BERITA BAIK YANG DISAMPAIKAN OLEH MARKUS
1 Inilah permulaan berita baik tentang Yesus Kristus, iaitu Anak Tuhan: 2 Seperti yang ditulis oleh Nabi Yesaya, “(Lihatlah! Aku akan menghantar utusan-Ku di hadapanmu. Dia akan membuka jalan bagimu.)+ 3 Seseorang sedang berseru di padang belantara, ‘Hendaklah kamu menyediakan jalan bagi Yehuwa!* Luruskanlah jalan bagi-Nya.’”+ 4 Demikianlah Yohanes Pembaptis tiba di padang belantara. Dia menyebarkan berita bahawa orang perlu dibaptis* sebagai lambang mereka sudah bertaubat. Dengan ini dosa mereka akan diampunkan.+ 5 Oleh itu, semua orang Yudea dan semua penduduk Yerusalem datang menemuinya. Mereka mengakui dosa di hadapan umum dan dibaptis* olehnya di Sungai Yordan.+ 6 Pakaian Yohanes diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya diperbuat daripada kulit,+ manakala makanannya ialah belalang dan madu hutan.+ 7 Dia menyebarkan berita ini: “Selepas aku, seseorang yang lebih berkuasa daripada aku akan datang. Aku tidak layak untuk membongkok dan membuka tali kasutnya.+ 8 Aku membaptis kamu dengan air, tetapi dia akan membaptis kamu dengan kuasa suci Tuhan.”*+
9 Pada waktu itu, Yesus datang dari Nasaret di Galilea dan dibaptis oleh Yohanes di dalam Sungai Yordan.+ 10 Sebaik sahaja Yesus keluar dari air, dia nampak langit terbuka dan kuasa suci Tuhan turun seperti burung merpati ke atasnya.+ 11 Kemudian, kedengaran suara dari langit yang berkata, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadamu.”+
12 Yesus segera dipimpin oleh kuasa suci Tuhan ke padang belantara. 13 Dia berada di padang belantara selama 40 hari bersama binatang-binatang liar. Dia digoda oleh Syaitan,+ tetapi selepas itu para malaikat datang untuk melayaninya.+
14 Selepas Yohanes ditangkap, Yesus pergi ke Galilea+ untuk menyebarkan berita baik daripada Tuhan.+ 15 Dia berkata, “Masa yang ditetapkan telah tiba dan Kerajaan Tuhan sudah dekat. Bertaubatlah+ dan percayalah kepada berita baik daripada Tuhan.”
16 Ketika Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, dia nampak dua orang nelayan,+ iaitu Simon dan saudara kandungnya Andreas.+ Mereka sedang menebarkan jala ke dalam tasik.+ 17 Maka Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah aku, dan aku akan menjadikan kamu penjala manusia.”+ 18 Dengan serta-merta, mereka meninggalkan jala lalu mengikutnya.+ 19 Yesus meneruskan perjalanannya lalu nampak Yakobus anak Zebedeus dan saudara kandungnya Yohanes. Mereka sedang membaiki jala di dalam perahu mereka.+ 20 Tanpa berlengah-lengah dia memanggil mereka, maka mereka meninggalkan bapa mereka, iaitu Zebedeus, di dalam perahu bersama para pekerja lalu mengikut Yesus. 21 Kemudian mereka pergi ke Kapernaum.
Sebaik sahaja hari Sabat bermula, dia pergi ke rumah ibadat dan mula mengajar.+ 22 Orang di situ sangat kagum dengan cara dia mengajar, kerana dia mengajar mereka sebagai seorang yang berwibawa dan bukan seperti para jurutulis hukum.+ 23 Pada masa itu, terdapat seorang lelaki di rumah ibadat yang dirasuk roh jahat. Dia berteriak, 24 “Apa kena-mengena kami denganmu, hai Yesus orang Nasaret?+ Adakah kamu datang untuk membinasakan kami? Aku tahu siapa kamu. Kamu Hamba Suci Tuhan!”+ 25 Yesus menegur roh jahat itu dan berkata, “Diamlah, dan keluarlah daripada orang ini!” 26 Roh jahat itu membuat lelaki tersebut menggigil dan terkejang-kejang. Roh jahat itu kemudiannya menjerit dengan sekuat hati lalu keluar. 27 Orang di situ sangat hairan dan mula berbincang sesama sendiri. Mereka berkata, “Apakah ajaran baharu ini? Dia berkuasa untuk mengusir roh-roh jahat dan mereka patuh kepadanya.” 28 Dengan cepat, berita tentangnya tersebar luas ke seluruh kawasan Galilea.
29 Selepas itu mereka meninggalkan rumah ibadat lalu pergi ke rumah Simon dan Andreas. Yakobus dan Yohanes juga mengikut mereka.+ 30 Pada masa itu, ibu mentua Simon+ berbaring di tempat tidur kerana demam. Oleh itu, mereka segera memberitahu Yesus tentang hal itu. 31 Yesus menghampiri ibu mentua Simon lalu memegang tangannya dan membantu dia bangun. Demamnya pun hilang dan dia mula melayani mereka.
32 Pada lewat petang, selepas matahari terbenam, orang mula membawa sesiapa sahaja yang sakit dan dirasuk roh jahat kepadanya.+ 33 Semua penduduk kota berkumpul di pintu rumah itu, 34 lalu Yesus menyembuhkan ramai orang yang menghidap pelbagai penyakit+ dan mengusir banyak roh jahat. Dia tidak mengizinkan roh-roh jahat untuk mengatakan apa-apa, kerana mereka tahu bahawa dia ialah Kristus.*
35 Pada awal pagi ketika hari masih gelap, Yesus bangun dan keluar. Dia pergi ke suatu tempat yang sunyi dan mula berdoa.+ 36 Tetapi Simon dan murid-murid yang lain mencarinya di merata tempat. 37 Selepas mereka menemuinya, mereka berkata, “Semua orang sedang mencari Guru.” 38 Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita pergi ke tempat lain, ke pekan-pekan yang berhampiran. Aku hendak menyebarkan berita baik di sana juga, kerana itulah sebabnya aku datang.”+ 39 Maka dia pergi ke seluruh kawasan Galilea untuk menyebarkan berita baik di rumah-rumah ibadat dan mengusir roh-roh jahat.+
40 Kemudian, seorang pesakit kusta datang lalu berlutut di hadapannya. Dia merayu, “Jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku.”+ 41 Yesus mengasihaninya lalu menghulurkan tangannya dan menyentuh lelaki itu sambil berkata, “Aku rela. Sembuhlah!”+ 42 Dengan serta-merta penyakit kustanya hilang, dan dia pun sembuh. 43 Sebelum menyuruhnya pergi, Yesus memberi dia amaran tegas yang berikut: 44 “Jangan beritahu sesiapa pun tentang hal ini. Pergilah berjumpa dengan imam. Kemudian, persembahkanlah korban mengikut arahan dalam Hukum Musa+ untuk membuktikan kepada para imam bahawa kamu sudah sembuh.”+ 45 Tetapi selepas lelaki itu beredar dari sana, dia asyik bercakap tentang peristiwa itu dan menyebarkannya ke merata tempat. Oleh itu, Yesus tinggal di tempat yang sunyi kerana dia tidak dapat masuk ke dalam kota secara terbuka. Namun demikian, orang ramai dari pelbagai tempat masih datang kepadanya.+
2 Beberapa lama kemudian, Yesus pergi ke Kapernaum sekali lagi dan orang mendapat tahu bahawa dia ada di rumah.+ 2 Akibatnya ramai orang berkumpul di situ sehingga dekat pintu pun tidak ada tempat. Lalu Yesus mula menyebarkan firman Tuhan kepada mereka.+ 3 Kemudian, empat orang lelaki mengusung seorang lelaki yang lumpuh untuk membawanya kepada Yesus.+ 4 Tetapi mereka tidak dapat membawanya terus kepada Yesus kerana di situ terdapat ramai orang. Jadi mereka membuka bumbung dan membuat lubang di atas tempat Yesus berada, lalu menurunkan orang lumpuh itu yang berbaring di atas usungannya. 5 Semasa Yesus melihat iman mereka,+ dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Hai anakku, dosamu sudah diampunkan.”+ 6 Beberapa orang jurutulis hukum yang duduk di situ berfikir,+ 7 “Mengapakah dia berkata demikian? Dia sedang menghina Tuhan. Tiada seorang pun yang boleh mengampunkan dosa kecuali Tuhan.”+ 8 Tetapi dengan serta-merta, Yesus mengetahui apa yang sedang difikirkan oleh mereka. Maka dia berkata, “Mengapakah kamu memikirkan hal-hal sebegini?+ 9 Manakah yang lebih mudah untuk dikatakan kepada orang lumpuh itu: ‘Dosamu sudah diampunkan,’ atau, ‘Bangunlah, angkat usunganmu, dan berjalanlah’? 10 Namun, untuk membuktikan kepada kamu bahawa Anak Manusia+ mempunyai kuasa untuk mengampunkan dosa di bumi—”+ dia berkata kepada orang lumpuh itu, 11 “Aku berkata kepadamu: Bangunlah! Angkatlah usunganmu dan pulanglah.” 12 Lelaki itu pun bangun. Dengan serta-merta dia mengangkat usungannya dan berjalan keluar di hadapan mereka semua. Orang ramai berasa sangat kagum lalu memuliakan Tuhan. Mereka berkata, “Kami belum pernah melihat hal sebegini.”+
13 Sekali lagi, Yesus pergi ke tepi tasik. Semua orang datang kepadanya dan dia mula mengajar mereka. 14 Semasa dia meneruskan perjalanannya, dia nampak Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Jadilah pengikutku.” Dia pun berdiri dan mengikut Yesus.+ 15 Semasa Yesus makan* di rumah Lewi, ramai pemungut cukai dan pendosa yang mengikut Yesus datang dan makan bersama Yesus dan murid-muridnya.+ 16 Apabila jurutulis hukum daripada golongan Farisi nampak bahawa dia sedang makan bersama pendosa dan pemungut cukai, mereka bertanya kepada murid-muridnya, “Mengapakah dia makan bersama pemungut cukai dan pendosa?” 17 Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit. Aku datang untuk memanggil pendosa, bukannya orang yang alim.”+
18 Murid-murid Yohanes dan orang Farisi sering berpuasa. Oleh itu, mereka datang dan bertanya kepada Yesus, “Mengapakah murid-murid Yohanes dan murid-murid orang Farisi sering berpuasa, tetapi murid-muridmu tidak berpuasa?”+ 19 Yesus menjawab, “Semasa pengantin lelaki+ ada bersama sahabat-sahabatnya, perlukah mereka berpuasa? Tentu tidak! Selagi pengantin lelaki ada bersama mereka, mereka tidak boleh berpuasa. 20 Tetapi masanya akan tiba apabila pengantin lelaki diambil daripada mereka.+ Pada waktu itulah mereka akan berpuasa. 21 Tiada orang yang mengambil kain baharu untuk menampal pakaian yang lama. Jika dia berbuat demikian, kain baharu itu akan mengecut dan mengakibatkan koyakan yang lebih besar pada pakaian lama itu.+ 22 Demikian juga, orang tidak akan menyimpan wain baharu di dalam kirbat lama. Jika dia berbuat demikian, kirbat akan pecah, wain akan tumpah, dan kirbat itu pun tidak dapat digunakan lagi. Sebaliknya orang selalu menyimpan wain baharu di dalam kirbat baharu.”
23 Pada suatu hari Sabat, Yesus lalu di ladang gandum. Sambil berjalan, murid-muridnya mula memetik bulir gandum.+ 24 Jadi orang Farisi berkata kepadanya, “Lihatlah! Mengapakah mereka melakukan apa yang dilarang pada hari Sabat?” 25 Dia berkata kepada mereka, “Belum pernahkah kamu membaca tentang apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan anak-anak buahnya lapar dan kehabisan makanan?+ 26 Tidakkah kamu membaca kisah Ketua Imam Abiatar+ tentang bagaimana Daud memasuki rumah Tuhan,* memakan roti yang sudah dipersembahkan kepada Tuhan, lalu memberikan roti itu kepada anak-anak buahnya? Sebenarnya, tiada sesiapa pun yang berhak memakan roti itu kecuali para imam.”+ 27 Maka dia berkata kepada mereka, “Tuhan menetapkan hari Sabat untuk manusia,+ dan bukannya menjadikan manusia untuk mematuhi hari Sabat. 28 Lagipun Anak Manusia ialah Tuan yang berkuasa atas hari Sabat.”+
3 Sekali lagi dia masuk ke dalam rumah ibadat. Di sana terdapat seorang lelaki yang sebelah tangannya lumpuh.+ 2 Orang Farisi memperhatikan Yesus dengan teliti untuk melihat sama ada dia akan menyembuhkan lelaki itu pada hari Sabat atau tidak. Mereka berbuat demikian kerana ingin mencari alasan untuk menuduhnya. 3 Yesus berkata kepada lelaki yang sebelah tangannya lumpuh itu, “Bangunlah dan berdirilah di tengah.” 4 Kemudian dia bertanya kepada mereka, “Apakah yang wajar kita lakukan pada hari Sabat? Hal yang baik atau jahat, membunuh atau menyelamatkan nyawa?”+ Tetapi mereka membisu sahaja. 5 Yesus marah semasa memandang mereka. Dia berasa sangat sedih kerana hati mereka tidak peka.+ Kemudian dia berkata kepada lelaki itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Lelaki itu menghulurkan tangannya lalu tangannya pun sembuh. 6 Maka orang Farisi keluar dan segera berkomplot dengan pengikut-pengikut Herodes+ untuk membunuh Yesus.
7 Tetapi Yesus pergi ke tasik dengan murid-muridnya. Banyak orang dari Galilea dan Yudea mengikutnya.+ 8 Selain itu, ramai orang dari Yerusalem, Idumea, seberang Sungai Yordan, dan kawasan sekitar Tirus dan Sidon, mendengar tentang segala perbuatannya lalu datang kepadanya. 9 Yesus menyuruh murid-muridnya menyediakan sebuah perahu kecil untuknya agar dia tidak dihimpit oleh orang ramai. 10 Memandangkan dia telah menyembuhkan ramai orang, semua orang yang sakit teruk kini berasak-asak hendak menyentuhnya.+ 11 Setiap kali roh-roh jahat nampak dia,+ mereka akan sujud di hadapannya dan berseru, “Kamu ialah Anak Tuhan.”+ 12 Tetapi dia berulang kali memberikan amaran tegas kepada roh-roh jahat supaya tidak memberitahu orang lain tentangnya.+
13 Kemudian dia naik ke atas sebuah gunung dan memanggil sebilangan muridnya.+ Selepas mereka datang,+ 14 dia memilih* 12 orang untuk menyertainya dan menggelar mereka rasul-rasul. Dia mengutus mereka untuk menyebarkan berita baik 15 dan memberi mereka kuasa untuk mengusir roh-roh jahat.+
16 Inilah 12 orang yang dipilihnya:*+ Simon yang juga digelarnya Petrus,+ 17 Yakobus anak Zebedeus dan Yohanes saudara kandung Yakobus (dia juga memberi mereka gelaran Boanerges, yang bermaksud “Anak Guruh”),+ 18 Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadius, Simon yang bersemangat, 19 dan Yudas Iskariot yang kemudiannya mengkhianati Yesus.
Selepas itu, Yesus masuk ke dalam sebuah rumah. 20 Sekali lagi orang ramai berkumpul sehingga Yesus dan murid-muridnya langsung tidak ada masa untuk makan. 21 Apabila saudara-mara Yesus mendengar apa yang berlaku, mereka datang untuk membawanya pergi kerana mereka berkata, “Dia sudah gila.”+ 22 Tambahan lagi, para jurutulis hukum yang datang dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk Beelzebub* dan dia mengusir roh jahat kerana mendapat kuasa daripada ketua roh-roh jahat.”+ 23 Oleh itu, Yesus memanggil mereka kepadanya dan menceritakan beberapa buah perumpamaan. Dia berkata, “Bagaimanakah Syaitan dapat mengusir Syaitan? 24 Jika sebuah kerajaan berpecah belah dan saling bermusuhan, kerajaan itu tidak akan bertahan lama,+ 25 dan jika sebuah keluarga berpecah belah dan saling bermusuhan, keluarga itu tidak akan bertahan lama. 26 Tambahan lagi, jika Syaitan bangkit dan melawan dirinya sendiri dan jika pengikut-pengikutnya berpecah belah, dia tidak akan bertahan lama dan akan lenyap. 27 Pada hakikatnya, tiada orang yang masuk ke dalam rumah seorang lelaki yang kuat dapat mencuri barang-barangnya, kecuali dia mengikat orang kuat itu terlebih dahulu. Selepas itu, barulah dia dapat merampas barang-barang di dalam rumahnya. 28 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Semua dosa yang dilakukan oleh manusia dan semua kata hinaan yang diucapkan oleh mereka akan diampunkan. 29 Tetapi sesiapa yang menghina kuasa suci Tuhan tidak akan sekali-kali diampuni.+ Dia akan menanggung dosa yang kekal.”+ 30 Dia berkata demikian kerana mereka berkata, “Dia dirasuk roh jahat.”+
31 Pada masa itu, ibu dan adik-adik lelaki+ Yesus datang. Mereka berdiri di luar dan meminta orang untuk memanggilnya.+ 32 Memandangkan sekumpulan orang sedang duduk di sekeliling Yesus, mereka berkata kepadanya, “Lihatlah! Ibu dan adik-adik Guru berada di luar dan sedang mencari Guru.”+ 33 Tetapi dia berkata kepada mereka, “Siapakah ibuku dan adik-adikku?” 34 Lalu dia memandang mereka yang duduk di sekelilingnya dan berkata, “Lihatlah! Ibuku dan adik-adikku!+ 35 Sesiapa yang melakukan kehendak Tuhan, dialah adik lelakiku, adik perempuanku, dan ibuku.”+
4 Sekali lagi Yesus mula mengajar di tepi tasik. Memandangkan begitu ramai orang berkumpul berhampirannya, dia menaiki sebuah perahu dan duduk di dalamnya. Perahu itu didayung tidak jauh dari darat, manakala orang ramai berada di tepi tasik.+ 2 Kemudian dia mula mengajar mereka banyak hal dengan menggunakan perumpamaan.+ Semasa mengajar mereka, dia berkata,+ 3 “Dengarlah! Seorang petani keluar untuk menabur benih.+ 4 Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan lalu burung datang dan memakannya. 5 Ada juga benih yang jatuh di tempat berbatu dan segera bertunas kerana tanahnya sedikit.+ 6 Tetapi semasa matahari terbit, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana akarnya tidak dalam. 7 Benih lain pula jatuh di antara semak berduri. Semak berduri itu tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut sehingga tidak dapat berbuah.+ 8 Ada juga benih yang jatuh di atas tanah yang subur. Benih itu tumbuh, membesar, dan mula berbuah. Ada yang hasilnya 30 kali ganda, ada yang 60 kali ganda, dan ada yang 100 kali ganda.”+ 9 Kemudian dia berkata, “Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”+
10 Apabila dia bersendirian, beberapa orang murid dan 12 orang rasulnya datang kepadanya untuk bertanya tentang perumpamaan itu.+ 11 Dia berkata kepada mereka, “Tuhan sudah mengizinkan kamu untuk memahami rahsia suci+ tentang Kerajaan Tuhan. Tetapi orang lain dapat mendengar perumpamaan sahaja.+ 12 Dengan ini, walaupun mereka melihat, mereka masih tidak dapat nampak, dan walaupun mereka mendengar, mereka masih tidak dapat faham, dan mereka tidak kembali kepada Tuhan untuk diampuni oleh-Nya.”+ 13 Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami perumpamaan ini, bagaimanakah kamu dapat memahami semua perumpamaan yang lain?
14 “Petani itu menaburkan firman Tuhan.+ 15 Sesetengah orang bagaikan benih yang jatuh di jalan. Sebaik sahaja mereka mendengar firman Tuhan, Syaitan datang+ dan merampas firman yang sudah ditanam dalam hati mereka.+ 16 Benih yang jatuh di tempat berbatu pula ialah orang yang mendengar firman Tuhan dan segera menyambutnya dengan sukacita.+ 17 Tetapi firman itu tidak berakar dalam hati mereka. Mereka menerimanya untuk seketika, tetapi sebaik sahaja mereka mengalami kesengsaraan atau penganiayaan kerana firman itu, mereka tersandung. 18 Benih yang jatuh di semak berduri ialah orang yang mendengar firman itu,+ 19 tetapi kekhuatiran+ hidup sistem dunia ini* dan tipu daya kekayaan+ serta pelbagai keinginan+ mula meresap ke dalam hati mereka dan membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah. 20 Akhirnya, benih yang jatuh di tanah yang subur ialah orang yang mendengar firman itu dan menyambutnya dengan baik lalu membuahkan hasil; ada yang 30 kali ganda, ada yang 60 kali ganda, dan ada yang 100 kali ganda.”+
21 Yesus berkata lagi, “Orang tidak akan meletakkan pelita di bawah bakul* atau di bawah katil, bukan? Pelita harus diletakkan di atas kaki pelita, bukan?+ 22 Apa sahaja yang tertutup akan menjadi nyata, dan apa sahaja yang disembunyikan dengan cermat akan didedahkan.+ 23 Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”+
24 Yesus juga berkata kepada mereka, “Kamu harus menumpukan perhatian kepada apa yang sedang kamu dengar.+ Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu. Malah, kamu akan menerima lebih banyak lagi, 25 kerana sesiapa yang memiliki pengertian akan diberi lebih banyak pengertian.+ Tetapi bagi sesiapa yang tidak berpengertian, bahkan sedikit pengertian yang dimilikinya pun akan diambil daripadanya.”+
26 Yesus menyambung, “Kerajaan Tuhan bagaikan seorang lelaki yang menabur benih di tanah. 27 Setiap hari dia tidur pada waktu malam dan bangun pada waktu siang. Benih-benih itu bercambah dan bertumbuh tinggi, tetapi dia tidak tahu bagaimana hal itu berlaku. 28 Tanah itulah yang mengeluarkan hasilnya secara bertahap-tahap: Mula-mula tangkai, kemudian bulir, dan akhirnya gandum yang masak. 29 Sebaik sahaja gandum itu masak, dia mengeluarkan sabitnya kerana musim menuai sudah tiba.”
30 Yesus berkata lagi, “Apakah yang boleh disamakan dengan Kerajaan Tuhan? Apakah perumpamaan yang dapat kita gunakan untuk menjelaskannya? 31 Kerajaan Tuhan bagaikan biji sawi. Semasa ditanam, biji sawi ialah benih yang terkecil di bumi.+ 32 Tetapi apabila biji sawi yang ditanam bertumbuh, tumbuhan itu menjadi lebih besar daripada semua sayuran lain. Dahannya yang besar menjadi naungan dan tempat tinggal bagi burung-burung di langit.”
33 Demikianlah Yesus menggunakan banyak perumpamaan+ seperti itu untuk mengajarkan firman Tuhan berdasarkan tahap pemahaman mereka. 34 Dia tidak akan bercakap kepada mereka tanpa menggunakan perumpamaan. Semasa dia bersama murid-muridnya sahaja, dia akan menjelaskan segala-galanya kepada mereka.+
35 Pada lewat petang hari itu, Yesus berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberangi tasik.”+ 36 Setelah murid-murid Yesus meminta orang ramai bersurai, mereka menaiki perahu bersamanya untuk menyeberangi tasik. Ada juga perahu-perahu lain yang menyertainya.+ 37 Tiba-tiba, angin ribut yang kencang melanda. Perahu itu dipukul ombak sehingga hampir penuh dengan air.+ 38 Tetapi Yesus masih tidur di atas bantal di belakang perahu. Jadi mereka mengejutkannya daripada tidur dan berkata, “Tidakkah Guru peduli bahawa kami hampir mati?” 39 Maka Yesus bangun lalu menegur angin dan tasik dengan berkata, “Diam! Tenanglah!”+ Angin pun reda dan tasik menjadi tenang sekali. 40 Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu begitu takut? Adakah kamu masih tidak beriman?” 41 Tetapi mereka masih sangat takut lalu berkata sesama sendiri, “Siapakah sebenarnya orang ini? Angin dan ombak pun mematuhinya.”+
5 Kemudian mereka tiba di seberang tasik di kawasan Gerasa.+ 2 Sebaik sahaja Yesus keluar dari perahu, seorang lelaki yang dirasuk roh jahat datang dari kuburan* dan berjalan ke arahnya. 3 Dia tinggal di kawasan kubur, dan sehingga masa itu tiada orang yang berjaya membelenggunya walaupun dengan rantai. 4 Sudah banyak kali orang merantai tangannya dan membelenggu kakinya, tetapi dia memutuskan rantai dan meremukkan belenggu itu. Tiada orang yang cukup kuat untuk menahannya. 5 Siang malam dia menjerit-jerit di kuburan dan di pergunungan, dan melukai dirinya dengan batu. 6 Apabila dia nampak Yesus dari jauh, dia berlari dan bersujud di hadapannya.+ 7 Kemudian dia menjerit dengan suara yang lantang, “Hai Yesus, Anak Tuhan Yang Maha Tinggi, apa kena-mengena aku dengan kamu? Bersumpahlah demi Tuhan bahawa kamu tidak akan menyeksa aku.”+ 8 Hal itu demikian kerana Yesus telah menyuruhnya, “Roh jahat, keluarlah daripada lelaki ini!”+ 9 Yesus bertanya kepadanya, “Siapakah nama kamu?” Lalu roh jahat itu menjawab, “Nama aku Legiun* kerana bilangan kami banyak sekali.” 10 Dia memohon berkali-kali agar Yesus tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu.+
11 Ketika itu ada banyak babi+ yang sedang makan di gunung.+ 12 Jadi roh-roh jahat itu merayu kepadanya, “Izinkanlah kami masuk ke dalam babi-babi itu.” 13 Yesus pun mengizinkan mereka berbuat demikian lalu mereka keluar dan masuk ke dalam babi-babi itu yang jumlahnya kira-kira 2,000 ekor. Kemudian, semua babi itu meluru ke arah tebing curam dan terjun lalu mati lemas di dalam tasik. 14 Orang yang menjaga kawanan babi itu melarikan diri dan melaporkan hal itu di kota dan di desa. Maka orang ramai pun datang untuk melihat apa yang terjadi.+ 15 Mereka datang kepada Yesus dan nampak lelaki yang sebelumnya dirasuk legiun.* Mereka semua menjadi takut semasa melihatnya sedang duduk dan sudah berpakaian serta berfikiran waras. 16 Tambahan lagi, orang yang telah menyaksikan kejadian itu memberitahu mereka apa yang berlaku kepada lelaki yang dirasuk roh-roh jahat itu dan apa yang berlaku kepada kawanan babi itu. 17 Jadi mereka merayu kepada Yesus supaya meninggalkan kawasan mereka.+
18 Semasa Yesus menaiki perahu, lelaki yang sebelumnya dirasuk roh jahat itu merayu supaya dia dibenarkan mengikut Yesus.+ 19 Tetapi Yesus tidak membenarkannya berbuat demikian. Dia berkata kepada lelaki itu, “Pulanglah kepada sanak saudaramu. Beritahulah mereka semua yang telah dilakukan oleh Yehuwa* untukmu dan bagaimana Dia menunjukkan belas kasihan terhadapmu.” 20 Lelaki itu pun pergi dan memberitahu penduduk Dekapolis* segala-gala yang dilakukan oleh Yesus untuknya, dan semua orang di situ berasa kagum.
21 Yesus menaiki perahu lalu kembali ke seberang tasik. Semasa dia berada di tepi tasik, ramai orang datang kepadanya.+ 22 Salah seorang ketua rumah ibadat yang bernama Yairus datang kepadanya. Apabila dia nampak Yesus, dia bersujud di depan kakinya+ 23 dan terus-menerus merayu, “Anak perempuanku yang masih kecil sakit tenat.* Tolonglah datang dan letakkanlah tangan Guru ke atasnya+ supaya dia sembuh dan tidak mati.” 24 Semasa Yesus pergi bersamanya, dia dihimpit oleh ramai orang yang berasak-asak mengikutnya.
25 Di situ ada seorang wanita yang menderita masalah pendarahan+ selama 12 tahun.+ 26 Dia sudah banyak menderita semasa dirawat oleh banyak doktor dan telah menghabiskan semua wangnya. Namun begitu dia tidak sembuh, malah keadaannya bertambah parah. 27 Semasa wanita itu mendengar apa yang dikatakan orang tentang Yesus, dia berjalan di antara orang ramai dan menghampiri Yesus dari belakang lalu menyentuh jubah luarnya.+ 28 Wanita itu asyik berkata, “Jika aku menyentuh jubah luarnya, aku pasti sembuh.”+ 29 Dengan serta-merta, pendarahannya berhenti, dan wanita itu mendapati bahawa tubuhnya sudah sembuh daripada penyakit yang teruk itu.
30 Pada saat itu juga, Yesus sedar bahawa ada kuasa+ yang keluar daripadanya, lalu dia berpaling kepada orang ramai dan bertanya, “Siapakah yang menyentuh jubah luarku?”+ 31 Tetapi murid-muridnya berkata, “Orang ramai sedang menghimpit Guru. Jadi mengapa Guru bertanya, ‘Siapakah yang menyentuh aku?’” 32 Yesus memandang di sekelilingnya untuk melihat siapa yang menyentuhnya. 33 Wanita itu tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya, jadi dia berasa takut dan gementar. Dia bersujud di depan Yesus dan memberitahunya segala-gala yang berlaku. 34 Yesus berkata kepada wanita itu, “Hai anakku, kamu sembuh kerana kamu beriman. Pergilah dengan damai+ dan sembuhlah daripada penyakitmu yang teruk itu.”+
35 Semasa Yesus sedang bercakap, beberapa orang dari rumah Yairus datang dan berkata, “Anak perempuan tuan sudah mati! Usahlah menyusahkan Guru lagi.”+ 36 Yesus terdengar kata-kata mereka dan berkata kepada Yairus, “Janganlah bimbang. Berimanlah.”+ 37 Selepas itu, Yesus tidak mengizinkan sesiapa pun untuk mengikutnya kecuali Petrus, Yakobus, dan Yohanes, iaitu saudara kandung Yakobus.+
38 Semasa mereka tiba di rumah Yairus, Yesus mendapati suasana di situ kecoh. Ada orang yang meratap dan menangis dengan kuat.+ 39 Selepas dia masuk, dia berkata, “Mengapakah suasana di sini kecoh dan mengapakah kamu semua menangis? Gadis ini tidak mati, dia hanya tidur.”+ 40 Orang di situ pun mentertawakannya. Setelah Yesus menyuruh mereka semua keluar, dia membawa ibu bapa anak itu serta murid-muridnya ke tempat anak itu berbaring. 41 Dia memegang tangan gadis itu dan berkata kepadanya, “Talita kumi,” yang bererti “Gadis kecil, aku berkata kepada kamu, bangunlah!”+ 42 Anak perempuan itu segera bangun dan mula berjalan. (Umurnya 12 tahun.) Pada saat itu, ibu bapanya tidak dapat mengawal perasaan kerana mereka terlalu gembira. 43 Tetapi Yesus berulang kali* mengingatkan mereka supaya tidak memberitahu orang lain tentang hal itu.+ Kemudian dia menyuruh mereka untuk memberi gadis itu makanan.
6 Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kampung halamannya.+ Murid-muridnya juga mengikutnya. 2 Pada hari Sabat, dia mengajar di rumah ibadat dan kebanyakan orang yang mendengar ajarannya berasa sangat kagum. Mereka berkata, “Dari manakah orang ini mempelajari semua hal ini?+ Mengapakah dia begitu bijaksana dan bagaimanakah dia mendapat kuasa untuk melakukan mukjizat sebegini?+ 3 Bukankah dia tukang kayu itu?+ Bukankah dia anak Maria,+ dan abang kepada Yakobus,+ Yusuf, Yudas, dan Simon?+ Bukankah adik-adik perempuannya juga ada bersama kita?” Oleh itu, mereka enggan percaya kepadanya.* 4 Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati di mana-mana sahaja, kecuali di kampung halamannya dan dalam kalangan sanak saudaranya serta dalam keluarganya sendiri.”+ 5 Jadi dia tidak melakukan banyak mukjizat di situ kecuali meletakkan tangannya ke atas beberapa orang yang sakit dan menyembuhkan mereka. 6 Yesus berasa hairan kerana mereka tidak beriman. Kemudian dia mengunjungi semua pekan di sekitar tempat itu untuk mengajar orang di situ.+
7 Dia memanggil 12 orang rasulnya, memberi mereka kuasa atas roh-roh jahat,+ lalu mengutus mereka secara berpasangan.+ 8 Dia juga memberi mereka arahan supaya tidak membawa apa-apa untuk perjalanan mereka, seperti roti, beg makanan, atau wang tembaga, di dalam beg duit mereka. Mereka hanya boleh membawa sebatang tongkat,+ 9 memakai sepasang kasut, dan mengenakan sehelai baju.* 10 Selanjutnya dia memberitahu mereka, “Setiap kali kamu memasuki sebuah rumah, tinggallah di sana sehingga kamu meninggalkan tempat itu.+ 11 Jika orang di suatu kawasan tidak menerima kamu atau tidak mendengar kata-kata kamu, kebaskanlah debu daripada kaki kamu semasa kamu beredar sebagai amaran kepada mereka.”+ 12 Maka mereka bertolak dan menyebarkan berita bahawa orang harus bertaubat.+ 13 Mereka mengusir banyak roh jahat+ dan menyapu minyak pada ramai orang yang sakit lalu menyembuhkan mereka.
14 Pada masa itu, nama Yesus tersebar luas, dan Raja Herodes juga mendengar tentangnya. Ramai orang berkata, “Yohanes Pembaptis telah dibangkitkan daripada kematian. Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.”+ 15 Tetapi ada yang berkata, “Dia ialah Elia.” Ada juga yang berkata, “Dia ialah seorang nabi, seperti nabi pada zaman dahulu.”+ 16 Apabila Herodes mendengar hal itu, dia berkata, “Beta telah mengarahkan agar kepala Yohanes dipancung. Sekarang dia sudah dibangkitkan.” 17 Herodes telah mengahwini Herodias, isteri kepada abangnya Filipus. Bagi menyenangkan hati Herodias, Herodes telah mengutus orang untuk menangkap Yohanes dan merantainya di dalam penjara.+ 18 Hal ini demikian kerana Yohanes sering berkata kepada Herodes, “Tuan bersalah kerana berkahwin dengan isteri abang tuan!”+ 19 Herodias menaruh dendam terhadap Yohanes dan mahu membunuhnya, tetapi dia tidak dapat berbuat demikian 20 kerana Herodes melindungi Yohanes. Herodes takut akan Yohanes kerana Herodes tahu bahawa dia seorang lelaki yang suci dan yang melakukan apa yang benar.+ Setiap kali Herodes mendengar kata-kata Yohanes, dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Namun dia tetap suka mendengar kata-katanya.
21 Akhirnya peluang yang dinantikan Herodias tiba pada hari jadi Herodes.+ Herodes mengadakan jamuan makan untuk pegawai tinggi, ketua-ketua pasukan tentera, dan orang yang berpengaruh di Galilea.+ 22 Anak perempuan Herodias datang dan mempersembahkan tarian yang membuat Herodes dan tetamunya gembira. Maka Raja Herodes berkata kepada gadis itu, “Mintalah apa sahaja dan beta akan memberikannya kepadamu.” 23 Dia bahkan bersumpah kepadanya, “Apa sahaja yang kamu minta, beta akan memberikannya, biarpun kamu meminta separuh daripada kerajaan beta.” 24 Oleh itu, gadis itu pergi kepada ibunya dan bertanya, “Apakah yang patut saya minta?” Ibunya berkata, “Mintalah kepala Yohanes Pembaptis.” 25 Dengan segera, gadis itu menghadap raja dan memohon, “Berilah saya kepala Yohanes Pembaptis di atas sebuah dulang sekarang juga.”+ 26 Hal itu membuat raja sangat sedih. Tetapi memandangkan dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya, dia tidak mahu menolak permintaan gadis itu. 27 Maka raja segera mengarahkan pengawalnya untuk membawakan kepala Yohanes. Pengawal itu pun pergi ke penjara dan memancung kepala Yohanes. 28 Dia membawa kepala Yohanes di atas sebuah dulang dan memberikannya kepada gadis itu, lalu gadis itu memberikannya kepada ibunya. 29 Selepas murid-murid Yohanes mendengar hal itu, mereka datang mengambil mayatnya lalu mengebumikannya.
30 Para rasul berkumpul di sekeliling Yesus dan memberitahunya semua yang telah dilakukan dan diajarkan oleh mereka.+ 31 Yesus berkata kepada mereka, “Marilah kita pergi ke suatu tempat yang sunyi untuk berehat.”+ Dia berkata demikian kerana terdapat begitu ramai orang yang datang dan pergi sehingga mereka langsung tidak ada masa untuk makan. 32 Maka mereka menaiki perahu dan pergi ke suatu tempat yang sunyi.+ 33 Tetapi ada orang yang nampak mereka bertolak dan ada ramai orang yang mengetahui hal ini. Maka orang dari semua kota berlari dan tiba di tempat itu terlebih dahulu. 34 Apabila Yesus keluar dari perahu, dia melihat banyak orang di situ. Dia berasa kasihan terhadap mereka+ kerana mereka seperti biri-biri tanpa gembala,+ lalu dia mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.+
35 Pada waktu petang, murid-muridnya datang dan berkata kepadanya, “Tempat ini terpencil dan masa sudah lewat.+ 36 Suruhlah orang ramai pergi ke desa dan pekan yang berhampiran agar mereka dapat membeli makanan.”+ 37 Tetapi Yesus berkata, “Kamu berilah mereka makanan.” Mereka pun bertanya, “Adakah Guru mahu kami membelanjakan 200 denari* untuk membeli roti bagi semua orang di sini?”+ 38 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah dan lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.” Mereka pun pergi. Setelah itu, mereka berkata, “Lima ketul roti dan dua ekor ikan.”+ 39 Kemudian dia menyuruh semua orang duduk dalam kumpulan di atas rumput hijau,+ 40 lalu mereka pun duduk. Ada kumpulan yang mempunyai 100 orang, dan ada kumpulan yang mempunyai 50 orang. 41 Dia mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu lalu menengadah ke langit dan mengucapkan syukur.*+ Selepas itu, dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai. Dia juga membahagi-bahagikan dua ekor ikan itu dan memberikannya kepada semua orang. 42 Semua orang makan sampai kenyang 43 dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi 12 buah bakul. Selain itu masih ada baki ikan.+ 44 Lelaki yang makan roti berjumlah 5,000 orang.
45 Kemudian tanpa berlengah-lengah, dia menyuruh murid-muridnya menaiki perahu terlebih dahulu dan bertolak ke seberang tasik, iaitu ke arah Betsaida. Sementara itu dia menyuruh orang ramai bersurai.+ 46 Selepas orang ramai pergi, dia pergi ke gunung untuk berdoa.+ 47 Perahu murid-muridnya sudah berada di tengah-tengah tasik apabila matahari terbenam, tetapi Yesus masih berada di darat seorang diri.+ 48 Sebelum fajar menyingsing,* dia nampak mereka bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah yang bertentangan. Maka dia berjalan di atas air ke arah mereka, seolah-olah dia mahu lalu di hadapan mereka sahaja. 49 Apabila mereka nampak bayang-bayang seorang lelaki berjalan di atas air, mereka menjerit. 50 Mereka semua berasa takut setelah melihatnya. Tetapi Yesus segera berkata, “Ini aku. Janganlah takut!”+ 51 Apabila dia masuk ke dalam perahu bersama mereka, angin pun reda. Mereka sangat hairan, 52 kerana mereka masih belum memahami pengajaran daripada peristiwa Yesus membahagi-bahagikan roti itu. Ya, hati mereka masih tidak mengerti.
53 Mereka menyeberangi tasik lalu tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu di tepi tasik.+ 54 Apabila mereka keluar dari perahu, orang ramai mengenal Yesus dengan serta-merta. 55 Maka, mereka berlari untuk memberitahu penduduk kawasan itu supaya mengusung orang sakit kepada Yesus. 56 Tidak kira Yesus berada di pekan, di kota, atau di desa, penduduk di situ akan membawa orang yang sakit ke tempat awam.* Mereka merayu kepadanya supaya sekurang-kurangnya diizinkan untuk menyentuh hujung jubah luarnya.+ Semua orang yang menyentuh hujung jubah luarnya pun sembuh.
7 Orang Farisi dan sebilangan jurutulis hukum yang datang dari Yerusalem berkumpul di sekeliling Yesus.+ 2 Mereka nampak beberapa orang muridnya makan dengan tangan yang kotor, iaitu dengan tangan yang tidak dibasuh.* 3 (Sebenarnya semua orang Yahudi, termasuk orang Farisi, berpegang erat pada adat istiadat nenek moyang mereka. Oleh itu, mereka tidak akan makan selagi tidak membasuh tangan sampai ke siku. 4 Apabila mereka pulang dari tempat awam,* mereka tidak akan makan selagi tidak membersihkan diri. Mereka juga berpegang erat pada banyak adat turun-temurun yang lain, contohnya merendamkan cawan, kendi, dan bejana tembaga, di dalam air.)+ 5 Jadi orang Farisi dan jurutulis hukum di situ bertanya kepada Yesus, “Mengapakah murid-muridmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita dan makan dengan tangan yang kotor?”+ 6 Dia berkata kepada mereka, “Hai orang yang bermuka dua, betapa tepatnya nubuat Yesaya tentang kamu semasa dia menulis, ‘Umat ini menghormati Aku dengan bibir mereka, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.+ 7 Sia-sia sahaja mereka terus menyembah Aku, kerana mereka mengajarkan perintah manusia seolah-olah perintah itu firman-Ku.’+ 8 Kamu mengabaikan hukum Tuhan tetapi berpegang erat pada adat istiadat manusia.”+
9 Seterusnya dia berkata kepada mereka, “Kamu pandai mencari jalan untuk menolak hukum Tuhan supaya dapat berpegang pada adat istiadat sendiri.+ 10 Misalnya, Musa berkata, ‘Hormatilah ibu bapa kamu,’+ dan, ‘Orang yang mencaci ibu bapa harus dihukum mati.’+ 11 Tetapi kamu pula berkata, ‘Tidaklah salah bagi seseorang untuk berkata kepada ibu bapanya, “Apa pun yang dapat saya gunakan untuk membantu ayah dan emak sudah saya jadikan korban (iaitu persembahan yang dikhaskan untuk Tuhan).”’ 12 Dengan cara itu, kamu tidak lagi mengizinkan orang itu melakukan apa-apa untuk ibu bapanya.+ 13 Dengan ini kamu telah menjadikan firman Tuhan tidak bernilai kerana adat turun-temurun kamu.+ Ada banyak lagi perkara sebegini yang kamu lakukan.”+ 14 Sekali lagi Yesus memanggil orang ramai dan berkata kepada mereka, “Hendaklah kamu semua mendengar dan memahami maknanya.+ 15 Tiada apa-apa yang masuk ke dalam mulut seseorang dapat menajiskannya, tetapi apa yang keluar daripada seseorang itu dapat menajiskannya.”+ 16* ——
17 Apabila Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke dalam sebuah rumah, murid-muridnya mula bertanya kepadanya tentang perumpamaan itu.+ 18 Jadi dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu semua juga tidak faham seperti mereka? Tidakkah kamu sedar bahawa tiada apa-apa yang masuk ke dalam mulut seseorang dapat menajiskannya? 19 Hal ini demikian kerana apa yang masuk itu tidak masuk ke dalam hati tetapi masuk ke dalam perut lalu keluar dari tubuh.” Dengan demikian, dia menyatakan bahawa semua makanan tidak najis. 20 Dia menyambung, “Apa yang keluar daripada seseorang dapat menajiskannya,+ 21 kerana dari dalam, iaitu dari hati,+ timbul fikiran-fikiran jahat yang menyebabkan seseorang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* mencuri, membunuh, 22 berzina, bersikap tamak, berbuat jahat, memperdaya, berkelakuan buruk tanpa rasa malu,* iri hati,* mengucapkan kata-kata hinaan, bersikap sombong, dan tidak munasabah. 23 Semua perkara jahat ini timbul dari dalam dan itulah yang menajiskan seseorang.”
24 Kemudian Yesus bertolak dari situ lalu pergi ke kawasan sekitar Tirus dan Sidon.+ Dia memasuki sebuah rumah di situ. Dia tidak mahu sesiapa pun mengetahui bahawa dia sudah tiba, tetapi orang ramai masih mengetahuinya. 25 Seorang wanita yang anak perempuannya dirasuk roh jahat mendengar tentang Yesus. Maka dia segera datang dan bersujud di depan kakinya.+ 26 Wanita itu berbangsa Yunani dan datang dari Fenisia di Siria. Dia berkali-kali meminta Yesus untuk mengusir roh jahat itu daripada anak perempuannya. 27 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Biarlah anak-anak makan sampai kenyang terlebih dahulu, kerana adalah tidak wajar untuk mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anak-anak anjing.”+ 28 Wanita itu menjawab, “Betul Tuan, tetapi anak-anak anjing di bawah meja pun makan sisa makanan anak-anak.” 29 Yesus pun berkata kepadanya, “Pulanglah. Oleh sebab kamu berkata demikian, roh jahat itu sudah keluar daripada anak perempuanmu.”+ 30 Maka wanita itu pun pulang ke rumahnya. Dia mendapati anak kecilnya berbaring di atas katil dan roh jahat itu sudah keluar daripadanya.+
31 Yesus keluar dari kawasan Tirus dan pergi ke Tasik Galilea melalui Sidon. Semasa dia melalui kawasan Dekapolis,*+ 32 orang di situ membawa seorang lelaki yang pekak dan mempunyai masalah pertuturan kepadanya.+ Mereka merayu agar dia meletakkan tangannya ke atas lelaki tersebut. 33 Yesus membawa lelaki itu jauh daripada orang ramai. Apabila tiada orang lain di situ, Yesus meletakkan jarinya ke dalam telinga lelaki itu. Selepas itu dia meludah dan menyentuh lidah lelaki tersebut.+ 34 Kemudian Yesus menengadah ke langit dan menarik nafas panjang lalu berkata kepadanya, “Effata,” yang bererti, “Terbukalah.” 35 Pada masa itu juga, daya pendengaran lelaki itu dipulihkan dan masalah pertuturannya pun tiada lagi.+ Dia dapat bercakap seperti biasa. 36 Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentang hal itu.+ Tetapi semakin dia melarang, semakin mereka menyebarkannya.+ 37 Mereka semua sangat terpesona lalu berkata,+ “Alangkah hebatnya segala perbuatannya! Dia bahkan membuat orang pekak mendengar dan orang bisu bercakap.”+
8 Pada masa itu, ramai orang berkumpul sekali lagi, dan mereka telah kehabisan makanan. Oleh itu Yesus memanggil murid-muridnya lalu berkata, 2 “Aku berasa kasihan terhadap orang ramai ini.+ Sudah tiga hari mereka bersamaku dan sekarang mereka telah kehabisan makanan.+ 3 Jika aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka mungkin akan pengsan di tengah jalan. Lagipun ada antara mereka yang datang dari jauh.” 4 Tetapi murid-muridnya menjawab, “Di tempat terpencil ini, di manakah orang dapat mencari roti yang cukup supaya semua orang ini dapat makan sehingga kenyang?” 5 Maka dia bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang kamu ada?” Mereka menjawab, “Tujuh ketul.”+ 6 Jadi dia menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Kemudian dia mengambil tujuh ketul roti itu lalu mengucapkan syukur. Seterusnya dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai.+ 7 Mereka juga mempunyai beberapa ekor ikan kecil. Yesus mengucapkan syukur lalu menyuruh murid-muridnya untuk mengedarkan ikan tersebut juga. 8 Maka mereka makan sehingga kenyang dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi tujuh buah bakul yang besar.+ 9 Terdapat kira-kira 4,000 orang lelaki di situ. Kemudian, dia menyuruh orang ramai pulang.
10 Sejurus selepas itu, dia menaiki perahu bersama murid-muridnya dan tiba di kawasan Dalmanuta.+ 11 Di sana orang Farisi datang kepada Yesus untuk berdebat dengannya. Mereka mengujinya dengan memintanya untuk menunjukkan tanda dari syurga.+ 12 Yesus berasa sangat sedih lalu berkata, “Mengapakah generasi ini meminta tanda?+ Sesungguhnya aku berkata: Tiada tanda yang akan diberikan kepada generasi ini.”+ 13 Selepas itu dia meninggalkan mereka. Sekali lagi dia menaiki perahu dan pergi ke seberang tasik.
14 Tetapi murid-muridnya lupa membawa roti dan hanya ada seketul roti di dalam perahu.+ 15 Ketika itu, Yesus memberikan amaran kepada mereka, “Berwaspadalah dan berjaga-jagalah terhadap ragi orang Farisi dan ragi Herodes.”+ 16 Maka mereka mula bertengkar sesama sendiri kerana tidak membawa roti. 17 Yesus mengetahui apa yang terjadi lalu berkata, “Mengapakah kamu bertengkar tentang roti yang kamu lupa bawa? Adakah kamu masih belum mengerti dan faham? Adakah hati kamu masih tidak mengerti? 18 ‘Kamu mempunyai mata, tetapi mengapa kamu tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, tetapi mengapa kamu tidak dapat mendengar?’ Tidakkah kamu ingat: 19 Semasa aku membahagi-bahagikan lima ketul roti+ untuk 5,000 orang lelaki, baki roti yang kamu kumpulkan telah mengisi berapa buah bakul?” Mereka berkata, “Dua belas.”+ 20 “Semasa aku membahagi-bahagikan tujuh ketul roti untuk 4,000 orang lelaki, baki roti yang kamu kumpulkan telah mengisi berapa buah bakul besar?” Mereka berkata, “Tujuh.”+ 21 Maka dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu masih belum faham?”
22 Kemudian mereka tiba di Betsaida. Di situ orang ramai membawa seorang lelaki yang buta kepada Yesus dan merayunya untuk menyentuh lelaki tersebut.+ 23 Dia memegang tangan lelaki yang buta itu lalu membawanya ke luar pekan. Selepas meludah di atas matanya,+ Yesus meletakkan tangannya pada lelaki itu dan bertanya, “Apakah yang dapat kamu lihat?” 24 Lelaki itu memandang ke hadapan dan berkata, “Aku rasa apa yang aku nampak itu ialah manusia, tetapi mereka kelihatan seperti pokok yang berjalan ke sana sini.” 25 Sekali lagi Yesus meletakkan tangannya pada mata lelaki itu, lalu penglihatannya pulih dan dia dapat melihat segala-galanya dengan jelas. 26 Semasa menyuruhnya pulang, Yesus berkata, “Jangan masuk ke dalam pekan.”
27 Selepas itu, Yesus dan murid-muridnya pergi ke pekan-pekan di Kaisarea Filipi. Dalam perjalanan, dia bertanya kepada murid-muridnya, “Menurut orang, siapakah aku?”+ 28 Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis,+ yang lain berkata Elia,+ dan ada juga yang berkata Guru ialah salah seorang nabi.” 29 Dia bertanya lagi kepada mereka, “Bagaimana pula dengan kamu? Menurut kamu, siapakah aku?” Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus.”+ 30 Kemudian dia melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentangnya.+ 31 Dia juga mula mengajar mereka bahawa Anak Manusia mesti dianiaya dengan teruk. Para pemimpin orang Yahudi, ketua imam, dan jurutulis hukum, tidak akan menerimanya. Dia akan dibunuh,+ tetapi tiga hari kemudian, dia akan dibangkitkan.+ 32 Yesus mengatakan hal-hal ini dengan terus terang. Tetapi Petrus membawanya ke tepi dan mula menegurnya.+ 33 Yesus berpaling, melihat murid-muridnya, dan menegur Petrus dengan berkata, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.”+
34 Yesus memanggil orang ramai dan murid-muridnya lalu berkata, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya,* dan terus mengikut aku.+ 35 Sesiapa yang ingin menyelamatkan nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang kehilangan nyawanya demi aku dan demi berita baik akan menyelamatkan nyawanya.+ 36 Sesungguhnya, apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya?+ 37 Biarpun seseorang menggadaikan segala yang dimilikinya, dapatkah dia menyelamatkan nyawa sendiri?+ 38 Generasi ini berdosa dan tidak setia kepada Tuhan.* Dalam generasi ini, sesiapa yang berasa malu untuk menjadi muridku dan mempercayai kata-kataku, Anak Manusia juga akan berasa malu+ untuk menerimanya semasa dia datang dengan kemuliaan yang dikurniakan oleh Bapanya bersama para malaikat yang suci.”+
9 Dia berkata lagi kepada mereka, “Ketahuilah: Beberapa orang yang berdiri di sini tidak akan mati selagi mereka tidak melihat Kerajaan Tuhan memerintah dengan penuh kuasa.”+ 2 Enam hari kemudian, Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, ke atas sebuah gunung yang tinggi. Hanya mereka berempat berada di situ. Rupa Yesus berubah di depan mereka;+ 3 dan jubah luarnya menjadi putih bersinar-sinar. Tiada sesiapa pun di bumi yang dapat membasuh kain sehingga menjadi lebih putih daripada itu. 4 Elia dan Musa juga muncul di depan mereka dan berbual-bual dengan Yesus. 5 Maka Petrus berkata kepada Yesus, “Rabbi, kami berasa sangat gembira kerana dapat berada di sini. Biarlah kami mendirikan tiga buah khemah: Satu untukmu, satu untuk Musa, dan satu untuk Elia.” 6 Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang harus dikatakan, kerana mereka berasa agak takut. 7 Kemudian, sekepul awan terbentuk dan meliputi mereka. Kedengaran suara dari awan itu yang berkata,+ “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi.+ Dengarkanlah dia.”+ 8 Namun semasa mereka memandang di sekeliling, mereka tidak nampak sesiapa pun kecuali Yesus.
9 Semasa mereka turun dari gunung, dia melarang mereka daripada memberitahu sesiapa pun tentang apa yang telah dilihat oleh mereka+ sehingga Anak Manusia telah dibangkitkan daripada kematian.+ 10 Maka mereka menyimpan semua yang dikatakan itu dalam hati mereka.* Tetapi semasa mereka bersendirian, mereka membincangkan apa yang dimaksudkan oleh Yesus semasa dia mengatakan bahawa dia akan dibangkitkan daripada kematian. 11 Kemudian mereka bertanya, “Mengapakah para jurutulis hukum mengatakan bahawa Elia+ mesti datang terlebih dahulu?”+ 12 Dia menjawab, “Elia memang akan datang terlebih dahulu dan memulihkan segala sesuatu.+ Namun mengapakah ada tertulis bahawa Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan+ dan dihina?+ 13 Aku berkata kepada kamu: Sebenarnya Elia+ sudah datang. Seperti yang tertulis tentang dia, mereka memperlakukannya dengan sesuka hati.”+
14 Semasa mereka pergi kepada murid-murid yang lain, mereka mendapati murid-murid itu dikelilingi ramai orang. Para jurutulis hukum sedang berdebat dengan mereka.+ 15 Sebaik sahaja orang ramai nampak Yesus, mereka terkejut lalu berlari untuk menemuinya. 16 Oleh itu dia bertanya kepada mereka, “Kamu sedang berdebat dengan mereka tentang apa?” 17 Salah seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, aku membawa anak lelakiku kepada Guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat.+ 18 Setiap kali roh jahat itu menyerangnya, anakku akan dihempaskan ke tanah. Mulutnya akan berbuih-buih dan dia akan menggertakkan giginya serta menjadi lemah. Aku meminta murid-muridmu mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” 19 Yesus berkata kepada mereka, “Hai generasi yang tidak beriman,+ berapa lamakah aku mesti terus bersama kamu? Berapa lamakah aku mesti bersabar dengan kamu? Bawalah dia kepadaku.”+ 20 Maka mereka membawa budak lelaki itu kepadanya. Tetapi sebaik sahaja roh itu nampak Yesus, roh itu menyebabkan budak itu terkejang-kejang dan menggigil, lalu jatuh terguling-guling di tanah. Mulutnya juga berbuih. 21 Maka Yesus bertanya kepada bapa budak itu, “Sudah berapa lama hal ini berlaku kepadanya?” Dia menjawab, “Sejak kecil lagi. 22 Roh itu sering membuangnya ke dalam api dan air untuk membunuhnya. Tetapi jika Guru dapat menyembuhkannya, kasihanilah kami dan tolonglah kami.” 23 Yesus berkata kepada dia, “Mengapakah kamu berkata, ‘Jika Guru dapat’? Tiada apa-apa yang mustahil bagi orang yang beriman.”+ 24 Bapa budak kecil itu segera berseru, “Aku beriman! Bantulah aku untuk menguatkan imanku!”+
25 Yesus nampak bahawa orang ramai sedang berlari ke arah mereka. Maka dia menegur roh jahat itu, “Roh bisu dan pekak, aku memerintahkan kamu agar keluar daripada budak ini dan jangan memasukinya lagi!”+ 26 Roh jahat itu menjerit dengan kuat dan menyebabkan budak itu menggigil dan terkejang-kejang. Selepas roh itu keluar, budak itu terbaring seolah-olah sudah mati. Maka kebanyakan orang di situ berkata, “Dia sudah mati!” 27 Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolongnya bangun. Maka dia pun berdiri. 28 Kemudian, Yesus masuk ke dalam sebuah rumah. Semasa tiada orang lain di situ, murid-muridnya bertanya kepadanya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?”+ 29 Dia menjawab, “Roh jahat sebegitu hanya dapat diusir dengan doa.”
30 Kemudian mereka meninggalkan tempat itu dan lalu di Galilea. Yesus tidak mahu orang lain mengetahui di mana dia berada, 31 kerana dia sedang mengajar murid-muridnya. Dia berkata kepada mereka, “Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan ke dalam tangan musuhnya lalu dibunuh. Walaupun mereka membunuhnya,+ tiga hari kemudian dia akan bangkit daripada kematian.”+ 32 Namun, mereka tidak memahami kata-katanya, dan mereka tidak berani bertanya kepadanya.
33 Mereka pun tiba di Kapernaum. Ketika dia berada di dalam rumah, dia bertanya kepada mereka, “Semasa dalam perjalanan tadi, kamu semua bertengkar tentang apa?”+ 34 Mereka diam sahaja kerana dalam perjalanan, mereka bertengkar tentang siapa antara mereka yang lebih besar. 35 Jadi dia duduk dan memanggil 12 orang rasulnya lalu berkata kepada mereka, “Jika sesiapa ingin menjadi yang pertama, dia mesti menjadi yang terakhir dan menjadi hamba kepada semua.”+ 36 Selepas itu, dia memanggil seorang anak kecil dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka. Yesus meletakkan tangannya di atas bahu anak itu dan berkata kepada mereka, 37 “Sesiapa yang menerima seorang anak kecil seperti ini+ demi namaku menerima aku, dan sesiapa yang menerima aku, tidak menerima aku sahaja, tetapi juga menerima Dia yang mengutus aku.”+
38 Yohanes berkata kepadanya, “Guru, kami nampak seseorang yang menggunakan nama Guru untuk mengusir roh jahat. Kami mencuba menghalangnya kerana dia bukan salah seorang daripada kita.”+ 39 Tetapi Yesus berkata, “Janganlah halang dia kerana tiada orang yang dapat bercakap buruk tentang aku sejurus selepas melakukan mukjizat dengan menggunakan namaku. 40 Sesiapa yang tidak melawan kita sedang berpihak kepada kita.+ 41 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang memberi kamu secawan air untuk diminum kerana kamu milik Kristus+ tidak akan kehilangan ganjarannya.+ 42 Tetapi bagi sesiapa yang menyebabkan salah seorang muridku yang bagaikan anak kecil tersandung, lebih baik jika batu kisar besar yang ditarik oleh keldai digantungkan pada lehernya lalu dia dibuang ke dalam laut.+
43 “Jika sebelah tangan kamu membuat kamu tersandung, potonglah tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan dan menerima kehidupan daripada memiliki dua tangan tetapi dibuang dalam Gehena,* ke dalam api yang tidak dapat dipadamkan.+ 44* —— 45 Jika sebelah kaki kamu membuat kamu tersandung, potonglah kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah kaki dan menerima kehidupan daripada memiliki dua kaki tetapi dibuang dalam Gehena.*+ 46* —— 47 Begitu juga, jika sebelah mata kamu membuat kamu tersandung, cungkillah mata itu.+ Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata dan menerima kehidupan daripada memiliki dua belah mata tetapi dibuang dalam Gehena.*+ 48 Ulat di sana tidak mati dan api di sana tidak padam.+
49 “Sebagaimana garam ditaburkan ke atas makanan, begitulah Tuhan akan menurunkan api ke atas semua orang.*+ 50 Garam itu baik, tetapi jika garam hilang rasa masinnya, apakah yang akan kamu gunakan untuk memulihkan rasanya?+ Maka hendaklah kamu memiliki garam dalam diri kamu,+ dan teruslah berdamai dengan satu sama lain.”+
10 Kemudian Yesus bertolak dari situ dan pergi ke kawasan-kawasan sekitar sempadan Yudea di seberang Sungai Yordan. Sekali lagi, orang ramai berkumpul di sekeliling Yesus, dan seperti biasa dia mula mengajar mereka.+ 2 Ketika itu, orang Farisi datang kepada Yesus untuk mengujinya. Mereka bertanya sama ada seseorang yang menceraikan isterinya melanggar hukum atau tidak.+ 3 Yesus menjawab, “Apakah perintah yang diberikan oleh Musa kepada kamu?” 4 Mereka berkata, “Musa membenarkan orang yang mahu menceraikan isterinya untuk menulis surat cerai.”+ 5 Yesus berkata kepada mereka, “Musa menulis perintah itu+ kerana hati kamu degil.+ 6 Tetapi sejak awal penciptaan, ‘Tuhan menciptakan lelaki dan perempuan.+ 7 Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya,+ 8 lalu mereka berdua akan menjadi satu.’+ Dengan demikian, mereka bukan lagi dua tetapi satu. 9 Oleh itu, mereka yang telah disatukan* oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”+ 10 Setelah mereka berada di dalam rumah, murid-murid Yesus mula bertanya kepadanya tentang hal itu. 11 Jadi dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, dia berzina+ dan berlaku curang terhadap isterinya, 12 dan jika seorang wanita menceraikan suaminya lalu berkahwin dengan lelaki lain, dia pun berzina.”+
13 Kemudian orang mula membawa kanak-kanak kepada Yesus agar dia meletakkan tangannya ke atas mereka, tetapi murid-muridnya memarahi mereka.+ 14 Ketika Yesus nampak hal itu, dia naik marah lalu berkata, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepadaku. Jangan mencuba menghalang mereka, kerana Kerajaan Tuhan akan menjadi milik orang seperti mereka.+ 15 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang tidak menerima Kerajaan Tuhan seperti seorang kanak-kanak, tidak akan masuk ke dalamnya.”+ 16 Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ dan mula memberkati mereka sambil meletakkan tangannya ke atas mereka.+
17 Semasa Yesus meneruskan perjalanannya, seorang lelaki berlari ke arahnya dan berlutut di depannya sambil bertanya, “Guru yang Baik, apakah yang mesti aku lakukan agar aku dapat meraih kehidupan yang kekal?”+ 18 Yesus berkata, “Mengapakah kamu mengatakan bahawa aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan.+ 19 Kamu tahu hukum-hukum yang berikut: ‘Jangan membunuh,+ jangan berzina,+ jangan mencuri,+ jangan memberikan kesaksian palsu,+ jangan menipu,+ dan hormatilah ibu bapa kamu.’”+ 20 Lelaki itu berkata, “Guru, aku sudah mematuhi semua hukum ini sejak muda.” 21 Yesus memandang lelaki itu dengan penuh kasih dan berkata, “Terdapat satu lagi perkara yang perlu kamu lakukan: Pergilah dan juallah harta milik kamu lalu berikanlah wang itu kepada orang yang miskin. Dengan demikian, kamu akan mempunyai harta di syurga. Kemudian, marilah dan jadilah pengikutku.”+ 22 Tetapi lelaki itu berasa susah hati setelah mendengar jawapan itu. Dia pergi dari situ dengan sedih kerana dia memiliki banyak harta.+
23 Yesus memandang sekelilingnya lalu berkata kepada murid-muridnya, “Alangkah susahnya bagi orang yang kaya untuk masuk dalam Kerajaan Tuhan!”+ 24 Selepas mendengar kata-kata Yesus, murid-muridnya berasa hairan. Jadi Yesus berkata, “Hai anak-anakku, alangkah susahnya untuk masuk dalam Kerajaan Tuhan! 25 Adalah lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada orang yang kaya memasuki Kerajaan Tuhan.”+ 26 Mereka berasa semakin hairan dan berkata kepadanya,* “Jika demikian, siapakah yang dapat diselamatkan?”+ 27 Yesus memandang mereka lalu berkata, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Tuhan kerana tidak ada apa-apa yang mustahil bagi-Nya.”+ 28 Maka Petrus berkata kepadanya, “Lihatlah! Kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru.”+ 29 Yesus berkata, “Ketahuilah: Sesiapa yang telah meninggalkan rumah, atau adik-beradik, atau ibu bapa, atau anak, atau tanah, demi aku dan demi berita baik,+ 30 akan menerima seratus kali ganda pada zaman ini—rumah, adik-beradik, ibu, anak, dan tanah, serta penganiayaan+—dan pada sistem yang akan datang,* dia akan menerima kehidupan yang kekal. 31 Tetapi ramai orang yang pertama akan menjadi yang terakhir, manakala orang yang terakhir akan menjadi yang pertama.”+
32 Semasa mereka dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus berjalan di hadapan mereka. Murid-muridnya berasa hairan, tetapi orang lain yang mengikut di belakang mula berasa takut. Sekali lagi dia membawa 12 orang rasulnya ke tepi dan mula memberitahu mereka tentang perkara-perkara yang akan berlaku kepadanya. Dia berkata,+ 33 “Lihatlah! Kita sedang menuju ke Yerusalem. Di situ, Anak Manusia akan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan para jurutulis hukum. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati atasnya dan menyerahkannya kepada orang daripada bangsa lain 34 supaya dia diperolok-olokkan, diludahi, dicambuk, dan dibunuh. Namun, dia akan dibangkitkan tiga hari kemudian.”+
35 Selepas itu, Yakobus dan Yohanes, iaitu anak-anak Zebedeus,+ datang kepadanya lalu berkata, “Guru, tunaikanlah apa sahaja permintaan kami.”+ 36 Dia bertanya, “Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” 37 Mereka menjawab, “Izinkanlah kami untuk duduk bersama Guru semasa Guru dimuliakan, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri.”+ 38 Tetapi Yesus berkata, “Kamu tidak tahu apa yang sedang kamu minta. Sanggupkah kamu minum daripada cawan yang aku minum, atau menerima pembaptisan yang aku terima?”+ 39 Mereka berkata kepadanya, “Kami sanggup.” Yesus pun berkata, “Kamu akan minum daripada cawan yang aku minum, dan kamu akan menerima pembaptisan yang aku terima.+ 40 Namun, aku tidak berhak untuk menentukan siapa yang akan duduk di sebelah kanan atau kiriku. Mereka yang akan duduk di situ ditentukan oleh Bapaku.”
41 Semasa 10 orang murid yang lain mendengar tentang hal ini, mereka marah terhadap Yakobus dan Yohanes.+ 42 Oleh itu, Yesus memanggil mereka semua dan berkata, “Kamu tahu bahawa orang yang dianggap sebagai raja dan pembesar bangsa-bangsa lain menguasai dan mengawal rakyat mereka.+ 43 Hal seperti itu sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan kamu. Sebaliknya, jika sesiapa antara kamu ingin menjadi besar, dia mesti melayani kamu.+ 44 Jika sesiapa antara kamu ingin menjadi yang pertama, dia mesti menjadi hamba kepada semua. 45 Hal ini demikian kerana Anak Manusia pun tidak datang untuk dilayani,+ tetapi untuk melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.”+
46 Kemudian mereka tiba di Yerikho. Semasa Yesus dan murid-muridnya meninggalkan Yerikho bersama ramai orang, terdapat seorang pengemis buta yang sedang duduk di tepi jalan. Namanya Bartimeus anak Timeus.+ 47 Ketika dia mendengar bahawa Yesus, orang Nasaret itu, sedang lalu di situ, dia mula berseru, “Hai Yesus, Anak Daud,+ kasihanilah aku!”+ 48 Ramai orang dengan tegas menyuruhnya diam. Tetapi dia berseru dengan lebih kuat lagi, “Anak Daud, kasihanilah aku!” 49 Jadi Yesus berhenti dan berkata, “Panggillah dia ke sini.” Lalu mereka memanggil lelaki buta itu sambil berkata, “Teguhkanlah hatimu! Bangunlah, dia sedang memanggilmu.” 50 Maka lelaki buta itu membuang jubah luarnya dan segera bangun lalu pergi kepada Yesus. 51 Yesus berkata kepadanya, “Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” Lelaki buta itu berkata, “Rabboni,* pulihkanlah penglihatanku.” 52 Maka Yesus berkata kepadanya, “Pergilah. Kamu sembuh kerana kamu beriman.”+ Dengan serta-merta penglihatannya pulih,+ lalu dia mula mengikut Yesus dalam perjalanannya.
11 Semasa mereka hampir tiba di Yerusalem, mereka pergi ke Betfagi dan Betania+ yang terletak di Gunung Zaitun. Yesus mengutus dua orang muridnya+ 2 dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang ada di hadapan itu, dan sebaik sahaja kamu memasukinya, kamu akan menjumpai seekor anak keldai yang terikat, yang belum pernah ditunggangi orang. Lepaskanlah dan bawalah anak keldai itu kepadaku. 3 Jika ada sesiapa yang berkata kepada kamu, ‘Mengapakah kamu melepaskan keldai ini?’ katakan kepadanya, ‘Tuan memerlukan keldai ini dan akan memulangkannya dengan segera.’” 4 Jadi murid-murid Yesus pergi dan menjumpai seekor anak keldai terikat di depan pintu sebuah rumah yang terletak di pinggir jalan. Semasa mereka melepaskannya,+ 5 beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?” 6 Mereka menjawab seperti yang disuruh oleh Yesus, lalu orang di situ pun membiarkan mereka pergi.
7 Mereka membawa anak keldai itu+ kepada Yesus, dan meletakkan jubah luar mereka di atas anak keldai itu.+ Yesus pun duduk di atasnya. 8 Ramai orang membentangkan jubah luar mereka di atas jalan, yang lain pula memotong pelepah-pelepah pokok dari tepi jalan.+ 9 Mereka yang berjalan di hadapan dan belakangnya berseru-seru, “Moga Tuhan menyelamatkan dia!+ Diberkatilah dia yang datang atas nama Yehuwa!*+ 10 Diberkatilah Kerajaan yang akan datang, Kerajaan Daud,+ bapa kami! Moga Tuhan yang di syurga menyelamatkan dia!”* 11 Yesus masuk ke Yerusalem lalu pergi ke Rumah Tuhan. Di situ, dia memandang segala sesuatu yang ada di sekelilingnya. Tetapi hari sudah senja, jadi dia pergi ke Betania bersama 12 orang rasulnya.+
12 Pada keesokan harinya, semasa mereka bertolak dari Betania, Yesus berasa lapar.+ 13 Dari jauh dia nampak sepohon pokok ara yang sudah berdaun, dan dia pergi melihat sama ada pokok itu mempunyai buah atau tidak. Tetapi apabila dia menghampiri pokok itu, dia tidak menjumpai sebiji buah pun. Yang ada cuma daun-daun kerana masa itu bukan musim buah ara. 14 Maka Yesus berkata kepada pokok itu, “Mulai sekarang, tiada orang akan makan buah daripadamu lagi.”+ Murid-muridnya mendengar kata-kata ini.
15 Selepas mereka tiba di Yerusalem, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan dan mula mengusir semua orang yang berjual beli di sana. Dia menterbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati.+ 16 Dia tidak membenarkan sesiapa pun membawa apa-apa melalui Rumah Tuhan. 17 Dia juga mengajar orang dengan berkata, “Bukankah ada tertulis, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa bagi semua bangsa’?+ Tetapi kamu telah menjadikannya sarang perompak.”+ 18 Ketua-ketua imam dan para jurutulis hukum mendengar hal ini dan mula mencari jalan untuk membunuhnya.+ Namun, mereka takut kepadanya kerana orang ramai kagum dengan ajarannya.+
19 Apabila matahari terbenam, mereka meninggalkan kota itu. 20 Awal pagi keesokan harinya, semasa dalam perjalanan, mereka nampak pokok ara itu sudah layu sampai ke akar-akarnya.+ 21 Petrus teringat apa yang berlaku lalu berkata, “Lihatlah! Pokok ara yang Rabbi kutuk itu sudah pun layu.”+ 22 Lalu Yesus berkata, “Berimanlah kepada Tuhan. 23 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Jika seseorang berkata kepada gunung ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut,’ hal itu memang akan terjadi sekiranya dia beriman dan tidak ragu-ragu bahawa apa yang dikatakannya akan terjadi.+ 24 Itulah sebabnya aku berkata kepada kamu: Apa sahaja yang kamu mohon dalam doa, berimanlah bahawa kamu akan menerimanya. Maka kamu pun akan menerimanya.+ 25 Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah apa sahaja kesalahan orang lain terhadap kamu, supaya Bapa kamu yang di syurga juga mengampunkan kesalahan kamu.”+ 26* ——
27 Sekali lagi mereka datang ke Yerusalem. Semasa Yesus berjalan di dalam Rumah Tuhan, para ketua imam, jurutulis hukum, dan pemimpin orang Yahudi, datang kepadanya 28 dan bertanya, “Dari manakah datangnya kuasamu? Siapakah yang memberi kamu kuasa untuk melakukan semua ini?”+ 29 Yesus menjawab, “Aku juga akan tanya kamu satu soalan. Jika kamu menjawabnya, aku akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini. 30 Siapakah yang memberi Yohanes+ kuasa untuk membaptis orang? Tuhan* atau manusia? Jawablah soalanku.”+ 31 Mereka mula berbincang sesama sendiri dan berkata, “Jika kita kata, ‘Tuhan,’ dia akan bertanya, ‘Jadi, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?’ 32 Atau patutkah kita berkata, ‘Manusia’?” Namun, mereka takut berkata demikian kerana orang ramai menganggap Yohanes sebagai seorang nabi.+ 33 Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Maka Yesus berkata, “Kalau begitu, aku pun tidak akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini.”
12 Kemudian dia mula menceritakan satu perumpamaan kepada mereka. Dia berkata, “Seorang lelaki menanam anggur+ dan mendirikan pagar di sekeliling ladangnya. Dia juga menggali tempat untuk memerah buah anggur, dan membina sebuah menara tempat berkawal.+ Kemudian dia menyewakan ladang itu kepada beberapa orang peladang lalu berangkat ke luar negeri.+ 2 Apabila musim anggur tiba, dia mengutus seorang hamba kepada para peladang itu untuk menerima sebahagian daripada hasil ladang anggur. 3 Tetapi mereka menangkap hamba itu, memukulnya, dan menyuruhnya pulang dengan tangan kosong. 4 Maka dia mengutus seorang hamba yang lain kepada mereka. Tetapi mereka memukul kepala hamba itu dan menghinanya.+ 5 Lalu dia mengutus seorang lagi hamba, tetapi mereka membunuhnya. Dia mengutus banyak lagi hamba, tetapi ada yang dipukul dan ada yang dibunuh oleh mereka. 6 Hanya seorang lagi yang boleh diutusnya, iaitu anak kesayangannya.+ Akhirnya, dia mengutus anak lelakinya kepada mereka kerana dia berfikir, ‘Mereka akan menghormati anakku.’ 7 Tetapi para peladang itu bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia pewaris ladang anggur.+ Mari kita bunuh dia supaya kita mendapat harta yang bakal diwarisinya!’ 8 Maka mereka menangkapnya, membunuhnya, dan membuangnya ke luar ladang anggur itu.+ 9 Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang anggur itu? Dia akan datang dan membunuh para peladang itu lalu menyewakan ladang anggurnya kepada orang lain.+ 10 Belum pernahkah kamu membaca ayat suci ini yang menyatakan, ‘Batu yang dibuang oleh para pembina bangunan telah menjadi batu penjuru yang utama.+ 11 Batu ini berasal daripada Yehuwa* dan betapa indahnya batu ini di mata kita’?”+
12 Selepas itu, ketua-ketua imam dan jurutulis hukum mencari jalan untuk menangkap Yesus kerana mereka tahu bahawa perumpamaan itu ditujukan kepada mereka. Tetapi mereka takut kepada orang ramai, jadi mereka meninggalkan Yesus lalu beredar.+
13 Kemudian mereka mengutus beberapa orang Farisi dan pengikut Herodes untuk memerangkap Yesus berdasarkan kata-kata yang diucapkannya.+ 14 Apabila mereka tiba, mereka berkata, “Guru, kami tahu bahawa Guru jujur dan tidak pilih kasih. Guru tidak menghakimi seseorang berdasarkan penampilannya tetapi mengajarkan jalan Tuhan berdasarkan kebenaran. Jadi, patutkah kita membayar cukai kepala kepada Kaisar?”* 15 Yesus tahu bahawa mereka berniat jahat, jadi dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu menguji aku? Tunjukkanlah satu denari* kepadaku.” 16 Mereka pun membawa satu denari kepadanya. Maka dia bertanya kepada mereka, “Muka dan gelaran siapakah ini?” Mereka menjawab, “Kaisar.” 17 Yesus berkata, “Berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar,+ tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”+ Mereka sangat kagum terhadap Yesus.
18 Orang Saduki tidak percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan.+ Mereka datang kepada Yesus dan bertanya,+ 19 “Guru, Musa menulis bahawa jika seorang lelaki mati sebelum mempunyai anak, saudara kandungnya mesti berkahwin dengan balunya supaya dia mempunyai keturunan.+ 20 Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin lalu mati tanpa mempunyai anak. 21 Maka yang kedua mengahwini balunya tetapi dia juga mati tanpa mempunyai anak, dan hal yang sama berlaku kepada yang ketiga. 22 Ketujuh-tujuh adik-beradik itu mati tanpa mempunyai anak. Akhirnya, wanita itu juga mati. 23 Memandangkan tujuh orang adik-beradik itu pernah berkahwin dengannya, siapakah antara mereka yang akan menjadi suaminya semasa pembangkitan nanti?” 24 Yesus berkata kepada mereka, “Kamu sudah silap kerana kamu tidak mengetahui Ayat-Ayat Suci ataupun kuasa Tuhan.+ 25 Semasa pembangkitan orang mati, lelaki dan perempuan tidak akan berkahwin, tetapi menjadi seperti malaikat di syurga.+ 26 Berkenaan dengan pembangkitan orang mati, belum pernahkah kamu membaca kisah yang ditulis oleh Musa tentang pokok kecil yang bernyala? Tuhan berfirman kepada Musa, ‘Aku Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub.’+ 27 Dia ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati. Kamu silap sama sekali.”+
28 Di situ ada seorang jurutulis hukum yang mendengar perbincangan mereka. Dia tahu bahawa Yesus telah menjawab mereka dengan baik. Maka dia bertanya kepada Yesus, “Guru, hukum manakah yang paling penting?”+ 29 Yesus menjawab, “Hukum terpenting ialah ‘Dengarlah, hai Israel! Yehuwa* ialah Tuhan kita dan Yehuwalah* Tuhan yang esa. 30 Kamu mesti mengasihi Yehuwa,* Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa,* dengan segenap akal, dan dengan segenap kekuatan.’+ 31 Yang kedua ialah ‘Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’+ Tidak ada hukum lain yang lebih penting daripada kedua-dua hukum ini.” 32 Jurutulis hukum itu berkata, “Kata-kata Guru memang bagus dan berdasarkan kebenaran. ‘Tuhan itu Esa, dan tidak ada yang lain kecuali Dia.’+ 33 Manusia harus mengasihi-Nya dengan segenap hati, segenap pengertian, dan segenap kekuatan. Manusia juga harus mengasihi orang lain sepertimana mereka mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua hukum ini lebih bernilai daripada semua persembahan dan korban bakar.”+ 34 Yesus sedar bahawa jurutulis hukum itu telah menjawab dengan bijak. Maka dia berkata, “Kamu tidak jauh daripada Kerajaan Tuhan.” Selepas itu, tiada seorang pun yang berani bertanya lagi kepada Yesus.+
35 Semasa Yesus sedang mengajar di Rumah Tuhan, dia bertanya, “Mengapakah jurutulis hukum mengatakan bahawa Kristus ialah anak Daud?+ 36 Daud yang diilhami kuasa suci Tuhan+ berkata, ‘Yehuwa* berfirman kepada Tuanku, “Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku meletakkan musuh-musuhmu di bawah kakimu.”’+ 37 Memandangkan Daud memanggil dia Tuan, bagaimana mungkin Kristus itu anak Daud?”+
Orang ramai di situ mendengar kata-kata Yesus dengan senang hati. 38 Dia terus mengajar mereka, “Berhati-hatilah terhadap jurutulis hukum yang suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang dan suka menerima salam hormat di tempat awam.*+ 39 Mereka suka duduk di kerusi yang terdepan di dalam rumah ibadat dan suka tempat yang terbaik semasa menghadiri jamuan makan.+ 40 Mereka merampas harta* milik balu, dan mereka berdoa panjang untuk dilihat orang. Mereka akan diadili dengan lebih tegas.”
41 Kemudian, Yesus duduk menghadap peti-peti sumbangan+ dan mula memerhatikan orang memasukkan wang ke dalam peti-peti itu. Banyak orang kaya memasukkan banyak wang.+ 42 Lalu seorang balu yang miskin datang dan memasukkan dua keping mata wang yang kecil, yang sangat rendah nilainya.*+ 43 Yesus memanggil murid-muridnya lalu berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada wang yang dimasukkan oleh semua orang ke dalam peti sumbangan.+ 44 Hal ini demikian kerana semua orang lain memberikan persembahan daripada lebihan kekayaan mereka, tetapi wanita ini, walaupun dia sangat miskin, dia memberikan segala nafkah hidup yang ada padanya.”+
13 Semasa Yesus keluar dari Rumah Tuhan, salah seorang muridnya berkata kepadanya, “Guru, lihatlah betapa indahnya batu-batu dan bangunan-bangunan ini!”+ 2 Namun Yesus berkata kepadanya, “Kamu nampak bangunan-bangunan yang indah ini, bukan? Batu-batu di sini pasti dirobohkan sehingga satu batu pun tidak akan tersusun di atas batu yang lain.”+
3 Yesus duduk di atas Gunung Zaitun di tempat yang berhadapan dengan Rumah Tuhan. Ketika tiada orang lain di situ, Petrus, Yakobus, Yohanes, dan Andreas, datang kepadanya dan bertanya, 4 “Beritahulah kami bila hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bahawa penghujung semua ini sudah dekat?”+ 5 Yesus mula berkata kepada mereka, “Berhati-hatilah supaya tiada orang menyesatkan kamu.+ 6 Ramai orang akan datang dengan namaku dan berkata, ‘Akulah Kristus,’ dan menyesatkan banyak orang. 7 Semasa kamu mendengar tentang peperangan di pelbagai tempat, janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi akhir masih belum tiba.+
8 “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.+ Gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat, dan kebuluran juga akan berlaku.+ Semua perkara ini hanyalah permulaan kesusahan, seperti kesakitan yang dialami oleh seorang wanita yang akan bersalin.+
9 “Kamu mesti berjaga-jaga. Orang akan membawa kamu ke mahkamah,+ dan kamu akan dipukul di rumah ibadat.+ Kamu akan dihadapkan kepada gabenor dan raja kerana aku. Maka kamu akan berpeluang untuk memberikan kesaksian kepada mereka.+ 10 Selain itu, berita baik harus disebarkan kepada semua bangsa terlebih dahulu.+ 11 Apabila kamu ditangkap dan dibawa ke mahkamah, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan. Katakanlah apa sahaja yang diberitahu oleh kuasa suci Tuhan kepada kamu pada waktu itu, kerana yang berkata-kata itu bukan kamu, tetapi kuasa suci Tuhan.+ 12 Tambahan lagi, seseorang akan menyerahkan saudara kandungnya untuk dibunuh, seorang bapa akan menyerahkan anaknya untuk dibunuh, dan anak-anak akan melawan ibu bapa lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh.+ 13 Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana namaku.+ Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir+ akan diselamatkan.+
14 “Sebaik sahaja kamu nampak benda jijik yang membawa kemusnahan+ berdiri di tempat yang tidak sewajarnya (hendaklah pembaca menggunakan daya penilaian untuk memahami hal ini), hendaklah mereka yang berada di Yudea melarikan diri ke kawasan pergunungan.+ 15 Hendaklah orang yang berada di bumbung rumah* tidak turun atau masuk ke dalam rumah untuk mengambil barang. 16 Begitu juga, hendaklah orang yang berada di ladang tidak balik ke rumah untuk mengambil jubah luar. 17 Alangkah malangnya wanita yang hamil dan ibu yang menyusui bayi pada masa itu!+ 18 Teruslah berdoa agar hal ini tidak terjadi semasa musim sejuk, 19 kerana masa itu ialah masa kesengsaraan.+ Kesengsaraan sebegini tidak pernah berlaku semenjak Tuhan menciptakan segala-galanya sehingga sekarang, dan tidak akan berlaku lagi.+ 20 Sebenarnya, jika Yehuwa* tidak memendekkan tempoh masa itu, tiada seorang pun yang dapat diselamatkan. Tetapi disebabkan umat-Nya yang terpilih, Dia telah memendekkan masa itu.+
21 “Ketika itu, jika ada orang berkata kepada kamu, ‘Lihatlah! Kristus di sini,’ atau, ‘Lihatlah! Dia di situ,’ janganlah kamu mempercayai mereka,+ 22 kerana Kristus palsu dan nabi palsu akan muncul.+ Mereka akan melakukan keajaiban dan mukjizat agar dapat menyesatkan orang, jika mungkin umat Tuhan yang terpilih juga. 23 Maka, berjaga-jagalah.+ Semua hal itu telah aku beritahukan kepada kamu sebelum semuanya berlaku.
24 “Pada masa itu, selepas kesengsaraan tersebut, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak akan bercahaya.+ 25 Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang. 26 Kemudian, orang akan melihat Anak Manusia+ datang dikelilingi awan dengan kemuliaan dan kuasa yang besar.+ 27 Selepas itu, dia akan mengutus malaikat-malaikat ke empat arah mata angin untuk mengumpulkan umatnya yang terpilih dari hujung bumi ke hujung langit.+
28 “Belajarlah daripada perumpamaan tentang pokok ara: Sebaik sahaja dahan muda yang lembut mula mengeluarkan daun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat.+ 29 Demikian juga, apabila kamu melihat semua perkara ini berlaku, ketahuilah bahawa dia sudah berada di ambang pintu.+ 30 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu bahawa generasi ini tidak akan lenyap sehingga semua perkara ini berlaku.+ 31 Langit dan bumi akan lenyap,+ tetapi kata-kataku tidak akan lenyap sama sekali.+
32 “Tiada seorang pun yang tahu hari atau waktunya,* baik malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu.+ 33 Teruslah berjaga-jaga dan teruslah berwaspada,+ kerana kamu tidak tahu waktu yang ditentukan oleh Tuhan.+ 34 Keadaannya seperti seorang lelaki yang meninggalkan rumahnya lalu berangkat ke luar negeri. Sebelum bertolak, dia memberi hamba-hambanya kuasa untuk menguruskan rumahnya,+ memberi mereka kerja masing-masing, dan menyuruh penjaga pintu untuk terus berjaga-jaga.+ 35 Kamu tidak tahu bila tuan rumah akan datang, sama ada pada lewat petang, atau pada tengah malam,+ atau sebelum waktu subuh,* atau pada awal pagi.* Maka, teruslah berjaga-jaga+ 36 supaya dia tidak mendapati kamu sedang tidur semasa dia tiba-tiba datang.+ 37 Apa yang aku katakan kepada kamu, aku katakan kepada semua: Teruslah berjaga-jaga.”+
14 Dua hari lagi, Perayaan Paska*+ dan Perayaan Roti Tidak Beragi+ akan berlangsung.+ Para ketua imam dan jurutulis hukum mencari jalan untuk menangkap Yesus dengan cara yang licik dan membunuhnya.+ 2 Mereka asyik berkata, “Kita tidak patut melakukannya semasa perayaan kerana orang ramai mungkin menimbulkan huru-hara.”
3 Kemudian, Yesus pergi ke Betania, ke rumah Simon yang dahulunya menghidap penyakit kusta. Semasa dia sedang makan,* seorang wanita datang kepadanya sambil membawa sebuah botol* berisi minyak wangi. Minyak itu sangat mahal dan merupakan minyak akar wangi yang tulen. Wanita tersebut membuka botol minyak itu dan mula menuangkannya ke atas kepala Yesus.+ 4 Sesetengah orang di situ berkata sesama sendiri dengan marah, “Mengapakah minyak itu dibazirkan? 5 Minyak wangi itu dapat dijual dengan harga lebih daripada 300 denari* dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Lalu mereka berasa sangat marah terhadap* wanita itu. 6 Tetapi Yesus berkata, “Janganlah ganggu wanita ini. Mengapakah kamu semua menyusahkan dia? Dia melakukan sesuatu yang baik untuk aku.+ 7 Orang miskin sentiasa ada bersama kamu,+ dan kamu boleh menolong mereka bila-bila sahaja. Tetapi aku tidak akan sentiasa bersama kamu.+ 8 Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya. Dia menuangkan minyak wangi pada tubuhku sebagai persiapan sebelum pengebumianku.+ 9 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Di mana sahaja berita baik disebarkan di seluruh dunia,+ perbuatan wanita ini juga akan diceritakan untuk mengenang dia.”+
10 Kemudian Yudas Iskariot, iaitu salah seorang daripada 12 orang rasul, pergi berjumpa dengan ketua-ketua imam untuk mengkhianati Yesus dan menyerahkannya kepada mereka.+ 11 Mereka sangat gembira semasa mendengar hal itu dan berjanji untuk memberikan wang perak kepadanya.+ Maka Yudas mula mencari kesempatan yang baik untuk mengkhianati Yesus.
12 Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi,+ iaitu semasa orang biasanya mempersembahkan korban untuk Perayaan Paska,+ murid-muridnya bertanya, “Di manakah Guru mahu kami membuat persiapan untuk jamuan Paska?”+ 13 Maka Yesus mengutus dua orang muridnya dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke kota dan kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang membawa sebuah tembikar air. Ikutlah dia+ 14 sehingga dia masuk ke dalam sebuah rumah. Kemudian, katakanlah kepada tuan rumah itu, ‘Guru bertanya, “Di manakah bilik yang dapat aku gunakan untuk makan jamuan Paska bersama murid-muridku?”’ 15 Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang sudah disediakan dan yang lengkap dengan perabot. Sediakanlah jamuan Paska untuk kita di situ.” 16 Maka kedua-dua murid itu pergi ke kota dan mendapati semuanya berlaku seperti yang telah dikatakan oleh Yesus kepada mereka. Selepas itu, mereka membuat persiapan untuk menyambut Perayaan Paska.
17 Selepas matahari terbenam, Yesus datang bersama 12 orang rasulnya.+ 18 Semasa mereka duduk dan makan di meja, Yesus berkata, “Ketahuilah: Salah seorang daripada kamu yang sedang makan bersama aku akan mengkhianati aku.”+ 19 Mereka sangat sedih, maka seorang demi seorang mula bertanya, “Adakah aku orangnya?” 20 Yesus menjawab, “Dia salah seorang daripada 12 orang yang mengambil makanan daripada mangkuk yang sama dengan aku.+ 21 Seperti yang tertulis, Anak Manusia memang akan mati. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia!+ Lebih baik jika orang itu tidak dilahirkan.”+
22 Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti lalu mengucapkan syukur. Dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Ambillah. Roti ini melambangkan tubuhku.”+ 23 Kemudian, dia mengambil sebuah cawan. Selepas mengucapkan syukur, dia memberikan cawan itu kepada mereka dan mereka semua minum daripada cawan itu.+ 24 Dia berkata kepada mereka, “Wain di dalam cawan ini melambangkan ‘darah+ perjanjian’+ aku yang akan dicurahkan untuk banyak orang.+ 25 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Aku tidak akan minum wain lagi sehingga hari aku minum wain baharu dalam Kerajaan Tuhan.” 26 Akhirnya, selepas mereka menyanyikan lagu pujian,* mereka bertolak ke Gunung Zaitun.+
27 Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan tersandung kerana ada tertulis, ‘Aku akan menyerang gembala,+ dan kawanan bebirinya akan berselerak ke merata tempat.’+ 28 Tetapi selepas aku dibangkitkan, aku akan mendahului kamu untuk pergi ke Galilea.”+ 29 Namun Petrus berkata kepadanya, “Walaupun mereka semua tersandung, aku tidak akan tersandung.”+ 30 Yesus berkata kepada Petrus, “Ketahuilah: Pada malam ini juga, sebelum ayam jantan berkokok dua kali, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.”+ 31 Tetapi Petrus berkata dengan bersungguh-sungguh, “Biarpun aku terpaksa mati bersamamu, aku tidak akan menafikan bahawa aku mengenalmu.” Murid-murid yang lain juga mengatakan hal yang sama.+
32 Semasa mereka tiba di sebuah tempat yang bernama Getsemani, dia berkata kepada murid-muridnya, “Duduklah di sini sementara aku berdoa.”+ 33 Dia membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes bersamanya.+ Pada masa itu, dia berasa sangat susah hati dan gelisah. 34 Dia berkata kepada mereka, “Aku sedih sekali+ sehingga hendak mati rasanya. Teruslah berada di sini dan berjaga-jagalah.”+ 35 Dia pergi jauh sedikit daripada mereka lalu bersujud di tanah dan mula berdoa supaya jika boleh, saat penderitaan itu dijauhkan daripadanya. 36 Dia berkata, “Abba,* Bapa,+ tiada sesuatu pun yang mustahil bagi-Mu. Jauhkanlah cawan ini daripadaku. Namun, janganlah turut kehendakku, tetapi turutlah kehendak-Mu.”+ 37 Semasa dia kembali, dia mendapati bahawa murid-muridnya sedang tidur. Maka, dia berkata kepada Petrus, “Simon, adakah kamu sedang tidur? Tidak dapatkah kamu berjaga-jaga bersama aku selama satu jam?+ 38 Teruslah berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu semua tidak terjerat oleh godaan.+ Sememangnya, hati ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh* lemah.”+ 39 Sekali lagi, Yesus pergi berdoa dan mengucapkan kata-kata yang sama.+ 40 Semasa dia kembali, sekali lagi dia mendapati bahawa mereka sedang tidur kerana kelopak mata mereka terasa sangat berat. Mereka tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada Yesus. 41 Semasa dia kembali untuk kali ketiga, dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu masih tidur dan berehat pada saat genting ini? Cukuplah! Masanya sudah tiba!+ Lihatlah! Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan ke dalam tangan pendosa. 42 Bangunlah, mari kita pergi. Lihatlah! Pengkhianatku sudah dekat.”+
43 Sementara dia masih bercakap, salah seorang daripada 12 orang rasul yang bernama Yudas tiba. Bersamanya terdapat ramai orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, jurutulis hukum, dan pemimpin orang Yahudi.+ 44 Pengkhianatnya telah memberi mereka satu tanda dengan berkata, “Sesiapa yang aku cium, dialah orang yang kamu cari. Tangkaplah dia dan bawalah dia dengan kawalan yang ketat.” 45 Apabila Yudas tiba, dia terus menghampiri Yesus dan berkata, “Rabbi!” lalu menciumnya. 46 Selepas itu, mereka menangkap Yesus. 47 Tetapi, salah seorang yang berdiri di situ menghunus pedangnya dan menyerang hamba imam agung lalu mengerat telinganya.+ 48 Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Adakah kamu datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap aku seperti menangkap seorang perompak?+ 49 Tiap-tiap hari aku bersama kamu semasa aku mengajar di Rumah Tuhan.+ Namun, kamu tidak menangkap aku. Tetapi semua ini berlaku supaya apa yang ditulis dalam Ayat-Ayat Suci menjadi kenyataan.”+
50 Ketika itu, semua muridnya meninggalkannya lalu melarikan diri.+ 51 Namun begitu, ada seorang lelaki muda yang mengikut Yesus dari dekat. Dia memakai sehelai kain linen yang bermutu tinggi untuk menutupi tubuhnya, tetapi apabila orang mencuba menangkapnya, 52 dia membuang kain linennya dan melarikan diri dengan memakai jubah dalamnya sahaja.*
53 Kemudian, mereka membawa Yesus kepada imam agung.+ Semua ketua imam, pemimpin orang Yahudi, dan jurutulis hukum, berkumpul di situ.+ 54 Petrus mengikut Yesus dari jauh sampai ke halaman dalam rumah imam agung. Dia duduk bersama hamba-hamba di situ dan memanaskan badan di depan api yang bernyala terang.+ 55 Sementara itu, para ketua imam dan seluruh Majlis Orang Yahudi mencari bukti-bukti untuk menuduh Yesus supaya mereka dapat membunuhnya. Tetapi mereka tidak menjumpai apa-apa bukti.+ 56 Walaupun banyak saksi palsu tampil,+ kesaksian mereka saling bercanggahan. 57 Ada juga beberapa orang yang berdiri untuk memberikan kesaksian palsu tentangnya. Mereka berkata, 58 “Kami pernah mendengar dia berkata, ‘Aku akan merobohkan Rumah Tuhan ini yang dibuat dengan tangan manusia, dan dalam masa tiga hari, aku akan membina Rumah Tuhan yang tidak dibuat dengan tangan manusia.’”+ 59 Tetapi dalam hal ini pun kesaksian mereka saling bercanggahan.
60 Kemudian, imam agung berdiri di tengah-tengah mereka dan bertanya kepada Yesus, “Mengapakah kamu tidak menjawab? Tidakkah kamu mendengar tuduhan yang dilontarkan terhadap kamu?”+ 61 Tetapi Yesus terus membisu dan tidak menjawab sepatah kata pun.+ Sekali lagi, imam agung bertanya kepadanya, “Adakah kamu Kristus, Anak kepada Tuhan Yang Suci?” 62 Maka Yesus menjawab, “Ya, dan kamu semua akan melihat Anak Manusia+ datang atas awan di langit+ dan duduk di sebelah kanan Dia Yang Berkuasa.”+ 63 Imam agung mengoyakkan jubahnya lalu berkata, “Adakah kita memerlukan saksi lagi?+ 64 Kamu semua telah mendengar dia menghina Tuhan. Apakah keputusan* kamu?” Mereka semua menyatakan bahawa Yesus mesti dihukum mati.+ 65 Kemudian ada yang meludahinya+ dan menutup mukanya. Mereka menumbuknya dan berkata, “Buktikan bahawa kamu seorang nabi dan beritahulah kami siapa yang memukul kamu!” Para pengawal mahkamah menampar mukanya dan membawa dia pergi dari situ.+
66 Semasa Petrus berada di halaman dalam, seorang hamba perempuan imam agung datang kepadanya.+ 67 Apabila dia nampak Petrus berdiri dekat unggun api, dia memandang Petrus lalu berkata, “Kamu juga bersama dengan Yesus, orang Nasaret itu!” 68 Tetapi Petrus menafikan hal itu dan berkata, “Aku tidak kenal dia dan tidak faham apa maksud kamu.” Selepas itu, dia keluar lalu pergi ke kawasan berhampiran pagar. 69 Di sana, hamba perempuan itu melihat dia lagi dan mula berkata kepada orang yang berdiri di sana, “Dia salah seorang murid Yesus.” 70 Sekali lagi, Petrus menafikannya. Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ berkata sekali lagi kepada Petrus, “Tentu kamu salah seorang daripada mereka kerana kamu pun orang Galilea.” 71 Lalu Petrus bersumpah, “Terkutuklah aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal lelaki yang kamu semua sebutkan itu!” 72 Pada saat itu juga seekor ayam jantan berkokok untuk kali kedua.+ Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, “Sebelum ayam jantan berkokok dua kali, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.”+ Petrus tidak dapat menahan rasa sedih lalu dia mula menangis.
15 Sebaik sahaja matahari terbit, ketua-ketua imam, pemimpin orang Yahudi, dan para jurutulis hukum, iaitu seluruh Majlis Orang Yahudi, mengadakan mesyuarat. Mereka mengikat tangan Yesus dan menyerahkannya kepada Pilatus.+ 2 Pilatus bertanya kepadanya, “Adakah kamu Raja orang Yahudi?”+ Dia menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakannya.”+ 3 Memandangkan ketua-ketua imam melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, 4 Pilatus bertanya kepadanya sekali lagi, “Mengapakah kamu tidak menjawab?+ Lihatlah betapa banyaknya tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu.”+ 5 Tetapi Yesus tidak menjawab apa-apa pun, sehingga Pilatus berasa sangat hairan.+
6 Pada setiap Perayaan Paska, Pilatus biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai.+ 7 Pada masa itu, ada seorang lelaki bernama Barabas yang dipenjarakan bersama para pemberontak. Mereka pernah membunuh orang semasa memberontak melawan kerajaan. 8 Maka, orang ramai pun datang kepada Pilatus dan memintanya membebaskan seorang tahanan seperti yang biasa dilakukannya. 9 Dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku membebaskan Raja orang Yahudi?”+ 10 Sebenarnya dia tahu bahawa ketua-ketua imam menyerahkan Yesus kepadanya kerana mereka iri hati.+ 11 Tetapi ketua-ketua imam menghasut orang ramai untuk meminta agar Barabas dibebaskan.+ 12 Pilatus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, apakah yang harus aku lakukan terhadap orang yang kamu gelar Raja orang Yahudi?”+ 13 Sekali lagi mereka berteriak, “Bunuhlah dia pada tiang!”+ 14 Pilatus berkata kepada mereka, “Mengapa? Apakah kesalahannya?” Namun mereka berteriak dengan lebih kuat lagi, “Bunuhlah dia pada tiang!”+ 15 Pilatus ingin menyenangkan hati orang ramai, jadi dia membebaskan Barabas dan mengarahkan supaya Yesus dicambuk.+ Kemudian, dia menyerahkannya kepada askar-askar untuk dihukum bunuh pada tiang.+
16 Selepas itu, askar-askar membawa Yesus ke halaman dalam kediaman gabenor dan semua askar disuruh berkumpul.+ 17 Mereka mengenakan kain ungu padanya dan membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Yesus. 18 Kemudian mereka berkata, “Salam sejahtera, hai Raja orang Yahudi!”+ 19 Mereka juga memukul kepalanya dengan sebatang kayu dan meludahinya. Kemudian mereka melutut dan sujud di hadapannya. 20 Setelah mengejek Yesus, mereka menanggalkan kain ungu itu dan mengenakan jubah luarnya padanya. Kemudian mereka membawa dia untuk dipakukan pada tiang.+ 21 Pada masa itu, Simon yang berasal dari Kirene lalu di situ. Dia merupakan bapa kepada Aleksander dan Rufus, dan dia baru datang dari desa. Askar-askar mengarahkannya untuk mengangkat tiang seksaan* Yesus.+
22 Kemudian mereka membawa Yesus ke sebuah tempat yang dipanggil Golgota, yang bererti “Tempat Tengkorak.”+ 23 Di situ mereka mencuba untuk memberi dia wain yang bercampur mur yang memabukkan,+ tetapi dia enggan meminumnya. 24 Setelah memakukannya pada tiang, mereka membahagi-bahagikan jubah luarnya dengan membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing.+ 25 Mereka telah memakukannya pada tiang pada jam sembilan pagi.* 26 Di sebelah atas kepalanya tertulis tuduhan terhadapnya: “Raja orang Yahudi.”+ 27 Mereka juga menghukum bunuh dua orang perompak pada tiang bersamanya, seorang di sebelah kanannya dan seorang lagi di sebelah kirinya.+ 28* —— 29 Orang yang lalu di situ mula mencemuhnya. Sambil menggelengkan kepala,+ mereka berkata, “Cis, kamu berkata bahawa kamu dapat merobohkan Rumah Tuhan dan membinanya semula dalam masa tiga hari!+ 30 Selamatkanlah dirimu sendiri dan turunlah dari tiang seksaan* itu!” 31 Dalam cara yang sama, para ketua imam dan jurutulis hukum juga mentertawakannya dan berkata sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang lain tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri!+ 32 Biarlah Kristus, Raja orang Israel, turun dari tiang seksaan* sekarang supaya kita melihat dan percaya kepadanya.”+ Bahkan perompak-perompak yang dihukum pada tiang bersamanya juga menghinanya.+
33 Dari sekitar jam 12 tengah hari* sehingga jam 3 petang,* seluruh bumi menjadi gelap.+ 34 Pada jam tiga petang, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bermaksud, “Tuhanku, Tuhanku, mengapakah Engkau meninggalkan aku?”+ 35 Apabila orang yang berdiri berhampirannya mendengarnya, mereka mula berkata, “Lihat! Dia sedang memanggil Elia.” 36 Kemudian ada orang berlari untuk merendamkan span ke dalam wain masam. Dia menggunakan sebatang kayu untuk menghulurkan span itu kepada Yesus supaya dia dapat minum.+ Dia berkata, “Biarkan dia! Mari kita lihat sama ada Elia akan datang untuk menyelamatkannya atau tidak.” 37 Tetapi Yesus berseru dengan suara yang lantang lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.+ 38 Ketika itu, tirai di Rumah Tuhan+ koyak menjadi dua dari atas sampai ke bawah.+ 39 Semasa pegawai tentera yang berdiri di depan Yesus melihat semua perkara yang berlaku semasa Yesus mati, pegawai itu berkata, “Lelaki ini sememangnya Anak Tuhan.”+
40 Di situ ada juga wanita-wanita yang sedang memandang dari jauh, termasuk Maria Magdalena, Maria, iaitu ibu kepada Yakobus Kecil dan Yoses, dan juga Salome.+ 41 Merekalah yang selalu mengikut Yesus dan menolongnya+ semasa dia berada di Galilea. Selain itu, ada ramai lagi wanita yang telah datang ke Yerusalem bersama Yesus.
42 Memandangkan hari sudah petang, dan hari itu ialah hari Persiapan, iaitu hari sebelum Sabat, 43 Yusuf dari Arimatea datang ke situ. Dia seorang ahli Majlis Orang Yahudi yang dihormati, dan dia juga sedang menantikan Kerajaan Tuhan. Dengan berani, dia menghadap Pilatus dan meminta mayat Yesus.+ 44 Tetapi Pilatus ingin tahu sama ada Yesus sudah mati. Jadi, dia memanggil pegawai tenteranya dan bertanya sama ada Yesus sudah mati atau tidak. 45 Setelah mendapatkan pengesahan daripada pegawai tentera itu, dia mengizinkan Yusuf mengambil mayat Yesus. 46 Yusuf membeli kain linen yang bermutu tinggi dan menurunkan mayat Yesus. Kemudian, dia membalutnya dengan kain linen itu dan meletakkan mayat Yesus ke dalam sebuah makam+ yang digali di bukit batu. Selepas itu, dia menggulingkan sebuah batu ke depan pintu masuk makam.+ 47 Tetapi Maria Magdalena dan Maria, iaitu ibu Yoses, terus memperhatikan tempat mayat Yesus diletakkan.+
16 Setelah hari Sabat berlalu,+ Maria Magdalena, Maria,+ iaitu ibu kepada Yakobus, dan juga Salome, membeli bahan-bahan wangi supaya mereka dapat pergi ke makam Yesus untuk melumuri mayatnya.+ 2 Mereka bertolak pada awal pagi hari Ahad,* dan tiba di makam semasa matahari terbit.+ 3 Mereka berkata sesama sendiri, “Siapakah yang akan menggulingkan batu penutup makam ke tepi untuk kita?” 4 Tetapi semasa mereka melihat ke arah pintu makam, mereka nampak bahawa batu penutup yang sangat besar itu telah digulingkan ke tepi.+ 5 Semasa mereka masuk ke dalam makam, mereka terkejut kerana nampak seorang pemuda yang berjubah putih sedang duduk di sebelah kanan makam. 6 Dia berkata kepada mereka, “Janganlah takut.+ Aku tahu bahawa kamu sedang mencari Yesus orang Nasaret yang dihukum bunuh pada tiang. Dia sudah dibangkitkan.+ Dia tidak ada di sini. Lihat! Di sinilah mereka meletakkan mayatnya.+ 7 Pergilah dan beritahulah Petrus dan murid-murid Yesus, ‘Sekarang dia dalam perjalanan ke Galilea,+ dan kamu akan menjumpainya di sana, seperti yang telah dikatakannya kepada kamu.’”+ 8 Mereka berasa hairan dan menggigil ketakutan. Apabila mereka keluar dari makam itu, mereka terus berlari dari situ. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa pun, kerana mereka takut.*+
Lihat Lampiran A5.
Atau “dibenamkan.”
Atau “dibenamkan.”
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Atau mungkin, “mereka tahu siapa dia.”
Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.
Iaitu, khemah suci Tuhan.
Atau “melantik.”
Atau “dilantiknya.”
Gelaran yang diberikan kepada Syaitan.
Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau “bakul penyukat.”
Atau “makam peringatan.”
“Legiun” ialah unit bagi pasukan tentera Roma kuno. Di sini perkataan “legiun” merujuk kepada angka yang besar.
“Legiun” ialah unit bagi pasukan tentera Roma kuno. Di sini perkataan “legiun” merujuk kepada angka yang besar.
Lihat Lampiran A5.
Atau “Wilayah Sepuluh Kota.”
Atau “sudah hampir mati.”
Atau “dengan tegas.”
Atau “mereka tersandung kerana dia.”
Harfiah, “tidak mengenakan dua helai pakaian.”
Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “berkat.”
Harfiah, “waktu ke-4.” Iaitu, kira-kira pukul 3 pagi sehingga matahari terbit kira-kira pada pukul 6 pagi.
Atau “pasar.”
Iaitu, membasuh mengikut upacara agama.
Atau “pasar.”
Lihat Lampiran A3.
Bentuk jamak bagi perkataan Yunani por·neiʹa. Lihat Kamus.
Yunani, a·selʹgei·a. Lihat Kamus.
Harfiah, “memiliki mata yang iri hati.”
Atau “Wilayah Sepuluh Kota.”
Lihat Kamus.
Harfiah, “dan berzina.”
Atau mungkin, “mereka tidak memberitahu sesiapa pun tentang hal itu.”
Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A3.
Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A3.
Lihat Kamus.
Iaitu, mereka yang dibuang dalam Gehena.
Atau “disatukan di bawah satu kuk.”
Atau mungkin, “kepada satu sama lain.”
Atau “zaman yang akan datang.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Maksudnya “Guru.”
Lihat Lampiran A5.
Merujuk kepada Yesus.
Lihat Lampiran A3.
Harfiah, “Syurga.”
Lihat Lampiran A5.
Gelaran bagi maharaja Roma.
Lihat Lampiran B14.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A5.
Atau “pasar.”
Atau “rumah.”
Harfiah, “2 lepton, iaitu 1 kuadrans.” Lihat Lampiran B14.
Pada masa itu, kebanyakan rumah mempunyai bumbung yang rata. Orang boleh berjalan, tidur, atau menyambut tetamu, di situ.
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “jamnya.”
Harfiah, “semasa ayam jantan berkokok.”
Lihat Kamus, “Waktu.”
Lihat Kamus.
Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.
Harfiah, “botol alabaster.” Lihat Kamus, “Alabaster.”
Lihat Lampiran B14.
Atau “mereka menengking; mereka memarahi.”
Atau “mazmur.”
Perkataan bahasa Ibrani atau Aram yang bermaksud “Ya Bapa!”
Merujuk kepada keadaan manusia yang berdosa dan tidak sempurna.
Atau “melarikan diri dalam keadaan telanjang.”
Atau “pendapat.”
Lihat Kamus.
Harfiah, “jam yang ke-3.”
Lihat Lampiran A3.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Harfiah, “jam yang ke-6.”
Harfiah, “jam yang ke-9.”
Harfiah, “hari pertama dalam seminggu.” Bagi orang Yahudi, hari Ahad ialah hari pertama dalam seminggu.
Menurut naskhah-naskhah Bible kuno yang dapat dipercayai, Berita Baik yang Disampaikan oleh Markus berakhir dengan kata-kata yang terdapat di ayat 8. Lihat Lampiran A3.