai alasan untuk menuduh kamu pada hari Tuan Yesus Kristus.+ 9 Tuhan yang setia+ telah memanggil kamu agar bersatu dengan Anak-Nya, iaitu Tuan Yesus Kristus.
10 Saudara-saudara, atas nama Tuan Yesus Kristus, aku menggesa kamu: Hendaklah kamu semua seia sekata dalam percakapan kamu supaya tiada perpecahan yang berlaku dalam kalangan kamu.+ Hendaklah kamu bersatu padu, sefikiran, dan sependapat.+ 11 Saudara-saudaraku, aku berkata demikian kerana beberapa orang daripada keluarga Kloe telah memberitahu aku bahawa ada perselisihan yang berlaku dalam kalangan kamu. 12 Maksudku, ada antara kamu yang berkata, “Aku milik Paulus,” “Aku milik Apolos,”+ “Aku milik Kefas,”* atau “Aku milik Kristus.” 13 Adakah sidang Kristus sudah berpecah belah? Adakah Paulus dihukum bunuh pada tiang untuk kamu? Adakah kamu dibaptis atas nama Paulus? 14 Aku bersyukur kepada Tuhan kerana aku tidak pernah membaptis sesiapa pun dalam kalangan kamu kecuali Krispus+ dan Gayus.+ 15 Oleh itu, tiada sesiapa pun dapat mengatakan bahawa kamu dibaptis atas namaku. 16 Sebenarnya, aku juga membaptis Stefanas+ dan seisi rumah tangganya. Namun selain mereka, seingat aku, aku tidak pernah membaptis orang lain. 17 Hal ini demikian kerana Kristus mengutus aku, bukan untuk membaptis orang, tetapi untuk mengisytiharkan berita baik.+ Aku mengisytiharkan berita baik tanpa menggunakan kata-kata yang bijak, supaya kematian Kristus pada tiang seksaan* tidak menjadi sia-sia.
18 Bagi orang yang menuju kebinasaan,+ perkhabaran tentang tiang seksaan* merupakan kebodohan. Namun, bagi kita yang akan diselamatkan, perkhabaran itu ialah kuasa Tuhan,+ 19 kerana ada tertulis, “Aku akan melenyapkan kebijaksanaan orang bijak, dan kepandaian orang pandai akan Aku tolak.”+ 20 Di manakah orang yang bijaksana? Di manakah para jurutulis hukum?* Di manakah ahli debat dalam sistem dunia ini?* Bukankah Tuhan sudah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia ini ialah kebodohan belaka? 21 Orang di dunia tidak dapat mengenal Tuhan+ melalui kebijaksanaan sendiri,+ tetapi Tuhan sudi menyelamatkan mereka yang percaya melalui perkhabaran kita yang dianggap bodoh.+ Dengan ini, Tuhan telah menunjukkan kebijaksanaan-Nya.
22 Orang Yahudi meminta tanda-tanda,+ dan orang Yunani mencari kebijaksanaan, 23 tetapi kita menyebarkan perkhabaran tentang Kristus yang dihukum bunuh pada tiang. Perkhabaran itu telah menjadi batu sandungan bagi orang Yahudi, dan dianggap bodoh oleh bangsa-bangsa lain.+ 24 Namun, bagi orang Yahudi dan orang Yunani yang dipanggil oleh Tuhan, Kristus ialah kuasa dan kebijaksanaan Tuhan.+ 25 Hal ini demikian kerana apa yang dianggap sebagai kebodohan Tuhan sebenarnya lebih bijaksana daripada kebijaksanaan manusia, dan apa yang dianggap sebagai kelemahan Tuhan sebenarnya lebih kuat daripada kekuatan manusia.+
26 Saudara-saudara, kamu telah memperhatikan bahawa semasa Tuhan memanggil kamu, hanya segelintir daripada kamu yang dianggap bijaksana menurut pandangan manusia,+ hanya segelintir yang berkuasa, dan hanya segelintir yang berasal daripada golongan bangsawan.+ 27 Namun, Tuhan telah memilih orang* yang dianggap bodoh di dalam dunia ini untuk memalukan orang yang bijaksana. Tuhan telah memilih orang yang dianggap lemah di dalam dunia ini untuk memalukan orang yang kuat.+ 28 Tuhan telah memilih orang yang tidak penting, dipandang rendah, dan dianggap tidak bernilai di dalam dunia ini, supaya orang yang dianggap penting menjadi tidak berguna.+ 29 Dengan ini, tiada sesiapa pun dapat membanggakan dirinya di hadapan Tuhan. 30 Sebaliknya, Tuhanlah yang menjadikan kamu bersatu dengan Kristus Yesus. Yesus telah menyingkapkan kebijaksanaan Tuhan dan menunjukkan apa yang benar.+ Melalui dia, kita disucikan+ dan melalui tebusannya, kita dibebaskan.+ 31 Oleh itu, seperti yang tertulis, “Sesiapa yang berbangga, hendaklah dia berbangga kerana Yehuwa.”*+
2 Saudara-saudara, semasa aku datang untuk mengisytiharkan rahsia suci+ Tuhan kepada kamu, aku tidak menunjuk-nunjuk kebijaksanaanku atau menggunakan kata-kata yang berbunga-bunga.+ 2 Semasa aku ada bersama kamu, aku membuat keputusan untuk menghalakan perhatian kamu hanya kepada Yesus Kristus, yang dihukum bunuh pada tiang.+ 3 Ketika aku datang kepada kamu, aku lemah, takut, dan amat gementar. 4 Semasa bercakap dan mengajar, aku tidak menggunakan kata-kata pujukan yang berdasarkan kebijaksanaan manusia. Sebaliknya, kata-kataku membuktikan bahawa kuasa suci Tuhan* itu berkuasa.+ 5 Oleh itu, iman kamu tidak berdasarkan kebijaksanaan manusia tetapi berdasarkan kuasa Tuhan.
6 Kita bercakap tentang kebijaksanaan kepada orang yang matang dari segi rohani.+ Namun, kebijaksanaan ini bukanlah kebijaksanaan sistem dunia ini* atau kebijaksanaan pemerintah sistem dunia ini yang bakal lenyap.+ 7 Kita bercakap tentang kebijaksanaan Tuhan yang tersembunyi dalam suatu rahsia suci.+ Hal itu ditentukan oleh Tuhan sebelum adanya sistem-sistem dunia ini* agar kita dimuliakan. 8 Tidak ada seorang pun daripada kalangan pemerintah sistem dunia ini* yang mengetahui kebijaksanaan itu.+ Sekiranya mereka mengetahuinya, mereka tidak akan membunuh Tuan kita yang mulia pada tiang. 9 Tepat seperti yang tertulis, “Mata belum pernah melihat, telinga belum pernah mendengar, dan belum pernah timbul dalam hati manusia apa yang disediakan oleh Tuhan untuk orang yang mengasihi-Nya.”+ 10 Namun begitu, Tuhan menggunakan kuasa suci-Nya+ untuk menyingkapkan hal-hal itu+ kepada kita kerana kuasa suci-Nya menyelidiki segala sesuatu, bahkan kebijaksanaan Tuhan yang dalam.+
11 Siapakah dalam kalangan umat manusia yang tahu apa yang difikirkan oleh orang lain? Hanya orang itu tahu apa yang ada dalam hatinya sendiri. Dalam cara yang sama, seseorang hanya dapat mengetahui fikiran Tuhan jika fikiran Tuhan disingkapkan oleh kuasa suci-Nya. 12 Kita tidak menerima kecenderungan mental* dunia, tetapi kita menerima kuasa suci Tuhan,+ supaya kita mengetahui perkara-perkara yang dikurniakan oleh Tuhan kita yang pengasih. 13 Oleh itu, kita menyampaikan perkara-perkara ini, bukan dengan menggunakan kata-kata yang berasal daripada kebijaksanaan manusia.+ Kita menggunakan kata-kata rohani, iaitu kata-kata yang diajarkan oleh kuasa suci Tuhan,+ untuk menjelaskan hal-hal rohani.
14 Seseorang yang berfikiran duniawi* enggan menerima hal-hal daripada kuasa suci Tuhan kerana dia menganggap semua itu sebagai sesuatu yang bodoh. Dia tidak dapat memahaminya kerana hal-hal itu hanya dapat diselidiki dengan bantuan kuasa suci Tuhan. 15 Orang yang berfikiran duniawi tidak dapat menilai orang yang berfikiran rohani. Seseorang yang berfikiran rohani pula dapat menilai segala sesuatu.+ 16 Ayat-Ayat Suci ada menyatakan, “Siapakah yang mengetahui fikiran Yehuwa* sehingga dapat mengajar-Nya?”+ Akan tetapi, kita mempunyai fikiran Kristus.+
3 Saudara-saudara, aku tidak dapat bercakap kepada kamu seperti kepada orang yang berfikiran rohani.+ Sebaliknya aku bercakap kepada kamu seperti kepada orang yang berfikiran duniawi,* atau kepada orang yang masih seperti bayi+ sehubungan dengan haluan Kristus. 2 Aku telah memberi kamu susu dan bukan makanan yang keras kerana kamu masih tidak dapat mencernakan makanan yang keras. Bahkan sekarang pun kamu masih tidak dapat berbuat demikian,+ 3 kerana kamu masih berfikiran duniawi.+ Apabila ada kecemburuan dan perkelahian dalam kalangan kamu, bukankah hal itu menunjukkan bahawa kamu ialah orang yang berfikiran duniawi+ dan berkelakuan seperti orang di dalam dunia ini? 4 Apabila seseorang berkata, “Aku milik Paulus,” tetapi yang lain pula berkata, “Aku milik Apolos,”+ bukankah kelakuan kamu seperti kelakuan orang dunia ini?
5 Sebenarnya, siapakah Apolos? Siapakah Paulus? Kami hanyalah hamba+ yang melaksanakan kerja masing-masing yang dikurniakan oleh Tuan kita. Kami sekadar membantu kamu menjadi pengikut Yesus. 6 Aku menanam,+ Apolos menyiram,+ tetapi Tuhanlah yang menyebabkannya terus bertumbuh. 7 Jadi orang yang menanam atau orang yang menyiram tidaklah penting. Yang penting ialah Tuhan yang menyebabkannya bertumbuh.+ 8 Orang yang menanam dan orang yang menyiram mempunyai tujuan yang sama, tetapi setiap orang akan menerima ganjaran menurut kerja masing-masing.+ 9 Kami ialah rakan sekerja Tuhan. Kamu pula ialah ladang Tuhan yang sedang diusahakan dan rumah yang dibina oleh Tuhan.+
10 Dengan kebaikan hati Tuhan yang unggul, yang diberikan kepadaku, aku menjadi seperti jurubina utama yang mahir.* Aku telah meletakkan asas,+ tetapi orang lain yang membina bangunan di atas asas itu. Namun, biarlah setiap orang terus memperhatikan bagaimana dia membina di atas asas tersebut. 11 Hal ini demikian kerana tidak ada orang yang dapat meletakkan asas yang lain untuk menggantikan asas yang sedia ada, iaitu Yesus Kristus.+ 12 Ada orang yang menggunakan emas, perak, atau batu-batu berharga untuk membina di atas asas itu. Ada juga yang menggunakan kayu, rumput kering, atau jerami. 13 Tetapi kerja setiap orang akan dinyatakan apabila hari untuk mengujinya tiba. Api akan menyingkapkan segala-galanya+ dan api itu akan membuktikan sebaik mana mutu kerja setiap orang. 14 Jika hasil kerja seseorang yang didirikan di atas asas itu tidak terbakar, dia akan menerima ganjarannya. 15 Namun, jika hasil kerja seseorang habis terbakar, dia akan mengalami kerugian. Walaupun dia sendiri akan diselamatkan, dia akan menjadi seperti orang yang terselamat daripada kebakaran.
16 Tidakkah kamu tahu bahawa kamu ialah Rumah Tuhan,+ dan kuasa suci Tuhan tinggal dalam diri kamu?+ 17 Jika seseorang memusnahkan Rumah Tuhan, Tuhan akan memusnahkan orang itu, kerana Rumah Tuhan itu suci, dan kamulah Rumah Tuhan.+
18 Janganlah sesiapa pun menipu diri sendiri. Jika ada sesiapa dalam kalangan kamu berfikir bahawa dirinya bijaksana dalam sistem dunia ini,* biarlah orang itu menjadi bodoh supaya dia benar-benar menjadi bijaksana. 19 Tuhan menganggap kebijaksanaan dunia ini sebagai suatu kebodohan, kerana ada tertulis, “Tuhan memerangkap orang bijaksana dengan kelicikan mereka sendiri.”+ 20 Selain itu ada tertulis, “Yehuwa* tahu bahawa pemikiran orang bijaksana itu sia-sia.”+ 21 Oleh itu, janganlah sesiapa pun bercakap besar tentang apa yang dilakukan oleh manusia, kerana segala-galanya milik kamu, 22 sama ada Paulus, Apolos, Kefas,*+ dunia, kehidupan, kematian, perkara-perkara yang ada sekarang, atau perkara-perkara yang akan datang. Semua ini ialah milik kamu; 23 kamu ialah milik Kristus;+ Kristus ialah milik Tuhan.
4 Orang patut menganggap kami sebagai hamba-hamba yang bekerja untuk Kristus, dan sebagai pengurus* yang telah diamanahkan dengan rahsia suci Tuhan.+ 2 Sifat penting yang harus dimiliki oleh seorang pengurus ialah kesetiaan. 3 Aku tidak peduli jika kamu atau mahkamah manusia mahu menghakimi aku. Sebenarnya, aku pun tidak menghakimi diriku sendiri. 4 Setahu aku, aku tidak melakukan apa-apa yang salah, tetapi hal itu tidak menunjukkan bahawa aku orang yang baik, kerana Yehuwalah* yang akan menghakimi* aku.+ 5 Maka, janganlah kamu menghakimi+ sesiapa pun sebelum masanya tiba. Tunggulah sehingga Tuan kita datang. Dia akan mendedahkan rahsia yang tersembunyi dalam kegelapan dan membongkar niat hati manusia. Pada masa itu, setiap orang akan mendapat pujian yang layak diterimanya daripada Tuhan.+
6 Saudara-saudara, aku menyebut semua ini demi manfaat kamu. Aku menjadikan diriku sendiri dan Apolos+ sebagai contoh supaya melalui kami, kamu dapat mempelajari prinsip berikut: “Janganlah lakukan sesuatu yang melebihi apa yang tertulis,” supaya kamu tidak menjadi angkuh+ dan menganggap seseorang lebih baik daripada orang lain. 7 Apakah yang menjadikan diri kamu lebih baik daripada orang lain? Bukankah segala sesuatu yang kamu miliki dikurniakan oleh Tuhan?+ Memandangkan kamu menerima semua itu daripada Tuhan, mengapakah kamu membanggakan diri seolah-olah semua itu hasil usaha kamu sendiri?
8 Adakah kamu sudah berpuas hati? Adakah kamu sudah menjadi kaya? Adakah kamu sudah mula memerintah sebagai raja tanpa kami?+ Aku memang berharap kamu sudah mula memerintah sebagai raja supaya kami juga akan memerintah bersama-sama kamu sebagai raja.+ 9 Nampaknya, Tuhan sudah menjadikan kami, iaitu rasul-rasul, sebagai orang yang dijatuhi hukuman mati.+ Kami telah menjadi watak terakhir yang muncul dalam sebuah pertunjukan yang ditonton oleh semua manusia di bumi,+ dan para malaikat. 10 Kami bodoh+ kerana kami mengikut Kristus, tetapi kamu bijaksana kerana kamu mengikut Kristus; kami lemah, tetapi kamu kuat; kamu dihormati, tetapi kami dihina. 11 Sampai saat ini, kami masih lapar+ dan haus.+ Kami kekurangan pakaian, kami dipukul,+ kami tidak mempunyai tempat tinggal, 12 dan kami terpaksa membanting tulang.+ Semasa orang menghina kami, kami memberkati mereka.+ Semasa orang menganiaya kami, kami menanggungnya dengan sabar.+ 13 Semasa kami difitnah, kami menjawab dengan lemah lembut.+ Sampai sekarang, kami dianggap sebagai sampah dunia dan sampah masyarakat.
14 Aku menulis semua ini bukan untuk memalukan kamu, tetapi untuk menasihati kamu kerana kamu seperti anak-anak yang aku kasihi. 15 Walaupun kamu mungkin mempunyai 10,000 orang guru yang mengajar kamu cara untuk mengikut Kristus, kamu tidak mempunyai banyak bapa. Aku menjadi seperti seorang bapa yang mengajarkan berita baik kepada kamu dan mengajar kamu untuk mengikut Kristus Yesus.+ 16 Oleh itu, aku menggesa kamu supaya kamu mengikut teladanku.+ 17 Itulah sebabnya aku mengutus Timotius kepada kamu. Dialah anak kesayanganku yang mengikut Tuan Yesus dengan setia. Sebagaimana aku mengajar sidang di merata tempat tentang cara aku berkhidmat kepada Kristus Yesus,+ dia juga akan mengingatkan kamu tentang hal-hal yang sama.
18 Sesetengah orang menjadi angkuh kerana menyangka aku tidak akan datang kepada kamu. 19 Namun, jika Yehuwa* mengizinkan, aku akan datang kepada kamu tidak lama lagi. Aku tidak berminat untuk mengetahui apa yang dikatakan oleh mereka yang angkuh itu, tetapi aku ingin tahu sama ada mereka memiliki kuasa Tuhan atau tidak. 20 Hal ini demikian kerana Kerajaan Tuhan tidak dibuktikan melalui kata-kata tetapi melalui kuasa. 21 Yang manakah pilihan kamu? Adakah kamu mahu aku datang kepada kamu dengan membawa rotan,+ atau dengan kasih dan kelemahlembutan?
5 Sebenarnya, aku menerima laporan bahawa ada orang dalam kalangan kamu yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.*+ Perbuatan seks* yang dilakukan itu bahkan lebih teruk daripada apa yang berlaku dalam kalangan bangsa-bangsa lain. Aku diberitahu bahawa seorang lelaki berbuat cabul dengan isteri bapanya.+ 2 Namun, mengapakah kamu masih berasa bangga? Kamu seharusnya berdukacita+ dan menyingkirkan orang yang sudah melakukan perkara yang jahat itu daripada kalangan kamu.+ 3 Walaupun aku tidak bersama kamu secara fizikal, namun secara batin aku bersama-sama kamu. Jadi meskipun aku tidak ada bersama kamu, aku sudah mendapati bahawa orang yang melakukan perbuatan jahat itu bersalah. 4 Sewaktu kamu berkumpul, kamu tahu bahawa hatiku dan kuasa Tuan kita, Yesus, juga menyertai kamu. Maka atas nama Tuan Yesus, 5 kamu mesti menyerahkan orang sebegitu kepada Syaitan+ supaya pengaruh buruknya dapat dilenyapkan. Dengan itu, kerohanian sidang dapat dipelihara pada hari Tuan.+
6 Tidak baik kamu bercakap besar. Tidakkah kamu tahu bahawa sedikit ragi membuat seluruh adunan naik?+ 7 Buanglah ragi yang lama supaya kamu menjadi adunan yang baharu, sebab kamu memang tidak beragi. Oleh sebab Kristus, bebiri Paska* kita,+ sudah dikorbankan,+ 8 marilah kita merayakan Perayaan Paska+ dengan menggunakan roti tidak beragi, yang melambangkan keikhlasan dan kebenaran. Janganlah kita menggunakan ragi yang lama, atau ragi yang melambangkan dosa dan kejahatan.
9 Dalam surat yang aku tulis kepada kamu, aku memberitahu kamu supaya tidak lagi bergaul dengan orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.* 10 Aku tidak bermaksud bahawa kamu langsung tidak boleh bergaul dengan orang di dunia ini+ yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* yang tamak, yang memeras ugut, atau yang menyembah berhala, kerana jika kamu perlu berbuat demikian, kamu terpaksa keluar daripada dunia ini.+ 11 Sekarang, aku menulis kepada kamu supaya kamu tidak lagi bergaul+ dengan saudara Kristian yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* yang tamak,+ yang menyembah berhala, yang suka mencaci, yang mabuk,+ atau yang memeras ugut.+ Bahkan janganlah makan bersama dengan orang sedemikian. 12 Apakah kaitan aku dengan orang di luar sidang Kristian sehingga aku harus menghakimi mereka? Namun kamu mesti menghakimi mereka yang ada dalam sidang, 13 sementara Tuhan menghakimi orang di luar sidang.+ Ayat-Ayat Suci menyatakan, “Singkirkanlah orang jahat daripada kalangan kamu.”+
6 Jika timbulnya persengketaan antara dua orang dalam kalangan kamu,+ mengapakah kamu tidak membawa perkara itu kepada umat suci Tuhan? Mengapakah kamu berani membawa perkara itu ke mahkamah untuk dihakimi oleh orang yang tidak percaya kepada Kristus? 2 Tidakkah kamu tahu bahawa umat suci Tuhan akan menghakimi dunia?+ Jika kamulah yang akan menghakimi dunia, tidakkah kamu layak untuk mengadili hal-hal yang begitu kecil? 3 Tidakkah kamu tahu bahawa kita akan menghakimi malaikat-malaikat?+ Jika demikian, mengapakah kamu tidak dapat mengadili perkara-perkara dalam hidup ini? 4 Jika timbul perkara-perkara dalam hidup ini yang harus diadili,+ mengapakah kamu memilih orang yang dipandang rendah oleh sidang untuk menjadi hakim? 5 Aku berkata demikian supaya kamu berasa malu. Setidak-tidaknya tentu ada seseorang yang bijaksana dalam kalangan kamu, yang dapat mengadili persengketaan antara saudara-saudaranya. 6 Namun sekarang, seorang saudara membawa saudara yang lain ke mahkamah untuk dihakimi oleh orang yang tidak percaya kepada Kristus!
7 Sebenarnya kamu memalukan diri sendiri apabila kamu mendakwa satu sama lain di mahkamah. Mengapakah kamu tidak membiarkan diri kamu diperlakukan dengan tidak adil?+ Mengapakah kamu tidak membiarkan diri kamu ditipu? 8 Sebaliknya, kamu menipu dan memperlakukan saudara-saudara kamu sendiri dengan tidak adil!
9 Tidakkah kamu tahu bahawa orang yang berbuat jahat tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan?+ Janganlah menipu diri sendiri. Orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,*+ orang yang menyembah berhala,+ orang yang berzina,+ lelaki yang rela ditiduri lelaki lain,+ lelaki yang meniduri lelaki,*+ 10 orang yang mencuri, yang tamak,+ yang mabuk,+ yang suka mencaci, dan yang memeras ugut, tidak akan mewarisi Kerajaan Tuhan.+ 11 Demikianlah cara hidup sesetengah orang antara kamu dahulu. Namun, atas nama Tuan Yesus Kristus, dan melalui kuasa suci Tuhan kita, kamu sekarang sudah dibersihkan,+ disucikan,+ dan diperkenankan Tuhan.+
12 Aku dibenarkan untuk melakukan segala sesuatu, tetapi bukan segala-galanya bermanfaat.+ Aku dibenarkan untuk melakukan segala sesuatu, tetapi aku tidak akan membiarkan diriku dikongkong oleh apa-apa pun. 13 Makanan adalah untuk perut dan perut adalah untuk makanan, tetapi Tuhan akan meniadakan kedua-duanya.+ Tubuh kita bukanlah untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* tetapi untuk berkhidmat kepada Tuan kita,+ dan Tuan kita akan memelihara tubuh kita. 14 Tuhan telah membangkitkan Tuan Yesus,+ dan Dia juga akan membangkitkan kita daripada kematian+ dengan menggunakan kuasa-Nya.+
15 Tidakkah kamu tahu bahawa tubuh kamu ialah anggota tubuh Kristus?+ Jika begitu, bolehkah aku mengambil anggota tubuh Kristus untuk dijadikan anggota tubuh seorang pelacur? Sudah pasti tidak! 16 Tidakkah kamu tahu bahawa sesiapa yang bersetubuh dengan pelacur sudah menjadi satu dengan pelacur itu? Tuhan berfirman, “Mereka berdua akan menjadi satu.”+ 17 Namun bagi sesiapa yang bersatu dengan Tuan kita, fikirannya sudah menjadi satu dengan fikiran Tuan kita.+ 18 Jauhkanlah diri kamu* daripada perbuatan seks yang tidak bermoral!*+ Semua dosa lain yang dilakukan oleh seseorang tidak dilakukan terhadap tubuhnya sendiri, tetapi sesiapa yang mengamalkan perbuatan seks yang tidak bermoral berdosa terhadap tubuhnya sendiri.+ 19 Tidakkah kamu tahu bahawa tubuh kamu ialah tempat kediaman+ kuasa suci Tuhan? Kuasa suci itu dikurniakan oleh Tuhan kepada kamu dan tinggal dalam diri kamu.+ Hendaklah kamu tahu bahawa kamu bukanlah milik kamu sendiri,+ 20 kerana kamu sudah dibeli dengan harga yang tinggi.+ Oleh itu, gunakanlah tubuh+ kamu untuk memuliakan Tuhan.+
7 Berkenaan dengan soalan yang kamu tulis, adalah lebih baik jika seorang lelaki tidak menyentuh* seorang wanita. 2 Namun, memandangkan begitu ramai orang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* hendaklah setiap lelaki mempunyai isteri sendiri,+ dan hendaklah setiap wanita mempunyai suami sendiri.+ 3 Hendaklah suami memenuhi kewajipannya kepada isterinya, dan hendaklah isteri juga memenuhi kewajipannya kepada suaminya.+ 4 Isteri tidak berkuasa atas tubuh sendiri, sebaliknya suamilah yang berkuasa atas tubuh isteri. Begitu juga, suami tidak berkuasa atas tubuh sendiri, tetapi isterilah yang berkuasa atas tubuh suami. 5 Janganlah suami atau isteri mengabaikan kewajipan terhadap satu sama lain. Biarpun kamu berdua bersetuju untuk mengetepikan kewajipan ini buat suatu jangka waktu kerana ingin mengekhaskan masa untuk berdoa, kamu harus bersatu semula selepas itu, supaya Syaitan tidak terus menggoda kamu kerana kamu tidak dapat mengawal diri. 6 Namun, aku mengatakan hal-hal ini bukan sebagai perintah. Kamu boleh memilih sama ada kamu ingin melakukannya atau tidak. 7 Aku berharap semua orang menjadi seperti aku. Walau bagaimanapun, setiap orang menerima kurnia masing-masing+ daripada Tuhan. Ada yang menerima kurnia ini dan ada yang menerima kurnia itu.
8 Kepada mereka yang belum berkahwin dan mereka yang sudah menjadi balu, beginilah nasihatku: Adalah lebih baik jika mereka meneruskan kehidupan mengikut keadaan mereka sekarang seperti aku.+ 9 Namun jika mereka tidak dapat mengawal diri, biarlah mereka berkahwin. Lebih baik berkahwin daripada membiarkan nafsu berahi berkobar-kobar.+
10 Kepada orang yang sudah berkahwin, beginilah arahanku. Sebenarnya ini bukan arahanku tetapi arahan Tuan kita. Seorang isteri tidak patut berpisah dengan suaminya.+ 11 Namun, jika dia berpisah dengan suaminya, dia harus tetap tidak berkahwin, atau dia harus berbaik semula dengan suaminya. Seorang suami juga tidak patut meninggalkan isterinya.+
12 Kepada orang lain aku berkata begini (ini merupakan kata-kataku sendiri, dan bukannya kata-kata Tuan kita):+ Jika seorang saudara mempunyai isteri yang tidak seiman, dan isterinya itu bersetuju untuk tinggal bersamanya, dia tidak patut meninggalkan isterinya. 13 Jika seorang wanita mempunyai suami yang tidak seiman, dan suaminya itu bersetuju untuk tinggal bersamanya, dia tidak patut meninggalkan suaminya. 14 Hal ini demikian kerana suami yang tidak seiman itu sudah disucikan kerana hubungannya dengan isterinya. Demikian juga, isteri yang tidak seiman itu sudah disucikan kerana hubungannya dengan suaminya yang percaya. Jika tidak, anak-anak kamu akan menjadi najis di mata Tuhan, tetapi sekarang mereka menjadi suci. 15 Namun, jika pihak yang tidak seiman memilih untuk meninggalkan* pasangannya, biarlah dia berbuat demikian. Dalam keadaan sebegini, seorang saudara atau saudari tidak diwajibkan untuk terus hidup bersama pasangannya yang tidak seiman itu. Tuhan telah memberi kamu kedamaian.+ 16 Hai isteri, bagaimana kamu tahu bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan suami kamu?+ Hai suami, bagaimana kamu tahu bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan isteri kamu?
17 Hendaklah setiap orang hidup menurut apa yang sudah diberikan oleh Yehuwa* kepadanya, iaitu menurut keadaannya semasa dia dipanggil oleh Tuhan.+ Aku memberikan arahan ini kepada semua sidang. 18 Adakah sesiapa sudah bersunat ketika dia dipanggil?+ Biarlah dia tetap dalam keadaannya. Adakah sesiapa belum bersunat ketika dia dipanggil? Biarlah dia tetap tidak bersunat.+ 19 Tidaklah penting sama ada bersunat atau tidak.+ Yang penting ialah kepatuhan pada perintah Tuhan.+ 20 Hendaklah setiap orang tetap dalam keadaan seperti pada masa dia dipanggil.+ 21 Adakah kamu seorang hamba semasa kamu dipanggil? Janganlah biarkan hal itu membuat kamu susah hati.+ Namun jika kamu mendapat peluang untuk dibebaskan, janganlah lepaskan peluang itu. 22 Mana-mana murid Tuan kita yang merupakan seorang hamba semasa dipanggil sudah dibebaskan dan menjadi milik Tuan kita.+ Begitu juga, sesiapa yang merupakan orang bebas semasa dipanggil ialah hamba kepada Kristus. 23 Kamu sudah dibeli dengan harga yang tinggi,+ maka jangan lagi menjadi hamba manusia. 24 Saudara-saudara, tidak kira apa keadaan kamu pada masa kamu dipanggil, hendaklah kamu semua tetap hidup menurut keadaan itu di hadapan Tuhan.
25 Sehubungan dengan orang yang belum berkahwin,* aku tidak menerima perintah daripada Tuan kita. Tetapi sebagai seorang yang setia kerana belas kasihan yang ditunjukkan oleh Tuan kita, aku memberikan pendapatku.+ 26 Memandangkan keadaan sekarang susah, aku berpendapat bahawa lebih baik seorang lelaki tetap dalam keadaannya. 27 Jika kamu sudah beristeri, jangan lagi mencari jalan untuk berpisah dengannya.+ Jika kamu tidak beristeri, jangan lagi berusaha untuk mencari seorang isteri. 28 Namun, kamu tidak berdosa jika kamu berkahwin. Seseorang yang belum berkahwin* juga tidak berdosa jika dia berkahwin. Tetapi orang yang berkahwin akan menghadapi banyak kesusahan. Aku mahu kamu terhindar daripada hal itu.
29 Saudara-saudara, pertimbangkanlah juga hal ini: Waktu yang ada hanya tinggal sedikit.+ Mulai sekarang, orang yang beristeri hendaklah menjadi seperti orang yang tidak beristeri; 30 orang yang menangis hendaklah menjadi seperti orang yang tidak menangis; orang yang bersukacita hendaklah menjadi seperti orang yang tidak bersukacita; orang yang membeli hendaklah menjadi seperti orang yang tidak memiliki apa yang dibeli; 31 orang yang menggunakan dunia ini hendaklah menjadi seperti orang yang tidak menggunakan dunia ini dengan sepenuhnya. Hal ini demikian kerana keadaan dunia ini sedang berubah. 32 Aku mahu kamu bebas daripada kekhuatiran. Lelaki yang tidak berkahwin menumpukan perhatian kepada perkara-perkara Tuan, kerana dia mahu menyenangkan hati Tuan. 33 Namun, lelaki yang berkahwin menumpukan perhatian kepada perkara-perkara di dunia,+ kerana dia mahu menyenangkan hati isterinya. 34 Oleh itu, perhatiannya berbelah bahagi. Seorang wanita yang tidak berkahwin dan seorang perawan menumpukan perhatian kepada perkara-perkara Tuan,+ supaya tubuh dan fikiran mereka menjadi suci. Namun, wanita yang berkahwin menumpukan perhatian kepada perkara-perkara di dunia, kerana dia mahu menyenangkan hati suaminya. 35 Aku mengatakan hal ini demi kebaikan kamu sendiri, bukannya untuk mengongkong kamu. Aku ingin mendorong kamu agar melakukan apa yang sewajarnya dan mendorong kamu agar sentiasa berkhidmat kepada Tuan dengan sepenuh hati tanpa gangguan.
36 Namun, jika seseorang yang belum berkahwin berasa bahawa dia tidak dapat mengawal nafsunya, dan jika dia sudah melewati masa remaja,* inilah yang harus dilakukan: Biarlah dia melakukan apa yang ingin dilakukannya; dia tidak berdosa. Biarlah mereka berkahwin.+ 37 Namun seseorang mungkin berasa bahawa dia tidak perlu berkahwin dan dapat mengawal nafsunya. Dia mungkin sudah bertekad untuk tidak berkahwin, dan membuat keputusan ini dalam hatinya sendiri. Jika demikian, dia melakukan hal yang baik.+ 38 Maka, sesiapa yang berkahwin melakukan hal yang baik, tetapi sesiapa yang tidak berkahwin melakukan hal yang lebih baik.+
39 Seorang isteri terikat kepada suaminya selagi suaminya masih hidup.+ Jika suaminya tidur dalam kematian, dia bebas berkahwin dengan sesiapa sahaja yang diingininya, asalkan orang itu pengikut Tuan kita.+ 40 Namun dia akan lebih berbahagia jika dia tidak berkahwin lagi. Walaupun ini pendapatku sendiri, aku juga berpendapat bahawa aku memiliki kuasa suci Tuhan.
8 Sekarang, mengenai makanan yang dipersembahkan kepada berhala,+ kita tahu bahawa kita semua mempunyai pengetahuan tentang hal itu.+ Pengetahuan menjadikan seseorang sombong, sedangkan kasih menguatkan seseorang.+ 2 Sesiapa yang menyangka bahawa dirinya mengetahui sesuatu, sebenarnya dia belum lagi mengetahui apa yang harus diketahuinya. 3 Namun, orang yang mengasihi Tuhan dikenal oleh-Nya.
4 Sekarang, mengenai persoalan makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala, kita tahu bahawa berhala langsung tidak bernilai,+ dan kita juga tahu bahawa Tuhan hanyalah satu.+ 5 Walaupun di syurga dan di bumi ada yang dianggap sebagai tuhan,+ sebagaimana orang mengatakan bahawa ada banyak “tuhan” dan banyak “tuan,” 6 bagi kita, Tuhan,+ Bapa kita,+ hanyalah satu. Dialah yang menciptakan segala sesuatu dan Dia menciptakan kita untuk diri-Nya.+ Selain itu, Tuan kita, Yesus Kristus, juga hanyalah satu. Melaluinya, segala sesuatu diciptakan+ dan kita juga diciptakan melaluinya.
7 Namun, bukan semua orang mempunyai pengetahuan ini.+ Sesetengah orang pernah menyembah berhala, jadi mereka memandang apa yang dimakan oleh mereka sebagai makanan yang dipersembahkan kepada berhala.+ Akibatnya hati nurani mereka yang lemah menjadi tercemar.+ 8 Sebenarnya, makanan tidak dapat mendekatkan kita kepada Tuhan.+ Jika kita tidak makan, kita tidak rugi apa-apa, dan jika kita makan, kita tidak akan untung apa-apa.+ 9 Namun demikian, teruslah berwaspada supaya hak kamu untuk membuat pilihan tidak menjadi batu sandungan kepada mereka yang lemah.+ 10 Jika seseorang melihat kamu yang berpengetahuan makan di dalam rumah berhala, tidakkah hal ini akan mempengaruhi hati nurani orang yang lemah itu sehingga dia berani makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala? 11 Jika demikian, pengetahuan kamu telah merosakkan iman saudara kamu yang lemah itu, padahal Kristus telah mati untuknya.+ 12 Apabila kamu berdosa terhadap saudara-saudara kamu dengan cara ini dan menyakiti hati nurani mereka yang lemah,+ kamu berdosa terhadap Kristus. 13 Oleh itu, jika makanan membuat saudaraku tersandung, aku langsung tidak akan makan daging lagi agar aku tidak membuat saudaraku tersandung.+
9 Bukankah aku orang yang bebas? Bukankah aku seorang rasul? Tidakkah aku pernah melihat Yesus, Tuan kita?+ Bukankah kamu hasil kerjaku dalam khidmat Tuan kita? 2 Meskipun aku tidak berkhidmat sebagai rasul kepada orang lain, aku memang telah berkhidmat sebagai rasul kepada kamu. Sememangnya kamu bagaikan meterai yang mengesahkan bahawa aku merupakan rasul yang berkhidmat untuk Tuan Yesus.
3 Inilah pembelaanku kepada mereka yang menghakimi aku: 4 Tidakkah kami berhak untuk makan dan minum? 5 Tidakkah kami berhak mengahwini seorang saudari seiman dan membawanya bersama kami?+ Rasul-rasul yang lain, adik-adik Tuan Yesus,+ dan Kefas,*+ juga melakukan hal yang sama, bukan? 6 Atau adakah hanya aku dan Barnabas+ yang tidak berhak untuk berhenti mencari nafkah? 7 Askar manakah yang membiayai hidupnya sendiri sambil menjalankan khidmatnya? Siapakah yang menanam anggur di kebunnya tetapi tidak makan hasilnya?+ Gembala manakah yang tidak minum susu yang dihasilkan oleh kawanan bebirinya?
8 Adakah apa yang aku katakan itu sekadar pandangan manusia? Tidakkah Hukum juga menyatakan hal-hal yang sama? 9 Dalam Hukum Musa tertulis, “Jangan menutup mulut lembu jantan dengan berangus semasa lembu itu sedang mengirik* biji-bijian.”+ Adakah Tuhan mengambil berat tentang lembu? 10 Atau adakah Dia berfirman sedemikian demi manfaat kita? Sesungguhnya perintah ini ditulis untuk manfaat kita, kerana orang yang membajak dan orang yang mengirik biji-bijian harus bekerja dengan harapan untuk menerima sebahagian daripada hasil tuaian.
11 Jika kami menanam perkara-perkara rohani dalam kalangan kamu, adakah kami keterlaluan jika kami menuai bantuan kebendaan daripada kamu?+ 12 Jika orang lain berhak untuk menerima bantuan kebendaan daripada kamu, tidakkah kami lebih berhak daripada mereka? Walaupun begitu, kami tidak menggunakan hak itu.+ Sebaliknya, kami menanggung segala sesuatu dengan tabah supaya kami tidak menghalang penyebaran berita baik tentang Kristus.+ 13 Tidakkah kamu tahu bahawa orang yang melakukan tugas suci menerima makanan dari Rumah Tuhan, dan bahawa mereka yang sentiasa berkhidmat di mazbah menerima sebahagian daripada korban yang dipersembahkan di atas mazbah?+ 14 Dalam cara yang sama, Tuan kita telah mengarahkan agar mereka yang menyebarkan berita baik menerima nafkah menerusi berita baik.+
15 Namun, aku tidak menggunakan satu pun daripada aturan yang disediakan itu.+ Sesungguhnya aku tidak menulis tentang perkara-perkara ini supaya hal itu dilakukan untuk aku. Lebih baik aku mati daripada berbuat demikian. Tiada sesiapa pun yang akan merampas apa yang aku banggakan!+ 16 Walaupun aku mengisytiharkan berita baik, tidak ada sebab bagiku untuk membanggakan diri kerana inilah kewajipanku. Sesungguhnya, malanglah aku jika aku tidak mengisytiharkan berita baik!+ 17 Jika aku melakukan kerja ini dengan rela hati, aku akan menerima ganjaran. Tetapi biarpun aku melakukannya dengan berat hati, aku masih diamanahkan tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga.+ 18 Jika begitu, apakah ganjaranku? Inilah ganjaranku: Semasa aku mengisytiharkan berita baik, aku dapat mengkhabarkannya kepada orang lain tanpa meminta bayaran, dan dengan demikian hakku sebagai penyebar berita baik tidak disalahgunakan.
19 Walaupun aku bebas dan aku bukan hamba kepada sesiapa pun, aku menjadikan diriku sebagai hamba kepada semua orang supaya aku dapat memimpin seberapa banyak orang yang mungkin untuk menjadi pengikut Kristus. 20 Semasa aku bersama dengan orang Yahudi, aku menjadi seperti orang Yahudi supaya aku dapat memimpin mereka ke haluan Kristus.+ Walaupun aku tidak berada di bawah hukum, aku menjadi seperti orang yang berada di bawah hukum semasa aku bersama dengan orang yang berada di bawah hukum, supaya aku dapat memimpin mereka ke haluan Kristus.+ 21 Aku mematuhi hukum Tuhan dan berada di bawah hukum Kristus. Namun, semasa aku bersama dengan orang yang tidak mempunyai hukum, aku menjadi seperti orang yang tidak mempunyai hukum supaya aku dapat memimpin mereka ke haluan Kristus.+ 22 Semasa aku bersama dengan orang yang lemah, aku menjadi orang yang lemah supaya aku dapat memimpin mereka ke haluan Kristus.+ Aku melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu segala macam orang, supaya dengan segala cara aku dapat menyelamatkan beberapa orang. 23 Demi berita baik, aku sanggup melakukan apa-apa sahaja supaya aku dapat mengkhabarkannya kepada orang lain.+
24 Tidakkah kamu tahu bahawa dalam lumba lari, semua peserta berlari tetapi hanya seorang yang akan menerima hadiah? Jadi, larilah sedemikian rupa agar kamu menerima hadiah itu.+ 25 Setiap orang yang bertanding dalam suatu pertandingan* harus mengawal diri dalam segala hal. Mereka berbuat demikian kerana mereka mahu mendapat mahkota yang dapat musnah.+ Namun, kita mahu mendapat mahkota yang tidak akan musnah.+ 26 Oleh itu, cara aku berlari bukanlah dengan tidak menentu.+ Aku menghalakan tumbukanku sedemikian rupa supaya aku tidak menumbuk udara. 27 Aku memukuli* tubuhku+ dan mengawalnya seperti hamba supaya selepas aku menyebarkan berita baik kepada orang lain, aku sendiri tidak kehilangan perkenan Tuhan.
10 Saudara-saudara, aku ingin kamu tahu bahawa nenek moyang kita semuanya berjalan di bawah awan+ dan menyeberangi laut.+ 2 Mereka semua dibaptis sebagai pengikut Musa semasa mereka berjalan di bawah awan dan menyeberangi laut. 3 Mereka semua makan makanan rohani yang sama,+ 4 dan mereka semua minum minuman rohani yang sama.+ Air yang diminum oleh mereka berasal daripada batu rohani yang menyertai mereka, dan batu itu melambangkan* Kristus.+ 5 Namun demikian, Tuhan tidak senang hati dengan kebanyakan daripada mereka. Itulah sebabnya mereka dibunuh di padang belantara.+
6 Semua hal ini menjadi contoh bagi kita, supaya kita tidak menginginkan perkara yang jahat seperti yang diinginkan oleh mereka.+ 7 Selain itu, janganlah menyembah berhala seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan mereka. Seperti yang tertulis, “Umat itu makan dan minum. Kemudian mereka bangkit untuk berpesta.”+ 8 Janganlah kita mengamalkan perbuatan seks yang tidak bermoral* seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan mereka, sehingga 23,000 orang daripada mereka telah mati dalam sehari.+ 9 Janganlah kita menguji Yehuwa*+ seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan mereka, sehingga mereka mati dipatuk ular.+ 10 Janganlah bersungut-sungut+ seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan mereka, sehingga mereka dibunuh oleh malaikat Tuhan.+ 11 Semua peristiwa itu berlaku kepada mereka sebagai contoh bagi kita, dan dicatatkan sebagai amaran untuk kita+ yang hidup pada akhir sistem-sistem dunia ini.*
12 Oleh itu, jika sesiapa berfikir bahawa dia sedang berdiri dengan teguh, hendaklah dia berwaspada supaya dia tidak jatuh.+ 13 Semua godaan* yang kamu hadapi merupakan godaan yang biasa dialami oleh manusia.+ Tuhan yang setia tidak akan membiarkan kamu menghadapi godaan yang tidak dapat kamu tanggung.+ Semasa kamu digoda, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu dapat menanggungnya dengan tabah.+
14 Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, jauhkanlah diri* daripada penyembahan berhala.+ 15 Aku bercakap kepada kamu seperti bercakap kepada orang yang bijaksana. Pertimbangkanlah sendiri sama ada kata-kataku benar atau tidak. 16 Cawan kesyukuran yang kita edarkan setelah mengucapkan syukur kepada Tuhan melambangkan darah Kristus, bukan?+ Roti yang kita bahagi-bahagikan melambangkan tubuh Kristus, bukan?+ 17 Walaupun kita ramai, kita ialah satu tubuh,+ kerana hanya ada satu roti, dan kita semua makan daripada roti itu.
18 Lihatlah bangsa Israel jasmani: Tidakkah mereka yang makan korban yang dipersembahkan dikaitkan dengan mazbah?+ 19 Apakah yang aku maksudkan? Adakah aku bermaksud bahawa berhala ataupun korban yang dipersembahkan kepada berhala itu penting? 20 Tidak. Maksudku ialah korban yang dipersembahkan oleh bangsa-bangsa lain dipersembahkan kepada roh-roh jahat, bukannya kepada Tuhan.+ Aku tidak ingin kamu dikaitkan dengan roh-roh jahat.+ 21 Kamu tidak boleh minum daripada cawan Yehuwa* dan pada masa yang sama minum daripada cawan roh-roh jahat. Kamu tidak boleh makan di “meja Yehuwa”*+ dan pada masa yang sama makan di meja roh-roh jahat. 22 Atau ‘adakah kita ingin membuat Yehuwa* berasa cemburu’?+ Adakah kita lebih kuat daripada-Nya?
23 Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi bukan segala-galanya berfaedah. Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi bukan segala-galanya menguatkan orang.+ 24 Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.+
25 Makanlah apa sahaja yang dijual di pasar daging. Usahlah mempersoalkan apa-apa supaya hati nurani kamu tidak terganggu. 26 Hal ini demikian kerana “bumi dan segala sesuatu di dalamnya merupakan milik Yehuwa.”*+ 27 Jika seseorang yang tidak percaya kepada Kristus menjemput kamu untuk makan dan kamu mahu pergi, makanlah apa sahaja yang dihidangkan di hadapan kamu. Usahlah mempersoalkan apa-apa supaya hati nurani kamu tidak terganggu. 28 Tetapi jika seseorang berkata, “Makanan ini sudah dipersembahkan kepada berhala,” janganlah makan makanan itu, demi orang yang memberitahu kamu hal tersebut dan demi hati nurani.+ 29 Hati nurani yang aku maksudkan bukanlah hati nurani kamu, tetapi hati nurani orang itu. Aku bebas membuat pilihan sendiri, jadi mengapakah aku harus dihakimi berdasarkan hati nurani orang lain?+ 30 Jika aku makan setelah bersyukur kepada Tuhan, patutkah orang mencela aku, padahal aku sudah bersyukur kepada Tuhan bagi makanan itu?+
31 Oleh itu, sama ada kamu makan, minum, atau melakukan hal-hal yang lain, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.+ 32 Janganlah menyebabkan orang lain tersandung, tidak kira orang Yahudi, orang Yunani, ataupun sidang Tuhan.+ 33 Sebaliknya, lakukanlah apa yang aku lakukan. Aku berusaha untuk menyenangkan hati semua orang dalam segala hal. Aku melakukan apa yang berfaedah untuk ramai orang dan bukannya untuk diri sendiri,+ supaya mereka dapat diselamatkan.+
11 Ikutlah teladanku sebagaimana aku juga mengikut teladan Kristus.+
2 Aku memuji kamu kerana kamu sentiasa ingat akan aku dan berpegang teguh pada ajaran yang aku berikan kepada kamu. 3 Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa Kristus ialah kepala setiap lelaki;+ lelaki ialah kepala wanita;+ dan Tuhan ialah kepala Kristus.+ 4 Setiap lelaki yang menudung kepalanya semasa berdoa atau bernubuat memalukan kepalanya. 5 Tetapi setiap wanita yang tidak memakai tudung semasa berdoa atau bernubuat+ memalukan kepalanya, kerana dia sama seperti seorang wanita yang kepalanya dicukur. 6 Jika seorang wanita tidak memakai tudung, dia harus memotong rambutnya. Namun amatlah memalukan jika seorang wanita memotong atau mencukur rambutnya. Oleh itu dia harus memakai tudung.
7 Seorang lelaki tidak patut menudung kepala, kerana dia diciptakan menurut gambaran Tuhan,+ dan dia mencerminkan kemuliaan Tuhan. Namun wanita merupakan kemuliaan lelaki. 8 Hal ini demikian kerana lelaki tidak berasal daripada wanita, tetapi wanita berasal daripada lelaki.+ 9 Lagipun, lelaki tidak diciptakan demi kepentingan wanita, tetapi wanita diciptakan demi kepentingan lelaki.+ 10 Oleh itu, demi malaikat-malaikat, wanita harus memakai tudung sebagai tanda bahawa dia tunduk kepada kepalanya.+
11 Selain itu, dalam sidang Tuan kita, lelaki memerlukan wanita dan wanita memerlukan lelaki. 12 Sebagaimana wanita wujud melalui lelaki,+ lelaki juga wujud melalui wanita, tetapi segala sesuatu berasal daripada Tuhan.+ 13 Pertimbangkanlah sendiri: Patutkah seorang wanita berdoa kepada Tuhan tanpa memakai tudung? 14 Tidakkah kamu tahu bahawa secara semula jadi, jika seorang lelaki memiliki rambut yang panjang, hal itu merupakan suatu kehinaan baginya, 15 tetapi jika seorang wanita memiliki rambut yang panjang, hal itu merupakan suatu kemuliaan bagi dirinya? Hal ini demikian kerana wanita dikurniai rambut dan bukannya tudung. 16 Meskipun demikian, jika ada orang yang mempertikaikan hal ini dan mengajar orang untuk mengikut adat yang lain, kita tahu bahawa baik kita mahupun sidang-sidang Tuhan tidak mempunyai adat yang lain.
17 Aku tidak memuji kamu semasa aku memberikan arahan-arahan ini, kerana perjumpaan kamu membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. 18 Pertama sekali, aku mendengar bahawa perpecahan berlaku dalam kalangan kamu semasa kamu berkumpul dalam sidang. Aku percaya hal itu sedikit sebanyak ada kebenarannya. 19 Kumpulan-kumpulan agama* pasti akan ada dalam kalangan kamu.+ Dengan demikian, sesiapa antara kamu yang diperkenankan Tuhan akan menjadi nyata.
20 Semasa kamu berkumpul di suatu tempat, kamu sebenarnya tidak berkumpul untuk makan Perjamuan Malam Tuan.+ 21 Hal ini demikian kerana apabila tiba masanya untuk makan Perjamuan Malam Tuan, kamu masing-masing sudah makan malam terlebih dahulu. Akibatnya ada antara kamu yang lapar dan ada pula yang mabuk. 22 Bukankah kamu mempunyai rumah sendiri untuk makan dan minum? Atau adakah kamu mahu menghina sidang Tuhan dan membuat mereka yang tidak mempunyai apa-apa berasa malu? Apakah yang dapat aku katakan kepada kamu? Patutkah aku memuji kamu? Dalam hal ini aku tidak memuji kamu.
23 Aku mengajar kamu apa yang aku terima daripada Tuan kita: Pada malam+ Tuan Yesus dikhianati, dia telah mengambil roti, 24 dan selepas mengucapkan syukur, dia membahagikan roti itu lalu berkata, “Roti ini melambangkan tubuhku+ yang akan diserahkan untuk kamu. Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.”+ 25 Selepas mereka makan malam, dia mengambil cawan+ dan melakukan hal yang sama lalu berkata, “Cawan ini melambangkan perjanjian baharu+ yang termeterai dengan darahku.+ Setiap kali kamu minum daripadanya, lakukanlah hal itu untuk mengenang aku.”+ 26 Oleh itu, setiap kali kamu makan roti dan minum daripada cawan ini, kamu sedang mengumumkan kematian Tuan kita, dan kamu akan terus mengumumkan kematiannya sehingga dia datang.
27 Oleh itu, jika sesiapa makan roti atau minum daripada cawan Tuan kita walaupun dia tidak layak berbuat demikian, dia sudah berdosa terhadap tubuh dan darah Tuan kita. 28 Maka, sebelum seseorang makan roti dan minum daripada cawan tersebut, dia harus memeriksa dirinya dengan teliti terlebih dahulu+ untuk memastikan sama ada dia layak berbuat demikian atau tidak. 29 Hal ini demikian kerana jika seseorang makan dan minum tanpa memahami apa yang dilambangkan oleh tubuh Tuan kita, orang itu akan membawa hukuman kepada dirinya sendiri. 30 Itulah sebabnya ramai antara kamu yang lemah dan sakit, dan agak ramai juga yang sedang tidur dalam kematian.*+ 31 Tetapi jika kita memeriksa diri kita terlebih dahulu, kita tidak akan dihakimi. 32 Meskipun begitu, semasa kita dihakimi, Yehuwa* sebenarnya sedang mendisiplinkan+ kita agar kita tidak dihukum bersama-sama dunia ini.+ 33 Oleh itu, saudara-saudaraku, apabila kamu berkumpul untuk makan perjamuan ini, kamu harus saling menunggu. 34 Jika ada sesiapa yang lapar, dia harus makan di rumah. Dengan demikian, kamu tidak akan dihukum semasa kamu berkumpul.+ Berkenaan hal-hal yang lain, aku akan menguruskannya semasa aku datang kelak.
12 Saudara-saudara, aku ingin kamu mengetahui tentang pelbagai kurnia+ yang diberikan oleh Tuhan. 2 Kamu tahu bahawa semasa kamu hidup seperti bangsa-bangsa lain,* kamu telah dipengaruhi dan disesatkan untuk menyembah berhala yang tidak dapat bersuara,+ dan kamu mengikut mereka ke mana sahaja kamu dibawa. 3 Sekarang, aku ingin kamu tahu bahawa tidak ada seorang pun yang didorong oleh kuasa suci Tuhan dapat berkata, “Terkutuklah Yesus!” Begitu juga, tidak ada seorang pun dapat berkata, “Yesuslah Tuan!” kecuali orang itu dipimpin oleh kuasa suci Tuhan.+
4 Ada berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya diberikan oleh kuasa suci yang sama.+ 5 Ada berbagai-bagai cara untuk berkhidmat kepada orang lain,+ tetapi semuanya dilakukan untuk Tuan yang sama. 6 Ada berbagai-bagai kegiatan, tetapi Tuhan yang membolehkan semua orang melakukan kegiatan-kegiatan ini ialah Tuhan yang sama.+ 7 Tuhan memberikan kuasa suci-Nya demi manfaat semua orang, dan cara kuasa suci Tuhan membantu seseorang dapat dilihat dengan jelas.+ 8 Melalui kuasa suci Tuhan, ada yang dapat berucap dengan bijaksana. Melalui kuasa suci yang sama, ada yang dapat meluahkan kata-kata dengan penuh pengetahuan. 9 Melalui kuasa suci yang sama, ada yang dibantu agar memiliki iman,+ sedangkan yang lain dikurniai kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit.+ 10 Melalui kuasa suci yang sama, ada yang dapat melakukan mukjizat,+ ada yang dapat bernubuat, ada yang dapat menentukan sama ada apa yang diucapkan berasal daripada Tuhan atau tidak,+ ada yang dapat bercakap dalam bahasa-bahasa lain,+ dan ada yang dapat menterjemahkan bahasa-bahasa lain.+ 11 Semua itu dilakukan oleh kuasa suci yang sama. Kuasa suci Tuhan memberikan kurnia-kurnia itu kepada setiap orang menurut kehendaknya.
12 Tubuh hanya satu, tetapi terdiri daripada banyak anggota. Walaupun anggota-anggota tubuh banyak, tubuh itu satu.+ Demikianlah halnya dengan Kristus. 13 Kita semua, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, baik hamba mahupun orang bebas, dibaptis dengan kuasa suci yang sama supaya kita menjadi satu tubuh, dan kita semua telah menerima kuasa suci yang sama.
14 Sememangnya, tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, tetapi terdiri daripada banyak anggota.+ 15 Walaupun kaki mungkin berkata, “Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukan sebahagian daripada tubuh,” kaki masih sebahagian daripada tubuh. 16 Walaupun telinga mungkin berkata, “Oleh sebab aku bukan mata, aku bukan sebahagian daripada tubuh,” telinga masih sebahagian daripada tubuh. 17 Seandainya seluruh tubuh itu mata sahaja, bagaimanakah tubuh dapat mendengar? Seandainya seluruh tubuh itu telinga sahaja, bagaimanakah tubuh dapat menghidu? 18 Namun, setiap anggota tubuh disusun mengikut aturan yang dikehendaki oleh Tuhan.
19 Tidak mungkin ada tubuh jika semua anggota tubuh sama sahaja. 20 Oleh itu memang ada banyak anggota, tetapi hanya satu tubuh. 21 Mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukan kamu.” Kepala pun tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukan kamu.” 22 Sebenarnya, anggota tubuh yang nampaknya lebih lemah memang diperlukan. 23 Jika ada bahagian tubuh yang kita rasa kurang elok dipandang, kita akan berusaha untuk memperindahnya+ supaya bahagian tubuh yang kurang elok dipandang akan kelihatan lebih indah. 24 Tetapi kita tidak perlu melakukan apa-apa untuk memperindah bahagian tubuh yang elok dipandang. Tuhan sudah mengatur tubuh kita sedemikian rupa sehingga bahagian tubuh yang kurang elok dipandang akan kelihatan lebih indah. 25 Dengan demikian, tubuh itu tidak akan berpecah belah dan setiap anggota tubuh akan saling memperhatikan.+ 26 Jika satu anggota menderita, semua anggota lain turut menderita bersamanya.+ Jika satu anggota dimuliakan, semua anggota lain turut bersukacita bersamanya.+
27 Kamu semua ialah tubuh Kristus,+ dan kamu masing-masing ialah anggota tubuh itu.+ 28 Tuhan sudah menetapkan tugas yang berbeza-beza bagi mereka yang ada dalam sidang: Pertama, rasul-rasul;+ kedua, nabi-nabi;+ ketiga, guru-guru;+ kemudian orang yang melakukan mukjizat;+ dan seterusnya orang yang dikurniai kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit.+ Ada juga yang berkhidmat kepada orang lain, menjadi pemimpin,+ atau bercakap dalam bahasa-bahasa lain.+ 29 Adakah mereka semuanya rasul? Adakah mereka semuanya nabi? Adakah mereka semuanya guru? Adakah mereka semua mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat? 30 Adakah mereka semua dikurniai kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit? Adakah mereka semua dapat bercakap dalam bahasa-bahasa lain?+ Adakah mereka semua dapat menterjemah? Tidak!+ 31 Namun, teruslah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperoleh kurnia-kurnia yang lebih utama.+ Tetapi aku akan menunjukkan jalan yang jauh lebih unggul kepada kamu.+
13 Meskipun aku dapat bercakap dalam bahasa manusia dan bahasa malaikat, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, aku hanya seperti gong atau simbal* yang mengeluarkan bunyi bising. 2 Meskipun aku diberi kurnia untuk bernubuat, dan memahami semua rahsia suci serta memiliki segala ilmu pengetahuan,+ dan meskipun aku mempunyai iman yang begitu kukuh sehingga dapat mengalihkan gunung, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih, usahaku sia-sia sahaja.+ 3 Meskipun aku menggunakan semua harta milikku untuk menjaga orang lain,+ dan meskipun aku menyerahkan tubuhku sebagai korban supaya aku boleh berbangga, tetapi jika aku tidak mempunyai kasih,+ aku tidak akan mendapat apa-apa faedah.
4 Kasih+ itu sabar*+ dan baik hati.+ Kasih tidak cemburu,+ tidak bercakap besar, tidak menjadi angkuh,+ 5 tidak bersikap biadab,+ tidak mementingkan diri sendiri,+ dan tidak cepat naik marah.+ Kasih tidak menyimpan dendam apabila dilukai.+ 6 Kasih tidak bersukacita atas perkara yang salah,+ tetapi bersukacita atas perkara yang benar. 7 Kasih menanggung segala sesuatu,+ mempercayai segala sesuatu,+ tidak hilang harapan terhadap segala sesuatu,+ dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah.+
8 Kasih itu abadi.* Tetapi kurnia untuk bernubuat akan lenyap, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa lain akan berakhir, dan kurnia untuk menerima pengetahuan akan lenyap. 9 Hal itu demikian kerana pengetahuan+ kita dan nubuat yang kita sampaikan tidak lengkap. 10 Namun, apabila apa yang lengkap tiba, apa yang tidak lengkap akan lenyap. 11 Semasa aku masih kanak-kanak, aku bercakap seperti kanak-kanak, berfikir seperti kanak-kanak, dan membuat pertimbangan seperti kanak-kanak. Tetapi kini aku sudah dewasa, dan aku tidak lagi berperangai seperti kanak-kanak. 12 Sekarang kita melihat bayangan yang kabur dalam sebuah cermin logam, tetapi kelak kita akan melihat dengan jelas.* Sekarang pengetahuanku tidak lengkap, tetapi kelak aku akan mempunyai pengetahuan yang tepat* tentang Tuhan, sepertimana Dia mempunyai pengetahuan yang tepat tentang aku. 13 Walau bagaimanapun, yang tinggal sekarang ialah iman, harapan, dan kasih. Tetapi antara ketiga-tiganya, kasihlah yang paling penting.+
14 Berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk memperlihatkan kasih, dan teruslah berusaha dengan sedaya upaya untuk mendapatkan kurnia-kurnia rohani, terutamanya kurnia untuk bernubuat.+ 2 Orang yang bercakap dalam bahasa lain, tidak bercakap kepada manusia, tetapi bercakap kepada Tuhan. Hal ini demikian kerana walaupun kuasa suci Tuhan membolehkannya bercakap tentang rahsia suci,+ orang lain tidak dapat memahaminya.+ 3 Namun, orang yang bernubuat dapat menguatkan, menggalakkan, dan melegakan hati orang lain menerusi kata-katanya. 4 Orang yang bercakap dalam bahasa lain menguatkan dirinya sendiri, tetapi orang yang bernubuat menguatkan sidang. 5 Aku mahu kamu semua bercakap dalam bahasa-bahasa lain,+ tetapi aku lebih suka jika kamu bernubuat.+ Lebih baik bernubuat daripada bercakap dalam bahasa-bahasa lain. Hal ini demikian kerana sidang tidak akan dikuatkan kecuali orang yang bercakap dalam bahasa-bahasa lain itu menterjemahkan kata-katanya. 6 Saudara-saudara, apa gunanya jika aku datang kepada kamu sekarang dan bercakap kepada kamu dalam bahasa-bahasa lain? Jika aku mahu membantu kamu, aku mesti menyampaikan pengetahuan,+ nubuat, ajaran, atau hal-hal yang disingkapkan oleh Tuhan.+
7 Sebagai contoh, fikirkan tentang benda-benda tidak bernyawa yang menghasilkan bunyi, seperti seruling atau kecapi. Jika tiada perbezaan nada, bagaimanakah orang dapat mengetahui lagu yang sedang dimainkan dengan seruling atau kecapi? 8 Jika orang yang meniup trompet tidak memberikan isyarat yang jelas, siapakah yang akan bersedia untuk berperang? 9 Begitu juga, jika mulut kamu tidak mengucapkan kata-kata yang mudah difahami, bagaimanakah orang dapat mengetahui apa yang kamu katakan? Sia-sia sahaja kamu bercakap. 10 Terdapat banyak bahasa di dunia ini, tetapi tidak ada satu bahasa pun yang tidak bermakna. 11 Jika aku tidak memahami apa yang dikatakan oleh seseorang kepadaku, aku akan menjadi seperti orang asing kepada dia dan dia akan menjadi seperti orang asing kepadaku. 12 Begitu juga halnya dengan kamu. Memandangkan kamu sangat menginginkan kurnia yang diberikan oleh kuasa suci Tuhan, berusahalah untuk memperoleh lebih banyak kurnia yang akan menguatkan sidang.+
13 Oleh itu, hendaklah orang yang bercakap dalam bahasa lain berdoa agar dia dapat menterjemahkan apa yang dikatakannya.+ 14 Semasa aku berdoa dalam bahasa lain, akal fikiranku tidak terlibat. Namun, aku dapat berbuat demikian kerana aku mendapat kurnia daripada kuasa suci Tuhan. 15 Jadi, apakah yang harus aku lakukan? Aku akan berdoa dengan kurnia daripada kuasa suci Tuhan, tetapi aku juga akan berdoa dengan menggunakan akal fikiranku. Aku akan menyanyikan pujian dengan kurnia daripada kuasa suci Tuhan, tetapi aku juga akan menyanyikan pujian dengan menggunakan akal fikiranku. 16 Jika kamu mempersembahkan pujian dengan kurnia daripada kuasa suci Tuhan, tetapi orang biasa yang ada dalam kalangan kamu tidak memahami apa yang kamu katakan, bagaimanakah dia dapat berkata “Amin” selepas kamu mengucapkan syukur? 17 Jadi walaupun kamu mengucapkan syukur dengan cara yang baik, orang itu tidak dikuatkan. 18 Aku bersyukur kepada Tuhan kerana aku dapat bercakap dalam lebih banyak bahasa daripada kamu semua. 19 Namun demikian, semasa dalam sidang, aku lebih suka mengucapkan lima patah perkataan yang dapat difahami daripada mengucapkan sepuluh ribu patah perkataan dalam bahasa yang tidak difahami, supaya aku dapat mengajar orang lain.+
20 Saudara-saudara, janganlah berfikir seperti kanak-kanak.+ Hendaklah kamu berfikir seperti orang yang matang,+ dan jadilah seperti kanak-kanak dalam soal kejahatan.+ 21 Dalam Hukum ada tertulis, “Yehuwa* berfirman, ‘Dengan lidah orang asing dan dengan bibir orang yang tidak dikenali, Aku akan berfirman kepada umat ini. Sungguhpun begitu, mereka enggan mendengarkan Aku.’”+ 22 Oleh itu, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa lain bukanlah tanda bagi orang yang percaya tetapi merupakan tanda bagi orang yang tidak percaya.+ Sebaliknya kurnia untuk bernubuat bukanlah tanda bagi orang yang tidak percaya tetapi merupakan tanda bagi orang yang percaya. 23 Maka, jika seluruh sidang berkumpul dan bercakap dalam bahasa-bahasa lain, lalu ada orang biasa atau orang yang tidak percaya datang, tidakkah mereka akan mengatakan bahawa kamu semua gila? 24 Tetapi jika kamu semua bernubuat lalu orang biasa atau orang yang tidak percaya datang, apa yang kamu katakan itu akan menjadi teguran baginya dan mendorongnya untuk memeriksa dirinya dengan teliti. 25 Rahsia yang tersembunyi dalam hatinya akan terdedah lalu dia akan sujud menyembah Tuhan dan mengaku, “Tuhan benar-benar ada dalam kalangan kamu.”+
26 Saudara-saudara, semasa kamu berkumpul, ada seorang yang menyanyikan mazmur, seorang lagi mempunyai ajaran, seorang lagi mendapat perkhabaran daripada Tuhan, seorang lagi bercakap dalam bahasa lain, dan seorang lagi menterjemahkannya.+ Maka, apakah yang harus dilakukan? Hendaklah segala sesuatu dilakukan untuk menguatkan sidang. 27 Jika ada orang hendak bercakap dalam bahasa lain, paling banyak pun dua atau tiga orang sahaja yang diizinkan untuk berbuat demikian. Mereka harus bergilir-gilir bercakap, dan seseorang mesti menterjemahkan apa yang dikatakan.+ 28 Namun jika tidak ada orang yang dapat menterjemahkan apa yang dikatakan, mereka mesti berdiam diri dalam sidang dan mengucapkan kata-kata dalam hati mereka kepada Tuhan. 29 Hendaklah dua atau tiga orang nabi bercakap,+ dan hendaklah orang lain berusaha untuk memahami maknanya. 30 Tetapi jika seseorang yang sedang duduk di situ mendapat perkhabaran daripada Tuhan, orang yang sedang bercakap itu haruslah berdiam diri. 31 Kamu semua boleh bernubuat secara bergilir-gilir agar semua orang dapat belajar dan menerima galakan.+ 32 Kurnia yang diberikan oleh kuasa suci Tuhan kepada nabi haruslah digunakan dengan betul. 33 Tuhan bukanlah Tuhan yang kacau-bilau, tetapi Dia ialah Tuhan kedamaian.+
Seperti yang berlaku dalam semua sidang umat suci Tuhan, 34 kaum wanita haruslah berdiam diri dalam sidang. Mereka tidak dibenarkan untuk bercakap.+ Sebaliknya, mereka harus taat kepada kaum lelaki+ seperti yang dinyatakan dalam Hukum. 35 Jika mereka mahu mempelajari sesuatu, hendaklah mereka bertanya kepada suami mereka semasa di rumah. Hal ini demikian kerana amatlah memalukan jika seorang wanita bercakap dalam sidang.
36 Adakah firman Tuhan berasal daripada kamu? Atau adakah kamu sahaja yang menerima firman Tuhan?
37 Jika seseorang menganggap dirinya seorang nabi atau seorang yang memiliki kurnia daripada kuasa suci Tuhan, dia mesti mengaku bahawa apa yang aku tulis kepada kamu merupakan perintah Tuan kita. 38 Tetapi jika seseorang tidak mempedulikan hal ini, dia tidak akan dipedulikan.* 39 Oleh itu, saudara-saudaraku, teruslah berusaha untuk mendapatkan kurnia untuk bernubuat,+ tetapi janganlah melarang orang daripada bercakap dalam bahasa-bahasa lain.+ 40 Segala sesuatu haruslah berlaku dengan baik dan teratur.+
15 Saudara-saudara, sekarang aku ingin mengingatkan kamu tentang berita baik yang telah aku isytiharkan kepada kamu.+ Kamu telah menerimanya dan berpegang teguh padanya. 2 Jika kamu terus berpegang teguh pada berita baik yang aku isytiharkan kepada kamu, kamu dapat diselamatkan melalui berita baik itu. Jika tidak, sia-sia sahaja kamu menjadi pengikut Yesus.
3 Apa yang sudah aku terima, itulah yang aku sampaikan kepada kamu. Antara perkara yang terpenting ialah: Kristus telah mati untuk dosa kita seperti yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci.+ 4 Kemudian, dia dimakamkan+ lalu dibangkitkan+ pada hari ketiga+ seperti yang dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci.+ 5 Sesudah itu, dia telah menampakkan diri kepada Kefas,*+ dan kemudian kepada 12 orang rasul.+ 6 Selepas itu, dia menampakkan diri kepada lebih daripada 500 orang saudara sekali gus.+ Kebanyakan daripada mereka masih bersama kita, tetapi ada yang sudah tidur dalam kematian. 7 Setelah itu, dia menampakkan diri kepada Yakobus,+ dan kemudian kepada semua rasul.+ 8 Akhir sekali dia juga menampakkan diri kepadaku,+ yang seperti seorang bayi yang tidak cukup bulan.
9 Dalam kalangan para rasul, akulah yang paling tidak penting. Aku tidak layak dipanggil rasul, kerana aku pernah menganiaya sidang Tuhan.+ 10 Tetapi aku dapat melakukan tugas yang diberikan kepadaku kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul. Kebaikan hati-Nya yang ditunjukkan kepadaku tidak sia-sia, kerana aku bekerja lebih keras daripada mereka semua. Namun, hal ini bukanlah kerana usahaku sendiri, tetapi kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul sentiasa menyertai aku. 11 Walaupun demikian, kami semua—baik aku mahupun mereka—menyebarkan perkhabaran dalam cara yang sama, dan begitulah caranya kamu telah mempercayai perkhabaran itu.
12 Berita bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian sedang disebarkan.+ Jadi mengapakah sesetengah orang dalam kalangan kamu mengatakan bahawa orang mati tidak akan dibangkitkan? 13 Jika orang mati memang tidak akan dibangkitkan, hal ini bererti Kristus pun tidak dibangkitkan. 14 Jika Kristus tidak dibangkitkan, maka kerja penyebaran kita sia-sia sahaja, dan iman kamu juga sia-sia sahaja. 15 Hal ini juga bermaksud kita memberikan kesaksian palsu tentang Tuhan,+ kerana kita memberikan kesaksian dengan mengatakan bahawa Tuhan telah membangkitkan Kristus.+ Jika orang mati memang tidak akan dibangkitkan, hal ini bererti Tuhan juga tidak membangkitkan Kristus. 16 Jika orang mati tidak akan dibangkitkan, hal ini bererti Kristus juga tidak dibangkitkan. 17 Jika Kristus tidak dibangkitkan, iman kamu sia-sia sahaja, dan kamu tetap hidup dalam dosa.+ 18 Hal ini juga bermaksud pengikut Kristus yang sudah tidur dalam kematian turut lenyap sama sekali.+ 19 Jika harapan kita kepada Kristus hanyalah untuk kehidupan sekarang, maka kitalah orang yang paling kasihan antara semua orang yang lain.
20 Tetapi sekarang, Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Dalam kalangan mereka yang sudah tidur dalam kematian, dialah orang* pertama yang dibangkitkan.+ 21 Sebagaimana kematian datang melalui satu orang,+ begitu juga orang mati dibangkitkan melalui satu orang.+ 22 Sebagaimana semua orang mati kerana Adam,+ begitu juga semua orang akan dihidupkan kerana Kristus.+ 23 Namun, setiap orang dihidupkan menurut giliran masing-masing: Kristus ialah orang* yang pertama,+ kemudian mereka yang menjadi milik Kristus akan dibangkitkan semasa kehadirannya.+ 24 Kemudian, pada akhirnya, dia akan menyerahkan Kerajaannya kepada Tuhan dan Bapanya setelah dia meniadakan semua kerajaan dan kuasa.+ 25 Kristus akan terus memerintah sebagai raja sehingga Tuhan meletakkan semua musuh di bawah kakinya.+ 26 Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah kematian.+ 27 Tuhan telah “menundukkan segala sesuatu di bawah kakinya.”+ Tetapi jelaslah bahawa kata ‘segala sesuatu yang ditundukkan’+ itu tidak termasuk Tuhan yang menjadikan segala sesuatu tunduk kepadanya.+ 28 Setelah segala sesuatu ditundukkan kepadanya, Anak sendiri akan tunduk kepada Tuhan yang menjadikan segala sesuatu tunduk kepadanya.+ Dengan ini, Tuhan akan menjadi satu-satunya Pemerintah atas semuanya.*+
29 Jika orang mati tidak akan dibangkitkan, apakah yang akan berlaku kepada mereka yang dibaptis untuk menjadi orang mati?+ Mengapakah mereka dibaptis untuk menjadi orang mati? 30 Mengapakah kita juga diancam bahaya setiap masa?+ 31 Saudara-saudara, aku menghadapi maut setiap hari. Aku bersumpah bahawa hal itu benar, sebagaimana aku bersumpah bahawa aku berbangga dengan kamu yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Tuan kita. 32 Apa gunanya aku melawan binatang buas di Efesus+ seperti yang dilakukan oleh orang lain?* Jika orang mati tidak akan dibangkitkan, maka “marilah kita makan dan minum kerana esok kita akan mati.”+ 33 Janganlah disesatkan. Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak* yang baik.+ 34 Hendaklah kamu sedar dan melakukan apa yang benar, dan janganlah mengamalkan perbuatan berdosa, kerana sesetengah orang dalam kalangan kamu tidak mempunyai pengetahuan tentang Tuhan. Aku berkata demikian supaya kamu berasa malu.
35 Namun, mungkin ada orang bertanya, “Bagaimanakah orang mati akan dibangkitkan? Tubuh apa yang dimiliki mereka semasa mereka dibangkitkan?”+ 36 Hai orang yang tidak munasabah, benih yang kamu tanam tidak akan tumbuh kecuali benih itu mati terlebih dahulu. 37 Apa yang kamu tanam itu hanyalah benih, sama ada benih gandum atau benih yang lain, dan bukannya seluruh tumbuhan* yang sudah membesar. 38 Namun, Tuhan telah membuat benih itu bertumbuh seperti yang dikehendaki-Nya, dan setiap benih yang tumbuh tidak sama. 39 Tubuh segala makhluk hidup tidak semuanya sama. Tubuh manusia, haiwan ternakan, burung, dan ikan, semuanya berbeza. 40 Makhluk yang tinggal di syurga mempunyai tubuh yang berbeza+ daripada makhluk yang tinggal di bumi.+ Keindahan makhluk yang tinggal di syurga berbeza daripada keindahan makhluk yang tinggal di bumi. 41 Matahari, bulan, dan bintang-bintang, mempunyai keindahan masing-masing.+ Sebenarnya, setiap bintang juga mempunyai keindahan yang tersendiri.
42 Demikianlah halnya dengan pembangkitan orang mati. Seperti benih, tubuh yang ditanam dapat musnah tetapi tubuh yang dibangkitkan tidak dapat musnah.+ 43 Semasa ditanam, tubuh itu lemah dan dipandang hina, tetapi semasa dibangkitkan, tubuh itu berkuasa dan dipandang mulia.+ 44 Semasa ditanam, tubuh itu tubuh jasmani, tetapi semasa dibangkitkan, tubuh itu tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka ada tubuh rohani juga. 45 Seperti yang tertulis, “Adam, manusia yang pertama itu, telah menjadi orang yang hidup.”+ Adam yang terakhir pula menjadi roh yang memberikan hidup.+ 46 Namun, yang pertama itu bertubuh jasmani, dan bukannya bertubuh rohani. Yang kemudiannya itu bertubuh rohani. 47 Orang yang pertama berasal dari bumi dan dijadikan daripada tanah.+ Orang yang kedua pula berasal dari syurga.+ 48 Mereka yang berada di dunia ini adalah seperti dia yang dijadikan daripada tanah, dan mereka yang berada di syurga adalah seperti dia yang berasal dari syurga.+ 49 Sebagaimana kita menyerupai dia yang dijadikan daripada tanah,+ kelak kita juga akan menyerupai dia yang berasal dari syurga.+
50 Saudara-saudara, aku ingin memberitahu kamu bahawa tubuh yang dijadikan daripada darah dan daging tidak boleh mewarisi Kerajaan Tuhan. Begitu juga, apa yang dapat musnah tidak boleh mewarisi apa yang tidak dapat musnah. 51 Lihatlah! Aku memberitahu kamu rahsia suci ini: Bukan semua orang dalam kalangan kita yang akan tidur dalam kematian. Sebaliknya, kita semua akan diubah+ 52 dalam masa yang singkat, iaitu dalam sekelip mata. Hal itu akan berlaku semasa trompet yang terakhir dibunyikan.+ Ketika trompet itu dibunyikan, kita akan diubah dan orang mati juga akan dibangkitkan lalu diberi tubuh yang tidak dapat musnah. 53 Tubuh yang dapat musnah akan diubah menjadi tubuh yang tidak dapat musnah,+ dan tubuh yang dapat mati akan diubah menjadi tubuh yang tidak dapat mati.+ 54 Ketika tubuh yang dapat musnah diubah menjadi tubuh yang tidak dapat musnah, dan tubuh yang dapat mati diubah menjadi tubuh yang tidak dapat mati, maka berlakulah seperti yang tertulis, “Kematian sudah ditelan buat selama-lamanya.”+ 55 “Hai maut, di manakah kemenanganmu? Hai maut, di manakah sengatmu?”+ 56 Sengat yang membawa maut ialah dosa,+ dan dosa mendapat kuasanya daripada Hukum.+ 57 Tetapi syukurlah kepada Tuhan kerana Dia memberi kita kemenangan menerusi Tuan kita, Yesus Kristus!+
58 Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, hendaklah kamu teguh+ dan tidak tergoyah. Hendaklah kamu sentiasa sibuk+ dalam khidmat Tuan kita, kerana kamu tahu bahawa usaha kamu dalam khidmat Tuan kita tidak sia-sia.+
16 Berkenaan wang yang dikumpulkan untuk umat suci Tuhan,+ kamu boleh mengikut arahan yang telah aku berikan kepada sidang-sidang di Galatia. 2 Pada hari pertama setiap minggu, setiap orang daripada kamu haruslah menyimpan sedikit wang menurut kemampuan masing-masing, supaya kamu tidak perlu mengumpulkannya apabila aku datang. 3 Apabila aku tiba di sana, aku akan mengutus orang untuk membawa pemberian yang kamu berikan dengan murah hati ke Yerusalem. Mereka yang akan aku utus ialah orang yang kamu percayai, yang kamu sebutkan dalam surat kamu.+ 4 Walau bagaimanapun, jika sesuai bagiku untuk turut pergi ke sana, aku akan pergi bersama-sama mereka.
5 Sekarang, aku akan melalui Makedonia. Setelah aku melalui Makedonia,+ aku akan datang berjumpa dengan kamu. 6 Barangkali aku akan tinggal bersama kamu untuk sementara waktu, atau sepanjang musim sejuk. Dengan demikian, kamu dapat menemani aku untuk sebahagian perjalanan ke tempat yang akan aku pergi. 7 Aku tidak mahu berjumpa dengan kamu untuk masa yang singkat sahaja. Sekiranya Yehuwa* mengizinkan, aku berharap dapat menghabiskan masa yang lebih lama bersama kamu.+ 8 Namun, aku akan tinggal di Efesus+ sehingga Perayaan Pentakosta. 9 Hal ini demikian kerana ada pintu besar yang telah dibuka untukku dan aku mempunyai banyak peluang untuk menjalankan kerja penyebaran.+ Namun, ada banyak orang yang menentang aku.
10 Jika Timotius+ sampai, pastikan bahawa tidak ada apa-apa yang membuat dia risau semasa dia bersama kamu, kerana seperti aku, dia juga melakukan kerja untuk Yehuwa.*+ 11 Jadi, jangan biarkan sesiapa pun memandang rendah terhadapnya. Hantarlah dia supaya dia dapat datang kepadaku dengan selamat, kerana aku sedang menunggunya bersama saudara-saudara lain.
12 Mengenai Apolos,+ saudara kita, aku menggesanya dengan bersungguh-sungguh untuk datang kepada kamu bersama saudara-saudara yang lain. Walaupun dia tidak bercadang untuk datang buat masa ini, dia akan datang apabila ada kesempatan.
13 Hendaklah kamu berjaga-jaga,+ berpegang teguh pada iman,+ bersikap berani,*+ dan menjadi gagah.+ 14 Hendaklah kamu melakukan segala sesuatu dengan kasih.+
15 Saudara-saudara, kamu tahu bahawa keluarga Stefanas merupakan pengikut Kristus yang pertama di Akhaya, dan mereka telah mengabdikan diri untuk melayani umat suci Tuhan. Maka, aku menggesa kamu: 16 Teruslah tunduk kepada orang seperti mereka, dan kepada semua orang yang bekerja keras bersama-sama kita.+ 17 Walaupun kamu tidak berada di sini, aku bersukacita kerana Stefanas,+ Fortunatus, dan Akhaikus ada bersamaku. 18 Mereka telah menyegarkan aku dan kamu. Maka hargailah orang seperti mereka.
19 Sidang-sidang di Asia mengirim salam kepada kamu. Akwila dan Priska serta sidang yang berkumpul di rumah mereka+ pun mengirim salam Kristian yang mesra kepada kamu. 20 Semua saudara di sini mengirim salam kepada kamu. Sambutlah satu sama lain dengan ciuman.*
21 Aku, Paulus, menulis salam ini dengan tanganku sendiri.
22 Terkutuklah sesiapa yang tidak mengasihi Tuan Yesus. Ya Tuan kami, datanglah! 23 Semoga kebaikan hati Tuan Yesus yang unggul menyertai kamu. 24 Semoga kasihku menyertai kamu semua yang bersatu dengan Kristus Yesus.
Atau “satu kurnia pun.”
Juga dipanggil Petrus.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Iaitu, orang yang arif dalam Hukum.
Atau “zaman ini?” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “perkara-perkara.”
Lihat Lampiran A5.
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “zaman-zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Lihat Kamus, “Roh.”
Harfiah, “Orang jasmani.”
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “orang jasmani.”
Atau “jurubina yang bijaksana.”
Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Lihat Lampiran A5.
Juga dipanggil Petrus.
Atau “pengurus rumah tangga.”
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “memeriksa.”
Lihat Lampiran A5.
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Atau “orang yang melakukan hubungan homoseksual.”
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Harfiah, “Larilah.”
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Atau mungkin, “tidak berkahwin dan mengadakan hubungan seks dengan.”
Bentuk jamak bagi perkataan Yunani por·neiʹa. Lihat Kamus.
Atau “berpisah dengan.”
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “dara atau teruna.”
Harfiah, “dara atau teruna.”
Merujuk kepada masa remaja apabila seseorang mempunyai hawa nafsu yang sangat kuat.
Juga dipanggil Petrus.
Proses memisahkan buah daripada tangkai.
Atau “Setiap ahli olahraga.”
Atau “menghukum; mendisiplinkan dengan tegas.”
Atau “ialah.”
Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A5.
Atau “zaman-zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “cubaan.”
Harfiah, “larilah.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Atau “Perpecahan.” Lihat Kamus, “Kumpulan agama.”
Nampaknya merujuk kepada kematian rohani.
Lihat Lampiran A5.
Iaitu, orang yang tidak percaya kepada Tuhan yang benar.
Iaitu, sejenis alat muzik.
Atau “panjang sabar.”
Atau “tidak pernah gagal.”
Harfiah, “akan bersemuka.”
Atau “lengkap.”
Lihat Lampiran A5.
Atau mungkin, “jika seseorang enggan memahami hal ini, dia tetap tidak akan mengetahuinya.”
Juga dipanggil Petrus.
Harfiah, “hasil.”
Harfiah, “hasil.”
Atau “menjadi segala sesuatu bagi setiap orang.”
Atau mungkin, “Dari sudut pandangan manusia, apa gunanya aku melawan binatang buas di Efesus?”
Atau “tabiat.”
Harfiah, “tubuh.”
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Atau “berkelakuan seperti lelaki sejati.”
Harfiah, “ciuman suci.” Dahulu orang Kristian mencium satu sama lain semasa bersalaman.