PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 6 1A-2433
  • Yosua

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Yosua
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Yosua

YOSUA

1 Selepas kematian Musa, hamba Yehuwa itu, Yehuwa berfirman kepada pembantu+ Musa, iaitu Yosua*+ anak Nun, 2 “Hamba-Ku Musa sudah meninggal.+ Sekarang, hendaklah engkau dan semua umat Israel bersiap sedia. Seberangilah Sungai Yordan dan pergilah ke tanah yang akan Aku berikan kepada mereka.+ 3 Aku akan memberi kamu setiap tempat yang dipijak kakimu, sebagaimana yang telah Aku janjikan kepada Musa.+ 4 Kawasan kamu akan bermula dari padang belantara hingga Lebanon; dari sungai besar, iaitu Sungai Efrat, sampai ke Laut Tengah* yang terletak di sebelah barat,+ termasuk seluruh negeri orang Het.+ 5 Selama engkau hidup, tiada seorang pun yang dapat mengalahkan engkau.+ Aku akan menyertai engkau sebagaimana Aku telah menyertai Musa.+ Aku tidak sekali-kali akan mengabaikan engkau atau meninggalkan engkau.+ 6 Hendaklah engkau berani dan teguh,+ kerana engkaulah yang akan memimpin umat ini untuk mewarisi negeri itu. Aku telah bersumpah kepada nenek moyang mereka bahawa Aku akan memberikan negeri itu kepada mereka.+

7 “Hendaklah engkau berani dan teguh. Pastikan engkau sentiasa mematuhi seluruh Hukum yang telah diperintahkan oleh hamba-Ku Musa kepadamu. Janganlah menyimpang daripada Hukum itu, baik ke kiri mahupun ke kanan,+ agar engkau dapat bertindak dengan bijak ke mana pun engkau pergi.+ 8 Hendaklah engkau sentiasa bercakap tentang kitab yang mengandungi Hukum itu.+ Bacalah dan renungkannya siang dan malam, supaya engkau mematuhi semua yang tertulis dalamnya dengan sungguh-sungguh.+ Dengan demikian, engkau akan berjaya dan bertindak dengan bijak.+ 9 Sesungguhnya Aku memerintahkan engkau: Hendaklah engkau berani dan teguh. Janganlah berasa takut atau gentar kerana Aku, Yehuwa, ialah Tuhanmu yang akan menyertaimu ke mana sahaja engkau pergi.”+

10 Selepas itu, Yosua memberikan arahan kepada para pemimpin umat Israel, 11 “Pergilah ke seluruh perkhemahan dan perintahkan umat itu, ‘Sediakan makanan kerana dalam masa tiga hari kamu akan menyeberangi Sungai Yordan. Kamu akan menakluki tanah yang akan diberikan oleh Tuhanmu Yehuwa kepada kamu.’”+

12 Yosua berkata kepada suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye, 13 “Ingatlah apa yang telah diperintahkan oleh Musa, hamba Yehuwa, kepada kamu:+ ‘Yehuwa, Tuhan kamu, akan memberi kamu kedamaian dan Dia sudah memberi kamu tanah ini. 14 Semua isteri dan anak kamu serta ternakan kamu harus tinggal di tanah yang telah diberikan oleh Musa kepada kamu di sebelah timur Sungai Yordan.+ Tetapi kamu harus mengatur barisan tentera kamu dan menyeberangi sungai mendahului saudara-saudaramu yang lain.+ Semua askar kamu yang gagah+ harus membantu mereka 15 sehingga Yehuwa memberi saudara-saudara kamu kedamaian, seperti yang telah diberikan-Nya kepada kamu. Setelah mereka menakluki tanah yang diberikan oleh Tuhanmu Yehuwa kepada mereka, barulah kamu boleh kembali dan menetap di tanah yang telah diberikan kepada kamu, iaitu tanah yang diberikan oleh Musa, hamba Yehuwa, kepada kamu di sebelah timur Sungai Yordan.’”+

16 Mereka berkata kepada Yosua, “Kami akan melakukan segala yang kamu perintahkan, dan pergi ke mana sahaja kamu suruh kami pergi.+ 17 Sebagaimana kami mematuhi segala perintah Musa, kami juga akan mematuhi perintahmu. Semoga Yehuwa, Tuhanmu, menyertai kamu sebagaimana Dia telah menyertai Musa.+ 18 Sesiapa yang melawan perintahmu dan enggan menurut semua arahanmu akan dihukum mati.+ Hendaklah kamu berani dan teguh.”+

2 Kemudian, tanpa diketahui orang lain, Yosua anak Nun mengutus dua orang sebagai pengintip. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah periksa negeri itu, terutamanya kota Yerikho.” Apabila dua orang itu bertolak dari Sitim+ dan pergi ke kota tersebut, mereka bermalam di rumah seorang pelacur yang bernama Rahab.+ 2 Raja Yerikho diberitahu, “Beberapa orang Israel telah datang pada malam ini untuk mengintip negeri ini!” 3 Maka raja Yerikho menyuruh orang memberitahu Rahab, “Orang yang tinggal di rumahmu itu datang untuk mengintip seluruh negeri ini. Bawalah mereka ke luar!”

4 Rahab sudah menyembunyikan dua orang itu, lalu dia berkata, “Memang ada beberapa orang yang datang kepada aku, tetapi aku tidak tahu dari mana mereka datang. 5 Apabila hari mula gelap, mereka keluar sebelum pintu gerbang kota ditutup. Aku tidak tahu ke mana mereka pergi, tetapi tuan masih sempat menangkap mereka jika tuan segera mengejar mereka.” 6 (Sebenarnya Rahab telah membawa dua orang itu ke bumbung rumahnya dan menyembunyikan mereka di bawah timbunan batang flaks* yang diletakkan di atas bumbung.) 7 Maka para utusan raja itu bergegas ke arah tempat orang menyeberangi Sungai Yordan+ untuk mengejar pengintip-pengintip itu. Sebaik sahaja para utusan raja keluar, pintu gerbang ditutup.

8 Sebelum pengintip-pengintip itu tidur, Rahab naik ke atas bumbung untuk berjumpa dengan mereka. 9 Dia berkata, “Aku tahu Yehuwa pasti akan memberi kamu negeri ini.+ Kamu telah menyebabkan kami dicengkam rasa takut,+ dan semua penduduk negeri ini sudah lemah semangat kerana kamu.+ 10 Kami mendengar bahawa Yehuwa telah mengeringkan Laut Merah di hadapan kamu ketika kamu meninggalkan Mesir.+ Kami juga mendengar bahawa kamu telah menghapuskan Sihon+ dan Og,+ iaitu dua orang raja bangsa Amori di sebelah timur Sungai Yordan. 11 Kami sangat takut semasa mendengar hal-hal itu. Tiada seorang pun yang berani menentang kamu, kerana Tuhanmu Yehuwa ialah Tuhan yang berkuasa atas syurga dan bumi.+ 12 Sekarang, bersumpahlah demi Yehuwa bahawa kamu akan menunjukkan kasih yang setia kepada keluarga bapaku, sebagaimana aku telah menunjukkan kasih yang setia kepada kamu. Berilah aku suatu tanda jaminan yang dapat aku percayai, 13 supaya ibu bapaku, adik-beradikku, dan semua ahli keluarga mereka akan dibiarkan hidup. Selamatkanlah kami supaya kami tidak dibunuh.”+

14 Pengintip-pengintip itu berkata kepada Rahab, “Nyawa kami ialah jaminan bagimu! Jika kamu tidak memberitahu orang lain tentang kami, maka kami akan menunjukkan kesetiaan dan kebaikan hati* yang melimpah kepadamu apabila Yehuwa memberikan negeri ini kepada kami.” 15 Kemudian Rahab menggunakan tali untuk menurunkan pengintip-pengintip itu melalui tingkap. (Rumahnya dibina pada tembok kota.)+ 16 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke kawasan pergunungan supaya kamu tidak dijumpai oleh para utusan raja. Sembunyilah selama tiga hari di sana sehingga mereka kembali ke kota. Setelah itu, kamu boleh meneruskan perjalanan.”

17 Pengintip-pengintip itu berkata, “Kami hanya terikat dengan sumpah kami kepadamu+ 18 jika kamu melakukan hal ini: Apabila kami memasuki negeri ini, kamu mesti mengikat tali merah ini pada tingkap tempat kamu menurunkan kami. Kumpulkanlah bapamu, ibumu, saudara-saudaramu, dan semua keluarga bapamu di dalam rumah ini.+ 19 Jika ada sesiapa yang keluar dari rumahmu, dia harus bertanggungjawab atas nyawanya sendiri. Kami tidak bersalah sekiranya dia terbunuh. Tetapi, jika sesuatu terjadi kepada orang yang berada di dalam rumahmu, kamilah yang akan menanggung hutang darah itu. 20 Jika kamu memberitahu orang lain tentang kami,+ maka kami akan bebas daripada sumpah kami kepadamu.” 21 Rahab berkata, “Baiklah.”

Kemudian dia menyuruh mereka pergi. Setelah mereka beredar, dia mengikat tali merah itu pada tingkapnya. 22 Pengintip-pengintip itu pergi ke kawasan pergunungan dan tinggal di sana selama tiga hari, sehingga para utusan raja kembali ke kota. Para utusan itu mencari di setiap jalan, tetapi tidak dapat menjumpai mereka. 23 Kemudian, dua orang pengintip itu turun dari kawasan pergunungan, menyeberangi sungai, lalu berjumpa dengan Yosua anak Nun. Mereka memberitahunya semua perkara yang terjadi kepada mereka. 24 Kemudian mereka berkata kepada Yosua, “Yehuwa telah menyerahkan seluruh negeri itu kepada kita.+ Semua penduduk di negeri itu sudah lemah semangat disebabkan kita.”+

3 Pada awal pagi Yosua bangun lalu berangkat bersama dengan semua umat Israel. Mereka meninggalkan Sitim+ lalu sampai di kawasan Sungai Yordan. Mereka bermalam di situ sebelum menyeberangi sungai.

2 Selepas tiga hari, para pemimpin Israel+ pergi ke seluruh perkhemahan 3 lalu memberikan perintah berikut kepada umat Israel: “Sebaik sahaja kamu nampak imam-imam daripada suku Lewi membawa tabut perjanjian Yehuwa, Tuhan kamu,+ berangkatlah dan ikutlah mereka. 4 Pastikan terdapat jarak kira-kira 900 meter* antara kamu dengan tabut itu, dan janganlah menghampiri tabut perjanjian agar kamu tahu jalan yang harus kamu ikuti, kerana jalan itu belum pernah kamu lalui.”

5 Yosua berkata kepada umat itu, “Sucikanlah diri kamu,+ kerana esok Yehuwa akan melakukan hal-hal yang menakjubkan dalam kalangan kamu.”+

6 Kemudian Yosua berkata kepada para imam, “Angkatlah tabut+ perjanjian dan berjalanlah mendahului umat Israel.” Maka para imam pun berbuat demikian.

7 Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Mulai hari ini, Aku akan memuliakan engkau di hadapan semua umat Israel,+ agar mereka tahu bahawa Aku akan menyertaimu+ sebagaimana Aku telah menyertai Musa.+ 8 Berikanlah perintah berikut kepada imam-imam yang membawa tabut perjanjian: ‘Sebaik sahaja kamu sampai di tebing Sungai Yordan, kamu harus masuk ke dalam sungai dan berdiri di dalam sungai itu.’”+

9 Yosua berkata kepada orang Israel, “Marilah dan dengarlah firman Yehuwa, Tuhan kamu.” 10 Yosua berkata, “Kamu akan tahu bahawa Tuhan yang hidup berada dalam kalangan kamu,+ dan Dia pasti akan mengusir orang Kanaan, orang Het, orang Hewi, orang Feris, orang Girgashi, orang Amori, dan orang Yebus dari hadapan kamu.+ Kamu akan mengetahui hal ini apabila 11 kamu melihat tabut perjanjian Tuhan yang berkuasa atas seluruh bumi, dibawa turun ke Sungai Yordan di hadapan kamu. 12 Sekarang, pilihlah 12 orang, seorang daripada tiap-tiap suku Israel.+ 13 Sebaik sahaja para imam yang membawa tabut perjanjian Yehuwa, Tuhan yang berkuasa atas seluruh bumi, memasukkan kaki ke dalam air Sungai Yordan, air sungai yang mengalir dari hulu akan berhenti, dan menjadi benteng air yang terbendung di satu tempat.”+

14 Apabila umat Israel berangkat dari tapak perkhemahan mereka untuk menyeberangi Sungai Yordan, para imam yang membawa tabut+ perjanjian berjalan di hadapan mereka. 15 Masa itu ialah musim menuai, dan sepanjang waktu itu, paras air Sungai Yordan akan naik dan membanjiri kawasan tebing sungai.+ Tetapi sebaik sahaja para imam yang membawa tabut perjanjian tiba di Sungai Yordan dan memasukkan kaki mereka ke dalam air di tebing sungai, 16 air yang mengalir dari hulu sungai pun berhenti. Jauh di hulu sungai, sebuah benteng air terbentuk di Adam, iaitu sebuah kota berhampiran Zaretan. Pada masa yang sama, air di hilir yang mengalir ke Laut Araba, iaitu Laut Mati, semakin surut. Setelah air sungai dihentikan, umat Israel menyeberangi sungai di tempat yang berhadapan dengan kota Yerikho. 17 Sementara orang Israel berjalan di atas dasar Sungai Yordan yang kering,+ para imam yang membawa tabut perjanjian Yehuwa terus berdiri di tengah-tengah dasar sungai yang kering itu,+ sehingga seluruh umat Israel tiba di seberang.

4 Sebaik sahaja seluruh bangsa itu menyeberangi Sungai Yordan, Yehuwa berfirman kepada Yosua, 2 “Pilihlah 12 orang, seorang daripada tiap-tiap suku Israel,+ 3 dan berikanlah perintah berikut kepada mereka: ‘Ambillah 12 buah batu dari tengah-tengah Sungai Yordan, dari tempat para imam itu berdiri.+ Kemudian bawalah batu itu bersama kamu dan letakkannya di tempat kamu akan bermalam.’”+

4 Maka Yosua memanggil 12 orang yang dipilihnya, seorang daripada tiap-tiap suku Israel. 5 Yosua berkata kepada mereka, “Pergilah ke tengah-tengah Sungai Yordan, di hadapan tabut Yehuwa, Tuhan kamu. Setiap orang harus memikul sebuah batu di atas bahu. Jumlah batu itu adalah menurut jumlah suku-suku Israel. 6 Batu-batu itu akan menjadi tanda peringatan bagi kamu. Pada masa yang akan datang apabila anak-anak kamu bertanya, ‘Mengapakah batu-batu itu ada di sini?’+ 7 beritahulah mereka, ‘Kerana Sungai Yordan telah berhenti mengalir sewaktu tabut+ perjanjian Yehuwa dibawa menyeberangi sungai itu. Batu-batu itu akan sentiasa mengingatkan umat Israel tentang peristiwa itu.’”+

8 Maka orang Israel pun melakukan segala yang diperintahkan oleh Yosua. Mereka mengambil 12 buah batu dari tengah-tengah Sungai Yordan, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Yosua. Jumlah batu-batu itu adalah menurut jumlah suku-suku Israel. Kemudian mereka membawa batu-batu itu ke tempat mereka akan bermalam dan meletakkannya di sana.

9 Yosua juga meletakkan 12 buah batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat para imam yang membawa tabut perjanjian itu berdiri.+ Batu-batu itu masih ada di sana sampai sekarang.

10 Para imam yang membawa tabut perjanjian tetap berdiri di tengah-tengah Sungai Yordan, sehingga selesainya segala yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Yosua untuk disampaikan kepada orang Israel, iaitu segala perintah yang diberikan oleh Musa kepada Yosua. Sementara itu, umat Israel menyeberangi sungai dengan cepat. 11 Setelah seluruh umat itu menyeberangi sungai, imam-imam yang membawa tabut Yehuwa pun menyeberangi sungai di hadapan mereka.+ 12 Suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye mengatur barisan tentera mereka dan menyeberangi sungai mendahului orang Israel yang lain,+ seperti yang diperintahkan oleh Musa.+ 13 Semuanya ada kira-kira 40,000 orang askar yang telah siap untuk berperang. Di hadapan Yehuwa, mereka menyeberang ke padang gurun yang berhampiran dengan Yerikho.

14 Pada hari itu, Yehuwa memuliakan Yosua di hadapan umat Israel.+ Mereka sangat menghormati* Yosua sepanjang hayatnya sebagaimana mereka sangat menghormati Musa dahulu.+

15 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Yosua, 16 “Perintahkan para imam yang membawa tabut+ perjanjian untuk keluar dari Sungai Yordan.” 17 Maka Yosua menyuruh imam-imam itu, “Keluarlah dari Sungai Yordan.” 18 Para imam yang membawa tabut+ perjanjian Yehuwa pun keluar dari tengah-tengah Sungai Yordan. Sebaik sahaja mereka menginjakkan kaki ke atas tanah yang kering, air sungai mengalir lagi dan membanjiri kawasan tebing sungai+ seperti sebelumnya.

19 Pada hari ke-10 bulan pertama, umat Israel menyeberangi Sungai Yordan lalu berkhemah di Gilgal,+ yang terletak di sebelah timur sempadan Yerikho.

20 Dua belas buah batu yang diambil dari Sungai Yordan itu diletakkan oleh Yosua di Gilgal.+ 21 Kemudian dia berkata kepada umat Israel, “Pada masa yang akan datang, apabila anak-anak kamu bertanya, ‘Apakah erti batu-batu ini?’+ 22 jelaskanlah kepada mereka, ‘Umat Israel telah menyeberangi Sungai Yordan di atas tanah yang kering.+ 23 Ketika itu Yehuwa, Tuhan kamu, telah mengeringkan Sungai Yordan di hadapan kami sehingga kami menyeberanginya, sebagaimana Yehuwa, Tuhan kamu, mengeringkan Laut Merah di hadapan orang Israel sehingga mereka menyeberanginya.+ 24 Tuhan berbuat demikian agar semua orang di seluruh bumi tahu bahawa tangan Yehuwa amat berkuasa,+ dan agar kamu sentiasa takut akan Yehuwa, Tuhan kamu.’”

5 Semua raja orang Amori+ yang berada di sebelah barat Sungai Yordan, dan semua raja orang Kanaan+ yang berada di persisiran laut mendengar bahawa Yehuwa telah mengeringkan Sungai Yordan di hadapan orang Israel sehingga mereka semua menyeberanginya. Sebaik sahaja raja-raja tersebut mendengar hal itu, mereka patah semangat+ dan hilang keberanian disebabkan orang Israel.+

2 Pada masa itu, Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Buatlah beberapa bilah pisau daripada batu dan sunatlah+ orang Israel sekali lagi.” 3 Maka Yosua membuat beberapa bilah pisau daripada batu dan menyunat orang Israel di Gibeat-haaralot.*+ 4 Yosua menyunat mereka atas sebab berikut: Selepas orang Israel keluar dari Mesir, semua lelaki dalam kalangan mereka yang cukup umur untuk berperang telah meninggal semasa mereka dalam perjalanan di padang belantara.+ 5 Semua orang yang keluar dari Mesir telah disunat, tetapi semua orang yang lahir dalam perjalanan di padang belantara tidak disunat. 6 Orang Israel yang meninggalkan Mesir telah mengembara di padang belantara selama 40 tahun,+ sehingga semua lelaki dalam kalangan mereka yang cukup umur untuk berperang telah mati kerana mereka mengingkari perintah Yehuwa.+ Yehuwa bersumpah bahawa mereka tidak sekali-kali dibenarkan melihat tanah+ yang melimpah dengan susu dan madu,+ meskipun Yehuwa telah bersumpah kepada nenek moyang mereka bahawa Dia akan memberikan tanah itu kepada umat-Nya.*+ 7 Maka Tuhan telah menggantikan mereka dengan anak-anak mereka.+ Anak-anak inilah yang disunat oleh Yosua, kerana mereka belum pernah disunat sepanjang perjalanan.

8 Selepas disunat, seluruh bangsa itu terus berehat di perkhemahan sehingga mereka sembuh.

9 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Pada hari ini Aku telah menyingkirkan* penghinaan orang Mesir terhadap kamu.” Itulah sebabnya tempat itu dipanggil Gilgal*+ sampai hari ini.

10 Orang Israel terus berkhemah di Gilgal. Pada hari ke-14 bulan pertama, mereka merayakan Paska*+ pada waktu senja di padang gurun yang berhampiran dengan Yerikho. 11 Keesokan harinya selepas merayakan Paska, mereka mula makan roti tidak beragi+ dan bijirin panggang, iaitu hasil tanah Kanaan. 12 Pada hari orang Israel makan hasil tanah Kanaan, mereka tidak diberi manna lagi.+ Mulai tahun itu, mereka makan hasil tanah di negeri itu.+

13 Ketika Yosua berada dekat kota Yerikho, dia nampak seorang lelaki+ berdiri di depannya sambil memegang sebilah pedang yang terhunus.+ Yosua menghampirinya dan bertanya, “Adakah kamu berada di pihak kami atau di pihak lawan kami?” 14 Lelaki itu menjawab, “Sebenarnya, aku datang sebagai ketua tentera Yehuwa.”+ Yosua bersujud kepadanya sebagai tanda hormat dan berkata, “Apakah perintah tuan kepada hamba?” 15 Ketua tentera Yehuwa menjawab, “Tanggalkanlah kasutmu kerana kamu sedang berdiri di tempat yang suci.” Yosua pun segera berbuat demikian.+

6 Pada waktu itu, pintu-pintu gerbang kota Yerikho ditutup rapat kerana orang Israel. Tiada seorang pun yang dapat masuk atau keluar dari situ.+

2 Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Lihatlah, Aku telah menyerahkan kota Yerikho, rajanya, dan semua askarnya yang perkasa kepadamu.+ 3 Hendaklah semua askar Israel berkawad mengelilingi kota itu sekali sehari. Lakukanlah hal itu selama enam hari. 4 Tujuh orang imam yang masing-masing membawa sebuah trompet harus berjalan di hadapan tabut perjanjian. Pada hari ketujuh, kamu semua harus berkawad mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali, dan imam-imam itu harus meniup trompet.+ 5 Sebaik sahaja semua orang mendengar trompet ditiup dengan bunyi yang panjang, mereka harus berteriak dengan kuat, lalu tembok kota itu akan roboh.+ Pada waktu itu, semua askarmu harus menyerbu kota itu.”

6 Maka Yosua anak Nun memanggil para imam dan berkata kepada mereka, “Bawalah tabut perjanjian Yehuwa, dan tujuh orang imam yang masing-masing membawa sebuah trompet harus berjalan di hadapan tabut itu.”+ 7 Kemudian Yosua berkata kepada askar-askarnya, “Pergilah berkawad mengelilingi kota itu. Angkatan bersenjata+ harus berjalan di hadapan tabut Yehuwa.” 8 Sebagaimana yang diperintahkan oleh Yosua, tujuh orang imam yang membawa trompet berjalan di hadapan Yehuwa sambil meniup trompet masing-masing, diikuti dengan imam-imam yang membawa tabut perjanjian Yehuwa. 9 Angkatan bersenjata berjalan di hadapan tujuh orang imam yang meniup trompet, dan terdapat barisan pengawal yang berjalan di belakang para imam yang membawa tabut perjanjian. Sepanjang waktu itu, para imam terus meniup trompet.

10 Yosua telah memberikan perintah berikut kepada askar-askarnya: “Jangan berteriak, bersuara, atau mengucapkan sepatah kata pun. Pada hari aku menyuruh kamu berteriak, barulah kamu boleh berteriak.” 11 Demikianlah Yosua menyuruh orang membawa tabut Yehuwa mengelilingi kota itu satu kali. Selepas berbuat demikian, mereka pulang ke perkhemahan dan bermalam di situ.

12 Keesokan paginya, Yosua bangun awal, dan para imam mengangkat tabut+ Yehuwa. 13 Tujuh orang imam yang membawa trompet berjalan di hadapan tabut Yehuwa sambil meniup trompet. Pada masa yang sama, angkatan bersenjata berjalan di hadapan tujuh orang imam itu, manakala barisan pengawal berjalan di belakang imam-imam yang mengangkat tabut Yehuwa. Sepanjang masa itu, trompet terus ditiup. 14 Pada hari kedua, mereka berkawad mengelilingi kota itu satu kali, lalu kembali ke perkhemahan. Itulah yang dilakukan oleh mereka selama enam hari.+

15 Pada hari ketujuh mereka bangun awal ketika fajar menyingsing. Mereka berkawad mengelilingi kota itu dengan cara yang sama sebanyak tujuh kali. Hanya pada hari itu, mereka berkawad mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali.+ 16 Pada kali ketujuh, apabila imam-imam meniup trompet, Yosua berkata kepada askar-askarnya, “Berteriaklah,+ kerana Yehuwa sudah menyerahkan kota itu kepada kamu! 17 Kota itu dan segala yang ada di dalamnya mesti dimusnahkan sama sekali.+ Semua itu milik Yehuwa. Hanya Rahab,+ iaitu pelacur itu, dan semua orang yang ada bersamanya di dalam rumahnya diizinkan hidup, kerana dia telah menyembunyikan pengintip-pengintip kita.+ 18 Tetapi kamu mesti menjauhi apa sahaja yang mesti dimusnahkan,+ supaya kamu tidak menginginkannya lalu mengambilnya.+ Jika kamu mengambil sesuatu yang mesti dimusnahkan, kamu akan mendatangkan malapetaka kepada perkhemahan orang Israel lalu menyebabkan mereka semua dimusnahkan.+ 19 Semua emas, perak, dan benda-benda yang diperbuat daripada tembaga dan besi, suci di mata Yehuwa+ dan harus dibawa ke tempat penyimpanan harta milik Yehuwa.”+

20 Apabila trompet dibunyikan, askar-askar pun berteriak dengan kuat.+ Sebaik sahaja mereka berbuat demikian, tembok kota itu roboh.+ Kemudian, mereka menyerbu kota itu dan menawannya. 21 Segala sesuatu yang ada di dalam kota itu telah dimusnahkan oleh mereka. Semua lelaki dan perempuan, baik yang tua mahupun yang muda, dan semua lembu, biri-biri, dan keldai telah dibunuh oleh mereka dengan pedang.+

22 Yosua berkata kepada dua orang yang pernah mengintip negeri itu, “Pergilah ke rumah pelacur itu, lalu bawalah dia dan semua orang yang ada bersamanya keluar, seperti yang telah kamu janjikan kepadanya.”+ 23 Maka dua orang pengintip muda itu masuk ke dalam rumah Rahab lalu membawanya keluar bersama-sama ibu bapanya, saudara-saudaranya, dan semua orang yang ada bersamanya.+ Selepas itu, mereka membawa seluruh ahli keluarga Rahab ke tempat yang selamat di luar perkhemahan orang Israel.

24 Kemudian mereka membakar kota itu dan semua yang ada di dalam kota itu. Tetapi emas, perak, dan benda-benda yang diperbuat daripada tembaga dan besi dibawa ke tempat penyimpanan harta di rumah Yehuwa.+ 25 Yosua menyelamatkan Rahab, iaitu pelacur itu, keluarga bapanya, dan semua orang yang ada bersamanya,+ kerana Rahab telah menyembunyikan dua orang yang diutus oleh Yosua untuk mengintip kota Yerikho.+ Rahab menetap di Israel sampai hari ini.+

26 Pada masa itu, Yosua bersumpah di hadapan umum,* “Sesiapa yang mencuba membina semula kota Yerikho akan menjadi orang yang terkutuk di hadapan Yehuwa. Sesiapa yang meletakkan asas kota itu akan kehilangan anak sulungnya, manakala sesiapa yang memasang pintu-pintu gerbang kota itu akan kehilangan anak bongsunya.”+

27 Yehuwa menyertai Yosua+ dan dia menjadi masyhur* di seluruh bumi.+

7 Namun orang Israel tidak setia kepada Tuhan. Mereka mengingkari perintah tentang benda-benda yang mesti dimusnahkan. Seorang lelaki yang bernama Akhan+ telah mengambil sesuatu yang mesti dimusnahkan,+ dan menyebabkan Yehuwa murka terhadap orang Israel.+ Akhan ialah anak Karmi dan cucu Zabdi. Dia merupakan keturunan Zerah daripada suku Yehuda.

2 Yosua mengutus beberapa orang dari Yerikho ke Ai,+ iaitu sebuah kota berhampiran Bet-awen, yang terletak di sebelah timur Bethel.+ Dia berkata kepada mereka, “Pergilah mengintip negeri itu.” Maka mereka pergi mengintip kota Ai. 3 Kemudian mereka kembali dan berkata kepada Yosua, “Penduduk kota Ai sedikit sahaja. Jadi dua atau tiga ribu orang pun sudah cukup untuk mengalahkan mereka. Tidak perlu kita menyusahkan seluruh angkatan tentera dan menyuruh mereka semua pergi.”

4 Oleh itu kira-kira 3,000 orang telah pergi ke Ai, tetapi mereka terpaksa melarikan diri daripada orang di situ.+ 5 Dari luar pintu gerbang kota, orang Ai mengejar orang Israel sepanjang lereng bukit sehingga mereka turun ke Shebarim,* dan 36 orang Israel telah dibunuh. Oleh itu, orang Israel hilang keberanian dan mereka dicengkam rasa takut.*

6 Yosua dan para pemimpin Israel mengoyakkan pakaian kerana sedih, lalu sujud di hadapan tabut Yehuwa sehingga matahari terbenam. Mereka terus menghamburkan tanah ke atas kepala mereka. 7 Yosua berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, mengapakah Engkau membawa umat ini menyeberangi Sungai Yordan lalu menyerahkan kami kepada orang Amori untuk dibinasakan? Bukankah lebih baik jika kami tinggal di sebelah timur Sungai Yordan sahaja? 8 Ya Yehuwa, maafkanlah aku, apakah yang dapat aku katakan sekarang, setelah orang Israel melarikan diri daripada musuh mereka? 9 Orang Kanaan dan semua penduduk di negeri ini akan mendengar tentang hal itu. Mereka akan mengepung kami dan melenyapkan nama kami dari muka bumi. Ketika itu, bagaimanakah Engkau akan mempertahankan nama-Mu yang agung?”+

10 Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Bangunlah! Mengapa engkau bersujud? 11 Orang Israel telah berdosa. Mereka melanggar perjanjian+ yang Aku suruh mereka patuhi. Mereka telah mengambil sebahagian daripada barang-barang yang mesti dimusnahkan.+ Mereka mencuri+ barang-barang itu dan menyembunyikannya bersama barang kepunyaan mereka sendiri.+ 12 Itulah sebabnya orang Israel tidak akan berjaya mengalahkan musuh. Mereka akan berpaling dan melarikan diri daripada musuh, kerana mereka sudah menjadi sesuatu yang mesti dimusnahkan. Aku tidak akan menyertai kamu lagi selagi kamu tidak menyingkirkan apa-apa sahaja yang mesti dimusnahkan daripada kalangan kamu.+ 13 Bangunlah dan sucikan umat itu!+ Beritahulah mereka, ‘Sucikanlah diri kamu esok kerana Yehuwa, Tuhan orang Israel, berfirman, “Hai orang Israel, dalam kalangan kamu ada sesuatu yang mesti dimusnahkan. Kamu tidak akan berjaya mengalahkan musuh selagi kamu tidak menyingkirkan apa-apa sahaja yang mesti dimusnahkan daripada kalangan kamu. 14 Esok pagi kamu semua harus tampil ke depan, suku demi suku. Suku yang dipilih oleh Yehuwa+ akan tampil, puak demi puak. Puak yang dipilih oleh Yehuwa akan tampil, keluarga demi keluarga. Kemudian, keluarga yang dipilih oleh Yehuwa akan tampil, seorang demi seorang. 15 Orang yang didapati mengambil barang-barang yang mesti dimusnahkan, harus mati dan dibakar+ bersama segala miliknya, kerana dia telah melanggar perjanjian+ Yehuwa dan melakukan sesuatu yang memalukan dalam kalangan orang Israel.”’”

16 Keesokan paginya, Yosua bangun awal dan menyuruh orang Israel tampil suku demi suku. Lalu suku Yehuda yang dipilih. 17 Dia menyuruh suku Yehuda tampil, puak demi puak, lalu puak Zerah+ yang dipilih. Kemudian dia menyuruh semua lelaki dalam puak Zerah tampil, seorang demi seorang, lalu Zabdi yang dipilih. 18 Selepas itu, Yosua menyuruh keluarga Zabdi tampil, seorang demi seorang. Akhirnya, Akhan yang dipilih. Akhan ialah anak Karmi, cucu Zabdi yang merupakan keturunan Zerah, daripada suku Yehuda.+ 19 Lalu Yosua berkata kepada Akhan, “Hai anakku, berikanlah kemuliaan kepada Yehuwa, Tuhan orang Israel, dan akuilah perbuatanmu kepada-Nya. Beritahulah aku apa yang telah kamu lakukan. Jangan sembunyikan perkara itu daripadaku.”

20 Akhan menjawab, “Sesungguhnya akulah yang telah berdosa terhadap Yehuwa, Tuhan orang Israel. Inilah yang aku lakukan: 21 Antara barang-barang yang dirampas, aku melihat sehelai pakaian istimewa yang cantik dari Shinar,+ emas yang beratnya 570 gram,* dan perak yang beratnya lebih daripada dua kilogram.* Aku begitu menginginkan barang-barang itu sehingga aku mengambilnya. Barang-barang itu disembunyikan di dalam tanah, di khemahku, dan wang itu terletak di bawah sekali.”

22 Yosua segera menyuruh beberapa orang berlari ke khemah itu. Mereka mendapati pakaian itu disembunyikan di dalam khemahnya, dan wang itu disimpan di bawah sekali. 23 Mereka mengambil barang-barang itu keluar dari khemah lalu membawanya kepada Yosua dan semua umat Israel. Mereka meletakkan barang-barang itu di hadapan Yehuwa. 24 Kemudian Akhan+ daripada puak Zerah, bersama dengan wang perak, pakaian istimewa, dan emas+ itu dibawa oleh Yosua dan semua umat Israel ke Lembah* Akhor.+ Segala milik Akhan, termasuk semua anak lelaki dan anak perempuannya, lembu, keldai, biri-biri, kambing, dan khemahnya, juga dibawa ke situ. 25 Yosua berkata, “Mengapakah kamu menyebabkan kami ditimpa malapetaka?+ Hari ini, Yehuwa akan mendatangkan malapetaka kepadamu.” Maka semua orang Israel merejam Akhan, anggota keluarganya, dan segala miliknya, lalu membakar semuanya.+ Ya, mereka semua direjam sampai mati.+ 26 Kemudian, mereka menimbuni mayat Akhan dengan batu sehingga menjadi satu timbunan besar. Lalu kemarahan Yehuwa yang membara pun reda.+ Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Lembah Akhor* sehingga hari ini. Timbunan batu itu masih ada di sana sampai hari ini.

8 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut atau gentar.+ Bawalah semua askarmu dan pergilah menyerang kota Ai. Lihatlah, Aku telah menyerahkan raja Ai, rakyatnya, kotanya, dan tanahnya kepadamu.+ 2 Perlakukanlah kota Ai dan rajanya sebagaimana kamu telah memperlakukan kota Yerikho dan rajanya.+ Tetapi kamu boleh mengambil harta benda dan ternakan di kota itu untuk diri sendiri. Bersedialah untuk melancarkan serangan hendap dari belakang kota itu.”

3 Maka Yosua dan semua askarnya pergi menyerang Ai. Yosua memilih 30,000 orang askar yang perkasa dan menyuruh mereka pergi pada waktu malam. 4 Dia memberi mereka perintah berikut: “Bersembunyilah di belakang kota itu, tetapi jangan terlalu jauh, dan kamu semua harus bersiap sedia. 5 Aku dan semua askar yang ada bersamaku akan menghampiri kota itu. Apabila orang Ai keluar untuk menyerang kami seperti dahulu,+ kami akan melarikan diri. 6 Orang Ai akan berfikir, ‘Orang Israel sedang melarikan diri seperti dahulu.’+ Jadi, apabila mereka keluar untuk mengejar kami, kami akan melarikan diri dan mengumpan mereka sehingga mereka jauh dari kota. 7 Pada masa itu, kamu harus keluar dari tempat persembunyian dan menawan kota itu. Yehuwa, Tuhan kamu, akan menyerahkan kota itu kepada kamu. 8 Bakarlah kota itu sebaik sahaja kamu menawannya.+ Lakukanlah semua yang difirmankan oleh Yehuwa. Itulah perintahku kepada kamu.”

9 Kemudian Yosua menyuruh mereka berangkat, lalu mereka pergi ke tempat persembunyian. Mereka bersembunyi di antara Bethel dan Ai, di sebelah barat Ai. Yosua pula bermalam bersama askar-askar yang lain.

10 Keesokan paginya, Yosua bangun awal dan mengumpulkan semua askarnya. Kemudian, dia dan para pemimpin umat Israel memimpin mereka ke Ai. 11 Askar-askar+ yang bersama dengan Yosua terus maju ke bahagian depan kota. Mereka berkhemah di sebelah utara Ai, dan terdapat lembah di antara mereka dan Ai. 12 Pada masa yang sama, Yosua memilih kira-kira 5,000 orang askar dan menyuruh mereka bersembunyi+ di antara Bethel+ dan Ai, di sebelah barat kota Ai. 13 Maka pasukan utama berkhemah di sebelah utara kota+ dan pasukan serangan hendap pula berada di sebelah barat kota.+ Pada waktu malam, Yosua pergi ke tengah-tengah lembah* itu.

14 Sebaik sahaja raja kota Ai nampak orang Israel, dia dan askar-askarnya segera keluar dari kota pada awal pagi untuk berperang dengan mereka di sebuah tempat yang berhadapan dengan padang gurun. Raja tidak tahu bahawa dia akan diserbu dari belakang kota itu. 15 Semasa askar-askar Ai menyerang, Yosua dan orang Israel melarikan diri mengikut jalan yang menuju ke padang belantara.+ 16 Kemudian semua askar di kota Ai dikumpulkan untuk mengejar Yosua dan askar-askarnya. Apabila mereka mengejar Yosua, mereka semakin jauh dari kota Ai. 17 Semua lelaki dari kota Ai dan Bethel keluar untuk mengejar orang Israel dan mereka membiarkan pintu gerbang kota terbuka.

18 Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Halakan lembing yang engkau pegang itu ke arah kota Ai.+ Aku akan menyerahkan kota itu ke dalam tanganmu.”+ Maka Yosua pun berbuat demikian. 19 Sebaik sahaja Yosua mengangkat tangannya, askar-askar yang bersembunyi segera bangkit dan lari ke dalam kota itu. Mereka menawan kota Ai dan segera membakarnya.+

20 Semasa orang Ai menoleh ke belakang dan nampak asap dari kota itu naik ke langit, mereka tidak berdaya untuk berlari ke mana-mana lagi. Kemudian orang Israel yang sedang berlari ke arah padang belantara berpatah balik dan menyerang musuh-musuh yang mengejar mereka. 21 Yosua dan semua orang Israel melihat bahawa pasukan serangan hendap telah menawan kota Ai, dan mereka juga melihat asap dari kota itu naik ke langit. Maka mereka berpatah balik dan menyerang orang Ai. 22 Pasukan serangan hendap yang berada di dalam kota juga keluar untuk menyerang mereka. Orang Ai dikepung oleh askar Israel, baik dari depan mahupun dari belakang. Orang Israel membunuh mereka sehingga tiada seorang pun yang terselamat ataupun yang dapat melarikan diri.+ 23 Tetapi raja Ai+ ditangkap hidup-hidup dan dibawa kepada Yosua.

24 Orang Israel membunuh semua orang Ai yang mengejar mereka di padang belantara. Setelah semua musuh dibunuh dengan pedang, orang Israel kembali ke kota Ai dan membunuh semua orang yang berada di dalam kota itu dengan pedang. 25 Pada hari itu semua penduduk Ai telah dibunuh. Semua lelaki dan perempuan yang dibunuh berjumlah 12,000 orang. 26 Yosua terus menghalakan lembingnya+ ke arah kota Ai dan tidak menurunkan tangannya sehingga semua penduduk kota itu dibunuh.+ 27 Orang Israel mengambil ternakan dan harta benda kota itu untuk diri mereka sendiri, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Yosua.+

28 Yosua membakar kota Ai dan menjadikannya reruntuhan yang kekal.+ Keadaan kota itu masih begitu sampai hari ini. 29 Yosua menggantungkan mayat raja Ai pada sebatang tiang* sehingga waktu senja. Apabila matahari hampir terbenam, Yosua memberikan perintah supaya mayat itu diturunkan.+ Kemudian mereka membuang mayat itu di depan pintu gerbang kota dan menimbuni mayat itu dengan batu sehingga menjadi satu timbunan yang besar. Timbunan batu itu masih di sana sampai hari ini.

30 Kemudian Yosua membina sebuah mazbah di Gunung Ebal+ untuk Yehuwa, Tuhan orang Israel. 31 Dia membinanya menurut perintah Musa, hamba Yehuwa itu, kepada orang Israel, seperti yang tercatat dalam kitab yang mengandungi Hukum Musa:+ “Sebuah mazbah yang dibina daripada batu-batu yang utuh, yang tidak dipahat dengan alat-alat besi.”+ Mereka mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian+ kepada Yehuwa di atas mazbah itu.

32 Kemudian, Yosua menulis pada batu-batu di sana salinan Hukum+ yang telah ditulis oleh Musa di hadapan orang Israel.+ 33 Seluruh umat Israel, para pemimpin, pegawai, dan hakim mereka, serta orang asing+ yang tinggal dalam kalangan mereka, berdiri di dua sisi tabut perjanjian sambil menghadap imam-imam daripada suku Lewi yang mengangkat tabut perjanjian Yehuwa. Separuh daripada mereka menghadap ke arah Gunung Gerizim, dan separuh lagi menghadap ke arah Gunung Ebal.+ Demikianlah caranya umat Israel diberkati, seperti yang diperintahkan oleh Musa, hamba Yehuwa itu.+ 34 Kemudian dengan suara yang lantang, Yosua membacakan seluruh Hukum+ itu, termasuk segala berkat+ dan kutukan,+ tepat seperti yang tertulis dalam kitab yang mengandungi Hukum itu. 35 Segala perintah Musa telah dibacakan oleh Yosua dengan suara yang lantang di hadapan seluruh umat* Israel,+ termasuk wanita, kanak-kanak, dan orang asing+ yang tinggal dalam kalangan mereka.+

9 Berita tentang apa yang berlaku telah diketahui oleh semua raja di sebelah barat Sungai Yordan,+ iaitu raja-raja orang Het, orang Amori, orang Kanaan, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus.+ Merekalah raja-raja yang berada di kawasan pergunungan, di Syefela, di sepanjang persisiran Laut Tengah,*+ dan di depan Lebanon. 2 Sebaik sahaja mereka mendengar berita itu, mereka bersepakat untuk menentang Yosua dan orang Israel.+

3 Penduduk Gibeon+ juga mendengar tentang apa yang telah dilakukan oleh Yosua terhadap kota Yerikho+ dan Ai.+ 4 Maka mereka bertindak dengan bijak. Mereka mengambil kirbat kulit usang yang bertampal dan karung usang yang berisi makanan, lalu meletakkan semuanya di atas keldai-keldai mereka. 5 Mereka juga memakai kasut lama yang bertampal dan pakaian yang koyak rabak. Semua roti yang dibawa oleh mereka kering dan hancur. 6 Kemudian mereka pergi ke perkhemahan di Gilgal+ dan berjumpa dengan Yosua. Mereka berkata kepada Yosua dan orang Israel, “Kami datang dari negeri yang jauh. Buatlah perjanjian dengan kami.” 7 Tetapi orang Israel berkata kepada beberapa orang Hewi+ itu, “Mengapa kami harus membuat perjanjian dengan kamu?+ Mungkin kamu tinggal berdekatan kami.” 8 Mereka berkata kepada Yosua, “Kami rela menjadi hamba tuan.”

Kemudian Yosua berkata, “Siapakah kamu, dan dari mana kamu datang?” 9 Mereka menjawab, “Hamba semua datang dari negeri yang sangat jauh+ kerana nama Yehuwa, Tuhanmu, yang tersebar luas. Kami mendengar tentang kemasyhuran-Nya dan semua perkara yang dilakukan-Nya di Mesir.+ 10 Kami juga mendengar tentang apa yang dilakukan-Nya terhadap dua orang raja bangsa Amori yang berada di sebelah timur Sungai Yordan, iaitu Raja Sihon+ dari Hesybon dan Raja Og+ dari Basan, yang tinggal di Asytarot. 11 Oleh itu, para pemimpin dan semua penduduk di negeri kami berkata kepada kami, ‘Bawalah bekalan makanan untuk perjalanan kamu dan pergilah berjumpa dengan orang Israel. Beritahulah mereka, “Kami rela menjadi hamba kamu.+ Buatlah perjanjian dengan kami.”’+ 12 Lihatlah bekalan makanan kami. Ketika kami berangkat dari rumah kami untuk datang ke sini, roti ini masih panas. Tetapi sekarang lihatlah! Roti ini sudah kering dan hancur.+ 13 Ketika kami mengisi kirbat-kirbat kulit ini, semuanya masih baharu. Tetapi sekarang lihatlah! Semuanya sudah koyak.+ Perjalanan kami begitu jauh sehingga pakaian dan kasut kami pun sudah menjadi buruk.”

14 Orang Israel memeriksa makanan itu, tetapi mereka tidak meminta bimbingan Yehuwa.+ 15 Kemudian Yosua membuat perjanjian damai dengan orang Gibeon+ dan berjanji tidak akan membunuh mereka. Para pemimpin orang Israel juga bersumpah akan berpegang pada janji itu.+

16 Tiga hari selepas perjanjian itu dibuat, orang Israel mendengar bahawa orang Gibeon sebenarnya tinggal berdekatan mereka. 17 Maka orang Israel berangkat dan sampai ke kota-kota mereka pada hari ketiga. Kota-kota mereka ialah Gibeon,+ Kefira, Beerot, dan Kiryat-yearim.+ 18 Orang Israel tidak menyerang mereka kerana para pemimpin orang Israel telah bersumpah kepada mereka demi nama Yehuwa,+ Tuhan orang Israel. Maka semua orang Israel bersungut-sungut terhadap para pemimpin mereka. 19 Lalu para pemimpin itu berkata kepada seluruh umat Israel, “Memandangkan kami telah bersumpah kepada mereka demi nama Yehuwa, Tuhan orang Israel, kita tidak dibenarkan untuk mencederakan mereka. 20 Kita mesti menepati janji kita dan membiarkan mereka hidup. Jika tidak, kita akan mengundang kemurkaan Tuhan.”+ 21 Para pemimpin menambah, “Biarlah mereka hidup, tetapi mereka mesti mengumpulkan kayu dan menimba air untuk kita semua.” Itulah yang dijanjikan oleh para pemimpin orang Israel.

22 Yosua pun menyuruh orang Gibeon datang lalu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu menipu kami dengan berkata, ‘Kami datang dari negeri yang sangat jauh,’ sedangkan kamu tinggal begitu dekat dengan kami?+ 23 Terkutuklah+ kamu mulai sekarang. Kamu semua akan sentiasa menjadi hamba yang mengumpulkan kayu dan menimba air untuk rumah Tuhanku.” 24 Orang Gibeon menjawab, “Hamba sekalian berbuat demikian kerana kami mendengar bahawa Yehuwa, Tuhanmu, telah memerintahkan hamba-Nya Musa untuk memberikan seluruh negeri ini kepada kamu, dan membunuh semua penduduknya di hadapan kamu.+ Kami takut kamu akan membunuh kami,+ jadi kami pun berbuat demikian.+ 25 Sekarang kami di bawah kekuasaan tuan. Lakukanlah terhadap kami apa sahaja yang tuan rasa baik dan patut.” 26 Maka Yosua menyelamatkan mereka supaya mereka tidak dibunuh oleh umat Israel. 27 Tetapi pada hari itu, Yosua menyuruh orang Gibeon mengumpulkan kayu dan menimba air untuk umat Israel+ dan untuk mazbah Yehuwa di tempat yang dipilih oleh-Nya.+ Itulah tugas mereka sampai hari ini.+

10 Raja Adoni-zedek dari Yerusalem mendengar bahawa Yosua telah menawan dan memusnahkan kota Ai, dan bahawa dia telah memperlakukan kota Ai dan rajanya+ sebagaimana dia memperlakukan kota Yerikho dan rajanya.+ Raja itu juga mendengar bahawa penduduk Gibeon telah membuat perjanjian damai dengan orang Israel+ dan tinggal bersama-sama mereka. 2 Dia berasa sangat takut+ kerana Gibeon ialah sebuah kota yang besar, yang sama besar dengan kota-kota lain yang mempunyai raja. Kota Gibeon lebih besar daripada kota Ai+ dan semua orang Gibeon ialah pahlawan. 3 Maka Raja Adoni-zedek dari Yerusalem mengirim pesan berikut kepada Raja Hoham dari Hebron,+ Raja Piram dari Yarmut, Raja Yafia dari Lakhis, dan Raja Debir dari Eglon:+ 4 “Datanglah untuk membantu beta, dan marilah kita menyerang Gibeon, kerana penduduknya telah membuat perjanjian damai dengan Yosua dan orang Israel.”+ 5 Maka lima orang raja bangsa Amori+ itu, iaitu raja-raja dari Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon, berkumpul bersama tentera mereka lalu pergi ke Gibeon. Mereka mengepung kota itu dan bersiap sedia untuk menyerangnya.

6 Lalu orang Gibeon mengirim pesan berikut kepada Yosua di perkhemahan di Gilgal:+ “Janganlah tinggalkan hamba-hambamu!+ Datanglah dengan segera! Selamatkanlah kami dan bantulah kami! Semua raja bangsa Amori dari kawasan pergunungan telah berkumpul untuk menyerang kami.” 7 Maka Yosua berangkat dari Gilgal bersama semua askar dan pahlawannya yang kuat.+

8 Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut akan mereka,+ kerana Aku telah menyerahkan mereka kepadamu.+ Tiada seorang pun antara mereka yang dapat mengalahkan engkau.”+ 9 Setelah berjalan sepanjang malam dari Gilgal, Yosua menyerang orang Amori secara tiba-tiba. 10 Yehuwa mengacau-bilaukan mereka di hadapan orang Israel+ sehingga ramai antara mereka yang dibunuh di Gibeon. Orang Israel mengejar dan membunuh mereka sepanjang jalan yang naik ke Bet-horon sampai ke Azeka dan Makeda. 11 Ketika orang Amori lari daripada umat Israel, mereka terbunuh apabila Yehuwa menurunkan hujan batu yang besar ke atas mereka sepanjang jalan yang turun dari Bet-horon sampai ke Azeka. Sebenarnya, lebih banyak orang yang terbunuh disebabkan hujan batu daripada yang dibunuh oleh orang Israel dengan pedang.

12 Pada hari Yehuwa menyerahkan orang Amori kepada orang Israel, Yosua berkata kepada Yehuwa di hadapan orang Israel,

“Hai matahari, berhentilah+ di atas Gibeon,+

Hai bulan, berhentilah di atas Lembah* Ayalon!”

13 Maka matahari berhenti dan bulan pun tidak bergerak, sehingga umat Israel dapat mengalahkan musuh mereka. Kisah ini tertulis dalam kitab Yasar.+ Matahari berhenti di tengah-tengah langit dan tidak terbenam selama kira-kira sehari suntuk. 14 Pada hari itu, Yehuwa berperang bagi umat Israel.+ Yehuwa tidak pernah mendengarkan permintaan seorang manusia+ dengan cara sedemikian, baik sebelum mahupun selepas hari itu.

15 Selepas itu, Yosua dan semua askar Israel kembali ke perkhemahan di Gilgal.+

16 Sementara itu, lima orang raja bangsa Amori melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua di Makeda.+ 17 Kemudian ada orang memberitahu Yosua, “Lima orang raja itu telah ditemui. Mereka sedang bersembunyi di dalam gua di Makeda.”+ 18 Maka Yosua berkata, “Gulingkanlah batu-batu besar ke pintu masuk gua, dan tugaskanlah beberapa orang pengawal di situ. 19 Tetapi yang lain pula jangan berhenti di situ. Kejarlah musuh dan seranglah mereka dari belakang.+ Jangan biarkan mereka masuk ke dalam kota mereka, kerana Yehuwa, Tuhan kamu, telah menyerahkan mereka ke dalam tangan kamu.”

20 Banyak sekali askar orang Amori yang dibunuh oleh Yosua dan orang Israel, sehingga angkatan tentera mereka hampir lenyap. Hanya beberapa orang yang berjaya melarikan diri dan berlindung di dalam kota-kota yang bertembok. 21 Kemudian seluruh tentera Israel kembali dengan selamat kepada Yosua di perkhemahan di Makeda. Tiada sesiapa pun di negeri itu yang berani bersuara menentang umat Israel. 22 Selepas itu Yosua berkata, “Bukalah pintu masuk gua dan bawalah lima orang raja itu kepadaku.” 23 Maka lima orang raja itu, iaitu raja-raja dari Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon,+ dikeluarkan dari gua dan dibawa kepada Yosua. 24 Semasa raja-raja itu dibawa kepada Yosua, dia memanggil semua askar Israel untuk berkumpul, lalu dia berkata kepada ketua-ketua askar yang berperang bersama-samanya, “Mari, letakkan kaki kamu di tengkuk raja-raja ini.”+ Maka mereka pun berbuat demikian. 25 Setelah itu Yosua berkata, “Janganlah takut atau gentar.+ Kamu mesti berani dan teguh kerana inilah yang akan dilakukan oleh Yehuwa terhadap semua musuh yang berperang melawan kamu.”+

26 Kemudian Yosua membunuh raja-raja itu dan menggantungkan mayat mereka pada lima batang tiang.* Mayat-mayat itu dibiarkan pada tiang sehingga senja. 27 Pada waktu matahari terbenam, Yosua memerintahkan agar mayat raja-raja itu diturunkan dari tiang+ dan dibuang ke dalam gua tempat mereka bersembunyi dahulu. Kemudian batu-batu besar diletakkan di pintu masuk gua. Sampai hari ini, batu-batu itu masih ada di situ.

28 Pada hari itu, Yosua menawan kota Makeda+ dan membunuh penduduk kota itu dengan pedang. Dia tidak membiarkan seorang pun hidup; raja dan semua orang di kota itu telah dibunuh.+ Yosua memperlakukan raja kota Makeda+ sebagaimana dia memperlakukan raja kota Yerikho.

29 Kemudian Yosua dan semua askar Israel berangkat dari Makeda lalu pergi ke Libna. Mereka menyerang kota Libna.+ 30 Yehuwa juga menyerahkan kota itu dan rajanya+ ke dalam tangan orang Israel. Mereka menyerang kota itu dan membunuh semua orang di situ dengan pedang; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup. Mereka memperlakukan raja kota itu sebagaimana mereka memperlakukan raja kota Yerikho.+

31 Kemudian Yosua dan semua askar Israel berangkat dari Libna lalu pergi ke Lakhis.+ Mereka berkhemah di situ dan menyerang kota Lakhis. 32 Yehuwa menyerahkan kota Lakhis ke dalam tangan orang Israel, lalu mereka menawan kota itu pada hari yang kedua. Mereka menyerang kota itu dan membunuh semua orang di situ dengan pedang,+ seperti yang dilakukan oleh mereka di Libna.

33 Kemudian Raja Horam dari Gezer+ datang untuk menolong Lakhis, tetapi Yosua membunuh raja itu dan tenteranya; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup.

34 Selepas itu Yosua dan semua askar Israel berangkat dari Lakhis lalu pergi ke Eglon.+ Mereka berkhemah di situ dan menyerang kota Eglon. 35 Pada hari itu, mereka menawan kota itu dan membunuh semua penduduknya dengan pedang. Pada hari itu juga mereka menghapuskan semua orang di kota itu, seperti yang dilakukan oleh mereka di Lakhis.+

36 Selepas itu Yosua dan semua askar Israel berangkat dari Eglon lalu pergi ke Hebron.+ Mereka menyerang kota Hebron. 37 Mereka menawan kota itu dan semua pekannya. Raja kota itu dan semua penduduknya telah dibunuh dengan pedang; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup. Seperti yang dilakukannya di Eglon, Yosua membinasakan kota itu dan menghapuskan semua orang di situ.

38 Akhirnya Yosua dan semua askar Israel mara ke arah Debir+ dan menyerang kota itu. 39 Dia menawan kota Debir dan semua pekannya. Raja kota itu dan semua penduduknya telah dibunuh dengan pedang. Semua orang di situ telah dihapuskan;+ tiada seorang pun yang dibiarkan hidup.+ Yosua memperlakukan kota Debir dan rajanya sebagaimana dia memperlakukan kota Hebron dan kota Libna serta rajanya.

40 Yosua menakluki semua negeri di kawasan pergunungan, di Negeb, di Syefela,+ dan di kawasan lereng gunung. Semua raja di situ dikalahkannya; tiada seorang pun yang dibiarkan hidup. Yosua telah menghapuskan tiap-tiap orang di situ,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 41 Yosua menakluki kawasan dari Kades-barnea+ hingga Gaza,+ termasuk seluruh tanah Gosyen,+ hingga Gibeon.+ 42 Yosua menawan semua raja di situ dan negeri-negeri mereka sekali gus, kerana Yehuwa, Tuhan orang Israel, berjuang untuk bangsa Israel.+ 43 Selepas itu, Yosua dan semua askar Israel kembali ke perkhemahan di Gilgal.+

11 Sebaik sahaja Raja Yabin dari Hazor mendengar tentang hal itu, dia mengirim pesan kepada Raja Yobab dari Madon,+ raja dari Simron, raja dari Akhsaf,+ 2 raja-raja dari kawasan pergunungan di utara, raja-raja dari kawasan dataran* di selatan Tasik Kineret,* raja-raja dari Syefela dan perbukitan Dor+ di sebelah barat, 3 orang Kanaan+ di sebelah timur dan barat negeri Kanaan, orang Amori,+ orang Het, orang Feris, dan orang Yebus dari kawasan pergunungan, dan orang Hewi+ dari kaki Gunung Hermon+ di Mizpa. 4 Raja-raja itu membawa semua angkatan tentera mereka yang banyak seperti pasir di pantai, bersama dengan kuda dan kereta kuda yang banyak sekali, 5 lalu bersetuju untuk bertemu di sebuah tempat. Kemudian mereka datang dan berkhemah bersama-sama di Sumber Air Merom untuk menyerang orang Israel.

6 Yehuwa berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut akan mereka.+ Esok, kira-kira pada waktu ini, Aku akan menyebabkan mereka semua dibunuh oleh orang Israel. Ketika itu, engkau harus melumpuhkan kuda mereka+ dan membakar kereta kuda mereka.” 7 Lalu Yosua dan semua askarnya melancarkan serangan mengejut ke atas mereka di Sumber Air Merom. 8 Yehuwa menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Israel.+ Orang Israel telah mengalahkan mereka dan mengejar mereka sampai ke Sidon Besar,+ Misrefot-maim,+ dan Lembah Mizpe di sebelah timur. Orang Israel membunuh mereka semua sehingga tiada seorang pun yang terselamat.+ 9 Yosua memperlakukan mereka seperti apa yang diperintahkan oleh Yehuwa. Dia melumpuhkan kuda mereka dan membakar kereta kuda mereka.+

10 Selepas itu, Yosua balik ke Hazor. Dia menawan kota itu dan membunuh rajanya dengan pedang,+ kerana Hazor ialah kota yang paling berpengaruh antara kerajaan-kerajaan itu. 11 Semua orang di kota itu telah dibunuh dengan pedang;+ tiada seorang pun yang dibiarkan hidup.+ Setelah mereka semua dihapuskan, Yosua membakar kota Hazor. 12 Yosua menawan kota-kota semua raja itu dan membunuh mereka dengan pedang.+ Dia menghapuskan semuanya+ seperti yang diperintahkan oleh Musa, hamba Yehuwa itu. 13 Namun kota-kota lain yang dibina di atas bukit tidak dibakar oleh orang Israel. Hanya kota Hazor yang dibakar oleh Yosua. 14 Orang Israel mengambil semua harta benda dan ternakan dari kota-kota itu untuk diri mereka sendiri.+ Tetapi setiap penduduk di situ dibunuh dengan pedang. Mereka semua dihapuskan;+ tiada seorang pun dibiarkan hidup.+ 15 Segala perintah yang disampaikan oleh Yehuwa kepada hamba-Nya Musa telah disampaikan oleh Musa kepada Yosua,+ dan Yosua telah menurut segala perintah itu. Setiap perintah Yehuwa kepada Musa telah dilaksanakan oleh Yosua.+

16 Yosua telah menakluki seluruh negeri itu, iaitu kawasan pergunungan Yehuda, seluruh kawasan Negeb,+ seluruh kawasan Gosyen, Syefela,+ Araba,+ dan kawasan pergunungan Israel serta kaki-kaki gunung, 17 dari Gunung Halak yang berdekatan Seir sampai ke Baal-gad+ yang terletak di Lembah Lebanon di kaki Gunung Hermon.+ Dia mengalahkan semua raja di situ, menangkap mereka, lalu membunuh mereka. 18 Yosua menghabiskan masa yang agak lama untuk berperang dengan semua raja itu. 19 Tiada kota lain yang berdamai dengan orang Israel kecuali orang Hewi di Gibeon.+ Semua kota yang lain telah dikalahkan dalam pertempuran.+ 20 Yehuwa membiarkan mereka berkeras hati+ sehingga berperang melawan orang Israel, supaya mereka dibinasakan tanpa belas kasihan.+ Mereka telah dihapuskan, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.+

21 Pada masa itu, Yosua melenyapkan orang Enak+ di kawasan pergunungan, iaitu di Hebron, Debir, Anab, dan seluruh kawasan pergunungan Yehuda serta seluruh kawasan pergunungan Israel. Yosua telah membunuh mereka dan memusnahkan kota-kota mereka.+ 22 Tiada lagi orang Enak di tanah orang Israel,+ kecuali di Gaza,+ Gat,+ dan Asdod.+ 23 Yosua menakluki seluruh tanah itu, seperti yang dijanjikan oleh Yehuwa kepada Musa.+ Kemudian dia membahagi-bahagikan tanah itu dan memberikannya kepada orang Israel. Setiap suku menerima bahagian masing-masing sebagai harta warisan.+ Selepas itu, tanah mereka aman dan bebas daripada perang.+

12 Orang Israel telah menakluki kawasan di sebelah timur Sungai Yordan, iaitu dari Lembah* Arnon+ sampai ke Gunung Hermon,+ termasuk seluruh bahagian timur Araba.+ Mereka telah mengalahkan raja-raja berikut: 2 Raja Sihon,+ iaitu raja orang Amori yang tinggal di Hesybon. Dia memerintah kota Aroer+ yang terletak di pinggir Lembah Arnon.+ Kawasan pemerintahannya merangkumi setengah daripada daerah Gilead, dari bahagian tengah Lembah Arnon sampai ke Lembah Yabok, iaitu sempadan orang Ammon. 3 Kawasan pemerintahannya juga merangkumi seluruh kawasan timur Araba, dari Tasik Kineret*+ sampai ke Laut Araba, iaitu Laut Mati, termasuk Bet-yesimot yang berdekatan Laut Mati sampai ke kaki cerun Pisga di selatan.+

4 Mereka juga menakluki negeri Raja Og+ dari Basan. Dia tinggal di Asytarot dan Edrei, dan merupakan salah seorang keturunan Refaim yang terakhir.+ 5 Kawasan pemerintahannya merangkumi Gunung Hermon, Salkha, seluruh Basan,+ sampai ke sempadan orang Gesur dan orang Maakha,+ dan juga setengah daripada daerah Gilead, sampai ke negeri Raja Sihon dari Hesybon.+

6 Raja-raja itu telah dikalahkan oleh hamba Yehuwa, iaitu Musa, dan umat Israel.+ Selepas itu, Musa, hamba Yehuwa itu, memberikan negeri raja-raja itu kepada suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye untuk dijadikan milik mereka.+

7 Yosua dan orang Israel telah mengalahkan semua raja di sebelah barat Sungai Yordan dari Baal-gad+ di Lembah Lebanon+ sampai ke Gunung Halak+ yang berdekatan Seir.+ Yosua membahagikan tanah raja-raja itu dan memberikannya kepada suku-suku Israel sebagai milik mereka.+ Tanah itu merangkumi 8 Syefela, Araba, kawasan pergunungan, kawasan lereng gunung, padang belantara, dan Negeb.+ Semua itu merupakan negeri orang Het, orang Amori,+ orang Kanaan, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus.+ Berikut ialah raja-raja mereka:

 9 Seorang raja dari Yerikho;+ seorang raja dari Ai,+ yang terletak di sebelah Bethel;

10 seorang raja dari Yerusalem; seorang raja dari Hebron;+

11 seorang raja dari Yarmut; seorang raja dari Lakhis;

12 seorang raja dari Eglon; seorang raja dari Gezer;+

13 seorang raja dari Debir;+ seorang raja dari Geder;

14 seorang raja dari Horma; seorang raja dari Arad;

15 seorang raja dari Libna;+ seorang raja dari Adulam;

16 seorang raja dari Makeda;+ seorang raja dari Bethel;+

17 seorang raja dari Tapuah; seorang raja dari Hefer;

18 seorang raja dari Afek; seorang raja dari Lasaron;

19 seorang raja dari Madon; seorang raja dari Hazor;+

20 seorang raja dari Simron-meron; seorang raja dari Akhsaf;

21 seorang raja dari Taanakh; seorang raja dari Megido;

22 seorang raja dari Kedes; seorang raja dari Yokneam+ di Karmel;

23 seorang raja dari Dor di perbukitan Dor;+ seorang raja dari Goyim di Gilgal;

24 seorang raja dari Tirza. Kesemuanya berjumlah 31 orang raja.

13 Yosua sudah tua dan akan meninggal tidak lama lagi.+ Yehuwa berfirman kepadanya, “Engkau sudah tua dan akan meninggal tidak lama lagi, tetapi masih ada banyak tanah yang mesti ditakluki. 2 Berikut merupakan tanah yang belum ditakluki:+ Semua wilayah orang Filistin dan orang Gesur+ 3 (dari cabang Sungai Nil* di sebelah timur Mesir sampai ke sempadan Ekron di utara, iaitu kawasan yang sebelumnya dianggap sebagai kawasan orang Kanaan),+ termasuk tanah yang dimiliki lima orang raja bangsa Filistin,+ iaitu tanah orang Gaza, orang Asdod,+ orang Askelon,+ orang Gat,+ dan orang Ekron;+ tanah orang Awim+ 4 di selatan; seluruh tanah orang Kanaan; kawasan Meara yang dimiliki orang Sidon,+ sampai ke Afek yang terletak di sempadan orang Amori; 5 tanah orang Gebal+ dan seluruh bahagian timur Lebanon, dari Baal-gad di kaki Gunung Hermon sampai ke Lebo-hamat;*+ 6 dan juga seluruh tanah orang Sidon,+ iaitu penduduk kawasan pergunungan, dari Lebanon+ sampai ke Misrefot-maim.+ Aku akan mengusir mereka dari hadapan orang Israel.+ Engkau hanya perlu membahagikan tanah itu dan memberikannya kepada orang Israel sebagai harta warisan mereka, seperti yang telah Aku perintahkan kepadamu.+ 7 Sekarang, bahagikanlah tanah itu untuk diberikan sebagai warisan kepada sembilan suku yang lain dan setengah daripada suku Manasye.”+

8 Musa telah memberikan tanah di sebelah timur Sungai Yordan sebagai warisan kepada setengah daripada suku Manasye yang lain, suku Ruben, dan suku Gad. Tanah yang diberikan oleh Musa, hamba Yehuwa, merangkumi kawasan berikut:+ 9 Kota Aroer+ yang terletak di pinggir Lembah* Arnon,+ termasuk kota yang terletak di tengah lembah itu, dan seluruh dataran tinggi di Medeba sampai ke Dibon; 10 semua kota Raja Sihon, iaitu raja orang Amori yang memerintah di Hesybon, sampai ke sempadan orang Ammon;+ 11 kawasan Gilead, kawasan orang Gesur dan orang Maakha,+ seluruh Gunung Hermon, dan seluruh kawasan Basan+ sampai ke Salkha;+ 12 seluruh kerajaan Raja Og dari Basan, yang memerintah di Asytarot dan Edrei. (Dia salah seorang keturunan Refaim yang terakhir.)+ Musa telah mengalahkan mereka semua dan mengusir mereka.+ 13 Tetapi orang Israel tidak mengusir+ orang Gesur dan orang Maakha. Sampai hari ini mereka masih tinggal dalam kalangan orang Israel.

14 Hanya suku Lewi tidak menerima warisan daripada Musa.+ Korban yang dibakar dengan api untuk Yehuwa, Tuhan orang Israel, merupakan warisan mereka,+ seperti yang dijanjikan oleh Tuhan kepada mereka.+

15 Kemudian Musa memberikan tanah kepada keluarga-keluarga dalam suku Ruben sebagai warisan mereka. 16 Kawasan mereka meliputi kota Aroer yang terletak di pinggir Lembah Arnon, termasuk kota yang terletak di tengah lembah itu, dan seluruh dataran tinggi di Medeba; 17 Hesybon dan semua pekan di sekitarnya+ yang terletak di dataran tinggi, Dibon, Bamot-baal, Bet-baal-meon,+ 18 Yahas,+ Kedemot,+ Mefaat,+ 19 Kiryataim, Sibma,+ dan Zeret-sahar yang terletak di atas gunung di kawasan lembah,* 20 Bet-peor, cerun Pisga,+ Bet-yesimot,+ 21 semua kota di dataran tinggi, dan semua kerajaan Raja Sihon, iaitu raja orang Amori yang memerintah di Hesybon.+ Musa mengalahkan raja itu+ dan pemimpin-pemimpin orang Midian, iaitu Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba.+ Mereka semua tinggal di negeri itu dan memerintah di bawah kuasa Raja Sihon. 22 Antara orang yang dibunuh oleh umat Israel dengan pedang ialah Bileam+ anak Beor, tukang tilik itu.+ 23 Sungai Yordan menjadi sempadan bagi kawasan suku Ruben; seluruh kawasan ini termasuk kota-kota dan perkampungan diberikan kepada keluarga-keluarga dalam suku Ruben sebagai warisan.

24 Musa juga memberikan tanah kepada keluarga-keluarga dalam suku Gad sebagai warisan mereka. Orang daripada suku Gad menerima 25 tanah yang merangkumi Yaezer,+ semua kota di Gilead, dan setengah daripada tanah orang Ammon,+ sampai ke Aroer yang berhadapan dengan Raba.+ 26 Tanah mereka juga merangkumi kawasan dari Hesybon+ ke Ramat-mizpe dan Betonim, dari Mahanaim+ sampai ke sempadan Debir. 27 Di kawasan lembah,* tanah mereka merangkumi kawasan-kawasan lain dalam kerajaan Raja Sihon dari Hesybon,+ iaitu Bet-haram, Bet-nimra,+ Sukot,+ dan Zafon. Sungai Yordan merupakan sempadan kawasan mereka yang merangkumi tanah di sebelah timur Sungai Yordan sampai ke selatan Tasik Kineret.*+ 28 Seluruh kawasan ini termasuk kota-kota dan perkampungan diberikan kepada keluarga-keluarga dalam suku Gad sebagai warisan.

29 Musa juga memberikan tanah kepada keluarga-keluarga daripada setengah suku Manasye sebagai warisan mereka.+ Setengah daripada suku Manasye diberi 30 kawasan yang bermula dari Mahanaim,+ seluruh Basan, iaitu seluruh kerajaan Raja Og dari Basan, dan semua pekan kecil Yair+ di Basan, termasuk 60 buah pekan. 31 Kawasan mereka juga meliputi setengah daripada daerah Gilead, termasuk Asytarot dan Edrei,+ iaitu dua buah kota kerajaan Raja Og di Basan. Seluruh kawasan itu diberikan kepada separuh daripada keluarga-keluarga keturunan Makhir+ anak Manasye.

32 Itulah tanah yang diberikan oleh Musa kepada mereka sebagai warisan semasa mereka berada di padang gurun Moab, yang terletak di sebelah timur Sungai Yordan dan Yerikho.+

33 Musa tidak memberikan apa-apa kepada suku Lewi sebagai warisan.+ Sebaliknya Yehuwa, Tuhan orang Israel, ialah warisan mereka, seperti yang telah dijanjikan-Nya kepada mereka.+

14 Imam Eleazar, Yosua anak Nun, dan para ketua puak dalam suku-suku Israel telah memberikan tanah Kanaan kepada orang Israel sebagai warisan mereka.+ 2 Bahagian warisan mereka ditentukan dengan membuang undi,*+ seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa melalui Musa kepada sembilan suku setengah bangsa Israel.+ 3 Musa telah memberikan tanah di sebelah timur Sungai Yordan+ kepada dua suku setengah bangsa Israel sebagai warisan mereka, tetapi dia tidak memberikan warisan kepada suku Lewi.+ 4 Keturunan Yusuf terbahagi kepada dua suku,+ iaitu Manasye dan Efraim.+ Suku Lewi tidak diberi tanah di negeri itu, tetapi mereka diberi kota-kota+ sebagai tempat tinggal, padang rumput untuk ternakan mereka, dan tempat untuk segala milik mereka.+ 5 Demikianlah umat Israel membahagi-bahagikan tanah itu sebagaimana yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.

6 Kemudian, orang daripada suku Yehuda menghadap Yosua di Gilgal.+ Kaleb+ anak Yefune, orang Kenas itu, berkata kepada Yosua, “Kamu tentu tahu apa yang difirmankan oleh Yehuwa+ kepada Musa, hamba Tuhan,+ tentang kita berdua di Kades-barnea.+ 7 Musa, hamba Yehuwa, telah mengutus aku dari Kades-barnea untuk mengintip negeri ini+ sewaktu aku berumur 40 tahun. Aku telah kembali dengan membawa laporan yang benar.+ 8 Walaupun saudara-saudara lain yang pergi bersama-sama aku telah menyebabkan umat ini berasa takut, aku masih mentaati Yehuwa, Tuhanku, dengan sepenuh hati.+ 9 Pada hari itu, Musa bersumpah dan berkata, ‘Tanah yang telah dipijak kakimu akan sentiasa menjadi warisan kamu dan keturunanmu, kerana kamu telah mentaati Yehuwa, Tuhanku, dengan sepenuh hati.’+ 10 Sekarang, 45 tahun sudah berlalu sejak Yehuwa berjanji kepada Musa tentang hal itu. Pada masa itu umat Israel mengembara di padang belantara.+ Selama ini, Yehuwa telah menjagaku supaya aku tetap hidup,+ seperti yang dijanjikan-Nya.+ Hari ini, aku sudah berumur 85 tahun, 11 tetapi aku masih kuat seperti pada masa Musa mengutusku. Aku masih kuat untuk berperang dan melakukan hal-hal yang lain, seperti pada masa itu. 12 Oleh itu, berilah aku kawasan pergunungan yang telah dijanjikan oleh Yehuwa pada hari itu. Biarpun pada masa itu kamu mendengar bahawa orang Enak+ tinggal di dalam kota-kota besar yang bertembok+ di kawasan itu, sudah pasti Yehuwa akan menyertaiku,+ dan aku akan mengusir mereka, seperti yang telah dijanjikan oleh Yehuwa.”+

13 Maka Yosua memberkati Kaleb anak Yefune dan memberinya kawasan Hebron sebagai warisan.+ 14 Sehingga hari ini, Hebron menjadi harta warisan Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, kerana dia mentaati Yehuwa, Tuhan orang Israel, dengan sepenuh hati.+ 15 Hebron sebelumnya dikenali sebagai Kiryat-arba+ (Arba ialah seorang lelaki yang terkemuka dalam kalangan orang Enak). Negeri orang Israel aman dan bebas daripada perang.+

15 Keluarga-keluarga dalam suku Yehuda menerima tanah setelah membuang undi.+ Tanah itu terbentang ke sempadan Edom,+ sampai ke padang belantara Zin, dan ke hujung selatan Negeb. 2 Sempadan tanah di sebelah selatan bermula dari hujung Laut Mati,+ iaitu dari teluk yang menghadap selatan. 3 Kemudian sempadan itu menghala ke selatan, ke Lereng Akrabim,+ sampai ke Zin. Dari bahagian selatan Kades-barnea,+ sempadan itu menghala ke utara, melintasi Hezron, lalu naik ke Adar, kemudian membelok ke arah Karka. 4 Dari situ sempadan itu menuju ke Azmon+ sampai ke Wadi* Mesir+ dan berakhir di Laut Tengah.* Itulah sempadan tanah mereka di sebelah selatan.

5 Sempadan di sebelah timur ialah Laut Mati sampai ke muara Sungai Yordan. Sempadan di sebelah utara pula bermula dari teluk Laut Mati, di muara Sungai Yordan,+ 6 sampai ke Bet-hogla+ dan melintasi utara Bet-araba,+ lalu naik ke Batu Bohan.+ (Bohan ialah keturunan Ruben.) 7 Kemudian sempadan itu naik ke Debir di Lembah* Akhor+ dan membelok ke utara ke arah Gilgal,+ yang berhadapan dengan Lereng Adumim di selatan wadi itu. Dari situ sempadan itu menuju ke mata air En-semes+ dan berakhir di En-rogel.+ 8 Sempadan itu menuju ke arah Lembah Hinom+ sampai ke selatan lereng gunung orang Yebus,+ iaitu Yerusalem.+ Dari situ sempadan itu menuju ke puncak gunung yang terletak di sebelah barat Lembah Hinom. Gunung itu terletak di hujung bahagian utara Lembah* Refaim. 9 Dari puncak gunung itu, sempadan itu menuju ke mata air di Neftoah+ sampai ke kota-kota di Gunung Efron. Dari situ sempadan itu menuju ke arah Baala, iaitu Kiryat-yearim.+ 10 Kemudian dari Baala, sempadan itu menuju ke arah Gunung Seir di barat, dan melalui lereng Gunung Yearim di utara, iaitu Kesalon, lalu turun ke Bet-semes+ dan kemudian menuju ke Timna.+ 11 Dari situ sempadan itu menuju ke utara ke Lereng Ekron,+ sampai ke Sikron, dan melintasi Gunung Baala hingga Yabneel. Sempadan itu berakhir di laut.

12 Sempadan di sebelah barat ialah Laut Tengah*+ dan sepanjang persisiran pantainya. Itulah sempadan bagi tanah yang diberikan kepada keluarga-keluarga dalam suku Yehuda.

13 Seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Yosua, Kaleb+ anak Yefune telah diberi tanah di kawasan keturunan Yehuda. Kaleb mendapat Kiryat-arba, iaitu Hebron.+ (Arba ialah bapa Enak.) 14 Kaleb mengusir tiga orang anak lelaki Enak,+ iaitu Sesai, Ahiman, dan Talmai+ dari kota itu. 15 Kemudian dia pergi dari situ dan menyerang penduduk Debir.+ (Debir sebelumnya dikenali sebagai Kiryat-sefer.) 16 Kaleb berkata, “Aku akan memberikan anak perempuanku, Akhsa, sebagai isteri kepada orang yang menyerang kota Kiryat-sefer dan menawannya.” 17 Otniel+ anak Kenas,+ iaitu anak saudara Kaleb, berjaya menawan kota itu. Maka Kaleb memberikan anak perempuannya Akhsa+ kepada Otniel sebagai isteri. 18 Semasa dalam perjalanan pulang, Akhsa mendesak suaminya supaya meminta sebidang tanah daripada bapanya Kaleb. Akhsa turun dari keldainya* lalu Kaleb bertanya kepadanya, “Apa yang kamu mahu?”+ 19 Akhsa menjawab, “Ayah telah memberikan sebidang tanah yang gersang di selatan* kepada saya. Jadi, berkatilah saya dan berilah saya Gulot-maim* juga.” Maka Kaleb memberinya Gulot Hulu dan Gulot Hilir.

20 Berikut merupakan tanah yang diterima oleh keluarga-keluarga dalam suku Yehuda sebagai warisan mereka.

21 Kota-kota suku Yehuda yang paling jauh di sebelah selatan, berhampiran dengan sempadan Edom+ ialah Kabzeel, Eder, Yagur, 22 Kina, Dimona, Adada, 23 Kedes, Hazor, Yitnan, 24 Zif, Telem, Bealot, 25 Hazor-hadata, dan Keriot-hezron, iaitu Hazor, 26 Amam, Sema, Molada,+ 27 Hazar-gada, Hesmon, Bet-pelet,+ 28 Hazar-sual, Beer-syeba,+ Biziotia, 29 Baala, Iyim, Ezem, 30 Eltolad, Kesil, Horma,+ 31 Ziklag,+ Madmana, Sansana, 32 Lebaot, Silhim, Ain, dan Rimon.+ Semuanya 29 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

33 Kota-kota di Syefela+ ialah Esytaol, Zora,+ Asna, 34 Zanoah, En-ganim, Tapuah, Enam, 35 Yarmut, Adulam,+ Sokho, Azeka,+ 36 Saaraim,+ Aditaim, dan Gedera serta Gederotaim.* Semuanya 14 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

37 Selain itu ada lagi Zenan, Hadasa, Migdal-gad, 38 Dilean, Mizpe, Yokteel, 39 Lakhis,+ Bozkat, Eglon, 40 Kabon, Lahmas, Kitlis, 41 Gederot, Bet-dagon, Naama, dan Makeda.+ Semuanya 16 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

42 Selain itu ada lagi Libna,+ Eter, Asan,+ 43 Yifta, Asna, Nezib, 44 Kehila, Akhzib, dan Maresa. Semuanya sembilan buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

45 Mereka juga menerima Ekron dan pekan-pekan serta perkampungan di sekelilingnya; 46 dari Ekron ke arah barat, semua kawasan berhampiran Asdod dan perkampungan di sekelilingnya.

47 Selain itu terdapat juga Asdod+ dan pekan-pekan serta perkampungan di sekelilingnya; Gaza+ dan pekan-pekan serta perkampungan di sekelilingnya, sampai ke Wadi Mesir, Laut Tengah,* dan kawasan persisiran laut.+

48 Kota-kota di kawasan pergunungan ialah Samir, Yatir,+ Sokho, 49 Dana, Kiryat-sana, iaitu Debir, 50 Anab, Estemo,+ Anim, 51 Gosyen,+ Holon, dan Gilo.+ Semuanya 11 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

52 Mereka juga menerima Arab, Duma, Esan, 53 Yanum, Bet-tapuah, Afeka, 54 Humta, Kiryat-arba, iaitu Hebron,+ dan Zior. Semuanya sembilan buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

55 Terdapat juga Maon,+ Karmel, Zif,+ Yuta, 56 Yizreel, Yokdeam, Zanoah, 57 Kain, Gibea, dan Timna.+ Semuanya 10 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

58 Selain itu ada lagi Halhul, Bet-zur, Gedor, 59 Maarat, Bet-anot, dan Eltekon. Semuanya enam buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

60 Selain itu ada lagi Kiryat-baal, iaitu Kiryat-yearim,+ dan Raba. Jumlahnya dua buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

61 Kota-kota di padang belantara ialah Bet-araba,+ Midin, Sekhakha, 62 Nibsan, Kota Garam, dan En-gedi.+ Semuanya enam buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

63 Suku Yehuda tidak dapat mengusir+ orang Yebus+ yang tinggal di Yerusalem.+ Maka, orang Yebus masih tinggal di Yerusalem bersama-sama suku Yehuda sampai hari ini.

16 Keturunan Yusuf+ menerima tanah setelah membuang undi.+ Tanah mereka bermula dari Sungai Yordan dekat Yerikho, sampai ke mata air di sebelah timur Yerikho. Sempadan tanah mereka melintasi padang belantara di hadapan Yerikho dan naik ke kawasan pergunungan di Bethel.+ 2 Dari Bethel yang berhampiran dengan Lus, sempadan itu menuju ke Atarot yang terletak di sempadan kawasan orang Arki. 3 Kemudian sempadan itu menuju ke barat dan turun ke sempadan kawasan orang Yaflet, sampai ke sempadan Bet-horon Hilir.+ Dari situ, sempadan itu menuju ke Gezer+ dan berakhir di Laut Tengah.*

4 Itulah tanah yang menjadi milik keturunan Yusuf,+ iaitu suku Manasye dan suku Efraim.+ 5 Berikut merupakan sempadan bagi kawasan yang menjadi warisan keluarga-keluarga dalam suku Efraim: Sempadan mereka di sebelah timur adalah dari Atarot-adar+ sampai ke Bet-horon Hulu.+ 6 Dari situ, sempadan itu menuju ke laut. Dari Mikhmetat+ di sebelah utara, sempadan itu membelok ke arah timur melalui Taanat-silo dan Yanoah. 7 Kemudian sempadan itu turun dari Yanoah ke Atarot dan Naara, lalu menuju ke Yerikho,+ dan sampai ke Sungai Yordan. 8 Dari Tapuah,+ sempadan mereka menuju ke barat sampai ke Wadi Kanah, dan berakhir di laut.+ Itulah tanah yang diberikan kepada keluarga-keluarga dalam suku Efraim sebagai warisan, 9 termasuk beberapa buah kota yang terletak di kawasan yang diwarisi oleh suku Manasye.+ Kota-kota itu dan perkampungan di sekelilingnya dimiliki oleh keturunan Efraim.

10 Namun orang Kanaan yang tinggal di Gezer+ tidak diusir. Sampai hari ini, orang Kanaan masih tinggal dalam kalangan orang Efraim,+ dan dipaksa bekerja sebagai hamba.+

17 Manasye ialah anak sulung Yusuf.+ Setelah membuang undi,+ suku Manasye+ menerima tanah mereka. Makhir+ ialah anak sulung Manasye, dan juga bapa kepada Gilead. Oleh sebab Makhir ialah seorang pahlawan, Gilead dan Basan diberikan kepadanya.+ 2 Setelah membuang undi, tanah juga diberikan kepada keluarga-keluarga lain daripada keturunan Manasye, iaitu keluarga Abi-ezer,+ Helek, Asriel, Sikhem, Hefer, dan Semida. Semua lelaki itu merupakan keturunan Manasye anak Yusuf, dan merupakan ketua keluarga masing-masing.+ 3 Tetapi Zelafehad+ anak Hefer, cucu Gilead, tidak mempunyai anak lelaki. (Gilead ialah anak Makhir, cucu Manasye.) Zelafehad cuma mempunyai anak perempuan. Nama mereka ialah Mahla, Noa, Hogla, Milkah, dan Tirza. 4 Mereka menghadap Imam Eleazar,+ Yosua anak Nun, dan para pemimpin orang Israel lalu berkata, “Yehuwa memerintahkan Musa supaya memberi kami tanah warisan dalam kalangan saudara-saudara lelaki kami.”+ Oleh itu, sebagaimana yang diperintahkan oleh Yehuwa, mereka diberi tanah warisan dalam kalangan saudara-saudara lelaki bapa mereka.+

5 Selain Gilead dan Basan yang terletak di sebelah timur Sungai Yordan, terdapat 10 bahagian tanah yang diberikan kepada suku Manasye,+ 6 kerana kaum wanita dalam suku Manasye juga menerima harta warisan seperti kaum lelaki. Tanah Gilead diberikan kepada keturunan Manasye yang lain.

7 Sempadan bagi kawasan suku Manasye adalah dari Asyer ke Mikhmetat,+ yang berhadapan dengan Sikhem.+ Dari situ, sempadan itu menuju ke arah selatan sampai ke kawasan penduduk En-tapuah. 8 Tanah di sekitar Tapuah+ menjadi milik suku Manasye, tetapi kota Tapuah yang terletak di sempadan kawasan suku Manasye menjadi milik keturunan Efraim. 9 Dari situ sempadan itu turun ke Wadi Kanah, ke sebelah selatan wadi itu. Di situ, terdapat kota-kota suku Efraim yang terletak di antara kota-kota suku Manasye.+ Sempadan suku Manasye seterusnya mengikut bahagian utara wadi itu dan berakhir di Laut Tengah.*+ 10 Tanah di sebelah selatan menjadi milik suku Efraim, manakala tanah di sebelah utara menjadi milik suku Manasye. Laut Tengah menjadi sempadan kawasan suku Manasye.+ Di utara, sempadan mereka* sampai ke tanah suku Asyer; di timur, sempadan itu sampai ke tanah suku Isakhar.

11 Di kawasan Isakhar dan Asyer, suku Manasye diberi Bet-sean dan Yibleam+ bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya, termasuk juga penduduk dan pekan-pekan di sekitar Dor,+ En-dor,+ Taanakh,+ dan Megido. Tiga kawasan berbukit itu menjadi milik suku Manasye.

12 Tetapi suku Manasye tidak dapat mengusir orang Kanaan dari kota-kota itu kerana mereka berkeras untuk tinggal di situ.+ 13 Apabila orang Israel menjadi kuat, mereka tidak mengusir semua orang Kanaan itu.+ Sebaliknya orang Israel memaksa mereka bekerja sebagai hamba.+

14 Keturunan Yusuf berkata kepada Yosua, “Mengapakah kami* hanya diberi satu bahagian tanah sebagai warisan?+ Bilangan kami sangat banyak kerana Yehuwa telah memberkati kami sampai sekarang.”+ 15 Yosua menjawab, “Jika bilangan kamu sangat banyak dan kawasan pergunungan di Efraim+ terlalu kecil untuk kamu, pergilah ke hutan di tanah orang Feris+ dan orang Refaim.+ Tebanglah pokok lalu bukalah petempatan baharu di sana.” 16 Kemudian keturunan Yusuf berkata, “Kawasan pergunungan tidak cukup besar untuk kami. Tambahan lagi semua orang Kanaan yang tinggal di kawasan lembah,* baik penduduk Bet-sean+ dan pekan-pekan di sekelilingnya mahupun penduduk Lembah* Yizreel,+ mempunyai kereta kuda+ yang rodanya dilengkapi dengan pedang besi.” 17 Yosua berkata kepada suku Efraim dan suku Manasye, iaitu keturunan Yusuf, “Bilangan kamu sangat banyak, dan kamu sangat kuat. Kamu tidak akan diberi satu bahagian tanah sahaja.+ 18 Sebaliknya, kawasan pergunungan juga akan menjadi milik kamu.+ Walaupun kawasan itu hutan, tebanglah pokok lalu bukalah petempatan baharu di situ. Kawasan itu akan menjadi sempadan wilayah kamu. Kamu akan mengusir orang Kanaan, walaupun mereka kuat dan mempunyai kereta kuda yang rodanya dilengkapi dengan pedang besi.”+

18 Kemudian, segenap umat Israel berhimpun di Silo+ dan mendirikan khemah pertemuan di situ.+ Mereka sudah menakluki negeri itu,+ 2 tetapi masih ada tujuh suku Israel yang belum menerima bahagian tanah mereka. 3 Maka Yosua berkata kepada orang Israel, “Berapa lama lagi kamu hendak menunggu sebelum mengambil tanah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, kepada kamu?+ 4 Pilihlah tiga orang daripada setiap suku. Aku hendak mengutus mereka untuk menjelajahi seluruh tanah ini dan membuat peta bagi tanah yang diwarisi oleh suku mereka. Selepas itu, mereka harus kembali kepadaku. 5 Mereka harus membahagikan tanah itu kepada tujuh bahagian.+ Suku Yehuda akan tetap berada di kawasan mereka di selatan,+ dan keturunan Yusuf akan tetap berada di kawasan mereka di utara.+ 6 Selepas membuat tinjauan, kamu harus menyediakan peta bagi tujuh bahagian tanah itu lalu memberikannya kepadaku di sini. Aku akan membuang undi+ untuk kamu di hadapan Yehuwa, Tuhan kita. 7 Tetapi suku Lewi tidak akan menerima bahagian tanah bersama-sama kamu,+ kerana tugas sebagai imam Yehuwa ialah warisan mereka.+ Suku Gad, suku Ruben, dan setengah daripada suku Manasye+ sudah menerima tanah di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan oleh Musa, hamba Yehuwa, kepada mereka.”

8 Maka orang yang dipilih itu bersiap sedia untuk berangkat dan membuat peta bagi tanah itu. Yosua memberitahu mereka, “Pergilah menjelajahi tanah itu, lukiskan petanya, dan kembalilah kepadaku di Silo. Di sini aku akan membuang undi untuk kamu di hadapan Yehuwa.”+ 9 Mereka pun pergi menjelajahi seluruh tanah itu, melukis petanya, dan membahagikannya kepada tujuh bahagian menurut kota-kota di situ. Semua maklumat itu dicatatkan dalam sebuah buku. Selepas itu, mereka kembali kepada Yosua di perkhemahan di Silo. 10 Kemudian Yosua membuang undi untuk mereka di hadapan Yehuwa.+ Demikianlah Yosua membahagikan tanah itu di Silo. Setiap suku Israel menerima bahagian masing-masing.+

11 Setelah membuang undi, keluarga-keluarga dalam suku Benyamin menerima tanah mereka. Kawasan yang diberikan kepada mereka terletak di antara tanah milik keturunan Yehuda+ dan keturunan Yusuf.+ 12 Di sebelah utara, sempadan mereka bermula di Sungai Yordan dan naik ke lereng di utara Yerikho.+ Kemudian sempadan itu menuju ke barat, ke kawasan gunung, sampai ke padang belantara Bet-awen.+ 13 Dari situ, sempadan itu menuju ke Lus, ke bahagian selatan lereng di Lus, iaitu Bethel.+ Sempadan itu turun ke Atarot-adar,+ ke gunung yang terletak di selatan Bet-horon Hilir.+ 14 Kemudian, dari gunung yang menghadap Bet-horon, sempadan itu membelok ke selatan dan berakhir di Kiryat-baal, iaitu Kiryat-yearim,+ yang merupakan sebuah kota suku Yehuda. Itulah sempadan mereka di sebelah barat.

15 Di sebelah selatan, sempadan mereka bermula dari pinggir Kiryat-yearim, dan menghala ke barat. Sempadan itu sampai ke mata air Neftoah+ 16 lalu turun ke kaki gunung yang menghadap Lembah Hinom,+ di sebelah utara Lembah* Refaim.+ Kemudian sempadan itu turun ke Lembah Hinom, ke lereng di sebelah selatan tanah orang Yebus,+ dan turun ke En-rogel.+ 17 Dari situ sempadan itu menuju ke utara, ke En-semes, lalu ke Gelilot yang berhadapan dengan Lereng Adumim.+ Kemudian sempadan itu turun ke Batu+ Bohan.+ (Bohan ialah keturunan Ruben.) 18 Sempadan itu menuju ke lereng di kawasan utara yang berhadapan dengan Araba, lalu turun ke Araba. 19 Dari situ sempadan itu menuju ke lereng di sebelah utara Bet-hogla,+ dan berakhir di teluk utara Laut Mati,+ di muara Sungai Yordan. Itulah sempadan mereka di sebelah selatan. 20 Sungai Yordan menjadi sempadan di sebelah timur. Itulah semua sempadan bagi tanah yang menjadi warisan keluarga-keluarga keturunan Benyamin.

21 Kota-kota yang dimiliki oleh keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah Yerikho, Bet-hogla, Emek-kezis, 22 Bet-araba,+ Zemaraim, Bethel,+ 23 Awim, Para, Ofra, 24 Kefar-amoni, Ofni, dan Geba.+ Semuanya 12 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

25 Mereka juga memiliki kota-kota berikut: Gibeon,+ Rama, Beerot, 26 Mizpe, Kefira, Moza, 27 Rekem, Yirpeel, Tarala, 28 Zela,+ Ha-elef, Yebus, iaitu Yerusalem,+ Gibea,+ dan Kiryat. Semuanya 14 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya.

Itulah warisan keluarga-keluarga keturunan Benyamin.

19 Setelah membuang undi, pembahagian kedua+ adalah untuk keluarga-keluarga dalam suku Simeon.+ Mereka menerima tanah yang terletak di dalam wilayah suku Yehuda.+ 2 Tanah yang diwarisi oleh mereka merangkumi Beer-syeba,+ Syeba, Molada,+ 3 Hazar-sual,+ Bala, Ezem,+ 4 Eltolad,+ Betul, Horma, 5 Ziklag,+ Bet-markabot, Hazar-susa, 6 Bet-lebaot,+ dan Saruhen. Semuanya 13 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya. 7 Selain itu, terdapat juga Ain, Rimon, Eter, dan Asan.+ Semuanya empat buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya. 8 Wilayah mereka meliputi semua perkampungan di sekitar kota-kota itu, sampai ke Baalat-beer, iaitu Rama di selatan. Itulah warisan bagi keluarga-keluarga dalam suku Simeon. 9 Keturunan Simeon diberi warisan daripada bahagian tanah keturunan Yehuda, kerana bahagian tanah itu terlalu besar untuk mereka. Itulah sebabnya keturunan Simeon menerima tanah di dalam wilayah suku Yehuda.+

10 Setelah membuang undi, pembahagian ketiga+ adalah untuk keluarga-keluarga keturunan Zebulon.+ Sempadan tanah mereka terbentang sampai ke Sarid. 11 Sempadan mereka menuju ke barat, ke Marala, lalu ke Dabeset, dan ke lembah* yang berhadapan dengan Yokneam. 12 Kemudian, dari Sarid, sempadan itu menghala ke arah matahari terbit, ke arah timur sampai ke sempadan Kislot-tabor dan ke Daberat,+ lalu naik ke Yafia. 13 Dari situ sempadan itu menuju ke arah matahari terbit, ke arah timur sampai ke Gat-hefer,+ Et-kazin, dan membelok ke Rimon, lalu menuju ke Nea. 14 Di sebelah utara, sempadan itu sampai ke Hanaton dan berakhir di Lembah Yiftah-el. 15 Tanah mereka juga meliputi Katat, Nahalal, Simron,+ Yidala, dan Betlehem.+ Semuanya 12 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya. 16 Kota-kota itu dan perkampungan di sekelilingnya menjadi warisan bagi keluarga-keluarga keturunan Zebulon.+

17 Setelah membuang undi, pembahagian keempat+ adalah untuk keluarga-keluarga keturunan Isakhar.+ 18 Sempadan kawasan mereka merangkumi Yizreel,+ Kesulot, Sunem,+ 19 Hafaraim, Shion, Anaharat, 20 Rabit, Kisyon, Ebes, 21 Remet, En-ganim,+ En-hada, dan Bet-pazes. 22 Sempadan itu juga sampai ke Tabor,+ Sahazima, dan Bet-semes, lalu berakhir di Sungai Yordan. Semuanya 16 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya. 23 Kota-kota itu dan perkampungan di sekelilingnya menjadi warisan bagi keluarga-keluarga dalam suku Isakhar.+

24 Setelah membuang undi, pembahagian kelima+ adalah untuk keluarga-keluarga dalam suku Asyer.+ 25 Sempadan mereka merangkumi Helkat,+ Hali, Beten, Akhsaf, 26 Alamelekh, Amad, dan Misal. Sempadan itu menghala ke barat, ke Karmel,+ dan ke Shihor-libnat. 27 Kemudian sempadan itu membelok ke timur, ke Bet-dagon, dan menghala ke Zebulon dan sebelah utara Lembah Yiftah-el, lalu ke Bet-emek dan Neiel. Sempadan itu menghala ke sebelah kiri Kabul, 28 dan terbentang ke Ebron, Rehob, Hamon, dan Kanah, sampai ke Sidon Besar.+ 29 Kemudian sempadan itu membelok ke Rama, sampai ke kota Tirus+ yang bertembok. Sempadan itu membelok ke Hosa, dan berakhir di laut di sekitar Akhzib, 30 Uma, Afek,+ dan Rehob.+ Semuanya 22 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya. 31 Kota-kota itu dan perkampungan di sekelilingnya menjadi warisan bagi keluarga-keluarga dalam suku Asyer.+

32 Setelah membuang undi, pembahagian keenam+ adalah untuk keluarga-keluarga keturunan Naftali. 33 Sempadan mereka adalah dari Helef, dari pokok besar di Zaananim,+ dan menghala ke Adami-nekeb, Yabneel, dan Lakum. Sempadan itu berakhir di Sungai Yordan. 34 Kemudian sempadan itu membelok ke barat ke Aznot-tabor. Dari situ sempadan itu menghala ke Hukok. Zebulon terletak di sebelah selatan kawasan suku Naftali, Asyer di sebelah barat, dan Yehuda* di Sungai Yordan di sebelah timur. 35 Kota-kota yang bertembok ialah Zidim, Zer, Hamat,+ Rakat, Kineret, 36 Adama, Rama, Hazor,+ 37 Kedes,+ Edrei, En-hazor, 38 Yiron, Migdal-el, Horem, Bet-anat, dan Bet-semes.+ Semuanya 19 buah kota bersama dengan perkampungan di sekelilingnya. 39 Kota-kota itu dan perkampungan di sekelilingnya menjadi warisan bagi keluarga-keluarga dalam suku Naftali.+

40 Setelah membuang undi, pembahagian ketujuh+ adalah untuk keluarga-keluarga dalam suku Dan.+ 41 Sempadan tanah mereka meliputi Zora,+ Esytaol, Ir-semes, 42 Saalabin,+ Ayalon,+ Yitla, 43 Elon, Timna,+ Ekron,+ 44 Elteke, Gibeton,+ Baalat, 45 Yehud, Bene-barak, Gat-rimon,+ 46 Me-yarkon, dan Rakon. Sempadan itu melintasi kawasan yang berdekatan Yope.+ 47 Tetapi wilayah suku Dan terlalu sempit bagi mereka.+ Oleh itu, mereka pergi ke Lesem,+ menawan kota itu, dan membunuh penduduknya dengan pedang. Mereka menakluki kota itu lalu tinggal di situ. Mereka menukar nama kota itu daripada Lesem menjadi Dan, menurut nama nenek moyang mereka.+ 48 Kota-kota itu dan perkampungan di sekelilingnya menjadi warisan bagi keluarga-keluarga dalam suku Dan.

49 Setelah umat Israel selesai membahagikan tanah warisan itu mengikut wilayah masing-masing, mereka memberikan tanah yang ada di dalam kawasan mereka kepada Yosua anak Nun sebagai warisannya. 50 Sebagaimana yang diperintahkan oleh Yehuwa, mereka memberi Yosua kota yang dimintanya, iaitu Timnat-serah,+ yang terletak di kawasan pergunungan Efraim. Yosua membina semula kota itu lalu menetap di situ.

51 Demikianlah Imam Eleazar, Yosua anak Nun, dan para ketua puak dalam suku-suku Israel membahagikan tanah itu+ dengan membuang undi. Mereka berbuat demikian di Silo,+ di depan khemah pertemuan di hadapan Yehuwa.+ Maka selesailah pembahagian tanah itu.

20 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Yosua, 2 “Beritahulah orang Israel, ‘Pilihlah kota-kota perlindungan+ seperti yang telah Aku perintahkan kepada kamu melalui Musa. 3 Dengan demikian, sesiapa yang membunuh seseorang dengan tidak sengaja boleh melarikan diri ke situ. Kota-kota itu diberikan kepada kamu agar kamu dilindungi daripada orang yang berhak menuntut pembalasan.*+ 4 Seseorang yang membunuh dengan tidak sengaja harus melarikan diri ke salah satu daripada kota-kota itu.+ Kemudian dia harus berdiri di pintu gerbang kota+ dan menjelaskan kepada para pemimpin di situ tentang perkara yang berlaku kepadanya. Mereka harus mengizinkan dia masuk ke dalam kota itu dan memberi dia sebuah tempat kediaman supaya dia dapat tinggal bersama mereka. 5 Jika orang yang berhak menuntut pembalasan* mengejar dia, mereka tidak patut menyerahkan dia kepada orang itu, kerana dia membunuh dengan tidak sengaja, dan bukannya kerana perasaan benci.+ 6 Dia mesti tinggal di kota itu sehingga dia diadili di hadapan umum.+ Apabila dia didapati tidak bersalah, dia boleh terus hidup tetapi dia harus tinggal di kota itu sehingga imam agung pada masa itu meninggal.+ Selepas itu, barulah dia boleh kembali ke kota dan ke rumahnya, iaitu dari tempat dia melarikan diri.’”+

7 Maka orang Israel mengkhususkan kota-kota berikut sebagai kota perlindungan: Kedes+ di Galilea, iaitu di kawasan pergunungan Naftali; Sikhem+ di kawasan pergunungan Efraim; dan Kiryat-arba,+ iaitu Hebron di kawasan pergunungan Yehuda. 8 Di kawasan sebelah timur Sungai Yordan, berdekatan Yerikho, mereka memilih Bezer+ di padang belantara yang terletak di dataran tinggi, iaitu di wilayah suku Ruben; Ramot+ di Gilead, iaitu di wilayah suku Gad; dan Golan+ di Basan, iaitu di wilayah suku Manasye.+

9 Itulah kota-kota perlindungan yang dipilih untuk semua orang Israel dan orang asing dalam kalangan mereka. Sesiapa yang telah membunuh seseorang dengan tidak sengaja boleh melarikan diri ke sana.+ Dia tidak akan dibunuh oleh orang yang berhak menuntut pembalasan* tanpa diadili di hadapan umum terlebih dahulu.+

21 Para ketua puak dalam suku Lewi datang menghadap Imam Eleazar,+ Yosua anak Nun, dan para ketua puak dalam suku-suku Israel. 2 Di Silo,+ di tanah Kanaan, mereka berkata, “Yehuwa telah memberikan perintah melalui Musa supaya kami diberi kota-kota sebagai tempat tinggal dan padang rumput di sekeliling kota bagi ternakan kami.”+ 3 Oleh itu, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, orang Israel memberikan kota-kota+ termasuk padang rumput daripada tanah warisan mereka kepada orang Lewi.+

4 Setelah membuang undi, keluarga-keluarga dalam puak Kehat+ menerima kota-kota mereka. Orang Lewi daripada keturunan Imam Harun diberi 13 buah kota daripada suku Yehuda,+ suku Simeon,+ dan suku Benyamin.+

5 Puak Kehat yang lain diberi 10 buah kota daripada keluarga-keluarga dalam suku Efraim,+ suku Dan, dan setengah daripada suku Manasye.+

6 Bagi puak Gerson,+ mereka diberi 13 buah kota daripada keluarga-keluarga dalam suku Isakhar, suku Asyer, suku Naftali, dan setengah daripada suku Manasye di Basan.+

7 Keluarga-keluarga dalam puak Merari+ diberi 12 buah kota daripada suku Ruben, suku Gad, dan suku Zebulon.+

8 Maka dengan membuang undi, umat Israel memberi suku Lewi kota-kota itu dan padang rumput di sekelilingnya, seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa melalui Musa.+

9 Inilah nama kota-kota yang diberikan oleh suku Yehuda dan suku Simeon.+ 10 Kota-kota itu diberikan kepada keturunan Harun daripada puak Kehat dalam suku Lewi, kerana merekalah yang mendapat bahagian yang pertama. 11 Mereka diberi Kiryat-arba,+ iaitu Hebron,+ (Arba ialah bapa Enak), di kawasan pergunungan Yehuda termasuk padang rumputnya. 12 Tetapi kawasan tanah lapang di kota itu dan perkampungannya diberikan kepada Kaleb anak Yefune sebagai miliknya.+

13 Keturunan Imam Harun diberi sebuah kota perlindungan bagi orang yang telah membunuh,+ iaitu Hebron+ dan padang rumputnya. Mereka juga diberi Libna+ dan padang rumputnya, 14 Yatir+ dan padang rumputnya, Estemoa+ dan padang rumputnya, 15 Holon+ dan padang rumputnya, Debir+ dan padang rumputnya, 16 Ain+ dan padang rumputnya, Yuta+ dan padang rumputnya, serta Bet-semes dan padang rumputnya. Semuanya sembilan buah kota daripada dua suku itu.

17 Daripada suku Benyamin: Gibeon+ dan padang rumputnya, Geba dan padang rumputnya,+ 18 Anatot+ dan padang rumputnya, serta Almon dan padang rumputnya. Semuanya empat buah kota.

19 Keturunan Imam Harun menerima 13 buah kota termasuk padang rumput di sekelilingnya.+

20 Setelah membuang undi, keluarga-keluarga lain daripada puak Kehat dalam suku Lewi diberi kota-kota daripada suku Efraim. 21 Mereka diberi sebuah kota perlindungan bagi orang yang telah membunuh,+ iaitu Sikhem+ dan padang rumputnya yang terletak di kawasan pergunungan Efraim. Mereka juga diberi Gezer+ dan padang rumputnya, 22 Kibzaim dan padang rumputnya, serta Bet-horon+ dan padang rumputnya. Semuanya empat buah kota.

23 Daripada suku Dan: Elteke dan padang rumputnya, Gibeton dan padang rumputnya, 24 Ayalon+ dan padang rumputnya, serta Gat-rimon dan padang rumputnya. Semuanya empat buah kota.

25 Daripada setengah suku Manasye: Taanakh+ dan padang rumputnya, serta Gat-rimon dan padang rumputnya. Jumlahnya dua buah kota.

26 Keluarga-keluarga lain dalam puak Kehat menerima 10 buah kota termasuk padang rumput di sekelilingnya.

27 Puak Gerson+ daripada keluarga-keluarga dalam suku Lewi menerima dua buah kota daripada setengah suku Manasye: Sebuah kota perlindungan bagi orang yang telah membunuh, iaitu Golan+ di Basan, termasuk padang rumputnya, serta Beestera dan padang rumputnya.

28 Daripada suku Isakhar:+ Kisyon dan padang rumputnya, Daberat+ dan padang rumputnya, 29 Yarmut dan padang rumputnya, serta En-ganim dan padang rumputnya. Semuanya empat buah kota.

30 Daripada suku Asyer:+ Misal dan padang rumputnya, Abdon dan padang rumputnya, 31 Helkat+ dan padang rumputnya, serta Rehob+ dan padang rumputnya. Semuanya empat buah kota.

32 Daripada suku Naftali: Sebuah kota perlindungan bagi orang yang telah membunuh,+ iaitu Kedes+ di Galilea, termasuk padang rumputnya, Hamot-dor dan padang rumputnya, serta Kartan dan padang rumputnya. Semuanya tiga buah kota.

33 Keluarga-keluarga dalam puak Gerson menerima 13 buah kota termasuk padang rumput di sekelilingnya.

34 Daripada suku Zebulon,+ keluarga-keluarga dalam puak Merari,+ iaitu orang Lewi yang lain, menerima Yokneam+ dan padang rumputnya, Karta dan padang rumputnya, 35 Dimna dan padang rumputnya, serta Nahalal+ dan padang rumputnya. Semuanya empat buah kota.

36 Daripada suku Ruben: Bezer+ dan padang rumputnya, Yahas dan padang rumputnya,+ 37 Kedemot dan padang rumputnya, serta Mefaat dan padang rumputnya. Semuanya empat buah kota.

38 Daripada suku Gad:+ Sebuah kota perlindungan bagi orang yang telah membunuh, iaitu Ramot di Gilead,+ termasuk padang rumputnya, Mahanaim+ dan padang rumputnya, 39 Hesybon+ dan padang rumputnya, serta Yaezer+ dan padang rumputnya. Semuanya empat buah kota.

40 Puak Merari, iaitu keluarga-keluarga lain dalam suku Lewi, menerima 12 buah kota menurut keluarga masing-masing.

41 Semua kota orang Lewi yang terletak di dalam kawasan milik orang Israel berjumlah 48 buah kota termasuk padang rumput di sekelilingnya.+ 42 Setiap kota itu mempunyai padang rumput di sekelilingnya.

43 Demikianlah Yehuwa memberi orang Israel semua tanah yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang mereka.+ Maka orang Israel mengambil tanah itu sebagai milik mereka dan menetap di sana.+ 44 Yehuwa juga memberi mereka kedamaian di seluruh tanah itu, seperti yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang mereka.+ Tiada seorang musuh pun yang dapat mengalahkan mereka.+ Yehuwa telah menyerahkan semua musuh ke dalam tangan mereka.+ 45 Antara semua perkara baik yang dijanjikan oleh Yehuwa kepada orang Israel, tiada satu pun yang gagal ditunaikan; semuanya menjadi kenyataan.+

22 Kemudian Yosua mengumpulkan orang daripada suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye. 2 Dia berkata kepada mereka, “Kamu telah melakukan segala yang diperintahkan oleh Musa,+ hamba Yehuwa itu, dan kamu telah mematuhi segala perintahku kepada kamu.+ 3 Selama ini kamu tidak meninggalkan saudara-saudaramu yang lain.+ Kamu juga telah mematuhi perintah Yehuwa, Tuhan kamu.+ 4 Sekarang, Yehuwa, Tuhan kamu, telah memberikan kedamaian kepada saudara-saudara kamu seperti yang telah dijanjikan-Nya.+ Oleh itu, kembalilah ke khemah kamu, ke tanah milik kamu di sebelah timur Sungai Yordan, yang telah diberikan oleh Musa, hamba Yehuwa itu, kepada kamu.+ 5 Tetapi pastikan kamu melaksanakan dengan teliti perintah dan hukum yang telah diberikan oleh Musa,+ hamba Yehuwa itu, kepada kamu. Pastikan kamu mengasihi Tuhanmu Yehuwa,+ hidup menurut segala kehendak-Nya,+ mematuhi perintah-Nya,+ berpaut erat pada-Nya,+ dan berkhidmat kepada-Nya+ dengan sepenuh hatimu dan dengan segenap jiwamu.”+

6 Kemudian Yosua memberkati mereka dan menyuruh mereka kembali ke khemah mereka. 7 Musa telah memberikan Basan sebagai tanah warisan kepada setengah daripada suku Manasye,+ dan Yosua memberikan tanah di sebelah barat Sungai Yordan+ kepada setengah suku Manasye yang lain, agar mereka dapat tinggal bersama dengan saudara-saudara mereka. Semasa Yosua menyuruh mereka kembali ke khemah, dia memberkati mereka 8 lalu berkata, “Pulanglah ke khemah kamu dengan kekayaan yang berlimpah-limpah, dengan ternakan yang banyak, bersama dengan perak dan emas, tembaga dan besi, serta pakaian yang sangat banyak.+ Bawalah barang-barang yang telah kamu rampas+ daripada musuh-musuhmu dan bahagikanlah semuanya dengan saudara-saudaramu.”

9 Selepas itu, suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye meninggalkan umat Israel yang lain di Silo, di tanah Kanaan. Mereka kembali ke tanah Gilead,+ dan menetap di tanah milik mereka itu seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa melalui Musa.+ 10 Apabila suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye tiba di kawasan yang berdekatan Sungai Yordan, di tanah Kanaan, mereka membina sebuah mazbah yang besar dan mengagumkan di situ. 11 Kemudian umat Israel yang lain mendengar orang+ berkata, “Lihatlah! Suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye telah membina sebuah mazbah berdekatan Sungai Yordan, di sempadan tanah Kanaan di sebelah barat tanah milik umat Israel.” 12 Apabila umat Israel mendengar tentang hal itu, mereka semua berkumpul di Silo+ untuk berperang melawan suku-suku Israel dari sebelah timur Sungai Yordan.

13 Kemudian umat Israel mengutus Imam Pinehas+ anak Eleazar ke tanah Gilead untuk berjumpa dengan suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye. 14 Sepuluh orang pemimpin pergi bersamanya, seorang pemimpin daripada keluarga setiap suku Israel, dan mereka merupakan ketua keluarga dalam puak masing-masing.*+ 15 Apabila mereka berjumpa dengan suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye di tanah Gilead, mereka berkata,

16 “Inilah yang dikatakan oleh seluruh umat Yehuwa, ‘Mengapakah kamu bertindak dengan tidak setia+ kepada Tuhan orang Israel? Sekarang, kamu telah memberontak terhadap Yehuwa dengan membina sebuah mazbah untuk dirimu sendiri. Kamu tidak lagi mengikut Yehuwa!+ 17 Belum cukupkah dosa yang kita lakukan di Peor? Seluruh umat Yehuwa ditimpa tulah,+ dan sampai sekarang pun kita belum menyucikan diri daripada dosa itu. 18 Adakah kamu mahu meninggalkan Yehuwa sekarang? Jika hari ini kamu memberontak terhadap Yehuwa, esok Dia akan murka terhadap seluruh umat Israel.+ 19 Oleh itu, jika tanah milik kamu itu najis, datanglah ke tanah milik Yehuwa,+ iaitu tempat letaknya khemah suci Yehuwa,+ dan tinggallah bersama kami. Janganlah memberontak terhadap Yehuwa, dan janganlah menyebabkan kami memberontak dengan membina sebuah mazbah selain mazbah Yehuwa, Tuhan kita.+ 20 Pada masa dahulu, bukankah Akhan+ daripada keturunan Zerah bertindak dengan tidak setia semasa dia mengambil benda-benda yang mesti dimusnahkan? Tidakkah kemurkaan Tuhan juga menimpa seluruh umat Israel?+ Bukan Akhan seorang sahaja yang mati kerana dosanya, malahan orang lain juga mati.’”+

21 Maka suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye berkata kepada para ketua dalam puak Israel,+ 22 “Yehuwa ialah Tuhan yang perkasa! Yehuwa ialah Tuhan yang perkasa!+ Dia tahu mengapa kami berbuat demikian, dan kamu juga akan tahu! Jika kami memberontak dan tidak setia kepada Yehuwa, janganlah selamatkan kami hari ini. 23 Jika kami membina sebuah mazbah untuk memberontak terhadap Yehuwa, dan untuk mempersembahkan korban bakar, korban bijirin, dan korban pendamaian di atas mazbah itu, biarlah Yehuwa menghukum kami.+ 24 Sebenarnya, kami membina mazbah itu kerana kami berkata, ‘Pada kemudian hari keturunan kamu akan berkata kepada keturunan kami, “Kamu tiada kena-mengena dengan Yehuwa, Tuhan orang Israel! 25 Yehuwa telah menjadikan Sungai Yordan sebagai sempadan antara kami dengan kamu, iaitu suku Ruben dan suku Gad. Kamu tiada kena-mengena dengan Yehuwa.” Dengan demikian, keturunan kamu akan menghalang keturunan kami daripada menyembah* Yehuwa.’

26 “Oleh itu, kami berkata, ‘Marilah kita membina sebuah mazbah, bukan untuk mempersembahkan korban bakar atau korban-korban lain, 27 tetapi untuk menjadi saksi antara kamu dengan kami+ dan dengan keturunan kita,* bahawa kami akan berkhidmat kepada Yehuwa dengan mempersembahkan korban bakar, korban pendamaian, dan korban-korban lain+ di hadapan-Nya. Dengan demikian, pada masa depan, keturunan kamu tidak akan berkata kepada keturunan kami, “Kamu tiada kena-mengena dengan Yehuwa.”’ 28 Maka kami berkata, ‘Pada masa depan, jika mereka mengatakan hal itu kepada kami dan kepada keturunan kami,* kami akan berkata, “Lihatlah mazbah yang dibina oleh nenek moyang kami yang mirip dengan mazbah Yehuwa. Mazbah ini bukan untuk mempersembahkan korban bakar atau korban-korban lain, tetapi untuk menjadi saksi antara kamu dengan kami.”’ 29 Mustahil kami memberontak terhadap Yehuwa dan meninggalkan Yehuwa+ dengan membina mazbah lain untuk mempersembahkan korban. Kami hanya akan mempersembahkan korban bakar, korban bijirin, dan korban-korban lain di mazbah Yehuwa, Tuhan kita, yang terletak di hadapan khemah suci-Nya!”+

30 Semasa Imam Pinehas, para pemimpin, dan ketua dalam puak orang Israel yang menyertai Pinehas mendengar apa yang dikatakan oleh keturunan Ruben, Gad, dan Manasye, mereka pun berasa puas hati.+ 31 Maka Imam Pinehas anak Eleazar berkata kepada keturunan Ruben, Gad, dan Manasye, “Hari ini kami tahu bahawa Yehuwa menyertai kita, kerana kamu tidak memberontak terhadap Yehuwa. Sekarang kamu telah menyelamatkan orang Israel daripada hukuman Yehuwa.”

32 Setelah itu, Imam Pinehas anak Eleazar dan para pemimpin meninggalkan suku Ruben dan suku Gad di tanah Gilead. Mereka kembali ke tanah Kanaan dan melaporkan perkara itu kepada umat Israel yang lain. 33 Umat Israel berasa puas hati mendengar laporan itu lalu memuji Tuhan. Mereka tidak lagi bercakap bahawa mereka hendak berperang melawan suku Ruben dan suku Gad ataupun memusnahkan tanah yang didiami oleh mereka.

34 Oleh itu suku Ruben dan suku Gad memilih nama bagi mazbah itu,* kerana “mazbah itu menjadi saksi antara kita bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar.”

23 Yehuwa memberikan kedamaian kepada orang Israel+ dengan menyelamatkan mereka daripada semua musuh di sekeliling mereka. Lama selepas itu, ketika Yosua sudah tua dan lanjut usia,+ 2 Yosua mengumpulkan seluruh umat Israel,+ para pemimpin, ketua, hakim, dan pegawai mereka,+ lalu berkata, “Aku sudah tua dan lanjut usia. 3 Kamu sendiri telah melihat segala yang dilakukan oleh Tuhanmu Yehuwa terhadap semua bangsa itu demi kamu, kerana Tuhanmu Yehuwa telah berperang untuk kamu.+ 4 Lihatlah! Aku sudah membahagi-bahagikan tanah+ di sebelah barat Sungai Yordan sampai ke Laut Tengah* kepada suku-suku kamu sebagai warisan kamu,+ baik tanah yang masih diduduki bangsa-bangsa lain mahupun tanah milik bangsa-bangsa yang sudah aku musnahkan.+ 5 Yehuwa, Tuhan kamu, telah mengusir mereka dari hadapan kamu.+ Dia mengusir mereka untuk kamu, dan kamu dapat memiliki tanah mereka, seperti yang telah dijanjikan oleh Tuhanmu Yehuwa.+

6 “Hendaklah kamu berani dan teguh untuk mematuhi dan melaksanakan semua yang tercatat dalam kitab yang mengandungi Hukum Musa.+ Janganlah menyimpang daripada Hukum itu, baik ke kiri mahupun ke kanan.+ 7 Janganlah bergaul dengan bangsa-bangsa+ yang masih berada dalam kalangan kamu. Kamu sama sekali tidak boleh menyebut nama tuhan-tuhan mereka+ ataupun menggunakan nama-nama itu untuk bersumpah. Kamu juga tidak boleh menyembah atau bersujud kepada tuhan-tuhan mereka.+ 8 Sebaliknya, kamu harus berpaut pada Yehuwa, Tuhan kamu,+ sebagaimana yang telah kamu lakukan sampai sekarang. 9 Yehuwa akan mengusir bangsa-bangsa yang besar dan kuat dari hadapan kamu.+ Sampai hari ini, tidak ada seorang pun yang dapat mengalahkan kamu.+ 10 Satu orang dalam kalangan kamu akan mengusir satu ribu orang,+ kerana Yehuwa, Tuhan kamu, berperang untuk kamu,+ sebagaimana yang telah dijanjikan-Nya.+ 11 Oleh itu, kamu harus sentiasa berjaga-jaga+ dengan mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu.+

12 “Tetapi jika kamu meninggalkan Tuhan dan berpaut pada bangsa-bangsa yang masih tinggal bersama kamu,+ menjalin ikatan perkahwinan dengan mereka,+ dan bergaul dengan mereka, 13 kamu pasti tahu bahawa Tuhanmu Yehuwa tidak akan mengusir bangsa-bangsa itu untuk kamu lagi.+ Mereka akan menjadi seperti jerat dan seperti perangkap untuk kamu. Mereka juga akan menjadi seperti cambuk pada belakang kamu+ dan seperti duri di dalam mata kamu, sehingga kamu lenyap dari tanah yang indah ini yang telah diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu.

14 “Aku akan meninggal tidak lama lagi. Kamu semua memang tahu dengan sepenuh hati dan dengan segenap jiwa bahawa tiada satu pun antara semua perkara baik yang dijanjikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu telah gagal ditunaikan. Semuanya menjadi kenyataan bagi kamu. Tiada satu janji pun yang dimungkiri-Nya.+ 15 Tetapi sebagaimana Yehuwa, Tuhan kamu, menepati semua perkara baik yang telah dijanjikan-Nya kepada kamu,+ demikian juga Yehuwa akan mendatangkan semua malapetaka yang telah dijanjikan-Nya kepada kamu. Dia akan melenyapkan kamu dari tanah yang indah ini yang telah diberikan oleh Tuhanmu Yehuwa, kepada kamu.+ 16 Yehuwa, Tuhan kamu, telah memerintahkan kamu untuk mematuhi perjanjian-Nya. Tetapi jika kamu melanggar perjanjian itu, dan jika kamu menyembah serta bersujud kepada tuhan-tuhan lain, maka kemarahan Yehuwa akan berkobar-kobar terhadap kamu.+ Dalam masa yang singkat, kamu akan lenyap dari tanah yang indah ini yang telah diberikan-Nya kepada kamu.”+

24 Kemudian Yosua mengumpulkan semua suku Israel di Sikhem. Dia memanggil para pemimpin, ketua, hakim, dan pegawai Israel,+ lalu mereka berdiri di hadapan Tuhan yang benar. 2 Yosua berkata kepada semua orang, “Demikianlah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Pada masa dahulu,+ nenek moyang kamu,+ termasuk Terah, iaitu bapa kepada Abraham dan Nahor, tinggal di seberang Sungai Efrat, dan mereka menyembah tuhan-tuhan lain.+

3 “‘Kemudian, Aku membawa Abraham,+ nenek moyang kamu itu, dari seberang Sungai Efrat dan memimpinnya untuk menjelajahi seluruh negeri Kanaan. Aku memberinya banyak keturunan.+ Aku memberinya Ishak,+ 4 lalu kepada Ishak Aku berikan Yakub dan Esau.+ Aku memberi Esau Gunung Seir sebagai miliknya,+ manakala Yakub dan anak-anaknya pergi ke Mesir.+ 5 Kemudian Aku mengutus Musa dan Harun,+ dan Aku mendatangkan tulah atas Mesir,+ lalu Aku membawa kamu keluar dari situ. 6 Semasa Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir,+ orang Mesir mengejar mereka dengan kereta kuda dan askar berkuda sampai ke Laut Merah.+ Nenek moyang kamu yang berada di tepi laut 7 berseru untuk meminta tolong daripada Aku, Yehuwa.+ Oleh itu Aku mendatangkan kegelapan antara mereka dengan orang Mesir, dan menyebabkan air laut menenggelami orang Mesir.+ Kamu telah menyaksikan perbuatan-Ku di Mesir dengan mata kamu sendiri.+ Selepas itu, kamu tinggal di padang belantara untuk masa yang lama.+

8 “‘Kemudian, Aku membawa kamu ke sebelah timur Sungai Yordan, ke tanah yang didiami orang Amori. Mereka berperang melawan kamu,+ tetapi Aku menyerahkan mereka ke dalam tangan kamu agar kamu dapat menakluki tanah mereka, dan Aku telah membinasakan mereka dari hadapan kamu.+ 9 Kemudian raja dari Moab, iaitu Balak anak Zipor, bangkit dan melawan orang Israel. Dia mengutus orang kepada Bileam anak Beor dan memintanya mengutuk kamu.+ 10 Tetapi Aku enggan mendengarkan Bileam.+ Sebaliknya, Aku menyebabkan dia memberkati kamu berkali-kali.+ Demikianlah Aku menyelamatkan kamu daripada tangannya.+

11 “‘Kemudian kamu menyeberangi Sungai Yordan+ lalu tiba di Yerikho.+ Para pemimpin* di Yerikho, termasuk orang Amori, orang Feris, orang Kanaan, orang Het, orang Girgashi, orang Hewi, dan orang Yebus berperang melawan kamu. Tetapi Aku telah menyerahkan mereka ke dalam tangan kamu.+ 12 Aku menyebabkan musuh kamu patah semangat* sebelum kamu tiba. Aku telah mengusir mereka dari hadapan kamu,+ seperti apa yang berlaku kepada dua orang raja Amori. Hal itu bukan disebabkan oleh pedang dan panah kamu.+ 13 Aku memberi kamu tanah yang tidak kamu usahakan dan kota-kota yang tidak kamu bina,+ dan kamu tinggal di sana. Kamu juga memakan buah dari ladang anggur dan daripada pokok-pokok zaitun yang tidak kamu tanam.’+

14 “Oleh itu, takutlah akan Yehuwa dan sembahlah Dia dengan setia dan tanpa cela.*+ Singkirkanlah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesir dan di seberang Sungai Efrat,+ lalu sembahlah Yehuwa. 15 Tetapi, jika kamu berfikir bahawa menyembah Yehuwa bukanlah suatu perkara yang baik, pilihlah sekarang siapa yang akan kamu sembah,+ sama ada tuhan-tuhan yang disembah oleh nenek moyang kamu di seberang Sungai Efrat,+ atau tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang sedang kamu tinggal.+ Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami akan menyembah Yehuwa.”

16 Lalu orang Israel berkata, “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan Yehuwa dan menyembah tuhan-tuhan lain. 17 Yehuwa, Tuhan kitalah, yang membawa kita dan nenek moyang kita keluar dari negeri Mesir,+ tempat kita diperhamba.+ Dia telah melakukan mukjizat-mukjizat yang hebat di depan mata kita.+ Dia juga melindungi kita sepanjang perjalanan kita, dan semasa kita melalui negeri bangsa-bangsa lain.+ 18 Yehuwa telah mengusir dari hadapan kita semua bangsa yang tinggal di negeri ini, termasuk orang Amori. Oleh itu, kami juga akan menyembah Yehuwa, kerana Dialah Tuhan kita.”

19 Kemudian Yosua berkata kepada mereka, “Adakah kamu benar-benar dapat menyembah Yehuwa? Dia Tuhan yang suci+ dan Dia ingin kamu menyembah-Nya sahaja.+ Jika kamu gagal berbuat demikian, Dia tidak akan mengampunkan kesalahan* dan dosa-dosa kamu.+ 20 Jika kamu meninggalkan Yehuwa dan menyembah tuhan-tuhan bangsa asing, Dia akan menentang kamu dan memusnahkan kamu, biarpun Dia pernah berbuat baik terhadap kamu.”+

21 Umat Israel berkata kepada Yosua, “Kami akan menyembah Yehuwa!”+ 22 Yosua menjawab, “Kamu menjadi saksi bagi diri sendiri, bahawa kamu sendirilah yang memilih untuk menyembah Yehuwa.”+ Mereka berkata, “Ya, kami menjadi saksi.”

23 Yosua berkata lagi, “Jika demikian, buanglah tuhan-tuhan bangsa asing yang ada dalam kalangan kamu. Sembahlah Yehuwa, Tuhan orang Israel, dengan sepenuh hati.” 24 Lalu umat Israel berkata kepada Yosua, “Kami akan menyembah Yehuwa, Tuhan kita, dan kami akan mentaati-Nya!”

25 Maka, pada hari itu Yosua membuat perjanjian dengan umat itu di Sikhem. Dia menetapkan peraturan dan hukum bagi mereka. 26 Yosua menuliskan kata-kata itu dalam kitab yang mengandungi Hukum Tuhan.+ Kemudian dia mengambil sebuah batu yang besar+ dan menegakkannya di bawah pokok besar yang berdekatan tempat suci Yehuwa.

27 Kemudian Yosua berkata kepada mereka, “Lihatlah! Batu ini saksi kita,+ kerana batu ini telah mendengar segala firman Yehuwa kepada kita. Batu ini akan menjadi saksi bagi kamu supaya kamu tidak menyangkal Tuhan kamu.” 28 Selepas itu, Yosua menyuruh umat Israel pulang ke tanah milik masing-masing.+

29 Beberapa lama kemudian, Yosua anak Nun, hamba Yehuwa itu, meninggal ketika dia berumur 110 tahun.+ 30 Maka dia dikebumikan di tanah warisannya di Timnat-serah,+ yang terletak di kawasan pergunungan Efraim, di sebelah utara Gunung Gaas. 31 Selama Yosua masih hidup, umat Israel terus menyembah Yehuwa. Mereka juga tetap menyembah-Nya setelah Yosua meninggal dan sepanjang hayat para pemimpin yang mengetahui segala perbuatan Yehuwa untuk umat Israel.+

32 Semasa orang Israel keluar dari Mesir, mereka telah membawa tulang-tulang Yusuf+ dan mengebumikannya di Sikhem, di tanah yang dibeli oleh Yakub daripada keturunan Hamor,+ bapa Sikhem, dengan harga 100 keping wang perak.+ Tanah itu menjadi milik keturunan Yusuf.+

33 Eleazar anak Harun juga meninggal,+ lalu dikebumikan di Bukit Pinehas,+ iaitu tanah di kawasan pergunungan Efraim yang telah diberikan kepada Pinehas.

Atau “Yehosua,” yang bermaksud “Yehuwa ialah Penyelamatan.”

Iaitu, Laut Mediterranean.

Sejenis tumbuhan yang ditanam sejak masa kuno. Gentiannya digunakan untuk membuat kain linen.

Atau “dan kasih setia.”

Harfiah, “kira-kira 2,000 hasta.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “takut akan.”

Maksudnya “Bukit Kulup.”

Harfiah, “kepada kita.”

Harfiah, “menggulingkan.”

Maksudnya “Menggulingkan.”

Lihat Kamus.

Atau mungkin, “menyuruh umat itu bersumpah.”

Atau mungkin merujuk kepada kemasyhuran Yehuwa.

Maksudnya “Kuari.”

Harfiah, “hati umat itu mencair dan menjadi seperti air.”

Harfiah, “50 syekel.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “200 syekel.” Lihat Lampiran B14.

Atau “Dataran Rendah.”

Maksudnya “Malapetaka.”

Atau “dataran rendah.”

Atau “pokok.”

Atau “sidang.” Lihat Kamus.

Iaitu, Laut Mediterranean.

Atau “Dataran Rendah.”

Atau “pokok.”

Atau “dari Araba.”

Iaitu, Tasik Genesaret atau Tasik Galilea.

Atau “Wadi.”

Iaitu, Tasik Genesaret atau Tasik Galilea.

Atau “dari Shihor.”

Atau “ke pintu masuk kota Hamat.”

Atau “Wadi.”

Atau “dataran rendah.”

Atau “dataran rendah.”

Iaitu, Tasik Genesaret atau Tasik Galilea.

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Iaitu, Laut Mediterranean.

Atau “Dataran Rendah.”

Atau “Dataran Rendah.”

Iaitu, Laut Mediterranean.

Atau mungkin, “Semasa di atas keldai, Akhsa bertepuk tangan.”

Atau “Negeb.”

Maksudnya “Kawasan yang Berair.”

Atau mungkin, “Gedera serta kandang bebiri di sekelilingnya.”

Iaitu, Laut Mediterranean.

Iaitu, Laut Mediterranean.

Iaitu, Laut Mediterranean.

Iaitu, penduduk Manasye atau kawasan Manasye.

Harfiah, “aku.”

Atau “dataran rendah.”

Atau “Dataran Rendah.”

Atau “Dataran Rendah.”

Atau “wadi.”

Nampaknya tidak merujuk kepada suku Yehuda, tetapi keluarga seorang lelaki dari Yehuda.

Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”

Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”

Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”

Atau “ketua atas ribuan orang.”

Harfiah, “berasa takut akan.”

Atau “generasi kita yang akan datang.”

Atau “generasi kami yang akan datang.”

Daripada penjelasan yang diberikan, besar kemungkinan mazbah itu diberi nama Saksi.

Iaitu, Laut Mediterranean.

Atau mungkin, “pemilik tanah.”

Atau mungkin, “cemas; gentar.”

Atau “dengan kebenaran dan integriti.”

Atau “pemberontakan.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi