DANIEL
1 Pada tahun ketiga pemerintahan Yehoyakim+ sebagai raja Yehuda, Raja Nebukadnezar dari Babilon telah datang ke Yerusalem dan mengepungnya.+ 2 Yehuwa, Tuhan yang benar, mengizinkan Nebukadnezar menawan Yehoyakim, raja Yehuda,+ dan membawa sebahagian daripada perkakas di dalam Rumah Tuhan ke kuil tuhannya di Shinar.*+ Nebukadnezar menyimpan perkakas itu di dalam tempat penyimpanan harta tuhannya.+
3 Kemudian Raja Nebukadnezar menyuruh Aspenas, iaitu ketua pegawai istananya, untuk membawa beberapa orang Israel kepadanya, termasuk orang yang berasal daripada keturunan raja dan bangsawan.+ 4 Mereka haruslah muda, tidak bercacat cela, dan kacak. Selain itu, mereka harus mempunyai kebijaksanaan, pengetahuan, dan pengertian+ serta dapat berkhidmat di istana raja. Aspenas harus mengajar mereka bahasa dan tulisan orang Kasdim. 5 Raja juga menetapkan bahawa mereka harus diberi makanan dan wain raja setiap hari. Setelah menjalani latihan* selama tiga tahun, mereka akan berkhidmat untuk raja.
6 Dalam kalangan mereka ada beberapa orang daripada suku Yehuda, iaitu Daniel,*+ Hanania,* Misael,* dan Azarya.*+ 7 Ketua pegawai istana itu memberi mereka nama-nama baharu.* Nama baharu Daniel ialah Beltesazar.+ Nama baharu Hanania ialah Sadrakh. Nama baharu Misael ialah Mesakh. Nama baharu Azarya ialah Abednego.+
8 Tetapi Daniel bertekad dalam hatinya untuk tidak mencemari dirinya dengan makanan dan wain raja. Maka dia meminta kebenaran ketua pegawai istana agar dia tidak diberi makanan dan minuman itu. 9 Tuhan yang benar menyebabkan ketua pegawai istana itu menunjukkan belas kasihan dan kebaikan hati* kepada Daniel.+ 10 Tetapi ketua pegawai istana itu berkata kepada Daniel, “Aku takut akan raja. Raja sendiri telah menentukan makan minum kamu. Jika raja nampak bahawa kamu kelihatan kurang sihat berbanding dengan anak-anak muda lain yang sebaya denganmu, raja pasti akan menghukum aku.” 11 Ketua pegawai istana itu telah melantik seorang penjaga untuk mengawasi Daniel, Hanania, Misael, dan Azarya. Maka Daniel berkata kepada penjaga itu, 12 “Ujilah kami selama 10 hari. Berilah kami sayur-sayuran dan air sebagai makanan dan minuman. 13 Selepas 10 hari, bandingkanlah rupa kami dengan rupa anak-anak muda yang diberi makanan raja. Kemudian buatlah keputusan sesuai dengan pemerhatian tuan.”
14 Dia pun bersetuju dengan cadangan mereka dan menguji mereka selama 10 hari. 15 Selepas 10 hari, mereka kelihatan lebih sihat dan kuat berbanding semua anak muda lain yang diberi makanan raja. 16 Sejak hari itu, mereka diberi sayur-sayuran dan bukannya makanan dan wain raja. 17 Tuhan yang benar memberi keempat-empat anak muda ini pengetahuan, kebijaksanaan, dan pemahaman dalam semua jenis tulisan. Daniel juga diberi kebolehan untuk memahami semua penglihatan dan mimpi.+
18 Pada akhir tempoh masa yang ditetapkan oleh Raja Nebukadnezar, ketua pegawai istana itu membawa mereka menghadapnya.+ 19 Raja berbual dengan mereka, dan mendapati bahawa tiada sesiapa pun dalam kalangan anak-anak muda itu yang setanding Daniel, Hanania, Misael, dan Azarya.+ Maka mereka berempat mula berkhidmat kepada raja. 20 Setiap kali raja mengemukakan soalan yang memerlukan kebijaksanaan dan pengertian, raja mendapati bahawa jawapan mereka 10 kali lebih baik daripada jawapan semua imam yang mengamalkan ilmu sihir dan semua tukang tilik+ di seluruh kerajaannya. 21 Daniel terus berkhidmat di situ sehingga tahun pertama pemerintahan Raja Kores.+
2 Pada tahun kedua pemerintahan Nebukadnezar, dia mendapat mimpi-mimpi yang membuatnya begitu resah+ sehingga dia tidak boleh tidur. 2 Maka dia memanggil semua imam yang mengamalkan ilmu sihir, tukang tilik, ahli sihir, dan orang Kasdim* untuk memberitahunya apa yang telah dimimpikannya. Apabila mereka datang menghadapnya,+ 3 dia berkata kepada mereka, “Beta telah bermimpi dan beta menjadi resah kerana beta ingin mengetahui mimpi itu.” 4 Orang Kasdim pun menjawab raja dalam bahasa Aram,*+ “Wahai tuanku, semoga tuanku hidup selama-lamanya. Ceritakanlah mimpi tuanku kepada hamba sekalian, dan hamba sekalian akan menjelaskan erti mimpi tuanku.”
5 Raja berkata kepada orang Kasdim, “Inilah keputusan beta: Jika kamu tidak memberitahu beta tentang mimpi beta dan erti mimpi itu, kamu akan dipotong-potong, dan rumah kamu akan dijadikan tandas awam.* 6 Tetapi jika kamu dapat memberitahu beta tentang mimpi beta dan ertinya, beta akan memberikan ganjaran kepada kamu. Kamu akan mendapat hadiah-hadiah dan penghormatan yang besar.+ Maka beritahulah beta tentang mimpi itu dan ertinya.”
7 Mereka berkata lagi, “Ceritakanlah mimpi tuanku kepada hamba sekalian, dan hamba sekalian akan menjelaskan erti mimpi tuanku.”
8 Raja berkata, “Beta tahu bahawa kamu semua sedang melengah-lengahkan masa kerana kamu tahu apa yang beta sudah putuskan. 9 Jika kamu tidak memberitahu beta mimpi itu, kamu semua akan dikenakan hukuman yang sama. Kamu telah bersubahat untuk menipu beta kerana kamu berharap bahawa beta akan mengubah fikiran. Sekarang, beritahulah beta mimpi itu, barulah beta yakin bahawa kamu dapat menjelaskan ertinya.”
10 Orang Kasdim menjawab raja, “Tidak ada sesiapa pun di muka bumi yang dapat memenuhi tuntutan tuanku. Bahkan pemerintah atau raja yang agung pun tidak pernah menuntut ahli sihir,* tukang tilik, atau orang Kasdim untuk berbuat demikian. 11 Permintaan raja amat susah sehingga tiada seorang manusia pun yang dapat memenuhinya. Hanya dewa dewi yang dapat memenuhinya, tetapi dewa dewi tidak tinggal dalam kalangan manusia.”
12 Oleh itu, raja naik berang lalu mengarahkan agar semua orang yang bijaksana di Babilon dibunuh.+ 13 Apabila perintah dikeluarkan untuk membunuh semua orang yang bijaksana di Babilon, Daniel dan kawan-kawannya juga dicari untuk dibunuh.
14 Daniel bertindak dengan bijak dan cermat. Dia pergi berjumpa dengan Ariokh, iaitu ketua pengawal raja, yang sedang dalam perjalanan untuk membunuh semua orang bijaksana di Babilon. 15 Dia bertanya kepada Ariokh, pegawai raja itu, “Mengapakah raja mengeluarkan perintah yang begitu kejam?” Ariokh pun menceritakan segala yang telah berlaku.+ 16 Maka Daniel menghadap raja untuk memohon agar dia diberi masa untuk menjelaskan erti mimpi itu kepada raja.
17 Kemudian Daniel pulang ke rumahnya dan memberitahukan hal itu kepada kawan-kawannya, iaitu Hanania, Misael, dan Azarya. 18 Dia meminta mereka untuk berdoa agar Tuhan di syurga menunjukkan belas kasihan kepada mereka dan menyingkapkan rahsia itu kepada mereka, supaya mereka berempat tidak dibunuh bersama orang bijaksana yang lain di Babilon.
19 Pada waktu malam, Tuhan di syurga menyingkapkan rahsia itu kepada Daniel dalam sebuah penglihatan.+ Maka Daniel memuji Tuhan 20 dengan berkata,
“Semoga nama Tuhan dipuji buat selama-lamanya,
Kerana kebijaksanaan dan keperkasaan ialah milik-Nya.+
21 Dia menguasai masa dan waktu,+
Melantik dan memecat raja,+
Memberikan kebijaksanaan kepada orang bijak, dan pengetahuan kepada orang yang berpengertian.+
22 Dia menyingkapkan perkara yang dalam dan rahsia yang tersembunyi.+
Dia mengetahui apa yang ada dalam kegelapan,+
Dan Dia dikelilingi cahaya.+
23 Wahai Tuhan nenek moyangku, aku bersyukur kepada Engkau dan memuji-Mu,
Kerana Engkau telah mengurniakan kebijaksanaan dan kuasa kepadaku.
Engkau telah mengabulkan permintaan kami dan menyingkapkan rahsia itu kepadaku.
Engkau telah memberitahu kami jawapan kepada soalan raja.”+
24 Kemudian Daniel pergi kepada Ariokh, yang telah dilantik oleh raja untuk membunuh semua orang bijaksana di Babilon.+ Daniel berkata kepadanya, “Janganlah bunuh orang bijaksana di Babilon. Bawalah aku menghadap raja dan aku akan menjelaskan erti mimpi itu kepada raja.”
25 Ariokh segera membawa Daniel menghadap raja lalu berkata kepada raja, “Hamba telah menjumpai seorang lelaki yang telah ditawan dari Yehuda.+ Dia dapat menjelaskan erti mimpi tuanku.” 26 Raja berkata kepada Daniel, yang juga disebut Beltesazar,+ “Betulkah kamu dapat memberitahu beta tentang mimpi beta, dan menjelaskan ertinya?”+ 27 Daniel menjawab, “Tiada orang yang bijaksana, tukang tilik, imam yang mengamalkan ilmu sihir, atau ahli nujum yang dapat memberitahu tuanku tentang rahsia tuanku.+ 28 Tetapi Tuhan yang di syurga dapat menyingkapkan segala rahsia.+ Dia telah memberitahu tuanku apa yang akan berlaku pada kemudian hari. Inilah mimpi tuanku, dan inilah penglihatan yang tuanku nampak semasa tuanku berbaring di katil:
29 “Ketika tuanku berbaring di katil, tuanku bermimpi* tentang perkara-perkara yang akan berlaku pada masa depan, dan Tuhan yang menyingkapkan segala rahsia telah memberitahu tuanku apa yang bakal berlaku. 30 Rahsia ini disingkapkan kepada hamba bukan kerana hamba lebih bijaksana daripada orang lain, tetapi kerana hamba harus menjelaskan ertinya kepada tuanku agar tuanku mengetahui mimpi itu.+
31 “Semasa tuanku bermimpi, tuanku nampak sebuah patung* yang sangat besar dan berkilau-kilauan. Patung itu sedang berdiri di hadapan tuanku dan rupanya amat menakutkan. 32 Kepala patung itu diperbuat daripada emas tulen.+ Dada dan lengannya diperbuat daripada perak.+ Perut dan pahanya diperbuat daripada tembaga.+ 33 Betisnya diperbuat daripada besi.+ Sebahagian kakinya* diperbuat daripada besi, dan sebahagian lagi diperbuat daripada tanah liat.*+ 34 Ketika tuanku melihat patung itu, sebuah batu dipotong dari sebuah gunung lalu menimpa kaki patung yang diperbuat daripada besi dan tanah liat itu, sehingga menghancurkannya.+ (Batu itu tidak dipotong oleh tangan manusia.) 35 Pada waktu yang sama, besi, tanah liat, tembaga, perak, dan emas, semuanya dihancurkan. Semuanya menjadi seperti sekam di tempat mengirik* gandum pada musim panas, dan ditiup angin sehingga tiada apa-apa yang tertinggal. Tetapi batu yang menimpa patung itu menjadi sebuah gunung yang besar dan memenuhi seluruh bumi.
36 “Itulah mimpi tuanku, dan sekarang kami akan memberitahu tuanku ertinya. 37 Wahai tuanku yang agung, Tuhan di syurga telah memberi tuanku kerajaan,+ keperkasaan, kekuatan, dan kemuliaan. 38 Tuhan juga telah memberi tuanku kekuasaan dan menjadikan tuanku pemerintah atas semua manusia di bumi, binatang di padang, dan burung di langit.+ Tuankulah kepala yang diperbuat daripada emas itu.+
39 “Tetapi selepas kerajaan tuanku, akan bangkit sebuah kerajaan+ yang tidak sehebat kerajaan tuanku. Kemudian akan muncul kerajaan ketiga, yang dilambangkan oleh tembaga. Kerajaan ini akan memerintah seluruh bumi.+
40 “Kerajaan yang keempat pula sekuat besi.+ Seperti besi yang menghancurkan dan meremukkan segala-galanya, kerajaan ini akan menghancurkan dan meremukkan semua kerajaan yang sebelumnya.+
41 “Sepertimana tuanku nampak, kaki dan jari kaki patung itu diperbuat daripada campuran tanah liat* dan besi. Demikianlah kerajaan itu akan berpecah belah, tetapi sebahagian kerajaan itu masih kuat seperti besi kerana tanah liat yang lembut itu bercampur dengan besi. 42 Sebahagian jari kaki patung itu diperbuat daripada tanah liat, dan sebahagian lagi diperbuat daripada besi, maka sebahagian daripada kerajaan itu kuat dan sebahagian lagi lemah. 43 Sepertimana tuanku nampak besi bercampur dengan tanah liat yang lembut, sebahagian kerajaan itu akan bercampur dengan manusia.* Tetapi kedua-duanya tidak akan bersatu, sama seperti besi tidak dapat sebati dengan tanah liat.
44 “Pada zaman raja-raja itu, Tuhan di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan+ yang tidak dapat dimusnahkan.+ Kerajaan ini tidak akan diserahkan kepada bangsa lain.+ Kerajaan ini akan meremukkan dan mengakhiri semua kerajaan itu.+ Hanya kerajaan ini yang akan kekal buat selama-lamanya.+ 45 Semua ini berlaku tepat seperti yang tuanku lihat: Sebuah batu yang dipotong dari gunung, yang tidak dipotong oleh tangan manusia, telah menghancurkan besi, tembaga, tanah liat, perak, dan emas itu.+ Tuhan Yang Agung telah memberitahu tuanku apa yang akan berlaku pada masa depan.+ Apa yang dimimpikan oleh tuanku pasti akan berlaku, dan tafsirannya dapat dipercayai.”
46 Kemudian Raja Nebukadnezar sujud di hadapan Daniel dan memberikan penghormatan kepadanya. Raja juga mengeluarkan perintah agar kemenyan dibakar dan Daniel diberi hadiah. 47 Raja berkata kepada Daniel, “Tuhanmu sememangnya Tuhan yang agung, Penguasa atas semua raja, dan Tuhan yang menyingkapkan rahsia.+ Beta tahu akan hal itu kerana kamu dapat menyingkapkan rahsia ini.” 48 Selepas itu, raja menaikkan pangkat Daniel dan memberinya banyak hadiah yang bernilai. Dia melantik Daniel menjadi penguasa semua wilayah Babilon,+ dan ketua atas semua orang yang bijaksana di Babilon. 49 Atas permintaan Daniel, raja melantik Sadrakh, Mesakh, dan Abednego+ untuk mentadbir wilayah Babilon. Daniel pula berkhidmat di istana raja.
3 Raja Nebukadnezar membuat sebuah patung emas yang tingginya kira-kira 27 meter* dan lebarnya hampir 3 meter.* Dia mendirikan patung itu di dataran Dura, di wilayah Babilon. 2 Kemudian Raja Nebukadnezar mengeluarkan perintah untuk mengumpulkan semua ketua gabenor wilayah, penguasa, gabenor, penasihat, bendahara, hakim, pemerintah kota, dan pentadbir daerah. Mereka harus menghadiri upacara perasmian patung yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
3 Maka semua ketua gabenor wilayah, penguasa, gabenor, penasihat, bendahara, hakim, pemerintah kota, dan pentadbir daerah berkumpul di hadapan patung yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar untuk upacara perasmiannya. 4 Utusan raja mengumumkan dengan suara yang lantang, “Hai orang daripada pelbagai bangsa dan bahasa! Inilah perintah raja kepada kamu: 5 Sewaktu kamu mendengar bunyi trompet, seruling, ziter, kecapi kecil, alat muzik bertali, begpaip, dan alat-alat muzik yang lain, kamu harus sujud menyembah patung emas yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar. 6 Sesiapa yang tidak sujud menyembah patung itu akan segera dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala.”+ 7 Oleh itu, sebaik sahaja trompet, seruling, ziter, kecapi kecil, alat muzik bertali, begpaip, dan alat-alat muzik yang lain dibunyikan, semua orang daripada pelbagai bangsa dan bahasa sujud menyembah patung emas yang telah didirikan oleh Raja Nebukadnezar.
8 Pada waktu itu, beberapa orang Kasdim tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap* orang Yahudi. 9 Mereka berkata kepada Raja Nebukadnezar, “Daulat tuanku! Semoga tuanku hidup selama-lamanya. 10 Tuanku telah mengeluarkan perintah agar setiap orang yang mendengar bunyi trompet, seruling, ziter, kecapi kecil, alat muzik bertali, begpaip, dan alat-alat muzik yang lain harus sujud menyembah patung emas itu. 11 Tuanku juga berkata bahawa sesiapa yang tidak sujud menyembah patung itu akan dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala.+ 12 Tetapi beberapa orang Yahudi yang dilantik oleh tuanku untuk mentadbir wilayah Babilon tidak mengendahkan perintah tuanku. Mereka ialah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego.+ Mereka tidak menyembah dewa dewi tuanku, dan enggan bersujud kepada patung emas yang didirikan oleh tuanku.”
13 Nebukadnezar pun naik darah lalu dia menyuruh orang untuk membawa Sadrakh, Mesakh, dan Abednego kepadanya. Apabila mereka bertiga menghadapnya, 14 dia berkata, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, betulkah kamu tidak menyembah dewa dewi beta,+ dan enggan bersujud kepada patung emas yang beta dirikan itu? 15 Sekarang, jika kamu rela sujud menyembah patung itu semasa trompet, seruling, ziter, kecapi kecil, alat muzik bertali, begpaip, dan alat-alat muzik yang lain dibunyikan, baguslah! Tetapi jika kamu enggan berbuat demikian, kamu akan dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala dengan segera. Tuhan manakah yang dapat menyelamatkan kamu daripada tangan beta?”+
16 Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab, “Tuanku Nebukadnezar, kami tidak akan mencuba membela diri. 17 Jika kami dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala, Tuhan yang kami sembah dapat menyelamatkan kami daripada relau itu dan daripada tangan tuanku.+ 18 Tetapi jika Tuhan kami tidak berbuat demikian, hendaklah tuanku tahu bahawa kami masih tidak akan menyembah dewa dewi tuanku ataupun patung emas yang tuanku dirikan.”+
19 Nebukadnezar begitu marah dengan Sadrakh, Mesakh, dan Abednego sehingga raut wajahnya berubah.* Dia memberikan arahan supaya relau itu dipanaskan tujuh kali lebih panas daripada yang biasa. 20 Dia mengarahkan beberapa orang askar yang gagah perkasa untuk mengikat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dan melemparkan mereka ke dalam relau api yang bernyala-nyala itu.
21 Askar-askar itu mengikat mereka bertiga semasa mereka masih berpakaian lengkap dengan jubah, baju labuh, topi, dan semua pakaian yang lain. Kemudian mereka dilemparkan ke dalam relau api yang bernyala-nyala. 22 Oleh sebab raja memberikan perintah yang kejam supaya relau itu dipanaskan lebih daripada biasa, askar-askar yang melemparkan Sadrakh, Mesakh, dan Abednego mati dibakar api dari relau itu. 23 Sadrakh, Mesakh, dan Abednego pula jatuh ke dalam relau api yang bernyala-nyala itu dalam keadaan terikat.
24 Tiba-tiba Raja Nebukadnezar menjadi takut. Dia segera berdiri lalu bertanya kepada para pegawai tingginya, “Bukankah kita mengikat dan melemparkan tiga orang lelaki ke dalam relau api itu?” Mereka menjawab, “Memang benar tuanku.” 25 Dia menyambung, “Lihatlah! Beta nampak empat orang lelaki yang sedang berjalan-jalan di tengah-tengah api itu. Mereka tidak terikat dan tidak terbakar. Orang yang keempat itu kelihatan seperti anak tuhan.”
26 Nebukadnezar menghampiri pintu relau itu dan berseru, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, hamba-hamba Tuhan Yang Maha Tinggi!+ Keluarlah!” Mereka bertiga pun keluar. 27 Semua ketua gabenor wilayah, penguasa, gabenor, dan pegawai tinggi yang berkumpul di situ+ nampak bahawa mereka bertiga tidak cedera.+ Tidak sehelai rambut pun di kepala mereka yang hangus. Jubah mereka tidak terbakar, dan bahkan bau asap pun tidak ada pada mereka.
28 Kemudian Nebukadnezar mengumumkan, “Terpujilah Tuhan yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego.+ Tuhan mereka telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan mereka, kerana mereka percaya kepada-Nya dan sanggup melanggar perintah beta. Mereka hanya menyembah Tuhan mereka, dan rela mati daripada menyembah tuhan-tuhan yang lain.+ 29 Maka beta mengeluarkan perintah berikut: Sesiapa daripada bangsa atau bahasa apa pun yang menghina Tuhan Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, akan dipotong-potong, dan rumahnya akan dijadikan tandas awam.* Hal ini demikian kerana tiada tuhan yang dapat menyelamatkan orang, seperti yang telah dilakukan oleh Tuhan mereka.”+
30 Selepas itu, raja menaikkan pangkat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego di wilayah Babilon.+
4 “Beta, Raja Nebukadnezar, berkata kepada orang daripada pelbagai bangsa dan bahasa yang ada di seluas bumi: Semoga kamu sejahtera! 2 Beta telah melihat pelbagai tanda dan mukjizat daripada Tuhan Yang Maha Tinggi. Beta ingin memberitahu kamu tentangnya. 3 Betapa agungnya tanda daripada Tuhan, dan mukjizat yang dilakukan-Nya! Kerajaan-Nya kekal buat selama-lamanya, dan Dia akan memerintah dari generasi ke generasi.+
4 “Beta hidup selesa dan makmur di istana beta, 5 tetapi beta mendapat mimpi yang menakutkan. Ketika beta sedang berbaring di katil, beta bermimpi dan mendapat penglihatan-penglihatan yang mengerikan.+ 6 Maka beta mengeluarkan perintah untuk memanggil semua orang yang bijaksana di Babilon supaya mereka dapat menjelaskan erti mimpi itu kepada beta.+
7 “Tukang tilik, orang Kasdim,* ahli nujum, dan imam yang mengamalkan ilmu sihir+ datang menghadap beta. Apabila beta menceritakan mimpi itu, mereka tidak dapat menjelaskan ertinya kepada beta.+ 8 Akhirnya, Daniel datang menghadap beta. Dia juga dinamakan Beltesazar,+ menurut nama dewa beta.+ Dia dipenuhi dengan kuasa dewa dewi yang suci,+ maka beta memberitahunya mimpi beta. Beta berkata,
9 “‘Wahai Beltesazar, ketua kepada imam yang mengamalkan ilmu sihir,+ beta tahu bahawa kuasa dewa dewi ada padamu.+ Tiada rahsia yang tidak diketahuimu.+ Maka jelaskanlah erti penglihatan yang beta nampak dalam mimpi beta.
10 “‘Ketika beta berbaring di katil, beta mendapat penglihatan. Dalam penglihatan itu, beta nampak sebatang pokok+ di tengah-tengah bumi, dan pokok itu menjulang tinggi.+ 11 Pokok itu bertumbuh dan menjadi kuat sehingga puncaknya mencapai langit, dan setiap orang di bumi dapat melihatnya. 12 Daun-daunnya cantik, dan buahnya lebat sekali. Pada pokok itu, ada makanan yang cukup untuk semua makhluk hidup. Binatang di padang berteduh di bawah naungannya, dan burung di langit membuat sarang di dahan-dahannya. Semua makhluk hidup mendapat makanan daripadanya.
13 “‘Ketika beta berbaring di katil, beta nampak seorang utusan,* makhluk yang suci, turun dari syurga.+ 14 Utusan itu berseru, “Tebanglah pokok itu,+ potonglah dahan-dahannya, gugurkanlah daunnya, dan taburkanlah buahnya! Biarlah binatang yang berteduh di bawahnya lari dari situ, dan biarlah burung yang bersarang di dahannya terbang dari situ. 15 Tetapi tinggalkanlah tunggul pokok dengan akarnya di tanah. Pasangkanlah gelang besi dan tembaga pada tunggul itu, dan biarkan tunggul itu di padang rumput. Biarlah embun dari langit membasahinya, dan biarlah binatang di padang hidup bersamanya.+ 16 Biarlah hati manusia yang dimilikinya berubah menjadi seperti hati binatang selama tujuh waktu.+ 17 Itulah arahan para utusan,*+ dan perintah daripada makhluk-makhluk yang suci agar semua orang tahu bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi ialah Pemerintah kerajaan manusia,+ dan Dia memberikan kuasa pemerintahan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, bahkan kepada orang yang paling hina.”
18 “‘Itulah mimpi beta. Wahai Beltesazar, beritahulah beta erti mimpi ini kerana tiada orang bijaksana dalam kerajaan beta yang dapat menjelaskan ertinya.+ Tetapi kamu dapat melakukannya kerana kuasa dewa dewi yang suci ada padamu.’
19 “Daniel, yang juga dikenali sebagai Beltesazar,+ terpegun buat seketika kerana dia takut.
“Beta berkata, ‘Wahai Beltesazar, janganlah biarkan mimpi itu dan ertinya menakutkan kamu.’
“Beltesazar menjawab, ‘Tuanku, hamba berharap bahawa mimpi ini tentang orang yang membenci tuanku dan musuh-musuh tuanku.
20 “‘Pokok yang tuanku nampak itu bertumbuh dan menjadi kuat sehingga puncaknya mencapai langit, dan setiap orang di bumi dapat melihatnya.+ 21 Pokok itu juga ada daun-daun yang cantik dan buah yang lebat sekali. Pada pokok itu, ada makanan yang cukup untuk semua makhluk hidup. Binatang di padang tinggal di bawah naungannya, dan burung di langit membuat sarang di dahan-dahannya.+ 22 Ya, pokok itu ialah tuanku. Hal ini demikian kerana tuanku semakin agung dan berkuasa. Kemuliaan tuanku telah bertambah sehingga mencapai langit,+ dan pemerintahan tuanku meluas ke setiap penjuru bumi.+
23 “‘Tuanku juga nampak seorang utusan,* makhluk yang suci,+ turun dari syurga, dan berseru, “Tebanglah pokok itu, dan musnahkannya! Tetapi tinggalkanlah tunggul pokok dengan akarnya di tanah. Pasangkanlah gelang besi dan tembaga pada tunggul itu, dan biarkan tunggul itu di padang rumput. Selama tujuh waktu, embun dari langit akan membasahinya, dan binatang di padang akan hidup bersamanya.”+ 24 Inilah erti mimpi tuanku, dan inilah apa yang akan berlaku kepada tuanku seperti yang telah diputuskan oleh Tuhan Yang Maha Tinggi: 25 Tuanku akan dihalau daripada kalangan manusia dan tinggal bersama binatang di padang. Selama tujuh waktu,+ tuanku akan makan rumput seperti lembu jantan, dan embun dari langit+ akan membasahi tuanku. Selepas itu, barulah tuanku akan sedar bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi ialah Pemerintah kerajaan manusia, dan Dia memberikan kuasa pemerintahan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.+
26 “‘Perintah telah diberikan supaya tunggul pokok itu dengan akarnya+ dibiarkan di tanah. Hal itu bererti bahawa kerajaan tuanku akan dikembalikan kepada tuanku setelah tuanku sedar bahawa Tuhanlah yang sedang memerintah di syurga. 27 Oleh itu, tuanku, dengarkanlah nasihat hamba. Bertaubatlah daripada dosa tuanku dan lakukanlah apa yang baik. Usahlah berbuat jahat dan tunjukkanlah belas kasihan kepada orang yang miskin. Dengan demikian tuanku mungkin akan tetap makmur.’”+
28 Semua perkara ini terjadi kepada Raja Nebukadnezar.
29 Dua belas bulan kemudian, semasa Nebukadnezar sedang berjalan-jalan di bumbung istananya di Babilon, 30 dia berkata, “Alangkah agungnya Babilon Besar! Dengan kekuatan dan kuasa beta, beta telah membina kota ini untuk menjadi kediaman diraja, dan untuk memperlihatkan kemuliaan dan keagungan beta!”
31 Sebelum raja habis bercakap, ada suara dari syurga yang berkata, “Wahai Raja Nebukadnezar, dengarlah! Engkau telah kehilangan kuasa pemerintahanmu.+ 32 Engkau akan dihalau daripada kalangan manusia. Selama tujuh waktu, engkau akan tinggal bersama binatang di padang, dan makan rumput seperti lembu jantan sehingga engkau sedar bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi ialah Pemerintah kerajaan manusia, dan Dia memberikan kuasa pemerintahan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.”+
33 Pada saat itu juga, kata-kata itu terjadi kepada Nebukadnezar. Dia dihalau daripada kalangan manusia, dan dia mula memakan rumput seperti lembu jantan. Badannya dibasahi embun dari langit, rambutnya bertumbuh panjang seperti bulu burung helang, dan kukunya menjadi seperti cakar burung.+
34 “Pada akhir tempoh waktu itu,+ beta, Raja Nebukadnezar, memandang ke langit, dan fikiran beta menjadi waras semula. Beta memuji Tuhan Yang Maha Tinggi, dan beta memuliakan Tuhan yang hidup selama-lamanya serta memberikan pujian kepada-Nya, kerana Dia memerintah buat selama-lamanya, dan kerajaan-Nya kekal dari generasi ke generasi.+ 35 Tiada makhluk di bumi yang dapat dibandingkan dengan Tuhan. Baik bala tentera di syurga mahupun makhluk di bumi tidak dapat menentang kehendak-Nya. Tiada sesiapa yang dapat menghalang-Nya+ atau mempersoalkan tindakan-Nya.+
36 “Pada waktu itu, fikiran beta menjadi waras semula, dan beta memperoleh kembali kerajaan beta yang mulia. Beta juga memperoleh kembali keagungan dan kemegahan beta.+ Para pegawai tinggi dan golongan bangsawan menyambut beta dengan hangat, dan mengembalikan kerajaan beta kepada beta. Keagungan beta menjadi lebih besar daripada dahulu.
37 “Sekarang beta memuji, menghormati, dan memuliakan Raja di syurga.+ Semua perbuatan-Nya benar dan haluan-Nya adil+ serta Dia dapat merendahkan orang yang angkuh.”+
5 Raja Belsyazar+ mengadakan sebuah jamuan yang besar untuk 1,000 orang bangsawan, dan dia minum wain di hadapan mereka.+ 2 Dalam keadaan mabuk, Belsyazar memberikan perintah untuk mengambil perkakas emas dan perak yang dirampas oleh bapanya* Nebukadnezar daripada Rumah Tuhan di Yerusalem.+ Belsyazar meminta semua perkakas itu agar dia, para bangsawan, isteri-isterinya, dan gundik-gundiknya dapat minum daripada perkakas-perkakas itu. 3 Maka orang membawa perkakas emas yang telah dirampas daripada Rumah Tuhan di Yerusalem kepada mereka, dan mereka semua pun minum daripada perkakas-perkakas itu. 4 Sambil minum wain, mereka memuji dewa dewi yang diperbuat daripada emas, perak, tembaga, besi, kayu, dan batu.
5 Pada saat itu juga, tangan seorang lelaki muncul. Jari tangan itu mula menulis pada dinding istana, yang dekat dengan kaki pelita. Apabila raja melihat tangan yang sedang menulis itu, 6 mukanya menjadi pucat.* Apa yang difikirkannya membuatnya takut, kakinya menjadi lemah,+ dan lututnya bergetar.
7 Dengan suara yang lantang, raja memanggil tukang tilik, orang Kasdim,* dan ahli nujum.+ Dia berkata kepada orang bijaksana di Babilon, “Sesiapa yang dapat membaca tulisan ini dan menjelaskan ertinya kepada beta, beta akan memberikan jubah yang berwarna ungu kepadanya, dan mengalungkan rantai emas pada lehernya.+ Orang itu akan menjadi pemerintah ketiga dalam kerajaan ini.”+
8 Semua orang bijaksana masuk menghadap raja, tetapi tidak ada seorang pun antara mereka yang dapat membaca tulisan itu atau menjelaskan ertinya kepada raja.+ 9 Oleh itu, Raja Belsyazar menjadi sangat takut, dan mukanya menjadi pucat. Para bangsawannya pula menjadi bingung.+
10 Setelah mendengar kata-kata raja dan para bangsawan, permaisuri* memasuki dewan jamuan itu dan berkata, “Daulat tuanku! Janganlah biarkan apa yang ada dalam fikiran tuanku membuat tuanku takut atau menjadi pucat. 11 Dalam kerajaan tuanku, ada seorang lelaki yang memiliki kuasa dewa dewi yang suci. Ayahanda tuanku, Raja Nebukadnezar, telah melantiknya sebagai ketua kepada tukang tilik, orang Kasdim,* ahli nujum,+ dan imam yang mengamalkan ilmu sihir. Ya, ayahanda tuanku telah berbuat demikian kerana semasa pemerintahannya, lelaki itu memiliki pengetahuan, pemahaman, dan kebijaksanaan seperti kebijaksanaan dewa dewi.+ 12 Lelaki itu ialah Daniel, yang dinamakan Beltesazar+ oleh raja. Dia memiliki kebijaksanaan dan kebolehan yang luar biasa serta mempunyai pengetahuan dan pemahaman. Dia dapat mentafsirkan mimpi, menjelaskan teka-teki, dan menyelesaikan masalah yang rumit.*+ Panggillah Daniel, dan dia akan memberitahu tuanku erti tulisan itu.”
13 Daniel dibawa menghadap raja, dan raja bertanya kepadanya, “Adakah kamu Daniel,+ orang yang telah ditawan oleh ayahanda beta dari Yehuda?+ 14 Beta telah mendengar bahawa kamu memiliki kuasa dewa dewi,+ pengetahuan, pemahaman, dan kebijaksanaan yang luar biasa.+ 15 Sebelum ini, beta telah memanggil orang bijaksana dan tukang tilik untuk membaca tulisan itu dan menjelaskan ertinya, tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian.+ 16 Beta mendengar bahawa kamu pandai memberikan tafsiran+ dan menyelesaikan masalah yang rumit.* Jadi, jika kamu dapat membaca tulisan itu dan menjelaskan ertinya kepada beta, beta akan memberikan jubah yang berwarna ungu kepadamu, dan mengalungkan rantai emas pada lehermu. Kamu akan menjadi pemerintah ketiga dalam kerajaan ini.”+
17 Daniel menjawab raja, “Tuanku, simpanlah hadiah-hadiah itu atau berikannya kepada orang lain. Hamba akan membaca tulisan itu dan menjelaskan ertinya kepada tuanku. 18 Wahai tuanku, Tuhan Yang Maha Tinggi telah memberikan kerajaan, keagungan, kemuliaan, dan kemegahan kepada Nebukadnezar, ayahanda tuanku.+ 19 Oleh sebab Tuhan mengagungkan Nebukadnezar, semua orang dari segala bangsa dan bahasa takut dan hormat kepadanya.+ Dia membunuh atau membiarkan seseorang hidup menurut kesukaannya. Dia meninggikan atau merendahkan sesiapa saja menurut kehendaknya.+ 20 Tetapi kemudiannya dia menjadi angkuh dan degil sehingga dia bertindak sesuka hati.+ Maka dia diturunkan daripada takhtanya lalu kehilangan kemuliaannya. 21 Dia dihalau daripada kalangan manusia, dan hatinya berubah menjadi seperti hati binatang. Dia tinggal bersama keldai liar, memakan rumput seperti lembu jantan, dan badannya dibasahi embun dari langit. Akhirnya dia sedar bahawa Tuhan Yang Maha Tinggi ialah Pemerintah kerajaan manusia, dan Tuhan memberikan kuasa pemerintahan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.+
22 “Walaupun tuanku ialah anaknya* dan tuanku mengetahui semua hal ini, tuanku masih tidak merendahkan diri. 23 Tuanku meninggikan diri di hadapan Tuan di syurga.+ Tuanku menyuruh orang untuk membawa perkakas dari Rumah-Nya.+ Kemudian tuanku, para bangsawan, isteri-isteri, dan gundik-gundik tuanku minum wain daripada perkakas itu. Sambil minum, kamu semua juga memuji dewa dewi yang diperbuat daripada perak, emas, tembaga, besi, kayu, dan batu, meskipun dewa dewi itu tidak dapat melihat, mendengar, atau mengetahui apa-apa.+ Tetapi tuanku tidak memuliakan Tuhan yang dapat menentukan hidup mati tuanku,+ dan yang mengawal segala perbuatan tuanku. 24 Itulah sebabnya Tuhan menyuruh tangan itu untuk menulis tulisan itu.+ 25 Inilah tulisannya: MENE, MENE, TEKEL, dan PARSIN.
26 “Inilah erti tulisan itu: MENE bererti Tuhan telah menghitung masa pemerintahan tuanku dan mengakhirinya.+
27 “TEKEL bererti tuanku telah ditimbang pada neraca dan ternyata tuanku serba kekurangan.
28 “PERES* bererti kerajaan tuanku dibahagi-bahagikan dan diberikan kepada orang Media dan Persia.”+
29 Kemudian Belsyazar memberikan perintah agar mereka mengenakan jubah yang berwarna ungu pada Daniel, dan mengalungkan rantai emas pada lehernya. Kemudian mereka mengumumkan bahawa Daniel akan menjadi pemerintah ketiga dalam kerajaan itu.+
30 Pada malam itu juga, Belsyazar, iaitu raja orang Kasdim, dibunuh.+ 31 Kemudian Darius,+ seorang lelaki Media, mengambil alih kerajaan itu. Pada waktu itu, umurnya sekitar 62 tahun.
6 Raja Darius membuat keputusan untuk melantik 120 orang ketua gabenor wilayah di seluruh kerajaannya.+ 2 Selain itu, tiga orang pegawai tinggi dilantik untuk mengawasi para ketua gabenor. Daniel+ ialah salah seorang pegawai tinggi itu. Para ketua gabenor+ perlu memberikan laporan kepada mereka agar kepentingan raja sentiasa dijaga. 3 Daniel lebih cekap daripada semua pegawai tinggi dan ketua gabenor wilayah kerana dia memiliki kebijaksanaan dan kebolehan yang luar biasa.+ Maka raja ingin melantik Daniel menjadi penguasa seluruh kerajaannya.
4 Pada waktu itu, pegawai-pegawai tinggi dan para ketua gabenor wilayah berusaha mencari kesalahan Daniel dalam tugas pemerintahan kerajaan. Tetapi mereka tidak dapat menemui sebarang kesalahan atau keburukan pada Daniel kerana dia seorang yang baik, dapat dipercayai, dan tidak lalai dalam tugasnya. 5 Akhirnya mereka berkata, “Kita tidak mungkin dapat mencari kesalahan Daniel, kecuali dalam hal yang berkaitan dengan hukum Tuhannya.”+
6 Maka mereka semua pergi menghadap raja dan berkata, “Wahai Raja Darius, semoga tuanku hidup selama-lamanya. 7 Semua pegawai diraja, penguasa, ketua gabenor wilayah, pegawai tinggi, dan gabenor telah berbincang dan bersetuju bahawa satu perintah harus dikeluarkan dan satu larangan patut dikuatkuasakan. Jadi tuanku, perintahkanlah bahawa selama 30 hari, tiada seorang pun yang boleh meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku. Sesiapa yang melanggar perintah ini akan dibuang ke dalam gua singa.+ 8 Kami memohon agar tuanku mengeluarkan perintah itu dan menandatanganinya+ supaya perintah itu tidak dapat diubah, sesuai dengan undang-undang orang Media dan Persia, yang tidak dapat dibatalkan.”+
9 Maka Raja Darius menandatangani perintah itu dan mengenakan larangan itu.
10 Apabila Daniel mendengar bahawa perintah itu telah ditandatangani, dia pulang ke rumahnya, dan pergi ke bilik di bumbung rumahnya. Bilik itu mempunyai tingkap-tingkap terbuka yang menghadap Yerusalem.+ Seperti biasa, dia berlutut lalu berdoa dan memuji Tuhannya sebanyak tiga kali sehari. 11 Pada waktu itu, mereka merempuh masuk dan mendapati Daniel sedang berdoa meminta bantuan dan perkenan daripada Tuhannya.
12 Mereka pun pergi menghadap raja dan mengingatkannya tentang larangan itu. Mereka berkata, “Bukankah tuanku telah menandatangani perintah yang melarang sesiapa pun untuk meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku, selama 30 hari? Bukankah perintah itu juga menyatakan bahawa sesiapa yang ingkar akan dibuang ke dalam gua singa?” Raja menjawab, “Memang benar. Perintah itu tidak boleh diubah, sesuai dengan undang-undang orang Media dan Persia, yang tidak boleh dibatalkan.”+ 13 Mereka segera berkata, “Daniel, seorang tawanan dari Yehuda,+ tidak menghormati tuanku, dan dia mengingkari larangan yang tuanku kenakan. Dia tetap berdoa sebanyak tiga kali sehari.”+ 14 Setelah mendengar kata-kata itu, raja berasa sangat sedih dan gelisah. Dia mencari jalan untuk menyelamatkan Daniel. Dia terus berusaha sampai matahari terbenam. 15 Akhirnya, mereka beramai-ramai pergi menghadap raja dan berkata, “Wahai tuanku, hendaklah tuanku ingat bahawa menurut undang-undang orang Media dan Persia, perintah atau larangan yang dikenakan oleh raja tidak boleh diubah.”+
16 Oleh itu, raja memberikan perintah agar Daniel dibuang ke dalam gua singa.+ Raja berkata kepada Daniel, “Semoga Tuhan yang sentiasa kamu sembah itu menyelamatkan kamu.” 17 Kemudian mulut gua itu ditutup dengan sebuah batu, dan raja memeterai batu itu dengan cincin mohornya dan cincin mohor para bangsawan. Dengan itu, keputusan yang dibuat terhadap Daniel tidak dapat diubah.
18 Raja pun kembali ke istananya. Dia berpuasa dan tidak mahu dihiburkan.* Dia juga tidak dapat tidur sepanjang malam. 19 Akhirnya, sebaik sahaja hari mula terang, dia bangun dan tergesa-gesa pergi ke gua singa itu. 20 Apabila dia sampai dekat gua itu, dia berseru kepada Daniel dengan sedih, “Daniel, hamba Tuhan yang hidup! Adakah Tuhan yang sentiasa kamu sembah dapat menyelamatkan kamu daripada singa-singa itu?” 21 Daniel segera menjawab, “Daulat tuanku! 22 Ya, Tuhan hamba telah mengutus malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu+ supaya hamba tidak diapa-apakan.+ Hal ini demikian kerana hamba tidak bersalah, baik terhadap Tuhan mahupun terhadap tuanku.”
23 Raja berasa gembira sekali! Dia memberikan perintah agar Daniel dikeluarkan dari gua itu. Apabila Daniel diangkat keluar, dia tidak cedera sedikit pun kerana dia percaya kepada Tuhannya.+
24 Selepas itu, raja memberikan perintah agar semua orang yang telah menuduh* Daniel dibawa menghadapnya. Kemudian mereka semua dibuang ke dalam gua singa, bersama anak dan isteri mereka. Sebelum mereka sampai ke dasar gua itu, singa-singa sudah pun menerkam mereka dan menghancurkan tulang-tulang mereka.+
25 Kemudian Raja Darius menulis surat kepada orang daripada pelbagai bangsa dan bahasa yang ada di seluas bumi:+ “Semoga kamu sejahtera! 26 Beta mengeluarkan perintah kepada rakyat di setiap pelosok kerajaan beta. Kamu haruslah hormat dan takut kepada Tuhan yang disembah oleh Daniel,+ kerana Dialah Tuhan yang hidup dan Tuhan yang kekal buat selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan dimusnahkan, dan pemerintahan-Nya akan kekal abadi.+ 27 Dia menyelamatkan+ dan membebaskan umat-Nya. Dia menunjukkan tanda dan melakukan mukjizat di langit dan di bumi.+ Dia telah menyelamatkan Daniel daripada terkaman singa.”
28 Demikianlah Daniel hidup makmur dalam kerajaan Darius+ dan kerajaan Kores, raja Persia.+
7 Pada tahun pertama pemerintahan Raja Belsyazar+ dari Babilon, Daniel mendapat mimpi dan penglihatan semasa dia berbaring di katilnya.+ Maka dia menulis mimpi itu+ dan mencatatkan semua yang telah dinampaknya. 2 Daniel berkata,
“Pada waktu malam, aku mendapat penglihatan. Lihatlah! Empat angin dari langit menyebabkan lautan besar bergelora.+ 3 Empat ekor binatang yang besar+ muncul dari laut, dan rupa keempat-empat binatang itu berbeza.
4 “Binatang yang pertama seperti seekor singa+ yang mempunyai sayap burung helang.+ Aku terus melihat sehingga sayap-sayapnya dicabut. Kemudian binatang itu diangkat dan dipaksa berdiri seperti seorang manusia. Binatang itu juga diberi hati manusia.
5 “Lihatlah! Binatang yang kedua seperti seekor beruang.+ Binatang itu berdiri pada satu sisi, dan sedang menggigit tiga batang tulang rusuk. Binatang itu disuruh, ‘Bangunlah, dan makanlah banyak daging.’+
6 “Aku terus melihat dan nampak seekor lagi binatang. Binatang itu seperti seekor harimau bintang+ yang mempunyai empat sayap seperti sayap burung. Binatang itu ada empat kepala,+ dan diberi kuasa pemerintahan.
7 “Kemudian dalam penglihatanku pada malam itu, aku nampak binatang keempat, yang menakutkan dan mengerikan. Binatang itu amat kuat, dan mempunyai gigi besi yang besar. Binatang itu melahap dan meremukkan mangsanya lalu menginjak-injak apa yang tertinggal.+ Binatang itu mempunyai 10 buah tanduk, dan berbeza daripada semua binatang yang sebelumnya. 8 Semasa aku melihat tanduk-tanduk itu, tiba-tiba sebuah tanduk kecil+ muncul di antaranya, dan tiga buah tanduk yang ada di depannya dicabut. Lihatlah! Tanduk kecil itu mempunyai mata seperti mata manusia, dan mulutnya bercakap dengan sombong.*+
9 “Aku terus melihat sehingga takhta-takhta disusun dan Dia Yang Lanjut Usia+ duduk di atas takhta-Nya.+ Pakaian-Nya putih seperti salji,+ dan rambut-Nya seperti bulu biri-biri yang bersih. Takhta-Nya ialah nyala api, dan roda-roda takhta itu ialah api yang bernyala-nyala.+ 10 Api juga mengalir dari takhta-Nya.+ Beribu-ribu malaikat melayani-Nya, dan berjuta-juta malaikat berdiri di hadapan-Nya.+ Kemudian Mahkamah+ memulakan perbicaraan, dan kitab-kitab dibuka.
11 “Pada waktu itu, aku terus melihat kerana tanduk itu mengucapkan kata-kata yang sombong.*+ Aku terus melihat sehingga binatang itu dibunuh, dan tubuhnya dimusnahkan lalu dibakar di dalam api. 12 Kuasa pemerintahan binatang-binatang yang lain+ pula dirampas dan mereka dibenarkan hidup buat suatu tempoh waktu.
13 “Kemudian dalam penglihatanku pada malam itu, aku nampak seseorang yang kelihatan seperti anak manusia.+ Dia datang diliputi awan di langit, lalu diizinkan untuk menghadap Dia Yang Lanjut Usia.+ Anak manusia itu dibawa ke hadirat Dia Yang Lanjut Usia, 14 lalu diberi kuasa pemerintahan,+ kemuliaan,+ dan sebuah kerajaan agar orang dari semua bangsa, suku, dan bahasa melayaninya.+ Pemerintahannya kekal dan tidak akan berakhir, dan kerajaannya tidak akan dibinasakan.+
15 “Tetapi aku, Daniel, sangat gelisah kerana penglihatan-penglihatan yang muncul dalam fikiranku membuat aku takut.+ 16 Maka aku menghampiri salah satu malaikat yang berdiri di situ, dan bertanya tentang erti sebenar semua hal itu. Dia pun menjawab aku dan menjelaskan ertinya kepadaku.
17 “‘Empat ekor binatang besar itu+ ialah empat orang raja yang akan muncul dari bumi.+ 18 Tetapi umat suci milik Tuhan Yang Maha Agung+ akan mendapat sebuah kerajaan.+ Kerajaan itu+ akan menjadi milik mereka untuk selama-lamanya, ya, untuk selama-lamanya.’
19 “Aku ingin mengetahui lebih banyak tentang binatang yang keempat itu, kerana binatang itu berbeza daripada semua binatang yang lain, dan rupanya amat mengerikan. Binatang itu mempunyai kuku tembaga dan gigi besi yang besar. Binatang itu melahap dan meremukkan mangsanya lalu menginjak-injak apa yang tertinggal.+ 20 Aku juga ingin mengetahui lebih banyak tentang 10 buah tanduk+ di atas kepala binatang itu. Selain itu, aku ingin mengetahui lebih banyak tentang tanduk yang muncul kemudian lalu menyebabkan tiga buah tanduk di depannya tercabut.+ Tanduk itu kelihatan lebih besar daripada tanduk-tanduk yang lain, dan mempunyai mata, dan mulut yang bercakap dengan sombong.*
21 “Aku terus melihat dan nampak tanduk itu berperang dengan umat suci itu dan mengalahkan mereka.+ 22 Akhirnya Dia Yang Lanjut Usia+ datang untuk melaksanakan pengadilan dan memberikan keputusan yang memihak kepada umat suci milik Tuhan Yang Maha Agung.+ Lalu tibalah waktu yang ditetapkan bagi umat suci untuk menerima kerajaan itu.+
23 “Inilah kata-kata malaikat itu: ‘Binatang keempat itu ialah kerajaan keempat yang akan muncul di bumi. Kerajaan ini berbeza daripada semua kerajaan yang lain. Kerajaan ini akan melahap dan meremukkan seluruh bumi serta menginjak-injaknya.+ 24 Sepuluh buah tanduk itu ialah 10 orang raja yang akan muncul daripada kerajaan itu. Kemudian seorang lagi raja akan muncul. Raja ini berbeza daripada semua raja yang lain, dan dia akan mengalahkan tiga orang raja.+ 25 Dia akan mengucapkan kata-kata yang menentang Tuhan Yang Maha Tinggi,+ dan dia terus mengganggu umat suci milik Tuhan Yang Maha Agung. Dia ingin mengubah waktu dan hukum, dan umat suci diserahkan ke dalam tangannya selama satu waktu, dua waktu, dan setengah waktu.*+ 26 Tetapi Mahkamah memulakan perbicaraan, dan mereka merampas kuasa pemerintahannya lalu dia dibunuh dan dilenyapkan.+
27 “‘Kerajaan itu, kuasa untuk memerintah, dan kemuliaan semua kerajaan yang ada di bawah langit diberikan kepada umat suci milik Tuhan Yang Maha Agung.+ Kerajaan mereka ialah kerajaan yang kekal,+ dan semua kerajaan yang lain akan melayani dan mematuhi mereka.’
28 “Itulah apa yang telah aku nampak. Aku, Daniel, berasa begitu takut sehingga mukaku menjadi pucat. Tetapi aku menyimpan segala hal itu dalam hatiku.”
8 Pada tahun ketiga pemerintahan Raja Belsyazar,+ aku, Daniel, mendapat satu lagi penglihatan.+ 2 Aku sedang berada di kota berkubu* Susan,*+ yang terletak di wilayah Elam,+ semasa aku mendapat penglihatan itu. Dalam penglihatan itu, aku sedang berdiri dekat Sungai* Ulai. 3 Aku nampak seekor bebiri jantan+ berdiri di hadapan sungai itu. Bebiri itu mempunyai dua buah tanduk yang panjang;+ sebuah tanduk lebih panjang daripada tanduk yang satu lagi. Tanduk yang lebih panjang itu muncul kemudian.+ 4 Bebiri itu menanduk ke arah barat, utara, dan selatan. Tiada binatang liar yang dapat menghalangnya, dan tiada sesiapa yang dapat melepaskan binatang-binatang liar itu daripada kuasanya.+ Bebiri itu bertindak sesuka hati dan berlagak besar.
5 Kemudian aku nampak seekor kambing jantan+ datang dari arah barat,* dan merentasi seluruh bumi tanpa menyentuh tanah. Kambing itu mempunyai tanduk yang menonjol di antara matanya.+ 6 Kambing itu menuju ke arah bebiri jantan yang mempunyai dua tanduk itu, yang sedang berdiri di hadapan sungai. Kambing itu berlari ke arah bebiri itu dengan kemarahan yang dahsyat.
7 Aku nampak kambing tersebut mendekati bebiri jantan itu dengan penuh kemarahan. Kambing itu menyerang bebiri itu dan mematahkan kedua-dua tanduknya sehingga bebiri itu tidak mampu melawan. Kambing itu menjatuhkan bebiri itu ke tanah lalu memijak-mijaknya. Tiada sesiapa yang dapat menyelamatkan bebiri itu daripada kuasa kambing tersebut.
8 Kemudian kambing jantan itu berlagak besar, tetapi sebaik sahaja kambing itu menjadi perkasa, tanduknya yang besar patah. Empat buah tanduk yang menonjol muncul untuk menggantikan tanduk yang patah itu. Empat tanduk itu menghadap ke empat arah yang berlainan.*+
9 Daripada salah sebuah tanduk itu, muncul sebuah tanduk yang kecil. Tanduk ini membesar ke arah selatan, ke arah timur,* dan ke arah Tanah yang Indah.*+ 10 Tanduk ini menjadi begitu besar sehingga mencapai angkatan tentera di langit,* dan menyebabkan sebahagian daripada angkatan itu dan bintang-bintang jatuh ke bumi. Kemudian tanduk ini memijak-mijak semua itu. 11 Tanduk ini berlagak sombong bahkan di hadapan Pemimpin yang mengetuai angkatan itu. Tanduk ini merampas korban harian Pemimpin itu, dan merobohkan tempat suci yang didirikan-Nya.+ 12 Angkatan tentera dan korban harian diserahkan kepada tanduk ini kerana pelanggaran hukum telah berlaku. Tanduk ini terus mencampakkan kebenaran ke bumi dan apa yang dilakukannya berjaya.
13 Aku mendengar satu malaikat bercakap, dan satu lagi malaikat bertanya kepadanya, “Berapa lamakah perkara yang dilihat dalam penglihatan tentang korban harian dan pelanggaran hukum yang menyebabkan pembinasaan, akan terus berlaku?+ Berapa lamakah angkatan tentera dan tempat suci itu akan dipijak-pijak?” 14 Maka malaikat itu berkata kepadaku, “Selama 2,300 petang dan pagi. Selepas itu, barulah tempat suci akan dipulihkan kepada keadaan asalnya.”
15 Sedang aku melihat dan berusaha untuk memahami penglihatan itu, tiba-tiba aku nampak seseorang yang kelihatan seperti seorang lelaki berdiri di hadapanku. 16 Kemudian aku mendengar suara seorang lelaki dari tengah-tengah Sungai Ulai.+ Lelaki itu berseru, “Gabriel,+ jelaskanlah erti penglihatan ini kepadanya.”+ 17 Apabila Gabriel mendekati tempat aku berdiri, aku berasa begitu takut sehingga aku bersujud ke tanah. Dia berkata, “Wahai anak manusia, fahamilah bahawa penglihatan itu akan menjadi kenyataan pada akhir zaman.”+ 18 Tetapi semasa dia masih bercakap, aku tertidur dan mukaku menghadap tanah. Maka dia menyentuh aku dan membantu aku berdiri semula.+ 19 Dia berkata, “Sekarang aku akan memberitahu engkau apa yang akan berlaku pada akhir tempoh penghakiman* Tuhan, kerana penglihatan itu akan menjadi kenyataan pada waktu yang telah ditentukan semasa akhir zaman.+
20 “Bebiri jantan yang mempunyai dua buah tanduk itu melambangkan raja-raja Media dan Persia.+ 21 Kambing jantan yang berbulu tebal itu melambangkan raja Yunani,+ dan tanduk besar yang timbul di antara matanya melambangkan raja yang pertama.+ 22 Kemudian tanduk besar itu patah, dan empat buah tanduk yang lain muncul.+ Empat tanduk itu melambangkan empat kerajaan yang akan menggantikan raja yang pertama, tetapi kekuatan kerajaan-kerajaan itu tidak setanding kekuatannya.
23 “Pada akhir pemerintahan mereka, iaitu apabila kejahatan sudah memuncak, akan muncul seorang raja yang berwajah garang dan yang memahami kata-kata tersirat.* 24 Dia akan menjadi kuat, tetapi bukan dengan kuasanya sendiri. Dia membawa kemusnahan yang mengerikan,* dan apa yang dilakukannya akan berjaya. Dia akan memusnahkan orang yang berkuasa dan umat yang suci.+ 25 Dengan licik, dia menggunakan tipu helah untuk mencapai kejayaan. Dia akan berlagak sombong, dan membinasakan banyak orang pada masa damai.* Dia malah berani mencabar Pemimpin Yang Agung. Dia akan dibinasakan, tetapi kebinasaannya itu bukan akibat perbuatan manusia.
26 “Apa yang telah dikatakan mengenai petang dan pagi dalam penglihatan itu memang benar. Tetapi engkau mesti merahsiakan penglihatan itu kerana masih lama lagi sebelum penglihatan itu menjadi kenyataan.”+
27 Aku berasa sangat letih sehingga jatuh sakit selama beberapa hari.+ Apabila aku sudah sihat dan kembali menjalankan tugas yang diberikan oleh raja,+ aku masih kagum dengan apa yang telah aku nampak, dan tiada sesiapa pun yang dapat memahaminya.+
9 Pada tahun pertama pemerintahan Darius+ anak Ahasweros, iaitu keturunan orang Media yang telah dilantik menjadi raja kerajaan Kasdim,+ 2 ya, pada tahun pertama pemerintahannya, aku, Daniel, faham bahawa Yerusalem akan menjadi tempat terbiar+ selama 70 tahun.+ Aku mengetahui hal ini setelah mengkaji kitab-kitab* yang mengandungi firman Yehuwa kepada Nabi Yeremia. 3 Maka aku meminta bantuan daripada* Yehuwa, Tuhan yang benar. Aku berdoa kepada-Nya, berpuasa,+ memakai kain guni, dan menaburkan abu* pada diriku. 4 Aku berdoa kepada Yehuwa, Tuhanku, dan mengakui dosa bangsaku di hadapan-Nya. Aku berkata,
“Ya Yehuwa, Tuhan yang benar, Engkau Tuhan yang agung dan dihormati. Engkau menepati perjanjian-Mu, dan menunjukkan kasih setia+ kepada orang yang mengasihi-Mu dan mematuhi hukum-Mu.+ 5 Kami telah berdosa dan berbuat salah. Kami telah melakukan kejahatan dan memberontak terhadap-Mu.+ Kami telah menyimpang daripada hukum dan perintah-Mu. 6 Kami tidak mendengarkan para nabi, hamba-hamba-Mu itu,+ yang telah berucap demi nama-Mu kepada raja kami, para pemimpin kami, nenek moyang kami, dan seluruh bangsa negeri ini. 7 Ya Yehuwa, Engkau selalu berbuat baik, tetapi kami selalu mendatangkan malu kepada diri sendiri, seperti pada hari ini. Demikian juga semua orang Yehuda, penduduk Yerusalem, dan semua orang Israel yang Engkau cerai-beraikan ke negeri-negeri lain, baik yang dekat mahupun yang jauh, kerana mereka tidak setia kepada-Mu.+
8 “Kami berasa malu, ya Yehuwa, kerana kami, raja kami, para pemimpin kami, dan nenek moyang kami telah berdosa terhadap-Mu. 9 Ya Yehuwa, Engkau ialah Tuhan yang berbelas kasihan dan suka mengampuni+ walaupun kami telah memberontak terhadap-Mu.+ 10 Kami tidak mendengarkan suara-Mu, ya Yehuwa, Tuhan kami. Kami tidak mematuhi hukum yang Engkau berikan kepada kami melalui nabi-nabi-Mu.+ 11 Segenap bangsa Israel telah melanggar Hukum-Mu dan tidak mahu mendengarkan suara-Mu. Kami telah berdosa terhadap-Mu, ya Tuhan yang benar.+ Maka Engkau telah mendatangkan kutukan atas kami sesuai dengan sumpah-Mu yang terdapat dalam Hukum yang ditulis oleh Musa, hamba-Mu itu. 12 Engkau bertindak selaras dengan apa yang telah Engkau firmankan kepada kami+ dan kepada para pemerintah kami. Engkau mendatangkan malapetaka yang dahsyat atas kami. Di bawah langit ini, belum pernah ada malapetaka yang lebih teruk daripada apa yang telah berlaku kepada Yerusalem.+ 13 Semua malapetaka ini telah menimpa kami seperti apa yang tertulis dalam Hukum Musa.+ Walaupun semua ini berlaku, kami masih tidak berusaha menyenangkan hati-Mu, ya Yehuwa, Tuhan kami. Kami tidak bertaubat daripada dosa kami+ dan enggan mengakui bahawa Engkau sentiasa berpegang pada kata-kata-Mu.*
14 “Yehuwa, Engkau sentiasa peka, dan Engkau menjatuhkan hukuman atas kami kerana Engkau, Tuhan Yehuwa, benar dalam segala perbuatan-Mu. Walaupun begitu, kami masih tidak mematuhi-Mu.+
15 “Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau telah menyelamatkan umat-Mu dari Mesir dengan tangan-Mu yang perkasa,+ dan membuat nama-Mu nyata kepada semua orang sampai hari ini.+ Tetapi kami pula telah berdosa dan berbuat jahat. 16 Ya Yehuwa, Engkau selalu adil.+ Maka kami merayu agar Engkau tidak lagi marah dan murka terhadap kota-Mu Yerusalem, gunung suci-Mu. Dosa kami dan dosa nenek moyang kami telah menyebabkan Yerusalem dan umat-Mu dihina oleh orang di sekeliling kami.+ 17 Ya Tuhan kami, dengarlah doa dan rayuan hamba-Mu. Demi nama-Mu, ya Yehuwa, tunjukkanlah perkenan-Mu terhadap tempat suci-Mu+ yang terbiar.+ 18 Ya Tuhan, dengarlah dengan teliti! Bukalah mata-Mu dan lihatlah penderitaan kami, dan perhatikanlah kota yang dipanggil dengan nama-Mu. Kami merayu kepada-Mu bukan kerana kami baik, tetapi kerana Engkau penuh dengan belas kasihan.+ 19 Ya Yehuwa, dengarlah! Ya Yehuwa, ampunilah kami!+ Ya Yehuwa, perhatikanlah kami dan bertindaklah! Demi nama-Mu, ya Tuhanku, janganlah berlambat-lambat kerana kota ini dipanggil dengan nama-Mu dan umat ini menyandang nama-Mu.”+
20 Sewaktu aku masih berdoa, dan mengakui dosaku dan dosa bangsaku Israel, serta meminta perkenan Yehuwa, Tuhanku, berkenaan gunung suci-Nya,+ 21 ya, sewaktu aku masih berdoa, seorang lelaki yang pernah aku nampak dalam penglihatan sebelum ini,+ datang kepadaku. Dialah Gabriel,+ dan dia datang kepadaku kira-kira pada waktu korban petang dipersembahkan. Aku berasa sangat letih pada masa itu. 22 Dia datang untuk memberi aku pengertian. Katanya,
“Wahai Daniel, aku datang untuk memberimu pengertian dan pemahaman. 23 Apabila engkau mula berdoa, aku mendapat perintah, dan aku datang kepadamu kerana engkau sangat berharga di mata Tuhan.*+ Maka fikirkanlah apa yang akan aku beritahu engkau, dan fahamilah apa yang akan engkau lihat.
24 “Berkenaan bangsamu dan kota sucimu,+ jangka masa selama 70 minggu* telah ditetapkan untuk menghentikan salah laku, untuk melenyapkan dosa,+ untuk mengampunkan kesalahan,+ untuk menegakkan apa yang adil dan benar buat selama-lamanya,+ untuk memeterai penglihatan dan nubuat,+ dan untuk mentahbiskan Bilik Maha Suci.* 25 Engkau harus tahu dan faham bahawa dari waktu perintah dikeluarkan untuk memulihkan dan membina semula Yerusalem+ sehingga waktu kedatangan Pemimpin+ yang digelar Mesias,*+ jangka masanya ialah 7 minggu, dan juga 62 minggu.+ Yerusalem akan dipulihkan dan dibina semula, siap dengan dataran kota dan parit pertahanan, tetapi hal ini berlaku pada masa yang susah.
26 “Selepas 62 minggu, Mesias akan dibunuh,+ dan dia akan mati tanpa memiliki apa-apa.+
“Seorang pemimpin akan datang dengan tenteranya untuk memusnahkan kota ini dan tempat suci ini,+ seperti banjir yang membawa kemusnahan. Sampai akhir, akan ada peperangan. Seperti yang telah ditentukan oleh Tuhan, kemusnahan akan berlaku.+
27 “Dia akan memastikan bahawa perjanjian berkuat kuasa selama satu minggu demi banyak orang, dan pada pertengahan minggu itu, dia akan menghentikan persembahan korban binatang dan pemberian hadiah.+
“Orang yang membawa kemusnahan+ akan datang dengan sayap benda-benda yang jijik, dan apa yang telah ditentukan oleh Tuhan akan terus melanda apa yang terbiar sehingga semuanya hancur.”
10 Pada tahun ketiga pemerintahan Raja Kores+ dari Persia, Daniel, yang juga dipanggil Beltesazar,+ mendapat perkhabaran tentang suatu konflik yang besar. Perkhabaran itu benar. Daniel diberi pemahaman tentang apa yang dilihatnya, dan dia memahami perkhabaran itu.
2 Pada masa itu, aku, Daniel, telah berkabung+ selama tiga minggu. 3 Sepanjang tiga minggu itu, aku tidak makan makanan yang sedap. Daging dan wain pun tidak masuk ke dalam mulutku, dan aku tidak menyapu minyak pada diriku. 4 Pada hari ke-24 bulan pertama, aku sedang berada di tepi sungai yang besar, iaitu Sungai Tigris.*+ 5 Aku memandang ke langit lalu nampak seorang lelaki yang memakai pakaian linen+ dan tali pinggang yang diperbuat daripada emas dari Ufaz. 6 Badannya seperti batu krisolit,+ mukanya bercahaya seperti kilat, matanya seperti obor yang bernyala-nyala, lengan dan kakinya kelihatan seperti tembaga yang digilap,+ dan suaranya seperti riuh orang ramai. 7 Hanya aku yang nampak penglihatan itu, tetapi orang yang ada bersamaku tidak dapat melihatnya.+ Mereka menjadi sangat takut sehingga mereka melarikan diri dan bersembunyi.
8 Akibatnya aku ditinggalkan seorang diri, dan apabila aku nampak penglihatan yang menakjubkan ini, aku menjadi tidak berdaya. Mukaku menjadi sangat pucat, dan aku tidak bertenaga.+ 9 Kemudian aku mendengar suara seseorang. Tetapi semasa dia berkata-kata, aku tertidur dan mukaku menghadap tanah.+ 10 Tiba-tiba seseorang menyentuhku+ dan mencuba membangunkan aku daripada tidur. Maka aku bangun perlahan-lahan dan berlutut. 11 Kemudian dia berkata kepadaku,
“Wahai Daniel, kamu sangat berharga di mata Tuhan.*+ Berdirilah dan dengarlah baik-baik apa yang akan aku beritahu kamu kerana aku telah diutus kepadamu.”
Setelah dia berkata demikian, aku pun berdiri sambil terketar-ketar.
12 Kemudian dia berkata kepadaku, “Wahai Daniel, janganlah takut+ kerana Tuhan telah mendengar doamu sejak hari pertama kamu mencari pengertian dengan sepenuh hati dan merendahkan dirimu di hadapan Tuhan. Itulah sebabnya aku datang kepadamu.+ 13 Tetapi pemimpin+ kerajaan Persia menentang aku selama 21 hari. Kemudian Mikhael,*+ salah satu pemimpin yang utama,* datang membantuku. Pada waktu itu, aku berada dalam kalangan raja-raja Persia. 14 Aku datang untuk membantu kamu memahami apa yang akan menimpa bangsamu pada kemudian hari.*+ Penglihatan ini berkaitan dengan masa hadapan.”+
15 Apabila dia mengucapkan kata-kata itu kepadaku, aku tunduk dan tidak dapat bercakap. 16 Kemudian seseorang yang kelihatan seperti manusia berdiri di hadapanku dan menyentuh bibirku.+ Aku pun membuka mulutku dan berkata kepadanya, “Tuan, aku terketar-ketar kerana penglihatan ini, dan aku tidak berdaya.+ 17 Jadi bagaimanakah aku dapat bercakap dengan tuan?+ Sekarang aku sudah tidak berdaya, dan aku sesak nafas.”+
18 Dia menyentuhku lagi dan menguatkan aku.+ 19 Kemudian dia berkata, “Janganlah takut.+ Kamu amat berharga di mata Tuhan.*+ Semoga kamu sejahtera.+ Jadilah kuat, ya jadilah kuat.” Semasa dia bercakap kepada aku, aku berasa lebih bertenaga. Aku pun berkata, “Tuan, sila bercakap. Tuan telah menguatkan aku.”
20 Maka dia berkata, “Sekarang aku mesti pulang dan berlawan dengan pemimpin Persia itu.+ Apabila aku beredar, pemimpin Yunani akan datang. Tetapi tahukah kamu mengapa aku datang kepadamu? 21 Aku ingin memberitahu kamu tentang hal-hal yang tercatat dalam kitab kebenaran. Tiada sesiapa pun yang menyokongku kecuali Mikhael,+ pemimpinmu.+
11 “Pada tahun pertama pemerintahan Darius,+ orang Media itu, aku bangkit untuk menyokong dan menguatkan dia. 2 Semua yang aku katakan ini benar:
“Lihatlah! Tiga orang raja lagi akan muncul di Persia, dan raja yang keempat akan mengumpulkan lebih banyak kekayaan berbanding raja-raja yang lain. Apabila raja ini menjadi kuat kerana kekayaannya, dia akan menggerakkan segala sesuatu untuk menentang kerajaan Yunani.+
3 “Seorang raja yang sangat berkuasa akan muncul. Dia akan memerintah kawasan yang luas,+ dan bertindak sesuka hati. 4 Selepas dia bangkit, kerajaannya akan berpecah belah dan terbahagi ke empat arah.+ Namun kerajaannya tidak akan menjadi milik keturunannya. Kerajaannya akan dicabut dan menjadi milik orang lain, tetapi kawasan pemerintahan mereka tidak seluas kawasan pemerintahannya.
5 “Salah seorang pemimpin di bawah kekuasaannya akan menjadi sangat kuat. Pemimpin ini ialah raja selatan. Tetapi seseorang akan menjadi lebih kuat daripada raja ini, mempunyai kuasa yang lebih besar, dan memerintah kawasan yang luas.
6 “Selepas beberapa tahun, mereka akan menjadi sekutu, dan puteri raja selatan akan pergi kepada raja utara untuk mengikat perjanjian. Tetapi puteri ini tidak akan mengekalkan kekuasaannya. Raja itu akan jatuh dan kehilangan kekuasaannya. Puteri ini bersama dengan orang yang mengiringinya, orang yang melahirkannya, dan orang yang memberinya kuasa pada waktu itu akan diserahkan kepada orang lain. 7 Tunas yang bercambah dari akar puteri itu akan bangkit dan menggantikan dia.* Dia akan datang menentang angkatan tentera raja utara dan menyerang kubu raja itu, lalu meraih kemenangan. 8 Dia akan membawa tuhan-tuhan mereka, patung berhala mereka,* perkakas perak dan emas mereka yang berharga, dan orang tawanan ke Mesir. Selama beberapa tahun, dia tidak akan berlawan dengan raja utara. 9 Kemudian raja utara akan menentang raja selatan lalu kembali ke negerinya.
10 “Anak-anak raja itu* akan bersiap untuk berperang dan mengumpulkan angkatan tentera yang besar. Dia akan mara dan datang seperti banjir. Tetapi dia akan kembali dan berperang sehingga dia sampai ke kubunya.
11 “Raja selatan akan menjadi marah lalu pergi berperang dengan raja utara. Tetapi sejumlah besar orang yang telah dikumpulkannya akan diserahkan kepada raja itu.* 12 Kumpulan orang itu akan dibawa pergi. Hati raja itu akan menjadi angkuh dan dia akan membinasakan beribu-ribu orang, tetapi dia akan melepaskan peluang baik yang dimilikinya.
13 “Raja utara pasti akan kembali dan mengumpulkan sekumpulan orang yang lebih banyak daripada sebelumnya. Pada akhir suatu jangka waktu, iaitu selepas beberapa tahun, dia pasti akan datang dengan angkatan tentera yang besar dan banyak harta. 14 Pada masa itu, ramai orang akan bangkit menentang raja selatan.
“Orang yang ganas* dalam kalangan bangsamu akan dibawa pergi kerana mereka ingin membuat suatu penglihatan menjadi kenyataan, tetapi mereka akan tersandung.
15 “Raja utara akan datang dan mendirikan benteng untuk mengepung kota yang bertembok. Angkatan tentera selatan tidak akan dapat bertahan, begitu juga dengan askar-askar mereka yang terbaik. Mereka semua tidak mempunyai kekuatan untuk berlawan. 16 Raja ini akan menyerang raja selatan dan bertindak sesuka hati, dan tiada sesiapa pun yang dapat melawannya. Raja ini akan berdiri di Tanah yang Indah,*+ dan dia memiliki kuasa untuk menyebabkan kemusnahan. 17 Raja ini akan bertekad untuk datang dengan kekuatan seluruh kerajaannya, dan membuat perjanjian dengan raja itu; tindakannya amat berkesan. Dia akan diizinkan untuk membinasakan seorang anak perempuan. Anak ini tidak akan bertahan, dan tidak akan menjadi miliknya lagi. 18 Raja ini akan memalingkan mukanya ke persisiran pantai dan menakluki banyak kawasan. Seorang ketua tentera akan menghentikan hinaan yang dilemparkan atasnya, supaya dia tidak dihina lagi. Dia akan membalas hinaan itu. 19 Kemudian dia* akan pulang ke kubu-kubu di negerinya sendiri. Akhirnya dia akan tersandung lalu jatuh, dan tidak akan ditemui lagi.
20 “Seseorang akan menggantikan tempatnya, dan menyuruh pemungut cukai* menjelajahi seluruh kerajaan yang agung itu. Tetapi selepas beberapa hari, dia akan binasa, bukan kerana kemarahan atau peperangan.
21 “Seseorang yang dipandang hina* akan menggantikan tempatnya, dan mereka tidak akan memberikan kemuliaan kerajaan itu kepadanya. Dia akan datang pada masa aman* dan merampas kerajaan itu dengan cara licik. 22 Dia akan memusnahkan angkatan tentera yang datang bagaikan banjir. Ya, mereka akan dibinasakan, dan hal yang sama juga akan berlaku kepada Pemimpin+ perjanjian.+ 23 Oleh sebab mereka bersekutu dengannya, dia akan terus menipu. Dia akan bangkit dan menjadi kuat disebabkan sebuah bangsa yang kecil. 24 Pada masa aman,* dia akan memasuki wilayah yang paling makmur dan melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh nenek moyangnya. Dia akan berkongsi barang jarahan, barang rampasan, dan harta benda dengan orang lain. Dia juga akan membuat rancangan untuk menyerang kubu-kubu pertahanan, tetapi hanya untuk sementara waktu.
25 “Dia akan mengerahkan kekuatannya dan keberaniannya untuk menyerang raja selatan dengan angkatan tentera yang besar. Raja selatan akan mengumpulkan sebuah angkatan yang amat besar dan kuat untuk berperang dengannya. Dia tidak akan bertahan kerana mereka berkomplot untuk menentangnya. 26 Orang yang menikmati makanan sedap di mejanya akan menyebabkan kejatuhannya.
“Angkatan tenteranya akan dibinasakan,* dan ramai orang akan dibunuh.
27 “Kedua-dua raja ini berniat untuk melakukan apa yang jahat. Mereka akan duduk di meja yang sama dan menipu satu sama lain. Tetapi mereka tidak akan berjaya kerana akhir akan tiba pada waktu yang telah ditetapkan.+
28 “Dia akan pulang ke negerinya dengan banyak harta benda, dan dia berniat untuk menentang perjanjian suci. Dia akan melakukannya dan pulang ke negerinya.
29 “Pada waktu yang ditentukan, dia akan kembali dan menyerang negeri selatan. Tetapi kali ini, keadaannya tidak seperti yang sebelumnya 30 kerana kapal-kapal Kitim+ akan menyerangnya, dan dia akan ditundukkan.
“Dia akan pulang dan melepaskan kemarahannya* terhadap perjanjian suci.+ Ya, dia pasti akan berbuat demikian. Dia akan kembali dan menumpukan perhatiannya terhadap orang yang meninggalkan perjanjian suci. 31 Angkatan tentera akan mara dari tempatnya. Mereka akan menajiskan tempat suci,+ iaitu kubu itu, dan merampas korban harian.+
“Kemudian mereka akan mendirikan benda jijik yang membawa kemusnahan.+
32 “Dengan kata-kata yang licik, dia akan membimbing orang yang berbuat jahat dan yang melanggar perjanjian itu sehingga mereka menjadi orang murtad. Tetapi orang yang mengenal Tuhan mereka sendiri akan tetap kuat dan berjaya. 33 Dalam kalangan umat manusia, terdapat orang yang mempunyai pengertian.+ Mereka akan membantu ramai orang mendapat pemahaman. Tetapi selama beberapa hari, mereka akan tersandung kerana pedang dan nyala api, kerana ditawan dan dijarah. 34 Ketika mereka tersandung, mereka akan mendapat sedikit bantuan. Ramai orang yang mengucapkan kata-kata licik akan menyertai mereka. 35 Sebilangan orang yang mempunyai pengertian akan tersandung, dan disebabkan mereka, orang akan dimurnikan, dibersihkan, dan disucikan+ sehingga akhir zaman, kerana waktu yang ditentukan belum sampai.
36 “Raja itu akan bertindak sesuka hati, dan dia akan meninggikan dirinya serta menganggap dirinya lebih besar daripada semua tuhan. Dia akan menghina dan menentang Tuhan Yang Maha Tinggi.+ Dia pasti akan berjaya sampai waktu kemurkaan berakhir, kerana apa yang telah ditentukan pasti akan berlaku. 37 Dia tidak akan menghormati Tuhan yang disembah oleh nenek moyangnya. Dia juga tidak akan memberikan perhatian kepada tuhan-tuhan lain ataupun kepada apa yang diingini oleh wanita. Sebaliknya dia akan terus menganggap dirinya lebih besar daripada semua orang. 38 Tetapi,* dia akan memuliakan tuhan segala kubu, tuhan yang tidak dikenali nenek moyangnya. Dia akan memuliakan tuhan itu dengan emas, perak, batu-batu permata, dan pelbagai barangan berharga. 39 Dengan bantuan tuhan orang asing, dia akan menyerang kota berkubu yang paling kukuh. Dia akan memberikan penghormatan yang besar kepada sesiapa sahaja yang menyokongnya,* dan membenarkan mereka memerintah banyak orang. Dia akan membahagi-bahagikan tanah kepada mereka jika dia menerima bayaran yang sesuai.
40 “Pada akhir zaman, raja selatan dan dia akan saling berlawan.* Seperti ribut, raja utara akan menyerang dia dengan kereta-kereta kuda, askar berkuda, dan banyak kapal. Dia akan memasuki banyak negeri dan menghanyutkan mereka seperti banjir. 41 Dia juga akan memasuki Tanah yang Indah,*+ dan banyak negeri akan dikalahkan. Tetapi orang Edom, orang Moab, dan para pemimpin* Ammon, akan melepaskan diri daripada genggamannya. 42 Dia akan terus menyerang banyak negeri, dan negeri Mesir tidak akan terlepas. 43 Dia akan menguasai harta-harta tersembunyi, emas, perak, dan semua harta Mesir. Orang Libia dan Etiopia* akan mengikut jejaknya.
44 “Tetapi laporan dari timur* dan utara akan membuat dia gelisah. Dia akan pergi dengan penuh kemarahan untuk melenyapkan dan menghapuskan banyak orang. 45 Dia akan mendirikan khemah-khemah diraja di antara lautan besar dan gunung suci di Tanah yang Indah.*+ Penghujungnya akan tiba, dan tiada sesiapa pun yang akan membantunya.
12 “Pada waktu itu, Mikhael,*+ pemimpin agung+ yang bertindak bagi pihak bangsamu, akan bangkit. Masa kesusahan akan datang, iaitu masa kesusahan yang tidak pernah terjadi sejak pembentukan bangsa sehingga waktu itu. Pada waktu itu, bangsamu akan melarikan diri.+ Ya, sesiapa yang namanya tertulis dalam kitab akan berjaya melarikan diri.+ 2 Ramai orang yang sudah mati* akan bangkit. Ada yang akan menikmati kehidupan kekal, dan ada pula yang akan dimalukan dan dibenci buat selama-lamanya.
3 “Orang yang mempunyai pengertian akan bersinar terang di ruang angkasa, dan mereka yang memimpin banyak orang ke haluan yang benar adalah seperti bintang, yang akan bersinar buat selama-lamanya.
4 “Hendaklah kamu, Daniel, merahsiakan kata-kata ini, dan memeterai kitab ini sehingga akhir zaman.+ Ramai orang akan mencarinya* dengan teliti, dan pengetahuan yang benar akan berlimpah-limpah.”+
5 Kemudian, aku, Daniel, nampak dua malaikat sedang berdiri, satu di tebing sungai sebelah sini, dan satu lagi di tebing sungai sebelah sana.+ 6 Salah satu malaikat berkata kepada seorang lelaki yang berpakaian linen,+ yang sedang berdiri di atas air sungai, “Berapa lamakah hal-hal yang menakjubkan ini akan berlangsung sehingga semuanya berakhir?” 7 Lelaki yang berdiri di atas air sungai itu mengangkat tangan kanan dan tangan kirinya ke langit, lalu dia bersumpah demi Tuhan yang hidup selama-lamanya.+ Aku mendengar dia berkata, “Semua ini akan berlangsung pada waktu yang telah ditentukan, iaitu satu waktu, dua waktu, dan setengah waktu.* Sebaik sahaja kuasa umat suci dihancurkan,+ semua hal ini akan berakhir.”
8 Aku mendengar semua ini, tetapi aku tidak memahaminya.+ Jadi aku bertanya, “Tuan, apakah kesudahan semua ini?”
9 Dia menjawab, “Pergilah Daniel, kerana kata-kata ini harus dirahsiakan dan dimeterai sehingga akhir zaman.+ 10 Banyak orang akan membersihkan diri dan menyucikan diri, dan mereka akan dimurnikan.+ Orang jahat akan berbuat jahat, dan tiada seorang pun antara mereka yang akan memahaminya. Hanya orang yang berpengertian akan memahaminya.+
11 “Sejak korban harian+ dirampas dan benda jijik yang membawa kemusnahan didirikan,+ 1,290 hari akan berlalu.
12 “Berbahagialah orang yang terus menanti-nanti* sehingga 1,335 hari berlalu!
13 “Tetapi Daniel, hendaklah kamu tetap teguh sampai akhir. Kamu akan berehat, tetapi kamu akan bangkit untuk menerima bahagianmu* pada akhir zaman.”+
Iaitu, Babilonia.
Atau mungkin, “Setelah keperluan mereka dijaga.”
Maksudnya “Tuhan ialah Hakimku.”
Maksudnya “Yehuwa Telah Menunjukkan Perkenan-Nya.”
Mungkin bermaksud “Siapakah seperti Tuhan?”
Maksudnya “Yehuwa Telah Membantu.”
Iaitu, nama-nama orang Babilon.
Atau “perkenan.”
Iaitu, sekumpulan orang yang mahir menilik dan membuat ramalan dengan melihat bintang.
Pada asalnya, Da 2:4b sehingga 7:28 ditulis dalam bahasa Aram.
Atau mungkin, “tempat pembuangan sampah; timbunan najis.”
Atau “imam yang mengamalkan ilmu sihir.”
Atau “berfikir.”
Lihat Lampiran B9.
Iaitu, dari pergelangan kaki sampai ke tapak kaki.
Atau “tanah liat yang telah dibakar.”
Proses memisahkan buah daripada tangkai.
Iaitu, tanah liat yang digunakan oleh tukang tembikar.
Iaitu, manusia biasa.
Harfiah, “60 hasta.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “6 hasta.”
Atau “dan memfitnah.”
Atau “sehingga sikapnya berubah.”
Atau mungkin, “tempat pembuangan sampah; timbunan najis.”
Iaitu, sekumpulan orang yang mahir menilik dan membuat ramalan dengan melihat bintang.
Harfiah, “penjaga.”
Harfiah, “penjaga.”
Harfiah, “penjaga.”
Atau “datuknya.”
Atau “raut wajahnya berubah.”
Iaitu, sekumpulan orang yang mahir menilik dan membuat ramalan dengan melihat bintang.
Nampaknya merujuk kepada bonda ratu.
Iaitu, sekumpulan orang yang mahir menilik dan membuat ramalan dengan melihat bintang.
Harfiah, “menguraikan simpul.”
Harfiah, “menguraikan simpul.”
Atau “cucunya.”
Perkataan “Peres” ialah bentuk tunggal bagi perkataan “Parsin” di ayat 25.
Atau mungkin, “dan tidak memanggil ahli-ahli muzik.”
Atau “memfitnah.”
Atau “bercakap besar.”
Atau “tanduk itu bercakap besar.”
Atau “bercakap besar.”
Iaitu, tiga waktu setengah.
Atau “istana.”
Atau “Susa.”
Atau “Terusan.”
Atau “arah matahari terbenam.”
Harfiah, “empat angin dari langit.”
Atau “ke arah matahari terbit.”
Atau “dan ke arah Perhiasan.”
Ungkapan “angkatan tentera” boleh merujuk kepada makhluk roh di syurga.
Atau “tempoh kemurkaan.”
Atau “yang pandai berkomplot.”
Atau “yang luar biasa.”
Atau mungkin, “dan membinasakan banyak orang tanpa memberikan amaran.”
Iaitu, kitab-kitab suci.
Harfiah, “aku memalingkan mukaku kepada.”
Perbuatan ini menunjukkan bahawa seseorang sedang berdukacita atau sedang menyesal atas dosa yang dilakukannya.
Atau “Engkau setia.”
Atau “engkau amat dikasihi; engkau dipandang tinggi.”
1 minggu melambangkan 7 tahun.
Harfiah, “untuk mengurapi Yang Suci atas Segala yang Suci.” Nampaknya merujuk kepada tempat tinggal Tuhan di syurga.
Atau “Dia yang Terurap.”
Harfiah, “Hidekel.”
Atau “kamu amat dikasihi; kamu dipandang tinggi.”
Maksudnya “Siapakah seperti Tuhan?”
Atau “yang mempunyai pangkat tertinggi.”
Atau “pada hari-hari terakhir.”
Atau “Kamu amat dikasihi; Kamu dipandang tinggi.”
Nampaknya merujuk kepada raja selatan.
Atau “patung berhala mereka yang diperbuat daripada logam.”
Nampaknya merujuk kepada raja utara.
Nampaknya merujuk kepada raja selatan.
Atau “Anak-anak perompak.”
Atau “di Perhiasan.”
Nampaknya merujuk kepada raja utara.
Dalam bahasa asal, ungkapan ini juga boleh merujuk kepada seseorang yang mendaftarkan orang lain untuk menyertai khidmat tentera.
Atau “yang dibenci.”
Atau mungkin, “datang tanpa amaran; datang secara tiba-tiba.”
Atau mungkin, “Tanpa amaran; Secara tiba-tiba.”
Atau “dihanyutkan.”
Atau “dan melemparkan kutukan.”
Atau “Tetapi sebagai raja.”
Atau mungkin, “yang dikenalinya.”
Atau “saling menolak.”
Atau “memasuki Perhiasan.”
Atau “dan bahagian terpenting.”
Atau “Habsyah.”
Atau “dari arah matahari terbit.”
Atau “di Perhiasan.”
Maksudnya “Siapakah seperti Tuhan?”
Harfiah, “yang tidur dalam tanah.”
Atau “akan mengkajinya [iaitu, kitab ini].”
Iaitu, tiga waktu setengah.
Atau “terus menunggu dengan penuh harapan.”
Atau “ganjaranmu.”