KEJADIAN
1 Pada mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi.+
2 Ketika itu, bumi kosong dan tidak berbentuk. Kegelapan meliputi permukaan air yang dalam,*+ dan kuasa suci Tuhan*+ bergerak di atas permukaan air.+
3 Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah ada cahaya.” Maka cahaya pun ada.+ 4 Tuhan berpuas hati melihat hal itu, dan Dia telah memisahkan cahaya daripada kegelapan. 5 Tuhan memanggil cahaya itu “Siang” dan kegelapan itu “Malam.”+ Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang pertama.
6 Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah ada ruang+ untuk membahagikan air, dan biarlah air dipisahkan menjadi dua.”+ 7 Maka Tuhan membuat ruang yang memisahkan air yang ada di bawah ruang itu dengan air yang ada di atas ruang itu.+ Itulah yang terjadi. 8 Tuhan memanggil ruang itu “Langit.” Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang kedua.
9 Lalu Tuhan berfirman, “Hendaklah air yang ada di bawah langit dikumpulkan ke satu tempat supaya tanah yang kering kelihatan.”+ Itulah yang terjadi. 10 Tuhan memanggil tanah yang kering itu “Darat,”+ dan air yang dikumpulkan itu “Laut.”+ Tuhan berpuas hati melihat hal itu.+ 11 Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah tanah mengeluarkan rumput dan tumbuhan yang menghasilkan biji benih. Hendaklah tanah mengeluarkan pokok yang berbuah mengikut jenisnya, dan hendaklah buah itu mengandungi biji.” Itulah yang terjadi. 12 Tanah mula mengeluarkan rumput, tumbuhan yang menghasilkan biji benih,+ dan pokok yang menghasilkan buah yang berbiji, semua menurut jenisnya. Tuhan berpuas hati melihat hal itu. 13 Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang ketiga.
14 Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah ada benda-benda terang+ di langit untuk memisahkan siang daripada malam,+ dan untuk menandakan musim, hari, dan tahun.+ 15 Benda-benda terang itu akan bersinar di langit untuk menerangi bumi.” Itulah yang terjadi. 16 Tuhan membuat dua benda terang yang besar. Yang lebih besar menguasai siang,+ dan yang lebih kecil menguasai malam. Selain itu, Dia membuat bintang-bintang.+ 17 Tuhan menempatkan benda-benda terang itu di langit untuk menerangi bumi, 18 untuk menguasai siang dan malam, dan untuk memisahkan cahaya daripada kegelapan.+ Tuhan berpuas hati melihat hal itu. 19 Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang keempat.
20 Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah air dipenuhi dengan makhluk* hidup, dan hendaklah makhluk terbang* berterbangan di atas bumi melintasi langit.”+ 21 Tuhan menciptakan makhluk laut yang besar dan semua makhluk yang hidup di dalam air menurut jenisnya, dan setiap makhluk terbang menurut jenisnya. Tuhan berpuas hati melihat hal itu. 22 Tuhan memberkati semua makhluk itu dan berfirman, “Membiaklah, jadilah banyak, dan penuhilah laut.+ Hendaklah makhluk terbang bertambah banyak di bumi.” 23 Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang kelima.
24 Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah bumi mengeluarkan makhluk hidup menurut jenisnya: Binatang jinak, binatang menjalar,* dan binatang liar menurut jenisnya.”+ Itulah yang terjadi. 25 Tuhan menciptakan binatang liar di bumi menurut jenisnya, binatang jinak menurut jenisnya, dan semua binatang menjalar menurut jenisnya. Tuhan berpuas hati melihat hal itu.
26 Kemudian Tuhan berfirman, “Marilah kita+ membuat manusia seperti kita,+ menurut gambaran kita.+ Hendaklah mereka menguasai ikan di laut, makhluk yang berterbangan di langit, binatang jinak, dan semua binatang yang menjalar di bumi. Hendaklah mereka menguasai seluruh bumi.”+ 27 Maka Tuhan menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. Demikianlah lelaki dan perempuan diciptakan menurut gambaran Tuhan.+ 28 Lalu Tuhan memberkati mereka dan berfirman kepada mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak. Penuhilah bumi,+ dan hendaklah kamu menguasainya.+ Hendaklah kamu menguasai+ ikan di laut, makhluk yang berterbangan di langit, dan semua makhluk hidup di bumi.”
29 Lalu Tuhan berfirman, “Aku memberikan setiap tumbuhan* yang ada di seluruh bumi dan setiap pokok yang menghasilkan buah* sebagai makanan untuk kamu.+ 30 Aku juga memberikan tumbuhan hijau sebagai makanan untuk semua binatang liar di bumi, semua makhluk yang berterbangan di langit, dan semua binatang hidup* yang bergerak di bumi.”+ Itulah yang terjadi.
31 Selepas itu, Tuhan melihat semua ciptaan-Nya dan Dia sangat berpuas hati.+ Malam dan pagi pun berlalu, itulah hari yang keenam.
2 Maka selesailah penciptaan segala sesuatu di langit dan di bumi.+ 2 Menjelang hari ketujuh, pekerjaan Tuhan sudah selesai, dan pada hari ketujuh Dia mula berehat daripada semua kerja yang dilakukan-Nya.+ 3 Kemudian Tuhan memberkati hari ketujuh dan menjadikannya hari yang suci, kerana pada hari itu Tuhan mula berehat setelah menciptakan segala sesuatu menurut tujuan-Nya.
4 Inilah sejarah tentang penciptaan langit dan bumi, iaitu pada hari Tuhan Yehuwa* menciptakan langit dan bumi.+
5 Bumi belum ada semak dan belum ada tumbuh-tumbuhan yang bercambah, kerana Tuhan Yehuwa belum menurunkan hujan ke bumi dan belum ada orang yang mengusahakan tanah. 6 Tetapi Tuhan menyebabkan kabus naik dari bumi dan membasahi seluruh permukaan tanah.
7 Kemudian Tuhan Yehuwa mengambil tanah dan membentuk seorang lelaki,+ lalu menghembuskan nafas kehidupan ke dalam lubang hidungnya.+ Demikianlah lelaki itu menjadi makhluk* yang hidup.+ 8 Selanjutnya, Tuhan Yehuwa membuat sebuah taman di Eden,+ di sebelah timur. Di situ, Dia menempatkan lelaki yang sudah diciptakan oleh-Nya.+ 9 Lalu Tuhan Yehuwa menumbuhkan segala jenis pokok yang cantik, yang buahnya baik untuk dimakan. Tuhan juga menumbuhkan pokok kehidupan+ di tengah-tengah taman itu, dan pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat.+
10 Ada sebatang sungai yang mengalir dari Eden dan mengairi taman itu, dan dari sana, sungai itu terbahagi menjadi empat batang sungai. 11 Sungai yang pertama ialah Pison, yang mengelilingi seluruh tanah Hawila, iaitu tempat yang ada emas. 12 Emas di situ bermutu tinggi. Di situ juga terdapat getah wangi dan batu oniks. 13 Sungai yang kedua ialah Gihon, yang mengalir mengelilingi seluruh tanah Kus. 14 Sungai yang ketiga ialah Hidekel,*+ yang mengalir di sebelah timur Assyria.+ Sungai yang keempat ialah Efrat.+
15 Tuhan Yehuwa menempatkan lelaki itu di Taman Eden untuk mengusahakan dan menjaga taman itu.+ 16 Tuhan Yehuwa juga memberikan perintah berikut kepada lelaki itu: “Engkau boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini sehingga puas,+ 17 tetapi engkau dilarang makan buah daripada pokok pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang jahat, kerana jika engkau memakannya, pada hari itu juga engkau akan mati.”+
18 Kemudian Tuhan Yehuwa berfirman, “Tidak baik lelaki itu hidup seorang diri. Aku akan memberinya seorang teman yang sesuai untuk menolongnya.”+ 19 Pada masa itu, Tuhan Yehuwa masih membentuk setiap binatang liar dan setiap makhluk terbang di langit daripada tanah. Lalu Dia membawa semua binatang kepada lelaki itu untuk mengetahui nama yang akan diberikannya. Demikianlah semua makhluk itu mendapat nama masing-masing, sesuai dengan apa yang disebutkan lelaki itu.+ 20 Lelaki itu pun menamakan semua binatang jinak dan makhluk terbang di langit, serta semua binatang liar. Tetapi dia tidak mempunyai teman yang sesuai untuk menolongnya. 21 Maka Tuhan Yehuwa menyebabkan lelaki itu tidur dengan nyenyak. Sementara dia terlena, Tuhan mengambil salah satu tulang rusuknya lalu menutup semula dagingnya. 22 Daripada tulang rusuk yang diambil itu, Tuhan Yehuwa membentuk seorang wanita lalu membawanya kepada lelaki itu.+
23 Kemudian lelaki itu berkata,
“Inilah dia, tulang daripada tulangku,
Dan daging daripada dagingku.
Dia akan dipanggil Wanita,
Kerana dia berasal daripada lelaki.”+
24 Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama* isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.+ 25 Lelaki dan isterinya itu masih telanjang,+ tetapi mereka tidak berasa malu.
3 Ular+ ialah binatang yang paling berhati-hati* antara semua binatang liar yang diciptakan oleh Tuhan Yehuwa. Ular berkata kepada wanita itu, “Benarkah Tuhan melarang kamu makan buah daripada semua pokok di taman ini?”+ 2 Wanita itu berkata kepada ular, “Kami boleh makan buah daripada semua pokok di taman ini,+ 3 kecuali pokok yang ada di tengah-tengah taman.+ Tuhan telah berfirman, ‘Kamu dilarang memakan buahnya ataupun menyentuhnya. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan mati.’” 4 Ular memberitahu wanita itu, “Kamu pasti tidak akan mati.+ 5 Tuhan berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu memakan buah itu, pada hari itu juga mata kamu akan terbuka.* Kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.”+
6 Lalu wanita itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya baik untuk dimakan. Ya, pokok itu memang indah di matanya. Jadi dia mengambil buah itu dan mula memakannya.+ Apabila dia bersama-sama suaminya, dia juga memberikan buah itu kepadanya, dan suaminya pun memakannya.+ 7 Sesudah itu, mata mereka terbuka, dan mereka menyedari bahawa mereka telanjang. Oleh itu, mereka menjahit daun-daun pokok ara dan menutupi tubuh mereka.+
8 Pada petang itu, semasa angin bertiup, mereka mendengar suara Tuhan Yehuwa ketika Dia berjalan di taman itu. Mereka tidak ingin dilihat oleh Tuhan Yehuwa, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok di taman itu. 9 Tuhan Yehuwa memanggil lelaki itu berkali-kali, “Di manakah engkau?” 10 Akhirnya lelaki itu berkata, “Aku dengar suara-Mu di taman, tetapi aku takut kerana aku telanjang, jadi aku bersembunyi.” 11 Tuhan berfirman, “Siapakah yang memberitahu engkau bahawa engkau telanjang?+ Adakah engkau makan buah daripada pokok yang Aku larang engkau makan?”+ 12 Lelaki itu berkata, “Wanita yang Engkau jadikan temanku memberikan buah daripada pokok itu kepadaku, jadi aku pun makan.” 13 Kemudian Tuhan Yehuwa berfirman kepada wanita itu, “Apakah yang sudah engkau lakukan?” Wanita itu menjawab, “Ular itu menipu aku, jadi aku pun makan.”+
14 Kemudian Tuhan Yehuwa berfirman kepada ular itu,+ “Terkutuklah engkau kerana perbuatanmu itu. Engkaulah yang terkutuk antara semua binatang, baik yang jinak mahupun yang liar. Dengan perutmu, engkau akan menjalar, dan engkau akan makan tanah seumur hidupmu. 15 Aku akan membuat engkau+ dan wanita itu+ bermusuhan,+ dan Aku akan membuat keturunanmu+ dan keturunannya+ bermusuhan. Dia* akan meremukkan kepalamu,+ dan engkau akan mencederakan tumitnya.”+
16 Tuhan berfirman kepada wanita itu, “Engkau akan mengalami kesakitan yang besar semasa hamil, dan engkau akan mengalami kesakitan semasa bersalin. Engkau akan sangat menginginkan suamimu, dan dia akan menguasaimu.”
17 Tuhan berfirman kepada Adam,* “Walaupun Aku telah memberikan perintah ini:+ ‘Engkau dilarang makan buah itu,’ engkau telah mendengar kata-kata isterimu, lalu makan buah yang Aku larang engkau makan. Maka terkutuklah tanah akibat perbuatanmu itu.+ Dengan bersusah payah,* engkau harus mengusahakan tanah ini seumur hidupmu dan memakan hasilnya.+ 18 Tanah akan menghasilkan semak berduri dan lalang, dan engkau mesti makan tumbuh-tumbuhan yang ada di tanah. 19 Engkau akan berpeluh-peluh untuk mencari makanan sehinggalah engkau kembali ke tanah, kerana engkau dibentuk daripada tanah.+ Engkau ini tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.”+
20 Setelah itu, Adam menamakan isterinya Hawa,* kerana isterinya akan menjadi ibu semua manusia.+ 21 Kemudian Tuhan Yehuwa membuat pakaian panjang daripada kulit binatang untuk Adam dan isterinya, lalu mereka memakai pakaian itu.+ 22 Kemudian Tuhan Yehuwa berfirman, “Manusia itu telah menjadi seperti kita dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.+ Sekarang, manusia itu tidak diizinkan mengambil buah daripada pokok kehidupan,+ memakannya, dan hidup selama-lamanya.” 23 Maka Tuhan Yehuwa mengusir mereka* keluar dari Taman Eden+ untuk mengusahakan tanah, yang daripadanya manusia dibentuk.+ 24 Setelah Dia mengusir mereka,* Dia menempatkan kerub-kerub*+ di sebelah timur Taman Eden dan sebilah pedang berapi yang berpusing-pusing untuk menjaga jalan menuju ke pokok kehidupan.
4 Adam bersetubuh dengan isterinya Hawa, lalu isterinya hamil.+ Apabila Hawa melahirkan Kain,+ dia berkata, “Aku telah melahirkan seorang anak lelaki dengan bantuan Yehuwa.” 2 Kemudian dia melahirkan Habel, iaitu adik lelaki Kain.+
Habel menjadi gembala, tetapi Kain menjadi petani. 3 Beberapa waktu kemudian, Kain membawa sebahagian daripada hasil tanamannya untuk dipersembahkan kepada Yehuwa. 4 Tetapi Habel mempersembahkan beberapa ekor anak bebiri sulung daripada kawanannya,+ termasuklah bahagian yang berlemak. Yehuwa berasa senang hati dengan Habel dan persembahannya,+ 5 tetapi Dia tidak senang hati dengan Kain dan persembahannya. Maka Kain berasa marah dan kecewa. 6 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Kain, “Mengapakah engkau begitu marah dan kecewa? 7 Jika engkau berubah dan berbuat baik, bukankah Aku akan berasa senang hati dengan engkau? Namun jika engkau tidak berubah dan tidak berbuat baik, dosa sedang menunggu di pintu dan menanti-nantikan peluang untuk menguasai engkau. Tetapi engkau harus berusaha untuk mengalahkannya.”
8 Kemudian Kain berkata kepada adiknya Habel, “Mari kita pergi ke padang.” Apabila mereka berada di padang, Kain menyerang Habel lalu membunuhnya.+ 9 Setelah itu, Yehuwa berfirman kepada Kain, “Di manakah Habel, adikmu?” Dia menjawab, “Aku tidak tahu. Aku bukan penjaganya.” 10 Maka Tuhan berfirman kepadanya, “Apakah yang sudah engkau lakukan? Dengarlah! Darah adikmu berseru kepada-Ku dari tanah seperti suara yang berseru meminta keadilan.+ 11 Engkau telah menumpahkan darah adikmu, dan tanah sudah membuka mulutnya untuk menerima darah adikmu. Oleh itu, engkau akan dikutuk dan diusir dari sini.+ 12 Jika engkau bercucuk tanam, tanah tidak akan memberikan banyak hasil. Engkau akan menjadi pelarian yang merayau-rayau di bumi.” 13 Kemudian Kain berkata kepada Yehuwa, “Hukuman itu terlalu berat bagiku. Aku tidak dapat menanggungnya. 14 Engkau mengusir aku dari sini dan dari hadapan-Mu pada hari ini. Aku akan menjadi pelarian yang merayau-rayau di bumi, dan aku akan dibunuh oleh sesiapa sahaja yang menjumpai aku.” 15 Maka Yehuwa berfirman kepada Kain, “Atas sebab itu, sesiapa yang membunuh engkau akan ditimpa balasan sebanyak tujuh kali.”
Kemudian Yehuwa menetapkan suatu tanda untuk Kain supaya sesiapa sahaja yang menjumpainya tidak membunuhnya. 16 Kemudian Kain pergi dari hadapan Yehuwa dan menetap di tanah Pembuangan,* di sebelah timur Eden.+
17 Kain bersetubuh dengan isterinya,+ dan isterinya hamil lalu melahirkan Henokh. Kemudian Kain mula membina sebuah kota, dan menamakan kota itu menurut nama anak lelakinya, Henokh. 18 Henokh kemudiannya mendapat seorang anak lelaki yang bernama Irad. Irad ialah bapa Mehuyael, Mehuyael ialah bapa Metusael, dan Metusael ialah bapa Lamekh.
19 Lamekh mempunyai dua orang isteri. Yang pertama bernama Adah dan yang kedua bernama Zilah. 20 Adah melahirkan Yabal. Yabal ialah orang pertama yang tinggal di dalam khemah dan memelihara ternakan. 21 Adiknya bernama Yubal. Yubal ialah orang pertama yang memainkan kecapi dan seruling. 22 Zilah melahirkan Tubal-kain, pembuat segala macam alat tembaga dan besi. Kakak* Tubal-kain bernama Naama. 23 Lamekh menggubah puisi berikut untuk Adah dan Zilah, iaitu isteri-isterinya:
“Dengarlah suaraku, hai isteri-isteriku;
Dengarlah kata-kataku:
Seorang lelaki telah kubunuh kerana dia melukai aku,
Ya, seorang pemuda telah kubunuh kerana dia memukul aku.
24 Jika orang yang membunuh Kain harus ditimpa balasan sebanyak 7 kali,+
Orang yang membunuhku harus ditimpa balasan sebanyak 77 kali.”
25 Adam bersetubuh lagi dengan isterinya. Maka isterinya melahirkan seorang anak lelaki dan menamakannya Set.*+ Dia berkata, “Tuhan telah memberi aku seorang anak* untuk menggantikan Habel yang dibunuh oleh Kain.”+ 26 Set pun mendapat seorang anak lelaki dan menamakannya Enos.+ Pada waktu itulah orang mula menyeru nama Yehuwa.*
5 Inilah catatan tentang Adam. Semasa Tuhan menciptakan Adam, Dia menjadikan Adam menurut gambaran-Nya sendiri.+ 2 Tuhan menciptakan lelaki dan perempuan.+ Semasa mereka diciptakan,+ Dia memberkati mereka dan memanggil mereka “Manusia.”
3 Ketika Adam berumur 130 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki yang mirip dengannya, lalu dia menamakan anak itu Set.+ 4 Selepas kelahiran Set, Adam juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 800 tahun lagi. 5 Jadi, Adam hidup selama 930 tahun, lalu dia meninggal.+
6 Ketika Set berumur 105 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Enos.+ 7 Selepas kelahiran Enos, Set juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 807 tahun lagi. 8 Jadi, Set hidup selama 912 tahun, lalu dia meninggal.
9 Ketika Enos berumur 90 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Kenan.10 Selepas kelahiran Kenan, Enos juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 815 tahun lagi. 11 Jadi, Enos hidup selama 905 tahun, lalu dia meninggal.
12 Ketika Kenan berumur 70 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Mahalalel.+ 13 Selepas kelahiran Mahalalel, Kenan juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 840 tahun lagi. 14 Jadi, Kenan hidup selama 910 tahun, lalu dia meninggal.
15 Ketika Mahalalel berumur 65 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Yared.+ 16 Selepas kelahiran Yared, Mahalalel juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 830 tahun lagi. 17 Jadi, Mahalalel hidup selama 895 tahun, lalu dia meninggal.
18 Ketika Yared berumur 162 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Henokh.+ 19 Setelah kelahiran Henokh, Yared juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 800 tahun lagi. 20 Jadi, Yared hidup selama 962 tahun, lalu dia meninggal.
21 Ketika Henokh berumur 65 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Metuselah.+ 22 Setelah kelahiran Metuselah, Henokh terus hidup akrab* dengan Tuhan yang benar. Dia juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 300 tahun lagi. 23 Jadi, Henokh hidup selama 365 tahun. 24 Henokh terus hidup akrab* dengan Tuhan yang benar.+ Kemudian tiada orang melihatnya lagi kerana Tuhan mengambilnya.+
25 Ketika Metuselah berumur 187 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Lamekh.+ 26 Setelah kelahiran Lamekh, Metuselah juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 782 tahun lagi. 27 Jadi, Metuselah hidup selama 969 tahun, lalu dia meninggal.
28 Ketika Lamekh berumur 182 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki. 29 Dia menamakan anak itu Nuh,*+ dan berkata, “Kita sudah bekerja keras dan tangan kita sudah sakit kerana mengusahakan tanah yang dikutuk oleh Yehuwa.+ Anak inilah yang akan membawa kelegaan kepada kita.” 30 Setelah kelahiran Nuh, Lamekh juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 595 tahun lagi. 31 Jadi, Lamekh hidup selama 777 tahun, lalu dia meninggal.
32 Selepas Nuh mencapai umur 500 tahun, anak-anak lelakinya, iaitu Sem,+ Ham,+ dan Yafet,+ dilahirkan.
6 Manusia di bumi semakin bertambah, dan mereka juga mempunyai anak-anak perempuan. 2 Anak-anak kepada Tuhan* yang benar+ mula memperhatikan bahawa anak-anak perempuan itu cantik. Maka mereka mula mengambil sesiapa sahaja yang diingini sebagai isteri. 3 Kemudian Yehuwa berfirman, “Oleh sebab manusia berdosa, Aku* tidak akan bersabar terhadap mereka buat selama-lamanya.+ Masa mereka tinggal 120 tahun.”+
4 Pada masa itu dan juga selepas masa itu, ada gergasi* di bumi kerana anak-anak Tuhan mengadakan hubungan dengan anak-anak perempuan manusia yang kemudiannya melahirkan anak-anak lelaki. Anak-anak ini ialah orang perkasa yang termasyhur pada zaman dahulu.
5 Yehuwa nampak bahawa manusia di bumi sangat jahat. Hati dan fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan.+ 6 Yehuwa kecewa dan sakit hati+ kerana Dia telah menciptakan manusia di bumi. 7 Oleh itu, Yehuwa berfirman, “Aku akan membinasakan manusia yang telah Aku ciptakan daripada permukaan bumi. Aku akan membinasakan manusia bersama dengan binatang jinak, binatang menjalar, dan makhluk terbang di langit. Aku kecewa kerana Aku telah menciptakan semuanya.” 8 Tetapi Nuh menyenangkan hati Yehuwa.
9 Inilah kisah Nuh.
Nuh ialah seorang lelaki yang baik.+ Dia hidup tanpa cela dalam kalangan orang yang sezaman dengannya. Nuh hidup akrab* dengan Tuhan yang benar.+ 10 Nuh mempunyai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Ham, dan Yafet.+ 11 Bumi sudah rosak dalam pandangan Tuhan, dan bumi penuh dengan keganasan. 12 Ya, apabila Tuhan memandang bumi, Dia mendapati bumi sudah rosak+ dan semua manusia berbuat jahat.+
13 Lalu Tuhan berfirman kepada Nuh, “Aku telah membuat keputusan untuk membinasakan semua manusia. Aku akan membinasakan mereka berserta bumi, kerana bumi sudah penuh dengan keganasan mereka.+ 14 Buatlah sebuah bahtera* daripada kayu keras.*+ Buatlah bilik-bilik di dalamnya dan lapisilah bahagian dalam dan luar bahtera itu dengan tar.+ 15 Binalah bahtera itu mengikut ukuran berikut: 134 meter panjang, 22 meter lebar, dan 13 meter tinggi.* 16 Buatlah tingkap* setinggi kira-kira 44 sentimeter* pada bahagian atas bahtera, untuk membenarkan cahaya masuk. Engkau harus memasang pintu pada sisi bahtera itu+ dan bahtera itu harus mempunyai tiga tingkat, iaitu tingkat bawah, tengah, dan atas.
17 “Aku akan mendatangkan banjir+ atas bumi untuk membinasakan semua makhluk di bawah langit yang mempunyai nafas kehidupan. Segala hidupan di darat akan dilenyapkan.+ 18 Namun Aku hendak membuat perjanjian dengan engkau. Masuklah ke dalam bahtera bersama isterimu dan anak-anakmu serta isteri mereka.+ 19 Bawalah semua jenis makhluk hidup ke dalam bahtera, dua ekor bagi setiap jenis,+ iaitu seekor jantan dan seekor betina,+ agar semuanya terselamat. 20 Bawalah makhluk terbang menurut jenisnya, binatang jinak menurut jenisnya, dan semua binatang yang menjalar menurut jenisnya. Engkau harus membawa dua ekor bagi setiap jenis makhluk itu ke dalam bahtera agar makhluk-makhluk itu terselamat.+ 21 Engkau juga harus membawa segala jenis makanan+ untuk dirimu dan untuk semua binatang itu.”
22 Itulah yang dilakukan oleh Nuh. Dia melakukan segala sesuatu yang diperintahkan oleh Tuhan.+
7 Selepas itu, Yehuwa berfirman kepada Nuh, “Masuklah ke dalam bahtera bersama-sama seluruh keluargamu, kerana Aku mendapati bahawa antara orang yang hidup pada masa ini, hanya engkaulah yang melakukan apa yang benar.+ 2 Engkau mesti membawa tujuh ekor* daripada setiap jenis binatang yang halal;+ bawalah yang jantan dan yang betina. Tetapi engkau harus membawa hanya dua ekor daripada setiap jenis binatang yang haram, seekor jantan dan seekor betina. 3 Selain itu, bawalah juga tujuh ekor* daripada setiap jenis makhluk terbang, jantan dan betina, supaya binatang-binatang itu dapat terus hidup dan bertambah banyak di seluruh bumi.+ 4 Dalam masa tujuh hari, Aku akan menyebabkan hujan turun+ ke bumi selama 40 hari dan 40 malam.+ Segala hidupan yang telah Aku ciptakan akan Aku lenyapkan dari muka bumi.”+ 5 Nuh pun melakukan segala yang diperintahkan oleh Yehuwa.
6 Nuh berumur 600 tahun apabila banjir melanda bumi.+ 7 Nuh dan isterinya, bersama dengan anak-anaknya dan isteri-isteri mereka, masuk ke dalam bahtera sebelum banjir berlaku.+ 8 Setiap jenis binatang halal dan haram, serta makhluk terbang dan semua makhluk yang bergerak di darat,+ 9 masuk ke dalam bahtera dan pergi kepada Nuh. Semuanya masuk secara berpasangan, seekor jantan dan seekor betina, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepada Nuh. 10 Tujuh hari kemudian, banjir melanda bumi.
11 Semasa Nuh berumur 600 tahun, pada hari ke-17, bulan kedua, semua pintu di langit terbuka dan semua air di langit turun.+ 12 Hujan lebat turun ke bumi selama 40 hari dan 40 malam. 13 Pada hari itu juga, Nuh dan isterinya masuk ke dalam bahtera bersama dengan anak-anak lelakinya, iaitu Sem, Ham, dan Yafet,+ serta tiga orang menantunya.+ 14 Bersama-sama mereka juga terdapat setiap binatang liar, binatang jinak, binatang menjalar, dan makhluk terbang, termasuk semua burung dan makhluk bersayap, semuanya menurut jenis masing-masing. 15 Setiap makhluk yang mempunyai nafas kehidupan masuk ke dalam bahtera secara berpasangan dan pergi kepada Nuh. 16 Seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepadanya, semua jenis binatang masuk ke dalam bahtera, seekor jantan dan seekor betina. Selepas itu, Yehuwa menutup pintu bahtera.
17 Hujan turun selama 40 hari berturut-turut, dan paras air semakin meningkat sehingga bahtera terapung jauh dari permukaan bumi. 18 Air semakin bertambah dan mula meliputi seluruh bumi, dan bahtera terapung-apung di atas permukaan air. 19 Air yang membanjiri bumi begitu banyak sehingga semua gunung yang tinggi di seluruh bumi pun diliputi air.+ 20 Air terus naik sehingga kira-kira tujuh meter* lebih tinggi daripada puncak gunung.
21 Maka lenyaplah semua makhluk hidup yang bergerak di bumi:+ Makhluk terbang, binatang yang jinak atau binatang yang liar, binatang kecil yang hidup berkelompok, dan semua manusia.+ 22 Semua makhluk di darat yang memiliki nafas kehidupan telah mati.+ 23 Demikianlah Tuhan melenyapkan semua hidupan di bumi, termasuk manusia, binatang, makhluk yang berterbangan di langit, dan binatang menjalar. Semuanya lenyap dari muka bumi.+ Hanya Nuh, keluarganya, dan semua binatang yang ada bersamanya di dalam bahtera terselamat.+ 24 Air yang menenggelami bumi tidak surut selama 150 hari.+
8 Tuhan tidak melupakan Nuh dan semua binatang liar serta binatang jinak yang ada di dalam bahtera.+ Tuhan menyebabkan angin bertiup di bumi dan air mula surut. 2 Air di langit tidak lagi turun dan semua pintu di langit ditutup, maka hujan pun berhenti.*+ 3 Sedikit demi sedikit, air mula surut dari bumi. Selepas 150 hari, paras air telah berkurang. 4 Pada hari ke-17 bulan ketujuh, bahtera berhenti di pergunungan Ararat. 5 Air beransur-ansur surut sehingga bulan ke-10. Pada hari pertama bulan ke-10, puncak-puncak gunung mula kelihatan.+
6 Setelah 40 hari, Nuh membuka tingkap+ bahtera yang telah dibuat olehnya 7 lalu melepaskan seekor burung gagak. Burung itu terbang berulang-alik sehingga air banjir kering dari muka bumi.
8 Kemudian Nuh melepaskan seekor burung merpati untuk mengetahui sama ada air sudah surut dari permukaan bumi atau tidak. 9 Oleh sebab air masih meliputi seluruh muka bumi,+ burung merpati itu tidak menjumpai tempat untuk hinggap. Jadi burung itu kembali ke bahtera. Nuh menghulurkan tangannya lalu membawa burung itu ke dalam bahtera. 10 Nuh menunggu selama tujuh hari lagi, dan melepaskan semula burung merpati itu dari bahtera. 11 Pada petang hari, burung itu kembali kepada Nuh sambil membawa sehelai daun zaitun yang segar pada paruhnya. Dengan itu, Nuh mengetahui bahawa air sudah surut dari bumi.+ 12 Dia menunggu selama tujuh hari lagi. Kemudian dia melepaskan burung merpati itu, tetapi kali ini burung itu tidak kembali kepadanya.
13 Ketika Nuh berumur 601 tahun,+ pada hari pertama, bulan pertama, air telah surut dari bumi. Nuh membuka sebahagian bumbung bahtera dan memandang ke luar. Dia mendapati bahawa permukaan tanah sudah mula kering. 14 Pada hari ke-27 bulan kedua, permukaan bumi telah kering.
15 Tuhan berfirman kepada Nuh, 16 “Keluarlah dari bahtera bersama-sama isterimu, anak-anak lelakimu, dan isteri mereka.+ 17 Bawalah keluar semua makhluk hidup,+ yang terbang dan yang menjalar, serta binatang darat, supaya semua makhluk itu dapat membiak dan bertambah banyak di bumi.”+
18 Maka Nuh pun keluar bersama-sama isterinya, anak-anaknya,+ dan isteri mereka. 19 Semua makhluk hidup, semua binatang yang menjalar, semua makhluk terbang, dan semua binatang yang bergerak di bumi keluar dari bahtera itu. Semuanya keluar mengikut kumpulan masing-masing.+ 20 Nuh mendirikan sebuah mazbah+ untuk Yehuwa. Dia mengambil beberapa ekor binatang yang halal dan beberapa ekor makhluk terbang yang halal,+ lalu mempersembahkan semuanya di atas mazbah sebagai korban bakar.+ 21 Bau korban itu menyenangkan hati Yehuwa. Maka Yehuwa berfirman dalam hati-Nya, “Aku tidak lagi mengutuk tanah+ kerana perbuatan manusia. Hal ini demikian kerana kecenderungan untuk berbuat jahat sudah ada dalam hati manusia sejak kecil lagi.+ Aku tidak lagi membinasakan semua makhluk hidup sebagaimana yang telah Aku lakukan sebelum ini.+ 22 Mulai sekarang, bumi akan sentiasa mempunyai musim menanam dan menuai, cuaca sejuk dan cuaca panas, musim panas dan musim sejuk, siang dan malam.”+
9 Tuhan memberkati Nuh dan anak-anak lelakinya lalu berfirman, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak dan penuhilah bumi.+ 2 Semua makhluk yang hidup di darat, makhluk yang terbang di langit, binatang yang menjalar, dan ikan di laut akan takut kepada kamu. Kini semua itu di bawah kekuasaan kamu.+ 3 Kamu boleh makan setiap binatang yang hidup. Aku memberikan semuanya kepada kamu untuk dimakan,+ sebagaimana Aku memberikan tumbuhan hijau kepada kamu.+ 4 Tetapi kamu tidak boleh makan daging yang masih berdarah,+ kerana darah melambangkan nyawa.+ 5 Selain itu, Aku akan menuntut pembalasan bagi darahmu. Jika seekor binatang membunuhmu, binatang itu haruslah mati. Jika seseorang membunuhmu, Aku akan menuntut nyawa orang itu.+ 6 Sesiapa yang menumpahkan darah manusia, darahnya juga akan ditumpahkan oleh manusia lain,+ kerana Tuhan menciptakan manusia menurut gambaran-Nya.+ 7 Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak, dan hendaklah keturunan kamu bertambah banyak di bumi.”+
8 Kemudian Tuhan berfirman kepada Nuh dan anak-anak lelakinya, 9 “Sekarang Aku membuat perjanjian dengan kamu,+ keturunan kamu, 10 dan semua makhluk hidup yang keluar dari bahtera. Ya, Aku membuat perjanjian dengan semua makhluk hidup di bumi yang ada bersama kamu, iaitu burung, binatang ternakan, dan semua binatang liar di bumi.+ 11 Inilah perjanjian Aku dengan kamu: Aku tidak akan memusnahkan semua makhluk hidup dengan banjir lagi. Banjir tidak akan memusnahkan bumi lagi.”+
12 Tuhan juga berfirman, “Inilah tanda untuk perjanjian yang telah Aku buat dengan kamu dan semua makhluk hidup yang ada bersama kamu serta semua keturunan pada masa depan: 13 Aku menempatkan pelangi-Ku di awan. Pelangi akan menjadi tanda perjanjian antara Aku dengan bumi. 14 Setiap kali Aku membawa awan ke atas bumi, pelangi pasti kelihatan di awan. 15 Aku tidak akan lupa perjanjian yang telah Aku buat dengan kamu dan dengan semua jenis makhluk hidup, bahawa banjir tidak akan membinasakan semua makhluk hidup lagi.+ 16 Apabila pelangi itu kelihatan di awan, Aku akan melihatnya dan mengingat perjanjian abadi antara Aku dengan setiap jenis makhluk hidup di bumi.”
17 Sekali lagi Tuhan berfirman kepada Nuh, “Inilah tanda perjanjian yang telah Aku buat antara Aku dengan semua makhluk hidup di bumi.”+
18 Anak-anak Nuh yang keluar dari bahtera ialah Sem, Ham, dan Yafet.+ Kemudian Ham mendapat seorang anak lelaki bernama Kanaan.+ 19 Ketiga-tiga orang anak Nuh menjadi nenek moyang kepada semua orang yang hidup di serata bumi.+
20 Nuh mula mengusahakan tanah dan dia menanam anggur. 21 Pernah sekali, dia minum wain lalu menjadi mabuk, dan dia berbaring telanjang di dalam khemahnya. 22 Ham, bapa Kanaan, melihat bapanya telanjang dan dia keluar lalu memberitahu Sem dan Yafet. 23 Maka Sem dan Yafet mengambil sehelai jubah, meletakkannya di bahu mereka, dan berjalan mundur ke dalam khemah. Mereka memalingkan muka semasa menyelimuti bapa mereka supaya tidak nampak bapa mereka yang bertelanjang.
24 Apabila Nuh sedar daripada mabuk dan mengetahui perbuatan anak bongsunya, 25 dia berkata,
“Terkutuklah Kanaan!+
Biarlah dia menjadi hamba yang paling hina bagi saudara-saudaranya.”+
26 Nuh berkata lagi,
“Terpujilah Yehuwa, Tuhan Sem!
Biarlah Kanaan menjadi hamba kepada Sem.+
27 Semoga Tuhan mengurniakan kawasan yang luas kepada Yafet,
Semoga Yafet tinggal di dalam khemah Sem.
Biarlah Kanaan menjadi hamba kepada Yafet juga.”
28 Selepas Banjir, Nuh terus hidup selama 350 tahun lagi.+ 29 Jadi, Nuh hidup selama 950 tahun, lalu dia meninggal.
10 Inilah senarai keturunan anak-anak lelaki Nuh, iaitu Sem,+ Ham, dan Yafet.
Selepas Banjir, mereka bertiga mendapat anak-anak lelaki.+ 2 Anak-anak lelaki Yafet ialah Gomer,+ Magog,+ Madai, Yawan, Tubal,+ Mesekh,+ dan Tiras.+
3 Anak-anak lelaki Gomer ialah Askenas,+ Rifat, dan Togarma.+
4 Anak-anak lelaki Yawan ialah Elishah,+ Tarsis,+ Kitim,+ dan Dodanim.
5 Mereka ialah nenek moyang kepada orang yang tinggal di pulau-pulau.* Setiap keluarga tinggal di negeri masing-masing, dan mempunyai bahasa serta bangsa sendiri.
6 Anak-anak lelaki Ham ialah Kus, Mizraim,+ Put,+ dan Kanaan.+
7 Anak-anak lelaki Kus ialah Seba,+ Hawila, Sabta, Raamah,+ dan Sabtekha.
Anak-anak lelaki Raamah ialah Syeba dan Dedan.
8 Kus ialah bapa Nimrod. Nimrod ialah orang perkasa yang pertama di bumi. 9 Dia ialah seorang pemburu perkasa yang menentang Yehuwa. Itulah sebabnya kadangkala sesetengah orang digambarkan dengan ungkapan berikut: “Dia seperti Nimrod, pemburu perkasa yang menentang Yehuwa.” 10 Pada mulanya, kerajaan Nimrod meliputi* Babel,*+ Erekh,+ Akad, dan Kalneh, yang terletak di Shinar.+ 11 Dari sana, dia pergi ke Assyria+ dan membina kota Niniwe,+ Rehobot-lr, Kalakh, 12 dan Resen, yang terletak di antara Niniwe dan Kalakh. Keempat-empat kota itu membentuk sebuah kota yang besar.*
13 Mizraim ialah bapa Ludim,+ Anamin, Lehabim, Naftuhim,+ 14 Patrusim,+ Kasluhim (iaitu nenek moyang orang Filistin+), dan Kaftorim.+
15 Anak-anak lelaki Kanaan ialah Sidon+ (anak sulung) dan Het.+ 16 Kanaan juga menjadi nenek moyang* orang Yebus,+ Amori,+ Girgashi, 17 Hewi,+ Arki, Sini, 18 Arwad,+ Zemari, dan Hamat.+ Kemudian, keturunan Kanaan tersebar ke tempat-tempat lain. 19 Sempadan orang Kanaan bermula dari Sidon sehingga Gerar,+ berhampiran Gaza,+ sampai ke Sodom, Gomora,+ Adma, dan Zeboim,+ berhampiran Lasha. 20 Mereka ialah keturunan Ham. Setiap keluarga tinggal di negeri masing-masing, dan mempunyai bahasa serta bangsa sendiri.
21 Sem, iaitu adik Yafet yang merupakan anak sulung,* ialah nenek moyang kepada semua keturunan Eber.+ Sem mempunyai beberapa orang anak. 22 Anak-anak lelaki Sem ialah Elam,+ Asyur,+ Arpakhsad,+ Lud, dan Aram.+
23 Anak-anak Aram ialah Uz, Hul, Geter, dan Mas.
24 Arpakhsad ialah bapa Selah,+ dan Selah ialah bapa Eber.
25 Eber mempunyai dua orang anak lelaki. Seorang dinamakan Peleg,*+ kerana pada zamannya, penduduk di bumi terbahagi-bahagi. Seorang lagi dinamakan Yoktan.+
26 Yoktan ialah bapa Almodad, Selef, Hazarmawet, Yerah,+ 27 Hadoram, Uzal, Dikla, 28 Obal, Abimael, Syeba, 29 Ofir,+ Hawila, dan Yobab. Mereka semua ialah anak lelaki Yoktan.
30 Daerah tempat tinggal mereka bermula dari Mesa dan meluas sampai ke Sefar, kawasan pergunungan di Timur.
31 Mereka ialah keturunan Sem. Setiap keluarga tinggal di negeri masing-masing, dan mempunyai bahasa serta bangsa sendiri.+
32 Mereka semua ialah keturunan anak-anak lelaki Nuh, menurut garis keturunan dan bangsa masing-masing. Selepas Banjir, semua bangsa yang tersebar ke seluruh bumi berasal daripada mereka.+
11 Pada masa itu, penduduk di seluruh bumi hanya mempunyai satu bahasa dan mereka menggunakan kosa kata yang sama. 2 Semasa mereka mengadakan perjalanan ke arah timur, mereka menemui dataran di Shinar+ dan mula menetap di situ. 3 Kemudian mereka berkata kepada satu sama lain, “Marilah kita buat batu bata lalu membakarnya di dalam api.” Maka mereka menggunakan batu bata sebagai ganti batu, dan tar sebagai ganti simen. 4 Mereka berkata, “Marilah kita membina sebuah kota dan menara yang puncaknya mencapai langit supaya kita menjadi terkenal, dan supaya kita tidak tercerai-berai ke seluruh bumi.”+
5 Yehuwa memperhatikan* kota dan menara yang telah dibina oleh manusia. 6 Kemudian Yehuwa berfirman, “Bangsa ini bersatu kerana mereka mempunyai satu bahasa.+ Jika sekarang pun mereka sudah melakukan hal sebegini, pada kemudian hari mereka dapat melakukan apa sahaja yang difikirkan mereka. 7 Marilah kita+ turun dan mengelirukan bahasa mereka supaya mereka tidak memahami satu sama lain.” 8 Maka Yehuwa mencerai-beraikan mereka ke seluruh bumi,+ dan mereka berhenti membina kota itu. 9 Itulah sebabnya kota itu dinamakan Babel,*+ kerana di situlah Yehuwa mengelirukan bahasa yang digunakan di seluruh bumi, dan dari situlah Yehuwa mencerai-beraikan mereka ke seluruh bumi.
10 Inilah senarai keturunan Sem.+
Arpakhsad,+ iaitu anak Sem, dilahirkan dua tahun selepas Banjir. Ketika itu Sem berumur 100 tahun. 11 Selepas kelahiran Arpakhsad, Sem juga mendapat anak-anak lain,+ dan dia hidup selama 500 tahun lagi.
12 Ketika Arpakhsad berumur 35 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Selah.+ 13 Selepas kelahiran Selah, Arpakhsad juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 403 tahun lagi.
14 Ketika Selah berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Eber.+ 15 Selepas kelahiran Eber, Selah juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 403 tahun lagi.
16 Ketika Eber berumur 34 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Peleg.+ 17 Selepas kelahiran Peleg, Eber juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 430 tahun lagi.
18 Ketika Peleg berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Rehu.+ 19 Selepas kelahiran Rehu, Peleg juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 209 tahun lagi.
20 Ketika Rehu berumur 32 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Serug. 21 Selepas kelahiran Serug, Rehu juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 207 tahun lagi.
22 Ketika Serug berumur 30 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Nahor. 23 Selepas kelahiran Nahor, Serug juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 200 tahun lagi.
24 Ketika Nahor berumur 29 tahun, dia mendapat seorang anak lelaki bernama Terah.+ 25 Selepas kelahiran Terah, Nahor juga mendapat anak-anak lain, dan dia hidup selama 119 tahun lagi.
26 Setelah Terah hidup selama 70 tahun, dia mendapat tiga orang anak lelaki, iaitu Abram,+ Nahor,+ dan Haran.
27 Inilah senarai keturunan Terah.
Terah ialah bapa kepada Abram, Nahor, dan Haran. Haran mempunyai seorang anak lelaki bernama Lot.+ 28 Ketika bapanya Terah masih hidup, Haran meninggal di tempat kelahirannya, di Ur,+ iaitu kota orang Kasdim.+ 29 Abram berkahwin dengan Sarai,+ dan Nahor berkahwin dengan Milkah,+ anak perempuan Haran. Haran ialah bapa kepada Milkah dan Iskah. 30 Sarai tidak mempunyai anak kerana dia mandul.+
31 Terah membawa anaknya Abram, cucunya Lot,+ dan menantunya Sarai, iaitu isteri Abram, lalu meninggalkan Ur, kota orang Kasdim, untuk pergi ke negeri Kanaan.+ Apabila mereka tiba di Haran,+ mereka menetap di sana. 32 Terah hidup selama 205 tahun, kemudian dia meninggal di Haran.
12 Yehuwa berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, sanak saudaramu, dan rumah bapamu, dan pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.+ 2 Aku akan membuat keturunanmu menjadi bangsa yang besar dan Aku akan memberkati engkau. Aku akan membuat namamu termasyhur, dan engkau akan membawa berkat kepada orang lain.+ 3 Aku akan memberkati orang yang memberkati engkau, dan mengutuk orang yang mengutuk engkau.+ Melalui engkau, semua bangsa di bumi pasti akan diberkati.”*+
4 Maka Abram melakukan apa yang diperintahkan oleh Yehuwa. Semasa Abram meninggalkan Haran, dia berusia 75 tahun.+ Lot juga berangkat bersama-samanya. 5 Abram berangkat ke Kanaan bersama isterinya Sarai+ dan anak saudaranya Lot.+ Mereka juga membawa semua harta benda+ dan hamba yang diperoleh mereka di Haran. Semasa mereka tiba di Kanaan,+ 6 Abram menjelajah negeri itu sehingga kawasan Sikhem,+ berhampiran pokok besar di More.+ Pada masa itu, orang Kanaan masih tinggal di situ. 7 Yehuwa menampakkan diri kepada Abram dan berfirman, “Aku akan memberikan negeri ini+ kepada keturunanmu.”+ Maka dia membina sebuah mazbah di sana untuk Yehuwa, yang menampakkan diri kepadanya. 8 Kemudian dia berangkat dari situ dan berkhemah di kawasan pergunungan di sebelah timur Bethel.+ Bethel terletak di sebelah barat khemahnya, manakala Ai+ terletak di sebelah timur khemahnya. Di situ dia membina sebuah mazbah untuk Yehuwa+ dan mula memuji nama Yehuwa.+ 9 Selepas itu, Abram berangkat ke arah Negeb.+ Sepanjang perjalanannya, dia berkhemah dari satu tempat ke tempat yang lain.
10 Semasa Kanaan dilanda kebuluran, Abram pergi ke Mesir untuk tinggal di sana buat sementara waktu.*+ Dia berbuat demikian kerana kebuluran di Kanaan amat dahsyat.+ 11 Sebelum memasuki Mesir, Abram berkata kepada isterinya Sarai, “Dengarlah kata-kataku. Aku tahu kamu memang wanita yang cantik.+ 12 Apabila orang Mesir melihat kamu, mereka tentu akan berkata, ‘Itu isterinya.’ Jadi mereka akan membunuh aku tetapi membiarkan kamu hidup. 13 Oleh itu, tolong katakan bahawa kamu ialah adikku supaya aku diperlakukan dengan baik. Dengan ini, kamu juga dapat menyelamatkan nyawaku.”+
14 Sebaik sahaja Abram masuk ke Mesir, orang Mesir nampak bahawa Sarai sangat cantik. 15 Pegawai-pegawai Firaun* juga nampak Sarai dan memuji-muji kecantikannya di hadapan Firaun. Oleh itu, Sarai dibawa ke istana Firaun. 16 Firaun melayan Abram dengan baik demi Sarai. Maka Abram mendapat biri-biri, lembu, keldai jantan, keldai betina, hamba-hamba perempuan, hamba-hamba lelaki, dan unta.+ 17 Tetapi kerana Sarai, isteri Abram,+ Yehuwa mendatangkan tulah yang teruk atas Firaun dan rumah tangganya. 18 Oleh itu, Firaun memanggil Abram dan berkata, “Apakah yang telah kamu lakukan terhadap beta? Mengapakah kamu tidak memberitahu beta bahawa dia itu isterimu? 19 Mengapakah kamu berkata bahawa dia ialah adik kamu?+ Beta hampir mengambilnya sebagai isteri. Nah, ini dia isterimu. Ambillah dia dan pergilah dari sini!” 20 Maka Firaun memberikan perintah kepada pegawai-pegawainya untuk menyuruh Abram pergi dari situ bersama isterinya dan semua miliknya.+
13 Kemudian Abram meninggalkan Mesir lalu pergi ke arah Negeb.+ Dia membawa isterinya dan Lot, serta segala miliknya. 2 Abram ialah seorang yang kaya-raya. Dia mempunyai banyak ternakan, perak, dan emas.+ 3 Dalam perjalanannya dari Negeb ke Bethel, dia berkhemah dari satu tempat ke tempat yang lain. Akhirnya dia tiba di sebuah daerah yang terletak di antara Bethel dan Ai,+ iaitu tempat dia pernah berkhemah 4 dan membina sebuah mazbah dahulu. Di situ, Abram memuji nama Yehuwa.
5 Lot yang mengikut Abram juga mempunyai biri-biri, lembu, dan khemah-khemah. 6 Apa yang dimiliki mereka begitu banyak sehingga mereka tidak dapat tinggal bersama-sama di tempat itu. 7 Pernah sekali, para penjaga ternakan Abram bertengkar dengan para penjaga ternakan Lot. (Pada masa itu, orang Kanaan dan orang Feris masih tinggal di tanah itu.)+ 8 Maka Abram berkata kepada Lot,+ “Kita ini bersaudara, janganlah kita bertengkar. Tidak baik jika penjaga ternakanmu dan penjaga ternakanku bertengkar. 9 Oleh itu, lebih baik kita berpisah. Pilihlah tempat yang ingin kamu pergi. Jika kamu pergi ke sebelah kiri, aku akan pergi ke sebelah kanan; tetapi jika kamu pergi ke sebelah kanan, aku akan pergi ke sebelah kiri.” 10 Maka Lot memandang ke sekelilingnya dan nampak bahawa seluruh daerah Yordan+ sampai ke kota Zoar+ mempunyai banyak air, seperti taman Yehuwa*+ atau seperti tanah Mesir. (Begitulah keadaannya sebelum Yehuwa memusnahkan kota Sodom dan Gomora.) 11 Lalu Lot memilih seluruh daerah Yordan, dan berpindah ke sebelah timur. Maka kedua-dua orang itu berpisah. 12 Abram tinggal di tanah Kanaan, sedangkan Lot tinggal berhampiran kota-kota di daerah Yordan.+ Akhirnya, Lot mendirikan khemahnya berdekatan Sodom. 13 Penduduk di kota Sodom sangat jahat. Mereka melakukan banyak dosa yang menjijikkan di hadapan Yehuwa.+
14 Selepas Lot berpisah dengan Abram, Yehuwa berfirman kepada Abram, “Dari tempat engkau berada, pandanglah ke arah utara dan selatan, timur dan barat. 15 Seluruh tanah yang engkau lihat itu akan Aku berikan kepadamu dan keturunanmu. Tanah itu akan sentiasa menjadi milik kamu.+ 16 Aku juga akan memberi engkau keturunan yang sangat banyak. Sebagaimana orang tidak dapat menghitung debu di bumi, demikian juga keturunanmu tidak akan dapat dihitung.+ 17 Sekarang, jelajahilah seluruh tanah ini, kerana Aku akan memberikannya kepada engkau.” 18 Sepanjang perjalanannya, Abram tinggal di dalam khemah. Lalu dia tiba di Hebron+ dan menetap dekat pokok-pokok besar di Mamre.+ Di sana, dia membuat sebuah mazbah untuk Yehuwa.+
14 Kemudian Raja Amrafel dari Shinar,+ Raja Ariokh dari Elasar, Raja Kedorlaomer+ dari Elam,+ dan Raja Tidal dari Goyim, 2 berperang melawan Raja Bera dari Sodom,+ Raja Birsha dari Gomora,+ Raja Shinab dari Adma, Raja Shemeber dari Zeboim,+ dan raja dari Bela (atau Zoar). 3 Mereka* bersekutu dan mengumpulkan tentera mereka di Lembah* Sidim,+ iaitu Laut Mati.+
4 Lima orang raja itu menjadi hamba Raja Kedorlaomer selama 12 tahun, tetapi mereka memberontak pada tahun ke-13. 5 Maka pada tahun ke-14, Kedorlaomer dan sekutu-sekutunya datang dan mengalahkan orang Refaim di Asyterot-karnaim, orang Zuzim di Ham, orang Emim+ di Shaveh-kiryataim, 6 dan orang Hori+ di pergunungan Seir,+ lalu mengejar mereka sehingga tiba di El-paran yang terletak di pinggir padang belantara. 7 Kemudian raja-raja itu berpatah balik dan pergi ke En-mispat, iaitu Kades,+ dan menakluki seluruh kawasan orang Amalek.+ Mereka juga mengalahkan orang Amori+ yang tinggal di Hazazon-tamar.+
8 Maka raja dari Sodom, raja dari Gomora, raja dari Adma, raja dari Zeboim, dan raja dari Bela (atau Zoar) mengatur barisan tentera mereka di Lembah* Sidim, dan berperang 9 melawan Raja Kedorlaomer dari Elam, Raja Tidal dari Goyim, Raja Amrafel dari Shinar, dan Raja Ariokh dari Elasar.+ Empat orang raja melawan lima orang raja. 10 Lembah* Sidim penuh dengan lubang tar. Apabila raja Sodom dan raja Gomora mencuba melarikan diri, mereka jatuh ke dalam lubang tar, manakala yang lain melarikan diri ke kawasan pergunungan. 11 Empat orang raja yang menang mengambil semua harta dan makanan di Sodom dan Gomora, lalu mereka pergi dari sana.+ 12 Mereka juga menawan Lot, iaitu anak saudara Abram yang tinggal di Sodom,+ dan mengambil hartanya sekali, lalu meneruskan perjalanan mereka.
13 Selepas itu, seorang lelaki yang berjaya melarikan diri melaporkan peristiwa itu kepada Abram, orang Ibrani itu. Pada masa itu, Abram tinggal* dekat pokok-pokok besar milik Mamre, seorang lelaki Amori.+ Mamre ialah abang kepada Eskol dan Aner.+ Mereka bertiga merupakan sekutu Abram. 14 Selepas Abram mendapat tahu bahawa anak saudaranya+ telah ditangkap, dia mengumpulkan 318 orang hambanya dan mengejar musuh sampai ke Dan.+ Semua hamba itu lahir di dalam rumahnya dan pandai berperang. 15 Pada waktu malam, Abram membahagikan hamba-hambanya kepada beberapa pasukan, lalu menyerang dan mengalahkan musuh mereka. Abram terus mengejar mereka sampai ke Hoba, yang terletak di utara Damsyik. 16 Abram berjaya mendapat kembali semua harta yang dirampas, dan harta milik Lot. Dia juga menyelamatkan Lot anak saudaranya, wanita-wanita, dan tawanan lain.
17 Abram kembali selepas mengalahkan Raja Kedorlaomer dan sekutu-sekutunya, lalu raja Sodom pergi menyambut Abram di Lembah* Shaveh, yang juga dikenali sebagai Lembah Raja.+ 18 Raja Melkisedek+ dari Salem,+ yang merupakan imam Tuhan Yang Maha Tinggi,+ juga datang sambil membawa roti dan wain.
19 Lalu dia memberkati Abram dan berkata,
“Semoga Tuhan Yang Maha Tinggi,
Pencipta langit dan bumi, memberkati Abram.
20 Terpujilah Tuhan Yang Maha Tinggi,
Yang telah menyerahkan musuhmu ke dalam tanganmu!”
Kemudian Abram memberinya satu persepuluh daripada segala harta yang diperoleh kembali.+
21 Selepas itu, raja Sodom berkata kepada Abram, “Ambillah harta yang dirampas, tetapi kembalikanlah semua orang beta.” 22 Abram berkata kepada raja Sodom, “Hamba mengangkat tangan lalu bersumpah di hadapan Yehuwa, Tuhan Yang Maha Tinggi, Pencipta langit dan bumi, 23 bahawa hamba tidak akan mengambil satu pun daripada milik tuanku, bahkan seutas benang atau seutas tali kasut pun tidak. Dengan demikian tuanku tidak dapat berkata, ‘Betalah yang membuat Abram kaya.’ 24 Hamba tidak mahu mengambil apa-apa pun, kecuali apa yang telah dimakan oleh para pemuda. Tetapi biarlah orang yang pergi bersama hamba, iaitu Aner, Eskol, dan Mamre,+ mengambil bahagian mereka.”
15 Selepas itu, Abram mendapat penglihatan dan mendengar Yehuwa berfirman, “Abram, janganlah takut.+ Akulah perisaimu.+ Engkau akan mendapat berkat yang melimpah.”+ 2 Abram menjawab, “Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, aku masih tidak mempunyai anak, dan orang yang akan mewarisi hartaku ialah Eliezer, orang dari Damsyik.+ Jadi apakah gunanya berkat itu untukku?” 3 Abram juga berkata, “Engkau tidak memberi aku keturunan,+ dan seorang hamba dalam rumah tanggaku akan menjadi pewarisku.” 4 Tetapi Yehuwa berfirman kepadanya, “Lelaki itu tidak akan menjadi pewarismu. Sebaliknya, anakmu sendirilah yang akan menjadi pewarismu.”+
5 Tuhan membawanya ke luar khemah lalu berfirman, “Sila pandang ke langit dan hitunglah semua bintang jika engkau dapat melakukannya.” Kemudian Tuhan berfirman lagi, “Keturunanmu akan menjadi sebanyak bintang di langit.”+ 6 Abram beriman kepada Yehuwa,+ maka Tuhan memandangnya sebagai orang yang mendapat perkenan-Nya.+ 7 Tuhan berfirman lagi, “Akulah Yehuwa, yang membawa engkau keluar dari Ur di Kasdim untuk memberi engkau tanah ini sebagai milikmu.”+ 8 Lalu Abram berkata, “Yehuwa Yang Berdaulat, bagaimanakah aku dapat mengetahui bahawa tanah ini akan menjadi milikku?” 9 Tuhan berfirman kepadanya, “Ambillah seekor lembu betina muda,* seekor kambing betina, dan seekor biri-biri jantan. Setiap satunya harus berusia tiga tahun. Ambillah juga seekor burung tekukur, dan seekor burung merpati muda.” 10 Maka Abram mengambil semua binatang itu, memotongnya menjadi dua bahagian, lalu meletakkan setiap belahan binatang itu menghadap satu sama lain. Tetapi dia tidak memotong burung-burung itu. 11 Burung-burung pemakan bangkai asyik hinggap di atas daging binatang itu, tetapi Abram menghalau semuanya.
12 Semasa matahari mula terbenam, Abram tertidur lena. Dalam mimpinya, kegelapan yang pekat dan menakutkan meliputi dirinya. 13 Kemudian Tuhan berfirman kepada Abram, “Ketahuilah bahawa keturunanmu akan menjadi orang asing di negeri lain. Mereka akan menjadi hamba di sana dan akan ditindas selama 400 tahun.+ 14 Tetapi Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba keturunanmu itu.+ Kemudian, keturunanmu akan meninggalkan negeri itu sambil membawa banyak harta benda.+ 15 Engkau pula akan panjang umur. Engkau akan meninggal dengan tenang, lalu dikebumikan seperti nenek moyangmu.+ 16 Generasimu yang keempat akan kembali ke sini,+ kerana masa untuk menghukum orang Amori masih belum tiba.”+
17 Setelah matahari terbenam dan hari sudah gelap-gelita, muncullah sebuah relau api yang berasap dan sebuah obor bernyala yang lalu di antara belahan-belahan binatang itu. 18 Pada hari itu, Yehuwa membuat perjanjian dengan Abram.+ Dia berfirman, “Aku akan memberikan tanah+ dari sungai di Mesir hingga sungai besar itu, iaitu Sungai Efrat,+ kepada keturunanmu. 19 Itulah tanah orang Keni,+ orang Kenas, orang Kadmon, 20 orang Het,+ orang Feris,+ orang Refaim,+ 21 orang Amori, orang Kanaan, orang Girgashi, dan orang Yebus.”+
16 Sarai, isteri Abram, masih tidak mempunyai anak.+ Tetapi Sarai mempunyai seorang hamba perempuan dari Mesir yang bernama Hagar.+ 2 Maka Sarai berkata kepada Abram, “Tolonglah dengar apa yang hendak aku katakan. Yehuwa tidak membolehkan aku melahirkan anak. Jadi, tidurlah dengan hamba perempuanku. Mungkin aku akan mendapat anak melalui dia.”+ Abram pun mendengar kata-kata Sarai. 3 Setelah Abram menetap di negeri Kanaan selama 10 tahun, Sarai memberikan Hagar, iaitu hambanya dari Mesir, kepada Abram sebagai isteri. 4 Maka Abram bersetubuh dengan Hagar, lalu Hagar mengandung. Apabila Hagar sedar bahawa dia sudah mengandung, dia mula menghina Sarai, majikannya.
5 Oleh itu, Sarai berkata kepada Abram, “Kamu harus bertanggungjawab terhadap apa yang telah menimpa aku. Akulah yang memberikan hambaku kepadamu, tetapi setelah dia sedar bahawa dia mengandung, dia mula menghina aku. Semoga Yehuwa mengadili siapa antara kita yang benar.” 6 Abram berkata kepada Sarai, “Dia ialah hambamu, dan kamu berkuasa atasnya. Perlakukanlah dia sesuka hati kamu.” Maka Sarai melayan hambanya dengan buruk sehingga hambanya melarikan diri.
7 Kemudian, malaikat Yehuwa bertemu dengan Hagar dekat mata air di padang belantara, di jalan yang menuju ke Syur.+ 8 Malaikat itu berkata, “Hagar, hamba Sarai, kamu dari mana dan hendak ke mana?” Hagar menjawab, “Aku melarikan diri daripada Sarai majikanku.” 9 Malaikat Yehuwa berkata kepadanya, “Kembalilah kepada majikanmu, dan tunduklah kepadanya.” 10 Kemudian malaikat Yehuwa berkata, “Aku* akan memberimu keturunan yang sangat banyak, sehingga bilangannya tidak dapat dihitung.”+ 11 Malaikat Yehuwa berkata lagi, “Sekarang kamu mengandung, dan kamu akan melahirkan seorang anak lelaki. Kamu harus menamakannya Ismael,* kerana Aku, Yehuwa, sudah mendengar tentang kesusahanmu. 12 Anakmu itu akan menjadi seperti keldai liar.* Dia akan menentang semua orang, dan semua orang akan menentangnya. Dia akan tinggal berhampiran dengan semua saudaranya.”*
13 Hagar berkata, “Betulkah aku telah nampak Tuhan yang melihat aku?” Oleh itu dia memuji* nama Yehuwa, yang telah berfirman kepadanya. Hagar berkata, “Engkaulah Tuhan yang memperhatikan orang.”+ 14 Itulah sebabnya perigi itu dipanggil Beer-lahai-roi.* (Perigi itu terletak di antara Kades dengan Bered.) 15 Apabila Hagar melahirkan seorang anak lelaki bagi Abram, Abram menamakan anak itu Ismael.+ 16 Abram berumur 86 tahun ketika Hagar melahirkan anaknya Ismael.
17 Semasa Abram berumur 99 tahun, Yehuwa menampakkan diri kepada Abram lalu berfirman, “Aku ialah Tuhan Yang Maha Kuasa. Hendaklah engkau sentiasa hidup selaras dengan kehendak-Ku* dan buktikan bahawa engkau tidak bercela. 2 Aku akan melaksanakan perjanjian yang telah Aku buat dengan engkau,+ dan Aku akan memberimu keturunan yang sangat banyak.”+
3 Abram bersujud lalu Tuhan berfirman kepadanya, 4 “Aku telah membuat perjanjian dengan engkau,+ dan engkau pasti akan menjadi bapa kepada banyak bangsa.+ 5 Namamu tidak lagi disebut Abram.* Mulai sekarang, namamu ialah Abraham,* kerana Aku akan menjadikan engkau bapa kepada banyak bangsa. 6 Aku akan memberi engkau keturunan yang sangat banyak. Engkau akan menjadi bapa kepada bangsa-bangsa, dan menjadi nenek moyang kepada raja-raja.+
7 “Aku akan melaksanakan perjanjian yang telah Aku buat denganmu+ dan dengan semua keturunanmu.* Perjanjian-Ku akan kekal buat selama-lamanya. Aku akan menjadi Tuhanmu dan Tuhan keturunanmu. 8 Negeri yang sedang engkau tinggal sebagai orang asing ini akan Aku berikan kepadamu dan keturunanmu.+ Seluruh negeri Kanaan akan sentiasa menjadi milik keturunanmu, dan Aku akan menjadi Tuhan mereka.”+
9 Tuhan berfirman lagi kepada Abraham, “Engkau dan semua keturunanmu harus mematuhi perjanjian-Ku. 10 Inilah perjanjian antara Aku dengan engkau: Semua lelaki dalam kalangan kamu mesti disunat.+ Engkau dan keturunanmu mesti mematuhi perjanjian ini. 11 Kamu semua mesti bersunat, dan sunat ini akan menjadi tanda bagi perjanjian antara Aku denganmu.+ 12 Inilah yang harus dilakukan untuk turun-temurun: Semua bayi lelaki yang dilahirkan dalam rumah tanggamu mesti disunat apabila dia berumur lapan hari,+ dan setiap lelaki yang bukan keturunanmu atau yang dibeli daripada orang asing juga mesti disunat. 13 Tiap-tiap lelaki yang dilahirkan dalam rumah tanggamu dan tiap-tiap lelaki yang dibeli harus disunat.+ Inilah tanda jasmani yang menunjukkan bahawa perjanjian-Ku dengan engkau itu berkekalan. 14 Jika seorang lelaki enggan disunat, dia harus dibunuh, kerana dia tidak berpegang pada perjanjian-Ku.”
15 Kemudian Tuhan berfirman kepada Abraham, “Mulai sekarang, isterimu tidak lagi dipanggil Sarai,*+ tetapi akan dipanggil Sara.* 16 Aku akan memberkatinya dan memberimu seorang anak lelaki melaluinya.+ Aku akan memberkati Sara dan dia akan menjadi ibu kepada banyak bangsa dan raja.” 17 Selepas itu, Abraham sujud lalu tertawa dan berkata dalam hatinya,+ “Mana mungkin seorang lelaki yang berusia 100 tahun mendapat anak. Mana mungkin Sara, seorang wanita yang berusia 90 tahun, melahirkan anak.”+
18 Maka Abraham berkata kepada Tuhan yang benar, “Ya Tuhan, semoga Ismael diberkati-Mu!”+ 19 Lalu Tuhan berfirman, “Isterimu Sara pasti akan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau harus menamakannya Ishak.*+ Aku akan melaksanakan perjanjian-Ku dengan Ishak dan dengan keturunannya. Perjanjian-Ku itu kekal selama-lamanya.+ 20 Tetapi Aku juga akan mengabulkan permohonan engkau mengenai Ismael. Aku akan memberkatinya dan memberinya keturunan yang sangat banyak. Dia akan mendapat 12 orang anak lelaki yang akan menjadi ketua suku, dan Aku akan menjadikan keturunannya sebuah bangsa yang besar.+ 21 Namun, Aku akan membuat perjanjian-Ku dengan anakmu Ishak.+ Tahun depan, pada masa yang sama, Sara akan melahirkan anak itu.”+
22 Setelah berfirman kepada Abraham, Tuhan pun meninggalkannya. 23 Pada hari itu juga, Abraham menyunat anaknya Ismael, semua lelaki yang dilahirkan dalam rumah tangganya, dan setiap lelaki yang dibeli. Semua lelaki dalam rumah tangga Abraham telah disunat seperti yang diperintahkan oleh Tuhan.+ 24 Abraham berumur 99 tahun ketika dia disunat.+ 25 Anaknya Ismael pula berumur 13 tahun ketika dia disunat.+ 26 Pada hari itu juga, Abraham dan anaknya Ismael telah disunat. 27 Semua lelaki dalam rumah tangganya, tidak kira yang dilahirkan dalam rumah tangganya, ataupun yang dibeli daripada orang asing, juga disunat bersama-samanya.
18 Pada suatu hari, Yehuwa*+ menampakkan diri kepada Abraham dekat pokok-pokok besar di Mamre.+ Abraham sedang duduk di pintu khemahnya ketika hari panas terik. 2 Dia melihat jauh ke depan dan nampak tiga orang lelaki sedang berdiri.+ Sebaik sahaja dia nampak mereka, dia berlari untuk menyambut mereka. Dia bersujud 3 lalu berkata, “Yehuwa, jika Engkau berkenan kepadaku, janganlah lalu tanpa singgah di khemah hamba-Mu ini. 4 Izinkanlah hamba mengambil sedikit air untuk membasuh kaki tuan-tuan.+ Selepas itu, berehatlah di bawah pokok. 5 Tuan-tuan sudah datang ke tempat hamba, maka biarlah hamba menghidangkan roti supaya tuan-tuan mendapat tenaga untuk meneruskan perjalanan.” Maka mereka berkata, “Baiklah. Lakukanlah apa yang telah kamu katakan.”
6 Maka Abraham bergegas ke khemah untuk mencari Sara. Selepas itu, dia berkata, “Cepatlah! Ambillah tiga bekas* tepung halus untuk diuli, dan buatlah roti daripadanya.” 7 Kemudian Abraham berlari ke tempat kawanan ternakannya lalu memilih seekor anak lembu jantan yang bagus dan lembut dagingnya. Dia memberikan anak lembu itu kepada orang suruhannya untuk dimasak dengan segera. 8 Selepas itu, dia mengambil mentega, susu, dan daging yang sudah dimasak lalu menghidangkannya kepada mereka. Sementara mereka makan di bawah pokok, Abraham berdiri di tepi untuk melayani mereka.+
9 Mereka bertanya kepada Abraham, “Di manakah isterimu Sara?”+ Dia menjawab, “Di dalam khemah.” 10 Salah seorang daripada mereka berkata, “Tahun depan pada waktu yang sama, aku pasti akan kembali kepadamu, dan Sara akan mempunyai seorang anak lelaki.”+ Sara sedang mendengar di pintu khemah, di belakang tetamu itu. 11 Abraham dan Sara sudah lanjut usia,+ dan Sara sudah terlalu tua untuk melahirkan anak.*+ 12 Oleh itu, Sara tertawa dalam hati dan berkata, “Tuanku sudah tua, dan aku pun sudah tua dan layu. Benarkah aku dapat merasai kegembiraan ini?”+ 13 Yehuwa berfirman kepada Abraham, “Mengapakah Sara tertawa dan bertanya, ‘Bolehkah aku melahirkan anak sedangkan aku sudah tua?’ 14 Adakah apa-apa yang mustahil bagi Yehuwa?+ Tahun depan pada masa yang sama, Aku akan kembali, dan Sara akan mempunyai seorang anak lelaki.” 15 Oleh sebab Sara takut, dia menafikannya. “Aku tidak ketawa!” katanya. Tetapi Tuhan menjawab, “Engkau memang ketawa tadi.”
16 Kemudian mereka bertolak dari sana, dan memandang ke arah kota Sodom.+ Abraham berjalan bersama-sama tetamunya untuk menghantar mereka. 17 Yehuwa berfirman, “Aku tidak akan merahsiakan daripada Abraham apa yang akan Aku lakukan.+ 18 Keturunan Abraham pasti akan menjadi bangsa yang besar dan kuat. Melaluinya, semua bangsa di seluruh bumi akan diberkati.*+ 19 Aku sangat mengenal Abraham, dan Aku yakin bahawa dia akan menyuruh anak-anaknya dan semua keturunannya untuk berpegang pada haluan Yehuwa dan melakukan apa yang benar dan adil.+ Dengan demikian, Aku, Yehuwa, dapat menunaikan janji yang Aku berikan kepada Abraham.”
20 Kemudian Yehuwa berfirman, “Aku sudah mendengar tuduhan berat yang dilontarkan terhadap penduduk Sodom dan Gomora,+ dan dosa mereka besar sekali.+ 21 Aku akan turun untuk menyiasat sama ada tuduhan yang Aku dengar itu benar atau tidak. Jika tuduhan itu tidak benar, Aku masih hendak mengetahuinya.”+
22 Kemudian dua orang lelaki itu pergi ke Sodom, tetapi Yehuwa+ tetap bersama Abraham. 23 Abraham menghampiri Tuhan lalu bertanya, “Adakah Engkau benar-benar akan membinasakan orang yang baik bersama-sama orang yang jahat?+ 24 Jika terdapat 50 orang yang baik di dalam kota itu, adakah Engkau akan membinasakan seluruh kota itu? Tidakkah Engkau akan mengampuni penduduknya demi 50 orang yang baik itu? 25 Sudah pasti, Engkau tidak sanggup membinasakan orang yang baik bersama orang yang jahat. Mustahil Engkau berbuat demikian.+ Orang yang baik tidak mungkin menanggung akibat yang sama seperti orang yang jahat.+ Mungkinkah Hakim bagi seluruh bumi bertindak dengan tidak adil?”+ 26 Yehuwa menjawab, “Jika Aku menjumpai 50 orang yang baik di kota Sodom, Aku akan mengampuni semua penduduk kota itu demi mereka.” 27 Tetapi Abraham berkata, “Yehuwa, meskipun aku ini hanyalah debu dan abu, izinkanlah aku bercakap lagi. 28 Jika jumlahnya berkurang lima orang, adakah Engkau akan membinasakan seluruh kota itu kerana hanya terdapat 45 orang yang baik di situ?” Tuhan menjawab, “Aku tidak akan membinasakan kota itu jika Aku menjumpai 45 orang yang baik di situ.”+
29 Tetapi Abraham berkata lagi, “Bagaimana pula jika terdapat hanya 40 orang yang baik di situ?” Tuhan menjawab, “Aku tidak akan membinasakan kota itu demi 40 orang yang baik di situ.” 30 Abraham berkata, “Yehuwa, janganlah marah dengan aku,+ tetapi izinkanlah aku bercakap lagi. Bagaimana pula jika terdapat hanya 30 orang yang baik di situ?” Tuhan menjawab, “Aku tidak akan membinasakan kota itu jika Aku menjumpai 30 orang yang baik di situ.” 31 Abraham berkata, “Yehuwa, izinkanlah aku bercakap lagi. Bagaimana pula jika terdapat hanya 20 orang yang baik di situ?” Tuhan menjawab, “Aku tidak akan membinasakan kota itu demi 20 orang yang baik di situ.” 32 Akhirnya Abraham berkata, “Yehuwa, janganlah marah dengan aku, tetapi izinkanlah aku untuk bercakap hanya sekali lagi. Bagaimana pula jika terdapat hanya 10 orang yang baik di situ?” Tuhan menjawab, “Aku tidak akan membinasakan kota itu demi 10 orang yang baik di situ.” 33 Setelah menjawab Abraham, Yehuwa pun pergi+ dan Abraham pulang ke khemahnya.
19 Pada waktu petang, dua malaikat itu tiba di Sodom, dan Lot sedang duduk di pintu gerbang Sodom. Apabila Lot melihat mereka, dia pergi menyambut mereka. Kemudian dia bersujud+ 2 dan berkata, “Tuan-tuan, sila singgah di rumahku untuk bermalam dan biarlah kami mencuci kaki tuan-tuan. Kemudian tuan-tuan boleh bangun awal dan meneruskan perjalanan.” Tetapi mereka berkata, “Tidak, kami akan bermalam di dataran kota.” 3 Namun, Lot terus mendesak mereka. Oleh itu, mereka pun mengikut Lot ke rumahnya. Dia mengadakan satu jamuan untuk mereka dan menyediakan roti yang tidak beragi, lalu mereka memakannya.
4 Sebelum mereka tidur, semua lelaki di kota Sodom, baik yang muda mahupun yang tua, berkumpul lalu mengepung rumah Lot. 5 Mereka terus memanggil Lot dan berkata, “Di mana lelaki yang datang ke rumahmu malam ini? Bawalah mereka keluar supaya kami dapat melakukan hubungan seks dengan mereka.”+
6 Kemudian Lot keluar untuk menemui mereka, lalu dia menutup pintu. 7 Dia berkata, “Saudara-saudaraku, tolong jangan lakukan perbuatan sejahat itu. 8 Aku mempunyai dua orang anak perempuan yang masih dara. Biarlah aku membawa mereka kepada kamu, dan kamu boleh melakukan apa sahaja yang kamu mahu terhadap mereka. Tetapi janganlah lakukan apa-apa kepada dua orang lelaki ini. Mereka telah datang ke rumahku, dan aku harus melindungi mereka.”+ 9 Kemudian mereka berkata, “Berambus! Berani engkau menghakimi kami sedangkan engkau hanyalah orang asing yang datang untuk tinggal di sini. Sekarang kami akan membuat engkau lebih merana daripada dua orang lelaki itu!” Lalu mereka menolak Lot dan hendak memecahkan pintu. 10 Dua orang lelaki itu* menghulurkan tangan mereka dan menarik Lot masuk ke dalam rumah, lalu menutup pintu. 11 Mereka membutakan semua lelaki yang berada di luar pintu, baik yang muda mahupun yang tua. Semua lelaki itu kepenatan kerana mencuba mencari pintu masuk.
12 Kemudian dua orang lelaki itu berkata kepada Lot, “Adakah kamu mempunyai sanak saudara lain di sini? Jika kamu mempunyai menantu, anak lelaki, anak perempuan, atau saudara-mara di kota ini, bawalah mereka keluar dari sini, 13 kerana kami akan memusnahkan tempat ini. Tuduhan berat yang dilontarkan terhadap penduduk di sini sudah didengari oleh Yehuwa,+ dan Yehuwa telah mengutus kami untuk memusnahkan kota ini.” 14 Maka Lot pergi memberitahu kedua-dua orang bakal menantunya, “Cepat! Cepatlah pergi dari sini, kerana Yehuwa akan memusnahkan kota ini!” Tetapi mereka menyangka Lot sedang bergurau.+
15 Pada waktu subuh, malaikat-malaikat itu mula mendesak Lot, “Cepat! Bawalah isterimu dan kedua-dua orang anak perempuanmu, dan keluarlah dari sini agar kamu tidak turut menanggung dosa kota ini dan musnah bersama-samanya.”+ 16 Tetapi Lot berlambat-lambat. Oleh sebab Yehuwa mengasihaninya,+ dua orang lelaki itu memegang tangan Lot, isterinya, dan kedua-dua orang anak perempuannya, lalu membawa mereka ke luar kota.+ 17 Sejurus selepas membawa mereka keluar, salah seorang lelaki itu berkata, “Larilah, dan selamatkanlah diri kamu! Jangan menoleh ke belakang+ dan jangan singgah di mana-mana kawasan sekitar daerah ini!+ Larilah ke pergunungan supaya kamu tidak terbunuh!”
18 Tetapi Lot berkata kepada mereka, “Ya Yehuwa,* janganlah suruh aku pergi ke sana! 19 Memang Engkau berkenan kepada hamba-Mu. Engkau menyelamatkan aku kerana kebaikan hati-Mu* yang melimpah.+ Tetapi aku tidak dapat melarikan diri ke kawasan pergunungan kerana aku takut jika ada bencana yang menimpa aku, aku akan mati.+ 20 Namun, aku dapat melarikan diri ke sebuah kota kecil yang berdekatan. Bolehkah aku melarikan diri ke situ? Kota itu kecil sahaja. Aku akan selamat di sana.” 21 Lelaki itu berkata kepadanya, “Baiklah, aku akan mengabulkan permintaanmu.+ Aku tidak akan membinasakan kota yang kamu sebut itu.+ 22 Cepatlah! Larilah ke kota itu! Aku tidak dapat berbuat apa-apa selagi kamu belum tiba di sana.”+ Maka, kota itu dinamakan Zoar.*+
23 Matahari sudah terbit ketika Lot tiba di Zoar. 24 Kemudian Yehuwa menurunkan hujan belerang* dan api ke atas kota Sodom dan Gomora. Ya, hujan belerang dan api itu datang daripada Yehuwa, yang berada di syurga.+ 25 Dia membinasakan kedua-dua buah kota itu. Seluruh daerah itu dibinasakan termasuk semua penduduknya dan tumbuh-tumbuhan di situ.+ 26 Tetapi isteri Lot, yang sedang mengikuti Lot, menoleh ke belakang lalu menjadi tiang garam.+
27 Pada awal pagi, Abraham bangun dan pergi ke tempat dia pernah berdiri di hadapan Yehuwa.+ 28 Apabila dia melihat ke arah kota Sodom dan Gomora serta seluruh daerah itu, dia nampak kepulan asap yang tebal naik dari kawasan itu seperti asap tebal dari relau.+ 29 Tuhan ingat akan Abraham sebelum membinasakan kota-kota di daerah yang didiami Lot. Maka, Tuhan menyelamatkan Lot apabila Dia membinasakan kota-kota itu.+
30 Lot berasa takut untuk tinggal di Zoar.+ Maka dia bersama dua orang anak perempuannya meninggalkan Zoar, dan pergi ke kawasan pergunungan+ lalu tinggal di dalam gua. 31 Anak perempuan yang sulung berkata kepada adiknya, “Ayah kita sudah tua. Tiada seorang lelaki pun di tempat ini yang dapat mengahwini kita seperti yang biasa dilakukan di seluruh bumi. 32 Marilah kita memberikan wain kepada ayah. Selepas itu, kita tidur dengannya supaya kita mendapat keturunan untuknya.”
33 Pada malam itu, mereka memberikan wain kepada ayah mereka untuk diminum sehingga mabuk. Kemudian, anak perempuan yang sulung tidur dengan ayahnya, tetapi ayahnya tidak tahu bila anaknya tidur dengannya dan bangun meninggalkannya. 34 Pada keesokan harinya, anak perempuan yang sulung itu berkata kepada adiknya, “Aku sudah tidur dengan ayah semalam. Marilah kita memberikan wain kepada ayah malam ini juga. Kemudian kamu pergi tidur dengannya supaya kita mendapat keturunan untuknya.” 35 Pada malam itu, mereka memberikan banyak wain kepada ayah mereka untuk diminum sehingga mabuk. Lalu anak perempuan yang bongsu tidur dengan ayahnya, tetapi ayahnya tidak tahu bila anaknya tidur dengannya dan bangun meninggalkannya. 36 Jadi, kedua-dua orang anak perempuan Lot mengandung kerana ayah mereka sendiri. 37 Anak perempuan yang sulung melahirkan seorang anak lelaki dan menamakannya Moab.+ Dialah yang menjadi nenek moyang bangsa Moab yang ada sekarang.+ 38 Anak perempuan yang bongsu juga melahirkan seorang anak lelaki dan menamakannya Ben-ami. Dialah yang menjadi nenek moyang bangsa Ammon+ yang ada sekarang.
20 Kemudian Abraham memindahkan khemahnya+ ke negeri Negeb. Dia tinggal di kawasan di antara Kades+ dan Syur,+ dan dia juga tinggal di Gerar untuk sementara waktu.* Semasa di Gerar,+ 2 Abraham sering mengatakan bahawa Sara ialah adiknya.+ Oleh itu, Abimelekh, iaitu raja dari Gerar, mengutus orang untuk membawa Sara kepadanya.+ 3 Pada waktu malam, Tuhan menampakkan diri kepada Abimelekh dalam sebuah mimpi dan berfirman, “Engkau akan mati kerana engkau mengambil wanita itu.+ Dia sudah berkahwin, dan dia milik lelaki lain.”+ 4 Tetapi Abimelekh belum meniduri Sara. Maka dia berkata, “Yehuwa, adakah Engkau akan membinasakan sebuah bangsa yang tidak bersalah? 5 Bukankah Abraham sendiri yang berkata bahawa Sara itu adiknya, dan bukankah Sara sendiri yang berkata bahawa Abraham itu abangnya? Aku tidak berniat jahat, dan aku tidak tahu bahawa apa yang aku buat itu salah.” 6 Maka Tuhan yang benar berfirman kepadanya dalam mimpi itu, “Aku tahu bahawa engkau tidak berniat jahat. Oleh itu, Aku mencegah engkau daripada berdosa terhadap-Ku. Itulah sebabnya Aku tidak membenarkan engkau menyentuhnya. 7 Sekarang, kembalikanlah wanita itu kepada suaminya. Suaminya seorang nabi+ dan dia akan merayu kepada-Ku bagi pihakmu+ agar engkau dapat terus hidup. Jika engkau tidak mengembalikan wanita itu, engkau dan seluruh rumah tanggamu tentu akan mati.”
8 Pada awal pagi, Abimelekh bangun dan memanggil semua hambanya. Dia memberitahu mereka segala yang berlaku sehingga mereka menjadi sangat takut. 9 Kemudian Abimelekh memanggil Abraham dan berkata kepadanya, “Apakah yang telah kamu lakukan terhadap kami? Apakah dosa beta terhadap kamu sehingga kamu menyebabkan beta dan kerajaan beta menanggung dosa besar ini? Kamu tidak patut berbuat demikian kepada beta.” 10 Selepas itu, Abimelekh bertanya kepada Abraham, “Apakah sebenarnya niat kamu melakukan hal ini?”+ 11 Abraham menjawab, “Hamba melakukannya kerana hamba berfikir, ‘Tentu orang di sini tidak takut akan Tuhan, dan mereka pasti membunuhku kerana mereka menginginkan isteriku.’+ 12 Lagipun, dia memang adik hamba. Kami satu bapa tetapi berlainan ibu, dan kini dia ialah isteriku.+ 13 Oleh itu, apabila Tuhan menyuruh hamba meninggalkan rumah bapa hamba,+ hamba berkata kepada isteri hamba, ‘Ke mana pun kita pergi, tunjukkanlah kasih setiamu kepadaku dengan berkata, “Dia ialah abangku.”’”+
14 Kemudian Abimelekh mengambil biri-biri, lembu, hamba lelaki, dan hamba perempuan lalu memberikan semuanya kepada Abraham. Dia juga mengembalikan Sara kepadanya. 15 Abimelekh berkata, “Kamu boleh tinggal di negeri beta. Tinggallah di mana sahaja yang kamu suka.” 16 Abimelekh juga berkata kepada Sara, “Beta memberikan 1,000 keping perak kepada abangmu.+ Hal ini membuktikan kepada semua orang di rumah tanggamu dan kepada semua orang yang lain bahawa kamu tidak bersalah, dan kamu bebas daripada sebarang celaan.” 17 Lalu Abraham merayu kepada Tuhan yang benar, dan Tuhan menyembuhkan Abimelekh, isterinya, dan semua hamba perempuannya sehingga wanita-wanita itu dapat melahirkan anak lagi. 18 Sebelum itu, Yehuwa telah menyebabkan semua wanita di rumah Abimelekh mandul kerana peristiwa yang berlaku kepada Sara, iaitu isteri Abraham.+
21 Seperti yang difirmankan, Yehuwa ingat akan Sara dan Yehuwa menepati janji-Nya.+ 2 Pada masa yang ditentukan oleh Tuhan, semasa Abraham sudah tua, Sara mengandung+ dan melahirkan seorang anak lelaki, seperti yang dijanjikan oleh Tuhan.+ 3 Abraham menamakan anak yang baru lahir itu Ishak,+ iaitu anak yang dilahirkan Sara baginya. 4 Semasa Ishak berumur lapan hari, Abraham menyunatnya seperti yang diperintahkan Tuhan.+ 5 Abraham berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan. 6 Kemudian Sara berkata, “Tuhan telah membuat aku ketawa. Setiap orang yang mendengar tentang hal ini akan ketawa bersama-samaku.”* 7 Dia berkata lagi, “Siapakah dahulunya dapat memberitahu suamiku, ‘Sara akan menyusui anak’? Tetapi sekarang aku sudah melahirkan seorang anak lelaki untuk dia ketika umurnya sudah lanjut.”
8 Anak itu bertambah besar, lalu pada hari dia cerai susu, Abraham mengadakan jamuan besar. 9 Tetapi Sara memperhatikan bahawa anak lelaki Abraham yang dilahirkan oleh Hagar,+ orang Mesir itu, asyik mengejek Ishak.+ 10 Lalu Sara berkata kepada Abraham, “Usirlah hamba perempuan ini bersama anak lelakinya! Anak lelakinya tidak akan menjadi pewaris bersama-sama anakku Ishak.”+ 11 Abraham berasa susah hati semasa mendengar apa yang dikatakan oleh Sara mengenai anak lelakinya.+ 12 Tetapi Tuhan berfirman kepada Abraham, “Janganlah susah hati kerana apa yang dikatakan oleh Sara tentang anakmu dan hamba perempuanmu. Dengarlah cakap Sara, kerana keturunanmu akan datang daripada Ishak.+ 13 Mengenai anak hamba perempuanmu,+ Aku juga akan membuat keturunannya menjadi sebuah bangsa,+ kerana dia anakmu juga.”
14 Abraham bangun awal dan mengambil roti dan kirbat kulit yang berisi air, lalu memberikannya kepada Hagar. Dia meletakkan semuanya di atas bahu Hagar dan menyuruhnya pergi bersama anak lelakinya.+ Hagar bertolak dan mengembara di padang belantara Beer-syeba.+ 15 Akhirnya air di dalam kirbat itu habis. Hagar meninggalkan anaknya di bawah sebatang pokok renek 16 dan pergi duduk di suatu tempat yang sedikit jauh dari situ.* Dia berkata, “Aku tidak sanggup melihat anakku mati.” Jadi dia pun duduk di situ sambil meraung dan menangis.
17 Tuhan mendengar suara anak itu.+ Lalu malaikat Tuhan memanggil Hagar dari syurga dan berkata kepadanya,+ “Hagar, mengapa kamu menangis? Janganlah takut kerana Tuhan telah mendengar suara anakmu dari tempat dia ditinggalkan itu. 18 Bangunlah dan bantulah anakmu berdiri. Aku akan memberinya banyak keturunan sehingga menjadi sebuah bangsa yang besar.”+ 19 Kemudian Tuhan membuka mata Hagar, lalu dia nampak sebuah perigi. Maka dia pergi mengisi kirbatnya dengan air untuk diberikan kepada anaknya. 20 Tuhan menyertai anak itu+ seraya dia membesar. Dia hidup di padang belantara dan menjadi seorang pemanah. 21 Dia tinggal di padang belantara Paran,+ dan ibunya mengahwinkannya dengan seorang wanita dari Mesir.
22 Pada masa itu, Abimelekh dan Pikhol, iaitu ketua tenteranya, berkata kepada Abraham, “Tuhan menyertai kamu dalam apa sahaja yang kamu lakukan.+ 23 Oleh itu, bersumpahlah di sini, di hadapan Tuhan, bahawa kamu tidak akan memperdaya beta, anak-anak beta, ataupun keturunan beta. Bersumpahlah bahawa kamu akan menunjukkan kasih setia kepada beta dan kepada negeri yang kamu diami sekarang, sebagaimana beta sudah menunjukkan kasih setia kepadamu.”+ 24 Abraham berkata, “Baiklah, hamba bersumpah.”
25 Kemudian Abraham mengadu kepada Abimelekh tentang perigi yang telah dirampas oleh hamba-hambanya.+ 26 Abimelekh berkata, “Beta tidak tahu siapa yang melakukan hal ini. Kamu tidak memberitahu beta tentangnya, dan beta baru mendengarnya hari ini.” 27 Kemudian Abraham memberi Abimelekh biri-biri dan lembu, lalu mereka berdua membuat perjanjian. 28 Apabila Abraham mengasingkan tujuh ekor anak bebiri betina daripada kawanannya, 29 Abimelekh bertanya, “Mengapakah kamu mengasingkan tujuh ekor anak bebiri itu?” 30 Abraham menjawab, “Terimalah tujuh ekor anak bebiri ini daripada hamba sebagai tanda untuk membuktikan bahawa hambalah yang menggali perigi ini.” 31 Itulah sebabnya tempat itu dipanggil Beer-syeba,*+ kerana di situlah mereka berdua telah mengangkat sumpah. 32 Selepas mereka membuat perjanjian+ di Beer-syeba, Abimelekh dan Pikhol, iaitu ketua tenteranya, bangun lalu kembali ke negeri orang Filistin.+ 33 Kemudian Abraham menanam sebatang pokok* di Beer-syeba, dan di sana, dia memuji nama Yehuwa,+ Tuhan yang abadi.+ 34 Abraham tinggal* untuk masa yang lama di negeri orang Filistin.+
22 Selepas itu, Tuhan yang benar menguji Abraham.+ Tuhan memanggilnya, “Abraham!” Lalu Abraham menjawab, “Ya Tuhan, aku mendengar.” 2 Tuhan berfirman, “Bawalah Ishak,+ satu-satunya anak yang sangat engkau kasihi,+ dan pergilah ke Moria.+ Persembahkanlah anakmu sebagai korban bakar di sebuah gunung yang akan Aku tunjukkan kepadamu.”
3 Pada awal pagi, Abraham bangun lalu memasang pelana pada keldainya dan membelah-belah kayu yang akan digunakan untuk korban bakar. Kemudian dia membawa dua orang hamba serta anaknya Ishak, lalu berangkat ke tempat yang telah ditunjukkan oleh Tuhan kepadanya. 4 Pada hari ketiga, Abraham memandang ke depan lalu melihat tempat itu dari jauh. 5 Abraham berkata kepada hamba-hambanya, “Tunggulah di sini dengan keldai ini. Aku dan anakku akan pergi ke sana untuk menyembah Tuhan lalu kembali kepada kamu.”
6 Abraham mengambil kayu yang akan digunakan untuk korban bakar dan meletakkannya pada bahu Ishak. Kemudian dia membawa bara api dan pisau lalu mereka berdua berjalan bersama-sama. 7 Ishak berkata kepada bapanya Abraham, “Ayah!” Abraham menjawab, “Ya, anakku.” Ishak bertanya, “Di sini ada bara api dan kayu, tetapi di manakah biri-biri untuk korban bakar?” 8 Abraham menjawab, “Anakku, Tuhan sendiri akan menyediakan biri-biri untuk korban bakar.”+ Lalu mereka berdua meneruskan perjalanan.
9 Akhirnya mereka sampai di tempat yang ditunjukkan oleh Tuhan yang benar kepada Abraham. Di sana, Abraham mendirikan sebuah mazbah dan menyusun kayu di atasnya. Abraham mengikat tangan dan kaki Ishak lalu membaringkannya di atas mazbah, di atas kayu-kayu itu.+ 10 Lalu Abraham mengambil pisau untuk membunuh anaknya.+ 11 Tetapi tiba-tiba malaikat Yehuwa memanggilnya dari langit dan berkata, “Abraham, Abraham!” Dia menjawab, “Ya, aku mendengar.” 12 Kemudian malaikat itu berkata, “Jangan bunuh anak itu, dan jangan lakukan apa-apa terhadapnya. Sekarang Aku* tahu bahawa engkau takut akan Tuhan kerana engkau rela menyerahkan anakmu yang tunggal kepada-Ku.”+ 13 Selepas itu, Abraham nampak seekor biri-biri jantan. Tanduk biri-biri jantan itu tersangkut pada belukar. Jadi Abraham pergi ke situ dan mengambil biri-biri itu untuk dipersembahkan sebagai korban bakar bagi menggantikan anak lelakinya. 14 Abraham menamakan tempat itu Yehuwa-yireh.* Itulah sebabnya sampai hari ini orang berkata, “Di gunung Yehuwa, Dia akan menyediakan apa yang diperlukan.”+
15 Sekali lagi malaikat Yehuwa memanggil Abraham dari langit. 16 Malaikat itu berkata, “Yehuwa berfirman, ‘Oleh sebab engkau sanggup mengorbankan anakmu, anak tunggalmu+ itu, Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri+ bahawa 17 Aku pasti akan memberkati engkau. Aku akan melipatgandakan keturunanmu sehingga mereka menjadi banyak seperti bintang-bintang di langit dan pasir di pantai,+ dan keturunanmu akan menguasai kota-kota* musuh.+ 18 Melalui keturunanmu,+ semua bangsa di bumi akan meraih berkat,* kerana engkau telah mendengar kata-kata-Ku.’”+
19 Selepas itu, Abraham kembali kepada hamba-hambanya, dan mereka pulang bersama-sama ke Beer-syeba.+ Abraham terus tinggal di Beer-syeba.
20 Kemudian, ada orang memberitahu Abraham, “Milkah telah melahirkan anak-anak lelaki untuk Nahor, abangmu.+ 21 Uz ialah anak sulung, dan anak yang kedua ialah Buz, diikuti dengan Kemuel (iaitu bapa Aram), 22 Kesed, Hazo, Pildas, Yidlaf, dan Betuel.”+ 23 Betuel ialah bapa Ribka.+ Milkah telah melahirkan lapan orang anak untuk Nahor, iaitu abang Abraham. 24 Nahor mempunyai seorang gundik bernama Reuma. Anak-anak lelaki yang dilahirkannya bernama Tebah, Gaham, Tahas, dan Maakha.
23 Sara hidup selama 127 tahun. Demikianlah jangka hayatnya.+ 2 Sara meninggal di Kiryat-arba,+ iaitu Hebron,+ yang terletak di Kanaan.+ Abraham mula menangis dan meratapi kematian Sara. 3 Kemudian Abraham meninggalkan mayat isterinya lalu berkata kepada orang Het,+ 4 “Aku ini orang asing yang menetap bersama kamu.+ Izinkanlah aku membeli sebidang tanah di negeri kamu supaya aku dapat mengebumikan isteriku.” 5 Lalu orang Het menjawab, 6 “Tuan, dengarlah kata-kata kami. Tuan ialah pemimpin yang dilantik oleh Tuhan.*+ Kebumikanlah isteri tuan di kuburan kami yang terbaik. Kami sudi memberikan tanah kuburan untuk mengebumikan isteri tuan.”
7 Lalu Abraham bangun dan bersujud kepada orang Het,+ iaitu penduduk di situ. 8 Dia berkata, “Jika kamu membenarkan aku mengebumikan isteriku di sini, dengarlah apa yang ingin aku katakan. Tolonglah minta Efron anak Zohar 9 supaya menjual Gua Makhpela yang terletak di pinggir tanahnya kepadaku. Aku akan memberinya perak yang secukupnya+ di hadapan kamu semua untuk membeli gua itu sebagai tempat pengebumian.”+
10 Pada masa itu, Efron sedang duduk bersama-sama orang Het yang lain. Jadi Efron, orang Het itu, menjawab Abraham di hadapan semua orang Het di situ, dan di hadapan semua orang yang sudah masuk melalui gerbang kota.+ Dia berkata, 11 “Tidak tuan, dengarkanlah aku. Di hadapan semua orang yang sebangsa denganku, aku memberikan tanah dan gua di situ kepada tuan. Kebumikanlah isteri tuan di situ.” 12 Maka Abraham bersujud di hadapan semua penduduk di situ, 13 dan berkata kepada Efron di hadapan semua orang, “Dengarkanlah kata-kataku. Aku akan memberimu perak yang secukupnya untuk membeli tanahmu. Terimalah perak daripadaku, supaya aku dapat mengebumikan isteriku di situ.”
14 Kemudian Efron berkata kepada Abraham, 15 “Tuanku, dengarlah. Tanah ini bernilai 400 syekel* perak. Wang itu tidak begitu penting. Kuburkanlah sahaja isteri tuan.” 16 Abraham setuju dengan Efron, lalu dia menimbang jumlah perak yang disebut oleh Efron di hadapan orang Het, iaitu 400 syekel perak, dengan timbangan yang digunakan oleh para saudagar.+ 17 Maka, tanah yang dimiliki Efron di Makhpela, berdekatan Mamre, termasuk gua dan semua pokok yang berada di dalam sempadan kawasan tanah itu, disahkan sebagai 18 milik Abraham. Dia telah membelinya di hadapan semua orang Het dan di hadapan semua orang yang berada di gerbang kota. 19 Setelah itu, Abraham mengebumikan isterinya Sara di dalam gua di tanah Makhpela, yang berdekatan Mamre, iaitu Hebron, di Kanaan. 20 Demikianlah Abraham membeli tanah dan gua yang ada di situ daripada orang Het, lalu dia mengebumikan isterinya di situ.+
24 Abraham sudah tua dan lanjut usia, dan Yehuwa telah memberkatinya dalam segala hal.+ 2 Pada suatu hari, Abraham berkata kepada hamba yang paling tua dalam rumah tangganya, iaitu hamba yang mengurus segala hartanya,+ “Letakkanlah tanganmu di bawah pahaku* 3 dan bersumpahlah di hadapan Yehuwa, Tuhan yang berkuasa atas syurga dan bumi, bahawa kamu tidak akan mencari seorang gadis dari negeri yang aku tinggal ini, iaitu gadis Kanaan, untuk dijadikan isteri kepada anakku.+ 4 Sebaliknya, pergilah ke negeri asalku dan carilah seorang isteri untuk anakku Ishak dalam kalangan saudara-maraku.”+
5 Tetapi hamba itu bertanya, “Bagaimana pula jika gadis itu enggan mengikut aku ke negeri ini? Haruskah aku menghantar anak tuan kembali ke negeri asal tuan?”+ 6 Abraham menjawab, “Tidak. Pastikan kamu tidak membawa anakku ke sana.+ 7 Tuhan Yehuwa yang berkuasa atas syurga telah membawa aku ke sini dari rumah bapaku dan dari tempat saudara-maraku.+ Dia telah bersumpah kepadaku dan berfirman,+ ‘Aku akan memberikan negeri ini+ kepada keturunanmu.’+ Dia akan mengutus malaikat-Nya di hadapanmu,+ dan kamu pasti dapat mencari seorang isteri untuk anakku di sana.+ 8 Sekiranya gadis itu enggan mengikut kamu, kamu bebas daripada sumpah ini. Tetapi janganlah sekali-kali membawa anakku ke sana.” 9 Hamba itu pun meletakkan tangannya di bawah paha tuannya Abraham dan bersumpah untuk melakukan apa yang disuruhnya.+
10 Maka hamba itu mengambil 10 ekor unta dan bermacam-macam hadiah daripada tuannya lalu bertolak ke kota Nahor di Mesopotamia. 11 Setelah dia tiba di sebuah perigi yang terletak di luar kota itu, dia berhenti agar unta-untanya dapat berehat. Hari sudah petang dan itulah waktunya kaum wanita keluar untuk menimba air. 12 Dia berdoa, “Yehuwa, Tuhan kepada tuanku Abraham, tolonglah aku supaya aku berjaya hari ini. Tunjukkanlah kasih setia-Mu kepada tuanku Abraham. 13 Aku sedang berdiri dekat sebuah perigi, dan gadis-gadis dari kota akan datang untuk menimba air. 14 Aku akan berkata kepada seorang gadis muda, ‘Tolong turunkan tembikar airmu agar aku dapat minum.’ Jika dia menjawab, ‘Minumlah, dan aku juga akan memberi unta-unta tuan minum,’ maka dialah orang yang Engkau pilih untuk hamba-Mu Ishak. Dengan demikian, aku akan tahu bahawa Engkau telah menunjukkan kasih setia-Mu kepada tuanku.”
15 Sebelum hamba itu selesai berdoa, Ribka keluar dari kota sambil membawa tembikar air di atas bahunya. Dialah anak perempuan Betuel. (Betuel+ ialah anak kepada Nahor+ dan Milkah.+ Nahor pula ialah abang Abraham.) 16 Gadis muda itu sangat cantik, dan dia masih dara. Dia pergi ke perigi itu, mengisi tembikar airnya, lalu kembali. 17 Dengan segera, hamba itu berlari untuk menemuinya dan berkata, “Tolong beri aku sedikit air daripada tembikarmu.” 18 Maka dia berkata, “Minumlah tuan.” Kemudian dia segera menurunkan tembikar airnya dari bahu, dan sambil memegang tembikar itu, dia memberi hamba itu minum. 19 Selepas hamba itu minum, gadis itu berkata, “Aku akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sampai puas.” 20 Gadis itu cepat-cepat menuang air daripada tembikarnya ke dalam tempat minum unta. Kemudian, dia berlari ulang-alik ke perigi untuk mengambil air bagi semua unta itu. 21 Sepanjang waktu itu, hamba itu memperhatikannya dengan kagum tanpa mengucapkan sepatah kata pun. Hamba itu tertanya-tanya sama ada Yehuwa telah memberkati perjalanannya atau tidak.
22 Selepas semua unta selesai minum, hamba Abraham memberi gadis itu anting-anting hidung yang dibuat daripada emas, yang beratnya setengah syekel,* dan dua gelang emas yang beratnya 10 syekel. 23 Kemudian dia bertanya, “Tolong beritahu aku: Kamu anak siapa? Adakah tempat untuk kami bermalam di rumah bapamu?” 24 Gadis itu menjawab, “Bapaku Betuel,+ anak kepada Milkah dan Nahor.”+ 25 Gadis itu juga berkata, “Kami ada jerami dan banyak makanan ternakan, dan juga tempat untuk bermalam.” 26 Hamba itu berlutut dan sujud menyembah Yehuwa 27 lalu berkata, “Terpujilah Yehuwa, Tuhan kepada tuanku Abraham, kerana Dia sentiasa menunjukkan kesetiaan dan kebaikan hati* kepada tuanku. Yehuwa telah memimpin aku ke rumah saudara-saudara tuanku.”
28 Gadis itu pun berlari ke rumah ibunya dan menceritakan apa yang berlaku. 29 Ribka mempunyai seorang abang yang bernama Laban.+ Laban berlari keluar untuk menemui hamba Abraham yang berada dekat perigi. 30 Dia berbuat demikian setelah melihat anting-anting hidung dan gelang pada tangan adiknya Ribka, dan setelah mendengar Ribka menceritakan apa yang dikatakan oleh hamba itu. Semasa dia menemui hamba Abraham, hamba itu masih berdiri dekat perigi bersama unta-untanya. 31 Laban segera berkata, “Hai kamu yang diberkati Yehuwa, mengapakah kamu masih berdiri di sini? Aku sudah mempersiapkan tempat untukmu dan unta-untamu.” 32 Maka hamba itu mengikutnya masuk ke dalam rumah. Dia* menurunkan muatan unta, lalu memberikan jerami dan makanan kepada unta-unta. Kemudian, dia membawa air untuk membasuh kaki hamba itu dan semua orang yang datang bersamanya. 33 Apabila makanan dihidangkan, hamba itu berkata, “Aku tidak akan makan sebelum menyampaikan pesanan yang aku bawa.” Maka Laban berkata, “Sila katakan.”
34 Kemudian hamba itu berkata, “Aku hamba Abraham.+ 35 Yehuwa telah memberkati tuanku dengan melimpah. Tuhan sudah menjadikannya sangat kaya dengan memberinya biri-biri, lembu, perak, emas, hamba lelaki, hamba perempuan, unta, dan keldai.+ 36 Sara, iaitu isteri tuanku, telah melahirkan seorang anak lelaki semasa dia sudah tua.+ Tuanku akan mewariskan segala-gala yang dimilikinya kepada anak itu.+ 37 Tuan aku menyuruh aku bersumpah lalu dia berkata kepadaku, ‘Janganlah cari seorang gadis dari negeri yang aku tinggal ini, iaitu gadis Kanaan, untuk dijadikan isteri kepada anakku.+ 38 Sebaliknya, pergilah ke rumah bapaku dan carilah seorang isteri untuk anakku dalam kalangan saudara-maraku.’+ 39 Tetapi aku bertanya, ‘Bagaimana pula jika gadis itu enggan mengikutku?’+ 40 Dia menjawab, ‘Yehuwa yang aku sembah+ akan mengutus malaikat-Nya+ untuk menyertaimu, dan Dia pasti memberkati perjalananmu. Kamu mesti mencari seorang isteri untuk anakku dalam kalangan saudara-maraku dan rumah bapaku.+ 41 Kamu akan bebas daripada sumpahmu jika kamu pergi kepada saudara-maraku. Biarpun mereka enggan membiarkan gadis itu mengikut kamu, kamu sudah bebas daripada sumpahmu.’+
42 “Hari ini, semasa aku sampai di perigi, aku berdoa, ‘Yehuwa, Tuhan kepada tuanku Abraham, berkatilah perjalananku. 43 Sekarang aku berdiri dekat sebuah perigi. Aku akan berkata kepada seorang gadis muda+ yang datang untuk menimba air, “Tolong beri aku sedikit air daripada tembikar airmu.” 44 Jika dia menjawab, “Minumlah, dan aku juga akan menimba air untuk unta-unta tuan,” maka gadis itulah yang telah dipilih oleh Yehuwa untuk anak tuanku.’+
45 “Sebelum aku selesai berdoa dalam hati, Ribka pun datang sambil membawa tembikar di atas bahunya, lalu dia pergi ke perigi untuk menimba air. Kemudian aku berkata kepadanya, ‘Tolong beri aku minum.’+ 46 Dia cepat-cepat menurunkan tembikar airnya dari bahu dan berkata, ‘Minumlah,+ dan aku akan menimba air untuk unta-unta tuan juga.’ Maka aku pun minum, dan dia juga memberi unta-untaku minum. 47 Selepas itu, aku bertanya kepadanya, ‘Kamu anak siapa?’ Dia menjawab, ‘Bapaku Betuel, anak kepada Milkah dan Nahor.’ Maka aku mengenakan anting-anting pada hidungnya dan gelang pada tangannya.+ 48 Lalu aku berlutut dan sujud menyembah Yehuwa. Aku memuji Yehuwa, Tuhan kepada tuan aku Abraham,+ kerana Dia memimpin aku sehingga menemui anak perempuan kepada abang tuan aku untuk dijadikan sebagai isteri anaknya. 49 Sekarang, beritahulah aku jika kamu sudi menunjukkan kesetiaan dan kebaikan hati* kepada tuan aku. Jika tidak, beritahulah aku juga, supaya aku tahu apa yang harus aku lakukan.”+
50 Kemudian Laban dan Betuel menjawab, “Memandangkan hal ini berasal daripada Yehuwa, kami tidak boleh menjawab ya atau tidak kepadamu. 51 Ini dia Ribka, bawalah dia dan pergilah. Biarlah dia menjadi isteri kepada anak lelaki tuanmu, seperti yang difirmankan oleh Yehuwa.” 52 Sebaik sahaja hamba Abraham mendengar kata-kata mereka, dia bersujud di hadapan Yehuwa. 53 Kemudian, dia mengeluarkan perhiasan perak dan emas serta pakaian, lalu memberikan semuanya kepada Ribka. Dia juga memberikan hadiah yang berharga kepada abang dan ibunya. 54 Selepas itu, dia dan orang yang datang bersamanya makan dan minum, serta bermalam di sana.
Apabila hamba itu bangun pada keesokan harinya, dia berkata, “Izinkanlah aku pulang kepada tuan aku.” 55 Abang dan ibu Ribka berkata, “Biarlah Ribka tinggal bersama kami untuk sekurang-kurangnya 10 hari. Selepas itu, dia boleh pergi.” 56 Tetapi hamba itu berkata, “Janganlah halang aku. Yehuwa sudah membuat perjalananku berjaya. Izinkanlah aku pulang kepada tuan aku.” 57 Maka mereka berkata, “Mari kita panggil Ribka dan menanyakan pendapatnya.” 58 Mereka memanggil Ribka dan bertanya, “Sudikah kamu pergi bersama lelaki ini?” Dia menjawab, “Ya, aku sudi.”
59 Jadi saudara-mara Ribka+ mengizinkan Ribka dan pengasuhnya*+ pergi bersama hamba Abraham dan orang yang mengikutnya. 60 Mereka memberkati Ribka dan berkata, “Ya adik kami, semoga kamu menjadi ibu kepada berjuta-juta orang. Semoga keturunanmu menguasai kota-kota orang yang membenci mereka.”+ 61 Kemudian Ribka dan pelayan-pelayannya bersiap sedia, menaiki unta-unta, lalu mengikut hamba Abraham. Demikianlah hamba itu membawa Ribka dan meneruskan perjalanannya.
62 Pada masa itu, Ishak tinggal di Negeb,+ dan dia baru datang dari arah Beer-lahai-roi.+ 63 Pada waktu senja, Ishak berjalan di padang untuk membuat perenungan.+ Apabila dia melihat ke hadapan, dia nampak unta-unta datang! 64 Apabila Ribka ternampak Ishak, dia cepat-cepat turun dari untanya. 65 Dia bertanya kepada hamba Abraham, “Siapakah lelaki di padang yang sedang berjalan ke arah kita?” Hamba itu berkata, “Dialah tuan aku.” Maka Ribka mengambil selendangnya dan menudung kepalanya. 66 Hamba itu memberitahu Ishak segala yang dilakukannya. 67 Kemudian, Ishak membawa Ribka masuk ke dalam khemah ibunya Sara.+ Dengan demikian Ribka menjadi isteri Ishak, dan Ishak jatuh cinta dengannya.+ Sejak ibunya meninggal, Ishak bersedih, tetapi sekarang hatinya terhibur.+
25 Abraham berkahwin lagi, dan nama isterinya ialah Ketura. 2 Isterinya kemudian melahirkan Zimran, Yoksan, Medan, Midian,+ Isbak, dan Suah.+
3 Yoksan ialah bapa Syeba dan Dedan.
Keturunan Dedan ialah orang Asyur, orang Letush, dan orang Leum.
4 Anak-anak lelaki Midian ialah Efa, Efer, Hanokh, Abida, dan Eldaa.
Mereka semua ialah cucu Ketura.
5 Abraham mewariskan segala hartanya kepada Ishak,+ 6 tetapi dia memberikan hadiah kepada anak-anak lelakinya yang dilahirkan oleh gundik-gundiknya. Semasa Abraham masih hidup, dia menyuruh mereka berpindah ke negeri yang terletak di Timur, jauh daripada anak lelakinya Ishak.+ 7 Abraham hidup selama 175 tahun. 8 Abraham menikmati umur yang panjang dan puas hati dengan kehidupannya. Dia menghembuskan nafas yang terakhir lalu dikebumikan seperti nenek moyangnya. 9 Anak lelakinya Ishak dan Ismael mengebumikannya di dalam Gua Makhpela dekat Mamre+ di tanah milik Efron anak Zohar, orang Het itu. 10 Tanah itu sudah dibeli oleh Abraham daripada orang Het. Abraham dikebumikan di situ bersama isterinya Sara.+ 11 Setelah Abraham meninggal, Tuhan terus memberkati Ishak,+ dan Ishak tinggal berhampiran Beer-lahai-roi.+
12 Inilah senarai keturunan Ismael,+ iaitu anak Abraham yang dilahirkan oleh Hagar,+ iaitu hamba Sara dari Mesir.
13 Berikut ialah nama anak-anak lelaki Ismael menurut asal usul keluarga mereka: Anak sulung Ismael ialah Nebayot.+ Adik-adiknya ialah Kedar,+ Adbeel, Mibsam,+ 14 Mishma, Duma, Massa, 15 Hadad, Tema, Yetur, Nafis, dan Kedema. 16 Itulah nama anak-anak lelaki Ismael, iaitu nama 12 orang ketua suku.+ Perkampungan dan perkhemahan mereka juga disebut menurut nama mereka. 17 Ismael hidup selama 137 tahun. Kemudian dia menghembuskan nafas yang terakhir dan dikebumikan seperti nenek moyangnya. 18 Keturunannya tinggal di kawasan di antara Hawila+ dan Assyria. Hawila terletak berdekatan Syur,+ yang berdekatan Mesir. Mereka tinggal berhampiran dengan semua saudara mereka.*+
19 Inilah kisah Ishak anak Abraham.+
Abraham ialah bapa Ishak. 20 Sewaktu Ishak berumur 40 tahun, dia berkahwin dengan Ribka. Ribka ialah anak perempuan kepada Betuel,+ orang Aram dari Padan-aram, dan adik perempuan kepada Laban, seorang lelaki Aram. 21 Ishak terus merayu kepada Yehuwa kerana isterinya mandul. Maka Yehuwa menjawab doanya lalu Ribka mengandung. 22 Anak-anak lelaki di dalam rahimnya mula bergelut dengan satu sama lain.+ Maka Ribka berkata, “Jika aku harus menderita seperti ini, buat apa aku terus hidup?” Oleh itu, dia bertanya kepada Yehuwa tentang hal ini. 23 Yehuwa berfirman kepadanya, “Terdapat dua orang anak lelaki* di dalam rahimmu.+ Anak-anak ini akan dipisahkan dan mereka akan membentuk dua bangsa yang berbeza.+ Satu bangsa akan menjadi lebih kuat daripada bangsa yang satu lagi,+ dan yang sulung akan melayani yang bongsu.”+
24 Apabila tiba masanya Ribka bersalin, ternyata memang ada anak kembar di dalam kandungannya. 25 Anak yang sulung kemerah-merahan dan kulitnya seperti jubah yang berbulu.+ Itulah sebabnya mereka menamakan anak itu Esau.*+ 26 Semasa adiknya dilahirkan, tangannya memegang tumit Esau.+ Maka namanya dipanggil Yakub.*+ Ishak berumur 60 tahun semasa Ribka melahirkan mereka.
27 Anak-anak itu semakin membesar. Esau menjadi seorang pemburu yang mahir,+ dan dia suka keluar memburu. Yakub pula seorang yang tidak bercela, dan dia suka tinggal di dalam khemah.+ 28 Ishak sayang akan Esau, kerana dia suka makan daging binatang buruan, manakala Ribka sayang akan Yakub.+ 29 Pada suatu hari, ketika Yakub sedang memasak bubur kacang, Esau pulang dari memburu. Dia berasa letih sekali, 30 maka dia berkata kepada Yakub, “Cepat! Berilah aku sedikit bubur kacang merah itu. Aku penat dan sangat lapar!” Itulah sebabnya namanya disebut Edom.*+ 31 Yakub berkata, “Juallah dahulu hakmu sebagai anak sulung kepadaku.”+ 32 Esau berkata, “Aku sudah hampir mati! Apa gunanya hak itu bagiku?” 33 Yakub berkata, “Bersumpahlah dahulu kepadaku!” Maka Esau bersumpah dan menjual haknya sebagai anak sulung kepada Yakub.+ 34 Lalu Yakub memberikan roti dan bubur kacang kepada Esau. Selepas makan dan minum, Esau pun beredar. Demikianlah Esau memandang remeh haknya sebagai anak sulung.
26 Kebuluran berlaku lagi di negeri itu seperti yang terjadi pada zaman Abraham.+ Oleh itu, Ishak pergi ke Gerar untuk menghadap Abimelekh, iaitu raja orang Filistin. 2 Yehuwa menampakkan diri kepada Ishak dan berfirman, “Janganlah pergi ke Mesir. Tinggallah di negeri yang Aku tunjukkan kepadamu. 3 Tinggallah di sini sebagai orang asing,+ dan Aku akan terus menyertai engkau dan memberkati engkau. Aku akan memberimu dan keturunanmu seluruh negeri ini,+ dan Aku akan menepati janji-Ku kepada bapamu Abraham. Aku telah bersumpah kepadanya,+ 4 ‘Aku akan melipatgandakan keturunanmu sehingga mereka menjadi banyak seperti bintang-bintang di langit.+ Seluruh negeri ini akan Aku berikan kepada keturunanmu.+ Melalui keturunanmu, semua bangsa di bumi akan meraih berkat.’*+ 5 Aku akan berbuat demikian kerana Abraham telah mendengar kata-kata-Ku dan melakukan apa yang Aku kehendaki. Dia juga mematuhi arahan, perintah, dan hukum-Ku.”+ 6 Oleh itu, Ishak terus menetap di Gerar.+
7 Apabila orang di situ bertanya tentang isterinya, Ishak akan berkata, “Dia ialah adikku.”+ Oleh sebab Ribka seorang wanita yang cantik,+ Ishak takut untuk berkata, “Dia ialah isteriku,” kerana dia berfikir, “Mungkin mereka akan membunuh aku kerana Ribka.” 8 Beberapa lama kemudian, Abimelekh raja orang Filistin memandang ke luar jendelanya dan ternampak Ishak bermesra dengan* isterinya Ribka.+ 9 Abimelekh segera memanggil Ishak dan berkata kepadanya, “Dia memang isterimu! Mengapa kamu kata dia itu adikmu?” Ishak menjawab, “Hamba takut dibunuh jika hamba mengatakan bahawa dia isteri hamba.”+ 10 Abimelekh berkata lagi, “Apakah yang telah kamu lakukan terhadap kami?+ Bila-bila sahaja salah seorang daripada rakyat beta mungkin meniduri isterimu. Jika hal itu berlaku, kamu akan menyebabkan kami berdosa!”+ 11 Kemudian Abimelekh memberikan perintah berikut kepada semua rakyatnya: “Sesiapa pun yang menyentuh lelaki ini dan isterinya pasti akan dibunuh!”
12 Ishak mula menyemai benih di negeri itu, dan pada tahun itu, dia mendapat hasil seratus kali ganda kerana Yehuwa memberkatinya.+ 13 Ishak menjadi seorang yang kaya. Dia terus makmur dan menjadi kaya-raya. 14 Biri-biri, lembu, dan hamba yang dimilikinya begitu banyak+ sehingga orang Filistin mula berasa cemburu terhadapnya.
15 Maka orang Filistin menimbus semua perigi yang telah digali oleh hamba-hamba Abraham ketika Abraham masih hidup.+ 16 Abimelekh berkata kepada Ishak, “Tinggalkanlah negeri ini, kerana kamu sudah menjadi lebih berkuasa daripada kami.” 17 Maka Ishak meninggalkan negeri itu dan berkhemah di sebuah lembah* di Gerar.+ Dia menetap di situ 18 dan menggali semula perigi-perigi yang telah digali semasa bapanya Abraham masih hidup, kerana perigi-perigi itu telah ditimbus oleh orang Filistin selepas kematian Abraham.+ Ishak menamakan perigi-perigi itu menurut nama yang diberikan oleh bapanya dahulu.+
19 Semasa hamba-hamba Ishak menggali tanah di lembah itu, mereka menjumpai sebuah perigi. 20 Gembala-gembala dari Gerar bertengkar dengan gembala-gembala Ishak dan berkata, “Air ini kepunyaan kami!” Oleh itu, Ishak menamakan perigi itu Esek* kerana mereka telah bertengkar dengannya. 21 Hamba-hamba Ishak menggali sebuah perigi lagi, tetapi di situ juga pertengkaran berlaku. Maka Ishak menamakan perigi tersebut Sitna.* 22 Kemudian dia berpindah dari situ dan menggali sebuah perigi lagi. Kali ini pertengkaran tidak berlaku, maka Ishak menamakannya Rehobot.* Dia berkata, “Kini Yehuwa sudah memberi kita tempat yang luas, dan memberi kita banyak anak cucu di negeri ini.”+
23 Ishak pun berangkat dari situ dan pergi ke Beer-syeba.+ 24 Pada malam itu, Yehuwa menampakkan diri kepada Ishak dan berfirman, “Akulah Tuhan bapamu Abraham.+ Janganlah berasa takut,+ kerana Aku menyertaimu. Aku akan memberkatimu dan melipatgandakan keturunanmu demi hamba-Ku Abraham.”+ 25 Maka Ishak mendirikan sebuah mazbah di situ dan mula memuji nama Yehuwa.+ Kemudian dia memasang khemahnya di situ,+ dan hamba-hambanya menggali sebuah perigi lagi.
26 Beberapa waktu kemudian, Abimelekh datang dari Gerar bersama Ahuzat penasihatnya dan Pikhol ketua tenteranya untuk berjumpa dengan Ishak.+ 27 Maka Ishak bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu datang untuk berjumpa denganku, sedangkan kamu membenciku dan mengusirku dari negeri kamu?” 28 Mereka menjawab, “Kami nampak dengan jelas bahawa Yehuwa menyertai kamu.+ Oleh itu, kami berkata, ‘Lebih baik kami membuat perjanjian damai denganmu,+ dan meminta kamu bersumpah 29 bahawa kamu tidak akan berbuat jahat terhadap kami, sebagaimana kami tidak berbuat jahat terhadap kamu. Kami hanya berbuat baik terhadapmu dan membiarkan kamu pergi dengan damai. Sekarang, Yehuwa telah memberkati kamu.’” 30 Kemudian Ishak mengadakan jamuan untuk mereka, lalu mereka pun makan dan minum. 31 Keesokan paginya, mereka bangun awal dan membuat perjanjian yang disahkan dengan sumpah.+ Selepas itu, Ishak membiarkan mereka pergi dengan damai.
32 Pada hari itu juga, hamba-hamba Ishak datang dan memberitahunya tentang perigi yang telah digali.+ Mereka berkata, “Kami sudah menjumpai air!” 33 Maka dia menamakan perigi itu Shiba. Itulah sebabnya kota itu dipanggil Beer-syeba+ sampai hari ini.
34 Semasa Esau berumur 40 tahun, dia berkahwin dengan dua orang gadis berbangsa Het, iaitu Yudit anak Beeri dan Basmat anak Elon.+ 35 Mereka membuat Ishak dan Ribka berasa sangat sedih.+
27 Ishak sudah tua dan dia tidak dapat melihat lagi. Dia memanggil anak sulungnya Esau+ dan berkata, “Anakku!” Esau menjawab, “Ya, ayah!” 2 Kemudian Ishak berkata, “Aku sudah tua, dan aku tidak tahu berapa lama lagi aku akan hidup. 3 Jadi sekarang, ambillah busur dan anak panahmu, dan pergilah memburu binatang liar untukku.+ 4 Kemudian, masaklah makanan lazat yang aku sukai, dan bawalah makanan itu kepadaku, supaya aku dapat memakannya dan memberkatimu sebelum aku meninggal.”
5 Ribka sedang mendengar semasa Ishak bercakap dengan Esau. Apabila Esau pergi memburu binatang untuk dibawa pulang,+ 6 Ribka berkata kepada Yakub,+ “Aku baru sahaja mendengar bapamu bercakap dengan abangmu Esau. Bapamu berkata, 7 ‘Bawalah binatang buruan dan masaklah makanan yang lazat untukku. Aku akan memakannya dan memberkatimu di hadapan Yehuwa sebelum aku meninggal.’+ 8 Sekarang, hai anakku, dengarlah dan buatlah apa yang mak katakan kepadamu.+ 9 Pergilah ke kawanan ternakan dan bawalah dua ekor anak kambing yang terbaik kepadaku, supaya mak dapat menyediakan makanan lazat yang disukai bapamu. 10 Kemudian, bawalah makanan itu kepada bapamu, supaya dia dapat memakannya dan memberkatimu sebelum dia meninggal.”
11 Yakub berkata kepada ibunya, “Tetapi badan Esau berbulu,+ sedangkan saya tidak. 12 Bagaimana pula jika ayah menyentuh saya?+ Tentu ayah akan berfikir bahawa saya mempermainkannya. Nanti ayah akan mengutuk saya, dan bukannya memberkati saya.” 13 Ibunya berkata, “Janganlah khuatir, anakku. Biarlah mak yang menanggung kutukan itu. Buat saja apa yang mak katakan. Pergilah ambil kambing-kambing itu.”+ 14 Jadi Yakub mengambil kambing-kambing itu lalu membawanya kepada ibunya. Kemudian ibunya memasak makanan lazat yang disukai bapanya. 15 Selepas itu, Ribka mengambil pakaian Esau yang terbaik, yang disimpannya di dalam khemah, lalu mengenakannya pada Yakub.+ 16 Dia menutupi tangan dan bahagian leher Yakub yang tidak berbulu dengan kulit anak kambing.+ 17 Kemudian dia memberikan makanan lazat dan roti yang dibuatnya kepada Yakub.+
18 Yakub pun pergi kepada bapanya dan berkata, “Ayah!” Ishak menjawab, “Ya, siapakah kamu, Esau atau Yakub?” 19 Yakub berkata kepada bapanya, “Saya Esau, anak sulung ayah.+ Saya sudah melakukan apa yang ayah suruh. Duduklah dan makanlah daging binatang buruan yang saya bawa ini, supaya ayah dapat memberkati saya.”+ 20 Ishak berkata, “Hai anakku, bagaimana kamu mendapatkannya dengan begitu cepat?” Yakub menjawab, “Yehuwa, Tuhan ayah, telah membawanya kepada saya.” 21 Kemudian Ishak berkata kepada Yakub, “Anakku, marilah dekat sedikit supaya ayah dapat menyentuhmu. Benarkah kamu ini Esau?”+ 22 Maka Yakub menghampiri bapanya Ishak. Bapanya merabanya dan berkata, “Suaramu seperti suara Yakub, tetapi tanganmu seperti tangan Esau.”+ 23 Ishak tidak mengenal Yakub kerana tangannya berbulu seperti tangan Esau. Maka Ishak memberkati Yakub.+
24 Ishak bertanya lagi, “Benarkah kamu ini Esau?” Yakub menjawab, “Ya.” 25 Oleh itu, Ishak berkata, “Anakku, bawalah daging binatang buruan itu kepadaku, supaya aku dapat makan lalu memberkatimu.” Maka Yakub membawa makanan itu dan wain kepada bapanya, lalu bapanya makan dan minum. 26 Kemudian Ishak berkata, “Anakku, marilah dekat sedikit, dan ciumlah aku.”+ 27 Semasa Yakub menghampiri bapanya dan menciumnya, Ishak menghidu pakaian anaknya,+ lalu memberkati Yakub dengan berkata,
“Bau anakku seharum padang yang diberkati Yehuwa. 28 Semoga Tuhan yang benar mengurniai engkau embun dari langit+ dan tanah yang subur di bumi.+ Semoga engkau dikurniai biji-bijian dan wain baharu yang berlimpah-limpah.+ 29 Semoga orang melayanimu, dan hendaklah bangsa-bangsa bersujud kepadamu. Semoga kamu menjadi tuan kepada saudara-saudaramu, dan hendaklah keturunan ibumu bersujud kepadamu.+ Terkutuklah setiap orang yang mengutukmu, dan diberkatilah setiap orang yang memberkatimu.”+
30 Setelah Ishak memberkati Yakub, Yakub pun beredar. Sebaik sahaja Yakub pergi, Esau pulang dari memburu.+ 31 Esau juga menyediakan makanan yang lazat dan membawanya kepada bapanya. Dia berkata, “Ayah, duduklah dan makanlah daging binatang buruan saya, supaya ayah dapat memberkati saya.” 32 Maka Ishak berkata kepada Esau, “Kamu ini siapa?” Esau menjawab, “Saya Esau, anak sulung ayah.”+ 33 Seluruh tubuh Ishak menggeletar, dan dia berkata, “Jadi siapakah yang memburu binatang dan membawanya kepadaku tadi? Aku sudah makan sebelum kamu sampai, dan aku sudah memberkatinya. Kini berkat itu akan menjadi miliknya!”
34 Setelah mendengar kata-kata bapanya, Esau meraung-raung dengan penuh kepedihan. Dia merayu kepada bapanya, “Berkatilah saya juga ayah!”+ 35 Ishak berkata, “Adikmu sudah datang dan menipu aku, supaya dia mendapat berkat yang hendak aku berikan kepadamu.” 36 Maka Esau berkata, “Memang padanlah namanya Yakub,* kerana sudah dua kali dia mengambil alih tempat saya.+ Dahulu dia telah mengambil hak saya sebagai anak sulung,+ dan sekarang dia telah mengambil berkat saya!+ Tidakkah ayah mempunyai berkat lain untuk saya?” 37 Ishak menjawab, “Aku telah menjadikannya tuanmu,+ dan saudara-saudaranya telah aku jadikan hambanya. Aku juga telah memberikan biji-bijian dan wain baharu untuk dinikmatinya.+ Apa lagi yang dapat aku lakukan untukmu, nak?”
38 Esau berkata kepada bapanya, “Ayah, berkatilah saya! Tidak bolehkah ayah memberkati saya juga?” Maka Esau meraung-raung dan menangis teresak-esak.+ 39 Bapanya menjawab,
“Lihatlah, kamu tidak akan tinggal di tanah yang subur di bumi, dan kamu tidak akan menerima embun dari langit.+ 40 Kamu harus menggunakan pedang seumur hidupmu,+ dan kamu akan melayani adikmu.+ Tetapi apabila kamu tidak tahan diperhamba lagi, kamu akan mematahkan kuk* yang diletakkannya di atas tengkukmu.”+
41 Esau memendam perasaan benci terhadap Yakub kerana bapanya sudah memberkati Yakub.+ Esau asyik berkata dalam hatinya, “Ayah akan meninggal tidak lama lagi.+ Selepas itu, aku akan membunuh Yakub.” 42 Ada orang memberitahu Ribka apa yang dikatakan oleh Esau, maka Ribka segera memanggil Yakub dan berkata kepadanya, “Dengarlah, abangmu Esau merancang untuk membalas dendam dan membunuhmu. 43 Sekarang anakku, lakukanlah apa yang mak katakan. Larilah ke Haran. Carilah abangku Laban+ 44 dan tinggallah bersamanya untuk beberapa lama, sehingga kemarahan abangmu reda. 45 Tunggulah sehingga dia tidak lagi marah terhadapmu dan melupakan apa yang sudah kamu lakukan terhadapnya. Selepas itu, aku akan menghantar orang ke situ untuk memanggilmu. Aku tidak mahu kehilangan kedua-dua orang anakku dalam sehari.”
46 Selepas itu, Ribka selalu berkata kepada Ishak, “Aku sudah muak dengan hidupku kerana gadis-gadis Het.+ Jika Yakub mengahwini gadis di tempat ini yang seperti gadis-gadis Het, lebih baik aku mati sahaja!”+
28 Ishak memanggil Yakub, memberkatinya, lalu berkata, “Jangan berkahwin dengan gadis Kanaan.+ 2 Pergilah ke Padan-aram, iaitu ke rumah datukmu* Betuel. Di situ, berkahwinlah dengan salah seorang anak perempuan Laban,+ abang ibumu. 3 Tuhan Yang Maha Kuasa akan memberkatimu. Dia akan melipatgandakan keturunanmu dan memberimu banyak anak cucu. Kamu akan menjadi nenek moyang kepada sebuah bangsa yang besar.+ 4 Berkat yang dijanjikan Tuhan kepada Abraham+ akan diberikan-Nya kepadamu dan keturunanmu. Meskipun kamu tinggal di negeri ini sebagai orang asing, kamu akan memiliki negeri ini yang telah diberikan oleh Tuhan kepada Abraham.”+
5 Maka Ishak menyuruh Yakub pergi. Yakub pun berangkat ke Padan-aram, iaitu ke rumah Laban anak Betuel, orang Aram itu.+ Laban ialah abang Ribka,+ ibu kepada Yakub dan Esau.
6 Esau mendengar bahawa Ishak telah memberkati Yakub dan menyuruhnya pergi ke Padan-aram untuk mencari isteri di sana. Esau juga mendengar bahawa semasa Ishak memberkati Yakub, dia berkata, “Jangan berkahwin dengan gadis Kanaan.”+ 7 Esau mendapati bahawa Yakub mematuhi kata-kata ibu bapanya lalu berangkat ke Padan-aram.+ 8 Akhirnya Esau sedar bahawa bapanya, Ishak, tidak menyukai gadis-gadis Kanaan.+ 9 Maka Esau pergi berjumpa dengan Ismael anak Abraham, dan mengahwini Mahalat, anak perempuannya. (Mahalat ialah adik Nebayot.) Sebelum itu, Esau sudah mempunyai dua orang isteri.+
10 Yakub meninggalkan Beer-syeba dan menuju ke Haran.+ 11 Sewaktu matahari terbenam, dia tiba di suatu tempat lalu bermalam di sana. Dia berbaring untuk tidur, dan kepalanya berbantalkan batu.+ 12 Kemudian dia bermimpi, dan dalam mimpinya, dia nampak sebuah tangga di bumi yang hujungnya sampai ke syurga. Malaikat-malaikat Tuhan sedang naik turun tangga itu.+ 13 Dia nampak Yehuwa di atas tangga itu. Tuhan berfirman,
“Akulah Yehuwa, Tuhan kepada datukmu Abraham, dan Tuhan kepada Ishak.+ Tanah tempat engkau berbaring ini akan Aku berikan kepadamu dan keturunanmu.+ 14 Keturunanmu akan menjadi sebanyak debu di bumi,+ dan tersebar luas ke utara, selatan, timur, dan barat. Melalui engkau dan keturunanmu, semua bangsa* di bumi akan diberkati.*+ 15 Aku akan menyertaimu dan melindungimu ke mana sahaja engkau pergi, lalu Aku akan membawa engkau kembali ke negeri ini.+ Aku tidak akan meninggalkanmu sehingga Aku menepati janji-Ku kepadamu.”+
16 Kemudian Yakub bangun daripada tidur dan berkata, “Sememangnya Yehuwa berada di tempat ini, dan baru sekarang aku mengetahuinya.” 17 Yakub berasa takut dan kagum lalu berkata, “Tempat ini sungguh luar biasa! Sudah tentu ini rumah Tuhan,+ dan inilah pintu gerbang syurga.”+ 18 Pada awal pagi, Yakub bangun dan mengambil batu yang digunakannya sebagai bantal, lalu menegakkan batu itu menjadi batu peringatan. Kemudian dia menuangkan minyak di atas batu itu,+ 19 dan menamakan tempat itu Bethel,* tetapi kota yang berhampiran dengannya dikenali sebagai Lus sebelum ini.+
20 Yakub berikrar, “Jika Tuhan menyertai dan melindungiku sepanjang perjalananku, dan membekalkan makanan dan pakaian kepadaku 21 sehingga aku kembali ke rumah bapaku dengan selamat, maka terbuktilah bahawa Yehuwa sememangnya Tuhanku. 22 Batu peringatan yang aku tegakkan ini akan menjadi rumah Tuhan.+ Aku akan memberi Engkau satu persepuluh daripada segala yang Engkau berikan kepadaku.”
29 Yakub meneruskan perjalanannya dan pergi ke negeri yang terletak di Timur. 2 Dia nampak sebuah perigi di padang rumput, dan perigi itu ditutup dengan sebuah batu yang besar. Ada tiga kawanan biri-biri yang sedang berehat berdekatan perigi itu, kerana kawanan biri-biri biasanya diberi minum di situ. 3 Apabila semua kawanan itu dikumpulkan, batu itu akan digulingkan ke tepi, dan para gembala akan memberi ternakan mereka minum. Selepas itu, mereka akan meletakkan semula batu itu ke tempat asalnya.
4 Yakub bertanya kepada mereka, “Wahai saudara-saudaraku, kamu datang dari mana?” Mereka menjawab, “Kami datang dari Haran.”+ 5 Dia bertanya lagi, “Kamu kenalkah Laban,+ cucu Nahor?”+ “Ya, kami kenal dia,” jawab mereka. 6 Yakub berkata, “Adakah dia sihat?” Mereka menjawab, “Ya, dia sihat. Itu dia Rahel,+ anak perempuannya, yang datang bersama biri-birinya.” 7 Yakub berkata, “Hari masih siang. Belum tiba masanya untuk memasukkan kawanan biri-biri ke dalam kandang. Berilah kawanan itu minum dan biarlah kawanan itu meragut rumput.” 8 Namun mereka berkata, “Kami tidak dibenarkan untuk berbuat demikian sehingga semua ternakan itu sudah dikumpulkan dan batu penutup perigi itu digulingkan ke tepi. Setelah itu, barulah kami boleh memberi kawanan kami minum.”
9 Sementara Yakub masih bercakap-cakap dengan mereka, Rahel tiba bersama biri-biri bapanya. Rahel ialah seorang gembala, 10 dan bapanya ialah Laban, iaitu abang kepada ibu Yakub. Apabila Yakub nampak Rahel datang bersama kawanannya, dia cepat-cepat mengalihkan batu penutup perigi itu lalu memberi biri-biri itu minum. 11 Kemudian Yakub mencium Rahel dan mula menangis dengan kuat. 12 Yakub memberitahu Rahel bahawa dia ialah anak saudara bapa Rahel, dan ibunya ialah Ribka. Selepas itu, Rahel bergegas pulang untuk memberitahu bapanya tentang hal itu.
13 Sebaik sahaja Laban+ mendengar berita tentang Yakub, anak kepada adik perempuannya, dia berlari untuk berjumpa dengan Yakub. Laban memeluk dan mencium Yakub, lalu membawa dia masuk ke dalam rumah. Kemudian Yakub memberitahunya segala yang berlaku. 14 Laban berkata kepadanya, “Kita memang ada pertalian darah.” Maka Yakub tinggal dengannya selama sebulan.
15 Laban berkata kepada Yakub, “Kamu tidak patut bekerja untukku tanpa mendapat apa-apa, hanya kerana kamu anak saudaraku.+ Beritahulah aku, apakah upah yang kamu ingini?”+ 16 Laban mempunyai dua orang anak perempuan. Yang sulung bernama Lea, dan yang bongsu bernama Rahel.+ 17 Mata Lea tidak cantik, tetapi Rahel pula sangat jelita dan menawan. 18 Yakub telah jatuh cinta dengan Rahel, maka dia berkata, “Demi Rahel anak bongsumu, saya sudi bekerja selama tujuh tahun untuk pak cik.”+ 19 Laban menjawab, “Lebih baik dia menjadi isterimu daripada menjadi isteri orang lain. Tinggallah bersamaku.” 20 Yakub bekerja selama tujuh tahun demi Rahel,+ tetapi baginya tujuh tahun itu seperti beberapa hari sahaja kerana dia mencintai Rahel.
21 Kemudian Yakub berkata kepada Laban, “Tempoh masa saya bekerja sudah tamat. Biarlah saya mengahwini Rahel dan menjadikannya isteri saya.”* 22 Laban pun membuat kenduri dan menjemput semua orang tempatan. 23 Tetapi pada waktu malam, Lea pula yang dihantar oleh Laban kepada Yakub, maka Yakub bersetubuh dengan Lea. 24 Laban juga memberikan hamba perempuannya Zilpa kepada Lea untuk menjadi hambanya.+ 25 Pada waktu pagi, barulah Yakub sedar bahawa orang yang dikahwininya itu ialah Lea! Maka dia berkata kepada Laban, “Apakah yang sudah pak cik lakukan terhadap saya? Saya sudah bekerja untuk pak cik demi Rahel. Mengapakah pak cik menipu saya?”+ 26 Laban menjawab, “Menurut adat di sini, adik tidak boleh berkahwin sebelum kakaknya berkahwin. 27 Nikmatilah masa bersama isterimu sepanjang minggu ini. Kemudian Rahel akan diberikan kepadamu jika kamu sudi bekerja untukku tujuh tahun lagi.”+ 28 Yakub pun menikmati masanya bersama Lea selama seminggu. Selepas itu, Laban juga memberikan Rahel kepada Yakub untuk dijadikan isterinya. 29 Selain itu, Laban memberikan hamba perempuannya Bilha+ kepada Rahel untuk dijadikan hambanya.+
30 Maka Yakub juga bersetubuh dengan Rahel. Dia lebih mengasihi Rahel daripada Lea, dan dia berkhidmat untuk Laban selama tujuh tahun lagi.+ 31 Apabila Yehuwa nampak bahawa Lea tidak begitu dikasihi,* Dia mengizinkan Lea untuk melahirkan anak,+ tetapi Rahel masih mandul.+ 32 Lea pun hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Lea menamakan anak itu Ruben.*+ Dia berkata, “Yehuwa telah melihat kesusahanku,+ dan kini suamiku akan mula mengasihi aku.” 33 Kemudian dia hamil lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Yehuwa telah mendengar bahawa aku tidak dikasihi, maka Dia juga memberikan anak ini kepadaku.” Oleh itu, dia menamakan anak itu Simeon.*+ 34 Dia hamil lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Kini suamiku akan lebih terikat kepadaku, kerana aku sudah melahirkan tiga orang anak lelaki untuknya.” Maka dia menamakan anak itu Lewi.*+ 35 Sekali lagi dia hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Sekarang aku akan memuji Yehuwa.” Oleh itu, dia menamakan anak itu Yehuda.*+ Kemudian Lea tidak melahirkan anak buat suatu jangka waktu.
30 Ketika Rahel mendapati bahawa dia tidak melahirkan anak bagi Yakub, dia berasa cemburu terhadap kakaknya. Maka dia berkata kepada Yakub, “Berilah aku anak, kalau tidak aku akan mati.” 2 Yakub menjadi marah terhadap Rahel lalu berkata, “Adakah aku ini Tuhan? Adakah aku yang menyebabkan kamu tidak dapat beranak?” 3 Maka Rahel berkata, “Ini Bilha hamba perempuanku.+ Tidurlah dengannya supaya dia melahirkan anak bagiku, dan aku boleh mendapat anak melalui dia.” 4 Rahel pun memberikan hambanya Bilha kepada Yakub sebagai isteri, lalu Yakub bersetubuh dengan Bilha.+ 5 Bilha pun hamil dan melahirkan seorang anak lelaki bagi Yakub. 6 Lalu Rahel berkata, “Tuhan telah bertindak sebagai hakimku dan Dia telah mendengar kata-kataku lalu memberi aku seorang anak lelaki.” Maka dia menamakan anaknya Dan.*+ 7 Bilha, hamba Rahel itu, mengandung lagi dan melahirkan anak lelaki yang kedua bagi Yakub. 8 Kemudian Rahel berkata, “Aku sudah bergelut mati-matian dengan kakakku, dan aku sudah menang!” Maka dia menamakan anaknya Naftali.*+
9 Apabila Lea sedar bahawa dia tidak mendapat anak lagi, dia memberikan hamba perempuannya Zilpa kepada Yakub sebagai isteri.+ 10 Maka Zilpa, hamba Lea itu, melahirkan seorang anak lelaki bagi Yakub. 11 Lea berkata, “Betapa beruntungnya aku!” Maka dia menamakan anaknya Gad.*+ 12 Selepas itu, Zilpa, hamba Lea, melahirkan anak lelaki yang kedua bagi Yakub. 13 Lea berkata, “Alangkah bahagianya aku! Semua wanita akan mengatakan aku berbahagia.”+ Maka dia menamakan anaknya Asyer.*+
14 Pada musim menuai gandum, Ruben+ berjalan-jalan di ladang dan menjumpai sejenis buah* di sana. Dia membawa buah itu kepada ibunya Lea. Kemudian Rahel berkata kepada Lea, “Berilah aku beberapa biji buah yang dijumpai oleh anakmu.” 15 Lea berkata, “Belum cukupkah kamu mengambil suamiku?+ Buah yang dijumpai oleh anakku pun kamu hendak ambil?” Rahel menjawab, “Jika kamu memberiku buah yang dijumpai oleh anakmu, kamu boleh tidur dengan Yakub malam ini.”
16 Pada waktu petang, apabila Yakub pulang dari ladang, Lea menyambutnya lalu berkata, “Aku sudah memberikan buah yang dijumpai anakku sebagai bayaran, supaya aku dapat tidur denganmu.” Maka Yakub bersetubuh dengan Lea pada malam itu. 17 Tuhan mengabulkan permintaan Lea, maka Lea pun hamil dan melahirkan anak lelaki yang kelima bagi Yakub. 18 Lea berkata, “Tuhan telah membayar upahku kerana aku telah memberikan hambaku kepada suamiku.” Oleh itu, dia menamakan anaknya Isakhar.*+ 19 Lea hamil lagi dan melahirkan anak lelaki yang keenam bagi Yakub.+ 20 Kemudian dia berkata, “Tuhan telah mengurniakan hadiah yang indah sekali kepadaku. Sekarang suamiku tentu akan menerima aku,+ kerana aku telah melahirkan enam orang anak lelaki baginya.”+ Maka dia menamakan anaknya Zebulon.*+ 21 Selepas itu, dia melahirkan seorang anak perempuan dan menamakannya Dina.+
22 Tuhan tidak melupakan Rahel. Maka Tuhan mengabulkan permintaan Rahel dan membolehkannya menjadi hamil.+ 23 Lalu dia hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Tuhan telah menghapuskan kehinaanku.”+ 24 Maka dia menamakan anaknya Yusuf*+ dan berkata, “Yehuwa telah memberikan seorang anak lagi kepadaku.”
25 Selepas Rahel melahirkan Yusuf, Yakub berkata kepada Laban, “Izinkanlah saya pulang kepada keluarga saya dan ke negeri saya.+ 26 Serahkanlah isteri-isteri dan anak-anak saya, yang saya peroleh dengan bekerja bagi pak cik, lalu saya akan pulang. Pak cik memang tahu bahawa saya sudah bekerja keras untuk pak cik.”+ 27 Lalu Laban menjawab, “Tolonglah tinggal bersamaku. Aku sudah mendapat petanda* yang menunjukkan bahawa Yehuwa memberkati aku keranamu.” 28 Laban menambah, “Katakan sahaja berapa upah yang kamu mahu, dan aku akan membayarnya.”+ 29 Yakub menjawab, “Pak cik sendiri tahu bahawa saya bekerja keras untuk pak cik, dan ternakan pak cik juga bertambah banyak di bawah jagaan saya.+ 30 Sebelum saya datang, harta milik pak cik tidak seberapa. Tetapi sekarang ternakan pak cik sudah berlipat ganda dan bertambah banyak. Yehuwa telah memberkati pak cik semenjak saya datang. Jadi sampai bilakah saya harus tunggu sebelum dapat bekerja bagi keluarga saya sendiri?”+
31 Laban berkata, “Apakah yang harus aku berikan kepadamu?” Yakub menjawab, “Pak cik tidak perlu memberi saya apa-apa. Jika pak cik setuju dengan cadangan saya, saya akan terus menjaga dan memelihara ternakan pak cik.+ Inilah cadangan saya: 32 Hari ini, izinkanlah saya berjalan di antara semua ternakan pak cik. Pak cik boleh mengasingkan semua biri-biri dan kambing betina yang bertompok dan berbintik-bintik serta anak biri-biri jantan yang berwarna gelap. Mulai sekarang, saya akan mengambil binatang-binatang itu sebagai upah.+ 33 Pada masa yang akan datang, pak cik boleh memeriksa ternakan yang menjadi upah saya dan melihat sama ada saya berlaku jujur atau tidak. Jika pak cik mendapati ada kambing betina yang tidak bertompok dan tidak berbintik-bintik, atau anak biri-biri jantan yang tidak berwarna gelap, pak cik akan tahu bahawa binatang itu telah saya curi.”
34 Laban menjawab, “Aku setuju! Kita akan melakukan apa yang kamu cadangkan.”+ 35 Pada hari itu, Laban memisahkan kambing jantan yang berbelang dan bertompok, semua kambing betina yang berbintik-bintik dan bertompok, semua kambing yang bertompok putih, dan semua anak bebiri jantan yang berwarna gelap. Tetapi dia menyuruh anak-anak lelakinya menjaga ternakan itu. 36 Selepas itu, Laban menjauhi Yakub dengan membawa ternakan itu sejauh tiga hari perjalanan. Ternakan Laban yang tinggal dijaga oleh Yakub.
37 Yakub mengambil cabang-cabang pokok storaks, pokok badam, dan pokok platanus yang baru dikerat lalu mengupas kulitnya sehingga kelihatan bahagian putih yang bertompok-tompok. 38 Kemudian dia meletakkan cabang-cabang yang telah dikupas itu di depan kawanan ternakan, iaitu di tempat ternakan diberi minum. Dengan demikian, semasa ternakan itu datang minum, ternakan itu akan melihat cabang-cabang itu ketika mengawan.
39 Maka ternakan itu mengawan di depan cabang-cabang itu, lalu melahirkan anak yang berbelang, berbintik-bintik, dan bertompok. 40 Kemudian Yakub memisahkan anak biri-biri jantan dan menghadapkan ternakan itu ke arah ternakan Laban yang berbelang dan berwarna gelap. Selepas itu, dia mengasingkan ternakan sendiri agar tidak bercampur dengan ternakan Laban. 41 Setiap kali binatang yang kuat hendak mengawan, Yakub akan meletakkan cabang-cabang itu di depan ternakan itu, iaitu di tempat minum. Dengan ini, ternakan itu akan mengawan di depan cabang-cabang itu. 42 Tetapi dia tidak meletakkan cabang-cabang itu di hadapan binatang yang lemah. Jadi, binatang yang lemah menjadi milik Laban tetapi binatang yang kuat menjadi milik Yakub.+
43 Dengan demikian, Yakub menjadi kaya-raya. Dia mempunyai banyak ternakan, hamba lelaki, hamba perempuan, unta, dan keldai.+
31 Yakub mendengar anak-anak Laban berkata, “Yakub sudah mengambil semua harta milik ayah kita. Dia mendapat semua kekayaannya daripada harta ayah.”+ 2 Daripada raut wajah Laban, Yakub mendapati bahawa sikap Laban terhadapnya tidak lagi seperti dahulu.+ 3 Akhirnya Yehuwa berfirman kepada Yakub, “Kembalilah ke negeri nenek moyangmu, dan kepada sanak saudaramu.+ Aku akan terus menyertaimu.” 4 Kemudian Yakub menyampaikan pesanan kepada Rahel dan Lea supaya berjumpa dengannya di padang, iaitu di tempat ternakannya. 5 Dia berkata kepada mereka,
“Aku mendapati sikap bapamu terhadapku sudah berubah.+ Tetapi Tuhan yang disembah bapaku sentiasa menyertaiku.+ 6 Kamu berdua juga tahu bahawa aku telah bekerja untuk bapamu dengan sekuat tenaga.+ 7 Bapamu mencuba menipu aku dan mengubah upahku sebanyak 10 kali, tetapi Tuhan tidak membenarkannya berbuat jahat terhadapku. 8 Apabila bapamu berkata, ‘Ternakan yang berbintik-bintik akan menjadi upahmu,’ seluruh kawanan akan melahirkan anak yang berbintik-bintik. Tetapi apabila dia berkata, ‘Ternakan yang berbelang akan menjadi upahmu,’ seluruh kawanan akan melahirkan anak yang berbelang.+ 9 Demikianlah Tuhan mengambil ternakan kepunyaan bapamu berkali-kali dan memberikannya kepadaku. 10 Pernah sekali, semasa musim ternakan mengawan, aku tertidur dan dalam mimpi, aku nampak bahawa kambing jantan yang sedang mengawan itu berbelang, berbintik-bintik, dan bertompok.+ 11 Dalam mimpi itu, malaikat yang diutus oleh Tuhan yang benar berkata kepadaku, ‘Yakub!’ Maka aku menjawab, ‘Ya, aku mendengar.’ 12 Malaikat itu berkata, ‘Lihatlah, semua kambing jantan yang sedang mengawan itu berbelang, berbintik-bintik, dan bertompok. Aku* menyebabkan hal ini berlaku kerana Aku telah melihat segala yang dilakukan oleh Laban terhadapmu.+ 13 Akulah Tuhan yang benar, yang menampakkan diri kepadamu di Bethel.+ Di situ engkau menuangkan minyak ke atas sebuah batu peringatan dan bersumpah kepada-Ku.+ Sekarang, berangkatlah dan tinggalkanlah negeri ini, dan kembalilah ke negeri kelahiranmu.’”+
14 Rahel dan Lea berkata kepada Yakub, “Tidak ada lagi bahagian daripada harta bapa kami yang akan kami warisi. 15 Bukankah dia menganggap kami sebagai orang asing? Dia telah menjual kami dan menghabiskan wang yang diterimanya.+ 16 Semua kekayaan yang telah diambil oleh Tuhan daripada bapa kami sebenarnya milik kami dan milik anak-anak kami.+ Jadi, lakukanlah segala yang diperintahkan oleh Tuhan kepadamu.”+
17 Maka Yakub menaikkan semua anak dan isterinya ke atas unta-unta.+ 18 Selepas itu, dia membawa semua ternakan dan semua barang yang telah dikumpulkannya+ di Padan-aram, lalu pergi ke Kanaan, iaitu ke tempat bapanya Ishak.+
19 Semasa Laban pergi menggunting bulu biri-birinya, Rahel telah mencuri patung-patung terafim*+ kepunyaan bapanya.+ 20 Yakub bertindak dengan bijak dan melarikan diri tanpa memberitahu Laban, orang Aram itu. 21 Yakub membawa semua ahli keluarga dan harta miliknya lalu melarikan diri. Dia menyeberangi Sungai Efrat+ lalu menuju ke kawasan pergunungan Gilead.+ 22 Tiga hari kemudian, Laban diberitahu bahawa Yakub telah melarikan diri. 23 Maka Laban membawa saudara-saudaranya lalu mengejar Yakub. Tujuh hari kemudian, mereka menjumpainya di kawasan pergunungan Gilead. 24 Pada malam itu, Tuhan menampakkan diri kepada Laban dalam sebuah mimpi.+ Tuhan berfirman kepadanya, “Berhati-hatilah tentang apa yang akan engkau katakan kepada Yakub. Jangan mencampuri urusannya.”+
25 Pada masa itu, Yakub telah memasang khemahnya di kawasan pergunungan Gilead. Laban dan saudara-saudaranya juga berkhemah di kawasan yang sama. Laban datang kepada Yakub 26 dan berkata, “Apakah yang telah kamu lakukan? Mengapa kamu menipuku dan membawa lari anak-anakku seakan-akan mereka tawanan perang? 27 Mengapa kamu bertindak dengan licik dan melarikan diri dengan diam-diam? Jika kamu memberitahu aku, aku tentu mengizinkan kamu pergi dengan gembira dan diiringi nyanyian, tamborin, dan kecapi! 28 Kamu tidak memberi aku peluang untuk mencium anak-anak perempuanku dan cucu-cucuku. Bodoh betul tindakanmu itu! 29 Sebenarnya aku mampu mencederakan kamu, tetapi malam tadi Tuhan yang disembah bapamu telah berfirman kepadaku, ‘Berhati-hatilah tentang apa yang akan engkau katakan kepada Yakub. Jangan mencampuri urusannya.’+ 30 Aku tahu kamu pergi kerana kamu ingin sekali pulang ke rumah bapamu, tetapi mengapa kamu mencuri patung dewa dewiku?”+
31 Yakub menjawab, “Saya melarikan diri tanpa pengetahuan pak cik kerana saya takut. Saya berfikir, ‘Pak cik mungkin merampas anak-anak perempuan pak cik daripada saya.’ 32 Mengenai patung-patung itu, jika pak cik menjumpai orang yang mencurinya, orang itu akan dihukum mati. Periksalah harta milik saya di hadapan saudara-saudara kita, dan ambillah barang kepunyaan pak cik.” Tetapi Yakub tidak tahu bahawa Rahel telah mencuri patung itu. 33 Maka Laban masuk ke dalam khemah Yakub, khemah dua orang hamba perempuan itu,+ dan khemah Lea, tetapi tidak menjumpai patung itu. Setelah dia keluar dari khemah Lea, dia masuk ke dalam khemah Rahel. 34 Sebelum itu, Rahel telah mengambil patung terafim itu dan meletakkannya ke dalam bakul yang dipasang pada pelana unta, lalu duduk di atasnya. Laban menggeledah seluruh khemah tetapi tidak menjumpai patung-patung itu. 35 Kemudian Rahel berkata kepada bapanya, “Ayah, janganlah marah. Saya tidak dapat berdiri kerana saya datang bulan.”+ Lalu Laban mencari dengan teliti tetapi tidak menjumpai patung terafim itu.+
36 Yakub berasa marah, dan berkata dengan geram, “Mengapakah pak cik mengejar saya seperti mengejar seorang penjenayah? Apakah dosaku? 37 Setelah menggeledah semua barang saya, adakah pak cik menjumpai barang kepunyaan pak cik? Letakkanlah barang itu di hadapan saudara-saudara kita, dan biarlah mereka yang menentukan siapa antara kita yang benar. 38 Selama 20 tahun saya tinggal bersama pak cik, biri-biri dan kambing pak cik tidak pernah keguguran,+ dan saya tidak pernah makan seekor biri-biri jantan pun daripada ternakan pak cik. 39 Ternakan yang mati diterkam binatang buas+ tidak pernah saya bawa kepada pak cik, tetapi saya sendirilah yang menanggung kerugiannya. Pak cik selalu menuntut ganti rugi daripada saya apabila ternakan dicuri pada waktu siang atau waktu malam. 40 Pada siang hari, saya terdedah kepada panas terik. Pada waktu malam saya kesejukan, dan saya tidak dapat melelapkan mata.+ 41 Saya sudah tinggal bersama pak cik selama 20 tahun. Saya bekerja dengan pak cik selama 14 tahun untuk mendapatkan dua orang anak perempuan pak cik, dan 6 tahun lagi untuk mendapatkan ternakan pak cik. Lagipun, pak cik mengubah upah saya sebanyak 10 kali.+ 42 Seandainya Tuhan yang disembah bapa saya,+ iaitu Tuhan kepada Abraham dan Tuhan yang dikagumi* Ishak,+ tidak menyertai saya, pak cik tentu membiarkan saya pergi dengan tangan kosong. Tetapi Tuhan telah memperhatikan kesusahanku dan kerja kerasku. Itulah sebabnya Dia menegur pak cik semalam.”+
43 Kemudian Laban menjawab, “Wanita-wanita ini anak perempuanku, anak-anak ini ialah cucuku, dan kawanan ini kepunyaanku juga. Segala sesuatu yang kamu lihat di sini kepunyaanku dan kepunyaan anak perempuanku. Bagaimanakah aku sanggup mengapa-apakan mereka atau anak yang dilahirkan oleh mereka? 44 Oleh itu, marilah kita membuat perjanjian, dan perjanjian ini akan menjadi seperti seorang saksi antara kita berdua.” 45 Maka Yakub mengambil sebuah batu lalu menegakkan batu itu menjadi batu peringatan.+ 46 Yakub berkata kepada saudara-saudaranya, “Kumpulkanlah batu!” Lalu mereka pun mengambil batu dan membuat sebuah timbunan batu. Kemudian mereka makan bersama-sama dekat timbunan batu itu. 47 Laban menamakan timbunan batu itu Yegar-sahaduta,* tetapi Yakub menamakannya Galed.*
48 Kemudian Laban berkata, “Timbunan batu ini adalah seperti seorang saksi antara kita berdua hari ini.” Itulah sebabnya timbunan batu itu dinamakan Galed.+ 49 Timbunan batu itu juga dinamakan Menara Pengawal, kerana Laban berkata, “Biarlah Yehuwa memerhatikan kita semasa kita berjauhan. 50 Jika kamu melayan anak-anak perempuanku dengan buruk, dan jika kamu mengahwini wanita lain, walaupun tiada orang yang melihatnya, ingatlah bahawa Tuhan menjadi saksi antara kamu dengan aku.” 51 Laban juga berkata, “Inilah timbunan batu dan batu peringatan yang aku dirikan di antara kamu dan aku. 52 Timbunan batu dan batu peringatan ini menjadi saksi antara kita berdua.+ Aku tidak akan melintasi timbunan batu ini untuk mencederakan kamu, dan kamu juga tidak akan melintasi timbunan batu ini untuk mencederakan aku. 53 Biarlah Tuhan kepada Abraham+ dan Nahor, iaitu Tuhan kepada bapa mereka, menjadi hakim antara kita berdua.” Maka Yakub bersumpah demi Tuhan yang dikagumi* bapanya Ishak.+
54 Selepas itu, Yakub mempersembahkan korban di gunung itu dan menjemput saudara-saudaranya untuk makan. Mereka pun makan dan bermalam di gunung itu. 55 Keesokan paginya, Laban bangun awal, mencium anak-anak perempuannya dan cucu-cucunya,+ dan memberkati mereka.+ Kemudian Laban berangkat lalu pulang.+
32 Yakub meneruskan perjalanannya, dan malaikat-malaikat Tuhan datang berjumpa dengannya. 2 Sebaik sahaja Yakub nampak mereka, dia berkata, “Inilah perkhemahan Tuhan!” Maka dia menamakan tempat itu Mahanaim.*
3 Kemudian, Yakub menyuruh utusan-utusannya berjalan mendahuluinya ke Seir+ di kawasan Edom untuk berjumpa dengan abangnya Esau.+ 4 Yakub berkata kepada mereka, “Beritahulah tuanku Esau, ‘Demikianlah pesanan daripada hambamu Yakub: “Sudah lama aku tinggal* bersama Laban. Selama ini,+ 5 aku telah mendapat lembu jantan, keldai, biri-biri, hamba lelaki, dan hamba perempuan.+ Sekarang aku mengirim utusan untuk memberitahukan hal ini kepada tuan agar aku dapat menyenangkan hati tuan.”’”
6 Apabila utusan-utusan itu kembali, mereka berkata kepada Yakub, “Kami sudah berjumpa dengan Esau, abang tuan. Sekarang dia dalam perjalanan ke sini untuk berjumpa dengan tuan, dan ada 400 orang yang datang bersamanya.”+ 7 Yakub sangat takut dan risau.+ Kemudian dia membahagikan orang yang ada bersama dengannya menjadi dua kumpulan. Demikian juga yang dilakukannya dengan biri-biri, kambing, lembu, dan untanya. 8 Dia berfikir, “Jika Esau menyerang satu kumpulan, kumpulan yang kedua masih dapat melarikan diri.”
9 Kemudian Yakub berdoa, “Ya Yehuwa, Tuhan kepada datukku Abraham dan bapaku Ishak. Engkau telah berfirman kepadaku, ‘Pulanglah ke negerimu dan kepada sanak saudaramu. Aku akan memberkatimu.’+ 10 Aku tidak layak menerima kesetiaan dan kebaikan hati,* yang telah Engkau tunjukkan kepada hamba-Mu ini.+ Semasa aku menyeberangi Sungai Yordan, aku hanya memegang sebatang tongkat, tetapi kini aku sudah kembali bersama dua kumpulan ini.+ 11 Aku mohon, selamatkanlah aku+ daripada abangku Esau. Aku takut dia akan datang dan menyerang kami semua,+ termasuk anak-anak dan ibu-ibu. 12 Engkau sudah berjanji, ‘Aku pasti memberkatimu, dan Aku akan memberimu banyak keturunan. Bilangan mereka akan menjadi banyak seperti pasir di pantai yang tidak dapat dihitung.’”+
13 Setelah bermalam di situ, Yakub mengambil sebilangan daripada ternakannya untuk dihadiahkan kepada abangnya Esau.+ Hadiah itu ialah 14 200 ekor kambing betina, 20 ekor kambing jantan, 200 ekor biri-biri betina, 20 ekor biri-biri jantan, 15 30 ekor unta yang sedang menyusui anak unta, 40 ekor lembu betina, 10 ekor lembu jantan, 20 ekor keldai betina, dan 10 ekor keldai jantan dewasa.+
16 Yakub membahagikan ternakannya kepada beberapa kawanan lalu menyerahkan semua binatang itu kepada hamba-hambanya. Dia berkata, “Seberangilah sungai itu, dan berjalanlah mendahului aku. Pastikan ada jarak di antara satu kawanan dengan kawanan yang seterusnya.” 17 Dia juga memberikan perintah berikut kepada hamba-hamba yang menjaga kawanan pertama: “Jika abangku Esau bertemu dengan kamu dan bertanya, ‘Siapakah tuan kamu? Ke manakah kamu semua hendak pergi? Siapakah pemilik semua binatang yang ada di depanmu itu?’ 18 kamu harus jawab, ‘Semua ini milik hambamu Yakub. Dia mengirim semua ini sebagai hadiah kepada tuan Esau,+ dan dia sedang mengikut kami dari belakang.’” 19 Yakub juga memberikan perintah yang sama kepada hamba-hamba yang menjaga kawanan kedua dan kawanan ketiga serta semua orang yang berjalan mengikut kawanan-kawanan itu. Yakub berkata, “Semasa kamu berjumpa dengan Esau, itulah yang harus kamu katakan kepadanya. 20 Kamu juga harus berkata, ‘Yakub hambamu sedang mengikut kami dari belakang.’” Yakub berbuat demikian kerana dia berfikir, “Jika aku menghantar hadiah-hadiah dahulu untuk menyenangkan hati Esau,+ mungkin dia akan menyambut aku dengan baik semasa aku bertemu dengannya.” 21 Maka hadiah-hadiah Yakub dikirimkan terlebih dahulu, tetapi dia sendiri bermalam di perkhemahan.
22 Kemudian pada malam itu juga, Yakub bangun lalu membawa kedua-dua orang isterinya,+ dua orang hamba perempuannya,+ dan 11 orang anak lelakinya yang masih kecil ke Sungai Yabok.+ Mereka sampai ke kawasan yang cetek lalu menyeberangi sungai itu. 23 Demikianlah caranya Yakub membawa mereka dan segala miliknya ke seberang sungai.*
24 Semasa Yakub seorang diri, ada seorang lelaki* yang datang lalu bergelut dengannya sehingga matahari mula terbit.+ 25 Semasa lelaki itu sedar bahawa dia tidak dapat menang, dia menyentuh sendi pinggul Yakub. Maka semasa Yakub bergelut dengannya, sendi pinggulnya terkehel.+ 26 Selepas itu, lelaki tersebut berkata, “Lepaskanlah aku, kerana matahari akan terbit.” Tetapi Yakub berkata, “Aku tidak akan melepaskan kamu, selagi kamu tidak memberkatiku.”+ 27 “Siapakah namamu?” tanya lelaki itu. “Yakub,” jawabnya. 28 Lelaki itu berkata, “Namamu bukan lagi Yakub. Mulai sekarang kamu akan dipanggil Israel,*+ kerana kamu telah bergelut dengan Tuhan+ dan manusia, dan akhirnya kamu menang.” 29 Yakub bertanya, “Siapakah namamu?” Tetapi lelaki itu menjawab, “Mengapakah kamu mahu mengetahui namaku?”+ Lalu dia memberkati Yakub. 30 Yakub berkata, “Meskipun aku telah bersemuka dengan Tuhan, nyawaku tetap terpelihara.”+ Oleh itu, dia menamakan tempat itu Peniel.*+
31 Semasa Yakub lalu dekat Peniel,* matahari telah terbit. Yakub berjalan tempang kerana pinggulnya tercedera.+ 32 Itulah sebabnya sampai hari ini, orang Israel tidak makan urat paha binatang, iaitu urat yang terletak di sendi pinggul binatang, kerana lelaki itu telah menyentuh urat sendi pinggul Yakub.
33 Yakub nampak Esau dan 400 orang anak buahnya.+ Oleh itu, dia menyuruh Lea, Rahel, dan kedua-dua orang hamba perempuannya untuk mengambil anak masing-masing.+ 2 Dia menempatkan hamba-hamba perempuannya bersama anak-anak mereka di depan,+ diikuti dengan Lea dan anak-anaknya.+ Rahel+ dan Yusuf pula ditempatkan di belakang mereka. 3 Yakub berjalan di depan mereka semua. Sambil menghampiri abangnya, dia sujud sebanyak tujuh kali.
4 Tetapi Esau berlari kepada Yakub, lalu memeluk dan menciumnya. Mereka berdua pun menangis. 5 Apabila Esau nampak semua wanita dan anak-anak itu, dia bertanya, “Siapakah mereka yang ada bersama-samamu ini?” Yakub menjawab, “Mereka ialah anak-anak yang dikurniakan oleh Tuhan kepada saya, hambamu.”+ 6 Kemudian kedua-dua orang hamba perempuan Yakub tampil ke depan dengan anak-anak mereka, lalu bersujud. 7 Lea juga tampil ke depan dengan anak-anaknya, dan mereka pun bersujud. Selepas itu, Yusuf dan Rahel tampil ke depan, dan mereka juga bersujud.+
8 Esau bertanya, “Mengapakah kamu menghantar rombongan-rombongan yang aku jumpa tadi?”+ Yakub menjawab, “Untuk menyenangkan hati tuan.”+ 9 Esau berkata, “Adikku, aku sudah mempunyai banyak harta.+ Simpanlah hadiahmu itu.” 10 Tetapi Yakub berkata, “Jika aku menyenangkan hati abang, terimalah hadiahku itu. Aku membawa hadiah itu supaya aku dapat melihat wajah abang. Bagiku, melihat wajah abang sama seperti melihat wajah Tuhan, kerana abang telah menyambutku dengan baik.+ 11 Aku mohon, terimalah hadiah yang aku bawa itu.+ Tuhan telah memberkatiku dan memberiku segala sesuatu yang aku perlukan.”+ Yakub terus mendesak Esau sehingga Esau menerima pemberiannya.
12 Kemudian Esau berkata, “Mari kita bersiap sedia untuk berangkat. Aku akan berjalan di depan kamu.” 13 Yakub menjawab, “Tuan tahu bahawa anak-anak ini masih kecil,+ dan aku harus menjaga biri-biri dan lembu yang sedang menyusui anak. Jika perjalanan kami terlalu cepat, walaupun untuk sehari, seluruh kawanan itu akan mati. 14 Tuan berjalanlah terlebih dahulu. Hamba akan mengadakan perjalanan dengan perlahan-lahan bersama dengan ternakan dan anak-anak hamba, sehingga hamba sampai di tempat tuanku di Seir.”+ 15 Lalu Esau berkata, “Jika begitu, biarlah aku tinggalkan beberapa orang anak buahku bersamamu.” Yakub berkata, “Tuan tidak perlu bersusah-susah. Aku hanya ingin menyenangkan hati tuan.” 16 Maka pada hari itu Esau pulang ke Seir.
17 Yakub pergi ke Sukot,+ lalu membina sebuah rumah untuk dirinya dan tempat berteduh untuk ternakannya. Itulah sebabnya dia menamakan tempat itu Sukot.*
18 Selepas membuat perjalanan dari Padan-aram,+ Yakub sampai di kota Sikhem dengan selamat.+ (Kota Sikhem terletak di negeri Kanaan.)+ Dia mendirikan khemahnya berdekatan kota itu. 19 Kemudian, dengan 100 keping wang perak, Yakub membeli tanah daripada anak-anak Hamor. Sikhem merupakan salah seorang anak Hamor. Tanah itulah yang menjadi tapak perkhemahannya.+ 20 Di situ, Yakub mendirikan sebuah mazbah dan menamakannya “Tuhan ialah Tuhan Israel.”+
34 Dina, anak perempuan Yakub yang dilahirkan oleh Lea,+ sering menghabiskan masa bersama gadis-gadis Kanaan.+ 2 Apabila Sikhem nampak Dina, dia membawanya pergi dan merogolnya. Sikhem ialah anak Hamor, orang Hewi+ yang menjadi pemimpin di negeri itu. 3 Sikhem sangat tertarik kepada Dina anak Yakub. Dia jatuh cinta dengan gadis itu dan menggunakan kata-kata manis untuk menawan hatinya. 4 Oleh itu, Sikhem berkata kepada Hamor+ bapanya, “Ayah, dapatkanlah gadis ini untuk dijadikan isteri saya.”
5 Yakub mendengar bahawa Sikhem telah mencabuli kehormatan anak perempuannya Dina, tetapi dia tidak mahu memberitahu sesiapa tentang hal itu sebelum anak-anak lelakinya pulang. Pada waktu itu, anak-anak lelakinya sedang menjaga ternakannya di padang. 6 Kemudian Hamor, iaitu bapa Sikhem, pergi kepada Yakub untuk bercakap dengannya. 7 Sebaik sahaja anak-anak lelaki Yakub mendengar tentang hal itu, mereka segera pulang dari padang. Mereka sakit hati dan sangat marah kerana Sikhem telah menghina Israel dengan merogol anak perempuan Yakub.+ Ya, perbuatannya itu tidak patut dilakukan.+
8 Hamor berkata, “Anakku Sikhem sangat menginginkan anak perempuanmu. Berikanlah dia untuk dijadikan isteri anakku. 9 Hendaklah bangsamu dan bangsaku menjalin ikatan perkahwinan.* Kami akan mengahwini gadis-gadismu, dan kamu juga boleh mengahwini gadis-gadis kami.+ 10 Kamu boleh tinggal bersama kami di negeri ini, di mana sahaja kamu suka. Kamu boleh berniaga, memiliki harta benda, dan menetap di sini.” 11 Sikhem berkata kepada bapa Dina dan abang-abangnya, “Mintalah apa-apa sahaja, dan aku akan memberikannya, supaya aku dapat menyenangkan hati kamu. 12 Walaupun kamu meminta wang hantaran dan hadiah yang banyak sekali,+ aku akan memberikannya. Aku sudi menunaikan apa sahaja permintaan kamu asalkan gadis itu dapat menjadi isteriku.”
13 Anak-anak lelaki Yakub memberikan jawapan yang licik kepada Sikhem dan bapanya Hamor, kerana Sikhem telah mencabuli kehormatan Dina. 14 Mereka berkata, “Mustahil kami memberikan adik perempuan kami kepada lelaki yang tidak bersunat,+ kerana hal itu memalukan kami. 15 Kami hanya akan setuju jika kamu memenuhi syarat ini: Semua lelaki dalam kalangan kamu harus disunat seperti kami.+ 16 Barulah kami akan mengizinkan kamu mengahwini gadis-gadis kami, dan kami juga akan mengahwini gadis-gadis kamu. Kami akan tinggal bersama-sama kamu dan menjadi satu bangsa. 17 Tetapi jika kamu tidak mahu mengikut syarat kami dan tidak mahu disunat, kami akan membawa adik perempuan kami dan pergi dari sini.”
18 Cadangan mereka menyenangkan hati Hamor+ dan anaknya Sikhem.+ 19 Pemuda itu segera bertindak untuk memenuhi syarat mereka,+ kerana dia menyukai anak perempuan Yakub. Lagipun, dialah yang paling dihormati dalam rumah tangga bapanya.
20 Hamor dan anaknya Sikhem pergi ke pintu gerbang kota dan berkata kepada penduduk kota itu,+ 21 “Mereka ingin hidup damai dengan kita. Biarlah mereka tinggal di sini dan berniaga, kerana negeri kita cukup luas bagi mereka. Kita boleh mengahwini gadis-gadis mereka, dan mereka juga boleh mengahwini gadis-gadis kita.+ 22 Tetapi mereka hanya akan tinggal bersama kita dan menjadi sebangsa dengan kita jika kita memenuhi syarat ini: Semua lelaki dalam kalangan kita harus disunat seperti mereka.+ 23 Dengan itu, semua kekayaan, ternakan, dan harta milik mereka akan menjadi kepunyaan kita. Marilah kita memenuhi permintaan mereka supaya mereka tinggal bersama kita.” 24 Semua orang yang berkumpul di pintu gerbang bersetuju dengan cadangan Hamor dan anaknya Sikhem, lalu semua lelaki di kota itu disunat.
25 Tetapi pada hari ketiga, semasa mereka masih kesakitan, dua orang anak lelaki Yakub, iaitu abang-abang Dina yang bernama Simeon dan Lewi,+ mengambil pedang masing-masing, lalu memasuki kota itu tanpa menimbulkan kecurigaan penduduk di situ. Kemudian mereka membunuh semua lelaki di situ.+ 26 Mereka membunuh Hamor dan Sikhem dengan pedang, kemudian mereka pergi ke rumah Sikhem dan membawa Dina pergi dari situ. 27 Anak-anak lelaki Yakub yang lain datang lalu nampak bahawa semua lelaki di kota itu telah dibunuh. Mereka pun merompak kota itu kerana adik perempuan mereka telah dicabuli.+ 28 Mereka merampas kambing, biri-biri, lembu, keldai, dan apa sahaja yang terdapat di kota itu dan di padang. 29 Mereka juga merampas semua harta milik penduduk kota itu dan segala sesuatu yang ada di dalam rumah-rumah mereka serta mengambil wanita dan kanak-kanak sebagai tawanan.
30 Maka Yakub berkata kepada Simeon dan Lewi,+ “Kamu berdua telah banyak menyusahkan aku. Kamu membuat aku menjadi seperti bau busuk kepada orang Kanaan dan orang Feris yang menduduki negeri ini. Mereka pasti akan berkumpul untuk menyerang aku. Orang kita tidak banyak. Aku dan seluruh rumah tanggaku pasti dihapuskan.” 31 Mereka berkata, “Patutkah kami membiarkan adik perempuan kami dilayan seperti pelacur?”
35 Tuhan berfirman kepada Yakub, “Berangkatlah dan pergilah ke Bethel.+ Tinggallah di sana dan binalah sebuah mazbah untuk Aku, Tuhan yang benar, yang menampakkan diri kepadamu semasa engkau melarikan diri daripada Esau abangmu.”+
2 Kemudian Yakub berkata kepada keluarganya dan semua orang yang ada bersamanya, “Buanglah patung-patung dewa asing yang ada pada kamu,+ lalu bersihkanlah diri kamu dan tukarlah pakaian kamu. 3 Marilah kita berangkat dan pergi ke Bethel. Di situ aku akan membina sebuah mazbah untuk Tuhan yang benar. Dialah yang telah mendengarkan permohonanku sewaktu aku dalam kesusahan, dan Dialah yang menyertaiku ke mana sahaja aku pergi.”+ 4 Oleh itu, mereka memberi Yakub semua patung dewa asing dan anting-anting* yang ada pada mereka. Lalu Yakub menanam semua benda itu di bawah pokok besar dekat kota Sikhem.
5 Sepanjang perjalanan mereka, Tuhan menyebabkan penduduk kota-kota di sekitar mereka berasa takut. Oleh itu, mereka tidak berani mengejar dan menghalau anak-anak Yakub. 6 Akhirnya Yakub dan semua orang yang ada bersamanya tiba di Lus,+ iaitu Bethel, di negeri Kanaan. 7 Di situ, dia membina sebuah mazbah dan memanggil tempat itu El-bethel,* kerana di situlah Tuhan menampakkan diri kepada Yakub semasa dia melarikan diri daripada abangnya.+ 8 Kemudian, Debora,+ iaitu pengasuh Ribka, meninggal lalu dikebumikan di bawah sebatang pokok oak yang berdekatan Bethel. Maka Yakub menamakan pokok itu Alon-bakut.*
9 Semasa Yakub datang dari Padan-aram, Tuhan menampakkan diri kepadanya sekali lagi dan memberkatinya. 10 Tuhan berfirman kepadanya, “Nama engkau ialah Yakub,+ tetapi engkau tidak akan dipanggil dengan nama itu lagi. Mulai sekarang namamu akan dipanggil Israel.”+ Lalu Tuhan mula memanggilnya Israel. 11 Tuhan juga berfirman kepadanya, “Akulah Tuhan Yang Maha Kuasa.+ Hendaklah engkau mempunyai anak cucu yang banyak. Engkau akan menjadi bapa kepada banyak bangsa,+ dan nenek moyang kepada raja-raja.+ 12 Tanah yang sudah Aku berikan kepada Abraham dan Ishak akan Aku berikan kepadamu dan keturunanmu.”+ 13 Selepas berfirman kepada Yakub di situ, Tuhan pun beredar.
14 Maka Yakub menegakkan sebuah batu menjadi batu peringatan di tempat Tuhan berfirman kepadanya. Dia mencurahkan wain ke atas batu itu sebagai persembahan kepada Tuhan, lalu menuangkan minyak ke atasnya.+ 15 Yakub terus memanggil tempat itu Bethel+ kerana di situlah Tuhan berfirman kepadanya.
16 Kemudian mereka berangkat dari Bethel. Ketika mereka masih agak jauh dari Efrat, Rahel hendak bersalin tetapi dia susah sekali untuk melahirkan anaknya. 17 Apabila kesakitannya memuncak, bidan itu berkata, “Janganlah takut kerana kamu akan mendapat seorang lagi anak lelaki.”+ 18 Apabila Rahel hampir meninggal, iaitu ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia menamakan anaknya Ben-oni,* tetapi bapa anak itu menamakannya Benyamin.*+ 19 Setelah Rahel meninggal, dia dikebumikan di jalan yang menuju ke Efrat, iaitu Betlehem.+ 20 Yakub meletakkan sebuah batu besar untuk menandakan tempat Rahel dikuburkan. Batu itu masih di situ sehingga hari ini.
21 Kemudian Israel berangkat lalu mendirikan khemahnya selepas melalui menara Eder. 22 Pernah sekali, semasa Israel tinggal di tempat itu, Ruben meniduri Bilha, gundik bapanya. Hal itu diketahui oleh Israel.+
Yakub mempunyai 12 orang anak lelaki. 23 Anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh Lea ialah Ruben, iaitu anak sulung Yakub,+ diikuti dengan Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, dan Zebulon. 24 Anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh Rahel ialah Yusuf dan Benyamin. 25 Anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh Bilha, hamba perempuan Rahel, ialah Dan dan Naftali. 26 Anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh Zilpa, hamba perempuan Lea, ialah Gad dan Asyer. Merekalah anak-anak lelaki Yakub yang dilahirkan di Padan-aram.
27 Akhirnya Yakub tiba di tempat tinggal bapanya, Ishak, di Mamre+ yang terletak di Kiryat-arba. Kiryat-arba juga dikenali sebagai Hebron, dan di situlah tempatnya Abraham dan Ishak tinggal sebagai orang asing.+ 28 Ishak hidup selama 180 tahun.+ 29 Ishak menikmati umur yang panjang dan puas hati dengan kehidupannya. Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir lalu dikebumikan seperti nenek moyangnya. Dia dikebumikan oleh anak-anaknya, iaitu Esau dan Yakub.+
36 Inilah senarai keturunan Esau, yang juga disebut Edom.+
2 Gadis-gadis Kanaan yang dikahwini Esau ialah Adah+ dan Oholibama. Adah ialah anak Elon, orang Het.+ Oholibama+ ialah anak Anah, cucu Zibeon, orang Hewi.3 Esau juga mengahwini Basmat+ anak perempuan Ismael, adik Nebayot.+
4 Adah melahirkan Elifas, dan Basmat melahirkan Rehuel.
5 Oholibama melahirkan Yeus, Yalam, dan Korah.+
Merekalah anak-anak lelaki Esau yang dilahirkan di negeri Kanaan. 6 Kemudian Esau membawa semua isterinya, anak-anaknya, dan semua anggota rumah tangganya, lalu meninggalkan adiknya Yakub dan berpindah ke negeri lain. Dia juga membawa semua binatang dan harta yang diperolehnya di negeri Kanaan.+ 7 Mereka berpisah kerana harta milik mereka terlalu banyak, dan negeri yang didiami mereka itu* tidak cukup luas untuk ternakan mereka. 8 Maka Esau mula menetap di kawasan pergunungan Seir.+ Esau juga dipanggil Edom.+
9 Inilah keturunan Esau, nenek moyang kepada orang Edom di kawasan pergunungan Seir.+
10 Inilah nama anak-anak lelaki Esau: Elifas ialah anak Adah, isteri Esau; Rehuel ialah anak Basmat, isteri Esau.+
11 Anak-anak lelaki Elifas ialah Teman,+ Omar, Zefo, Gatam, dan Kenas.+ 12 Anak Esau yang bernama Elifas mempunyai seorang gundik yang bernama Timna. Timna melahirkan Amalek+ bagi Elifas. Merekalah anak cucu Adah, iaitu isteri Esau.
13 Anak-anak lelaki Rehuel ialah Nahat, Zerah, Shama, dan Miza. Merekalah anak cucu Basmat,+ iaitu isteri Esau.
14 Isteri Esau yang bernama Oholibama, iaitu anak Anah, cucu Zibeon, melahirkan anak-anak lelaki yang bernama Yeus, Yalam, dan Korah bagi Esau.
15 Inilah ketua-ketua suku keturunan Esau:+ Ketua-ketua suku yang merupakan anak-anak lelaki Elifas, anak sulung Esau, adalah seperti berikut: Teman, Omar, Zefo, Kenas,+ 16 Korah, Gatam, dan Amalek. Mereka ialah ketua-ketua suku di negeri Edom. Mereka semua keturunan Elifas+ dan merupakan anak cucu Adah.
17 Inilah anak-anak lelaki Rehuel, iaitu anak Esau: Nahat, Zerah, Shama, dan Miza. Mereka ialah ketua-ketua suku di negeri Edom.+ Mereka semua keturunan Rehuel dan merupakan anak cucu Basmat, iaitu isteri Esau.
18 Inilah anak-anak lelaki Oholibama, iaitu isteri Esau: Yeus, Yalam, dan Korah. Mereka ialah ketua-ketua suku keturunan Oholibama anak Anah, iaitu isteri Esau.
19 Mereka semua ialah keturunan Esau, dan ketua suku masing-masing. Esau juga dipanggil Edom.+
20 Inilah anak-anak lelaki Seir, iaitu orang Hori yang merupakan penduduk tempatan di situ:+ Lotan, Shobal, Zibeon, Anah,+ 21 Disyon, Ezer, dan Disyan.+ Merekalah ketua-ketua suku orang Hori, iaitu keturunan Seir di negeri Edom.
22 Anak-anak lelaki Lotan ialah Hori dan Hemam. Timna ialah saudara perempuan Lotan.+
23 Anak-anak lelaki Shobal ialah Alwan, Manahat, Ebal, Shefo, dan Onam.
24 Anak-anak lelaki Zibeon+ ialah Aya dan Anah. Anah inilah yang menemui mata air panas di padang belantara semasa menjaga keldai-keldai kepunyaan bapanya Zibeon.
25 Anak lelaki Anah ialah Disyon, dan anak perempuan Anah ialah Oholibama.
26 Anak-anak lelaki Disyon ialah Hemdan, Esban, Yitran, dan Keran.+
27 Anak-anak lelaki Ezer ialah Bilhan, Zaawan, dan Akan.
28 Anak-anak lelaki Disyan ialah Uz dan Aran.+
29 Inilah ketua-ketua suku keturunan orang Hori: Lotan, Shobal, Zibeon, Anah, 30 Disyon, Ezer, dan Disyan.+ Merekalah ketua-ketua suku orang Hori yang tinggal di Seir.
31 Inilah raja-raja yang memerintah di negeri Edom+ sebelum ada raja yang memerintah orang Israel:+ 32 Bela anak Beor memerintah di Edom, dan kotanya dipanggil Dinhaba. 33 Setelah kematian Bela, Yobab anak Zerah dari Bozra menggantikannya sebagai raja. 34 Setelah kematian Yobab, Husham dari negeri orang Teman menggantikannya sebagai raja. 35 Setelah kematian Husham, Hadad anak Bedad, yang mengalahkan orang Midian+ di kawasan Moab, menggantikannya sebagai raja, dan kotanya dipanggil Awit. 36 Setelah kematian Hadad, Samla dari Masreka menggantikannya sebagai raja. 37 Setelah kematian Samla, Shaul dari Rehobot, yang terletak berhampiran sungai, menggantikannya sebagai raja. 38 Setelah kematian Shaul, Baal-hanan anak Akhbor menggantikannya sebagai raja. 39 Setelah kematian Baal-hanan anak Akhbor, Hadar menggantikannya sebagai raja, dan kotanya dipanggil Pau. Isterinya bernama Mehetabel dan dia ialah anak perempuan Matred. Matred pula ialah anak perempuan Mezahab.
40 Inilah nama ketua-ketua suku keturunan Esau menurut keluarga dan daerah masing-masing: Timna, Alwa, Yetet,+ 41 Oholibama, Ela, Pinon, 42 Kenas, Teman, Mibzar, 43 Magdiel, dan Iram. Merekalah ketua-ketua suku keturunan Edom, dan daerah tempat tinggal setiap suku itu dinamakan menurut nama suku masing-masing.+ Esau ialah nenek moyang orang Edom.+
37 Yakub terus tinggal di negeri Kanaan. Dahulu bapanya tinggal di negeri itu sebagai orang asing.+
2 Inilah kisah Yakub.
Semasa Yusuf+ anak Yakub masih muda, iaitu ketika dia berumur 17 tahun, dia menjaga ternakan+ bersama anak-anak Bilha+ dan Zilpa,+ iaitu isteri-isteri bapanya. Yusuf memberitahu bapanya tentang hal-hal jahat yang dilakukan oleh abang-abangnya. 3 Israel lebih menyayangi Yusuf daripada anak-anaknya yang lain,+ kerana Yusuf dilahirkan ketika dia sudah tua. Dia mengambil sehelai jubah yang istimewa* lalu memberikannya kepada Yusuf. 4 Ketika abang-abang Yusuf nampak bahawa bapa mereka lebih menyayangi Yusuf daripada mereka semua, mereka mula membencinya dan tidak mahu bercakap baik-baik dengannya.
5 Pernah sekali, Yusuf bermimpi lalu menceritakan mimpinya kepada abang-abangnya.+ Hal itu membuat mereka bertambah benci terhadap dia. 6 Yusuf berkata kepada mereka, “Dengarlah mimpiku. 7 Aku nampak kita sedang mengikat gandum di tengah ladang. Kemudian, berkas gandumku berdiri tegak, dan berkas-berkas gandum kamu mengelilingi berkas gandumku lalu sujud kepada berkas gandumku.”+ 8 Abang-abangnya berkata, “Adakah kamu akan menjadi raja dan berkuasa atas kami?”+ Oleh itu, mereka semakin membenci Yusuf kerana mimpi dan kata-katanya.
9 Kemudian dia bermimpi lagi lalu dia menceritakan mimpinya kepada abang-abangnya, “Aku bermimpi lagi. Kali ini matahari, bulan, dan 11 bintang bersujud kepadaku.”+ 10 Ketika dia menceritakan mimpi itu kepada bapa dan abang-abangnya, bapanya menegurnya, “Apakah maksud mimpi kamu itu? Adakah aku, ibumu, dan adik-beradikmu akan datang dan sujud kepadamu?” 11 Abang-abangnya berasa iri hati terhadapnya,+ tetapi bapanya tetap memikirkan kata-katanya.
12 Pada suatu hari, abang-abang Yusuf membawa kawanan bapa mereka ke padang rumput berdekatan Sikhem.+ 13 Israel kemudiannya berkata kepada Yusuf, “Abang-abangmu sedang menjaga kawananku dekat Sikhem. Aku mahu hantar kamu kepada mereka.” Yusuf pun menjawab, “Baiklah ayah!” 14 Lalu bapanya berkata, “Pergilah dan lihatlah keadaan abang-abangmu dan ternakan itu, kemudian kembalilah dan beritahulah aku.” Demikianlah Israel mengutus Yusuf dari Lembah* Hebron+ ke Sikhem. 15 Beberapa lama kemudian, seorang lelaki nampak Yusuf berjalan ke sana ke mari di padang. Lelaki itu bertanya, “Kamu cari apa?” 16 Yusuf menjawab, “Aku mencari abang-abangku yang sedang menggembala ternakan. Jika kamu tahu di mana mereka, tolonglah beritahu aku.” 17 Lelaki itu berkata, “Mereka sudah pergi dari sini. Tadi aku dengar mereka berkata, ‘Marilah kita pergi ke Dotan.’” Maka Yusuf pergi ke Dotan dan menjumpai abang-abangnya di sana.
18 Dari jauh mereka nampak Yusuf sedang datang. Tetapi sebelum dia sampai kepada mereka, mereka berkomplot untuk membunuhnya. 19 Mereka berkata kepada satu sama lain, “Tengok, si tukang mimpi sudah datang!+ 20 Marilah kita bunuh dia dan campakkannya ke dalam sebuah lubang. Kemudian kita kata dia sudah dibaham oleh binatang buas. Kita lihatlah apa yang berlaku nanti dengan mimpi-mimpinya.” 21 Ketika Ruben+ mendengar hal itu, dia mencuba menyelamatkan Yusuf. Maka dia berkata, “Janganlah kita membunuhnya,+ 22 dan janganlah kita menumpahkan darahnya.+ Campakkan saja dia ke dalam lubang di padang belantara ini, tetapi janganlah mencederakannya.”+ Ruben berkata begitu kerana dia merancang untuk menyelamatkan Yusuf dan menghantarnya pulang kepada bapanya.
23 Sebaik sahaja Yusuf sampai, abang-abangnya menanggalkan jubah istimewa yang dipakainya.+ 24 Mereka menangkapnya dan mencampakkannya ke dalam sebuah lubang yang kering.
25 Semasa abang-abang Yusuf duduk dan makan, mereka nampak rombongan orang Ismael+ dari Gilead yang sedang dalam perjalanan ke Mesir. Unta-unta mereka membawa getah wangi, balsam,* dan kulit pokok.*+ 26 Yehuda berkata, “Apakah keuntungannya jika kita membunuh adik kita dan menyembunyikan perbuatan kita?+ 27 Mari kita jual dia+ kepada rombongan orang Ismael itu. Janganlah kita sakiti dia kerana dia tetap adik kita, darah daging kita.” Mereka pun mendengar kata-kata Yehuda. 28 Apabila beberapa orang pedagang Midian+ lalu di situ, abang-abang Yusuf mengeluarkan Yusuf daripada lubang itu lalu menjual dia kepada orang Ismael dengan harga 20 keping wang perak.+ Maka Yusuf dibawa oleh mereka ke Mesir.
29 Apabila Ruben kembali ke lubang itu dan tidak menjumpai Yusuf di situ, dia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih. 30 Ruben balik kepada adik-adiknya dan berkata, “Anak itu sudah hilang! Apakah yang harus aku lakukan sekarang?”
31 Maka mereka menyembelih seekor kambing jantan dan mencelup jubah Yusuf ke dalam darah kambing itu. 32 Selepas itu, mereka mengirimkan jubah yang istimewa itu kepada bapa mereka dan berkata, “Kami jumpa jubah ini. Tolonglah periksa sama ada jubah ini milik anak ayah atau tidak.”+ 33 Yakub pun memeriksa jubah itu dan berseru, “Ini memang jubah anak lelakiku! Seekor binatang buas pasti telah menyerang Yusuf dan mencarik-cariknya!” 34 Yakub mengoyakkan pakaiannya kerana sedih lalu mengenakan kain guni pada pinggangnya. Dia meratapi kematian anaknya itu selama berhari-hari. 35 Semua anak Yakub, baik lelaki mahupun perempuan, asyik mencuba untuk menghiburkan hatinya, tetapi dia tidak mahu dihiburkan. Dia berkata, “Aku akan meratapi kematian anakku sehingga aku masuk ke dalam Kuburan!”*+ Demikianlah Yakub terus meratapi anaknya.
36 Orang Midian telah menjual Yusuf kepada Potifar, iaitu seorang pegawai Firaun di Mesir.+ Potifar merupakan ketua pengawal istana.+
38 Kira-kira pada masa itu, Yehuda meninggalkan semua adik-beradiknya lalu mendirikan khemah berhampiran dengan tempat tinggal seorang lelaki Adulam yang bernama Hira. 2 Di sana, Yehuda nampak anak perempuan seorang lelaki Kanaan.+ Nama lelaki itu ialah Sua. Yehuda mengahwini perempuan itu dan bersetubuh dengannya. 3 Kemudian isterinya hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Yehuda menamakan anak itu Er.+ 4 Isterinya hamil lagi dan melahirkan seorang anak lelaki lalu menamakannya Onan. 5 Kemudian dia melahirkan seorang lagi anak lelaki lalu menamakannya Selah. Pada masa itu, Yehuda dan isterinya berada di Akhzib.+
6 Yehuda mengahwinkan Er, anak sulungnya, dengan Tamar.+ 7 Tetapi Er jahat di mata Yehuwa. Maka Yehuwa membunuhnya. 8 Kemudian Yehuda berkata kepada Onan, “Berkahwinlah dengan balu abangmu dan tidurlah dengan dia. Lakukanlah kewajipanmu kerana kamu adik suaminya. Dengan demikian, abangmu boleh mendapat keturunan.”+ 9 Tetapi Onan tahu bahawa keturunan itu tidak akan menjadi keturunannya.+ Oleh itu, apabila dia bersetubuh dengan balu abangnya, dia membiarkan air maninya meleleh ke tanah supaya abangnya tidak mempunyai keturunan.+ 10 Tetapi apa yang dilakukan oleh Onan jahat di mata Yehuwa, maka Dia membunuhnya.+ 11 Yehuda berkata kepada Tamar menantunya, “Tinggallah di rumah bapamu sebagai balu sehingga anakku Selah dewasa.” Yehuda berfikir, “Selah mungkin akan mati seperti abang-abangnya.”+ Maka Tamar pergi dan tinggal di rumah bapanya.
12 Beberapa lama kemudian, isteri Yehuda, iaitu anak perempuan Sua,+ meninggal. Apabila masa berkabung berakhir, Yehuda pergi ke Timna+ untuk berjumpa dengan orang yang menggunting bulu biri-birinya. Dia pergi bersama dengan Hira, temannya dari Adulam.+ 13 Tamar diberitahu, “Bapa mentuamu sedang pergi ke Timna untuk menggunting bulu biri-birinya.” 14 Oleh itu, Tamar mengganti pakaian balunya dengan pakaian lain. Dia mengenakan sehelai selendang dan mengambil sehelai kain lagi untuk menutup mukanya lalu duduk di pintu masuk kota Enaim, yang terletak di jalan yang menuju ke Timna. Dia berbuat demikian kerana dia tahu bahawa Selah sudah besar, tetapi dia belum diberikan kepada Selah sebagai isteri.+
15 Ketika Yehuda nampak Tamar, dia sangka wanita itu seorang pelacur kerana mukanya ditutup. 16 Lalu Yehuda menghampirinya di pinggir jalan dan berkata, “Izinkan aku menidurimu.” Dia tidak tahu wanita itu ialah menantunya.+ Tamar menjawab, “Apa yang akan tuan berikan kepadaku untuk tidur dengan aku?” 17 Lalu Yehuda berkata, “Aku akan menghantar seekor anak kambing daripada kawananku.” Tetapi Tamar bertanya, “Apa yang akan tuan berikan sebagai jaminan sebelum tuan menghantar kambing itu kepadaku?” 18 Yehuda menjawab, “Apa yang kamu mahu sebagai jaminan?” Tamar berkata, “Cincin mohor tuan+ dan talinya serta tongkat yang ada di tangan tuan.” Maka Yehuda memberikan benda-benda itu kepadanya. Kemudian mereka bersetubuh dan Tamar pun hamil. 19 Selepas itu, Tamar berangkat dan pergi dari situ. Dia menanggalkan selendangnya lalu memakai semula pakaian balunya.
20 Kemudian Yehuda mengutus temannya dari Adulam+ itu untuk menghantar anak kambing dan meminta kembali benda-benda yang diberikannya sebagai jaminan. Tetapi dia tidak dapat menemukan perempuan itu. 21 Orang Adulam itu bertanya kepada orang di Enaim, “Di manakah pelacur* yang biasanya menunggu dekat pinggir jalan di Enaim?” Mereka berkata, “Tidak pernah ada pelacur di sini.” 22 Oleh itu, dia kembali kepada Yehuda dan berkata, “Aku tidak dapat menjumpainya. Lagipun, orang di sana berkata, ‘Tidak pernah ada pelacur di sini.’” 23 Maka Yehuda berkata, “Biarkanlah perempuan itu mengambil benda-benda itu, supaya kita tidak dipandang hina. Sekurang-kurangnya aku sudah menghantar anak kambing itu, meskipun kamu tidak dapat menjumpainya.”
24 Kira-kira tiga bulan kemudian, Yehuda diberitahu, “Tamar menantumu sudah menjadi pelacur, dia juga hamil kerana perbuatannya itu.” Yehuda berkata, “Bawalah dia keluar untuk dihukum mati, kemudian bakarlah dia.”+ 25 Semasa Tamar dibawa keluar, dia mengirimkan pesanan kepada bapa mentuanya, “Pemilik benda-benda inilah yang membuat saya hamil.” Dia juga berkata, “Periksalah cincin mohor ini dan talinya, serta tongkat ini, dan lihatlah siapa pemiliknya.”+ 26 Selepas Yehuda memeriksa benda-benda itu, dia berkata, “Dia tidak bersalah. Akulah yang bersalah kerana aku seharusnya mengahwinkan anak lelakiku Selah dengannya.”+ Dia tidak bersetubuh dengan Tamar semenjak itu.
27 Apabila tiba masanya Tamar melahirkan anak, ternyata dia akan melahirkan anak kembar. 28 Semasa dia bersalin, salah seorang bayi kembar itu mengeluarkan tangannya, lalu bidan memegang tangan itu dan mengikatnya dengan benang merah. Bidan berkata, “Anak ini dilahirkan terlebih dahulu.” 29 Tetapi bayi itu menarik tangannya kembali, dan bayi yang satu lagi dilahirkan terlebih dahulu. Bidan itu berkata, “Begitu pula cara kamu mendesak keluar!” Maka anak itu dinamakan Perez.*+ 30 Selepas itu barulah adiknya, yang tangannya diikat dengan benang merah, dilahirkan. Anak itu diberi nama Zerah.+
39 Yusuf dibawa oleh orang Ismael+ ke Mesir,+ lalu dijual kepada seorang lelaki Mesir yang bernama Potifar.+ Dia ialah seorang pegawai Firaun yang merupakan ketua pengawal istana. 2 Yehuwa menyertai Yusuf+ sehingga dia berjaya dalam segala pekerjaannya. Dia dilantik untuk mengurus rumah tangga tuannya, orang Mesir itu. 3 Tuannya melihat bahawa Yehuwa menyertai Yusuf, dan Yehuwa memberinya kejayaan dalam segala yang dilakukannya.
4 Yusuf disukai Potifar, dan dilantik menjadi pembantu peribadinya. Potifar melantik Yusuf untuk mengurus seluruh rumah tangganya dan segala kepunyaannya. 5 Sejak Potifar berbuat demikian, Yehuwa sentiasa memberkati rumah tangganya demi Yusuf. Yehuwa memberkati segala yang dimiliki orang Mesir itu, baik yang di rumah, mahupun yang di ladang.+ 6 Akhirnya, Potifar mempercayakan semua yang dimilikinya kepada Yusuf. Dia langsung tidak perlu risau tentang hal-hal yang diurus oleh Yusuf, kecuali soal makanannya. Yusuf ialah seorang yang berbadan tegap dan kacak.
7 Beberapa lama kemudian, isteri Potifar terpikat dengan Yusuf dan berkata, “Tidurlah dengan aku.” 8 Tetapi Yusuf menolak dan berkata, “Tuan Potifar tidak perlu mengawasi apa yang aku lakukan di dalam rumahnya. Dia sudah mempercayakan segala miliknya kepadaku. 9 Di dalam rumah ini, akulah yang paling berkuasa, dan aku diberi kuasa atas segala-galanya kecuali puan, kerana puan isterinya. Jadi bagaimana mungkin aku melakukan perbuatan sejahat ini dan berdosa terhadap Tuhan?”+
10 Hari demi hari, dia memujuk Yusuf tetapi Yusuf tetap tidak mahu berdua-duaan dengannya ataupun tidur dengannya. 11 Tetapi pada suatu hari, semasa Yusuf masuk ke dalam rumah untuk melakukan pekerjaannya, tiada seorang hamba pun yang berada di situ. 12 Isteri Potifar menarik baju Yusuf dan berkata, “Tidurlah dengan aku!” Yusuf melarikan diri ke luar, tetapi bajunya tertinggal di tangan wanita itu. 13 Sebaik sahaja wanita itu nampak bahawa Yusuf telah melarikan diri dan bajunya tertinggal, 14 dia mula berteriak kepada hamba-hambanya, “Lihat! Orang Ibrani yang dibawa oleh suami aku menghina kita. Dia datang kepada aku untuk merogol aku, tetapi aku menjerit dengan sekuat hati. 15 Sebaik sahaja dia mendengar aku berteriak dengan sekuat hati, dia meninggalkan bajunya di sampingku lalu berlari ke luar.” 16 Isteri Potifar meletakkan baju itu di sampingnya sehingga Potifar, majikan Yusuf, pulang.
17 Isteri Potifar kemudiannya memberitahu suaminya hal yang sama. Dia berkata, “Hamba Ibrani yang kamu bawa itu datang untuk menghina aku. 18 Tetapi sebaik sahaja aku menjerit dengan sekuat hati, dia meninggalkan bajunya di sampingku lalu berlari ke luar.” 19 Ketika majikan Yusuf mendengar isterinya berkata, “Begitulah hambamu memperlakukan aku,” dia menjadi sangat marah. 20 Dia menangkap Yusuf dan memasukkannya ke dalam penjara. Penjara itu merupakan tempat raja mengurung tahanan, dan di situlah Yusuf ditahan.+
21 Tetapi Yehuwa terus menyertai Yusuf dan menunjukkan kasih setia kepadanya sehingga dia disenangi oleh ketua penjara.+ 22 Ketua penjara itu menugaskan Yusuf untuk mengurus semua tahanan di dalam penjara itu. Yusuf bertanggungjawab atas segala pekerjaan yang dilakukan oleh mereka di dalam penjara.+ 23 Ketua penjara itu langsung tidak risau tentang hal-hal yang dipercayakan kepada Yusuf, kerana Yehuwa menyertai Yusuf dan Yehuwa membuat Yusuf berjaya dalam segala pekerjaannya.+
40 Beberapa lama kemudian, ketua pengurus minuman+ raja Mesir dan ketua pengurus roti melakukan kesalahan terhadap tuan mereka, iaitu raja Mesir. 2 Oleh itu, Firaun* marah terhadap kedua-dua pegawai itu, iaitu ketua pengurus minuman dan ketua pengurus roti.+ 3 Lalu dia memasukkan mereka ke dalam penjara di rumah ketua pengawal istana,+ di tempat Yusuf dipenjarakan.+ 4 Ketua pengawal istana menugaskan Yusuf untuk menjaga kedua-dua orang pengurus itu, dan melayani mereka.+ Mereka berada di dalam penjara selama beberapa waktu.
5 Pada suatu malam, pengurus minuman dan pengurus roti raja Mesir yang berada di dalam penjara bermimpi. Mimpi mereka mempunyai erti tersendiri. 6 Apabila Yusuf datang kepada mereka keesokan paginya, mereka kelihatan muram. 7 Oleh itu, Yusuf bertanya kepada kedua-dua pegawai Firaun yang dipenjarakan bersama-samanya, “Mengapakah tuan-tuan kelihatan muram hari ini?” 8 Mereka menjawab, “Kami bermimpi semalam, tetapi tiada orang yang dapat menjelaskan ertinya kepada kami.” Yusuf berkata, “Hanya Tuhan yang membolehkan orang mentafsirkan mimpi.+ Ceritakanlah mimpi itu kepadaku.”
9 Ketua pengurus minuman itu menceritakan mimpinya kepada Yusuf. Dia berkata, “Dalam mimpiku, aku nampak sepohon pokok anggur di hadapanku. 10 Pokok anggur itu mempunyai tiga cabang yang mula berdaun. Kemudian bunga-bunganya berkembang lalu menghasilkan gugusan buah anggur yang masak. 11 Ketika itu aku sedang memegang cawan Firaun. Aku pun mengambil anggur itu dan memerah airnya ke dalam cawan Firaun, lalu aku menghidangkannya kepada Firaun.” 12 Yusuf berkata kepadanya, “Inilah erti mimpi itu: Tiga cabang itu bererti tiga hari. 13 Dalam masa tiga hari, Firaun akan membebaskan tuan dan mengembalikan jawatan tuan.+ Tuan akan berkhidmat sebagai pengurus minuman sekali lagi dan menghidangkan minuman kepada Firaun seperti dahulu.+ 14 Tetapi ingatlah akan aku apabila keadaan tuan sudah baik. Tunjukkanlah kasih setia kepadaku dan beritahulah Firaun tentangku agar aku dapat dibebaskan dari penjara ini. 15 Sebenarnya aku telah diculik dari negeri orang Ibrani.+ Di sini pun aku tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan sehingga harus dipenjarakan.”+
16 Semasa ketua pengurus roti tahu bahawa mimpi pengurus minuman itu mempunyai erti yang baik, dia berkata, “Aku juga telah bermimpi. Aku nampak tiga buah bakul yang berisi roti yang bermutu tinggi di atas kepalaku. 17 Di dalam bakul yang paling atas terdapat pelbagai makanan yang telah dimasak di dalam ketuhar untuk Firaun, dan ada burung-burung datang ke bakul yang terletak di atas kepalaku untuk memakan makanan itu.” 18 Lalu Yusuf menjawab, “Inilah erti mimpi itu: Tiga bakul itu bererti tiga hari. 19 Dalam masa tiga hari, Firaun akan memenggal kepala tuan lalu menggantungkan mayat tuan pada sebatang tiang, dan burung-burung akan makan daging tuan.”+
20 Tiga hari kemudian, iaitu pada hari jadi Firaun,+ dia mengadakan jamuan yang besar bagi semua pegawainya. Raja memerintahkan supaya ketua pengurus minuman dan ketua pengurus roti dikeluarkan dari penjara, lalu dibawa ke hadapan semua pegawainya. 21 Firaun mengembalikan jawatan ketua pengurus minuman itu, lalu dia menghidangkan minuman kepada Firaun seperti dahulu. 22 Tetapi ketua pengurus roti digantungkan pada tiang, tepat seperti yang dikatakan Yusuf kepada mereka.+ 23 Namun, ketua pengurus minuman itu tidak ingat lagi akan Yusuf. Dia sama sekali lupa akan dia.+
41 Dua tahun kemudian, Firaun bermimpi+ bahawa dia sedang berdiri di tebing Sungai Nil. 2 Dia nampak tujuh ekor lembu yang gemuk dan sihat keluar dari Sungai Nil lalu makan rumput di situ.+ 3 Kemudian ada tujuh ekor lembu yang kurus dan buruk rupanya keluar dari Sungai Nil lalu berdiri di sebelah lembu-lembu gemuk yang ada di tebing sungai. 4 Selepas itu, lembu-lembu yang kurus dan buruk rupanya memakan tujuh ekor lembu yang gemuk dan sihat itu. Lalu Firaun terbangun daripada tidurnya.
5 Firaun tidur semula dan bermimpi untuk kali yang kedua. Dia nampak tujuh bulir gandum yang sihat dan berisi tumbuh pada satu tangkai.+ 6 Kemudian tumbuh pula tujuh bulir gandum yang kurus dan layu kerana ditiup oleh angin timur yang panas. 7 Tujuh bulir gandum yang kurus mula menelan tujuh bulir gandum yang sihat dan berisi. Pada masa itu, Firaun terbangun daripada tidurnya dan sedar bahawa semua itu hanyalah mimpi.
8 Keesokan paginya, Firaun berasa gelisah lalu memanggil semua imam di Mesir yang mengamalkan ilmu sihir dan juga semua orang yang berilmu. Firaun menceritakan mimpinya kepada mereka, tetapi tiada seorang pun yang dapat menjelaskan erti mimpi itu kepadanya.
9 Ketika itu, ketua pengurus minuman berkata kepada Firaun, “Pada hari ini, hamba ingin mengakui kesalahan hamba. 10 Dahulu tuanku Firaun marah kepada hamba dan ketua pengurus roti. Oleh itu, tuanku memasukkan hamba berdua ke dalam penjara di rumah ketua pengawal istana.+ 11 Pada suatu malam, hamba berdua bermimpi, dan mimpi hamba berdua mempunyai erti tersendiri.+ 12 Bersama hamba berdua terdapat seorang pemuda Ibrani yang merupakan hamba kepada ketua pengawal istana.+ Setelah hamba berdua menceritakan mimpi masing-masing,+ dia menjelaskan erti mimpi-mimpi itu. 13 Apa yang dijelaskan olehnya benar-benar berlaku. Jawatan hamba dikembalikan, tetapi pengurus roti digantungkan pada tiang.”+
14 Maka Firaun mengutus orang untuk memanggil Yusuf,+ lalu Yusuf segera dikeluarkan dari penjara.+ Dia bercukur dan mengganti pakaiannya lalu menghadap Firaun. 15 Firaun berkata kepada Yusuf, “Beta telah bermimpi, tetapi tiada seorang pun yang dapat menjelaskan ertinya. Beta diberitahu bahawa kamu dapat menjelaskan erti mimpi yang kamu dengar.”+ 16 Yusuf menjawab, “Tuanku, bukan hamba melainkan Tuhan yang dapat memberikan tafsiran yang baik bagi tuanku.”+
17 Firaun berkata kepada Yusuf, “Beta bermimpi bahawa beta sedang berdiri di tebing Sungai Nil. 18 Beta nampak tujuh ekor lembu yang gemuk dan sihat keluar dari sungai lalu makan rumput di situ.+ 19 Kemudian muncul pula tujuh ekor lembu yang kurus dan buruk rupanya. Belum pernah beta nampak lembu yang begitu buruk rupanya di seluruh negeri Mesir. 20 Selepas itu, lembu-lembu yang kurus dan buruk rupanya memakan tujuh ekor lembu yang gemuk itu. 21 Tetapi selepas makan, lembu-lembu yang kurus itu kelihatan seperti tidak pernah makan sama sekali; rupa semua lembu itu masih buruk seperti dahulu. Ketika itu, beta terbangun daripada tidur.
22 “Selepas itu, beta bermimpi lagi, dan beta nampak tujuh bulir gandum yang sihat dan berisi tumbuh pada satu tangkai.+ 23 Kemudian tumbuh pula tujuh bulir gandum yang kurus dan layu kerana ditiup oleh angin timur yang panas. 24 Selepas itu, tujuh bulir gandum yang kurus itu mula menelan tujuh bulir gandum yang sihat dan berisi. Beta menceritakan mimpi itu kepada semua imam di Mesir yang mengamalkan ilmu sihir,+ tetapi tiada seorang pun yang dapat menjelaskan ertinya.”+
25 Yusuf berkata kepada Firaun, “Kedua-dua mimpi tuanku mempunyai erti yang sama. Tuhan yang benar sudah menyatakan kepada tuanku apa yang akan dilakukan oleh-Nya.+ 26 Tujuh ekor lembu yang sihat itu bererti tujuh tahun. Demikian juga, tujuh bulir gandum yang berisi itu bererti tujuh tahun. Kedua-dua mimpi itu mempunyai erti yang sama. 27 Tujuh ekor lembu yang kurus dan buruk rupanya, yang muncul kemudian, dan tujuh bulir gandum yang tidak berisi dan layu kerana ditiup oleh angin timur yang panas, bererti kebuluran selama tujuh tahun. 28 Seperti yang telah hamba katakan kepada tuanku, Tuhan sudah menyatakan kepada tuanku apa yang bakal dilakukan oleh-Nya.
29 “Selama tujuh tahun, seluruh negeri Mesir akan melimpah-limpah dengan makanan. 30 Selepas itu, kebuluran akan berlaku selama tujuh tahun, dan negeri Mesir akan menjadi tandus. Masa kelimpahan makanan itu akan dilupakan sama sekali.+ 31 Kebuluran yang akan melanda itu sangat dahsyat, sehingga tiada seorang pun yang akan ingat bahawa pernah ada kelimpahan makanan di negeri ini. 32 Tuanku bermimpi dua kali kerana Tuhan yang benar sudah menentukan bahawa hal ini pasti berlaku, dan Dia akan melaksanakannya dengan segera.
33 “Sekarang, hendaklah tuanku mencari seorang lelaki yang berpengertian dan bijaksana, dan berilah dia kuasa untuk mengurus seluruh negeri Mesir. 34 Hendaklah tuanku melantik pegawai-pegawai untuk memungut satu perlima daripada hasil tanaman di Mesir selama tujuh tahun masa kelimpahan.+ 35 Hendaklah mereka mengumpulkan semua makanan selama tahun-tahun kelimpahan. Di bawah kuasa tuanku, hendaklah mereka menyimpan biji-bijian sebagai makanan di kota-kota dan menjaganya.+ 36 Makanan yang disimpan itu akan menampung keperluan negeri Mesir selama tujuh tahun masa kebuluran yang akan berlaku. Dengan demikian, rakyat dan ternakan tidak akan mati kebuluran.”+
37 Firaun dan semua pegawainya menyetujui cadangan Yusuf. 38 Maka Firaun berkata kepada pegawai-pegawainya, “Dapatkah kita mencari orang lain yang memiliki kuasa suci Tuhan seperti dia?” 39 Maka Firaun berkata kepada Yusuf, “Memandangkan Tuhan telah membolehkan kamu mengetahui semua hal ini, tiada orang yang lebih berpengertian dan lebih bijaksana daripada kamu. 40 Oleh itu, kamulah yang akan diberi kuasa atas rumah beta, dan semua rakyat beta akan mematuhi segala perintahmu.+ Betalah satu-satunya orang yang lebih berkuasa daripada kamu kerana betalah raja.” 41 Firaun berkata lagi kepada Yusuf, “Lihatlah! Beta melantik kamu untuk mengurus seluruh negeri Mesir.”+ 42 Lalu Firaun menanggalkan cincin mohor dari jarinya dan menyarungkannya pada jari Yusuf. Firaun juga mengenakan pakaian linen yang bermutu tinggi padanya dan mengalungkan rantai emas pada lehernya. 43 Selain itu, Firaun juga menyuruh Yusuf menaiki kereta kuda diraja yang kedua dan menyuruh orang berjalan di hadapannya sambil berseru, “Avrekh!”* Demikianlah Firaun melantik Yusuf untuk mengurus seluruh negeri Mesir.
44 Firaun berkata kepada Yusuf, “Betalah Firaun, tetapi tanpa kebenaran kamu, tidak ada seorang pun yang boleh melakukan apa-apa di seluruh negeri Mesir.”+ 45 Selepas itu, Firaun memberi Yusuf nama Zafenat-paneah dan mengahwinkannya dengan Asenat,+ anak perempuan Potifera, iaitu imam di On.* Yusuf pun mula mengurus* seluruh negeri Mesir.+ 46 Yusuf berumur 30 tahun+ semasa dia menghadap* Firaun, raja negeri Mesir.
Selepas itu, Yusuf meninggalkan Firaun lalu pergi menjelajahi seluruh negeri Mesir. 47 Selama tujuh tahun masa kelimpahan, tanah di negeri itu menghasilkan makanan yang sangat banyak. 48 Selama tujuh tahun, dia mengumpulkan semua makanan yang dihasilkan di Mesir dan menyimpannya di kota-kota. Di setiap kota, dia akan menyimpan makanan yang dihasilkan di ladang-ladang sekitar kota itu. 49 Biji-bijian yang dikumpulkan oleh Yusuf sangat banyak, seperti pasir di pantai. Akhirnya mereka berhenti menyukatnya kerana jumlahnya terlalu banyak.
50 Sebelum masa kebuluran tiba, Yusuf mendapat dua orang anak lelaki+ yang dilahirkan oleh Asenat, anak perempuan Potifera, iaitu imam di On.* 51 Yusuf berkata, “Tuhan telah membuat aku lupa akan semua penderitaanku dan rumah tangga bapaku.” Maka dia menamakan anak sulungnya Manasye.*+ 52 Dia menamakan anaknya yang kedua Efraim.*+ Dia berkata, “Tuhan sudah memberikan anak kepadaku di negeri aku mengalami kesukaran.”+
53 Kemudian tujuh tahun masa kelimpahan di negeri Mesir berakhir.+ 54 Lalu bermulalah tujuh tahun masa kebuluran, tepat seperti yang dikatakan oleh Yusuf.+ Kebuluran berlaku di merata tempat, tetapi di seluruh Mesir terdapat makanan.+ 55 Akhirnya, seluruh negeri Mesir mengalami kebuluran dan rakyat mula merayu kepada Firaun agar diberi makanan.+ Maka Firaun berkata kepada semua rakyat Mesir, “Pergilah berjumpa dengan Yusuf, dan lakukanlah apa sahaja yang diperintahkan olehnya.”+ 56 Kebuluran terus berlaku di seluruh bumi.+ Memandangkan kebuluran yang berlaku di Mesir sangat dahsyat, Yusuf mula membuka semua gudang makanan di situ dan menjual makanan kepada orang Mesir.+ 57 Orang dari seluruh bumi juga datang ke Mesir untuk membeli makanan daripada Yusuf, kerana kebuluran di seluruh bumi sangat dahsyat.+
42 Semasa Yakub mendengar bahawa terdapat biji-bijian di Mesir,+ dia berkata kepada anak-anak lelakinya, “Mengapakah kamu hanya memandang satu sama lain dan tidak melakukan apa-apa?” 2 Dia menambah, “Ayah dengar di Mesir ada biji-bijian. Pergilah ke sana dan belilah makanan untuk kita supaya kita tidak mati kebuluran.”+ 3 Jadi 10 orang abang Yusuf+ pergi ke Mesir untuk membeli biji-bijian. 4 Yakub tidak mengizinkan Benyamin,+ iaitu adik kandung Yusuf, pergi bersama abang-abangnya. Yakub risau Benyamin akan terbunuh jika sesuatu yang buruk menimpanya dalam perjalanan.+
5 Maka, anak-anak lelaki Israel pergi ke Mesir bersama dengan orang lain untuk membeli makanan, kerana negeri Kanaan juga dilanda kebuluran.+ 6 Yusuf berkuasa atas negeri Mesir,+ dan dialah yang menjual biji-bijian kepada semua orang di bumi.+ Maka abang-abang Yusuf datang dan sujud di hadapannya.+ 7 Sebaik sahaja Yusuf nampak abang-abangnya, dia mengenal mereka, tetapi dia berkelakuan seperti orang asing di hadapan mereka.+ Dengan kasar, dia bertanya kepada mereka, “Kamu dari mana?” Mereka menjawab, “Kami dari negeri Kanaan. Kami datang untuk membeli makanan.”+
8 Meskipun Yusuf mengenal abang-abangnya, mereka tidak mengenal dia. 9 Yusuf serta-merta teringat akan mimpi-mimpinya tentang mereka.+ Kemudian dia berkata, “Kamu ini pengintip! Kamu datang untuk menyiasat kelemahan negeri kami!” 10 Mereka menjawab, “Tidak, tuan. Kami hamba-hamba tuan. Kami datang hanya untuk membeli makanan. 11 Kami semua mempunyai bapa yang sama, dan kami orang baik, bukannya pengintip.” 12 Yusuf berkata kepada mereka, “Tidak! Kamu datang ke sini untuk menyiasat kelemahan negeri ini!” 13 Mereka menjawab, “Tuan, bapa kami tinggal di negeri Kanaan dan dia mempunyai 12 orang anak lelaki.+ Yang bongsu ada bersama dengan bapa kami+ dan yang seorang lagi sudah tiada.”+
14 Namun Yusuf berkata kepada mereka, “Memang benar kataku. Kamu ini pengintip! 15 Aku mahu menguji kamu. Aku bersumpah demi nama Firaun bahawa kamu tidak akan meninggalkan tempat ini kecuali adik kamu yang bongsu itu datang ke sini.+ 16 Seorang daripada kamu harus pulang untuk membawanya ke mari. Sementara itu, kamu yang lain akan ditahan sampai kata-kata kamu itu terbukti benar. Jika tidak, demi nama Firaun, memang benar bahawa kamu ini pengintip!” 17 Kemudian, Yusuf memasukkan mereka ke dalam penjara selama tiga hari.
18 Pada hari ketiga, Yusuf berkata kepada mereka, “Aku takut akan Tuhan. Jadi, buatlah apa yang aku suruh supaya kamu terus hidup. 19 Jika kamu memang bercakap benar, biarlah salah seorang daripada kamu ditahan di dalam penjara. Yang lain boleh membawa pulang biji-bijian untuk keluarga kamu yang menderita kebuluran.+ 20 Selepas itu, bawalah adik kamu yang bongsu kepadaku supaya kata-kata kamu terbukti benar dan kamu tidak akan dihukum mati.” Mereka pun bersetuju untuk berbuat demikian.
21 Kemudian mereka berkata kepada satu sama lain, “Kita dihukum kerana kesalahan kita terhadap adik kita.+ Sewaktu dia menderita, dia merayu agar kita berbelas kasihan terhadapnya, tetapi kita tidak mempedulikannya. Itulah sebabnya kita mengalami penderitaan ini.” 22 Ruben berkata, “Bukankah aku telah berkata, ‘Jangan cederakan anak itu’? Tetapi kamu tidak mahu dengar.+ Sekarang kita harus bertanggungjawab kerana kita telah menumpahkan darahnya.”+ 23 Tetapi mereka tidak tahu bahawa Yusuf memahami kata-kata mereka, kerana selama itu mereka bercakap kepada Yusuf melalui seorang jurubahasa. 24 Yusuf meninggalkan mereka dan mula menangis.+ Kemudian dia kembali untuk bercakap kepada mereka, lalu memilih Simeon+ dan mengikatnya di hadapan mereka semua.+ 25 Yusuf memerintahkan supaya guni-guni mereka diisi dengan biji-bijian, dan wang mereka dipulangkan lalu dimasukkan ke dalam guni masing-masing. Yusuf juga memerintahkan supaya mereka diberi bekalan makanan untuk perjalanan. Perintahnya itu dituruti.
26 Maka mereka memuatkan biji-bijian itu ke atas keldai mereka lalu beredar. 27 Semasa di tempat penginapan, salah seorang daripada mereka membuka guninya untuk memberikan makanan kepada keldainya. Ketika dia menjumpai wangnya di dalam guni, 28 dia berseru kepada saudara-saudaranya, “Wang saya sudah dikembalikan, dan sekarang wang itu ada di dalam guniku!” Mereka terus hilang semangat dan menjadi takut, lalu berkata kepada satu sama lain, “Apakah yang dilakukan oleh Tuhan terhadap kita?”
29 Apabila mereka sampai di Kanaan, iaitu tempat tinggal bapa mereka Yakub, mereka menceritakan segala yang berlaku. Mereka berkata, 30 “Lelaki yang berkuasa atas negeri itu bercakap dengan kasar kepada kami+ dan menuduh kami mengintip negerinya. 31 Tetapi kami menjawab, ‘Kami orang baik, bukannya pengintip.+ 32 Bapa kami mempunyai 12 orang anak lelaki.+ Yang bongsu ada bersama dengan bapa kami di Kanaan,+ dan yang seorang lagi sudah tiada.’+ 33 Penguasa negeri itu berkata, ‘Jika kamu memang orang yang baik, lakukanlah hal ini: Salah seorang daripada kamu harus tinggal di sini.+ Yang lain boleh membawa pulang makanan untuk keluarga kamu yang menderita kebuluran.+ 34 Selepas itu, bawalah adik kamu yang bongsu kepadaku. Dengan demikian, aku akan tahu bahawa kamu bukan pengintip tetapi orang yang baik. Barulah aku akan kembalikan saudaramu yang aku tahan itu dan mengizinkan kamu berdagang di negeri ini.’”
35 Semasa mereka mengosongkan guni, mereka mendapati bahawa kantung wang setiap orang terdapat di dalam guni masing-masing. Mereka dan bapa mereka nampak wang itu dan menjadi takut. 36 Yakub berseru, “Kamu menyebabkan aku kehilangan anak-anakku!+ Yusuf sudah tiada,+ Simeon sudah tiada,+ dan sekarang kamu hendak mengambil Benyamin? Akulah yang terpaksa menghadapi semua penderitaan ini!” 37 Ruben berkata kepada bapanya, “Ayah boleh membunuh kedua-dua orang anak lelaki saya jika saya tidak membawa Benyamin pulang.+ Serahkanlah dia ke bawah jagaan saya, dan saya akan membawanya kembali kepada ayah.”+ 38 Tetapi Yakub berkata, “Anakku tidak boleh pergi bersamamu. Abangnya sudah mati, dan dia sahaja yang tinggal.+ Jika sesuatu terjadi dalam perjalanan sehingga dia terbunuh, kamu akan menyebabkan aku, orang yang beruban ini, turun ke dalam Kuburan*+ dengan penuh kesedihan.”+
43 Kebuluran di negeri Kanaan sangat teruk.+ 2 Apabila makanan yang dibeli oleh mereka dari Mesir+ sudah habis, Yakub berkata kepada anak-anaknya, “Pergilah ke sana lagi dan belilah sedikit makanan untuk kita.” 3 Yehuda berkata kepada bapanya, “Lelaki itu dengan tegas memberikan amaran kepada kami, ‘Jika kamu tidak membawa adik kamu bersama, jangan datang menghadap aku.’+ 4 Jika ayah membenarkan adik ikut kami, kami akan pergi ke sana dan membeli makanan untuk ayah. 5 Tetapi jika ayah tidak membenarkan adik ikut, kami tidak akan pergi kerana lelaki itu berkata, ‘Jika kamu tidak membawa adik kamu bersama, jangan datang menghadap aku.’”+ 6 Israel+ berkata, “Mengapa kamu menyusahkan aku dengan memberitahu lelaki itu bahawa kamu masih mempunyai seorang lagi adik?” 7 Mereka menjawab, “Lelaki itu bertanya tentang kami dan sanak saudara kami. Dia bertanya, ‘Masih hidupkah bapa kamu? Adakah kamu mempunyai adik lelaki yang lain?’ Oleh itu, kami pun menjawab segala pertanyaannya.+ Bagaimana kami boleh tahu bahawa dia akan berkata, ‘Bawalah adik kamu ke sini’?”+
8 Kemudian Yehuda memujuk bapanya Israel, “Izinkanlah anak itu ikut saya,+ dan kami akan berangkat ke sana supaya kita semua, termasuk ayah dan anak-anak kami, tidak mati kebuluran.+ 9 Saya akan menjamin keselamatannya+ dan bertanggungjawab terhadapnya. Jika saya gagal membawanya pulang dan menyerahkannya kepada ayah, saya akan menanggung dosa terhadap ayah seumur hidupku. 10 Sebenarnya jika kami tidak berlengah-lengah, pasti kami sudah berulang-alik dua kali.”
11 Oleh itu, bapa mereka berkata, “Jika begitu, lakukanlah hal ini: Bawalah hasil yang terbaik dari negeri ini. Masukkanlah semuanya ke dalam guni-guni kamu untuk dihadiahkan kepada lelaki itu.+ Bawalah sedikit balsam,+ madu, getah wangi, kulit pokok,*+ kacang pistasio, dan buah badam. 12 Selain itu, bawalah wang dua kali ganda banyaknya, dan kembalikanlah wang yang telah dimasukkan ke dalam guni kamu.+ Mungkin itu suatu kesilapan. 13 Bawalah adik kamu dan pergilah berjumpa dengan lelaki itu. 14 Semoga Tuhan Yang Maha Kuasa membuat lelaki itu berbelas kasihan terhadap kamu, supaya dia mengizinkan kamu membawa kembali Simeon dan Benyamin. Bagi aku, jika aku terpaksa kehilangan anakku, aku harus menghadapinya.”+
15 Maka mereka membawa hadiah-hadiah itu, dan membawa wang dua kali ganda. Kemudian mereka berangkat ke Mesir bersama-sama Benyamin lalu menghadap Yusuf.+ 16 Apabila Yusuf nampak Benyamin bersama abang-abangnya, dia berkata kepada hamba yang mengurus rumahnya, “Bawalah mereka ke rumahku. Kemudian sembelihlah binatang-binatang dan sediakanlah makanan, kerana mereka akan makan bersama-sama aku tengah hari ini.” 17 Hamba itu segera menurut perintah Yusuf+ dan membawa mereka ke rumah Yusuf. 18 Tetapi apabila mereka dibawa ke rumah Yusuf, mereka berasa takut dan berkata, “Kita dibawa ke sini kerana wang yang telah dikembalikan ke dalam guni-guni kita pada masa kita datang ke sini dahulu. Sekarang mereka akan menangkap kita dan menjadikan kita hamba lalu merampas keldai-keldai kita!”+
19 Maka mereka mendekati hamba yang mengurus rumah Yusuf dan bercakap kepadanya di depan pintu masuk rumah. 20 Mereka berkata, “Maafkan kami, tuan! Dahulu kami pernah datang ke sini untuk membeli makanan.+ 21 Tetapi apabila kami tiba di tempat penginapan dan membuka guni-guni kami, kami nampak semua wang kami di dalam guni masing-masing.+ Sekarang kami ingin mengembalikan wang itu. 22 Kami juga membawa lebih banyak wang untuk membeli makanan. Kami tidak tahu siapa yang telah memasukkan wang itu ke dalam guni-guni kami.”+ 23 Hamba itu berkata, “Bertenanglah dan janganlah takut kerana Tuhan kamu, iaitu Tuhan yang disembah oleh bapa kamu, telah meletakkan wang itu ke dalam guni-guni kamu. Aku sudah menerima bayaran kamu.” Kemudian, hamba itu membawa Simeon kepada mereka.+
24 Lalu hamba itu membawa mereka masuk ke dalam rumah Yusuf. Dia memberi mereka air untuk membasuh kaki dan juga makanan untuk keldai-keldai mereka. 25 Mereka menyediakan hadiah+ untuk diberikan kepada Yusuf apabila dia datang pada waktu tengah hari, kerana mereka sudah diberitahu bahawa mereka akan makan di sana.+ 26 Apabila Yusuf masuk ke dalam rumah, mereka memberikan hadiah-hadiah itu kepadanya dan bersujud di hadapannya.+ 27 Selepas itu, Yusuf bertanya tentang keadaan mereka. Dia juga berkata, “Kamu pernah memberitahu aku tentang bapa kamu yang sudah tua. Bagaimanakah keadaannya? Adakah dia masih hidup?”+ 28 Mereka menjawab, “Bapa kami, hamba tuan, masih hidup dan sihat.” Kemudian mereka bersujud di hadapannya.+
29 Apabila Yusuf melihat Benyamin, adiknya yang seibu dengannya,+ dia berkata, “Inikah adik kamu yang bongsu itu, yang kamu beritahu aku dahulu?”+ Dia juga berkata, “Anakku, semoga Tuhan memberkati kamu.” 30 Yusuf segera keluar untuk mencari tempat untuk menangis kerana dia begitu terharu semasa melihat adiknya. Dia masuk ke dalam sebuah bilik untuk bersendirian lalu mula menangis.+ 31 Kemudian, dia membasuh mukanya, lalu keluar lagi. Setelah dia dapat menahan perasaannya, dia berkata, “Hidangkan makanan.” 32 Makanan dihidangkan kepada Yusuf di sebuah meja tersendiri, dan adik-beradiknya makan di meja yang lain. Orang Mesir yang ada di situ makan di meja yang lain lagi, kerana mereka benci apabila orang Ibrani makan bersama mereka.+
33 Adik-beradik Yusuf diberi tempat duduk di meja yang berhadapan dengan Yusuf, menurut urutan umur masing-masing, mulai daripada anak sulung yang mempunyai hak sebagai anak sulung,+ sampai kepada yang bongsu. Ketika mereka nampak hal ini, mereka saling memandang dengan hairan. 34 Yusuf terus memberikan makanan dari mejanya kepada mereka, dan Benyamin mendapat makanan lima kali lebih banyak daripada abang-abangnya.+ Demikianlah mereka makan dan minum bersama-sama Yusuf sehingga kenyang.
44 Kemudian Yusuf memerintahkan hamba yang mengurus rumahnya, “Isilah guni semua orang itu dengan seberapa banyak makanan yang dapat dibawa oleh mereka. Kemudian letakkanlah wang mereka di atas makanan di dalam guni masing-masing.+ 2 Tetapi kamu mesti memasukkan cawan perakku ke dalam guni adik mereka yang bongsu. Masukkan juga wang yang dibawanya untuk membeli makanan.” Maka hamba itu melakukan apa yang disuruh oleh Yusuf.
3 Keesokan harinya, semasa hari sudah terang, adik-beradik Yusuf berangkat dengan keldai-keldai mereka. 4 Setelah mereka pergi tidak berapa jauh dari kota, Yusuf berkata kepada hamba yang mengurus rumahnya, “Cepat! Kejarlah mereka. Setelah kamu menyusul mereka, katakan kepada mereka, ‘Mengapa kamu membalas kebaikan dengan kejahatan? 5 Mengapa kamu mengambil cawan perak tuan? Cawan itu dipakainya untuk minum dan untuk meramal masa depan. Kamu telah melakukan sesuatu yang sangat jahat.’”
6 Apabila hamba itu bertemu dengan mereka, dia mengatakan apa yang diperintahkan oleh Yusuf. 7 Tetapi mereka berkata kepadanya, “Mengapakah tuan mengatakan hal sedemikian? Mustahil kami berbuat begitu. 8 Dahulu wang yang kami nampak di dalam guni kami, sudah kami bawa dari Kanaan+ dan pulangkan kepada tuan. Jadi bagaimana mungkin kami mencuri perak atau emas dari rumah tuanmu? 9 Jika salah seorang daripada kami didapati mempunyai cawan itu, biarlah dia dihukum mati dan kami semua akan menjadi hamba tuan.” 10 Maka hamba itu berkata, “Baiklah, tetapi hanya orang yang didapati mempunyai cawan itu akan menjadi hambaku. Yang lain tidak akan dipersalahkan.” 11 Oleh itu, setiap orang segera menurunkan dan membuka guni masing-masing. 12 Hamba Yusuf itu memeriksa guni-guni mereka dengan teliti, bermula dengan guni kepunyaan yang sulung sehingga guni kepunyaan yang bongsu. Akhirnya cawan itu dijumpai di dalam guni Benyamin.+
13 Lalu mereka mengoyakkan jubah mereka, dan setelah mereka menaikkan semula guni masing-masing ke atas keldai mereka, mereka kembali semula ke kota. 14 Semasa Yehuda+ dan adik-beradiknya tiba di rumah Yusuf, Yusuf masih di sana. Lalu mereka bersujud di hadapannya.+ 15 Yusuf berkata kepada mereka, “Apakah yang sudah kamu lakukan? Tidakkah kamu tahu bahawa aku ini pandai meramal masa depan?”+ 16 Yehuda menjawab, “Apa lagi yang dapat kami katakan kepada tuan? Apakah yang dapat kami ucapkan? Bagaimanakah kami dapat membuktikan kami tidak bersalah? Tuhan yang benar telah mendedahkan kesalahan kami.+ Sekarang, kami semua, termasuk orang yang didapati mempunyai cawan itu, akan menjadi hamba tuan.” 17 Yusuf berkata, “Mustahil aku berbuat demikian! Hanya orang yang didapati mempunyai cawan itu akan menjadi hambaku.+ Kamu yang lain boleh kembali kepada bapa kamu dengan damai.”
18 Yehuda pun mendekati Yusuf lalu berkata, “Aku memohon kepada tuan, izinkanlah aku bercakap kepada tuan. Janganlah marah dengan aku, kerana tuan seperti Firaun sendiri.+ 19 Tuan bertanya kepada kami, ‘Adakah ayah kamu masih hidup dan adakah kamu mempunyai adik lelaki yang lain?’ 20 Oleh itu, kami menjawab, ‘Ya. Ayah kami sudah berumur dan adik kami yang bongsu dilahirkan semasa ayah kami sudah tua.+ Adik kami itu mempunyai hanya seorang abang yang seibu dengannya.+ Tetapi abangnya telah meninggal+ dan ayah sangat menyayangi adik kami itu.’ 21 Selepas itu, tuan berkata kepada kami, ‘Bawalah adik kamu supaya aku dapat melihatnya.’+ 22 Tetapi kami berkata, ‘Anak itu tidak boleh berpisah daripada ayahnya. Jika dia berpisah daripadanya, ayah kami pasti akan mati.’+ 23 Kemudian tuan berkata kepada kami, ‘Jika kamu tidak membawa adik bongsu kamu bersama, jangan datang menghadap aku.’+
24 “Kami kembali kepada bapa kami, dan menyampaikan kata-kata tuan kepadanya. 25 Beberapa lama kemudian, bapa kami berkata, ‘Pergilah ke sana lagi dan belilah sedikit makanan untuk kita.’+ 26 Kami menjawab, ‘Kami tidak dapat pergi ke sana, kerana kami tidak boleh menghadap orang itu selagi kami tidak membawa adik kami yang bongsu. Kami hanya akan pergi jika adik kami yang bongsu ikut bersama kami.’+ 27 Bapa kami berkata, ‘Kamu sendiri tahu bahawa isteriku hanya melahirkan dua orang anak lelaki untukku.+ 28 Tetapi salah seorang daripada mereka telah meninggalkan aku, dan aku berkata, “Dia pasti telah dicarik-carik oleh binatang buas!”+ Sejak itu, aku tidak melihatnya lagi. 29 Jika kamu mengambil anak ini daripadaku juga, dan jika dia ditimpa kemalangan dan terbunuh, kamu akan menyebabkan aku, orang yang beruban ini, turun ke dalam Kuburan*+ dengan penuh kesedihan.’+
30 “Bapaku mengasihi anak itu lebih daripada nyawanya sendiri. Oleh itu, jika aku pulang kepada bapaku tanpa anak itu, 31 dan bapaku sedar bahawa anaknya sudah tiada, dia akan mati. Jika hal itu berlaku, kamilah yang akan menyebabkan bapa kami yang beruban turun ke dalam Kuburan* dengan penuh kesedihan. 32 Aku telah berjanji kepada bapaku bahawa aku akan menjamin keselamatan anak itu. Aku berkata kepadanya, ‘Jika saya gagal membawanya pulang dan menyerahkannya kepada ayah, saya akan menanggung dosa terhadap ayah seumur hidup.’+ 33 Oleh itu, sekarang, aku memohon agar tuan mengizinkan aku tinggal di sini sebagai hamba tuan untuk menggantikan anak ini. Biarlah dia pulang bersama dengan abang-abangnya. 34 Bagaimanakah aku dapat balik kepada bapaku jika anak itu tidak bersama denganku? Aku tidak sanggup melihat malapetaka itu menimpa bapaku!”
45 Yusuf tidak dapat menahan perasaannya lagi di hadapan semua hambanya.+ Maka dia berseru, “Suruh semua orang keluar!” Tiada orang lain yang bersamanya semasa dia memperkenalkan diri kepada adik-beradiknya.+
2 Kemudian Yusuf menangis dengan begitu kuat sehingga orang Mesir dan seisi istana Firaun mendengarnya. 3 Akhirnya Yusuf berkata kepada adik-beradiknya, “Aku Yusuf. Adakah bapaku masih hidup?” Tetapi mereka sangat terkejut sehingga tidak dapat menjawabnya sama sekali. 4 Yusuf berkata, “Marilah dekati aku.” Maka mereka mendekatinya.
Lalu dia berkata, “Aku Yusuf, adik kamu yang kamu jual ke Mesir.+ 5 Janganlah kamu susah hati dan janganlah salahkan satu sama lain kerana menjual aku ke sini. Tuhanlah yang telah menghantarku ke sini terlebih dahulu agar dapat menyelamatkan nyawa kamu.+ 6 Sekarang baru tahun kedua masa kebuluran di negeri ini,+ dan ada lima tahun lagi orang tidak akan membajak atau menuai. 7 Tetapi Tuhan telah menghantarku terlebih dahulu agar aku dapat menyelamatkan kamu+ dengan cara yang menakjubkan, supaya keturunan kamu akan terus hidup di bumi. 8 Jadi, yang menghantarku ke sini sebenarnya bukan kamu, tetapi Tuhan yang benar. Dia telah melantikku sebagai ketua penasihat Firaun, penguasa seluruh rumah tangganya, dan pemerintah seluruh negeri Mesir.+
9 “Pulanglah dengan segera kepada bapaku, dan katakan kepadanya, ‘Anakmu Yusuf berkata, “Tuhan telah melantik saya menjadi penguasa atas seluruh negeri Mesir.+ Datanglah kepada saya dengan segera.+ 10 Ayah dapat tinggal di negeri Gosyen,+ dekat dengan saya, bersama semua anak cucu ayah, ternakan ayah, dan segala sesuatu yang ayah miliki. 11 Di sana, saya akan membekalkan makanan untuk ayah, kerana kebuluran akan berlanjutan selama lima tahun lagi.+ Dengan ini, ayah dan rumah tangga ayah tidak akan menjadi miskin, dan ayah pun tidak akan kehilangan segala-galanya.”’ 12 Sekarang kamu semua dan adikku Benyamin dapat lihat dengan mata sendiri bahawa sayalah yang bercakap kepada kamu.+ 13 Maka, beritahulah bapaku tentang segala kemuliaanku di Mesir dan tentang segala sesuatu yang telah kamu lihat. Bawalah bapaku ke sini dengan segera.”
14 Yusuf memeluk adiknya Benyamin dan menangis. Benyamin juga menangis sambil memeluk abangnya.+ 15 Kemudian Yusuf memeluk dan mencium semua abangnya lalu menangis. Selepas itu, mereka mula bercakap-cakap dengan dia.
16 Berita tentang ketibaan adik-beradik Yusuf sampai ke istana Firaun. Firaun dan para pegawainya senang hati mendengar berita itu. 17 Lalu Firaun berkata kepada Yusuf, “Suruhlah adik-beradikmu meletakkan barang-barang mereka di atas binatang dan pergilah ke Kanaan. 18 Bawalah bapamu dan keluarga mereka ke sini. Beta akan memberi mereka segala yang baik di Mesir, dan mereka akan makan hasil tanah yang terbaik.+ 19 Suruhlah mereka+ mengambil beberapa buah kereta lembu+ dari Mesir untuk membawa anak isteri mereka dan bapamu ke sini.+ 20 Mereka tidak perlu risau tentang harta milik mereka,+ kerana apa yang terbaik di seluruh Mesir akan menjadi milik mereka.”
21 Itulah yang dilakukan oleh anak-anak Israel. Yusuf memberi mereka beberapa buah kereta lembu, seperti yang diperintahkan oleh Firaun. Dia juga memberi mereka bekalan makanan untuk perjalanan. 22 Yusuf memberikan sepasang pakaian baharu kepada setiap abangnya, tetapi dia memberikan 300 keping wang perak dan lima pasang pakaian baharu kepada Benyamin.+ 23 Yusuf mengirim kepada bapanya 10 ekor keldai jantan yang membawa barang-barang yang baik dari Mesir. Selain itu, dia mengirim 10 ekor keldai betina yang membawa biji-bijian, roti, dan makanan lain untuk perjalanan bapanya ke Mesir. 24 Semasa Yusuf menghantar adik-beradiknya pergi, dia berkata, “Janganlah marah dengan satu sama lain semasa dalam perjalanan.”+
25 Mereka meninggalkan Mesir lalu sampai ke tempat Yakub, bapa mereka, di Kanaan. 26 Mereka berkata kepada Yakub, “Yusuf masih hidup, dan dia sudah menjadi penguasa seluruh Mesir!”+ Tetapi berita itu begitu mengejutkan sehingga Yakub tidak mempercayai mereka.+ 27 Setelah mereka memberitahu Yakub semua yang dikatakan oleh Yusuf kepada mereka, dan ketika Yakub nampak kereta lembu yang dikirim oleh Yusuf untuk membawa dia ke Mesir, pulihlah semangatnya. 28 Israel berseru, “Sekarang barulah aku percaya! Anakku Yusuf masih hidup! Aku mesti pergi berjumpa dengannya sebelum aku mati!”+
46 Maka Israel mengambil segala harta miliknya lalu berangkat bersama keluarganya. Apabila dia tiba di Beer-syeba,+ dia mempersembahkan korban kepada Tuhan yang disembah bapanya Ishak.+ 2 Pada waktu malam, dalam suatu penglihatan, Tuhan berfirman kepada Israel, “Yakub, Yakub!” Dia menjawab, “Ya, aku mendengar.” 3 Tuhan berfirman, “Akulah Tuhan yang benar, Tuhan yang disembah oleh bapamu.+ Jangan takut pergi ke Mesir kerana Aku akan menjadikan keturunanmu bangsa yang besar di sana.+ 4 Semasa engkau pergi ke Mesir, Aku akan menyertai engkau dan Aku akan membawamu kembali dari sana.+ Yusuf akan menutup matamu semasa engkau meninggal.”+
5 Selepas itu, Yakub, iaitu Israel, berangkat dari Beer-syeba. Anak-anaknya membawa dia dan anak isteri mereka dengan menggunakan kereta lembu yang dikirimkan oleh Firaun. 6 Mereka juga membawa ternakan dan segala harta yang telah diperoleh mereka di Kanaan. Akhirnya, Yakub dan keluarganya tiba di Mesir. 7 Semua keturunannya, iaitu anak lelaki, anak perempuan, dan cucunya, dibawa ke Mesir.
8 Inilah nama anak-anak Israel (anak-anak Yakub) yang pergi ke Mesir:+ Anak sulung Yakub ialah Ruben.+
9 Anak-anak lelaki Ruben ialah Hanokh, Palu, Hezron, dan Karmi.+
10 Anak-anak lelaki Simeon+ ialah Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan Shaul+ yang ibunya seorang wanita Kanaan.
11 Anak-anak lelaki Lewi+ ialah Gerson, Kehat, dan Merari.+
12 Anak-anak lelaki Yehuda+ ialah Er, Onan, Selah,+ Perez,+ dan Zerah.+ Namun, Er dan Onan meninggal di Kanaan.+
Anak-anak lelaki Perez ialah Hezron dan Hamul.+
13 Anak-anak lelaki Isakhar ialah Tola, Pua, Iob, dan Simron.+
14 Anak-anak lelaki Zebulon+ ialah Sered, Elon, dan Yahleel.+
15 Mereka semua ialah anak cucu Lea yang dilahirkan untuk Yakub di Padan-aram. Lea juga melahirkan seorang anak perempuan yang bernama Dina.+ Jumlah mereka semua ialah 33 orang.
16 Anak-anak lelaki Gad+ ialah Zifyon, Hagi, Syuni, Ezbon, Eri, Arodi, dan Areli.+
17 Anak-anak lelaki Asyer+ ialah Yimna, Yiswa, Yiswi, dan Beria. Anak perempuan Asyer pula ialah Serah.
Anak-anak lelaki Beria ialah Heber dan Malkiel.+
18 Mereka semua ialah anak cucu Zilpa,+ iaitu hamba perempuan yang diberikan oleh Laban kepada anak perempuannya Lea. Semua anak cucu Yakub dan Zilpa berjumlah 16 orang.
19 Anak-anak lelaki Yakub yang dilahirkan oleh Rahel ialah Yusuf+ dan Benyamin.+
20 Anak-anak Yusuf yang dilahirkan oleh Asenat di Mesir ialah Manasye+ dan Efraim.+ Asenat+ ialah anak perempuan Potifera, iaitu seorang imam di On.*
21 Anak-anak lelaki Benyamin+ ialah Bela, Bekher, Asybel, Gera,+ Naaman, Ehi, Rosh, Mupim, Hupim,+ dan Ared.+
22 Mereka semua ialah anak cucu Rahel. Semua anak cucu Yakub dan Rahel berjumlah 14 orang.
23 Anak lelaki Dan+ ialah Husyim.+
24 Anak-anak lelaki Naftali+ ialah Yahzeel, Guni, Yezer, dan Syilem.+
25 Mereka semua ialah anak cucu Bilha, iaitu hamba perempuan yang diberikan Laban kepada anak perempuannya Rahel. Semua anak cucu Yakub dan Bilha berjumlah tujuh orang.
26 Semua anak cucu Yakub yang pergi ke Mesir bersamanya berjumlah 66 orang, tidak termasuk menantu perempuannya.+ 27 Yusuf mempunyai dua orang anak lelaki yang dilahirkan di Mesir. Jumlah ahli keluarga Yakub di Mesir ialah 70 orang.+
28 Sebelum Yakub dan keluarganya sampai di Gosyen,+ Yakub menyuruh Yehuda+ pergi terlebih dahulu untuk memberitahu Yusuf bahawa mereka sedang dalam perjalanan. 29 Yusuf menyediakan kereta kudanya lalu berangkat untuk bertemu dengan bapanya Israel di Gosyen. Sebaik sahaja mereka bertemu, Yusuf memeluk bapanya dan menangis untuk agak lama. 30 Israel berkata kepada Yusuf, “Sekarang, biarpun aku mati, aku rela, kerana aku sudah melihat kamu dan tahu bahawa kamu masih hidup.”
31 Yusuf berkata kepada adik-beradiknya dan kepada keluarga bapanya, “Biarlah aku menghadap Firaun+ dan berkata kepadanya, ‘Adik-beradik dan keluarga bapa hamba yang tinggal di Kanaan sudah datang ke sini.+ 32 Mereka ialah gembala+ dan mereka menjaga biri-biri dan lembu.+ Mereka telah membawa ternakan dan segala milik mereka bersama.’+ 33 Jika Firaun memanggil kamu dan bertanya, ‘Apakah pekerjaan kamu?’ 34 katakanlah kepadanya, ‘Hamba sekalian menjaga biri-biri dan lembu sejak muda lagi, seperti nenek moyang hamba sekalian.’+ Dengan demikian, kamu akan diizinkan untuk tinggal di Gosyen,+ kerana semua gembala biri-biri dipandang hina oleh orang Mesir.”+
47 Maka Yusuf berkata kepada Firaun,+ “Bapa dan adik-beradik hamba sudah datang dari Kanaan bersama biri-biri, kambing, dan lembu serta segala harta milik mereka. Sekarang mereka berada di Gosyen.”+ 2 Yusuf memilih lima orang adik-beradiknya dan membawa mereka menghadap Firaun.+
3 Firaun bertanya kepada mereka, “Apakah pekerjaan kamu?” Mereka menjawab, “Hamba sekalian gembala biri-biri, seperti nenek moyang hamba sekalian.”+ 4 Mereka berkata lagi, “Hamba sekalian datang ke sini untuk menetap sebagai orang asing,+ kerana kebuluran di Kanaan sangat teruk sehingga tidak ada rumput untuk ternakan.+ Oleh itu, hamba sekalian ingin memohon agar diizinkan untuk tinggal di Gosyen.”+ 5 Maka Firaun berkata kepada Yusuf, “Bapa kamu dan adik-beradik kamu telah datang kepadamu. 6 Seluruh Mesir berada di bawah kuasamu. Oleh itu, suruhlah mereka tinggal di tempat yang paling baik di negeri ini.+ Biarlah mereka tinggal di Gosyen. Jika ada orang yang cekap dalam kalangan mereka, tugaskanlah orang itu untuk menjaga ternakan beta.”
7 Yusuf juga membawa bapanya Yakub untuk menghadap Firaun. Kemudian Yakub memberkati Firaun. 8 Firaun bertanya kepada Yakub, “Berapakah umurmu?” 9 Yakub menjawab, “Hamba sudah hidup 130 tahun sebagai pengembara.*+ Hidup hamba ini singkat dan penuh dengan kesukaran, tidak seperti panjangnya umur nenek moyang hamba yang hidup sebagai pengembara.”*+ 10 Selepas itu, Yakub memberkati Firaun lalu beredar dari hadapannya.
11 Yusuf membantu bapa dan adik-beradiknya agar mereka dapat menetap di Mesir. Dia memberi mereka tanah yang terbaik di negeri itu, iaitu tanah di Rameses,+ seperti yang diperintahkan oleh Firaun. 12 Yusuf terus membekalkan makanan kepada bapanya dan adik-beradiknya serta seluruh rumah tangga bapanya. Dia memberi mereka makanan sesuai dengan jumlah anak-anak mereka.
13 Seluruh negeri Mesir dan Kanaan kehabisan makanan kerana kebuluran sangat teruk. Penduduk di tempat itu menjadi lemah dan tidak berdaya kerana kebuluran itu.+ 14 Apabila orang dari Mesir dan Kanaan datang untuk membeli biji-bijian,+ Yusuf mengumpulkan semua wang mereka lalu menyimpannya di istana Firaun. 15 Beberapa lama kemudian, semua orang di Mesir dan Kanaan kehabisan wang. Mereka datang kepada Yusuf lalu berkata, “Wang kami sudah habis. Tolonglah beri kami makanan! Janganlah biarkan kami mati di hadapanmu.” 16 Yusuf berkata, “Jika wang kamu sudah habis, berikanlah ternakanmu kepada aku, lalu aku akan memberikan makanan kepada kamu sebagai ganti ternakanmu itu.” 17 Maka mereka pun membawa ternakan mereka kepada Yusuf. Yusuf pula memberi mereka makanan sebagai ganti untuk kuda, biri-biri, kambing, lembu, dan keldai mereka. Sepanjang tahun itu, Yusuf memberikan makanan kepada mereka sebagai ganti semua ternakan mereka.
18 Setelah tahun itu berakhir, mereka datang menghadap Yusuf pada tahun berikutnya dan berkata, “Kami berterus terang kepada tuan bahawa wang kami sudah habis dan ternakan kami sudah diberikan kepada tuan. Kami tidak ada apa-apa lagi yang dapat diberikan kepada tuan kecuali diri kami sendiri dan tanah kami. 19 Janganlah biarkan kami mati di hadapanmu, dan janganlah biarkan tanah kami menjadi tandus. Belilah kami dan tanah kami dengan makanan. Kami akan menjadi hamba Firaun, dan tanah kami akan menjadi miliknya. Berilah kami benih supaya kami dapat terus hidup, dan supaya tanah kami tidak terbiar.” 20 Maka Yusuf pun membeli semua tanah orang Mesir untuk Firaun. Setiap orang Mesir menjual ladang mereka kerana kebuluran itu sangat teruk. Lalu semua tanah di Mesir menjadi milik Firaun.
21 Kemudian Yusuf memerintahkan orang yang tinggal di merata tempat di Mesir untuk berpindah ke kawasan kota.+ 22 Hanya tanah para imam yang tidak dibeli oleh Yusuf.+ Para imam tidak perlu menjual tanah mereka kerana mereka menerima makanan daripada Firaun. 23 Lalu Yusuf berkata kepada rakyat, “Hari ini aku telah membeli kamu dan tanah kamu untuk Firaun. Ambillah benih ini untuk ditanam di ladang. 24 Apabila kamu menuai hasilnya, berikanlah satu perlima kepada Firaun.+ Yang selebihnya boleh kamu gunakan sebagai benih, dan sebagai makanan bagimu, anak-anakmu, dan seisi rumah tanggamu.” 25 Lalu mereka berkata, “Tuan telah menyelamatkan nyawa kami.+ Semoga tuan senang hati dengan kami; kami rela menjadi hamba Firaun.”+ 26 Kemudian Yusuf menjadikan hal itu undang-undang di Mesir, iaitu satu perlima daripada hasil tuaian mesti menjadi milik Firaun. Sampai hari ini, undang-undang itu masih dipatuhi. Hanya tanah milik para imam yang tidak menjadi milik Firaun.+
27 Demikianlah orang Israel tinggal di Gosyen di Mesir.+ Mereka terus menetap di situ dan beranak cucu sehingga bilangan mereka bertambah banyak.+ 28 Yakub tinggal di Mesir selama 17 tahun sehingga dia berusia 147 tahun.+
29 Apabila Israel hampir meninggal,+ dia memanggil anaknya Yusuf lalu berkata, “Jika ayah menyenangkan hatimu, letakkanlah tanganmu di bawah pahaku.* Tunjukkanlah kesetiaan dan kebaikan hati* kepadaku. Tolong jangan mengebumikan aku di Mesir.+ 30 Apabila aku mati, bawalah mayatku keluar dari Mesir dan kebumikanlah aku di kuburan nenek moyangku.”+ Yusuf pun berkata, “Saya akan melakukan apa yang ayah suruh.” 31 Yakub berkata, “Bersumpahlah kepadaku.” Maka Yusuf bersumpah kepada bapanya+ yang sedang duduk di kepala katil, dan Israel membongkok lalu berdoa.+
48 Beberapa lama kemudian, Yusuf diberitahu, “Lihatlah, bapamu semakin lemah.” Maka Yusuf membawa dua orang anak lelakinya, iaitu Manasye dan Efraim, bersamanya untuk berjumpa dengan Yakub.+ 2 Kemudian Yakub diberitahu, “Anakmu Yusuf telah datang untuk berjumpa denganmu.” Oleh itu, Israel mengumpulkan seluruh tenaganya lalu duduk di katilnya. 3 Yakub berkata kepada Yusuf,
“Tuhan Yang Maha Kuasa telah menampakkan diri kepadaku di Lus, di tanah Kanaan, dan Dia memberkati aku.+ 4 Tuhan berfirman kepadaku, ‘Aku akan melipatgandakan keturunanmu dan memberimu banyak anak cucu. Aku akan menjadikan engkau nenek moyang kepada sebuah bangsa yang besar.+ Aku akan memberikan negeri ini kepada keturunanmu dan mereka akan sentiasa memilikinya.’+ 5 Kedua-dua orang anak lelakimu yang lahir di Mesir sebelum aku tiba di sini, akan menjadi anakku.+ Efraim dan Manasye akan menjadi anakku seperti Ruben dan Simeon,+ 6 tetapi anak-anak lain yang kamu dapat akan menjadi anakmu. Mereka akan mewarisi tanah yang telah diberikan kepada Efraim dan Manasye.+ 7 Semasa aku dalam perjalanan dari Padan-aram, ibumu Rahel telah meninggal di sisiku.+ Ketika itu kami berada di negeri Kanaan dan masih jauh dari Efrat.+ Maka aku menguburkannya di jalan yang menuju ke Efrat, iaitu Betlehem.”+
8 Israel nampak anak-anak lelaki Yusuf dan bertanya, “Siapakah anak-anak ini?” 9 Yusuf pun menjawab, “Mereka ialah anak-anak lelaki saya. Tuhan telah memberikan mereka kepada saya di negeri ini.”+ Israel berkata, “Bawalah mereka kepadaku supaya aku dapat memberkati mereka.”+ 10 Memandangkan Israel sudah tua, matanya sudah sangat kabur sehingga dia tidak dapat melihat dengan jelas. Maka Yusuf membawa mereka mendekatinya, lalu Israel mencium dan memeluk anak-anak Yusuf. 11 Israel berkata kepada Yusuf, “Aku tidak sangka aku dapat melihat mukamu lagi,+ tetapi Tuhan telah membolehkan aku melihat anak-anakmu juga.” 12 Yusuf mengambil mereka dari pangkuan Israel, lalu Yusuf bersujud di hadapan bapanya.
13 Kemudian Yusuf membawa kedua-dua orang anaknya menghampiri Israel. Dia membawa Efraim+ dengan tangan kanannya ke sebelah kiri Israel, dan membawa Manasye+ dengan tangan kirinya ke sebelah kanan Israel. 14 Tetapi Israel meletakkan tangan kirinya di atas kepala Manasye, dan meletakkan tangan kanannya di atas kepala adik Manasye, iaitu Efraim. Israel sengaja berbuat demikian, walaupun Manasye ialah anak sulung.+ 15 Kemudian dia memberkati Yusuf dan berkata,+
“Semoga Tuhan yang benar, yang disembah* nenek moyangku Abraham dan Ishak,+
Tuhan yang benar, yang menjadi gembalaku untuk seumur hidupku sehingga sekarang,+
16 Tuhan yang mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan* aku daripada segala malapetaka,+ memberkati anak-anak ini.+
Semoga namaku dan nama nenek moyangku, Abraham dan Ishak, sentiasa dikenang kerana anak-anak ini.
Semoga mereka mempunyai banyak anak cucu di bumi.”+
17 Yusuf tidak suka melihat bapanya meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim. Maka dia hendak memegang tangan bapanya untuk memindahkannya dari atas kepala Efraim ke atas kepala Manasye. 18 Yusuf berkata, “Ayah, janganlah begitu. Inilah anak yang sulung.+ Letakkanlah tangan kanan ayah di atas kepalanya.” 19 Tetapi bapanya membantah dan berkata, “Aku tahu, anakku, aku tahu. Manasye juga akan makmur dan keturunannya pun akan menjadi sebuah kumpulan yang besar. Tetapi adiknya akan menjadi lebih makmur daripadanya,+ dan dia akan mempunyai banyak keturunan sehingga menjadi bangsa-bangsa.”+ 20 Israel memberkati mereka pada hari itu+ dengan berkata,
“Orang Israel akan menyebut namamu apabila mereka memberkati orang. Mereka akan berkata,
‘Semoga Tuhan menjadikan kamu seperti Efraim dan Manasye.’”
Demikianlah Yakub mengutamakan Efraim daripada Manasye.
21 Israel berkata kepada Yusuf, “Lihatlah, aku akan meninggal tidak lama lagi,+ tetapi Tuhan akan terus menyertaimu dan membawa kamu semua pulang ke negeri nenek moyangmu.+ 22 Tanah yang aku rebut dari tangan orang Amori dengan pedang dan panahku, akan aku berikan kepadamu, supaya kamu memiliki satu lagi bahagian tanah berbanding adik-beradikmu.”
49 Yakub memanggil anak-anak lelakinya dan berkata, “Berkumpullah di sini. Aku hendak memberitahu kamu apa yang akan berlaku kepada kamu pada kemudian hari. 2 Berkumpullah dan dengarlah, hai anak-anak Yakub. Dengarlah kata-kata Israel, bapa kamu.
3 “Ruben,+ kamulah anak sulungku+ dan kekuatanku. Antara semua keturunanku, kamulah yang pertama sekali dilahirkan. Kemuliaanmu terserlah dan kekuatanmu menonjol. 4 Tetapi kamu tidak akan menjadi yang terutama, kerana kamu bertindak melulu seperti banjir yang deras. Kamu meniduri isteri bapamu dan mencemari katil bapamu.+ Tergamak kamu naik ke atas katil bapamu!
5 “Simeon dan Lewi bersaudara.+ Mereka menggunakan senjata mereka untuk melakukan keganasan.+ 6 Wahai jiwaku, janganlah bergaul dengan mereka, dan wahai batinku,* janganlah berkumpul dengan mereka. Mereka telah membunuh orang ketika mereka marah,+ dan mereka melumpuhkan lembu jantan semata-mata untuk berseronok. 7 Terkutuklah kemarahan mereka yang sangat kejam. Terkutuklah keberangan mereka yang sangat dahsyat.+ Biarlah aku menyelerakkan mereka di tanah milik Yakub, dan biarlah aku mencerai-beraikan mereka di tanah milik Israel.+
8 “Yehuda,+ adik-beradikmu akan memujimu.+ Tanganmu akan menerkam tengkuk musuh-musuhmu.+ Anak-anak lelaki kepada bapamu akan bersujud di hadapanmu.+ 9 Yehuda seperti anak singa.+ Hai anakku, kamu memakan mangsamu lalu beredar. Kamu berbaring dan menggeliat seperti singa. Oleh sebab kamu seperti seekor singa, siapakah yang berani mengusik kamu? 10 Yehuda akan sentiasa memegang tongkat kerajaan,+ dan tongkat pemerintah akan sentiasa ada di antara kakinya sehingga Silo* datang,+ dan semua orang harus mematuhi dia.*+ 11 Dia mengikat keldainya pada pokok anggur, dan mengikat anak keldainya pada pokok anggur yang terbaik. Dia akan membasuh pakaiannya dengan wain, dan mencuci jubahnya dengan air anggur yang merah seperti darah. 12 Matanya merah padam kerana minum wain, dan giginya putih kerana minum susu.
13 “Zebulon+ akan tinggal di persisiran laut, dan kapal-kapal akan berlabuh di pantainya.+ Sempadan wilayahnya akan sampai ke Sidon.+
14 “Isakhar+ seperti keldai yang kuat tulangnya, yang berbaring di antara dua buah kantung yang dipasang pada pelananya. 15 Dia melihat betapa baiknya tempat rehat itu dan betapa indahnya negeri itu. Dia membongkok untuk memikul beban dengan bahunya dan akan menjadi hamba yang bekerja keras.
16 “Dan+ akan menghakimi semua orang, dan menjadi salah satu suku Israel.+ 17 Dia bagaikan ular di pinggir jalan, iaitu ular berbisa di tepi lorong, yang mematuk tumit kuda sehingga penunggangnya tercampak.+ 18 Ya Yehuwa, aku menantikan penyelamatan daripada-Mu.
19 “Gad+ akan diserang oleh kumpulan perompak, namun dia akan menyerang mereka dari belakang.+
20 “Asyer+ akan menghasilkan makanan yang berlimpah-limpah, dan dia akan menyediakan makanan yang sesuai untuk raja.+
21 “Naftali+ seperti rusa betina yang pantas. Dia mengucapkan kata-kata yang indah.+
22 “Yusuf+ seperti dahan daripada pokok yang berbuah lebat. Pokok yang berbuah lebat itu tumbuh berhampiran mata air, dan cabangnya naik sehingga menjadi lebih tinggi daripada dinding. 23 Para pemanah asyik menyerangnya dengan sengit. Mereka melepaskan anak panah ke arahnya dan asyik menaruh dendam terhadapnya.+ 24 Meskipun demikian, busurnya tidak berganjak,+ dan tangannya tetap kuat dan tangkas.+ Perkara ini berasal daripada dia yang berkuasa yang membantu Yakub, daripada gembala dan batu yang menyokong Israel. 25 Dia* dikurniakan oleh Tuhan yang disembah bapanya, dan Tuhan akan menolongnya. Dia ada bersama Tuhan Yang Maha Kuasa, yang akan memberkatinya dan memberinya hujan dari langit dan air dari bawah tanah,+ serta mengurniainya banyak anak dan ternakan. 26 Berkat yang diberikan oleh bapanya lebih unggul daripada barang-barang bernilai di gunung-ganang yang abadi, dan lebih unggul daripada keindahan bukit-bukit yang kekal.+ Berkat-berkat itu akan sentiasa dicurahkan ke atas kepala Yusuf, iaitu ke atas kepala orang yang terpilih dalam kalangan adik-beradiknya.+
27 “Benyamin+ akan mencarik-carik mangsanya seperti seekor serigala.+ Pada waktu pagi, dia akan memakan mangsanya. Pada waktu petang, dia akan membahagi-bahagikan mangsanya.”+
28 Mereka semua ialah 12 suku Israel, dan itulah yang dikatakan oleh bapa mereka semasa dia memberkati mereka. Dia memberikan berkat yang sesuai kepada setiap anaknya.+
29 Kemudian dia memberikan perintah berikut: “Tidak lama lagi, aku akan meninggal seperti nenek moyangku.+ Kebumikanlah aku bersama dengan nenek moyangku di gua yang terletak di tanah milik Efron, orang Het.+ 30 Itulah gua yang terletak di tanah Makhpela, berdekatan Mamre di Kanaan, iaitu tanah yang dibeli oleh Abraham daripada Efron, orang Het, untuk dijadikan tempat pengebumian. 31 Di sanalah Abraham dan isterinya Sara dikebumikan.+ Di sana juga Ishak+ dan isterinya Ribka dikebumikan, dan di sanalah aku mengebumikan Lea. 32 Tanah dan gua yang ada di situ telah dibeli daripada orang Het.”+
33 Selepas Yakub menyampaikan pesanannya kepada anak-anak lelakinya, dia berbaring di atas katil dan menghembuskan nafas yang terakhir, lalu meninggal seperti nenek moyangnya.+
50 Yusuf merebahkan dirinya ke atas bapanya+ sambil menangis dan menciumnya. 2 Selepas itu, Yusuf memerintahkan para doktor yang merupakan hambanya untuk mengawet+ mayat bapanya. Maka mereka pun berbuat demikian. 3 Pengawetan itu memakan masa 40 hari. Itulah masa yang diperlukan untuk mengawet mayat. Orang Mesir meratapi kematian Yakub selama 70 hari.
4 Apabila selesai tempoh masa untuk berkabung, Yusuf berkata kepada para pegawai* Firaun, “Jika aku menyenangkan hatimu, tolong sampaikan pesanan berikut kepada Firaun: 5 ‘Bapa hamba menyuruh hamba bersumpah+ dengan berkata, “Tidak lama lagi aku akan meninggal.+ Kamu mesti mengebumikan aku di kubur+ yang telah aku sediakan di Kanaan.”+ Oleh itu, izinkanlah hamba pergi mengebumikan bapa hamba. Selepas itu, hamba akan kembali.’” 6 Firaun menjawab, “Pergilah kebumikan bapa kamu selaras dengan sumpahmu kepadanya.”+
7 Yusuf pun pergi untuk mengebumikan bapanya. Semua pegawai Firaun, iaitu semua pegawai tinggi istana* dan semua pegawai tinggi+ di Mesir, juga pergi bersama Yusuf. 8 Semua ahli keluarga Yusuf, adik-beradiknya, dan semua ahli keluarga bapanya turut pergi bersamanya.+ Hanya anak-anak mereka yang masih kecil dan kawanan biri-biri dan kambing serta kawanan lembu mereka ditinggalkan di Gosyen. 9 Kereta-kereta kuda+ dan para penunggang kuda juga mengiringi mereka sehingga rombongan mereka menjadi sangat besar. 10 Apabila mereka tiba di tempat mengirik* gandum di Atad yang terletak di daerah Yordan, mereka meratap dengan sangat sedih dan dengan suara yang nyaring. Yusuf terus berkabung untuk bapanya selama tujuh hari. 11 Apabila penduduk negeri itu, iaitu orang Kanaan, nampak perkabungan di tempat mengirik gandum di Atad, mereka berkata, “Ini perkabungan yang besar bagi orang Mesir!” Itulah sebabnya tempat yang terletak di daerah Yordan itu dinamakan Abel-mizraim.*
12 Maka anak-anak Yakub melakukan segala yang dipesan oleh bapa mereka.+ 13 Mereka membawa mayat Yakub ke Kanaan dan mengebumikannya di dalam gua di tanah Makhpela. Itulah tanah yang berdekatan Mamre, yang dibeli oleh Abraham daripada Efron, orang Het, untuk dijadikan kuburan.+ 14 Selepas Yusuf mengebumikan bapanya, dia kembali ke Mesir bersama adik-beradiknya dan semua orang yang mengikutinya untuk mengebumikan bapanya.
15 Setelah bapa mereka meninggal, abang-abang Yusuf berkata, “Bagaimana jika Yusuf masih berdendam dengan kita dan mahu membalas semua kejahatan yang telah kita lakukan kepadanya?”+ 16 Maka mereka mengirim pesanan berikut kepada Yusuf: “Sebelum bapamu meninggal, dia berkata, 17 ‘Beritahulah Yusuf, “Aku memohon kepadamu, ampunkanlah kesalahan yang dilakukan oleh abang-abangmu dan kejahatan yang dilakukan oleh mereka terhadapmu.”’ Sebagai hamba-hamba kepada Tuhan yang disembah oleh bapa kita, kami mohon, ampunkanlah kesalahan yang sudah kami lakukan.” Yusuf menangis ketika menerima pesanan itu. 18 Kemudian adik-beradiknya datang dan bersujud di hadapannya lalu berkata, “Kami hamba tuan!”+ 19 Yusuf berkata kepada mereka, “Janganlah takut. Adakah aku ini Tuhan yang dapat menghakimi kamu? 20 Walaupun kamu berbuat jahat kepadaku,+ Tuhan telah mengubahnya menjadi kebaikan, supaya banyak orang dapat diselamatkan, seperti yang dilakukan-Nya sekarang.+ 21 Jadi, janganlah takut. Aku akan terus membekalkan makanan untuk kamu dan anak-anak kecil kamu.”+ Demikianlah Yusuf melegakan hati mereka dan meyakinkan mereka dengan kata-katanya.
22 Yusuf terus tinggal di Mesir bersama keluarga bapanya. Dia hidup selama 110 tahun. 23 Yusuf sempat melihat anak cucu Efraim+ sampai generasi yang ketiga, dan juga melihat anak-anak Makhir,+ iaitu cucu Manasye. Mereka semua adalah seperti anaknya sendiri.* 24 Akhirnya Yusuf berkata kepada adik-beradiknya, “Aku hampir mati, tetapi Tuhan akan membantu kamu+ dan membawa kamu keluar dari negeri ini, ke negeri yang dijanjikan-Nya. Dia telah bersumpah untuk memberikan negeri itu kepada Abraham, Ishak, dan Yakub.”+ 25 Oleh itu, Yusuf menyuruh mereka bersumpah. Dia berkata, “Tuhan pasti membantu kamu. Pada masa itu, bawalah juga tulang-tulangku keluar dari sini.”+ 26 Yusuf meninggal ketika dia berumur 110 tahun. Kemudian mayatnya diawet+ dan diletakkan di dalam sebuah keranda di Mesir.
Atau “air yang bergelora.”
Atau “daya aktif Tuhan.” Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Lihat Kamus, “Jiwa.”
Dalam bahasa Ibrani, perkataan ini merangkumi burung dan serangga yang bersayap.
Atau “binatang yang bergerak,” nampaknya termasuk reptilia dan pelbagai jenis haiwan yang lain.
Harfiah, “tumbuhan yang menghasilkan biji benih.”
Harfiah, “buah yang mengandungi biji.”
Atau “yang berjiwa.”
Inilah kali pertama nama Tuhan, יהוה (YHWH), muncul. Lihat Lampiran A4.
Lihat Kamus, “Jiwa.”
Atau “Tigris.”
Dalam bahasa Ibrani, ungkapan ini bermaksud “berpaut erat, seolah-olah melekat pada sesuatu.”
Atau “licik.”
Mereka bukannya buta. Ungkapan ini mungkin bermaksud mereka akan mendapat pengertian atau kebijaksanaan.
Iaitu, keturunan wanita itu.
Maksudnya “Manusia; Umat Manusia; Orang.”
Harfiah, “Dengan rasa sakit.”
Maksudnya “Yang Hidup.”
Harfiah, “dia.”
Harfiah, “lelaki itu.”
Kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi.
Atau “tanah Nod.”
Atau mungkin, “Adik perempuan.” Perkataan Ibrani yang digunakan boleh merujuk kepada adik perempuan atau kakak.
Maksudnya “Dilantik; Diletakkan; Ditetapkan.”
Atau “keturunan.”
Atau “orang mula menghina nama Yehuwa.”
Atau “terus berjalan.”
Atau “terus berjalan.”
Mungkin bermaksud “Rehat; Kelegaan.”
Ungkapan Ibrani yang merujuk kepada malaikat Tuhan.
Atau “kuasa suci-Ku.”
Atau “Nefilim.” Mungkin bermaksud “Yang Menjatuhkan,” iaitu mereka yang menjatuhkan orang lain. Lihat Kamus, “Nefilim.”
Atau “berjalan.”
Sebuah kapal besar yang berbentuk seperti kotak yang panjang.
Mungkin kayu daripada pokok sipres.
Harfiah, “300 hasta panjang, 50 hasta lebar, dan 30 hasta tinggi.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, tsoʹhar; mungkin merujuk kepada tingkap atau bumbung.
Harfiah, “1 hasta.” Lihat Lampiran B14.
Atau mungkin, “tujuh pasang.”
Atau mungkin, “tujuh pasang.”
Harfiah, “15 hasta.” Lihat Lampiran B14.
Atau “ditahan.”
Atau “di persisiran pantai.”
Atau “Pada mulanya, kota-kota di dalam kerajaan Nimrod ialah.”
Iaitu, Babilon.
Harfiah, “Itulah sebuah kota yang besar.”
Harfiah, “bapa.”
Atau mungkin, “Sem, iaitu abang Yafet.”
Maksudnya “Terbahagi-bahagi.”
Harfiah, “turun untuk melihat.”
Maksudnya “Kekeliruan.”
Mungkin menunjukkan bahawa usaha diperlukan untuk memperoleh berkat.
Atau “tinggal di sana sebagai orang asing.”
Gelaran bagi raja Mesir.
Iaitu, Taman Eden.
Nampaknya merujuk kepada raja-raja yang disebut di ayat 1.
Atau “Dataran Rendah.”
Atau “Dataran Rendah.”
Atau “Dataran Rendah.”
Atau “berkhemah.”
Atau “Dataran Rendah.”
Merujuk kepada lembu betina yang belum pernah melahirkan anak.
Malaikat itu bercakap seolah-olah Yehuwa sendiri yang sedang bercakap.
Maksudnya “Tuhan Mendengar.”
Mungkin menggambarkan seseorang yang tidak mahu hidupnya dikawal.
Atau mungkin, “Dia akan bermusuhan dengan semua saudaranya.”
Harfiah, “menyeru.”
Maksudnya “Perigi Dia yang Hidup yang Melihat Aku.”
Harfiah, “berjalan di hadapan-Ku.”
Maksudnya “Bapa yang Ditinggikan.”
Maksudnya “Bapa kepada Banyak Orang.”
Atau “keturunanmu turun-temurun.”
Mungkin bermaksud “Pertengkaran.”
Maksudnya “Puteri.”
Maksudnya “Gelak Ketawa.”
Iaitu, malaikat yang mewakili Yehuwa.
Harfiah, “3 seah.” Lihat Lampiran B14.
Atau “sudah berhenti haid.”
Mungkin menunjukkan bahawa usaha diperlukan untuk memperoleh berkat.
Merujuk kepada malaikat-malaikat.
Iaitu, malaikat yang mewakili Yehuwa.
Atau “kerana kasih setia-Mu.”
Maksudnya “Kecil.”
Merujuk kepada sejenis batu yang mudah terbakar.
Atau “tinggal di Gerar sebagai orang asing.”
Atau mungkin, “akan mengetawakan aku.”
Atau “kira-kira sejauh jarak anak panah yang dilepaskan.”
Maksudnya “Perigi Sumpah; Perigi Tujuh.”
Harfiah, “pokok tamarisk.”
Atau “tinggal sebagai orang asing.”
Malaikat itu bercakap seolah-olah Yehuwa sendiri yang sedang bercakap.
Maksudnya “Yehuwa Menyediakan; Yehuwa Menjaga.”
Atau “pintu-pintu gerbang.”
Mungkin menunjukkan bahawa usaha diperlukan untuk memperoleh berkat.
Atau mungkin, “pemimpin yang agung.”
Lihat Lampiran B14.
Cara orang pada zaman kuno memberikan kepastian bahawa sumpahnya tidak akan berubah.
Lihat Lampiran B14.
Atau “dan kasih setia.”
Mungkin merujuk kepada Laban.
Atau “dan kasih setia.”
Iaitu, pengasuhnya yang kini bekerja sebagai pelayannya.
Atau mungkin, “Mereka bermusuhan dengan semua saudara mereka.”
Harfiah, “dua bangsa.”
Maksudnya “Berbulu.”
Maksudnya “Pemegang Tumit; Pengambil Alih.”
Maksudnya “Merah.”
Mungkin menunjukkan bahawa usaha diperlukan untuk memperoleh berkat.
Atau “memeluk.”
Atau “wadi.”
Maksudnya “Pertengkaran.”
Maksudnya “Tuduhan.”
Maksudnya “Tempat yang Luas.”
Maksudnya “Pemegang Tumit; Pengambil Alih.”
Lihat Kamus.
Harfiah, “bapa kepada ibumu.”
Harfiah, “keluarga.”
Mungkin menunjukkan bahawa usaha diperlukan untuk memperoleh berkat.
Maksudnya “Rumah Tuhan.”
Atau “dan biarlah saya bersetubuh dengannya.”
Harfiah, “Lea dibenci.”
Maksudnya “Lihatlah, Seorang Anak Lelaki!”
Maksudnya “Mendengar.”
Maksudnya “Terikat.”
Maksudnya “Yang Dipuji.”
Maksudnya “Hakim.”
Maksudnya “Pergelutanku.”
Maksudnya “Beruntung.”
Maksudnya “Bahagia; Kebahagiaan.”
Buah ini dipercayai dapat meningkatkan peluang untuk hamil.
Maksudnya “Dia ialah Upah.”
Maksudnya “Menerima.”
Singkatan bagi Yosifiah, yang bermaksud “Semoga Yah Memberi Lagi (Menambah).”
Atau “bukti.”
Malaikat itu bercakap seolah-olah Yehuwa sendiri yang sedang bercakap.
Atau “patung dewa dewi keluarga; patung berhala.”
Atau “ditakuti.”
Ungkapan bahasa Aram yang bermaksud “Timbunan yang Menjadi Jaminan.”
Ungkapan bahasa Ibrani yang bermaksud “Timbunan yang Menjadi Jaminan.”
Atau “ditakuti.”
Maksudnya “Dua Perkhemahan.”
Atau “tinggal sebagai orang asing.”
Atau “dan kasih setia.”
Atau “wadi.”
Satu malaikat yang menjelma menjadi manusia.
Maksudnya “Dia yang Bergelut dengan Tuhan” atau “Tuhan Bergelut.”
Maksudnya “Wajah Tuhan.”
Atau “Penuel.”
Maksudnya “Pondok; Tempat Berteduh.”
Atau “Hendaklah bangsamu dan bangsaku kahwin campur.”
Pada zaman kuno, bangsa-bangsa lain memakai anting-anting sebagai tangkal atau azimat.
Maksudnya “Tuhan Bethel.”
Maksudnya “Pokok Besar Tangisan.”
Maksudnya “Anak Lelaki daripada Kesedihanku.”
Maksudnya “Anak Lelaki Tangan Kanan,” iaitu anak kesayanganku.
Atau “didiami mereka sebagai orang asing.”
Atau “sehelai jubah panjang yang cantik.”
Atau “Dataran Rendah.”
Lihat Kamus.
Getah daripada kulit pokok ini digunakan untuk membuat minyak wangi.
Lihat Kamus.
Atau “pelacur kuil.” Mungkin merujuk kepada orang yang melacurkan diri semasa upacara penyembahan dewa dewi orang Kanaan.
Maksudnya “Robekan.” Mungkin merujuk kepada robekan di perineum yang berlaku semasa melahirkan anak.
Gelaran bagi raja Mesir.
Nampaknya seruan ini adalah untuk memperlihatkan hormat dan kemuliaan.
Iaitu, Heliopolis.
Atau “menjelajahi.”
Atau “mula berkhidmat kepada.”
Iaitu, Heliopolis.
Maksudnya “Dia yang Membuat Lupa.”
Mungkin bermaksud “Menggandakan Bilangan Anak.”
Lihat Kamus.
Getah daripada kulit pokok ini digunakan untuk membuat minyak wangi.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Iaitu, Heliopolis.
Atau “penduduk asing.”
Atau “penduduk asing.”
Cara orang pada zaman kuno memberikan kepastian bahawa sumpahnya tidak akan berubah.
Atau “dan kasih setia.”
Harfiah, “yang berjalan di hadapan.”
Atau “menebus.”
Atau mungkin, “wahai kecenderungan hatiku.” Harfiah, “wahai kemuliaanku.”
Maksudnya “Dia yang Memilikinya.”
Nampaknya merujuk kepada Silo.
Iaitu, Yusuf.
Atau “kepada seisi rumah.”
Atau “semua orang tua dalam rumah tangganya.”
Proses memisahkan buah daripada tangkai.
Maksudnya “Perkabungan Orang Mesir.”
Harfiah, “Mereka dilahirkan di atas lutut Yusuf.” Maksudnya mereka dianggap sebagai anak kandung dan dilayan dengan cara yang istimewa.