PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 5 1A-34L
  • Ulangan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Ulangan
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Ulangan

ULANGAN

1 Musa telah berkata-kata kepada umat Israel dekat Sungai Yordan, di kawasan padang belantara yang terletak di hadapan Suf, dekat Paran, Tofel, Laban, Hazerot, dan Dizahab. 2 (Perjalanan dari Horeb ke Kades-barnea+ melalui jalan yang menuju ke Gunung Seir mengambil masa 11 hari.) 3 Pada hari pertama, bulan ke-11, tahun ke-40+ selepas umat Israel keluar dari Mesir, Musa memberitahu umat Israel segala yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya, untuk disampaikan kepada mereka. 4 Hal ini berlaku selepas Sihon,+ raja orang Amori yang memerintah di Hesybon, dan Og,+ raja Basan yang memerintah Asytarot dan Edrei,+ dikalahkan. 5 Musa telah menjelaskan Hukum Tuhan+ kepada umat Israel di kawasan Moab, dekat Sungai Yordan. Musa telah berkata,

6 “Semasa kita berada di Horeb, Yehuwa, Tuhan kita, telah berfirman, ‘Sudah cukup lama kamu tinggal di kawasan pergunungan ini.+ 7 Sekarang bersedialah untuk pergi ke kawasan pergunungan orang Amori+ dan ke kawasan-kawasan di sekitarnya, iaitu ke Araba,+ kawasan pergunungan, Syefela, Negeb, kawasan persisiran laut,+ Kanaan, dan ke Lebanon,*+ sampai ke Sungai Efrat, sungai yang besar itu.+ 8 Aku, Yehuwa, telah bersumpah untuk memberikan tanah itu kepada nenek moyang kamu, iaitu kepada Abraham, Ishak,+ dan Yakub,+ serta keturunan mereka. Sekarang pergilah dan taklukilah tanah itu yang akan Aku berikan kepada kamu.’+

9 “Pada masa itu, aku telah berkata kepada kamu, ‘Aku tidak mampu memimpin kamu seorang diri.+ 10 Yehuwa, Tuhan kamu, sudah melipatgandakan keturunan kamu sehingga menjadi banyak, seperti bintang di langit.+ 11 Semoga Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, melipatgandakan keturunan kamu+ sampai seribu kali ganda, dan semoga Dia memberkati kamu seperti yang telah dijanjikan-Nya.+ 12 Tetapi bagaimana mungkin aku dapat memikul tanggungjawab ini seorang diri? Aku tidak mampu menyelesaikan semua masalah dan pertikaian kamu seorang diri.+ 13 Maka pilihlah beberapa orang yang bijaksana, cekap, dan berpengalaman, daripada setiap suku. Aku akan melantik mereka menjadi ketua kamu.’+ 14 Kamu telah berkata, ‘Apa yang kamu katakan itu baik.’ 15 Oleh itu, aku telah memilih beberapa orang ketua yang bijak dan berpengalaman daripada setiap suku. Selepas itu, aku telah melantik mereka untuk menjadi ketua atas 1,000 orang, 100 orang, 50 orang, dan 10 orang, serta untuk menjadi pegawai-pegawai suku.+

16 “Pada masa itu, aku telah memberikan perintah ini kepada para hakim kamu: ‘Jika ada pertikaian yang timbul, baik antara saudara-saudara kamu sendiri mahupun antara saudara kamu dengan orang asing+ yang tinggal dalam kalangan kamu, kamu mesti menghakimi perkara itu dengan adil.+ 17 Tidak kira seseorang berkedudukan tinggi atau rendah,+ kamu tidak boleh bersikap berat sebelah.+ Semasa menghakimi, janganlah takut terhadap sesiapa pun+ kerana kamu bertindak sebagai wakil Tuhan.+ Jika timbul perkara yang terlalu sukar bagi kamu, serahkanlah perkara itu kepadaku, dan aku akan mengadilinya.’+ 18 Pada masa itu, aku juga telah memberitahu kamu segala perkara yang harus kamu lakukan.

19 “Kemudian seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, kita meninggalkan Horeb dan pergi ke kawasan pergunungan orang Amori.+ Kita telah berjalan melalui padang belantara yang luas dan menakutkan+ lalu tiba di Kades-barnea.+ 20 Di situ aku telah berkata kepada kamu, ‘Kita akan tiba di kawasan pergunungan orang Amori, iaitu tanah yang hendak diberikan oleh Yehuwa kepada kita. 21 Yehuwa, Tuhan kamu, pasti akan memberikan tanah itu kepada kamu. Maka, pergilah dan taklukilah tempat itu seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu.+ Janganlah takut atau gentar!’

22 “Tetapi kamu semua telah datang kepadaku dan berkata, ‘Utuslah beberapa orang untuk mengintip tanah itu bagi kita, supaya kita mengetahui jalan yang harus diikuti dan supaya kita mengetahui keadaan kota-kota di sana.’+ 23 Cadangan kamu itu nampaknya baik. Maka aku telah memilih 12 orang antara kamu, iaitu seorang daripada setiap suku.+ 24 Mereka telah pergi ke kawasan pergunungan+ dan sampai di Lembah* Eskol lalu menjelajahi tempat itu. 25 Mereka mengambil hasil tanah di situ lalu membawanya kepada kita. Mereka berkata, ‘Tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kita itu memang baik.’+ 26 Tetapi kamu enggan mematuhi perintah Yehuwa, Tuhan kamu, dan kamu tidak mahu pergi ke tanah itu.+ 27 Kamu bersungut-sungut di dalam khemah kamu dan berkata, ‘Yehuwa membenci kita. Itulah sebabnya Dia membawa kita keluar dari Mesir dan menyerahkan kita kepada orang Amori, supaya mereka membunuh kita. 28 Kita tidak berani+ pergi ke sana kerana para pengintip itu berkata, “Penduduk di sana lebih kuat dan lebih tinggi daripada kita. Kota-kota mereka sangat besar dan tembok-tembok mereka menjulang tinggi sampai ke langit.+ Kami juga nampak keturunan Enak+ di sana.”’

29 “Tetapi aku telah berkata kepada kamu, ‘Janganlah takut atau gentar terhadap mereka.+ 30 Yehuwa, Tuhan kamu, akan memimpin kamu dan berjuang untuk kamu,+ sebagaimana yang telah dilakukan-Nya di Mesir, di depan mata kamu sendiri.+ 31 Kamu sendiri telah melihat bagaimana Yehuwa memelihara kamu di padang belantara. Seperti seorang bapa menggendong anaknya, Dia telah menjaga kamu sepanjang perjalanan sehingga kamu tiba ke tempat ini.’ 32 Meskipun begitu, kamu tidak beriman kepada Yehuwa, Tuhan kamu,+ 33 yang telah berjalan di hadapan kamu untuk mencari tempat berkhemah bagi kamu. Dia memimpin kamu dengan tiang api pada waktu malam dan dengan tiang awan pada waktu siang, untuk menunjukkan jalan kepada kamu.+

34 “Sepanjang masa itu, Yehuwa mendengar sungutan kamu dan Dia menjadi murka terhadap kamu. Dia telah bersumpah,+ 35 ‘Tiada seorang pun antara generasi yang jahat ini yang akan pergi ke tanah yang subur itu, yang telah Aku janjikan untuk diberikan kepada nenek moyang kamu,+ 36 kecuali Kaleb anak Yefune. Dia akan pergi ke tanah itu, dan Aku akan memberikan tanah yang sudah dijelajahinya itu kepadanya dan kepada keturunannya, kerana dia telah mengikut Aku, Yehuwa, dengan sepenuh hati.+ 37 (Yehuwa juga murka terhadapku kerana kamu semua, dan Dia berfirman, “Engkau pun tidak akan masuk ke tanah itu.+ 38 Yosua+ anak Nun, pembantumu, yang akan masuk ke tanah itu.+ Kuatkanlah hatinya*+ kerana dialah yang akan memimpin umat Israel untuk menduduki tanah itu.”) 39 Kamu semua berkata bahawa anak-anak kamu akan ditawan,+ tetapi anak-anak kamu yang tidak mengetahui apa yang baik atau yang jahat itu akan memasuki tanah tersebut. Aku akan memberikan tanah itu kepada mereka sebagai milik mereka.+ 40 Tetapi, kamu semua harus kembali ke padang belantara melalui Jalan Laut Merah.’+

41 “Kemudian kamu berkata kepadaku, ‘Kami tahu bahawa kami sudah berdosa terhadap Yehuwa. Tetapi sekarang kami bersedia untuk pergi berperang seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhan kami.’ Maka setiap orang dalam kalangan kamu bersiap-siap untuk berperang. Kamu semua berfikir bahawa mudah sahaja untuk menakluki kawasan pergunungan itu.+ 42 Tetapi Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Beritahulah mereka, “Jangan pergi berperang kerana Aku tidak akan menyertai kamu.+ Jika kamu pergi, kamu pasti akan dikalahkan oleh musuh.”’ 43 Aku menyampaikan firman-Nya itu kepada kamu, tetapi kamu tidak mempedulikannya. Sebaliknya kamu memberontak terhadap Yehuwa, dan dengan angkuh kamu pergi ke kawasan pergunungan itu. 44 Kemudian orang Amori yang tinggal di kawasan pergunungan tersebut keluar untuk menyerang kamu. Seperti kawanan lebah, mereka mengejar kamu lalu menyebabkan kamu lari sampai ke Seir dan Horma. 45 Selepas itu, kamu kembali dan menangis di hadapan Yehuwa, tetapi Yehuwa tidak mendengarkan dan tidak mempedulikan kamu. 46 Maka kamu terus tinggal di Kades untuk waktu yang lama.

2 “Kemudian, seperti yang difirmankan oleh Yehuwa kepadaku, kita berpatah balik dan pergi ke padang belantara melalui Jalan Laut Merah.+ Kita mengembara di kawasan Gunung Seir untuk waktu yang lama. 2 Selepas itu Yehuwa berfirman kepadaku, 3 ‘Sudah cukup lama kamu mengembara di kawasan gunung ini. Sekarang pergilah ke arah utara. 4 Beritahulah umat Israel, “Kamu akan sampai ke sempadan tanah sanak saudara kamu, iaitu keturunan Esau+ yang tinggal di Seir.+ Mereka akan berasa takut terhadap kamu,+ tetapi kamu mesti berhati-hati. 5 Jangan bermusuhan dengan mereka, kerana Aku tidak akan memberi kamu mana-mana bahagian daripada tanah mereka. Aku tidak akan memberikan setapak tanah pun daripada tanah mereka kepada kamu, kerana Aku sudah memberikan Gunung Seir kepada Esau sebagai warisannya.+ 6 Jika kamu makan atau minum apa-apa dari kawasan mereka, kamu mesti membayarnya.+ 7 Ingatlah bahawa Yehuwa, Tuhan kamu, sudah memberkati kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan. Dia telah memelihara kamu semasa kamu mengembara di padang belantara yang luas itu selama 40 tahun. Yehuwa telah menyertai kamu sehingga kamu tidak kekurangan apa-apa pun.”’+ 8 Maka kita beredar dari sempadan tanah sanak saudara kita, iaitu keturunan Esau+ yang tinggal di Seir, supaya kita tidak melalui kawasan Araba, Elat, dan Ezion-geber.+

“Kemudian kita membelok lalu mengambil jalan yang menuju ke padang belantara Moab.+ 9 Yehuwa berfirman lagi kepadaku, ‘Jangan bermusuhan atau berperang dengan orang Moab, yang merupakan keturunan Lot.+ Aku tidak akan memberi kamu mana-mana bahagian daripada tanah mereka, kerana Aku sudah memberikan Ar kepada mereka sebagai warisan mereka. 10 (Dahulu orang Emim+ tinggal di situ. Mereka ialah sebuah bangsa yang besar dan kuat, dan mereka berbadan tinggi seperti orang Enak. 11 Orang Refaim+ juga berbadan tinggi seperti orang Enak,+ dan orang Moab menamakan mereka orang Emim. 12 Sebelumnya orang Hori+ tinggal di Seir, tetapi sekarang keturunan Esau yang tinggal di sana, kerana orang Hori telah dibinasakan oleh keturunan Esau.+ Demikianlah yang akan dilakukan oleh orang Israel kepada tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada mereka.) 13 Sekarang pergilah ke seberang Lembah* Zered.’ Oleh itu kita pun menyeberangi Lembah Zered.+ 14 Kita telah menyeberangi Lembah Zered selepas meninggalkan Kades-barnea selama 38 tahun. Pada waktu itu, sepertimana yang difirmankan oleh Yehuwa, generasi yang layak menjadi askar semuanya sudah lenyap daripada kalangan orang Israel.+ 15 Yehuwa telah menentang mereka dengan tangan-Nya yang berkuasa sehingga mereka semua binasa.+

16 “Sejurus selepas generasi yang layak menjadi askar lenyap daripada kalangan orang Israel,+ 17 Yehuwa berfirman lagi kepadaku, 18 ‘Pada hari ini kamu semua akan melalui kawasan orang Moab, iaitu Ar. 19 Kamu akan tiba dekat kawasan orang Ammon, yang merupakan keturunan Lot, tetapi jangan ganggu atau bergaduh dengan mereka. Aku tidak akan memberi kamu mana-mana bahagian daripada tanah mereka, kerana Aku sudah memberikan tanah itu kepada mereka sebagai warisan mereka.+ 20 (Tanah itu juga dianggap sebagai tanah orang Refaim. Dahulu orang Refaim+ tinggal di situ, dan orang Ammon menamakan mereka orang Zamzumim. 21 Mereka ialah sebuah bangsa yang besar dan kuat, dan mereka berbadan tinggi seperti orang Enak.+ Tetapi Yehuwa menghapuskan mereka di hadapan orang Ammon, supaya orang Ammon dapat menduduki tanah itu. 22 Demikian juga yang dilakukan oleh Tuhan bagi keturunan Esau, yang sekarang tinggal di Seir.+ Dia menghapuskan orang Hori+ di hadapan keturunan Esau, supaya mereka dapat menduduki tanah Seir sampai hari ini. 23 Tanah Gaza+ diduduki oleh orang Awim. Tetapi orang Kaftorim+ yang datang dari Kaftor* telah menghapuskan mereka lalu menduduki tanah itu.)

24 “‘Sekarang pergilah ke seberang Lembah Arnon.+ Aku akan menyerahkan Sihon,+ raja Hesybon, orang Amori itu, ke dalam tangan kamu. Pergilah berperang dengannya dan rampaslah tanahnya. 25 Mulai hari ini Aku akan menyebabkan semua penduduk bumi dicengkam rasa takut apabila mendengar tentang kamu. Mereka akan menggeletar ketakutan dan dicengkam perasaan cemas kerana kamu.’+

26 “Kemudian aku menghantar beberapa orang utusan dari padang belantara Kedemot+ untuk menghadap Sihon, raja Hesybon, dengan pesanan* berikut:+ 27 ‘Benarkanlah hamba semua melalui negeri tuanku. Hamba semua hanya akan berjalan melalui jalan besar, dan tidak akan menyimpang ke kiri atau ke kanan.+ 28 Jika hamba semua makan atau minum apa-apa dari kawasan tuanku, hamba semua akan membayarnya. Hamba semua hanya mahu melalui negeri tuanku, 29 sehingga hamba semua menyeberangi Sungai Yordan untuk memasuki tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa, Tuhan hamba semua, kepada hamba semua. Keturunan Esau yang tinggal di Seir dan orang Moab yang tinggal di Ar sudah membenarkan hamba semua melalui tanah mereka.’ 30 Tetapi Sihon, raja Hesybon, tidak membenarkan kita melalui tanahnya. Yehuwa telah membiarkan dia berkeras hati+ supaya dapat menyerahkannya ke dalam tangan kita, seperti yang sudah berlaku sampai sekarang.+

31 “Kemudian Yehuwa berfirman lagi kepadaku, ‘Aku akan menyerahkan Sihon dan tanahnya kepada kamu. Maka pergilah dan taklukilah tanahnya.’+ 32 Apabila Sihon keluar bersama semua tenteranya untuk menyerang kita di Yahas,+ 33 Yehuwa, Tuhan kita, telah menyerahkannya kepada kita, sehingga kita dapat mengalahkannya, putera-puteranya, dan semua rakyatnya. 34 Pada masa itu, kita menawan dan memusnahkan semua kotanya, serta membunuh semua lelaki, perempuan, dan kanak-kanak di situ. Kita tidak membiarkan seorang pun hidup.+ 35 Kita hanya mengambil ternakan dan barang-barang berharga dari kota-kota itu. 36 Kita telah menawan semua kota, dari Aroer,+ yang terletak di bahagian tepi Lembah Arnon (termasuk kota yang terletak di lembah itu), sampai ke kota Gilead. Kita menawan semuanya, kerana Yehuwa, Tuhan kita, telah menyerahkan semua kota itu kepada kita.+ 37 Namun kita tidak mendekati tanah orang Ammon,+ kawasan Lembah Yabok,+ kota-kota di kawasan pergunungan, dan semua tempat lain yang dilarang oleh Yehuwa, Tuhan kita.

3 “Kemudian kita pergi ke arah utara melalui Jalan Basan. Tetapi Og, raja Basan, datang bersama semua tenteranya untuk menyerang kita di Edrei.+ 2 Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Jangan takut kepadanya, kerana Aku akan menyerahkannya dan semua rakyatnya serta semua tanahnya ke dalam tangan kamu. Kamu akan mengalahkannya sebagaimana kamu mengalahkan Sihon, raja orang Amori itu yang tinggal di Hesybon.’ 3 Maka Yehuwa, Tuhan kita, menyerahkan Og, raja Basan itu, dan semua rakyatnya ke dalam tangan kita. Kita membunuh mereka semua sehingga tiada seorang pun yang hidup. 4 Kemudian kita menawan semua kota Raja Og. Semuanya ada 60 buah kota yang kita tawan di seluruh daerah Argob, yang diperintah oleh Raja Og dari Basan.+ Tiada satu kota pun yang tidak kita tawan. 5 Semua kota tersebut bertembok tinggi dan mempunyai pintu gerbang yang berpalang. Selain itu, ada banyak pekan yang kita tawan. 6 Kita memusnahkan semua kota dan pekan itu+ dan membunuh semua lelaki, perempuan, dan kanak-kanak di situ,+ seperti yang telah kita lakukan di kota-kota milik Sihon, raja Hesybon itu. 7 Namun kita mengambil semua ternakan dan barang-barang berharga dari kota-kota itu.

8 “Pada masa itu, kita merebut tanah milik dua orang raja Amori+ itu yang terletak di kawasan Sungai Yordan, iaitu dari Lembah* Arnon sampai ke Gunung Hermon.+ 9 (Orang Amori menamakan gunung itu Senir dan orang Sidon menamakannya Siryon.) 10 Kita juga merebut kota-kota milik Raja Og dari Basan, iaitu semua kota yang terletak di dataran tinggi dan di seluruh daerah Gilead serta daerah Basan, sampai ke kota Salkha dan kota Edrei.+ 11 Raja Og dari Basan ialah keturunan Refaim yang terakhir. Kerandanya diperbuat daripada besi,* berukuran sembilan hasta* panjang dan empat hasta lebar, menurut ukuran yang biasa kita gunakan. Keranda itu masih berada di Raba, kota orang Ammon. 12 Pada waktu itu, kita menakluki kawasan dari Aroer,+ yang terletak di tepi Lembah Arnon, sampai ke setengah daripada kawasan pergunungan Gilead. Aku telah memberikan semua kota di kawasan itu kepada suku Ruben dan suku Gad.+ 13 Kawasan Gilead yang selebihnya dan seluruh Basan yang diperintah oleh Raja Og telah aku berikan kepada separuh suku Manasye.+ Seluruh daerah Argob, iaitu Basan, dahulu dikenali sebagai tanah orang Refaim.

14 “Yair+ daripada suku Manasye menduduki seluruh daerah Argob+ sampai ke sempadan tanah orang Gesur dan orang Maakha.+ Yair menamakan pekan-pekan kecil di sana Hawot-yair*+ menurut namanya sendiri, dan semua pekan itu masih dikenali dengan nama tersebut sampai hari ini. 15 Aku memberikan daerah Gilead kepada Makhir.+ 16 Kepada suku Ruben dan suku Gad+ pula, aku memberikan kawasan dari daerah Gilead sampai ke Lembah Arnon, dengan bahagian tengah lembah itu sebagai sempadan kawasan mereka, dan sampai ke Lembah Yabok yang merupakan sempadan tanah orang Ammon. 17 Demikian juga Araba dan tebing Sungai Yordan, dari Tasik Kineret* sampai ke Laut Araba (iaitu Laut Mati) dan kaki cerun Pisga yang terletak di bahagian timur+ tanah yang dijanjikan itu.

18 “Kemudian aku memberikan perintah ini kepada mereka: ‘Yehuwa, Tuhan kamu, sudah memberikan tanah ini kepada kamu. Semua lelaki yang gagah berani dalam kalangan kamu mesti bersiap sedia untuk berperang, dan mendahului suku Israel yang lain untuk menyeberangi Sungai Yordan.+ 19 Hanya anak isteri kamu dan ternakan kamu yang akan tinggal di kota-kota yang telah kuberikan kepada kamu. (Aku tahu bahawa kamu mempunyai ternakan yang banyak sekali.) 20 Selepas Yehuwa memberi saudara-saudara kamu kedamaian, seperti yang telah diberikan-Nya kepada kamu, dan selepas saudara-saudara kamu menakluki tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada mereka, barulah kamu boleh kembali dan menetap di tanah yang telah diberikan kepada kamu itu.’+

21 “Pada masa itu, aku telah memberikan perintah ini kepada Yosua:+ ‘Kamu sendiri sudah melihat segala yang telah dilakukan oleh Yehuwa kepada dua orang raja itu. Demikianlah yang akan dilakukan oleh Yehuwa kepada semua raja yang negerinya akan kamu serang.+ 22 Jangan takut kepada mereka, kerana Yehuwalah yang akan berjuang untukmu.’+

23 “Pada masa itu, aku telah memohon kepada Yehuwa, 24 ‘Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkau sudah menunjukkan keagungan dan kekuasaan-Mu kepadaku.+ Aku tahu bahawa semua itu hanyalah permulaan, dan Engkau akan melakukan lebih banyak perkara yang luar biasa. Tidak ada tuhan lain, baik di syurga mahupun di bumi, yang dapat melakukan perkara-perkara menakjubkan yang telah Engkau lakukan.+ 25 Benarkanlah aku menyeberangi Sungai Yordan dan melihat tanah yang baik di seberang, iaitu kawasan pergunungan yang indah itu dan kawasan Lebanon.’+ 26 Tetapi Yehuwa masih murka terhadapku kerana kamu semua,+ dan Dia tidak mendengarkan permohonanku. Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Cukuplah! Jangan sebut tentang perkara ini lagi. 27 Pergilah ke puncak Pisga+ dan pandanglah ke utara, selatan, timur, dan barat. Perhatikanlah tanah itu kerana engkau tidak akan menyeberangi Sungai Yordan.+ 28 Lantiklah Yosua+ sebagai penggantimu dan kuatkanlah hatinya, kerana dialah yang akan memimpin+ umat Israel untuk menyeberangi Sungai Yordan dan menduduki tanah yang akan engkau lihat itu.’ 29 Semua peristiwa itu berlaku semasa kita tinggal di lembah yang ada di hadapan Bet-peor.+

4 “Hai umat Israel, dengarkanlah hukum dan ketetapan yang aku ajarkan kepada kamu, supaya kamu terus hidup+ dan dapat menduduki tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, kepada kamu. 2 Jangan tambahkan sesuatu kepada apa yang aku perintahkan dan jangan mengambil keluar sesuatu daripadanya.+ Patuhilah perintah-perintah Yehuwa, Tuhan kamu, yang aku sampaikan kepada kamu.

3 “Kamu sendiri telah melihat apa yang dilakukan oleh Yehuwa terhadap mereka yang menyembah Baal di Peor. Setiap orang yang menyembah Baal di Peor+ telah dibinasakan oleh Yehuwa, Tuhan kamu. 4 Tetapi kamu yang setia kepada Yehuwa, Tuhan kamu, tetap hidup sampai hari ini. 5 Aku sudah mengajar kamu hukum dan ketetapan itu,+ seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhanku. Patuhilah semua hukum dan peraturan itu di tanah yang akan kamu duduki. 6 Kamu mesti mematuhi semuanya dengan bersungguh-sungguh.+ Dengan demikian, kebijaksanaan+ dan pengertian+ kamu akan menjadi nyata di hadapan bangsa-bangsa lain. Apabila mereka mendengar tentang semua hukum itu, mereka akan berkata, ‘Bangsa yang besar itu sesungguhnya bijaksana dan berpengertian.’+ 7 Sememangnya, bangsa besar manakah yang mempunyai tuhan yang begitu dekat apabila diperlukan sebagaimana Yehuwa, Tuhan kita, dekat dengan kita? Dia mendengarkan kita setiap kali kita berseru kepada-Nya.+ 8 Bangsa besar manakah yang mempunyai hukum dan ketetapan yang begitu adil seperti Hukum* yang aku sampaikan kepada kamu hari ini?+

9 “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah supaya kamu tidak lupa akan perkara yang sudah kamu lihat dengan mata kamu sendiri. Simpanlah semua perkara itu dalam hati kamu seumur hidup kamu, dan beritahulah anak cucu kamu tentangnya.+ 10 Pada hari kamu berdiri di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu, di Gunung Horeb, Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Kumpulkanlah umat ini. Aku mahu mereka mendengar firman-Ku+ supaya mereka belajar untuk takut dan hormat kepada-Ku+ seumur hidup mereka, dan supaya mereka mengajar anak-anak mereka untuk berbuat demikian.’+

11 “Maka kamu semua datang dan berdiri di kaki gunung. Pada masa itu, gunung bernyala dan nyala api itu sampai ke langit. Gunung itu diliputi kegelapan dan awan tebal.+ 12 Kemudian Yehuwa berfirman kepada kamu dari dalam api itu.+ Ketika Dia berfirman, kamu mendengar suara-Nya+ tetapi tidak melihat-Nya dalam bentuk apa pun.+ 13 Dia telah memberitahu kamu tentang perjanjian-Nya,+ iaitu Sepuluh Hukum,+ dan mengarahkan kamu untuk mematuhi hukum itu. Selepas itu, Dia menuliskan hukum-hukum itu pada dua keping batu tulis.+ 14 Pada masa itu, Yehuwa menyuruh aku untuk mengajar kamu tentang hukum dan ketetapan-Nya. Patuhilah semua itu di tanah yang akan kamu duduki.

15 “Pada hari Yehuwa berfirman kepada kamu dari dalam api di Gunung Horeb, kamu tidak melihat-Nya dalam apa-apa bentuk pun. Oleh itu, berwaspadalah 16 supaya kamu tidak berdosa. Jangan membuat patung atau lambang dalam apa-apa bentuk pun, sama ada dalam bentuk lelaki atau perempuan,+ 17 atau binatang di darat, atau burung di langit,+ 18 atau binatang yang menjalar, atau ikan di dalam air.+ 19 Semasa kamu melihat ke langit dan nampak matahari, bulan, bintang, dan segala sesuatu di langit, jangan tergoda untuk bersujud dan menyembah benda-benda itu.+ Yehuwa, Tuhan kamu, telah memberikan benda-benda itu kepada bangsa-bangsa lain di bawah langit. 20 Tetapi Yehuwa telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat yang bagaikan relau yang bernyala, supaya kamu menjadi umat pilihan-Nya,*+ sebagaimana keadaan kamu hari ini.

21 “Yehuwa menjadi murka terhadapku kerana kamu semua,+ dan Dia bersumpah bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan untuk memasuki tanah yang baik itu, yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan kamu.+ 22 Aku akan mati di tempat ini; aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan.+ Tetapi kamu semua akan menyeberanginya dan menduduki tanah yang baik itu. 23 Ingatlah baik-baik perjanjian yang telah dibuat oleh Yehuwa dengan kamu.+ Jangan membuat patung dalam apa-apa bentuk pun, seperti yang telah dilarang oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+ 24 Hal ini demikian kerana Yehuwa, Tuhan kamu, adalah seperti api yang memusnahkan,+ dan Dia menghendaki orang untuk menyembah Dia sahaja.+

25 “Apabila kamu sudah tinggal lama di tanah itu dan sudah beranak cucu, jangan membuat patung+ apa pun atau melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa untuk membangkitkan kemurkaan-Nya.+ Jika kamu melakukan dosa sebegitu, 26 kamu pasti akan dilenyapkan dengan segera. Pada hari ini, aku menyuruh langit dan bumi menjadi saksi terhadap kamu bahawa jika kamu berbuat demikian, kamu pasti akan dibinasakan, dan tidak akan tinggal lama di tanah yang akan kamu duduki di seberang Sungai Yordan itu.+ 27 Yehuwa akan mencerai-beraikan kamu antara bangsa-bangsa lain.+ Selepas Yehuwa mengusir kamu, hanya segelintir daripada kamu yang akan selamat.+ 28 Di sana, kamu akan menyembah tuhan-tuhan yang dibuat dengan tangan manusia,+ tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu, yang tidak dapat melihat, mendengar, makan, atau menghidu.

29 “Tetapi jika kamu mencari Yehuwa, Tuhan kamu, dengan sepenuh hati dan segenap jiwa,+ kamu pasti akan menemui-Nya.+ 30 Apabila semua itu terjadi dan kamu sangat menderita, kamu akan kembali kepada Yehuwa, Tuhan kamu, dan mentaati-Nya.+ 31 Yehuwa, Tuhan kamu, ialah Tuhan yang berbelas kasihan.+ Dia tidak akan meninggalkan kamu atau membiarkan kamu dihapuskan. Dia tidak akan melupakan perjanjian-Nya dengan nenek moyang kamu, yang telah dibuat-Nya dengan sumpah.+

32 “Selidikilah masa lampau, masa sebelum kamu dilahirkan. Periksalah dari satu hujung langit ke hujung yang lain. Sejak hari Tuhan menciptakan manusia di bumi, pernahkah perkara sehebat ini berlaku? Pernahkah sesiapa mendengar tentang perkara sebegini?+ 33 Pernahkah ada bangsa yang tetap hidup setelah mendengar Tuhan berfirman dari dalam api, sebagaimana yang telah kamu alami?+ 34 Atau pernahkah Tuhan membawa keluar sebuah bangsa daripada bangsa lain seperti yang dilakukan-Nya terhadap kamu di Mesir? Tuhan telah mendatangkan peperangan+ dan melakukan banyak tanda, mukjizat,+ dan perbuatan yang dahsyat,+ di depan mata kamu sendiri. Ya, Yehuwa, Tuhan kamu, telah menghulurkan tangan-Nya yang kuat dan perkasa+ demi kamu. 35 Segala perkara itu berlaku di hadapan kamu supaya kamu tahu bahawa Yehuwalah Tuhan yang benar.+ Tiada Tuhan lain kecuali Dia.+ 36 Dia membenarkan kamu mendengar suara-Nya dari syurga supaya Dia dapat membetulkan kamu. Dia membenarkan kamu melihat api-Nya yang besar di bumi, dan mendengar firman-Nya dari dalam api itu.+

37 “Oleh sebab Dia mengasihi nenek moyang kamu dan memilih keturunan mereka untuk menjadi umat-Nya,+ Dia sendiri membawa kamu keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar. 38 Kamu telah melihat bagaimana Dia mengusir bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu, supaya Dia dapat membawa kamu ke tanah mereka dan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai warisan, seperti yang terjadi sekarang ini.+ 39 Maka pada hari ini, ketahuilah dan janganlah lupa bahawa Yehuwa ialah satu-satunya+ Tuhan yang benar di syurga dan di bumi.+ 40 Patuhilah hukum dan perintah Tuhan yang aku sampaikan kepada kamu hari ini, supaya kamu dan keturunan kamu hidup sejahtera dan tetap tinggal di tanah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu.”+

41 Kemudian, Musa memilih tiga buah kota di sebelah timur Sungai Yordan.+ 42 Jika seseorang membunuh orang lain dengan tidak sengaja, dan dia tidak membenci orang itu,+ maka dia harus melarikan diri ke salah sebuah kota itu supaya dia tidak dibunuh.+ 43 Kota yang dipilih untuk suku Ruben ialah Bezer+ di padang belantara yang terletak di dataran tinggi. Kota yang dipilih untuk suku Gad pula ialah Ramot+ di Gilead, manakala kota yang dipilih untuk suku Manasye+ ialah Golan+ di Basan.

44 Musa memberikan Hukum+ kepada umat Israel. 45 Ya, selepas umat Israel keluar dari Mesir, Musa telah memberikan peringatan, peraturan, dan ketetapan, kepada mereka+ 46 semasa mereka berada dekat Sungai Yordan, di lembah di seberang kota Bet-peor,+ yang terletak di dalam wilayah Raja Sihon, orang Amori itu yang tinggal di Hesybon.+ Musa dan orang Israel telah mengalahkan raja itu selepas mereka keluar dari Mesir.+ 47 Selepas itu, mereka menduduki tanahnya dan juga tanah Raja Og+ di Basan. Kawasan jajahan kedua-dua raja orang Amori itu terletak di sebelah timur Sungai Yordan, 48 bermula dari Aroer+ yang terletak di pinggir Lembah* Arnon sampai ke Gunung Sion, iaitu Gunung Hermon,+ 49 termasuk kawasan Araba di timur Sungai Yordan sampai ke Laut Araba* dan kaki cerun Pisga.+

5 Kemudian Musa mengumpulkan semua orang Israel lalu berkata kepada mereka, “Hai umat Israel, dengarlah dan pelajarilah semua peraturan dan ketetapan yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini. Patuhilah semua hukum dan peraturan itu dengan bersungguh-sungguh. 2 Yehuwa, Tuhan kita, telah membuat perjanjian dengan kita di Horeb.+ 3 Yehuwa tidak membuat perjanjian itu dengan nenek moyang kita, tetapi dengan kita semua. Ya, Dia telah membuat perjanjian itu dengan kita semua yang hidup hari ini. 4 Yehuwa telah berfirman kepada kamu dari dalam api di gunung itu secara bersemuka.+ 5 Pada masa itu, aku menjadi perantara antara Yehuwa dengan kamu+ untuk menyampaikan firman Yehuwa kepada kamu, kerana kamu takut kepada api itu dan enggan mendaki gunung tersebut.+ Dia berfirman,

6 “‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba.+ 7 Jangan menyembah tuhan-tuhan lain.* Sembahlah Aku sahaja.+

8 “‘Jangan membuat patung+ atau lambang yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi. 9 Jangan bersujud atau tergoda untuk menyembah semua itu,+ kerana Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. Sembahlah Aku sahaja.+ Aku menghukum orang yang membenci Aku. Kerana dosa bapa, Aku akan menghukum keturunannya sehingga generasi yang ketiga dan keempat.+ 10 Tetapi Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada beribu-ribu generasi yang mengasihi Aku dan mematuhi perintah-Ku.

11 “‘Jangan menggunakan nama-Ku, iaitu Yehuwa, secara sembarangan+ kerana Aku, Yehuwa, akan menghukum sesiapa yang menyalahgunakan nama-Ku.+

12 “‘Jangan lupa untuk merayakan hari Sabat dan memandangnya sebagai hari yang suci, sebagaimana yang telah Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, perintahkan kepada kamu.+ 13 Selama enam hari kamu boleh bekerja.+ 14 Tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat yang dikhaskan untuk Aku, Yehuwa, Tuhan kamu.+ Pada hari itu, kamu tidak boleh bekerja,+ begitu juga dengan anak lelaki dan anak perempuan kamu, hamba lelaki dan hamba perempuan kamu, lembu dan keldai serta ternakan kamu yang lain, dan orang asing yang menetap di kota-kota kamu.+ Dengan demikian hamba lelaki dan hamba perempuan kamu juga dapat berehat.+ 15 Ingatlah bahawa Aku, Yehuwa, telah membebaskan kamu daripada perhambaan di Mesir. Aku telah menghulurkan tangan-Ku yang kuat dan perkasa untuk menyelamatkan kamu.+ Itulah sebabnya Aku, Yehuwa, memerintahkan kamu untuk merayakan hari Sabat.

16 “‘Hormatilah ibu bapa kamu,+ sebagaimana yang telah Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, perintahkan kepada kamu. Dengan itu kamu akan panjang umur dan hidup makmur di tanah yang Aku, Yehuwa, berikan kepada kamu.+

17 “‘Jangan membunuh.+

18 “‘Jangan berzina.+

19 “‘Jangan mencuri.+

20 “‘Jangan memberikan kesaksian palsu tentang orang lain.+

21 “‘Jangan mengingini kepunyaan orang lain, sama ada isterinya,+ rumahnya, ladangnya, hamba lelakinya, hamba perempuannya, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimilikinya.’+

22 “Yehuwa telah memberikan semua hukum tersebut kepada kamu semasa kamu berkumpul di gunung itu. Dengan suara yang kuat, Dia telah berfirman kepada kamu dari dalam api dan awan tebal.+ Hanya hukum-hukum itu yang telah diberikan-Nya, dan Dia telah menuliskan hukum-hukum itu pada dua keping batu tulis lalu memberikannya kepadaku.+

23 “Sebaik sahaja kamu mendengar suara dari dalam awan tebal di gunung yang diliputi api itu,+ semua ketua suku dan pemimpin kamu segera datang kepadaku. 24 Mereka berkata, ‘Yehuwa, Tuhan kita, telah menunjukkan kemuliaan dan kekuasaan-Nya kepada kita semua. Kita telah mendengar suara-Nya dari dalam api itu.+ Hari ini kita telah melihat bahawa seseorang boleh tetap hidup meskipun Tuhan sudah berfirman kepadanya.+ 25 Tetapi jika kami terus mendengar suara Yehuwa, Tuhan kita, kami pasti akan mati. Kami tidak mahu mati dibinasakan oleh api yang dahsyat itu! 26 Pernahkah ada sesiapa yang tetap hidup setelah mendengar Tuhan yang hidup berfirman dari dalam api, sebagaimana yang telah kami alami? 27 Kamulah yang pergi menghadap Yehuwa, Tuhan kita, dan mendengar segala yang difirmankan oleh-Nya. Kemudian beritahulah kami segala yang difirmankan oleh Yehuwa kepadamu. Kami akan mendengar dan mematuhi perintah itu.’+

28 “Apabila Yehuwa mendengar kata-kata kamu itu, Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Aku sudah mendengar apa yang dikatakan oleh umat ini kepadamu. Semua yang dikatakan oleh mereka itu baik.+ 29 Alangkah baiknya jika mereka sentiasa takut dan hormat kepada-Ku+ dan mematuhi segala perintah-Ku,+ supaya mereka dan keturunan mereka sejahtera selama-lamanya!+ 30 Beritahulah mereka, “Kembalilah ke khemah kamu masing-masing.” 31 Tetapi engkau harus tinggal di sini bersama-Ku. Aku akan memberitahu engkau segala perintah, peraturan, dan ketetapan-Ku, yang harus engkau ajarkan kepada mereka. Mereka harus mematuhinya di tanah yang akan Aku berikan kepada mereka.’ 32 Pastikanlah bahawa kamu semua mematuhi setiap perintah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+ Janganlah menyimpang daripadanya, baik ke kiri mahupun ke kanan.+ 33 Ikutlah sepenuhnya haluan yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada kamu.+ Dengan itu, kamu akan panjang umur dan hidup makmur di tanah yang akan kamu duduki itu.+

6 “Yehuwa, Tuhan kamu, memerintahkan aku untuk mengajarkan semua perintah, peraturan, dan ketetapan ini kepada kamu. Kamu mesti mematuhi semua ini apabila kamu memasuki tanah yang akan kamu takluki itu. 2 Seumur hidup, kamu dan anak cucu kamu mesti takut dan hormat kepada Yehuwa, Tuhan kamu. Kamu juga mesti mematuhi segala hukum dan perintah yang aku sampaikan kepada kamu,+ supaya kamu dan anak cucu kamu panjang umur.+ 3 Hai umat Israel, dengarkanlah dan patuhilah semua hukum itu dengan bersungguh-sungguh. Dengan demikian, kamu akan hidup makmur dan bertambah banyak di tanah yang melimpah dengan susu dan madu itu, sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu.

4 “Dengarlah hai umat Israel, Yehuwa ialah Tuhan kita dan Yehuwalah Tuhan yang esa.+ 5 Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa,*+ dan dengan segenap kekuatan*+ kamu. 6 Semua yang aku sampaikan kepada kamu hari ini mesti kamu simpan dalam hati kamu. 7 Ajarkanlah semua itu kepada anak-anak+ kamu secara berulang-ulang. Percakapkanlah semua itu semasa kamu di rumah, semasa kamu berjalan, semasa kamu berbaring, dan semasa kamu bangun.+ 8 Ikatkanlah semua hukum itu pada lengan kamu dan ikatkannya pada dahi kamu sebagai peringatan.+ 9 Tuliskanlah hukum-hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu gerbang kota kamu.

10 “Yehuwa, Tuhan kamu, telah berjanji kepada nenek moyang kamu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub, untuk memberi dan membawa kamu ke tanah itu+ yang mempunyai banyak kota yang besar dan cantik, yang tidak kamu bina.+ 11 Rumah-rumah di sana penuh dengan barang-barang yang baik, yang tidak kamu peroleh dengan usaha sendiri. Di sana juga terdapat perigi-perigi yang tidak kamu gali, dan ladang-ladang anggur serta ladang-ladang zaitun yang tidak kamu usahakan. Kamu akan mempunyai makanan yang begitu banyak sehingga kamu berasa puas sekali.+ 12 Pada masa itu, berhatilah-hatilah agar kamu tidak lupa akan Yehuwa,+ Tuhan yang telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu. 13 Kamu mesti takut dan hormat kepada Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu mesti menyembah-Nya sahaja+ dan bersumpah demi nama-Nya sahaja.+ 14 Jangan menyembah tuhan-tuhan lain, atau tuhan mana pun yang disembah oleh bangsa-bangsa yang tinggal di sekeliling kamu,+ 15 kerana Yehuwa, Tuhan yang ada dalam kalangan kamu, menghendaki kamu untuk menyembah Dia sahaja.+ Jika kamu menyembah tuhan-tuhan lain, Yehuwa, Tuhan kamu, akan murka terhadap kamu+ dan Dia pasti akan melenyapkan kamu dari muka bumi ini.+

16 “Jangan menguji Yehuwa, Tuhan kamu,+ seperti yang kamu lakukan di Masah.+ 17 Kamu mesti mematuhi perintah, peraturan, dan peringatan, yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, dengan bersungguh-sungguh. 18 Kamu mesti melakukan apa yang baik dan benar di mata Yehuwa. Dengan itu, kamu akan hidup makmur dan dapat memasuki serta menakluki tanah yang baik itu, yang telah dijanjikan oleh Yehuwa kepada nenek moyang kamu.+ 19 Kamu pasti akan dapat mengusir musuh kamu dari hadapan kamu, seperti yang telah dijanjikan oleh Yehuwa.+

20 “Pada kemudian hari, jika anak-anak kamu bertanya, ‘Mengapa Yehuwa, Tuhan kita, memberikan semua peringatan, peraturan, dan ketetapan itu kepada kamu?’ 21 Maka kamu harus berkata, ‘Kami telah menjadi hamba kepada Firaun* di Mesir, tetapi Yehuwa telah membawa kami keluar dari sana dengan tangan-Nya yang berkuasa. 22 Yehuwa telah melakukan mukjizat-mukjizat yang menakjubkan dan perkara-perkara yang dahsyat terhadap orang Mesir,+ terhadap Firaun, dan terhadap semua rumah tangganya, di depan mata kami sendiri.+ 23 Dia telah membawa kami keluar dari sana supaya kami dapat memasuki tanah yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita.+ 24 Kemudian Yehuwa memerintahkan kami untuk hormat dan takut kepada-Nya. Yehuwa juga memerintahkan kami untuk mematuhi segala peraturan yang diberikan-Nya kepada kami. Jika kami berbuat demikian, kami akan sentiasa hidup makmur+ dan dapat terus hidup,+ seperti pada hari ini. 25 Jika kami mentaati Yehuwa, Tuhan kita, dan mematuhi semua perintah-Nya dengan bersungguh-sungguh, kami akan mendapat perkenan-Nya.’+

7 “Apabila Yehuwa, Tuhan kamu, membawa kamu ke tanah yang akan kamu takluki itu,+ Dia akan mengusir orang Het, Girgashi, Amori,+ Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebus,+ iaitu tujuh bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu.+ Dia akan mengusir semua bangsa itu dari hadapan kamu.+ 2 Yehuwa, Tuhan kamu, akan menyerahkan bangsa-bangsa itu ke dalam tangan kamu, dan kamu mesti mengalahkan+ dan membinasakan mereka semua.+ Jangan mengasihani mereka dan jangan membuat perjanjian dengan mereka.+ 3 Jangan menjalin ikatan perkahwinan dengan mereka. Jangan mengahwinkan anak perempuan kamu dengan anak lelaki mereka, dan jangan mengambil anak perempuan mereka untuk dijadikan isteri anak lelaki kamu.+ 4 Hal ini demikian kerana mereka akan menyebabkan anak-anak lelaki kamu menyembah tuhan-tuhan lain.+ Jika hal ini berlaku, Yehuwa pasti akan murka terhadap kamu dan membinasakan kamu dengan serta-merta.+

5 “Sebaliknya, musnahkanlah mazbah-mazbah mereka, tebanglah tiang-tiang suci* mereka,+ hancurkanlah tugu-tugu suci* mereka,+ dan bakarlah semua berhala mereka.+ 6 Hal ini demikian kerana kamu dianggap suci oleh Yehuwa, Tuhan kamu. Yehuwa telah memilih kamu daripada kalangan bangsa-bangsa lain di bumi ini untuk dijadikan umat-Nya yang istimewa.*+

7 “Kamu dikasihi dan dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu, bukan kerana kamu lebih besar daripada bangsa lain;+ sebenarnya kamu ialah bangsa yang paling kecil dalam kalangan semua bangsa.+ 8 Sebaliknya, Yehuwa telah membebaskan kamu daripada kuasa Firaun, raja Mesir, dengan tangan-Nya yang perkasa, dan Yehuwa telah menyelamatkan kamu daripada perhambaan di Mesir,+ kerana Dia mengasihi kamu dan ingin menepati janji dan sumpah yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu.+ 9 Kamu memang tahu bahawa Yehuwa, Tuhan kamu, ialah Tuhan yang benar dan setia. Dia menepati janji dan menunjukkan kasih setia kepada beribu-ribu generasi yang mengasihi-Nya, dan yang mematuhi perintah-Nya.+ 10 Tetapi Dia pasti akan membinasakan orang yang membenci-Nya.+ Ya, Dia pasti tidak akan teragak-agak untuk menghukum dan melenyapkan orang yang membenci-Nya. 11 Oleh itu, patuhilah dengan teliti semua perintah, peraturan, dan ketetapan, yang aku sampaikan kepada kamu hari ini.

12 “Jika kamu terus mendengarkan dan mengikut semua ketetapan itu, Yehuwa, Tuhan kamu, akan menepati perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu, dan Dia akan menunjukkan kasih setia kepada kamu. 13 Dia akan mengasihi kamu, memberkati kamu, dan melipatgandakan keturunan kamu. Ya, Dia akan memberi kamu banyak anak.+ Dia akan memberkati ladang kamu supaya kamu memperoleh biji-bijian, minyak, dan wain baharu.+ Dia juga akan memberkati ternakan kamu supaya kamu mendapat banyak lembu dan bebiri. Dia akan memberi kamu semua berkat ini di tanah yang akan diberikan-Nya kepada kamu, menurut janji yang telah dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu.+ 14 Kamu akan menjadi bangsa yang paling diberkati antara semua bangsa yang lain.+ Tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang akan mandul, dan semua ternakan kamu akan membiak.+ 15 Yehuwa akan menghapuskan semua penyakit kamu. Dia tidak akan membiarkan penyakit-penyakit teruk yang terdapat di Mesir untuk menimpa kamu.+ Sebaliknya, Dia akan menimpakan penyakit itu kepada semua orang yang membenci kamu. 16 Kamu harus membinasakan semua orang yang diserahkan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu.+ Jangan berasa kasihan terhadap mereka.+ Jangan menyembah tuhan-tuhan mereka,+ kerana hal itu pasti akan menjadi jerat bagi kamu.+

17 “Mungkin kamu berkata dalam hati kamu, ‘Bangsa-bangsa itu lebih besar daripada kami. Bagaimana kami dapat mengusir mereka?’+ 18 Jangan takut terhadap mereka.+ Ingatlah akan apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, terhadap Firaun dan semua orang Mesir.+ 19 Ingatlah bahawa Yehuwa telah menjatuhkan hukuman yang berat kepada mereka. Dia telah melakukan tanda dan mukjizat di depan mata kamu sendiri+ untuk membawa kamu keluar dari sana. Dengan cara yang sama, Yehuwa, Tuhan kamu, akan menghulurkan tangan-Nya yang kuat dan perkasa+ untuk menghapuskan bangsa-bangsa yang kamu takuti itu.+ 20 Yehuwa, Tuhan kamu, akan menyebabkan musuh kamu dilanda rasa gentar,+ dan Dia akan menghapuskan mereka yang masih tertinggal dan yang bersembunyi. 21 Jangan takut terhadap mereka, kerana Yehuwa, Tuhan kamu, menyertai kamu.+ Dia Tuhan yang agung dan sungguh hebat.+

22 “Yehuwa, Tuhan kamu, pasti akan mengusir mereka dari hadapan kamu sedikit demi sedikit.+ Dia tidak akan membenarkan kamu menghapuskan mereka dengan sekali gus, kerana jika kamu berbuat demikian, binatang buas akan bertambah banyak dan membahayakan kamu. 23 Yehuwa, Tuhan kamu, akan menyerahkan mereka ke dalam tangan kamu, dan Dia akan mengalahkan dan melenyapkan mereka semua.+ 24 Dia akan menyerahkan raja-raja mereka ke dalam tangan kamu,+ dan kamu akan melenyapkan mereka dari muka bumi ini.+ Tiada seorang pun yang dapat melawan kamu;+ kamu akan membinasakan mereka sama sekali.+ 25 Bakarlah semua berhala mereka+ dan jangan menginginkan emas dan perak yang ada pada berhala-berhala itu,+ kerana hal itu akan menjadi jerat bagi kamu. Jangan mengambil berhala-berhala itu kerana Yehuwa, Tuhan kamu, sangat membenci semua benda itu.+ 26 Jangan membawa benda-benda yang dibenci oleh Tuhan ke dalam rumah kamu. Jika kamu membawanya, kamu juga akan dibinasakan seperti benda itu. Kamu mesti membenci dan menganggap semua benda itu menjijikkan, kerana benda-benda itu mesti dihancurkan.

8 “Patuhilah segala perintah yang aku sampaikan kepada kamu hari ini dengan teliti. Dengan demikian, kamu dapat terus hidup+ dan bertambah banyak serta dapat masuk dan menakluki tanah yang telah dijanjikan oleh Yehuwa kepada nenek moyang kamu.+ 2 Ingatlah bahawa Yehuwa, Tuhan kamu, telah memimpin kamu dalam perjalanan jauh di padang belantara selama 40 tahun,+ kerana Dia ingin merendahkan hati kamu. Dia ingin menguji kamu+ untuk mengetahui isi hati kamu+ dan untuk mengetahui sama ada kamu akan mematuhi perintah-Nya atau tidak. 3 Dia telah merendahkan hati kamu dan membiarkan kamu kelaparan+ lalu memberi kamu manna,+ iaitu makanan yang tidak pernah kamu dan nenek moyang kamu lihat. Dengan itu, kamu sedar bahawa manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.+ 4 Selama 40 tahun itu, pakaian kamu tidak menjadi usang, dan kaki kamu tidak menjadi bengkak.+ 5 Kamu memang tahu bahawa seperti seorang bapa menegur ajar anak-anaknya, Yehuwa, Tuhan kamu, telah menegur ajar kamu.+

6 “Oleh itu, patuhilah perintah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu. Hiduplah menurut segala kehendak-Nya dan takutlah kepada-Nya. 7 Yehuwa, Tuhan kamu, sedang membawa kamu ke tanah yang subur itu.+ Tanah itu mempunyai banyak sungai,* mata air, dan sumber-sumber air yang lain, yang memancur dari bukit-bukit dan yang mengalir di kawasan dataran. 8 Di sana terdapat juga gandum, barli, pokok anggur, pokok ara, pokok delima,+ pokok zaitun, dan madu.+ 9 Di tanah itu, kamu akan mempunyai makanan yang berlimpah-limpah sehingga kamu tidak akan kekurangan apa-apa pun. Batu-batu di sana mengandungi besi, dan kamu dapat melombong tembaga dari bukit-bukit di situ.

10 “Apabila kamu puas menikmati makanan yang melimpah, kamu harus memuji Yehuwa, Tuhan kamu, kerana Dia telah memberikan tanah yang subur itu kepada kamu.+ 11 Berhati-hatilah agar kamu tidak melupakan Yehuwa, Tuhan kamu. Jangan gagal mematuhi semua perintah, ketetapan, dan peraturan-Nya, yang aku sampaikan kepada kamu hari ini. 12 Apabila kamu puas menikmati makanan yang melimpah, dan sudah membina rumah-rumah yang indah sebagai tempat tinggal kamu,+ 13 apabila ternakan kamu sudah menjadi banyak, dan emas, perak, dan segala harta kamu sudah bertambah banyak, 14 jangan menjadi sombong+ dan melupakan Yehuwa, Tuhan yang telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu.+ 15 Ingatlah bahawa Dia telah memimpin kamu melalui padang belantara yang luas dan menakutkan itu,+ yang dihuni oleh ular berbisa dan kala jengking. Tempat itu tandus dan tidak berair, tetapi Dia telah menyebabkan air keluar dari bukit batu.+ 16 Dia juga telah memberi kamu manna+ untuk dimakan, iaitu makanan yang tidak pernah dilihat oleh nenek moyang kamu. Dia berbuat demikian untuk merendahkan hati kamu+ dan untuk menguji kamu, agar kamu dapat hidup makmur pada kemudian hari.+ 17 Jangan berkata dalam hati kamu, ‘Aku menjadi makmur kerana kuasa dan kekuatanku sendiri.’+ 18 Ingatlah bahawa Yehuwalah yang telah menjadikan kamu kuat dan menyebabkan kamu hidup makmur.+ Dia berbuat demikian kerana ingin menepati perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu, seperti yang telah dilakukan-Nya sampai hari ini.+

19 “Aku memberikan amaran ini kepada kamu: Jika kamu melupakan Yehuwa, Tuhan kamu, dan pergi kepada tuhan-tuhan lain untuk menyembah tuhan-tuhan itu, kamu pasti akan dibinasakan.+ 20 Sebagaimana Yehuwa, Tuhan kamu, melenyapkan bangsa-bangsa lain, Yehuwa juga akan melenyapkan kamu jika kamu tidak mematuhi firman-Nya.+

9 “Dengarlah, hai umat Israel. Pada hari ini, kamu akan menyeberangi Sungai Yordan+ untuk memasuki dan menakluki tanah milik bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu.+ Kota-kota mereka sangat besar dan tembok-tembok mereka menjulang tinggi sampai ke langit.+ 2 Keturunan Enak yang tinggal di sana tinggi dan perkasa,+ seperti yang sudah kamu tahu. Malah kamu mendengar orang berkata, ‘Tiada sesiapa pun yang dapat melawan orang Enak.’ 3 Namun ketahuilah bahawa pada hari ini, Yehuwa, Tuhan kamu, yang seperti api yang memusnahkan,+ akan mendahului kamu+ dan membinasakan mereka semua. Yehuwa akan mengalahkan mereka di depan mata kamu, supaya kamu dapat mengusir mereka dengan cepat lalu menghapuskan mereka semua, seperti yang telah dijanjikan-Nya.+

4 “Selepas Yehuwa, Tuhan kamu, mengusir mereka di depan mata kamu, jangan berkata dalam hati kamu, ‘Yehuwa telah membawa kami ke tanah ini dan membiarkan kami menaklukinya kerana kami melakukan apa yang benar.’+ Ketahuilah bahawa Yehuwa telah mengusir bangsa-bangsa itu kerana kejahatan yang dilakukan oleh mereka.+ 5 Yehuwa membenarkan kamu menduduki tanah itu bukan kerana kamu baik atau melakukan apa yang benar. Tetapi Yehuwa telah mengusir bangsa-bangsa itu dari hadapan kamu kerana mereka jahat,+ dan kerana Dia ingin menepati perjanjian yang telah dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu, iaitu Abraham,+ Ishak,+ dan Yakub.+ 6 Ya, ketahuilah bahawa Yehuwa memberikan tanah yang subur itu kepada kamu bukan kerana kamu telah melakukan apa yang benar. Sebenarnya, kamu umat yang keras kepala!+

7 “Ingatlah dan jangan sekali-kali lupa bahawa kamu telah membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan kamu, semasa kamu berada di padang belantara.+ Sejak kamu meninggalkan Mesir sampai kamu tiba di tempat ini, kamu asyik memberontak terhadap Yehuwa,+ 8 bahkan di Horeb pun kamu menyebabkan Yehuwa murka. Yehuwa begitu murka sehingga Dia mahu membinasakan kamu semua.+ 9 Aku telah mendaki gunung di situ untuk menerima batu-batu tulis+ yang mengandungi kata-kata perjanjian yang dibuat oleh Yehuwa dengan kamu.+ Aku berada di atas gunung itu selama 40 hari dan 40 malam,+ dan sepanjang masa itu, aku tidak makan atau minum apa-apa pun. 10 Kemudian Yehuwa memberikan dua keping batu tulis itu kepadaku. Dengan tangan-Nya sendiri, Yehuwa menulisi batu tersebut dengan segala yang telah difirmankan-Nya kepada kamu dari dalam api itu, iaitu semasa kamu* berkumpul di kaki gunung itu.+ 11 Selepas 40 hari dan 40 malam, Yehuwa memberikan dua keping batu yang mengandungi kata-kata perjanjian-Nya itu kepadaku. 12 Selepas itu, Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Turunlah dengan segera kerana umat yang engkau bawa keluar dari Mesir itu telah melakukan dosa yang besar.+ Cepat sekali mereka menyimpang daripada jalan yang telah Aku perintahkan kepada mereka. Mereka telah membuat sebuah berhala logam untuk diri mereka sendiri.’+ 13 Kemudian Yehuwa berfirman lagi kepadaku, ‘Aku telah memperhatikan umat ini, dan Aku tahu benar bahawa umat ini memang degil.+ 14 Jadi biarlah Aku membinasakan mereka dan melenyapkan mereka dari muka bumi ini. Setelah itu, Aku akan menjadikan engkau sebuah bangsa yang lebih kuat dan lebih besar daripada mereka.’+

15 “Kemudian aku turun dari gunung itu sambil membawa dua keping batu tulis yang mengandungi kata-kata perjanjian Tuhan.+ Pada masa itu, api yang bernyala-nyala kelihatan di gunung tersebut.+ 16 Aku nampak bahawa kamu telah berdosa terhadap Yehuwa, Tuhan kamu. Kamu telah membuat sebuah patung anak lembu daripada logam untuk diri kamu sendiri, dan dengan begitu cepat kamu telah menyimpang daripada jalan yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada kamu.+ 17 Maka aku melemparkan batu-batu tulis yang aku bawa itu sehingga hancur berkecai di depan mata kamu semua.+ 18 Selepas itu, sekali lagi aku bersujud di hadapan Yehuwa selama 40 hari dan 40 malam. Aku tidak makan dan minum apa-apa pun.+ Aku berbuat demikian kerana kamu telah melakukan dosa yang besar terhadap Yehuwa. Kamu telah melakukan perkara yang jahat di mata-Nya dan menyebabkan Dia murka. 19 Aku sangat takut kerana Yehuwa begitu murka terhadap kamu+ sehingga Dia ingin melenyapkan kamu semua. Tetapi kali itu pun Yehuwa mendengarkan aku.+

20 “Yehuwa juga begitu murka terhadap Harun sehingga Dia ingin membinasakannya.+ Tetapi pada masa itu aku telah merayu bagi pihak Harun. 21 Kamu telah berdosa kerana membuat patung anak lembu itu.+ Maka aku mengambil patung itu dan membakarnya di dalam api lalu menghancurkannya dan menumbuknya sehingga menjadi serbuk. Selepas itu, aku membuang serbuk tersebut ke dalam sungai yang mengalir dari gunung itu.+

22 “Selain itu, kamu juga telah menyebabkan Yehuwa murka semasa kamu berada di Tabera,+ Masah,+ dan Kibrot-hataawa.+ 23 Kemudian Yehuwa menyuruh kamu meninggalkan Kades-barnea.+ Dia berfirman, ‘Pergilah dan taklukilah tanah yang akan Aku berikan kepada kamu itu!’ Tetapi sekali lagi kamu memberontak terhadap Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu tidak mematuhi perintah-Nya dan tidak beriman kepada-Nya.+ 24 Sejak aku mengenal kamu, kamu sentiasa memberontak terhadap Yehuwa.

25 “Maka aku terus bersujud di hadapan Yehuwa selama 40 hari dan 40 malam itu,+ kerana aku tahu bahawa Yehuwa ingin membinasakan kamu semua. 26 Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa dan berkata, ‘Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, janganlah membinasakan umat-Mu. Mereka ialah umat pilihan-Mu,*+ yang telah Engkau selamatkan dari Mesir dengan tangan-Mu yang perkasa. Ya, dengan kuasa-Mu yang besar, Engkau telah menebus mereka semua.+ 27 Ingatlah akan hamba-hamba-Mu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub.+ Janganlah bertumpu kepada kedegilan, kejahatan, dan dosa umat ini.+ 28 Jika Engkau membinasakan mereka, orang Mesir mungkin akan berkata, “Yehuwa tidak mampu membawa umat-Nya ke tanah yang telah dijanjikan-Nya kepada mereka. Dia telah membawa mereka ke padang belantara dan membinasakan mereka di sana, kerana Dia membenci mereka.”+ 29 Ingatlah bahawa mereka ialah umat pilihan-Mu,*+ yang telah Engkau selamatkan dengan tangan-Mu yang kuat dan perkasa.’+

10 “Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Pahatlah dua keping batu tulis seperti yang dahulu+ dan datanglah kepada-Ku di atas gunung. Engkau juga harus membuat sebuah tabut* daripada kayu. 2 Pada batu-batu itu, Aku akan menuliskan kata-kata yang ada pada batu-batu pertama, yang telah engkau pecahkan. Setelah itu, engkau harus menyimpan batu-batu tulis tersebut di dalam tabut itu.’ 3 Maka aku membuat sebuah tabut daripada kayu akasia, dan memahat dua keping batu tulis seperti yang dahulu. Kemudian aku mendaki gunung itu sambil membawa dua keping batu tulis tersebut.+ 4 Pada batu tulis itu, Yehuwa menuliskan kata-kata yang telah ditulis-Nya pada kali pertama.+ Dia menuliskan Sepuluh Hukum+ yang diberikan-Nya kepada kamu ketika Dia berfirman kepada kamu dari dalam api,+ semasa kamu berkumpul di kaki gunung itu.+ Kemudian Yehuwa memberikan batu-batu tulis itu kepadaku. 5 Selepas itu, aku turun dari gunung+ dan meletakkan batu tulis itu di dalam tabut yang telah aku buat. Batu tulis tersebut disimpan di dalam tabut itu, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadaku.

6 “Umat Israel meninggalkan Berot Bene-yaakan lalu pergi ke Mosera. Di sana, Harun meninggal dan dikebumikan,+ lalu anaknya Eleazar dilantik sebagai imam untuk menggantikannya.+ 7 Dari Mosera, mereka bertolak ke Gudgoda lalu pergi ke Yotbata,+ iaitu tempat yang mempunyai banyak sungai.*

8 “Pada masa itu, Yehuwa telah mengekhaskan orang Lewi+ untuk berkhidmat kepada-Nya. Mereka ditugaskan untuk membawa tabut perjanjian Yehuwa+ dan untuk memberkati umat Yehuwa demi nama-Nya,+ seperti yang dilakukan mereka sampai hari ini. 9 Itulah sebabnya orang Lewi tidak mendapat sebarang tanah sebagai warisan. Yehuwalah yang menjadi warisan mereka, seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa kepada mereka.+ 10 Aku telah berada di atas gunung itu selama 40 hari dan 40 malam+ seperti kali pertama dahulu. Yehuwa juga mendengarkan aku pada masa itu,+ dan Yehuwa memutuskan untuk tidak membinasakan kamu semua. 11 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Pimpinlah umat ini dan buatlah persediaan untuk menakluki tanah itu. Aku telah berjanji kepada nenek moyang mereka untuk memberikan tanah itu kepada mereka.’+

12 “Sekarang, hai umat Israel, inilah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada kamu:+ Takutlah akan Yehuwa, Tuhan kamu,+ dan lakukanlah semua kehendak-Nya.+ Kasihilah Yehuwa dan abdikanlah diri kamu kepada-Nya dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa.+ 13 Patuhilah segala hukum dan perintah Yehuwa, yang telah aku sampaikan kepada kamu pada hari ini. Lakukanlah semua itu demi kebaikan kamu sendiri.+ 14 Ketahuilah bahawa langit dan segala sesuatu di langit, serta bumi dan segala sesuatu di bumi, merupakan milik Yehuwa, Tuhan kamu.+ 15 Namun Yehuwa telah menghampiri nenek moyang kamu dan menunjukkan kasih-Nya kepada mereka. Dia telah memilih kamu, iaitu keturunan mereka,+ daripada kalangan semua bangsa untuk menjadi umat-Nya. Sehingga hari ini, kamu masih merupakan milik Tuhan. 16 Oleh itu, murnikanlah hati kamu+ dan jangan lagi keras kepala.+ 17 Sesungguhnya, Yehuwa, Tuhan kamu, lebih agung daripada semua tuhan yang lain.+ Dia ialah Tuan atas segala tuan, dan Dia ialah Tuhan yang kuat dan perkasa. Dia dapat melakukan perkara-perkara yang menakjubkan. Dia tidak berat sebelah+ dan tidak menerima rasuah. 18 Dia menegakkan keadilan bagi anak-anak yatim dan balu.+ Dia mengasihi orang asing,+ dan menyediakan makanan dan pakaian bagi mereka. 19 Oleh itu, kamu harus mengasihi orang asing, kerana kamu juga pernah menjadi orang asing di Mesir.+

20 “Kamu harus takut akan Yehuwa, Tuhan kamu, dan mengabdikan diri kepada-Nya.+ Kamu harus berpaut pada-Nya dan bersumpah atas nama-Nya sahaja. 21 Kamu harus memuji-Nya+ kerana Dialah Tuhan kamu. Dia telah melakukan perkara-perkara yang hebat dan menakjubkan untuk kamu di depan mata kamu sendiri.+ 22 Semasa nenek moyang kamu pergi ke Mesir, bilangan mereka hanya 70 orang.+ Tetapi sekarang, Yehuwa, Tuhan kamu, telah menjadikan kamu banyak seperti bintang-bintang di langit.+

11 “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu,+ dan sentiasa melaksanakan segala kewajipan kamu terhadap-Nya. Kamu mesti mematuhi semua perintah, ketetapan, dan peraturan yang diberikan-Nya. 2 Pada hari ini, aku bercakap kepada kamu semua, dan bukannya kepada anak-anak kamu. Mereka tidak merasai disiplin Yehuwa,+ dan tidak melihat perkara-perkara menakjubkan yang dilakukan-Nya+ dengan tangan-Nya yang kuat+ dan perkasa. 3 Anak-anak kamu tidak melihat tanda dan mukjizat yang dilakukan oleh Tuhan terhadap raja Mesir dan seluruh negerinya,+ 4 dan terhadap tentera Mesir, termasuk semua kuda dan kereta kuda Firaun. Semasa kamu dikejar, Yehuwa telah menenggelamkan seluruh tentera Mesir di dalam Laut Merah dan membinasakan mereka sama sekali.+ 5 Anak-anak kamu tidak melihat apa yang dilakukan oleh Tuhan untuk* kamu semasa kamu berada di padang belantara sehingga kamu tiba di tempat ini. 6 Anak-anak kamu juga tidak melihat apa yang dilakukan oleh Tuhan terhadap Datan dan Abiram, iaitu anak-anak Eliab daripada suku Ruben. Di depan seluruh umat Israel, bumi menelan mereka, keluarga mereka, khemah mereka, dan semua yang mengikut mereka.+ 7 Sesungguhnya, kamulah yang telah melihat semua perkara menakjubkan itu yang dilakukan oleh Yehuwa.

8 “Kamu mesti mematuhi segala perintah yang aku sampaikan kepada kamu hari ini. Dengan demikian, kamu akan menjadi bangsa yang kuat dan kamu dapat menyeberangi sungai untuk menakluki tanah itu. 9 Selain itu, kamu dapat hidup lama+ di tanah yang melimpah dengan susu dan madu itu.+ Yehuwa telah berjanji untuk memberikan tanah tersebut kepada nenek moyang kamu dan keturunan mereka.+

10 “Tanah yang akan kamu duduki itu bukan seperti Mesir, tempat kamu tinggal dahulu. Di sana, apabila kamu menabur benih, kamu perlu berjerih payah untuk mengairi ladang,* sebagaimana orang perlu menyiram air ke atas kebun sayur. 11 Tetapi tanah yang akan kamu takluki itu mempunyai kawasan pergunungan dan dataran-dataran,+ yang diairi oleh hujan.+ 12 Yehuwa, Tuhan kamu, akan sentiasa memelihara tanah itu. Ya, Yehuwa akan menjaga tanah itu dari awal tahun hingga akhir tahun.

13 “Jika kamu mematuhi perintah yang aku sampaikan kepada kamu hari ini dengan bersungguh-sungguh, dan jika kamu mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu, dan mengabdikan diri kepada-Nya dengan sepenuh hati dan segenap jiwa,+ 14 Tuhan akan memberi kamu hujan pada waktunya, iaitu pada musim luruh dan musim bunga. Dengan itu, kamu dapat mengumpulkan biji-bijian, minyak, dan wain baharu kamu.+ 15 Tuhan akan menyebabkan rumput bertumbuh dengan subur di padang untuk ternakan kamu. Kamu juga akan menikmati makanan yang berlimpah-limpah sehingga kamu berasa puas.+ 16 Tetapi berwaspadalah agar hati kamu tidak tergoda untuk berpaling daripada Tuhan lalu bersujud dan menyembah tuhan-tuhan lain.+ 17 Jika kamu menyembah tuhan-tuhan lain, Yehuwa akan murka terhadap kamu. Dia tidak akan menurunkan hujan,+ dan tanah kamu tidak akan mengeluarkan hasil, lalu kamu akan segera mati di sana, iaitu di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu itu.+

18 “Kamu harus menyimpan kata-kata itu dalam hati kamu dan menerapkannya dalam hidup kamu. Kamu harus sentiasa mengingati kata-kata itu, seolah-olah mengikatkannya pada lengan kamu dan pada dahi kamu.+ 19 Ajarkanlah semua itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah semua itu semasa kamu di rumah, semasa kamu berjalan, semasa kamu berbaring, dan semasa kamu bangun.+ 20 Tuliskanlah hukum-hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu gerbang kota kamu. 21 Jika kamu melakukan semua itu, kamu dan keturunan kamu akan hidup lama+ di tanah yang dijanjikan oleh Yehuwa untuk diberikan kepada nenek moyang kamu.+ Kamu akan tinggal di sana selama ada langit di atas bumi.

22 “Jika kamu mematuhi dengan teliti segala perintah yang aku sampaikan kepada kamu, dan jika kamu mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu,+ serta hidup menurut segala kehendak-Nya dan berpaut erat pada-Nya,+ 23 kamu akan berjaya menawan bangsa-bangsa yang lebih kuat dan lebih besar daripada kamu,+ kerana Yehuwa akan mengusir mereka semua dari hadapan kamu.+ 24 Setiap tanah yang kamu pijak akan menjadi milik kamu.+ Sempadan negeri kamu akan terbentang luas bermula dari kawasan padang belantara sampai ke Lebanon, dan dari Sungai Efrat sampai ke Laut Tengah.*+ 25 Tiada seorang pun yang dapat mengalahkan kamu.+ Yehuwa, Tuhan kamu, akan menyebabkan semua orang berasa takut dan gementar terhadap kamu,+ seperti yang telah dijanjikan-Nya.

26 “Pada hari ini, aku memberi kamu pilihan antara berkat dengan kutuk.+ 27 Kamu akan menerima berkat jika kamu mematuhi semua perintah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+ 28 Tetapi kamu akan menerima kutukan jika kamu enggan mematuhi semua perintah yang diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu,+ dan jika kamu menyimpang daripada haluan yang telah aku ajarkan kepada kamu, lalu menyembah tuhan-tuhan asing yang tidak kamu kenal.

29 “Selepas Yehuwa, Tuhan kamu, membawa kamu ke tanah yang akan kamu duduki itu, kamu mesti mengisytiharkan berkat di Gunung Gerizim dan mengisytiharkan kutuk di Gunung Ebal.+ 30 Gunung-gunung itu terletak di seberang Sungai Yordan, di sebelah barat, iaitu di tanah orang Kanaan yang tinggal di Araba. Gunung-gunung itu terletak di hadapan Gilgal, berdekatan pokok-pokok besar di More.+ 31 Kamu akan menyeberangi Sungai Yordan untuk masuk dan menakluki tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu itu.+ Apabila kamu sudah menakluki dan menduduki tanah itu, 32 kamu mesti mematuhi semua peraturan dan ketetapan yang aku sampaikan kepada kamu hari ini dengan bersungguh-sungguh.+

12 “Inilah peraturan dan ketetapan yang harus kamu patuhi dengan teliti selama kamu tinggal di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, kepada kamu: 2 Di tanah yang akan kamu duduki itu, kamu harus menghancurkan semua tempat penyembahan yang digunakan oleh penduduk di sana,+ sama ada di atas gunung, di atas bukit, atau di bawah pokok-pokok yang subur. 3 Kamu harus memusnahkan mazbah-mazbah mereka, menghancurkan tugu-tugu suci* mereka,+ membakar tiang-tiang suci* mereka, dan meremukkan patung-patung berhala mereka,+ agar nama tuhan-tuhan mereka lenyap dari tempat itu.+

4 “Jangan menyembah Yehuwa, Tuhan kamu, sepertimana bangsa-bangsa itu menyembah tuhan mereka.+ 5 Daripada seluruh wilayah semua suku kamu, Yehuwa, Tuhan kamu, akan memilih satu tempat untuk menjadi tempat kediaman-Nya dan tempat untuk memuliakan nama-Nya. Pergilah dan sembahlah Tuhan di tempat yang dipilih-Nya itu.+ 6 Bawalah korban bakar+ dan korban-korban lain kamu, sumbangan+ dan persepuluhan kamu,+ korban sukarela+ dan persembahan yang kamu berikan untuk menunaikan ikrar, serta anak sulung ternakan kamu,+ ke tempat itu. 7 Kamu dan seluruh keluarga kamu harus makan di sana, iaitu di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu juga harus bersukacita dalam segala hasil usaha kamu+ kerana Yehuwa, Tuhan kamu, telah memberkati kamu.

8 “Jangan melakukan perkara yang sedang kita lakukan sekarang. Sampai hari ini, semua orang melakukan apa yang benar dalam pandangan masing-masing, 9 kerana kamu belum tiba di tempat tinggal+ yang akan diberikan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu sebagai warisan. 10 Selepas kamu menyeberangi Sungai Yordan+ dan menduduki tanah itu, Yehuwa, Tuhan kamu, akan memastikan bahawa kamu tidak akan diganggu oleh musuh-musuh di sekeliling kamu. Kamu pasti akan hidup dengan aman di tanah itu.+ 11 Yehuwa, Tuhan kamu, akan memilih satu tempat untuk memuliakan nama-Nya.+ Bawalah semua yang telah aku perintahkan kepada kamu, iaitu korban bakar dan korban-korban lain kamu, sumbangan dan persepuluhan kamu,+ dan persembahan yang kamu berikan untuk menunaikan ikrar, ke tempat yang telah dipilih oleh Yehuwa itu. 12 Kamu harus bersukacita di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu,+ bersama anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan kamu, serta hamba lelaki dan hamba perempuan kamu. Kamu juga harus bersukacita bersama orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu, kerana mereka tidak diberi harta warisan seperti kamu.+ 13 Jangan mempersembahkan korban bakar di tempat-tempat lain dengan sesuka hati.+ 14 Kamu hanya boleh mempersembahkan korban bakar di tempat yang dipilih oleh Yehuwa di salah satu wilayah suku kamu. Di sana, kamu mesti melakukan segala yang telah aku perintahkan.+

15 “Jika kamu ingin makan daging, kamu boleh menyembelih binatang dan memakan dagingnya+ di dalam kota-kota kamu pada bila-bila masa sahaja. Tidak kira seseorang tahir atau najis, dia boleh makan seberapa banyak ternakan yang diberikan oleh Yehuwa kepadanya. Kamu boleh makan daging itu sebagaimana kamu makan daging kijang atau rusa. 16 Tetapi kamu tidak boleh makan darah+ binatang itu. Kamu mesti mencurahkan darahnya ke tanah seperti air.+ 17 Kamu tidak dibenarkan memakan persembahan-persembahan berikut di dalam kota-kota kamu: Persepuluhan bijirin, persepuluhan wain baharu, persepuluhan minyak, anak sulung ternakan yang dipersembahkan,+ korban sukarela, dan persembahan yang kamu berikan untuk menunaikan ikrar, serta korban-korban lain. 18 Sebaliknya, kamu harus memakan semua persembahan itu di tempat yang dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu harus memakannya di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu, bersama anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan kamu, hamba-hamba lelaki dan hamba-hamba perempuan kamu, dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu. Kamu harus bersukacita dalam segala hasil usaha kamu di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu. 19 Jangan mengabaikan orang Lewi+ selama kamu tinggal di tanah itu.

20 “Yehuwa, Tuhan kamu, akan meluaskan kawasan kamu+ seperti yang telah dijanjikan-Nya.+ Pada masa itu, jika kamu ingin makan daging, kamu boleh menyembelih binatang dan memakan dagingnya pada bila-bila masa sahaja.+ 21 Jika tempat yang dipilih oleh Yehuwa untuk memuliakan nama-Nya+ jauh dari tempat tinggal kamu, kamu boleh menyembelih ternakan yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu dan memakan dagingnya di dalam kota-kota kamu pada bila-bila masa sahaja, seperti yang aku perintahkan kepada kamu. 22 Tidak kira kamu berada dalam keadaan tahir atau najis, kamu boleh makan daging itu sebagaimana kamu makan daging kijang atau rusa.+ 23 Tetapi kamu sama sekali tidak boleh makan darah+ binatang itu, kerana nyawa binatang itu terkandung dalam darahnya.+ Kamu tidak boleh makan nyawa bersama dagingnya. 24 Ya, kamu tidak boleh makan darah. Kamu mesti mencurahkannya ke tanah seperti air.+ 25 Jangan makan darah. Jika kamu mematuhi perintah ini, kamu sedang melakukan apa yang benar dalam pandangan Yehuwa, dan dengan demikian, kamu serta anak cucu kamu akan hidup makmur. 26 Semasa kamu pergi ke tempat yang dipilih oleh Yehuwa, kamu hanya boleh membawa persembahan-persembahan suci milik kamu sendiri dan persembahan yang akan kamu berikan untuk menunaikan ikrar. 27 Di sana, kamu harus mempersembahkan korban bakar, iaitu daging binatang bersama darahnya,+ di atas mazbah milik Yehuwa, Tuhan kamu. Kamu harus menuangkan darah korban itu di mazbah+ milik Yehuwa, Tuhan kamu, tetapi kamu boleh makan dagingnya.

28 “Patuhilah semua yang telah aku perintahkan kepada kamu dengan bersungguh-sungguh. Jika kamu mematuhi semua itu, kamu sedang melakukan apa yang baik dan benar dalam pandangan Yehuwa, dan dengan demikian, kamu serta anak cucu kamu akan sentiasa hidup makmur.

29 “Yehuwa, Tuhan kamu, akan membinasakan bangsa-bangsa di tanah yang akan kamu takluki+ lalu kamu akan menduduki tanah mereka. 30 Selepas hal itu berlaku, berhati-hatilah agar kamu tidak terikut-ikut dengan cara mereka, kerana hal itu akan menjadi seperti jerat bagi kamu. Jangan mencari maklumat tentang tuhan-tuhan mereka dengan berkata, ‘Bagaimanakah bangsa-bangsa itu menyembah tuhan-tuhan mereka? Aku ingin mengikut cara yang sama.’+ 31 Jangan menyembah Yehuwa, Tuhan kamu, sepertimana mereka menyembah tuhan-tuhan mereka, kerana semasa mereka menyembah tuhan-tuhan mereka, mereka melakukan perkara-perkara jijik yang dibenci oleh Yehuwa. Mereka bahkan membakar anak-anak mereka sendiri sebagai persembahan kepada tuhan-tuhan mereka.+ 32 Patuhilah segala yang telah aku perintahkan kepada kamu dengan bersungguh-sungguh.+ Jangan tambahkan sesuatu kepada apa yang aku perintahkan dan jangan mengambil keluar sesuatu daripadanya.+

13 “Jika seorang nabi atau pentafsir mimpi muncul dalam kalangan kamu dan memberi kamu suatu ramalan atau tanda, 2 dan jika ramalan atau tanda itu benar-benar berlaku lalu dia berkata, ‘Marilah kita pergi dan menyembah tuhan-tuhan lain yang belum kita kenal,’ 3 jangan mendengarkan kata-kata nabi atau pentafsir mimpi itu.+ Hal ini demikian kerana Yehuwa sedang menguji kamu+ untuk mengetahui sama ada kamu mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu, dengan segenap hati dan segenap jiwa atau tidak.+ 4 Kamu harus menyembah dan terus mengikut Yehuwa, Tuhan kamu. Kamu harus mendengarkan firman-Nya dan mematuhi semua perintah-Nya. Kamu harus takut akan Dia dan berpaut pada-Nya.+ 5 Tetapi nabi atau pentafsir mimpi itu harus dihukum mati+ kerana dia mempengaruhi kamu untuk memberontak terhadap Yehuwa, Tuhan kamu, yang telah menebus kamu dan membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba. Dia harus dihukum mati kerana dia mencuba menyimpangkan kamu daripada haluan yang ditetapkan oleh Yehuwa. Ya, kamu harus menyingkirkan kejahatan daripada kalangan kamu.+

6 “Jika saudara lelaki kamu, iaitu anak kepada ibu kamu, atau anak lelaki kamu, atau anak perempuan kamu, atau isteri yang kamu kasihi, atau sahabat karib kamu, mencuba mempengaruhi kamu secara sembunyi-sembunyi dengan berkata, ‘Marilah kita pergi dan menyembah tuhan-tuhan lain,’+ iaitu tuhan-tuhan yang belum kamu atau nenek moyang kamu kenal, 7 yang disembah oleh bangsa-bangsa di sekeliling kamu, sama ada yang tinggal dekat dengan kamu, atau yang tinggal jauh daripada kamu, atau dari mana-mana tempat di negeri kamu, 8 jangan biarkan diri kamu dipujuk olehnya dan jangan mendengarkan kata-katanya.+ Jangan mengasihani dan jangan melindungi orang itu. 9 Sebaliknya, kamu harus membunuh orang itu.+ Biarlah kamu menjadi orang pertama yang merejam orang itu, dan kemudian biarlah orang lain merejamnya.+ 10 Kamu harus merejamnya sampai mati+ kerana dia mencuba mempengaruhi kamu untuk meninggalkan Yehuwa, Tuhan kamu, yang telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba. 11 Kemudian semua orang Israel akan mendengar hal itu dan mereka akan menjadi takut. Dengan demikian, tiada seorang pun antara mereka yang akan melakukan perkara jahat seperti itu lagi dalam kalangan kamu.+

12 “Apabila kamu tinggal di kota-kota yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, mungkin kamu akan mendengar bahawa 13 terdapat beberapa orang yang tidak berguna dalam kalangan kamu yang mencuba menyesatkan penduduk kota dengan berkata, ‘Marilah kita pergi dan menyembah tuhan-tuhan lain,’ iaitu tuhan-tuhan yang belum kamu kenal. 14 Maka kamu harus memeriksa dan menyiasat perkara itu dengan teliti.+ Jika hal yang jahat itu benar-benar berlaku, 15 kamu harus membunuh semua penduduk kota itu dengan pedang.+ Kamu harus memusnahkan kota itu dan segala sesuatu yang ada di dalamnya, termasuk semua ternakan yang ada di sana.+ 16 Kumpulkanlah semua barang berharga di kota itu dan letakkannya di tengah-tengah tempat awam. Kemudian kamu harus membakar kota itu serta semua barang berharga tersebut. Barang-barang itu akan menjadi seperti persembahan kepada Yehuwa, Tuhan kamu. Kota itu akan menjadi timbunan reruntuhan yang kekal dan tidak akan dibina semula. 17 Jangan mengambil apa-apa pun daripada benda yang sudah dikhaskan untuk dimusnahkan,+ supaya kemurkaan Yehuwa reda. Dengan itu, Dia akan berbelas kasihan terhadap kamu dan melipatgandakan bilangan kamu, seperti yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu.+ 18 Kamu harus mentaati Yehuwa, Tuhan kamu. Jika kamu mematuhi semua perintah-Nya yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini, kamu sedang melakukan apa yang benar dalam pandangan Yehuwa, Tuhan kamu.+

14 “Kamu ialah umat milik Yehuwa, Tuhan kamu. Jangan melukai tubuh kamu+ dan jangan mencukur rambut pada bahagian depan kepala kamu semasa kamu berkabung untuk orang mati.+ 2 Hal ini demikian kerana kamu dianggap suci+ oleh Yehuwa, Tuhan kamu. Yehuwa telah memilih kamu daripada kalangan bangsa-bangsa lain di bumi ini untuk dijadikan umat-Nya yang istimewa.*+

3 “Jangan makan apa-apa yang dianggap najis.+ 4 Inilah binatang yang boleh kamu makan:+ Lembu, bebiri, kambing, 5 rusa, kijang, antelop, kambing hutan, bebiri hutan, dan bebiri gunung. 6 Kamu boleh makan semua binatang yang kukunya terbelah sepenuhnya dan yang memamah biak.* 7 Tetapi kamu tidak boleh makan binatang yang hanya memamah biak atau yang hanya mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya. Jangan makan unta, arnab,* dan tikus gunung,* kerana semua binatang itu memamah biak tetapi tidak mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya. Binatang-binatang itu harus dianggap haram.+ 8 Jangan makan babi kerana babi mempunyai kuku yang terbelah sepenuhnya tetapi tidak memamah biak. Binatang itu harus dianggap haram. Jangan makan daging binatang-binatang itu dan jangan sentuh bangkainya.

9 “Inilah hidupan air yang boleh kamu makan: Semua jenis hidupan air yang mempunyai sirip dan sisik.+ 10 Tetapi kamu tidak boleh makan semua hidupan air yang tidak mempunyai sirip dan sisik. Semua binatang itu harus dianggap haram.

11 “Kamu boleh makan burung yang tidak dianggap najis. 12 Tetapi kamu tidak boleh makan semua burung ini: Burung rajawali, burung helang laut, burung nasar,+ 13 burung lang merah dan burung lang hitam serta semua jenis burung lang, 14 semua jenis burung gagak, 15 burung unta, burung hantu, burung camar, semua jenis burung falkon, 16 burung hantu kecil, burung hantu bertelinga panjang, burung swan, 17 burung undan, burung hering, burung dendang air, 18 burung bangau, semua jenis burung pucung, burung hudhud, dan kelawar. 19 Semua jenis serangga bersayap yang hidup berkelompok juga merupakan sesuatu yang haram bagi kamu dan tidak boleh dimakan. 20 Kamu hanya boleh makan makhluk terbang yang tidak dianggap najis.

21 “Jika kamu menjumpai binatang yang sudah mati, kamu tidak boleh memakan daging binatang itu,+ kerana kamu dianggap suci oleh Yehuwa, Tuhan kamu. Kamu boleh memberikan atau menjual binatang itu kepada orang asing yang tinggal di kota-kota kamu, dan mereka boleh memakan daging binatang itu.

“Jangan memasak anak kambing di dalam air susu induknya.+

22 “Setiap tahun, kamu mesti memberikan persepuluhan daripada segala hasil ladang kamu.+ 23 Kemudian kamu mesti memakan persepuluhan daripada bijirin, wain baharu, minyak, dan anak sulung ternakan kamu, di tempat yang dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu, untuk memuliakan nama-Nya.+ Dengan demikian, kamu akan sentiasa belajar untuk takut dan hormat kepada Yehuwa, Tuhan kamu.+

24 “Tetapi jika tempat yang dipilih oleh Yehuwa untuk memuliakan nama-Nya itu+ terlalu jauh dari tempat tinggal kamu, dan kamu tidak dapat membawa semua persepuluhan kamu, kerana Yehuwa telah memberkati kamu dengan melimpah, 25 kamu boleh menjual semua persepuluhan kamu, lalu membawa wang yang diperoleh ke tempat yang dipilih oleh Yehuwa itu. 26 Kemudian kamu harus menggunakan wang itu untuk membeli apa sahaja yang kamu inginkan—lembu, bebiri, kambing, wain atau apa-apa jenis minuman keras yang lain, dan benda-benda lain yang kamu suka. Selepas itu, kamu dan keluarga kamu harus bersukacita dan memakan semua itu di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu.+ 27 Jangan abaikan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu,+ kerana mereka tidak diberi harta warisan seperti kamu.+

28 “Pada akhir setiap tahun ketiga, kamu harus membawa semua persepuluhan daripada segala hasil ladang kamu pada tahun itu dan menyimpannya di kota-kota kamu.+ 29 Semua itu adalah untuk orang Lewi, kerana mereka tidak diberi harta warisan seperti kamu, serta untuk orang asing, anak yatim, dan balu, yang tinggal di kota-kota kamu. Mereka boleh datang dan mengambil segala yang diperlukan oleh mereka.+ Buatlah demikian supaya Yehuwa, Tuhan kamu, memberkati kamu dalam segala usaha kamu.+

15 “Pada setiap tahun ketujuh, kamu harus menghapuskan hutang orang terhadap kamu.+ 2 Beginilah caranya: Sesiapa yang memberikan pinjaman harus menghapuskan hutang orang lain terhadapnya. Dia tidak boleh menagih hutang daripada saudaranya atau orang sebangsanya. Dia mesti mengisytiharkan penghapusan hutang untuk memuliakan Yehuwa.+ 3 Kamu boleh menagih hutang daripada orang asing,+ tetapi kamu mesti menghapuskan semua hutang orang yang sebangsa dengan kamu. 4 Yehuwa, Tuhan kamu, pasti akan memberkati kamu+ di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan. Tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang akan menjadi miskin 5 jika kamu mematuhi perintah Yehuwa dengan bersungguh-sungguh, dan jika kamu melakukan segala yang aku sampaikan kepada kamu hari ini dengan teliti.+ 6 Yehuwa, Tuhan kamu, akan memberkati kamu seperti yang telah dijanjikan-Nya. Kamu akan memberikan pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak akan meminjam daripada sesiapa pun.+ Kamu akan menguasai banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak akan dikuasai oleh sesiapa pun.+

7 “Jika ada saudara kamu yang menjadi miskin di salah sebuah kota di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, kamu mesti rela membantunya. Kamu tidak boleh bersikap kedekut,+ 8 sebaliknya kamu mesti bermurah hati+ terhadapnya dan kamu mesti meminjamkan apa-apa sahaja yang diperlukannya. 9 Jangan berkata dalam hati kamu, ‘Tahun ketujuh, iaitu tahun Sabat, sudah dekat,’+ dan dengan itu kamu tidak mahu bermurah hati dan tidak mahu memberikan apa-apa kepada saudara kamu yang miskin itu. Jangan biarkan fikiran jahat sebegitu timbul dalam hati kamu. Jika kamu enggan membantunya, dia akan berseru kepada Yehuwa, dan kamu akan dinyatakan bersalah.+ 10 Kamu mesti memberinya dengan murah hati+ dan membantunya dengan senang hati, supaya Yehuwa memberkati segala usaha kamu.+ 11 Orang miskin akan sentiasa ada dalam kalangan kamu.+ Itulah sebabnya aku memberikan perintah ini: ‘Di negeri kamu, kamu mesti membantu saudara kamu yang susah dan kamu mesti bermurah hati kepada saudara kamu yang miskin.’+

12 “Jika seorang Ibrani, sama ada lelaki atau perempuan, dijual kepada kamu sebagai hamba, kamu mesti membebaskan dia selepas dia bekerja untuk kamu selama enam tahun. Kamu mesti membebaskan saudara kamu itu pada tahun yang ketujuh.+ 13 Semasa kamu membebaskannya, kamu tidak boleh membiarkan dia pergi dengan tangan kosong. 14 Kamu mesti memberinya ternakan, biji-bijian, minyak, dan wain. Yehuwa telah memberkati kamu, maka kamu mesti bermurah hati kepadanya. 15 Ingatlah bahawa dahulu kamu pun pernah menjadi hamba di Mesir, dan Yehuwa, Tuhan kamu, telah membebaskan kamu. Itulah sebabnya aku menyuruh kamu melakukan semua yang telah aku sampaikan kepada kamu hari ini.

16 “Tetapi jika hamba itu berkata kepada kamu, ‘Saya tidak mahu meninggalkan tuan!’ kerana dia mengasihi kamu dan keluarga kamu, dan dia sangat suka berkhidmat untuk kamu,+ 17 suruhlah dia bersandar pada pintu lalu kamu mesti menindik telinganya. Maka dia akan menjadi hamba kamu seumur hidupnya. Demikianlah juga yang harus kamu lakukan terhadap hamba perempuan kamu. 18 Janganlah berasa kesal apabila kamu membebaskan hamba itu, kerana dia telah bekerja untuk kamu selama enam tahun, dengan separuh gaji seorang pekerja upahan, dan kerana Yehuwa telah memberkati kamu dalam segala usaha kamu.

19 “Kamu mesti mengekhaskan setiap anak jantan sulung ternakan kamu kepada Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu tidak boleh menggunakan lembu yang telah dikhaskan itu untuk membuat kerja, dan kamu juga tidak boleh menggunting bulu bebiri yang telah dikhaskan itu. 20 Setiap tahun, kamu dan keluarga kamu harus memakan binatang-binatang itu di hadapan Yehuwa, di tempat yang telah dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+ 21 Tetapi kamu tidak boleh mempersembahkan binatang yang buta, tempang, atau yang mempunyai apa-apa kecacatan yang lain, kepada Yehuwa, Tuhan kamu.+ 22 Kamu boleh makan binatang itu di kota-kota kamu, tidak kira kamu tahir atau najis. Kamu boleh memakannya sebagaimana kamu memakan daging kijang atau rusa.+ 23 Tetapi kamu tidak boleh makan darah binatang itu.+ Kamu mesti mencurahkan darah binatang itu ke tanah seperti air.+

16 “Ingatlah bahawa bulan Abib* merupakan bulan yang penting. Kamu harus menyambut Perayaan Paska* bagi Yehuwa pada bulan itu,+ kerana pada bulan itu, Yehuwa, Tuhan kamu, telah membawa kamu keluar dari Mesir pada waktu malam.+ 2 Kamu harus mengambil ternakan kamu+ dan mempersembahkannya sebagai korban Paska kepada Yehuwa, Tuhan kamu,+ di tempat yang dipilih oleh Yehuwa untuk memuliakan nama-Nya.+ 3 Kamu tidak boleh memakan apa-apa yang beragi+ bersama korban itu. Selama tujuh hari, kamu harus memakan roti yang tidak beragi* untuk mengenang kesusahan dan penderitaan yang kamu alami, dan untuk memperingati bahawa kamu telah keluar dari Mesir dengan tergesa-gesa.+ Seumur hidup kamu, kamu mesti berbuat demikian untuk mengenang hari kamu keluar dari Mesir.+ 4 Selama tujuh hari, kamu tidak boleh memiliki apa-apa yang beragi di seluruh negeri kamu.+ Daging yang kamu persembahkan pada waktu senja hari pertama tidak boleh disimpan sehingga pagi.+ 5 Jangan mempersembahkan korban Paska di tempat-tempat lain di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu. 6 Sebaliknya, kamu harus mempersembahkan korban itu di tempat yang dipilih oleh Yehuwa untuk memuliakan nama-Nya. Kamu harus mempersembahkan korban itu pada waktu matahari terbenam,+ seperti pada waktu kamu meninggalkan Mesir. 7 Kamu mesti memasak dan memakan korban itu+ di tempat yang dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu,+ lalu pada keesokan paginya, kamu boleh kembali ke khemah masing-masing. 8 Selama enam hari, kamu harus memakan roti tidak beragi, dan pada hari ketujuh, kamu akan mengadakan perhimpunan suci bagi Yehuwa, Tuhan kamu. Kamu tidak boleh bekerja pada hari itu.+

9 “Kamu harus mengira tujuh minggu mulai dari hari pertama kamu menuai biji-bijian di ladang kamu.+ 10 Kemudian kamu harus menyambut Perayaan Menuai untuk Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu harus memberikan sumbangan sukarela, menurut berkat yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu.+ 11 Kamu harus bersukacita di hadapan Yehuwa bersama anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan kamu, hamba lelaki dan hamba perempuan kamu, dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu, serta orang asing, anak yatim, dan balu, yang tinggal dalam kalangan kamu. Ya, kamu harus bersukacita bersama mereka semua di tempat yang dipilih oleh Yehuwa untuk memuliakan nama-Nya.+ 12 Ingatlah bahawa kamu pernah menjadi hamba di Mesir.+ Maka kamu harus mematuhi dan melaksanakan semua peraturan ini.

13 “Selepas kamu mengumpulkan hasil dari tempat mengirik* tuaian dan dari tempat memeras anggur dan minyak zaitun, kamu harus menyambut Perayaan Pondok Daun+ selama tujuh hari. 14 Semasa perayaan itu, kamu harus bersukacita+ bersama anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan kamu, hamba lelaki dan hamba perempuan kamu, orang Lewi, orang asing, anak yatim, dan balu, yang tinggal di kota-kota kamu. 15 Selama tujuh hari, kamu harus menyambut perayaan itu+ untuk Yehuwa, di tempat yang dipilih oleh Yehuwa. Yehuwa, Tuhan kamu, akan memberkati semua hasil tanaman kamu dan segala usaha kamu,+ maka kamu harus bersukacita.+

16 “Tiga kali setahun, iaitu pada Perayaan Roti Tidak Beragi,+ Perayaan Menuai,+ dan Perayaan Pondok Daun,+ semua lelaki dalam kalangan kamu harus datang menghadap Yehuwa, Tuhan kamu, di tempat yang dipilih-Nya. Mereka tidak boleh menghadap Yehuwa dengan tangan kosong. 17 Mereka semua harus memberikan persembahan menurut berkat yang diberikan oleh Yehuwa kepada mereka.+

18 “Kamu harus melantik hakim-hakim+ dan pemimpin-pemimpin bagi setiap suku di semua kota yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, dan mereka harus menghakimi dengan saksama. 19 Jangan memutarbalikkan keadilan+ dan jangan berat sebelah.+ Jangan terima rasuah, kerana rasuah membutakan mata orang yang bijaksana terhadap apa yang benar,+ dan menyebabkan orang yang baik dan adil mengubah keputusannya. 20 Kamu harus berlaku adil dan saksama.+ Ya, kamu mesti sentiasa adil dalam segala perkara agar kamu dapat menakluki tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu dan tetap hidup di sana.

21 “Kamu tidak boleh menanam apa-apa pokok pun untuk disembah*+ berhampiran dengan mazbah yang kamu bina untuk Yehuwa, Tuhan kamu.

22 “Jangan mendirikan tugu suci,*+ kerana Yehuwa, Tuhan kamu, membenci perkara itu.

17 “Kamu tidak boleh mempersembahkan lembu atau bebiri yang mempunyai sebarang kecacatan sebagai korban kepada Yehuwa, Tuhan kamu. Hal ini demikian kerana perkara itu merupakan sesuatu yang dibenci oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+

2 “Di salah satu kota yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, mungkin ada lelaki atau perempuan yang didapati melanggar perjanjian Yehuwa dan melakukan perkara yang jahat dalam pandangan-Nya.+ 3 Mungkin orang itu pergi menyembah dan bersujud kepada tuhan-tuhan lain, atau bersujud kepada matahari atau bulan atau apa-apa yang ada di langit,+ iaitu perkara yang tidak pernah diperintahkan oleh Tuhan.+ 4 Jika kamu mendengar laporan seperti itu, kamu harus menyiasat perkara itu dengan teliti.+ Jika hal yang jahat itu benar-benar telah berlaku di Israel, 5 kamu mesti membawa orang yang melakukan perkara jahat itu ke pintu gerbang kota, lalu merejamnya sampai mati.+ 6 Namun orang itu hanya boleh dihukum mati jika ada keterangan daripada dua atau tiga orang saksi.+ Orang itu tidak boleh dihukum mati berdasarkan keterangan daripada satu orang saksi sahaja.+ 7 Orang yang menjadi saksi harus menjadi orang pertama yang merejamnya, dan kemudian semua orang lain akan merejamnya. Kamu harus menyingkirkan kejahatan daripada kalangan kamu.+

8 “Sekiranya timbul perkara yang terlalu sukar untuk dihakimi di salah satu kota kamu, sama ada soal pembunuhan+ atau soal hak milik atau soal perbuatan ganas atau apa-apa pertikaian yang lain, kamu harus pergi ke tempat yang telah dipilih oleh Yehuwa.+ 9 Kamu harus berjumpa dengan para imam Lewi dan hakim+ yang bertugas pada masa itu. Kemudian kamu harus mengemukakan perkara itu kepada mereka dan mereka akan memberitahu kamu keputusan mereka.+ 10 Kamu harus melaksanakan keputusan yang telah diberikan di tempat yang dipilih oleh Yehuwa itu. Kamu harus melakukan dengan teliti segala yang telah diarahkan oleh mereka. 11 Kamu harus mematuhi hukum yang telah ditunjukkan oleh mereka dan bertindak selaras dengan keputusan yang telah diberikan kepada kamu.+ Jangan menyimpang daripada keputusan yang telah diberikan itu.+ 12 Orang yang bertindak dengan angkuh kerana membantah hakim atau imam yang berkhidmat kepada Yehuwa, mesti dihukum mati.+ Kamu harus menyingkirkan kejahatan dari Israel.+ 13 Kemudian semua orang Israel akan mendengar hal itu dan mereka akan menjadi takut. Dengan demikian, mereka tidak akan bertindak dengan angkuh lagi.+

14 “Setelah kamu masuk ke tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, dan kamu sudah menaklukinya dan tinggal di sana, mungkin kamu akan berkata, ‘Kami ingin melantik seorang raja untuk memerintah kami seperti bangsa-bangsa di sekeliling kami.’+ 15 Jika begitu, kamu harus melantik seorang raja yang dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu.+ Kamu harus melantik seorang raja daripada kalangan kamu. Kamu tidak boleh melantik orang asing sebagai raja. 16 Raja itu tidak boleh mempunyai banyak kuda,+ dan dia tidak boleh menghantar orang ke Mesir untuk mendapatkan lebih banyak kuda,+ kerana Yehuwa telah berfirman, ‘Kamu tidak boleh kembali ke Mesir.’ 17 Raja itu tidak boleh mempunyai banyak isteri supaya hatinya tidak disimpangkan daripada haluan benar.+ Dia juga tidak boleh memperkaya diri dengan emas atau perak.+ 18 Apabila dia menaiki takhta kerajaannya, dia harus diberi kitab Hukum* Tuhan yang disimpan oleh para imam Lewi, dan dia harus menyalin Hukum itu dalam sebuah buku.*+

19 “Salinan kitab itu mesti selalu ada bersamanya, dan dia mesti membaca kitab itu sepanjang hayatnya.+ Dengan demikian, dia akan belajar untuk takut dan hormat akan Yehuwa serta mematuhi semua perintah dan peraturan dalam Hukum Tuhan.+ 20 Dia juga tidak akan menganggap dirinya lebih baik daripada saudara-saudaranya, dan dia tidak akan menyimpang daripada perintah Tuhan. Maka dia dan keturunannya akan memerintah Israel untuk masa yang lama.

18 “Para imam keturunan Lewi dan seluruh suku Lewi tidak akan mendapat sebarang tanah di Israel sebagai warisan. Tetapi mereka akan mendapat sebahagian daripada korban yang dibakar untuk Yehuwa, iaitu korban-korban yang dikhususkan bagi-Nya.+ 2 Mereka tidak akan mendapat sebarang tanah warisan dalam kalangan orang Israel. Yehuwalah yang akan menjadi warisan mereka, seperti yang telah difirmankan-Nya kepada mereka.

3 “Daripada apa yang dipersembahkan oleh umat Israel, inilah bahagian yang akan menjadi milik para imam: Jika ada orang mempersembahkan lembu atau bebiri sebagai korban, bahagian bahu dan rahang serta perut binatang itu harus diberikan kepada imam. 4 Hasil pertama daripada biji-bijian, wain, minyak, dan bulu bebiri, juga harus diberikan kepada para imam.+ 5 Daripada suku-suku Israel, semua lelaki keturunan Lewi telah dipilih oleh Yehuwa, dan mereka akan sentiasa berkhidmat kepada Yehuwa.+

6 “Jika ada orang Lewi yang meninggalkan tempat kediamannya di salah satu kota di Israel+ dan pergi ke tempat yang dipilih oleh Yehuwa,*+ 7 dia boleh berkhidmat kepada Yehuwa bersama-sama orang Lewi lain yang bertugas di hadapan Yehuwa di sana.+ 8 Selain hasil penjualan harta pusakanya, dia juga boleh mendapat makanan sebanyak yang diterima oleh orang Lewi lain.+

9 “Apabila kamu memasuki tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, jangan mengikut perbuatan-perbuatan keji yang dilakukan oleh bangsa-bangsa yang tinggal di situ.+ 10 Jangan membakar anak lelaki dan anak perempuan kamu dalam api.+ Jangan mengamalkan ilmu ramal+ atau ilmu sihir.+ Jangan mencari petanda+ atau menjadi tukang sihir.+ 11 Jangan mengenakan jampi kepada orang lain, dan jangan mencari bomoh+ atau meminta nasihat daripada tukang tilik.+ Jangan meminta petunjuk daripada orang mati.+ 12 Yehuwa sangat membenci sesiapa yang melakukan perkara-perkara keji tersebut. Itulah sebabnya Yehuwa, Tuhan kamu, akan mengusir bangsa-bangsa itu dari hadapan kamu. 13 Kamu mesti tidak bercacat cela di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu.+

14 “Bangsa-bangsa yang akan diusir itu selalu mengikut kata-kata tukang sihir+ dan tukang ramal,+ tetapi Yehuwa, Tuhan kamu, melarang kamu melakukan semua itu. 15 Yehuwa, Tuhan kamu, akan melantik seorang nabi seperti aku daripada kalangan kamu. Kamu mesti mendengarkan kata-katanya.+ 16 Hal ini demikian kerana semasa kamu* berkumpul di Gunung Horeb,+ kamu telah memohon kepada Yehuwa, Tuhan kamu, dengan berkata, ‘Janganlah Yehuwa yang bercakap kepada kami, dan janganlah biarkan kami melihat api yang besar ini lagi, supaya kami tidak mati.’+ 17 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, ‘Apa yang dikatakan oleh mereka itu baik. 18 Aku akan melantik seorang nabi seperti engkau daripada kalangan saudara-saudaramu.+ Aku akan menyampaikan firman-Ku kepadanya,+ dan dia akan menyampaikan segala perintah-Ku kepada mereka.+ 19 Sesungguhnya, Aku akan menghukum sesiapa yang tidak mematuhi perintah-Ku, yang Aku sampaikan melalui nabi itu.+

20 “‘Jika seorang nabi berani menyampaikan perkhabaran demi nama-Ku, padahal Aku tidak menyuruhnya berbuat begitu, atau jika dia menyampaikan perkhabaran demi nama tuhan-tuhan lain, maka nabi itu mesti dihukum mati.+ 21 Tetapi mungkin kamu tertanya-tanya dalam hati, “Bagaimana kami dapat mengetahui sama ada kata-kata seorang nabi berasal daripada Yehuwa atau tidak?” 22 Jika seorang nabi menyampaikan perkhabaran demi nama Aku, Yehuwa, tetapi apa yang dikatakannya tidak berlaku, maka kata-kata itu tidak berasal daripada Aku, Yehuwa. Nabi itu telah bertindak dengan angkuh dan kamu tidak perlu takut kepadanya.’

19 “Selepas Yehuwa, Tuhan kamu, melenyapkan bangsa-bangsa yang tinggal di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, dan setelah kamu menakluki kota-kota mereka dan tinggal di rumah-rumah yang ada di sana,+ 2 kamu harus memilih tiga buah kota di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu itu.+ 3 Kamu harus membahagikan tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu itu menjadi tiga bahagian. Tiga buah kota yang dipilih itu mesti terletak di tiga bahagian tersebut, dan kamu harus membina jalan ke kota-kota itu supaya orang yang membunuh dapat melarikan diri ke sana.

4 “Jika seseorang membunuh dengan tidak sengaja, inilah peraturan yang harus dipatuhi agar dia selamat: Katakan dia membunuh orang lain dengan tidak sengaja, dan dia tidak membenci orang itu;+ 5 misalnya, dia pergi ke hutan untuk mengumpulkan kayu bersama kawannya, dan semasa dia mengayunkan kapaknya untuk menebang pokok, mata kapaknya terlepas lalu terkena kawannya dan kawannya mati, dia mesti melarikan diri ke salah satu kota itu supaya dia selamat.+ 6 Tetapi jika jarak kota itu terlalu jauh, orang yang berhak menuntut pembalasan,*+ dan yang sedang marah, mungkin akan mengejar dan menangkapnya, lalu membunuhnya. Namun dia tidak patut dihukum mati kerana dia tidak membenci kawannya itu.+ 7 Itulah sebabnya Aku memerintahkan kamu supaya memilih tiga buah kota itu sebagai kota perlindungan.

8 “Selepas Yehuwa, Tuhan kamu, meluaskan kawasan kamu seperti yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu+ dan selepas Dia memberi kamu seluruh tanah yang sudah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu,+ 9 kamu harus memilih tiga buah kota lagi.+ (Dia akan berbuat demikian jika kamu mematuhi segala yang aku sampaikan kepada kamu hari ini, iaitu untuk mengasihi Yehuwa dan sentiasa menurut ajaran-Nya.)+ 10 Dengan demikian, orang yang tidak bersalah tidak akan dibunuh,+ dan tiada sesiapa antara kamu yang akan berhutang darah di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan.+

11 “Tetapi jika seseorang membenci orang lain+ dan menunggu peluang untuk menyerang orang itu, dan dia mencederakannya sehingga orang itu mati, lalu dia melarikan diri ke salah satu kota itu, 12 para pemimpin di kotanya harus mencarinya lalu menyerahkannya kepada orang yang berhak menuntut pembalasan,* dan dia harus dihukum mati.+ 13 Jangan berasa kasihan terhadapnya. Kamu harus menyingkirkan orang yang menumpahkan darah orang yang tidak bersalah dari Israel,+ supaya kamu hidup sejahtera.

14 “Selepas kamu menerima tanah warisan yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, jangan mengalihkan penanda sempadan tanah+ yang telah ditentukan.

15 “Kesaksian satu orang sahaja tidak cukup untuk membuktikan kesalahan atau dosa seseorang.+ Kesalahan atau dosa seseorang hanya dapat disahkan dengan adanya keterangan dua atau tiga orang saksi.+ 16 Jika seorang saksi menuduh orang lain berbuat salah dan memberikan kesaksian terhadapnya dengan niat yang jahat,+ 17 kedua-dua orang itu mesti pergi ke hadapan Yehuwa, iaitu di hadapan para imam dan hakim yang bertugas pada waktu itu.+ 18 Para hakim mesti menyiasat perkara itu dengan teliti.+ Jika orang itu didapati memberikan kesaksian palsu dan membuat tuduhan palsu, 19 dia harus dijatuhi hukuman sebagaimana yang telah dirancangnya terhadap orang yang didakwanya itu.+ Dengan demikian, kamu akan menyingkirkan apa yang jahat dalam kalangan kamu.+ 20 Kemudian semua orang akan mendengar hal itu dan mereka akan menjadi takut. Dengan itu, tiada seorang pun antara mereka yang akan melakukan perkara jahat seperti itu lagi dalam kalangan kamu.+ 21 Jangan berasa kasihan terhadap orang itu.+ Sebaliknya, hendaklah nyawa ganti nyawa, mata ganti mata, gigi ganti gigi, tangan ganti tangan, dan kaki ganti kaki.+

20 “Jika kamu pergi berperang melawan musuh kamu, jangan takut ketika kamu melihat bahawa bilangan kuda dan kereta kuda serta askar mereka lebih banyak daripada yang kamu miliki. Hal ini demikian kerana Yehuwa, Tuhan kamu, yang telah membawa kamu keluar dari Mesir, menyertai kamu.+ 2 Sebelum kamu pergi berperang, imam harus datang dan berkata kepada kamu semua,+ 3 ‘Dengarlah, hai orang Israel! Tidak lama lagi kamu akan pergi berperang melawan musuh kamu. Janganlah takut dan cemas. Janganlah gementar terhadap musuh kamu, 4 kerana Yehuwa, Tuhan kamu, menyertai kamu. Dia akan berperang melawan musuh bagi pihak kamu dan Dia akan menyelamatkan kamu.’+

5 “Para pegawai tentera juga harus berkata kepada para askar, ‘Adakah sesiapa yang baru membina rumah dan belum mendiaminya?* Jika ada, biarlah dia pulang ke rumahnya. Jika tidak, dia mungkin terbunuh dalam peperangan dan orang lain akan mendiami rumahnya itu. 6 Adakah sesiapa yang sudah mengusahakan ladang anggur dan belum menuai hasilnya? Jika ada, biarlah dia pulang. Jika tidak, dia mungkin terbunuh dalam peperangan dan orang lain akan menikmati hasil ladangnya itu. 7 Adakah sesiapa yang sudah bertunang tetapi belum berkahwin? Jika ada, biarlah dia pulang.+ Jika tidak, dia mungkin terbunuh dalam peperangan dan orang lain akan berkahwin dengan tunangnya itu.’ 8 Para pegawai juga harus bertanya kepada para askar, ‘Adakah sesiapa yang takut dan gementar?+ Jika ada, biarlah dia pulang. Jika tidak, dia akan menyebabkan orang lain kecut hati sepertinya.’+ 9 Selepas para pegawai tentera habis bercakap kepada para askar, mereka harus melantik ketua-ketua pasukan.

10 “Sebelum kamu menyerang sebuah kota, kamu mesti mengisytiharkan tawaran perdamaian kepada penduduk kota itu terlebih dahulu.+ 11 Jika penduduk kota itu bersetuju untuk berdamai lalu membuka pintu gerbang kota mereka, mereka semua akan menjadi hamba kamu dan akan bekerja untuk kamu.+ 12 Tetapi jika mereka tidak mahu berdamai dengan kamu, sebaliknya mereka mahu berperang dengan kamu, kamu harus mengepung dan menyerang kota itu. 13 Yehuwa, Tuhan kamu, pasti akan menyerahkan mereka ke dalam tangan kamu. Kamu harus membunuh semua lelaki di dalam kota itu. 14 Kamu boleh mengambil kaum wanita, kanak-kanak, ternakan, barang-barang berharga, dan semua yang ada di dalam kota itu.+ Kamu boleh menikmati semua barang yang dijarah daripada musuh-musuh kamu, kerana Yehuwa sudah memberikan semua itu kepada kamu.+

15 “Itulah yang harus kamu lakukan terhadap kota-kota yang jauh dari negeri yang akan kamu duduki. 16 Tetapi semasa kamu menyerang kota-kota yang terletak berhampiran dengan negeri yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan, kamu mesti membunuh semua orang di situ. Kamu tidak boleh membiarkan sesiapa pun hidup.+ 17 Kamu harus memusnahkan orang Het, Amori, Kanaan, Feris, Hewi, dan Yebus,+ sebagaimana yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada kamu. 18 Dengan demikian, mereka tidak akan mengajar kamu melakukan perkara-perkara keji yang dilakukan oleh mereka semasa menyembah tuhan-tuhan mereka, lalu menyebabkan kamu berdosa terhadap Yehuwa, Tuhan kamu.+

19 “Apabila kamu mencuba menawan sebuah kota, jangan tebang pokok buah-buahan di situ meskipun kamu mengepung kota itu selama berhari-hari. Makanlah buahnya, tetapi jangan memusnahkan pokok-pokok itu sebagaimana kamu memusnahkan musuh kamu.+ 20 Kamu hanya boleh memusnahkan pokok-pokok lain yang tidak menghasilkan buah. Kamu boleh menebang pokok-pokok sedemikian dan menggunakannya untuk mengepung kota itu, sehingga kota itu ditawan.

21 “Andai kata seseorang didapati terbunuh di padang, di negeri yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, dan kamu tidak mengetahui siapa yang membunuh orang itu, 2 maka para pemimpin dan hakim+ kamu harus keluar untuk mengukur jarak dari tempat mayat itu ditemui ke kota-kota yang berdekatan. 3 Kemudian, para pemimpin dari kota yang terdekat dengan tempat mayat itu ditemui harus mengambil seekor lembu muda yang belum pernah digunakan untuk bekerja, iaitu yang belum pernah memikul kuk,* 4 lalu membawa lembu itu ke lembah* yang mempunyai sumber air, dan yang tanahnya tidak pernah dibajak atau ditanami apa-apa pun. Di situ, mereka harus mematahkan leher lembu tersebut.+

5 “Para imam Lewi juga harus pergi ke situ kerana Yehuwa, Tuhan kamu, telah memilih mereka untuk berkhidmat kepada-Nya+ dan untuk mengisytiharkan berkat atas nama Yehuwa.+ Mereka akan menentukan tindakan yang harus diambil sehubungan dengan perkara yang melibatkan keganasan.+ 6 Selepas itu, semua pemimpin dari kota yang terdekat dengan tempat mayat itu ditemui harus mencuci tangan+ di atas lembu tersebut 7 sambil berkata, ‘Tangan kami tidak menumpahkan darah orang ini, dan kami tidak melihat apa yang terjadi. 8 Ya Yehuwa, janganlah menyalahkan umat-Mu Israel yang telah Engkau selamatkan.+ Janganlah menganggap umat-Mu Israel bertanggungjawab atas penumpahan darah orang yang tidak bersalah ini.’+ Dengan itu, kamu tidak akan dipertanggungjawabkan atas penumpahan darah itu. 9 Dengan berbuat demikian, kamu melakukan apa yang benar di mata Yehuwa, dan kamu tidak lagi dianggap bertanggungjawab atas penumpahan darah itu.

10 “Jika kamu berperang melawan musuh kamu, dan Yehuwa, Tuhan kamu, memberi kamu kemenangan sehingga kamu berjaya menawan mereka,+ 11 lalu kamu melihat seorang wanita cantik yang kamu suka dalam kalangan tawanan itu, dan kamu ingin mengahwininya, 12 kamu boleh membawa wanita itu ke rumah kamu. Kemudian dia harus mencukur kepalanya, memotong kukunya, 13 dan menanggalkan pakaian yang dikenakannya semasa dia ditawan. Dia akan tinggal di rumah kamu dan berkabung atas kematian ibu bapanya selama sebulan.+ Selepas itu kamu boleh mengadakan hubungan seks dengannya. Kamu akan menjadi suaminya dan dia akan menjadi isterimu. 14 Namun jika kamu tidak lagi menyukainya pada kemudian hari, kamu harus membebaskannya dan membiarkannya pergi+ ke mana sahaja yang diingininya. Kamu tidak boleh menjualnya atau memperlakukannya dengan kasar, kerana kamu telah memaksanya untuk menjadi isterimu.

15 “Andai kata seorang lelaki mempunyai dua orang isteri dan dia lebih mengasihi seorang daripada yang lain, dan kedua-dua orang isteri itu telah melahirkan anak lelaki baginya, tetapi anak sulung bukan daripada isteri kesayangannya,+ 16 apabila dia ingin membahagikan hartanya kepada anak-anaknya itu, dia tidak boleh menganggap anak kepada isteri kesayangannya sebagai anak sulung, lalu memberikan hak anak sulung kepada anak tersebut. Hal ini demikian kerana perbuatan itu akan merugikan anak sulungnya, iaitu anak kepada isteri yang kurang disayanginya itu. 17 Dia harus mengakui bahawa anak kepada isteri yang kurang disayanginya itu ialah anak sulungnya dan memberikan bahagian harta dua kali ganda kepada anak sulungnya. Anak itu ialah anaknya yang pertama, maka anak itu harus diberi hak anak sulung.+

18 “Andai kata seseorang mempunyai anak yang degil, suka memberontak, dan tidak mahu mentaati ibu bapanya+ meskipun mereka sudah mencuba membetulkannya,+ 19 ibu bapa anak itu harus membawanya ke pintu gerbang kota untuk berjumpa dengan para pemimpin. 20 Mereka harus berkata kepada para pemimpin, ‘Anak kami degil, suka memberontak, dan tidak mahu taat kepada kami. Dia pemabuk+ dan sangat gelojoh.’+ 21 Kemudian semua orang di kota tersebut harus merejam anak itu sampai mati. Sesungguhnya, kamu harus menyingkirkan kejahatan daripada kalangan kamu. Dengan demikian, semua orang Israel akan mendengar tentang hal itu dan menjadi takut.+

22 “Andai kata seseorang melakukan dosa yang membawa hukuman mati dan dia dibunuh+ lalu mayatnya digantungkan pada tiang,+ 23 mayat itu tidak boleh dibiarkan tergantung pada tiang sehingga keesokan harinya.+ Sebaliknya, mayat itu harus dikebumikan pada hari itu juga, kerana orang yang tergantung di atas tiang itu dikutuk oleh Tuhan.+ Kamu tidak patut mencemari tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan.+

22 “Jika kamu nampak lembu atau bebiri saudaramu berkeliaran, jangan berpura-pura tidak tahu.+ Sebaliknya, kamu harus kembalikan binatang itu kepada saudaramu. 2 Tetapi jika saudaramu tinggal jauh, atau jika kamu tidak tahu siapa pemilik binatang itu, kamu harus membawa binatang itu ke rumah kamu. Apabila saudaramu datang mencari binatang itu, kamu harus menyerahkan binatang itu kepadanya.+ 3 Demikian juga yang harus dilakukan jika kamu menjumpai keldai, pakaian, atau apa-apa sahaja milik saudaramu. Janganlah pergi begitu sahaja.

4 “Jika kamu nampak keldai atau lembu saudaramu terjatuh di jalan, jangan pergi begitu sahaja. Kamu mesti membantu saudaramu membangunkan binatang itu semula.+

5 “Orang perempuan tidak boleh memakai pakaian orang lelaki, dan orang lelaki tidak boleh memakai pakaian orang perempuan. Hal ini demikian kerana Yehuwa, Tuhan kamu, membenci orang yang melakukan hal sebegitu.

6 “Jika kamu sedang berjalan lalu kamu nampak sarang burung di atas pokok atau di atas tanah, dan induk burung sedang mengerami telurnya atau sedang bersama anak-anaknya, jangan mengambil induk burung itu bersama anak-anaknya.+ 7 Kamu harus melepaskan induk burung itu. Tetapi kamu boleh mengambil anak-anak burung itu. Dengan demikian, kamu akan panjang umur dan hidup sejahtera.

8 “Jika kamu membina rumah baharu, kamu harus memasang pagar di sekeliling bumbung rumah itu.*+ Dengan demikian, kamu dan keluarga kamu tidak akan berhutang darah jika seseorang terjatuh dari situ.

9 “Kamu tidak boleh menabur benih lain di ladang anggur kamu.+ Jika kamu menabur benih lain, segala hasil ladang itu harus dikhaskan untuk khemah suci.

10 “Kamu tidak boleh pasangkan seekor lembu dengan seekor keldai pada satu bajak.+

11 “Kamu tidak boleh memakai pakaian yang dibuat daripada bulu dan linen dalam satu tenunan.+

12 “Kamu harus menjahit rumbai-rumbai pada hujung pakaian kamu.+

13 “Jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang gadis dan bersetubuh dengannya, tetapi kemudian lelaki itu tidak mengasihinya lagi 14 dan menuduhnya melakukan perbuatan yang tidak senonoh serta memburukkan namanya dengan berkata, ‘Saya sudah mengahwini wanita ini dan semasa saya bersetubuh dengannya, saya mendapati bahawa dia bukan seorang dara,’ 15 maka ibu bapa wanita itu harus berjumpa dengan para pemimpin di pintu gerbang kota, lalu menunjukkan bukti keperawanan anak mereka. 16 Bapa wanita itu harus berkata kepada para pemimpin, ‘Saya telah mengahwinkan anak saya kepada lelaki ini, tetapi dia tidak mengasihinya lagi, 17 dan menuduhnya melakukan perbuatan yang tidak senonoh dengan berkata, “Saya mendapati bahawa anak kamu bukan seorang dara.” Tetapi inilah bukti bahawa anak saya seorang dara pada waktu itu.’ Kemudian, ibu bapa wanita itu harus membentangkan kain yang mempunyai bukti keperawanan anak mereka itu di hadapan para pemimpin kota. 18 Maka para pemimpin kota+ itu harus menghukum lelaki itu.+ 19 Mereka juga akan mendenda lelaki itu sebanyak 100 syekel* perak. Kemudian, wang itu harus diberikan kepada bapa wanita tersebut kerana lelaki itu telah memburukkan nama seorang anak dara Israel.+ Wanita itu akan tetap menjadi isterinya dan tidak boleh diceraikan seumur hidupnya.

20 “Sebaliknya, jika tuduhan lelaki itu benar, dan tidak ada bukti bahawa wanita itu ialah seorang dara, 21 maka para pemimpin kota harus membawa wanita itu ke depan pintu rumah bapanya. Kemudian semua penduduk kota itu harus merejamnya sampai mati, kerana dia telah melakukan perbuatan yang memalukan di Israel,+ iaitu perbuatan seks yang tidak bermoral semasa dia masih tinggal di rumah bapanya.+ Dengan demikian, kamu akan menyingkirkan kejahatan daripada kalangan kamu.+

22 “Jika seorang lelaki didapati berzina dengan isteri orang lain, kedua-dua orang yang berzina itu mesti dihukum mati.+ Dengan demikian, kamu akan menyingkirkan kejahatan daripada kalangan umat Israel.

23 “Jika seorang anak dara sudah bertunang, dan seorang lelaki menemuinya di kota lalu bersetubuh dengannya, 24 kamu harus membawa mereka berdua ke luar kota dan merejam mereka sampai mati. Gadis itu mesti dihukum mati kerana dia tidak berteriak meminta tolong walaupun dia berada di dalam kota. Lelaki itu juga mesti dihukum mati kerana dia telah mencabuli kehormatan isteri orang lain.+ Dengan demikian, kamu akan menyingkirkan kejahatan daripada kalangan kamu.

25 “Tetapi jika seorang anak dara sudah bertunang, dan seorang lelaki menemuinya di luar kota lalu merogolnya, maka hanya lelaki itu yang harus dihukum mati. 26 Hal itu sama seperti apabila seseorang menyerang orang lain dan membunuhnya. Gadis itu pula tidak harus dihukum kerana dia tidak melakukan dosa yang menyebabkan dia patut dihukum mati.+ 27 Gadis itu dirogol di luar kota, dan walaupun dia telah berteriak meminta tolong, tiada sesiapa pun yang dapat menyelamatkannya.

28 “Jika seorang lelaki menemui seorang anak dara yang belum bertunang, lalu merogolnya dan hal itu diketahui,+ 29 maka lelaki itu harus memberikan 50 syekel perak kepada bapa gadis itu, dan gadis itu akan menjadi isterinya.+ Hal ini demikian kerana dia telah mencabuli kehormatan gadis itu, dan dia tidak boleh menceraikan gadis itu seumur hidupnya.

30 “Tiada seorang pun yang boleh mengambil isteri bapanya untuk dijadikan isterinya sendiri, kerana perbuatan itu menghina bapanya.+

23 “Orang yang sudah dikembiri, sama ada yang buah zakarnya dihancurkan atau yang zakarnya dipotong,* tidak boleh menjadi sebahagian daripada sidang* Yehuwa.+

2 “Orang yang lahir luar nikah tidak boleh menjadi sebahagian daripada sidang Yehuwa.+ Semua keturunannya, bahkan sampai generasi yang ke-10, tidak boleh menjadi sebahagian daripada sidang Yehuwa.

3 “Orang Ammon dan orang Moab tidak boleh menjadi sebahagian daripada sidang Yehuwa.+ Semua keturunan mereka, bahkan sampai generasi yang ke-10, tidak boleh menjadi sebahagian daripada sidang Yehuwa. 4 Hal ini demikian kerana mereka tidak membantu kamu dengan memberikan makanan dan minuman semasa kamu dalam perjalanan keluar dari Mesir,+ dan kerana mereka mengupah Bileam anak Beor, dari Petor di Mesopotamia, untuk mengutuk kamu.+ 5 Tetapi Yehuwa, Tuhan kamu, tidak mendengarkan Bileam.+ Sebaliknya, Yehuwa, Tuhan kamu, mengubah kutukannya itu menjadi berkat,+ kerana Yehuwa mengasihi kamu.+ 6 Selama kamu hidup, kamu tidak boleh membantu bangsa-bangsa itu atau menjadikan mereka makmur.+

7 “Jangan membenci orang Edom kerana mereka merupakan saudara kamu.+

Jangan membenci orang Mesir kerana kamu pernah menjadi orang asing di negeri mereka.+ 8 Generasi mereka yang ketiga dan seterusnya boleh menjadi sebahagian daripada sidang Yehuwa.

9 “Sewaktu kamu berkhemah untuk berperang melawan musuh kamu, berhati-hatilah agar kamu tidak menajiskan diri sendiri.+ 10 Jika seorang lelaki menjadi najis kerana mengeluarkan mani pada waktu malam,+ dia mesti keluar dari perkhemahan. Dia tidak dibenarkan masuk ke dalam perkhemahan. 11 Pada waktu petang, dia harus mandi dan selepas matahari terbenam, dia boleh kembali ke perkhemahan.+ 12 Kamu mesti menyediakan suatu tempat* di luar perkhemahan untuk membuang air besar. 13 Semasa kamu pergi membuang air besar, kamu mesti membawa penyodok* bersama perlengkapan kamu yang lain. Kamu mesti menggunakan penyodok itu untuk menggali lubang dan untuk menutupi najis kamu. 14 Yehuwa menyertai kamu di perkhemahan kamu+ untuk menyelamatkan kamu dan untuk mengalahkan musuh kamu. Oleh itu, perkhemahan kamu mestilah suci+ supaya Dia tidak melihat apa-apa pun yang najis dalam kalangan kamu lalu meninggalkan kamu.

15 “Jika seorang hamba melarikan diri daripada tuannya lalu datang kepada kamu, jangan menyerahkannya kepada tuannya. 16 Hamba itu boleh tinggal dalam kalangan kamu, di mana-mana kota yang dipilihnya. Kamu tidak boleh menindasnya.+

17 “Orang Israel, baik lelaki mahupun perempuan, tidak boleh menjadi pelacur kuil.+ 18 Kamu tidak boleh menggunakan wang yang dibayar kepada pelacur lelaki* atau pelacur perempuan untuk menunaikan ikrar di rumah Yehuwa. Hal ini demikian kerana semua itu merupakan sesuatu yang menjijikkan bagi Yehuwa, Tuhan kamu.

19 “Jangan menuntut faedah semasa memberikan pinjaman kepada saudara kamu,+ sama ada pinjaman wang, makanan, atau apa-apa sahaja. 20 Kamu boleh menuntut faedah daripada orang asing,+ tetapi kamu tidak boleh berbuat demikian terhadap saudara kamu.+ Dengan itu, Yehuwa, Tuhan kamu, akan memberkati segala yang kamu lakukan di negeri yang akan kamu duduki itu.+

21 “Jika kamu berikrar kepada Yehuwa, Tuhan kamu,+ tunaikanlah ikrar itu secepat mungkin.+ Yehuwa, Tuhan kamu, menghendaki kamu menunaikan ikrar kamu itu. Kamu berdosa jika kamu tidak menunaikannya.+ 22 Tetapi kamu tidak berdosa jika kamu tidak berikrar kepada Tuhan.+ 23 Kamu harus menunaikan apa yang kamu ucapkan+ dan melakukan segala yang telah kamu ikrarkan kepada Yehuwa, Tuhan kamu, sebagai korban sukarela.+

24 “Jika kamu pergi ke ladang anggur orang lain, kamu boleh makan buah anggur seberapa banyak yang kamu mahu, tetapi kamu tidak boleh mengumpulkannya di dalam bakul.+

25 “Jika kamu pergi ke ladang biji-bijian orang lain, kamu boleh memetik dan makan hasil tanaman yang masak, tetapi kamu tidak boleh memotongnya dengan sabit.+

24 “Jika seorang lelaki mengahwini seorang wanita tetapi kemudian membenci isterinya itu kerana mendapati bahawa isterinya telah melakukan sesuatu yang tidak senonoh, dia harus memberikan surat cerai kepada isterinya+ lalu menyuruh isterinya pergi dari rumah.+ 2 Setelah itu, wanita itu boleh berkahwin lagi dengan lelaki lain.+ 3 Tetapi jika lelaki yang kedua itu juga membencinya dan memberikan surat cerai kepadanya lalu menyuruhnya pergi dari rumah, atau jika lelaki yang kedua itu meninggal, 4 lelaki yang pertama itu tidak boleh berkahwin dengannya lagi kerana wanita itu telah mencemari dirinya. Jika lelaki itu berbuat demikian, hal itu merupakan sesuatu yang dibenci oleh Yehuwa. Kamu tidak boleh melakukan dosa di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan.

5 “Jika seorang lelaki baru sahaja berkahwin, dia tidak boleh berkhidmat sebagai askar atau melakukan tugas-tugas lain. Dia harus diberi pengecualian selama satu tahun, supaya dia dapat tinggal di rumah bersama isterinya dan supaya isterinya bersukacita.+

6 “Jangan mengambil batu giling atau batu kisaran seseorang sebagai jaminan hutang+ kerana jika kamu berbuat begitu, kamu merampas mata pencarian orang itu.*

7 “Jika seseorang didapati menculik orang sebangsanya dan menindas serta menjual orang itu,+ penculik itu harus dihukum mati.+ Dengan demikian, kamu akan menyingkirkan apa yang jahat dalam kalangan kamu.+

8 “Jika wabak kusta* berlaku dalam kalangan kamu, kamu harus mentaati segala yang diarahkan oleh imam Lewi kepada kamu.+ Kamu harus mematuhi dengan teliti perintah yang aku sampaikan kepada mereka. 9 Ingatlah apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa, Tuhan kamu, terhadap Miryam dalam perjalanan kamu keluar dari Mesir.+

10 “Jika kamu memberikan pinjaman kepada orang lain,+ jangan masuk ke dalam rumahnya untuk mengambil apa yang ingin diberikannya kepada kamu sebagai jaminan. 11 Kamu harus tunggu di luar dan membiarkan orang itu membawa keluar apa yang ingin diberikannya kepada kamu sebagai jaminan. 12 Jika orang itu berada dalam kesusahan, jangan simpan jubah yang diberikannya kepada kamu sebagai jaminan sehingga keesokan hari.+ 13 Kamu harus kembalikan jubah itu kepadanya sebaik sahaja matahari terbenam supaya dia dapat memakainya untuk tidur.+ Dengan itu, dia akan meminta Tuhan untuk memberkati kamu, dan Yehuwa akan berkenan kepada kamu.

14 “Jangan menipu pekerja upahan yang miskin dan yang berada dalam kesusahan, sama ada dia merupakan orang sebangsa kamu atau orang asing yang tinggal di salah sebuah kota di negeri kamu.+ 15 Kamu harus membayar upahnya setiap hari+ sebelum matahari terbenam kerana dia miskin dan dia memerlukan upah itu untuk menyara hidupnya. Jika kamu tidak membayar upahnya, dia akan mengadu kepada Yehuwa tentang kamu dan kamu akan dinyatakan berdosa.+

16 “Bapa tidak patut dihukum mati kerana dosa anak, dan anak tidak patut dihukum mati kerana dosa bapa.+ Setiap orang harus dihukum mati kerana dosanya sendiri.+

17 “Jangan mengabaikan hak orang asing dan anak yatim,+ dan jangan mengambil jubah seorang balu sebagai jaminan hutangnya.+ 18 Ingatlah bahawa kamu pernah menjadi hamba di Mesir, dan Yehuwa, Tuhan kamu, telah menyelamatkan kamu dari sana.+ Itulah sebabnya aku memberikan perintah ini kepada kamu.

19 “Setelah kamu selesai menuai hasil di ladang kamu dan kamu terlupa membawa seberkas gandum atau bijirin lain, jangan kembali untuk mengambilnya. Biarkanlah semua itu untuk orang asing, anak yatim, dan balu.+ Dengan demikian, Yehuwa, Tuhan kamu, akan memberkati segala usaha kamu.+

20 “Setelah kamu selesai memukul dahan-dahan pokok zaitun untuk mendapatkan buahnya, jangan kembali untuk melakukan perkara yang sama. Biarkanlah buah-buah yang tertinggal itu untuk orang asing, anak yatim, dan balu.+

21 “Setelah kamu selesai mengumpulkan anggur dari ladang kamu, jangan kembali untuk mengumpulkan buah yang tertinggal. Biarkanlah buah-buah yang tertinggal itu untuk orang asing, anak yatim, dan balu. 22 Ingatlah bahawa kamu pernah menjadi hamba di Mesir. Itulah sebabnya aku memberikan perintah ini kepada kamu.

25 “Jika terdapat pertikaian antara dua orang, mereka harus pergi berjumpa dengan para hakim.+ Kemudian para hakim akan mengadili perkara mereka, lalu orang yang jahat akan dinyatakan bersalah tetapi orang yang baik akan dinyatakan tidak bersalah.+ 2 Jika orang yang jahat itu patut dihukum sebat,+ hakim akan menyuruh orang itu meniarap lalu orang itu harus disebat di hadapan hakim. Jumlah sebatan harus setimpal dengan kejahatan yang dilakukannya. 3 Dia boleh disebat sehingga 40 kali,+ tetapi tidak lebih daripada itu. Dia tidak patut disebat lebih daripada itu agar dia tidak dimalukan di hadapan umum.

4 “Jangan menutup mulut lembu dengan berangus semasa lembu itu sedang mengirik biji-bijian.+

5 “Jika beberapa orang saudara tinggal berdekatan satu sama lain, dan salah seorang daripada mereka meninggal tanpa mempunyai anak lelaki, balunya tidak boleh berkahwin dengan orang lain yang bukan daripada keluarga mendiang suaminya. Saudara orang yang sudah meninggal itu harus melaksanakan kewajipannya dan mengahwini balu itu.+ 6 Kemudian anak sulung yang dilahirkan balu tersebut harus dianggap sebagai anak orang yang sudah meninggal itu,+ supaya nama orang itu tidak akan lenyap daripada kalangan umat Israel.+

7 “Tetapi jika saudara orang yang sudah meninggal itu tidak mahu berkahwin dengan balu itu, balu itu harus pergi kepada para pemimpin di pintu gerbang kota dan berkata, ‘Saudara mendiang suami saya tidak mahu melakukan kewajipannya untuk berkahwin dengan saya. Oleh itu, nama mendiang suami saya akan lenyap daripada kalangan umat Israel.’ 8 Para pemimpin kota harus memanggil orang itu dan bercakap dengannya. Tetapi jika dia berkeras dan berkata, ‘Saya tidak mahu mengahwini balu itu,’ 9 maka balu itu harus menghampiri orang itu di hadapan para pemimpin. Kemudian balu itu harus menanggalkan salah satu kasut orang itu,+ meludahi mukanya, dan berkata, ‘Inilah yang harus dilakukan terhadap orang yang tidak mahu memberikan keturunan kepada saudaranya.’ 10 Selepas itu, di seluruh Israel, keluarga orang itu akan dikenali sebagai ‘Keluarga orang yang kasutnya ditanggalkan.’

11 “Jika dua orang lelaki bergaduh, dan isteri salah seorang lelaki itu mencuba melindungi suaminya dengan menghulurkan tangannya lalu mencengkam kemaluan lelaki yang bergaduh dengan suaminya itu, 12 kamu harus memotong tangan wanita itu. Jangan berasa kasihan terhadapnya.

13 “Jangan simpan dua jenis batu timbangan*+ di dalam kantung kamu, iaitu satu yang besar dan satu yang kecil. 14 Jangan simpan dua jenis bekas penyukat*+ di dalam rumah kamu, iaitu satu yang besar dan satu yang kecil. 15 Kamu harus menggunakan alat penimbang dan alat penyukat yang tepat. Dengan demikian, kamu akan hidup lama di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu.+ 16 Yehuwa, Tuhan kamu, sangat membenci orang yang melakukan perkara tidak jujur sebegini.+

17 “Ingatlah akan apa yang telah dilakukan oleh orang Amalek terhadap kamu semasa kamu dalam perjalanan keluar dari Mesir.+ 18 Mereka tidak takut akan Tuhan. Ketika kamu penat dan lesu dalam perjalanan itu, mereka telah menyerang orang yang ketinggalan di barisan belakang kamu. 19 Maka selepas Yehuwa, Tuhan kamu, memberi kamu tanah itu, dan selepas Yehuwa memberi kamu keamanan daripada musuh di sekeliling kamu,+ kamu harus melenyapkan orang Amalek dari muka bumi ini.+ Dengan demikian, mereka tidak akan dikenang sama sekali. Jangan lupa untuk melakukan hal ini.

26 “Setelah kamu masuk ke tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu sebagai warisan, dan kamu sudah menaklukinya dan tinggal di sana, 2 kamu harus mengumpulkan hasil pertama semua tanaman kamu dari tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu. Kemudian kamu harus memasukkan semua itu ke dalam sebuah bakul dan pergi ke tempat yang telah dipilih oleh Yehuwa, Tuhan kamu, iaitu tempat yang dipilih untuk memuliakan nama-Nya.+ 3 Kamu harus berjumpa dengan imam yang bertugas pada waktu itu dan berkata kepadanya, ‘Sekarang saya ingin mengaku bahawa apa yang dijanjikan oleh Yehuwa telah menjadi kenyataan. Saya sudah datang ke tanah yang telah dijanjikan oleh Yehuwa kepada nenek moyang kita.’+

4 “Selepas itu, imam akan mengambil bakul itu daripada kamu lalu meletakkannya di hadapan mazbah Yehuwa. 5 Kemudian kamu harus mengucapkan kata-kata ini di hadapan Yehuwa: ‘Nenek moyangku ialah orang Aram yang mengembara.*+ Dia telah pergi ke Mesir+ dan tinggal di sana sebagai orang asing bersama keluarganya.+ Pada masa itu, bilangan mereka sedikit, tetapi kemudian mereka menjadi sebuah bangsa yang besar dan kuat.+ 6 Di sana, orang Mesir menindas kami dan memperlakukan kami dengan kejam serta menjadikan kami hamba abdi.+ 7 Maka kami berseru kepada-Mu, ya Yehuwa, Tuhan nenek moyang kami, dan Engkau mendengar rintihan kami. Ya Yehuwa, Engkau telah melihat semua penderitaan, kesusahan, dan penindasan, yang kami alami.+ 8 Kemudian, Engkau membawa kami keluar dari Mesir dengan tangan-Mu yang kuat dan perkasa.+ Ya Yehuwa, Engkau juga melakukan banyak mukjizat dan perbuatan yang dahsyat.+ 9 Akhirnya, Engkau membawa kami ke sini dan memberi kami tanah ini yang melimpah dengan susu dan madu.+ 10 Oleh itu, ya Yehuwa, aku membawa hasil pertama semua tanamanku kepada-Mu.+ Aku mengambil semua itu dari tanah yang Engkau berikan kepadaku.’

“Setelah itu, kamu harus meletakkan bakul itu di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu, dan bersujud di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu. 11 Kamu harus bersukacita atas semua kebaikan yang ditunjukkan oleh Yehuwa kepada kamu dan keluarga kamu. Ya, kamu harus bersukacita bersama orang Lewi dan orang asing yang tinggal dalam kalangan kamu.+

12 “Pada setiap tahun ketiga, kamu harus membawa semua persepuluhan+ daripada hasil tuaian yang dikumpulkan, dan memberikannya kepada orang Lewi, orang asing, anak yatim, dan balu, yang tinggal di kota-kota kamu.+ Maka mereka dapat makan dengan sepuas-puasnya. 13 Kemudian kamu harus mengucapkan kata-kata ini di hadapan Yehuwa: ‘Aku tidak melanggar atau mengabaikan perintah-Mu. Aku telah mengeluarkan bahagian yang dianggap suci itu dari rumahku. Aku telah memberikan semua itu kepada orang Lewi, orang asing, anak yatim, dan balu,+ seperti yang telah Engkau perintahkan kepadaku. 14 Aku tidak memakannya sewaktu aku berkabung atau menyentuhnya semasa aku berada dalam keadaan najis atau memberikannya kepada orang mati. Ya Yehuwa, aku telah mentaati-Mu dan mematuhi segala yang telah Engkau perintahkan kepadaku. 15 Oleh itu, pandanglah ke bawah dari tempat kediaman-Mu yang suci di syurga. Berkatilah umat-Mu Israel dan tanah ini yang melimpah dengan susu dan madu,+ iaitu tanah yang telah Engkau berikan kepada kami,+ menurut janji yang Engkau buat dengan nenek moyang kami.’+

16 “Pada hari ini, Yehuwa, Tuhan kamu, memerintahkan kamu untuk mematuhi semua peraturan dan ketetapan-Nya. Kamu harus mematuhi semua itu dengan sepenuh hati+ dan sepenuh jiwa kamu. 17 Pada hari ini, Yehuwa telah berfirman bahawa Dia akan menjadi Tuhan kamu kerana kamu bersetuju untuk mentaati-Nya, mengikut haluan-Nya, dan mematuhi segala peraturan,+ perintah,+ dan ketetapan-Nya.+ 18 Pada hari ini juga, kamu telah mengaku di hadapan Yehuwa bahawa kamu akan mematuhi segala perintah-Nya. Maka kamu akan menjadi umat-Nya yang istimewa,*+ seperti yang telah dijanjikan-Nya. 19 Jika kamu membuktikan bahawa kamu ialah umat suci Yehuwa,+ Dia akan menjadikan kamu lebih agung daripada bangsa-bangsa lain.+ Dia juga akan menyebabkan kamu dipuji, dimuliakan, dan dihormati, seperti yang telah dijanjikan-Nya.”

27 Kemudian, Musa dan para pemimpin umat Israel berdiri di hadapan seluruh umat. Musa berkata, “Patuhilah segala perintah yang aku sampaikan kepada kamu hari ini. 2 Selepas kamu menyeberangi Sungai Yordan dan tiba di tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu itu, kamu harus mendirikan beberapa buah batu besar dan melepa batu-batu itu.*+ 3 Setelah itu, kamu harus menulis segala yang dinyatakan dalam Hukum* ini pada batu-batu itu. Dengan demikian, seperti yang dijanjikan oleh Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, kamu dapat memasuki tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, iaitu tanah yang melimpah dengan susu dan madu.+ 4 Selepas kamu menyeberangi Sungai Yordan, kamu harus mendirikan beberapa buah batu besar di Gunung Ebal+ dan melepa batu-batu itu, seperti yang aku perintahkan kepada kamu pada hari ini. 5 Di sana, kamu juga harus membina sebuah mazbah daripada batu bagi Yehuwa, Tuhan kamu. Semasa kamu membuat mazbah itu, kamu tidak boleh menggunakan sebarang peralatan besi.+ 6 Mazbah yang kamu bina untuk Yehuwa, Tuhan kamu, harus dibuat daripada batu-batu yang tidak dipahat. Kamu harus mempersembahkan korban bakar kepada Yehuwa, Tuhan kamu, di atas mazbah itu. 7 Kamu juga harus mempersembahkan korban pendamaian+ dan memakannya di sana.+ Kamu harus bersukacita di hadapan Yehuwa, Tuhan kamu.+ 8 Ingatlah untuk menulis segala yang dinyatakan dalam Hukum ini pada batu-batu itu dengan jelas.”+

9 Kemudian, Musa dan para imam Lewi menghadap seluruh umat Israel. Musa berkata, “Dengarlah hai umat Israel. Pada hari ini kamu telah menjadi umat Yehuwa.+ 10 Kamu harus mentaati Yehuwa, Tuhan kamu, dan mematuhi segala perintah+ dan peraturan-Nya yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini.”

11 Selepas itu, Musa menyampaikan perintah ini kepada umat Israel: 12 “Selepas kamu menyeberangi Sungai Yordan, suku Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Yusuf, dan Benyamin, harus berdiri di Gunung Gerizim+ apabila berkat diucapkan untuk seluruh umat Israel. 13 Suku Ruben, Gad, Asyer, Dan, Zebulon, dan Naftali, harus berdiri di Gunung Ebal+ apabila kutukan diucapkan. 14 Orang Lewi harus mengucapkan kata-kata berikut kepada umat Israel dengan suara yang lantang:+

15 “‘Terkutuklah orang yang membuat patung berhala,+ atau yang membentuk apa-apa daripada kayu atau logam+ secara sembunyi-sembunyi. Hal ini demikian kerana semua itu sangat dibenci oleh Yehuwa.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

16 “‘Terkutuklah orang yang menghina ibu bapanya.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

17 “‘Terkutuklah orang yang mengalihkan penanda sempadan tanah orang lain.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

18 “‘Terkutuklah orang yang menyebabkan orang buta sesat di jalan.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

19 “‘Terkutuklah orang yang mengabaikan hak+ orang asing, anak yatim, atau balu.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

20 “‘Terkutuklah orang yang melakukan hubungan seks dengan isteri bapanya, kerana perbuatan itu menghina bapanya.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

21 “‘Terkutuklah orang yang melakukan hubungan seks dengan binatang.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

22 “‘Terkutuklah orang yang melakukan hubungan seks dengan saudara perempuannya, sama ada anak perempuan bapanya atau anak perempuan ibunya.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

23 “‘Terkutuklah orang yang melakukan hubungan seks dengan ibu mentuanya.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

24 “‘Terkutuklah orang yang melancarkan serangan hendap untuk membunuh orang lain.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

25 “‘Terkutuklah orang yang menerima bayaran untuk membunuh orang yang tidak bersalah.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

26 “‘Terkutuklah orang yang tidak melakukan dan tidak berpegang teguh pada semua perkara yang tertulis dalam Hukum ini.’+ (Seluruh umat harus berkata, ‘Amin!’)

28 “Jika kamu mentaati Yehuwa, Tuhan kamu, dengan bersungguh-sungguh, dan jika kamu mematuhi semua perintah-Nya yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini, Yehuwa, Tuhan kamu, pasti akan menjadikan kamu lebih agung daripada bangsa-bangsa lain.+ 2 Jika kamu mentaati Yehuwa, Tuhan kamu, Dia akan mencurahkan berkat yang berlimpah-limpah ini ke atas kamu:+

3 “Diberkatilah kamu semasa kamu berada di kota dan semasa kamu berada di ladang kamu.+

4 “Diberkatilah kamu sehingga mendapat anak yang banyak+ dan hasil tanaman yang melimpah serta ternakan yang banyak, termasuk lembu dan bebiri.+

5 “Diberkatilah bakul tuaian+ kamu dan bekas adunan roti+ kamu.

6 “Diberkatilah segala usaha kamu tidak kira di mana kamu berada.

7 “Yehuwa akan mengalahkan musuh-musuh yang bangkit untuk menentang kamu.+ Mereka bersekutu untuk menyerang kamu, tetapi kemudian mereka akan lari bertempiaran.+ 8 Yehuwa akan memberkati gudang-gudang+ kamu dan segala usaha kamu. Ya, Yehuwa, Tuhan kamu, pasti akan memberkati kamu di tanah yang dijanjikan-Nya untuk diberikan kepada kamu. 9 Seperti yang dijanjikan oleh Yehuwa kepada kamu,+ Dia akan menjadikan kamu umat-Nya yang suci,+ kerana kamu tetap mematuhi perintah Yehuwa dan hidup menurut kehendak-Nya. 10 Semua bangsa di bumi akan tahu bahawa kamu ialah umat yang menyandang nama Yehuwa,+ dan mereka akan menjadi takut terhadap kamu.+

11 “Yehuwa akan memberkati kamu dengan anak yang banyak dan hasil tanaman yang melimpah serta ternakan yang banyak+ di tanah yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, menurut janji yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu.+ 12 Sepertimana seorang lelaki membuka gudangnya yang dipenuhi barang, Yehuwa akan membuka langit lalu menurunkan hujan pada musimnya+ dan memberkati segala yang kamu lakukan. Kamu akan memberikan pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak perlu meminjam daripada sesiapa pun.+ 13 Jika kamu tetap mematuhi perintah Yehuwa yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini, Yehuwa akan memuliakan kamu dan kamu tidak akan dikuasai oleh bangsa-bangsa lain. Kamu akan menjadi lebih agung daripada orang lain+ dan kamu tidak akan direndahkan. 14 Jangan menyimpang daripada segala yang aku perintahkan kepada kamu pada hari ini, baik ke kiri mahupun ke kanan,+ dan jangan pergi menyembah tuhan-tuhan lain.+

15 “Tetapi jika kamu enggan mentaati Yehuwa, Tuhan kamu, dan enggan mematuhi semua hukum dan perintah-Nya yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini, Dia akan menimpakan semua kutukan yang dahsyat ini kepada kamu:+

16 “Terkutuklah kamu semasa kamu berada di kota dan semasa kamu berada di ladang kamu.+

17 Terkutuklah bakul tuaian+ kamu dan bekas adunan roti+ kamu.

18 “Terkutuklah kamu sehingga anak+ kamu, hasil tanaman kamu, dan ternakan+ kamu, menjadi sedikit sahaja.

19 “Terkutuklah segala usaha kamu tidak kira di mana kamu berada.

20 “Yehuwa akan mendatangkan kutukan, hukuman, dan kekacauan, kepada segala yang kamu usahakan, sehingga kamu binasa dan lenyap dalam waktu yang singkat sahaja. Hal ini demikian kerana kamu meninggalkan-Nya dan mengamalkan perbuatan yang jahat.+ 21 Yehuwa akan menimpakan penyakit yang teruk kepada kamu sehingga kamu dihapuskan dari tanah yang akan kamu duduki itu.+ 22 Yehuwa akan menghukum kamu dengan pelbagai penyakit, seperti batuk kering, demam panas,+ radang, dan panas tinggi. Dia akan menyebabkan musuh menyerang kamu,+ dan Dia juga akan mendatangkan angin panas dan kulapuk kepada tanaman kamu.+ Semua kutukan ini akan menimpa kamu sehingga kamu binasa. 23 Dia akan menyebabkan langit kamu menjadi seperti tembaga dan tanah kamu menjadi seperti besi.*+ 24 Yehuwa akan mendatangkan ribut pasir dan debu kepada kamu sehingga kamu lenyap. 25 Yehuwa akan membiarkan kamu dikalahkan musuh.+ Kamu akan menyerang mereka, tetapi kemudian kamu akan lari bertempiaran. Bangsa-bangsa lain akan melihat keadaan kamu dan menjadi takut.+ 26 Mayat kamu akan menjadi makanan bagi setiap burung di langit dan setiap binatang di darat. Tiada sesiapa pun yang akan mengusir burung dan binatang itu.+

27 “Yehuwa akan menghukum kamu dengan bisul,* buasir, kudis, dan ruam. Kamu tidak akan sembuh daripada penyakit-penyakit ini. 28 Yehuwa akan menyebabkan kamu hilang akal, dan menjadikan kamu buta+ dan bingung. 29 Kamu akan meraba-raba pada siang hari, seperti orang buta meraba-raba dalam kegelapan.+ Kamu tidak akan berjaya dalam apa pun yang kamu lakukan. Kamu juga akan sentiasa ditipu dan dirompak, dan tiada sesiapa pun yang akan menolong kamu.+ 30 Kamu akan bertunang dengan seorang gadis, tetapi lelaki lain akan merogolnya. Kamu akan membina rumah, tetapi kamu tidak akan mendiaminya.+ Kamu juga akan menanam anggur, tetapi kamu tidak akan menikmati hasilnya.+ 31 Lembu kamu akan disembelih di depan mata kamu, tetapi kamu tidak akan makan sedikit pun daripada dagingnya. Keldai kamu akan dirampas di depan mata kamu, dan keldai itu tidak akan dikembalikan kepada kamu. Bebiri kamu juga akan diambil oleh musuh kamu, tetapi tiada sesiapa pun yang akan menolong kamu. 32 Anak-anak kamu akan diserahkan kepada bangsa lain+ di depan mata kamu. Kamu akan selalu merindui mereka, tetapi kamu tidak dapat melakukan apa-apa pun. 33 Segala yang kamu usahakan dan segala hasil tanaman kamu akan diambil oleh orang asing.+ Kamu juga akan sentiasa diperdaya dan ditindas. 34 Semua yang kamu alami ini akan menyebabkan kamu menjadi gila.

35 “Yehuwa akan menghukum kamu dengan bisul yang sangat menyakitkan dan yang tidak dapat diubati pada lutut dan kaki kamu. Ya, seluruh badan kamu akan diliputi bisul, dari telapak kaki sampai kepala kamu. 36 Yehuwa akan mengusir kamu dan raja yang kamu lantik ke negeri asing, iaitu ke negeri yang tidak kamu atau nenek moyang kamu ketahui.+ Di situ kamu terpaksa menyembah tuhan-tuhan lain yang dibuat daripada kayu dan batu.+ 37 Apabila Yehuwa mengusir kamu ke situ, semua penduduk di situ akan menjadi takut kerana melihat keadaan kamu. Namun, mereka akan menghina dan mentertawakan kamu.+

38 “Kamu akan menabur banyak benih, tetapi kamu akan mendapat tuaian yang sedikit sahaja,+ kerana belalang juta akan melahap hasil tanaman kamu. 39 Kamu akan menanam anggur dan mengusahakan ladang, tetapi kamu tidak akan meminum wain atau mendapat apa-apa hasil,+ kerana ulat akan memakan pokok-pokok anggur kamu. 40 Kamu akan mempunyai banyak pokok zaitun di seluruh negeri kamu, tetapi kamu tidak akan mendapat minyaknya untuk disapu pada tubuh kamu, kerana semua buah zaitun kamu akan gugur. 41 Kamu akan mempunyai anak lelaki dan perempuan, tetapi mereka tidak akan tetap bersama kamu, kerana mereka semua akan dibawa pergi sebagai tawanan.+ 42 Semua pokok dan tanaman kamu akan dimakan oleh kawanan serangga. 43 Orang asing dalam kalangan kamu akan menjadi semakin berkuasa, tetapi kamu pula akan menjadi semakin lemah. 44 Mereka akan memberikan pinjaman kepada kamu, tetapi kamu tidak mampu meminjamkan apa-apa kepada mereka.+ Mereka akan menjadi pemerintah kamu dan kamu terpaksa tunduk kepada mereka.+

45 “Semua kutukan itu+ akan menimpa kamu sehingga kamu binasa dan kamu tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.+ Hal ini demikian kerana kamu tidak mentaati Yehuwa, Tuhan kamu, dan kerana kamu tidak mematuhi hukum dan perintah-Nya.+ 46 Semua kutukan itu akan menimpa kamu serta keturunan kamu, dan semua itu akan menjadi suatu tanda amaran kepada semua orang.+ 47 Hal ini demikian kerana meskipun kamu diberkati dengan melimpah, kamu tidak menyembah Yehuwa dengan gembira dan senang hati.+ 48 Yehuwa akan menyebabkan musuh-musuh kamu menyerang dan menawan kamu. Kamu akan diperhamba+ dalam keadaan lapar,+ dahaga, telanjang,* dan serba kekurangan. Kamu akan ditindas dengan kejam* sehingga kamu binasa sama sekali.

49 “Yehuwa akan mendatangkan suatu bangsa dari hujung bumi untuk menyerang kamu,+ iaitu sebuah bangsa yang bahasanya tidak kamu fahami.+ Mereka akan menyerang kamu seperti burung helang menyambar mangsanya.+ 50 Mereka merupakan sebuah bangsa yang ganas dan kejam. Mereka tidak berbelas kasihan terhadap sesiapa pun, baik orang tua mahupun kanak-kanak.+ 51 Mereka akan memakan ternakan kamu dan hasil tanaman kamu sehingga kamu dilenyapkan. Mereka tidak akan meninggalkan bijirin, minyak, wain baharu, anak lembu, atau anak bebiri, untuk kamu sehingga kamu dimusnahkan.+ 52 Mereka akan mengepung kota-kota kamu di negeri yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada kamu, sehingga tembok kota kamu yang tinggi dan kukuh runtuh sama sekali. Kamu akan terperangkap di dalam kota-kota kamu itu,+ 53 dan kamu terpaksa memakan anak-anak kamu sendiri,+ iaitu anak-anak yang dikurniakan oleh Yehuwa kepada kamu. Hal ini demikian kerana penderitaan dan penindasan yang diakibatkan oleh serangan musuh kamu itu terlalu dahsyat.

54 “Lelaki yang biasa hidup dalam kemewahan dan yang bersikap lemah lembut pun tidak akan berbelas kasihan terhadap saudaranya, isteri yang dikasihinya, atau anak-anaknya yang masih hidup. 55 Dia akan memakan anaknya sendiri dan tidak akan membahagikannya dengan sesiapa pun kerana dia tidak mempunyai makanan lain, dan kerana dia sangat menderita akibat serangan musuh terhadap kota-kota kamu.+ 56 Wanita yang bersikap lemah lembut dan yang biasa hidup dalam kemewahan, sehingga tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah,+ tidak akan berbelas kasihan terhadap suami yang dikasihinya atau anak-anaknya. 57 Secara sembunyi-sembunyi, dia akan memakan anaknya sendiri dan bahkan uri bayinya,* kerana dia sangat menderita akibat serangan musuh terhadap kota-kota kamu.

58 “Jika kamu tidak mematuhi segala yang dinyatakan dalam Hukum* yang tertulis dalam kitab ini,+ dan jika kamu tidak menghormati nama Tuhan yang mulia dan menakjubkan,+ iaitu Yehuwa,+ 59 maka Yehuwa akan mendatangkan tulah-tulah yang dahsyat kepada kamu dan keturunan kamu.+ Dia juga akan menimpakan penyakit yang teruk dan yang tidak dapat diubati kepada kamu dan keturunan kamu. 60 Dia akan mendatangkan semua penyakit yang kamu takuti di Mesir dahulu. Kamu tidak akan sembuh daripada penyakit-penyakit itu. 61 Tambahan lagi, Yehuwa akan mendatangkan segala macam penyakit dan tulah yang tidak tertulis dalam kitab Hukum ini kepada kamu sehingga kamu dihapuskan. 62 Walaupun bilangan kamu telah menjadi banyak seperti bintang-bintang di langit,+ hanya sedikit orang yang akan tertinggal dalam kalangan kamu+ kerana kamu tidak mentaati Yehuwa, Tuhan kamu.

63 “Sebagaimana Yehuwa berasa senang hati untuk menjadikan kamu makmur dan menambahkan bilangan kamu, demikian juga Yehuwa akan berasa senang hati untuk membinasakan dan memusnahkan kamu. Kamu akan diusir dari tanah yang akan kamu duduki.

64 “Yehuwa akan mencerai-beraikan kamu dalam kalangan bangsa-bangsa lain, dari satu hujung bumi ke hujung yang lain.+ Di sana, kamu terpaksa menyembah tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu, iaitu tuhan-tuhan yang tidak kamu atau nenek moyang kamu kenali.+ 65 Dalam kalangan bangsa-bangsa itu, kamu tidak akan mendapat ketenteraman+ atau tempat untuk beristirahat. Sebaliknya, Yehuwa akan menyebabkan kamu putus harapan dan membuat hati kamu gelisah serta menjadikan penglihatan kamu kabur.+ 66 Kamu akan ketakutan siang dan malam. Hidup kamu akan sentiasa terancam, dan kamu akan berasa seolah-olah maut sedang menunggu kamu. 67 Pada waktu siang, kamu akan berkata, ‘Alangkah baiknya jika sekarang waktu malam!’ dan pada waktu malam, kamu akan berkata pula, ‘Alangkah baiknya jika sekarang waktu siang!’ Kamu akan diselubungi rasa gentar kerana melihat segala yang menimpa kamu. 68 Yehuwa pasti akan membawa kamu kembali ke Mesir dengan kapal, meskipun aku pernah berkata, ‘Kamu tidak akan melihat negeri itu lagi.’ Di sana, kamu terpaksa menjual diri kamu sebagai hamba kepada musuh-musuh kamu, namun tiada sesiapa pun yang akan membeli kamu.”

29 Selain perjanjian yang dibuat oleh Yehuwa dengan umat Israel di Horeb,+ Tuhan juga memerintahkan Musa untuk membuat satu lagi perjanjian dengan mereka di Moab. Musa juga diperintahkan untuk menyampaikan kata-kata perjanjian tersebut kepada umat Israel.

2 Musa memanggil semua orang Israel untuk berkumpul lalu dia berkata kepada mereka, “Di Mesir, kamu sudah melihat segala yang telah dilakukan oleh Yehuwa terhadap Firaun, semua pegawainya, dan seluruh negerinya.+ 3 Tuhan telah melakukan banyak tanda dan mukjizat untuk menghukum mereka.+ 4 Tetapi sampai hari ini, Yehuwa tidak memberi kamu keupayaan untuk benar-benar memahami perkara yang sudah kamu lihat dan dengar.+ 5 Tuhan telah berfirman, ‘Selama 40 tahun, Aku memimpin kamu di padang belantara,+ dan sepanjang masa itu pakaian kamu tidak menjadi usang, dan kasut kamu tidak menjadi buruk.+ 6 Kamu tidak mempunyai roti untuk dimakan dan kamu tidak mempunyai wain atau minuman keras yang lain untuk diminum. Namun Aku menjaga keperluan kamu supaya kamu tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’ 7 Kemudian apabila kita sampai ke tempat ini, Raja Sihon dari Hesybon+ dan Raja Og dari Basan+ datang untuk menyerang kita, tetapi kita mengalahkan mereka.+ 8 Selepas itu, kita mengambil tanah mereka lalu memberikannya kepada suku Ruben, suku Gad, dan separuh suku Manasye, sebagai warisan.+ 9 Maka patuhilah semua yang dinyatakan dalam perjanjian ini supaya kamu berjaya dalam segala usaha kamu.+

10 “Pada hari ini, kamu semua berdiri di hadapan Yehuwa. Para ketua suku, para pemimpin, para pegawai, kaum lelaki Israel, 11 kaum wanita Israel, kanak-kanak,+ dan orang asing+ dalam kalangan kamu, baik orang yang mengumpulkan kayu mahupun orang yang menimba air, 12 berkumpul di sini untuk mengikat perjanjian yang dibuat oleh Yehuwa dengan kamu. Perjanjian ini yang dibuat oleh Yehuwa, Tuhan kamu, disertai dengan sumpah-Nya.+ 13 Dengan perjanjian ini, Tuhan menjadikan kamu umat-Nya+ dan Dia akan menjadi Tuhan kamu,+ seperti yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu, iaitu Abraham,+ Ishak,+ dan Yakub.+

14 “Aku tidak hanya membuat perjanjian yang disertai dengan sumpah ini dengan kamu semua 15 yang berdiri di hadapan Yehuwa pada hari ini, tetapi juga dengan keturunan kamu yang akan datang. 16 Kamu tentu tahu bagaimana keadaan hidup kita di Mesir dan bagaimana kita melalui negeri-negeri bangsa lain dalam perjalanan kita.+ 17 Kamu telah nampak berhala-berhala mereka yang menjijikkan,*+ yang dibuat daripada kayu, batu, perak, dan emas. 18 Maka berwaspadalah supaya tiada seorang pun dalam kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, keluarga atau suku, yang berpaling daripada Yehuwa, Tuhan kamu, lalu menyembah tuhan-tuhan bangsa lain.+ Orang sedemikian bagaikan akar daripada tanaman yang pahit dan beracun.+

19 “Tetapi jika sesiapa mendengar kata-kata perjanjian* ini dan dengan angkuh berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku berkeras untuk bertindak sesuka hatiku, tiada perkara buruk yang akan berlaku kepadaku,’ dan perbuatannya itu mendatangkan celaka kepada dirinya dan orang lain, 20 maka Yehuwa tidak akan mengampuninya.+ Sebaliknya, Yehuwa akan menjadi sangat murka terhadap orang itu, dan semua kutukan yang tercatat dalam kitab ini pasti akan menimpanya.+ Yehuwa juga akan melenyapkan nama orang itu dari muka bumi. 21 Yehuwa akan memisahkannya daripada semua suku orang Israel dan mendatangkan bencana ke atasnya selaras dengan semua kutukan yang tercatat dalam kitab Hukum* ini.

22 “Apabila keturunan kamu yang akan datang dan orang asing dari negeri yang jauh melihat semua tulah dan bencana yang didatangkan oleh Yehuwa kepada tanah kamu, 23 iaitu semasa mereka melihat tanah kamu dibakar dan diliputi garam dan belerang, sehingga tanah itu tidak dapat ditanami apa-apa pun, seperti kota Sodom, Gomora,+ Adma, dan Zeboim,+ yang telah dihancurkan oleh Yehuwa dalam kemurkaan-Nya, 24 mereka semua akan bertanya, ‘Mengapakah Yehuwa melakukan hal itu terhadap negeri ini?+ Apakah yang menyebabkan Dia begitu murka?’ 25 Jawapannya ialah: ‘Hal itu berlaku kerana umat itu telah memungkiri perjanjian Yehuwa,+ Tuhan nenek moyang mereka. Dia telah membuat perjanjian itu dengan mereka semasa Dia membawa mereka keluar dari Mesir.+ 26 Dia juga melarang mereka menyembah dan bersujud kepada tuhan-tuhan lain. Namun, mereka tetap pergi menyembah tuhan-tuhan yang tidak dikenali mereka.+ 27 Oleh itu, Yehuwa menjadi sangat murka lalu mendatangkan semua kutukan yang tercatat dalam kitab Hukum mereka kepada tanah mereka.+ 28 Dengan kemurkaan-Nya yang besar dan dahsyat, Yehuwa mencabut mereka dari tanah itu,+ lalu membuang mereka ke negeri asing, iaitu tempat mereka berada sekarang.’+

29 “Yehuwa, Tuhan kita, mengetahui segala rahsia,+ tetapi Dia telah menyingkapkan banyak perkara menurut kehendak-Nya kepada kita dan keturunan kita buat selama-lamanya, supaya kita dapat mematuhi segala yang dinyatakan dalam Hukum ini.+

30 “Apabila Yehuwa, Tuhan kamu, mencerai-beraikan kamu dalam kalangan bangsa-bangsa lain,+ dan semua berkat dan kutukan yang aku sebutkan+ menjadi kenyataan terhadap kamu, lalu kamu teringat akan semua itu,+ 2 dan kamu serta keturunan kamu kembali kepada Yehuwa+ dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa, dan mematuhi semua perintah-Nya yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini,+ 3 Yehuwa akan berbelas kasihan terhadap kamu.+ Yehuwa, Tuhan kamu, akan membawa kamu pulang daripada pembuangan+ dan Dia akan mengumpulkan kamu semula dari negeri-negeri tempat Dia mencerai-beraikan kamu.+ 4 Walaupun kamu tercerai-berai sampai ke hujung bumi, Yehuwa, Tuhan kamu, akan mengumpulkan kamu dan membawa kamu pulang.+ 5 Yehuwa akan membawa kamu ke negeri yang dimiliki oleh nenek moyang kamu dahulu dan kamu akan mendudukinya semula. Dia akan menjadikan kamu makmur dan menjadikan bilangan kamu lebih banyak daripada bilangan nenek moyang kamu.+ 6 Yehuwa, Tuhan kamu, akan memurnikan hati kamu dan hati keturunan kamu.+ Dengan itu, kamu akan mengasihi Yehuwa dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa, dan kamu dapat tetap hidup.+ 7 Yehuwa akan mendatangkan semua kutukan itu kepada musuh-musuh kamu yang telah membenci dan menganiaya kamu.+

8 “Kamu akan kembali kepada Yehuwa dan mendengar serta mematuhi segala perintah-Nya yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini. 9 Yehuwa, Tuhan kamu, akan menjadikan kamu sangat makmur dan memberkati segala usaha kamu.+ Dia akan melipatgandakan keturunan kamu, ternakan kamu, dan hasil tanaman kamu. Yehuwa akan berasa senang hati untuk menjadikan kamu makmur, sepertimana dia berasa senang hati untuk menjadikan nenek moyang kamu makmur.+ 10 Kamu mesti mendengar dan mematuhi segala perintah dan peraturan Yehuwa yang tertulis dalam kitab Hukum* ini. Ya, kamu mesti kembali kepada Yehuwa, Tuhan kamu, dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa.+

11 “Perintah yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini tidak terlalu susah untuk difahami dan tidak mustahil untuk dipatuhi.*+ 12 Perintah itu bukannya di langit sehingga kamu perlu bertanya, ‘Siapakah yang akan naik ke sana dan membawanya turun supaya kami dapat mendengar dan mematuhinya?’+ 13 Perintah itu juga bukannya di seberang laut sehingga kamu perlu bertanya, ‘Siapakah yang akan menyeberangi laut dan membawanya kepada kami supaya kami dapat mendengar dan mematuhinya?’ 14 Sebenarnya perintah itu sangat dekat dengan kamu, seolah-olah di dalam mulut kamu dan dalam hati kamu,+ maka kamu dapat mematuhinya.+

15 “Pada hari ini, aku memberi kamu dua pilihan, iaitu pilihan antara berkat dan kehidupan atau kutukan dan kematian.+ 16 Jika kamu mematuhi perintah Yehuwa yang aku sampaikan kepada kamu pada hari ini, iaitu dengan mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu,+ dan hidup menurut kehendak-Nya serta mematuhi peraturan dan ketetapan-Nya, maka kamu akan tetap hidup+ dan bilangan kamu akan menjadi banyak. Yehuwa, Tuhan kamu, akan memberkati kamu di tanah yang akan kamu duduki.+

17 “Namun jika kamu tidak taat kepada Tuhan dan jika hati kamu tergoda+ untuk berpaling daripada-Nya, lalu kamu pergi menyembah dan bersujud kepada tuhan-tuhan lain,+ 18 kamu pasti akan binasa.+ Ya, aku memberikan amaran ini kepada kamu pada hari ini. Kamu tidak akan hidup lama di negeri yang akan kamu duduki di seberang Sungai Yordan. 19 Sekarang aku menjadikan langit dan bumi sebagai saksi bahawa aku memberi kamu dua pilihan, iaitu pilihan antara kehidupan dengan kematian, dan antara berkat dengan kutukan.+ Kamu harus memilih kehidupan supaya kamu dan keturunan kamu+ dapat tetap hidup.+ 20 Kamu harus mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu,+ dan mematuhi firman-Nya serta berpaut pada-Nya,+ kerana Yehuwalah sumber kehidupan kamu dan Dia dapat memberi kamu umur yang panjang di tanah yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub.”+

31 Kemudian Musa bercakap lagi kepada semua umat Israel. 2 Dia berkata kepada mereka, “Sekarang aku sudah berumur 120 tahun.+ Aku tidak lagi dapat memimpin kamu kerana Yehuwa telah berfirman kepadaku, ‘Engkau tidak akan menyeberangi Sungai Yordan.’+ 3 Yosua akan memimpin kamu untuk menyeberangi sungai itu,+ seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa, Tuhan kamu. Yehuwa akan mendahului kamu, dan Dia sendiri akan membinasakan bangsa-bangsa lain di depan mata kamu,+ lalu kamu akan menduduki tanah mereka. 4 Sebagaimana Yehuwa telah membinasakan Sihon+ dan Og,+ iaitu raja-raja orang Amori, serta memusnahkan negeri mereka, demikianlah yang akan dilakukan-Nya terhadap bangsa-bangsa itu.+ 5 Yehuwa akan memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu mesti memperlakukan mereka menurut segala perintah yang telah aku sampaikan kepada kamu.+ 6 Hendaklah kamu berani dan teguh.+ Janganlah berasa takut atau gentar+ kerana Yehuwa, Tuhan kamu, akan menyertai kamu. Dia tidak sekali-kali akan mengabaikan kamu atau meninggalkan kamu.”+

7 Selepas itu, Musa memanggil Yosua dan berkata kepadanya di hadapan semua umat Israel, “Hendaklah kamu berani dan teguh,+ kerana kamu akan memimpin umat ini untuk masuk ke tanah yang telah dijanjikan oleh Yehuwa kepada nenek moyang mereka, dan kamu akan memberikan tanah itu kepada mereka sebagai warisan.+ 8 Yehuwa akan mendahului kamu dan Dia akan tetap menyertai kamu.+ Janganlah berasa takut atau gentar. Dia tidak sekali-kali akan mengabaikan kamu atau meninggalkan kamu.”+

9 Kemudian Musa menulis Hukum*+ itu dan memberikannya kepada para imam Lewi yang membawa tabut perjanjian Yehuwa, dan kepada semua pemimpin orang Israel. 10 Musa memerintahkan mereka dengan berkata, “Setiap tahun ketujuh, pada waktu yang ditetapkan dalam tahun Sabat,*+ iaitu semasa Perayaan Pondok Daun,+ 11 apabila semua umat Israel pergi menghadap Yehuwa,+ Tuhan kamu, di tempat yang telah dipilih oleh-Nya, kamu harus membacakan Hukum ini kepada semua umat Israel.+ 12 Suruhlah semua orang berkumpul,+ tidak kira lelaki, perempuan, kanak-kanak, atau orang asing yang tinggal di kota-kota kamu, supaya mereka dapat mendengar dan belajar tentang Yehuwa. Dengan itu, mereka akan takut dan hormat kepada-Nya serta mematuhi segala perintah yang tercatat dalam Hukum ini. 13 Dengan demikian, keturunan mereka yang tidak mengetahui Hukum ini dapat mendengar+ dan belajar untuk takut dan hormat akan Yehuwa, Tuhan kamu, selama kamu hidup di tanah yang akan kamu diami di seberang Sungai Yordan.”+

14 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Engkau akan mati tidak lama lagi.+ Panggillah Yosua dan pergilah ke khemah pertemuan supaya Aku dapat melantiknya sebagai pemimpin.”+ Maka Musa dan Yosua pergi ke khemah pertemuan. 15 Yehuwa menampakkan diri di dalam tiang awan, dan tiang awan itu berada di hadapan pintu masuk khemah pertemuan.+

16 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Tidak lama lagi engkau akan mati. Setelah itu, umat ini akan bertindak tidak setia terhadap-Ku dan menyembah tuhan-tuhan lain* yang terdapat di seluruh negeri yang akan didiami mereka.+ Mereka akan meninggalkan Aku+ dan melanggar perjanjian yang telah Aku buat dengan mereka.+ 17 Pada masa itu, Aku akan menjadi sangat murka terhadap mereka+ dan Aku akan meninggalkan+ serta mengabaikan mereka+ sehingga mereka dimusnahkan. Setelah mengalami banyak bencana dan penderitaan,+ mereka akan bertanya, ‘Bukankah kita ditimpa bencana-bencana ini kerana Tuhan kita tidak lagi menyertai kita?’+ 18 Tetapi Aku akan terus mengabaikan mereka kerana mereka telah melakukan banyak perkara yang jahat, dan kerana mereka telah menyembah tuhan-tuhan lain.+

19 “Sekarang tuliskanlah lagu ini+ dan ajarkannya kepada umat Israel.+ Mereka harus mempelajari lagu ini supaya lagu ini mengingatkan mereka tentang amaran-Ku.+ 20 Apabila Aku membawa mereka ke tanah yang telah Aku janjikan kepada nenek moyang mereka,+ iaitu tanah yang melimpah dengan susu dan madu itu,+ mereka akan hidup makmur serta menikmati makanan dengan sepuas-puasnya.+ Tetapi kemudiannya, mereka tidak akan menunjukkan hormat kepada-Ku. Mereka akan pergi menyembah tuhan-tuhan lain dan melanggar perjanjian-Ku.+ 21 Apabila mereka ditimpa banyak bencana dan penderitaan,+ lagu ini akan mengingatkan mereka tentang amaran-Ku. Keturunan mereka juga akan mempelajari lagu ini dan diingatkan tentang amaran-Ku. Sememangnya, Aku sudah tahu tentang kecenderungan hati mereka+ walaupun Aku belum membawa mereka ke tanah yang telah Aku janjikan kepada mereka.”

22 Maka Musa menulis lagu itu dan mengajarkannya kepada umat Israel.

23 Tuhan melantik Yosua+ anak Nun dan berfirman kepadanya, “Hendaklah engkau berani dan teguh,+ kerana engkau akan memimpin umat ini untuk masuk ke tanah yang telah Aku janjikan kepada mereka,+ dan Aku akan sentiasa menyertai engkau.”

24 Sebaik sahaja Musa selesai menulis kitab Hukum itu,+ 25 dia memberikan perintah berikut kepada orang Lewi yang membawa tabut perjanjian Yehuwa: 26 “Ambillah kitab Hukum+ ini dan letakkannya di sebelah tabut+ perjanjian Yehuwa, Tuhan kamu. Kitab ini akan menjadi saksi bagi Tuhan untuk membuktikan kesalahan kamu. 27 Sememangnya Aku tahu bahawa umat ini sangat degil+ dan suka memberontak.+ Jika mereka memberontak terhadap Yehuwa semasa aku masih hidup, sudah tentu mereka akan semakin memberontak selepas aku mati! 28 Kumpulkanlah semua pemimpin suku kamu dan para pegawai kamu supaya aku dapat bercakap kepada mereka. Aku akan menjadikan langit dan bumi sebagai saksi terhadap mereka.+ 29 Aku tahu bahawa setelah aku meninggal, mereka pasti akan berbuat jahat+ dan menyimpang daripada haluan yang telah aku ajarkan. Pada masa depan, mereka akan ditimpa bencana+ kerana mereka melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dan menyakiti hati-Nya dengan perbuatan mereka.”

30 Kemudian Musa mengucapkan semua isi lagu ini di hadapan seluruh umat Israel:+

32 “Hai langit, dengarlah kata-kataku.

Hai bumi, dengarlah ucapan bibirku.

 2 Ajaranku akan turun seperti hujan,

Dan kata-kataku seperti embun yang menitis,

Seperti hujan rintik-rintik yang turun ke atas rumput,

Dan seperti hujan lebat yang membasahi tumbuh-tumbuhan.

 3 Aku akan mengisytiharkan nama Yehuwa.+

Aku akan menyatakan keagungan Tuhan kita!+

 4 Dia bagaikan gunung batu;

Segala haluan-Nya sempurna+ dan saksama.+

Dia Tuhan yang setia+ dan tidak berat sebelah;+

Dia Tuhan yang adil dan benar.+

 5 Tetapi kamu telah berbuat jahat.+

Kerana kesalahan kamu sendiri, kamu bukan anak-anak Tuhan.+

Kamu merupakan generasi yang jahat dan menyeleweng!+

 6 Hai bangsa yang bodoh dan tidak berakal,+

Begitukah caranya kamu memperlakukan Yehuwa?+

Bukankah Dia Bapa kamu yang menciptakan kamu?+

Bukankah Dia yang menjadikan kamu sebuah bangsa?

 7 Ingatlah tentang zaman purbakala;

Fikirkanlah tentang generasi-generasi yang lampau.

Tanyalah bapa kamu, dan dia akan memberitahu kamu;+

Tanyalah orang tua-tua kamu, dan mereka akan menceritakannya kepada kamu.

 8 Apabila Yang Maha Tinggi memberi bangsa-bangsa warisan mereka,+

Dan semasa Dia memisahkan keturunan Adam,*+

Dia menetapkan sempadan bagi bangsa-bangsa,+

Dan Dia juga menentukan sempadan bagi bangsa Israel menurut bilangan mereka.+

 9 Umat Yehuwa ialah milik-Nya sendiri;+

Sesungguhnya, Yakub ialah milik pusaka-Nya.+

10 Tuhan menjumpai umat-Nya di padang belantara,+

Di padang gurun yang didiami binatang buas yang melolong.+

Dia melindungi dan menjaga mereka;+

Dia memelihara mereka seperti memelihara biji mata-Nya.+

11 Seperti burung helang yang mengepak-ngepak di udara

Untuk mengajar anaknya terbang,

Dan seperti burung helang yang mengembangkan sayapnya

Untuk membawa anaknya di atas kepaknya,+

12 Yehuwa sendiri yang memimpin umat-Nya,*+

Tanpa dibantu oleh tuhan-tuhan lain.+

13 Dia menyebabkan mereka berkuasa atas tempat-tempat tinggi di bumi,+

Agar mereka dapat menikmati hasil dari ladang mereka.+

Dia memberi mereka madu dari bukit batu,

Dan menyebabkan minyak mengalir dari batu-batu.

14 Dia memberi mereka susu daripada kambing dan mentega daripada susu lembu.

Dia juga memberi mereka bebiri yang terbaik

Dan bebiri jantan dari Basan serta banyak kambing jantan.

Dia memberi mereka gandum yang bermutu tinggi+

Dan wain daripada buah anggur.

15 Hai Yesyurun,* setelah kamu menjadi gemuk, kamu mula memberontak.

Kamu menjadi begitu gemuk, gempal, dan gendut.+

Kamu telah meninggalkan Tuhan yang menjadikan kamu;+

Kamu telah menghina Tuhan yang bagaikan gunung batu, iaitu Tuhan yang menyelamatkan kamu.

16 Kamu membuat Tuhan murka dengan menyembah tuhan-tuhan asing;+

Kamu menyebabkan Tuhan marah dengan melakukan hal-hal yang jijik.+

17 Kamu mempersembahkan korban kepada roh-roh jahat, dan bukannya kepada Tuhan.+

Kamu mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan yang tidak kamu kenali,

Iaitu kepada tuhan-tuhan yang baharu,

Tuhan-tuhan yang tidak dikenali oleh nenek moyang kamu.

18 Kamu melupakan Tuhan yang bagaikan gunung batu,+ iaitu Tuhan yang telah menciptakan kamu.

Kamu tidak ingat akan Tuhan yang telah menyebabkan kamu dilahirkan.+

19 Apabila Yehuwa melihat hal itu, Dia menolak kamu,+

Kerana kamu, anak-anak-Nya, telah menyakiti hati-Nya.

20 Maka Tuhan berfirman, ‘Aku akan mengabaikan mereka,+

Dan Aku ingin melihat apa yang akan berlaku kepada mereka,

Kerana mereka merupakan generasi yang jahat,+

Dan mereka merupakan anak-anak yang tidak setia.+

21 Mereka telah membangkitkan kemurkaan-Ku* dengan menyembah tuhan-tuhan yang tidak berguna;+

Mereka telah menyakiti hati-Ku dengan bersujud kepada berhala-berhala yang tidak bernilai.+

Maka Aku akan menyebabkan mereka marah* melalui bangsa yang lain,+

Dan Aku akan menyakiti hati mereka melalui bangsa yang bodoh.+

22 Kemurkaan-Ku akan bernyala-nyala seperti api.+

Kemurkaan-Ku akan membakar segala sesuatu hingga dasar Kuburan.*+

Ya, kemurkaan-Ku akan menghanguskan bumi dan segala hasilnya,

Dan membakar habis asas-asas gunung.

23 Aku akan menimpakan lebih banyak bencana kepada mereka;

Aku akan melepaskan semua anak panah-Ku ke arah mereka.

24 Mereka akan kehabisan tenaga kerana lapar;+

Mereka akan mengalami demam panas dan dilanda kemusnahan yang dahsyat.+

Aku akan mendatangkan binatang buas untuk menerkam mereka+

Dan ular* berbisa yang menjalar di tanah untuk mematuk mereka.

25 Di luar rumah, mereka akan dibunuh dengan pedang;+

Di dalam rumah, mereka semua akan dicengkam ketakutan,+

Baik pemuda mahupun pemudi,

Baik orang tua mahupun bayi.+

26 Aku seharusnya berkata, “Aku akan mencerai-beraikan mereka;

Aku akan menyebabkan umat manusia melupakan mereka.”

27 Tetapi jika Aku berbuat demikian, musuh akan mempunyai anggapan yang salah.+

Aku tidak mahu mereka mencela Aku+ dengan berkata,

“Kami berjaya kerana kuasa kami sendiri,+

Dan bukannya Yehuwa yang melakukan semua ini.”

28 Umat ini merupakan suatu bangsa yang tidak berakal;*

Mereka sama sekali tidak berpengertian.+

29 Alangkah baiknya jika mereka menunjukkan kebijaksanaan!+

Maka mereka akan merenungkan+ dan memikirkan kesudahan yang menanti mereka.+

30 Bagaimana mungkin seorang dapat mengejar 1,000 orang?

Bagaimana mungkin dua orang dapat melawan 10,000 orang?+

Hal itu hanya akan terjadi jika Gunung Batu mereka meninggalkan mereka,+

Dan jika Aku, Yehuwa, menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh.

31 (Tuhan-tuhan mereka tidak seperti Tuhan kita yang bagaikan gunung batu.+

Musuh-musuh kita pun sedar akan hal ini.)+

32 Umat ini bagaikan pokok anggur dari Sodom

Dan bagaikan pokok anggur dari ladang di Gomora.+

Buah anggur mereka beracun

Dan gugusan anggur mereka sangat pahit.+

33 Wain mereka bagaikan bisa ular,

Dan bagaikan racun ular tedung yang sangat berbahaya.

34 Semua perbuatan mereka akan disimpan

Dan dikunci di dalam gudang-Ku.+

35 Akulah yang akan menuntut pembalasan, dan Akulah yang akan membalas kejahatan.+

Akan tiba masanya apabila mereka tersandung;+

Hari pembinasaan mereka sudah dekat,

Dan segala yang menanti mereka akan datang dengan segera.’

36 Apabila Yehuwa melihat umat-Nya kehabisan tenaga,

Dan apabila orang yang lemah dan tidak berdaya sahaja yang tinggal,

Dia akan berbelas kasihan terhadap para hamba-Nya;+

Dia juga akan mengadili umat-Nya.+

37 Dia akan berfirman, ‘Di manakah tuhan-tuhan mereka,+

Yang menjadi tempat perlindungan mereka,

38 Yang selalu makan lemak daripada korban mereka,

Dan yang selalu minum korban wain mereka?+

Biarlah tuhan-tuhan itu bangkit dan menolong mereka,

Dan menjadi tempat naungan mereka.

39 Ketahuilah bahawa Akulah satu-satunya Tuhan,+

Dan tiada tuhan lain kecuali Aku.+

Aku mencabut nyawa dan Aku memberikan nyawa.+

Aku melukai orang+ dan Aku menyembuhkan orang,+

Dan tiada sesiapa pun yang dapat menyelamatkan mereka daripada tangan-Ku.+

40 Aku mengangkat tangan-Ku lalu bersumpah,

“Demi Aku yang hidup selama-lamanya,”+

41 Apabila Aku mengasah pedang-Ku yang berkilauan,

Dan bersedia untuk melaksanakan penghakiman-Ku,+

Aku akan menghukum semua musuh-Ku,+

Dan membalas kejahatan orang yang membenci Aku.

42 Anak panah-Ku akan berlumuran dengan darah,

Iaitu darah orang yang dibunuh dan darah orang tawanan.

Pedang-Ku akan memotong kepala para pemimpin musuh

Dan membunuh banyak orang.’

43 Hai bangsa-bangsa, bersukacitalah bersama umat Tuhan,+

Kerana Dia akan menuntut pembalasan bagi para hamba-Nya,+

Dia akan membalas kejahatan semua musuh-Nya,+

Dan Dia juga akan menyucikan tanah umat-Nya.”

44 Musa dan Hoshea*+ anak Nun mengucapkan semua isi lagu itu di hadapan seluruh umat Israel.+ 45 Selepas Musa mengucapkan kata-kata itu kepada semua umat Israel, 46 dia berkata lagi kepada mereka, “Ingatlah akan semua amaran yang aku berikan kepada kamu hari ini,+ supaya kamu dapat mengajar anak-anak kamu untuk mematuhi segala yang dinyatakan dalam Hukum* ini.+ 47 Semua ajaran ini bukanlah kata-kata kosong, tetapi ajaran ini akan menjamin kehidupan kamu.+ Dengan mematuhinya, kamu dapat hidup lama di tanah yang akan kamu diami di seberang Sungai Yordan.”

48 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa pada hari itu, 49 “Naiklah ke gunung di kawasan Abarim,+ iaitu ke Gunung Nebo,+ yang terletak di negeri Moab yang menghadap Yerikho. Di sana, lihatlah ke arah tanah Kanaan yang akan Aku berikan kepada orang Israel sebagai milik mereka.+ 50 Kemudian engkau akan meninggal di gunung yang akan engkau daki itu, dan engkau akan dikebumikan seperti nenek moyangmu. Abangmu Harun juga telah dikebumikan seperti nenek moyangmu setelah dia mati di Gunung Hor.+ 51 Hal ini berlaku kerana kamu berdua tidak setia kepada-Ku semasa di Sumber Air Meriba+ yang berdekatan Kades, di padang belantara Zin. Kamu berdua tidak memuliakan Aku di hadapan umat Israel.+ 52 Engkau akan melihat tanah itu dari jauh, tetapi engkau tidak boleh memasuki tanah itu yang akan Aku berikan kepada orang Israel.”+

33 Sebelum meninggal, Musa, hamba Tuhan yang benar, memberkati umat Israel dengan kata-kata ini.+ 2 Dia berkata,

“Yehuwa datang dari Gunung Sinai.+

Dia menyinari umat-Nya dari pergunungan Seir.

Dia bersinar seperti matahari dari kawasan pergunungan Paran.+

Puluhan ribu malaikat-Nya yang suci ada bersama-Nya,+

Dan para pahlawan-Nya berdiri di sebelah kanan-Nya.+

 3 Dia mengasihi umat-Nya;+

Semua umat-Nya yang suci berada dalam tangan-Nya.+

Mereka duduk dekat kaki-Nya,+

Dan mereka mendengar firman-Nya.+

 4 (Musa memberi kami hukum dan perintah,+

Yang menjadi milik keturunan Yakub.)+

 5 Apabila para pemimpin umat berkumpul,+

Dan apabila semua suku Israel menyertai mereka,+

Tuhan menjadi raja di Yesyurun.*+

 6 Semoga suku Ruben tetap hidup dan tidak lenyap,+

Dan semoga bilangan mereka tidak menjadi sedikit.”+

 7 Musa memberkati suku Yehuda+ dengan berkata,

“Ya Yehuwa, dengarlah seruan Yehuda.+

Semoga Engkau membawanya pulang kepada bangsanya.

Dia mempertahankan hak miliknya.

Semoga Engkau membantunya untuk melawan musuh-musuhnya.”+

 8 Tentang suku Lewi,+ Musa berkata,

“Ya Tuhan, Urim dan Tumim*+ merupakan milik orang yang setia kepada-Mu.+

Engkau telah menguji mereka di Masah,+

Dan menentang mereka di Sumber Air Meriba.+

 9 Orang Lewi tidak berpihak kepada ibu bapa mereka,

Mereka juga tidak mengendahkan saudara-saudara mereka,+

Dan mereka tidak menghiraukan anak-anak mereka,

Kerana mereka mematuhi firman-Mu,

Dan kerana mereka setia kepada perjanjian-Mu.+

10 Biarlah mereka mengajar Yakub tentang ketetapan-Mu,+

Dan mendidik Israel tentang hukum-Mu.+

Biarlah mereka membakar kemenyan yang berbau harum untuk-Mu,+

Dan mempersembahkan korban di atas mazbah-Mu.+

11 Ya Yehuwa, semoga Engkau memberkati mereka dan menjadikan mereka kuat,

Dan semoga Engkau berkenan dengan hasil kerja mereka.

Biarlah kaki* orang yang menentang mereka dihancurkan

Agar orang yang membenci mereka tidak bangkit semula.”

12 Tentang suku Benyamin,+ Musa berkata,

“Semoga orang yang dikasihi Yehuwa tinggal dengan aman bersama-Nya.

Tuhan akan melindungi mereka sepanjang hari,

Dan mereka akan duduk di atas bahu-Nya.”*

13 Tentang keturunan Yusuf,+ Musa berkata,

“Semoga Yehuwa memberkati tanah mereka+

Dengan hal-hal yang baik dari langit,

Dengan embun dan dengan air dari bawah tanah,+

14 Dengan hasil baik yang tumbuh kerana sinaran matahari,

Dengan hasil tanaman yang baik setiap bulan,+

15 Dengan hal-hal terbaik dari gunung-gunung zaman purba,*+

Dengan hal-hal baik dari bukit-bukit yang kekal abadi,

16 Dengan hal-hal baik dari bumi dan segala hasilnya,+

Dan dengan perkenan Tuhan yang pernah menampakkan diri dari pokok kecil yang bernyala.+

Semoga semua itu dicurahkan ke atas keturunan Yusuf,

Ke atas mereka yang dipilih daripada kalangan saudara-saudaranya.+

17 Kemuliaan mereka bagaikan kemuliaan anak sulung lembu jantan,

Dan tanduk mereka bagaikan tanduk lembu jantan liar.

Dengan tanduk itu, mereka akan menanduk bangsa-bangsa lain

Sampai ke hujung bumi.

Tanduk-tanduk itu bagaikan puluhan ribu orang Efraim,+

Dan bagaikan ribuan orang Manasye.”

18 Tentang suku Zebulon+ dan Isakhar, Musa berkata,

“Hai Zebulon, bersukacitalah sewaktu engkau keluar untuk berdagang.

Hai Isakhar,+ bersukacitalah sewaktu engkau berada di dalam khemahmu.

19 Hai Zebulon dan Isakhar, kamu akan menjemput bangsa-bangsa lain ke gunung.

Di sana, kamu akan mempersembahkan korban yang diperkenankan.

Kamu akan mendapatkan kekayaan yang berlimpah-limpah dari laut,

Dan memperoleh harta karun yang terpendam di dalam pasir.”

20 Tentang suku Gad,+ Musa berkata,

“Diberkatilah orang yang meluaskan sempadan suku Gad.+

Gad berbaring seperti seekor singa

Yang bersedia untuk mencarik-carik lengan dan kepala mangsanya.

21 Mereka akan memilih tanah yang terbaik untuk mereka sendiri,+

Iaitu tanah yang dikhaskan oleh pemberi hukum untuk mereka.+

Para pemimpin umat akan berkumpul

Lalu suku Gad akan menegakkan keadilan bagi pihak Yehuwa,

Dan menyampaikan ketetapan-Nya di Israel.”

22 Tentang suku Dan,+ Musa berkata,

“Dan seperti seekor anak singa.+

Mereka akan melompat keluar dari Basan.”+

23 Tentang suku Naftali,+ Musa berkata,

“Naftali berasa puas hati dengan perkenan Yehuwa

Dan mereka dilimpahi berkat-Nya.

Mereka akan menakluki tanah di sebelah barat dan selatan.”

24 Tentang suku Asyer,+ Musa berkata,

“Semoga Asyer diberkati dengan anak yang banyak.

Semoga mereka disenangi oleh saudara-saudara mereka,

Dan semoga mereka melumuri kaki mereka dengan minyak.

25 Pintu-pintu gerbang mereka akan dikunci dengan besi dan tembaga,+

Dan mereka akan sentiasa hidup dengan aman dan tenteram.”

26 Musa berkata lagi, “Hai Yesyurun,+ tiada tuhan lain seperti Tuhanmu.+

Dia Tuhan yang benar, dan Dia melintasi langit untuk menolongmu.

Dia menunggangi awan-awan dengan penuh keagungan.+

27 Sejak dahulukala, Tuhan ialah tempat perlindunganmu.+

Tangan-Nya akan sentiasa menyokongmu.+

Dia akan mengusir musuhmu dari hadapanmu,+

Dan Dia akan berfirman, ‘Hapuskanlah mereka!’+

28 Di negeri yang melimpah dengan bijirin dan wain baharu,+

Dan yang tanahnya dibasahi oleh embun dari langit,+

Israel akan hidup dengan aman sentosa,

Dan keturunan Yakub tidak akan diancam musuh.

29 Hai Israel, hendaklah engkau bergembira!+

Tidak ada sesiapa pun seperti engkau,+

Umat yang diselamatkan oleh Yehuwa.+

Dia menjadi seperti perisai yang melindungimu,+

Dan seperti pedang yang hebat bagimu.

Para musuhmu akan gementar di hadapanmu,+

Dan engkau akan memijak-mijak mereka.”*

34 Kemudian Musa meninggalkan padang gurun Moab lalu mendaki Gunung Nebo,+ ke puncak Pisga,+ yang menghadap Yerikho.+ Di sana, Yehuwa menunjukkan seluruh tanah itu kepada Musa, dari Gilead sampai ke Dan;+ 2 seluruh wilayah Naftali; wilayah Efraim dan Manasye; seluruh wilayah Yehuda sampai ke Laut Tengah;*+ 3 seluruh Negeb+ dan daerah Yordan,+ dari dataran di Yerikho, iaitu kota pokok palma, sampai ke Zoar.+

4 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Itulah tanah yang Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku telah bersumpah kepada mereka dengan berkata, ‘Aku akan memberikan tanah itu kepada keturunan kamu.’+ Aku sudah membenarkan engkau melihat seluruh tanah itu, tetapi engkau tidak boleh pergi ke sana.”+

5 Kemudian Musa, hamba Yehuwa itu, meninggal di negeri Moab, seperti yang difirmankan oleh Yehuwa.+ 6 Tuhan mengebumikan Musa di suatu lembah di negeri Moab, di hadapan Bet-peor. Tetapi sampai hari ini, tiada sesiapa pun yang mengetahui tempat Musa dikuburkan.+ 7 Musa berumur 120 tahun semasa dia meninggal.+ Sewaktu dia meninggal, penglihatannya masih terang dan tubuhnya masih kuat. 8 Umat Israel berkabung atas kematian Musa selama 30 hari di padang gurun Moab.+ Selepas jangka waktu itu, mereka berhenti berkabung.

9 Musa telah meletakkan tangannya+ ke atas Yosua anak Nun, maka Yosua menerima kuasa suci Tuhan* dan dikurniai kebijaksanaan. Umat Israel mentaati Yosua dan melakukan segala yang diperintahkan oleh Yehuwa melalui Musa.+ 10 Tetapi sampai hari ini, tidak ada nabi lain seperti Musa di Israel;+ Yehuwa mempunyai hubungan yang begitu akrab dengannya.*+ 11 Yehuwa telah mengutus Musa ke Mesir untuk melakukan banyak tanda dan mukjizat terhadap Firaun, para pegawainya, dan seluruh negerinya.+ 12 Dengan kuasa yang besar, Musa melakukan perkara-perkara yang menakjubkan itu di hadapan semua umat Israel.+

Nampaknya merujuk kepada banjaran Lebanon.

Atau “Wadi.”

Atau mungkin, “Aku akan menguatkan hatinya.”

Atau “Wadi.”

Iaitu, Pulau Kreta.

Atau “dengan tawaran perdamaian.”

Atau “Wadi.”

Atau mungkin, “batu basalt.”

Lihat Lampiran B14.

Maksudnya “Pekan-Pekan Yair.”

Iaitu, Tasik Genesaret atau Tasik Galilea.

Lihat Kamus.

Atau “menjadi milik-Nya yang amat bernilai.”

Atau “Wadi.”

Iaitu, Laut Mati.

Atau “Jangan memberontak terhadap Aku dengan menyembah tuhan-tuhan lain.”

Lihat Kamus.

Atau “tenaga; sumber.”

Gelaran bagi raja Mesir.

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “dijadikan milik-Nya yang amat bernilai.”

Atau “wadi.”

Atau “sidang.” Lihat Kamus.

Atau “ialah milik pusaka-Mu.”

Atau “ialah milik pusaka-Mu.”

Atau “peti.”

Atau “wadi.”

Atau “terhadap.”

Iaitu, dengan menggunakan kaki semasa membuat parit atau semasa menggunakan kincir air.

Iaitu, Laut Mediterranean.

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “dijadikan milik-Nya yang amat bernilai.”

Mengunyah semula makanan yang sudah ditelan.

Harfiah, “kelinci.” Binatang yang menyerupai arnab tetapi mempunyai telinga dan kaki yang lebih besar.

Atau “hyrax.” Sejenis binatang yang tinggal di kawasan berbatu. Rupanya seperti tikus belanda yang besar.

Lihat Lampiran B15.

Lihat Kamus.

Atau “roti yang tidak beragi, iaitu roti penderitaan.”

Proses memisahkan buah daripada tangkai.

Atau “untuk dijadikan tiang-tiang suci.” Lihat Kamus, “Tiang suci.”

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “gulungan.”

Iaitu, tempat yang dipilih oleh Yehuwa sebagai pusat untuk menyembah-Nya.

Atau “sidang.” Lihat Kamus.

Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”

Harfiah, “orang yang menuntut hutang darah.”

Atau “belum merasmikannya?”

Lihat Kamus.

Atau “wadi.”

Pada masa itu, kebanyakan rumah mempunyai bumbung yang rata. Orang boleh berjalan, tidur, atau menyambut tetamu, di situ.

Lihat Lampiran B14.

Nampaknya merujuk kepada seseorang yang sengaja mengembiri diri untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral, seperti hubungan homoseksual.

Lihat Kamus.

Iaitu, tandas.

Nampaknya merujuk kepada sepotong kayu.

Harfiah, “kepada anjing.” Nampaknya merujuk kepada seorang lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain, terutamanya dengan kanak-kanak lelaki.

Atau “kamu seolah-olah meragut nyawa orang itu.”

Perkataan Ibrani untuk “kusta” mempunyai maksud yang luas. Perkataan ini boleh merangkumi pelbagai jenis penyakit kulit yang dapat berjangkit, sama ada pada manusia, pakaian, atau dinding rumah.

Lihat Lampiran B14.

Lihat Lampiran B14.

Atau mungkin, “yang nyawanya terancam.”

Atau “menjadi milik-Nya yang amat bernilai.”

Batu-batu itu dilapisi dengan bahan yang dibuat daripada batu kapur, batu karang, atau cangkerang.

Lihat Kamus.

Iaitu, langit tidak akan menurunkan hujan dan tanah akan menjadi kering.

Atau “bisul yang pernah dialami oleh orang Mesir.”

Atau “dengan memakai jubah dalam sahaja.”

Atau “Mereka akan memasang kuk besi pada tengkuk kamu.”

Atau “bahkan apa-apa yang keluar dari rahimnya sewaktu dia melahirkan anak.”

Lihat Kamus.

Istilah ini dalam bahasa Ibrani mungkin berkaitan dengan istilah yang bermaksud “tahi” dan digunakan untuk menunjukkan perasaan meluat yang sangat mendalam.

Atau “mendengar sumpah.”

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “tidak di luar jangkauan kamu.”

Lihat Kamus.

Pada tahun itu, bayaran hutang mungkin dibatalkan atau ditangguhkan.

Atau “umat ini akan melacurkan diri dengan tuhan-tuhan lain.”

Atau mungkin, “memisahkan umat manusia.”

Iaitu, Yakub.

Maksudnya “Yang Lurus Hati,” iaitu gelaran kehormat bagi Israel.

Atau “kecemburuan-Ku.”

Atau “cemburu.”

Lihat Kamus.

Atau “reptilia.”

Atau mungkin, “yang tidak menghiraukan nasihat.”

Nama asal bagi Yosua. Hoshea ialah singkatan bagi Hoshaiah, yang bererti “Diselamatkan oleh Yah; Yah Telah Menyelamatkan.”

Lihat Kamus.

Maksudnya “Yang Lurus Hati,” iaitu gelaran kehormat bagi Israel.

Lihat Kamus.

Atau “pinggul.”

Atau mungkin, “Semoga orang yang dikasihi Yehuwa tinggal dengan aman bersama Benyamin. Benyamin akan melindungi mereka sepanjang hari, dan mereka akan duduk di atas bahunya.”

Atau mungkin, “gunung-gunung di sebelah timur.”

Atau mungkin, “memijak-mijak tempat tinggi mereka.”

Iaitu, Laut Mediterranean.

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Harfiah, “Yehuwa mengenalnya secara bersemuka.”

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi