PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 44 1A-2831
  • Kisah

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Kisah
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kisah

KISAH PARA RASUL

1 Teofilus yang dikasihi, dalam catatanku yang pertama, aku sudah menerangkan semua perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus,+ 2 sehingga pada hari dia diangkat ke syurga.+ Sebelum itu, di bawah bimbingan kuasa suci Tuhan,* dia telah memberikan arahan kepada para rasul yang dipilihnya.+ 3 Setelah dia menderita, dia memberikan banyak bukti yang kukuh kepada mereka untuk menunjukkan bahawa dia sudah hidup.+ Selama 40 hari, dia banyak kali menampakkan diri kepada mereka dan bercakap tentang Kerajaan Tuhan.+ 4 Semasa dia berjumpa dengan mereka, dia memberikan arahan berikut: “Jangan tinggalkan Yerusalem,+ tetapi teruslah menantikan pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa,+ iaitu pemberian yang pernah kamu dengar daripadaku, 5 kerana Yohanes membaptis dengan air, tetapi dalam beberapa hari lagi, kamu semua akan dibaptis dengan kuasa suci Tuhan.”+

6 Semasa mereka berkumpul, mereka bertanya, “Tuan, adakah Tuan akan memulihkan pemerintahan Tuhan bagi bangsa Israel pada masa sekarang?”+ 7 Yesus berkata kepada mereka, “Hanya Bapa yang berhak menentukan masa dan waktunya. Kamu tidak perlu mengetahuinya.+ 8 Tetapi kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu,+ dan kamu akan menjadi saksi-saksiku+ di Yerusalem,+ di seluruh Yudea, di Samaria,+ dan sampai ke hujung bumi.”+ 9 Selepas Yesus mengucapkan kata-kata ini, dia diangkat ke syurga di depan mata mereka. Kemudian, sekepul awan menutupinya dan mereka tidak dapat melihatnya lagi.+ 10 Semasa mereka memandang Yesus diangkat ke langit, tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian putih+ berdiri di sisi mereka 11 dan berkata, “Orang Galilea, mengapakah kamu berdiri sambil memandang ke langit? Yesus, yang telah diangkat ke langit, akan datang dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat semasa dia naik ke langit.”

12 Selepas itu, mereka bertolak dari Gunung Zaitun dan pulang ke Yerusalem.+ Jarak gunung itu dari Yerusalem kira-kira satu kilometer* sahaja. 13 Setibanya di sana, mereka naik ke bilik di tingkat atas, tempat mereka menginap. Mereka terdiri daripada Petrus, Yohanes, Yakobus, Andreas, Filipus, Tomas, Bartolomeus, Matius, Yakobus anak Alfeus, Simon yang bersemangat, dan Yudas anak Yakobus.+ 14 Dengan sehati, mereka berdoa dengan tekun. Beberapa orang wanita,+ adik-adik lelaki Yesus,+ dan Maria ibu Yesus, juga menyertai mereka.

15 Pada suatu hari, semasa mereka berkumpul untuk berdoa, Petrus berdiri di tengah-tengah saudara-saudaranya (jumlah orang yang berkumpul di situ kira-kira 120 orang) dan berkata, 16 “Saudara-saudara, kata-kata yang diucapkan oleh kuasa suci Tuhan melalui Daud perlu berlaku. Dia bercakap tentang Yudas,+ yang mengetuai sekumpulan orang untuk menangkap Yesus.+ 17 Yudas dahulunya salah seorang daripada kita+ dan dia telah berkhidmat bersama kita. 18 (Lelaki ini membeli sebidang tanah dengan upah yang diterimanya kerana melakukan apa yang salah.+ Dia jatuh terjunam dan perutnya terbelah lalu isi perutnya terburai.+ 19 Hal ini diketahui semua penduduk Yerusalem, dan itulah sebabnya tanah tersebut dipanggil Akeldama dalam bahasa mereka, yang bererti “Tanah Darah.”) 20 Ada tertulis dalam buku Mazmur, ‘Biarlah kediamannya terlantar, dan jangan biarkan tempat itu didiami orang,’+ dan, ‘Biarlah orang lain mengambil alih tugasnya sebagai penyelia.’+ 21 Maka, Yudas harus digantikan dengan salah seorang lelaki yang ada bersama kita sepanjang masa Tuan Yesus berada dalam kalangan kita, 22 iaitu sejak Yesus dibaptis oleh Yohanes+ sehingga hari Yesus diangkat ke syurga.+ Dia juga haruslah seseorang yang nampak Yesus setelah dia dibangkitkan.”+

23 Jadi mereka mencadangkan dua orang: Seorang ialah Yusuf yang dipanggil Barsabas, yang juga dipanggil Yustus, dan seorang lagi ialah Matias. 24 Kemudian mereka berdoa, “Ya Yehuwa,* Engkaulah yang mengetahui isi hati semua orang.+ Tunjukkanlah siapa antara dua orang lelaki ini yang telah Engkau pilih 25 untuk menerima tugas suci dan tanggungjawab sebagai seorang rasul. Yudas telah mengabaikan tugas dan tanggungjawab ini agar dia dapat mengikut haluan sendiri.”+ 26 Kemudian mereka membuang undi+ dan Matiaslah yang terpilih. Maka dia menyertai 11 orang rasul yang lain.

2 Pada hari Perayaan Pentakosta,+ semua murid Yesus berkumpul di tempat yang sama. 2 Semasa mereka sedang duduk, tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti tiupan angin kencang. Bunyi itu memenuhi seluruh rumah.+ 3 Selepas itu, mereka melihat sesuatu seperti lidah-lidah api yang tersebar dan hinggap di atas kepala setiap orang. 4 Lalu mereka semua dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan+ dan mula bercakap dalam pelbagai bahasa, menurut apa yang diberikan oleh kuasa suci itu kepada mereka untuk diucapkan.+

5 Pada masa itu, terdapat banyak orang Yahudi yang alim di Yerusalem. Mereka datang dari setiap negeri di bawah langit.+ 6 Jadi apabila orang ramai mendengar bunyi itu, mereka mula berkumpul. Mereka bingung kerana mendengar murid-murid Yesus bertutur dalam bahasa ibunda mereka masing-masing. 7 Orang ramai sangat terpesona dan berkata, “Lihatlah, orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea,+ bukan? 8 Jadi mengapakah kita mendengar mereka bertutur dalam bahasa ibunda kita masing-masing? 9 Kita dari Partia, Media,+ Elam,+ Mesopotamia, Yudea, Kapadokia, Pontus, daerah Asia,+ 10 Frigia, Pamfilia, Mesir, dan kawasan-kawasan Libia dekat Kirene. Ada juga penduduk sementara dari Roma, orang Yahudi, pemeluk agama Yahudi,+ 11 orang Kreta, dan orang Arab. Namun, kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita tentang perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Tuhan.” 12 Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah makna semua ini?” 13 Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan mereka dan berkata, “Semua orang ini mabuk!”

14 Tetapi Petrus berdiri bersama 11 orang rasul yang lain+ dan mula bercakap dengan suara yang lantang, “Orang Yudea dan semua penduduk Yerusalem! Ketahuilah dan dengarlah kata-kataku dengan teliti. 15 Semua orang ini tidak mabuk seperti yang kamu sangka, kerana kini baru kira-kira jam sembilan pagi.* 16 Sebaliknya, hal ini telah dinubuatkan melalui Nabi Yoel yang berkata, 17 ‘Tuhan berfirman, “Pada hari-hari terakhir, Aku akan mencurahkan sebahagian daripada kuasa suci-Ku ke atas segala macam orang, lalu anak lelaki dan anak perempuan kamu akan bernubuat, anak muda kamu akan mendapat penglihatan, dan orang tua dalam kalangan kamu akan mendapat mimpi.+ 18 Pada hari itu, Aku juga akan mencurahkan sebahagian daripada kuasa suci-Ku ke atas hamba lelaki dan hamba perempuan-Ku, lalu mereka akan bernubuat.+ 19 Aku akan menunjukkan mukjizat di langit, dan tanda di bumi: Darah, api, dan kepulan asap. 20 Matahari akan menjadi gelap, dan bulan akan menjadi merah seperti darah sebelum hari Yehuwa* yang mulia dan besar itu datang. 21 Tetapi, semua orang yang menyeru nama Yehuwa* akan diselamatkan.”’+

22 “Orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Yesus, orang Nasaret itu, diutus oleh Tuhan. Kamu sendiri tahu tentang mukjizat, tanda, dan keajaiban, yang dilakukan oleh Tuhan melaluinya dalam kalangan kamu.+ 23 Kamu telah menyerahkannya ke dalam tangan pendosa untuk digantungkan pada tiang dan dibunuh.+ Awal-awal lagi, Tuhan sudah tahu bahawa Yesus akan ditangkap, dan Dia menentukan bahawa hal itu akan berlaku.+ 24 Tetapi Tuhan membangkitkannya+ dan membebaskannya daripada cengkaman maut, kerana tidak mungkin dia tetap dibelenggu oleh kematian.+ 25 Daud berkata tentangnya, ‘Aku sentiasa melihat Yehuwa* di hadapanku. Dia ada di sebelah kananku agar aku tidak sekali-kali goyah. 26 Oleh itu, hatiku bergembira dan lidahku sangat bersukacita. Selain itu, aku akan hidup dengan penuh harapan 27 kerana Engkau tidak akan meninggalkan aku di Kuburan,* atau membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia untuk reput.+ 28 Engkau telah menunjukkan jalan kehidupan kepadaku. Engkau akan memenuhi aku dengan sukacita yang besar di hadirat-Mu.’+

29 “Saudara-saudara, izinkanlah aku untuk bercakap dengan terus terang* tentang Daud, nenek moyang kita. Dia sudah meninggal dan dikuburkan,+ dan makamnya masih ada antara kita sehingga hari ini. 30 Daud seorang nabi, dan dia tahu bahawa Tuhan telah berjanji dan bersumpah kepadanya bahawa salah seorang daripada keturunannya akan duduk di atas takhtanya.+ Oleh itu, 31 awal-awal lagi Daud sudah mengetahui dan bercakap tentang pembangkitan Kristus. Dia berkata bahawa Tuhan tidak akan meninggalkan Kristus di Kuburan* dan tubuhnya tidak akan reput.+ 32 Yesus inilah yang dibangkitkan oleh Tuhan, dan kami semua menjadi saksi dalam hal ini.+ 33 Oleh sebab dia ditinggikan ke sebelah kanan Tuhan+ dan sudah menerima kuasa suci yang dijanjikan oleh Bapa,+ dia mencurahkan kuasa suci itu yang kamu nampak dan dengar sekarang. 34 Daud tidak naik ke syurga, tetapi dia berkata, ‘Yehuwa* berfirman kepada Tuanku, “Duduklah di sebelah kanan-Ku 35 sehingga Aku menjadikan musuh-musuhmu sebagai alas kakimu.”’+ 36 Oleh itu, hendaklah semua orang Israel tahu dan yakin bahawa Yesus yang kamu hukum bunuh pada tiang itu+ telah dilantik oleh Tuhan sebagai Tuan+ dan Kristus.”

37 Setelah mendengar hal itu, hati orang ramai terhiris. Lalu mereka bertanya kepada Petrus dan rasul-rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang harus kami lakukan?” 38 Petrus berkata kepada mereka, “Bertaubatlah,+ dan hendaklah kamu masing-masing dibaptis+ atas nama Yesus Kristus agar dosa kamu diampunkan.+ Kemudian, kamu akan menerima kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma, iaitu kuasa suci-Nya. 39 Janji ini+ bukan sahaja diberikan kepada kamu dan anak-anak kamu, tetapi juga kepada semua orang di tempat-tempat yang jauh, iaitu sesiapa sahaja yang dipanggil oleh Yehuwa,* Tuhan kita.”+ 40 Banyak lagi yang dikatakan oleh Petrus untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh. Dia menggalakkan mereka dengan berkata, “Selamatkanlah dirimu daripada generasi yang jahat ini.”+ 41 Maka mereka yang menerima kata-katanya dengan senang hati telah dibaptis.+ Pada hari itu juga, bilangan murid Yesus bertambah sebanyak kira-kira 3,000 orang.+ 42 Mereka terus menumpukan sepenuh perhatian kepada ajaran para rasul, bergaul* dengan satu sama lain, dan makan+ serta berdoa bersama-sama.+

43 Banyak keajaiban dan mukjizat dilakukan oleh para rasul.+ Semua orang yang menyaksikan hal-hal itu dipenuhi rasa takut akan Tuhan. 44 Semua murid baharu berkumpul dan mengongsi segala milik mereka. 45 Mereka menjual harta milik mereka+ dan membahagi-bahagikan wang yang diperoleh kepada semua orang menurut keperluan masing-masing.+ 46 Dengan sehati, mereka berkumpul di Rumah Tuhan setiap hari. Mereka makan di rumah satu sama lain dengan sukacita yang besar, dan melakukan segala sesuatu dengan tulus hati. 47 Mereka memuji Tuhan dan mereka disenangi oleh semua orang. Pada masa yang sama, tiap-tiap hari Yehuwa* terus membawa lebih banyak orang yang diselamatkan oleh-Nya untuk menyertai mereka.+

3 Kira-kira pada jam tiga petang,* iaitu masa untuk berdoa, Petrus dan Yohanes pergi ke Rumah Tuhan. 2 Berhampiran dengan pintu Rumah Tuhan yang disebut Pintu Indah, ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir. Setiap hari, dia dibawa ke situ untuk meminta sedekah daripada orang yang memasuki Rumah Tuhan. 3 Semasa dia nampak Petrus dan Yohanes hendak masuk ke dalam Rumah Tuhan, dia meminta sedekah daripada mereka. 4 Tetapi Petrus dan Yohanes memandangnya lalu berkata, “Pandanglah kami.” 5 Maka, lelaki itu menatap mereka dan berharap untuk mendapat sesuatu daripada mereka. 6 Namun, Petrus berkata, “Aku tidak mempunyai perak ataupun emas. Tetapi apa yang aku miliki akan aku berikan kepadamu: Dengan nama Yesus Kristus, orang Nasaret itu, berjalanlah!”+ 7 Kemudian, Petrus memegang tangan kanannya dan membantu dia berdiri.+ Pada waktu itu juga, kaki dan pergelangan kaki lelaki itu menjadi kuat,+ 8 lalu dia segera berdiri+ dan mula berjalan. Ketika dia berjalan bersama mereka ke dalam Rumah Tuhan, dia melompat-lompat sambil memuji Tuhan. 9 Semua orang di situ melihat lelaki itu berjalan dan memuji Tuhan. 10 Apabila mereka sedar bahawa lelaki itulah yang selalu duduk meminta sedekah di pintu Rumah Tuhan yang disebut Pintu Indah,+ mereka berasa sangat hairan dan kagum dengan apa yang telah berlaku terhadapnya.

11 Ketika lelaki itu masih memegang tangan Petrus dan Yohanes, semua orang di situ bergegas ke arah mereka di Serambi* Salomo.+ Semua orang berasa sangat kagum dengan apa yang berlaku. 12 Apabila Petrus melihat hal ini, dia berkata kepada mereka, “Orang Israel, mengapakah kamu begitu kagum dengan perkara ini? Mengapakah kamu memandang kami seolah-olah kami menggunakan kuasa sendiri untuk membuat orang ini berjalan? Adakah kamu menyangka bahawa kami dapat berbuat demikian kerana kami mengabdikan diri kepada Tuhan? 13 Tuhan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub,+ iaitu Tuhan nenek moyang kita, telah memuliakan Hamba-Nya+ Yesus.+ Dialah lelaki yang telah kamu sangkal di hadapan Pilatus, dan kamu telah menyerahkannya kepada musuh+ meskipun Pilatus memutuskan untuk membebaskannya. 14 Sememangnya, kamu menyangkal lelaki yang suci dan yang melakukan apa yang benar itu, dan meminta Pilatus membebaskan lelaki lain yang merupakan seorang pembunuh.+ 15 Kamu membunuh Pemimpin Utama yang dilantik untuk memberikan kehidupan,+ tetapi Tuhan telah membangkitkannya daripada kematian, dan kami menjadi saksi kepada hal itu.+ 16 Lelaki lumpuh yang kamu lihat dan kenal ini telah menjadi kuat kerana nama Yesus, dan kerana kami beriman kepada namanya. Iman yang kami peroleh melalui Yesuslah yang telah menyembuhkan lelaki ini dengan sepenuhnya di hadapan kamu semua. 17 Saudara-saudara, aku tahu bahawa seperti para pemimpin kamu,+ kamu tidak sedar akan apa yang telah kamu lakukan.+ 18 Melalui semua nabi, Tuhan telah menubuatkan bahawa Kristus akan menderita. Demikianlah perkara yang dinubuatkan itu menjadi kenyataan.+

19 “Maka, bertaubatlah,+ dan berpalinglah kepada Tuhan+ supaya dosa kamu dihapuskan.+ Dengan itu, Yehuwa* sendiri akan menyegarkan kamu 20 dan Dia akan mengutus Yesus, iaitu Kristus yang telah dilantik-Nya untuk kamu. 21 Yesus akan tinggal* di syurga sehingga masanya tiba untuk memulihkan semua perkara yang telah difirmankan oleh Tuhan menerusi mulut nabi-nabi suci dahulukala. 22 Sebenarnya Musa pernah berkata, ‘Tuhanmu Yehuwa* akan melantik seorang nabi seperti aku daripada kalangan saudara-saudara kamu.+ Kamu mesti mendengar apa sahaja yang dikatakannya kepada kamu.+ 23 Sesungguhnya, sesiapa yang tidak mematuhi Nabi itu akan dihapuskan sama sekali.’+ 24 Sebenarnya, semua nabi, bermula dari Nabi Samuel dan nabi-nabi yang datang selepasnya, juga telah memaklumkan apa yang berlaku pada zaman ini.+ 25 Kamu ialah anak para nabi dan pewaris kepada perjanjian yang dibuat oleh Tuhan dengan nenek moyang kamu.+ Tuhan berfirman kepada Abraham, ‘Melalui keturunanmu, semua keluarga di bumi akan diberkati.’+ 26 Setelah Tuhan melantik Hamba-Nya, Dia mengutusnya kepada kamu terlebih dahulu+ untuk memberkati kamu semua, dengan membantu setiap seorang daripada kamu supaya berpaling daripada perbuatan kamu yang jahat.”

4 Petrus dan Yohanes sedang bercakap kepada orang ramai ketika para imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan orang Saduki,+ datang kepada mereka. 2 Mereka marah kerana dua orang rasul itu mengajar orang ramai dan memberitahu orang secara terbuka bahawa Yesus telah dibangkitkan daripada kematian.+ 3 Oleh itu, mereka menangkap Petrus dan Yohanes dan menahan mereka+ sehingga keesokan harinya, kerana hari sudah petang. 4 Walau bagaimanapun, ramai orang percaya setelah mendengar ajaran mereka, dan bilangan orang yang percaya bertambah menjadi kira-kira 5,000 orang.+

5 Pada hari berikutnya, para pemimpin orang Yahudi dan jurutulis hukum berkumpul di Yerusalem. 6 Hanas,+ iaitu ketua imam, Kayafas,+ Yohanes, Aleksander, dan saudara-mara ketua imam, juga berada di situ. 7 Mereka menyuruh Petrus dan Yohanes berdiri di hadapan mereka lalu bertanya, “Dengan kuasa apa atau atas nama siapa kamu melakukan hal ini?” 8 Maka Petrus, yang dipenuhi kuasa suci Tuhan,+ berkata kepada mereka,

“Para pemimpin, 9 jika hari ini tuan-tuan menyoal kami tentang perbuatan baik yang kami lakukan terhadap lelaki lumpuh ini+ dan bagaimana dia disembuhkan, 10 hendaklah tuan-tuan dan seluruh umat Israel tahu bahawa lelaki ini disembuhkan dengan nama Yesus Kristus, orang Nasaret itu.+ Tuan-tuan menghukum bunuhnya pada tiang,+ tetapi Tuhan sudah membangkitkannya daripada kematian.+ Melalui Yesuslah lelaki ini berdiri di hadapan tuan dalam keadaan yang sihat. 11 Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini: ‘Hai para pembina bangunan, batu yang tidak kamu pedulikan telah menjadi batu penjuru yang utama.’+ 12 Selain itu, hanya melalui Yesus orang dapat diselamatkan, kerana tiada nama lain+ di bawah langit dan dalam kalangan manusia yang telah dipilih oleh Tuhan untuk menyelamatkan kita.”+

13 Mereka berasa hairan apabila melihat keberanian Petrus dan Yohanes, kerana mereka tahu bahawa kedua-dua rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan,*+ lalu mereka sedar bahawa kedua-dua rasul itu dahulunya bersama Yesus.+ 14 Tetapi mereka tidak dapat mengucapkan sepatah kata pun+ ketika melihat lelaki yang telah disembuhkan itu berdiri bersama Petrus dan Yohanes.+ 15 Maka mereka mengarahkan ketiga-tiga orang itu keluar dari dewan Majlis Orang Yahudi. Kemudian, mereka berkata kepada satu sama lain, 16 “Apakah yang harus kita lakukan terhadap mereka?+ Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mereka telah melakukan mukjizat yang luar biasa.+ Kita tidak dapat menafikannya. 17 Tetapi agar perkara ini tidak tersebar dengan lebih luas dalam kalangan orang ramai, marilah kita mengancam mereka dan menyuruh mereka supaya tidak bercakap lagi kepada sesiapa pun atas nama orang itu.”+

18 Lalu mereka memanggil Petrus dan Yohanes dan mengarahkan mereka supaya tidak lagi mengatakan apa-apa atau mengajar orang atas nama Yesus. 19 Namun Petrus dan Yohanes menjawab, “Dalam pandangan Tuhan, wajarkah kami mendengar cakap tuan dan bukannya Tuhan? Pertimbangkanlah sendiri hal itu. 20 Namun bagi kami, kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.”+ 21 Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes. Tambahan lagi, mereka takut akan orang ramai yang memuji-muji Tuhan atas peristiwa itu.+ Maka, mereka mengancam kedua-dua rasul itu sekali lagi lalu membebaskan mereka. 22 Orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu berumur lebih daripada 40 tahun.

23 Selepas Petrus dan Yohanes dibebaskan, mereka pergi kepada murid-murid yang lain dan menceritakan segala yang dikatakan oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi. 24 Apabila mereka yang berada di situ mendengar hal itu, mereka berseru kepada Tuhan. Dengan sehati mereka berkata,

“Tuhan Yang Berdaulat, Engkaulah yang menjadikan langit, bumi, laut, dan segala yang ada di dalamnya.+ 25 Dengan kuasa suci-Mu, Engkau pernah berfirman melalui mulut nenek moyang kami, iaitu Daud,+ hamba-Mu, ‘Mengapakah bangsa-bangsa menjadi resah? Mengapakah penduduk di tempat lain merenungkan perkara yang sia-sia? 26 Raja-raja di bumi bersiap sedia untuk berperang, dan para penguasa bersatu untuk melawan Yehuwa* dan orang yang diurapi-Nya.’+ 27 Demikianlah, Herodes dan Pontius Pilatus+ berkumpul di kota ini bersama dengan orang daripada bangsa lain dan orang Israel untuk melawan Yesus, hamba suci-Mu yang telah Engkau urapi.+ 28 Mereka semua berkumpul untuk melakukan apa yang telah Engkau tentukan terlebih dahulu. Perkara ini berlaku kerana Engkau mempunyai kuasa dan kerana hal itu selaras dengan kehendak-Mu.+ 29 Tetapi sekarang, ya Yehuwa,* dengarlah ancaman mereka, dan bantulah hamba-Mu supaya terus memberitakan firman-Mu dengan penuh keberanian. 30 Teruslah menghulurkan tangan-Mu untuk menyembuhkan pelbagai penyakit, dan lakukanlah mukjizat dan keajaiban+ melalui nama Yesus, hamba-Mu yang suci.”+

31 Setelah mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dipenuhi kuasa suci Tuhan+ dan mula memberitakan firman Tuhan dengan berani.+

32 Semua yang telah percaya hidup sehati sejiwa. Tidak ada seorang pun yang menganggap apa yang dimilikinya kepunyaan sendiri. Mereka saling mengongsi segala milik mereka.+ 33 Tambahan lagi, para rasul terus memberikan kesaksian tentang pembangkitan Tuan Yesus+ dengan cara yang sangat berkesan. Oleh itu, mereka semua menerima kebaikan hati yang unggul secara berlimpah-limpah. 34 Tiada seorang pun antara mereka yang berkekurangan.+ Semua yang memiliki ladang atau rumah menjual harta mereka dan mengambil wang yang diperoleh, 35 lalu memberikannya kepada para rasul.+ Kemudian, wang itu dibahagi-bahagikan kepada setiap orang menurut keperluan masing-masing.+ 36 Ada seorang lelaki yang bernama Yusuf. Dia seorang keturunan Lewi yang lahir di Siprus. Para rasul juga memanggilnya Barnabas,+ yang bermaksud “Orang yang Membawa Kelegaan Hati.” 37 Dia menjual sebidang tanah yang dimilikinya, lalu membawa wangnya kepada para rasul.+

5 Ada seorang lelaki yang bernama Ananias. Dia dan isterinya Safira telah menjual tanah mereka. 2 Tanpa diketahui orang lain kecuali isterinya, dia menyimpan sebahagian daripada hasil penjualan itu. Wang yang selebihnya pula diserahkan kepada rasul-rasul.+ 3 Petrus berkata, “Ananias, adakah Syaitan mempengaruhi kamu sehingga kamu berani berbohong+ kepada kuasa suci Tuhan+ dan menyimpan sebahagian daripada wang penjualan tanah itu secara diam-diam? 4 Bukankah tanah itu milikmu? Setelah kamu menjualnya, kamu boleh menggunakan wang yang diperoleh dengan sesuka hati. Mengapakah kamu merancang perbuatan sebegini dalam hatimu? Kamu tidak berdusta kepada manusia, tetapi kepada Tuhan.” 5 Sebaik sahaja Ananias mendengar kata-kata itu, dia rebah lalu mati. Semua orang yang mendengar peristiwa itu menjadi sangat takut. 6 Beberapa orang muda di situ bangun dan membalutnya dengan kain, lalu membawanya keluar dan mengebumikannya.

7 Kira-kira tiga jam kemudian, isteri Ananias masuk. Dia tidak tahu apa yang berlaku. 8 Petrus berkata kepadanya, “Beritahulah aku, adakah wang ini seluruh hasil penjualan tanah yang kamu berdua peroleh?” Dia menjawab, “Ya, itulah semua wang yang kami peroleh.” 9 Maka Petrus berkata kepadanya, “Mengapakah kamu berdua berpakat untuk menguji kuasa suci Yehuwa?* Lihatlah! Orang yang mengebumikan suamimu sudah berdiri di pintu, dan mereka akan membawamu keluar.” 10 Pada detik itu juga, isteri Ananias rebah dan mati dekat kaki Petrus. Apabila beberapa orang muda itu masuk dan mendapati bahawa dia sudah mati, mereka membawanya keluar lalu mengebumikannya di sebelah suaminya. 11 Akibatnya, seluruh sidang dan semua orang yang mendengar peristiwa itu berasa sangat takut.

12 Tambahan lagi, para rasul terus melakukan banyak mukjizat dan keajaiban dalam kalangan orang ramai.+ Murid-murid Yesus berkumpul di Serambi* Salomo.+ 13 Walaupun orang lain tidak berani menyertai mereka, mereka dipuji oleh orang ramai. 14 Namun, bilangan mereka semakin bertambah kerana ramai lelaki dan wanita percaya kepada Tuan Yesus.+ 15 Ada yang bahkan membawa orang yang sakit ke jalan utama dan membaringkan mereka di atas katil kecil dan tikar, supaya sekurang-kurangnya sebilangan orang sakit terkena bayang-bayang Petrus semasa dia lalu di situ.+ 16 Ada juga orang dari kota-kota di sekitar Yerusalem yang berduyun-duyun ke situ. Mereka membawa orang sakit dan orang yang dirasuk roh-roh jahat, dan semua orang itu disembuhkan.

17 Namun, imam agung dan semua pengikutnya daripada golongan* Saduki sangat cemburu. Mereka berdiri 18 lalu menangkap para rasul dan memasukkan mereka ke dalam penjara awam.+ 19 Tetapi pada malam itu, malaikat Yehuwa* membuka pintu penjara+ dan membawa para rasul keluar. Malaikat itu berkata kepada mereka, 20 “Pergilah, berdirilah di Rumah Tuhan, dan teruslah beritahu orang ramai segala-gala tentang hidup yang bakal tiba.” 21 Selepas mendengar kata-kata malaikat itu, mereka masuk ke dalam Rumah Tuhan pada waktu fajar dan mula mengajar.

Semasa imam agung dan para pengikutnya tiba, mereka mengumpulkan ahli Majlis Orang Yahudi dan semua pemimpin orang Israel. Kemudian mereka memberikan perintah supaya para rasul dibawa dari penjara untuk menghadap mereka. 22 Tetapi apabila pengawal-pengawal tiba di penjara, mereka tidak menjumpai para rasul. Jadi mereka kembali dan melaporkan hal itu. 23 Mereka berkata, “Kami mendapati penjara masih terkunci dengan rapi, dan pengawal juga berjaga di pintu. Tetapi semasa pintu dibuka, kami tidak menjumpai seorang pun di dalam.” 24 Apabila ketua pengawal Rumah Tuhan dan ketua-ketua imam mendengarnya, mereka berasa bingung dan tidak tahu apa yang akan terjadi nanti. 25 Kemudian, ada orang datang dan memberitahu mereka, “Lihatlah! Orang yang telah tuan-tuan penjarakan sedang berdiri di Rumah Tuhan dan mengajar orang ramai.” 26 Oleh itu, ketua pengawal Rumah Tuhan pergi bersama pengawal-pengawalnya dan membawa para rasul kembali. Namun, mereka tidak menggunakan kekerasan kerana takut direjam oleh orang ramai.+

27 Kemudian, mereka membawa para rasul dan menyuruh mereka berdiri di hadapan Majlis Orang Yahudi. Lalu imam agung berkata kepada mereka, 28 “Dengan tegas kami sudah melarang kamu mengajar orang menurut nama lelaki itu.+ Tetapi lihatlah! Kamu sudah menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu ingin kami bertanggungjawab atas penumpahan darah lelaki itu.”+ 29 Petrus dan rasul-rasul lain menjawab, “Kami mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.+ 30 Tuan-tuan telah membunuh Yesus dengan menggantungkannya pada tiang,* tetapi Tuhan nenek moyang kita telah membangkitkannya.+ 31 Tuhan telah meninggikannya ke sebelah kanan-Nya,+ sebagai Pemimpin Utama+ dan Penyelamat,+ supaya umat Israel bertaubat dan dosa mereka diampunkan.+ 32 Kamilah saksi kepada hal-hal ini,+ begitu juga dengan kuasa suci,+ yang dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka yang mematuhi-Nya sebagai pemerintah.”

33 Apabila mereka mendengar kata-kata itu, mereka sangat marah sehingga ingin membunuh para rasul. 34 Dalam Majlis Orang Yahudi itu, ada seorang Farisi yang bernama Gamaliel.+ Dia merupakan seorang guru Hukum yang disegani semua orang. Dia berdiri lalu menyuruh orang membawa rasul-rasul itu keluar untuk sebentar. 35 Kemudian, dia berkata kepada semua orang di situ, “Orang Israel sekalian, berwaspadalah tentang tindakan yang hendak kamu ambil terhadap mereka. 36 Sebagai contoh, suatu ketika dahulu muncul seorang lelaki yang bernama Teudas, yang mendakwa dirinya orang yang penting. Ada kira-kira 400 orang yang menjadi pengikutnya, tetapi apabila dia dibunuh, semua pengikutnya itu tercerai-berai dan akhirnya lenyap sama sekali. 37 Selepas itu, Yudas dari Galilea muncul pada masa pendaftaran dijalankan, dan ada orang yang mengikutnya. Lelaki itu juga lenyap, dan semua pengikutnya pun tercerai-berai. 38 Maka, menurut keadaan sekarang, aku berkata kepada kamu semua: Janganlah mencampuri urusan semua orang itu, dan biarkanlah mereka. Jika apa yang dirancang dan dilakukan oleh mereka itu berasal daripada manusia, semua itu akan gagal. 39 Tetapi jika semua itu berasal daripada Tuhan, kamu pasti tidak dapat mengalahkan mereka.+ Jangan-jangan kamu melawan Tuhan pula.”+ 40 Mereka menerima nasihatnya lalu memanggil para rasul, mencambuk* mereka,+ dan melarang mereka bercakap atas nama Yesus. Setelah itu, para rasul dibebaskan.

41 Selepas para rasul meninggalkan Majlis Orang Yahudi, mereka bersukacita+ kerana Tuhan menganggap mereka layak dihina demi nama Yesus. 42 Setiap hari, baik di Rumah Tuhan mahupun dari rumah ke rumah,+ mereka tidak henti-henti mengajarkan dan mengumumkan berita baik tentang Yesus, iaitu Kristus.+

6 Pada masa itu, bilangan murid Yesus semakin bertambah. Orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Yunani mula bersungut-sungut tentang orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Ibrani. Hal ini demikian kerana balu-balu yang bertutur dalam bahasa Yunani diabaikan semasa pembahagian makanan seharian.+ 2 Jadi 12 orang rasul itu mengumpulkan murid-murid Yesus dan berkata, “Kami tidak patut berhenti mengajarkan firman Tuhan semata-mata untuk mengedarkan makanan.+ 3 Oleh itu, saudara sekalian, pilihlah tujuh orang lelaki dalam kalangan kamu yang mempunyai nama baik,+ dan yang penuh dengan kuasa suci Tuhan dan kebijaksanaan.+ Dengan ini, kami dapat melantik mereka untuk mengendalikan tugas penting tersebut.+ 4 Tetapi kami akan menggunakan masa dan tenaga kami untuk berdoa dan mengajarkan firman Tuhan.” 5 Semua murid berasa senang hati dengan apa yang dikatakan oleh para rasul. Maka, mereka memilih Stefanus, seorang lelaki yang sangat beriman dan penuh dengan kuasa suci Tuhan, Filipus,+ Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia, seorang pemeluk agama Yahudi. 6 Mereka membawa semua lelaki tersebut kepada para rasul. Selepas berdoa, para rasul meletakkan tangan ke atas mereka yang telah dipilih.+

7 Hasilnya, firman Tuhan terus tersebar,+ dan bilangan murid Yesus di Yerusalem bertambah secara mendadak.+ Ramai imam juga mula percaya.+

8 Stefanus penuh dengan kuasa Tuhan dan sangat diperkenankan-Nya. Dia melakukan mukjizat dan keajaiban dalam kalangan orang ramai. 9 Tetapi beberapa orang daripada Rumah Ibadat Orang Bebas tampil bersama beberapa orang dari Kirene, Aleksandria, Kilikia, dan Asia, untuk berdebat dengan Stefanus. 10 Tetapi mereka tidak dapat menyangkal kata-katanya kerana dia didorong oleh kuasa suci Tuhan dan bercakap dengan bijaksana.+ 11 Kemudian secara rahsia, mereka menyuruh orang untuk berkata, “Kami mendengarnya mengucapkan kata-kata hinaan terhadap Musa dan Tuhan.” 12 Mereka juga menghasut orang ramai, para pemimpin orang Yahudi, dan jurutulis hukum. Semua orang ini datang secara tiba-tiba dan menangkap Stefanus. Mereka bertindak dengan kasar dan membawanya menghadap Majlis Orang Yahudi. 13 Beberapa orang saksi palsu yang dibawa oleh mereka berkata, “Lelaki ini tidak berhenti mengucapkan kata-kata yang menghina Hukum dan tempat suci ini. 14 Misalnya, kami mendengar dia berkata bahawa Yesus, orang Nasaret itu, akan merobohkan tempat ini dan mengubah adat istiadat yang diturunkan oleh Musa kepada kita.”

15 Semasa semua orang yang duduk di Majlis Orang Yahudi menatap Stefanus, mereka nampak wajahnya kelihatan seperti wajah malaikat.

7 Tetapi imam agung bertanya, “Adakah hal-hal ini benar?” 2 Stefanus menjawab, “Saudara-saudaraku dan bapa-bapaku. Dengarlah! Sebelum Abraham, nenek moyang kita, tinggal di Haran,+ Tuhan kita yang mulia telah menampakkan diri kepadanya di Mesopotamia. 3 Tuhan berfirman kepadanya, ‘Tinggalkanlah negerimu dan sanak saudaramu lalu pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.’+ 4 Maka dia pun meninggalkan tanah Kasdim dan tinggal di Haran. Selepas bapanya meninggal,+ Tuhan memimpin dia untuk pindah ke negeri ini yang kini kamu diami.+ 5 Tetapi Tuhan tidak mewariskan setapak tanah pun daripada negeri ini kepada Abraham. Namun demikian, Tuhan berjanji akan memberikan negeri ini kepada Abraham untuk menjadi hak miliknya dan keturunannya,+ walaupun Abraham tidak mempunyai anak pada masa itu. 6 Tuhan juga memberitahu dia bahawa keturunannya akan menjadi orang asing di negeri lain dan mereka akan diperhamba dan ditindas selama 400 tahun.+ 7 ‘Aku akan menghakimi bangsa yang memperhamba mereka,’+ firman Tuhan, ‘dan selepas itu, mereka akan keluar dari situ dan menjalankan khidmat suci kepada-Ku di tempat ini.’+

8 “Tuhan juga membuat perjanjian sunat+ dengan Abraham. Oleh itu, Abraham menyunat anaknya Ishak+ pada hari yang kelapan selepas dia dilahirkan.+ Ishak menjadi bapa kepada* Yakub, dan Yakub menjadi bapa kepada 12 orang ketua keluarga bangsa kita. 9 Ketua-ketua keluarga itu cemburu terhadap Yusuf+ dan menjualnya kepada orang Mesir.+ Tetapi Tuhan menyertai Yusuf+ 10 dan menyelamatkannya daripada semua kesengsaraannya. Semasa dia menghadap Firaun, raja Mesir, Tuhan telah memberinya kebijaksanaan dan membantunya agar disenangi Firaun. Maka Firaun melantik dia untuk memerintah Mesir dan mengurus seluruh rumah tangganya.+ 11 Tetapi kebuluran melanda seluruh Mesir dan Kanaan. Kesengsaraan yang besar timbul, dan nenek moyang kita tidak dapat mencari makanan.+ 12 Namun Yakub mendengar bahawa ada bahan makanan* di Mesir. Maka dia menghantar nenek moyang kita ke sana untuk kali pertama.+ 13 Semasa mereka pergi ke situ untuk kali kedua, Yusuf memberitahu saudara-saudaranya bahawa dia ialah Yusuf, dan Firaun telah mendapat berita tentang keluarga Yusuf.+ 14 Oleh itu, Yusuf mengirim pesanan dan menjemput bapanya Yakub serta semua sanak saudaranya untuk datang ke Mesir.+ Mereka yang datang berjumlah 75 orang.+ 15 Yakub pun pergi ke Mesir+ dan dia meninggal di situ.+ Kemudian, nenek moyang kita juga meninggal di situ.+ 16 Tulang-tulang mereka kemudiannya dibawa ke Sikhem dan diletakkan di dalam makam yang dibeli oleh Abraham dengan sejumlah wang perak daripada anak-anak Hamor di Sikhem.+

17 “Apabila masanya sudah dekat bagi Tuhan untuk menunaikan janji yang telah diumumkan oleh-Nya kepada Abraham, bangsa kita bertambah dan berlipat ganda di Mesir. 18 Kemudian seorang raja yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah di Mesir.+ 19 Raja itu menggunakan tipu muslihat untuk menentang bangsa kita dan memaksa nenek moyang kita untuk membuang bayi mereka agar bayi-bayi itu mati.+ 20 Pada masa itulah Musa lahir. Dia sangat comel di mata Tuhan. Dia diasuh di rumah bapanya selama tiga bulan.+ 21 Tetapi semasa dia terpaksa ditinggalkan oleh ibu bapanya,+ anak perempuan Firaun mengambil dia dan membesarkan dia sebagai anaknya sendiri.+ 22 Segala ilmu* bangsa Mesir diajarkan kepada Musa. Dia sangat berkuasa, baik dalam pertuturan mahupun dalam perbuatan.+

23 “Apabila dia berumur 40 tahun, dia membuat keputusan untuk melihat keadaan saudara-saudaranya, iaitu orang Israel.+ 24 Semasa dia nampak seorang lelaki Mesir melayan salah seorang saudaranya dengan tidak adil, Musa membelanya dan membalas dendam baginya dengan membunuh orang Mesir itu. 25 Musa menyangka saudara-saudaranya faham bahawa Tuhan akan menyelamatkan mereka melaluinya, tetapi mereka tidak faham. 26 Pada keesokan harinya, dia datang kepada mereka dan nampak dua orang yang sedang bergaduh. Dia mencuba untuk mendamaikan mereka dengan berkata, ‘Kamu bersaudara. Jadi mengapakah kamu bergaduh?’ 27 Tetapi orang yang memukul saudaranya itu menolak Musa dan bertanya, ‘Siapakah yang melantik kamu sebagai pemerintah dan hakim kami? 28 Adakah kamu mahu membunuh aku sepertimana kamu membunuh orang Mesir itu semalam?’ 29 Apabila Musa mendengar kata-kata itu, dia melarikan diri dari Mesir dan menjadi orang asing di tanah Midian. Di sana dia menjadi bapa kepada dua orang anak lelaki.+

30 “Empat puluh tahun kemudian, satu malaikat menampakkan diri kepadanya di dalam nyala api yang keluar dari pokok kecil di padang belantara Gunung Sinai.+ 31 Musa sangat hairan melihat hal itu. Tetapi semasa dia mendekati pokok itu untuk memeriksanya, dia mendengar suara Yehuwa* yang berfirman, 32 ‘Akulah Tuhan nenek moyangmu. Akulah Tuhan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub.’+ Musa sangat gementar dan tidak berani untuk memeriksa pokok itu lagi. 33 Yehuwa* berfirman kepadanya, ‘Tanggalkanlah kasut dari kakimu, kerana tempat engkau berdiri itu ialah tanah yang suci. 34 Aku memang sudah melihat bagaimana umat-Ku di Mesir ditindas, dan Aku sudah mendengar rintihan mereka.+ Maka Aku telah turun untuk menyelamatkan mereka. Sekarang marilah, dan Aku akan mengutus engkau ke Mesir.’ 35 Musa inilah yang pernah ditolak oleh mereka semasa mereka bertanya, ‘Siapakah yang melantik kamu sebagai pemerintah dan hakim?’+ Tetapi melalui malaikat yang menampakkan diri kepadanya dalam pokok kecil itu, Tuhan mengutus dia+ untuk menjadi pemerintah dan pembebas mereka. 36 Dia memimpin mereka keluar dari Mesir+ dengan melakukan pelbagai mukjizat dan perbuatan yang menakjubkan di Mesir+ dan di Laut Merah,+ serta di padang belantara selama 40 tahun.+

37 “Musa inilah yang berkata kepada orang Israel, ‘Tuhan akan melantik seorang nabi seperti aku daripada kalangan saudara-saudara kamu.’+ 38 Dialah yang ada bersama orang Israel di padang belantara. Dia di situ dengan nenek moyang kita dan dengan malaikat+ yang berkata-kata kepadanya+ di Gunung Sinai. Dia menerima perkhabaran-perkhabaran suci yang kekal lalu menyampaikannya kepada kita.+ 39 Tetapi nenek moyang kita menolaknya dan enggan mematuhinya.+ Dalam hati mereka tersemat keinginan untuk kembali ke Mesir.+ 40 Oleh itu mereka berkata kepada Harun, ‘Buatlah tuhan-tuhan bagi kita untuk memimpin kita, kerana kita tidak tahu apa yang sudah berlaku kepada Musa yang membawa kita keluar dari Mesir.’+ 41 Maka pada masa itu, mereka membuat sebuah patung anak lembu dan mempersembahkan korban kepada patung itu serta berpesta untuk menghormati buatan tangan mereka.+ 42 Oleh itu, Tuhan meninggalkan mereka dan membiarkan mereka menyembah matahari, bulan, dan bintang-bintang di langit.+ Hal itu tepat seperti yang tertulis dalam Ajaran Para Nabi: ‘Hai orang Israel, selama 40 tahun di padang belantara, kamu tidak menyembelih dan mempersembahkan korban kepada-Ku. 43 Tetapi kamu membawa khemah Molokh+ dan bintang tuhan Refan dari satu tempat ke tempat yang lain. Inilah patung-patung berhala yang kamu buat untuk disembah. Oleh itu, Aku akan membuang kamu ke tempat yang lebih jauh daripada Babilon.’+

44 “Nenek moyang kita mempunyai khemah suci* semasa mereka berada di padang belantara. Tuhan telah menyuruh Musa untuk membuat khemah itu menurut contoh yang telah dilihat olehnya.+ 45 Kemudian, nenek moyang kita yang mewarisi khemah itu juga membawanya bersama Yosua ke tanah yang diduduki oleh bangsa lain.+ Bangsa-bangsa itulah yang diusir oleh Tuhan di hadapan nenek moyang kita.+ Khemah itu kekal di situ hingga zaman Daud. 46 Daud diperkenankan Tuhan dan dia meminta agar dikurniai penghormatan untuk membina rumah bagi Tuhan Yakub.+ 47 Tetapi Salomolah yang membina Rumah Tuhan.+ 48 Namun begitu, Tuhan Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan tangan manusia.+ Hal ini tepat seperti yang dikatakan oleh seorang nabi, 49 ‘Yehuwa* berfirman, “Syurga ialah takhta-Ku+ dan bumi ialah alas kaki-Ku.+ Rumah seperti apa yang akan engkau dirikan bagi-Ku? Di manakah tempat istirahat-Ku? 50 Bukankah tangan-Ku yang membuat segala sesuatu?”’+

51 “Kamu orang yang keras kepala! Hati dan telinga kamu tertutup,* dan kamu sentiasa melawan kuasa suci Tuhan. Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh nenek moyang kamu.+ 52 Siapakah antara para nabi yang tidak dianiaya oleh nenek moyang kamu?+ Mereka telah membunuh orang yang menubuatkan kedatangan dia yang diperkenankan Tuhan.+ Sekarang kamu mengkhianati dan membunuh dia yang diperkenankan Tuhan.+ 53 Kamu menerima Hukum yang disampaikan oleh malaikat+ tetapi tidak mematuhinya.”

54 Apabila mereka mendengar hal-hal itu, mereka menjadi sangat marah sehingga ingin mencederakan* Stefanus. 55 Tetapi Stefanus dipenuhi kuasa suci Tuhan. Dia menengadah ke langit dan nampak kemuliaan Tuhan. Dia juga nampak Yesus berdiri di sebelah kanan Tuhan.+ 56 “Lihatlah!” katanya, “Aku melihat langit terbuka dan Anak Manusia+ berdiri di sebelah kanan Tuhan.”+ 57 Mereka menjerit dengan sekuat hati dan menutupi telinga dengan tangan mereka. Mereka semua meluru ke arah Stefanus. 58 Selepas membuangnya ke luar kota, mereka mula merejamnya.+ Saksi-saksi palsu itu+ meletakkan jubah luar mereka dekat kaki seorang pemuda yang bernama Saulus.+ 59 Semasa mereka melemparkan batu pada Stefanus, Stefanus berkata, “Tuan Yesus, aku menyerahkan nyawaku ke dalam tanganmu.” 60 Selepas itu, dia berlutut dan berseru dengan suara yang lantang, “Ya Yehuwa,* janganlah menghukum mereka atas dosa ini.”+ Setelah berkata demikian, dia pun tidur dalam kematian.

8 Saulus menyokong pembunuhan Stefanus.+

Pada hari itu, sidang di Yerusalem menghadapi penganiayaan yang sangat teruk. Semua murid Yesus, kecuali para rasul, tercerai-berai ke seluruh kawasan Yudea dan Samaria.+ 2 Tetapi beberapa orang yang takut akan Tuhan membawa Stefanus untuk dikebumikan, lalu mereka meratapinya dengan sedih sekali. 3 Saulus pula mula berusaha untuk membinasakan sidang. Dia menyerbu rumah demi rumah dan menyeret baik lelaki mahupun wanita ke penjara.+

4 Namun demikian, murid-murid yang tercerai-berai itu mengisytiharkan berita baik tentang firman Tuhan ke merata tempat.+ 5 Filipus, salah seorang murid Yesus, telah pergi ke kota* Samaria+ dan memberitahu orang di situ tentang Kristus. 6 Orang ramai menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang dikatakan oleh Filipus dan memperhatikan mukjizat yang dilakukannya. 7 Terdapat banyak orang di situ yang dirasuk roh-roh jahat, dan roh-roh jahat itu berteriak lalu keluar daripada mereka.+ Selain itu, ada banyak orang lumpuh dan tempang yang disembuhkan. 8 Oleh itu, penduduk kota itu sangat bersukacita.

9 Ada seorang lelaki di kota itu yang bernama Simon. Sudah agak lama dia membuat bangsa Samaria kagum dengan ilmu sihirnya, dan dia mengaku dirinya seorang yang hebat. 10 Semua orang memberikan perhatian kepadanya, baik yang berkedudukan tinggi mahupun yang berkedudukan rendah. Mereka berkata, “Lelaki ini menerima kuasa yang besar daripada Tuhan.” 11 Mereka mendengarkannya dengan penuh perhatian, kerana sudah lama mereka kagum dengan ilmu sihirnya. 12 Namun, setelah Filipus mengkhabarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan+ dan tentang nama Yesus Kristus, lelaki dan wanita di situ percaya kepadanya lalu dibaptis.+ 13 Simon juga telah percaya, dan dia terus mengikut Filipus+ selepas dibaptis. Simon berasa kagum apabila dia melihat betapa hebatnya mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Filipus.

14 Apabila para rasul di Yerusalem mendengar bahawa penduduk Samaria telah menerima firman Tuhan,+ mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana. 15 Maka Petrus dan Yohanes pergi dan berdoa supaya mereka diberi kuasa suci Tuhan,+ 16 kerana kuasa suci-Nya belum turun ke atas sesiapa pun dalam kalangan mereka. Mereka hanya dibaptis atas nama Tuan Yesus.+ 17 Kemudian Petrus dan Yohanes meletakkan tangan mereka ke atas orang di situ,+ dan mereka pun menerima kuasa suci Tuhan.

18 Apabila Simon melihat bahawa kuasa suci Tuhan diberikan semasa rasul-rasul meletakkan tangan mereka ke atas seseorang, dia menawarkan wang kepada mereka 19 dan berkata, “Berikanlah kebolehan ini kepadaku juga, supaya orang lain menerima kuasa suci Tuhan apabila aku meletakkan tanganku ke atas mereka.” 20 Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Binasalah kamu bersama-sama wang perakmu! Kamu menyangka bahawa kamu boleh menggunakan wang untuk membeli kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma.+ 21 Kamu tiada bahagian dalam hal ini, kerana hatimu tidak tulus di mata Tuhan. 22 Bertaubatlah dan tinggalkanlah kejahatanmu. Hendaklah kamu merayu kepada Yehuwa,* mudah-mudahan Dia akan mengampunkan niat jahat dalam hatimu. 23 Aku tahu bahawa kamu ini seperti racun dan selalu ingin melakukan apa yang salah.” 24 Simon berkata, “Tolonglah merayu kepada Yehuwa* bagiku, supaya apa yang kamu katakan itu tidak menimpa aku.”

25 Setelah mereka memberikan kesaksian dengan menyeluruh dan menyebarkan firman Yehuwa,* mereka kembali ke Yerusalem. Dalam perjalanan, mereka mengkhabarkan berita baik di banyak pekan orang Samaria.+

26 Malaikat Yehuwa*+ berkata kepada Filipus, “Bangunlah dan pergilah ke arah selatan, ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dengan Gaza.” (Jalan ini terletak di padang gurun.) 27 Maka Filipus pun bangun dan bertolak. Di situ, ada seorang sida-sida dari Etiopia.* Dia pegawai tinggi yang berkhidmat kepada Kandake, iaitu ratu negeri Etiopia, dan dia bertanggungjawab mengurus semua harta ratu. Lelaki ini telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat,+ 28 dan dia dalam perjalanan pulang. Dia duduk di dalam kereta kudanya sambil membaca kitab Nabi Yesaya dengan suara yang lantang. 29 Kuasa suci Tuhan berkata kepada Filipus, “Pergi hampiri kereta kuda itu.” 30 Jadi Filipus berlari di sebelah kereta kuda lalu mendengar sida-sida itu membaca kitab Nabi Yesaya. Maka dia bertanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” 31 Sida-sida itu menjawab, “Bagaimana mungkin aku memahaminya jika tiada orang yang mengajar aku?” Lalu dia menggesa Filipus menaiki kereta kudanya dan duduk bersamanya. 32 Bahagian Ayat-Ayat Suci yang sedang dibacanya berbunyi, “Seperti seekor bebiri, dia dibawa untuk disembelih. Seperti anak bebiri yang tidak bersuara semasa bulunya digunting, dia juga tidak membuka mulutnya.+ 33 Semasa dia dihina, dia tidak dihakimi dengan adil.+ Memandangkan nyawanya dicabut dari muka bumi, tiada seorang pun yang mengambil peduli akan butiran tentang asal usulnya.”+

34 Sida-sida itu berkata kepada Filipus, “Tolonglah beritahu aku, siapakah yang dimaksudkan oleh nabi itu? Dirinya sendiri atau orang lain?” 35 Maka Filipus mula bercakap. Dia memberitahu sida-sida itu berita baik tentang Yesus, bermula dengan ayat yang dibacanya. 36 Mereka menyusuri jalan itu dan tiba di suatu tempat yang banyak airnya. Sida-sida itu berkata, “Lihat, di sini ada air! Apakah yang menghalang aku daripada dibaptis?” 37* —— 38 Maka dia memerintahkan agar kereta kuda itu dihentikan. Kemudian Filipus dan sida-sida itu turun ke dalam air, lalu Filipus membaptisnya. 39 Apabila mereka keluar dari air, kuasa suci Yehuwa* segera memimpin Filipus ke tempat lain. Sida-sida itu tidak melihatnya lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita. 40 Filipus pergi ke Asdod dan terus menyebarkan berita baik di semua kota sehingga dia tiba di Kaisarea.+

9 Saulus masih mengancam murid-murid Tuan Yesus. Hasratnya untuk membunuh mereka berkobar-kobar.+ Jadi, dia pergi kepada imam agung 2 dan memintanya menulis surat-surat untuk disampaikan kepada rumah-rumah ibadat di Damsyik. Dengan itu, jika dia menjumpai lelaki atau wanita yang sedang mengikut Haluan Tuan,+ dia boleh mengikat mereka untuk dibawa ke Yerusalem.

3 Dalam perjalanannya ke Damsyik, apabila dia sudah dekat dengan kota itu, tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekelilingnya.+ 4 Dia rebah ke tanah dan mendengar suara yang berkata, “Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku?” 5 Saulus berkata, “Tuan, siapakah kamu?” Suara itu menjawab, “Akulah Yesus,+ yang kamu aniaya.+ 6 Bangunlah dan masuklah ke dalam kota. Di situ, kamu akan diberitahu apa yang mesti kamu lakukan.” 7 Sementara itu, orang yang membuat perjalanan bersama Saulus terpegun kaku sehingga tidak dapat berkata-kata. Mereka mendengar suara tersebut tetapi tidak melihat sesiapa pun.+ 8 Saulus bangun tetapi dia tidak dapat melihat apa-apa meskipun matanya terbuka. Jadi mereka memegang tangannya dan memimpinnya ke Damsyik. 9 Saulus tidak dapat melihat apa-apa selama tiga hari,+ dan dia tidak makan ataupun minum.

10 Di Damsyik, ada seorang murid Yesus yang bernama Ananias.+ Dalam suatu penglihatan, Tuan Yesus berkata kepadanya, “Ananias!” Lalu dia menjawab, “Ya, Tuan.” 11 Tuan Yesus berkata, “Bangunlah. Pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus, dan carilah seorang lelaki yang bernama Saulus, dari Tarsus.+ Dia sedang berdoa sekarang. 12 Dalam suatu penglihatan, dia nampak seorang lelaki yang bernama Ananias datang dan meletakkan tangan ke atasnya supaya dia boleh melihat semula.”+ 13 Tetapi Ananias berkata, “Tuan, aku sudah mendengar daripada ramai orang tentang lelaki ini dan semua perbuatan kejam yang dilakukannya terhadap umat suci di Yerusalem. 14 Ketua-ketua imam sudah memberinya kuasa untuk menangkap* semua orang di sini yang menyeru nama Tuan.”+ 15 Tetapi Tuan Yesus berkata kepadanya, “Pergilah, kerana aku sudah memilih lelaki ini+ untuk memberitakan namaku kepada raja-raja,+ umat Israel, dan bangsa-bangsa lain.+ 16 Aku akan menunjukkan kepadanya semua penderitaan yang mesti ditanggungnya demi namaku.”+

17 Oleh itu, Ananias pergi dan masuk ke dalam rumah tersebut. Dia meletakkan tangannya ke atas Saulus dan berkata, “Saulus, saudaraku, Tuan Yesus yang menampakkan diri kepada kamu semasa kamu dalam perjalanan ke sini, telah mengutus aku kepadamu agar kamu dapat melihat semula dan dipenuhi kuasa suci Tuhan.”+ 18 Pada saat itu juga, sesuatu seperti sisik ikan jatuh dari mata Saulus, dan penglihatannya pun pulih lalu dia bangun dan dibaptis. 19 Kemudian dia makan dan tenaganya pun pulih.

Dia tinggal bersama murid-murid Yesus di Damsyik untuk suatu jangka masa.+ 20 Tanpa berlengah-lengah, dia pergi ke rumah-rumah ibadat dan menyebarkan berita bahawa Yesus ialah Anak Tuhan. 21 Semua orang yang mendengarnya berasa hairan dan berkata, “Bukankah dia lelaki yang bertindak dengan kejam dan menganiaya orang di Yerusalem yang menyeru nama itu?+ Bukankah dia datang ke sini dengan tujuan untuk menahan dan membawa murid-murid Yesus kepada ketua-ketua imam?”+ 22 Tetapi Saulus semakin mahir dalam kerja penyebarannya. Dia membuktikan secara logik bahawa Yesus ialah Kristus sehingga orang Yahudi yang tinggal di Damsyik tidak dapat membantah lagi.+

23 Beberapa lama kemudian, orang Yahudi berkomplot untuk membunuh Saulus.+ 24 Tetapi Saulus mendapat tahu tentang rancangan mereka. Siang malam mereka menjaga pintu gerbang kota dengan ketat agar dapat membunuhnya. 25 Maka pada waktu malam, murid-murid Saulus membawanya ke sebuah tingkap di tembok kota lalu menurunkannya di dalam sebuah bakul.+

26 Setibanya di Yerusalem,+ dia berusaha untuk menyertai murid-murid Yesus. Tetapi mereka semua takut akan dia, kerana mereka tidak percaya bahawa dia sudah menjadi murid Yesus. 27 Jadi Barnabas+ membantu Saulus dan membawanya kepada para rasul. Barnabas memberitahu mereka secara terperinci bagaimana Saulus telah melihat Tuan Yesus semasa dalam perjalanannya,+ bagaimana Tuan Yesus telah bercakap kepada Saulus, dan bagaimana Saulus dengan beraninya telah bercakap tentang nama Yesus semasa di Damsyik.+ 28 Jadi Saulus terus tinggal bersama mereka, dan dia mengikut mereka ke mana sahaja mereka pergi di Yerusalem. Dia terus bercakap tentang nama Tuan Yesus dengan berani. 29 Dia bercakap dan berdebat dengan orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Yunani. Tetapi mereka mencuba untuk membunuhnya.+ 30 Apabila saudara-saudara mengetahui hal ini, mereka membawa Saulus ke Kaisarea dan menghantarnya ke Tarsus.+

31 Untuk suatu jangka masa, sidang di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria,+ menikmati ketenteraman dan menjadi kukuh. Selain itu, bilangan murid terus bertambah kerana mereka sentiasa takut akan Yehuwa* dan hidup selaras dengan galakan yang diterima menerusi kuasa suci Tuhan.+

32 Sewaktu Petrus menjelajahi seluruh kawasan itu, dia juga pergi kepada umat suci yang tinggal di Lida.+ 33 Di situ, dia menemui seorang lelaki bernama Eneas, yang lumpuh dan sudah terlantar di katilnya selama lapan tahun. 34 Petrus berkata kepadanya, “Eneas, Yesus Kristus menyembuhkan kamu.+ Bangunlah dan kemaskan katilmu,”+ lalu Eneas bangun dengan serta-merta. 35 Semua penduduk di Lida dan Dataran Saron nampak dia lalu mereka percaya kepada Tuan Yesus.

36 Di Yope ada seorang murid yang bernama Tabita. Dalam bahasa Yunani, namanya diterjemahkan sebagai Dorkas.* Wanita ini melakukan banyak perkara baik dan selalu membantu orang yang miskin. 37 Sewaktu Petrus berada di Lida, Dorkas jatuh sakit lalu mati. Mayatnya dimandikan lalu diletakkan di dalam sebuah bilik di tingkat atas. 38 Lida terletak berhampiran dengan Yope. Jadi, apabila murid-murid Yesus di Yope mendengar bahawa Petrus berada di Lida, mereka mengutus dua orang lelaki untuk memohonnya, “Datanglah kepada kami dengan segera.” 39 Maka, Petrus bangun dan mengikut mereka. Apabila dia tiba, mereka membawanya ke bilik di tingkat atas. Semua balu di situ datang kepadanya sambil menangis dan menunjukkan banyak jubah dan pakaian lain yang pernah dijahit oleh Dorkas semasa dia masih hidup. 40 Selepas Petrus menyuruh semua orang keluar,+ dia berlutut dan berdoa. Kemudian, dia menghadap mayat itu dan berkata, “Tabita, bangunlah!” Tabita membuka matanya dan apabila dia nampak Petrus, dia pun duduk.+ 41 Petrus menghulurkan tangannya dan membantu Tabita berdiri. Selepas itu, dia memanggil umat suci Tuhan, termasuk balu-balu tersebut, dan menunjukkan kepada mereka bahawa Tabita sudah hidup.+ 42 Hal ini tersebar di seluruh Yope, dan ramai orang mula percaya kepada Tuan Yesus.+ 43 Petrus terus tinggal di Yope untuk suatu jangka masa bersama dengan seorang penyamak kulit yang bernama Simon.+

10 Di Kaisarea ada seorang pegawai tentera pasukan Italia* yang bernama Kornelius. 2 Dia takut akan Tuhan dan menyembah Tuhan bersama seluruh keluarganya. Dia sering menolong orang yang miskin, dan sentiasa berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan. 3 Pada suatu hari, kira-kira jam tiga petang,*+ Kornelius mendapat suatu penglihatan. Dengan jelas, dia melihat malaikat Tuhan datang kepadanya dan berkata, “Kornelius!” 4 Kornelius memandang malaikat itu dengan takut lalu bertanya, “Ada apa, Tuan?” Malaikat itu menjawab, “Tuhan telah mendengar doamu+ dan Dia berkenan kepadamu. Dia sudah melihat bagaimana kamu membantu orang miskin. 5 Sekarang utuslah orang ke Yope untuk memanggil Simon yang juga dikenali sebagai Petrus. 6 Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit yang bernama Simon. Rumahnya terletak di tepi laut.” 7 Setelah berkata demikian, malaikat itu pun beredar. Lalu Kornelius memanggil dua orang hamba dan seorang askar yang takut akan Tuhan daripada kalangan orang yang melayaninya. 8 Kornelius menceritakan kepada mereka segala yang telah berlaku lalu mengutus mereka ke Yope.

9 Keesokan harinya, ketika mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah* untuk berdoa. Masa itu kira-kira jam 12 tengah hari.* 10 Dia berasa sangat lapar dan hendak makan. Sementara menunggu makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan.+ 11 Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain linen yang besar turun ke bumi. Kain itu diturunkan pada keempat-empat penjurunya. 12 Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat dan reptilia* di bumi serta burung-burung di langit. 13 Lalu ada suara yang berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah dan makanlah binatang-binatang itu!” 14 Tetapi Petrus menjawab, “Sama sekali tidak, Tuan! Aku tidak pernah makan apa-apa yang kotor atau najis.”+ 15 Namun suara itu berkata buat kali kedua, “Jangan lagi anggap najis apa yang sudah disucikan oleh Tuhan.” 16 Suara tersebut kedengaran buat kali yang ketiga, lalu kain itu terangkat kembali ke langit dengan serta-merta.

17 Petrus tidak tahu makna penglihatan itu dan berasa sangat bingung. Pada masa itu, orang yang diutus oleh Kornelius sudah berdiri di luar pintu setelah bertanya tentang tempat letaknya rumah Simon.+ 18 Mereka memanggil tuan rumah dan bertanya sama ada seseorang yang bernama Simon Petrus sedang menumpang di situ atau tidak. 19 Semasa Petrus masih berfikir tentang penglihatan itu, kuasa suci Tuhan+ berkata, “Lihatlah! Ada tiga orang yang sedang mencari kamu. 20 Jadi bangunlah, turunlah ke bawah dan ikutlah mereka tanpa sebarang keraguan, kerana akulah yang mengutus mereka.” 21 Maka Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, “Akulah orang yang sedang kamu cari. Mengapakah kamu datang?” 22 Mereka menjawab, “Melalui malaikat suci-Nya, Tuhan telah menyuruh Kornelius+ untuk menjemput tuan ke rumahnya supaya dia dapat mendengar apa yang akan tuan katakan. Kornelius ialah seorang pegawai tentera yang melakukan apa yang benar, takut akan Tuhan, dan dia dipuji oleh semua orang Yahudi.” 23 Maka Petrus menjemput mereka untuk masuk dan menginap di situ.

Keesokan harinya, Petrus bangun dan pergi bersama mereka. Beberapa orang saudara dari Yope juga pergi bersama dia. 24 Pada hari berikutnya, dia tiba di Kaisarea. Kornelius sedang menunggu mereka bersama sanak saudara dan sahabat-sahabat karib yang telah dijemputnya. 25 Apabila Petrus tiba, Kornelius menyambut dia. Dia berlutut lalu bersujud di depan kakinya. 26 Tetapi Petrus membantunya berdiri sambil berkata, “Bangunlah, aku sendiri pun manusia.”+ 27 Sambil bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk dan mendapati banyak orang sudah berkumpul di situ. 28 Petrus berkata kepada mereka, “Kamu tahu benar bahawa orang Yahudi yang melawat atau bergaul dengan orang daripada bangsa lain melanggar hukum.+ Tetapi Tuhan sudah menunjukkan bahawa aku tidak boleh menganggap sesiapa pun kotor atau najis.+ 29 Oleh itu, aku tidak keberatan untuk datang ketika dipanggil. Maka, aku ingin tahu mengapakah kamu meminta aku datang?”

30 Kornelius menjawab, “Empat hari yang lalu, aku sedang berdoa di rumah kira-kira pada jam tiga petang.* Ketika itu, seorang lelaki yang pakaiannya bersinar-sinar muncul di hadapan aku. 31 Dia berkata, ‘Kornelius, Tuhan telah mendengar doamu dan Dia berkenan kepadamu. Dia sudah melihat bagaimana kamu membantu orang miskin. 32 Utuslah beberapa orang ke Yope untuk memanggil Simon yang juga dipanggil Petrus. Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit yang bernama Simon. Rumahnya terletak di tepi laut.’+ 33 Itulah sebabnya aku segera mengutus orang untuk memanggil kamu, dan kamu sungguh baik hati kerana sudi datang. Sekarang kami semua berkumpul di hadapan Tuhan untuk mendengar apa sahaja yang diperintahkan oleh Yehuwa* kepadamu untuk dikatakan.”

34 Lalu Petrus berkata, “Sekarang barulah aku benar-benar faham bahawa Tuhan tidak berat sebelah.+ 35 Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.+ 36 Tuhan telah menyampaikan berita baik tentang kedamaian+ kepada orang Israel melalui Yesus Kristus, Tuan semua orang.+ 37 Kamu semua tahu bahawa selepas pembaptisan yang dikhabarkan oleh Yohanes, bermula dari Galilea+ hingga seluruh Yudea, ada suatu perkara yang menjadi buah mulut orang ramai, 38 iaitu perkara tentang Yesus yang berasal dari Nasaret. Tuhan telah mengurapi Yesus dengan kuasa suci-Nya+ dan memberinya kekuatan. Oleh sebab Tuhan menyertainya,+ dia dapat pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang ditindas oleh Iblis.+ 39 Kami ialah saksi kepada segala yang telah dilakukannya di negeri orang Yahudi dan di Yerusalem. Tetapi mereka membunuhnya dengan menggantungkannya pada tiang.* 40 Namun begitu, Tuhan membangkitkan dia pada hari ketiga+ supaya orang lain dapat melihatnya. 41 Tetapi bukan semua orang dapat melihatnya. Hanya kami, iaitu saksi-saksi yang telah dilantik terlebih dahulu oleh Tuhan, telah melihatnya. Kamilah yang telah makan dan minum bersamanya setelah dia dibangkitkan daripada kematian.+ 42 Yesus juga mengarahkan kami untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh+ dan mengkhabarkan kepada bangsa kami bahawa dialah yang dilantik oleh Tuhan untuk menghakimi orang hidup dan orang mati.+ 43 Semua nabi memberikan kesaksian tentangnya,+ supaya semua orang yang beriman kepadanya memperoleh pengampunan dosa melalui namanya.”+

44 Semasa Petrus masih bercakap tentang perkara-perkara itu, kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas semua orang di situ yang mendengar firman Tuhan.+ 45 Murid-murid Yesus yang bersunat, yang datang bersama Petrus, berasa hairan kerana kurniaan percuma Tuhan, iaitu kuasa suci-Nya, juga dicurahkan ke atas orang daripada bangsa lain. 46 Mereka mendengar semua orang itu bercakap dalam bahasa-bahasa lain dan mengagungkan Tuhan.+ Lalu Petrus berkata, 47 “Semua orang ini sudah menerima kuasa suci Tuhan seperti kita. Bolehkah sesiapa menghalang mereka daripada dibaptis dengan air?”+ 48 Maka Petrus menyuruh mereka dibaptis atas nama Yesus Kristus.+ Kemudian mereka meminta Petrus tinggal dengan mereka untuk beberapa hari.

11 Para rasul dan saudara-saudara yang berada di Yudea mendengar bahawa orang daripada bangsa-bangsa lain pun menerima firman Tuhan. 2 Jadi semasa Petrus pergi ke Yerusalem, orang yang berpegang pada hukum bersunat+ mula mencela Petrus. 3 Mereka berkata, “Kamu telah masuk ke dalam rumah orang yang tidak bersunat dan makan bersama mereka.” 4 Oleh itu, Petrus memberitahu mereka secara terperinci tentang apa yang telah berlaku. Dia berkata,

5 “Aku menerima suatu penglihatan semasa aku sedang berdoa di kota Yope. Aku nampak sesuatu seperti sehelai kain linen yang besar turun dari langit. Kain itu diturunkan pada keempat-empat penjurunya sehingga sampai ke depan mataku.+ 6 Semasa aku menatap ke dalamnya, aku nampak binatang-binatang berkaki empat, binatang buas, dan reptilia* di bumi, serta burung-burung di langit. 7 Aku juga mendengar suara yang berkata kepadaku, ‘Bangunlah Petrus! Sembelihlah dan makanlah binatang-binatang itu!’ 8 Tetapi aku berkata, ‘Sama sekali tidak, Tuan! Aku tidak pernah makan apa-apa yang kotor atau najis.’ 9 Suara dari langit itu berkata buat kali kedua, ‘Jangan lagi menganggap najis apa yang sudah disucikan oleh Tuhan.’ 10 Suara tersebut kedengaran buat kali ketiga. Selepas itu, semuanya terangkat kembali ke langit. 11 Pada masa itu juga, tiga orang lelaki dari Kaisarea yang diutus kepadaku sampai di rumah kami.+ 12 Kuasa suci Tuhan menyuruh aku mengikut mereka tanpa sebarang keraguan. Enam orang saudara ini juga pergi bersamaku, dan kami semua masuk ke dalam rumah orang itu.

13 “Dia memberitahu kami bagaimana dia nampak malaikat berdiri di rumahnya dan berkata kepadanya, ‘Utuslah orang ke Yope, dan panggillah Simon yang juga digelar Petrus.+ 14 Dia akan memberitahu kamu bagaimana kamu dan seluruh rumah tanggamu boleh diselamatkan.’ 15 Tetapi semasa aku mula bercakap, kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas mereka, sama seperti yang telah berlaku kepada kita pada mulanya.+ 16 Barulah aku teringat bahawa Tuan Yesus pernah berkata, ‘Yohanes membaptis dengan air,+ tetapi kamu akan dibaptis dengan kuasa suci Tuhan.’+ 17 Oleh sebab Tuhan memberikan kurniaan-Nya yang percuma kepada mereka sama seperti yang diberikan-Nya kepada kita yang percaya kepada Tuan Yesus Kristus, siapakah aku sehingga aku boleh menghalang Tuhan?”+

18 Selepas mendengar hal-hal itu, mereka tidak membantah lagi. Mereka memuliakan Tuhan dengan berkata, “Jelaslah bahawa Tuhan juga memberikan peluang kepada orang daripada bangsa-bangsa lain untuk bertaubat dan memperoleh hidup.”+

19 Selepas kematian Stefanus, penganiayaan yang menimpa murid-murid Yesus menyebabkan mereka tercerai-berai.+ Ada dalam kalangan mereka yang melarikan diri sejauh Fenisia, Siprus, dan Antiokhia, tetapi mereka hanya mengkhabarkan firman Tuhan kepada orang Yahudi.+ 20 Namun beberapa orang dalam kalangan mereka yang berasal dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia. Mereka mengkhabarkan berita baik tentang Tuan Yesus kepada orang yang bertutur dalam bahasa Yunani. 21 Yehuwa* menyertai mereka dan banyak orang percaya lalu menjadi murid Tuan Yesus.+

22 Selepas sidang di Yerusalem mendapat berita tentang mereka, Barnabas+ diutus ke Antiokhia. 23 Apabila dia tiba di sana, dia nampak bahawa Tuhan telah memberikan kebaikan hati-Nya yang unggul kepada mereka. Dia berasa gembira dan menggalakkan mereka semua agar bertekad untuk tetap setia kepada Tuan Yesus.+ 24 Barnabas ialah seorang lelaki yang baik, beriman, dan penuh dengan kuasa suci Tuhan, dan banyak orang percaya kepada Tuan Yesus.+ 25 Kemudian dia pergi ke Tarsus, dan dia berusaha sedaya upaya untuk mencari Saulus.+ 26 Apabila Barnabas menjumpai Saulus, dia membawa Saulus ke Antiokhia. Selama setahun mereka menyertai sidang di situ dan mengajar banyak orang. Di Antiokhia, untuk kali pertama murid-murid Yesus disebut orang Kristian+ seperti yang dikehendaki oleh Tuhan.

27 Pada masa itu, beberapa orang nabi+ dari Yerusalem datang ke Antiokhia. 28 Salah seorang daripada mereka bernama Agabus.+ Dia berdiri dan bernubuat di bawah bimbingan kuasa suci Tuhan bahawa kebuluran yang teruk bakal melanda seluruh bumi.+ (Kebuluran ini benar-benar berlaku pada zaman Klaudius.) 29 Maka murid-murid Yesus membuat keputusan untuk mengirim bantuan kepada saudara-saudara yang tinggal di Yudea. Mereka memberikan bantuan+ menurut kemampuan masing-masing,+ 30 dan mengirimkan bantuan itu kepada para penatua di sana melalui Barnabas dan Saulus.+

12 Sekitar masa itu, Raja Herodes mula menganiaya beberapa orang anggota sidang.+ 2 Saudara kandung Yohanes,+ iaitu Yakobus, telah dibunuhnya dengan pedang.+ 3 Apabila dia melihat bahawa perbuatan itu menyenangkan orang Yahudi, dia juga menangkap Petrus. (Hal ini berlaku semasa Perayaan Roti Tidak Beragi.)+ 4 Setelah Petrus ditangkap, Herodes memenjarakannya.+ Ada empat kumpulan askar yang bergilir-gilir menjaganya, dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang askar. Herodes bercadang untuk menghadapkannya kepada* orang ramai selepas Perayaan Paska.* 5 Oleh itu Petrus ditahan di penjara. Tetapi sidang terus berdoa kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh untuknya.+

6 Pada malam sebelum Herodes menghadapkan Petrus kepada orang ramai, Petrus tidur terbelenggu dengan dua rantai di antara dua orang askar, dan ada pengawal yang sedang berjaga di depan pintu penjara. 7 Tiba-tiba, malaikat Yehuwa* berdiri di situ,+ dan cahaya bersinar di dalam bilik penjara itu. Malaikat tersebut menggoyang-goyang Petrus untuk mengejutkannya daripada tidur sambil berkata, “Cepatlah bangun!” Ketika itu, rantai pun jatuh dari tangan Petrus.+ 8 Malaikat itu berkata kepadanya, “Ikatlah pinggangmu dan pakailah kasutmu.” Petrus pun berbuat demikian. Kemudian malaikat itu berkata, “Pakailah jubah luarmu dan ikutlah aku.” 9 Petrus pun mengikut malaikat itu keluar, tetapi dia tidak tahu bahawa apa yang dilakukan oleh malaikat itu benar-benar berlaku. Sebenarnya, dia menyangka bahawa semua itu hanyalah suatu penglihatan. 10 Setelah mereka berjalan melalui tempat pertama dan kedua yang dijaga oleh kumpulan askar, mereka tiba di pintu besi yang menuju ke kota. Pintu itu terbuka dengan sendiri, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui satu lorong, dan malaikat itu segera meninggalkannya. 11 Barulah Petrus menyedari apa yang sedang berlaku. Dia berkata, “Sekarang aku benar-benar tahu bahawa Yehuwa* telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan aku daripada tangan Herodes, dan daripada segala perkara yang ingin dilakukan oleh orang Yahudi terhadapku.”+

12 Setelah menyedari apa yang berlaku, Petrus pergi ke rumah Maria, iaitu ibu kepada Yohanes yang dipanggil Markus.+ Pada masa itu, ramai murid sedang berkumpul dan berdoa di situ. 13 Apabila Petrus mengetuk pintu pagar, seorang hamba perempuan yang bernama Rode datang ke pintu. 14 Sebaik sahaja dia mengenal suara Petrus, dia cepat-cepat masuk tanpa membuka pintu pagar kerana terlalu gembira. Dia memberitahu mereka bahawa Petrus sedang berdiri di depan pintu. 15 Mereka berkata, “Kamu sudah gila.” Tetapi apabila dia berkeras mengatakan bahawa orang itu Petrus, mereka berkata, “Itu malaikatnya.” 16 Sementara itu, Petrus terus mengetuk pintu. Apabila mereka membuka pintu dan melihatnya, mereka berasa hairan. 17 Tetapi Petrus memberikan isyarat dengan tangannya agar mereka senyap. Kemudian dia memberitahu mereka dengan terperinci bagaimana Yehuwa* membawanya keluar dari penjara. Sebelum dia keluar dan pergi ke tempat yang lain, dia berkata, “Laporkanlah hal-hal ini kepada Yakobus+ dan saudara-saudara yang lain.”

18 Ketika hari sudah siang, keadaan dalam kalangan para askar sangat huru-hara kerana mereka tidak tahu apa yang telah berlaku kepada Petrus. 19 Herodes mencarinya dengan teliti, tetapi tidak berjaya menjumpainya. Maka dia menyoal para pengawal dan memerintahkan agar mereka dibawa untuk dihukum.+ Kemudian Herodes meninggalkan Yudea dan pergi ke Kaisarea. Dia tinggal di situ untuk suatu jangka masa.

20 Pada masa itu, Herodes marah terhadap penduduk Tirus dan Sidon. Maka mereka datang bersama-sama untuk menghadapnya kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung pada negeri Raja Herodes. Mula-mula mereka memujuk Blastus, pengurus rumah tangga raja, untuk membantu mereka. Kemudian mereka minta berdamai dengan Raja Herodes. 21 Pada suatu hari, semasa orang ramai berkumpul, Herodes mengenakan pakaian kebesarannya dan duduk di tempat pengadilannya lalu mula berucap. 22 Mereka yang berkumpul di situ berseru, “Ini suara tuhan, bukan suara manusia!” 23 Dengan serta-merta, malaikat Yehuwa* menyebabkan Herodes diserang penyakit kerana dia tidak memuliakan Tuhan. Akhirnya dia dimakan ulat lalu meninggal.

24 Firman Yehuwa* terus tersebar dan semakin ramai orang yang menjadi murid Yesus.+

25 Setelah Barnabas+ dan Saulus menyelesaikan tugas mereka untuk membantu saudara-saudara di Yerusalem,+ mereka membawa Yohanes+ yang juga dipanggil Markus lalu kembali ke Antiokhia.

13 Pada masa itu, ada beberapa orang nabi dan guru dalam sidang tempatan di Antiokhia.+ Mereka ialah Barnabas, Simeon yang digelar Si Hitam,* Lukius dari Kirene, Saulus, dan Menahem yang dididik bersama pemerintah daerah yang bernama Herodes. 2 Semasa mereka beribadat kepada Yehuwa* dan berpuasa, kuasa suci Tuhan berkata, “Pilihlah Barnabas dan Saulus+ khusus untuk aku, kerana ada kerja yang sudah aku tetapkan untuk mereka.”+ 3 Setelah mereka berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas Barnabas dan Saulus lalu mengutus mereka.

4 Maka mereka pun pergi ke Seleukia kerana diutus oleh kuasa suci Tuhan. Dari sana mereka belayar ke Pulau Siprus. 5 Setibanya di Salamis, mereka mula mengkhabarkan firman Tuhan di rumah-rumah ibadat orang Yahudi. Yohanes juga pergi bersama untuk membantu mereka.+

6 Selepas menjelajah seluruh pulau itu, mereka sampai di Pafos. Di situ mereka berjumpa dengan seorang lelaki Yahudi yang bernama Bar-Yesus. Dia seorang ahli sihir dan nabi palsu. 7 Dia bekerja untuk Sergius Paulus, seorang lelaki cerdik yang merupakan gabenor daerah* itu. Gabenor itu memanggil Barnabas dan Saulus datang kepadanya kerana dia benar-benar mahu mendengar firman Tuhan. 8 Tetapi Elimas,* ahli sihir itu, mula menentang mereka dan mencuba menghalang gabenor daerah itu daripada percaya kepada Tuan Yesus. (Nama Elimas bermaksud “ahli sihir.”) 9 Saulus, yang juga dipanggil Paulus, dipenuhi kuasa suci Tuhan. Dia menatap ahli sihir itu 10 dan berkata, “Hai kamu yang penuh dengan segala jenis tipu daya dan kejahatan, anak Iblis+ dan musuh kepada segala sesuatu yang benar, mengapakah kamu tidak berhenti memutarbelitkan haluan Yehuwa* yang benar? 11 Lihatlah! Tangan Yehuwa* akan menghukum kamu. Kamu akan menjadi buta dan tidak dapat melihat cahaya matahari buat suatu jangka waktu.” Pada saat itu juga, kabus tebal dan kegelapan menimpanya. Dia berjalan sambil meraba-raba mencari orang untuk menuntunnya. 12 Setelah gabenor daerah itu melihat apa yang berlaku, dia mula percaya kerana dia sangat mengagumi ajaran Yehuwa.*

13 Kemudian Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos dan tiba di Perga di Pamfilia. Tetapi Yohanes+ meninggalkan mereka lalu kembali ke Yerusalem.+ 14 Dari Perga, mereka meneruskan perjalanan dan tiba di Antiokhia yang terletak di Pisidia. Pada hari Sabat, mereka masuk ke dalam rumah ibadat+ lalu duduk di situ. 15 Setelah Hukum+ dan Ajaran Para Nabi selesai dibaca di hadapan umum, ketua-ketua rumah ibadat mengutus orang untuk berkata kepada mereka, “Saudara-saudara, jika kamu ada kata-kata galakan, beritahulah semua orang di sini.” 16 Maka Paulus berdiri lalu memberikan isyarat dengan tangannya dan berkata,

“Hai orang Israel dan kamu yang takut kepada Tuhan, dengarlah! 17 Tuhan orang Israel telah memilih nenek moyang kita dan meninggikan mereka semasa mereka tinggal sebagai orang asing di tanah Mesir. Tuhan membawa mereka keluar dari Mesir dengan tangan-Nya yang berkuasa.+ 18 Dia bersabar terhadap mereka selama kira-kira 40 tahun di padang belantara.+ 19 Selepas Dia memusnahkan tujuh bangsa di tanah Kanaan, Dia membahagikan negeri itu dan memberikannya kepada mereka sebagai warisan.+ 20 Semua itu berlaku selama kira-kira 450 tahun.

“Selepas itu, Dia memberi mereka hakim-hakim sehingga zaman Nabi Samuel.+ 21 Tetapi mereka kemudiannya menuntut seorang raja,+ dan Tuhan memberi mereka Saul anak Kish daripada suku Benyamin+ untuk menjadi raja selama 40 tahun. 22 Setelah Tuhan menyingkirkan Saul, Dia memilih Daud sebagai raja.+ Mengenai Daud, Tuhan memberikan kesaksian dengan berfirman, ‘Aku telah menemui Daud anak Isai.+ Dia ialah seorang lelaki yang menyenangkan hati-Ku.+ Dia akan melakukan segala kehendak-Ku.’ 23 Sesuai dengan janji-Nya, Tuhan telah memberi bangsa Israel seorang penyelamat daripada keturunan Daud, iaitu Yesus.+ 24 Sebelum Yesus tiba, Yohanes mengumumkan kepada semua orang Israel bahawa mereka perlu dibaptis sebagai lambang mereka sudah bertaubat.+ 25 Apabila Yohanes hampir menyelesaikan tugasnya, dia sering berkata, ‘Siapakah aku ini menurut pendapat kamu? Aku bukan dia. Tetapi lihatlah! Ada seseorang yang akan datang selepas aku, dan aku tidak layak untuk membuka tali kasutnya.’+

26 “Saudara-saudara daripada keturunan Abraham dan kamu semua yang takut kepada Tuhan, berita penyelamatan ini sudah disampaikan kepada kita.+ 27 Penduduk dan para pemerintah kota Yerusalem tidak menerimanya. Tetapi semasa mereka menghakiminya, terjadilah apa yang tertulis dalam Ajaran Para Nabi,+ yang dibaca dengan suara yang lantang pada setiap hari Sabat. 28 Walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa alasan untuk menjatuhkan hukuman mati atasnya,+ mereka menuntut supaya Pilatus menjatuhkan hukuman mati atasnya.+ 29 Setelah mereka melaksanakan semua yang tertulis tentang dia, mereka menurunkan dia daripada tiang* dan meletakkannya di dalam sebuah makam.+ 30 Tetapi Tuhan membangkitkannya daripada kematian,+ 31 dan buat suatu jangka waktu, dia menampakkan diri kepada mereka yang pernah menyertainya dari Galilea ke Yerusalem. Sekarang merekalah yang memberikan kesaksian tentangnya kepada orang ramai.+

32 “Jadi kami sedang memberitakan kepada kamu berita baik tentang janji yang diberikan kepada nenek moyang kita. 33 Dengan membangkitkan Yesus,+ Tuhan telah menunaikan janji itu dengan sepenuhnya kepada kita, iaitu keturunan mereka. Hal ini tepat seperti yang tertulis dalam mazmur yang kedua: ‘Engkaulah anak-Ku, dan hari ini, Aku menjadi bapamu.’+ 34 Tuhan telah membangkitkan dia daripada kematian dan dia tidak lagi memiliki tubuh yang akan reput. Tuhan mengesahkan hal ini semasa Dia berfirman, ‘Kasih setia yang Aku janjikan kepada Daud itu dapat dipercayai, dan Aku akan menunjukkan kasih setia itu kepada kamu.’+ 35 Sebuah mazmur yang lain juga menyatakan, ‘Engkau tidak akan membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia untuk reput.’+ 36 Daud melakukan kehendak Tuhan sepanjang hayatnya. Selepas Daud tidur dalam kematian, dia dimakamkan bersama nenek moyangnya dan tubuhnya memang reput.+ 37 Sebaliknya, Yesus telah dibangkitkan oleh Tuhan dan tubuhnya tidak reput.+

38 “Oleh itu, saudara-saudara, aku memberitakan kepada kamu bahawa Tuhan akan mengampunkan dosa kamu melalui lelaki ini.+ 39 Hukum Musa+ tidak dapat menghapuskan kesalahan kamu. Tetapi melalui lelaki ini, sesiapa sahaja yang percaya akan dinyatakan tidak bersalah.+ 40 Oleh itu, berwaspadalah supaya kata-kata berikut yang dinyatakan dalam Ajaran Para Nabi tidak menimpa kamu: 41 ‘Perhatikanlah, hai orang yang suka menghina! Kamu akan hairan dan kamu akan lenyap. Hal ini demikian kerana walaupun ada orang yang memberitahu kamu secara terperinci apa yang akan Aku lakukan pada zaman kamu, kamu pasti tidak akan percaya.’”+

42 Ketika Paulus dan Barnabas keluar dari situ, orang ramai merayu mereka untuk bercakap tentang perkara-perkara itu pada hari Sabat yang berikutnya. 43 Maka selepas perhimpunan di rumah ibadat itu bersurai, banyak orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi yang menyembah Tuhan mengikut Paulus dan Barnabas. Paulus dan Barnabas bercakap kepada mereka dan menasihati mereka untuk terus berpaut pada kebaikan hati Tuhan yang unggul.+

44 Pada hari Sabat yang berikutnya, hampir semua orang di kota itu berkumpul untuk mendengar firman Yehuwa.* 45 Apabila orang Yahudi melihat begitu ramai orang datang, mereka berasa sangat cemburu. Mereka mula menentang kata-kata Paulus, dan dengan itu mereka menghina Tuhan.+ 46 Tetapi dengan berani, Paulus dan Barnabas berkata kepada mereka, “Firman Tuhan memang perlu disampaikan kepada kamu terlebih dahulu.+ Tetapi memandangkan kamu menolak firman Tuhan, kamu menjadikan diri sendiri tidak layak untuk menerima kehidupan kekal. Jadi kami akan pergi kepada bangsa-bangsa lain+ 47 kerana inilah perintah yang diberikan oleh Yehuwa* kepada kami, ‘Aku sudah melantik engkau untuk menjadi cahaya bagi bangsa-bangsa lain, dan engkau akan membawa penyelamatan sampai ke hujung bumi.’”+

48 Ketika orang daripada bangsa-bangsa lain mendengar hal ini, mereka bersukacita dan memuji firman Yehuwa.* Semua orang yang memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal mula menjadi pengikut Yesus. 49 Firman Yehuwa* tersebar ke seluruh kawasan itu. 50 Tetapi orang Yahudi menghasut para pemimpin kota dan wanita-wanita terkemuka yang takut akan Tuhan sehingga mereka mula menganiaya+ dan membuang Paulus dan Barnabas ke luar kota. 51 Maka Paulus dan Barnabas mengebaskan debu daripada kaki mereka sebagai amaran lalu pergi ke Ikonium.+ 52 Murid-murid Yesus terus dipenuhi sukacita+ dan kuasa suci Tuhan.

14 Di Ikonium, Paulus dan Barnabas masuk ke dalam rumah ibadat orang Yahudi. Kata-kata mereka begitu berkesan sehingga banyak orang Yahudi dan orang Yunani mula percaya kepada Yesus. 2 Tetapi orang Yahudi yang tidak percaya menghasut orang daripada bangsa-bangsa lain untuk membenci Paulus dan Barnabas.+ 3 Oleh itu, mereka menghabiskan banyak masa di situ untuk mengkhabarkan berita tentang kebaikan hati Tuhan yang unggul. Dengan kuasa yang diberikan oleh Yehuwa,* mereka dapat bercakap dengan berani. Tuhan menunjukkan bahawa Dia senang hati dengan perkhabaran mereka dengan memberi mereka kuasa untuk melakukan mukjizat dan perkara-perkara yang ajaib.+ 4 Namun orang ramai di kota itu terbahagi kepada dua kumpulan, ada yang berpihak kepada orang Yahudi dan ada pula yang berpihak kepada para rasul itu. 5 Lalu orang daripada bangsa lain, orang Yahudi, dan pemimpin orang Yahudi, mencuba untuk menghina dan merejam Paulus dan Barnabas.+ 6 Apabila Paulus dan Barnabas diberitahu tentang hal itu, mereka melarikan diri ke Listra dan Derbe, iaitu kota-kota di Likaonia, dan ke kawasan di sekitarnya.+ 7 Mereka terus mengkhabarkan berita baik di situ.

8 Di Listra ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir dan dia tidak pernah berjalan. Dia duduk 9 sambil mendengarkan kata-kata Paulus. Ketika Paulus menatap dia dan melihat bahawa dia mempunyai iman untuk disembuhkan,+ 10 Paulus berkata dengan suara yang lantang, “Berdirilah!” Lelaki itu pun melompat bangun dan mula berjalan.+ 11 Apabila orang ramai melihat apa yang dilakukan oleh Paulus, mereka berseru dalam bahasa Likaonia, “Dewa-dewa sudah menjadi seperti manusia dan turun kepada kita!”+ 12 Mereka mula memberikan gelaran Zeus kepada Barnabas dan Hermes kepada Paulus, kerana Paulus lebih banyak bercakap. 13 Maka imam Dewa Zeus, yang kuilnya terletak di luar pintu kota, membawa lembu jantan dan lingkaran bunga ke pintu gerbang. Imam dan orang ramai ingin mempersembahkan korban-korban kepada Paulus dan Barnabas.

14 Apabila Rasul Barnabas dan Rasul Paulus mendengar tentang hal ini, mereka mengoyakkan jubah mereka lalu berlari kepada orang ramai sambil berseru, 15 “Mengapakah kamu melakukan semua ini? Kami pun manusia biasa seperti kamu semua!+ Kami mengkhabarkan berita baik kepada kamu supaya kamu berpaling daripada benda-benda yang sia-sia itu, lalu datang kepada Tuhan yang hidup. Dialah yang menciptakan langit, bumi, laut, dan semua yang ada di dalamnya.+ 16 Pada masa lampau, walaupun Tuhan membiarkan orang daripada semua bangsa untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki mereka,+ 17 Dia masih memberikan kesaksian+ tentang diri-Nya dengan melakukan apa yang baik. Dia memberi kamu hujan dari langit dan hasil tanaman yang banyak pada musimnya.+ Dia juga memberikan makanan yang berlimpah-limpah untuk memuaskan kamu, dan memenuhi hati kamu dengan sukacita.”+ 18 Walaupun mereka berkata demikian, mereka hampir tidak dapat mencegah orang ramai daripada mempersembahkan korban kepada mereka.

19 Beberapa orang Yahudi dari Antiokhia dan Ikonium tiba lalu menghasut orang ramai.+ Maka, mereka merejam Paulus dan mengheret dia ke luar kota kerana mereka menyangka bahawa dia sudah mati.+ 20 Tetapi apabila murid-murid Yesus berkumpul di sekelilingnya, dia bangun lalu masuk kembali ke kota itu. Keesokan harinya, dia dan Barnabas pergi ke Derbe.+ 21 Mereka mengkhabarkan berita baik di kota itu dan membantu ramai orang untuk menjadi murid. Setelah itu mereka kembali ke Listra, Ikonium, dan Antiokhia. 22 Mereka menguatkan hati murid-murid+ di situ dan menggalakkan mereka supaya terus beriman kepada Tuan Yesus. Mereka berkata, “Kita mesti mengalami banyak kesengsaraan untuk memasuki Kerajaan Tuhan.”+ 23 Selain itu, Paulus dan Barnabas melantik para penatua bagi setiap sidang.+ Paulus dan Barnabas berdoa dan berpuasa,+ lalu menyerahkan mereka kepada Yehuwa* kerana mereka percaya kepada-Nya.

24 Selepas itu, mereka melalui Pisidia dan tiba di Pamfilia.+ 25 Kemudian, mereka mengkhabarkan firman Tuhan di Perga, lalu pergi ke Atalia. 26 Dari situ mereka belayar ke Antiokhia. Dahulu di kota itu, saudara-saudara telah berdoa agar Tuhan mengurniai mereka kebaikan hati-Nya yang unggul supaya mereka dapat menjalankan tugas yang sekarang sudah diselesaikan.+

27 Apabila mereka tiba di Antiokhia, mereka mengumpulkan ahli-ahli sidang dan menceritakan banyak perkara yang sudah dilakukan oleh Tuhan melalui mereka. Paulus dan Barnabas juga memberitahu mereka bahawa Tuhan sudah membuka jalan* supaya orang daripada bangsa lain pun dapat beriman kepada Yesus.+ 28 Paulus dan Barnabas tinggal bersama murid-murid di situ untuk suatu jangka masa.

15 Beberapa orang yang datang dari Yudea mula mengajar saudara-saudara di Antiokhia. Mereka berkata, “Kamu tidak dapat diselamatkan selagi kamu tidak disunat mengikut Hukum Musa.”+ 2 Maka berlakulah perbalahan dan pertikaian yang agak besar antara Paulus dan Barnabas dengan mereka. Selepas itu, saudara-saudara mengaturkan agar Paulus, Barnabas, dan beberapa orang daripada kalangan mereka, berjumpa dengan para rasul dan penatua di Yerusalem+ mengenai pertikaian itu.

3 Setelah mereka ditemani oleh ahli-ahli sidang untuk sebahagian perjalanan, mereka meneruskan perjalanan melalui Fenisia dan Samaria. Di sana, mereka menceritakan secara terperinci bagaimana orang daripada bangsa-bangsa lain telah berpaling kepada Tuhan. Oleh itu, semua saudara di situ sangat bersukacita. 4 Apabila mereka tiba di Yerusalem, ahli-ahli sidang dan para rasul serta para penatua menyambut mereka dengan ramah, lalu mereka menceritakan perkara-perkara yang dilakukan oleh Tuhan melalui mereka. 5 Tetapi beberapa orang daripada golongan* Farisi yang sudah menjadi murid Yesus berdiri dan berkata, “Orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus perlu disunat dan diwajibkan mematuhi Hukum Musa.”+

6 Maka para rasul dan para penatua berkumpul untuk membincangkan hal tersebut. 7 Setelah lama berbincang, Petrus berdiri dan berkata, “Saudara-saudara, kamu semua tahu bahawa sebelum ini, Tuhan telah memilih aku daripada kalangan kamu supaya melalui aku, orang daripada bangsa-bangsa lain dapat mendengar ajaran tentang berita baik lalu percaya.+ 8 Tuhan yang mengetahui isi hati+ sudah membuktikan bahawa Dia berkenan kepada mereka dengan mengurniai mereka kuasa suci-Nya+ sebagaimana Dia memberikannya kepada kita. 9 Dia langsung tidak membeza-bezakan kita dengan mereka.+ Sebaliknya, Dia telah memurnikan hati mereka kerana mereka beriman.+ 10 Jadi, mengapakah kamu menguji Tuhan dengan mewajibkan murid-murid ini memikul beban berat,+ padahal kita sendiri dan nenek moyang kita pun tidak mampu memikulnya?+ 11 Kita percaya bahawa kita diselamatkan kerana kebaikan hati Tuan Yesus yang unggul.+ Mereka juga percaya akan hal yang sama.”+

12 Setelah Petrus berkata demikian, semua orang di situ terdiam. Kemudian, semua orang mula mendengar semasa Barnabas dan Paulus menceritakan segala mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Tuhan melalui mereka dalam kalangan bangsa-bangsa lain. 13 Selepas mereka selesai bercakap, Yakobus berkata, “Saudara-saudara, dengarlah. 14 Simeon*+ telah menghuraikan bagaimana Tuhan mula memperhatikan bangsa-bangsa lain untuk memilih orang daripada kalangan mereka supaya menjadi umat yang menyandang nama-Nya.+ 15 Hal ini sesuai dengan apa yang tertulis dalam Ajaran Para Nabi: 16 ‘Selepas itu, Aku akan kembali dan membangunkan semula khemah* Daud yang sudah roboh. Reruntuhannya akan Aku bina semula dan pulihkan, 17 supaya saki-baki orang dalam kalangan mereka dapat mencari Yehuwa* dengan bersungguh-sungguh bersama dengan orang dari segala bangsa, iaitu orang yang menyandang nama-Ku. Demikianlah yang difirmankan oleh Yehuwa,* yang melakukan semua perkara ini,+ 18 iaitu perkara yang sudah diketahui sejak purbakala.’+ 19 Oleh yang demikian, menurut pandanganku, janganlah kita menyusahkan orang daripada bangsa lain yang berpaling kepada Tuhan.+ 20 Sebaliknya, kita perlu menulis surat untuk memberitahu mereka supaya menjauhi apa sahaja yang dicemari oleh berhala,+ menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral,*+ menjauhi daging binatang yang mati dicekik,* dan menjauhi darah.+ 21 Sejak dahulu lagi, apa yang ditulis oleh Musa telah disebarkan dari kota ke kota, kerana kitabnya dibacakan di dalam rumah ibadat setiap hari Sabat.”+

22 Kemudian, para rasul dan penatua serta seluruh sidang membuat keputusan untuk memilih dua orang antara mereka dan mengutus mereka ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Oleh itu, Yudas yang dipanggil Barsabas, dan Silas+ telah dipilih. Merekalah yang mengambil pimpinan dalam kalangan saudara-saudara. 23 Surat yang dikirim melalui mereka berbunyi:

“Kepada saudara-saudara daripada bangsa lain di Antiokhia,+ Siria, dan Kilikia. Terimalah salam daripada para rasul dan penatua, iaitu saudara-saudara kamu. 24 Kami mendengar bahawa ada beberapa orang dari sini yang pergi kepada saudara sekalian dan mengatakan hal-hal yang menyebabkan saudara sekalian resah dan bingung,+ padahal kami tidak memberi mereka arahan untuk berkata demikian. 25 Oleh itu, kami dengan sebulat suara telah memutuskan untuk memilih dua orang dan mengutus mereka bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi kepada saudara sekalian. 26 Barnabas dan Paulus telah mempertaruhkan nyawa demi nama Tuan kita, Yesus Kristus.+ 27 Kami mengutus Yudas dan Silas supaya mereka juga dapat memberitahu saudara sekalian perkara yang tertulis dalam surat ini.+ 28 Kuasa suci Tuhan+ dan kami berpendapat bahawa saudara-saudara tidak perlu dibebani dengan hal-hal lain kecuali yang mustahak sahaja, iaitu 29 menjauhi apa sahaja yang dipersembahkan kepada berhala,+ menjauhi darah,+ menjauhi daging binatang yang mati dicekik,*+ dan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral.*+ Jika saudara sekalian sentiasa berwaspada dan menjauhkan diri daripada hal-hal ini, saudara-saudara akan sejahtera. Semoga saudara sekalian sihat selalu!”*

30 Maka, beberapa orang yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Mereka mengumpulkan semua murid Yesus di situ dan menyerahkan surat tersebut kepada mereka. 31 Setelah membaca surat yang menggalakkan itu, mereka bersukacita. 32 Yudas dan Silas, yang juga merupakan nabi, telah mengucapkan banyak kata-kata yang menggalakkan untuk meneguhkan saudara-saudara di situ.+ 33 Setelah mereka berdua menghabiskan beberapa waktu di sana, saudara-saudara di Antiokhia mengucapkan selamat jalan, lalu mereka kembali kepada orang yang mengutus mereka. 34* —— 35 Namun, Paulus dan Barnabas terus tinggal di Antiokhia untuk mengajar orang. Di situ, mereka telah mengumumkan berita baik tentang firman Yehuwa* bersama-sama banyak orang lain.

36 Beberapa lama kemudian, Paulus berkata kepada Barnabas, “Marilah kita kembali sekarang ke setiap kota di mana kita sudah menyampaikan firman Yehuwa,* untuk melihat keadaan saudara-saudara di situ.”+ 37 Barnabas berkeras hendak membawa Yohanes, yang juga dipanggil Markus,+ 38 tetapi Paulus berpendapat bahawa mereka tidak patut membawa Yohanes, kerana dia telah meninggalkan mereka semasa di Pamfilia dan tidak menjalankan tugas bersama-sama mereka.+ 39 Maka tercetuslah pertengkaran yang sengit antara Paulus dengan Barnabas,+ lalu mereka berpisah. Barnabas membawa Markus dan belayar ke Siprus. 40 Paulus pula memilih Silas. Mereka bertolak setelah saudara-saudara berdoa supaya Yehuwa* mengurniakan kebaikan hati-Nya yang unggul kepada Paulus.+ 41 Dia menjelajah seluruh Siria dan Kilikia untuk menguatkan sidang-sidang di situ.

16 Paulus tiba di Derbe dan kemudian dia pergi ke Listra.+ Di sana ada seorang murid yang bernama Timotius.+ Ibunya berbangsa Yahudi dan percaya kepada Yesus, tetapi bapanya berbangsa Yunani. 2 Timotius dipuji oleh saudara-saudara di Listra dan Ikonium. 3 Paulus menyatakan hasratnya untuk membawa Timotius sepanjang perjalanannya. Maka Paulus membawa Timotius dan menyunat dia kerana semua orang Yahudi di tempat-tempat yang hendak dikunjungi oleh Paulus+ tahu bahawa bapa Timotius berbangsa Yunani. 4 Semasa mereka pergi dari kota ke kota, mereka menyampaikan perintah para rasul dan para penatua di Yerusalem kepada saudara-saudara di situ agar mereka menurut perintah itu.+ 5 Oleh itu, iman orang di sidang-sidang itu semakin teguh, dan setiap hari, bilangan mereka semakin bertambah.

6 Mereka lalu di Frigia dan negeri Galatia+ kerana kuasa suci Tuhan melarang mereka menyebarkan firman Tuhan di daerah Asia. 7 Apabila mereka tiba di Misia, mereka berusaha untuk pergi ke Bitinia.+ Tetapi menerusi kuasa suci Tuhan, Yesus melarang mereka untuk pergi ke situ. 8 Maka mereka melalui Misia dan pergi ke Troas. 9 Pada malam itu, Paulus mendapat suatu penglihatan. Dia nampak seorang lelaki dari Makedonia berdiri sambil merayu kepadanya, “Datanglah ke Makedonia dan bantulah kami.” 10 Sebaik sahaja Paulus mendapat penglihatan itu, kami membuat kesimpulan bahawa Tuhan telah memanggil kami untuk menyebarkan berita baik kepada orang di situ. Oleh itu, kami pun mencari jalan untuk pergi ke Makedonia.

11 Kami belayar dari Troas dan terus pergi ke Samotrake. Pada hari berikutnya, kami sampai di Neapolis. 12 Dari situ, kami pergi ke Filipi.+ Filipi ialah tanah jajahan Roma dan merupakan kota utama di daerah Makedonia. Kami tinggal di kota itu buat suatu jangka waktu. 13 Pada hari Sabat, kami pergi ke kawasan tepi sungai di luar gerbang kota. Kami berfikir bahawa di situ ada tempat orang berdoa. Jadi kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ. 14 Salah seorang wanita yang mendengar kata-kata Paulus ialah Lidia. Dia penyembah Tuhan yang berasal dari kota Tiatira+ dan dia seorang penjual kain dan pakaian ungu. Yehuwa* membuka hati Lidia dengan sepenuhnya agar dia dapat menumpukan perhatian kepada kata-kata Paulus. 15 Selepas Lidia dan seluruh rumah tangganya dibaptis,+ dia menggesa kami, “Jika saudara-saudara berasa bahawa aku setia kepada Yehuwa,* datanglah dan tinggallah di rumahku.” Dia mendesak kami untuk datang.

16 Pernah sekali, ketika kami dalam perjalanan ke tempat orang berdoa, kami bertemu dengan seorang hamba perempuan. Dia dirasuk roh jahat yang membolehkannya meramalkan masa depan.+ Oleh itu, dia membawa banyak keuntungan kepada pemilik-pemiliknya. 17 Perempuan itu asyik mengikut Paulus dan kami sambil berseru, “Mereka hamba Tuhan Yang Maha Tinggi,+ yang memberitahu kamu bagaimana kamu dapat diselamatkan.” 18 Dia terus berbuat demikian selama berhari-hari sehingga Paulus jemu dengannya. Maka Paulus berpaling dan berkata kepada roh itu, “Atas nama Yesus Kristus, aku memerintahkan kamu untuk keluar daripada perempuan ini!” Pada saat itu juga, roh jahat itu keluar daripadanya.+

19 Apabila pemilik-pemiliknya nampak bahawa peluang mereka untuk mendapat keuntungan telah hilang,+ mereka menangkap Paulus dan Silas lalu mengheret mereka ke tempat awam* untuk dihadapkan kepada para pemerintah.+ 20 Mereka membawa Paulus dan Silas kepada pemerintah-pemerintah kota itu dan berkata, “Kedua-dua orang Yahudi ini mencetuskan kekacauan yang besar di kota kita.+ 21 Mereka menyebarkan adat istiadat yang tidak boleh kita terima atau amalkan kerana kita orang Roma.” 22 Orang ramai pun bangkit menyerang mereka. Pemerintah-pemerintah kota itu mengoyakkan jubah Paulus dan Silas lalu memerintahkan agar mereka dipukul dengan kayu.+ 23 Setelah dipukul berkali-kali, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Penjaga penjara diarahkan untuk menjaga mereka dengan ketat.+ 24 Setelah menerima arahan sedemikian, dia menahan mereka di dalam bilik penjara yang paling dalam dan mengenakan pasung pada kaki mereka.

25 Lebih kurang pada waktu tengah malam, Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan lagu untuk memuji Tuhan.+ Tahanan-tahanan lain mendengar mereka. 26 Tiba-tiba, gempa bumi yang dahsyat berlaku sehingga asas penjara itu bergoncang. Dalam sekelip mata, semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua tahanan pun terlepas.+ 27 Apabila penjaga penjara itu terjaga daripada tidur, dia mendapati pintu-pintu penjara terbuka. Dia menyangka bahawa tahanan-tahanan di situ telah melarikan diri. Maka dia menghunuskan pedangnya dan mahu membunuh diri.+ 28 Tetapi Paulus berseru dengan kuat, “Janganlah bunuh diri! Kami semua masih di sini.” 29 Penjaga penjara itu meminta orang untuk membawa lampu. Kemudian dia berlari ke dalam. Dengan gementar, dia berlutut di depan Paulus dan Silas. 30 Selepas itu, penjaga penjara itu membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus aku lakukan supaya diselamatkan?” 31 Mereka berkata, “Percayalah kepada Tuan Yesus lalu kamu dan rumah tanggamu akan diselamatkan.”+ 32 Kemudian mereka berdua menyampaikan firman Yehuwa* kepadanya dan seluruh rumah tangganya. 33 Pada malam itu juga, dia membawa Paulus dan Silas ke suatu tempat untuk membasuh luka-luka mereka. Lalu tanpa membuang masa, dia dan seisi rumah tangganya dibaptis.+ 34 Selepas itu, dia membawa mereka ke rumahnya dan menghidangkan makanan kepada mereka. Dia bersama seluruh rumah tangganya menikmati sukacita yang besar kerana dia sekarang sudah percaya kepada Tuhan.

35 Apabila hari sudah siang, para pemerintah kota itu menghantar pengawal-pengawal dengan pesanan berikut: “Bebaskan mereka.” 36 Pesanan itu disampaikan oleh penjaga penjara itu kepada Paulus. Dia berkata, “Para pemerintah kota sudah mengutus orang untuk membebaskan tuan berdua. Maka keluarlah sekarang dan pergilah dengan damai.” 37 Tetapi Paulus berkata kepada mereka, “Mereka telah memukul kami di depan orang ramai lalu memasukkan kami ke dalam penjara tanpa diadili, walaupun kami warganegara Roma.+ Sekarang, adakah mereka mahu menyuruh kami pergi dengan diam-diam? Tidak! Biarlah mereka sendiri yang datang dan membawa kami keluar.” 38 Para pengawal melaporkan kata-kata itu kepada pemerintah-pemerintah kota itu. Apabila mereka mendengar bahawa Paulus dan Silas ialah warganegara Roma, mereka menjadi takut.+ 39 Oleh itu mereka datang dan meminta maaf kepada Paulus dan Silas lalu membawa mereka keluar dari penjara. Kemudian mereka meminta Paulus dan Silas meninggalkan kota itu. 40 Tetapi Paulus dan Silas meninggalkan penjara itu lalu pergi ke rumah Lidia. Mereka berjumpa dengan saudara-saudara di situ, dan setelah menggalakkan mereka,+ Paulus dan Silas berangkat.

17 Mereka meneruskan perjalanan melalui Amfipolis dan Apolonia lalu tiba di Tesalonika.+ Di situ terdapat sebuah rumah ibadat orang Yahudi. 2 Seperti yang biasa dilakukan oleh Paulus,+ dia memasuki rumah ibadat. Selama tiga hari Sabat berturut-turut, dia menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk berbincang* dengan orang di situ.+ 3 Dia menjelaskan dan mengutip ayat-ayat untuk membuktikan bahawa Kristus harus menderita+ dan dibangkitkan daripada kematian.+ Paulus berkata kepada mereka, “Yesus yang aku khabarkan kepada kamu ialah Kristus.” 4 Hasilnya, sebilangan daripada mereka percaya lalu bergaul dengan Paulus dan Silas,+ begitu juga dengan ramai orang Yunani yang menyembah Tuhan dan ramai wanita yang terkemuka.

5 Tetapi orang Yahudi berasa cemburu.+ Maka mereka mengumpulkan para penjahat yang merayau-rayau di tempat awam* dan membentuk sekumpulan perusuh. Mereka menimbulkan kekacauan di kota dan menyerbu rumah Yason, kerana ingin membawa Paulus dan Silas kepada kumpulan perusuh itu. 6 Apabila mereka tidak menjumpai Paulus dan Silas, mereka mengheret Yason dan beberapa orang saudara kepada para pemerintah kota lalu berseru, “Dua orang lelaki yang menimbulkan masalah di serata tempat sudah datang ke sini,+ 7 dan Yason telah menyambut mereka sebagai tetamu. Semua orang ini menentang perintah Kaisar.* Mereka mengatakan bahawa ada seorang raja yang lain, iaitu Yesus.”+ 8 Apabila orang ramai dan para pemerintah kota mendengar kata-kata itu, timbullah kegemparan dalam kalangan mereka. 9 Setelah ikat jamin dibayar, barulah Yason dan saudara-saudara lain dibebaskan.

10 Pada malam itu juga, saudara-saudara menghantar Paulus dan Silas ke Berea. Setibanya di situ, mereka memasuki rumah ibadat orang Yahudi. 11 Fikiran orang di situ lebih terbuka daripada fikiran orang di Tesalonika, kerana mereka sangat sudi menerima firman Tuhan. Setiap hari, mereka mengkaji Ayat-Ayat Suci dengan teliti untuk memastikan sama ada apa yang didengar oleh mereka itu benar atau tidak. 12 Oleh itu, ramai antara mereka percaya kepada Yesus, begitu juga dengan ramai lelaki dan wanita Yunani yang terkemuka. 13 Tetapi apabila orang Yahudi dari Tesalonika mendapat tahu bahawa Paulus juga mengisytiharkan firman Tuhan di Berea, mereka pergi ke situ untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan rusuhan.+ 14 Maka saudara-saudara di situ segera menghantar Paulus ke kawasan persisiran pantai,+ tetapi Silas dan Timotius tetap tinggal di Berea. 15 Apabila orang yang menemani Paulus membawanya sampai ke Atena, Paulus menyuruh mereka memberitahu Silas dan Timotius+ agar datang kepadanya secepat mungkin. Selepas itu, mereka pun beredar.

16 Semasa Paulus menunggu mereka di Atena, dia berasa geram kerana melihat kota itu dipenuhi dengan berhala. 17 Oleh itu, dia pergi ke rumah ibadat dan mula berbincang* dengan orang Yahudi dan orang lain yang menyembah Tuhan. Dia juga berbuat demikian dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya di tempat awam tiap-tiap hari. 18 Tetapi beberapa orang ahli falsafah dari golongan Epikuros dan Stoik mula berdebat dengannya. Ada yang berkata, “Apakah yang hendak disampaikan oleh orang yang kuat membebel ini?” Yang lain berkata, “Nampaknya dia bercakap tentang dewa dewi bangsa asing.” Mereka berkata demikian kerana Paulus mengisytiharkan berita baik tentang Yesus dan tentang pembangkitan.+ 19 Oleh itu, mereka membawanya ke Areopagus dan berkata, “Bolehkah kami tahu tentang ajaran baharu yang kamu sampaikan itu? 20 Beberapa perkara yang kamu kemukakan itu kedengaran aneh, dan kami ingin mengetahui maknanya.” 21 Sebenarnya semua orang Atena dan orang asing yang tinggal di situ* suka menghabiskan masa lapang mereka untuk mendengar atau menceritakan sesuatu yang baharu. 22 Paulus berdiri di tengah-tengah Areopagus+ lalu berkata,

“Orang Atena sekalian, menurut pemerhatianku, kamu semua nampaknya sangat alim dalam segala hal. Berbanding orang lain, kamu lebih takut kepada dewa dewi.+ 23 Misalnya, semasa aku berjalan di kota kamu, aku meneliti apa yang kamu puja dan mendapati sebuah mazbah. Pada mazbah itu tertulis ‘Kepada Tuhan yang Tidak Dikenali.’ Maka sekarang, aku hendak memberitahu kamu semua tentang Tuhan ini, iaitu Tuhan yang kamu sembah tetapi tidak kamu kenal. 24 Tuhan yang menjadikan dunia ini dan segala yang ada di dalamnya, Dialah Tuan langit dan bumi.+ Dia tidak tinggal di dalam rumah yang dibina dengan tangan manusia.+ 25 Dia juga tidak perlu dilayani oleh manusia, kerana Dia sendirilah yang memberikan kehidupan dan nafas serta segala sesuatu kepada semua orang.+ 26 Daripada seorang manusia,+ Dia menjadikan semua bangsa supaya mereka menduduki seluruh muka bumi.+ Dia juga menetapkan waktu dan menentukan batas tempat tinggal manusia,+ 27 supaya mereka mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jika mereka berbuat demikian, mereka pasti akan menemui Tuhan,+ kerana Dia sebenarnya tidak jauh daripada kita masing-masing. 28 Kita hidup, bergerak, dan wujud kerana Dia. Beberapa orang penyair kamu juga berkata, ‘Kita semua ialah anak-Nya.’

29 “Memandangkan kita anak-anak Tuhan,+ kita tidak patut berfikir bahawa Tuhan adalah seperti hasil seni reka manusia yang diperbuat daripada emas, perak, atau batu.+ 30 Sebelum ini, orang tidak mengenal Tuhan,+ tetapi Dia tidak menyalahkan mereka. Kini, Dia mengumumkan kepada semua orang di merata tempat bahawa mereka harus bertaubat. 31 Hal ini demikian kerana Dia sudah menetapkan hari untuk menghakimi seluruh dunia+ dengan adil melalui seorang lelaki yang telah dilantik-Nya. Dia telah membangkitkan lelaki itu daripada kematian sebagai jaminan kepada semua manusia bahawa hari itu pasti tiba.”+

32 Apabila orang di situ mendengar bahawa orang mati akan dibangkitkan, ada yang mula mengolok-olokkan Paulus.+ Namun, yang lain berkata, “Kami akan mendengar kamu bercakap tentang hal ini pada kesempatan lain.” 33 Oleh itu, Paulus meninggalkan mereka, 34 tetapi beberapa orang telah mengikutnya lalu menjadi pengikut Yesus. Antara mereka termasuk seorang hakim di mahkamah Areopagus yang bernama Dionisius, dan seorang wanita yang bernama Damaris, serta beberapa orang yang lain.

18 Setelah itu, Paulus meninggalkan Atena dan pergi ke Korintus. 2 Di situ dia berjumpa dengan seorang lelaki Yahudi yang bernama Akwila,+ yang dilahirkan di Pontus. Akwila baru datang dari Italia bersama isterinya Priskila, kerana Klaudius telah memerintahkan semua orang Yahudi untuk meninggalkan Roma. Paulus melawat mereka 3 lalu tinggal di rumah mereka dan bekerja bersama mereka. Hal ini demikian kerana Akwila dan Priskila mempunyai pekerjaan yang sama dengannya,+ iaitu membuat khemah. 4 Setiap hari Sabat,+ Paulus akan menyampaikan ceramah* di dalam rumah ibadat+ untuk meyakinkan orang Yahudi dan orang Yunani supaya mempercayai perkhabarannya.

5 Apabila Silas+ dan Timotius+ tiba dari Makedonia, Paulus menggunakan seluruh masanya untuk mengkhabarkan firman Tuhan. Dia memberikan kesaksian kepada orang Yahudi untuk membuktikan bahawa Yesus ialah Kristus.+ 6 Tetapi mereka terus menentang dan mencemuh Paulus. Oleh itu, Paulus mengebaskan pakaiannya+ dan berkata, “Aku tidak bertanggungjawab jika kamu tidak diselamatkan.+ Kamu sendirilah yang bertanggungjawab.+ Mulai sekarang, aku akan pergi kepada orang daripada bangsa lain.”+ 7 Lalu Paulus beredar dari sana* dan pergi ke rumah seorang lelaki yang bernama Titius Yustus. Dia penyembah Tuhan dan rumahnya terletak bersebelahan rumah ibadat. 8 Krispus,+ ketua rumah ibadat itu, dan seluruh rumah tangganya percaya kepada Tuan Yesus. Banyak orang di Korintus yang mendengar berita baik juga mula percaya kepada Yesus lalu dibaptis. 9 Pada suatu malam dalam suatu penglihatan, Tuan Yesus berkata kepada Paulus, “Janganlah takut! Teruslah bercakap dan janganlah putus asa, 10 kerana aku menyertai kamu.+ Tiada sesiapa pun yang akan menyerang dan mencederakan kamu, kerana ramai orang di kota ini milik aku.” 11 Maka selama satu tahun setengah Paulus tinggal di situ dan mengajarkan firman Tuhan kepada orang ramai.

12 Semasa Galio menjadi gabenor daerah* Akhaya, orang Yahudi bersatu padu untuk menyerang Paulus dan membawanya ke tempat pengadilan. 13 Mereka berkata, “Lelaki ini mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Tuhan dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang kami.” 14 Tetapi apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata kepada orang Yahudi, “Jika lelaki ini berbuat salah atau melakukan jenayah yang berat, memang patut aku mendengarkan kamu dengan sabar. 15 Namun jika hal ini merupakan perbalahan tentang kata-kata, gelaran, dan hukum kamu,+ kamu sendirilah yang harus menyelesaikannya. Aku tidak mahu mengadili perkara-perkara sebegini!” 16 Lalu Galio mengusir mereka dari tempat pengadilan itu. 17 Oleh itu, mereka menangkap Sostenes,+ ketua rumah ibadat itu, dan mula memukulnya di hadapan tempat pengadilan. Tetapi Galio sama sekali tidak mahu melibatkan diri dalam semua hal itu.

18 Setelah Paulus tinggal di situ untuk suatu jangka waktu, dia mengucapkan selamat tinggal kepada saudara-saudara di situ lalu belayar ke Siria bersama Priskila dan Akwila. Semasa dia berada di Kenkrea,+ Paulus memotong pendek rambutnya sebagai tanda bahawa dia telah berikrar kepada Tuhan. 19 Apabila mereka tiba di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila lalu memasuki rumah ibadat untuk berbincang* dengan orang Yahudi.+ 20 Mereka asyik meminta Paulus untuk tinggal lebih lama di situ, tetapi Paulus tidak mahu. 21 Dia mengucapkan selamat tinggal dan berkata kepada mereka, “Jika Yehuwa* mengizinkan, aku akan kembali kepada kamu.” Kemudian, dia belayar dari Efesus 22 ke Kaisarea. Selepas itu, dia pergi ke Yerusalem untuk melawat sidang di situ, lalu dia pergi ke Antiokhia.+

23 Setelah Paulus tinggal beberapa lama di situ, dia bertolak dan pergi dari kota ke kota di negeri Galatia dan Frigia+ untuk meneguhkan semua murid Yesus.+

24 Seorang lelaki Yahudi yang bernama Apolos,+ yang lahir di Aleksandria, tiba di Efesus. Dia pandai berkata-kata, sangat memahami Ayat-Ayat Suci, 25 dan pernah diajar tentang jalan Yehuwa.* Dengan semangat membara yang diberikan oleh kuasa suci Tuhan, dia bercakap dan mengajar tentang Yesus dengan tepat. Tetapi dia hanya mempunyai pengetahuan tentang pembaptisan Yohanes. 26 Dengan berani Apolos mula bercakap di rumah ibadat. Apabila Priskila dan Akwila+ mendengar dia, mereka mengajaknya untuk menyertai mereka lalu menjelaskan jalan Tuhan dengan lebih tepat lagi kepadanya. 27 Kemudian, Apolos mahu pergi ke Akhaya. Oleh itu, saudara-saudara menulis surat kepada murid-murid di sana supaya mereka menyambut Apolos dengan ramah. Apabila dia tiba di sana, dia banyak membantu mereka yang telah percaya kepada Yesus melalui kebaikan hati Tuhan yang unggul. 28 Dengan penuh semangat, dia mengemukakan bukti yang amat kukuh kepada orang ramai bahawa ajaran orang Yahudi salah. Dia menunjukkan Ayat-Ayat Suci kepada mereka untuk membuktikan bahawa Yesus ialah Kristus.+

19 Semasa Apolos+ berada di Korintus, Paulus mengadakan perjalanan melalui kawasan pedalaman lalu tiba di Efesus.+ Di sana dia bertemu dengan beberapa orang murid Yesus. 2 Dia bertanya kepada mereka, “Semasa kamu menjadi pengikut Yesus, adakah kamu menerima kuasa suci Tuhan?”+ Mereka menjawab, “Tidak. Kami tidak pernah mendengar tentang kuasa suci Tuhan.” 3 Maka dia bertanya, “Jika begitu, kamu dibaptis dengan pembaptisan apa?” Mereka menjawab, “Dengan pembaptisan Yohanes.”+ 4 Paulus berkata, “Pembaptisan Yohanes dilakukan sebagai lambang bahawa orang sudah bertaubat,+ dan dia menyuruh mereka untuk percaya kepada Yesus,+ iaitu orang yang datang selepas dia.” 5 Setelah mendengar kata-kata itu, mereka dibaptis atas nama Tuan Yesus. 6 Apabila Paulus meletakkan tangannya ke atas mereka, mereka menerima kuasa suci Tuhan+ dan mula bercakap dalam bahasa-bahasa lain serta bernubuat.+ 7 Jumlah lelaki di situ kira-kira 12 orang.

8 Selama tiga bulan, Paulus masuk ke dalam rumah ibadat+ dan bercakap dengan berani. Dia menyampaikan ceramah tentang Kerajaan Tuhan dan berbincang* dengan orang untuk meyakinkan mereka.+ 9 Tetapi beberapa orang dalam kalangan mereka degil dan enggan percaya. Mereka bahkan bercakap buruk tentang Haluan Tuan+ di hadapan orang ramai. Oleh itu, Paulus meninggalkan mereka+ dan membawa murid-murid Yesus dengannya. Tiap-tiap hari, Paulus menyampaikan ceramah di dewan sekolah Tiranus. 10 Paulus berbuat demikian selama dua tahun sehingga semua penduduk di daerah Asia, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, telah mendengar firman Tuhan.

11 Tuhan terus melakukan mukjizat-mukjizat yang hebat melalui Paulus.+ 12 Bahkan ada orang membawa sapu tangan dan kain yang pernah menyentuh badan Paulus kepada orang yang sakit,+ lalu penyakit mereka hilang, dan roh-roh jahat juga keluar.+ 13 Namun, sesetengah orang Yahudi yang mengembara ke merata tempat untuk mengusir roh-roh jahat juga mencuba menggunakan nama Tuan Yesus untuk mengusir roh jahat. Mereka berkata kepada orang yang dirasuk, “Dengan nama Yesus yang diberitakan oleh Paulus, aku memerintahkan kamu untuk keluar.”+ 14 Ada seorang ketua imam Yahudi yang bernama Skewa. Dia mempunyai tujuh orang anak lelaki yang berbuat demikian. 15 Tetapi roh jahat berkata kepada mereka, “Yesus aku kenal,+ Paulus pun aku kenal,+ tetapi siapakah kamu?” 16 Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menerkam mereka dan mengalahkan mereka seorang demi seorang, sehingga mereka melarikan diri dari rumah itu dalam keadaan telanjang dan luka-luka. 17 Semua orang Yahudi dan orang Yunani yang tinggal di Efesus menjadi takut selepas mengetahui peristiwa itu, dan nama Tuan Yesus terus diagungkan. 18 Ramai orang yang sudah menjadi pengikut Yesus datang dan mengakui perbuatan jahat mereka secara terbuka. 19 Tambahan lagi, sebilangan besar orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka dan membakarnya di hadapan semua orang.+ Selepas menghitung nilai buku-buku itu, mereka mendapati bahawa nilainya 50,000 keping wang perak. 20 Maka, dengan cara yang luar biasa, firman Yehuwa* terus tersebar dan menjadi semakin berkuasa.+

21 Selepas hal-hal ini berlaku, Paulus membuat keputusan untuk pergi ke Yerusalem+ setelah dia pergi ke Makedonia+ dan Akhaya. Dia berkata, “Selepas aku pergi ke Yerusalem, aku mesti pergi ke Roma juga.”+ 22 Paulus mengutus dua orang pembantunya, iaitu Timotius+ dan Erastus,+ ke Makedonia tetapi dia sendiri tinggal di daerah Asia buat suatu jangka waktu.

23 Pada masa itu timbullah kekacauan yang besar+ sehubungan dengan Haluan Tuan.+ 24 Ada seorang tukang perak yang bernama Demetrius. Dia membuat model-model kuil Dewi Artemis daripada perak dan membawa keuntungan yang besar kepada rakan-rakan sekerjanya.+ 25 Dia mengumpulkan mereka dan tukang perak lain lalu berkata, “Sahabat-sahabatku, kamu semua tahu bahawa kekayaan kita datang daripada perniagaan ini. 26 Kamu sendiri sudah melihat dan mendengar bahawa Paulus berjaya meyakinkan banyak orang di Efesus+ dan di hampir seluruh daerah Asia untuk percaya bahawa tuhan-tuhan yang dibuat dengan tangan bukanlah tuhan yang sebenar.+ 27 Hal itu berbahaya kerana perniagaan kita akan dikutuk. Bukan itu sahaja, kuil Dewi Artemis yang agung akan dipandang hina, dan Dewi Artemis yang disembah oleh semua orang di daerah Asia dan di seluruh dunia tidak akan dipuji lagi.” 28 Selepas mendengar hal-hal itu, mereka menjadi sangat marah dan mula menjerit, “Agunglah Artemis, dewi orang Efesus!”

29 Maka tercetuslah rusuhan di dalam kota itu. Para perusuh sama-sama bergegas ke dalam teater sambil mengheret Gayus dan Aristarkhus,+ orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya. 30 Paulus sendiri mahu masuk ke dalam teater itu dan menghadap orang ramai, tetapi murid-murid Yesus tidak mengizinkannya. 31 Bahkan beberapa orang yang menganjurkan perayaan dan pertandingan, yang bersahabat dengan Paulus, mengirim pesanan kepadanya dan merayunya supaya tidak mempertaruhkan nyawa dengan memasuki teater itu. 32 Sebenarnya, keadaan di perhimpunan itu sangat kacau-bilau. Ada yang berteriak begini dan ada pula yang berteriak begitu. Kebanyakan orang tidak tahu mengapa mereka berkumpul di situ. 33 Ada dalam kalangan orang ramai yang membawa Aleksander keluar dan orang Yahudi menolak dia ke depan. Lalu Aleksander memberikan isyarat dengan tangannya kerana ingin membela diri di hadapan orang ramai. 34 Tetapi apabila mereka nampak bahawa dia ialah orang Yahudi, mereka sama-sama berteriak selama kira-kira dua jam, “Agunglah Artemis, dewi orang Efesus!”

35 Akhirnya pentadbir kota itu berjaya menenteramkan orang ramai. Dia berkata, “Hai penduduk Efesus, siapakah dalam kalangan umat manusia yang tidak tahu bahawa Efesus ialah kota yang menjaga kuil Artemis yang agung? Siapakah yang tidak tahu bahawa Efesus ialah kota yang menjaga berhala yang jatuh dari langit? 36 Memandangkan hal-hal ini tidak dapat dinafikan, kamu patut bertenang dan tidak bertindak secara terburu-buru. 37 Kamu telah membawa kedua-dua orang ini ke sini walaupun mereka tidak merompak kuil atau menghina dewi kita. 38 Jika Demetrius+ dan tukang-tukang perak mahu menuduh orang, mereka boleh membawa orang itu untuk menghadap para gabenor daerah* pada hari-hari perbicaraan mahkamah. Pada masa itu, biarlah mereka mendakwa satu sama lain. 39 Namun, jika ada apa-apa lagi yang kamu kehendaki, hal itu mesti diputuskan dalam perhimpunan rasmi. 40 Peristiwa yang berlaku hari ini sangat berbahaya kepada kita, kerana kita boleh didakwa mencetuskan pemberontakan. Kita tidak mempunyai alasan untuk menunjukkan mengapa kumpulan perusuh ini menyebabkan huru-hara.” 41 Setelah berkata demikian, pentadbir kota itu menyuruh mereka pulang.

20 Setelah keadaan yang huru-hara di situ reda, Paulus memanggil murid-murid Yesus. Dia menggalakkan mereka dan mengucapkan selamat tinggal. Kemudian, dia memulakan perjalanannya ke Makedonia. 2 Dia mengunjungi kawasan-kawasan di situ dan mengucapkan kata-kata galakan kepada murid-murid Yesus. Kemudian dia tiba di Yunani 3 dan tinggal di situ selama tiga bulan. Tetapi semasa dia hendak belayar ke Siria, orang Yahudi berkomplot untuk membunuhnya.+ Jadi, dia membuat keputusan untuk kembali melalui Makedonia. 4 Sopater anak Pirus dari Berea pergi bersamanya, begitu juga dengan Aristarkhus+ dan Sekundus dari Tesalonika, Gayus dari Derbe, Tikhikus+ dan Trofimus+ dari daerah Asia, serta Timotius.+ 5 Mereka pergi terlebih dahulu dan menunggu kami di Troas. 6 Selepas Perayaan Roti Tidak Beragi,+ kami belayar dari Filipi. Dalam masa lima hari kami sampai ke Troas dan bertemu dengan mereka. Kami tinggal di situ selama tujuh hari.

7 Semasa kami berkumpul untuk makan pada hari Ahad,* Paulus mula berucap, kerana dia akan berangkat pada keesokan harinya. Dia terus berucap sehingga tengah malam. 8 Oleh itu, ada banyak pelita di tempat kami berkumpul, iaitu di dalam bilik di tingkat atas. 9 Seorang pemuda yang bernama Eutikhus duduk di tingkap. Semasa Paulus sedang berucap, pemuda itu terlelap lalu terjatuh dari tingkat ketiga. Apabila dia diangkat, dia sudah mati. 10 Paulus turun ke bawah lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu dan memeluknya+ sambil berkata, “Janganlah bersedih lagi. Dia sudah hidup semula.”+ 11 Kemudian Paulus naik ke atas lalu memecahkan roti dan mula makan. Dia terus berbual dengan mereka sehingga matahari terbit, kemudian dia berangkat. 12 Mereka membawa pemuda yang hidup itu pulang dan mereka berasa sangat lega.

13 Paulus mahu berjalan kaki ke Asos. Maka seperti yang telah disuruhnya, kami menaiki kapal lalu belayar ke situ terlebih dahulu dan bercadang untuk menyambutnya naik ke atas kapal. 14 Apabila Paulus tiba di Asos, kami membawanya naik ke kapal lalu pergi ke Metilene. 15 Keesokan harinya, kami belayar dari sana dan tiba berhampiran Khios. Pada hari yang berikutnya, kami singgah di Samos, dan sehari kemudian kami tiba di Miletus. 16 Paulus tidak mahu menghabiskan masa di daerah Asia kerana dia bergegas hendak sampai di Yerusalem+ pada hari Perayaan Pentakosta. Jadi, dia membuat keputusan untuk terus belayar tanpa singgah di Efesus.+

17 Namun, dari Miletus, dia menghantar pesanan ke Efesus untuk memanggil para penatua sidang di sana. 18 Apabila mereka tiba, Paulus berkata, “Kamu semua tahu cara hidupku selama aku bersama kamu. Sejak hari pertama aku menjejakkan kaki ke daerah Asia,+ 19 aku sentiasa mengabdikan diri kepada Tuan dengan rendah hati.+ Aku mencucurkan air mata dan mengalami cubaan disebabkan rancangan jahat orang Yahudi. 20 Aku tidak teragak-agak untuk memberitahu kamu tentang semua perkara yang bermanfaat untuk kamu. Aku selalu mengajar kamu di depan umum+ dan dari rumah ke rumah.+ 21 Aku memberikan kesaksian yang menyeluruh, baik kepada orang Yahudi mahupun orang Yunani, bahawa mereka harus bertaubat,+ berpaling kepada Tuhan, dan beriman kepada Tuan kita, Yesus.+ 22 Sekarang, lihatlah! Walaupun aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku di Yerusalem, aku akan pergi ke situ kerana didorong oleh kuasa suci Tuhan. 23 Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, kuasa suci Tuhan berulang kali memberi aku amaran bahawa aku bakal dipenjarakan dan mengalami kesengsaraan.+ 24 Namun begitu, aku tidak menganggap nyawaku penting, asalkan aku dapat berlari dalam perlumbaan ini sampai ke akhir+ dan menyelesaikan kerja suci yang aku terima daripada Tuan Yesus, iaitu untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang berita baik mengenai kebaikan hati Tuhan yang unggul.

25 “Aku telah menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan kepada kamu. Namun, sekarang aku tahu bahawa tiada seorang pun antara kamu akan melihat aku lagi. 26 Oleh itu, aku memanggil kamu hari ini untuk menjadi saksi bahawa aku bersih daripada darah semua orang.+ 27 Aku tidak pernah teragak-agak untuk memberitahu kamu tentang segala tujuan Tuhan.+ 28 Berikanlah perhatian kepada diri kamu+ dan seluruh kawanan, kerana kuasa suci Tuhan telah melantik kamu sebagai penyelia+ untuk menggembala sidang Tuhan,+ yang telah dibeli oleh-Nya dengan darah Anak-Nya sendiri.+ 29 Aku tahu bahawa selepas aku pergi, serigala buas* akan datang ke tengah-tengah kamu+ dan berlaku kejam terhadap kawanan. 30 Ada orang dalam kalangan kamu yang akan bangkit dan memutarbelitkan kebenaran untuk menyesatkan murid-murid Yesus agar mengikut mereka.+

31 “Oleh itu, teruslah berjaga-jaga. Ingatlah bahawa selama tiga tahun,+ siang malam, aku tidak berhenti menasihati setiap orang daripada kamu sambil mencucurkan air mata. 32 Semoga Tuhan dan firman tentang kebaikan hati-Nya yang unggul melindungi kamu. Firman ini boleh menguatkan kamu dan membuka jalan agar kamu menerima apa yang diberikan oleh Tuhan kepada umat suci-Nya.+ 33 Aku tidak menginginkan perak, emas, atau pakaian sesiapa pun.+ 34 Kamu tahu bahawa aku telah bekerja dengan tanganku sendiri untuk menjaga keperluanku+ dan keperluan orang yang menyertai aku. 35 Dalam segala perkara, aku sudah menunjukkan kepada kamu semua bahawa kamu juga mesti bekerja keras seperti ini+ untuk membantu mereka yang lemah. Kamu mesti ingat bahawa Tuan Yesus sendiri berkata, ‘Lebih berbahagia memberi+ daripada menerima.’”

36 Selepas Paulus mengucapkan kata-kata ini, dia berlutut bersama mereka dan berdoa. 37 Mereka menangis tersedu-sedu lalu memeluk dan mencium Paulus. 38 Hati mereka sangat pedih kerana Paulus berkata bahawa mereka tidak akan melihatnya lagi.+ Kemudian, mereka menemaninya sampai ke kapal.

21 Walaupun berat hati, kami terpaksa meninggalkan mereka. Kemudian, kami belayar terus ke Kos. Keesokan harinya, kami pergi ke Rodes dan bertolak dari situ ke Patara. 2 Setelah menjumpai kapal yang akan menyeberang ke Fenisia, kami menaiki kapal itu dan mula belayar. 3 Selepas kami melihat Pulau Siprus di sebelah kiri, kami meneruskan pelayaran kami ke arah Siria. Kemudian kapal kami berlabuh di Tirus untuk menurunkan muatan. 4 Kami mencari murid-murid di situ. Setelah menjumpai mereka, kami tinggal dengan mereka selama tujuh hari. Di bawah pimpinan kuasa suci Tuhan, mereka berulang kali memberitahu Paulus supaya tidak menjejakkan kaki di Yerusalem.+ 5 Apabila tiba masanya kami melanjutkan perjalanan, kami pun bertolak. Namun mereka semua, termasuk wanita dan anak-anak, menemani kami sampai ke luar kota. Kami berlutut di pantai, berdoa, 6 lalu mengucapkan selamat berpisah kepada satu sama lain. Kemudian, kami naik ke kapal dan mereka pulang ke rumah masing-masing.

7 Kapal kami bertolak dari Tirus dan belayar ke Ptolemais. Kami memberikan salam kepada saudara-saudara di situ dan tinggal dengan mereka selama sehari. 8 Keesokan harinya kami bertolak dan tiba di Kaisarea. Di situ, kami masuk ke dalam rumah Filipus dan tinggal bersamanya. Dia seorang penginjil dan merupakan salah seorang daripada tujuh orang lelaki+ yang dipilih oleh para rasul di Yerusalem. 9 Dia mempunyai empat orang anak perempuan yang belum berkahwin,* dan mereka dapat bernubuat.+ 10 Setelah berada di situ untuk suatu jangka masa, seorang nabi yang bernama Agabus+ datang dari Yudea. 11 Dia datang kepada kami dan mengambil tali pinggang Paulus. Kemudian dia mengikat kaki dan tangannya sendiri dengan tali pinggang itu lalu berkata, “Kuasa suci Tuhan berkata, ‘Orang yang memiliki tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem,+ dan mereka akan menyerahkannya ke dalam tangan orang bangsa asing.’”+ 12 Apabila kami mendengar kata-katanya, kami dan semua orang di situ merayu Paulus supaya tidak pergi ke Yerusalem. 13 Tetapi Paulus berkata, “Mengapakah kamu semua menangis dan mencuba melemahkan azamku? Percayalah, aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat, tetapi juga untuk mati di Yerusalem demi nama Tuan Yesus.”+ 14 Oleh sebab Paulus enggan mendengarkan kami, kami tidak memaksanya lagi lalu berkata, “Biarlah kehendak Yehuwa* terjadi.”

15 Beberapa lama kemudian, kami bersiap sedia untuk perjalanan ke Yerusalem. Semasa kami bertolak, 16 beberapa orang murid dari Kaisarea juga mengikut kami. Mereka menghantar kami ke tempat kami akan menumpang, iaitu rumah Manason. Dia ialah seorang lelaki dari Siprus yang sudah menjadi murid Yesus sejak dulu lagi. 17 Semasa kami tiba di Yerusalem, saudara-saudara menyambut kami dengan gembira. 18 Pada hari berikutnya, Paulus pergi bersama-sama kami untuk berjumpa dengan Yakobus.+ Semua penatua pun ada di situ. 19 Maka Paulus memberikan salam kepada mereka dan memberitahu mereka secara terperinci apa yang telah dilakukan oleh Tuhan dalam kalangan bangsa-bangsa lain melalui kerja penyebarannya.

20 Setelah mendengar hal itu, mereka memuliakan Tuhan dan berkata kepada Paulus, “Saudara, lihatlah! Ada beribu-ribu pengikut Yesus dalam kalangan orang Yahudi. Mereka semua mematuhi Hukum+ dengan bersungguh-sungguh. 21 Tetapi mereka mendengar khabar angin bahawa kamu mengajar semua orang Yahudi yang tinggal dalam kalangan bangsa-bangsa lain agar meninggalkan Hukum Musa, kerana kamu menyuruh mereka agar tidak menyunat anak-anak mereka dan tidak mengikut adat istiadat mereka.+ 22 Apakah yang harus dilakukan? Mereka pasti akan mendengar bahawa kamu sudah sampai. 23 Oleh itu, lakukanlah apa yang kami katakan ini: Ada empat orang lelaki di sini yang sudah berikrar kepada Tuhan. 24 Bawalah mereka bersamamu dan jalankanlah upacara penyucian bersama mereka. Hendaklah kamu membayar perbelanjaan mereka juga, supaya mereka boleh mencukur rambut. Dengan demikian, semua orang akan tahu bahawa khabar angin tentang kamu itu tidak berasas, kerana kamu mematuhi dan hidup selaras dengan Hukum.+ 25 Tetapi bagi pengikut Yesus daripada bangsa-bangsa lain, mereka sudah menerima keputusan bertulis daripada kita bahawa mereka harus menjauhi apa sahaja yang dipersembahkan kepada berhala,+ menjauhi darah,+ menjauhi daging binatang yang mati dicekik,*+ dan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral.”*+

26 Pada hari berikutnya, Paulus membawa empat orang itu dan menjalankan upacara penyucian bersama mereka.+ Kemudian dia masuk ke dalam Rumah Tuhan dan mengumumkan bila tempoh upacara penyucian itu akan tamat, supaya korban dapat dipersembahkan untuk mereka masing-masing.

27 Apabila tujuh hari upacara penyucian itu hampir berakhir, orang Yahudi dari Asia melihat Paulus di dalam Rumah Tuhan. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus. 28 Mereka berseru, “Hai orang Israel, tolonglah kami! Inilah orang yang pergi ke merata tempat dan mengajar semua orang untuk menentang bangsa kita, Hukum kita, dan tempat ibadat kita. Bukan itu sahaja, dia bahkan membawa orang Yunani ke dalam Rumah Tuhan dan menajiskan tempat suci ini.”+ 29 Sebelum ini, mereka pernah melihat Trofimus,+ orang Efesus itu, bersama Paulus di kota. Jadi mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam Rumah Tuhan. 30 Maka seluruh kota itu menjadi kacau-bilau. Orang ramai berlari bersama-sama ke Rumah Tuhan dan menangkap Paulus lalu mengheretnya keluar dari situ. Dengan segera, pintu Rumah Tuhan ditutup. 31 Sementara mereka mencuba membunuh Paulus, ketua pasukan tentera diberitahu bahawa seluruh Yerusalem berada dalam keadaan huru-hara. 32 Maka dengan serta-merta, dia membawa askar dan pegawai tentera lalu bergegas turun ke situ. Semasa orang ramai nampak ketua pasukan tentera dan para askar, mereka berhenti memukul Paulus.

33 Kemudian ketua pasukan tentera itu menghampiri Paulus dan menangkapnya. Setelah menyuruh askarnya membelenggu Paulus dengan dua rantai,+ dia bertanya kepada orang ramai untuk mengetahui siapa Paulus dan apa yang telah dilakukan olehnya. 34 Namun, keadaan di situ huru-hara. Ada antara orang ramai yang berteriak begini, manakala yang lain berteriak begitu, sehingga ketua pasukan tentera itu langsung tidak dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Maka, dia memerintahkan agar Paulus dibawa ke tempat tinggal askar. 35 Tetapi apabila Paulus tiba di tangga, askar-askar terpaksa mengangkatnya, kerana orang ramai mula mengganas. 36 Mereka terus mengikutnya sambil menjerit, “Bunuhlah dia!”

37 Apabila Paulus hampir tiba di tempat tinggal askar, dia berkata kepada ketua pasukan tentera itu, “Bolehkah aku mengatakan sesuatu kepada tuan?” Ketua pasukan tentera itu berkata, “Kamu dapat bercakap dalam bahasa Yunani? 38 Adakah kamu orang Mesir yang sebelum ini mencetuskan pemberontakan dan memimpin 4,000 orang lelaki yang bersenjatakan pisau belati ke padang belantara?” 39 Paulus menjawab, “Tidak. Sebenarnya, aku orang Yahudi+ yang berasal dari Tarsus+ di Kilikia. Aku rakyat kota yang penting itu. Tolong izinkan aku bercakap kepada orang ramai ini.” 40 Setelah ketua pasukan tentera itu mengizinkannya berbuat demikian, Paulus berdiri di tangga dan memberikan isyarat dengan tangannya kepada orang ramai. Apabila mereka semua senyap, dia bercakap kepada mereka dalam bahasa Ibrani.+ Paulus berkata,

22 “Bapa-bapa dan saudara sekalian, dengarlah apa yang akan aku katakan untuk membela diri.”+ 2 Apabila mereka mendengarnya bercakap kepada mereka dalam bahasa Ibrani, mereka menjadi lebih senyap lagi. Kemudian dia berkata, 3 “Aku orang Yahudi.+ Aku dilahirkan di Tarsus di Kilikia,+ tetapi aku menerima pendidikan di kota ini dan diajar oleh Gamaliel+ sendiri. Aku diajar untuk mematuhi segala butiran dalam Hukum nenek moyang kita,+ dan seperti saudara sekalian pada hari ini, aku berkhidmat kepada Tuhan dengan semangat yang membara.+ 4 Aku telah menganiaya orang yang mengikut Haluan Tuan, baik lelaki mahupun perempuan, dan menyebabkan kematian mereka. Aku mengikat dan memasukkan mereka ke dalam penjara.+ 5 Imam agung dan semua pemimpin orang Yahudi dapat memberikan kesaksian tentang hal ini. Aku juga meminta surat-surat daripada mereka untuk diberikan kepada orang Yahudi di Damsyik. Dengan itu, aku boleh mengikat orang yang mengikut Haluan Tuan di sana lalu membawa mereka ke Yerusalem untuk dihukum.

6 “Semasa aku dalam perjalanan ke Damsyik dan hampir tiba di kota itu, kira-kira pada waktu tengah hari, cahaya yang terang dari langit tiba-tiba memancar di sekelilingku.+ 7 Aku rebah ke tanah, lalu mendengar suara yang berkata, ‘Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku?’ 8 Aku berkata, ‘Tuan, siapakah kamu?’ Suara itu menjawab, ‘Akulah Yesus, orang Nasaret yang kamu aniaya.’ 9 Mereka yang bersama-sama aku melihat cahaya itu, tetapi mereka tidak memahami kata-kata yang diucapkan kepadaku. 10 Maka aku bertanya, ‘Tuan, apakah yang harus aku lakukan?’ Tuan Yesus berkata, ‘Bangunlah dan pergilah ke Damsyik. Di situ, kamu akan diberitahu tentang segala sesuatu yang harus kamu lakukan.’+ 11 Tetapi oleh sebab cahaya itu sangat terang, aku tidak dapat melihat apa-apa. Maka mereka yang bersama-sama aku memegang tanganku dan memimpin aku ke Damsyik.

12 “Kemudian, seorang lelaki yang bernama Ananias, yang takut akan Tuhan, yang mematuhi Hukum, dan yang dipuji oleh semua penduduk Yahudi di situ, 13 datang kepadaku. Dia berdiri di sebelahku lalu berkata, ‘Saulus, saudaraku, biarlah penglihatanmu pulih!’ Pada saat itu juga penglihatanku pulih, lalu aku dapat melihat dia.+ 14 Dia berkata, ‘Tuhan nenek moyang kita telah memilih kamu untuk mengetahui kehendak-Nya dan untuk melihat dan mendengar suara dia yang melakukan apa yang benar.+ 15 Kamu akan menjadi saksinya untuk mengkhabarkan perkara-perkara yang telah kamu lihat dan dengar kepada semua orang.+ 16 Sekarang, janganlah berlengah lagi. Bangunlah, dan hendaklah kamu dibaptis. Bersihkanlah dosamu+ dengan menyeru namanya.’+

17 “Tetapi selepas aku kembali ke Yerusalem,+ aku mendapat suatu penglihatan semasa aku berdoa di dalam Rumah Tuhan. 18 Dalam penglihatan itu, Tuan Yesus berkata kepadaku, ‘Janganlah berlengah-lengah. Cepatlah keluar dari Yerusalem, kerana mereka tidak akan menerima kesaksianmu mengenai aku.’+ 19 Maka aku berkata, ‘Tuan, mereka sendiri tahu bahawa dahulu aku selalu pergi dari satu rumah ibadat ke rumah ibadat yang lain untuk memenjarakan dan memukul orang yang percaya kepada Tuan.+ 20 Semasa Stefanus, saksi Tuan, dibunuh, aku sendiri berdiri di situ dan menyokong pembunuhannya. Aku bahkan menjaga jubah luar orang yang membunuhnya.’+ 21 Tetapi Tuan Yesus berkata kepadaku, ‘Pergilah, kerana aku akan mengutus kamu kepada bangsa-bangsa di tempat yang jauh.’”+

22 Mereka terus mendengar sehingga saat dia mengucapkan kata-kata itu. Kemudian mereka berseru, “Bunuhlah dia! Dia tidak layak hidup di muka bumi ini!” 23 Mereka berteriak dan melemparkan jubah luar mereka serta menghamburkan debu ke udara.+ Oleh itu, 24 ketua pasukan tentera memerintahkan agar Paulus dibawa ke tempat tinggal askar. Dia juga memerintahkan supaya Paulus dicambuk dan disoal siasat untuk mengetahui mengapa mereka berteriak sedemikian rupa terhadap Paulus. 25 Namun setelah mereka mengikat Paulus untuk dicambuk, Paulus berkata kepada pegawai tentera yang berdiri di situ, “Wajarkah seorang warganegara Roma dicambuk tanpa diadili terlebih dahulu?”+ 26 Apabila pegawai tentera tersebut mendengar hal itu, dia pergi kepada ketua pasukan tentera dan berkata, “Apakah yang ingin tuan lakukan sekarang? Lelaki ini warganegara Roma!” 27 Maka ketua pasukan tentera tersebut pergi kepada Paulus dan berkata, “Beritahulah aku: Adakah kamu warganegara Roma?” Dia menjawab, “Ya.” 28 Ketua pasukan tentera itu berkata, “Aku membayar wang yang banyak untuk menjadi warganegara Roma.” Paulus menjawab, “Tetapi aku dilahirkan sebagai warganegara Roma.”+

29 Dengan serta-merta, mereka yang mahu menyoalnya berundur daripadanya. Apabila ketua pasukan tentera itu mendapat tahu bahawa Paulus ialah warganegara Roma, dia menjadi takut kerana dia telah merantai Paulus.+

30 Maka pada keesokan harinya, ketua pasukan tentera itu membuka rantai yang mengikat Paulus dan memerintahkan ketua-ketua imam dan semua ahli Majlis Orang Yahudi untuk berkumpul, kerana dia ingin mengetahui alasan sebenar orang Yahudi menuduh Paulus. Kemudian dia membawa Paulus turun dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka.+

23 Paulus menatap anggota-anggota Majlis Orang Yahudi lalu berkata, “Saudara-saudara, sehingga hari ini, aku melakukan segala sesuatu dengan hati nurani yang bersih sepenuhnya+ di hadapan Tuhan.” 2 Maka Imam Agung Ananias memerintahkan orang yang berdiri dekat Paulus untuk menampar mulut Paulus. 3 Paulus berkata kepada Ananias, “Tuhan akan menghukum kamu, hai kamu yang bagaikan tembok bercat putih! Adakah kamu duduk untuk menghakimi aku menurut Hukum, tetapi pada masa yang sama kamu melanggar Hukum itu dengan menyuruh orang untuk memukul aku?” 4 Mereka yang berdiri berhampiran Paulus berkata kepadanya, “Berani kamu mencaci imam agung Tuhan!” 5 Paulus berkata, “Saudara-saudara, aku tidak tahu bahawa dia imam agung. Memang ada tertulis, ‘Kamu tidak boleh menghina pemerintah bangsa kamu.’”+

6 Paulus mengetahui bahawa sebahagian daripada Majlis Orang Yahudi terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada mereka, “Saudara-saudara, aku orang Farisi,+ dan nenek moyang aku juga orang Farisi. Aku dihakimi kerana aku percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan.” 7 Oleh sebab Paulus berkata demikian, timbullah perselisihan antara orang Farisi dengan orang Saduki dan mereka berpecah menjadi dua kumpulan. 8 Hal itu berlaku kerana orang Saduki tidak percaya akan pembangkitan orang mati, dan mereka juga tidak percaya akan adanya malaikat atau makhluk roh. Tetapi orang Farisi percaya akan semua ini.+ 9 Lalu keadaan di situ menjadi sangat huru-hara. Beberapa orang jurutulis hukum daripada golongan Farisi bangun dan mula membantah dengan keras, “Kami mendapati orang ini langsung tidak bersalah. Lagipun makhluk roh atau malaikat mungkin telah bercakap kepadanya.”+ 10 Perselisihan itu menjadi begitu sengit sehingga ketua pasukan tentera itu takut mereka akan membunuh Paulus. Maka dia memerintahkan askar-askarnya untuk turun dan segera membawa Paulus keluar dari tengah-tengah mereka. Selepas itu mereka membawanya ke tempat tinggal askar.

11 Pada malam itu, Tuan Yesus berdiri di sisi Paulus dan berkata, “Tabahkanlah hatimu!+ Sepertimana kamu telah memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang aku di Yerusalem, kamu juga mesti memberikan kesaksian tentang aku di Roma.”+

12 Apabila hari sudah siang, orang Yahudi berkomplot dan bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus.* 13 Ada lebih daripada 40 orang yang telah bersumpah demikian. 14 Mereka pergi kepada ketua-ketua imam dan pemimpin orang Yahudi lalu berkata, “Kami sudah bersumpah tidak akan makan apa-apa sehingga kami membunuh Paulus. 15 Oleh itu, sekarang, kamu dan Majlis Orang Yahudi perlu memberitahu ketua pasukan tentera bahawa Paulus harus dibawa kepada kamu. Buatlah seolah-olah kamu ingin menyelidiki perkaranya dengan lebih teliti lagi. Kami akan bersedia untuk membunuh Paulus sebelum dia sampai ke sini.”

16 Tetapi, anak saudara Paulus mendapat tahu tentang serangan hendap yang dirancang oleh mereka. Maka dia pergi ke tempat tinggal askar dan memberitahu Paulus tentang hal itu. 17 Oleh itu, Paulus memanggil salah seorang pegawai tentera dan berkata kepadanya, “Bawalah pemuda ini kepada ketua pasukan tentera kerana dia hendak melaporkan sesuatu kepadanya.” 18 Maka, pegawai tentera itu membawa pemuda itu kepada ketua pasukan tentera dan berkata, “Tahanan yang bernama Paulus memanggil aku dan meminta aku untuk membawa pemuda ini kepada tuan kerana dia hendak melaporkan sesuatu kepada tuan.” 19 Ketua pasukan tentera memegang tangan pemuda itu dan membawa dia ke tepi lalu bertanya, “Apakah yang hendak kamu laporkan kepada aku?” 20 Dia berkata, “Orang Yahudi telah bersepakat untuk meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Orang Yahudi pada hari esok, seolah-olah mereka berniat untuk menyelidiki perkaranya dengan lebih teliti lagi.+ 21 Janganlah tunaikan permintaan mereka kerana ada lebih daripada 40 orang antara mereka yang akan melancarkan serangan hendap ke atas Paulus. Mereka sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus.+ Sekarang mereka sudah bersedia dan sedang menunggu tuan meluluskan permohonan mereka.” 22 Ketua pasukan tentera itu berkata, “Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu telah melaporkan hal ini kepada aku.” Selepas itu, dia membiarkan pemuda itu pergi.

23 Kemudian dia memanggil dua orang pegawai tentera dan berkata kepada mereka, “Sediakan 200 orang askar berjalan kaki, 70 orang askar berkuda, dan 200 orang askar bertombak, lalu suruhlah mereka pergi ke Kaisarea kira-kira pada jam sembilan* malam. 24 Selain itu, sediakan kuda untuk ditunggang oleh Paulus agar dia dapat sampai kepada Gabenor Feliks dengan selamat.” 25 Selepas itu, dia menulis sepucuk surat yang berbunyi seperti berikut:

26 “Kepada Tuan Yang Terutama, Gabenor Feliks. Salam sejahtera daripada Klaudius Lisias. 27 Lelaki ini telah ditangkap oleh orang Yahudi dan nyaris dibunuh oleh mereka. Tetapi aku mendapat tahu bahawa dia warganegara Roma.+ Oleh itu, aku segera membawa askar-askarku lalu menyelamatkan dia.+ 28 Aku menghadapkannya kepada Majlis Orang Yahudi kerana ingin mengetahui alasan mereka melontarkan tuduhan terhadapnya.+ 29 Aku mendapati bahawa tuduhan itu berkaitan dengan Hukum mereka,+ tetapi dia tidak melakukan apa-apa yang membuatnya patut dijatuhi hukuman mati atau hukuman penjara. 30 Apabila aku diberitahu tentang komplot untuk membunuhnya,+ aku segera menghantar dia kepada tuan dan mengarahkan mereka yang menuduh dia untuk mengemukakan tuduhan mereka di hadapan tuan.”

31 Maka, askar-askar itu menurut perintah yang diberikan kepada mereka dan membawa Paulus+ ke Antipatris pada waktu malam. 32 Pada hari berikutnya, semua askar berkuda meneruskan perjalanan bersama Paulus, tetapi askar yang lain pulang ke tempat tinggal mereka. 33 Apabila semua askar berkuda itu tiba di Kaisarea, mereka menyampaikan surat tersebut kepada gabenor dan menyerahkan Paulus kepadanya juga. 34 Maka gabenor itu membaca surat tersebut dan bertanya kepada Paulus di mana daerah asalnya. Apabila dia mengetahui bahawa Paulus berasal dari Kilikia,+ 35 dia berkata, “Selepas mereka yang menuduh kamu tiba,+ perkara kamu akan dibicarakan dengan teliti.” Lalu gabenor itu memerintahkan supaya Paulus ditahan di istana Herodes.

24 Lima hari kemudian, Imam Agung Ananias+ pergi ke Kaisarea bersama beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi dan seorang peguam yang bernama Tertulus. Mereka menghadap Gabenor Feliks untuk mengemukakan tuduhan terhadap Paulus.+ 2 Ketika Tertulus dipanggil, dia mula menuduh Paulus. Dia berkata,

“Tuan Feliks Yang Terutama! Di bawah pimpinan tuan, kami menikmati kesejahteraan yang melimpah kerana tuan selalu berpandangan jauh dan membawa banyak perubahan kepada bangsa ini. 3 Di mana-mana dan pada bila-bila masa pun, kami mengakui dan sangat menghargai semua hal ini. 4 Supaya tidak membuang lebih banyak masa tuan, aku merayu agar tuan bersabar dan mendengar sebentar apa yang ingin kami katakan. 5 Kami mendapati bahawa lelaki ini membawa masalah+ dan menghasut orang Yahudi di seluruh bumi agar memberontak.+ Selain itu, dia merupakan pemimpin kumpulan agama orang Nasaret.+ 6 Dia juga mencuba untuk menajiskan Rumah Tuhan, maka kami menangkapnya.+ 7* —— 8 Jika tuan menyoal dia, tuan sendiri dapat mengetahui bahawa semua tuduhan kami ini benar.”

9 Lalu orang Yahudi di situ turut melontarkan tuduhan terhadap Paulus dan menegaskan bahawa perkara-perkara itu memang benar. 10 Apabila gabenor itu mengangguk untuk menunjukkan bahawa Paulus boleh bercakap, Paulus berkata,

“Aku tahu bahawa tuan sudah menjadi hakim bagi bangsa ini selama bertahun-tahun. Oleh itu, aku senang hati untuk membela diri.+ 11 Seperti yang dapat tuan pastikan sendiri, aku pergi ke Yerusalem untuk beribadat tidak lebih daripada 12 hari yang lalu.+ 12 Mereka tidak mendapati aku bertengkar dengan sesiapa pun di Rumah Tuhan ataupun memulakan rusuhan, baik di rumah ibadat mahupun di seluruh kota. 13 Malah mereka tidak dapat membuktikan tuduhan yang dilontarkan oleh mereka terhadapku sekarang. 14 Namun, mengenai ‘kumpulan agama’ yang disebut oleh mereka, aku mengakui bahawa aku memang mengikut ajaran ‘kumpulan agama’ itu semasa memberikan khidmat suci kepada Tuhan nenek moyangku,+ kerana aku percaya akan semua yang tertulis dalam Hukum dan Ajaran Para Nabi.+ 15 Seperti mereka, aku memiliki harapan bahawa Tuhan akan membangkitkan+ orang yang baik dan orang yang tidak baik.+ 16 Oleh itu, aku sentiasa berusaha untuk memiliki hati nurani yang bersih* di hadapan Tuhan dan di hadapan manusia.+ 17 Bertahun-tahun kemudian, aku kembali ke Yerusalem untuk membawa sumbangan+ bagi bangsaku dan untuk mempersembahkan korban kepada Tuhan. 18 Semasa aku menguruskan perkara-perkara itu, mereka nampak aku di Rumah Tuhan setelah aku menjalankan upacara penyucian diri.+ Pada masa itu, tidak ada orang ramai yang menyertai aku dan tidak ada kekacauan yang berlaku di situ. Namun beberapa orang Yahudi dari daerah Asia 19 telah menuduh aku. Sebenarnya, jika mereka mempunyai tuduhan terhadap aku, mereka sepatutnya menghadap tuan untuk mengemukakan tuduhan mereka.+ 20 Atau, suruhlah mereka yang berada di sini untuk memberitahu tuan kesalahanku yang dilihat oleh mereka semasa aku dihadapkan kepada Majlis Orang Yahudi. 21 Andai kata aku bersalah, mereka boleh menuduh aku atas satu alasan sahaja: Semasa aku diadili oleh Majlis Orang Yahudi, aku telah berseru, ‘Hari ini aku diadili di hadapan kamu semua kerana aku percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan!’”+

22 Namun Feliks, yang mempunyai banyak pengetahuan tentang Haluan Tuan,+ menangguhkan perbicaraan itu dengan berkata, “Apabila ketua pasukan tentera yang bernama Lisias datang, aku akan membuat keputusan tentang perkara-perkara ini.” 23 Kemudian dia memberikan arahan kepada pegawai tentera supaya menahan Paulus. Namun, Paulus diberi sedikit kebebasan, dan sahabat-sahabatnya tidak dilarang daripada memberikan apa yang diperlukannya.

24 Beberapa waktu kemudian, Feliks datang bersama isterinya, Drusila, yang berbangsa Yahudi. Feliks menyuruh orang memanggil Paulus, kemudian Feliks mendengarkan Paulus berkata-kata tentang kepercayaan kepada Kristus Yesus.+ 25 Tetapi semasa dia bercakap tentang tingkah laku yang benar, sikap mengawal diri, dan penghakiman yang bakal tiba,+ Feliks menjadi takut dan berkata, “Kamu boleh pergi sekarang. Apabila ada peluang, aku akan menyuruh orang untuk memanggilmu lagi.” 26 Namun pada masa yang sama, dia berharap Paulus akan memberinya wang. Oleh sebab itu, dia memanggilnya dengan lebih kerap lagi dan bercakap dengannya. 27 Setelah dua tahun berlalu, Perkius Festus menggantikan Feliks sebagai gabenor. Pada masa itu, Paulus masih dipenjarakan kerana Feliks ingin mengambil hati orang Yahudi.+

25 Tiga hari setelah Festus+ tiba dan mula berkuasa di daerah Yudea, dia bertolak dari Kaisarea dan pergi ke Yerusalem. 2 Para ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi di situ pergi kepadanya untuk mengemukakan dakwaan terhadap Paulus.+ Mereka merayu kepada Festus 3 supaya menghantar Paulus ke Yerusalem. Mereka sudah merancang untuk melancarkan serangan hendap terhadap Paulus dan membunuhnya semasa dia dalam perjalanan ke situ.+ 4 Tetapi Festus berkata bahawa Paulus harus ditahan di Kaisarea dan dia sendiri akan kembali ke sana tidak lama lagi. 5 Dia berkata, “Biarlah mereka yang mempunyai kuasa dalam kalangan kamu pergi bersama aku untuk menuduh dia jika dia memang telah berbuat salah.”+

6 Festus tinggal di Yerusalem kira-kira 8 atau 10 hari lagi, lalu dia kembali ke Kaisarea. Pada hari berikutnya, dia duduk di tempat pengadilan dan memberikan perintah agar Paulus dibawa masuk. 7 Apabila Paulus masuk, orang Yahudi yang datang dari Yerusalem berdiri di sekelilingnya dan mula melemparkan banyak tuduhan berat terhadapnya. Namun, mereka tidak dapat mengemukakan bukti untuk menyokong tuduhan mereka.+

8 Tetapi Paulus membela diri dengan berkata, “Aku tidak melakukan apa-apa dosa terhadap Hukum orang Yahudi, terhadap Rumah Tuhan, ataupun terhadap Kaisar.”+ 9 Festus ingin mengambil hati orang Yahudi.+ Maka dia berkata kepada Paulus, “Mahukah kamu pergi ke Yerusalem dan dihakimi di hadapanku mengenai perkara-perkara ini?” 10 Paulus menjawab, “Aku sedang berdiri di hadapan tempat pengadilan Kaisar, dan di sinilah aku seharusnya dihakimi. Tuan sendiri tahu bahawa aku tidak bersalah terhadap orang Yahudi. 11 Jika aku benar-benar berbuat salah dan melakukan sesuatu yang menyebabkan aku harus dihukum mati,+ aku tidak akan merayu supaya dibebaskan daripada hukuman mati. Namun, jika tuduhan mereka tidak berasas, tidak ada sesiapa pun yang berhak untuk menyerahkan aku kepada mereka. Aku minta diadili oleh Kaisar!”+ 12 Setelah bercakap dengan para penasihatnya, Festus berkata, “Kamu minta diadili oleh Kaisar, maka kamu akan pergi kepada Kaisar.”

13 Beberapa lama kemudian, Raja Agripa dan Berniki melawat Festus di Kaisarea untuk mengucapkan tahniah kepadanya. 14 Mereka tinggal di situ buat suatu jangka waktu. Maka, Festus membentangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Paulus kepada Raja Agripa. Festus berkata,

“Terdapat seorang lelaki yang ditinggalkan sebagai tahanan oleh Feliks. 15 Semasa hamba berada di Yerusalem, para ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi telah mengemukakan tuduhan terhadapnya+ dan memohon hamba untuk menghukumnya. 16 Tetapi hamba memberitahu mereka bahawa orang Roma biasanya tidak akan menyerahkan seseorang untuk dihukum sebelum orang itu diberi peluang untuk membela diri di hadapan para pendakwanya.+ 17 Oleh itu, apabila mereka tiba di sini, tanpa membuang masa, hamba duduk di tempat pengadilan pada keesokan harinya dan memerintahkan agar lelaki itu dibawa masuk. 18 Para pendakwa pun berdiri untuk mengemukakan tuduhan mereka. Tetapi selepas hamba mendengarkan mereka, hamba mendapati bahawa dia tidak melakukan perkara-perkara jahat yang hamba sangka.+ 19 Pertikaian mereka hanyalah tentang agama mereka sendiri+ dan tentang seorang lelaki yang bernama Yesus. Walaupun lelaki itu sudah mati, Paulus asyik berkata bahawa dia hidup.+ 20 Hamba tidak pasti bagaimana hamba harus menyelesaikan perbalahan ini. Maka hamba bertanya kepada Paulus sama ada dia mahu pergi ke Yerusalem untuk diadili sehubungan dengan hal-hal ini atau tidak.+ 21 Tetapi Paulus memohon supaya dia ditahan sehingga keputusan diberikan oleh Kaisar.+ Oleh itu, hamba memerintahkan agar dia ditahan sehingga hamba menghantarnya kepada Kaisar.”

22 Agripa berkata kepada Festus, “Beta ingin mendengar apa yang dikatakan oleh orang itu.”+ Festus menjawab, “Esok tuanku akan mendengar apa yang dikatakannya.” 23 Maka, pada keesokan harinya, Raja Agripa dan Berniki datang dengan penuh kemegahan. Mereka memasuki tempat pengadilan bersama-sama para ketua pasukan tentera dan orang terkemuka di kota itu. Kemudian, Festus memerintahkan agar Paulus dibawa masuk. 24 Lalu Festus berkata, “Tuanku Raja Agripa dan para hadirin! Lihatlah orang ini! Semua orang Yahudi, baik di Yerusalem mahupun di sini, telah berteriak-teriak kepada hamba dan memohon agar dia dibunuh.+ 25 Tetapi hamba menyedari bahawa dia tidak melakukan apa-apa yang membuatnya patut dihukum mati.+ Dia sudah merayu agar diadili oleh Kaisar, dan hamba telah membuat keputusan untuk menghantarnya kepada baginda. 26 Namun, hamba tidak mempunyai fakta yang mencukupi tentangnya untuk dinyatakan dalam surat hamba kepada Kaisar.* Itulah sebabnya hamba menghadapkannya kepada semua orang di sini, terutamanya kepada tuanku Raja Agripa. Dengan itu, setelah perbicaraan ini diadakan, ada sesuatu yang dapat hamba tulis dalam surat hamba, 27 kerana menurut pendapat hamba, adalah tidak wajar untuk menghantar seorang tahanan tanpa menyatakan tuduhan-tuduhan yang dilontarkan terhadapnya.”

26 Raja Agripa+ berkata kepada Paulus, “Kamu dibenarkan bercakap untuk membela diri.” Maka Paulus mengangkat tangannya dan mula menyampaikan pembelaannya dengan berkata,

2 “Tuanku Raja Agripa, hamba bersyukur kerana dapat membela diri di hadapan tuanku hari ini mengenai segala tuduhan yang dilemparkan oleh orang Yahudi terhadap hamba,+ 3 lebih-lebih lagi kerana tuanku sangat arif dalam segala adat dan pertikaian orang Yahudi. Oleh itu hamba memohon agar tuanku mendengarkan hamba dengan sabar.

4 “Banyak orang Yahudi mengetahui cara hidup hamba sejak zaman muda hamba sehingga masa hamba berada di Yerusalem.+ 5 Jika mereka sudi, mereka boleh memberikan kesaksian bahawa hamba pernah hidup sebagai orang Farisi,+ iaitu golongan* yang paling kuat berpegang pada agama kita.+ 6 Namun, hamba diadili sekarang kerana hamba berharap kepada janji yang diberikan oleh Tuhan kepada nenek moyang kita.+ 7 Sebenarnya 12 suku bangsa kita juga berharap agar janji ini ditunaikan, jadi mereka menjalankan khidmat suci dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan siang dan malam. Ya tuanku, kerana harapan itulah hamba dituduh oleh orang Yahudi.+

8 “Mengapakah kalian tidak percaya bahawa Tuhan mampu membangkitkan orang mati? 9 Dahulu hamba pun percaya bahawa hamba harus melakukan semua yang terdaya untuk menentang nama Yesus, orang Nasaret itu. 10 Itulah yang hamba lakukan di Yerusalem. Dengan kuasa yang diberikan oleh ketua-ketua imam,+ hamba memenjarakan ramai daripada kalangan umat suci Tuhan.+ Hamba juga menyokong keputusan untuk menjatuhkan hukuman mati atas mereka. 11 Hamba sering menghukum mereka di semua rumah ibadat untuk memaksa mereka menyangkal iman di hadapan umum. Hamba begitu berang terhadap mereka sehingga sanggup pergi ke kota-kota lain untuk menganiaya mereka.

12 “Pernah sekali, setelah hamba menerima kuasa dan perintah daripada ketua-ketua imam untuk melakukan hal-hal yang sama di Damsyik, hamba membuat perjalanan ke situ. 13 Tuanku, pada waktu tengah hari, ada cahaya dari langit yang memancar di sekeliling hamba dan di sekeliling mereka yang berjalan bersama hamba. Cahaya itu lebih terang daripada sinaran matahari,+ 14 lalu kami semua rebah ke tanah. Kemudian ada suara yang bercakap kepada hamba dalam bahasa Ibrani, ‘Saulus, Saulus, mengapakah kamu menganiaya aku? Jika kamu terus melawan, kamu hanya menyakiti dirimu sendiri. Kamu seperti seekor lembu yang menendang kayu tajam yang digunakan untuk menggiringnya.’ 15 Lalu hamba bertanya, ‘Tuan, siapakah kamu?’ Maka Tuan Yesus berkata, ‘Akulah Yesus, yang kamu aniaya. 16 Bangunlah dan berdirilah. Aku menampakkan diri kepadamu kerana aku mahu memilih kamu sebagai hamba dan saksi untuk memberitakan apa yang sudah kamu lihat dan apa yang akan aku tunjukkan kepadamu mengenai aku.+ 17 Aku akan menyelamatkan kamu daripada orang Yahudi dan daripada bangsa-bangsa lain, dan mengutus kamu kepada mereka+ 18 untuk membuka mata mereka,+ supaya mereka meninggalkan kegelapan+ dan berpaling kepada cahaya.+ Dengan itu, mereka akan dilepaskan daripada kuasa Syaitan+ dan berpaling kepada Tuhan. Jika mereka beriman kepadaku, dosa mereka akan diampunkan,+ dan mereka akan menerima warisan sebagai umat yang disucikan.’

19 “Tuanku Raja Agripa, itulah sebabnya hamba tidak mengingkari perintah yang hamba terima menerusi penglihatan dari syurga. 20 Bermula di Damsyik,+ kemudian di Yerusalem,+ dan di seluruh negeri Yudea, serta kepada bangsa-bangsa lain, hamba menyampaikan berita kepada orang bahawa mereka harus bertaubat dan berpaling kepada Tuhan, serta menunjukkan melalui perbuatan bahawa mereka sudah bertaubat.+ 21 Disebabkan hal ini, orang Yahudi menangkap hamba semasa hamba berada di Rumah Tuhan, dan mereka mencuba untuk membunuh hamba.+ 22 Namun, dengan adanya bantuan daripada Tuhan, sampai hari ini hamba terus memberikan kesaksian kepada semua orang, baik yang berkedudukan tinggi mahupun yang berkedudukan rendah. Apa yang hamba katakan kepada mereka hanyalah perkara-perkara yang akan berlaku, seperti yang dinyatakan dalam Ajaran Para Nabi dan kitab-kitab Musa:+ 23 Kristus harus menderita,+ dan sebagai orang pertama yang dibangkitkan daripada kematian,+ dia akan mengisytiharkan cahaya kepada orang Yahudi dan juga kepada bangsa-bangsa lain.”+

24 Setelah Paulus mengatakan hal-hal ini untuk membela diri, Festus berkata dengan suara yang lantang, “Paulus, kamu sudah gila! Ilmu kamu yang banyak itu sudah membuat kamu gila!” 25 Tetapi Paulus menjawab, “Tuan Festus Yang Terutama, aku tidak gila. Kata-kata yang aku ucapkan itu benar dan berasal daripada fikiran yang waras. 26 Sebenarnya, aku dapat bercakap dengan terus terang* mengenai hal-hal ini kepada Raja Agripa, kerana baginda sudah mengetahui perkara ini. Aku yakin bahawa baginda mengetahui semua hal ini, kerana perkara ini tidak dilakukan secara rahsia.+ 27 Tuanku Raja Agripa, adakah tuanku percaya akan apa yang tercatat dalam Ajaran Para Nabi? Hamba tahu tuanku memang percaya.” 28 Tetapi Raja Agripa berkata kepada Paulus, “Dalam masa yang singkat, kamu akan meyakinkan beta untuk menjadi orang Kristian.” 29 Paulus berkata, “Hamba berdoa kepada Tuhan agar hal ini akan terjadi tidak kira dalam jangka masa yang panjang ataupun pendek. Sebenarnya hamba berdoa agar bukan tuanku sahaja, malah semua orang yang mendengarkan hamba pada hari ini akan menjadi seperti hamba, tetapi tidak dibelenggu di penjara seperti hamba.”

30 Kemudian Raja Agripa, gabenor, Berniki, dan orang yang duduk bersama mereka semuanya berdiri. 31 Sambil beredar, mereka berkata kepada satu sama lain, “Orang ini tidak melakukan apa-apa yang menyebabkannya harus dihukum mati atau dipenjarakan.”+ 32 Raja Agripa kemudiannya berkata kepada Festus, “Orang ini sebenarnya boleh dibebaskan jika dia tidak minta diadili oleh Kaisar.”+

27 Oleh sebab keputusan sudah dibuat bahawa kami harus belayar ke Italia,+ Paulus dan beberapa orang tahanan lain diserahkan kepada Yulius, seorang pegawai tentera daripada pasukan tentera Agustus. 2 Selepas menaiki sebuah kapal dari Adramitium yang akan belayar ke pelabuhan-pelabuhan di sepanjang persisiran daerah Asia, kami pun bertolak. Aristarkhus,+ orang Makedonia dari Tesalonika, juga mengikut kami. 3 Keesokan harinya, kami berlabuh di Sidon, dan Yulius melayan Paulus dengan baik. Dia membenarkan Paulus untuk pergi kepada sahabat-sahabatnya supaya mereka dapat menjaganya.

4 Dari situ, kami belayar berhampiran Siprus, di mana kami terlindung daripada angin yang bertiup dari arah yang bertentangan. 5 Kami mengharungi lautan luas di sepanjang Kilikia dan Pamfilia lalu berlabuh di Mira yang terletak di Likia. 6 Di situ, pegawai tentera itu menjumpai sebuah kapal dari Aleksandria yang akan belayar ke Italia. Maka, dia menyuruh kami menaiki kapal itu. 7 Selama berhari-hari, kami belayar dengan perlahan. Dengan susah payah, kami akhirnya tiba di Knidus. Tetapi memandangkan angin bertiup dari arah yang bertentangan, kami terpaksa belayar berhampiran Kreta yang terletak dekat Salmone supaya kami terlindung daripada angin. 8 Dengan susah payah kami belayar menyusur pantai dan tiba di sebuah tempat berhampiran kota Lasea yang bernama Pelabuhan Indah.

9 Suatu jangka masa telah berlalu dan pada masa itu keadaannya berbahaya untuk belayar. Bahkan puasa untuk Hari Pengampunan Dosa+ sudah berlalu. Jadi, Paulus memberikan nasihat 10 dengan berkata, “Sahabat-sahabatku, pada pendapatku, perjalanan ini bukan sahaja akan mengakibatkan kerosakan dan kerugian yang besar pada muatan dan kapal, malah kita juga mungkin akan kehilangan nyawa.” 11 Walau bagaimanapun, pegawai tentera itu tidak mendengarkan kata-kata Paulus. Sebaliknya, dia mendengarkan kata-kata kapten kapal dan pemilik kapal itu. 12 Oleh sebab keadaan di pelabuhan itu tidak sesuai untuk menghabiskan musim sejuk, kebanyakan orang ingin belayar dari situ. Mereka ingin melihat sama ada mereka dapat sampai ke Feniks dan menghabiskan musim sejuk di situ. Feniks ialah sebuah pelabuhan di Kreta yang menghadap timur laut dan tenggara.

13 Apabila angin selatan bertiup dengan lembut, mereka menyangka bahawa mereka akan sampai ke Feniks. Jadi mereka menaikkan sauh dan mula belayar menyusur pantai Pulau Kreta. 14 Tetapi, tidak lama kemudian, angin yang sangat kencang melanda. Angin itu dinamakan Euroakuilo.* 15 Kapal kami dipukul angin kencang dan kami tidak dapat terus belayar melawan angin. Maka, kami membiarkan kapal itu bergerak mengikut tiupan angin. 16 Kemudian kami belayar berhampiran sebuah pulau kecil yang bernama Kauda, supaya kami terlindung daripada tiupan angin. Sungguhpun demikian, kami masih perlu bersusah payah untuk menyelamatkan sekoci* yang berada di belakang kapal. 17 Setelah sekoci itu dinaikkan, mereka mula memperkuat bahagian bawah kapal dengan menggunakan tali. Oleh sebab mereka takut terkandas di Sirtis,* mereka melonggarkan tali yang mengikat layar, dan membiarkan kapal ditiup mengikut angin. 18 Namun, oleh sebab kapal kami diumbang-ambingkan ribut, keesokan harinya mereka mula membuang muatan untuk meringankan kapal. 19 Pada hari ketiga, mereka membuang sebahagian daripada alat-alat kapal.

20 Selama berhari-hari, kami tidak dapat melihat matahari ataupun bintang, dan kami terus dilanda ribut yang kencang. Maka, pudarlah segala harapan kami untuk diselamatkan. 21 Setelah semua orang tidak makan untuk suatu jangka masa yang lama, Paulus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Sahabat-sahabatku, jika kamu mendengarkan nasihatku dan tidak belayar dari Kreta, kamu tentu tidak akan menanggung kerosakan dan kerugian ini.+ 22 Namun begitu, dengarlah nasihatku: Teguhkanlah hati kamu, kerana tiada seorang pun antara kamu yang akan kehilangan nyawa. Hanya kapal ini yang tidak dapat diselamatkan. 23 Malam tadi, malaikat+ daripada Tuhan, iaitu Tuhan yang memiliki aku dan yang aku sembah, berdiri di sisiku 24 dan berkata, ‘Janganlah takut, Paulus. Kamu mesti berdiri di hadapan Kaisar.+ Lihatlah! Oleh sebab kebaikan hati Tuhan, semua orang yang belayar dengan kamu akan diselamatkan.’ 25 Oleh itu, wahai sahabat-sahabatku, tabahkanlah hati kamu! Aku percaya bahawa Tuhan akan melakukan perkara-perkara itu tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat itu kepadaku. 26 Tetapi, kita akan terkandas di sebuah pulau.”+

27 Pada malam yang ke-14, kami terumbang-ambing di Laut Adria. Pada tengah malam, anak kapal menyangka bahawa mereka sedang mendekati darat. 28 Oleh itu, mereka mengukur kedalaman air laut dan mendapati bahawa kedalamannya kira-kira 36 meter.* Jadi mereka meneruskan perjalanan. Tidak lama kemudian mereka mengambil ukuran lagi dan mendapati bahawa kedalamannya kira-kira 27 meter.* 29 Mereka takut kapal mungkin terkandas pada batu. Oleh itu, mereka menurunkan empat buah sauh dari belakang kapal, dan berharap agar fajar segera menyingsing. 30 Tetapi anak-anak kapal mencuba melarikan diri dari kapal. Mereka menurunkan sekoci ke laut dan berpura-pura hendak melabuhkan sauh dari depan kapal. 31 Jadi Paulus berkata kepada pegawai tentera dan askar-askar, “Kamu tidak boleh diselamatkan jika anak-anak kapal tidak terus berada di dalam kapal.”+ 32 Maka, askar-askar itu mengerat tali yang mengikat sekoci dan membiarkan sekoci itu jatuh ke laut.

33 Ketika fajar hampir menyingsing, Paulus menggalakkan semua orang untuk makan. Dia berkata, “Sudah 14 hari kamu menunggu-nunggu dengan perasaan cemas, dan selama itu kamu tidak makan apa-apa. 34 Oleh itu, makanlah sedikit demi kebaikan diri kamu sendiri, kerana tiada orang dalam kalangan kamu yang akan kehilangan sehelai rambut pun.” 35 Selepas Paulus mengucapkan kata-kata itu, dia mengambil roti lalu mengucapkan syukur kepada Tuhan di depan mereka semua. Kemudian dia memecahkan roti itu dan mula makan. 36 Apabila semangat semua orang pulih, mereka pun mula makan. 37 Kami semua di dalam kapal itu berjumlah 276 orang. 38 Setelah mereka makan sampai kenyang, mereka membuang muatan gandum ke laut supaya kapal menjadi ringan.+

39 Akhirnya, apabila hari sudah siang, mereka nampak sebuah teluk tetapi mereka tidak tahu di mana tempat itu.+ Jadi mereka berusaha sedaya upaya untuk mendarat di pantai. 40 Mereka memotong tali sauh dan membiarkan sauh tenggelam di laut. Pada masa yang sama, mereka membuka tali yang mengikat kemudi dan menaikkan layar yang kecil di hadapan kapal, supaya angin meniup kapal itu ke pantai. 41 Apabila mereka terlanggar tebing pasir di dalam laut, bahagian depan kapal itu terkandas lalu tidak dapat bergerak. Bahagian belakang kapal pula mula hancur dipukul ombak.+ 42 Pada masa itu, askar-askar memutuskan untuk membunuh semua tahanan, supaya mereka tidak dapat berenang untuk melarikan diri. 43 Namun begitu, pegawai tentera tersebut melarang askar-askar daripada melakukan hal itu kerana dia mahu menyelamatkan Paulus. Dia memerintahkan mereka yang boleh berenang supaya terjun ke dalam laut dan berenang ke darat terlebih dahulu. 44 Yang lain menyusul kemudian dengan bergayut pada papan atau pecahan kapal itu. Dengan itu, semua orang sampai ke darat dengan selamat.+

28 Setelah kami tiba di darat dengan selamat, kami mendapat tahu bahawa pulau itu dipanggil Malta.+ 2 Penduduk pulau itu* sangat baik hati terhadap kami. Mereka menyambut kami dengan ramah dan menyalakan api untuk kami sebab hujan mula turun dan cuaca pun sejuk. 3 Semasa Paulus mengumpulkan kayu dan meletakkan kayu itu di atas api, seekor ular berbisa keluar kerana bahang api itu. Ular itu memagut tangan Paulus 4 dan tergantung pada tangannya. Apabila penduduk Pulau Malta melihat ular tersebut, mereka mula berkata sesama sendiri, “Sudah tentu lelaki ini seorang pembunuh. Meskipun dia terselamat daripada bahaya di laut, Keadilan* tidak mengizinkannya untuk terus hidup.” 5 Tetapi Paulus mengibaskan ular itu daripada tangannya sehingga ular itu jatuh ke dalam api dan dia tidak tercedera. 6 Mereka menjangkakan bahawa tangannya akan bengkak atau dia akan rebah mati secara tiba-tiba. Tetapi setelah lama menunggu, mereka melihat bahawa tidak ada apa-apa perkara buruk yang berlaku kepadanya. Maka mereka berubah fikiran dan mula mengatakan bahawa Paulus ialah dewa.

7 Tidak jauh dari kawasan itu, terdapat ladang-ladang yang dimiliki oleh Publius, pemimpin pulau tersebut. Dia menyambut kami dengan ramah dan menerima kami sebagai tetamunya selama tiga hari. 8 Kebetulan pada masa itu bapa Publius sedang berbaring di katil kerana dia demam dan menderita penyakit perut yang parah. Maka Paulus masuk dan mendekatinya. Kemudian Paulus berdoa, meletakkan tangannya ke atas bapa Publius, lalu menyembuhkannya.+ 9 Selepas itu, penduduk lain yang sakit di pulau itu mula datang kepada Paulus untuk disembuhkan.+ 10 Mereka memberi kami banyak hadiah sebagai tanda penghormatan. Semasa kami hendak belayar, mereka membekalkan kami dengan banyak barang keperluan.

11 Tiga bulan kemudian, kami belayar dengan menaiki sebuah kapal yang datang dari Aleksandria. Kapal itu mempunyai lambang “Anak Kembar Zeus” dan telah berlabuh di Pulau Malta sepanjang musim sejuk. 12 Setelah kapal kami berlabuh di Sirakusa, kami tinggal di situ selama tiga hari. 13 Kemudian, dari sana kami belayar dan tiba di Regium. Keesokan harinya, angin selatan bertiup dan pada hari yang berikutnya, kami sampai di Putioli. 14 Di situ kami berjumpa dengan saudara-saudara kami dan mereka mendesak kami untuk tinggal dengan mereka selama tujuh hari. Selepas itu, kami bertolak ke Roma. 15 Apabila saudara-saudara di Roma mendengar bahawa kami dalam perjalanan ke sana, mereka datang menemui kami di Penginapan Tiga, dan ada juga yang datang sejauh Pasar Apius. Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Tuhan dan menjadi lebih tabah.+ 16 Akhirnya kami tiba di Roma. Di situ, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri di bawah kawalan seorang askar.

17 Tiga hari kemudian dia memanggil para pemimpin orang Yahudi. Setelah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara, walaupun aku tidak bersalah terhadap bangsa kita dan tidak melakukan apa-apa yang bertentangan dengan adat istiadat nenek moyang kita,+ aku telah ditahan di Yerusalem dan diserahkan ke dalam tangan orang Roma.+ 18 Selepas aku disoal siasat,+ mereka mahu membebaskan aku kerana mereka mendapati bahawa aku tidak melakukan apa-apa yang menyebabkan aku harus dihukum bunuh.+ 19 Tetapi orang Yahudi membantah keputusan itu, maka aku terpaksa meminta agar diadili oleh Kaisar.+ Namun aku berbuat demikian bukanlah kerana aku mempunyai apa-apa tuduhan terhadap bangsaku. 20 Itulah sebabnya aku meminta supaya dapat berjumpa dan bercakap dengan kamu. Aku dibelenggu dengan rantai ini kerana dia yang diharapkan oleh orang Israel.”+ 21 Mereka berkata kepadanya, “Kami tidak pernah menerima surat dari Yudea mengenai kamu. Saudara-saudara yang datang dari sana juga tidak melaporkan atau mengatakan sesuatu yang buruk tentang kamu. 22 Tetapi kami berasa bahawa kami patut mendengar pendapat kamu, kerana kami tahu bahawa kumpulan agama ini+ dicela di mana-mana sahaja.”+

23 Maka mereka menetapkan satu hari untuk berjumpa dengannya. Pada hari itu, lebih ramai orang datang ke tempat penginapannya. Dari pagi sampai malam, dia menggunakan Hukum Musa+ dan Ajaran Para Nabi+ untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan. Dia menjelaskan hal itu untuk meyakinkan mereka tentang Yesus.+ 24 Sesetengah orang mempercayai kata-kata Paulus, tetapi yang lain enggan percaya. 25 Oleh sebab pendapat mereka saling bercanggahan, mereka mula beredar dari sana. Ketika itu Paulus mengatakan hal ini kepada mereka:

“Memang tepat apa yang dikatakan oleh kuasa suci Tuhan melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang kamu: 26 ‘Pergilah kepada bangsa ini dan katakanlah, “Kamu memang akan mendengar, tetapi tidak akan faham. Kamu memang akan melihat, tetapi tidak akan nampak.+ 27 Hati umat ini sudah menjadi tidak peka. Walaupun mereka mendengar, mereka berpura-pura tidak mendengar. Mereka memejamkan mata agar tidak melihat dan menutup telinga agar tidak mendengar. Jadi hati mereka tidak mempunyai pengertian dan mereka tidak kembali kepada Aku untuk disembuhkan.”’+ 28 Maka ketahuilah bahawa penyelamatan daripada Tuhan ini sudah diberitakan kepada bangsa-bangsa lain,+ dan mereka pasti akan mendengarkannya.”+ 29* ——

30 Paulus tinggal di rumah yang disewanya selama dua tahun,+ dan dengan ramah dia menyambut semua orang yang datang kepadanya. 31 Dia menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan mengajar mereka tentang Tuan Yesus Kristus dengan berani*+ dan tanpa halangan.

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Yunani, “sabbatou . . . odon,” jarak perjalanan yang boleh dibuat oleh orang Yahudi pada hari Sabat.

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “jam yang ke-3.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Kamus.

Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”

Lihat Kamus.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “berkongsi apa yang dimiliki.”

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “jam yang ke-9.”

Laluan berbumbung yang mempunyai banyak tiang.

Lihat Lampiran A5.

Atau “ditahan.”

Lihat Lampiran A5.

Iaitu, tidak dididik di sekolah agama Yahudi. Tidak bermaksud buta huruf.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Laluan berbumbung yang mempunyai banyak tiang.

Atau “kumpulan agama.” Lihat Kamus.

Lihat Lampiran A5.

Atau “pokok.”

Atau “memukul.”

Atau mungkin, “melakukan hal yang sama terhadap.”

Atau “ada bijirin.”

Harfiah, “kebijaksanaan.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “khemah kesaksian.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “Kulit hati dan telinga kamu tidak bersunat.”

Atau “sehingga menggertakkan gigi sambil memandang.”

Lihat Lampiran A5.

Atau mungkin, “sebuah kota di.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “Habsyah.”

Lihat Lampiran A3.

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “mengikat.”

Lihat Lampiran A5.

Nama Dorkas dalam bahasa Yunani dan Tabita dalam bahasa Aram bermaksud “Gazel,” iaitu sejenis rusa.

Pasukan tentera Roma yang terdiri daripada 600 orang askar.

Harfiah, “jam yang ke-9.”

Pada masa itu, kebanyakan rumah mempunyai bumbung yang rata. Orang boleh berjalan, tidur, atau menyambut tetamu, di situ.

Harfiah, “jam yang ke-6.”

Atau “dan binatang menjalar.”

Harfiah, “jam yang ke-9.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “pokok.”

Atau “dan binatang menjalar.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “untuk mengadilinya di hadapan.”

Lihat Kamus.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “Niger.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Kamus.

Elimas ialah Bar-Yesus yang disebut di ayat 6.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “pokok.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “pintu iman.”

Atau “kumpulan agama.” Lihat Kamus.

Nama lain bagi Simon Petrus.

Atau “pondok; rumah.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.

Atau “yang dibunuh tanpa mengeluarkan darahnya.”

Atau “yang dibunuh tanpa mengeluarkan darahnya.”

Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.

Atau “Selamat tinggal.”

Lihat Lampiran A3.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “pasar.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “menaakul.”

Atau “pasar.”

Gelaran bagi maharaja Roma.

Atau “menaakul.”

Atau “melawat ke situ.”

Atau “Paulus akan menaakul dengan mereka.”

Iaitu, rumah ibadat.

Lihat Kamus.

Atau “menaakul.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “menaakul.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Kamus.

Harfiah, “hari pertama dalam seminggu.” Bagi orang Yahudi, hari Ahad ialah hari pertama dalam seminggu.

Atau “serigala yang menindas.”

Harfiah, “yang merupakan anak dara.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “yang dibunuh tanpa mengeluarkan darahnya.”

Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.

Mereka percaya bahawa mereka akan menjadi orang yang terkutuk jika mereka tidak dapat memenuhi sumpah yang diucapkan.

Harfiah, “jam yang ke-3.”

Lihat Lampiran A3.

Atau “yang tidak bersalah.”

Harfiah, “Tuan.”

Atau “kumpulan agama.” Lihat Kamus.

Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”

Iaitu, angin timur laut.

Perahu kecil yang digunakan sebagai bot penyelamat.

Lihat Kamus.

Harfiah, “20 fatom.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “15 fatom.”

Orang yang tidak bertutur dalam bahasa Yunani.

Yunani, Diʹke, mungkin merujuk kepada dewi yang menuntut keadilan atau personifikasi keadilan.

Lihat Lampiran A3.

Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi