PENGKHUTBAH
1 Inilah kata-kata Sang Penghimpun,*+ iaitu anak lelaki Daud yang memerintah di Yerusalem:+
2 “Semuanya sia-sia belaka!” kata penghimpun itu,
“Semuanya sia-sia belaka dan tidak berguna!”+
3 Orang membanting tulang di bawah terik matahari,
Tetapi apakah hasilnya?+
4 Satu generasi datang, dan satu generasi pergi,
Tetapi bumi kekal buat selama-lamanya.+
6 Angin bertiup ke selatan lalu berpusing ke utara;
Angin berpusing-pusing tanpa henti dan kembali semula.
7 Semua sungai* mengalir ke laut, tetapi laut tidak pernah penuh.+
Dari mana sungai mengalir, ke situ juga airnya kembali dan mengalir semula.+
8 Semuanya amat meletihkan,
Dan tiada orang yang dapat menggambarkannya.
Mata tidak pernah puas melihat,
Dan telinga tidak pernah puas mendengar.
9 Apa yang pernah berlaku, akan berlaku lagi,
Dan apa yang pernah dilakukan, akan dilakukan lagi;
Tiada apa-apa yang baharu di bawah matahari.+
10 Dapatkah orang berkata, “Lihatlah hal baharu ini”?
Sebenarnya hal itu sudah ada sejak dahulukala;
Hal itu sudah wujud, lama sebelum kita wujud.
11 Tiada sesiapa yang akan mengenang orang yang hidup pada masa lampau;
Tiada sesiapa yang akan mengingati orang yang akan hidup pada masa depan;
Mereka juga tidak akan diingati oleh orang yang akan hidup pada kemudian hari.+
12 Aku, Sang Penghimpun, telah menjadi raja Israel di Yerusalem.+ 13 Aku bertekad untuk menggunakan kebijaksanaan+ untuk mempelajari dan mengkaji segala yang telah dilakukan di bumi.+ Ya, Aku menyelidiki segala pekerjaan yang menyusahkan, yang telah diberikan oleh Tuhan kepada manusia supaya mereka sentiasa sibuk.
14 Aku nampak semua pekerjaan yang dilakukan di bawah matahari.
Sesungguhnya, semua itu sia-sia seperti mengejar angin.+
15 Yang bengkok, tidak dapat diluruskan,
Dan yang tidak wujud, tidak dapat dihitung.
16 Maka aku berkata dalam hatiku, “Lihatlah! Aku lebih bijaksana daripada sesiapa pun yang pernah hidup di Yerusalem sebelum zamanku.+ Aku telah memperoleh banyak hikmat dan pengetahuan.”+ 17 Aku bertekad untuk memahami kebijaksanaan, kebebalan, dan kebodohan.+ Tetapi ternyata semuanya itu juga seperti mengejar angin sahaja.
18 Semakin banyak kebijaksanaan, semakin banyak keresahan.
Semakin banyak pengetahuan, semakin banyak penderitaan.+
2 Kemudian aku berkata dalam hatiku, “Aku akan mengejar nikmat hidup dan melihat sama ada aku akan bahagia atau tidak.” Tetapi sesungguhnya semua itu juga sia-sia.
2 Aku berkata, “Gelak ketawa itu suatu kebodohan!”
Aku juga berkata, “Apa gunanya mengejar nikmat hidup?”
3 Aku membuat keputusan untuk minum banyak wain+ dan melihat sama ada aku akan bahagia atau tidak. Meskipun begitu, aku masih dibimbing kebijaksanaan sepanjang waktu itu. Aku bahkan menyerahkan diriku kepada kebodohan untuk mengetahui cara yang terbaik bagi manusia untuk menikmati hidupnya yang singkat di bumi ini. 4 Aku juga melakukan kerja-kerja yang menakjubkan.+ Aku membina rumah-rumah+ dan menanam banyak anggur untuk diriku.+ 5 Aku membuat taman dan kebun untuk diriku lalu menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan di situ. 6 Aku membina kolam-kolam air bagi diriku, untuk mengairi pokok-pokok* yang rimbun. 7 Aku mendapatkan hamba-hamba lelaki dan perempuan,+ dan ada juga hamba-hamba yang lahir dalam rumah tanggaku. Aku juga memiliki banyak sekali binatang ternakan, seperti lembu, biri-biri, dan kambing.+ Bilangan ternakanku jauh lebih banyak daripada ternakan sesiapa pun yang pernah tinggal di Yerusalem. 8 Aku mengumpulkan perak dan emas untuk diriku,+ seperti yang dimiliki oleh raja-raja yang menguasai tanah jajahan.+ Selain itu, aku mengumpulkan ramai penyanyi lelaki dan wanita, serta apa yang menyenangkan hati manusia, iaitu wanita-wanita. 9 Demikianlah aku menjadi lebih agung daripada sesiapa pun yang pernah tinggal di Yerusalem.+ Kebijaksanaanku juga sentiasa membimbingku.
10 Aku memuaskan segala keinginanku.+ Aku tidak pernah menahan diriku daripada mengejar nikmat hidup. Hatiku bergembira dengan segala yang telah aku usahakan, dan itulah ganjaran bagi semua kerja kerasku.+ 11 Tetapi sewaktu aku merenungkan segala perbuatanku dan segala pekerjaan yang telah aku usahakan dengan susah payah,+ aku sedar bahawa semuanya sia-sia seperti mengejar angin.+ Tiada apa-apa pun di bawah matahari yang benar-benar bernilai.*+
12 Kemudian aku menumpukan perhatianku dan berusaha untuk memahami kebijaksanaan, kebebalan, dan kebodohan.+ (Apakah yang dapat dilakukan oleh orang yang datang selepas aku mati? Hanya apa yang sudah dilakukan sebelumnya.) 13 Aku sedar bahawa kebijaksanaan lebih baik daripada kebodohan,+ seperti cahaya lebih baik daripada kegelapan.
14 Orang yang bijak dapat melihat dengan jelas,+ tetapi orang yang bodoh berjalan dalam kegelapan.+ Namun aku sedar bahawa kesudahan mereka semua sama.+ 15 Maka aku berkata dalam hatiku, “Kesudahanku sama dengan kesudahan orang bodoh.”+ Oleh itu, apa gunanya jika aku begitu bijak? Jadi aku berkata dalam hatiku, “Semua ini juga sia-sia.” 16 Baik orang yang bijak mahupun orang yang bodoh, tidak akan diingati.+ Pada kemudian hari, semua orang akan dilupakan. Lagipun bagaimanakah orang yang bijak akan mati? Sama seperti orang yang bodoh.+
17 Maka aku mula membenci hidup ini+ kerana segala perkara yang berlaku di bawah matahari hanya meresahkan aku. Semuanya itu sia-sia+ seperti mengejar angin.+ 18 Aku membenci semua pekerjaan yang telah aku usahakan di bawah matahari,+ kerana aku harus meninggalkan semua itu untuk orang yang datang selepas aku mati.+ 19 Tidak kira sama ada orang itu bijak atau bodoh,+ akhirnya dia akan mengambil alih semua pekerjaan yang telah aku lakukan di bawah matahari dengan tenagaku dan kebijaksanaanku. Semua itu juga sia-sia. 20 Oleh itu, semasa aku memikirkan semua pekerjaan yang telah aku usahakan di bawah matahari, aku mula patah hati. 21 Seseorang bekerja keras dan mengusahakan sesuatu dengan kebijaksanaan, pengetahuan, dan kemahiran, tetapi kemudiannya dia terpaksa menyerahkan segala hasil jerih payahnya kepada seseorang yang langsung tidak berusaha untuknya.+ Bukankah hal itu sia-sia dan suatu malapetaka yang besar?
22 Manusia membanting tulang di bawah matahari dan berusaha untuk mencapai impiannya, tetapi semua itu untuk apa?+ 23 Seumur hidupnya, pekerjaannya membawa penderitaan dan keresahan,+ bahkan pada waktu malam hatinya tidak tenteram.+ Semua itu juga sia-sia.
24 Perkara terbaik yang dapat dilakukan oleh manusia ialah makan, minum, dan menikmati hasil kerja kerasnya.+ Aku sedar bahawa hal ini pemberian daripada Tuhan yang benar.+ 25 Lagipun siapa yang menikmati makanan dan minuman yang lebih baik daripada aku?+
26 Tuhan mengurniakan kebijaksanaan, pengetahuan, dan sukacita kepada orang yang menyenangkan hati-Nya.+ Tetapi orang yang berdosa disuruh-Nya untuk bekerja dan mengumpulkan hasil, lalu menyerahkannya kepada orang yang menyenangkan hati Tuhan yang benar.+ Semua itu juga sia-sia seperti mengejar angin.
3 Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu.
Ada waktu untuk setiap kejadian di bawah langit:
2 Ada waktu untuk lahir, dan ada waktu untuk mati;
Ada waktu untuk menanam, dan ada waktu untuk mencabut apa yang telah ditanam;
3 Ada waktu untuk membunuh, dan ada waktu untuk menyembuhkan;
Ada waktu untuk merobohkan, dan ada waktu untuk membina;
4 Ada waktu untuk menangis, dan ada waktu untuk ketawa;
Ada waktu untuk berkabung, dan ada waktu untuk menari;*
5 Ada waktu untuk membuang batu, dan ada waktu untuk mengumpulkan batu;
Ada waktu untuk memeluk, dan ada waktu untuk tidak memeluk;
6 Ada waktu untuk mencari, dan ada waktu untuk berhenti mencari;
Ada waktu untuk menyimpan, dan ada waktu untuk membuang;
7 Ada waktu untuk mengoyak,+ dan ada waktu untuk menjahit;
Ada waktu untuk berdiam,+ dan ada waktu untuk bercakap;+
8 Ada waktu untuk mengasihi, dan ada waktu untuk membenci;+
Ada waktu untuk berperang, dan ada waktu untuk berdamai.
9 Apakah hasil usaha seorang pekerja?+ 10 Aku nampak bahawa Tuhan telah memberikan pekerjaan kepada manusia supaya mereka sentiasa sibuk. 11 Tuhan telah membuat segala sesuatu dengan baik, tepat pada waktunya.+ Dia telah menyematkan keabadian ke dalam hati manusia. Meskipun demikian, manusia masih tidak dapat memahami perbuatan Tuhan yang benar dengan sepenuhnya.*
12 Aku telah menyimpulkan bahawa perkara terbaik yang dapat dilakukan oleh manusia ialah bersukacita dan berbuat baik semasa mereka masih hidup.+ 13 Aku juga telah menyimpulkan bahawa mereka harus makan, minum, dan menikmati hasil kerja keras mereka. Hal ini ialah pemberian daripada Tuhan.+
14 Aku sedar bahawa semua yang dilakukan oleh Tuhan yang benar akan kekal buat selama-lamanya. Tiada apa-apa pun yang boleh ditambah atau dikurangkan. Tuhan yang benar telah berbuat demikian supaya manusia hormat* kepada-Nya.+
15 Apa yang sedang terjadi, sudah terjadi. Apa yang akan berlaku, sudah berlaku.+ Tuhan yang benar mencari apa yang telah dicari.*
16 Aku juga telah nampak hal ini terjadi di bawah matahari: Di tempat yang seharusnya ada keadilan, di situ terdapat kejahatan, dan di tempat yang seharusnya ada kebaikan, di situ terdapat kejahatan.+ 17 Maka aku berkata dalam hatiku, “Tuhan yang benar akan menghakimi orang yang baik dan orang yang jahat,+ kerana ada waktu yang sesuai untuk setiap perkara dan setiap tindakan.”
18 Aku juga berkata dalam hatiku bahawa Tuhan yang benar akan menguji manusia. Dia akan menunjukkan kepada mereka bahawa mereka sama seperti binatang 19 kerana apa yang akan berlaku kepada manusia, juga akan berlaku kepada binatang. Manusia dan binatang mempunyai kesudahan yang sama.+ Manusia akan mati, dan binatang pun akan mati. Manusia mempunyai nafas hidup, dan binatang juga mempunyai nafas hidup.+ Maka manusia bukannya lebih baik daripada binatang kerana semuanya sia-sia. 20 Manusia dan binatang menuju ke tempat yang sama.+ Kedua-duanya berasal dari tanah+ dan akan kembali ke tanah.+ 21 Siapakah yang mengetahui sama ada daya hidup manusia akan naik ke atas dan daya hidup binatang akan turun ke bumi?+ 22 Aku sedar bahawa perkara terbaik yang dapat dilakukan oleh seseorang ialah menikmati hasil kerja kerasnya+ kerana itulah ganjarannya. Lebih-lebih lagi, siapakah yang dapat menunjukkan kepada orang itu apa yang akan berlaku selepas dia mati?+
4 Kemudian aku menumpukan perhatianku kepada segala penindasan yang berlaku di bawah matahari. Aku nampak orang yang ditindas menangis, tetapi tiada seorang pun yang melegakan hati mereka.+ Oleh sebab orang yang menindas mereka berkuasa, tiada seorang pun yang melegakan hati mereka. 2 Orang yang sudah mati lebih bahagia daripada orang yang masih hidup.+ 3 Tetapi yang lebih bahagia lagi ialah orang yang belum dilahirkan+ kerana dia belum nampak perkara-perkara buruk yang berlaku di bawah matahari.+
4 Aku telah nampak orang bekerja keras dan menunjukkan kemahirannya kerana dia bersaing dengan orang lain.+ Semua ini juga sia-sia seperti mengejar angin.
5 Orang yang bodoh berpeluk tubuh dan membiarkan badannya menjadi semakin lemah.+
6 Segenggam rehat lebih baik daripada dua genggam kerja keras dan usaha mengejar angin.+
7 Aku menumpukan perhatianku kepada satu lagi perkara sia-sia yang berlaku di bawah matahari: 8 Ada seorang lelaki yang bersendirian. Dia tidak mempunyai teman, anak lelaki, atau saudara lelaki. Dia asyik bekerja keras, dan matanya tidak pernah puas dengan kekayaan.+ Tetapi pernahkah dia bertanya kepada dirinya, “Aku memerah keringat dan menolak segala kesenangan untuk siapa”?+ Sesungguhnya pekerjaannya itu sia-sia dan langsung tidak berfaedah.+
9 Berdua lebih baik daripada seorang diri+ kerana mereka dapat bekerjasama dan menikmati hasil baiknya. 10 Jika salah seorang jatuh, yang seorang lagi dapat membantunya. Tetapi jika orang itu bersendirian, lalu jatuh, siapakah yang akan membantunya?
11 Tambahan lagi, jika dua orang berbaring bersama, mereka dapat saling memanaskan badan. Tetapi jika orang itu bersendirian, bagaimana pula dia dapat memanaskan badannya? 12 Orang yang bersendirian mudah dikalahkan, tetapi dua orang dapat menentang serangan musuh. Tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan.
13 Anak muda yang miskin tetapi bijak lebih baik daripada raja tua yang bodoh+ dan yang tidak mahu mendengarkan amaran.+ 14 Dia* keluar dari penjara dan menjadi raja,+ meskipun dia dilahirkan miskin dalam kerajaan itu.+ 15 Aku berfikir tentang semua orang yang hidup di bawah matahari dan tentang anak muda yang telah bangkit untuk menggantikan raja. 16 Meskipun banyak orang menyokongnya, mereka yang datang pada kemudian hari tidak akan menyukainya.+ Semua ini juga sia-sia seperti mengejar angin.
5 Perhatikanlah langkahmu semasa kamu pergi ke rumah Tuhan yang benar.+ Lebih baik ke sana untuk mendengar+ daripada mempersembahkan korban seperti orang bodoh,+ yang tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan kejahatan.
2 Janganlah kamu cepat-cepat membuka mulut, dan janganlah hatimu terburu-buru untuk berkata-kata di hadapan Tuhan yang benar,+ kerana Tuhan yang benar berada di syurga, sedangkan kamu berada di bumi. Oleh itu, janganlah katakan apa-apa yang tidak perlu.+ 3 Semakin banyak kekhuatiran seseorang, semakin banyak dia bermimpi.+ Demikian juga, semakin banyak seseorang bercakap, semakin banyak kata-kata bodoh yang diucapkannya.+ 4 Apabila kamu berikrar kepada Tuhan, tunaikanlah ikrar itu secepat mungkin,+ kerana Dia tidak suka orang yang bodoh.+ Tepatilah apa yang telah kamu ikrarkan.+ 5 Lebih baik tidak berikrar daripada berikrar lalu tidak menepatinya.+ 6 Jangan biarkan mulutmu menyebabkan kamu berdosa,+ dan jangan berkata di hadapan malaikat* bahawa kamu tersilap cakap.+ Mengapakah kamu membuat Tuhan yang benar marah dengan kata-katamu sehingga Dia memusnahkan hasil usahamu?+ 7 Sebagaimana kekhuatiran yang banyak menyebabkan seseorang bermimpi,+ demikian juga kata-kata yang banyak tidak mendatangkan apa-apa faedah. Tetapi kamu haruslah menghormati* Tuhan yang benar.+
8 Janganlah hairan jika kamu nampak seorang pegawai tinggi menindas orang miskin dan tidak menegakkan keadilan dan kebenaran di wilayahmu.+ Pegawai tinggi itu diperhatikan oleh pegawai yang lebih tinggi, dan mereka diperhatikan oleh orang yang lebih tinggi lagi.
9 Hasil tanah dibahagikan antara mereka semua, bahkan raja pun bergantung pada hasil ladang.+
10 Orang yang mencintai perak, tidak akan berasa puas dengan perak. Begitu juga, orang yang mencintai kekayaan, tidak akan berasa puas dengan pendapatannya.+ Semua ini juga sia-sia.+
11 Apabila benda-benda baik bertambah, orang yang menghabiskannya juga bertambah.+ Apakah faedahnya kepada si pemilik, selain melihatnya dengan mata sendiri?+
12 Lenanya tidur seorang pekerja, tidak kira makanannya sedikit atau banyak. Tetapi orang kaya yang mempunyai banyak harta tidak dapat tidur.
13 Aku telah melihat suatu malapetaka yang teruk terjadi di bawah matahari, iaitu seorang pemilik mendapat kecelakaan kerana harta yang ditimbunnya. 14 Hartanya hilang semasa berniaga sehingga dia tidak mempunyai apa-apa pun untuk diwariskan kepada anaknya.+
15 Sebagaimana seseorang datang dari rahim ibunya dengan telanjang, demikian juga dia akan pergi tanpa membawa apa-apa.+ Dia tidak dapat membawa apa-apa daripada hasil jerih payahnya.+
16 Hal ini juga suatu malapetaka yang besar: Sebagaimana seseorang datang, demikian juga dia akan pergi. Jadi mengapakah dia bersusah payah untuk mengejar angin? Apakah faedahnya?+ 17 Setiap hari, dia makan dalam kegelapan dengan resah dan marah serta menderita kerana penyakit.+
18 Aku sedar bahawa inilah perkara terbaik yang patut dilakukan oleh seseorang: Dia patut makan, minum, dan menikmati hasil kerja kerasnya+ yang dilakukan di bawah matahari. Dia patut berbuat demikian sepanjang hidupnya yang pendek, yang diberikan oleh Tuhan yang benar, kerana itulah ganjarannya.+ 19 Apabila Tuhan yang benar mengurniakan harta benda dan kekayaan+ kepada seseorang, dan membolehkan dia untuk menikmati semuanya, dia haruslah menerima ganjaran ini dan menikmati hasil kerja kerasnya. Inilah pemberian Tuhan.+ 20 Dia tidak sedar bahawa kehidupannya* berlalu dengan begitu cepat kerana Tuhan yang benar membuat hatinya penuh dengan sukacita.+
6 Aku melihat satu lagi malapetaka di bawah matahari yang biasa berlaku kepada manusia: 2 Tuhan yang benar memberi seseorang kekayaan, harta benda, dan kemasyhuran supaya semua keinginannya dipenuhi. Tetapi Tuhan yang benar tidak mengizinkan dia menikmati semua pemberian itu. Sebaliknya orang yang tidak dikenal pula dapat menikmatinya. Semua ini sia-sia dan sangat merugikan. 3 Jika seseorang mempunyai seratus orang anak, dapat hidup bertahun-tahun, dan mencapai usia tua, tetapi dia tidak dapat menikmati hal-hal yang baik sebelum dia mati, aku dapat mengatakan bahawa keadaannya lebih menyedihkan daripada seorang bayi yang mati ketika dilahirkan.+ 4 Sia-sia sahaja bayi itu dilahirkan. Bayi itu pergi dalam kegelapan, dan namanya juga diselubungi kegelapan. 5 Meskipun bayi itu tidak pernah melihat matahari atau mengetahui apa-apa, keadaannya masih lebih baik daripada orang itu.+ 6 Apakah gunanya hidup selama dua ribu tahun tetapi tidak pernah menikmati hidup? Bukankah semua orang menuju ke tempat yang sama?+
7 Seorang manusia bekerja keras semata-mata untuk mengisi perut,+ tetapi dia tidak pernah berasa puas. 8 Apakah kelebihan orang bijak jika dibandingkan dengan orang bodoh?+ Apakah gunanya jika orang miskin tahu cara untuk terus hidup? 9 Lebih baik menikmati apa yang dapat dilihat dengan mata daripada mengejar keinginan hati. Semua ini juga sia-sia seperti mengejar angin.
10 Apa yang sudah ada, sudah disebutkan namanya. Sifat sebenar seorang manusia sudah didedahkan; dia tidak dapat melawan orang yang lebih berkuasa daripadanya. 11 Semakin banyak kata-kata,* semakin banyak kesia-siaan. Jadi apakah faedahnya kepada seorang manusia? 12 Hidup manusia singkat dan sia-sia seperti bayang-bayang.+ Siapakah yang dapat mengetahui cara hidup yang terbaik baginya? Siapakah yang dapat memberitahunya apa yang akan berlaku di bawah matahari selepas dia mati?
7 Nama* yang baik lebih baik daripada minyak yang bermutu tinggi.+ Hari kematian lebih baik daripada hari kelahiran. 2 Lebih baik pergi ke rumah orang yang berkabung daripada pergi ke rumah orang yang berpesta+ kerana akhirnya semua orang akan mati. Mereka yang masih hidup perlu ingat akan hal ini. 3 Kesedihan lebih baik daripada gelak ketawa+ kerana wajah yang sedih adalah baik untuk hati.+ 4 Hati orang yang bijaksana berada di rumah orang yang berkabung, tetapi hati orang yang bodoh berada di rumah orang yang berpesta.*+
5 Lebih baik mendengar teguran orang yang bijaksana+ daripada mendengar nyanyian orang yang bodoh. 6 Gelak ketawa orang bodoh seperti bunyi duri yang dibakar di bawah periuk.+ Semua ini juga sia-sia. 7 Orang bijaksana akan bertindak seperti orang gila jika dia ditindas, dan rasuah dapat merosakkan hati seseorang.+
8 Kesudahan sesuatu perkara lebih baik daripada permulaannya. Kesabaran lebih baik daripada keangkuhan.+ 9 Jangan cepat tersinggung+ kerana hanya orang bodoh yang cepat tersinggung.*+
10 Janganlah bertanya, “Mengapakah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang?” kerana orang yang menanyakan soalan itu tidak mempunyai kebijaksanaan.+
11 Alangkah baiknya jika seseorang yang bijaksana memiliki harta warisan kerana kebijaksanaan dapat membantu orang yang hidup.* 12 Kebijaksanaan dapat melindungi seseorang,+ sebagaimana duit dapat melindungi seseorang,+ tetapi inilah kelebihan pengetahuan: Kebijaksanaan memelihara hidup orang yang memilikinya.+
13 Renungkanlah perbuatan Tuhan yang benar. Bolehkah sesiapa meluruskan apa yang telah dibengkokkan oleh Tuhan?+ 14 Apabila kamu hidup senang, tunjukkanlah kebaikan.+ Tetapi apabila kamu hidup susah, ingatlah bahawa Tuhan telah mengizinkan kesenangan dan kesusahan+ supaya manusia tidak dapat mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan.+
15 Sepanjang hidupku yang sia-sia ini,+ aku telah nampak segala-galanya. Aku nampak orang baik pendek umur walaupun mereka baik,+ dan orang jahat panjang umur walaupun mereka jahat.+
16 Janganlah terlampau baik+ atau terlampau bijaksana.+ Mengapa kamu mencelakakan diri sendiri?+ 17 Janganlah terlampau jahat atau terlampau bodoh.+ Mengapa kamu mahu mati sebelum waktunya?+ 18 Adalah baik jika kamu berpegang pada nasihat yang pertama dan tidak mengabaikan nasihat yang kedua+ kerana orang yang takut kepada Tuhan akan mematuhi kedua-duanya.
19 Kebijaksanaan menjadikan seseorang yang bijaksana lebih berkuasa daripada 10 orang yang kuat di sebuah kota.+ 20 Tiada orang baik di bumi yang selalu berbuat baik dan tidak pernah berdosa.+
21 Selain itu, janganlah ambil hati terhadap setiap kata yang diucapkan orang.+ Jika kamu berbuat demikian, kamu mungkin mendengar hambamu mengutukmu. 22 Kamu sendiri sedar bahawa kamu pun kerap kali mengutuk orang lain.+
23 Aku telah memeriksa semua ini dengan bijaksana dan berkata, “Aku akan menjadi bijaksana!” Tetapi aku tidak dapat mencapainya. 24 Apa yang telah berlaku terlalu dalam dan jauh. Siapakah yang dapat memahaminya?+ 25 Aku bertekad dalam hatiku untuk mencari, memeriksa, dan memahami kebijaksanaan dan maksud di sebalik segala kejadian. Aku juga bertekad untuk memahami bahawa kejahatan itu kebodohan dan kegilaan itu kebebalan.+ 26 Aku mendapati hal ini: Yang lebih pahit daripada maut ialah seorang wanita yang seperti jala pemburu. Hatinya seperti pukat dan tangannya seperti rantai penjara. Orang yang menyenangkan hati Tuhan yang benar dapat melepaskan diri daripada wanita ini,+ tetapi orang yang berdosa akan ditangkapnya.+
27 “Lihatlah! Inilah apa yang telah aku temui,” kata Sang Penghimpun.+ “Aku memeriksa semuanya satu demi satu untuk mencapai kesimpulanku. 28 Tetapi aku tidak dapat menemui apa yang aku cari. Aku menemui seorang lelaki yang baik antara seribu orang, tetapi aku tidak menemui seorang wanita yang baik antara mereka. 29 Hanya inilah yang telah aku temui: Tuhan yang benar telah menciptakan manusia yang jujur,+ tetapi mereka memilih untuk mengikut haluan sendiri.”+
8 Siapakah seperti orang bijaksana? Siapakah yang dapat menyelesaikan masalah?* Kebijaksanaan seseorang membuat wajahnya berseri-seri dan melembutkan wajahnya yang tegas.
2 Aku berkata, “Patuhilah perintah raja+ kerana kamu telah bersumpah kepada Tuhan.+ 3 Janganlah terburu-buru meninggalkan raja.+ Janganlah terlibat dalam perkara yang jahat.+ Raja dapat bertindak sesuka hatinya 4 kerana tiada sesiapa yang dapat mencabar perintah raja+ dan berkata, ‘Apakah yang tuanku sedang lakukan?’”
5 Orang yang mematuhi perintah tidak akan ditimpa masalah.+ Orang yang bijaksana tahu masa yang sesuai dan tindakan yang harus diambil.+ 6 Manusia menghadapi banyak masalah, dan terdapat masa yang sesuai dan tindakan yang harus diambil untuk setiap perkara.+ 7 Memandangkan tiada sesiapa pun yang tahu hal yang bakal berlaku, siapakah yang dapat menjelaskan bagaimana hal itu akan berlaku?
8 Sebagaimana tiada orang yang dapat menguasai atau mengawal nafas hidup, demikian juga tiada orang yang dapat menguasai hari kematian.+ Sebagaimana seorang askar tidak diizinkan untuk pulang semasa perang, demikian juga kejahatan tidak mengizinkan orang yang mengamalkannya untuk melepaskan diri.*
9 Aku telah melihat semua ini, dan hatiku merenungkan semua pekerjaan yang dilakukan di bawah matahari. Sepanjang masa itu, manusia menguasai manusia sehingga mereka menderita.+ 10 Dahulunya orang jahat keluar masuk dari tempat suci, tetapi sekarang aku nampak mereka dikebumikan. Tidak lama lagi, mereka akan dilupakan di kota tempat mereka melakukan kejahatan.+ Semua ini juga sia-sia.
11 Manusia semakin berani melakukan kejahatan+ kerana orang yang berbuat jahat tidak segera dihukum.+ 12 Walaupun orang yang berdosa melakukan 100 kesalahan, mereka masih dapat hidup lama. Tetapi aku sedar bahawa orang yang takut kepada Tuhan yang benar akan beroleh kebahagiaan kerana mereka takut kepada-Nya.+ 13 Sebaliknya orang yang jahat tidak akan beroleh kebahagiaan+ dan tidak dapat memanjangkan umur mereka. Jangka hidup mereka seperti bayang-bayang+ kerana mereka tidak takut kepada Tuhan.
14 Ada suatu perkara sia-sia yang berlaku di bumi, iaitu orang baik diperlakukan seperti orang jahat,+ dan orang jahat diperlakukan seperti orang baik.+ Ya, hal ini memang sia-sia.
15 Oleh itu, aku menyimpulkan bahawa orang harus bergembira,+ kerana perkara terbaik yang dapat dilakukan di bawah matahari ialah makan, minum, dan bersukacita, serta menikmati hasil kerja keras mereka sepanjang hidup.+ Hal ini ialah pemberian daripada Tuhan yang benar kepada orang yang hidup di bawah matahari.
16 Aku bertekad untuk memperoleh kebijaksanaan dan melihat segala yang telah dilakukan di bumi ini,+ sehingga aku berjaga siang dan malam.* 17 Kemudian aku merenungkan segala perbuatan Tuhan yang benar, dan aku sedar bahawa manusia tidak dapat memahami apa yang berlaku di bawah matahari.+ Mereka telah berusaha dengan sedaya upaya, tetapi mereka masih tidak dapat memahaminya. Meskipun mereka mendakwa bahawa mereka cukup bijaksana untuk memahaminya, mereka sebenarnya masih tidak dapat memahaminya.+
9 Maka setelah merenungkan semua ini, aku menyimpulkan bahawa orang yang baik dan bijaksana, dan segala perbuatan mereka, ada dalam tangan Tuhan yang benar.+ Manusia tidak mengetahui kasih dan kebencian yang wujud pada masa lampau. 2 Semua orang mempunyai kesudahan yang sama,+ tidak kira mereka baik atau jahat,+ suci atau tidak suci, mempersembahkan korban atau tidak mempersembahkan korban. Orang yang baik sama dengan orang yang berdosa; orang yang bersumpah sama dengan orang yang takut untuk bersumpah. 3 Hal buruk ini juga berlaku di bawah matahari: Memandangkan semua manusia mempunyai kesudahan yang sama,+ mereka asyik memikirkan hal-hal yang jahat dan bertindak bodoh sehingga akhirnya mereka mati!
4 Sesiapa yang masih hidup mempunyai harapan kerana anjing yang hidup lebih baik daripada singa yang mati.+ 5 Orang yang hidup tahu* bahawa mereka akan mati,+ tetapi orang mati tidak tahu apa-apa pun.+ Mereka juga tidak mendapat apa-apa ganjaran* kerana semua kenangan tentang mereka sudah dilupakan.+ 6 Kasih, kebencian, dan kecemburuan mereka, semuanya turut lenyap. Mereka tidak lagi mengambil bahagian dalam segala sesuatu yang terjadi di bawah matahari.+
7 Pergilah, makanlah dengan gembira, dan minumlah wain dengan hati yang sukacita+ kerana Tuhan yang benar sudah berkenan dengan pekerjaanmu.+ 8 Semoga pakaianmu sentiasa putih,* dan hendaklah kamu selalu menyapukan minyak pada kepalamu.+ 9 Nikmatilah hidupmu dengan isterimu yang tersayang,+ sepanjang hidupmu yang sia-sia, yang diberikan oleh Tuhan kepadamu di bawah matahari. Nikmatilah setiap saat hidupmu yang sia-sia kerana inilah ganjaran untuk hidupmu dan untuk segala jerih payahmu di bawah matahari.+ 10 Lakukanlah apa sahaja dengan sepenuh hati kerana di Kuburan,* iaitu tempat yang akan kamu pergi, tidak ada pekerjaan, rancangan, pengetahuan, atau kebijaksanaan.+
11 Selain itu, aku nampak hal ini terjadi di bawah matahari, iaitu orang yang cepat tidak semestinya menjadi juara, orang yang kuat tidak semestinya menang dalam pertempuran,+ orang yang bijaksana tidak semestinya mendapat makanan, orang yang pandai tidak semestinya kaya,+ dan orang yang berpengetahuan tidak semestinya berjaya,+ kerana waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang. 12 Manusia tidak mengetahui saatnya.+ Sebagaimana ikan tertangkap di dalam jala dan sebagaimana burung tertangkap di dalam jerat, demikian juga manusia terperangkap apabila bencana tiba-tiba melanda.
13 Aku nampak satu contoh kebijaksanaan yang luar biasa di bawah matahari: 14 Ada sebuah kota kecil yang tidak ramai penduduknya. Seorang raja yang kuat menyerang kota itu dan mengepungnya lalu membina benteng besar di sekeliling kota itu. 15 Di dalam kota itu, ada seorang lelaki yang miskin tetapi bijaksana. Dia telah menyelamatkan kota itu dengan kebijaksanaannya. Tetapi tidak seorang pun yang ingat akan lelaki miskin itu.+ 16 Maka aku berkata kepada diriku, “Kebijaksanaan lebih baik daripada kekuatan.+ Namun kebijaksanaan seorang lelaki yang miskin dipandang hina, dan kata-katanya tidak diendahkan.”+
17 Lebih baik mendengar kata-kata orang bijaksana yang diucapkan dengan tenang daripada mendengar teriakan raja yang memerintah orang yang bodoh.
18 Kebijaksanaan lebih baik daripada senjata-senjata perang, tetapi seorang pendosa dapat merosakkan banyak hal yang baik.+
10 Sebagaimana lalat yang mati menyebabkan minyak wangi berbau busuk dan berbuih, demikian juga sedikit kebodohan boleh merosakkan nama baik orang yang bijaksana dan mulia.+
2 Hati orang yang bijaksana menuntunnya ke jalan yang benar,* tetapi hati orang yang bodoh menuntunnya ke jalan yang salah.*+ 3 Tidak kira bagaimana orang bodoh berjalan, hatinya tetap bodoh,+ dan dia memperagakan kebodohannya kepada semua orang.+
4 Jika seorang pemerintah marah terhadapmu, jangan tinggalkan tempatmu+ kerana dosa yang besar dapat dihindari* jika kamu bertenang.+
5 Aku telah melihat kejadian yang menyedihkan di bawah matahari. Kesilapan ini dilakukan oleh orang yang berkuasa:+ 6 Orang bodoh diberi kedudukan yang tinggi, tetapi orang yang berkemahiran* diberi kedudukan yang rendah.
7 Aku telah melihat hamba menunggang kuda, sedangkan pembesar berjalan kaki seperti hamba.+
8 Orang yang menggali lubang mungkin akan jatuh ke dalamnya.+ Orang yang merobohkan tembok batu mungkin akan dipatuk ular.
9 Orang yang bekerja di kuari batu mungkin akan luka terkena batu, dan orang yang membelah kayu mungkin akan cedera terkena kayu.*
10 Seseorang terpaksa bekerja lebih keras, jika alat besi yang digunakannya tumpul dan matanya tidak ditajamkan. Tetapi kebijaksanaan dapat membantu seseorang untuk berjaya.
11 Tiada gunanya mempunyai seorang penjinak ular yang mahir, jika dia dipatuk oleh ular yang belum dijinakkan.
12 Kata-kata dari mulut orang bijaksana membawa kesenangan,+ tetapi bibir orang bodoh membawa kebinasaan atas dirinya.+ 13 Orang bodoh mula mengeluarkan kata-kata yang bodoh,+ dan akhirnya dia bercakap seperti orang gila dan mengundang malapetaka. 14 Orang bodoh juga tidak tahu berdiam.+
Manusia tidak tahu apa yang akan berlaku. Maka siapakah yang dapat memberitahunya apa yang akan terjadi selepas dia mati?+
15 Orang bodoh membanting tulang sehingga letih lesu. Dia bahkan tidak tahu jalan ke kota.
16 Alangkah malangnya penduduk sebuah negeri jika rajanya hanya seorang budak+ dan para pembesarnya mula berpesta dari awal pagi! 17 Alangkah bahagianya penduduk sebuah negeri jika rajanya berketurunan bangsawan dan para pembesarnya makan pada waktu yang sesuai untuk mendapatkan tenaga, dan bukannya untuk menjadi mabuk!+
18 Jika seseorang sangat malas, tiang bumbung rumahnya akan rosak. Jika seseorang berat tulang, bumbung rumahnya akan bocor.+
19 Roti* membuat orang girang, dan wain membuat orang riang.+ Tetapi wang memenuhi segala keperluan orang.+
20 Jangan menghina raja,+ biarpun dalam fikiranmu.* Jangan mengutuk orang kaya di dalam bilikmu. Hal ini demikian kerana seekor burung mungkin akan menyampaikan kata-katamu atau makhluk yang bersayap mungkin akan mengulangi apa yang telah kamu katakan.
11 Lemparkanlah* rotimu ke dalam air+ kerana kamu akan menemuinya semula pada kemudian hari.+ 2 Bahagikanlah milikmu kepada tujuh atau lapan orang+ kerana kamu tidak tahu bencana apa yang akan berlaku di atas bumi.
3 Apabila awan penuh dengan air, hujan akan turun ke atas bumi. Apabila sebatang pokok tumbang ke arah selatan atau arah utara, di situlah pokok itu akan berada.
4 Orang yang asyik memerhatikan angin tidak akan menabur benih, dan orang yang asyik memerhatikan awan tidak akan menuai apa-apa.+
5 Sebagaimana kamu tidak tahu bagaimana daya hidup* berfungsi di dalam tulang bayi yang ada di dalam rahim ibunya,+ demikian juga kamu tidak akan mengetahui perbuatan Tuhan yang benar, yang telah menciptakan segala-galanya.+
6 Taburkanlah benih pada waktu pagi dan janganlah berehat sehingga waktu petang+ kerana kamu tidak tahu benih mana yang akan bertumbuh, mungkin benih ini atau benih itu, atau mungkin kedua-duanya akan bertumbuh dengan subur.
7 Cahaya dapat menyenangkan hati. Alangkah baiknya mata dapat melihat sinaran matahari! 8 Jika seseorang dapat hidup lama, biarlah dia menikmati hidupnya.+ Tetapi dia patut ingat bahawa hari-hari yang gelap akan datang, dan semua yang bakal berlaku itu sia-sia.+
9 Wahai orang muda, bersukacitalah sementara kamu masih muda. Hendaklah hatimu menikmati zaman mudamu. Ikutilah keinginan hatimu dan pandangan matamu. Tetapi ketahuilah bahawa Tuhan yang benar akan mengadili segala tindakanmu.+ 10 Oleh itu, singkirkanlah keresahan daripada hatimu dan hindarilah apa-apa yang merosakkan tubuhmu, kerana usia muda dan masa terbaik dalam hidupmu itu sia-sia.+
12 Ingatlah akan Pencipta Agungmu semasa kamu masih muda,+ sebelum masa sengsara tiba+ dan tahun-tahun itu datang, dan kamu berkata, “Aku tidak menikmati hidupku.” 2 Pada waktu itu, cahaya matahari, bulan, dan bintang tidak lagi terang,+ dan awan-awan berkumpul sesudah* hujan; 3 para penjaga rumah mula terketar-ketar, badan lelaki yang kuat menjadi bongkok, wanita berhenti menggiling kerana bilangan mereka berkurangan, dan perempuan yang melihat ke luar jendela hanya nampak kegelapan;+ 4 pintu-pintu di jalan telah ditutup, bunyi kisaran semakin perlahan, orang terjaga sebaik sahaja mendengar burung berkicau, dan nyanyian para wanita menjadi lemah.+ 5 Selain itu, orang menjadi takut akan tempat-tempat tinggi, dan risau akan bahaya yang ada di jalan; pokok badam mula berbunga,+ belalang menyeret badannya, dan buah beri* pecah, kerana manusia menuju ke tempat tinggal* kekalnya+ dan orang berkabung di sepanjang jalan.+ 6 Ingatlah akan Pencipta Agungmu sebelum rantai perak putus, mangkuk emas pecah, tempayan di mata air hancur, dan takal di perigi rosak. 7 Kemudian debu akan kembali ke tanah+ seperti pada mulanya. Nafas hidup akan kembali kepada Tuhan yang benar, yang telah memberikannya kepada manusia.+
8 “Semuanya sia-sia belaka!” kata Sang Penghimpun.+ “Semuanya sia-sia.”+
9 Penghimpun itu bukan sekadar menjadi bijaksana, dia juga mengajar rakyat apa yang diketahuinya.+ Dia berfikir secara mendalam dan mencari dengan bersungguh-sungguh agar dia dapat mengumpulkan banyak peribahasa.+ 10 Dia berusaha mencari kata-kata indah+ dan mencatatkan ungkapan yang tepat dan benar.
11 Kata-kata orang bijaksana seperti tongkat yang digunakan untuk menggiring binatang,+ dan himpunan kata-kata mereka seperti paku yang terpasak dengan kukuh. Semua itu diberikan oleh seorang gembala. 12 Wahai anakku, kamu perlu ingat tentang satu hal lagi: Penulisan buku tidak ada akhirnya, dan orang yang asyik belajar hanya akan memenatkan diri sendiri.+
13 Aku telah mendengar semuanya dan inilah kesimpulannya: Takutlah kepada* Tuhan yang benar,+ dan patuhilah perintah-Nya+ kerana inilah kewajipan setiap orang.+ 14 Hal ini demikian kerana Tuhan yang benar menghakimi setiap perbuatan, termasuk apa yang dilakukan secara tersembunyi, untuk menentukan sama ada perbuatan itu baik atau jahat.+
Atau “seseorang yang mengumpulkan orang.”
Atau “sungai bermusim.”
Atau “hutan.”
Atau “berfaedah.”
Harfiah, “melompat-lompat.”
Harfiah, “dari awal sampai akhir.”
Atau “takut.”
Atau mungkin, “telah berlalu.”
Mungkin merujuk kepada anak muda yang bijak itu.
Atau “utusan Tuhan.”
Atau “takut kepada.”
Harfiah, “hari-harinya.”
Atau mungkin, “benda.”
Atau “Reputasi.”
Atau “bersuka ria.”
Atau mungkin, “kerana itulah tanda orang yang bodoh.”
Harfiah, “yang melihat matahari.”
Atau “dapat mentafsirkan suatu perkara?”
Atau mungkin, “kejahatan tidak dapat menyelamatkan orang yang jahat.”
Atau mungkin, “iaitu manusia tidak tidur, baik pada waktu siang mahupun pada waktu malam.”
Atau “sedar.”
Atau “upah.”
Iaitu, pakaian yang berwarna cerah untuk menunjukkan suasana gembira, dan bukan pakaian untuk berkabung.
Lihat Kamus.
Harfiah, “ke arah kanan.”
Harfiah, “ke arah kiri.”
Harfiah, “diredakan.”
Atau “kaya.”
Atau mungkin, “orang yang membelah kayu patut berhati-hati.”
Atau “Makanan.”
Atau mungkin, “di atas katilmu.”
Atau “Hantarlah.”
Juga boleh merujuk kepada kuasa suci Tuhan.
Atau mungkin, “bersama.”
Merujuk kepada sejenis buah yang dapat membangkitkan selera makan.
Harfiah, “rumah.”
Atau “Hormatilah.”