PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 20 1A-3131
  • Amsal

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Amsal
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Amsal

AMSAL

1 Amsal-amsal* Salomo+ anak Daud,+ iaitu raja Israel:+

 2 Amsal-amsal ini adalah untuk mengajar* dan memberi seseorang kebijaksanaan,+

Untuk membantunya memahami kata-kata yang dalam maknanya,

 3 Dan untuk mendidiknya*+ supaya dia menjadi orang yang berpengertian,

Adil,+ berkelakuan baik, dan mempunyai daya penilaian.+

 4 Amsal-amsal ini adalah untuk membantu orang yang tidak berpengalaman agar bertindak dengan bijak,+

Dan untuk membantu orang muda memperoleh pengetahuan dan berfikir dengan baik.+

 5 Orang yang bijak suka mendengar dan menerima nasihat;+

Orang yang berpengertian berusaha memperoleh bimbingan yang baik,+

 6 Agar dapat memahami peribahasa dan perumpamaan,

Serta memahami kata-kata dan teka-teki orang yang bijaksana.+

 7 Untuk memperoleh pengetahuan, seseorang mesti hormat dan takut kepada Yehuwa terlebih dahulu.+

Orang bodoh tidak menghargai* kebijaksanaan dan tidak mahu diajar.+

 8 Hai anakku, dengarkanlah ajaran* bapamu,+

Dan janganlah mengetepikan bimbingan ibumu.+

 9 Ajaran mereka bagaikan lingkaran bunga yang cantik di atas kepalamu,+

Dan bagaikan perhiasan yang indah pada lehermu.+

10 Hai anakku, janganlah terpengaruh jika orang berdosa menggoda kamu.+

11 Mereka mungkin berkata, “Ikutlah kami!

Marilah kita melancarkan serangan hendap untuk membunuh orang.

Kita akan bersembunyi dan menyerang orang yang tidak bersalah untuk bersuka-suka.

12 Seperti Kuburan,* kita akan menelan mereka hidup-hidup.

Ya, sebagaimana lubang maut menelan orang, kita akan menelan mereka dengan sepenuhnya.

13 Marilah kita merampas semua harta benda mereka!

Kita akan memenuhi rumah kita dengan barang rampasan.

14 Marilah ikut kami,

Kita akan membahagikan barang-barang yang kita curi dengan sama rata!”

15 Hai anakku, janganlah ikut mereka.

Jauhilah haluan mereka,+

16 Kerana mereka bergegas melakukan kejahatan;

Mereka tidak sabar-sabar untuk menumpahkan darah.+

17 Sesungguhnya, sia-sia sahaja orang memasang jerat di depan mata burung.

18 Itulah sebabnya orang berdosa melancarkan serangan hendap untuk membunuh orang;

Mereka bersembunyi supaya dapat meragut nyawa orang.

19 Demikianlah haluan orang yang ingin mengaut keuntungan secara tidak jujur;

Orang sedemikian akan kehilangan nyawanya.+

20 Sesungguhnya, kebijaksanaan*+ sedang berseru di jalan+

Dan terus melantangkan suaranya di tempat awam.*+

21 Kebijaksanaan berseru di simpang jalan yang sibuk.

Di pintu gerbang kota, kebijaksanaan berkata,+

22 “Hai orang yang tidak berpengalaman, sampai bila kamu hendak mencintai kebodohan?

Hai orang yang suka mengejek, sampai bila kamu hendak mengejek orang?

Hai orang yang bodoh, sampai bila kamu hendak membenci pengetahuan?+

23 Dengarkanlah teguranku,+

Dan aku akan memberi kamu kebijaksanaan;*

Aku akan membantu kamu memahami kata-kataku.+

24 Aku berseru kepada kamu, tetapi kamu enggan memasang telinga;

Aku menghulurkan tanganku, tetapi tiada sesiapa pun yang peduli.+

25 Kamu selalu mengabaikan nasihatku

Dan menolak teguranku.

26 Aku akan mentertawakan kamu semasa kamu ditimpa malapetaka;

Aku akan mempersendakan kamu semasa kamu dicengkam ketakutan.+

27 Ketakutan itu akan melanda kamu seperti badai.

Malapetaka itu akan menimpa kamu seperti angin kencang.

Ya, kamu akan mengalami kesusahan dan masalah.

28 Pada masa itu, kamu akan berseru kepadaku, tetapi aku tidak akan menjawab;

Kamu akan mencari aku dengan bersungguh-sungguh, tetapi kamu tidak akan menjumpai aku.+

29 Hal ini demikian kerana kamu membenci pengetahuan+

Dan tidak mahu hormat dan takut kepada Yehuwa.+

30 Kamu enggan mendengarkan nasihatku

Dan memandang remeh segala teguranku.

31 Oleh itu, kamu akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatanmu,+

Dan kamu akan menanggung akibat daripada rancangan jahatmu.

32 Orang yang tidak berpengalaman akan mati kerana mereka suka memberontak,

Dan orang yang bodoh akan binasa kerana mereka bersikap acuh tak acuh.

33 Tetapi orang yang mendengarkan aku akan hidup sejahtera.+

Mereka tidak perlu takut akan malapetaka.”+

2 Hai anakku, jika kamu menerima kata-kataku

Dan menyimpan perintahku seperti harta;+

 2 Jika kamu mendengar kebijaksanaan dengan teliti+

Dan membuka hatimu untuk memperoleh daya penilaian;+

 3 Jika kamu berseru meminta pemahaman+

Dan melantangkan suaramu untuk memohon daya penilaian;+

 4 Jika kamu terus mencari semua itu seperti mencari perak+

Dan berusaha mendapatkan semua itu seperti mendapatkan harta terpendam;+

 5 Maka kamu akan memahami ertinya takut akan Yehuwa,+

Dan kamu akan memperoleh pengetahuan tentang Tuhan.+

 6 Yehuwa sendiri memberikan kebijaksanaan;+

Firman-Nya ialah sumber pengetahuan dan pengertian.

 7 Dia memberikan kebijaksanaan kepada orang yang baik;

Dia ialah perisai bagi mereka yang mengikut haluan benar.*+

 8 Dia memperhatikan orang yang mengikut jalan keadilan,

Dan Dia akan menjaga haluan umat-Nya yang setia.+

 9 Jika kamu melakukan hal-hal ini, kamu akan memahami apa yang benar, adil, dan saksama.

Ya, kamu akan memahami haluan yang harus kamu tempuh.+

10 Apabila kebijaksanaan masuk ke dalam hatimu,+

Dan pengetahuan menjadi sesuatu yang menyenangkan jiwamu,+

11 Daya pemikiran akan melindungimu,+

Dan pengertian akan menjagamu.

12 Dengan itu kamu akan diselamatkan daripada haluan yang jahat;

Daripada orang yang mengucapkan perkara yang keji;+

13 Daripada orang yang meninggalkan haluan benar,

Yang memilih untuk menempuh haluan kegelapan;+

14 Daripada orang yang menyukai perbuatan yang salah,

Yang menyenangi perkara yang buruk dan keji;

15 Dan daripada orang yang jalannya bengkang-bengkok,

Yang setiap haluannya penuh dengan tipu daya.

16 Kamu juga akan diselamatkan daripada perempuan jalang;*

Daripada kata-kata manis* perempuan yang tidak bermoral.*+

17 Perempuan itu meninggalkan suaminya*+

Dan melupakan perjanjiannya dengan Tuhan.

18 Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke arah maut;

Jika kamu mengunjungi tempatnya, kamu menuju ke kuburan.+

19 Mereka yang menjalin hubungan dengannya tidak akan kembali;

Mereka tidak akan kembali ke jalan yang menuju kehidupan.+

20 Maka ikutlah haluan orang yang baik

Dan tetaplah berada di jalan orang yang melakukan apa yang benar.+

21 Hal ini demikian kerana hanya orang baik yang akan menduduki bumi,

Dan hanya orang yang tidak bercela* akan tetap tinggal di situ.+

22 Tetapi orang jahat akan dilenyapkan dari bumi,+

Dan orang yang tidak setia akan dihapuskan dari bumi.+

3 Hai anakku, janganlah lupa akan ajaranku,*

Dan hendaklah kamu mematuhi perintahku dengan sepenuh hati,

 2 Supaya kamu panjang umur

Dan hidup sejahtera.+

 3 Hendaklah kamu sentiasa menunjukkan kasih* dan kesetiaan.+

Ikatkanlah semua itu pada lehermu

Dan tuliskanlah semua itu pada hatimu.+

 4 Maka kamu akan mendapat perkenan Tuhan dan manusia;+

Kamu juga akan dikenali sebagai orang yang sangat berpengertian.

 5 Percayalah kepada Yehuwa+ dengan sepenuh hatimu,

Dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri.+

 6 Ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu,+

Dan Dia akan meluruskan jalan hidupmu.+

 7 Janganlah menganggap dirimu bijaksana.+

Takutlah akan Yehuwa dan jauhilah kejahatan.

 8 Perbuatan itu akan menjadi seperti ubat yang menyembuhkan tubuhmu

Dan yang menyegarkan badanmu.*

 9 Muliakanlah Yehuwa dengan memberi-Nya harta milikmu yang berharga+

Dan hasil pertama* semua tanamanmu.*+

10 Maka gudang-gudangmu akan diisi sehingga penuh,+

Dan tempat memeras anggurmu akan melimpah dengan wain baharu.

11 Hai anakku, janganlah menolak disiplin daripada Yehuwa,+

Dan janganlah membenci teguran-Nya,+

12 Kerana Yehuwa menegur orang yang dikasihi-Nya,+

Seperti seorang bapa menegur anak yang disayanginya.+

13 Berbahagialah orang yang mendapat kebijaksanaan+

Dan orang yang memperoleh daya penilaian;

14 Memiliki kebijaksanaan lebih baik daripada memiliki perak,

Dan memperoleh hikmat lebih baik daripada memperoleh emas.+

15 Kebijaksanaan lebih bernilai daripada batu permata;*

Segala yang kamu idamkan tidak dapat menandinginya.

16 Umur panjang ada di tangan kanannya.

Kekayaan dan kemuliaan ada di tangan kirinya.

17 Semua jalannya menyenangkan hati,

Dan semua haluannya membawa kedamaian.+

18 Kebijaksanaan bagaikan pokok kehidupan;

Sesiapa yang berpegang erat padanya akan hidup dan mendapat kebahagiaan.+

19 Dengan kebijaksanaan-Nya, Yehuwa telah menjadikan bumi,+

Dan dengan pengertian-Nya, Dia telah mengasaskan langit.+

20 Dengan pengetahuan-Nya, lautan yang dalam terbelah

Dan awan di langit menurunkan hujan.+

21 Hai anakku, janganlah abaikan semua ini.*

Janganlah lepaskan hikmat dan pengertian,*

22 Kerana semua itu akan memelihara hidupmu

Dan menjadi seperti perhiasan pada lehermu.

23 Jika kamu memiliki semua itu, kamu akan berjalan dengan selamat,

Dan kakimu tidak akan sekali-kali tersandung.+

24 Apabila kamu berbaring, kamu tidak akan takut;+

Kamu akan berbaring dan tidur dengan nyenyak.+

25 Kamu tidak akan takut terhadap bencana yang datang secara tiba-tiba,+

Dan kamu tidak akan gentar terhadap angin ribut yang bakal melanda orang jahat,+

26 Kerana Yehuwa akan menjadi sumber keyakinanmu;+

Dia tidak akan membiarkan kakimu dijerat.+

27 Buatlah kebaikan kepada orang yang memerlukan bantuan,+

Dan janganlah menahan diri jika kamu berupaya membantunya.+

28 Janganlah berkata kepada seseorang, “Pergilah! Datanglah esok dan aku akan membantumu,”

Sedangkan kamu dapat membantunya pada masa itu.

29 Janganlah merancang untuk berbuat jahat terhadap jiranmu+

Yang tinggal berdekatanmu dan yang mempercayaimu.

30 Janganlah bertengkar tanpa sebab+ dengan seseorang

Yang tidak berbuat jahat terhadapmu.+

31 Janganlah iri hati terhadap orang yang melakukan keganasan,+

Dan janganlah mengikut haluannya yang jahat,

32 Kerana Yehuwa membenci orang yang licik,+

Tetapi Dia akrab dengan orang yang melakukan apa yang benar.+

33 Yehuwa mengutuk rumah tangga orang yang jahat,+

Tetapi dia memberkati rumah tangga orang yang baik.+

34 Dia menghina orang yang suka mencemuh,+

Tetapi Dia berkenan kepada orang yang rendah hati.+

35 Orang bijak akan diberi kehormatan,

Tetapi orang bodoh yang suka perkara-perkara yang hina akan dimalukan.+

4 Hai anak-anakku, terimalah disiplin seorang bapa;+

Berikanlah perhatian agar kamu mendapat pengertian,

 2 Kerana aku akan mengajar kamu apa yang baik;

Janganlah abaikan ajaranku.*+

 3 Aku seorang anak yang baik di mata bapaku+

Dan anak yang paling disayangi oleh ibuku.+

 4 Bapaku mengajar aku dan berkata, “Berpautlah pada kata-kataku dengan sepenuh hatimu.+

Patuhilah perintahku supaya kamu terus hidup.+

 5 Hendaklah kamu memperoleh kebijaksanaan dan pengertian.+

Janganlah lupakan kata-kataku atau berpaling daripadanya.

 6 Janganlah tinggalkan hikmat, maka hikmat akan melindungimu.

Cintailah kebijaksanaan, maka kebijaksanaan akan menjagamu.

 7 Kebijaksanaan ialah perkara yang terpenting,+ maka perolehlah kebijaksanaan.

Bersama dengan segala yang kamu peroleh, pastikanlah kamu memperoleh pengertian.+

 8 Junjunglah kebijaksanaan, maka kebijaksanaan akan meninggikan kamu.+

Kebijaksanaan akan memuliakan kamu kerana kamu berpaut padanya.+

 9 Kebijaksanaan bagaikan lingkaran bunga yang cantik di atas kepalamu;

Hikmat bagaikan mahkota indah yang menghiasi kepalamu.”

10 Hai anakku, dengarlah dan terimalah kata-kataku.

Dengan demikian kamu akan panjang umur.+

11 Aku akan mengajarkan haluan kebijaksanaan kepadamu;+

Aku akan memimpin kamu ke haluan yang benar.+

12 Dengan itu kamu akan melangkah dengan bebas,

Dan kamu tidak akan tersandung semasa kamu berlari.

13 Berpeganglah pada disiplin dan janganlah melepaskannya.+

Peliharalah disiplin kerana disiplin menjamin kehidupanmu.+

14 Janganlah menempuh jalan orang yang jahat,

Dan janganlah berjalan di haluan orang yang keji.+

15 Hindarilah jalan mereka dan janganlah menempuhnya;+

Berpalinglah daripadanya dan janganlah menyimpang ke situ.+

16 Orang jahat tidak dapat tidur selagi mereka tidak melakukan kejahatan.

Mereka tidak dapat melelapkan mata selagi mereka tidak mencederakan orang.

17 Kejahatan bagaikan roti mereka,

Dan keganasan bagaikan wain mereka.

18 Tetapi jalan orang yang melakukan apa yang benar bagaikan sinaran mentari pada waktu fajar;

Kian lama kian cerah sehingga sinarannya terang-benderang.+

19 Haluan orang jahat bagaikan kegelapan;

Mereka tersandung tanpa mengetahui apa yang menyebabkan mereka tersandung.

20 Hai anakku, berikanlah perhatian kepada apa yang aku sampaikan;

Dengarlah kata-kataku dengan teliti.

21 Janganlah sekali-kali melupakannya;

Simpanlah kata-kataku dalam lubuk hatimu,+

22 Kerana jika kamu menuruti kata-kataku,

Hidupmu akan terpelihara+ dan tubuhmu akan menjadi sihat.

23 Lebih daripada segala-galanya, jagalah hatimu,*+

Kerana hatimu menentukan hidup matimu.

24 Janganlah mengucapkan kata-kata yang berputar belit,+

Dan jauhilah kata-kata yang menyesatkan.

25 Pandanglah ke hadapan;

Janganlah menoleh ke kiri atau ke kanan.+

26 Luruskanlah* haluan yang kamu tempuh,+

Maka segala jalanmu tidak akan tergoyah.

27 Janganlah menyimpang ke kiri atau ke kanan.+

Berpalinglah daripada apa yang jahat.

5 Hai anakku, berikanlah perhatian kepada kebijaksanaanku.

Dengarlah ajaranku dengan teliti supaya kamu mendapat pengertian.+

 2 Dengan demikian kamu dapat mengawal pemikiranmu,

Dan kamu akan selalu mengatakan apa yang benar.+

 3 Bibir perempuan jalang* manis seperti madu yang menitis dari sarang lebah,+

Dan mulutnya mengucapkan kata-kata yang menggoda.+

 4 Tetapi pada hakikatnya dia seperti tanaman yang pahit,+

Dan seperti pedang bermata dua yang tajam.+

 5 Dia berjalan ke arah lembah maut

Dan dia melangkah menuju ke Kuburan.*

 6 Dia tidak mengendahkan jalan kehidupan.

Haluannya tidak menentu, dan dia sendiri tidak tahu ke mana arah tujuannya.

 7 Hai anak-anakku, dengarkanlah nasihatku

Dan janganlah berpaling daripada apa yang aku katakan.

 8 Jauhkanlah dirimu daripada perempuan jalang;

Janganlah mendekati pintu rumahnya,+

 9 Supaya nama baikmu tidak dicemari,+

Supaya kamu tidak hidup sengsara pada kemudian hari,+

10 Supaya orang asing tidak merampas kekayaanmu,+

Dan supaya hasil jerih lelahmu tidak menjadi milik orang lain.

11 Dengan itu kamu tidak akan menderita pada akhir hayatmu,

Iaitu apabila kekuatanmu hilang dan tubuhmu hampir binasa,+

12 Dan kamu tidak akan berkata, “Mengapa aku membenci disiplin?

Mengapa hatiku menolak teguran?

13 Aku tidak mendengarkan nasihat orang yang mendidikku,

Dan aku tidak mengendahkan ajaran guru-guruku.

14 Itulah sebabnya kini aku nyaris hancur lebur

Dan mendapat malu di hadapan umat* Tuhan.”+

15 Minumlah air dari telagamu sendiri,

Dan nikmatilah air yang segar dari perigimu sendiri.+

16 Patutkah kamu membiarkan mata airmu melimpah ke luar

Dan membiarkan anak sungaimu mengalir di tempat awam?+

17 Biarlah semua itu menjadi milikmu sahaja,

Dan bukannya sesuatu yang dikongsi dengan orang lain.+

18 Semoga mata airmu diberkati,

Dan semoga kamu bersukacita dengan isteri yang kamu kahwini sejak muda;+

19 Dia bagaikan rusa betina yang dikasihi dan kijang* yang menawan.+

Biarlah buah dadanya memuaskan kamu pada setiap masa.

Semoga kamu sentiasa ditawan oleh cintanya.+

20 Jadi, hai anakku, mengapa kamu terpikat dengan perempuan jalang?*

Mengapa kamu memeluk perempuan yang tidak bermoral?*+

21 Mata Yehuwa memperhatikan haluan manusia;

Dia memeriksa setiap langkah mereka.+

22 Kesalahan orang jahat bagaikan perangkap,

Dan dosanya seperti tali yang akan menjeratnya.+

23 Dia telah menyimpang kerana dia sangat bodoh,

Dan akhirnya dia akan mati kerana dia menolak disiplin.

6 Hai anakku, jika kamu sudah menjadi penjamin hutang orang lain,+

Jika kamu sudah membuat persetujuan* dengan orang yang tidak dikenali,+

 2 Dan jika kamu sudah berjanji dengan seseorang,

Kamu terikat kepada janji itu dan sudah terjerat dengan kata-katamu sendiri.+

 3 Ya, kamu telah jatuh ke dalam tangan orang itu.

Hai anakku, rendahkanlah dirimu dan pergilah merayu kepadanya dengan bersungguh-sungguh.

Dengan demikian kamu dapat membebaskan dirimu daripada orang itu.+

 4 Selagi kamu belum melakukan hal itu,

Janganlah tidur dan janganlah biarkan matamu terpejam.

 5 Seperti kijang yang melepaskan diri daripada tangan pemburu, bebaskanlah dirimu dengan segera.

Seperti burung yang melepaskan diri daripada genggaman penangkap burung, lepaskanlah dirimu secepat mungkin.

 6 Hai orang yang malas, pergilah dan perhatikanlah cara hidup semut;+

Belajarlah daripada semut dan jadilah bijak.

 7 Walaupun semut tidak mempunyai pemerintah, pegawai, atau pemimpin,

 8 Semut tahu menyediakan makanan pada musim panas,+

Dan semut tahu mengumpulkan bekalan makanan pada musim menuai.

 9 Hai orang yang malas, berapa lamakah kamu mahu berbaring?

Bilakah kamu akan bangun daripada tidur?

10 Tidurlah sekejap, lelapkanlah matamu sejenak,

Silangkanlah tanganmu untuk berehat sebentar,+

11 Maka kamu akan dilanda kemiskinan yang datang seperti perompak,

Dan kamu akan ditimpa kekurangan yang datang seperti orang yang bersenjata.+

12 Orang yang jahat dan tidak berguna suka bercakap berputar belit;+

13 Dia mengenyitkan matanya,+ memberikan isyarat dengan kakinya, dan menggerakkan jari-jemarinya.

14 Hatinya penuh dengan kekejian;

Dia selalu merancang kejahatan+ dan menimbulkan pertengkaran.+

15 Itulah sebabnya malapetaka akan menimpanya secara tiba-tiba;

Dalam sekelip mata dia akan dihancurkan dengan sepenuhnya.+

16 Ada enam perkara yang dibenci oleh Yehuwa;

Ada tujuh perkara yang memuakkan-Nya:

17 Mata yang memandang orang dengan sombong,+ lidah yang menipu,+ tangan yang menumpahkan darah orang yang tidak bersalah,+

18 Hati yang merancang perkara yang keji,+ kaki yang bergegas melakukan kejahatan,

19 Saksi palsu yang sentiasa mengucapkan dusta,+

Dan sesiapa sahaja yang menyebabkan pertengkaran antara saudara.+

20 Hai anakku, patuhilah perintah bapamu,

Dan janganlah abaikan ajaran* ibumu.+

21 Pastikanlah kata-kata ibu bapamu sentiasa tersemat di hatimu;

Kalungkanlah semua itu pada lehermu.

22 Biarlah semua itu memimpinmu semasa kamu berjalan,

Biarlah semua itu melindungimu semasa kamu berbaring,

Dan biarlah semua itu mengajarmu semasa kamu bangun,

23 Kerana perintah itu bagaikan pelita,+

Dan hukum itu bagaikan cahaya.+

Sesungguhnya, teguran dan disiplin akan membimbingmu ke haluan kehidupan.+

24 Semua itu akan melindungimu daripada perempuan yang jahat,+

Dan daripada kata-kata manis perempuan yang tidak bermoral.*+

25 Janganlah mendambakannya dalam hatimu kerana kecantikannya,+

Dan janganlah membiarkan dia memikatmu dengan matanya yang menggoda.

26 Seseorang yang mencari pelacur akan kehilangan segala harta miliknya,+

Dan seseorang yang berzina dengan isteri orang lain akan kehilangan nyawanya.

27 Dapatkah seseorang meletakkan api pada dadanya dan pakaiannya tidak terbakar?+

28 Atau dapatkah seseorang berjalan di atas bara api dan kakinya tidak melecur?

29 Demikian juga dengan orang yang berzina dengan isteri orang lain;

Sesiapa yang menyentuh isteri orang lain tidak akan terlepas daripada hukuman.+

30 Jika seseorang mencuri kerana ingin memuaskan rasa laparnya,

Dia tidak akan dihina.

31 Namun jika dia ditangkap, dia harus membayar kembali tujuh kali ganda;

Dia harus menyerahkan semua benda berharga yang ada di dalam rumahnya.+

32 Sesiapa yang berzina tidak berakal;

Orang yang berzina membinasakan dirinya sendiri.+

33 Dia akan diseksa dan dihina,+

Dan kehinaan itu akan sentiasa menyelubunginya.+

34 Kecemburuan menyebabkan seorang suami berang;

Semasa dia membalas dendam, dia tidak akan berbelas kasihan.+

35 Dia tidak akan menerima ganti rugi;*

Pemberian sebanyak apa pun tidak dapat meredakan kemarahannya.

7 Hai anakku, dengarkanlah kata-kataku,

Dan hargailah perintahku sepertimana kamu menghargai harta karun.+

 2 Taatilah perintahku agar kamu hidup dengan gembira;+

Berhati-hatilah menurut ajaranku* sepertimana kamu berhati-hati menjaga matamu.*

 3 Ikatkanlah perintah dan ajaranku pada jarimu,

Dan tuliskanlah semua itu pada hatimu.+

 4 Katakanlah kepada kebijaksanaan, “Engkaulah kakakku,”

Dan katakanlah kepada pengertian, “Engkaulah saudaraku.”

 5 Maka kamu akan dilindungi daripada perempuan yang tidak bermoral,*+

Dan daripada perempuan jalang* yang menggoda orang dengan kata-katanya.+

 6 Dari kekisi jendela di rumahku,

Aku memandang keluar.

 7 Aku nampak para pemuda yang tidak berpengalaman;

Dalam kalangan mereka, aku mengamati seorang pemuda yang bodoh.+

 8 Dia sedang lalu di selekoh berhampiran rumah seorang perempuan,

Dan dia menuju ke arah rumah itu.

 9 Pada waktu petang ketika matahari mulai terbenam,+

Ketika hari semakin gelap,

10 Aku nampak seorang perempuan mendekati pemuda itu;

Perempuan yang licik itu berpakaian seperti pelacur.+

11 Dia becok dan tidak tahu malu.+

Dia tidak mahu duduk diam di rumah.

12 Kadangkala dia di luar rumah, dan kadangkala dia di tempat awam;

Dia suka menunggu di setiap sudut jalan.+

13 Dia memeluk pemuda itu lalu menciumnya;

Tanpa rasa malu, dia berkata,

14 “Aku telah mempersembahkan korban pendamaian hari ini,+

Dan aku sudah menunaikan ikrarku.

15 Itulah sebabnya aku keluar untuk berjumpa denganmu.

Aku mencari-carimu dan akhirnya aku menemuimu!

16 Aku sudah memasang cadar yang cantik di katilku.

Cadar itu dibuat daripada kain linen yang berwarna-warni dari Mesir.+

17 Aku telah mengharumkan katilku dengan mur, gaharu, dan kayu manis.+

18 Marilah kita memuaskan dahaga cinta kita sehingga pagi;

Marilah kita menikmati asmara bersama-sama,

19 Kerana suamiku tiada di rumah;

Dia telah pergi ke tempat yang jauh.

20 Dia membawa sekantung wang bersamanya,

Dan dia tidak akan pulang sehingga bulan purnama.”

21 Perempuan itu memperdayakan pemuda itu dengan pujukan.+

Dia menggoda pemuda itu dengan kata-kata yang memikat hati.

22 Tanpa berfikir, pemuda itu mengikutnya; pemuda itu bagaikan seekor lembu yang akan disembelih,

Dan bagaikan orang* yang tidak dapat terlepas daripada hukuman kerana dibelenggu.+

23 Akhirnya anak panah akan menembusi hati pemuda itu;

Dia seperti seekor burung yang masuk ke dalam perangkap; dia tidak tahu bahawa nyawanya terancam.+

24 Sekarang, hai anak-anakku, dengarkanlah nasihatku;

Berikanlah perhatian kepada kata-kataku.

25 Janganlah biarkan hatimu terpikat sehingga mengikut haluan perempuan itu,

Dan janganlah menyimpang ke jalannya,+

26 Kerana dia telah menyebabkan banyak nyawa terkorban;+

Jumlah orang yang dibunuhnya tidak terkira banyaknya.+

27 Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke Kuburan.*

Ya, jika kamu pergi ke sana, kamu menuju ke tempat orang mati.

8 Bukankah kebijaksanaan sedang memanggil?

Bukankah pengertian sedang berseru?+

 2 Kebijaksanaan berada di tempat-tempat tinggi,+

Di tepi jalan, dan di simpang jalan.

 3 Di pintu masuk kota

Dan di pintu-pintu gerbang,

Kebijaksanaan terus berseru dengan kuat:+

 4 “Hai umat manusia, aku sedang memanggil kamu;

Aku melantangkan suaraku kepada semua orang.

 5 Hai orang yang tidak berpengalaman, dapatkanlah kebijaksanaan;+

Hai orang bodoh, perolehlah hati yang berpengertian.

 6 Dengarkanlah kata-kataku, kerana apa yang aku katakan itu penting.

Semua yang aku ucapkan itu tepat,

 7 Kerana mulutku mengatakan kebenaran,

Dan aku muak terhadap apa yang jahat.

 8 Segala yang aku katakan itu benar;

Tiada satu pun yang berputar belit atau memperdayakan.

 9 Semua yang aku katakan mudah difahami oleh orang yang berpengertian,

Dan segala yang aku ucapkan benar bagi orang yang berpengetahuan.

10 Terimalah ajaranku* dan bukannya perak;

Terimalah pengetahuan dan bukannya emas tulen,+

11 Kerana kebijaksanaan lebih bernilai daripada batu permata;

Segala yang kamu idamkan tidak dapat menandinginya.

12 Akulah kebijaksanaan; aku memiliki pengertian.

Aku mempunyai pengetahuan dan daya pemikiran.+

13 Takut akan Yehuwa bererti membenci apa yang jahat.+

Aku membenci kesombongan, keangkuhan,+ haluan jahat, dan kata-kata keji.+

14 Aku memberikan hikmat dan nasihat yang baik;+

Pemahaman+ dan kuasa+ merupakan milikku.

15 Aku membantu raja-raja memerintah,

Dan menolong pegawai tinggi menetapkan hukum yang adil.+

16 Dengan pertolonganku, para penguasa terus memerintah,

Dan dengan bantuanku, para pembesar menghakimi dengan saksama.

17 Aku mencintai orang yang mengasihiku;

Orang yang mencariku akan menjumpaiku.+

18 Aku mempunyai kekayaan dan kemewahan yang berkekalan;

Aku mempunyai kemuliaan dan keadilan.

19 Apa yang aku berikan lebih bernilai daripada emas, bahkan lebih berharga daripada emas tulen;

Apa yang kamu terima daripadaku lebih berharga daripada perak murni.+

20 Aku berjalan di haluan yang benar

Dan di tengah-tengah jalan yang adil;

21 Aku mengurniakan warisan yang berharga kepada orang yang mengasihiku,

Dan aku memenuhi gudang-gudang mereka.

22 Yehuwa mencipta aku sebagai permulaan karya-Nya.+

Akulah hasil ciptaan-Nya yang pertama sejak dahulukala.+

23 Aku diciptakan sejak zaman purbakala,+

Sejak permulaan, sebelum bumi ini dibentuk.+

24 Aku dilahirkan sebelum lautan wujud,+

Sebelum air melimpah dari sumber-sumber air.

25 Aku dijadikan sebelum bukit bukau dibentuk,

Sebelum gunung-ganang diciptakan,

26 Sebelum Tuhan membentuk bumi dan padang-padangnya,

Bahkan sebelum gumpalan tanah yang pertama dijadikan.

27 Aku berada di sisi-Nya semasa Dia membentangkan langit,+

Ketika Dia menetapkan batas pada permukaan air,+

28 Semasa Dia membentuk awan di langit,

Dan sewaktu Dia memenuhi lautan dengan air.

29 Apabila Dia menetapkan batas bagi lautan,

Air tidak boleh melintasi batas itu selaras dengan perintah-Nya.+

Ketika Dia mendirikan asas bumi,

30 Aku berada di samping-Nya sebagai jurubina yang mahir.+

Hari demi hari, akulah sumber kebahagiaan-Nya;+

Aku sentiasa bergembira di hadirat-Nya;+

31 Aku senang hati apabila melihat bumi yang diciptakan-Nya,

Dan yang paling aku sukai ialah manusia.

32 Sekarang, hai anak-anakku, dengarkanlah kata-kataku;

Berbahagialah orang yang mengikut haluanku.

33 Dengarkanlah ajaranku*+ dan jadilah bijak;

Janganlah abaikan ajaranku.

34 Berbahagialah orang yang mendengarkan ajaranku,

Yang datang awal ke pintuku setiap hari,

Dan yang menunggu dekat pintu masuk rumahku,

35 Kerana orang yang menjumpaiku akan memperoleh hidup,+

Dan dia akan mendapat perkenan Yehuwa.

36 Tetapi orang yang tidak mempedulikan aku, mencelakakan dirinya,

Dan orang yang membenciku, mencintai maut.”+

9 Kebijaksanaan sejati telah membina rumahnya;

Dia telah mendirikan tujuh batang tiang bagi rumah itu.

 2 Dia telah menyembelih ternakannya,

Dia telah mencampurkan wainnya dengan rempah,

Dan dia juga telah menyajikan hidangan di atas mejanya.

 3 Dia telah mengutus hamba-hamba perempuannya

Untuk berseru di tempat-tempat yang tinggi di kota,+

 4 “Hai orang yang kurang pengalaman, datanglah ke mari!”

Kebijaksanaan berkata kepada mereka yang kurang pengertian,*

 5 “Marilah dan makanlah rotiku.

Minumlah wain yang telah aku sediakan.

 6 Jika kamu ingin hidup, janganlah menjadi* orang yang kurang pengertian;*+

Ikutlah haluan orang yang mempunyai pemahaman.”+

 7 Jika kamu membetulkan orang yang suka menghina, kamu akan mendapat malu;+

Jika kamu menegur orang yang jahat, kamu akan mendapat celaka.

 8 Jangan menegur orang yang suka mencemuh kerana dia akan membencimu.+

Tetapi jika kamu menegur orang yang bijaksana, dia akan mengasihimu.+

 9 Ajarlah orang yang bijaksana, dan dia akan menjadi lebih bijaksana.+

Bimbinglah orang yang baik, dan pengetahuannya akan bertambah.

10 Untuk memperoleh kebijaksanaan, pertama-tama kamu mesti takut dan hormat kepada Yehuwa.+

Pengetahuan tentang Tuhan Yang Maha Suci+ memberimu pemahaman.

11 Dengan adanya kebijaksanaan, jangka hayatmu akan bertambah,+

Dan kamu akan panjang umur.

12 Jika kamu mempunyai hikmat, kamu sendiri akan mendapat faedah.

Tetapi jika kamu suka mengejek orang, kamu sendiri akan menanggung akibatnya.

13 Seorang wanita yang bodoh selalu buat bising;+

Otaknya kosong dan dia tidak tahu apa-apa.

14 Dia duduk di depan pintu rumahnya

Yang terletak di tempat yang tinggi di kota.+

15 Dia memanggil orang yang lalu-lalang,

Dan berseru kepada mereka yang berjalan di sana,

16 “Hai orang yang kurang pengalaman, masuklah ke sini!”

Dia berkata kepada orang yang kurang pengertian,*+

17 “Minuman yang dicuri manis rasanya,

Dan makanan yang dimakan secara sembunyi-sembunyi sedap sekali.”+

18 Tetapi mereka tidak sedar bahawa orang yang masuk ke dalam rumahnya akan mati;

Para tetamu yang telah diundangnya berada di dasar Kuburan.*+

10 Amsal-amsal* Salomo:+

Anak yang bijak membuat bapanya gembira,+

Tetapi anak yang bodoh menyebabkan ibunya sedih.

 2 Harta yang diperoleh dengan tipu muslihat tidak membawa manfaat,

Tetapi kebaikan menyelamatkan orang daripada kematian.+

 3 Yehuwa tidak akan membiarkan orang baik kelaparan,+

Dan Dia tidak akan memuaskan keinginan orang jahat.

 4 Orang malas akan jatuh miskin,+

Tetapi orang rajin akan menjadi kaya.+

 5 Anak yang mengumpulkan hasil tanaman pada musim panas, bertindak dengan pengertian,

Tetapi anak yang tidur nyenyak semasa musim menuai, memalukan diri sendiri.+

 6 Orang baik akan mendapat perkenan orang lain;+

Orang jahat menyembunyikan kekejaman di sebalik kata-kata mereka.

 7 Orang baik akan sentiasa diberkati dan dikenang,+

Tetapi nama orang jahat akan dilupakan.+

 8 Orang bijak akan menerima tunjuk ajar,+

Tetapi orang yang suka merepek akan binasa.+

 9 Orang jujur akan berjalan dengan selamat,+

Tetapi orang yang suka memperdaya akhirnya akan ketahuan.+

10 Orang licik yang suka menipu menyebabkan orang menderita.+

Orang yang mengucapkan kata-kata yang bodoh akan menerima akibatnya.+

11 Kata-kata orang baik ialah sumber kesegaran,*+

Tetapi di sebalik kata-kata orang jahat tersembunyi kekejaman.+

12 Kebencian menimbulkan pertengkaran,

Tetapi kasih mengampunkan* segala kesalahan.+

13 Orang yang berpengertian akan mengucapkan kata-kata yang bijak;+

Orang yang bodoh* akan dihukum dengan rotan.+

14 Orang bijak menghargai pengetahuan,+

Tetapi orang bodoh mengakibatkan kebinasaan dengan kata-katanya.+

15 Kekayaan merupakan kota yang bertembok bagi orang kaya,

Tetapi kemiskinan ialah kemusnahan bagi orang miskin.+

16 Perbuatan baik mendatangkan kehidupan,

Tetapi perbuatan jahat mengakibatkan dosa.+

17 Orang yang menerima disiplin membantu orang lain menuju ke jalan kehidupan,*

Tetapi orang yang menolak teguran menyebabkan orang lain menyimpang daripada haluan yang benar.

18 Orang yang menyembunyikan kebenciannya ialah pendusta,+

Dan orang yang memfitnah* ialah orang bodoh.

19 Orang yang bercakap banyak pasti akan berdosa,+

Tetapi orang yang mengawal bibirnya bertindak dengan bijak.+

20 Lidah orang baik bagaikan perak yang murni,+

Tetapi hati orang jahat sedikit nilainya.

21 Orang baik membimbing banyak orang dengan kata-katanya,+

Tetapi orang bodoh mati kerana kurang pengertian.+

22 Berkat Yehuwalah yang menjadikan seseorang kaya,+

Dan berkat-Nya tidak disertai kepedihan hati.*

23 Orang bodoh menganggap perbuatan yang memalukan seperti permainan,

Tetapi orang yang berpengertian akan mengejar kebijaksanaan.+

24 Orang jahat akan ditimpa perkara yang ditakutinya,

Tetapi orang baik akan mendapat perkara yang diinginkannya.+

25 Apabila ribut melanda, orang jahat akan lenyap,+

Tetapi orang baik bagaikan asas yang tetap kukuh selamanya.+

26 Seperti cuka pada gigi dan asap pada mata,

Demikianlah orang yang malas bagi majikannya.

27 Orang yang takut kepada Yehuwa akan berumur panjang,+

Tetapi umur orang jahat akan dipendekkan.+

28 Harapan orang baik kelak mendatangkan sukacita,+

Tetapi harapan orang jahat akhirnya akan musnah.+

29 Haluan Yehuwa bagaikan perlindungan bagi orang yang tidak bercela+

Tetapi mendatangkan kehancuran bagi orang yang berbuat jahat.+

30 Orang baik akan tetap hidup aman sentosa,+

Tetapi orang jahat tidak akan dibiarkan hidup di bumi.+

31 Mulut orang baik akan mengucapkan kata-kata yang bijak,

Tetapi mulut orang keji akan dibungkam selama-lamanya.

32 Orang baik mengucapkan kata-kata yang menyenangkan,

Tetapi orang jahat mengucapkan kata-kata yang keji.

11 Yehuwa membenci orang yang menipu dengan timbangan,

Tetapi Dia berkenan kepada orang yang menggunakan timbangan yang tepat.+

 2 Di mana ada keangkuhan,* di situ ada kehinaan,+

Tetapi kebijaksanaan ada pada orang yang rendah hati.+

 3 Orang yang baik dibimbing oleh kesetiaan,+

Tetapi orang yang licik dimusnahkan kerana tidak berlaku setia.+

 4 Kekayaan tidak berguna pada hari kemurkaan,+

Tetapi perbuatan baik dapat menyelamatkan orang daripada kematian.+

 5 Haluan orang yang tidak bercela akan lurus kerana kebaikannya,

Tetapi orang yang jahat akan tersandung kerana kejahatannya.+

 6 Orang yang tulus hati selamat kerana berbuat baik,+

Tetapi orang yang licik akan diperangkap oleh keinginannya.+

 7 Apabila orang jahat mati, harapannya hilang;

Dan keyakinannya terhadap kekuatannya sendiri juga lenyap.+

 8 Orang baik diselamatkan daripada kesusahan,

Dan orang jahat akan menggantikan tempatnya.+

 9 Percakapan orang murtad membinasakan orang lain,

Tetapi pengetahuan dapat menyelamatkan orang yang baik.+

10 Perbuatan baik yang dilakukan orang baik menyebabkan seluruh kota bersuka ria,

Dan kemusnahan orang jahat menyebabkan orang bersorak dengan gembira.+

11 Berkat orang baik menyebabkan sebuah kota menjadi masyhur,+

Tetapi mulut orang jahat menyebabkan kota itu runtuh.+

12 Orang yang kurang daya pertimbangan menghina orang lain,

Tetapi orang yang benar-benar berpengertian berdiam diri.+

13 Seorang pemfitnah membongkar rahsia orang lain,+

Tetapi orang yang dapat dipercayai menyimpan rahsia.

14 Tanpa bimbingan yang baik, orang akan gagal,

Tetapi dengan adanya banyak penasihat, orang akan berjaya.*+

15 Orang yang menjadi penjamin hutang untuk seseorang yang tidak dikenali tentu mendapat padah,+

Tetapi orang yang tidak membuat persetujuan sedemikian akan selamat.

16 Wanita yang baik budi memperoleh kemuliaan yang berkekalan,+

Tetapi lelaki yang kejam hanya mendapat kekayaan yang sementara.

17 Orang yang baik hati menguntungkan diri sendiri,+

Tetapi orang yang zalim merugikan* diri sendiri.+

18 Orang jahat mendapat upah yang tidak berkekalan,+

Tetapi orang yang berbuat baik menerima berkat yang sejati.+

19 Orang yang berpegang teguh pada apa yang benar menuju kehidupan,+

Tetapi orang yang mengejar kejahatan menuju kematian.

20 Orang yang busuk hati dibenci oleh Yehuwa,+

Tetapi orang yang hidup tanpa cela dikasihi oleh-Nya.+

21 Yakinlah bahawa orang jahat pasti dihukum,+

Tetapi keturunan orang baik akan diselamatkan.

22 Kecantikan pada wanita yang tidak berpengertian

Ibarat cincin emas pada hidung babi.

23 Keinginan orang yang lurus hati menghasilkan kebaikan,+

Tetapi apa yang didambakan oleh orang jahat membawa kemurkaan.

24 Orang yang murah hati akan menjadi kaya,+

Tetapi orang yang kedekut akan menjadi miskin.+

25 Orang yang murah hati akan menjadi makmur,+

Dan orang yang menyegarkan orang lain akan disegarkan.+

26 Orang yang enggan menjual biji-bijian kepada orang lain akan dikutuk,

Tetapi orang yang menjualnya akan diberkati.

27 Orang yang rajin berbuat baik berusaha mendapat perkenan Tuhan,*+

Tetapi orang yang mengejar kejahatan pasti ditimpa kejahatan.+

28 Orang yang bergantung pada kekayaannya akan jatuh,+

Tetapi orang baik akan menjadi makmur seperti dedaun yang subur.+

29 Sesiapa yang mendatangkan malu* kepada keluarganya, tidak akan mewarisi apa-apa,+

Dan orang bodoh akan menjadi hamba kepada orang yang bijak.

30 Kelakuan orang baik seperti pokok kehidupan,+

Dan orang yang bijak menggalakkan orang lain untuk berbuat baik.+

31 Sesungguhnya, jika orang yang baik di bumi menerima ganjaran,

Sudah pasti orang jahat dan pendosa akan menerima balasan!+

12 Orang yang mencintai didikan,* mencintai pengetahuan,+

Tetapi orang yang membenci teguran tidak berakal.+

 2 Orang baik diperkenankan oleh Yehuwa,

Tetapi orang yang merancang kejahatan dikutuk oleh-Nya.+

 3 Orang yang mengamalkan kejahatan tidak akan berasa selamat,+

Tetapi orang baik seperti akar yang tidak dapat dicabut.

 4 Isteri yang cekap ibarat mahkota bagi suaminya,+

Tetapi isteri yang memalukan suaminya bagaikan penyakit yang mereputkan tulang suaminya.+

 5 Orang baik memikirkan perkara yang adil,

Tetapi orang jahat memberikan nasihat yang penuh tipu muslihat.

 6 Kata-kata orang jahat seperti jerat yang membawa maut,+

Tetapi kata-kata orang baik mendatangkan penyelamatan.+

 7 Apabila orang jahat dibinasakan, mereka tidak wujud lagi,

Tetapi rumah orang baik tidak akan runtuh.+

 8 Seseorang dipuji kerana kata-katanya yang bijak,+

Tetapi orang yang busuk hati akan dihina.+

 9 Lebih baik menjadi orang biasa yang memiliki seorang hamba,

Daripada meninggikan diri tetapi kelaparan.+

10 Orang baik menjaga binatang peliharaannya,+

Tetapi belas kasihan orang jahat itu kejam.

11 Orang yang rajin mengusahakan tanahnya mendapat banyak makanan,+

Tetapi orang yang kurang pengertian mengejar perkara yang sia-sia.

12 Orang jahat menginginkan barang jarahan orang keji,

Tetapi orang baik bagaikan pokok yang menghasilkan buah.

13 Orang jahat terjerat oleh kata-kata mereka yang berdosa,+

Tetapi orang baik akan terlepas daripada kesusahan.

14 Seseorang menikmati hasil yang baik kerana kata-katanya,+

Dan dia akan diberkati kerana hasil usahanya.

15 Orang bodoh menganggap diri mereka benar,+

Tetapi orang bijak menerima nasihat.+

16 Orang bodoh lekas menunjukkan kemarahannya,+

Tetapi orang bijak tidak menghiraukan hinaan.

17 Saksi yang setia mengatakan apa yang benar,

Tetapi saksi yang palsu mengucapkan dusta.

18 Kata-kata yang melulu ibarat tikaman pedang,

Tetapi kata-kata orang yang bijak dapat menyembuhkan orang lain.+

19 Kata-kata yang benar kekal selama-lamanya,+

Tetapi kata-kata dusta hanya untuk sementara.+

20 Orang yang merancang kejahatan mempunyai hati yang penuh dengan tipu daya,

Tetapi orang yang berusaha mewujudkan kedamaian memperoleh sukacita.+

21 Orang baik tidak akan ditimpa bahaya,+

Tetapi orang jahat akan selalu ditimpa malapetaka.+

22 Yehuwa membenci orang yang berbohong,+

Tetapi Dia menyukai orang yang setia.

23 Orang bijak tidak menunjukkan* pengetahuan mereka,

Tetapi orang bebal mengumumkan kebodohan mereka.+

24 Orang rajin akan menjadi orang berkuasa,+

Tetapi orang malas akan dipaksa menjadi hamba.+

25 Kekhuatiran menyebabkan orang tertekan,+

Tetapi kata-kata yang membina dapat menghiburkan hati.+

26 Orang baik memeriksa padang rumput mereka sendiri,

Tetapi orang jahat menyebabkan diri mereka sendiri menjadi sesat.

27 Kemalasan membuat seseorang tidak mahu keluar memburu,+

Tetapi kerajinan merupakan harta yang berharga bagi seseorang.

28 Haluan yang benar menuju kehidupan,+

Dan orang yang mengikut haluan itu tidak akan menemui maut.

13 Anak yang bijak menerima disiplin bapanya,+

Tetapi orang yang angkuh* tidak mendengarkan teguran.+

 2 Seseorang menikmati hasil yang baik kerana kata-katanya;+

Orang yang licik suka akan keganasan.

 3 Orang yang menjaga mulutnya,* memelihara nyawanya,+

Tetapi orang yang tidak mengawal mulutnya akan binasa.+

 4 Orang yang malas mempunyai banyak keinginan, namun tidak memiliki apa-apa pun,+

Tetapi orang yang rajin akan menikmati segala hasil usahanya sehingga puas.+

 5 Orang baik membenci dusta,+

Tetapi orang jahat melakukan perkara yang memalukan dan membawa aib.

 6 Kebaikan melindungi orang yang haluannya tidak bercela,+

Tetapi kejahatan memusnahkan orang yang berdosa.

 7 Ada orang yang berpura-pura kaya padahal tidak memiliki apa-apa;+

Ada pula yang berpura-pura miskin padahal kaya-raya.

 8 Orang kaya harus menggunakan kekayaannya untuk menebus nyawanya,+

Tetapi orang miskin hidup aman tanpa sebarang ancaman.+

 9 Cahaya orang baik bersinar terang,+

Tetapi pelita orang jahat akan padam.+

10 Keangkuhan* hanya mencetuskan persengketaan,+

Tetapi kebijaksanaan milik orang yang meminta nasihat.*+

11 Kekayaan yang diperoleh dengan mudah, cepat habis,+

Tetapi kekayaan yang dikumpulkan sedikit demi sedikit akan bertambah.

12 Harapan yang tidak tercapai memedihkan hati,+

Tetapi hasrat yang tercapai mendatangkan kesegaran dan sukacita.*+

13 Orang yang membenci tunjuk ajar akan menanggung akibatnya,+

Tetapi orang yang menghormati hukum akan diberkati.+

14 Ajaran orang bijak memberikan kehidupan+

Dan dapat menyelamatkan seseorang daripada jerat maut.

15 Orang yang berpengertian akan disenangi orang,

Tetapi hidup orang yang licik sarat dengan kesusahan.

16 Orang bijak bertindak berdasarkan pengetahuan;+

Orang bodoh mendedahkan kebodohan dirinya sendiri.+

17 Utusan yang jahat mendatangkan kesusahan,+

Tetapi utusan yang setia membawa kebaikan.+

18 Orang yang mengabaikan disiplin akan dihina dan menjadi miskin,

Tetapi orang yang menerima teguran akan dimuliakan.+

19 Hasrat yang tercapai menyenangkan jiwa;+

Orang bodoh enggan berpaling daripada kejahatan.+

20 Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak,+

Tetapi orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.+

21 Orang yang berdosa diekori kesusahan,+

Tetapi orang yang berbuat benar diberkati dengan kemakmuran.+

22 Orang baik meninggalkan harta untuk diwarisi cucunya,

Tetapi harta pendosa akan menjadi milik orang yang melakukan apa yang benar.+

23 Ladang orang miskin menghasilkan banyak makanan,

Tetapi ladang itu mungkin dirampas* kerana ketidakadilan.

24 Sesiapa yang tidak mendisiplinkan* anaknya membenci anaknya,+

Tetapi orang yang mengasihi anaknya mendisiplinkan anaknya.*+

25 Orang baik makan dan memuaskan seleranya,+

Tetapi orang jahat akan kelaparan.+

14 Wanita yang benar-benar bijak membina rumah tangganya,+

Tetapi wanita yang bodoh meruntuhkan rumah tangganya dengan tangannya sendiri.

 2 Orang yang mengikut haluan yang benar takut akan Yehuwa,

Tetapi orang yang jalannya berbelat-belit* membenci-Nya.

 3 Kata-kata orang bijak akan melindungi mereka,

Tetapi kata-kata angkuh orang bodoh menimbulkan kesusahan.*

 4 Tanpa lembu, kandang akan bersih,

Tetapi dengan kekuatan lembu, hasil yang melimpah akan dituai.

 5 Saksi yang setia tidak akan berbohong,

Tetapi saksi yang palsu terus-menerus menipu.+

 6 Orang yang angkuh* mencari kebijaksanaan tetapi tidak menjumpainya,

Namun orang yang berpengertian memperoleh pengetahuan dengan mudah.+

 7 Jauhkanlah diri daripada orang bodoh,

Kerana kamu tidak akan memperoleh pengetahuan daripadanya.+

 8 Orang yang cerdik mengetahui hala tujunya kerana dia mempunyai kebijaksanaan,

Tetapi orang bodoh diperdaya oleh* kebodohan mereka sendiri.+

 9 Orang bodoh tidak menghiraukan perasaan bersalah,*+

Tetapi orang baik sudi berdamai.

10 Kedukaan seseorang dirasakannya sendiri,

Dan tiada sesiapa pun yang benar-benar dapat merasai sukacitanya.

11 Rumah orang jahat akan dimusnahkan,+

Tetapi khemah orang baik akan menjadi makmur.

12 Ada jalan yang disangka baik oleh seseorang,+

Tetapi akhirnya jalan itu menuju kematian.+

13 Di sebalik gelak ketawa, hati mungkin terasa pedih,

Dan sukacita mungkin berakhir dengan dukacita.

14 Orang baik menuai berkat daripada perbuatannya,+

Tetapi orang yang tidak setia akan menuai akibat daripada haluannya.+

15 Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang,

Tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.+

16 Orang bijak berwaspada dan berpaling daripada kejahatan,

Tetapi orang bodoh bersikap cuai* dan terlalu yakin.

17 Orang yang lekas marah bertindak dengan bodoh,+

Tetapi orang yang menggunakan keupayaan untuk berfikir dibenci.

18 Orang yang tidak berpengalaman pasti akan bertindak bodoh,

Tetapi orang yang bijak dikurniai pengetahuan.+

19 Orang yang keji terpaksa bersujud di hadapan orang baik,

Dan orang jahat akan bersujud di pintu gerbang orang yang melakukan apa yang benar.

20 Orang miskin dibenci bahkan oleh kawannya sendiri,+

Tetapi orang kaya mempunyai banyak sahabat.+

21 Seseorang berdosa jika dia membenci orang lain,

Tetapi seseorang akan bergembira jika dia berbelas kasihan terhadap orang yang lemah.+

22 Sesungguhnya orang yang merancang kejahatan akan disesatkan,

Tetapi orang yang suka berbuat baik akan dikasihi* dan dipercayai.+

23 Setiap kerja keras membawa kebaikan,

Tetapi kata-kata kosong menyebabkan orang berkekurangan.+

24 Kebijaksanaan bagaikan mahkota dan kekayaan bagi orang yang bijak,

Tetapi kebodohan orang yang dungu mengakibatkan lebih banyak perbuatan yang bodoh.+

25 Saksi yang benar menyelamatkan nyawa,

Tetapi saksi yang tidak jujur suka menipu.

26 Orang yang takut akan Yehuwa, mempercayai-Nya dengan sepenuh hati,+

Dan anak-anak orang sedemikian akan mendapat perlindungan.+

27 Takut akan Yehuwa merupakan sumber kehidupan,

Kerana seseorang dapat menghindari jerat maut.

28 Rakyat yang banyak menjadi keagungan raja;+

Tanpa rakyat berakhirlah kuasa pemerintah.

29 Orang yang sangat berpengertian lambat naik marah,+

Tetapi orang yang cepat marah mempamerkan kebodohannya.+

30 Hati yang tenang menyihatkan badan,

Tetapi kecemburuan bagaikan penyakit yang mereputkan tulang.+

31 Orang yang memperdaya orang miskin menghina Penciptanya,+

Tetapi orang yang berbelas kasihan terhadap orang miskin memuliakan Penciptanya.+

32 Orang jahat akan binasa kerana kejahatannya sendiri,

Tetapi orang baik akan dilindungi kerana kesetiaannya.+

33 Orang yang berpengertian menyimpan kebijaksanaan dalam hatinya,+

Tetapi orang yang bodoh suka mempamerkan apa yang diketahuinya.

34 Sebuah bangsa menjadi makmur jika rakyatnya berbuat baik,+

Tetapi segenap rakyat akan mendapat malu jika ada yang berdosa.

35 Raja menyenangi hamba yang bertindak dengan pemahaman,+

Tetapi dia murka terhadap orang yang melakukan perbuatan yang memalukan.+

15 Jawapan yang lemah lembut meredakan kemarahan,+

Tetapi kata-kata yang pedas* membangkitkan kemurkaan.+

 2 Orang bijak berkata-kata berdasarkan pengetahuan,+

Tetapi orang bebal mengucapkan kata-kata yang bodoh.

 3 Yehuwa nampak apa yang berlaku di merata tempat;

Dia memerhatikan orang baik dan orang jahat.+

 4 Kata-kata yang menenangkan bagaikan pokok kehidupan,+

Tetapi kata-kata yang berputar belit mematahkan semangat.

 5 Orang bodoh meremehkan disiplin bapanya,+

Tetapi orang bijak menerima teguran.+

 6 Rumah orang baik mengandungi banyak harta,

Tetapi apa yang diperoleh orang jahat mendatangkan kesusahan kepada dirinya sendiri.+

 7 Orang bijak menyebarkan pengetahuan,+

Tetapi orang bodoh tidak berminat untuk berbuat demikian.+

 8 Korban orang jahat dibenci oleh Yehuwa,+

Tetapi doa orang baik diperkenankan-Nya.+

 9 Yehuwa sangat membenci orang jahat dan haluan mereka,+

Tetapi Dia mengasihi orang yang berusaha melakukan apa yang benar.+

10 Disiplin nampaknya buruk* bagi orang yang meninggalkan haluan yang benar,+

Dan orang yang membenci teguran akan mati.+

11 Kuburan* dan jurang kemusnahan* terbentang di depan mata Yehuwa,+

Apatah lagi hati manusia!+

12 Orang yang angkuh* tidak mengasihi orang yang menegurnya;*+

Dia tidak akan meminta nasihat daripada orang bijak.+

13 Hati yang gembira membuat wajah berseri-seri,

Tetapi kepedihan hati mematahkan semangat.+

14 Orang yang mempunyai hati yang berpengertian mencari pengetahuan,+

Tetapi orang yang bodoh mengejar kebodohan.+

15 Bagi orang yang menderita,* kehidupan sentiasa dipenuhi kesengsaraan,+

Tetapi bagi orang yang ceria, kehidupan sentiasa dipenuhi kegembiraan.*+

16 Lebih baik berkekurangan dan takut akan Yehuwa,+

Daripada berkelimpahan dan berasa khuatir.+

17 Lebih baik makan sayur tetapi disertai kasih,+

Daripada makan daging lembu yang gemuk tetapi disertai kebencian.+

18 Orang yang panas baran menimbulkan persengketaan,+

Tetapi orang yang lambat marah meredakan pertengkaran.+

19 Jalan orang malas seperti semak berduri,+

Tetapi haluan orang yang tulus hati seperti jalan yang rata.+

20 Anak yang bijak menyenangkan hati bapanya,+

Tetapi anak yang bodoh menghina ibunya.+

21 Orang yang kurang pengertian suka akan kebodohan,+

Tetapi orang yang mempunyai daya penilaian mengikut haluan yang betul.+

22 Rancangan gagal jika tiada perbincangan,

Tetapi rancangan berjaya jika disertai banyak penasihat.+

23 Seseorang bersukacita kerana mengucapkan kata-kata yang baik;+

Alangkah baiknya kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya!+

24 Orang yang berpengertian mengambil jalan mendaki yang menuju kehidupan,+

Dan menghindari jalan yang turun ke Kuburan.*+

25 Yehuwa akan merobohkan rumah orang yang angkuh,+

Tetapi Dia akan melindungi sempadan tanah seorang balu.+

26 Yehuwa amat membenci rancangan orang jahat,+

Tetapi Dia suka akan kata-kata yang menyenangkan.+

27 Orang yang mengaut keuntungan secara tidak jujur membawa padah* kepada rumah tangganya,+

Tetapi orang yang membenci rasuah akan terus hidup.+

28 Orang baik berfikir secara mendalam sebelum menjawab,*+

Tetapi orang jahat mengucapkan kata-kata yang keji.

29 Yehuwa jauh daripada orang yang berbuat jahat,

Tetapi Dia mendengar doa orang yang berbuat benar.+

30 Wajah yang berseri-seri menggembirakan hati;

Berita yang baik memberikan semangat.+

31 Orang yang mendengarkan teguran yang membawa kehidupan,

Tergolong bersama orang yang bijak.+

32 Orang yang menolak disiplin tidak menghargai nyawanya,+

Tetapi orang yang mendengarkan teguran akan memperoleh pengertian.+

33 Rasa takut akan Yehuwa melatih seseorang menjadi bijak,+

Dan kerendahan hati akan mendatangkan kemuliaan.+

16 Manusia mempersiapkan kata-kata* dalam hatinya,

Tetapi apa yang akan diucapkannya* berasal daripada Yehuwa.+

 2 Seseorang mungkin berfikir bahawa setiap perbuatannya betul,*+

Tetapi Yehuwalah yang akan memeriksa niat hatinya.+

 3 Serahkanlah segala usahamu kepada Yehuwa,+

Maka rancanganmu akan berjaya.

 4 Yehuwa dapat memastikan agar segala-galanya berlaku sesuai dengan tujuan-Nya,

Dan Dia juga memastikan agar orang jahat akan dimusnahkan pada hari pembinasaan.+

 5 Orang yang sombong sangat dibenci oleh Yehuwa;+

Orang sedemikian pasti tidak akan terlepas daripada hukuman.

 6 Seseorang yang setia dan baik hati* akan mengampunkan kesalahan orang lain;+

Seseorang yang takut akan Yehuwa akan berpaling daripada kejahatan.+

 7 Apabila Yehuwa senang hati dengan haluan seseorang,

Dia menyebabkan musuh orang itu berdamai dengannya.+

 8 Lebih baik miskin namun melakukan apa yang benar,+

Daripada kaya tetapi tidak jujur.+

 9 Seseorang mungkin merancang haluannya dalam hati,

Tetapi Yehuwalah yang akan membimbing langkahnya.+

10 Seorang raja harus menyampaikan keputusan Tuhan;+

Dia sama sekali tidak boleh memutarbalikkan keadilan.+

11 Yehuwa menghendaki timbangan dan ukuran yang tepat;

Dia menentukan piawaian yang harus diikuti semasa menggunakan timbangan.+

12 Raja harus membenci amalan yang jahat,+

Kerana keadilan ialah asas takhta yang kukuh.+

13 Para raja senang hati dengan kata-kata yang baik;

Mereka mengasihi orang yang bercakap benar.+

14 Kemurkaan raja bagaikan utusan yang membawa maut,+

Tetapi orang bijak akan meredakan kemurkaan itu.+

15 Seseorang akan hidup bahagia jika raja senang hati dengannya;

Perkenan raja ibarat awan yang menurunkan hujan pada musim bunga.+

16 Memperoleh kebijaksanaan jauh lebih bernilai daripada memperoleh emas,+

Dan mendapatkan pengertian lebih baik daripada mendapatkan perak.+

17 Orang yang baik menghindari jalan kejahatan;

Orang yang menjaga haluannya akan memelihara nyawanya.+

18 Kesombongan mengakibatkan kemusnahan,

Dan keangkuhan membawa kehancuran.+

19 Lebih baik bersikap rendah hati dan bergaul bersama orang yang lemah lembut,+

Daripada bergaul bersama orang sombong dan menerima bahagian barang rampasan mereka.

20 Orang yang memperlihatkan pengertian akan berjaya,

Dan orang yang percaya kepada Yehuwa akan berbahagia.

21 Orang bijak akan dikenali kerana mempunyai daya pemahaman,+

Dan orang yang bercakap dengan lemah lembut* dapat meyakinkan orang lain.+

22 Pemahaman bagaikan mata air kehidupan bagi orang yang memilikinya,

Tetapi kebodohan menyebabkan orang yang bebal dihukum.

23 Orang yang bijak memilih kata-katanya dengan cermat,+

Dan kata-katanya dapat meyakinkan orang.

24 Kata-kata yang menyenangkan bagaikan titisan madu

Yang manis rasanya dan menyihatkan badan.+

25 Ada jalan yang disangka baik oleh seseorang,

Tetapi akhirnya jalan itu menuju kematian.+

26 Rasa lapar menyebabkan seorang buruh bekerja keras;

Seleranya* mendorongnya untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh.+

27 Orang yang tidak berguna suka mencari keburukan orang;+

Kata-katanya ibarat api yang membakar.+

28 Orang yang suka menimbulkan masalah* menyebabkan perselisihan,+

Dan seorang pemfitnah memisahkan sahabat yang akrab.+

29 Orang yang ganas mempengaruhi orang lain untuk berbuat jahat;

Dia memimpin orang lain untuk menempuh haluan yang salah.

30 Dia mengenyitkan mata sambil merancang perkara yang keji;

Dia tersenyum semasa melakukan kejahatan.

31 Uban orang yang mengikut haluan yang benar+

Bagaikan mahkota yang indah dan mulia.+

32 Orang yang lambat marah+ lebih baik daripada orang yang perkasa,

Dan orang yang mengawal kemarahannya lebih baik daripada orang yang menawan sebuah kota.+

33 Seseorang mungkin membuang undi,+

Tetapi Yehuwalah yang akan menentukan keputusannya.+

17 Lebih baik makan sekeping roti kering dalam suasana yang aman damai,+

Daripada makan jamuan besar* di rumah yang penuh dengan pertengkaran.+

 2 Hamba yang berpengertian akan berkuasa atas anak tuannya yang mendatangkan malu;

Dia akan menerima warisan seperti anak-anak tuannya.

 3 Tembikar digunakan untuk memurnikan perak, dan relau digunakan untuk memurnikan emas,+

Tetapi Yehuwalah yang akan memeriksa hati manusia.+

 4 Orang jahat memberikan perhatian kepada kata-kata yang melukai orang,

Dan orang licik suka mendengar kata-kata yang menyakitkan.+

 5 Sesiapa yang mentertawakan orang miskin, menghina Penciptanya,+

Dan sesiapa yang bersukacita atas kesusahan orang lain akan dihukum.+

 6 Cucu bagaikan mahkota bagi orang tua,

Dan ibu bapa ialah kebanggaan anak-anak.

 7 Kata-kata yang benar tidak sesuai digunakan oleh orang bodoh,+

Dan kata-kata palsu tidak patut diucapkan oleh pemerintah.+

 8 Hadiah bagaikan batu permata bagi pemiliknya;+

Dengan hadiah itu, segala yang dilakukannya akan berhasil.+

 9 Orang yang mengampunkan kesalahan menunjukkan kasih,+

Tetapi orang yang asyik mengungkit kesalahan memutuskan persahabatan.+

10 Meskipun ditegur sekali sahaja, orang yang berpengertian mendapat lebih banyak iktibar+

Berbanding orang bodoh yang dipukul seratus kali.+

11 Orang jahat hanya suka memberontak,

Tetapi seseorang yang kejam akan diutus untuk menghukumnya.+

12 Lebih baik berhadapan dengan beruang yang kehilangan anaknya,

Daripada berjumpa dengan orang bebal yang bertindak bodoh.+

13 Jika seseorang membalas kebaikan dengan kejahatan,

Kejahatan tidak akan luput dari rumahnya.+

14 Memulakan pertengkaran bagaikan membuka pintu empangan;

Maka beredarlah sebelum perkelahian meletus.+

15 Yehuwa membenci sesiapa yang melepaskan orang jahat daripada hukuman.

Dia sangat membenci sesiapa yang menjatuhkan hukuman kepada orang baik.+

16 Apa gunanya jika orang bodoh mampu memperoleh kebijaksanaan

Tetapi tidak mempunyai keinginan untuk memperolehnya?*+

17 Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih;+

Sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.+

18 Orang yang kurang pengertian berjabat tangan sebagai tanda persetujuan

Untuk menjadi penjamin hutang orang lain di hadapan kawannya.+

19 Orang yang suka bertengkar cenderung berbuat dosa,+

Dan orang yang selalu bercakap besar mencari nahas.*+

20 Orang yang busuk hati tidak akan berjaya,+

Dan orang yang tidak bercakap benar akan mendapat celaka.

21 Anak yang bodoh akan menyebabkan bapanya sedih;

Anak yang tidak berakal akan membuat bapanya berdukacita.+

22 Hati yang gembira bagaikan ubat yang mujarab,+

Tetapi hati yang hancur mematahkan semangat.+

23 Orang jahat menerima rasuah secara diam-diam;

Dia memakan suap untuk memutarbalikkan keadilan.+

24 Matlamat orang yang bijak adalah untuk memperoleh kebijaksanaan,

Tetapi fikiran orang bodoh melayang sampai ke hujung bumi.+

25 Anak yang bodoh menyedihkan hati bapanya

Dan menyakiti hati ibunya.+

26 Tidak baik menghukum* orang yang melakukan apa yang benar

Atau memukul orang yang terhormat.

27 Orang yang berpengetahuan mengawal pertuturannya,+

Dan orang yang berpengertian sentiasa tenang.+

28 Orang bodoh yang berdiam diri mungkin akan dianggap bijak,

Dan orang yang menutup mulutnya pun mungkin akan dianggap berpengertian.

18 Orang yang mengasingkan diri, mementingkan keinginannya sendiri;

Orang sedemikian menolak* semua kebijaksanaan.

 2 Orang bodoh tidak suka akan pengertian;

Dia hanya ingin mengatakan pendapatnya sendiri.+

 3 Di mana ada orang jahat, di situ ada kebencian,

Dan di mana ada perbuatan yang memalukan, di situ ada kehinaan.+

 4 Kata-kata seseorang bagaikan air yang dalam;+

Kebijaksanaan seseorang seperti anak sungai yang mengalir.

 5 Tidak baik memihak kepada orang jahat+

Atau menghalang orang baik daripada menuntut keadilan.+

 6 Pertuturan orang bodoh mengakibatkan pertengkaran,+

Dan kata-katanya menyebabkan orang lain ingin memukulnya.+

 7 Mulut orang yang tidak berakal membinasakannya,+

Dan bibirnya menjadi seperti jerat bagi nyawanya.

 8 Kata-kata seorang pemfitnah bagaikan makanan yang enak,+

Dan orang menelannya dengan rakus.*+

 9 Orang yang malas bekerja

Ialah sahabat* orang yang suka merompak.+

10 Nama Yehuwa bagaikan menara yang kukuh;+

Ke sanalah orang yang baik* berlari dan mendapat perlindungan.+

11 Bagi orang yang kaya, kemewahannya bagaikan kota yang berkubu;

Dia menyangka bahawa* kekayaannya ialah tembok perlindungannya.+

12 Hati yang angkuh akan menyebabkan seseorang celaka,+

Tetapi kerendahan hati akan mendatangkan kemuliaan.+

13 Orang yang menjawab sebelum mendengar,

Bukan sahaja bodoh malah memalukan diri sendiri.+

14 Semangat dapat membantu seseorang menanggung derita penyakit,+

Tetapi jika seseorang patah semangat, dapatkah dia bertahan?+

15 Orang* yang berpengertian berusaha memperoleh pengetahuan,+

Dan orang* yang bijaksana berupaya mencari pengetahuan.

16 Hadiah membuka jalan bagi seseorang;+

Dengan hadiah itu, seseorang berpeluang berjumpa dengan orang yang ternama.

17 Orang yang pertama mengemukakan suatu perkara selalu nampaknya benar,+

Tetapi kebenaran akan diketahui setelah pihak yang lain datang dan memeriksa perkaranya.+

18 Membuang undi dapat mengakhiri pertikaian,+

Dan dapat menyelesaikan perbalahan antara orang yang berkuasa.

19 Lebih mudah menawan kota yang bertembok daripada mencuba menyenangkan hati saudara yang tersinggung;+

Ada pertengkaran yang susah dileraikan, sebagaimana pintu gerbang yang berpalang susah dibuka.+

20 Kata-kata yang diucapkan membawa kesan yang harus dirasakan;

Seseorang akan menuai akibat daripada apa yang diucapkannya.*+

21 Lidah boleh membawa kematian atau kehidupan;+

Sesiapa yang suka bercakap pasti merasakan kesan kata-katanya.+

22 Orang yang mendapat isteri yang baik,+

Mendapat sesuatu yang berharga dan memperoleh perkenan Yehuwa.+

23 Orang miskin memohon dengan sopan,

Tetapi orang kaya menjawab dengan kasar.

24 Ada sahabat-sahabat yang cenderung menghancurkan satu sama lain,+

Namun ada sahabat yang lebih karib daripada saudara kandung.+

19 Lebih baik menjadi orang miskin yang mengikut haluan benar,+

Daripada menjadi orang bodoh yang suka berdusta.+

 2 Tidak baik jika seseorang tiada pengetahuan;+

Orang yang bertindak terburu-buru akan berdosa.

 3 Seseorang menyimpang kerana kebodohan sendiri,

Lalu dia naik marah terhadap Yehuwa pula.

 4 Orang kaya mendapat banyak kawan,

Tetapi orang miskin ditinggalkan bahkan oleh sahabatnya sendiri.+

 5 Saksi palsu tidak akan bebas daripada hukuman,+

Dan orang yang suka menipu tidak akan dilepaskan.+

 6 Ramai orang berusaha mengambil hati bangsawan,*

Dan semua orang ingin bersahabat dengan orang yang suka memberikan hadiah.

 7 Orang miskin ditinggalkan oleh kawan-kawannya;+

Bahkan saudara-saudaranya membencinya.+

Dia berusaha untuk bercakap dengan mereka, tetapi tiada seorang pun yang mempedulikannya.

 8 Sesiapa yang berusaha memperoleh daya pertimbangan, mengasihi dirinya.+

Sesiapa yang menghargai pengertian akan mencapai kejayaan.+

 9 Saksi palsu tidak akan bebas daripada hukuman,

Dan orang yang suka berbohong akan dibinasakan.+

10 Sebagaimana orang bodoh tidak layak hidup mewah,

Seorang hamba tidak harus memerintah para penguasa.+

11 Orang yang berpengertian lambat naik marah,+

Dan dia dipuji kerana mengampunkan kesalahan.+

12 Kemurkaan raja bagaikan ngauman singa,+

Tetapi perkenannya umpama embun yang membasahi tumbuh-tumbuhan.

13 Anak yang bodoh mendatangkan kesusahan kepada bapanya,+

Dan isteri yang suka bertikam lidah* bagaikan atap yang bocor.+

14 Rumah dan kekayaan diwarisi daripada bapa,

Tetapi isteri yang bijaksana ialah kurniaan Yehuwa.+

15 Orang yang malas suka tidur,

Dan orang yang berat tulang akan kelaparan.+

16 Orang yang mematuhi hukum, memelihara nyawanya,+

Tetapi orang yang tidak mempedulikan haluan yang benar akan mati.+

17 Menunjukkan kebaikan kepada orang yang lemah sama seperti memberikan pinjaman kepada Yehuwa;+

Tuhan sendiri akan membalas kebaikan orang yang berbuat demikian.+

18 Disiplinkanlah anakmu selagi masih ada peluang;*+

Jika tidak, kamulah yang bertanggungjawab atas kematiannya.*+

19 Orang yang panas baran akan menanggung akibatnya;

Jika kamu mencuba menolongnya, kamu terpaksa menolongnya berulang kali.+

20 Dengarkanlah nasihat dan terimalah disiplin.+

Dengan demikian kamu akan menjadi bijaksana kelak.+

21 Manusia mempunyai banyak rancangan,

Tetapi kehendak* Yehuwalah yang akan terlaksana.+

22 Orang yang menunjukkan kasih setia akan disenangi.+

Lebih baik menjadi orang miskin daripada menjadi pembohong.

23 Rasa takut akan Yehuwa membawa kehidupan;+

Orang yang takut akan Tuhan dapat berehat dengan tenang dan bebas daripada malapetaka.+

24 Orang malas meletakkan tangannya ke dalam mangkuk,

Tetapi dia tidak mahu menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.+

25 Hukumlah orang yang suka mencemuh;+ orang yang tidak berpengalaman akan belajar daripadanya dan menjadi bijak.+

Tegurlah orang yang berpengertian agar pengetahuannya bertambah.+

26 Anak yang menganiaya bapanya akan mendatangkan malu,

Dan anak yang mengusir ibunya akan mendatangkan aib.+

27 Hai anakku, jika kamu berhenti mendengarkan tunjuk ajar,*

Kamu akan menyimpang daripada haluan yang bijak.

28 Saksi yang tidak berguna mentertawakan keadilan,+

Dan orang yang jahat menikmati kejahatan seperti menikmati makanan.+

29 Orang yang suka menghina akan dihukum,+

Dan orang yang bodoh akan disebat.+

20 Wain menyebabkan orang merepek,+ dan minuman keras menyebabkan orang hilang kawalan;+

Sesiapa yang minum arak sehingga menyimpang daripada haluan yang benar tidak bijak.+

 2 Rasa takut akan raja bagaikan takut akan ngauman singa;+

Sesiapa yang membangkitkan kemurkaan raja membahayakan diri.+

 3 Orang bodoh akan melibatkan diri dalam pertengkaran;+

Orang yang menghindari pertengkaran patut dipuji.+

 4 Orang malas tidak membajak semasa cuaca sejuk,

Maka dia terpaksa mengemis pada musim menuai kerana tidak mempunyai apa-apa.*+

 5 Fikiran* seseorang bagaikan air di perigi yang dalam,

Tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya.

 6 Banyak orang mengaku bahawa mereka mempunyai kasih setia,

Tetapi orang yang benar-benar setia sangat susah ditemui.

 7 Orang yang baik menunjukkan kesetiaan;*+

Berbahagialah anak-anaknya!+

 8 Apabila raja duduk di atas takhta penghakiman,+

Dia memeriksa segalanya dengan teliti agar dapat menghapuskan kejahatan.+

 9 Siapakah yang dapat berkata, “Aku telah memurnikan hatiku;+

Aku tidak lagi berdosa”?+

10 Yehuwa membenci orang yang menggunakan timbangan yang tidak tepat;

Dia murka terhadap orang yang menggunakan alat pengukur yang tidak tepat.+

11 Kelakuan seorang anak menunjukkan sama ada dia murni atau tidak.

Ya, perbuatannya membuktikan sama ada dia tulus atau tidak.+

12 Yehuwa menciptakan mata untuk melihat,

Dan telinga untuk mendengar.+

13 Janganlah suka tidur, supaya kamu tidak menjadi miskin.+

Bukalah matamu, lalu kamu akan menikmati banyak makanan.+

14 Orang yang membeli suka berkata, “Barang ini tidak bagus!”

Tetapi setelah membeli barang itu, dia bercakap besar tentang harga murah yang dibayarnya.+

15 Emas dan batu permata memang berharga,

Tetapi kata-kata yang mengandungi pengetahuan lebih bernilai daripada semua itu.+

16 Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang yang tidak dikenali, ambillah jubahnya;+

Dan jika dia menjalin hubungan dengan perempuan asing, rampaslah harta miliknya sebagai jaminan.+

17 Roti yang diperoleh daripada penipuan mula-mula lazat rasanya,

Tetapi kemudian terasa seperti pasir belaka.+

18 Rancangan berjaya jika disertai perbincangan;*+

Dapatkanlah bimbingan yang baik sebelum pergi berperang.+

19 Seorang pemfitnah membongkar rahsia orang lain;+

Janganlah bergaul dengan orang yang suka mengumpat.

20 Sesiapa yang mengutuk ibu bapanya,

Kehidupannya akan lenyap seperti pelita yang padam di tempat yang gelap.+

21 Meskipun orang yang tamak menjadi kaya,

Pada akhirnya, kekayaan itu tidak akan membawa berkat kepadanya.+

22 Janganlah berkata, “Aku akan membalas dendam!”+

Berharaplah kepada Yehuwa,+ dan Dia akan menyelamatkan kamu.+

23 Yehuwa membenci orang yang menggunakan timbangan yang tidak tepat;

Tidak baik menggunakan alat pengukur yang tidak tepat.

24 Yehuwa membimbing jalan hidup manusia;+

Dapatkah seseorang mengetahui haluan yang harus ditempuhnya?*

25 Seseorang akan terjerat jika dia tergesa-gesa berseru, “Hal ini suci!”+

Sebelum berfikir panjang tentang ikrar yang telah dibuatnya itu.+

26 Sebagaimana sekam diasingkan daripada biji-bijian,

Demikianlah orang jahat diasingkan dan disingkirkan oleh raja yang bijak.+

27 Bagi Yehuwa, luahan hati* seseorang bagaikan pelita

Yang dapat mendedahkan apa yang tersembunyi dalam hatinya.

28 Kasih* dan kesetiaan melindungi raja;+

Kasih setia akan mengukuhkan takhtanya.+

29 Kemuliaan orang muda ialah kekuatan mereka,+

Dan kemegahan orang tua ialah uban mereka.+

30 Disiplin* dapat menyingkirkan kejahatan,+

Dan hukuman* dapat membersihkan batin seseorang.

21 Hati raja bagaikan air sungai yang mengalir.+

Yehuwa dapat menentukan alirannya ke mana sahaja yang diinginkan-Nya.+

 2 Seseorang mungkin berfikir bahawa setiap haluannya betul,+

Tetapi Yehuwalah yang memeriksa niat hatinya.+

 3 Perbuatan yang adil dan benar

Lebih menyenangkan hati Yehuwa daripada persembahan korban.+

 4 Kesombongan dan keangkuhan bagaikan pelita bagi orang jahat,

Dan semua itu merupakan dosa.+

 5 Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan,*+

Tetapi tindakan yang tergesa-gesa akan mengakibatkan kemiskinan.+

 6 Harta yang diperoleh dengan tipu daya seperti kabus yang cepat hilang;

Harta sebegitu seperti jerat yang membawa maut.*+

 7 Orang jahat enggan bertindak dengan adil;

Mereka akan musnah kerana keganasan mereka sendiri.+

 8 Orang yang bersalah menempuh jalan yang bengkang-bengkok,

Tetapi orang yang murni mengikut haluan yang benar.+

 9 Lebih baik tinggal di atas bumbung,

Daripada tinggal serumah bersama isteri yang suka bertengkar.*+

10 Orang keji ingin melakukan apa yang jahat;+

Dia tidak berbelas kasihan terhadap orang lain.+

11 Apabila orang yang suka mencemuh dihukum, orang yang tidak berpengalaman akan belajar daripadanya dan menjadi lebih bijak,

Dan apabila orang yang bijak memperoleh pengertian, dia akan mengetahui apa yang harus dilakukannya.+

12 Tuhan melakukan apa yang benar; Dia memperhatikan rumah tangga orang jahat;

Dia pasti akan memusnahkan mereka semua.+

13 Sesiapa yang tidak mempedulikan seruan orang yang lemah,

Tidak akan diendahkan apabila dia sendiri berseru meminta tolong.+

14 Hadiah yang diberikan secara rahsia meredakan kemarahan,+

Dan pemberian yang diberikan secara diam-diam menyejukkan hati orang yang murka.

15 Orang yang baik mendapat sukacita kerana bertindak dengan adil,+

Tetapi orang yang berbuat jahat akan ditimpa perkara yang dahsyat.

16 Orang yang enggan menunjukkan pengertian

Akhirnya akan berada bersama orang mati.+

17 Orang yang mencintai kesenangan* akan jatuh miskin;+

Orang yang suka akan minyak dan wain tidak akan menjadi kaya.

18 Orang yang jahat menjadi tebusan untuk orang yang baik,

Dan orang yang keji menjadi tebusan bagi orang yang tulus hati.+

19 Lebih baik tinggal di padang belantara,

Daripada tinggal bersama isteri yang suka bertengkar* dan yang cepat marah.+

20 Orang bijak mempunyai minyak dan harta yang bernilai di rumahnya,+

Tetapi orang bodoh memboroskan apa yang dimilikinya.+

21 Sesiapa yang mengejar kebaikan dan kasih setia

Akan memperoleh kehidupan, kebaikan, dan kemuliaan.+

22 Orang bijak dapat menawan kota orang yang kuat

Dan merobohkan kubu pertahanan yang menjadi harapan mereka.+

23 Orang yang mengawal mulut dan lidahnya

Menjauhkan diri daripada masalah.+

24 Orang yang bertindak tanpa menghiraukan akibatnya ialah orang yang sombong;*

Dia akan dipanggil orang yang suka berlagak dan bercakap besar.+

25 Orang malas tidak mahu bekerja;

Dia akan mati kerana keinginannya sendiri.+

26 Kerana tamak, dia hanya memikirkan tentang keinginannya sendiri sepanjang hari,

Tetapi orang baik tidak mementingkan diri dan memberi dengan murah hati.+

27 Korban orang jahat menjijikkan,+

Lebih-lebih lagi jika dia mempersembahkannya dengan niat yang jahat!*

28 Kesaksian orang yang menipu akan lenyap,+

Tetapi kesaksian orang yang mendengar dengan teliti akan kekal.

29 Orang jahat berpura-pura yakin di hadapan orang,+

Tetapi orang baik memang yakin akan haluannya yang benar.*+

30 Tidak ada kebijaksanaan, pengertian, ataupun nasihat, yang dapat digunakan untuk menentang Yehuwa.+

31 Kuda disediakan untuk hari peperangan,+

Tetapi Yehuwalah yang memberikan penyelamatan.+

22 Memilih nama baik lebih baik daripada memilih kekayaan yang melimpah;+

Kehormatan* lebih baik daripada emas dan perak.

 2 Orang kaya dan orang miskin mempunyai satu persamaan:

Kedua-duanya diciptakan oleh Yehuwa.+

 3 Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya,

Tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.

 4 Orang yang rendah hati dan takut kepada Yehuwa

Akan dikurniai kekayaan, kemuliaan, dan kehidupan.+

 5 Haluan orang jahat penuh dengan duri dan perangkap,

Tetapi orang yang menghargai nyawanya akan menjauhi semua itu.+

 6 Ajarilah anak* haluan yang harus ditempuhnya;+

Maka sampai tua pun dia tidak akan menyimpang daripada haluan itu.+

 7 Orang miskin dikuasai oleh orang kaya,

Dan orang yang meminjam menjadi hamba kepada orang yang memberikan pinjaman.+

 8 Orang yang menabur kejahatan akan menuai malapetaka,+

Dan kuasanya untuk menindas orang lain akan berakhir.+

 9 Orang yang murah hati akan diberkati,

Kerana dia mengongsi makanannya dengan orang miskin.+

10 Usirlah orang yang suka mencemuh,

Maka pertikaian akan lenyap,

Dan perbalahan serta penghinaan juga akan berakhir.

11 Orang yang murni hatinya dan yang lembut kata-katanya,

Akan menjadi sahabat raja.+

12 Yehuwa menjaga orang yang berpengetahuan,*

Tetapi Dia menggagalkan apa yang dikatakan oleh orang licik.+

13 Orang malas berkata, “Ada singa di luar!

Aku akan dibunuh di tengah jalan jika aku keluar!”+

14 Mulut perempuan jalang* seperti lubang yang dalam.+

Orang yang dikutuk oleh Yehuwa akan jatuh ke dalamnya.

15 Kebodohan memang ada dalam hati seorang anak,*+

Tetapi rotan* dapat menyingkirkan kebodohan itu.+

16 Sesiapa yang menipu orang miskin untuk menambahkan kekayaannya,+

Dan sesiapa yang memberikan hadiah kepada orang kaya,

Pada akhirnya akan jatuh miskin.

17 Dengarlah kata-kata orang bijak dengan teliti,+

Supaya kamu memahami apa yang aku ajarkan kepada kamu.+

18 Jika kamu menyimpannya dalam hati, kamu akan gembira,+

Dan kamu akan sentiasa bersedia untuk bercakap tentangnya.+

19 Pada hari ini, aku hendak memberi kamu pengetahuan,

Supaya kamu yakin kepada Yehuwa.

20 Aku telah menuliskan untuk kamu

Nasihat dan pengetahuan yang ingin kusampaikan.

21 Aku ingin kamu tahu bahawa kata-kata ini memang benar dan dapat dipercayai.

Dengan itu, kamu dapat kembali dan memberikan jawapan yang tepat kepada orang yang mengutus kamu.

22 Jangan merompak orang miskin hanya kerana mereka lemah,+

Dan jangan menindas orang yang lemah di gerbang kota,*+

23 Kerana Yehuwa sendiri akan membela mereka,+

Dan Dia akan mengambil nyawa orang yang menipu mereka.

24 Jangan bersahabat dengan orang yang panas baran,

Dan jangan bergaul dengan orang yang suka marah,

25 Agar kamu tidak terikut-ikut dengan haluannya

Lalu terkena jerat.+

26 Jangan bersetuju dengan sesiapa pun

Untuk menjadi penjamin hutang mereka.+

27 Jika kamu tidak dapat membayarnya,

Katil kamu pun akan dirampas!

28 Janganlah memindahkan sempadan tanah

Yang ditetapkan oleh nenek moyang kamu pada masa lampau.+

29 Pernahkah kamu melihat orang yang mahir melakukan kerjanya?

Dia akan berkhidmat kepada raja+

Dan bukannya kepada orang biasa.

23 Semasa kamu duduk dan makan bersama seorang raja,

Berwaspadalah terhadap apa yang ada di hadapan kamu;

 2 Meskipun kamu sangat berselera,

Kawallah diri kamu.*

 3 Jangan mendambakan makanannya yang lazat,

Supaya kamu tidak terperdaya.

 4 Jangan berjerih lelah untuk mendapatkan kekayaan.+

Berhentilah berbuat demikian dan tunjukkanlah pengertian.*

 5 Kekayaan itu boleh hilang dalam sekelip mata,+

Seolah-olah kekayaan itu bersayap dan terbang ke langit seperti burung helang.+

 6 Jangan makan makanan orang yang kedekut;

Jangan mendambakan makanannya yang enak,

 7 Kerana dia suka berkira.

Dia berkata, “Makanlah dan minumlah,” tetapi sebenarnya dia tidak ikhlas.

 8 Kamu akan memuntahkan makanan yang telah ditelan,

Dan kata-kata pujianmu sia-sia belaka.

 9 Jangan bercakap dengan orang bodoh,+

Kerana dia akan meremehkan kata-katamu yang bijak.+

10 Jangan memindahkan sempadan tanah yang ditetapkan pada masa lampau,+

Dan jangan menceroboh ladang anak yatim,

11 Kerana Pembela* mereka kuat;

Dia akan membela mereka dan menentang kamu.+

12 Dengarkanlah kata-kata yang bijak,

Dan terimalah disiplin dengan sepenuh hatimu.

13 Jangan teragak-agak untuk mendisiplinkan seorang anak.*+

Dia tidak akan mati jika kamu merotannya.

14 Pukullah dia dengan rotan,

Untuk menyelamatkannya dari Kuburan.*

15 Hai anakku, jika hatimu bijaksana,

Maka hatiku akan bergembira.+

16 Jika kamu mengucapkan apa yang benar,

Hatiku akan berlimpah-limpah dengan rasa sukacita.

17 Janganlah iri hati terhadap pendosa,+

Tetapi takutlah akan Yehuwa senantiasa.+

18 Dengan itu masa depan kamu akan terjamin,+

Dan harapan kamu tidak akan hilang.

19 Dengarlah, hai anakku.

Jadilah bijaksana dan ikutlah haluan yang betul.

20 Janganlah tergolong sebagai orang yang minum terlalu banyak wain,+

Atau orang yang makan daging dengan gelojoh,+

21 Kerana orang mabuk dan orang gelojoh akan jatuh miskin,+

Dan rasa mengantuk akan menyebabkan mereka berpakaian compang-camping.

22 Dengarkanlah kata-kata bapamu; kerana dia, kamu telah dilahirkan,

Dan jangan menghina ibumu hanya kerana dia sudah tua.+

23 Perolehlah kebenaran dan jangan melepaskannya;*+

Perolehlah* juga kebijaksanaan, disiplin, dan pengertian.+

24 Seorang bapa pasti akan berbahagia jika anaknya baik;

Dia pasti bersukacita jika anaknya bijak.

25 Ibu bapa kamu akan bersukacita,

Dan ibu yang melahirkan kamu akan bergembira.

26 Hai anakku, dengarlah kata-kataku dengan teliti.

Semoga kamu mengikut haluanku dengan senang hati.+

27 Seorang pelacur umpama lubang yang dalam,

Dan seorang perempuan yang tidak bermoral* bagaikan perigi yang sempit.+

28 Dia menghendap seperti perompak;+

Dia menyebabkan banyak lelaki menjadi tidak setia.

29 Siapakah yang malang? Siapakah yang khuatir?

Siapakah yang suka bertengkar? Siapakah yang suka merungut?

Siapakah yang tercedera tanpa sebab? Siapakah yang matanya merah?

30 Orang yang menghabiskan banyak masa untuk minum arak;+

Orang yang berkumpul untuk minum* wain yang memabukkan.

31 Jangan memandang wain yang kemerah-merahan,

Yang berkilau-kilauan di dalam cawan, dan yang diteguk dengan senang sekali,

32 Kerana akhirnya wain itu mematuk seperti ular,

Dan menyemburkan racun seperti ular berbisa.

33 Matamu akan melihat perkara yang aneh,

Dan kamu akan meluahkan kata-kata yang keji.+

34 Kamu akan seolah-olah berbaring di tengah lautan,

Seperti seseorang yang merebahkan dirinya di atas tiang kapal.

35 Kamu akan berkata, “Aku dipukul, tetapi aku tidak terasa apa-apa.

Aku dibelasah, tetapi aku tidak ingat.

Bilakah aku akan bangun?+

Aku mahu minum lagi.”

24 Jangan iri hati terhadap orang jahat,

Dan jangan bergaul dengan mereka,+

 2 Kerana mereka merancang kejahatan dalam hati mereka,

Dan bercakap tentang cara untuk mencelakakan orang lain.

 3 Dengan kebijaksanaan, sebuah rumah* diteguhkan,+

Dengan pengertian, sebuah rumah dikukuhkan,

 4 Dan dengan pengetahuan, bilik-biliknya

Akan dipenuhi dengan harta yang indah dan bernilai.+

 5 Orang yang bijak mempunyai kuasa dan kekuatan,+

Dan pengetahuan akan menambah kekuasaan seseorang.

 6 Dengan bimbingan yang baik, kamu dapat melancarkan seranganmu,+

Dan kemenangan* diperoleh dengan adanya banyak penasihat.+

 7 Orang bodoh tidak dapat memperoleh kebijaksanaan sejati;+

Tiada apa-apa pun yang dapat dikatakannya di gerbang kota.

 8 Seseorang yang merancang kejahatan

Akan digelar sebagai dalang kejahatan.+

 9 Rancangan bodoh* mengakibatkan dosa,

Dan orang yang suka mencemuh akan dibenci.+

10 Jika kamu tawar hati pada masa kesusahan,

Kekuatanmu akan berkurang.

11 Selamatkanlah mereka yang akan dihukum mati,

Dan bantulah mereka yang berada di ambang kebinasaan.+

12 Mungkin kamu berkata, “Tapi kami tidak tahu tentang hal itu,”

Namun Dia yang memeriksa hati* mengetahuinya.+

Ya, Dia yang memerhatikan kamu memang tahu

Dan Dia akan membalas setiap orang setimpal dengan perbuatannya.+

13 Hai anakku, makanlah madu, kerana madu itu baik;

Madu asli manis rasanya.

14 Begitu juga, ketahuilah bahawa kebijaksanaan baik untukmu.+

Jika kamu menemuinya, masa depanmu terjamin,

Dan harapanmu tidak akan lenyap.+

15 Jangan menjadi seperti orang jahat yang menghendap berhampiran rumah orang baik;

Jangan memusnahkan tempat kediaman orang baik.

16 Orang baik* mungkin jatuh tujuh kali, namun dia akan bangun semula,+

Tetapi orang jahat akan dihancurkan oleh malapetaka.+

17 Jangan bergembira ketika musuhmu jatuh,

Dan jangan bergirang hati semasa dia tersandung.+

18 Jika kamu berbuat demikian, Yehuwa akan melihat dan berasa tidak senang hati,

Lalu Dia tidak akan murka lagi terhadap musuhmu itu.+

19 Jangan naik marah kerana orang jahat;

Jangan iri hati terhadap orang durjana,

20 Kerana orang jahat tidak mempunyai masa depan,+

Dan pelita orang durjana akan padam.+

21 Hai anakku, takutlah akan Yehuwa dan raja.+

Jangan bergaul dengan para penentang,*+

22 Kerana orang sedemikian akan mengalami malapetaka secara tiba-tiba.+

Siapakah yang akan mengetahui malapetaka yang akan ditimpakan oleh mereka* kepada para penentang?+

23 Kata-kata ini juga berasal daripada orang bijak:

Tidak baik bersikap berat sebelah semasa mengadili sesuatu perkara.+

24 Sesiapa yang berkata kepada orang jahat, “Kamu tidak bersalah,”+

Akan dikutuk dan dikecam oleh bangsa-bangsa,

25 Tetapi sesiapa yang menegur orang jahat akan makmur;+

Mereka akan diberkati dengan perkara-perkara yang baik.+

26 Orang yang menjawab dengan jujur akan dihormati.*+

27 Persiapkanlah pekerjaanmu di luar rumah, dan sediakanlah ladangmu terlebih dahulu.

Selepas itu, dirikanlah rumah tanggamu.

28 Jangan menjadi saksi untuk menentang orang lain tanpa sebab.+

Jangan berdusta untuk memperdayakan orang lain.+

29 Jangan berkata, “Aku akan memperlakukannya sebagaimana dia memperlakukan aku;

Aku akan membalas dendam terhadapnya.”+

30 Aku lalu di ladang orang malas,+

Dan di ladang anggur orang yang kurang pengertian.

31 Aku nampak bahawa tempat itu ditumbuhi lalang;

Tanahnya penuh dengan tumbuhan berduri,

Dan temboknya telah roboh.+

32 Aku mengamati dan merenungkan hal itu;

Aku memperhatikannya dan mendapat iktibar ini:

33 Tidurlah sekejap, lelapkanlah matamu sejenak,

Silangkanlah tanganmu untuk berehat sebentar,

34 Maka kamu akan dilanda kemiskinan yang datang seperti perompak,

Dan kamu akan ditimpa kekurangan yang datang seperti orang yang bersenjata.+

25 Inilah amsal-amsal* Salomo+ yang disalin dan disusun oleh para pegawai Raja Hizkia+ dari Yehuda:

 2 Tuhan dimuliakan kerana merahsiakan suatu perkara,+

Dan raja-raja dimuliakan kerana memeriksa suatu perkara.

 3 Seperti langit yang tinggi dan bumi yang dalam,

Demikianlah hati raja tidak dapat diselami.

 4 Singkirkanlah kotoran daripada perak,

Agar mendapat perak yang murni sepenuhnya.+

 5 Usirlah orang yang jahat dari hadirat raja,

Lalu keadilan akan mengukuhkan takhtanya.+

 6 Jangan meninggikan diri di hadapan raja,+

Dan jangan mengambil tempat duduk dalam kalangan orang yang terkemuka,+

 7 Kerana lebih baik raja berkata, “Marilah, duduk di sini,”

Daripada dia memalukan kamu di hadapan pembesar.+

 8 Janganlah tergesa-gesa mengemukakan suatu perkara di mahkamah,

Kerana jika orang membuktikan kamu bersalah, apa lagi yang dapat kamu lakukan?+

 9 Selesaikanlah perkara itu dengan orang yang berselisih denganmu,+

Tetapi jangan bongkar hal peribadinya,*+

10 Kerana orang yang mendengarnya akan memalukanmu,

Dan perkara buruk yang kamu sebarkan* tidak dapat ditarik balik.

11 Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya

Bagaikan buah epal emas di dalam pinggan perak.+

12 Teguran yang diberikan oleh orang bijak kepada orang yang sudi menerimanya

Seperti anting-anting emas dan perhiasan emas tulen.+

13 Seorang utusan yang setia

Seperti minuman sejuk pada musim menuai,

Kerana dia menyegarkan jiwa tuannya.+

14 Orang yang bercakap besar bahawa dia hendak memberikan suatu hadiah tetapi tidak pernah memberikannya

Umpama angin dan awan yang tidak menurunkan hujan.+

15 Kesabaran dapat melembutkan hati orang yang berkuasa,

Dan kata-kata yang lembut dapat menawan segala tentangan.*+

16 Jika kamu menjumpai madu, makanlah setakat yang kamu perlukan,

Kerana jika kamu memakan terlalu banyak, nanti kamu muntah pula.+

17 Janganlah terlalu sering mengunjungi rumah seseorang,

Supaya dia tidak berasa jemu terhadapmu dan membencimu.

18 Seperti belantan, pedang, dan anak panah yang tajam,

Demikianlah seseorang yang memberikan kesaksian palsu tentang orang lain.+

19 Mengharapkan seseorang yang tidak dapat dipercayai* pada masa kesusahan

Bagaikan berjalan dengan kaki yang tempang atau menggigit dengan gigi yang patah.

20 Menyanyikan lagu untuk orang yang pilu hatinya+

Bagaikan menanggalkan pakaian pada hari sejuk,

Dan bagaikan menuangkan cuka pada garam.*

21 Jika musuh kamu lapar, berilah dia roti untuk dimakan;

Jika dia dahaga, berilah dia air untuk diminum.+

22 Dengan demikian, kamu seperti melonggokkan bara yang bernyala di atas kepalanya,*+

Dan Yehuwa akan memberkatimu.

23 Angin utara membawa hujan lebat,

Dan umpatan mendatangkan kemarahan.+

24 Lebih baik tinggal di atas bumbung,

Daripada tinggal serumah bersama isteri yang suka bertengkar.*+

25 Berita baik dari negeri yang jauh

Bagaikan air sejuk bagi orang yang lelah.+

26 Orang baik yang menyerah kepada orang jahat

Ibarat mata air yang berlumpur dan perigi yang sudah dicemari.

27 Memakan terlalu banyak madu tidak baik,+

Dan mencari kemuliaan sendiri tidak bagus.+

28 Seseorang yang tidak dapat mengawal kemarahannya

Bagaikan kota yang temboknya telah dimusnahkan.+

26 Sebagaimana salji tidak sepatutnya turun pada musim panas dan hujan tidak sepatutnya turun pada musim menuai,

Demikian juga kemuliaan tidak sepatutnya diberikan kepada orang bodoh.+

 2 Sama seperti burung mempunyai sebab untuk melepaskan diri dan sama seperti burung layang-layang mempunyai alasan untuk terbang,

Begitu juga suatu kutukan tidak akan dibuat tanpa sebab yang kukuh.*

 3 Cambuk adalah untuk kuda, kekang adalah untuk keldai,+

Dan rotan adalah untuk orang yang bodoh.+

 4 Jangan menjawab orang bebal menurut kebodohannya,

Supaya kamu tidak menjadi sama sepertinya.

 5 Semasa menjawab orang bebal, dedahkanlah kebodohannya

Agar orang yang bertanya itu tidak menganggap dirinya bijaksana.+

 6 Orang yang mempercayakan suatu perkara kepada orang bodoh

Bagaikan orang yang melumpuhkan kakinya dan mencederakan dirinya.

 7 Umpama kaki orang tempang yang lemah,

Begitulah peribahasa yang keluar daripada mulut orang bodoh.+

 8 Memberikan kemuliaan kepada orang bebal+

Seperti mengikat batu pada ali-ali.*

 9 Bagaikan tumbuhan berduri di dalam tangan seorang pemabuk,

Demikianlah peribahasa yang keluar daripada mulut orang bodoh.

10 Sesiapa yang mengupah orang bebal atau orang yang lalu-lalang,

Ibarat pemanah yang melukai orang dengan sesuka hati.*

11 Seperti anjing yang kembali untuk makan apa yang dimuntahkannya,

Begitulah orang bebal yang mengulangi kebodohannya.+

12 Pernahkah kamu melihat orang yang menyangka dirinya bijak?+

Orang bodoh mempunyai lebih banyak harapan daripadanya.

13 Orang malas berkata, “Ada anak singa di jalan,

Ada seekor singa di tengah jalan!”+

14 Seperti sebuah pintu berayun-ayun pada engselnya,

Demikianlah orang malas membalik-balikkan badannya di atas katil.+

15 Orang malas meletakkan tangannya ke dalam mangkuk,

Tetapi dia terlalu letih untuk menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.+

16 Orang malas berfikir bahawa dia lebih bijak

Daripada tujuh orang yang memberikan jawapan yang tepat.

17 Seperti orang yang mencengkam telinga anjing,

Demikianlah orang* yang melibatkan diri dalam pergaduhan orang lain.+

18 Bagaikan orang gila yang melepaskan anak panah dan senjata berapi yang membawa maut,

19 Begitulah orang yang memperdaya orang lain lalu berkata, “Aku main-main saja!”+

20 Tanpa kayu, api padam,

Dan tanpa pemfitnah, pertengkaran pun berhenti.+

21 Sebagaimana arang dan kayu membuat api menyala,

Begitu juga orang yang suka bertengkar mencetuskan pergaduhan.+

22 Kata-kata seorang pemfitnah bagaikan makanan yang enak,

Dan orang menelannya dengan rakus.*+

23 Ibarat pecahan tembikar yang dilapisi perak,

Demikianlah ucapan kasih dari hati yang keji.+

24 Dengan kata-kata, seseorang menyembunyikan kebenciannya,

Padahal hatinya memendam tipu daya.

25 Jangan mempercayainya walaupun kata-katanya menyenangkan,

Kerana hatinya penuh dengan perkara yang keji.*

26 Meskipun dia menipu untuk menyembunyikan kebenciannya,

Kejahatannya akan didedahkan dalam sidang.

27 Orang yang menggali lubang akan jatuh ke dalam lubang itu,

Dan orang yang menggulingkan batu akan ditimpa oleh batu itu.+

28 Orang yang berdusta membenci orang yang disakitinya,

Dan mulut manis mendatangkan kemusnahan.+

27 Jangan bercakap besar tentang hari esok,

Kerana kamu tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok.+

 2 Biarlah orang lain yang memujimu, dan bukannya mulutmu sendiri;

Biarlah orang asing yang memujimu, dan bukannya bibirmu sendiri.+

 3 Batu dan pasir memang berat,

Tetapi kesusahan yang disebabkan oleh orang bodoh lebih berat daripada kedua-duanya.+

 4 Keberangan itu kejam dan kemarahan itu seperti banjir,

Tetapi siapakah yang dapat bertahan dengan orang yang cemburu?+

 5 Teguran yang terus terang lebih baik daripada kasih yang tidak diungkapkan.+

 6 Teguran yang diberikan oleh sahabat yang setia mungkin menyakitkan,+

Tetapi lebih baik daripada kebaikan hati seorang musuh yang tidak ikhlas.

 7 Bagi orang yang kenyang, madu asli pun ditolaknya,

Tetapi bagi orang yang lapar, yang pahit pun terasa manis.

 8 Orang yang terpaksa melarikan diri dari rumahnya

Umpama burung yang terpaksa meninggalkan sarangnya.

 9 Minyak dan kemenyan menyenangkan hati,

Begitu juga dengan sahabat yang memberikan nasihat yang ikhlas.+

10 Jangan mengabaikan sahabatmu atau sahabat bapamu,

Dan jangan memasuki rumah saudara kandungmu ketika kamu berada dalam kesusahan;

Sahabat yang dekat lebih baik daripada saudara kandung yang jauh.+

11 Hai anakku, jadilah bijak dan gembirakanlah hatiku,+

Supaya aku dapat menjawab dia yang mencela aku.+

12 Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya,+

Tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.

13 Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang yang tidak dikenali, ambillah jubahnya;

Dan jika dia menjalin hubungan dengan perempuan asing, rampaslah harta miliknya sebagai jaminan.+

14 Salam yang diteriakkan oleh seseorang pada awal pagi

Akan dianggap sebagai suatu kutukan.

15 Isteri yang suka bertikam lidah* bagaikan atap yang selalu bocor pada hari hujan.+

16 Sesiapa yang dapat mengawalnya dapat mengawal angin

Dan dapat menggenggam minyak dengan tangan kanannya.

17 Sebagaimana besi diasah oleh besi,

Demikianlah manusia belajar daripada satu sama lain.+

18 Orang yang memelihara pokok ara akan makan buahnya,+

Dan orang yang menjaga tuannya akan dihormati.+

19 Sepertimana air mencerminkan wajah seseorang,

Demikian juga hati seseorang mencerminkan hati seorang yang lain.

20 Kuburan* dan jurang kemusnahan* tidak pernah puas,+

Begitu juga mata manusia tidak pernah puas.

21 Sebagaimana perak dimurnikan dengan menggunakan tembikar dan emas dimurnikan dengan menggunakan relau,+

Seseorang diuji menurut sikapnya terhadap pujian yang diterimanya.

22 Meskipun kamu menumbuk orang bodoh dengan batu giling

Seperti menghancurkan bijirin di dalam lesung,

Kebodohannya tidak akan lenyap.

23 Kamu harus memelihara* bebirimu dengan sungguh-sungguh.+

Kamu harus mengenali kawananmu dengan baik,

24 Kerana kekayaan tidak berkekalan,+

Dan mahkota tidak akan terus diwarisi turun-temurun.

25 Rumput yang hijau layu lalu rumput yang baharu muncul,

Dan tumbuh-tumbuhan di pergunungan dikumpulkan.

26 Kamu dapat memperoleh pakaian daripada bulu bebiri muda,

Dan kamu dapat membayar harga ladang dengan kambing-kambing jantanmu.

27 Kamu juga dapat memperoleh susu kambing yang mencukupi

Untuk menyara rumah tanggamu dan hamba-hamba perempuanmu.

28 Orang jahat lari walaupun tiada sesiapa yang mengejar mereka,

Tetapi orang baik berani seperti singa.+

 2 Apabila rakyat sebuah negeri memberontak, pemerintahnya akan silih berganti,+

Tetapi pemerintah akan bertahan lama dengan bantuan orang yang berpengertian dan berpengetahuan.+

 3 Orang miskin yang menipu orang lemah+

Bagaikan hujan yang menghanyutkan semua makanan.

 4 Sesiapa yang mengabaikan hukum memuji orang jahat;

Sesiapa yang mematuhi hukum marah terhadap orang yang mengabaikan hukum.+

 5 Orang jahat tidak dapat memahami keadilan,

Tetapi orang yang mencari Yehuwa dapat memahami segala sesuatu.+

 6 Orang miskin yang haluannya benar* lebih baik

Daripada orang kaya yang haluannya jahat.+

 7 Anak yang berpengertian mematuhi hukum,

Tetapi anak yang bersahabat dengan orang rakus memalukan bapanya.+

 8 Sesiapa yang memperoleh kekayaan dengan mengenakan faedah+ dan menipu orang lain,

Hartanya akan menjadi milik orang yang berbelas kasihan terhadap orang miskin.+

 9 Jika seseorang enggan mendengarkan hukum,

Doanya akan dianggap sebagai sesuatu yang memuakkan.+

10 Sesiapa yang memimpin orang baik ke haluan yang jahat akan jatuh ke dalam perangkapnya sendiri,+

Tetapi orang yang tidak bercela akan dikurniai perkara-perkara yang baik.+

11 Orang kaya menganggap dirinya bijak,+

Tetapi orang miskin yang berpengertian mengetahui sifat sebenar orang kaya itu.+

12 Apabila orang baik berjaya, semua orang akan bersukacita,

Tetapi apabila orang jahat memerintah, semua orang akan menyembunyikan diri.+

13 Sesiapa yang menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya,+

Tetapi sesiapa yang mengakui dan meninggalkan dosanya akan mendapat belas kasihan.+

14 Berbahagialah orang yang sentiasa takut akan Tuhan,*

Tetapi orang yang keras hati akan ditimpa malapetaka.+

15 Pemerintah yang menindas rakyat yang tidak berdaya

Bagaikan singa yang mengaum dan beruang yang menyerang.+

16 Pemimpin yang tidak berpengertian akan menyalahgunakan kuasanya,+

Tetapi orang yang membenci keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur akan panjang umur.+

17 Seorang pembunuh akan menanggung hutang darah dan akan terus diburu sampai ke kuburan.+

Jangan membantu orang sebegini.

18 Orang yang haluannya tidak bercela akan diselamatkan,+

Tetapi orang yang haluannya bengkang-bengkok akan tiba-tiba jatuh.+

19 Sesiapa yang mengusahakan tanahnya akan mempunyai banyak makanan,

Tetapi sesiapa yang mengejar perkara yang sia-sia akan dilanda kemiskinan.+

20 Orang yang setia akan mendapat berkat yang melimpah,+

Tetapi orang yang ingin cepat kaya pasti akan melakukan kesalahan.+

21 Tidak baik bersikap berat sebelah;+

Tetapi seseorang mungkin berbuat demikian kerana ingin mendapat sekeping roti.

22 Orang yang tamak* mendambakan kekayaan,

Tetapi dia tidak menyedari bahawa kemiskinan akan melandanya.

23 Orang yang memberikan teguran+ akhirnya akan lebih dihargai+

Berbanding dengan orang yang suka mengampu.

24 Sesiapa yang mencuri daripada ibu bapanya lalu berkata, “Itu tidak salah,”+

Merupakan sahabat kepada orang yang membawa kebinasaan.+

25 Orang yang tamak* membangkitkan perselisihan,

Tetapi orang yang bergantung pada Yehuwa akan makmur.+

26 Orang yang bodoh percaya kepada hatinya sendiri,+

Tetapi orang yang menempuh haluannya dengan bijaksana akan terselamat.+

27 Sesiapa yang murah hati terhadap orang miskin tidak akan berkekurangan,+

Tetapi sesiapa yang menutup mata terhadap orang miskin akan mendapat banyak kutukan.

28 Apabila orang jahat memerintah, orang akan menyembunyikan diri,

Tetapi apabila orang jahat itu binasa, orang baik akan bertambah.+

29 Orang yang tetap berdegil walaupun ditegur berkali-kali+

Akan remuk secara tiba-tiba dan tidak dapat pulih lagi.+

 2 Rakyat bersukacita apabila orang baik memerintah,

Tetapi rakyat merintih apabila orang jahat memerintah.+

 3 Anak yang mencintai kebijaksanaan menggembirakan hati bapanya,+

Tetapi anak yang suka bergaul dengan pelacur memboroskan kekayaannya.+

 4 Seorang raja yang memerintah dengan adil akan mengukuhkan kerajaannya,+

Tetapi orang yang makan rasuah akan menghancurkan kerajaannya.

 5 Sesiapa yang mengampu orang lain

Sedang memasang jerat untuk orang itu.+

 6 Orang jahat terjerat dengan dosanya sendiri,+

Tetapi orang baik bergembira dan berseru dengan sukacita.+

 7 Orang baik prihatin terhadap hak orang miskin,+

Tetapi orang jahat tidak mempedulikannya.+

 8 Orang yang bercakap besar menyemarakkan kemarahan seluruh kota,+

Tetapi orang yang bijak meredakan kemurkaan.+

 9 Apabila orang bijak dihadapkan ke mahkamah bersama orang bodoh,

Yang timbul hanyalah kekecohan dan cemuhan, tetapi tidak akan ada kepuasan hati.+

10 Pembunuh membenci orang yang tidak bersalah,+

Dan mereka ingin meragut nyawa orang yang tulus hati.*

11 Orang bodoh melampiaskan kemarahannya,*+

Tetapi orang bijak bertenang dan dapat mengawal perasaannya.+

12 Apabila seorang pemerintah mendengarkan dusta,

Semua hambanya akan menjadi jahat.+

13 Orang miskin dan orang yang menindas mereka mempunyai satu persamaan:

Yehuwalah yang memberikan nyawa kepada kedua-duanya.

14 Apabila raja menghakimi orang miskin dengan adil,+

Takhtanya akan tetap kukuh.+

15 Rotan* dan teguran menjadikan seseorang bijaksana,+

Tetapi anak yang tidak dikawal memalukan ibunya.

16 Apabila orang jahat menjadi banyak, dosa pun bertambah,

Tetapi orang baik akan melihat orang jahat dibinasakan.+

17 Disiplinkanlah anakmu, maka dia akan memberimu ketenteraman;

Dia akan mendatangkan kegembiraan yang melimpah kepadamu.+

18 Orang akan hilang kawalan tanpa bimbingan daripada Tuhan,+

Tetapi orang yang mematuhi hukum akan berbahagia.+

19 Ada hamba yang tidak dapat diajar hanya dengan kata-kata,

Kerana walaupun dia memahaminya, dia tidak akan mendengarkannya.+

20 Pernahkah kamu melihat orang yang bercakap tanpa berfikir?+

Orang bodoh mempunyai lebih banyak harapan daripadanya.+

21 Hamba yang dimanjakan sejak muda,

Akhirnya akan menjadi orang yang tidak tahu berterima kasih.

22 Sesiapa yang cepat marah akan membangkitkan pertengkaran;+

Sesiapa yang cenderung murka akan melakukan banyak kesalahan.+

23 Kesombongan akan menyebabkan seseorang direndahkan,+

Tetapi orang yang rendah hati akan memperoleh kemuliaan.+

24 Sahabat kepada pencuri membenci dirinya sendiri,

Kerana apabila dia diminta untuk memberikan keterangan, dia tidak melaporkan apa-apa pun.+

25 Rasa takut akan manusia merupakan suatu jerat,+

Tetapi orang yang percaya kepada Yehuwa akan dilindungi.+

26 Ramai orang mahu bersemuka dengan* pemerintah untuk menuntut keadilan,

Tetapi daripada Yehuwalah seseorang memperoleh keadilan.+

27 Orang baik muak terhadap orang yang berat sebelah;+

Orang jahat benci akan orang yang haluannya benar.+

30 Inilah kata-kata penting daripada Agur anak Yake, yang disampaikan kepada Itiel dan Ukal:

 2 Aku kurang pengetahuan berbanding dengan orang lain,+

Dan aku tidak ada pengertian yang sepatutnya dimiliki oleh manusia.

 3 Aku tidak pernah belajar tentang kebijaksanaan,

Dan aku tidak memiliki pengetahuan yang dikurniakan oleh Tuhan Yang Maha Suci.

 4 Siapakah yang pernah naik ke syurga lalu turun dari sana?+

Siapakah yang dapat mengumpulkan angin di dalam kedua-dua tapak tangannya?

Siapakah yang dapat menyimpan air di dalam bajunya?+

Siapakah yang dapat mengukuhkan kesemua penjuru bumi?+

Siapakah namanya dan nama anaknya? Jika kamu mengetahuinya, beritahulah aku.

 5 Setiap firman Tuhan itu murni.+

Tuhan seperti perisai bagi semua orang yang bernaung pada-Nya.+

 6 Jangan menambahkan apa-apa pada firman-Nya,+

Supaya Dia tidak menegur kamu,

Dan membuktikan bahawa kamu berbohong.

 7 Ya Tuhan, aku memohon dua perkara daripada-Mu.

Kabulkanlah permintaanku sebelum aku mati.

 8 Jauhkanlah dusta dan penipuan daripadaku.+

Janganlah memberi aku kemiskinan ataupun kekayaan.

Biarlah aku makan makanan yang aku perlukan sahaja,+

 9 Supaya aku tidak menjadi kenyang lalu menyangkal Engkau dan berkata, “Siapakah Yehuwa?”+

Dan janganlah membiarkan aku jatuh miskin sehingga aku mencuri lalu mengaibkan nama Tuhanku.

10 Jangan memfitnah seorang hamba di hadapan tuannya,

Agar kamu tidak dikutuk dan didapati bersalah.+

11 Ada orang yang mengutuk bapa mereka

Dan tidak menghormati ibu mereka.+

12 Ada orang yang menganggap diri mereka suci+

Padahal mereka belum dibersihkan daripada kenajisan.

13 Ada orang yang bersikap angkuh,

Dan yang memandang orang dengan sombong sekali.+

14 Ada orang yang gigi mereka seperti pedang

Dan rahang mereka umpama pisau penyembelih;

Mereka membaham orang lemah di bumi

Dan orang miskin dalam kalangan umat manusia.+

15 Lintah mempunyai dua anak perempuan yang berseru, “Berilah aku! Berilah aku!”

Ada tiga perkara yang tidak pernah puas,

Ada empat perkara yang tidak pernah berkata, “Cukuplah!”

16 —Kuburan,*+ rahim yang mandul,

Tanah yang gersang,

Dan api yang tidak pernah berkata, “Cukuplah!”

17 Sesiapa yang menyindir bapanya dan enggan mematuhi ibunya,+

Matanya akan dipatuk burung gagak dari lembah,*

Lalu dimakan oleh anak burung helang.+

18 Ada tiga perkara yang tidak dapat aku mengerti,*

Ada empat perkara yang tidak dapat aku fahami:

19 Burung helang yang terbang di langit,

Ular yang menjalar di atas batu,

Kapal yang belayar di tengah laut,

Dan tingkah laku seorang lelaki semasa bersama dengan seorang gadis.

20 Inilah yang dilakukan oleh perempuan yang berzina:

Dia makan lalu mengelap mulutnya;

Kemudian dia berkata, “Aku tidak berbuat apa-apa yang salah.”+

21 Ada tiga perkara yang menyebabkan bumi bergoncang,

Ada empat perkara yang tidak dapat ditahannya:

22 Apabila hamba menjadi raja,+

Apabila orang bodoh mendapat makanan yang melimpah,

23 Apabila wanita yang dibenci* dijadikan isteri,

Dan apabila hamba perempuan merampas kedudukan puannya.+

24 Ada empat makhluk hidup di bumi yang sangat kecil,

Tetapi sangat bijak secara semula jadi:+

25 Semut tidak kuat,

Namun semut menyediakan makanannya pada musim panas.+

26 Tikus gunung*+ tidak kuat,

Namun tikus gunung membuat rumahnya di bukit batu.+

27 Belalang juta+ tidak mempunyai raja,

Namun belalang juta mara dengan teratur.*+

28 Cicak+ melekat pada dinding dengan kakinya,

Dan cicak terdapat di istana raja.

29 Ada tiga makhluk hidup yang langkahnya mengagumkan,

Ada empat makhluk hidup yang gerakannya mempesonakan:

30 Singa, iaitu binatang yang paling kuat,

Dan tidak berundur daripada sesiapa pun;+

31 Anjing pemburu; kambing jantan;

Dan raja yang disertai angkatan tenteranya.

32 Jika kamu bertindak bodoh dengan meninggikan diri,+

Atau jika kamu merancang untuk meninggikan diri,

Berhentilah berbuat demikian dengan segera.+

33 Sebagaimana susu yang dipukul menghasilkan mentega

Dan hidung yang dipulas mengeluarkan darah,

Begitu juga kemarahan yang dibangkitkan menyebabkan pertengkaran.+

31 Inilah kata-kata Raja Lemuel (ibunya telah memberikan pesanan penting ini untuk mengajarnya):+

 2 Hai anakku, apakah yang harus aku beritahumu?

Hai anak yang kulahirkan, apakah yang harus aku ucapkan?

Hai anak yang aku peroleh kerana ikrarku, apakah yang harus aku katakan?+

 3 Janganlah membazirkan kekuatanmu demi perempuan,+

Dan janganlah mengikut haluan yang membinasakan raja.+

 4 Hai Lemuel,

Para pemerintah tidak harus berkata, “Di mana minuman kerasku?”

Dan raja-raja tidak patut minum wain,+

 5 Supaya mereka tidak minum sehingga melupakan hukum

Dan mengabaikan hak orang yang menderita.

 6 Berilah minuman keras kepada orang yang hampir mati,+

Dan berilah wain kepada orang yang sedang merana.+

 7 Biarlah mereka minum dan melupakan kemiskinan mereka;

Semoga mereka tidak lagi mengingati masalah mereka.

 8 Belalah orang yang tidak dapat membela diri.

Lindungilah hak orang yang hampir mati.+

 9 Belalah dan hakimilah orang dengan adil;

Pertahankanlah hak orang yang lemah dan miskin.+

א [Alef]*

10 Siapakah yang dapat menemui isteri yang cekap?*+

Isteri yang cekap jauh lebih berharga daripada batu permata.

ב [Bet]

11 Suaminya mempercayainya dengan sepenuh hati,

Dan suaminya tidak kekurangan apa-apa pun.

ג [Gimel]

12 Sepanjang hayatnya, dia sentiasa berbuat baik terhadap suaminya.

Dia tidak berbuat jahat terhadap suaminya.

ד [Dalet]

13 Dia berusaha mendapatkan kain bulu dan kain linen;

Dia gemar bekerja dengan tangannya.+

ה [He]

14 Dia umpama kapal-kapal saudagar+

Yang membawa makanan dari jauh.

ו [Waw]

15 Dia juga bangun ketika hari masih gelap

Untuk menyediakan makanan bagi keluarganya,

Dan untuk mengagihkan makanan* kepada hamba-hamba perempuannya.+

ז [Zayin]

16 Setelah berfikir masak-masak, dia membeli sebuah ladang;

Dia menanam anggur di ladang dengan pendapatannya sendiri.*

ח [Het]

17 Dia menguatkan tangannya

Dan bersedia untuk bekerja keras.+

ט [Tet]

18 Dia tahu bahawa urus niaganya menguntungkan;

Pelitanya tidak padam pada waktu malam.

י [Yod]

19 Tangannya menggenggam kayu rahat,

Dan jarinya memegang pemintal.*+

כ [Kap]

20 Dia menghulurkan tangannya kepada orang yang berkekurangan,

Dan memberi dengan murah hati kepada orang yang miskin.+

ל [Lamed]

21 Dia tidak risau tentang rumah tangganya semasa musim sejuk,

Kerana seisi rumah tangganya mempunyai baju panas.

מ [Mem]

22 Dia membuat cadar untuk katilnya.

Pakaiannya dibuat daripada linen dan kain bulu ungu.

נ [Nun]

23 Suaminya terkenal di gerbang kota;+

Di situ, suaminya duduk bersama para pemimpin negeri.

ס [Samek]

24 Dia menjahit dan menjual pakaian linen*

Serta menghasilkan ikat pinggang untuk para pedagang.

ע [Ayin]

25 Dia memiliki kekuatan dan kemuliaan,

Dan dia mengharungi masa depan dengan penuh keyakinan.

פ [Pe]

26 Dia mengucapkan kata-kata bijak;+

Dia sentiasa menunjukkan kebaikan semasa dia mengajar.*

צ [Tsade]

27 Dia mengawasi kegiatan rumah tangganya,

Dan dia tidak malas untuk melakukan kerjanya.+

ק [Qof]

28 Anak-anaknya bangun dan memuliakannya;

Suaminya bangkit dan memujinya,

ר [Res]

29 “Ada banyak wanita yang cekap,*

Tetapi tiada seorang pun yang dapat menandingimu.”

ש [Syin]

30 Kejelitaan menipu mata dan kecantikan tidak berkekalan,+

Tetapi wanita yang takut akan Yehuwa pasti dipuji.+

ת [Taw]

31 Berilah dia ganjaran atas perbuatannya,+

Dan biarlah dia dipuji di gerbang kota kerana usahanya.+

Atau “Kata-kata hikmat.”

Atau “mendisiplinkan.”

Atau “mendisiplinkannya.”

Atau “Orang bodoh memandang hina.”

Atau “terimalah disiplin.”

Lihat Kamus.

Atau “kebijaksanaan yang sejati.”

Atau “di dataran kota.”

Mungkin merujuk kepada kebijaksanaan yang dikurniakan oleh kuasa suci Tuhan.

Atau “haluan integriti.”

Harfiah, “perempuan yang tidak dikenali.” Nampaknya merujuk kepada orang yang terasing daripada Tuhan kerana tidak mengikut prinsip moral-Nya.

Atau “kata-kata menggoda yang diucapkan oleh.”

Harfiah, “perempuan asing.” Nampaknya merujuk kepada orang yang terasing daripada Tuhan kerana tidak mengikut prinsip moral-Nya.

Atau “sahabat akrabnya; suami yang berkahwin dengannya pada masa mudanya.”

Atau “yang berintegriti.”

Atau “hukumku.”

Atau “kasih setia.”

Harfiah, “tulang-tulangmu.”

Atau “hasil terbaik.”

Atau “pendapatanmu.”

Atau “batu karang.” Lihat Kamus.

Nampaknya merujuk kepada sifat-sifat Tuhan yang disebut dalam ayat-ayat sebelumnya.

Atau “daya pemikiran.”

Atau “hukumku.”

Atau “jantungmu.”

Atau mungkin, “Perhatikanlah dengan teliti.”

Lihat nota kaki bagi Ams 2:16.

Lihat Kamus.

Atau “sidang.” Lihat Kamus.

Harfiah, “kambing gunung.”

Lihat nota kaki bagi Ams 2:16.

Lihat nota kaki bagi Ams 2:16.

Harfiah, “sudah berjabat tangan.”

Atau “hukum.”

Lihat nota kaki bagi Ams 2:16.

Atau “tebusan.”

Atau “hukumku.”

Atau “biji matamu.”

Lihat nota kaki bagi Ams 2:16.

Lihat nota kaki bagi Ams 2:16.

Atau “orang bodoh.”

Lihat Kamus.

Atau “disiplinku.”

Atau “disiplinku.”

Atau “daya pertimbangan.”

Atau “janganlah bergaul dengan.”

Atau “tidak berpengalaman.”

Atau “daya pertimbangan.”

Lihat Kamus.

Atau “Kata-kata hikmat.”

Atau “sumber kehidupan.”

Atau “menutupi.”

Atau “kurang pengertian.”

Atau mungkin, “Orang yang menerima disiplin berada di jalan kehidupan.”

Atau “menyebarkan khabar angin.”

Atau “kesakitan; kesusahan.”

Perkataan Ibrani asal juga menggambarkan seseorang yang bertindak sesuka hati sehingga melampaui batasnya.

Atau “selamat.”

Atau “memalukan.”

Atau “manusia.”

Atau “kesusahan.”

Atau “disiplin.”

Atau “Orang bijak menyembunyikan.”

Atau “yang suka mencemuh.”

Atau “mengawal pertuturannya.”

Lihat nota kaki bagi Ams 11:2.

Atau “yang berunding.”

Harfiah, “yang tercapai ialah pokok kehidupan.”

Atau “Tetapi dia mungkin lenyap.”

Atau “merotan; menghukum.”

Atau mungkin, “segera mendisiplinkan anaknya.”

Atau “bengkang-bengkok.”

Atau “Kata-kata angkuh orang bodoh seperti rotan.”

Atau “yang suka mencemuh.”

Atau mungkin, “orang bodoh memperdaya orang lain dengan.”

Atau “Orang bodoh mempersendakan usaha untuk membetulkan kesalahan.”

Atau “terburu-buru.”

Atau “ditunjukkan kasih setia.”

Atau “yang menyakitkan hati.”

Atau “tegas.”

Lihat Kamus.

Atau “dan Abadon.” Lihat Kamus.

Atau “yang suka mencemuh.”

Atau “membetulkannya.”

Atau “muram.”

Atau “kehidupan seperti menikmati jamuan setiap hari.”

Lihat Kamus.

Atau “malu.”

Atau “Orang baik mempertimbangkan cara untuk menjawab.”

Atau “Manusia merancang sesuatu.”

Atau “Tetapi jawapan yang tepat.”

Harfiah, “murni.”

Atau “dan mempunyai kasih setia.” Juga boleh merujuk kepada kesetiaan dan kebaikan hati atau kasih setia Tuhan.

Atau “Dan kata-kata yang menyenangkan.”

Lihat Kamus, “Jiwa.”

Atau “suka merancang kejahatan.”

Atau “Daripada makan korban yang dipersembahkan.”

Atau “Tetapi tidak mempunyai pengertian?”

Atau “Dan orang yang membina pintu masuk yang tinggi mencari nahas.”

Atau “mendenda.”

Atau “membenci.”

Atau “orang terus menelannya ke dalam perut.”

Harfiah, “saudara.”

Atau “yang berbuat benar.”

Atau “Dalam khayalannya.”

Harfiah, “Hati orang.”

Harfiah, “Dan telinga orang.”

Atau “akan berpuas hati dengan hasil ucapan bibirnya.”

Atau “orang yang pemurah.”

Atau “suka meleter.”

Atau “harapan.”

Harfiah, “Dan janganlah menginginkan kematiannya.”

Atau “tujuan.”

Atau “berhenti menerima disiplin.”

Atau mungkin, “Semasa musim menuai, dia akan mencari-cari tetapi tidak menjumpai apa-apa.”

Atau “Niat hati.”

Atau “integriti.”

Atau “nasihat.”

Atau “memahami haluannya sendiri?”

Harfiah, “nafas.”

Atau “Kasih setia.”

Harfiah, “Luka dan lebam.”

Harfiah, “pukulan.”

Atau “Rancangan orang rajin pasti berjaya.”

Atau mungkin, “Orang yang memperoleh harta sebegitu sedang mencari maut.”

Atau “suka meleter.”

Atau “suka berseronok.”

Atau “suka meleter.”

Lihat nota kaki bagi Ams 11:2.

Atau “mempersembahkannya dan melakukan perkara yang memalukan!”

Atau “orang baik berusaha memastikan agar haluannya benar.”

Harfiah, “Perkenan.”

Atau “orang muda.”

Harfiah, “menjaga pengetahuan.”

Lihat nota kaki bagi Ams 2:16.

Atau “hati orang muda.”

Atau “disiplin.”

Merujuk kepada kes mahkamah.

Harfiah, “Letakkan sebilah pisau pada leher kamu.”

Atau mungkin, “Jangan bergantung pada pengertian kamu sendiri.”

Harfiah, “Penebus.”

Atau “mendisiplinkan orang muda.”

Lihat Kamus.

Harfiah, “Belilah kebenaran dan jangan menjualnya.”

Harfiah, “Belilah.”

Lihat nota kaki bagi Ams 2:16.

Atau “Orang yang mencari.”

Atau “rumah tangga.”

Atau “kejayaan; penyelamatan.”

Atau “Rancangan orang bodoh.”

Atau “niat hati.”

Atau “Orang yang berbuat benar.”

Atau “dengan orang yang menuntut perubahan.”

Iaitu, Yehuwa dan raja.

Atau mungkin, “Menjawab dengan terus terang umpama memberikan ciuman.”

Atau “kata-kata hikmat.”

Atau “rahsia orang lain.”

Atau “Dan khabar angin yang kamu sebarkan dengan niat jahat.”

Harfiah, “Dan lidah yang lembut dapat mematahkan tulang.”

Atau mungkin, “tidak setia.”

Perkataan Ibrani merujuk kepada bahan kimia yang dikenali sebagai soda.

Iaitu, untuk melembutkan hati seseorang dan meredakan kemarahannya.

Atau “suka meleter.”

Atau mungkin, “kutukan yang tidak berasas tidak akan menjadi kenyataan.”

Senjata yang berupa tali, yang digunakan untuk melontar batu.

Atau “yang melukai semua orang.”

Atau “orang yang lalu-lalang.”

Atau “terus menelannya ke dalam perut.”

Harfiah, “Kerana terdapat tujuh perkara yang keji dalam hatinya.”

Atau “suka meleter.”

Lihat Kamus.

Atau “dan Abadon.” Lihat Kamus.

Atau “memerhatikan.”

Atau “yang berintegriti.”

Atau “sentiasa berjaga-jaga.”

Atau “iri hati.”

Atau mungkin, “angkuh.”

Atau mungkin, “Namun orang yang tulus hati berusaha menyelamatkan nyawanya.”

Atau “perasaannya.”

Atau “Disiplin; Hukuman.”

Atau mungkin, “mahu mendapat perkenan.”

Lihat Kamus.

Atau “wadi.”

Atau “yang terlalu menakjubkan bagiku.”

Atau “yang tidak disayangi.”

Atau “Hyrax.” Sejenis binatang yang tinggal di kawasan berbatu. Rupanya seperti tikus belanda yang besar.

Atau “mara secara berkumpulan.”

Huruf Ibrani yang pertama. Pada asalnya, amsal ini ditulis mengikut urutan abjad.

Atau “yang terpuji?”

Atau “tugas.”

Atau “dengan hasil usahanya sendiri.”

Kayu rahat dan pemintal ialah alat yang digunakan untuk memintal atau membuat benang.

Atau “pakaian dalam.”

Atau “Hukum kasih setia ada di lidahnya.”

Atau “terpuji.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi