PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 15 1A-1044
  • Ezra

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Ezra
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Ezra

EZRA

1 Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores+ dari Persia, Yehuwa memastikan apa yang difirmankan oleh-Nya melalui Yeremia+ menjadi kenyataan. Yehuwa menggerakkan hati Raja Kores dari Persia untuk mengeluarkan satu perintah yang akan dicatat lalu diumumkan di seluruh kerajaannya.+ Perintah itu berbunyi:

2 “Inilah kata-kata Raja Kores dari Persia: ‘Yehuwa, Tuhan yang berkuasa atas syurga, telah menyerahkan semua kerajaan di bumi kepada beta.+ Dia juga memberikan tugas kepada beta untuk membina sebuah rumah untuk-Nya di Yehuda, iaitu di Yerusalem.+ 3 Siapakah dalam kalangan kamu yang merupakan umat-Nya? Biarlah orang itu pulang ke Yerusalem, yang terletak di Yehuda, dan semoga Tuhannya menyertainya. Binalah semula Rumah Yehuwa, Tuhan orang Israel, yang terletak di Yerusalem.* Sememangnya Dia ialah Tuhan yang benar. 4 Sesiapa sahaja yang pulang hendaklah dibantu oleh jiran-jirannya.+ Jiran-jirannya haruslah memberinya perak, emas, harta benda, ternakan, dan juga sumbangan sukarela untuk rumah Tuhan yang benar di Yerusalem.’”+

5 Selepas itu, ketua-ketua puak Yehuda dan Benyamin, para imam, dan orang Lewi, bersedia untuk pergi membina semula Rumah Yehuwa di Yerusalem. Mereka semua berbuat demikian kerana hati mereka telah digerakkan oleh Tuhan yang benar. 6 Semua jiran mereka membantu mereka dengan memberikan perkakas-perkakas perak dan emas, harta benda, ternakan, barang-barang berharga, dan juga sumbangan sukarela.

7 Raja Kores juga mengembalikan perkakas-perkakas Rumah Yehuwa. Dahulu perkakas-perkakas itu diambil oleh Nebukadnezar dari Yerusalem dan disimpan di dalam kuil tuhannya.+ 8 Raja Kores dari Persia menyuruh Mitredat, seorang bendahara, untuk mengeluarkan semua perkakas itu. Kemudian Mitredat membuat senarai perkakas itu lalu memberikannya kepada Sesbazar,*+ seorang pemimpin Yehuda.

9 Inilah senarai perkakas itu: 30 buah bakul emas, 1,000 buah bakul perak, 29 buah bakul yang lain, 10 30 buah mangkuk kecil daripada emas, 410 buah mangkuk kecil daripada perak, dan 1,000 perkakas lain. 11 Kesemua perkakas emas dan perak itu berjumlah 5,400 buah. Sesbazar membawa semua perkakas itu semasa para tawanan+ di Babilon kembali ke Yerusalem.

2 Berikut merupakan orang* yang kembali daripada pembuangan.+ Mereka telah dibawa sebagai tawanan ke Babilon+ oleh Raja Nebukadnezar, dan kini mereka dan keturunan mereka kembali ke kota masing-masing di Yerusalem dan Yehuda.+ 2 Mereka kembali bersama Zerubabel,+ Yeshua,+ Nehemia, Serayah, Reelaya, Mordekhai, Bilsan, Mispar, Bigwai, Rehum, dan Baanah.

Inilah bilangan lelaki Israel yang kembali daripada pembuangan:+ 3 Keluarga Paros, 2,172 orang; 4 keluarga Shefatiya, 372 orang; 5 keluarga Arah,+ 775 orang; 6 keluarga Pahat-moab+ (daripada keturunan Yeshua dan Yoab), 2,812 orang; 7 keluarga Elam,+ 1,254 orang; 8 keluarga Zatu,+ 945 orang; 9 keluarga Zakai, 760 orang; 10 keluarga Bani, 642 orang; 11 keluarga Bebai, 623 orang; 12 keluarga Azgad, 1,222 orang; 13 keluarga Adonikam, 666 orang; 14 keluarga Bigwai, 2,056 orang; 15 keluarga Adin, 454 orang; 16 keluarga Ater (daripada Hizkia), 98 orang; 17 keluarga Bezai, 323 orang; 18 keluarga Yora, 112 orang; 19 keluarga Hasum,+ 223 orang; 20 keluarga* Gibar, 95 orang; 21 penduduk Betlehem, 123 orang; 22 penduduk Netofa, 56 orang; 23 penduduk Anatot,+ 128 orang; 24 penduduk Azmawet, 42 orang; 25 penduduk Kiryat-yearim, Kefira, dan Beerot, 743 orang; 26 penduduk Rama+ dan Geba,+ 621 orang; 27 penduduk Mikhmas, 122 orang; 28 penduduk Bethel dan Ai,+ 223 orang; 29 penduduk Nebo,+ 52 orang; 30 penduduk* Magbis, 156 orang; 31 keluarga seorang lagi lelaki yang bernama Elam, 1,254 orang; 32 keluarga Harim, 320 orang; 33 penduduk Lod, Hadid, dan Ono, 725 orang; 34 penduduk Yerikho, 345 orang; 35 dan penduduk* Senaa, 3,630 orang.

36 Inilah bilangan imam+ yang kembali ke Yerusalem: Keluarga Yedaya+ (daripada keluarga Yeshua),+ 973 orang; 37 keluarga Imer,+ 1,052 orang; 38 keluarga Pasyhur,+ 1,247 orang; 39 dan keluarga Harim,+ 1,017 orang.

40 Inilah bilangan orang Lewi+ yang kembali ke Yerusalem: Keluarga Yeshua dan Kadmiel+ (daripada keluarga Hodawia), 74 orang. 41 Inilah bilangan penyanyi+ yang kembali ke Yerusalem: Keluarga Asaf,+ 128 orang. 42 Inilah bilangan* pengawal pintu gerbang+ yang kembali ke Yerusalem: Keluarga Salum, keluarga Ater, keluarga Talmon,+ keluarga Akub,+ keluarga Hatita, dan keluarga Sobai, semuanya berjumlah 139 orang.

43 Inilah hamba-hamba Rumah Tuhan*+ yang kembali ke Yerusalem: Keluarga Ziha, keluarga Hasufa, keluarga Tabaot, 44 keluarga Keros, keluarga Siaha, keluarga Padon, 45 keluarga Lebana, keluarga Hagaba, keluarga Akub, 46 keluarga Hagab, keluarga Salmai, keluarga Hanan, 47 keluarga Gidel, keluarga Gahar, keluarga Reaya, 48 keluarga Rezin, keluarga Nekoda, keluarga Gazam, 49 keluarga Uza, keluarga Paseah, keluarga Besai, 50 keluarga Asna, keluarga Meunim, keluarga Nefusim, 51 keluarga Bakbuk, keluarga Hakufa, keluarga Harhur, 52 keluarga Bazlut, keluarga Mehida, keluarga Harsa, 53 keluarga Barkos, keluarga Sisera, keluarga Temah, 54 keluarga Neziah, dan keluarga Hatifa.

55 Inilah keluarga hamba-hamba Salomo yang kembali ke Yerusalem: Keluarga Sotai, keluarga Soferet, keluarga Peruda,+ 56 keluarga Yaalah, keluarga Darkon, keluarga Gidel, 57 keluarga Shefatiya, keluarga Hatil, keluarga Pokheret-hazebaim, dan keluarga Ami.

58 Semua hamba Rumah Tuhan dan semua keluarga hamba-hamba Salomo berjumlah 392 orang.

59 Orang yang datang dari Tel-melah, Tel-harsa, Kerub, Adon, dan Imer telah kembali ke Yerusalem. Tetapi mereka tidak dapat membuktikan bahawa puak dan asal usul mereka daripada keturunan Israel. Mereka terdiri daripada+ 60 keluarga Delaya, keluarga Tobia, dan keluarga Nekoda. Mereka semua berjumlah 652 orang. 61 Inilah keturunan imam yang kembali ke Yerusalem: Keluarga Habaya, keluarga Hakoz,+ dan keluarga Barzilai. (Barzilai telah berkahwin dengan salah seorang anak perempuan Barzilai+ dari Gilead, dan mengambil nama keluarga isterinya.) 62 Tetapi mereka semua tidak dapat mencari catatan yang dapat membuktikan salasilah keluarga mereka. Oleh itu, mereka tidak layak berkhidmat sebagai imam.*+ 63 Gabenor* memberitahu mereka bahawa selepas seorang imam meminta petunjuk Tuhan dengan menggunakan Urim dan Tumim,*+ barulah mereka boleh makan makanan yang dianggap suci.+

64 Mereka semua* berjumlah 42,360 orang.+ 65 Tambahan lagi, mereka mempunyai 7,337 orang hamba lelaki dan wanita, dan 200 orang penyanyi lelaki dan wanita. 66 Mereka juga mempunyai 736 ekor kuda, 245 ekor baghal, 67 435 ekor unta, dan 6,720 ekor keldai.

68 Apabila mereka tiba di tapak Rumah Yehuwa di Yerusalem, beberapa orang ketua puak mempersembahkan sumbangan sukarela+ untuk kerja pembinaan semula rumah Tuhan yang benar di tapak asalnya.+ 69 Mereka memasukkan sumbangan ke dalam tabung pembinaan mengikut kemampuan masing-masing. Mereka telah memberikan kira-kira 512 kilogram emas,* 2,850 kilogram perak,*+ dan 100 helai jubah imam. 70 Para imam, orang Lewi, para penyanyi, penjaga pintu gerbang, hamba-hamba Rumah Tuhan, dan orang lain tinggal di kota masing-masing. Demikianlah semua orang Israel tinggal di kota-kota mereka.+

3 Pada bulan ketujuh,+ apabila orang Israel sudah tinggal di kota masing-masing, mereka berkumpul di Yerusalem dengan satu matlamat. 2 Yeshua+ anak Yehozadak dan imam-imam yang lain berserta Zerubabel+ anak Sealtiel+ dan saudara-saudaranya mula bekerja untuk membina semula mazbah Tuhan orang Israel. Dengan demikian, mereka dapat mempersembahkan korban bakar di atas mazbah itu, selaras dengan Hukum yang disampaikan oleh Musa,+ hamba Tuhan yang benar.

3 Biarpun mereka takut terhadap penduduk di negeri-negeri jiran, mereka masih mendirikan mazbah itu di tapak asalnya.+ Setelah itu, mereka mula mempersembahkan korban bakar kepada Yehuwa di atas mazbah itu pada waktu pagi dan waktu petang.+ 4 Mereka juga menyambut Perayaan Pondok Daun, sesuai dengan apa yang tertulis dalam Hukum,+ dan setiap hari, mereka mempersembahkan korban bakar menurut jumlah yang telah ditetapkan.+ 5 Sejak itu, mereka terus mempersembahkan korban bakar harian,+ dan korban-korban untuk perayaan bulan baharu+ dan semua perayaan suci yang lain untuk Yehuwa.+ Selain itu, mereka mempersembahkan sumbangan sukarela+ yang diberikan oleh semua orang kepada Yehuwa. 6 Mereka mula mempersembahkan korban bakar kepada Yehuwa sejak hari pertama bulan ketujuh,+ meskipun asas Rumah Yehuwa belum dibina.

7 Mereka memberikan wang kepada para pemotong batu+ dan tukang-tukang mahir yang lain.+ Mereka juga memberikan minyak, makanan, dan minuman kepada orang Sidon dan orang Tirus yang membawa kayu-kayu sedar dari Lebanon ke Yope+ melalui jalan laut. Kayu-kayu itu dibawa atas perintah Raja Kores dari Persia.+

8 Pada tahun kedua bulan kedua setelah orang Israel kembali ke Yerusalem, mereka mula membina semula rumah Tuhan yang benar. Zerubabel anak Sealtiel, Yeshua anak Yehozadak, dan saudara-saudara mereka yang lain, iaitu para imam dan orang Lewi, serta semua orang yang pulang ke Yerusalem daripada pembuangan+ memulakan kerja pembinaan itu. Mereka melantik orang Lewi yang berusia 20 tahun dan ke atas untuk menyelia kerja pembinaan Rumah Yehuwa. 9 Oleh itu, Yeshua, anak-anaknya dan saudara-saudaranya, dan Kadmiel dan anak-anaknya, daripada keturunan Yehuda,* berganding bahu untuk menyelia kerja pembinaan rumah Tuhan yang benar. Mereka dibantu oleh keturunan Henadad,+ anak-anak mereka, dan saudara mereka, yang juga merupakan orang Lewi.

10 Setelah pekerja-pekerja selesai meletakkan asas Rumah Yehuwa,+ para imam memakai jubah rasmi mereka dan membawa trompet.+ Orang Lewi daripada keturunan Asaf pula mengambil simbal. Mereka semua berdiri dan memuji Yehuwa, seperti yang telah diperintahkan oleh Daud, raja Israel.+ 11 Mereka mula bernyanyi secara bergilir-gilir+ untuk memuji dan mengucapkan syukur kepada Yehuwa. Mereka bernyanyi, “Kerana Dia baik, dan kasih setia-Nya kekal abadi.”+ Kemudian semua orang memuji Yehuwa dengan suara yang kuat kerana asas Rumah Yehuwa selesai dibina. 12 Ramai imam, orang Lewi, dan ketua puak, iaitu orang tua yang pernah melihat Rumah Tuhan yang dahulu,+ menangis dengan kuat apabila mereka nampak asas rumah itu dibina semula. Banyak orang yang berada di situ juga bersorak-sorai dengan penuh sukacita.+ 13 Mereka tidak dapat membezakan bunyi sorakan sukacita daripada suara tangisan kerana suara mereka begitu lantang sehingga dapat didengar dari jauh.

4 Musuh orang Yehuda dan Benyamin+ mendapat tahu bahawa orang yang telah pulang daripada pembuangan+ sedang membina semula Rumah Yehuwa, Tuhan orang Israel. 2 Maka mereka segera pergi berjumpa dengan Zerubabel dan ketua-ketua puak. Mereka berkata, “Benarkanlah kami membina rumah ini bersama-sama kamu. Seperti kamu, kami juga menyembah Tuhan kamu+ dan mempersembahkan korban kepada-Nya sejak zaman Raja Esar-hadon+ dari Assyria. Dialah yang telah membawa kami ke sini.”+ 3 Namun, Zerubabel dan Yeshua serta ketua-ketua puak Israel yang lain berkata, “Kamu tidak boleh menyertai kami untuk membina sebuah rumah untuk Tuhan kami.+ Kami sendiri akan membinanya untuk Yehuwa, Tuhan orang Israel, seperti yang telah diperintahkan oleh Raja Kores dari Persia.”+

4 Orang di negeri itu terus menjatuhkan semangat orang Yahudi dan membuat mereka tawar hati, supaya pembinaan itu dihentikan.+ 5 Mereka juga mengupah penasihat-penasihat untuk menggagalkan rancangan orang Yahudi.+ Mereka berbuat demikian sepanjang pemerintahan Raja Kores dari Persia, bahkan sampai masa pemerintahan Raja Darius+ dari Persia. 6 Pada awal pemerintahan Raja Ahasweros, mereka menulis sepucuk surat yang mengandungi tuduhan terhadap penduduk Yehuda dan Yerusalem. 7 Pada masa pemerintahan Raja Artahsasta dari Persia pula, Bislam, Mitredat, Tabeel, dan rakan-rakannya, menulis sepucuk surat kepada Raja Artahsasta. Mereka menterjemahkan surat itu ke dalam bahasa Aram+ lalu mencatatkannya dalam huruf Aram.*

8 * Rehum, seorang pegawai tinggi kerajaan, dan Simsai, seorang jurutulis, menulis sepucuk surat kepada Artahsasta. Surat itu mengandungi tuduhan terhadap orang Yerusalem. Isi surat itu adalah seperti yang berikut: 9 (Surat ini daripada Rehum, iaitu pegawai tinggi kerajaan, Simsai, iaitu jurutulis, dan rakan-rakan mereka, iaitu para hakim, pembantu pegawai, para setiausaha, orang Erekh,+ orang Babilon, dan penduduk Susa,+ iaitu orang Elam.+ 10 Selain itu, surat ini juga daripada bangsa-bangsa yang telah ditawan oleh Asenapar yang agung dan mulia lalu dipindahkan ke kota-kota Samaria,+ dan daripada orang lain yang tinggal di wilayah seberang Sungai Efrat.* 11 Inilah kandungan* surat yang dikirimkan oleh mereka.)

“Kepada Raja Artahsasta, surat ini daripada hamba-hamba tuanku dari wilayah seberang Sungai Efrat. 12 Hendaklah tuanku maklum bahawa orang Yahudi yang meninggalkan tuanku telah datang ke tempat kami. Mereka sudah tiba di Yerusalem dan sedang membina semula kota yang derhaka dan jahat itu. Mereka hampir selesai membina tembok kota itu+ dan memperkukuh asas kota itu. 13 Kami ingin memberitahu tuanku bahawa jika kota itu selesai dibina semula dan temboknya selesai dibangunkan, mereka tidak akan membayar cukai.*+ Oleh itu, pendapatan kerajaan* akan berkurangan. 14 Kami juga memaklumkan hal ini kepada tuanku kerana pendapatan kami datangnya dari istana* dan kami tidak mahu kepentingan tuanku diketepikan. 15 Jika tuanku memeriksa buku sejarah nenek moyang tuanku,+ tuanku akan mendapati bahawa penduduk kota ini ialah orang yang derhaka dan sering merugikan para pemerintah dan wilayah-wilayah pemerintahan tuanku. Sejak dahulu lagi, terdapat para pemberontak di dalam kota ini, dan itulah sebabnya kota ini dimusnahkan.+ 16 Hamba sekalian ingin memaklumkan kepada tuanku bahawa jika kota ini selesai dibina semula dan temboknya siap dibangunkan, tuanku pasti tidak akan berkuasa lagi atas wilayah di seberang Sungai Efrat.”+

17 Raja membalas surat Rehum, iaitu pegawai tinggi kerajaan, Simsai, iaitu jurutulis, dan rakan-rakan mereka yang tinggal di Samaria, serta orang lain yang tinggal di seberang Sungai Efrat. Inilah kandungan surat itu:

“Salam sejahtera! 18 Surat rasmi yang tuan-tuan kirim sudah dibacakan dengan jelas* di hadapan beta. 19 Beta telah memerintah agar perkara itu disiasat. Memang benar bahawa sejak dahulu penduduk di kota itu menentang pemerintah-pemerintahnya, dan terdapat pemberontak dan perusuh di kota itu.+ 20 Dahulu raja-raja yang perkasa pernah memerintah Yerusalem dan seluruh wilayah di seberang Sungai Efrat, dan mereka juga memungut cukai.* 21 Oleh itu, keluarkanlah perintah agar semua orang itu berhenti membina semula kota itu sehingga beta memberikan perintah yang selanjutnya. 22 Janganlah abaikan hal ini dan bertindaklah supaya kerajaan beta tidak menanggung kerugian yang lebih besar.”+

23 Selepas salinan surat rasmi dari Raja Artahsasta dibacakan di hadapan Rehum, Simsai, dan rakan-rakan mereka, mereka segera berangkat ke Yerusalem untuk memaksa orang Yahudi berhenti bekerja. 24 Maka pembinaan Rumah Tuhan di Yerusalem tergendala sehingga tahun kedua pemerintahan Raja Darius dari Persia.+

5 Nabi Hagai+ dan Zakharia+ cucu Ido+ menyampaikan nubuat kepada orang Yahudi yang berada di Yehuda dan Yerusalem. Mereka bernubuat dengan nama Tuhan orang Israel, iaitu Tuhan yang menyertai mereka. 2 Pada waktu itu, Zerubabel+ anak Sealtiel dan Yeshua+ anak Yehozadak meneruskan pembinaan Rumah Tuhan+ di Yerusalem. Nabi-nabi Tuhan menyertai mereka dan menolong mereka.+ 3 Pada masa itu juga, Tatenai, iaitu gabenor di wilayah seberang Sungai Efrat,* bersama Syetar-bozenai dan rakan-rakan mereka datang berjumpa dengan orang Yahudi. Mereka bertanya kepada orang Yahudi, “Siapakah yang memerintah kamu untuk membina rumah ini dan menyelesaikan pembinaannya?”* 4 Mereka juga bertanya, “Siapakah nama-nama orang yang membina rumah ini?” 5 Oleh sebab Tuhan memperhatikan para pemimpin orang Yahudi,+ Tatenai dan rakan-rakannya tidak menghalang kerja orang Yahudi sebelum menghantar laporan kepada Darius dan mendapat surat rasmi daripadanya berkenaan hal ini.

6 Tatenai, iaitu gabenor di wilayah seberang Sungai Efrat, dan Syetar-bozenai serta rakan-rakannya, iaitu pembantu pegawai di wilayah seberang Sungai Efrat, mengirim surat kepada Raja Darius. 7 Mereka menghantar laporan kepadanya, dan inilah apa yang dicatatkan oleh mereka dalam surat itu:

“Kepada Raja Darius:

“Salam sejahtera! 8 Hendaklah tuanku maklum bahawa hamba sekalian telah pergi ke Rumah Tuhan yang agung di wilayah Yehuda. Hamba sekalian mendapati bahawa rumah itu sedang dibina dengan batu-batu yang besar, dan temboknya dilapisi dengan kayu. Kerja pembinaan rumah itu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berjalan dengan lancar. 9 Kemudian kami bertanya kepada para pemimpin mereka, ‘Siapakah yang memerintah kamu untuk membina rumah ini dan menyelesaikan pembinaannya?’*+ 10 Kami juga menanyakan nama mereka supaya kami dapat mencatatkan nama mereka dan memberitahu tuanku siapa yang memimpin mereka.

11 “Inilah jawapan mereka: ‘Kami ialah hamba-hamba kepada Tuhan yang berkuasa atas syurga dan bumi. Bertahun-tahun yang lalu, seorang raja Israel yang agung telah membina dan menyiapkan rumah ini. Sekarang kami sedang membina semula rumah ini+ 12 kerana Raja Nebukadnezar+ dari Babilon, iaitu orang Kasdim, telah memusnahkan rumah ini.+ Dia juga telah menawan penduduk di sini dan membawa mereka ke Babilon.+ Hal ini berlaku kerana nenek moyang kami telah membangkitkan kemurkaan Tuhan yang berkuasa atas syurga.+ 13 Tetapi pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, raja Babilon, baginda memberikan perintah untuk membina semula rumah ini.+ 14 Lagipun, Raja Kores telah mengeluarkan perkakas emas dan perkakas perak dari kuil di Babilon,+ lalu menyerahkannya kepada Sesbazar,*+ iaitu gabenor yang dilantiknya.+ Perkakas-perkakas itu telah diambil oleh Nebukadnezar dari Rumah Tuhan di Yerusalem. 15 Kores berkata kepada Sesbazar, “Bawalah semua perkakas ini ke Yerusalem, dan simpanlah semuanya di dalam Rumah Tuhan. Binalah semula Rumah Tuhan di tempat asalnya.”+ 16 Oleh itu, Sesbazar pergi ke Yerusalem dan meletakkan asas Rumah Tuhan di sana.+ Sejak masa itu, kerja pembinaan rumah itu terus dijalankan, tetapi belum selesai sehingga sekarang.’+

17 “Jika tuanku berkenan, suruhlah orang untuk memeriksa perbendaharaan* kerajaan di Babilon, agar tuanku dapat mengetahui sama ada Raja Kores benar-benar telah mengeluarkan perintah untuk membina semula Rumah Tuhan di Yerusalem atau tidak.+ Kemudian, beritahulah hamba sekalian keputusan tuanku berkenaan hal ini.”

6 Selepas itu, Raja Darius memberikan perintah supaya orang memeriksa arkib,* tempat harta-harta bernilai disimpan di Babilon. 2 Mereka menjumpai sebuah gulungan di kota berkubu di Ekbatana, yang terletak di wilayah Media. Berikut merupakan apa yang tercatat dalam gulungan itu:

3 “Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores, Raja Kores mengeluarkan perintah berkenaan Rumah Tuhan di Yerusalem:+ ‘Hendaklah rumah itu dibina semula sebagai tempat orang mempersembahkan korban. Letakkanlah asas rumah itu, dan rumah itu haruslah berukuran 60 hasta* tinggi dan 60 hasta lebar.+ 4 Temboknya haruslah dibina dengan tiga lapis batu besar dan satu lapis kayu.+ Segala perbelanjaannya hendaklah dibayar dengan wang daripada perbendaharaan diraja.+ 5 Selain itu, kembalikanlah semua perkakas emas dan perak yang telah dibawa oleh Nebukadnezar dari Rumah Tuhan di Yerusalem ke Babilon.+ Semua perkakas itu haruslah dikembalikan ke tempatnya di dalam Rumah Tuhan.’+

6 “Wahai Tatenai, gabenor di wilayah seberang Sungai Efrat,* dan Syetar-bozenai serta rakan-rakan kamu, iaitu pembantu pegawai di wilayah seberang Sungai Efrat,+ jangan ganggu orang Israel di sana 7 dan jangan halang kerja pembinaan Rumah Tuhan. Biarlah gabenor orang Yahudi dan para pemimpin mereka membina semula Rumah Tuhan di tempat asalnya. 8 Selain itu, beta mengeluarkan perintah kepada kamu untuk membantu para pemimpin orang Yahudi membina semula Rumah Tuhan dengan cara berikut: Berilah mereka wang daripada perbendaharaan diraja,+ iaitu daripada cukai yang telah dikumpulkan dari wilayah seberang Sungai Efrat, untuk menampung perbelanjaan mereka. Buatlah demikian dengan segera agar kerja mereka tidak tergendala.+ 9 Tiap-tiap hari, berilah para imam di Yerusalem apa sahaja yang diminta oleh mereka, sama ada lembu jantan muda,+ bebiri jantan,+ atau anak bebiri+ sebagai korban bakar untuk dipersembahkan kepada Tuhan di syurga, ataupun gandum,+ garam,+ wain,+ dan minyak.+ 10 Dengan demikian, mereka dapat terus mempersembahkan korban yang menyenangkan hati Tuhan yang berkuasa atas syurga dan mendoakan kesejahteraan raja dan anak-anaknya.+ 11 Beta juga mengeluarkan perintah bahawa jika seseorang melanggar perintah ini, salah satu tiang rumahnya akan dicabut lalu dia akan digantungkan pada tiang tersebut, dan rumahnya akan dijadikan tandas awam.* 12 Tuhan telah meletakkan nama-Nya secara kekal di Rumah-Nya.+ Semoga Dia menyingkirkan mana-mana raja atau orang yang melanggar perintah ini dan yang mencuba memusnahkan Rumah Tuhan di Yerusalem. Beta, Raja Darius, telah mengeluarkan perintah ini. Laksanakanlah perintah ini dengan segera.”

13 Tatenai, iaitu gabenor di wilayah seberang Sungai Efrat, dan Syetar-bozenai+ serta rakan-rakan mereka pun segera melaksanakan perintah Raja Darius. 14 Maka para pemimpin orang Yahudi dapat meneruskan kerja pembinaan dengan baik.+ Mereka digalakkan oleh nubuat Nabi Hagai+ dan Zakharia+ cucu Ido. Mereka menyelesaikan pembinaan rumah itu menurut perintah Tuhan orang Israel+ dan menurut perintah Kores,+ Darius,+ dan Raja Artahsasta+ dari Persia. 15 Kerja pembinaan Rumah Tuhan selesai pada hari ketiga bulan Adar,* pada tahun keenam pemerintahan Raja Darius.

16 Kemudian orang Israel, para imam, orang Lewi,+ dan semua orang yang kembali daripada pembuangan mengadakan upacara perasmian Rumah Tuhan dengan penuh sukacita. 17 Untuk upacara perasmian itu, mereka mempersembahkan 100 ekor lembu jantan, 200 ekor biri-biri jantan, dan 400 ekor anak biri-biri. Mereka juga mempersembahkan 12 ekor kambing jantan sebagai korban untuk memohon pengampunan dosa bagi seluruh Israel; seekor bagi setiap suku Israel.+ 18 Mereka mengagihkan tugas-tugas di Rumah Tuhan kepada para imam dan orang Lewi sesuai dengan kumpulan yang telah ditetapkan dalam kitab Musa.+

19 Mereka yang telah kembali daripada pembuangan menyambut Perayaan Paska* pada hari ke-14 bulan pertama.+ 20 Semua imam dan orang Lewi menyucikan diri,+ dan tiada seorang pun yang terkecuali. Setelah mereka semua suci, mereka menyembelih korban Paska untuk orang yang kembali daripada pembuangan, untuk imam-imam yang lain, dan untuk diri mereka. 21 Kemudian orang Israel yang kembali daripada pembuangan makan korban itu. Korban itu juga dimakan oleh orang lain yang telah menolak perbuatan najis bangsa-bangsa negeri lain dan menyertai orang Israel untuk menyembah Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 22 Selain itu, mereka semua menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi+ dengan gembira selama tujuh hari. Yehuwa telah menyebabkan mereka bersukacita dan membuat raja Assyria berkenan kepada mereka+ dan menyokong mereka dalam kerja pembinaan rumah Tuhan yang benar, iaitu Tuhan orang Israel.

7 Semasa pemerintahan Raja Artahsasta+ dari Persia, Ezra*+ telah kembali. Ezra ialah anak Serayah,+ Serayah ialah anak Azarya, Azarya ialah anak Hilkia,+ 2 Hilkia ialah anak Salum, Salum ialah anak Zadok, Zadok ialah anak Ahitub, 3 Ahitub ialah anak Amaria, Amaria ialah anak Azarya,+ Azarya ialah anak Merayot, 4 Merayot ialah anak Zerahya, Zerahya ialah anak Uzi, Uzi ialah anak Buki, 5 Buki ialah anak Abisua, Abisua ialah anak Pinehas,+ Pinehas ialah anak Eleazar,+ dan Eleazar ialah anak Harun,+ seorang ketua imam. 6 Ezra inilah yang meninggalkan Babilon. Dia ialah seorang jurutulis* yang sangat mahir dalam Hukum Musa,+ iaitu hukum yang telah dikurniakan oleh Yehuwa, Tuhan orang Israel. Raja mengabulkan segala permintaan Ezra kerana Yehuwa, Tuhannya, menyertainya.

7 Sebilangan orang Israel, imam, orang Lewi,+ penyanyi,+ penjaga pintu gerbang,+ dan hamba-hamba Rumah Tuhan*+ pulang ke Yerusalem pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Artahsasta. 8 Ezra tiba di Yerusalem pada bulan kelima tahun ketujuh pemerintahan Raja Artahsasta. 9 Dia berangkat dari Babilon pada hari pertama bulan pertama, dan tiba di Yerusalem pada hari pertama bulan kelima, kerana Tuhannya menyertainya.+ 10 Ezra telah mempersiapkan hatinya* untuk mempelajari Hukum Yehuwa. Dia melakukan apa yang terkandung dalam Hukum itu,+ dan mengajarkan peraturan dan perintah dalamnya kepada orang Israel.+

11 Inilah salinan surat yang diberikan oleh Raja Artahsasta kepada Ezra, seorang imam dan jurutulis* yang pakar dalam hukum dan perintah Yehuwa yang diberikan kepada orang Israel:

12 * “Daripada Artahsasta,+ raja yang agung, kepada Ezra, seorang imam dan jurutulis* Hukum Tuhan yang berkuasa atas syurga: Salam sejahtera. 13 Beta telah mengeluarkan perintah bahawa imam-imam, orang Lewi, dan semua orang Israel yang lain di seluruh kerajaan beta yang ingin pulang ke Yerusalem, dibenarkan pergi bersama dengan kamu.+ 14 Beta dan tujuh orang penasihat beta mengutus kamu untuk menyiasat sama ada orang Yehuda dan Yerusalem benar-benar mematuhi Hukum Tuhan yang telah diamanahkan kepadamu atau tidak. 15 Bawalah perak dan emas yang beta dan para penasihat beta berikan dengan sukarela untuk dipersembahkan kepada Tuhan orang Israel, yang tinggal di Yerusalem. 16 Bawalah juga semua perak dan emas yang telah kamu terima dari semua wilayah Babilon, dan semua hadiah yang diberikan oleh rakyat dan para imam secara sukarela untuk Rumah Tuhan di Yerusalem.+ 17 Gunakanlah wang ini dengan segera untuk membeli lembu jantan,+ biri-biri jantan,+ dan anak biri-biri,+ berserta bijirin+ dan wain yang dipersembahkan+ bersama binatang-binatang ini. Persembahkanlah semua korban ini di atas mazbah Rumah Tuhan kamu di Yerusalem.

18 “Kamu dan saudara-saudaramu boleh menggunakan perak dan emas yang selebihnya untuk apa sahaja yang kamu anggap baik, asalkan hal itu sesuai dengan kehendak Tuhan kamu. 19 Bawalah semua perkakas yang telah diberikan kepadamu untuk keperluan ibadat di Rumah Tuhanmu, dan letakkanlah semuanya di dalam Rumah Tuhanmu di Yerusalem.+ 20 Selain itu, jika kamu perlu membiayai perbelanjaan lain bagi Rumah Tuhan, kamu boleh menggunakan wang daripada perbendaharaan raja.+

21 “Beta, Raja Artahsasta, telah memerintahkan supaya segala permintaan Ezra,+ iaitu imam dan jurutulis* Hukum Tuhan yang berkuasa atas syurga, dipenuhi dengan segera oleh semua bendahara di wilayah seberang Sungai Efrat.* 22 Jumlah yang boleh diberikan kepada Ezra boleh sampai sebanyak ini: 3,420 kilogram* perak, 100 buah bekas* gandum, 2,200 liter* wain,+ 2,200 liter minyak,+ dan garam+ seberapa banyak yang diperlukan. 23 Laksanakanlah segala perintah Tuhan yang berkuasa atas syurga bagi Rumah-Nya dengan bersemangat, supaya Tuhan yang berkuasa atas syurga+ tidak murka terhadap rakyat beta ataupun anak-anak beta.+ 24 Kamu tidak boleh memungut cukai*+ daripada para imam dan orang Lewi, pemuzik,+ penjaga pintu gerbang, hamba-hamba Rumah Tuhan,+ dan para pekerja yang lain di rumah itu.

25 “Wahai Ezra, hendaklah kamu menggunakan kebijaksanaan yang telah diberikan oleh Tuhan kepadamu untuk melantik pemerintah kota dan hakim yang akan menghakimi penduduk di wilayah seberang Sungai Efrat, iaitu semua orang yang mengenal hukum-hukum Tuhan kamu. Selain itu, jika ada sesiapa dalam kalangan mereka yang belum mengetahui hukum itu, ajarlah mereka.+ 26 Sesiapa yang tidak mematuhi Hukum Tuhan kamu dan perintah raja akan dihukum dengan serta-merta. Hukumannya sama ada dibunuh, dibuang negeri, didenda, atau dipenjarakan.”

27 Pujilah Yehuwa, Tuhan nenek moyang kita! Dia telah menggerakkan hati raja untuk memperindah Rumah Yehuwa yang terletak di Yerusalem.+ 28 Dia telah menunjukkan kasih setia-Nya kepadaku di hadapan raja,+ para penasihatnya,+ dan semua pegawainya yang gagah. Aku menjadi berani* kerana Yehuwa, Tuhanku, menyertaiku. Maka aku mengumpulkan para pemimpin Israel untuk pulang ke Yerusalem bersamaku.

8 Berikut ialah senarai keluarga ketua-ketua puak yang telah berangkat bersama aku dari Babilon pada zaman pemerintahan Raja Artahsasta:+ 2 Daripada keturunan Pinehas,+ Gersom; daripada keturunan Itamar,+ Daniel; daripada keturunan Daud, Hatus; 3 daripada keturunan Sekania (iaitu daripada keturunan Paros), Zakharia bersama 150 orang lelaki; 4 daripada keturunan Pahat-moab,+ Elieho-enai anak Zerahya bersama 200 orang lelaki; 5 daripada keturunan Zatu,+ Sekania anak Yahaziel bersama 300 orang lelaki; 6 daripada keturunan Adin,+ Ebed anak Yonatan bersama 50 orang lelaki; 7 daripada keturunan Elam,+ Yeshaya anak Atalya bersama 70 orang lelaki; 8 daripada keturunan Shefatiya,+ Zebadia anak Mikhael bersama 80 orang lelaki; 9 daripada keturunan Yoab, Obaja anak Yehiel bersama 218 orang lelaki; 10 daripada keturunan Bani, Selomit anak Yosifiah bersama 160 orang lelaki; 11 daripada keturunan Bebai,+ Zakharia anak Bebai bersama 28 orang lelaki; 12 daripada keturunan Azgad,+ Yohanan anak Hakatan bersama 110 orang lelaki; 13 daripada keturunan Adonikam,+ tiga orang yang paling akhir pulang, iaitu Elifelet, Yeiel, dan Semaya, bersama 60 orang lelaki; 14 dan daripada keturunan Bigwai,+ Utai dan Zabbud bersama 70 orang lelaki.

15 Aku mengumpulkan mereka dekat sungai yang mengalir ke Ahawa,+ dan kami berkhemah di situ selama tiga hari. Aku memerhatikan semua orang dan para imam di situ, tetapi aku mendapati bahawa tidak ada orang Lewi dalam kalangan mereka. 16 Maka aku memanggil para pemimpin, iaitu Eliezer, Ariel, Semaya, Elnatan, Yarib, Elnatan, Natan, Zakharia, dan Mesulam. Aku juga memanggil dua orang guru, iaitu Yoyarib dan Elnatan. 17 Kemudian aku memerintahkan mereka untuk berjumpa dengan Ido, iaitu seorang pemimpin di Kasifia. Aku menyuruh mereka untuk memberitahu Ido dan saudara-saudaranya di Kasifia agar mengutus beberapa orang untuk bertugas di Rumah Tuhan. (Saudara-saudara Ido merupakan hamba-hamba Rumah Tuhan.*) 18 Memandangkan Tuhan menyertai kami, mereka mengutus seorang lelaki bijaksana daripada keturunan Mahli+ yang bernama Syerebia.+ (Mahli ialah cucu Lewi, dan Lewi ialah anak Israel.) Syerebia datang bersama anak-anaknya dan saudara-saudara lelakinya. Mereka semua berjumlah 18 orang. 19 Selain itu, mereka juga mengutus Hasabia dan Yeshaya daripada keturunan Merari,+ bersama saudara-saudara Yeshaya dan anak-anak mereka. Mereka semua berjumlah 20 orang. 20 Di samping itu, terdapat 220 orang hamba Rumah Tuhan yang telah didaftarkan nama. Mereka telah ditugaskan oleh Daud dan para pegawainya untuk membantu orang Lewi.

21 Selepas itu, di Sungai Ahawa, aku mengumumkan bahawa kami harus berpuasa dan merendahkan diri di hadapan Tuhan. Kami memohon agar Tuhan memimpin kami dalam perjalanan, dan melindungi kami, anak-anak kami, dan segala milik kami. 22 Aku segan meminta raja mengutus askar dan pasukan berkudanya untuk melindungi kami daripada musuh sepanjang perjalanan. Hal ini demikian kerana kami pernah berkata kepada raja, “Tuhan menyertai sesiapa sahaja yang mencari-Nya,+ tetapi Dia murka terhadap orang yang meninggalkan-Nya dan akan menggunakan kekuatan-Nya untuk menentang mereka.”+ 23 Itulah sebabnya kami berpuasa dan memohon bantuan daripada Tuhan, dan ternyata Tuhan telah mendengar rayuan kami.+

24 Aku memilih 12 orang ketua imam, iaitu Syerebia dan Hasabia+ serta 10 orang saudara mereka. 25 Selepas itu, aku menimbang perak, emas, dan perkakas-perkakas yang telah disumbangkan oleh raja, para penasihatnya, para pemimpinnya, dan semua orang Israel di situ. Semua sumbangan itu diberikan untuk kegunaan Rumah Tuhan, dan aku memberikan semuanya kepada ketua-ketua imam itu.+ 26 Inilah jumlah sumbangan yang telah aku timbang dan serahkan kepada mereka: Kira-kira 22 tan* perak, 100 buah perkakas perak yang beratnya kira-kira 68 kilogram,* 3,420 kilogram* emas, 27 20 buah mangkuk kecil emas (setiap mangkuk bernilai 1,000 keping syiling emas*), dan 2 buah perkakas daripada tembaga murni yang berkilau, yang nilainya sama dengan emas.

28 Kemudian aku berkata kepada mereka, “Kamu dikhaskan* bagi Yehuwa.+ Demikian juga dengan perkakas-perkakas ini. Emas dan perak ini pula ialah sumbangan sukarela untuk Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu. 29 Oleh itu, jagalah barang-barang ini dengan cermat sehingga kamu sampai di bilik-bilik* Rumah Yehuwa di Yerusalem.+ Kemudian timbanglah semua barang ini lalu serahkanlah semuanya kepada ketua imam, orang Lewi, dan ketua puak Israel.” 30 Maka para imam dan orang Lewi mengambil emas, perak, dan perkakas-perkakas yang telah ditimbang itu, untuk dibawa ke Rumah Tuhan kami di Yerusalem.

31 Akhirnya, kami berangkat ke Yerusalem dari Sungai Ahawa+ pada hari ke-12 bulan pertama.+ Tuhan menyertai kami sepanjang perjalanan, dan Dia menyelamatkan kami daripada musuh-musuh dan serangan hendap. 32 Kami pun tiba di Yerusalem,+ lalu tinggal di sana selama tiga hari. 33 Pada hari yang keempat, kami pergi ke Rumah Tuhan+ dan menimbang semua perak, emas, dan perkakas-perkakas, lalu menyerahkannya kepada Imam Meremot+ anak Uria. Dia disertai Eleazar anak Pinehas dan dua orang Lewi, iaitu Yozabad+ anak Yeshua dan Noadia anak Binui.+ 34 Semua barang itu dikira dan ditimbang, dan berat barang-barang itu dicatatkan. 35 Orang yang pulang daripada pembuangan di negeri asing mempersembahkan korban bakar kepada Tuhan orang Israel. Mereka mempersembahkan 12 ekor lembu jantan+ bagi semua orang Israel, 96 ekor biri-biri jantan,+ 77 ekor anak biri-biri jantan, dan 12 ekor kambing jantan+ sebagai korban untuk memohon pengampunan dosa. Mereka mempersembahkan semuanya sebagai korban bakar kepada Yehuwa.+

36 Kemudian kami menyampaikan perintah raja+ kepada ketua gabenor wilayah* dan kepada para gabenor wilayah seberang Sungai Efrat.*+ Mereka pun menyokong rakyat dan memberikan apa yang diperlukan untuk rumah Tuhan yang benar.+

9 Selepas semua ini dilaksanakan, para pemimpin datang kepada aku dan berkata, “Orang Israel, para imam, dan orang Lewi tidak memisahkan diri mereka daripada bangsa yang tinggal di negeri-negeri di sekeliling kita,+ iaitu bangsa Kanaan, Het, Feris, Yebus, Ammon, Moab, Mesir,+ dan Amori.+ Mereka juga melakukan perbuatan jijik bangsa-bangsa itu. 2 Selain itu, mereka dan anak-anak lelaki mereka berkahwin dengan anak perempuan bangsa-bangsa itu,+ sehingga mereka, iaitu keturunan yang suci,+ bercampur dengan bangsa-bangsa itu.+ Malahan para pemimpin dan pembesar merekalah yang mula-mula sekali melakukan perbuatan yang tidak setia ini.”

3 Sebaik sahaja aku mendengar kata-kata ini, aku mengoyakkan pakaianku dan mencabut sedikit rambut dan janggutku lalu duduk terpegun. 4 Disebabkan dosa yang telah dilakukan oleh orang yang pulang daripada pembuangan, semua orang yang menghormati kata-kata Tuhan berkumpul di sekelilingku. Aku duduk terpegun di sana sehingga waktu petang, iaitu sehingga waktu mempersembahkan korban bijirin.+

5 Apabila tiba waktunya untuk mempersembahkan korban bijirin,+ aku bangun dari tempat yang aku duduk dengan sedih hati. Dengan pakaianku yang koyak rabak, aku berlutut dan mengangkat tangan kepada Yehuwa, Tuhanku, 6 lalu berdoa, “Ya Tuhan, aku malu dan segan untuk mengangkat kepalaku di hadapan-Mu. Ya Tuhanku, dosa kami bertimbun-timbun di atas kepala kami sehingga mencapai langit.+ 7 Kami telah banyak berdosa sejak zaman nenek moyang kami sehingga hari ini.+ Oleh sebab kami berdosa, Engkau telah menyerahkan kami, raja kami, dan para imam kami ke dalam tangan raja-raja bangsa lain. Kami dibunuh dengan pedang,+ ditangkap,+ dirompak,+ dan dihina, seperti hari ini.+ 8 Tetapi sekarang, untuk seketika, ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau berkenan kepada kami. Engkau membebaskan beberapa orang dalam kalangan kami dan memberi kami tempat yang selamat di tempat suci-Mu.+ Ya Tuhan kami, Engkau membuat mata kami bersinar-sinar dan memberi kami sedikit kelegaan meskipun kami diperhamba. 9 Walaupun kami masih hamba,+ Engkau tidak membiarkan kami terus diperhamba. Sebaliknya Engkau menunjukkan kasih setia-Mu kepada kami di hadapan raja-raja Persia.+ Engkau memberi kami kelegaan supaya kami dapat membangun semula Rumah Tuhan kami+ yang telah runtuh itu. Engkau juga memberi kami perlindungan* di Yehuda dan Yerusalem.

10 “Tetapi sekarang, ya Tuhan, setelah semua hal ini berlaku, apa lagi yang dapat kami katakan? Kami telah mengabaikan hukum-Mu, 11 yang telah Engkau berikan kepada kami menerusi nabi-nabi-Mu. Engkau telah berfirman, ‘Tanah yang akan kamu duduki ialah tanah yang najis kerana penduduknya telah mencemarkan tanah itu dengan melakukan perkara-perkara yang jijik. Seluruh tanah itu sarat dengan kenajisan mereka.+ 12 Oleh itu, jangan mengahwinkan anak perempuan kamu dengan anak lelaki mereka, dan jangan mengahwinkan anak lelaki kamu dengan anak perempuan mereka.+ Jangan sekali-kali membantu mereka hidup damai dan makmur.+ Dengan demikian, barulah kamu dapat bertambah kuat, menikmati hasil baik tanah itu, dan mewariskan tanah itu kepada anak-anak kamu buat selama-lamanya.’ 13 Sekarang semua hal ini menimpa kami kerana kami berbuat jahat dan kerana dosa kami sangat besar. Tetapi, ya Tuhan kami, hukuman yang kami terima jauh lebih ringan daripada apa yang setimpal dengan perbuatan kami.+ Malahan Engkau telah membebaskan kami.+ 14 Oleh itu, bagaimana mungkin kami melanggar hukum-Mu sekali lagi lalu menjalin ikatan perkahwinan* dengan bangsa-bangsa yang melakukan perbuatan jijik?+ Jika kami berbuat demikian, tidakkah Engkau akan murka lalu membinasakan kami sama sekali sehingga tiada seorang pun yang dibiarkan hidup? 15 Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, kami menghadap-Mu sebagai orang yang berdosa. Sebenarnya kami tidak berhak untuk menghadap-Mu setelah apa yang telah kami lakukan. Tetapi Engkau adil.+ Itulah sebabnya beberapa orang dalam kalangan kami masih hidup sehingga hari ini.”+

10 Ezra berdoa+ dan membuat pengakuan dosa sambil menangis dan bersujud di hadapan rumah Tuhan yang benar. Sementara itu, sekumpulan besar orang Israel yang terdiri daripada lelaki, wanita, dan kanak-kanak berkumpul di sekelilingnya. Mereka juga menangis dengan kuat. 2 Kemudian Sekania anak Yehiel+ daripada keturunan Elam+ berkata kepada Ezra, “Kami tidak setia kepada Tuhan kerana kami telah mengahwini wanita bangsa asing yang tinggal di negeri-negeri di sekeliling kami.+ Walaupun demikian, masih ada harapan bagi Israel. 3 Marilah kita membuat perjanjian dengan Tuhan+ bahawa kita akan mengusir semua isteri berbangsa asing itu dan anak-anak mereka. Kita akan mematuhi perintah Yehuwa dan mengikut nasihat orang yang menghormati perintah-Nya.+ Marilah kita mematuhi Hukum Tuhan. 4 Wahai Ezra, bangunlah. Ini memang tanggungjawabmu, dan kami akan menyokongmu. Tabahkanlah hatimu dan bertindaklah!”

5 Oleh itu, Ezra bangun dan menyuruh semua ketua imam, orang Lewi, dan orang Israel untuk bersumpah bahawa mereka akan melakukan apa yang telah dikatakan itu.+ Maka mereka pun mengangkat sumpah. 6 Setelah itu, Ezra bangun dan meninggalkan rumah Tuhan yang benar lalu pergi ke bilik* Yehohanan anak Eliasib. Di sana, dia tidak makan atau minum apa-apa pun kerana dia sangat sedih atas ketidaksetiaan orang yang pulang daripada pembuangan.+

7 Kemudian mereka mengumumkan di seluruh Yehuda dan Yerusalem bahawa semua orang yang telah pulang daripada pembuangan harus berkumpul di Yerusalem. 8 Menurut perintah para pembesar dan pemimpin, sesiapa yang tidak datang dalam masa tiga hari, semua hartanya akan dirampas, dan dia tidak lagi dianggap sebagai anggota masyarakat Israel.+ 9 Oleh itu, dalam masa tiga hari sahaja, iaitu pada hari ke-20 bulan kesembilan, semua penduduk Yehuda dan Benyamin berkumpul di Yerusalem. Mereka semua duduk di halaman rumah Tuhan yang benar sambil menggigil kerana hujan lebat dan juga kerana perhimpunan itu sangat penting.

10 Imam Ezra berdiri lalu berkata kepada mereka, “Kamu tidak setia kerana kamu telah berkahwin dengan wanita-wanita asing.+ Perbuatan kamu ini telah menambah dosa Israel. 11 Oleh itu, akuilah dosa kamu kepada Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, dan lakukanlah kehendak-Nya. Pisahkanlah diri kamu daripada bangsa-bangsa asing di sekeliling kamu, dan daripada isteri kamu yang berbangsa asing.”+ 12 Semua orang yang berkumpul di situ menjawab dengan suara yang kuat, “Kami pasti melakukan apa sahaja yang kamu katakan. 13 Tetapi ada banyak orang di sini, lagipun sekarang musim hujan dan kami tidak tahan berdiri di luar. Tambahan lagi, hal ini bukannya dapat diselesaikan dalam masa satu atau dua hari kerana kami semua telah memberontak dan melakukan dosa yang berat. 14 Jadi benarkanlah para pembesar kami mewakili kami semua+ untuk menguruskan hal ini. Kemudian pada waktu yang telah ditetapkan, semua penduduk kota yang telah berkahwin dengan wanita asing akan datang ke sini bersama para pemimpin dan hakim kota mereka. Dengan demikian, Tuhan tidak akan murka lagi terhadap kami kerana perkara ini.”

15 Yonatan anak Asael dan Yahzeya anak Tikwa membantah cadangan itu. Mereka disokong oleh dua orang Lewi, iaitu Mesulam dan Sabetai.+ 16 Tetapi semua orang yang kembali daripada pembuangan bersetuju untuk melakukan apa yang telah dicadangkan. Maka Imam Ezra dan semua ketua puak yang namanya telah disenaraikan, berkumpul pada hari pertama bulan ke-10 untuk menyiasat perkara itu. 17 Pada hari pertama bulan pertama, mereka selesai membuat penyiasatan terhadap semua lelaki yang berkahwin dengan wanita berbangsa asing. 18 Mereka mendapati bahawa beberapa orang daripada keturunan imam telah berkahwin dengan wanita berbangsa asing.+ Mereka ialah Maaseya, Eliezer, Yarib, dan Gedalia. Mereka berasal daripada keturunan Yeshua+ anak Yehozadak dan saudara-saudara lelakinya. 19 Tetapi mereka berjanji untuk mengusir isteri mereka, dan memandangkan mereka telah berdosa, setiap orang akan mempersembahkan seekor biri-biri jantan untuk dosa mereka.+

20 Inilah senarai orang yang telah berdosa juga: Hanani dan Zebadia, daripada keturunan Imer;+ 21 Maaseya, Elia, Semaya, Yehiel, dan Uzia, daripada keturunan Harim;+ 22 dan Elioenai, Maaseya, Ismael, Netanel, Yozabad, dan Eleasa, daripada keturunan Pasyhur.+ 23 Selain itu, terdapat Yozabad, Simei, Kelaya (iaitu, Kelita), Petahia, Yehuda, dan Eliezer, daripada keturunan Lewi; 24 Eliasib daripada kumpulan penyanyi; dan Salum, Telem, dan Uri, daripada kumpulan penjaga pintu gerbang.

25 Daripada kalangan orang Israel: Ramia, Izia, Malkia, Miyamin, Eleazar, Malkia, dan Benaya, daripada keturunan Paros;+ 26 Matania, Zakharia, Yehiel,+ Abdi, Yeremot, dan Elia, daripada keturunan Elam;+ 27 Elioenai, Eliasib, Matania, Yeremot, Zabad, dan Aziza, daripada keturunan Zatu;+ 28 Yehohanan, Hanania, Zabai, dan Atlai, daripada keturunan Bebai;+ 29 Mesulam, Malukh, Adaya, Yasub, Sheal, dan Yeremot, daripada keturunan Bani; 30 Adna, Kelal, Benaya, Maaseya, Matania, Bezaleel, Binui, dan Manasye, daripada keturunan Pahat-moab;+ 31 daripada keturunan Harim,+ terdapat Eliezer, Yisiya, Malkia,+ Semaya, Shimeon, 32 Benyamin, Malukh, dan Shemariah; 33 daripada keturunan Hasum,+ terdapat Matenai, Matatah, Zabad, Elifelet, Yeremai, Manasye, dan Simei; 34 daripada keturunan Bani, terdapat Maadai, Amram, Uel, 35 Benaya, Bedeya, Keluhi, 36 Wania, Meremot, Eliasib, 37 Matania, Matenai, dan Yaasu; 38 daripada keturunan Binui, terdapat Simei, 39 Syelemia, Natan, Adaya, 40 Makhnadebai, Sasai, Syarai, 41 Azarel, Syelemia, Shemariah, 42 Salum, Amaria, dan Yusuf; 43 dan dari Nebo, terdapat Yeiel, Matitia, Zabad, Zebina, Yadai, Yoel, dan Benaya. 44 Semua lelaki ini telah berkahwin dengan wanita berbangsa asing,+ tetapi mereka mengusir anak isteri mereka itu.+

Atau mungkin, “Binalah semula Rumah Yehuwa. Dialah Tuhan orang Israel yang berada di Yerusalem.”

Mungkin merujuk kepada Zerubabel di Ez 2:2; 3:8.

Mungkin merujuk kepada orang yang tinggal di wilayah Babilon atau Yehuda.

Atau mungkin, “penduduk.”

Atau mungkin, “keluarga.”

Atau mungkin, “keluarga.”

Atau “bilangan anak-anak.”

Atau “Inilah orang Netinim.” Harfiah, “orang yang diberikan.”

Atau “mereka tidak boleh menjadi imam kerana dianggap najis.”

Atau “Tirshata,” iaitu gelaran gabenor wilayah dalam kerajaan Persia.

Lihat Kamus.

Atau “Seluruh sidang.” Lihat Kamus.

Harfiah, “61,000 drakma emas.” Merujuk kepada darik emas Persia yang beratnya 8.4 g. Tidak sama dengan drakma di Kitab Yunani. Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “5,000 mina perak.” Lihat Lampiran B14.

Yehuda ini ialah orang Lewi. Dia dipanggil “Hodawia” di Ez 2:40 dan “Hodewa” di Ne 7:43.

Atau mungkin, “Surat itu ditulis dalam bahasa Aram lalu diterjemahkan.”

Pada asalnya, Ez 4:8 sehingga 6:18 ditulis dalam bahasa Aram.

Wilayah ini merujuk kepada kawasan-kawasan di sebelah barat Sungai Efrat.

Atau “salinan.”

Dalam bahasa asal, cukai yang dimaksudkan di sini merangkumi tiga jenis cukai, iaitu cukai kepala, cukai barang, dan cukai yang dikenakan atas pengguna jalan.

Harfiah, “raja-raja.”

Harfiah, “kerana kami makan garam dari istana.”

Atau mungkin, “sudah diterjemahkan dan dibacakan.”

Lihat nota kaki bagi Ez 4:13.

Lihat nota kaki bagi Ez 4:10.

Atau “dan mendirikan tiang-tiangnya?”

Atau “dan mendirikan tiang-tiangnya?”

Mungkin merujuk kepada Zerubabel di Ez 2:2; 3:8.

Atau “arkib.”

Harfiah, “rumah (penyimpanan) catatan.”

Lihat Lampiran B14.

Lihat nota kaki bagi Ez 4:10.

Atau mungkin, “tempat pembuangan sampah; timbunan najis.”

Lihat Lampiran B15.

Lihat Kamus.

Maksudnya “Bantuan.”

Atau “penyalin hukum Tuhan.”

Atau “dan orang Netinim.” Harfiah, “orang yang diberikan.”

Atau “telah bertekad dalam hatinya.”

Atau “penyalin hukum Tuhan.”

Pada asalnya, Ez 7:12 sehingga 7:26 ditulis dalam bahasa Aram.

Atau “penyalin.”

Atau “penyalin.”

Lihat nota kaki bagi Ez 4:10.

Harfiah, “100 talenta.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “100 kor.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “100 bath.” Lihat Lampiran B14.

Lihat nota kaki bagi Ez 4:13.

Atau “menguatkan diri.”

Atau “merupakan orang Netinim.” Harfiah, “orang yang diberikan.”

Harfiah, “650 talenta.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “2 talenta.”

Harfiah, “100 talenta.”

Harfiah, “1,000 darik,” iaitu duit syiling emas Persia. Lihat Lampiran B14.

Atau “disucikan.”

Atau “bilik-bilik makan.”

Dalam bahasa asal, gelaran ini bermaksud “pelindung kerajaan,” dan merujuk kepada gabenor empayar Persia.

Lihat nota kaki bagi Ez 4:10.

Atau “memberi kami sebuah tembok batu.”

Atau “lalu kahwin campur.”

Atau “bilik makan.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi