PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 43 1A-21Y
  • Yohanes

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Yohanes
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Yohanes

BERITA BAIK YANG DISAMPAIKAN OLEH YOHANES

1 Pada mulanya, Firman itu+ wujud. Firman itu bersama Tuhan,+ dan Firman itu tuhan.*+ 2 Pada mulanya dia sudah ada bersama Tuhan. 3 Segala-galanya wujud melalui dia,+ dan tanpa dia, tiada sesuatu pun yang wujud.

4 Melalui dia, wujudlah kehidupan, dan kehidupan itu merupakan cahaya bagi manusia.+ 5 Cahaya itu bersinar dalam kegelapan,+ tetapi kegelapan tidak dapat memadamkannya.

6 Ada seorang lelaki yang diutus sebagai wakil Tuhan. Namanya Yohanes.+ 7 Dia datang sebagai saksi untuk memberikan kesaksian tentang cahaya itu,+ supaya melaluinya, segala macam orang akan percaya. 8 Dia bukanlah cahaya itu,+ tetapi dia diutus untuk memberikan kesaksian tentang cahaya itu.

9 Cahaya sejati yang menerangi segala macam orang akan datang ke dunia tidak lama lagi.+ 10 Dia ada di dunia,+ dan dunia wujud melalui dia.+ Namun, dunia tidak mengenalnya. 11 Dia datang ke tanah airnya, tetapi orang yang sebangsa dengannya tidak menerimanya. 12 Namun, semua yang menerimanya telah diberi hak olehnya untuk menjadi anak-anak Tuhan,+ kerana mereka beriman kepada namanya.+ 13 Mereka tidak dilahirkan daripada darah dan daging, atau menerusi kehendak manusia. Sebaliknya, mereka dilahirkan sebagai anak-anak Tuhan.+

14 Firman itu telah menjadi manusia+ dan tinggal dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaannya, iaitu kemuliaan yang dimiliki anak tunggal+ seorang bapa. Dia penuh dengan kebenaran dan sangat diperkenankan Tuhan.* 15 (Yohanes telah memberikan kesaksian tentangnya. Ya, Yohanes berseru, “Dialah yang aku maksudkan semasa aku berkata, ‘Orang yang datang selepas aku telah berada di hadapanku, kerana dia wujud sebelum aku.’”)+ 16 Dia penuh dengan kebaikan hati yang unggul, oleh itu kita juga terus dicucuri kebaikan hati yang unggul. 17 Hukum diberikan menerusi Musa,+ tetapi kebaikan hati yang unggul+ dan kebenaran disingkapkan menerusi Yesus Kristus.+ 18 Tiada seorang pun yang pernah melihat Tuhan+ kecuali anak tunggal-Nya+ yang bersifat seperti Tuhan, dan yang berada di sisi-Nya.*+ Dialah yang telah menyingkapkan Tuhan kepada kita.+

19 Inilah kesaksian Yohanes semasa orang Yahudi mengutus imam-imam dan orang Lewi dari Yerusalem untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?”+ 20 Dia menjawab dan mengaku dengan terus terang, “Aku bukan Kristus.” 21 Maka mereka bertanya, “Kalau begitu, siapakah kamu? Adakah kamu Elia?”+ Dia menjawab, “Bukan.” “Adakah kamu Nabi itu?”+ Dia menjawab, “Bukan!” 22 Maka mereka bertanya kepadanya, “Siapakah kamu? Beritahulah kami supaya kami dapat memberikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Apakah yang dapat kamu katakan tentang dirimu?” 23 Dia menjawab, “Akulah orang yang berseru di padang belantara, ‘Hendaklah kamu meluruskan jalan bagi Yehuwa,’*+ seperti yang dikatakan oleh Nabi Yesaya.”+ 24 Para utusan itu diutus oleh orang Farisi. 25 Mereka bertanya, “Kamu bukan Kristus, Elia, atau Nabi itu. Jadi, mengapakah kamu membaptis orang?” 26 Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air. Tetapi dia yang tidak kamu kenal berdiri dalam kalangan kamu. 27 Dia datang selepas aku, tetapi aku tidak layak membuka tali kasutnya.”+ 28 Hal-hal itulah yang berlaku di Betania, yang terletak di seberang Sungai Yordan, iaitu tempat Yohanes membaptis orang.+

29 Keesokan harinya, semasa Yohanes melihat Yesus datang kepadanya, dia berkata, “Lihat, Anak Bebiri+ Tuhan yang menghapuskan dosa+ dunia!+ 30 Dialah orang yang aku maksudkan semasa aku berkata, ‘Orang yang datang selepas aku telah berada di hadapanku, kerana dia wujud sebelum aku.’+ 31 Aku pun tidak mengenalnya, tetapi aku datang untuk membaptis dengan air supaya dia dapat menampakkan dirinya di hadapan Israel.”+ 32 Yohanes juga memberikan kesaksian dengan berkata, “Aku telah melihat kuasa suci Tuhan* turun dari langit seperti burung merpati dan tinggal di atasnya.+ 33 Aku pun tidak mengenalnya, tetapi Dia yang mengutus aku untuk membaptis dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Apabila kamu melihat kuasa suci Tuhan turun dan tinggal di atas seseorang,+ dialah orang yang akan membaptis dengan kuasa suci Tuhan.’+ 34 Aku sudah melihat hal ini, dan aku memberikan kesaksian bahawa dialah Anak Tuhan.”+

35 Pada hari berikutnya, Yohanes sedang berdiri di tempat itu dengan dua orang muridnya. 36 Ketika dia melihat Yesus lalu di situ, dia berkata, “Lihat, Anak Bebiri+ Tuhan!” 37 Apabila kedua-dua orang murid itu mendengar kata-katanya, mereka pun mengikut Yesus. 38 Yesus berpaling dan melihat mereka mengikutnya lalu dia berkata, “Apakah yang sedang kamu cari?” Mereka menjawab, “Rabbi (yang bermaksud “Guru”), di manakah Rabbi tinggal?” 39 Dia berkata kepada mereka, “Marilah dan lihat.” Waktu itu kira-kira jam empat petang.* Mereka mengikutnya dan melihat tempat tinggalnya. Pada hari itu, mereka tinggal bersamanya. 40 Salah seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikut Yesus bernama Andreas,+ iaitu saudara kandung Simon Petrus. 41 Mula-mula Andreas menemui Simon, saudara kandungnya, dan berkata kepadanya, “Kami sudah menjumpai Mesias”+ (yang bermaksud “Kristus”). 42 Kemudian, dia membawa Simon kepada Yesus. Semasa Yesus melihat Simon, dia berkata, “Kamu ialah Simon+ anak Yohanes. Kamu akan digelar Kefas” (iaitu “Petrus”+ dalam bahasa Yunani).

43 Keesokan harinya, Yesus ingin bertolak ke Galilea. Maka dia menemui Filipus+ dan berkata kepadanya, “Jadilah pengikutku.” 44 Filipus berasal dari kota Betsaida, iaitu tempat asal Andreas dan Petrus. 45 Filipus menemui Natanael+ dan berkata kepadanya, “Kami sudah menemui orang yang perihalnya tercatat dalam Hukum Musa dan Ajaran Para Nabi. Dia ialah Yesus anak Yusuf,+ yang berasal dari Nasaret.” 46 Namun Natanael berkata, “Dapatkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?” Filipus berkata kepadanya, “Marilah dan lihat.” 47 Apabila Yesus melihat Natanael berjalan ke arahnya, dia berkata tentangnya, “Lihatlah, orang Israel sejati yang hatinya bebas daripada tipu daya.”+ 48 Natanael berkata, “Bagaimanakah Tuan mengenal aku?” Yesus menjawab, “Sebelum Filipus memanggil kamu, aku sudah nampak kamu di bawah pokok ara itu.” 49 Natanael berkata, “Rabbi ialah Anak Tuhan dan raja orang Israel.”+ 50 Yesus berkata, “Adakah kamu percaya kerana aku berkata bahawa aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat perkara-perkara yang lebih menakjubkan.” 51 Yesus menyambung, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu semua: Kamu akan melihat langit terbuka, dan melihat malaikat-malaikat Tuhan naik ke syurga dan turun kepada Anak Manusia.”+

2 Dua hari kemudian, sebuah majlis perkahwinan diadakan di Kana, Galilea, dan ibu Yesus ada di sana. 2 Yesus dan murid-muridnya juga dijemput ke majlis perkahwinan itu.

3 Apabila wain hampir habis, ibu Yesus berkata kepada Yesus, “Mereka kehabisan wain.” 4 Tetapi Yesus berkata kepada ibunya, “Apakah kaitan hal itu dengan ibu dan saya?* Saat saya belum tiba.” 5 Kemudian ibu Yesus berkata kepada pelayan-pelayan di situ, “Lakukan apa sahaja yang dikatakannya kepada kamu.” 6 Sesuai dengan adat penyucian orang Yahudi, ada enam buah tempayan air yang diperbuat daripada batu diletakkan di situ.+ Setiap tempayan dapat diisi dengan dua atau tiga baldi air.* 7 Yesus berkata kepada mereka, “Isilah tempayan-tempayan itu dengan air.” Maka mereka mengisi semua tempayan itu sehingga penuh. 8 Kemudian dia berkata kepada mereka, “Sekarang ambillah sedikit untuk dihidangkan kepada ketua majlis.” Mereka pun menurut kata-katanya. 9 Ketua majlis itu merasai air yang telah diubah menjadi wain. Dia tidak tahu dari mana datangnya wain itu (tetapi hamba-hamba yang telah mengambil air itu tahu). Maka dia memanggil pengantin lelaki 10 lalu berkata kepadanya, “Orang lain biasanya menyajikan wain yang bermutu tinggi terlebih dahulu. Selepas tetamu sudah mabuk, barulah wain yang kurang bermutu dihidangkan. Tetapi kamu telah menyimpan wain yang bermutu tinggi sehingga sekarang.” 11 Inilah mukjizat Yesus yang pertama, yang dilakukannya di Kana, Galilea. Dengan berbuat demikian, dia telah menyatakan kemuliaannya,+ dan murid-muridnya beriman kepadanya.

12 Selepas itu, Yesus, ibunya, adik-adiknya,+ dan murid-muridnya, pergi ke Kapernaum.+ Tetapi mereka hanya tinggal di sana selama beberapa hari.

13 Memandangkan Perayaan Paska*+ orang Yahudi sudah dekat, Yesus pergi ke Yerusalem. 14 Di dalam Rumah Tuhan, dia melihat orang menjual lembu, biri-biri, dan burung merpati.+ Para penukar wang juga duduk di situ. 15 Selepas dia membuat cemeti daripada tali, dia mengusir semua orang yang menjual biri-biri dan lembu keluar dari Rumah Tuhan. Dia juga menghamburkan duit syiling para penukar wang dan menterbalikkan meja-meja mereka.+ 16 Dia berkata kepada para penjual burung merpati, “Bawa keluar semua benda ini! Jangan lagi jadikan Rumah Bapaku tempat berniaga!”+ 17 Semasa melihat semua ini, murid-muridnya teringat bahawa ada tertulis, “Semangatku untuk Rumah-Mu akan berkobar-kobar seperti api.”+

18 Maka orang Yahudi berkata, “Apakah mukjizat yang akan Tuan tunjukkan kepada kami+ untuk membuktikan bahawa Tuan berhak melakukan hal-hal ini?” 19 Yesus menjawab, “Robohkanlah Rumah Tuhan, dan dalam masa tiga hari aku akan membinanya semula.”+ 20 Maka orang Yahudi berkata, “Empat puluh enam tahun diperlukan untuk membina Rumah Tuhan. Adakah kamu akan membinanya semula dalam masa tiga hari?” 21 Sebenarnya, Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus ialah tubuhnya sendiri.+ 22 Selepas dia dibangkitkan daripada kematian, murid-muridnya teringat bahawa dia sering berkata demikian.+ Oleh itu, mereka mempercayai Ayat-Ayat Suci dan apa yang telah dikatakan oleh Yesus.

23 Pada masa Perayaan Paska, dia berada di Yerusalem dan banyak orang beriman kepada namanya setelah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukannya. 24 Namun demikian, Yesus tidak mempercayai mereka dengan sepenuhnya kerana dia mengetahui sifat sebenar mereka semua. 25 Lagipun dia tidak memerlukan orang untuk memberikan kesaksian tentang sesiapa pun kerana dia tahu benar isi hati manusia.+

3 Ada seorang Farisi yang bernama Nikodemus.+ Dia merupakan pemimpin orang Yahudi. 2 Dia datang kepada Yesus pada waktu malam+ dan berkata, “Rabbi,+ kami tahu bahawa Rabbi diutus oleh Tuhan sebagai guru, kerana tiada sesiapa pun yang dapat melakukan mukjizat+ seperti yang Rabbi lakukan kecuali Tuhan menyertainya.”+ 3 Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Tiada sesiapa yang dapat melihat Kerajaan Tuhan+ kecuali dia dilahirkan semula.”*+ 4 Nikodemus berkata kepadanya, “Bagaimanakah orang dewasa dapat dilahirkan semula? Dapatkah dia memasuki rahim ibunya buat kali kedua lalu dilahirkan?” 5 Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Tiada sesiapa pun yang dapat memasuki Kerajaan Tuhan kecuali dia dilahirkan daripada air+ dan kuasa suci Tuhan.+ 6 Mereka yang dilahirkan oleh manusia merupakan anak-anak manusia, dan mereka yang dilahirkan daripada kuasa suci Tuhan merupakan anak-anak Tuhan. 7 Janganlah hairan kerana aku berkata kepada kamu: Kamu semua mesti dilahirkan semula. 8 Angin bertiup ke mana sahaja angin mahu, dan kamu mendengar bunyinya. Namun, kamu tidak tahu dari mana datangnya angin dan ke mana angin itu akan pergi. Demikian juga halnya dengan setiap orang yang telah dilahirkan daripada kuasa suci Tuhan.”+

9 Nikodemus pun bertanya, “Bagaimanakah hal-hal ini boleh terjadi?” 10 Yesus menjawab, “Bukankah kamu seorang guru di Israel? Mengapakah kamu tidak mengetahui perkara-perkara ini? 11 Sesungguhnya aku berkata kepadamu: Kami mengatakan apa yang kami tahu dan kami memberikan kesaksian tentang apa yang kami lihat, tetapi kamu semua tidak menerima kesaksian kami. 12 Jika kamu tidak percaya apabila aku memberitahu kamu tentang perkara di bumi, bagaimanakah kamu dapat percaya apabila aku memberitahu kamu tentang perkara di syurga? 13 Tambahan lagi, tiada seorang pun yang pernah naik ke syurga+ kecuali dia yang turun dari syurga,+ iaitu Anak Manusia. 14 Sepertimana Musa menggantungkan ular pada sebatang tiang di padang belantara,+ begitu juga Anak Manusia mesti digantungkan,*+ 15 supaya semua orang yang percaya kepadanya boleh mendapat kehidupan kekal.+

16 “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya,+ supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.+ 17 Tuhan tidak mengutus Anak-Nya ke dunia untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkan dunia melaluinya.+ 18 Sesiapa yang beriman kepadanya tidak akan dihakimi.+ Sesiapa yang tidak beriman telah pun dihakimi kerana dia tidak beriman kepada nama Anak tunggal Tuhan.+ 19 Walaupun cahaya telah masuk ke dalam dunia,+ orang mencintai kegelapan dan bukannya cahaya kerana perbuatan mereka jahat. Itulah sebabnya mereka dihakimi. 20 Sesiapa yang mengamalkan perbuatan keji membenci cahaya dan tidak datang kepada cahaya, supaya perbuatannya tidak didedahkan. 21 Tetapi sesiapa yang melakukan apa yang benar datang kepada cahaya,+ supaya perbuatannya menunjukkan bahawa dia bertindak selaras dengan kehendak Tuhan.”

22 Selepas itu, Yesus dan murid-muridnya pergi ke kawasan desa di Yudea. Di situ, dia meluangkan sedikit masa dengan mereka dan membaptis orang.+ 23 Tetapi Yohanes juga membaptis orang di Ainon, tempat yang berhampiran dengan Salim, kerana tempat itu mempunyai banyak air.+ Orang berduyun-duyun datang untuk dibaptis.+ 24 Pada masa itu, Yohanes belum dipenjarakan.+

25 Murid-murid Yohanes mula bertengkar dengan seorang Yahudi mengenai adat penyucian. 26 Kemudian mereka datang kepada Yohanes dan berkata, “Rabbi, lihatlah lelaki yang pernah bersama Rabbi di seberang Sungai Yordan. Rabbi ada memberikan kesaksian tentang dia,+ tetapi sekarang dia membaptis orang dan semua orang pergi kepadanya.” 27 Lalu Yohanes menjawab, “Seseorang tidak dapat menerima apa-apa kecuali Tuhan memberikannya kepada dia. 28 Kamu sendiri menjadi saksiku bahawa aku berkata, ‘Aku bukanlah Kristus,+ tetapi aku telah diutus terlebih dahulu daripadanya.’+ 29 Pengantin perempuan ialah milik pengantin lelaki.+ Namun begitu, sahabat pengantin lelaki sangat bersukacita apabila dia berdiri dan mendengar suara pengantin lelaki. Oleh itu, sukacitaku sudah sempurna. 30 Bilangan murid-murid Kristus akan terus meningkat, tetapi bilangan murid-muridku akan terus berkurang.”

31 Dia yang datang dari atas+ lebih besar daripada semua orang. Dia yang datang dari bumi adalah dari bumi, dan dia bercakap tentang perkara-perkara di bumi. Dia yang datang dari syurga lebih besar daripada semua orang.+ 32 Dia memberikan kesaksian tentang apa yang telah dilihat dan didengarinya,+ tetapi tiada orang yang menerima kesaksiannya.+ 33 Orang yang menerima kesaksiannya mengesahkan* bahawa firman Tuhan adalah benar.+ 34 Orang yang diutus oleh Tuhan menyampaikan perkhabaran daripada Tuhan+ kerana Tuhan memberikan kuasa suci-Nya secara berlimpah-limpah. 35 Bapa mengasihi Anak+ dan telah menyerahkan segala-galanya ke dalam tangannya.+ 36 Sesiapa yang beriman kepada Anak akan meraih kehidupan kekal,+ tetapi sesiapa yang tidak patuh kepada Anak tidak akan meraih kehidupan.+ Sebaliknya, kemurkaan Tuhan akan tetap ada padanya.+

4 Orang Farisi mendengar bahawa Yesus mendapat dan membaptis+ lebih banyak murid berbanding Yohanes. Apabila Tuan Yesus mengetahui hal ini 2 (sebenarnya Yesus tidak membaptis sesiapa pun tetapi murid-muridnya yang melakukan hal itu), 3 dia meninggalkan Yudea dan bertolak ke Galilea sekali lagi. 4 Namun, dia harus melalui Samaria. 5 Dalam perjalanannya, dia tiba di sebuah kota di Samaria yang disebut Sikhar. Kota itu berhampiran dengan tanah yang diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf.+ 6 Sebenarnya, perigi Yakub ada di sana.+ Yesus penat kerana perjalanannya, maka dia duduk di tepi perigi* itu. Pada masa itu, waktunya kira-kira jam 12 tengah hari.*

7 Seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah aku minum.” 8 (Murid-muridnya sudah pergi ke kota untuk membeli makanan.) 9 Wanita Samaria itu berkata kepadanya, “Tuan ialah orang Yahudi sedangkan aku seorang wanita Samaria. Mengapakah Tuan meminta minum daripada aku?” (Hal ini demikian kerana orang Yahudi tidak bercakap dengan orang Samaria.)+ 10 Yesus menjawab, “Jika kamu tahu tentang kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma+ dan siapa yang berkata kepadamu, ‘Berilah aku minum,’ sudah pasti kamu akan meminta air daripadanya, dan dia akan memberikan air kehidupan kepadamu.”+ 11 Wanita itu berkata kepadanya, “Tuan tidak mempunyai timba untuk mengambil air, lagipun perigi ini dalam. Dari manakah Tuan boleh mendapat air kehidupan ini? 12 Adakah Tuan lebih besar daripada Yakub, nenek moyang kami? Dia yang memberi kami perigi ini, dan dia juga minum air perigi ini bersama anak-anak lelakinya dan ternakannya.” 13 Yesus menjawab, “Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi. 14 Namun, sesiapa yang minum air yang aku berikan tidak akan dahaga lagi.+ Air itu akan menjadi seperti mata air dalam dirinya yang memberikan kehidupan kekal.”+ 15 Wanita itu berkata, “Tuan, berilah aku air itu supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu kembali ke sini untuk menimba air.”

16 Dia berkata kepada wanita itu, “Pergilah dan panggil suamimu. Kemudian, datanglah ke sini.” 17 Wanita itu menjawab, “Aku tidak mempunyai suami.” Yesus berkata, “Benar katamu bahawa kamu tidak bersuami. 18 Kamu pernah mempunyai lima orang suami, dan lelaki yang tinggal bersamamu sekarang bukanlah suamimu. Memang benar katamu.” 19 Kemudian wanita itu berkata, “Sekarang aku tahu bahawa Tuan ialah seorang nabi.+ 20 Nenek moyang kami beribadat di gunung ini, tetapi bangsa Tuan mengatakan bahawa orang hanya boleh beribadat di Yerusalem.”+ 21 Yesus membalas, “Hai wanita, percayalah kepadaku, masanya akan tiba apabila kamu semua tidak akan menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem. 22 Kamu semua tidak tahu siapa yang kamu sembah,+ tetapi kami tahu siapa yang kami sembah, kerana penyelamatan bermula daripada orang Yahudi.+ 23 Walau bagaimanapun, masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila penyembah sejati akan menyembah Bapa dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran. Sebenarnya, Bapa sedang mencari orang sedemikian untuk menyembah-Nya.+ 24 Tuhan ialah Roh,+ dan semua penyembah-Nya mesti menyembah-Nya dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran.”+ 25 Kemudian wanita itu berkata kepadanya, “Aku tahu bahawa Mesias yang dipanggil Kristus akan datang. Apabila dia tiba, dia akan memberitahu kami segala-galanya secara terbuka.” 26 Yesus berkata kepadanya, “Akulah dia; aku yang sedang bercakap denganmu.”+

27 Pada masa itu, murid-murid Yesus kembali. Mereka berasa hairan apabila melihatnya bercakap dengan seorang wanita. Tetapi, tiada seorang pun yang bertanya, “Apakah yang Guru perlukan?” atau, “Mengapakah Guru bercakap dengan dia?” 28 Maka wanita tersebut meninggalkan tembikar airnya lalu pergi ke kota dan memberitahu orang di sana, 29 “Datanglah dan lihatlah lelaki yang memberitahu aku semua hal yang pernah aku lakukan. Mungkinkah dia itu Kristus?” 30 Mereka keluar dari kota lalu pergi kepada Yesus.

31 Sementara itu, murid-murid Yesus berkata kepadanya, “Rabbi,+ makanlah.” 32 Tetapi dia berkata kepada mereka, “Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.” 33 Maka murid-muridnya berkata kepada satu sama lain, “Tiada sesiapa yang membawa makanan untuknya, bukan?” 34 Yesus berkata kepada mereka, “Makananku ialah melakukan kehendak Dia yang mengutus aku+ dan menyelesaikan pekerjaan yang diberikan-Nya kepadaku.+ 35 Kamu mengatakan bahawa masih ada empat bulan sebelum musim menuai tiba. Namun, aku berkata kepada kamu: Lihatlah, ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai.+ 36 Penuai sudah pun menerima upah dan sedang mengumpulkan hasil tuaian, iaitu orang yang akan menerima kehidupan kekal. Dengan itu, penabur benih dan penuai dapat bersukacita bersama-sama.+ 37 Dalam hal ini, benarlah pepatah yang berbunyi: Seorang ialah penabur benih dan seorang lagi ialah penuai. 38 Aku mengutus kamu untuk menuai apa yang tidak kamu usahakan. Orang lain bekerja dan kamu mendapat faedah daripada hasil titik peluh mereka.”

39 Banyak orang Samaria dari kota itu mula beriman kepada Yesus setelah wanita itu memberikan kesaksian dengan berkata, “Dia memberitahu aku semua hal yang pernah aku lakukan.”+ 40 Maka, apabila orang Samaria pergi kepada Yesus, mereka memintanya tinggal bersama mereka. Jadi dia tinggal di situ selama dua hari. 41 Hasilnya, lebih banyak orang percaya setelah mendengar ajarannya. 42 Mereka berkata kepada wanita itu, “Sekarang kami percaya, bukan sahaja kerana apa yang kamu katakan, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengarnya dan kami tahu bahawa lelaki ini sememangnya penyelamat dunia.”+

43 Yesus tinggal di sana selama dua hari. Kemudian dia bertolak ke Galilea. 44 Yesus sendiri pernah mengatakan bahawa seorang nabi tidak dihormati di kampung halamannya sendiri.+ 45 Apabila dia tiba di Galilea, orang Galilea menyambutnya kerana semasa mereka menghadiri perayaan di Yerusalem,+ mereka telah melihat semua perkara yang dilakukannya di situ.+

46 Selepas itu, dia kembali ke Kana di Galilea, iaitu tempat dia pernah mengubah air menjadi wain.+ Di situ ada seorang pegawai raja. Dia mempunyai seorang anak lelaki yang sakit di Kapernaum. 47 Apabila pegawai tersebut mendapat tahu bahawa Yesus bertolak dari Yudea dan tiba di Galilea, dia pergi berjumpa dengan Yesus. Dia memintanya untuk datang dan menyembuhkan anaknya yang hampir mati. 48 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu semua tidak melihat mukjizat dan perkara yang ajaib, kamu tidak akan percaya sama sekali.”+ 49 Pegawai raja itu berkata kepadanya, “Tuan, datanglah sebelum anakku mati.” 50 Yesus berkata, “Pergilah. Anakmu sudah sembuh.”+ Lelaki itu mempercayai kata-kata Yesus lalu pergi dari situ. 51 Dalam perjalanan pulang, hamba-hamba pegawai itu datang dan memberitahunya bahawa anaknya sudah sembuh. 52 Maka pegawai itu bertanya bila anaknya sembuh. Mereka berkata, “Demamnya hilang kira-kira jam satu tengah hari* semalam.” 53 Bapa anak tersebut tahu bahawa pada waktu itulah Yesus berkata kepadanya, “Anakmu sudah sembuh.”+ Jadi dia dan seluruh rumah tangganya percaya kepada Yesus. 54 Itulah mukjizat kedua+ yang dilakukan oleh Yesus semasa dia datang dari Yudea ke Galilea.

5 Selepas itu, tibalah masanya perayaan+ orang Yahudi. Maka Yesus pergi ke Yerusalem. 2 Dekat Pintu Bebiri+ di Yerusalem, terdapat sebuah kolam yang dipanggil Betzata dalam bahasa Ibrani. Kolam itu dikelilingi lima serambi.* 3 Ramai orang yang sakit, buta, tempang, dan lumpuh, berbaring di serambi-serambi itu. 4* —— 5 Di situ ada seorang lelaki yang sudah sakit selama 38 tahun. 6 Yesus nampak dia berbaring di situ dan tahu bahawa dia sudah lama sakit. Maka Yesus berkata kepadanya, “Adakah kamu ingin sembuh?”+ 7 Lelaki yang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada sesiapa pun yang membantu aku masuk ke dalam kolam semasa air berkocak. Apabila aku hendak masuk, orang lain mendahului aku.” 8 Yesus berkata kepadanya, “Bangunlah! Angkat tikarmu,* dan berjalanlah.”+ 9 Pada saat itu juga, lelaki tersebut sembuh dan mengangkat tikarnya* lalu mula berjalan.

Hari itu ialah hari Sabat. 10 Oleh itu, orang Yahudi berkata kepada lelaki yang disembuhkan itu, “Hari ini ialah hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar* kamu.”+ 11 Tetapi lelaki itu menjawab, “Orang yang menyembuhkan akulah yang berkata kepada aku, ‘Angkat tikarmu* dan berjalanlah.’” 12 Mereka bertanya kepadanya, “Siapakah lelaki yang berkata kepada kamu, ‘Angkat tikarmu* dan berjalanlah’?” 13 Tetapi orang yang disembuhkan itu tidak tahu siapa yang menyembuhkannya, kerana ada banyak orang di situ dan Yesus sudah menghilang antara orang ramai di situ.

14 Semasa Yesus berjumpa dengan lelaki itu di dalam Rumah Tuhan, Yesus berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Janganlah berdosa lagi agar sesuatu yang lebih buruk tidak menimpa kamu.” 15 Selepas itu, lelaki tersebut pergi dan memberitahu orang Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkannya. 16 Oleh itu, orang Yahudi mula menentang Yesus kerana dia melakukan hal-hal tersebut pada hari Sabat. 17 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Bapaku terus bekerja sehingga sekarang, dan aku pun terus bekerja.”+ 18 Apabila orang Yahudi mendengar hal ini, mereka semakin bertekad untuk membunuh dia, kerana dia bukan sahaja melanggar hukum hari Sabat malah memanggil Tuhan sebagai Bapanya sendiri+ dan menyamakan dirinya dengan Tuhan.+

19 Maka Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Anak tidak dapat melakukan satu perkara pun menurut kehendaknya sendiri. Anak hanya melakukan apa yang dilihatnya dilakukan oleh Bapa.+ Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Anak. 20 Bapa menyayangi Anak+ dan menunjukkan segala-gala yang dilakukan oleh-Nya kepada Anak. Dia akan menunjukkan perkara-perkara yang lebih besar daripada ini kepada Anak agar kamu semua berasa takjub.+ 21 Sepertimana Bapa membangkitkan orang mati dan membolehkan mereka hidup semula,+ begitu juga Anak membolehkan sesiapa sahaja yang dikehendakinya hidup semula.+ 22 Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia memberi Anak-Nya semua kuasa untuk menghakimi,+ 23 agar semua orang menghormati Anak sepertimana mereka menghormati Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak tidak menghormati Bapa yang telah mengutusnya.+ 24 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Orang yang mendengar kata-kataku dan percaya kepada Dia yang mengutus aku akan memperoleh kehidupan kekal+ dan tidak akan dihukum. Dia sudah beralih daripada kematian kepada kehidupan.+

25 “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Masanya akan tiba, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Tuhan. Mereka yang memberikan perhatian akan hidup. 26 Bapa memiliki kuasa untuk memberikan hidup+ dan Dia juga mengurniakan kuasa ini kepada Anak.+ 27 Bapa sudah memberikan kuasa kepada dia untuk menghakimi orang+ kerana dia ialah Anak Manusia.+ 28 Janganlah kamu hairan akan hal ini kerana masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suaranya+ 29 lalu keluar. Orang yang melakukan hal-hal yang baik akan meraih kehidupan kekal, tetapi orang yang melakukan hal-hal yang jahat akan dijatuhi hukuman.+ 30 Aku tidak dapat melakukan satu perkara pun menurut kehendakku sendiri. Aku menghakimi orang menurut apa yang difirmankan oleh Bapa kepadaku. Aku menghakimi orang dengan adil,+ kerana aku tidak mengikut kehendakku sendiri tetapi mengikut kehendak Dia yang telah mengutus aku.+

31 “Jika aku sahaja yang memberikan kesaksian tentang diriku, kesaksianku tidak benar.+ 32 Tetapi Dia juga memberikan kesaksian tentang aku, dan aku tahu bahawa kesaksian-Nya mengenai diriku adalah benar.+ 33 Kamu mengutus orang kepada Yohanes, dan Yohanes telah memberikan kesaksian tentang kebenaran.+ 34 Sebenarnya aku tidak memerlukan kesaksian daripada manusia. Tetapi aku memberitahu kamu perkara-perkara ini agar kamu dapat diselamatkan. 35 Yohanes bagaikan pelita yang menyala dan bersinar. Untuk jangka masa yang pendek, kamu ingin bergembira dalam terangnya.+ 36 Tetapi aku mempunyai kesaksian yang lebih besar daripada kesaksian Yohanes. Aku melaksanakan kerja yang ditugaskan oleh Bapaku dan kerja-kerja itu memberikan kesaksian bahawa Bapa mengutus aku.+ 37 Bapa yang mengutus aku pun memberikan kesaksian tentang diriku.+ Kamu semua belum pernah mendengar suara-Nya atau melihat muka-Nya.+ 38 Firman-Nya tidak ada dalam diri kamu kerana kamu tidak mempercayai orang yang telah diutus-Nya.

39 “Kamu menyelidiki Ayat-Ayat Suci+ kerana menyangka bahawa dengan berbuat demikian kamu akan memperoleh kehidupan kekal. Sebenarnya, Ayat-Ayat Suci memberikan kesaksian tentang aku.+ 40 Namun, kamu semua tidak mahu datang kepadaku+ untuk memperoleh kehidupan. 41 Aku tidak menerima kemuliaan daripada manusia, 42 tetapi aku tahu bahawa kamu tidak mempunyai kasih untuk Tuhan dalam hati kamu. 43 Aku datang atas nama Bapaku, namun kamu tidak menerima aku. Tetapi andai kata orang lain datang atas namanya sendiri, kamu akan menerima orang itu. 44 Bagaimanakah kamu boleh percaya kepada aku jika kamu suka menerima kemuliaan daripada satu sama lain dan tidak berusaha untuk mencari kemuliaan yang datang daripada Tuhan yang esa?+ 45 Janganlah menyangka bahawa aku akan menuduh kamu di hadapan Bapa. Musa+ yang kamu harapkan itulah yang akan menuduh kamu. 46 Sebenarnya, jika kamu percaya kepada Musa, kamu akan percaya kepadaku, kerana dia menulis mengenai aku.+ 47 Tetapi jika kamu tidak mempercayai apa yang ditulis olehnya, bagaimanakah kamu dapat mempercayai apa yang aku katakan?”

6 Selepas itu, Yesus menyeberangi Tasik Galilea, yang juga disebut Tasik Tiberias.+ 2 Ada ramai orang yang asyik mengikutnya,+ kerana mereka telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukannya untuk menyembuhkan orang sakit.+ 3 Maka Yesus naik ke atas sebuah gunung dan duduk di situ bersama murid-muridnya. 4 Pada masa itu, Perayaan Paska+ orang Yahudi sudah dekat. 5 Semasa Yesus melihat ramai orang sedang datang kepadanya, dia berkata kepada Filipus, “Di manakah kita dapat membeli roti untuk mereka?”+ 6 Sebenarnya Yesus berkata demikian untuk mengujinya, kerana Yesus tahu apa yang dia sendiri akan lakukan. 7 Filipus menjawab, “Biarpun kami membelanjakan 200 denari* untuk membeli roti, belum tentu setiap orang akan menerima secebis roti.” 8 Salah seorang murid Yesus, iaitu Andreas, saudara kandung Simon Petrus, berkata kepadanya, 9 “Ada seorang budak lelaki di sini yang mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan kecil, tetapi mana mungkin cukup untuk begitu banyak orang?”+

10 Yesus berkata, “Suruhlah mereka duduk.” Tempat itu ada banyak rumput, maka orang ramai pun duduk. Ada kira-kira 5,000 orang lelaki di situ.+ 11 Kemudian Yesus mengambil roti itu, mengucapkan syukur, lalu membahagikannya kepada mereka yang duduk di situ. Dia juga membahagikan ikan kecil itu, lalu mereka makan dengan sepuas-puasnya. 12 Apabila orang ramai sudah kenyang, dia berkata kepada murid-muridnya, “Kumpulkanlah baki roti supaya tiada apa-apa yang dibazirkan.” 13 Jadi, mereka mengumpulkan lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai. Baki makanan itu telah mengisi 12 buah bakul.

14 Ketika orang ramai melihat mukjizat yang dilakukannya, mereka berkata, “Sememangnya dialah Nabi yang dinubuatkan akan datang ke dunia.”+ 15 Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksanya menjadi raja mereka. Maka sekali lagi dia pergi+ ke gunung seorang diri.+

16 Pada waktu senja, murid-muridnya turun ke tasik.+ 17 Mereka menaiki perahu dan menyeberangi tasik untuk pergi ke Kapernaum. Hari sudah gelap, tetapi Yesus masih belum datang kepada mereka.+ 18 Tambahan lagi, angin kencang bertiup dan air tasik mula bergelora.+ 19 Setelah mereka mendayung perahu kira-kira lima atau enam kilometer,* mereka nampak Yesus berjalan di atas air. Mereka menjadi takut apabila dia semakin menghampiri perahu mereka. 20 Tetapi dia berkata, “Ini aku. Janganlah takut!”+ 21 Barulah mereka sudi menyambutnya naik ke perahu. Seketika kemudian, perahu mereka tiba di tempat yang ditujui.+

22 Keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik mendapati bahawa satu-satunya perahu kecil yang berada di situ sudah tiada. Murid-murid Yesus telah menaiki perahu itu dan bertolak dari situ tanpa Yesus. 23 Pada masa yang sama, ada beberapa buah perahu kecil dari Tiberias yang tiba berhampiran tempat Tuan mengucapkan syukur dan membahagikan roti kepada orang ramai. 24 Memandangkan orang ramai tidak nampak Yesus ataupun murid-muridnya di situ, mereka menaiki perahu-perahu tersebut dan pergi ke Kapernaum untuk mencari Yesus.

25 Apabila mereka menjumpainya di seberang tasik, mereka bertanya kepadanya, “Rabbi,+ bilakah Rabbi sampai di sini?” 26 Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Kamu sedang mencari aku bukan kerana kamu sudah melihat mukjizat, tetapi kerana kamu kenyang selepas makan roti.+ 27 Janganlah kamu bekerja untuk makanan yang akan basi, tetapi bekerjalah untuk mendapat makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal.+ Anak Manusia akan memberi kamu makanan ini, kerana dia sudah mendapat perkenan* Tuhan Bapa.”+

28 Maka mereka bertanya, “Bagaimanakah kami dapat melakukan kerja yang diperkenankan Tuhan?” 29 Yesus menjawab, “Kamu harus beriman kepada dia yang diutus oleh Tuhan. Demikianlah caranya kamu melakukan kerja yang diperkenankan Tuhan.”+ 30 Jadi mereka berkata kepadanya, “Kalau begitu, apakah mukjizat yang akan Guru lakukan+ di depan mata kami supaya kami percaya kepada Guru? Apakah yang akan Guru lakukan? 31 Nenek moyang kami makan manna di padang belantara,+ seperti yang tertulis, ‘Dia memberi mereka roti dari syurga* untuk dimakan.’”+ 32 Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Yang memberi kamu roti sebenar dari syurga bukanlah Musa, tetapi Bapaku, 33 kerana roti yang diberikan oleh Tuhan ialah dia yang turun dari syurga dan memberikan hidup kepada dunia.” 34 Maka mereka berkata kepadanya, “Tuan, berilah kami roti ini selalu.”

35 Yesus berkata kepada mereka, “Akulah roti yang membawa hidup sejati. Sesiapa yang datang kepadaku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang beriman kepadaku tidak akan dahaga lagi.+ 36 Namun aku pernah mengatakan kepada kamu bahawa kamu masih tidak percaya walaupun kamu sudah melihat aku.+ 37 Semua yang diberikan oleh Bapa kepada aku akan datang kepadaku, dan aku sama sekali tidak akan mengusir orang yang datang kepadaku,+ 38 kerana aku turun dari syurga+ bukan untuk melakukan kehendakku, tetapi kehendak Dia yang mengutus aku.+ 39 Kehendak Dia yang mengutus aku adalah supaya aku tidak kehilangan seorang pun daripada semua yang diberikan-Nya kepadaku. Sebaliknya aku harus membangkitkan+ mereka semua pada hari yang terakhir, 40 kerana Tuhan menghendaki agar setiap orang yang melihat Anak dan beriman kepadanya diberi kehidupan kekal,+ dan aku akan membangkitkan+ orang sebegini pada hari yang terakhir.”

41 Oleh itu, orang Yahudi mula bersungut-sungut tentangnya kerana dia berkata, “Akulah roti yang turun dari syurga.”+ 42 Mereka berkata, “Bukankah dia ini Yesus anak Yusuf? Tidakkah kita mengenali ibu bapanya?+ Sekarang, mengapakah dia berkata, ‘Aku turun dari syurga’?” 43 Yesus menjawab, “Jangan lagi bersungut-sungut sesama sendiri. 44 Tiada seorang pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa yang mengutus aku memimpinnya* kepadaku,+ dan aku akan membangkitkannya pada hari yang terakhir.+ 45 Dalam Ajaran Para Nabi ada tertulis, ‘Mereka semua akan diajar oleh Yehuwa.’*+ Setiap orang yang mendengarkan Bapa dan belajar daripada-Nya datang kepadaku. 46 Hal ini tidak bererti bahawa ada orang pernah melihat Bapa.+ Hanya dia yang datang daripada Tuhan pernah melihat Bapa.+ 47 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Orang yang percaya akan hidup selama-lamanya.+

48 “Akulah roti yang membawa hidup sejati.+ 49 Nenek moyang kamu makan manna di padang belantara, tetapi mereka mati.+ 50 Namun sesiapa yang memakan roti yang turun dari syurga tidak akan mati. 51 Akulah roti yang memberikan hidup, yang turun dari syurga. Jika sesiapa makan roti ini, dia akan hidup selama-lamanya. Sebenarnya, roti yang akan aku berikan ialah dagingku, supaya umat manusia menerima kehidupan.”+

52 Maka orang Yahudi mula berdebat sesama sendiri. Mereka berkata, “Bagaimanakah orang ini boleh memberi kita dagingnya untuk dimakan?” 53 Maka Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Jika kamu tidak makan daging Anak Manusia dan minum darahnya, kamu tidak memiliki nyawa dalam diri kamu.+ 54 Sesiapa yang makan dagingku dan minum darahku akan menerima kehidupan kekal. Aku akan membangkitkannya+ pada hari terakhir, 55 kerana dagingku ialah makanan sebenar, dan darahku ialah minuman sebenar. 56 Sesiapa yang makan dagingku dan minum darahku akan sentiasa bersatu dengan aku, dan aku bersatu dengannya.+ 57 Bapa yang hidup mengutus aku, dan aku hidup kerana Bapa. Begitu juga, sesiapa yang makan dagingku akan hidup kerana aku.+ 58 Inilah roti yang turun dari syurga, bukan apa yang dimakan oleh nenek moyang kamu. Mereka makan tetapi mereka masih mati. Namun, sesiapa yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya.”+ 59 Demikianlah kata-kata Yesus semasa dia mengajar di dalam rumah ibadat di Kapernaum.

60 Setelah mendengar kata-kata Yesus, ramai muridnya berkata, “Kata-katanya sungguh mengejutkan. Siapakah yang sanggup menerimanya?” 61 Yesus sedar bahawa murid-muridnya sedang bersungut-sungut tentang hal itu. Maka dia berkata, “Kalau hal ini pun membuat kamu tersandung, 62 apatah lagi jika kamu melihat Anak Manusia naik ke tempat asalnya.+ 63 Kuasa suci Tuhanlah yang memberikan hidup;+ usaha manusia tidak berguna sama sekali. Apa yang aku katakan kepada kamu berasal daripada kuasa suci Tuhan dan memberikan hidup.+ 64 Namun, ada beberapa orang antara kamu yang tidak percaya.” Dari mula lagi, Yesus sudah tahu siapa yang tidak percaya dan siapa yang akan mengkhianatinya.+ 65 Dia berkata lagi, “Itulah sebabnya aku berkata kepada kamu: Tiada sesiapa pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa mengizinkannya berbuat demikian.”+

66 Disebabkan hal itu, ramai muridnya kembali kepada hal-hal yang sudah ditinggalkan mereka+ dan tidak mengikutnya lagi. 67 Maka Yesus berkata kepada 12 orang rasulnya, “Adakah kamu akan pergi juga?” 68 Simon Petrus menjawab, “Tuan, kepada siapa lagi harus kami pergi?+ Kata-kata Tuan membawa kehidupan kekal.+ 69 Kami sudah percaya dan tahu bahawa Tuan ialah Hamba Suci Tuhan.”+ 70 Yesus berkata kepada mereka, “Bukankah aku yang memilih kamu 12 orang?+ Namun salah seorang daripada kamu ialah pemfitnah.”*+ 71 Sebenarnya dia sedang bercakap tentang Yudas anak Simon Iskariot. Walaupun orang ini ialah salah seorang daripada 12 orang rasul Yesus, dia akan mengkhianatinya.+

7 Setelah itu, Yesus berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain di Galilea. Dia tidak mahu pergi ke Yudea kerana orang Yahudi sedang mencari kesempatan untuk membunuhnya.+ 2 Walau bagaimanapun, Perayaan Pondok Daun+ orang Yahudi sudah menjelang tiba. 3 Maka adik-adik lelaki Yesus+ berkata kepadanya, “Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke Yudea supaya murid-muridmu juga dapat melihat perbuatanmu, 4 kerana tiada seorang pun yang akan melakukan sesuatu secara rahsia jika dia mahu menjadi terkenal. Oleh sebab kamu melakukan perkara-perkara ini, tunjukkanlah dirimu kepada dunia.” 5 Sebenarnya, adik-adik lelakinya tidak beriman kepadanya.+ 6 Maka Yesus berkata kepada mereka, “Saatku belum tiba,+ tetapi kamu boleh pergi ke perayaan itu bila-bila sahaja. 7 Dunia ini tidak mempunyai alasan untuk membenci kamu, tetapi dunia ini membenci aku kerana aku memberikan kesaksian bahawa perbuatan dunia ini jahat.+ 8 Kamu pergilah ke perayaan itu. Aku tidak akan pergi sekarang kerana saatku belum tiba.”+ 9 Selepas dia memberitahu mereka perkara-perkara ini, dia terus tinggal di Galilea.

10 Namun setelah adik-adik Yesus pergi ke perayaan itu, dia juga pergi tetapi secara diam-diam. 11 Semasa perayaan itu, orang Yahudi mula mencari dia. Mereka berkata, “Di manakah lelaki itu?” 12 Orang ramai berbisik-bisik tentang dia. Ada yang berkata, “Dia lelaki yang baik.” Yang lain berkata, “Tidak! Dia menyesatkan orang ramai.”+ 13 Tetapi tiada sesiapa pun yang berani bercakap tentangnya secara terang-terangan kerana mereka takut akan orang Yahudi.+

14 Sekitar hari keempat perayaan itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan dan mula mengajar orang. 15 Orang Yahudi berasa hairan dan berkata, “Bagaimanakah lelaki ini mempunyai begitu banyak pengetahuan tentang Ayat-Ayat Suci+ sedangkan dia tidak pernah belajar di sekolah agama?”+ 16 Lalu Yesus menjawab, “Apa yang aku ajarkan bukanlah ajaranku, tetapi ajaran Dia yang mengutus aku.+ 17 Sesiapa yang berhasrat untuk melakukan kehendak-Nya akan tahu sama ada ajaranku datang daripada Tuhan+ atau daripada diriku sendiri. 18 Sesiapa yang bercakap mengikut pandangan sendiri mahu memuliakan diri sendiri. Tetapi sesiapa yang mahu memuliakan dia yang mengutusnya,+ dia jujur dan bebas daripada kepalsuan. 19 Musa telah memberikan Hukum+ kepada kamu, bukan? Namun, tiada seorang pun antara kamu yang mematuhi Hukum itu. Mengapakah kamu mahu membunuh aku?”+ 20 Orang ramai menjawab, “Kamu dirasuk roh jahat. Siapakah yang mahu membunuh kamu?” 21 Yesus berkata kepada mereka, “Aku hanya melakukan satu perkara dan kamu semua menjadi hairan. 22 Maka, fikirlah tentang hal ini: Musa telah memberi kamu perintah tentang sunat.+ Oleh itu, pada hari Sabat pun kamu menyunat seorang lelaki. Sebenarnya perintah ini tidak datang daripada Musa tetapi daripada nenek moyangnya.+ 23 Jika seorang lelaki boleh disunat pada hari Sabat supaya dia tidak melanggar Hukum Musa, mengapakah kamu naik berang terhadap aku kerana aku menjadikan seorang lelaki sihat sepenuhnya pada hari Sabat?+ 24 Jangan lagi menghakimi orang berdasarkan penampilan luar, tetapi hakimilah orang dengan adil.”+

25 Kemudian, beberapa orang penduduk Yerusalem mula berkata, “Bukankah dia lelaki yang sedang dicari-cari oleh penguasa kita untuk dibunuh?+ 26 Lihatlah! Dia sedang bercakap di hadapan umum, tetapi mereka tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah para penguasa sudah yakin bahawa dia ialah Kristus? 27 Kita tahu asal usul lelaki ini,+ tetapi apabila Kristus datang, tiada orang yang akan tahu asal usulnya.” 28 Pada masa itu, Yesus sedang mengajar di Rumah Tuhan. Dia berseru, “Kamu mengenal aku dan mengetahui asal usulku. Aku tidak datang menurut kehendakku.+ Dia yang mengutus aku benar-benar wujud, tetapi kamu tidak mengenal Dia.+ 29 Aku mengenal Dia+ kerana aku ialah wakil-Nya, dan Dialah yang mengutus aku.” 30 Maka mereka mula mencari peluang untuk menangkap Yesus.+ Namun, tiada orang yang dapat berbuat demikian kerana saatnya belum tiba.+ 31 Meskipun begitu, ramai orang masih beriman kepadanya.+ Mereka berkata, “Apabila Kristus datang, dapatkah dia melakukan lebih banyak mukjizat daripada lelaki ini?”

32 Orang Farisi mendengar orang ramai berbisik-bisik tentang Yesus, jadi ketua-ketua imam dan orang Farisi menghantar para pengawal untuk menangkapnya. 33 Tetapi Yesus berkata, “Aku akan bersama kamu untuk sebentar sahaja sebelum aku pergi kepada Dia yang mengutus aku.+ 34 Kamu akan mencari aku, tetapi kamu tidak akan menjumpai aku, dan kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.”+ 35 Maka, orang Yahudi berkata sesama sendiri, “Ke manakah orang ini mahu pergi sehingga kita tidak dapat mencarinya? Adakah dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tercerai-berai dalam kalangan orang Yunani dan mengajar orang Yunani? 36 Apakah yang dimaksudkannya semasa dia berkata, ‘Kamu akan mencari aku, tetapi kamu tidak akan menjumpai aku, dan kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi’?”

37 Pada hari terakhir perayaan, iaitu hari yang paling penting,+ Yesus berdiri lalu berseru, “Jika sesiapa dahaga, biarlah dia datang kepadaku untuk minum.+ 38 Bagi sesiapa yang beriman kepadaku, ‘air yang memberikan kehidupan akan mengalir dari lubuk hatinya,’+ seperti yang dinyatakan dalam ayat suci.” 39 Yesus sedang bercakap tentang kuasa suci Tuhan yang akan diterima oleh mereka yang beriman kepadanya. Pada masa itu, mereka belum menerima kuasa suci Tuhan,+ kerana Yesus belum dimuliakan.+ 40 Maka, beberapa orang dalam kalangan orang ramai yang mendengar kata-kata Yesus mula berkata, “Sememangnya dia ialah Nabi itu.”+ 41 Yang lain pula berkata, “Inilah Kristus.”+ Tetapi ada juga yang berkata, “Adakah Kristus akan datang dari Galilea?+ 42 Bukankah ayat suci menyatakan bahawa Kristus akan datang daripada keturunan Daud+ dan berasal dari Betlehem,+ iaitu tempat asal Daud?”+ 43 Maka timbullah perpecahan dalam kalangan orang ramai kerana Yesus. 44 Ada beberapa orang antara mereka mahu menangkapnya, tetapi tiada seorang pun yang dapat berbuat demikian.

45 Apabila para pengawal kembali, ketua-ketua imam dan orang Farisi bertanya, “Mengapakah kamu tidak menangkap dan membawanya ke sini?” 46 Para pengawal menjawab, “Belum pernah seseorang bercakap seperti dia.”+ 47 Lalu orang Farisi berkata, “Adakah kamu semua turut disesatkan olehnya? 48 Tidak ada seorang pun dalam kalangan penguasa atau orang Farisi yang beriman kepadanya, bukan?+ 49 Tetapi orang ramai di sini yang langsung tidak memahami Hukum semuanya terkutuk.” 50 Nikodemus, iaitu salah seorang Farisi yang pernah datang kepada Yesus, berkata kepada mereka, 51 “Menurut Hukum kita, bukankah kita mesti mendengar kata-kata seseorang dan mengetahui apa yang dilakukannya terlebih dahulu sebelum dia disabitkan bersalah?”+ 52 Maka mereka berkata kepadanya, “Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Selidikilah Ayat-Ayat Suci dan kamu akan mendapati bahawa tiada nabi yang akan berasal dari Galilea.”*

8 12 Kemudian Yesus berkata lagi kepada mereka, “Akulah cahaya dunia.+ Sesiapa yang mengikut aku tidak akan berjalan dalam kegelapan sama sekali, tetapi akan mendapat cahaya+ yang memberikan kehidupan.” 13 Maka orang Farisi berkata kepadanya, “Kamu memberikan kesaksian tentang dirimu sendiri. Jadi kesaksianmu tidak benar.” 14 Yesus menjawab, “Meskipun aku memberikan kesaksian tentang diriku sendiri, kesaksianku benar, kerana aku tahu dari mana aku datang dan ke mana aku akan pergi.+ Namun kamu tidak tahu dari mana aku datang dan ke mana aku akan pergi. 15 Kamu menghakimi orang menurut piawaian manusia+ tetapi aku tidak menghakimi sesiapa pun. 16 Namun biarpun aku menghakimi seseorang, penghakimanku benar, kerana aku tidak melakukannya seorang diri. Bapa yang mengutus aku menyertai aku.+ 17 Lagipun ada tertulis dalam Hukum kamu, ‘Jika dua orang memberikan kesaksian, kesaksian itu benar.’+ 18 Aku memberikan kesaksian tentang diriku, dan Bapa yang mengutus aku juga memberikan kesaksian tentang diriku.”+ 19 Kemudian mereka berkata, “Di manakah Bapamu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal aku ataupun Bapaku.+ Jika kamu mengenal aku, kamu akan mengenal Bapaku juga.”+ 20 Dia berkata demikian semasa dia mengajar di Rumah Tuhan, berdekatan peti-peti sumbangan.+ Tetapi tiada seorang pun yang menangkap dia, kerana saatnya belum tiba.+

21 Maka dia berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi, dan kamu akan mencari aku. Namun, kamu akan mati dalam dosa kamu.+ Kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.”+ 22 Orang Yahudi berkata, “Dia berkata, ‘Kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.’ Adakah dia ingin membunuh diri?” 23 Maka dia berkata, “Kamu berasal dari bawah tetapi aku berasal dari atas.+ Kamu berasal dari dunia ini tetapi aku tidak berasal dari dunia ini. 24 Itulah sebabnya aku berkata kepada kamu: Kamu akan mati dalam dosa kamu. Jika kamu tidak percaya bahawa akulah dia, kamu akan mati dalam dosa kamu.” 25 Mereka pun bertanya, “Siapakah kamu?” Yesus berkata, “Buat apa aku bercakap dengan kamu? 26 Ada banyak perkara yang harus aku katakan tentang kamu, dan ada banyak perkara yang harus aku hakimi. Sebenarnya, apa sahaja yang aku katakan merupakan apa yang aku dengar daripada Dia yang mengutus aku ke dunia, dan firman-Nya sentiasa benar.”+ 27 Mereka tidak faham bahawa dia sedang bercakap tentang Bapa. 28 Kemudian Yesus berkata, “Setelah kamu menggantungkan* Anak Manusia,+ kamu akan tahu bahawa akulah dia,+ dan aku tidak melakukan apa-apa mengikut kehendakku sendiri.+ Sebaliknya, apa yang aku katakan semuanya diajar oleh Bapa. 29 Dia yang mengutus aku menyertai aku. Dia tidak membiarkan aku sendirian, kerana aku selalu melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.”+ 30 Semasa dia mengatakan semua ini, banyak orang beriman kepadanya.

31 Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepadanya, “Jika kamu sentiasa mematuhi ajaranku, kamu benar-benar ialah muridku. 32 Kamu akan mengetahui kebenaran,+ dan kebenaran itu akan membebaskan kamu.”+ 33 Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami tidak pernah menjadi hamba sesiapa pun. Mengapakah Guru berkata, ‘Kamu akan dibebaskan’?” 34 Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Setiap orang yang berbuat dosa ialah hamba dosa.+ 35 Lagipun, seorang hamba tidak berada dalam rumah tangga tuannya buat selama-lamanya, tetapi anak akan berada dalam rumah tangga buat selama-lamanya. 36 Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas. 37 Aku tahu bahawa kamu keturunan Abraham, tetapi kamu hendak membunuh aku kerana kamu tidak menerima ajaranku. 38 Aku mengatakan apa yang aku lihat semasa aku bersama Bapaku.+ Tetapi kamu pula melakukan apa yang kamu dengar daripada bapa kamu.” 39 Mereka berkata kepadanya, “Bapa kami Abraham.” Yesus berkata, “Jika kamu ialah anak-anak Abraham,+ lakukanlah apa yang dilakukan oleh Abraham. 40 Aku memberitahu kamu kebenaran yang aku dengar daripada Tuhan,+ tetapi kamu mahu membunuh aku. Abraham tidak berbuat demikian. 41 Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.” Mereka berkata, “Kami bukanlah anak haram.* Bapa kami hanya satu, iaitu Tuhan.”

42 Yesus berkata kepada mereka, “Jika Tuhan ialah Bapa kamu, kamu akan mengasihi aku,+ kerana aku diutus oleh Tuhan ke sini. Aku tidak datang dengan kehendakku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus aku.+ 43 Kamu tidak memahami apa yang aku katakan kerana kamu enggan menerima kata-kataku. 44 Kamu berasal daripada bapa kamu, Si Iblis, dan kamu ingin melakukan kehendak bapa kamu.+ Dia itu pembunuh sejak dia berdusta tentang Tuhan.*+ Dia tidak berpegang teguh pada kebenaran kerana kebenaran tidak ada dalam dirinya. Dia berdusta menurut sifatnya sendiri kerana dia ialah pendusta dan bapa segala dusta.+ 45 Tetapi aku bercakap benar, oleh itu kamu tidak percaya kepadaku. 46 Siapakah antara kamu yang dapat membuktikan bahawa aku berdosa? Jika aku mengatakan apa yang benar, mengapakah kamu tidak percaya kepadaku? 47 Orang yang berasal daripada Tuhan mendengar firman Tuhan.+ Kamu tidak mendengar, kerana kamu tidak berasal daripada Tuhan.”+

48 Maka orang Yahudi berkata kepadanya, “Memang betul apa yang kami katakan: Kamu ini orang Samaria+ dan dirasuk roh jahat.”+ 49 Yesus menjawab, “Aku tidak dirasuk roh jahat. Aku menghormati Bapaku, tetapi kamu menghina aku. 50 Aku tidak mahu memuliakan diriku.+ Namun, Dia yang sedang menghakimi mahu memuliakan aku. 51 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Jika sesiapa mematuhi ajaranku, dia pasti tidak akan mati.”+ 52 Orang Yahudi berkata kepadanya, “Sekarang kami tahu bahawa kamu benar-benar dirasuk roh jahat. Abraham sudah mati, begitu juga dengan nabi-nabi. Tetapi kamu berkata, ‘Jika sesiapa mematuhi ajaranku, dia pasti tidak akan mati.’ 53 Adakah kamu lebih besar daripada bapa kami Abraham? Dia sudah mati, para nabi juga sudah mati. Kamu anggap diri kamu siapa?” 54 Yesus menjawab, “Jika aku memuliakan diriku, kemuliaanku tidak berguna. Yang memuliakan aku ialah Bapaku+ yang kamu anggap sebagai Tuhan kamu. 55 Kamu tidak mengenal-Nya,+ tetapi aku mengenal-Nya.+ Sekiranya aku mengatakan bahawa aku tidak mengenal-Nya, aku seorang pendusta seperti kamu. Tetapi aku memang mengenal-Nya dan mematuhi firman-Nya. 56 Bapa kamu Abraham sangat bersukacita kerana dia mempunyai harapan untuk melihat zamanku. Dia sudah melihatnya dan dia bersukacita.”+ 57 Maka orang Yahudi berkata kepadanya, “Umur kamu belum lagi 50 tahun, tetapi kamu sudah melihat Abraham?” 58 Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Sebelum Abraham dilahirkan, aku sudah ada.”+ 59 Maka mereka memungut batu untuk merejamnya, tetapi Yesus menyembunyikan diri. Kemudian dia meninggalkan Rumah Tuhan.

9 Semasa dalam perjalanan, Yesus nampak seorang lelaki yang buta sejak lahir. 2 Murid-murid Yesus bertanya kepadanya, “Rabbi,+ siapakah yang berdosa sehingga lelaki ini dilahirkan buta? Dia atau ibu bapanya?” 3 Yesus menjawab, “Lelaki ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya. Hal ini berlaku supaya perbuatan Tuhan dapat disingkapkan.+ 4 Semasa hari masih siang, kita harus melakukan kerja yang diberikan oleh Dia yang mengutus aku.+ Apabila malam tiba, tiada seorang pun dapat bekerja. 5 Selagi aku masih di dunia ini, akulah cahaya dunia.”+ 6 Setelah berkata demikian, Yesus meludah ke tanah, mencampurkan tanah dengan ludahnya, lalu menyapukan campuran itu pada mata lelaki tersebut.+ 7 Kemudian Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mata kamu di Kolam Siloam” (yang bererti “Yang Membuak-buak”). Maka lelaki itu pergi membasuh matanya. Apabila dia kembali, dia dapat melihat.+

8 Maka jiran-jirannya dan orang yang biasa melihat dia mengemis bertanya, “Bukankah dia lelaki yang selalu duduk meminta sedekah?” 9 Ada orang yang berkata, “Ya, dialah orangnya.” Ada pula berkata, “Bukan. Orang ini hanya mirip dengan dia.” Tetapi lelaki itu asyik berkata, “Akulah orang itu.” 10 Maka mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah kamu dapat melihat?” 11 Dia menjawab, “Seorang lelaki yang bernama Yesus menyediakan sesuatu lalu menyapukannya pada mataku. Selepas itu, dia berkata kepada aku, ‘Pergilah basuh mata kamu di Kolam Siloam,’+ maka aku pun pergi. Selepas membasuh mata, aku dapat melihat.” 12 Mereka bertanya, “Di manakah lelaki itu?” Dia menjawab, “Aku tidak tahu.”

13 Mereka membawa lelaki yang dahulunya buta itu kepada orang Farisi. 14 Kebetulan Yesus membuat campuran itu dan memulihkan penglihatan lelaki tersebut+ pada hari Sabat.+ 15 Maka orang Farisi juga bertanya kepada lelaki itu bagaimana dia dapat melihat. Lelaki itu menjawab, “Dia menyapukan sesuatu pada mataku lalu aku membasuh mata dan dapat melihat.” 16 Beberapa orang Farisi mula berkata, “Dia tidak berasal daripada Tuhan kerana dia tidak mematuhi hukum Sabat.”+ Yang lain pula berkata, “Bagaimanakah seorang pendosa dapat melakukan mukjizat-mukjizat seperti ini?”+ Maka timbullah perpecahan antara mereka.+ 17 Mereka berkata lagi kepada orang buta itu, “Memandangkan dia telah menyembuhkan mata kamu, apakah pendapat kamu tentangnya?” Lelaki itu menjawab, “Dia seorang nabi.”

18 Namun, orang Yahudi tidak percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Maka mereka memanggil ibu bapa lelaki itu 19 dan bertanya kepada mereka, “Benarkah dia ini anak kamu yang kamu kata dilahirkan buta? Sekarang bagaimanakah dia dapat melihat?” 20 Ibu bapanya menjawab, “Ya. Dia memang anak kami yang dilahirkan buta. 21 Tetapi kami tidak tahu bagaimana dia dapat melihat sekarang, atau siapa yang telah memulihkan penglihatannya. Tanyalah dia. Dia sudah dewasa dan harus menjawab sendiri.” 22 Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan pemimpin agama Yahudi.+ Pemimpin agama Yahudi sudah bersepakat bahawa sesiapa sahaja yang mengakui Yesus sebagai Kristus patut dibuang dari rumah ibadat.+ 23 Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa. Tanyalah dia.”

24 Sekali lagi mereka memanggil lelaki yang dahulunya buta itu dan berkata kepadanya, “Muliakanlah Tuhan dengan bercakap benar. Kami tahu bahawa lelaki itu seorang pendosa.” 25 Maka dia menjawab, “Sama ada dia seorang pendosa atau tidak, aku tidak tahu. Tetapi aku tahu satu hal: Dahulu aku buta tetapi sekarang aku dapat melihat.” 26 Mereka pun bertanya, “Apakah yang dilakukannya terhadap kamu? Bagaimanakah dia memulihkan penglihatan kamu?” 27 Dia menjawab, “Aku sudah pun memberitahu kamu tetapi kamu semua enggan mendengarnya. Mengapakah kamu mahu mendengarnya lagi? Adakah kamu pun mahu menjadi murid-muridnya?” 28 Mereka mencaci dia dengan berkata, “Kamu murid lelaki itu tetapi kami murid Musa. 29 Kami tahu bahawa Tuhan telah berfirman kepada Musa tetapi kami tidak tahu dari mana datangnya lelaki itu.” 30 Dia berkata, “Hal ini sungguh menghairankan! Kamu tidak tahu dari mana dia datang, namun dia telah memulihkan penglihatanku. 31 Kita tahu bahawa Tuhan tidak mendengar doa orang yang berdosa,+ tetapi Dia mendengar doa orang yang takut kepada-Nya dan yang melakukan kehendak-Nya.+ 32 Dari dahulu lagi, tidak pernah ada berita tentang sesiapa yang dapat memulihkan penglihatan orang yang dilahirkan buta. 33 Jika orang ini tidak berasal daripada Tuhan, dia tidak akan dapat melakukan apa-apa pun.”+ 34 Mereka berkata, “Sejak lahir lagi kamu diselubungi dosa. Adakah kamu mahu mengajar kami?” Lalu mereka menghalau dia keluar!+

35 Selepas Yesus mendengar bahawa mereka telah menghalau lelaki itu keluar, dia berjumpa dengannya lalu berkata, “Adakah kamu beriman kepada Anak Manusia?” 36 Lelaki itu menjawab, “Tuan, siapakah dia? Beritahulah aku agar aku dapat beriman kepadanya.” 37 Yesus berkata kepadanya, “Kamu sudah melihat dia. Sebenarnya, dialah yang bercakap dengan kamu sekarang ini.” 38 Maka lelaki itu berkata, “Ya Tuan. Aku beriman.” Kemudian, lelaki itu sujud kepadanya. 39 Yesus berkata, “Aku datang ke dunia ini agar orang dapat dihakimi. Dengan ini orang yang buta dapat melihat,+ dan orang yang dapat melihat menjadi buta.”+ 40 Pada masa itu, ada beberapa orang Farisi bersamanya. Apabila mereka mendengar semua itu, mereka berkata, “Adakah Guru bermaksud bahawa kami juga buta?” 41 Yesus menjawab, “Jika kamu buta, kamu tidak berdosa. Tetapi sekarang kamu berkata, ‘Kami melihat.’ Maka dosa kamu tidak akan diampunkan.”+

10 “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang tidak memasuki kandang biri-biri melalui pintu, tetapi memanjat masuk melalui tempat lain, dia seorang pencuri dan perompak.+ 2 Tetapi orang yang masuk melalui pintu ialah gembala kawanan biri-biri.+ 3 Penjaga kandang membuka pintu baginya,+ dan kawanan biri-biri mendengar suaranya.+ Dia memanggil nama setiap biri-birinya dan memimpin kawanan biri-biri itu keluar. 4 Setelah dia membawa semua biri-birinya keluar, dia berjalan di hadapan dan kawanan biri-birinya mengikutnya kerana mengenal suaranya. 5 Kawanan biri-biri itu pasti tidak akan mengikut orang yang tidak dikenali, tetapi akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suara orang itu.” 6 Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka, tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan olehnya.

7 Maka Yesus berkata lagi, “Ketahuilah: Akulah pintu bagi kawanan biri-biri.+ 8 Semua orang yang berpura-pura menjadi aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan biri-biri tidak mendengarkan mereka. 9 Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui aku akan diselamatkan. Dia akan masuk dan keluar, dan dia juga akan menjumpai padang rumput.+ 10 Pencuri datang hanya untuk mencuri, membunuh, dan membawa kemusnahan.+ Aku datang supaya biri-biri menerima kehidupan dan memilikinya buat selama-lamanya. 11 Aku ialah gembala yang baik.+ Gembala yang baik menyerahkan nyawanya demi kawanan biri-birinya.+ 12 Pekerja upahan bukanlah gembala dan pemilik biri-biri. Semasa dia melihat serigala datang, dia meninggalkan kawanan itu dan melarikan diri. Akhirnya serigala menyerang dan mencerai-beraikan kawanan biri-biri. 13 Dia melarikan diri kerana dia orang upahan dan tidak mempedulikan kawanan biri-biri. 14 Akulah gembala yang baik. Aku mengenal biri-biriku dan biri-biriku mengenal aku,+ 15 sebagaimana Bapa mengenal aku dan aku mengenal Bapa.+ Aku menyerahkan nyawaku demi kawanan biri-biri.+

16 “Aku memiliki biri-biri lain yang bukan dari kandang ini.+ Aku mesti memimpin kawanan itu juga. Mereka semua akan mendengar suaraku dan menjadi satu kawanan di bawah satu gembala.+ 17 Bapa mengasihi aku,+ kerana aku menyerahkan nyawaku+ agar aku dapat menerimanya semula. 18 Tiada orang yang meragut nyawaku, tetapi aku menyerahkannya dengan rela. Aku berhak menyerahkannya dan aku berhak menerimanya semula.+ Inilah perintah yang aku terima daripada Bapaku.”

19 Perpecahan berlaku lagi dalam kalangan orang Yahudi+ kerana kata-kata Yesus. 20 Ramai antara mereka berkata, “Dia dirasuk roh jahat, dia sudah gila. Mengapakah kamu mendengarkan dia?” 21 Yang lain pula berkata, “Orang yang dirasuk roh jahat tidak akan bercakap sedemikian. Tidak mungkin roh jahat dapat memulihkan penglihatan orang buta, bukan?”

22 Pada masa itu, Perayaan Pentahbisan sedang berlangsung di Yerusalem. Masa itu ialah musim sejuk, 23 dan Yesus sedang berjalan di Serambi* Salomo+ di Rumah Tuhan. 24 Orang Yahudi berkumpul di sekelilingnya lalu berkata, “Sampai bila Guru ingin membuat kami tertanya-tanya? Jika Guru ialah Kristus, beritahulah kami secara terus terang.” 25 Yesus menjawab, “Aku sudah memberitahu kamu, tetapi kamu tidak percaya. Perbuatan yang aku lakukan atas nama Bapaku memberikan kesaksian tentang aku.+ 26 Namun, kamu tidak percaya, kerana kamu bukan biri-biriku.+ 27 Biri-biriku mendengarkan suaraku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut aku.+ 28 Aku memberi mereka kehidupan kekal,+ dan mereka sama sekali tidak akan musnah. Tiada sesiapa pun dapat merampas mereka daripada tanganku.+ 29 Mereka yang dikurniakan oleh Bapaku kepadaku lebih berharga daripada segala-galanya. Tiada sesiapa pun dapat merampas mereka daripada tangan Bapa.+ 30 Aku dan Bapa satu.”*+

31 Sekali lagi orang Yahudi memungut batu untuk merejamnya. 32 Tetapi Yesus berkata, “Seperti yang diperintahkan oleh Bapa, aku sudah melakukan banyak perbuatan baik untuk kamu. Perbuatan manakah yang menyebabkan kamu mahu merejam aku?” 33 Orang Yahudi menjawab, “Kami merejam kamu, bukan kerana perbuatan baikmu, tetapi kerana kamu menghina Tuhan.+ Kamu hanya manusia, tetapi kamu menjadikan dirimu tuhan.” 34 Yesus menjawab, “Ada tertulis dalam Hukum kamu, ‘Tuhan berfirman, “Kamu ialah tuhan,”’*+ 35 dan kita tahu bahawa ayat suci tidak dapat dihapuskan. Jika Tuhan menggelar orang yang dikutuk dalam firman-Nya sebagai ‘tuhan,’+ 36 wajarkah kamu berkata kepadaku, ‘Kamu menghina Tuhan’ semasa aku mengatakan bahawa ‘aku ialah Anak Tuhan,’ sedangkan aku disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa?+ 37 Jika aku tidak melakukan kerja yang diberikan oleh Bapaku, janganlah percaya kepadaku. 38 Tetapi jika aku melakukannya, percayalah kepada perbuatanku+ meskipun kamu tidak percaya kepadaku. Dengan ini kamu akan faham dan tetap percaya bahawa Bapa bersatu dengan aku dan aku bersatu dengan Bapa.”+ 39 Sekali lagi mereka mencuba menangkapnya, tetapi Yesus berjaya melarikan diri.

40 Yesus pergi lagi ke seberang Sungai Yordan dan tinggal di sana. Di situlah tempat Yohanes mula-mula membaptis orang.+ 41 Ramai orang datang kepadanya. Mereka berkata, “Yohanes tidak pernah melakukan satu mukjizat pun, tetapi semua perkara yang dikatakan oleh Yohanes mengenai lelaki ini adalah benar.”+ 42 Oleh itu, ramai orang di situ beriman kepada Yesus.

11 Seorang lelaki yang bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di pekan Betania bersama Maria dan kakaknya* Marta.+ 2 Maria inilah yang telah menuangkan minyak wangi pada kaki Tuan Yesus dan mengeringkan kaki Yesus dengan rambutnya.+ Lazarus yang sakit itu ialah adiknya.* 3 Oleh itu, Marta dan Maria mengirim pesanan berikut kepada Yesus: “Tuan, sahabat kesayangan Tuan sakit.” 4 Tetapi semasa Yesus mendengar hal itu, dia berkata, “Penyakit ini bukanlah untuk menyebabkan kematiannya, tetapi supaya Tuhan dimuliakan.+ Melalui hal ini, Anak Tuhan akan dimuliakan.”

5 Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus. 6 Tetapi semasa Yesus mendapat berita bahawa Lazarus sakit, dia terus tinggal di tempat dia berada untuk dua hari lagi. 7 Selepas itu, dia berkata kepada murid-muridnya, “Mari kita kembali ke Yudea.” 8 Murid-muridnya berkata, “Rabbi,+ baru-baru ini orang Yudea hendak merejam Rabbi.+ Adakah Rabbi ingin pergi ke sana lagi?” 9 Yesus menjawab, “Bukankah siang hari ada 12 jam?+ Sesiapa yang berjalan pada siang hari tidak akan tersandung, kerana dia melihat cahaya dunia ini. 10 Tetapi orang yang berjalan pada malam hari akan tersandung, kerana cahaya tidak ada dalam dirinya.”

11 Selepas berkata demikian, dia menyambung, “Kawan kita Lazarus sudah tidur.+ Tetapi aku akan pergi ke sana untuk membangunkan dia.” 12 Oleh itu, murid-muridnya berkata, “Tuan, jika dia sedang tidur, dia akan sembuh.” 13 Sebenarnya, apa yang dimaksudkan oleh Yesus ialah bahawa Lazarus sudah mati. Tetapi mereka menyangka bahawa maksud Yesus ialah Lazarus sedang tidur. 14 Maka Yesus berkata kepada mereka dengan terus terang, “Lazarus sudah mati.+ 15 Aku tidak berada di situ supaya iman kamu akan bertambah kuat. Itulah sebabnya aku bersukacita bagi pihak kamu. Sekarang, marilah kita pergi kepadanya.” 16 Tomas yang dipanggil Si Kembar berkata kepada murid-murid Yesus yang lain, “Mari kita pergi dengannya supaya kita boleh mati bersama-samanya!”+

17 Apabila Yesus tiba, dia mendapati bahawa Lazarus sudah diletakkan di dalam makam selama empat hari. 18 Betania terletak tidak jauh dari Yerusalem, jaraknya lebih kurang tiga kilometer* sahaja. 19 Banyak orang Yahudi melawat Marta dan Maria untuk menghiburkan hati mereka kerana Lazarus telah mati. 20 Apabila Marta mendengar bahawa Yesus datang, dia keluar untuk menemuinya, tetapi Maria+ tinggal di rumah. 21 Marta berkata kepada Yesus, “Jika Tuan ada di sini, tentu adikku tidak akan mati. 22 Namun begitu, aku masih percaya bahawa Tuhan akan mengabulkan apa sahaja yang Tuan minta.” 23 Yesus berkata kepadanya, “Adik kamu akan hidup semula.” 24 Marta berkata, “Aku tahu bahawa dia akan hidup semula semasa pembangkitan+ pada hari terakhir.” 25 Yesus berkata kepadanya, “Akulah pembangkitan dan kehidupan.+ Seseorang yang beriman kepada aku akan hidup semula meskipun dia mati. 26 Setiap orang yang hidup dan beriman kepada aku tidak akan mati selama-lamanya.+ Adakah kamu percaya akan hal ini?” 27 Dia menjawab, “Ya Tuan, aku percaya bahawa Tuan ialah Kristus, Anak Tuhan. Tuan ialah dia yang dijanjikan untuk datang ke dunia.” 28 Selepas berkata demikian, dia pergi memanggil adiknya Maria lalu berbisik kepadanya, “Guru+ sudah datang dan dia memanggil kamu.” 29 Apabila Maria mendengar hal ini, dia segera bangun dan pergi menemuinya.

30 Sebenarnya Yesus belum tiba di pekan itu. Dia masih berada di tempat Marta menemuinya. 31 Orang Yahudi yang sedang menghiburkan hati Maria di rumah, mengikut Maria ketika mereka melihat Maria bangun dengan cepat lalu keluar. Mereka menyangka bahawa dia hendak pergi ke makam+ untuk menangis di sana. 32 Apabila Maria tiba di tempat Yesus berada dan melihat dia, dia bersujud di depan kaki Yesus sambil berkata, “Jika Tuan ada di sini, adikku tentu tidak akan mati.” 33 Apabila Yesus melihat Maria menangis dan orang Yahudi yang datang bersama-sama Maria juga menangis, dia berasa sangat susah hati dan pilu. 34 Dia bertanya, “Di manakah kamu meletakkan mayatnya?” Mereka menjawab, “Tuan, marilah lihat.” 35 Yesus mula menangis.+ 36 Maka orang Yahudi berkata, “Lihatlah, dia sangat mengasihi Lazarus!” 37 Tetapi beberapa orang antara mereka berkata, “Dia dapat memulihkan penglihatan orang buta itu.+ Jadi mengapakah dia tidak dapat mencegah kematian orang ini?”

38 Perasaan pilu menyelubungi Yesus lagi, dan dia pergi ke makam Lazarus. Makam itu sebenarnya sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu yang besar. 39 Yesus berkata, “Alihkanlah batu itu ke tepi.” Marta, iaitu kakak kepada lelaki yang mati itu berkata, “Tuan, sudah empat hari mayatnya di situ. Tentu busuk baunya.” 40 Yesus berkata kepadanya, “Bukankah aku sudah mengatakan bahawa jika kamu percaya, kamu akan melihat kemuliaan Tuhan?”+ 41 Maka mereka pun mengalihkan batu itu. Yesus menengadah ke langit+ dan berkata, “Bapa, aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar doaku. 42 Aku tahu bahawa Engkau selalu mendengar doaku. Tetapi aku berkata demikian demi orang ramai yang berdiri di sekeliling aku, agar mereka percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus aku.”+ 43 Selepas mengatakan hal-hal itu, dia berseru dengan suara yang lantang, “Lazarus, keluarlah!”+ 44 Lelaki yang mati itu pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain dan mukanya juga terbalut dengan kain. Yesus berkata kepada mereka, “Tanggalkanlah kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.”

45 Banyak orang Yahudi yang datang untuk melawat Maria beriman kepada Yesus setelah melihat apa yang dilakukan olehnya.+ 46 Tetapi beberapa orang antara mereka pergi kepada orang Farisi untuk memberitahu mereka apa yang telah dilakukan oleh Yesus. 47 Maka, ketua-ketua imam dan orang Farisi mengumpulkan ahli Majlis Orang Yahudi lalu berkata, “Orang ini melakukan banyak mukjizat. Jadi apakah yang harus kita lakukan?+ 48 Jika kita membiarkan dia terus berbuat demikian, semua orang akan beriman kepadanya. Akhirnya orang Roma akan datang lalu merampas Rumah Tuhan dan bangsa kita!” 49 Seorang daripada mereka yang bernama Kayafas,+ iaitu imam agung pada tahun itu, berkata, “Kamu tidak tahu apa-apa. 50 Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?” 51 Dia tidak berkata demikian menurut fikirannya sendiri. Sebagai imam agung tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk bangsa Yahudi. 52 Dia mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi juga untuk mengumpulkan dan menyatukan anak-anak Tuhan yang tercerai-berai. 53 Sejak hari itu, mereka berkomplot untuk membunuh Yesus.

54 Jadi Yesus tidak lagi berjalan secara terbuka dalam kalangan orang Yahudi. Dia bertolak dari situ dan pergi ke kota Efraim,+ iaitu sebuah kawasan dekat padang belantara. Dia tinggal di sana bersama murid-muridnya. 55 Pada masa itu, Perayaan Paska+ orang Yahudi sudah dekat. Ramai orang dari luar kota pergi ke Yerusalem untuk menjalankan upacara penyucian diri sebelum perayaan itu. 56 Orang ramai asyik mencari Yesus, dan semasa berdiri di Rumah Tuhan, mereka berkata kepada satu sama lain, “Apakah pendapat kamu? Adakah dia akan menghadiri perayaan ini?” 57 Ketua-ketua imam dan orang Farisi mahu menangkap Yesus. Jadi mereka mengeluarkan perintah agar orang yang mengetahui di mana Yesus berada harus melaporkannya kepada mereka.

12 Enam hari sebelum Perayaan Paska, Yesus tiba di Betania, iaitu tempat tinggal Lazarus.+ Sebelum ini Yesus telah membangkitkannya daripada kematian. 2 Maka mereka mengadakan jamuan makan malam untuk Yesus di situ. Marta menghidangkan makanan+ sementara Lazarus dan orang lain makan* bersama Yesus. 3 Kemudian Maria mengambil kira-kira setengah liter* minyak wangi yang sangat mahal. Minyak itu merupakan minyak akar wangi tulen. Dia menuangkan minyak wangi itu pada kaki Yesus dan mengeringkan kaki Yesus dengan rambutnya. Seluruh rumah dipenuhi dengan keharuman minyak wangi itu.+ 4 Salah seorang murid Yesus, iaitu Yudas Iskariot,+ yang bakal mengkhianatinya berkata, 5 “Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga 300 denari* dan wangnya diberikan kepada orang miskin?” 6 Dia berkata demikian bukan kerana dia mengambil berat terhadap orang miskin, tetapi kerana dia seorang pencuri. Dialah yang memegang peti wang dan dia sering mencuri wang yang disimpan di dalamnya. 7 Maka Yesus berkata, “Janganlah ganggu wanita ini. Biarlah dia melakukan hal ini sebagai persediaan untuk hari pengebumianku.+ 8 Orang miskin sentiasa ada bersama kamu,+ tetapi aku tidak akan sentiasa bersama kamu.”+

9 Sementara itu, sekumpulan besar orang Yahudi mendapat tahu bahawa Yesus berada di Betania. Jadi, mereka datang bukan hanya untuk melihat Yesus tetapi juga untuk melihat Lazarus yang telah dibangkitkan oleh Yesus daripada kematian.+ 10 Para ketua imam mula berkomplot untuk membunuh Lazarus juga, 11 kerana ramai orang Yahudi yang pergi ke Betania beriman kepada Yesus setelah melihat apa yang telah berlaku kepada Lazarus.+

12 Keesokan harinya, orang ramai yang datang untuk menyambut perayaan di Yerusalem mendengar bahawa Yesus sedang dalam perjalanan ke sana. 13 Oleh itu mereka mengambil pelepah-pelepah pokok palma dan pergi menemuinya. Mereka berseru, “Moga Tuhan menyelamatkannya! Diberkatilah Raja Israel yang datang atas nama Yehuwa!”*+ 14 Yesus mendapatkan seekor anak keldai dan duduk di atasnya,+ seperti yang tertulis, 15 “Janganlah takut, hai kota Sion. Lihatlah! Rajamu sedang datang, dan dia duduk di atas seekor anak keldai.”+ 16 Pada mulanya, murid-murid Yesus tidak memahami perkara-perkara ini. Tetapi setelah Yesus dimuliakan,+ barulah mereka teringat bahawa apa yang dilakukan oleh orang ramai merupakan apa yang ditulis dalam Ayat-Ayat Suci mengenainya.+

17 Selain itu, orang ramai yang ada bersama Yesus semasa dia memanggil Lazarus keluar dari makam+ dan membangkitkannya daripada kematian terus memberikan kesaksian tentang Yesus.+ 18 Orang ramai juga datang untuk berjumpa dengannya kerana mereka mendengar bahawa dia telah melakukan mukjizat ini. 19 Oleh itu orang Farisi berkata sesama sendiri, “Lihatlah! Usaha kita sia-sia sahaja. Seluruh dunia sudah mengikutnya.”+

20 Ada beberapa orang Yunani dalam kalangan orang yang datang untuk beribadat semasa perayaan itu. 21 Mereka datang kepada Filipus+ yang berasal dari Betsaida di Galilea lalu berkata, “Tuan, kami mahu berjumpa dengan Yesus.” 22 Jadi Filipus pergi memberitahu Andreas, lalu mereka berdua pergi memberitahu Yesus.

23 Namun Yesus berkata kepada mereka, “Masanya sudah tiba bagi Anak Manusia dimuliakan.+ 24 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Jika sebutir gandum tidak jatuh ke tanah dan mati, apa yang ada cuma sebutir gandum. Tetapi jika gandum itu mati,+ banyak buah akan terhasil. 25 Sesiapa yang mengasihi nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang membenci nyawanya+ di dunia ini akan menyelamatkan nyawanya dan mendapat kehidupan kekal.+ 26 Jika sesiapa mahu menjadi hambaku, hendaklah dia mengikut aku. Ke mana sahaja aku pergi, hambaku juga akan berada di sana.+ Jika sesiapa menjadi hambaku, Bapaku akan memberkatinya. 27 Sekarang aku sangat sedih+ dan apa yang patut aku katakan? Bapa, selamatkanlah aku daripada saat penderitaan ini.+ Namun, untuk saat inilah aku datang ke bumi. 28 Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” Kemudian kedengaran suara+ dari langit yang berkata, “Aku sudah memuliakannya dan akan memuliakannya lagi.”+

29 Orang ramai yang berdiri di situ mengatakan bahawa bunyi yang kedengaran itu ialah bunyi guruh. Ada pula yang berkata, “Malaikat telah bercakap kepadanya.” 30 Yesus menjawab, “Suara ini kedengaran bukanlah untukku, tetapi untuk kamu. 31 Dunia ini sedang dihakimi. Sekarang pemerintah dunia ini+ akan diusir.+ 32 Namun, semasa aku digantungkan,*+ aku akan memimpin segala macam orang kepadaku.” 33 Sebenarnya dia berkata demikian untuk menunjukkan cara dia akan mati.+ 34 Orang ramai berkata, “Kami mendengar bahawa menurut Hukum, Kristus akan kekal selama-lamanya.+ Maka, mengapakah Guru mengatakan bahawa Anak Manusia harus digantungkan?*+ Siapakah Anak Manusia itu?” 35 Oleh itu Yesus menjawab, “Cahaya masih akan bersama kamu untuk sebentar waktu. Berjalanlah ketika cahaya masih ada, supaya kegelapan tidak menguasai kamu. Sesiapa yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu hala tujunya.+ 36 Berimanlah kepada cahaya sementara cahaya itu masih ada, supaya kamu dapat menjadi anak-anak cahaya.”+

Selepas Yesus berkata demikian, dia beredar dan menyembunyikan diri daripada mereka. 37 Walaupun dia sudah melakukan begitu banyak mukjizat di hadapan mereka, mereka masih tidak beriman kepadanya. 38 Maka berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, “Yehuwa,* siapakah yang mempercayai perkhabaran yang kami sampaikan?+ Kepada siapakah kuasa* Yehuwa* disingkapkan?”+ 39 Yesaya juga ada mengatakan sebab mereka tidak percaya, 40 “Dia sudah membutakan mata mereka dan menjadikan mereka keras hati. Dengan ini, mata mereka tidak dapat melihat dan hati mereka tidak dapat mengerti. Mereka juga tidak kembali kepada-Nya untuk disembuhkan.”+ 41 Yesaya mengatakan hal-hal ini kerana dia telah melihat kemuliaan Kristus.+ 42 Meskipun demikian, ramai penguasa beriman kepadanya.+ Tetapi disebabkan orang Farisi, mereka tidak mengakuinya secara terang-terangan. Mereka tidak mahu dihalau keluar dari rumah ibadat,+ 43 kerana mereka lebih suka dimuliakan oleh manusia daripada dimuliakan oleh Tuhan.+

44 Yesus berseru, “Sesiapa yang beriman kepadaku bukan sahaja beriman kepadaku, tetapi juga beriman kepada Dia yang mengutus aku.+ 45 Sesiapa yang melihat aku juga melihat Dia yang mengutus aku.+ 46 Aku datang sebagai cahaya ke dunia ini+ supaya setiap orang yang beriman kepadaku tidak tinggal dalam kegelapan.+ 47 Jika sesiapa mendengar kata-kataku tetapi tidak mematuhinya, aku tidak akan menghakiminya, kerana aku datang bukan untuk menghakimi dunia tetapi untuk menyelamatkan dunia.+ 48 Sesiapa yang menolak aku dan enggan menerima kata-kataku akan dihakimi. Kata-kata akulah yang akan menghakiminya pada hari terakhir. 49 Hal ini demikian kerana kata-kataku tidak berasal daripada diriku sendiri. Sebaliknya, Bapa yang mengutus aku telah memberikan perintah kepadaku tentang apa yang harus dikatakan dan apa yang harus disampaikan.+ 50 Aku juga tahu bahawa perintah-Nya membawa kehidupan kekal.+ Apa sahaja yang aku katakan merupakan apa yang diberitahukan oleh Bapa kepadaku.”+

13 Sebelum Perayaan Paska, Yesus sudah tahu bahawa saatnya untuk meninggalkan dunia ini dan pergi kepada Bapa+ sudah tiba.+ Dia mengasihi murid-muridnya yang berada di dunia, dan dia mengasihi mereka sampai akhir.+ 2 Pada masa itu, mereka sedang makan malam, dan Iblis sudah menanam keinginan untuk mengkhianati Yesus+ dalam hati Yudas Iskariot+ anak Simon. 3 Yesus tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala-galanya ke dalam tangannya. Dia juga tahu bahawa dia berasal daripada Tuhan dan akan pergi kepada Tuhan.+ 4 Semasa mereka makan, Yesus berdiri dan meletakkan jubah luarnya ke tepi. Kemudian dia mengambil sehelai tuala dan mengikat tuala itu pada pinggangnya.+ 5 Dia menuangkan air ke dalam sebuah besen dan mula membasuh kaki murid-muridnya. Selepas itu dia mengeringkan kaki mereka dengan tuala yang terikat pada pinggangnya. 6 Apabila dia datang kepada Simon Petrus, Petrus berkata, “Adakah Tuan akan membasuh kakiku?” 7 Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak memahami apa yang aku lakukan, tetapi kamu akan memahaminya kelak.” 8 Petrus berkata, “Guru sama sekali tidak boleh membasuh kakiku.” Yesus menjawab, “Jika aku tidak membasuh kakimu,+ kamu bukan milikku.” 9 Simon Petrus pun berkata, “Kalau begitu Tuan, janganlah basuh kakiku sahaja. Basuhlah tangan dan kepalaku juga.” 10 Yesus berkata, “Sesiapa yang sudah mandi hanya perlu membasuh kakinya kerana seluruh tubuhnya bersih. Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.” 11 Sebenarnya Yesus tahu siapa yang akan mengkhianatinya.+ Itulah sebabnya dia berkata, “Kamu semuanya bersih kecuali seorang.”

12 Setelah dia membasuh kaki mereka, dia mengenakan jubah luarnya lalu duduk semula. Dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu memahami apa yang sudah aku lakukan untuk kamu? 13 Kamu memanggil aku ‘Guru’ dan ‘Tuan.’ Kata-kata kamu itu benar kerana aku memang Guru dan Tuan kamu.+ 14 Jika aku sebagai Tuan dan Guru kamu sudah membasuh kaki kamu,+ kamu juga harus* membasuh kaki satu sama lain.+ 15 Oleh sebab aku sudah menetapkan teladan* untuk kamu, kamu juga harus melakukan apa yang sudah aku lakukan untuk kamu.+ 16 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya, dan tidak ada utusan yang lebih besar daripada orang yang mengutusnya. 17 Jika kamu mengetahui hal-hal ini, berbahagialah kamu jika kamu melakukannya.+ 18 Aku bukan bercakap tentang kamu semua. Aku mengenal orang yang telah aku pilih. Namun, hal ini berlaku supaya apa yang tertulis dalam ayat suci menjadi kenyataan:+ ‘Orang yang makan rotiku telah mengangkat tumitnya untuk menentang aku.’*+ 19 Sekarang, aku akan memberitahu kamu apa yang bakal berlaku, supaya apabila hal itu terjadi, kamu akan percaya bahawa akulah dia.+ 20 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang menyambut orang yang aku utus juga menyambut aku.+ Sesiapa yang menyambut aku juga menyambut Dia yang mengutus aku.”+

21 Setelah berkata demikian, Yesus berasa susah hati. Lalu dia berkata dengan terus terang, “Ketahuilah: Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati aku.”+ 22 Murid-muridnya memandang satu sama lain kerana tidak tahu siapa yang dimaksudkan olehnya.+ 23 Salah seorang murid Yesus, iaitu murid yang disayanginya,+ sedang duduk di sisinya.* 24 Simon Petrus pun mengangguk sebagai isyarat kepada murid itu lalu berkata, “Beritahulah kami siapa yang dimaksudkannya.” 25 Maka murid itu bersandar pada Yesus lalu bertanya, “Tuan, siapakah orang itu?”+ 26 Yesus menjawab, “Orang yang aku beri roti yang aku celup ke dalam mangkuk, dialah orang itu.”+ Maka Yesus mencelup roti ke dalam mangkuk dan menghulurkannya kepada Yudas anak Simon Iskariot. 27 Setelah Yudas menerima roti itu, Syaitan memasukinya.+ Kemudian Yesus berkata kepadanya, “Cepatlah lakukan apa yang hendak kamu lakukan.” 28 Namun, tiada seorang pun yang duduk di situ tahu mengapa dia berkata demikian kepada Yudas. 29 Oleh sebab Yudas yang menjaga peti wang,+ ada yang menyangka bahawa Yesus sedang menyuruhnya untuk membeli barang yang diperlukan bagi perayaan itu, atau memberikan sedekah kepada orang miskin. 30 Setelah Yudas menerima roti itu, dia segera keluar. Hari sudah malam.+

31 Apabila Yudas sudah beredar, Yesus berkata, “Kini Anak Manusia dimuliakan,+ dan Tuhan pun dimuliakan melaluinya. 32 Tuhan sendiri akan memuliakannya.+ Ya, Tuhan akan segera memuliakannya. 33 Anak-anak yang dikasihi, aku akan bersama kamu hanya untuk seketika lagi. Kamu akan mencari aku, tetapi seperti yang pernah aku katakan kepada orang Yahudi, aku juga berkata kepada kamu sekarang, ‘Kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.’+ 34 Aku memberi kamu satu perintah baharu: Kamu harus saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu,+ kamu juga harus saling mengasihi.+ 35 Jika kamu saling mengasihi,+ semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”

36 Simon Petrus berkata kepadanya, “Tuan, ke manakah Tuan akan pergi?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak boleh mengikut aku ke tempat yang akan aku pergi, tetapi kamu akan mengikut aku kelak.”+ 37 Petrus berkata kepadanya, “Tuan, mengapakah aku tidak boleh mengikut Tuan sekarang? Aku rela mengorbankan nyawaku untuk Tuan.”+ 38 Yesus menjawab, “Adakah kamu rela mengorbankan nyawamu untukku? Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sebelum ayam jantan berkokok, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.”+

14 “Janganlah susah hati.+ Berimanlah kepada Tuhan+ dan berimanlah juga kepada aku. 2 Ada banyak tempat kediaman di rumah Bapaku. Jika tidak, aku tidak akan berkata demikian. Tetapi sekarang aku akan pergi untuk menyediakan tempat bagi kamu.+ 3 Setelah aku pergi untuk menyediakan tempat bagi kamu, aku akan kembali dan membawa kamu ke rumahku. Dengan demikian di mana aku berada, di situ juga kamu akan berada.+ 4 Lagipun, kamu mengetahui jalan ke tempat yang akan aku pergi.”

5 Tomas+ berkata kepadanya, “Tuan, kami tidak tahu ke mana Tuan akan pergi. Jadi bagaimanakah kami mengetahui jalannya?”

6 Yesus berkata, “Akulah jalan+ dan kebenaran+ dan kehidupan.+ Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.+ 7 Jika kamu mengenal aku, kamu juga mengenal Bapaku. Mulai saat ini, kamu mengenal Dia dan sudah melihat Dia.”+

8 Filipus berkata kepadanya, “Tuan, tunjukkanlah Bapa kepada kami. Itu sudah cukup bagi kami.”

9 Yesus berkata kepadanya, “Sudah begitu lama aku bersama kamu semua. Tetapi Filipus, adakah kamu masih belum mengenal aku? Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.+ Jadi mengapakah kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami’? 10 Tidakkah kamu percaya bahawa aku bersatu dengan Bapa dan Bapa bersatu dengan aku?+ Apa yang aku katakan kepada kamu semua, tidak datang daripada diriku sendiri.+ Tetapi Bapa yang sentiasa bersatu dengan aku melakukan kerja-Nya menerusi aku. 11 Percayalah kepadaku semasa aku mengatakan bahawa aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan aku. Jika tidak, percayalah kerana perkara-perkara yang sudah aku lakukan.+ 12 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang beriman kepada aku akan melakukan kerja yang aku lakukan. Sebenarnya, dia akan melakukan hal-hal yang lebih besar lagi,+ kerana aku akan pergi kepada Bapa.+ 13 Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta atas namaku, supaya Bapa dimuliakan melalui Anak.+ 14 Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta jika kamu memintanya atas namaku.

15 “Sekiranya kamu mengasihi aku, kamu akan mematuhi perintah-perintahku.+ 16 Aku akan memohon kepada Bapa dan Dia akan memberi kamu penolong* lain yang akan menyertai kamu buat selama-lamanya,+ 17 iaitu kuasa suci Tuhan yang menyingkapkan kebenaran.+ Dunia tidak dapat menerima kuasa suci Tuhan kerana dunia tidak dapat melihatnya ataupun mengenalnya.+ Kamu mengenalnya kerana kuasa suci itu sentiasa bersama kamu dan ada dalam diri kamu. 18 Aku akan kembali kepada kamu dan tidak akan meninggalkan kamu seperti anak yatim piatu.+ 19 Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat aku lagi. Tetapi kamu akan melihat aku+ kerana aku hidup dan kamu pun akan hidup. 20 Pada hari itu, kamu semua akan tahu bahawa aku bersatu dengan Bapaku, kamu bersatu dengan aku, dan aku bersatu dengan kamu.+ 21 Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintahku ialah orang yang mengasihi aku. Sesiapa yang mengasihi aku dikasihi oleh Bapaku, dan aku juga akan mengasihinya dan memperlihatkan diriku dengan jelas kepadanya.”

22 Yudas+ (bukan Yudas Iskariot) berkata kepadanya, “Tuan, apakah yang telah berlaku sehingga Tuan mahu memperlihatkan diri dengan jelas kepada kami, dan bukannya kepada dunia?”

23 Yesus berkata, “Sesiapa yang mengasihi aku akan mematuhi ajaranku.+ Bapaku akan mengasihinya dan kami akan pergi kepadanya dan tinggal bersamanya.+ 24 Sesiapa yang tidak mengasihi aku tidak mematuhi ajaranku. Ajaran yang kamu dengar ini tidak berasal daripadaku, tetapi berasal daripada Bapa yang telah mengutus aku.+

25 “Aku memberitahu kamu semua perkara ini semasa aku masih bersama kamu. 26 Tetapi penolong itu, iaitu kuasa suci Tuhan, yang akan diutus oleh Bapa atas namaku akan mengajar kamu segala-galanya, dan akan mengingatkan kamu segala perkara yang telah aku katakan kepada kamu.+ 27 Aku meninggalkan kedamaian untuk kamu, aku memberi kamu kedamaianku.+ Kedamaian yang aku berikan kepada kamu tidak sama dengan kedamaian yang diberikan oleh dunia. Janganlah susah hati dan janganlah berasa takut. 28 Kamu sudah mendengar aku berkata: ‘Aku akan pergi, tetapi aku akan kembali kepada kamu.’ Jika kamu mengasihi aku, kamu akan bersukacita kerana aku akan pergi kepada Bapa, kerana Bapa lebih besar daripada aku.+ 29 Sekarang aku memberitahu kamu apa yang bakal berlaku agar apabila hal-hal itu berlaku, kamu akan percaya.+ 30 Mulai sekarang, aku tidak akan bercakap banyak dengan kamu, kerana pemerintah dunia+ ini akan datang. Tetapi dia tidak berkuasa atas diriku.+ 31 Aku melakukan apa yang diperintahkan oleh Bapa+ agar dunia tahu bahawa aku mengasihi Bapa. Bangunlah, marilah kita pergi dari sini.

15 “Akulah pokok anggur yang sejati, dan Bapaku ialah peladang anggur. 2 Setiap carang* padaku yang tidak berbuah akan dibuang oleh-Nya, dan setiap carang yang berbuah akan dipangkas supaya menjadi bersih dan menghasilkan lebih banyak buah.+ 3 Kamu sudah dibersihkan oleh apa yang aku ajarkan kepada kamu.+ 4 Tetaplah bersatu dengan aku dan aku akan tetap bersatu dengan kamu. Jika carang tidak tetap berada pada pokoknya, carang itu tidak dapat berbuah. Demikian juga, jika kamu tidak tetap bersatu dengan aku,+ kamu tidak dapat berbuah. 5 Akulah pokok anggur dan kamu ialah carang-carangnya. Jika seseorang tetap bersatu dengan aku, aku juga akan bersatu dengannya. Dengan demikian, dia akan menghasilkan banyak buah+ kerana kamu tidak dapat melakukan apa-apa tanpa aku. 6 Sesiapa yang tidak tetap bersatu dengan aku adalah seperti carang yang dicampak ke luar lalu menjadi kering. Orang mengumpulkan carang-carang itu lalu melemparkannya ke dalam api dan dibakar. 7 Jika kamu tetap bersatu dengan aku dan menyimpan kata-kataku dalam hati kamu, mintalah apa sahaja yang kamu inginkan dan permintaan kamu akan dikabulkan.+ 8 Bapaku dimuliakan jika kamu terus menghasilkan banyak buah dan membuktikan bahawa kamu ialah murid-muridku.+ 9 Aku mengasihi kamu sebagaimana Bapa mengasihi aku.+ Hendaklah kamu tetap berada dalam kasihku. 10 Jika kamu mematuhi perintah-perintahku, kamu akan tetap berada dalam kasihku, sebagaimana aku telah mematuhi perintah-perintah Bapa dan tetap berada dalam kasih-Nya.

11 “Aku telah mengatakan semua ini kepada kamu agar kamu dapat bersukacita seperti aku dan supaya sukacita kamu menjadi sempurna.+ 12 Inilah perintahku: Kamu harus saling mengasihi, sebagaimana aku sudah mengasihi kamu.+ 13 Tidak ada kasih yang lebih besar daripada ini, iaitu kasih yang diperlihatkan oleh seseorang yang rela menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya.+ 14 Kamu ialah sahabat-sahabatku jika kamu melakukan apa yang aku perintahkan.+ 15 Aku tidak lagi memanggil kamu hamba, kerana seorang hamba tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tuannya. Tetapi aku memanggil kamu sahabat-sahabatku kerana aku sudah memberitahu kamu segala yang telah aku dengar daripada Bapaku. 16 Kamu tidak memilih aku, tetapi akulah yang memilih kamu. Aku telah melantik kamu untuk terus menghasilkan buah, iaitu buah yang berkekalan. Hal ini supaya apa sahaja yang kamu minta daripada Bapa atas namaku akan diberikan kepada kamu.+

17 “Aku memberi kamu perintah-perintah ini supaya kamu saling mengasihi.+ 18 Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci aku sebelum membenci kamu.+ 19 Jika kamu sebahagian daripada dunia, dunia akan mengasihi kamu kerana kamu miliknya. Tetapi aku sudah memilih kamu dan kamu bukan sebahagian daripada dunia.+ Itulah sebabnya dunia membenci kamu.+ 20 Ingatlah akan apa yang sudah aku katakan kepada kamu: Tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. Jika mereka telah mematuhi ajaranku, mereka akan mematuhi ajaran kamu juga. Jika mereka telah menganiaya aku, mereka akan menganiaya kamu juga.+ 21 Mereka akan melakukan semua ini terhadap kamu kerana namaku, dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus aku.+ 22 Jika aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, mereka tidak berdosa.+ Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai dalih untuk dosa mereka.+ 23 Sesiapa yang membenci aku, membenci Bapaku juga.+ 24 Seandainya mereka tidak melihat aku melakukan mukjizat yang tidak pernah dilakukan orang lain, mereka tidak berdosa.+ Tetapi sekarang mereka sudah melihat aku dan membenci aku serta Bapaku. 25 Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang tertulis dalam Hukum mereka, ‘Mereka membenci aku tanpa sebab.’+ 26 Aku akan mengutus kepada kamu penolong yang datang daripada Bapa, iaitu kuasa suci-Nya yang menyingkapkan kebenaran.+ Apabila penolong yang berasal daripada Bapa itu datang, dia* akan memberikan kesaksian tentang diriku.+ 27 Kamu juga akan memberikan kesaksian tentang aku,+ kerana kamu sudah bersama aku sejak mula.

16 “Aku memberitahu kamu hal-hal ini supaya kamu tidak tersandung. 2 Kamu akan dihalau dari rumah ibadat.+ Sebenarnya, akan tiba masanya apabila setiap orang yang membunuh kamu+ akan menyangka bahawa dia sedang menjalankan khidmat suci kepada Tuhan. 3 Namun mereka akan berbuat demikian kerana mereka belum lagi mengenal Bapa ataupun aku.+ 4 Walau bagaimanapun, aku memberitahu kamu hal-hal ini, supaya apabila masanya tiba untuk hal-hal ini berlaku, kamu akan ingat bahawa aku pernah memberitahu kamu tentangnya.+

“Aku tidak memberitahu kamu hal-hal ini sebelum ini, kerana aku masih bersama kamu. 5 Kini aku akan pergi kepada Dia yang mengutus aku.+ Tetapi tidak seorang pun daripada kamu yang bertanya, ‘Ke manakah Guru akan pergi?’ 6 Sekarang kamu bersedih hati kerana aku memberitahu kamu hal-hal ini.+ 7 Namun, apa yang aku katakan benar: Aku pergi demi kebaikan kamu. Jika aku tidak pergi, penolong itu+ tidak akan datang kepada kamu. Tetapi jika aku pergi, aku akan mengutusnya kepada kamu. 8 Apabila dia datang, dia akan menunjukkan bukti yang kukuh kepada dunia tentang dosa-dosanya. Dia juga akan memberikan bukti yang kukuh tentang siapa yang melakukan apa yang benar dan siapa yang akan dihukum oleh Tuhan. 9 Pertama-tama, dia akan membuktikan siapa yang berdosa,+ kerana mereka tidak beriman kepadaku.+ 10 Kemudian, dia akan membuktikan siapa yang melakukan apa yang benar, kerana aku akan pergi kepada Bapa, dan kamu tidak akan melihat aku lagi. 11 Setelah itu, dia akan membuktikan siapa yang dihukum, kerana pemerintah dunia ini sudah dihukum.+

12 “Banyak lagi yang hendak aku katakan kepada kamu, tetapi kamu tidak dapat memahaminya buat masa ini. 13 Namun, apabila penolong itu, iaitu kuasa suci Tuhan yang menyingkapkan kebenaran tiba,+ dia* akan membimbing kamu supaya memahami seluruh kebenaran. Apa yang dikatakannya tidak berasal daripada dirinya sendiri. Sebaliknya, dia mengucapkan apa yang didengarnya, dan dia akan mengumumkan kepada kamu hal-hal yang bakal berlaku.+ 14 Dia akan memuliakan aku,+ kerana apa yang diumumkannya kepada kamu diterima daripada aku.+ 15 Segala yang dimiliki oleh Bapa juga milikku.+ Itulah sebabnya aku mengatakan bahawa apa yang diumumkannya kepada kamu diterima daripada aku. 16 Seketika lagi, kamu tidak akan melihatku,+ tetapi seketika kemudian kamu akan melihatku.”

17 Ketika itu beberapa orang muridnya berkata kepada satu sama lain, “Apakah maksud kata-katanya, ‘Seketika lagi, kamu tidak akan melihatku, tetapi seketika kemudian kamu akan melihatku’ dan, ‘kerana aku akan pergi kepada Bapa’?” 18 Mereka berkata, “Apakah maksud kata-katanya, ‘Seketika lagi’? Kita tidak memahami apa yang dikatakannya.” 19 Yesus tahu mereka ingin bertanya kepadanya, maka dia berkata, “Adakah kamu tertanya-tanya antara satu sama lain kerana aku berkata, ‘Seketika lagi, kamu tidak akan melihatku, tetapi seketika kemudian kamu akan melihatku’? 20 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersukacita. Kamu akan berdukacita, tetapi dukacita itu akan berubah menjadi sukacita.+ 21 Seorang wanita yang hendak melahirkan anak mengalami kesakitan, kerana saatnya untuk bersalin sudah tiba. Namun setelah anaknya dilahirkan, dia bersukacita kerana seorang insan telah dilahirkan ke dunia, lalu dia melupakan kesengsaraan yang dialaminya. 22 Begitu juga, kamu berdukacita sekarang. Tetapi aku akan berjumpa lagi dengan kamu. Hati kamu akan penuh dengan sukacita,+ dan tiada sesiapa yang dapat merampas sukacita kamu. 23 Pada hari itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepadaku. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Bapa akan memberikan apa sahaja yang kamu minta+ jika kamu memintanya atas namaku.+ 24 Hingga saat ini kamu belum meminta apa-apa atas namaku. Mintalah dan kamu akan menerimanya, supaya sukacita kamu sempurna.

25 “Aku sudah menggunakan perumpamaan untuk memberitahu kamu semua ini. Tetapi akan tiba masanya apabila aku tidak lagi menggunakan perumpamaan untuk bercakap kepada kamu. Sebaliknya aku akan memberitahu kamu tentang Bapa secara terus terang. 26 Pada hari itu, kamu akan meminta kepada Bapa atas namaku. Kata-kataku tidak bermaksud bahawa aku akan memohon kepada-Nya bagi pihak kamu. 27 Bapa sendiri mengasihi kamu, kerana kamu mengasihi aku+ dan percaya bahawa aku datang sebagai wakil Tuhan.+ 28 Aku datang sebagai wakil Bapa dan aku sudah datang ke dunia. Sekarang, aku akan meninggalkan dunia dan pergi kepada Bapa.”+

29 Murid-muridnya berkata, “Lihatlah! Sekarang Guru bercakap dengan terus terang tanpa menggunakan perumpamaan. 30 Kini kami tahu bahawa Guru mengetahui segala-galanya dan tiada orang perlu bertanya apa-apa kepada Guru. Melalui hal ini kami percaya bahawa Guru berasal daripada Tuhan.” 31 Yesus menjawab, “Adakah kamu percaya sekarang? 32 Lihatlah! Masanya akan tiba, malah sudah tiba, apabila kamu akan dicerai-beraikan lalu pulang ke rumah masing-masing. Kamu akan meninggalkan aku seorang diri,+ tetapi aku tidak sendirian, kerana Bapa menyertai aku.+ 33 Aku memberitahu kamu hal-hal ini supaya kamu menerima kedamaian melalui aku.+ Kamu akan menghadapi kesengsaraan di dunia ini, tetapi teguhkanlah hati kamu! Aku sudah menakluki dunia.”+

17 Selepas Yesus mengatakan hal-hal itu, dia menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, saatnya telah tiba. Muliakanlah anak-Mu supaya anak-Mu boleh memuliakan-Mu.+ 2 Engkau telah memberinya kuasa atas semua orang,+ supaya dia boleh memberikan kehidupan yang kekal+ kepada semua orang yang Engkau berikan kepadanya.+ 3 Jika orang mengenal* Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar,+ dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus,+ maka mereka mendapat kehidupan kekal.+ 4 Aku sudah memuliakan Engkau di bumi+ dengan menyelesaikan kerja yang Engkau berikan kepadaku.+ 5 Maka sekarang, ya Bapa, biarlah aku dimuliakan di sisi-Mu dengan kemuliaan yang aku miliki di sisi-Mu sebelum dunia ada.+

6 “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada* orang dari dunia ini yang telah Engkau serahkan kepadaku.+ Mereka merupakan milik-Mu, dan Engkau menyerahkan mereka kepadaku. Mereka mematuhi firman-Mu, 7 dan sekarang mereka tahu bahawa segala yang Engkau berikan kepadaku adalah daripada-Mu, 8 kerana firman yang Engkau berikan kepadaku telah aku berikan kepada mereka+ dan diterima oleh mereka. Sesungguhnya mereka tahu bahawa aku datang sebagai wakil-Mu+ dan percaya bahawa Engkaulah yang mengutus aku.+ 9 Aku berdoa bagi mereka. Aku berdoa bukan untuk dunia, tetapi untuk mereka yang Engkau berikan kepadaku kerana mereka milik-Mu. 10 Semua yang aku miliki merupakan milik-Mu, dan milik-Mu merupakan milikku.+ Aku dimuliakan dalam kalangan mereka.

11 “Aku akan datang kepada-Mu. Aku tidak akan tinggal di dunia ini lagi, tetapi mereka masih di dunia ini.+ Ya Bapa yang suci, demi nama-Mu sendiri yang telah Engkau berikan kepadaku, jagalah mereka+ supaya mereka menjadi satu,* sepertimana kita juga satu.*+ 12 Semasa aku bersama mereka, aku selalu menjaga mereka+ demi nama-Mu sendiri yang Engkau berikan kepadaku. Aku sudah melindungi mereka dan tidak seorang pun antara mereka yang dimusnahkan+ kecuali dia yang akan dimusnahkan itu.+ Hal ini supaya apa yang tertulis dapat menjadi kenyataan.+ 13 Tetapi sekarang aku akan datang kepada-Mu, dan aku bercakap tentang perkara ini di dunia supaya hati mereka penuh dengan sukacitaku.+ 14 Aku telah menyampaikan firman-Mu kepada mereka, tetapi dunia membenci mereka kerana mereka bukan sebahagian daripada dunia,+ sepertimana aku bukan sebahagian daripada dunia.

15 “Aku tidak memohon Engkau untuk mengambil mereka keluar dari dunia, tetapi untuk melindungi mereka daripada Si Jahat.+ 16 Mereka bukanlah sebahagian daripada dunia,+ sepertimana aku bukan sebahagian daripada dunia.+ 17 Sucikanlah mereka* dengan kebenaran.+ Firman-Mu ialah kebenaran.+ 18 Sepertimana Engkau mengutus aku ke dunia, aku juga mengutus mereka ke dunia.+ 19 Aku menyucikan diriku demi mereka, supaya mereka juga disucikan oleh kebenaran.

20 “Aku berdoa bukan untuk mereka sahaja, tetapi untuk semua orang yang beriman kepada aku setelah mendengar ajaran mereka. 21 Dengan demikian, mereka semua menjadi satu.+ Bapa, sepertimana Engkau bersatu dengan aku dan aku bersatu dengan Engkau,+ mereka juga bersatu dengan kita, supaya dunia akan percaya bahawa Engkaulah yang mengutus aku. 22 Aku telah memberi mereka kemuliaan yang Engkau berikan kepadaku, supaya mereka menjadi satu sepertimana kita juga satu.+ 23 Aku bersatu dengan mereka dan Engkau bersatu dengan aku, supaya mereka benar-benar menjadi satu. Dengan ini, dunia akan tahu bahawa Engkaulah yang mengutus aku dan Engkau mengasihi mereka sepertimana Engkau mengasihi aku. 24 Ya Bapa, aku mahu agar orang yang Engkau berikan kepadaku bersama aku di tempat aku berada,+ supaya mereka dapat melihat kemuliaanku yang telah Engkau berikan kepadaku, kerana Engkau mengasihi aku sebelum dunia diasaskan.*+ 25 Bapa yang adil, walaupun dunia tidak mengenal Engkau,+ aku mengenal Engkau,+ dan mereka tahu bahawa Engkaulah yang mengutus aku. 26 Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada mereka dan aku akan terus berbuat demikian,+ supaya mereka akan menunjukkan kasih sepertimana Engkau menunjukkan kasih kepadaku dan supaya aku bersatu dengan mereka.”+

18 Setelah Yesus berdoa sedemikian, dia pergi ke sebuah taman di seberang Lembah Kidron+ bersama murid-muridnya.+ 2 Pengkhianatnya yang bernama Yudas juga tahu tempat itu kerana Yesus sering kali berkumpul bersama murid-muridnya di sana. 3 Maka Yudas datang ke sana bersama sepasukan askar dan para pengawal yang diutus oleh ketua-ketua imam dan orang Farisi. Mereka membawa obor, pelita, dan senjata.+ 4 Yesus mengetahui semua perkara yang bakal berlaku terhadapnya. Jadi, dia melangkah ke depan dan berkata kepada mereka, “Siapakah yang sedang kamu cari?” 5 Mereka menjawab, “Yesus, orang Nasaret itu.”+ Yesus berkata, “Akulah orang yang kamu cari.” Yudas, pengkhianatnya, juga berdiri dengan mereka.+

6 Walau bagaimanapun, apabila Yesus berkata, “Akulah orang yang kamu cari,” mereka berundur dan rebah ke tanah.+ 7 Maka dia bertanya lagi, “Siapakah yang sedang kamu cari?” Mereka berkata, “Yesus, orang Nasaret itu.” 8 Yesus menjawab, “Aku sudah memberitahu kamu bahawa akulah orang yang kamu cari. Jika akulah orang yang kamu cari, biarlah mereka pergi.” 9 Dia berkata demikian supaya terjadilah kata-kata yang diucapkannya dahulu, “Aku tidak kehilangan seorang pun daripada semua yang Engkau berikan kepadaku.”+

10 Kemudian, Simon Petrus menghunus pedang yang dibawanya lalu menyerang hamba imam agung dan mengerat telinga kanannya.+ Nama hamba itu ialah Malkhus. 11 Namun, Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkanlah pedang itu.+ Bukankah aku harus minum daripada cawan yang diberikan oleh Bapa kepadaku?”+

12 Kemudian askar-askar, ketua pasukan tentera, dan para pengawal orang Yahudi, menangkap Yesus dan mengikatnya. 13 Mula-mula mereka membawanya kepada Hanas, iaitu bapa mentua Kayafas.+ Kayafas ialah imam agung pada tahun itu.+ 14 Sebenarnya, Kayafaslah yang pernah menasihati orang Yahudi bahawa mereka akan mendapat manfaat jika satu orang mati bagi seluruh umat.+

15 Simon Petrus dan seorang murid yang lain mengikut Yesus.+ Murid itu dikenali oleh imam agung, jadi dia pergi bersama Yesus ke halaman dalam rumah imam agung, 16 tetapi Petrus berdiri di luar pintu. Maka, murid yang dikenali oleh imam agung itu keluar untuk bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu Petrus dibawa masuk. 17 Hamba perempuan itu bertanya kepada Petrus, “Bukankah kamu juga salah seorang murid lelaki itu?” Petrus menjawab, “Bukan.”+ 18 Sementara itu, hamba-hamba dan para pengawal berasa sejuk, maka mereka menyalakan api dengan arang dan berdiri di situ untuk memanaskan badan. Petrus juga berdiri bersama mereka untuk memanaskan badannya.

19 Ketua imam menyoal Yesus tentang murid-muridnya dan tentang ajarannya. 20 Yesus menjawab, “Aku sentiasa bercakap di hadapan umum. Aku tidak pernah menyatakan sesuatu secara rahsia. Aku selalu mengajar di rumah ibadat dan Rumah Tuhan,+ iaitu tempat semua orang Yahudi berkumpul. 21 Jadi, mengapakah kamu menyoal aku? Soallah mereka yang sudah mendengar kata-kataku. Mereka tahu apa yang aku katakan.” 22 Selepas Yesus mengucapkan kata-kata ini, salah seorang pengawal yang berdiri di situ menampar muka Yesus+ lalu berkata, “Begitukah caranya kamu menjawab ketua imam?” 23 Yesus menjawab, “Jika aku mengatakan sesuatu yang salah, beritahulah aku kesalahan itu. Tetapi jika apa yang aku katakan benar, mengapakah kamu memukul aku?” 24 Kemudian, Hanas menyuruh orang membawa Yesus kepada Imam Agung Kayafas.+ Pada masa itu, Yesus masih terikat.

25 Semasa Simon Petrus masih berdiri dekat api untuk memanaskan badan, orang lain berkata kepadanya, “Bukankah kamu juga salah seorang daripada muridnya?” Dia menafikan hal itu dan berkata, “Bukan.”+ 26 Salah seorang hamba imam agung, yang merupakan sanak saudara lelaki yang telinganya dikerat oleh Petrus,+ berkata, “Bukankah kamu yang aku nampak di taman itu bersamanya?” 27 Namun, Petrus menafikan hal itu sekali lagi. Pada saat itu juga, seekor ayam jantan berkokok.+

28 Pada awal pagi, mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke kediaman gabenor.+ Tetapi mereka sendiri tidak memasuki kediaman gabenor supaya mereka tidak menjadi najis+ dan boleh makan jamuan Paska. 29 Oleh itu, Pilatus keluar dan berkata kepada mereka, “Apakah tuduhan kamu semua terhadap lelaki ini?” 30 Mereka menjawab, “Jika lelaki ini bukan penjenayah, kami tidak akan menyerahkannya kepada tuan.” 31 Lalu Pilatus berkata, “Bawalah dia pergi dan hakimilah dia menurut hukum kamu.”+ Orang Yahudi menjawab, “Kami tidak berhak membunuh sesiapa pun.”+ 32 Dengan ini, terjadilah apa yang dikatakan oleh Yesus tentang cara dia akan mati.+

33 Pilatus memasuki kediaman gabenor sekali lagi dan memanggil Yesus. Dia bertanya, “Adakah kamu Raja orang Yahudi?”+ 34 Yesus menjawab, “Adakah kamu berkata demikian berdasarkan pemikiran sendiri, atau adakah orang lain yang memberitahu kamu tentang aku?” 35 Pilatus berkata, “Adakah aku orang Yahudi? Bangsa kamu sendiri dan ketua-ketua imam yang menyerahkan kamu kepadaku. Apakah yang telah kamu lakukan?” 36 Yesus menjawab,+ “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.+ Jika Kerajaanku sebahagian daripada dunia ini, pengikut-pengikutku tentu berjuang supaya aku tidak diserahkan kepada orang Yahudi.+ Tetapi, Kerajaanku bukanlah dari dunia ini.” 37 Maka, Pilatus bertanya, “Jadi, adakah kamu seorang raja?” Yesus menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakan bahawa aku ialah seorang raja.+ Aku harus memberikan kesaksian tentang kebenaran,+ kerana untuk tujuan inilah aku dilahirkan dan datang ke dunia. Setiap orang yang berpihak pada kebenaran mendengarkan suaraku.” 38 Pilatus berkata kepadanya, “Apakah itu kebenaran?”

Selepas Pilatus berkata demikian, dia keluar lagi dan berkata kepada orang Yahudi, “Aku tidak dapat mencari kesalahan lelaki ini.+ 39 Lagi pula, menurut kebiasaan kamu, aku patut membebaskan seorang lelaki semasa Perayaan Paska.+ Jadi, adakah kamu mahu aku membebaskan Raja orang Yahudi?” 40 Sekali lagi, mereka berteriak, “Jangan bebaskan orang ini! Bebaskan Barabas!” Sebenarnya, Barabas ialah seorang perompak.+

19 Kemudian, Pilatus menyuruh orang membawa Yesus untuk dicambuk.+ 2 Askar-askar membuat sebuah mahkota daripada duri dan meletakkannya di atas kepala Yesus. Mereka mengenakan jubah luar yang berwarna ungu padanya.+ 3 Mereka datang kepadanya berkali-kali dan berkata, “Salam sejahtera, hai Raja orang Yahudi!” Mereka juga menampar mukanya berulang kali.+ 4 Pilatus keluar lagi dan berkata kepada orang ramai, “Lihatlah! Aku membawa dia keluar, supaya kamu tahu bahawa aku tidak dapat mencari kesalahannya.”+ 5 Semasa Yesus keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu, Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah lelaki ini!” 6 Tetapi apabila ketua-ketua imam dan para pengawal nampak dia, mereka menjerit, “Bunuhlah dia pada tiang! Bunuhlah dia pada tiang!”+ Pilatus berkata kepada mereka, “Kamu sendirilah yang membawanya untuk dihukum bunuh, kerana aku tidak dapat mencari kesalahannya.”+ 7 Orang Yahudi di situ berkata, “Kami mempunyai hukum, dan menurut hukum kami, dia harus mati+ kerana dia mengaku dirinya sebagai anak Tuhan.”+

8 Apabila Pilatus mendengar kata-kata mereka, dia menjadi lebih takut. 9 Maka dia masuk semula ke dalam kediaman gabenor dan bertanya kepada Yesus, “Kamu berasal dari mana?” Tetapi Yesus tidak menjawab.+ 10 Maka Pilatus berkata kepadanya, “Adakah kamu tidak mahu bercakap kepada aku? Tidakkah kamu tahu bahawa aku berkuasa untuk membebaskan kamu atau menghukum bunuh kamu?” 11 Yesus menjawab, “Kamu sama sekali tidak berkuasa atas diriku kecuali Tuhan memberikan kuasa itu kepadamu. Itulah sebabnya orang yang menyerahkan aku kepadamu menanggung dosa yang lebih besar.”

12 Oleh itu, Pilatus berusaha mencari jalan untuk membebaskannya. Tetapi orang Yahudi berseru, “Jika tuan membebaskan lelaki ini, tuan bukanlah sahabat Kaisar.* Setiap orang yang menjadikan dirinya raja sedang menentang Kaisar.”+ 13 Selepas mendengar kata-kata itu, Pilatus membawa Yesus keluar lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang bernama Lantai Batu. Dalam bahasa Ibrani nama tempat itu ialah Gabata. 14 Waktu itu kira-kira jam 12 tengah hari,* dan hari itu ialah hari Persiapan+ untuk Paska. Pilatus berkata kepada orang Yahudi, “Lihatlah! Raja kamu!” 15 Tetapi mereka menjerit lagi, “Bunuhlah dia! Bunuhlah dia! Bunuhlah dia pada tiang!” Pilatus berkata kepada mereka, “Patutkah aku menghukum bunuh raja kamu?” Ketua-ketua imam menjawab, “Kami tidak mempunyai raja lain kecuali Kaisar.” 16 Maka dia menyerahkan Yesus kepada mereka untuk dihukum bunuh pada tiang.+

Mereka pun membawa Yesus pergi. 17 Sambil memikul tiang seksaan,* Yesus pergi ke tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak.+ Nama tempat ini dalam bahasa Ibrani ialah Golgota.+ 18 Di situ, mereka memakukan Yesus pada tiang+ bersama-sama dua orang lagi, seorang di sebelah kanannya dan seorang lagi di sebelah kirinya.+ 19 Pilatus juga menulis pada sebuah papan, “Yesus, orang Nasaret, Raja orang Yahudi,” lalu meletakkan papan itu pada tiang seksaan.*+ 20 Banyak orang Yahudi membacanya kerana tempat Yesus dipakukan pada tiang berdekatan kota Yerusalem; tulisan itu terdapat dalam bahasa Ibrani, Latin, dan Yunani. 21 Ketua-ketua imam orang Yahudi berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis, ‘Raja orang Yahudi,’ tetapi tulislah, ‘Orang ini berkata: Aku Raja orang Yahudi.’” 22 Pilatus menjawab, “Apa yang sudah aku tulis muktamad.”

23 Selepas askar-askar memakukan Yesus pada tiang, mereka mengambil jubah luarnya dan membahagikannya menjadi empat bahagian agar setiap askar mendapat satu bahagian. Mereka juga mengambil jubah dalamnya. Tetapi jubah dalamnya diperbuat daripada sehelai kain yang ditenun dari atas sampai ke bawah tanpa jahitan. 24 Maka mereka berkata kepada satu sama lain, “Janganlah kita mengoyakkan jubah ini. Marilah kita buang undi untuk menentukan siapa yang patut memilikinya.”+ Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis menjadi kenyataan: “Mereka membahagi-bahagikan jubah luarku dan membuang undi untuk jubah dalamku.”+ Demikianlah yang dilakukan oleh askar-askar itu.

25 Ibu Yesus,+ adik perempuan ibunya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena,+ berdiri dekat tiang seksaan* Yesus. 26 Semasa Yesus nampak ibunya dan murid yang dikasihinya+ berdiri di situ, dia berkata kepada ibunya, “Ibu,* lihatlah! Mulai sekarang dialah anakmu!” 27 Kemudian dia berkata kepada murid itu, “Lihatlah! Mulai sekarang dialah ibumu!” Sejak itu, ibu Yesus dibawa oleh murid tersebut untuk tinggal di rumahnya sendiri.

28 Yesus tahu bahawa sekarang semuanya sudah selesai. Agar apa yang tertulis menjadi kenyataan, dia berkata, “Aku dahaga.”+ 29 Di situ ada sebuah bekas yang penuh dengan wain masam. Maka mereka meletakkan sebuah span yang penuh dengan wain masam pada sebatang kayu,* lalu menghulurkan span itu ke mulutnya.+ 30 Selepas merasai wain masam itu, Yesus berkata, “Sudah selesai!”+ Setelah itu dia menundukkan kepala lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.+

31 Hari itu ialah hari Persiapan,+ dan orang Yahudi tidak mahu mayat orang mati masih berada pada tiang seksaan+ pada hari Sabat (kerana hari Sabat itu ialah hari Sabat yang istimewa).+ Jadi orang Yahudi memohon kepada Pilatus supaya kaki semua orang yang digantungkan itu dipatahkan dan mayat mereka diturunkan. 32 Oleh itu askar-askar pergi mematahkan kaki kedua-dua orang yang dihukum bunuh pada tiang di sebelah Yesus. 33 Tetapi apabila mereka sampai kepada Yesus, mereka nampak bahawa dia sudah meninggal. Oleh itu mereka tidak mematahkan kakinya. 34 Namun, salah seorang askar menusukkan tombaknya ke bahagian rusuk Yesus,+ dan pada saat itu juga darah dan air keluar. 35 Dia yang melihat peristiwa itu telah memberikan kesaksian, dan kesaksiannya benar. Orang itu tahu bahawa apa yang dikatakannya itu benar, agar kamu juga percaya.+ 36 Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis menjadi kenyataan: “Tidak ada satu pun daripada tulangnya akan dipatahkan.”*+ 37 Ada juga ayat lain yang menyatakan: “Mereka akan memandang dia yang telah ditusuk oleh mereka.”+

38 Setelah peristiwa-peristiwa itu berlaku, Yusuf dari Arimatea meminta kebenaran Pilatus untuk mengambil mayat Yesus. Pilatus mengizinkannya, lalu Yusuf pergi mengambil mayat Yesus.+ Yusuf ialah murid Yesus, tetapi dia tidak memberitahu orang lain tentang hal itu kerana dia takut akan orang Yahudi.+ 39 Nikodemus,+ yang dahulunya pernah datang kepada Yesus pada waktu malam, juga pergi ke situ. Dia membawa campuran* mur dan gaharu yang beratnya kira-kira 30 kilogram.*+ 40 Mereka mengambil mayat Yesus lalu membalutnya dengan kain linen bersama dengan ramuan wangi,+ menurut adat pengebumian orang Yahudi. 41 Di tempat Yesus dihukum bunuh ada sebuah taman. Di dalam taman itu terdapat sebuah makam baharu+ yang belum pernah digunakan. 42 Oleh sebab makam ini dekat dan hari itu ialah hari Persiapan+ orang Yahudi, mereka meletakkan mayat Yesus di situ.

20 Pada awal pagi hari Ahad,* ketika hari masih gelap, Maria Magdalena datang ke makam Yesus.+ Dia melihat bahawa batu penutup sudah digulingkan dari makam.+ 2 Maka dia berlari kepada Simon Petrus dan seorang murid lain yang dikasihi Yesus,+ lalu berkata kepada mereka, “Tuan sudah dikeluarkan dari makam,+ dan kami tidak mengetahui tempat dia diletakkan.”

3 Petrus dan murid itu pun pergi ke makam. 4 Mereka berlari ke situ bersama-sama, tetapi murid itu berlari lebih cepat daripada Petrus dan sampai dahulu di makam. 5 Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ,+ tetapi dia tidak masuk ke dalam makam. 6 Kemudian, Simon Petrus menyusul dari belakang dan masuk ke dalam makam. Dia nampak kain linen di situ. 7 Kain yang digunakan untuk menutupi kepala Yesus digulung tetapi tidak diletakkan bersama kain pembalut mayat. 8 Kemudian murid yang tiba dahulu di makam juga masuk. Dia melihat semuanya lalu percaya. 9 Namun, mereka masih belum memahami ayat yang menyatakan bahawa dia mesti dibangkitkan daripada kematian.+ 10 Jadi murid-murid itu pulang ke rumah masing-masing.

11 Tetapi Maria masih berdiri dan menangis di luar makam. Sambil menangis, dia menjenguk ke dalam makam 12 dan melihat dua malaikat+ berpakaian putih yang duduk di tempat mayat Yesus diletakkan sebelum ini, satu di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki. 13 Malaikat-malaikat itu berkata kepada Maria, “Hai wanita, mengapakah kamu menangis?” Dia menjawab, “Mayat Tuanku sudah diambil, dan aku tidak mengetahui tempat dia diletakkan.” 14 Setelah berkata demikian, dia berpaling dan melihat Yesus berdiri di situ, tetapi dia tidak sedar bahawa orang itu ialah Yesus.+ 15 Yesus berkata kepadanya, “Hai wanita, mengapakah kamu menangis? Siapakah yang kamu cari?” Maria menyangka orang itu ialah tukang kebun, maka dia berkata, “Tuan, jika tuan sudah mengambil mayatnya, beritahulah aku tempat mayatnya diletakkan, supaya aku boleh mengambilnya.” 16 Yesus berkata kepadanya, “Maria!” Maria berpaling lalu berkata kepadanya dalam bahasa Ibrani, “Rabboni!” (yang bermaksud “Guru!”) 17 Yesus berkata kepadanya, “Jangan berpaut padaku, kerana aku belum lagi pergi kepada Bapa. Pergilah kepada saudara-saudaraku+ dan beritahulah mereka, ‘Aku akan pergi kepada Bapaku+ yang juga Bapa kamu, kepada Tuhanku+ yang juga Tuhan kamu.’” 18 Maka Maria Magdalena pergi menyampaikan berita berikut kepada murid-murid Yesus: “Aku sudah melihat Tuan!” Kemudian dia memberitahu mereka apa yang dikatakan oleh Yesus.+

19 Pada hari yang sama, iaitu pada hari Ahad, murid-murid Yesus berkumpul ketika hari sudah petang. Mereka mengunci pintu kerana takut kepada orang Yahudi. Namun begitu, Yesus muncul dan berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Salam sejahtera.”+ 20 Selepas berkata demikian, dia menunjukkan kedua-dua tangan dan bahagian rusuknya kepada mereka.+ Murid-muridnya bersukacita apabila melihat Tuan Yesus.+ 21 Yesus berkata lagi kepada mereka, “Salam sejahtera.+ Sebagaimana Bapa mengutus aku,+ aku juga mengutus kamu.”+ 22 Setelah berkata demikian, dia menghembuskan nafas ke arah mereka dan berkata, “Terimalah kuasa suci Tuhan.+ 23 Sesiapa yang dosanya kamu ampunkan, dosanya pun diampunkan, tetapi sesiapa yang dosanya tidak kamu ampunkan, dosanya pun tidak diampunkan.”

24 Tomas+ yang dipanggil Si Kembar, iaitu salah seorang daripada 12 orang rasul Yesus, tidak bersama mereka semasa Yesus muncul. 25 Oleh itu, semasa murid-murid lain memberitahunya, “Kami sudah melihat Tuan!” dia berkata, “Selagi aku tidak melihat kesan paku pada tangannya dan menyentuh kesan paku itu dengan jariku, serta menyentuh rusuknya dengan tanganku,+ aku tidak akan percaya.”

26 Lapan hari kemudian, murid-murid Yesus berkumpul lagi di dalam rumah, dan Tomas juga bersama mereka. Walaupun pintu sudah dikunci, Yesus muncul dan berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Salam sejahtera.”+ 27 Kemudian dia berkata kepada Tomas, “Letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tanganku. Hulurkanlah tanganmu dan sentuhlah rusukku. Jangan ragu-ragu lagi, tetapi percayalah.” 28 Tomas berkata kepadanya, “Tuanku dan Tuhanku!” 29 Yesus berkata kepadanya, “Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat.”

30 Sudah tentu, ada banyak lagi mukjizat yang dilakukan oleh Yesus di hadapan murid-muridnya, tetapi tidak ditulis dalam gulungan ini.+ 31 Namun, hal-hal ini sudah dicatatkan supaya kamu percaya bahawa Yesus ialah Kristus, dan dialah Anak Tuhan. Dengan itu, kamu akan memperoleh hidup melalui namanya kerana kamu percaya.+

21 Setelah itu, Yesus menampakkan diri sekali lagi kepada murid-muridnya di Tasik Tiberias. Berikut merupakan apa yang berlaku semasa dia menampakkan diri kepada mereka: 2 Pada masa itu, Simon Petrus, Tomas (yang dipanggil Si Kembar),+ Natanael+ yang berasal dari Kana di Galilea, anak-anak Zebedeus,+ dan dua orang murid Yesus yang lain sedang berkumpul. 3 Simon Petrus berkata kepada mereka, “Aku akan pergi menangkap ikan.” Mereka berkata, “Kami akan ikut kamu.” Maka, mereka bertolak dari sana dengan menaiki perahu. Tetapi pada malam itu, mereka tidak menangkap apa-apa.+

4 Semasa hari hampir pagi, Yesus berdiri di tepi tasik, tetapi murid-muridnya tidak sedar bahawa orang itu ialah Yesus.+ 5 Maka Yesus berkata kepada mereka, “Hai anak-anak, adakah kamu mempunyai apa-apa* untuk dimakan?” Mereka menjawab, “Tidak ada.” 6 Jadi dia berkata kepada mereka, “Tebarkanlah jala ke sebelah kanan perahu, dan kamu akan mendapat ikan.” Mereka pun menebarkan jala, dan menangkap begitu banyak ikan sehingga tidak terdaya menarik jala itu kembali.+ 7 Maka murid yang disayangi Yesus itu+ berkata kepada Petrus, “Dia Tuan Yesus!” Pada masa itu, Simon Petrus tidak berpakaian lengkap. Oleh itu, apabila dia mendengar bahawa orang itu ialah Tuan Yesus, dia memakai jubah luarnya lalu terjun ke dalam tasik. 8 Tetapi murid-murid yang lain datang dengan perahu kecil itu sambil menyeret jala yang penuh dengan ikan. Mereka berada tidak jauh dari darat, iaitu hanya kira-kira 90 meter* jauhnya.

9 Apabila mereka tiba di darat, mereka nampak ada roti di situ dan ada ikan yang sedang dibakar di atas bara api. 10 Yesus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa ekor ikan yang baru kamu tangkap.” 11 Simon Petrus pun naik ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Jala itu sarat dengan ikan yang besar-besar, dan semuanya berjumlah 153 ekor. Meskipun ada begitu banyak ikan yang ditangkap, jala itu tidak koyak. 12 Yesus berkata kepada mereka, “Marilah bersarapan.” Tidak seorang pun daripada murid-muridnya yang berani bertanya, “Siapakah kamu?” kerana mereka tahu bahawa dia ialah Tuan Yesus. 13 Maka Yesus menghampiri mereka, mengambil roti itu, dan memberikannya kepada mereka. Dia juga berbuat demikian dengan ikan-ikan itu. 14 Inilah kali ketiga+ Yesus menampakkan diri kepada murid-muridnya selepas dia dibangkitkan daripada kematian.

15 Selepas mereka bersarapan, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi aku lebih daripada semua ini?” Petrus berkata kepadanya, “Ya Tuan. Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.” Maka Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah* anak bebiriku.”+ 16 Untuk kali kedua Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi aku?” Petrus menjawab, “Ya Tuan. Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.” Yesus berkata kepadanya, “Hendaklah kamu menggembala anak bebiriku.”+ 17 Untuk kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi aku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya buat kali ketiga, “Adakah kamu mengasihi aku?” Oleh itu Petrus menjawab, “Tuan mengetahui segala sesuatu. Tuan tahu bahawa aku mengasihi Tuan.” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah anak bebiriku.+ 18 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Semasa kamu lebih muda, kamu mengenakan pakaianmu sendiri dan berjalan ke mana sahaja kamu mahu. Tetapi apabila kamu menjadi tua, kamu akan menghulurkan tangan dan orang lain akan mengenakan pakaian untukmu dan membawa kamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” 19 Dia berkata demikian untuk menunjukkan bagaimana Petrus akan mati kelak untuk memuliakan Tuhan. Selepas itu, dia berkata kepada Petrus, “Teruslah mengikut aku.”+

20 Petrus berpaling dan melihat murid yang dikasihi Yesus itu+ sedang mengikuti mereka. Murid itulah yang bersandar pada Yesus semasa perjamuan malam dan yang bertanya, “Tuan, siapakah yang akan mengkhianati Tuan?” 21 Sebaik sahaja Petrus nampak dia, Petrus bertanya kepada Yesus, “Tuan, bagaimana pula dengan orang ini?” 22 Yesus menjawab, “Jika aku mahu dia hidup sehingga aku datang, apa kena-mengenanya dengan kamu? Tetapi hendaklah kamu terus mengikut aku.” 23 Oleh itu, tersebarlah berita dalam kalangan murid-muridnya bahawa murid tersebut tidak akan mati. Sebenarnya Yesus tidak mengatakan bahawa dia tidak akan mati. Yesus berkata, “Jika aku mahu dia hidup sehingga aku datang, apa kena-mengenanya dengan kamu?”

24 Dialah murid Yesus+ yang memberikan kesaksian dan menuliskan semua peristiwa ini, dan kita tahu bahawa kesaksiannya itu benar.

25 Sebenarnya, ada banyak lagi perkara yang dilakukan oleh Yesus. Tetapi pada pendapatku, jika butirannya ditulis dengan terperinci, seluruh dunia pun tidak cukup untuk memuatkan gulungan-gulungan yang ditulis itu.+

Atau “seperti Tuhan.”

Atau “dan kebaikan hati yang unggul.”

Atau “dada-Nya.” Maksudnya dia mendapat perkenan istimewa.

Lihat Lampiran A5.

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Harfiah, “jam yang ke-10.”

Atau “Hai wanita, apakah kaitan hal itu dengan kamu dan saya?” Ini merupakan peribahasa untuk menunjukkan pembantahan. Penggunaan perkataan “wanita” bukannya tanda tidak hormat.

Mungkin setiap baldi dapat memuatkan kira-kira 22 L cecair.

Lihat Kamus.

Atau mungkin, “dilahirkan dari atas.”

Harfiah, “ditinggikan.”

Harfiah, “sudah meletakkan meterainya.”

Atau “mata air.”

Harfiah, “jam yang ke-6.”

Harfiah, “jam yang ke-7.”

Laluan berbumbung yang mempunyai banyak tiang.

Lihat Lampiran A3.

Atau “katilmu.”

Atau “katilnya.”

Atau “katil.”

Atau “katilmu.”

Atau “katilmu.”

Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “kira-kira 25 atau 30 stadium.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “meterai.”

Atau “langit.”

Harfiah, “menariknya.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “iblis.”

Ayat-ayat dari 7:53 sehingga 8:11 tidak terdapat dalam sebilangan naskhah kuno yang diakui kesahihannya.

Harfiah, “meninggikan.”

Atau “anak yang dilahirkan akibat perbuatan seks yang tidak bermoral.” Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.

Atau “sejak mula lagi.”

Laluan berbumbung yang mempunyai banyak tiang.

Atau “bersatu.”

Atau “Kamu seperti tuhan.”

Atau mungkin, “adik perempuannya.” Perkataan Yunani yang digunakan boleh merujuk kepada adik perempuan atau kakak.

Atau mungkin, “abangnya.” Perkataan Yunani yang digunakan boleh merujuk kepada adik lelaki atau abang.

Harfiah, “kira-kira 15 stadium.” Lihat Lampiran B14.

Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.

Harfiah, “1 paun,” iaitu paun Roma. Lihat Lampiran B14.

Lihat Lampiran B14.

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “ditinggikan.”

Harfiah, “ditinggikan?”

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “lengan.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “wajib.”

Harfiah, “corak.”

Atau “telah berpaling tadah.”

Harfiah, “duduk di depan dadanya.” Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.

Atau “penawar hati.”

Bahagian ranting tumbuhan menjalar yang melingkar-lingkar.

“Dia” merujuk kepada “penolong.” Lihat juga Yoh 16:7.

Perkataan “dia” di ayat 13 dan 14 merujuk kepada “penolong itu” yang disebutkan di ayat 7. Yesus menggunakan ungkapan “penolong itu” sebagai personifikasi kuasa suci Tuhan.

Kata kerja Yunani menunjukkan usaha yang berterusan.

Atau “membuat nama-Mu diketahui.”

Atau “bersatu.”

Atau “bersatu.”

Atau “Jadikanlah mereka milik-Mu yang khas.”

Merujuk kepada kelahiran anak-anak Adam dan Hawa.

Gelaran bagi maharaja Roma.

Harfiah, “jam yang ke-6.”

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “Hai wanita.” Penggunaan perkataan “wanita” bukannya tanda tidak hormat.

Harfiah, “hisop.” Lihat Kamus.

Atau “diremukkan.”

Atau mungkin, “gulungan.”

Harfiah, “1,000 paun,” iaitu paun Roma. Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “hari pertama dalam seminggu.” Bagi orang Yahudi, hari Ahad ialah hari pertama dalam seminggu.

Atau “ikan.”

Harfiah, “kira-kira 200 hasta.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “Berilah makan.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi