PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 2 1A-4038
  • Keluaran

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Keluaran
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Keluaran

KELUARAN

1 Yakub, yang juga dipanggil Israel, pergi ke Mesir bersama anak-anaknya dan keluarga mereka.+ Anak-anak Yakub yang pergi bersamanya ialah 2 Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda,+ 3 Isakhar, Zebulon, Benyamin, 4 Dan, Naftali, Gad, dan Asyer.+ 5 Yusuf pula sudah berada di Mesir. Keturunan Yakub berjumlah 70 orang.+ 6 Akhirnya, Yusuf dan saudara-saudaranya meninggal,+ begitu juga orang yang hidup sezaman dengannya. 7 Tetapi orang Israel mempunyai anak yang banyak. Bilangan mereka bertambah dengan cepat sekali dan mereka menjadi semakin kuat sehingga seluruh negeri penuh dengan mereka.+

8 Kemudian seorang raja baharu yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah Mesir. 9 Raja itu berkata kepada rakyatnya, “Orang Israel lebih banyak dan lebih kuat daripada kita.+ 10 Marilah kita mencari jalan agar bilangan mereka tidak terus bertambah. Jika tidak, apabila peperangan berlaku, mereka akan bergabung dengan pihak musuh untuk menentang kita lalu meninggalkan negeri ini.”

11 Maka, orang Mesir melantik beberapa orang pengawas abdi untuk menindas orang Israel dengan kerja paksa.+ Orang Israel dipaksa membina kota Pitom dan Raamses, iaitu tempat Firaun* menyimpan perbekalannya.+ 12 Namun begitu, semakin keras orang Israel ditindas, semakin banyak bilangan mereka. Mereka semakin tersebar luas sehingga orang Mesir menjadi sangat takut kepada mereka.+ 13 Maka, orang Mesir memperhamba mereka dengan kejam.+ 14 Orang Mesir menyebabkan orang Israel menderita. Mereka memaksa orang Israel membuat batu bata dan campuran tanah liat serta berjerih lelah di ladang. Mereka memperhamba orang Israel dengan pelbagai jenis kerja paksa.+

15 Raja Mesir memberikan perintah kepada dua orang bidan Ibrani yang bernama Sifra dan Pua. 16 Dia berkata, “Apabila kamu menolong wanita Ibrani bersalin,+ bunuhlah bayinya jika bayi itu lelaki. Tetapi jika bayinya perempuan, biarkanlah bayi itu hidup.” 17 Namun bidan-bidan itu takut akan Tuhan yang benar. Mereka tidak mematuhi perintah raja Mesir dan membiarkan bayi-bayi lelaki terus hidup.+ 18 Maka raja Mesir memanggil mereka dan berkata, “Mengapa kamu membiarkan bayi-bayi lelaki terus hidup?” 19 Mereka menjawab, “Wanita Ibrani tidak seperti wanita Mesir. Mereka bertenaga dan sudah melahirkan anak sebelum bidan tiba.”

20 Oleh itu, Tuhan memperlakukan bidan-bidan itu dengan baik, dan orang Israel terus bertambah banyak dan menjadi sangat kuat. 21 Tuhan mengurniakan keturunan kepada bidan-bidan itu kerana mereka takut akan Tuhan. 22 Akhirnya Firaun memerintahkan semua rakyatnya, “Setiap bayi lelaki orang Ibrani yang baru lahir harus dibuang ke dalam Sungai Nil, tetapi setiap bayi perempuan boleh dibiarkan hidup.”+

2 Pada masa itu, seorang lelaki daripada suku Lewi mengahwini anak perempuan Lewi.+ 2 Wanita itu mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Apabila dia melihat betapa comelnya bayi itu, dia menyembunyikan bayinya selama tiga bulan.+ 3 Namun, apabila dia tidak dapat menyembunyikan bayinya lagi,+ dia mengambil sebuah bakul* yang diperbuat daripada papirus* dan menyalutnya dengan tar. Dia memasukkan bayinya ke dalam bakul itu lalu meletakkannya di tengah-tengah rumput tinggi di pinggir Sungai Nil. 4 Kakak bayi itu+ berdiri tidak jauh dari situ untuk melihat apa yang akan berlaku kepada bayi itu.

5 Puteri Firaun turun ke Sungai Nil untuk mandi, sementara dayang-dayangnya berjalan di tepi sungai. Dia ternampak bakul itu di tengah-tengah rumput tinggi, lalu dia segera memanggil seorang hamba perempuan untuk mengambilnya.+ 6 Dia membuka bakul itu dan nampak seorang bayi lelaki yang sedang menangis. Dia berkata, “Ini bayi orang Ibrani.” Meskipun demikian, dia berasa kasihan terhadap bayi itu. 7 Kemudian kakak bayi itu berkata kepada puteri Firaun, “Bolehkah hamba pergi memanggil seorang wanita Ibrani untuk menyusui dan menjaga anak ini?” 8 Puteri Firaun menjawab, “Baik, pergilah.” Gadis itu segera pergi dan memanggil ibu bayi tersebut.+ 9 Puteri Firaun berkata kepada wanita itu, “Bawalah anak ini dan susuilah dia untukku. Aku akan memberimu upah.” Maka wanita itu mengambil bayi tersebut dan menyusuinya. 10 Apabila anak itu sudah besar, wanita itu membawanya kepada puteri Firaun, lalu puteri Firaun menjadikan dia anak angkatnya.+ Puteri Firaun menamakannya Musa* sebab katanya, “Aku telah menariknya keluar dari air.”+

11 Apabila Musa sudah dewasa, dia pergi melawat saudara-saudaranya, dan dia melihat kerja berat yang terpaksa ditanggung oleh mereka.+ Dia juga nampak seorang lelaki Mesir memukul seorang lelaki Ibrani, iaitu orang yang sebangsa dengannya. 12 Musa melihat di sekelilingnya, dan apabila dia nampak tiada orang lain di situ, dia membunuh orang Mesir itu lalu menyembunyikan mayatnya di dalam pasir.+

13 Pada keesokan harinya, dia keluar lagi lalu melihat dua orang Ibrani sedang bergaduh. Maka dia berkata kepada orang yang bersalah, “Mengapakah kamu memukul saudaramu?”+ 14 Orang itu menjawab, “Siapakah yang melantik kamu untuk menjadi pemimpin dan hakim kami? Adakah kamu mahu membunuh aku seperti kamu membunuh orang Mesir itu?”+ Musa menjadi takut dan berfikir, “Pastilah hal itu sudah diketahui orang!”

15 Firaun mendengar hal itu dan mahu membunuh Musa. Tetapi Musa melarikan diri ke Midian dan tinggal di sana.+ Apabila dia tiba, Musa berehat dekat sebuah perigi. 16 Imam Midian+ mempunyai tujuh orang anak perempuan. Mereka datang untuk menimba air dan mengisi palung untuk memberi minum kepada ternakan ayah mereka. 17 Namun, seperti biasa para gembala datang dan mengusir mereka. Oleh itu, Musa berdiri untuk membantu mereka dan memberi minum kepada ternakan mereka. 18 Apabila mereka pulang, Rehuel,*+ ayah mereka bertanya, “Mengapa kamu cepat sekali pulang hari ini?” 19 Mereka menjawab, “Seorang lelaki Mesir+ telah menyelamatkan kami daripada gembala-gembala itu. Dia juga menimba air untuk kami dan memberi minum kepada ternakan kita.” 20 Bapa mereka berkata, “Di manakah orang itu? Mengapa kamu meninggalkannya? Pergilah jemput dia untuk makan bersama kita.” 21 Kemudian Musa bersetuju untuk tinggal dengan mereka. Rehuel mengahwinkan anak perempuannya Zipora,+ dengan Musa. 22 Zipora kemudiannya melahirkan seorang anak lelaki. Musa berkata, “Aku telah menjadi orang asing di negeri ini.+ Itulah sebabnya aku menamakan anak ini Gersom.”*+

23 Bertahun-tahun kemudian, raja Mesir meninggal.+ Tetapi orang Israel masih merintih dan berseru meminta tolong kerana diperhamba. Seruan mereka sampai kepada Tuhan yang benar.+ 24 Tuhan mendengar rintihan mereka.+ Dia tidak lupa akan perjanjian-Nya dengan Abraham, Ishak, dan Yakub.+ 25 Tuhan memperhatikan keadaan orang Israel dan Dia mengambil berat tentang mereka.

3 Musa menggembala ternakan bapa mentuanya, Yitro,+ imam Midian. Dia menggiring ternakan ke sebelah barat padang belantara, dan tiba di Horeb, iaitu gunung Tuhan yang benar.+ 2 Kemudian malaikat Yehuwa menampakkan diri kepadanya di dalam nyala api yang keluar dari pokok kecil.+ Musa memperhatikan pokok kecil itu bernyala, tetapi pokok itu tidak terbakar. 3 Jadi dia berkata, “Mengapakah pokok kecil ini tidak terbakar? Hal ini sangat luar biasa! Baik aku pergi memeriksanya.” 4 Yehuwa nampak dia mendekati pokok itu lalu memanggilnya dari tengah-tengah pokok itu, “Musa! Musa!” Dia menjawab, “Ya, aku di sini.” 5 Tuhan berfirman, “Jangan datang dekat-dekat. Tanggalkanlah kasutmu kerana engkau sedang berdiri di atas tanah yang suci.”

6 Kemudian Tuhan berfirman, “Akulah Tuhan nenek moyangmu. Aku Tuhan Abraham,+ Tuhan Ishak,+ dan Tuhan Yakub.”+ Lalu Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Tuhan yang benar. 7 Yehuwa menyambung, “Aku memang sudah melihat penderitaan umat-Ku di Mesir, dan Aku mendengar rintihan mereka kerana ditindas oleh pengawas abdi. Aku tahu benar kesakitan mereka.+ 8 Aku akan turun untuk menyelamatkan mereka daripada tangan orang Mesir+ dan memimpin mereka ke tanah yang subur dan luas, ke tanah yang melimpah dengan susu dan madu.+ Aku akan membawa mereka ke negeri orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebus.+ 9 Sesungguhnya rintihan orang Israel telah sampai kepada-Ku. Aku juga telah melihat bagaimana orang Mesir menindas mereka dengan kejam.+ 10 Sekarang marilah, Aku akan mengutus engkau kepada Firaun, dan engkau akan memimpin umat-Ku, orang Israel, keluar dari Mesir.”+

11 Namun Musa berkata kepada Tuhan yang benar, “Siapakah aku ini? Bagaimana mungkin aku dapat menghadap Firaun dan membawa orang Israel keluar dari Mesir?” 12 Tuhan menjawab, “Aku akan menyertai engkau.+ Inilah buktinya bahawa Aku telah mengutus engkau: Selepas engkau membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu semua akan beribadat kepada-Ku, Tuhan yang benar, di atas gunung ini.”+

13 Tetapi Musa berkata kepada Tuhan yang benar, “Jika aku pergi kepada orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Tuhan nenek moyang kamu telah mengutus aku kepada kamu,’ dan mereka bertanya, ‘Siapakah nama-Nya?’+ apakah yang harus aku katakan kepada mereka?” 14 Tuhan menjawab, “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan.”*+ Tuhan menyambung, “Inilah yang harus engkau katakan kepada orang Israel, ‘Tuhan yang nama-Nya bermaksud, “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan,” telah mengutus aku kepada kamu.’”+ 15 Sekali lagi, Tuhan berfirman,

“Inilah yang harus engkau katakan kepada orang Israel, ‘Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, Tuhan Abraham,+ Tuhan Ishak,+ dan Tuhan Yakub,+ telah mengutus aku kepada kamu.’ Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya.+ Dengan nama inilah Aku harus diingati dari generasi ke generasi. 16 Sekarang pergilah dan kumpulkanlah para pemimpin orang Israel dan beritahulah mereka, ‘Yehuwa, Tuhan nenek moyang kamu, Tuhan Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadaku. Dia berfirman, “Aku pasti akan menolong dan menyelamatkan kamu+ daripada penderitaan di Mesir. 17 Aku berjanji untuk membebaskan kamu daripada penindasan+ orang Mesir. Aku akan membawa kamu ke negeri orang Kanaan, Het, Amori,+ Feris, Hewi, dan Yebus,+ ke tanah yang melimpah dengan susu dan madu.”’+

18 “Mereka pasti akan mendengarkan kata-katamu.+ Kemudian bersama para pemimpin Israel, engkau harus menghadap raja Mesir dan berkata kepadanya, ‘Yehuwa, Tuhan orang Ibrani,+ telah menampakkan diri kepada kami. Oleh itu, izinkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang belantara untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa, Tuhan kami.’+ 19 Namun, Aku sendiri tahu bahawa raja Mesir tidak akan mengizinkan kamu pergi, kecuali dia dipaksa berbuat demikian.+ 20 Maka Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk menghukum Mesir dengan pelbagai perkara yang menakjubkan. Setelah itu dia akan menyuruh kamu pergi.+ 21 Aku akan menyebabkan umat-Ku dihormati oleh orang Mesir, sehingga kamu tidak akan meninggalkan Mesir dengan tangan kosong.+ 22 Setiap wanita mesti meminta barang perak dan emas serta pakaian daripada jiran dan wanita asing yang tinggal di rumahnya. Kamu akan mengenakan semua itu pada anak-anak kamu. Demikianlah kamu akan menjarah harta orang Mesir.”+

4 Tetapi Musa menjawab, “Namun, bagaimana pula jika mereka tidak percaya kepadaku dan tidak mendengarkan kata-kataku+ lalu berkata, ‘Yehuwa tidak menampakkan diri kepadamu’?” 2 Maka Yehuwa bertanya kepada Musa, “Apakah yang engkau pegang itu?” Musa menjawab, “Tongkat.” 3 Lalu Tuhan berfirman, “Campakkanlah tongkat itu ke tanah.” Musa pun mencampakkan tongkat itu ke tanah, lalu tongkat itu berubah menjadi seekor ular+ sehingga Musa berundur menjauhinya. 4 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu dan peganglah ekor ular itu.” Dia pun berbuat demikian, dan di dalam tangannya, ular itu berubah menjadi tongkat semula. 5 Tuhan berfirman lagi, “Buatlah demikian supaya mereka percaya bahawa Aku, Yehuwa, Tuhan nenek moyang mereka, Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub,+ telah menampakkan diri kepadamu.”+

6 Yehuwa berfirman kepada Musa sekali lagi, “Masukkanlah tanganmu ke dalam jubahmu.” Musa pun berbuat demikian, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya sudah menjadi putih seperti salji kerana terkena penyakit kusta.+ 7 Kemudian Tuhan berfirman, “Masukkan kembali tanganmu ke dalam jubahmu.” Maka Musa memasukkan kembali tangannya ke dalam jubahnya. Ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya sudah pulih! 8 Tuhan berfirman lagi, “Jika mereka tidak percaya kepadamu dan tidak mempedulikan mukjizat yang pertama, mereka pasti akan percaya apabila melihat mukjizat yang kedua.+ 9 Namun, jika mereka masih tidak percaya selepas melihat kedua-dua mukjizat ini dan tidak mahu mendengarkan kata-katamu, ambillah air dari Sungai Nil dan curahkanlah air itu ke tanah yang kering. Air itu akan berubah menjadi darah di tanah yang kering.”+

10 Musa berkata kepada Yehuwa, “Ampunilah aku, ya Yehuwa. Aku bukan orang yang fasih bercakap, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap dan lambat berkata-kata.”+ 11 Yehuwa berfirman, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang berkuasa membuat manusia bisu, tuli, celik, atau buta? Bukankah Aku, Yehuwa? 12 Maka pergilah. Aku akan menolong engkau berucap, dan Aku akan mengajar engkau apa yang harus engkau katakan.”+ 13 Namun Musa menjawab, “Ampunilah aku, ya Yehuwa. Utuslah orang lain, sesiapa sahaja yang Engkau inginkan.” 14 Yehuwa menjadi murka lalu berfirman, “Bagaimana pula dengan abangmu Harun,+ orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia fasih bercakap. Sebenarnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan hatinya akan bersukacita semasa berjumpa denganmu.+ 15 Engkau harus bercakap kepadanya dan menyampaikan firman-Ku kepadanya.+ Aku akan menyertai kamu berdua semasa kamu berucap.+ Aku akan mengajar kamu apa yang harus dilakukan. 16 Dia akan berkata-kata kepada umat-Ku bagi pihakmu. Dia akan menjadi jurucakapmu, dan engkau harus menjadi seperti Tuhan kepadanya.+ 17 Bawalah tongkat ini. Engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini.”+

18 Kemudian Musa balik ke rumah Yitro, bapa mentuanya.+ Musa berkata kepadanya, “Izinkanlah saya balik kepada saudara-saudara saya di Mesir. Saya ingin melihat keadaan mereka.” Yitro menjawab, “Pergilah dengan sejahtera.” 19 Ketika Musa masih di Midian, Yehuwa berfirman kepadanya, “Baliklah ke Mesir, kerana semua orang yang hendak membunuh engkau sudah meninggal.”+

20 Kemudian Musa menaikkan isterinya dan anak-anak lelakinya ke atas keldai, lalu mereka berangkat ke Mesir. Musa juga membawa tongkat Tuhan yang benar bersamanya. 21 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Aku telah memberi engkau kuasa untuk melakukan mukjizat. Setelah engkau tiba di Mesir, lakukanlah segala mukjizat itu di hadapan Firaun.+ Tetapi Aku akan membiarkan dia berkeras hati,+ sehingga dia tidak membenarkan umat-Ku pergi.+ 22 Katakanlah kepada Firaun, ‘Inilah firman Yehuwa: “Israel ialah anak-Ku, anak sulung-Ku.+ 23 Biarkanlah anak-Ku pergi agar dia dapat menyembah Aku. Tetapi jika engkau enggan berbuat demikian, Aku akan membunuh anakmu, anak sulungmu.”’”+

24 Dalam perjalanan mereka, di suatu tempat penginapan, Yehuwa*+ bertemu dengannya dan mencuba untuk membunuhnya.*+ 25 Oleh itu, Zipora+ mengambil batu yang tajam dan memotong kulup anaknya lalu menyentuhkannya pada kaki malaikat. Dia berkata, “Engkaulah pengantin lelaki darah bagiku.” 26 Maka, Tuhan tidak membunuhnya. (Zipora telah berkata, “pengantin lelaki darah bagiku,” kerana upacara sunat itu.)

27 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Harun, “Pergilah ke padang belantara untuk bertemu dengan Musa.”+ Jadi Harun pergi lalu berjumpa dengan Musa di gunung Tuhan yang benar,+ dan dia mencium Musa. 28 Musa memberitahu Harun segala yang telah difirmankan oleh Yehuwa.+ Musa juga memberitahukan segala mukjizat yang harus dilakukannya.+ 29 Selepas itu, Musa dan Harun pergi mengumpulkan semua pemimpin orang Israel.+ 30 Harun memberitahu mereka segala yang telah difirmankan oleh Yehuwa kepada Musa, dan Musa melakukan semua mukjizat itu+ di hadapan umat Israel. 31 Umat itu percaya+ lalu bersujud apabila mendengar bahawa Yehuwa telah memperhatikan mereka+ dan melihat penderitaan mereka.+

5 Selepas itu, Musa dan Harun pergi menghadap Firaun dan berkata, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Benarkanlah umat-Ku pergi ke padang belantara agar mereka dapat menyambut perayaan bagi-Ku.’” 2 Tetapi Firaun menjawab, “Siapa Yehuwa itu+ sehingga beta harus mendengarkan-Nya dan membenarkan orang Israel pergi?+ Beta langsung tidak kenal Yehuwa, dan beta tidak akan membenarkan orang Israel pergi.”+ 3 Mereka menjawab, “Tuhan orang Ibrani telah menampakkan diri kepada hamba berdua. Oleh itu, izinkanlah hamba semua pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang belantara untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa, Tuhan hamba semua.+ Jika hamba semua tidak melakukan hal ini, Dia akan membunuh hamba semua dengan wabak penyakit atau pedang.” 4 Raja Mesir berkata kepada Musa dan Harun, “Mengapa kamu membuat semua orang meninggalkan kerja mereka? Suruhlah mereka terus bekerja!”+ 5 Firaun menyambung, “Lihatlah betapa banyaknya bangsamu di negeri beta! Adakah kamu mahu mereka semua berhenti bekerja dan pergi dengan kamu?”

6 Pada hari itu juga, Firaun memberikan perintah kepada para pengawas abdi dan kepada mandur-mandur yang berbangsa Israel. Dia berkata, 7 “Jangan berikan jerami kepada orang Israel untuk membuat batu bata.+ Biarlah mereka mengumpulkan jerami sendiri. 8 Tetapi suruhlah mereka membuat batu bata sebanyak dahulu. Jangan kurangkan bilangannya walau seketul pun kerana mereka malas. Itulah sebabnya mereka berseru, ‘Kami ingin pergi mempersembahkan korban kepada Tuhan kami!’ 9 Paksalah mereka bekerja lebih keras. Pastikanlah mereka sibuk dan tidak menghiraukan kata-kata bohong.”

10 Maka mandur-mandur orang Israel dan pengawas-pengawas abdi+ keluar lalu berkata kepada orang Israel, “Inilah yang dikatakan oleh Firaun, ‘Beta tidak akan memberi kamu jerami lagi. 11 Kamu sendiri mesti pergi mencari jerami di mana sahaja kamu boleh mendapatinya. Tetapi kerja kamu tidak akan dikurangkan.’” 12 Maka orang Israel pun menjelajahi seluruh Mesir untuk mengumpulkan jerami dari ladang yang sudah dituai. 13 Pengawas-pengawas abdi terus mendesak mereka dengan berkata, “Kamu masing-masing mesti membuat batu bata sebanyak yang kamu buat pada masa kamu diberi jerami dahulu.” 14 Para pengawas itu juga memukul mandur-mandur orang Israel yang telah dilantik oleh mereka.+ Mereka berkata, “Mengapa kamu tidak membuat batu bata sebanyak dahulu? Hal ini telah berlaku kelmarin dan hari ini.”

15 Maka mandur-mandur orang Israel pergi menghadap Firaun dan mengadu, “Mengapakah tuanku memperlakukan hamba sekalian sedemikian? 16 Hamba sekalian tidak diberi jerami, tetapi hamba sekalian dipaksa membuat batu bata. Hamba sekalian dipukul, padahal pihak tuanku yang bersalah.” 17 Namun Firaun berkata, “Kamu memang malas! Ya, kamu memang malas!+ Itulah sebabnya kamu berkata, ‘Kami mahu pergi mempersembahkan korban kepada Yehuwa.’+ 18 Sekarang pergilah bekerja lagi! Jerami tidak akan diberikan kepada kamu, tetapi kamu mesti membuat batu bata sebanyak dahulu.”

19 Para mandur orang Israel sedar bahawa mereka ditimpa masalah yang besar kerana mereka telah diarahkan, “Setiap hari, kamu mesti tetap menghasilkan batu bata sebanyak dahulu.” 20 Setelah menghadap Firaun, mereka keluar lalu berjumpa dengan Musa dan Harun yang sedang menunggu mereka. 21 Mereka berkata kepada Musa dan Harun, “Semoga Yehuwa melihat apa yang telah kamu lakukan dan menghukum kamu, kerana kamu telah menyebabkan Firaun dan pegawai-pegawainya membenci kami. Kamu telah memberi mereka pedang untuk membunuh kami.”+ 22 Lalu Musa berseru kepada Yehuwa, “Ya Yehuwa, mengapakah Engkau menyebabkan umat-Mu menderita? Mengapakah Engkau mengutus aku? 23 Sejak aku menghadap Firaun dan berkata-kata atas nama-Mu,+ dia telah memperlakukan umat-Mu dengan lebih buruk.+ Namun Engkau sama sekali tidak menyelamatkan umat-Mu.”+

6 Jadi Yehuwa berfirman kepada Musa, “Sekarang engkau akan melihat apa yang akan Aku lakukan kepada Firaun.+ Aku akan menggunakan kuasa-Ku untuk memaksanya membenarkan umat-Ku pergi. Sesungguhnya, Aku akan menggunakan kuasa-Ku untuk memaksanya mengusir mereka keluar dari negerinya.”+

2 Tuhan berfirman kepada Musa, “Akulah Yehuwa. 3 Aku pernah menampakkan diri kepada Abraham, Ishak, dan Yakub, sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa.+ Tetapi berkaitan dengan nama-Ku, iaitu Yehuwa,+ Aku tidak menyatakan ertinya kepada mereka.*+ 4 Aku juga membuat perjanjian untuk memberi mereka tanah Kanaan, tempat mereka pernah tinggal sebagai orang asing.+ 5 Sekarang Aku telah mendengar rintihan umat Israel yang diperhamba oleh orang Mesir. Aku tidak lupa akan perjanjian-Ku.+

6 “Oleh itu, katakanlah kepada orang Israel, ‘Akulah Yehuwa. Aku akan membebaskan kamu daripada beban yang dikenakan oleh orang Mesir dan menyelamatkan kamu daripada perhambaan.+ Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk menyelamatkan kamu dan menjatuhkan hukuman berat atas Mesir.+ 7 Kamu akan menjadi umat-Ku, dan Aku akan menjadi Tuhan kamu.+ Sesungguhnya, kamu akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan kamu yang membebaskan kamu daripada beban yang dikenakan oleh orang Mesir. 8 Aku akan membawa kamu masuk ke tanah yang telah Aku janjikan untuk diberikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku telah bersumpah bahawa tanah itu akan menjadi warisan kamu.+ Akulah Yehuwa.’”+

9 Musa kemudiannya menyampaikan perkhabaran itu kepada orang Israel. Tetapi mereka tidak mendengarkannya kerana perhambaan yang kejam itu telah menyebabkan mereka tawar hati.+

10 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, 11 “Pergilah menghadap Firaun, raja Mesir, dan katakanlah bahawa dia harus membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya.” 12 Tetapi Musa berkata kepada Yehuwa, “Orang Israel sendiri pun enggan mendengarkan aku,+ apalagi Firaun. Aku tidak dapat berkata-kata dengan lancar.”+ 13 Sekali lagi, Yehuwa memberitahu Musa dan Harun apa yang harus dikatakan kepada orang Israel dan Firaun, raja Mesir, agar orang Israel dapat keluar dari Mesir.

14 Inilah senarai ketua puak dalam suku-suku Israel: Hanokh, Palu, Hezron, dan Karmi+ yang merupakan anak-anak lelaki Ruben, iaitu anak sulung Israel.+ Merekalah keturunan Ruben.

15 Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan Shaul yang merupakan anak-anak lelaki Simeon. Shaul ialah anak kepada seorang wanita Kanaan.+ Merekalah keturunan Simeon.

16 Gerson, Kehat, dan Merari+ yang merupakan anak-anak lelaki Lewi.+ Merekalah yang menjadi ketua-ketua puak dalam suku Lewi. Lewi hidup selama 137 tahun.

17 Anak-anak lelaki Gerson ialah Libni dan Simei. Mereka menjadi ketua dalam keluarga masing-masing.+

18 Anak-anak lelaki Kehat ialah Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel.+ Kehat hidup selama 133 tahun.

19 Anak-anak lelaki Merari ialah Mahli dan Musi.

Mereka semua ialah keturunan Lewi dan mereka menjadi ketua dalam keluarga masing-masing.+

20 Amram berkahwin dengan Yokhebed, saudara perempuan bapanya.+ Yokhebed melahirkan Harun dan Musa.+ Amram hidup selama 137 tahun.

21 Anak-anak lelaki Yizhar ialah Korah,+ Nefeg, dan Zikhri.

22 Anak-anak lelaki Uziel ialah Misael, Elsafan,+ dan Sitri.

23 Harun berkahwin dengan Eliseba, iaitu anak perempuan Aminadab. Eliseba ialah saudara perempuan Nahason.+ Eliseba melahirkan Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar.+

24 Anak-anak lelaki Korah ialah Asir, Elkana, dan Abiasaf.+ Merekalah keturunan Korah.+

25 Eleazar,+ iaitu anak lelaki Harun, berkahwin dengan salah seorang anak perempuan Putiel. Anak mereka ialah Pinehas.+

Mereka semua ialah keturunan Lewi dan mereka menjadi ketua dalam keluarga masing-masing.+

26 Itulah salasilah Harun dan Musa. Yehuwa telah berfirman kepada mereka, “Bawalah umat Israel keluar dari Mesir secara berkumpulan, seperti pasukan askar.”+ 27 Harun dan Musa+ inilah yang telah menghadap Firaun, raja Mesir, untuk membawa umat Israel keluar dari Mesir.

28 Pada hari Yehuwa berfirman kepada Musa di Mesir, 29 Yehuwa telah memberitahu Musa, “Akulah Yehuwa. Beritahulah Firaun, raja Mesir, segala yang Aku firmankan kepadamu.” 30 Tetapi Musa berkata kepada Yehuwa, “Aku tidak dapat berkata-kata dengan lancar. Jadi, mana mungkin Firaun akan mendengarkan kata-kataku?”+

7 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Aku telah menjadikan engkau seperti Tuhan kepada Firaun, dan abangmu Harun akan menjadi nabimu.+ 2 Beritahulah Harun segala perintah-Ku kepadamu. Harun akan mengatakannya kepada Firaun supaya dia membenarkan bangsa Israel meninggalkan negerinya. 3 Aku akan membiarkan Firaun berkeras hati,+ dan Aku akan melakukan banyak mukjizat dan perkara yang menakjubkan di Mesir.+ 4 Tetapi Firaun tidak akan mendengarkanmu. Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk menjatuhkan hukuman berat atas Mesir dan membebaskan umat-Ku, bangsa Israel. Mereka akan meninggalkan negeri Mesir secara berkumpulan, seperti pasukan askar.+ 5 Maka orang Mesir pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa+ apabila Aku menghukum mereka dan membebaskan orang Israel dari Mesir.” 6 Musa dan Harun melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa. Mereka melakukan semuanya seperti yang diperintahkan. 7 Musa berusia 80 tahun dan Harun berusia 83 tahun semasa mereka menghadap Firaun.+

8 Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun, 9 “Jika Firaun meminta kamu melakukan mukjizat sebagai bukti, katakanlah kepada Harun, ‘Ambillah tongkatmu dan campakkannya di hadapan Firaun.’ Tongkat itu akan berubah menjadi ular yang besar.”+ 10 Maka Musa dan Harun pergi menghadap Firaun dan melakukan semuanya seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan raja dan pegawai-pegawainya, lalu tongkat itu berubah menjadi ular yang besar. 11 Namun Firaun juga memanggil orang yang berilmu dan para tukang sihir di Mesir.+ Mereka melakukan perkara yang sama dengan ilmu sihir mereka.+ 12 Mereka mencampakkan tongkat mereka masing-masing, lalu tongkat-tongkat itu berubah menjadi ular yang besar. Tetapi ular* Harun menelan ular-ular mereka. 13 Meskipun demikian, Firaun tetap berkeras hati+ dan enggan mendengarkan Musa dan Harun, seperti yang sudah difirmankan oleh Yehuwa.

14 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Firaun sangat degil.+ Dia enggan membenarkan umat-Ku pergi. 15 Oleh itu, pergilah menghadap Firaun pada waktu pagi, semasa dia turun ke Sungai Nil. Bawalah tongkat itu yang pernah berubah menjadi ular+ dan tunggulah dia di tebing sungai. 16 Engkau mesti berkata, ‘Yehuwa, Tuhan orang Ibrani, telah mengutus aku kepadamu.+ Dia telah berfirman, “Benarkanlah umat-Ku pergi untuk beribadat kepada-Ku di padang belantara.” Namun engkau masih enggan mendengarkan firman itu. 17 Maka Yehuwa berfirman, “Engkau akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.+ Lihatlah! Aku akan memukul air Sungai Nil dengan tongkat-Ku, lalu airnya akan berubah menjadi darah. 18 Ikan di dalam Sungai Nil akan mati, dan sungai ini akan menjadi begitu busuk sehingga orang Mesir tidak dapat meminum airnya.”’”

19 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Ambillah tongkatmu dan hulurkannya ke atas sumber air di Mesir;+ ke arah sungai, saluran air,* paya,+ dan semua kolam di Mesir, supaya semuanya menjadi darah.’ Air di seluruh Mesir akan menjadi darah, bahkan air di dalam bekas kayu dan tempayan batu akan menjadi darah.” 20 Dengan segera Musa dan Harun berbuat seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa. Harun mengangkat tongkatnya dan memukul air Sungai Nil di hadapan Firaun dan pegawai-pegawainya, lalu air sungai itu berubah menjadi darah.+ 21 Ikan-ikan di dalam sungai itu mati,+ dan sungai itu mula berbau busuk. Orang Mesir tidak dapat meminum air dari Sungai Nil,+ dan terdapat darah di seluruh Mesir.

22 Namun tukang-tukang sihir Mesir melakukan hal yang sama dengan ilmu sihir mereka.+ Oleh itu, seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa, Firaun tetap berkeras hati dan enggan mendengarkan kata-kata Musa dan Harun.+ 23 Kemudian Firaun pulang ke istananya, dan dia langsung tidak menghiraukan perkara yang berlaku. 24 Maka semua orang Mesir menggali lubang di sekitar Sungai Nil untuk mendapatkan air minum, kerana mereka tidak dapat meminum air sungai itu. 25 Tujuh hari telah berlalu sejak Yehuwa mengubah air sungai itu menjadi darah.

8 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa: “Benarkanlah umat-Ku pergi agar mereka dapat menyembah Aku.+ 2 Jika engkau masih enggan berbuat demikian, Aku akan memenuhi negerimu dengan katak+ sebagai hukuman. 3 Sungai Nil akan penuh dengan katak, sehingga katak akan masuk ke istanamu, ke bilik tidur dan katilmu, ke rumah pegawaimu dan rakyatmu, bahkan ke dalam ketuhar dan bekas adunan roti.+ 4 Katak akan menyerangmu, rakyatmu, dan semua pegawaimu.”’”

5 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Ambillah tongkatmu dan hulurkannya ke arah sungai, saluran air Sungai Nil, dan paya, supaya katak muncul dan meliputi seluruh negeri Mesir.’” 6 Maka Harun menghulurkan tongkatnya ke arah sumber air di Mesir, lalu katak muncul dan meliputi seluruh negeri Mesir. 7 Akan tetapi, tukang-tukang sihir Mesir juga menggunakan ilmu sihir mereka dan menyebabkan katak muncul di seluruh negeri Mesir.+ 8 Firaun memanggil Musa dan Harun lalu berkata, “Mohonlah kepada Yehuwa supaya katak-katak ini meninggalkan beta dan rakyat beta,+ kerana beta sudi membenarkan umat Israel pergi untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa.” 9 Musa berkata kepada Firaun, “Hamba akan menurut perintah tuanku. Tuanku tentukanlah bila hamba patut merayu bagi pihak tuanku agar katak-katak ini meninggalkan tuanku, pegawai tuanku, rakyat tuanku, dan rumah-rumah tuanku. Tiada lagi yang akan tinggal kecuali katak di dalam Sungai Nil.” 10 Firaun menjawab, “Esok.” Jadi Musa berkata, “Segala-galanya akan terjadi menurut permintaan tuanku, agar tuanku tahu bahawa tiada sesiapa pun yang setanding Yehuwa,+ Tuhan hamba sekalian. 11 Katak-katak ini akan meninggalkan tuanku, rumah-rumah tuanku, pegawai tuanku, dan rakyat tuanku. Tiada lagi yang akan tinggal kecuali katak di dalam Sungai Nil.”+

12 Maka Musa dan Harun meninggalkan Firaun. Musa berseru kepada Yehuwa agar menghapuskan katak-katak yang didatangkan-Nya kepada Firaun.+ 13 Yehuwa mengabulkan permintaan Musa lalu katak-katak di dalam rumah, di halaman, dan di ladang, semuanya mati. 14 Orang Mesir mengumpulkan bangkai-bangkai katak itu sampai bertimbun-timbun, sehingga seluruh Mesir berbau busuk. 15 Apabila Firaun nampak bahawa semua katak sudah mati, dia berkeras hati+ semula dan enggan mendengarkan Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Yehuwa.

16 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Pukullah tanah dengan tongkatmu, dan debu akan berubah menjadi agas* di seluruh Mesir.’” 17 Mereka pun berbuat demikian. Harun menghulurkan tongkatnya dan memukul tanah, lalu debu di seluruh Mesir berubah menjadi agas+ yang menyerang manusia dan binatang. 18 Tukang-tukang sihir mencuba menggunakan ilmu sihir mereka+ untuk melakukan hal yang sama, tetapi mereka gagal. Maka manusia dan binatang diseksa agas. 19 Tukang-tukang sihir itu berkata kepada Firaun, “Kuasa suci Tuhan*+ yang membolehkan hal ini terjadi!” Namun Firaun tetap berkeras hati dan enggan mendengarkan Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Yehuwa.

20 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Bangunlah pada awal pagi esok dan pergilah menghadap Firaun, semasa dia pergi ke sungai. Engkau harus berkata, ‘Inilah firman Yehuwa: “Benarkanlah umat-Ku pergi untuk beribadat kepada-Ku. 21 Namun jika engkau enggan berbuat demikian, Aku akan mendatangkan lalat besar* kepadamu, para pegawaimu, dan rakyatmu. Rumah-rumah orang Mesir dan bahkan seluruh tanah Mesir akan diliputi lalat besar. 22 Pada hari itu, Aku akan mengasingkan kawasan Gosyen, tempat tinggal umat-Ku. Lalat besar tidak akan terdapat di sana.+ Dengan demikian, engkau akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, berkuasa atas seluruh bumi ini.+ 23 Aku akan membezakan umat-Ku daripada rakyatmu. Mukjizat ini akan berlaku pada hari esok.”’”

24 Yehuwa melakukan apa yang telah difirmankan-Nya. Dia mendatangkan lalat besar yang sangat banyak ke istana Firaun dan rumah para pegawainya serta di seluruh Mesir.+ Kawanan lalat besar itu menyerang seluruh Mesir.+ 25 Akhirnya Firaun memanggil Musa dan Harun lalu berkata, “Pergilah, persembahkanlah korban kepada Tuhan kamu di negeri beta.” 26 Tetapi Musa menjawab, “Hamba semua tidak boleh berbuat begitu. Orang Mesir akan tersinggung apabila melihat binatang yang hamba semua persembahkan kepada Yehuwa, Tuhan hamba semua.+ Jika hamba semua mempersembahkan korban yang menyinggung perasaan mereka, hamba semua akan direjam. 27 Hamba semua akan pergi sejauh tiga hari perjalanan ke padang belantara untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa, Tuhan hamba semua, seperti yang telah diperintahkan-Nya.”+

28 Lalu Firaun berkata, “Beta akan membenarkan kamu pergi untuk mempersembahkan korban kepada Yehuwa, Tuhan kamu, di padang belantara. Tetapi kamu tidak boleh pergi terlalu jauh. Buatlah permohonan untuk beta.”+ 29 Maka Musa berkata, “Hamba akan pergi dan berdoa kepada Yehuwa. Esok kawanan lalat besar itu akan meninggalkan tuanku, pegawai-pegawai tuanku, dan rakyat tuanku. Tetapi janganlah tipu hamba semua lagi dan menghalang hamba semua pergi mempersembahkan korban kepada Yehuwa.”+ 30 Kemudian Musa meninggalkan Firaun lalu berdoa kepada Yehuwa.+ 31 Yehuwa mengabulkan doa Musa. Semua lalat besar itu meninggalkan Firaun, pegawai-pegawainya, dan rakyatnya. Tidak ada seekor pun yang tertinggal. 32 Akan tetapi, Firaun masih berdegil, dan dia tidak membenarkan orang Israel pergi.

9 Maka Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Ibrani: “Benarkanlah umat-Ku pergi untuk beribadat kepada-Ku.+ 2 Tetapi jika engkau menghalang mereka dan enggan membenarkan mereka pergi, 3 Aku, Yehuwa, akan menghulurkan tangan-Ku+ untuk menyerang ternakanmu di padang. Kuda, keldai, unta, lembu, dan biri-birimu akan dijangkiti penyakit yang teruk.+ 4 Aku, Yehuwa, pasti akan membezakan ternakan orang Israel daripada ternakan orang Mesir. Tiada seekor pun ternakan orang Israel yang akan mati.”’”+ 5 Yehuwa telah menetapkan masa untuk melaksanakan hal ini. Dia berfirman, “Aku, Yehuwa, akan berbuat demikian di negeri ini pada hari esok.”

6 Yehuwa berbuat demikian pada keesokan harinya, dan semua ternakan orang Mesir mati.+ Tetapi tiada seekor pun ternakan orang Israel yang mati. 7 Apabila Firaun menanyakan apa yang telah berlaku, dia diberitahu bahawa tiada seekor pun ternakan orang Israel yang mati. Namun dia masih berdegil dan enggan membenarkan orang Israel pergi.+

8 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah abu dari relau dengan kedua-dua tangan kamu, dan Musa harus menghamburkannya ke udara di hadapan Firaun. 9 Abu itu akan menjadi debu halus yang tersebar ke seluruh Mesir, dan akan menimbulkan bisul yang bernanah pada manusia dan binatang di seluruh Mesir.”

10 Maka mereka mengambil abu dari relau dan pergi menghadap Firaun. Musa menghamburkannya ke udara, lalu abu itu menimbulkan bisul yang bernanah pada manusia dan binatang. 11 Tukang-tukang sihir tidak dapat bertemu dengan Musa kerana mereka diliputi bisul seperti orang Mesir yang lain.+ 12 Tetapi Yehuwa membiarkan Firaun berkeras hati. Dia tidak mendengarkan Musa dan Harun, seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa.+

13 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Bangunlah pada awal pagi esok dan pergilah menghadap Firaun lalu beritahulah dia, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Ibrani: “Benarkanlah umat-Ku pergi untuk beribadat kepada-Ku. 14 Jika tidak, Aku akan mendatangkan tulah kepadamu, para pegawaimu, dan rakyatmu. Dengan demikian, engkau akan tahu bahawa tiada sesiapa pun seperti Aku di seluruh bumi.+ 15 Sebenarnya, jika Aku menghulurkan tangan-Ku untuk menghukummu dan rakyatmu dengan wabak penyakit yang teruk, tentu kamu semua sudah lenyap dari muka bumi ini. 16 Namun Aku membenarkan engkau hidup supaya Aku dapat menunjukkan kuasa-Ku kepadamu, dan supaya nama-Ku diisytiharkan ke seluruh bumi.+ 17 Adakah engkau masih angkuh terhadap umat-Ku dan enggan membenarkan mereka pergi? 18 Kira-kira waktu ini esok, Aku akan menurunkan hujan batu yang dahsyat, yang belum pernah berlaku sepanjang sejarah Mesir. 19 Maka perintahkanlah agar ternakan dan segala milikmu yang berada di ladang dibawa ke tempat terlindung. Semua manusia dan binatang yang berada di luar dan tidak terlindung akan mati ditimpa hujan batu.”’”

20 Beberapa orang pegawai Firaun takut akan Yehuwa. Maka, mereka cepat-cepat membawa hamba dan ternakan mereka ke tempat yang terlindung. 21 Tetapi mereka yang tidak mempedulikan firman Yehuwa membiarkan hamba dan ternakan mereka di luar.

22 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit, lalu hujan batu akan turun di seluruh Mesir.+ Hujan ini akan menimpa manusia, ternakan, dan segala tumbuhan di Mesir.”+ 23 Maka Musa mengangkat tongkatnya ke arah langit, lalu Yehuwa mendatangkan guruh dan menurunkan hujan batu dan api.* Yehuwa terus membuat hujan batu turun di seluruh Mesir. 24 Hujan batu turun, dan kilat sabung-menyabung. Hujan batu yang dahsyat ini belum pernah berlaku sepanjang sejarah Mesir.+ 25 Hujan batu yang turun di seluruh Mesir memusnahkan segala sesuatu yang berada di luar, termasuk manusia, ternakan, dan tumbuhan. Pokok-pokok di ladang pun tumbang akibat hujan batu itu.+ 26 Hanya kawasan Gosyen, tempat tinggal orang Israel, tidak ditimpa hujan batu.+

27 Oleh itu Firaun memanggil Musa dan Harun lalu berkata, “Kali ini beta sudah berdosa. Yehuwa melakukan apa yang benar. Beta dan rakyat beta bersalah. 28 Berdoalah kepada Yehuwa supaya guruh dan hujan batu berhenti. Setelah itu beta akan membenarkan kamu pergi, dan kamu tidak akan tinggal di sini lagi.” 29 Musa berkata kepadanya, “Sebaik sahaja hamba keluar dari kota, hamba akan menadahkan tangan untuk berdoa kepada Yehuwa. Guruh dan hujan batu akan berhenti, dan tuanku akan tahu bahawa bumi ini milik Yehuwa.+ 30 Meskipun begitu, hamba tahu bahawa tuanku dan pegawai-pegawai tuanku tidak akan takut kepada Yehuwa.”

31 Pada masa itu, tanaman flaks* dan barli musnah, kerana barli sudah matang dan flaks sedang berbunga. 32 Tetapi gandum* tidak musnah kerana belum matang. 33 Kemudian Musa meninggalkan Firaun dan keluar dari kota itu. Dia menadahkan tangannya untuk berdoa kepada Yehuwa, lalu guruh, hujan batu, dan hujan pun berhenti.+ 34 Apabila Firaun nampak bahawa hujan, guruh, dan hujan batu sudah berhenti, dia berdosa sekali lagi kerana dia berkeras hati.+ Ya, dia dan para pegawainya tetap berkeras hati. 35 Sebagaimana yang difirmankan oleh Yehuwa melalui Musa, Firaun tetap berdegil dan enggan membenarkan orang Israel pergi.+

10 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun kerana Aku telah membiarkan dia dan para pegawainya berkeras hati.+ Dengan itu, Aku dapat melakukan mukjizat-mukjizat-Ku di hadapannya.+ 2 Maka engkau dapat memberitahu keturunanmu tentang hukuman berat yang Aku jatuhkan atas Mesir dan mukjizat-mukjizat yang Aku lakukan dalam kalangan mereka.+ Demikianlah kamu semua akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.”

3 Oleh itu, Musa dan Harun pergi menghadap Firaun dan berkata kepadanya, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Ibrani: ‘Untuk berapa lamakah engkau akan menentang Aku?+ Benarkanlah umat-Ku pergi agar mereka dapat menyembah Aku. 4 Jika engkau masih enggan membenarkan umat-Ku pergi, Aku akan mendatangkan belalang juta ke negerimu pada hari esok. 5 Seluruh permukaan tanah akan diliputi belalang juta sehingga permukaan tanah tidak dapat dilihat. Belalang ini akan memakan apa sahaja yang belum dimusnahkan hujan batu, termasuk semua pokok di ladang.+ 6 Belalang juta akan memenuhi istanamu, rumah semua pegawaimu, dan semua rumah di Mesir. Bencana ini akan lebih dahsyat daripada apa yang pernah terjadi sejak zaman nenek moyangmu sehingga hari ini.’”+ Kemudian Musa berpaling lalu pergi.

7 Kemudian para pegawai Firaun berkata kepada Firaun, “Untuk berapa lamakah orang ini akan mendatangkan kesusahan kepada kita? Benarkanlah mereka pergi untuk beribadat kepada Yehuwa, Tuhan mereka. Tidakkah tuanku sedar bahawa Mesir sudah hancur?” 8 Maka Firaun memanggil Musa dan Harun lalu berkata kepada mereka, “Pergilah beribadat kepada Yehuwa, Tuhan kamu. Tetapi siapakah yang akan pergi?” 9 Musa menjawab, “Hamba sekalian akan pergi, termasuk orang muda, orang tua, anak lelaki, dan anak perempuan hamba sekalian. Hamba sekalian juga akan membawa kawanan biri-biri dan lembu,+ kerana hamba sekalian akan menyambut perayaan untuk Yehuwa.”+ 10 Firaun berkata, “Sekiranya beta membenarkan kamu dan anak-anak kamu pergi, kamu pasti akan berkata bahawa Yehuwa menyertai kamu!+ Jelaslah, kamu semua berniat jahat. 11 Tidak! Hanya kaum lelaki yang boleh pergi untuk beribadat kepada Yehuwa, kerana itulah yang kamu mahu.” Selepas itu, mereka dihalau dari hadapan Firaun.

12 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas Mesir untuk mendatangkan belalang juta. Belalang juta akan datang untuk memakan segala tumbuhan di Mesir yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu.” 13 Musa segera mengangkat tongkatnya, dan Yehuwa menyebabkan angin timur bertiup ke negeri itu sepanjang hari dan sepanjang malam. Menjelang pagi, angin timur telah membawa belalang juta. 14 Belalang juta datang dan meliputi seluruh Mesir.+ Keadaannya begitu teruk sehingga seluruh negeri penuh dengan belalang.+ Orang belum pernah melihat belalang juta sebegitu banyak, dan selepas itu, hal sedemikian tidak terjadi lagi. 15 Belalang juta meliputi semua permukaan tanah sehingga negeri itu menjadi gelap. Belalang memakan semua tanaman di ladang dan buah di pokok yang tidak dimusnahkan oleh hujan batu. Tiada sehelai rumput atau daun hijau pun yang tertinggal di seluruh Mesir.

16 Maka Firaun segera memanggil Musa dan Harun lalu berkata, “Beta telah berdosa terhadap Yehuwa, Tuhan kamu, dan terhadap kamu. 17 Ampunkanlah dosa beta kali ini saja. Berdoalah kepada Yehuwa, Tuhan kamu, agar Dia menjauhkan tulah yang dahsyat ini daripada beta.” 18 Kemudian Musa meninggalkan Firaun lalu berdoa kepada Yehuwa.+ 19 Maka Yehuwa mengubah arah angin timur sehingga menjadi angin barat yang kencang. Belalang juta ditiup oleh angin barat dan dibawa ke Laut Merah. Tiada seekor belalang pun yang tertinggal di seluruh Mesir. 20 Namun Yehuwa membiarkan Firaun berkeras hati+ sehingga dia enggan membenarkan orang Israel pergi.

21 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Angkatlah tanganmu ke arah langit supaya kegelapan yang sangat pekat menyelubungi seluruh Mesir.” 22 Musa segera mengangkat tangannya ke arah langit, maka kegelapan yang sangat pekat menyelubungi seluruh Mesir selama tiga hari.+ 23 Orang Mesir tidak dapat melihat satu sama lain, dan tiada seorang pun yang keluar dari tempat tinggal mereka selama tiga hari. Namun tempat tinggal orang Israel tetap terang.+ 24 Kemudian Firaun memanggil Musa lalu berkata, “Pergilah beribadat kepada Yehuwa.+ Anak-anak kamu pun boleh pergi. Tetapi kamu tidak boleh membawa bebiri dan lembu kamu.” 25 Musa berkata, “Tidak, tuanku juga harus membenarkan hamba semua membawa binatang untuk dipersembahkan sebagai korban kepada Yehuwa, Tuhan hamba semua.+ 26 Hamba semua mesti membawa semua ternakan. Tidak ada seekor pun yang boleh ditinggalkan, kerana hamba semua akan memilih beberapa ekor binatang untuk beribadat kepada Yehuwa, Tuhan hamba semua. Hamba semua tidak tahu apa yang hendak dipersembahkan kepada Yehuwa selagi hamba semua belum tiba di sana.” 27 Maka Yehuwa membiarkan Firaun berkeras hati sehingga dia tidak membenarkan orang Israel pergi.+ 28 Firaun berkata kepada Musa, “Berambuslah dari sini! Jangan menghadap beta lagi! Jika kamu menghadap beta lagi, kamu akan mati.” 29 Musa menjawab, “Seperti yang tuanku perintahkan, hamba tidak akan menghadap tuanku lagi.”

11 (Yehuwa telah pun berfirman kepada Musa, “Aku akan mendatangkan satu lagi tulah kepada Firaun dan orang Mesir. Setelah itu, dia akan membenarkan kamu pergi.+ Malah, dia pasti akan mengusir kamu dari sini.+ 2 Maka suruhlah setiap lelaki dan wanita Israel untuk meminta barang emas dan perak daripada jiran mereka.”+ 3 Yehuwa menyebabkan orang Mesir menghormati orang Israel. Para pegawai Firaun dan rakyat Mesir juga sangat menghormati Musa.)

4 Musa menyambung, “Inilah firman Yehuwa: ‘Pada waktu tengah malam, Aku akan pergi ke negeri Mesir,+ 5 dan setiap anak sulung di Mesir akan mati,+ daripada putera sulung Firaun yang duduk di atas takhta, sehingga anak sulung hamba perempuan yang mengisar biji-bijian. Anak sulung semua ternakan juga akan mati.+ 6 Tangisan yang kuat akan terdengar di seluruh Mesir. Hal ini belum pernah terjadi dan tidak akan terjadi lagi.+ 7 Tetapi tiada perkara buruk yang akan menimpa orang Israel* ataupun ternakan mereka. Dengan demikian, kamu akan tahu bahawa Yehuwa dapat membuat perbezaan antara orang Mesir dengan orang Israel.’+ 8 Semua pegawai tuanku akan datang dan bersujud di hadapan hamba lalu berkata, ‘Pergilah, kamu dan seluruh bangsamu.’+ Selepas itu, hamba akan pergi.” Lalu dengan sangat marah, Musa meninggalkan Firaun.

9 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Firaun tidak akan mendengarkan engkau+ supaya Aku dapat melakukan lebih banyak mukjizat di Mesir.”+ 10 Musa dan Harun melakukan segala mukjizat itu di hadapan Firaun.+ Namun Yehuwa membiarkan Firaun berkeras hati, sehingga dia enggan membenarkan orang Israel pergi dari negerinya.+

12 Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun di Mesir, 2 “Bulan ini akan menjadi bulan pertama bagimu dalam setahun. Setiap tahun harus bermula dengan bulan tersebut.+ 3 Sampaikanlah perintah ini kepada segenap umat Israel, ‘Pada hari ke-10 bulan ini, setiap orang harus memilih seekor biri-biri+ untuk keluarganya. Setiap keluarga harus mendapatkan seekor biri-biri. 4 Jika sebuah keluarga terlalu kecil dan tidak dapat menghabiskan seekor biri-biri, mereka boleh memakannya di dalam sebuah rumah bersama jiran yang terdekat. Biri-biri itu harus dibahagikan menurut jumlah orang yang memakannya. 5 Kamu boleh memilih seekor biri-biri ataupun seekor kambing, tetapi binatang itu mesti jantan yang berumur satu tahun, dan yang tidak ada kecacatan.+ 6 Kamu harus menjaga binatang itu sehingga hari ke-14 bulan ini.+ Pada waktu senja,*+ setiap keluarga dalam kalangan umat Israel harus menyembelih binatang masing-masing. 7 Mereka harus mengambil sedikit darah binatang itu dan memercikkannya pada kedua-dua batang tiang pintu dan pada ambang pintu rumah, tempat mereka memakan binatang itu.+

8 “‘Pada malam itu,+ mereka harus memakan daging yang dipanggang atas api, bersama sayur pahit+ dan roti tidak beragi.+ 9 Daging itu harus dipanggang seluruhnya, lengkap dengan kepala, kaki, dan organ dalaman. Makanlah daging yang sudah dipanggang itu. Jangan makan daging yang mentah atau yang direbus. 10 Jangan tinggalkan sedikit pun daripada daging itu sehingga pagi. Apa-apa sahaja yang tertinggal sehingga pagi esok haruslah dibakar.+ 11 Semasa kamu makan, kamu harus sudah memakai tali pinggang dan kasut, serta memegang tongkat. Kamu harus makan cepat-cepat. Inilah Perayaan Paska* bagi Aku, Yehuwa. 12 Pada malam itu, Aku akan pergi ke Mesir dan membunuh setiap anak sulung, baik anak sulung manusia mahupun anak sulung binatang.+ Aku akan menghukum semua dewa orang Mesir.+ Akulah Yehuwa. 13 Darah pada tiang pintu akan menjadi tanda bagi rumah kamu. Semasa Aku melihat darah itu, Aku akan melewati rumah kamu dan tidak memasukinya. Tulah yang Aku datangkan untuk menghukum Mesir tidak akan memusnahkan kamu.+

14 “‘Kamu dan keturunan kamu harus mengingati hari ini dan menyambutnya sebagai perayaan bagi Aku, Yehuwa. Kamu mesti sentiasa menyambut perayaan ini. 15 Kamu harus memakan roti yang tidak beragi selama tujuh hari.+ Pada hari pertama, kamu harus membuang segala ragi yang ada di dalam rumah kamu. Sepanjang tujuh hari itu, sesiapa yang memakan apa sahaja yang beragi mesti dihukum mati. 16 Pada hari pertama dan hari ketujuh, kamu harus berkumpul untuk beribadat kepada-Ku. Pada kedua-dua hari itu, kamu tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan,+ kecuali menyediakan makanan yang diperlukan.

17 “‘Kamu mesti merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi,+ kerana pada hari inilah Aku akan membawa kamu keluar dari Mesir secara berkumpulan, seperti pasukan askar. Kamu mesti sentiasa menyambut perayaan ini secara turun-temurun. 18 Dari petang hari ke-14 sehingga petang hari ke-21 bulan pertama, kamu harus memakan roti yang tidak beragi.+ 19 Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu, kerana sesiapa yang memakan roti yang beragi akan dihukum mati,+ baik orang asing mahupun orang Israel.+ 20 Di mana pun kamu tinggal, kamu harus memakan roti yang tidak beragi. Kamu tidak boleh memakan apa-apa pun yang beragi.’”

21 Musa segera mengumpulkan para pemimpin orang Israel+ dan berkata, “Pergilah dan pilihlah anak biri-biri atau anak kambing untuk keluarga masing-masing. Sembelihlah binatang itu sebagai korban Paska. 22 Kemudian kamu harus mencelup seikat rumput hisop ke dalam bekas yang berisi darah binatang itu, lalu percikkan darah itu pada kedua-dua batang tiang pintu dan ambang pintu rumah. Tiada seorang pun boleh keluar dari rumahnya sehingga pagi. 23 Yehuwa akan menjelajahi Mesir untuk menghukum orang Mesir. Apabila Dia nampak darah pada tiang pintu dan ambang pintu rumah kamu, Yehuwa akan melewati rumah kamu dan kamu tidak akan ditimpa tulah yang membawa kematian.+

24 “Kamu dan keturunan kamu mesti sentiasa mematuhi peraturan ini.+ 25 Apabila kamu masuk ke tanah yang telah dijanjikan oleh Yehuwa kepada kamu, kamu mesti menyambut perayaan ini.+ 26 Apabila anak-anak kamu bertanya, ‘Apakah makna perayaan ini?’+ 27 kamu harus menjawab, ‘Kita mempersembahkan korban Paska kepada Yehuwa kerana Dia telah melewati rumah orang Israel di Mesir. Dia mendatangkan tulah kepada orang Mesir, tetapi menyelamatkan keluarga kita.’”

Kemudian mereka semua bersujud. 28 Umat Israel melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa dan Harun.+ Mereka melakukan semuanya seperti yang diperintahkan.

29 Pada tengah malam, Yehuwa membunuh setiap anak sulung di seluruh Mesir,+ daripada putera sulung Firaun yang duduk di atas takhta, sehingga anak sulung orang tawanan di dalam penjara. Semua anak sulung binatang pun dibunuh.+ 30 Pada malam itu, Firaun dan semua pegawainya serta semua orang Mesir terjaga. Tangisan yang kuat terdengar di seluruh Mesir kerana di setiap rumah terdapat kematian.+ 31 Pada malam itu juga Firaun memanggil Musa dan Harun+ lalu berkata, “Pergilah, kamu dan semua orang Israel! Tinggalkanlah negeri beta! Pergilah menyembah Yehuwa, seperti yang kamu minta.+ 32 Bawalah ternakan kamu dan pergi, seperti yang kamu minta.+ Tetapi mohonlah berkat untuk beta juga.”

33 Orang Mesir mendesak orang Israel agar meninggalkan negeri mereka dengan segera.+ Mereka berkata, “Jika kamu tidak pergi, kami semua akan mati!”+ 34 Maka orang Israel mengambil adunan tepung yang tidak beragi bersama bekas adunannya, membungkusnya dengan kain, lalu menyandangnya pada bahu mereka. 35 Orang Israel melakukan apa yang diperintahkan oleh Musa. Mereka meminta barang perak dan emas serta pakaian daripada orang Mesir.+ 36 Yehuwa menyebabkan orang Israel dihormati oleh orang Mesir sehingga orang Mesir memberikan apa sahaja yang diminta oleh mereka. Demikianlah mereka menjarah harta orang Mesir.+

37 Kemudian orang Israel berangkat dari Rameses+ ke Sukot.+ Lelaki yang berjalan kaki berjumlah kira-kira 600,000 orang, tidak termasuk kanak-kanak.+ 38 Orang Israel membawa banyak sekali ternakan, termasuk biri-biri dan lembu. Sekumpulan besar orang daripada bangsa-bangsa lain*+ juga pergi bersama mereka. 39 Mereka membakar adunan yang dibawa dari Mesir menjadi kepingan roti tidak beragi yang berbentuk bulat. Mereka tidak sempat menyediakan roti yang beragi dan bekalan makanan yang lain, kerana mereka diusir dari Mesir secara tiba-tiba.+

40 Orang Israel yang keluar dari Mesir, telah tinggal di negeri asing+ selama 430 tahun.*+ 41 Apabila genap tahun yang ke-430, ya, pada hari terakhir itu, semua umat Yehuwa keluar dari Mesir secara berkumpulan, seperti pasukan askar. 42 Pada malam itu, Yehuwa membawa mereka keluar dari Mesir. Maka umat Israel dan keturunan mereka harus memperingati malam itu dengan menyambut perayaan bagi Yehuwa.+

43 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun, “Inilah peraturan untuk Perayaan Paska: Orang asing tidak boleh memakan korban Paska.+ 44 Tetapi hamba yang kamu beli boleh memakan korban Paska, jika dia sudah disunat.+ 45 Penduduk sementara dan buruh upahan tidak boleh memakan korban Paska. 46 Korban Paska hanya boleh dimakan di dalam rumah. Kamu tidak boleh membawa dagingnya keluar dari rumah, dan kamu juga tidak boleh mematahkan satu pun daripada tulangnya.+ 47 Segenap umat Israel mesti menyambut perayaan ini. 48 Jika orang asing yang tinggal bersama kamu ingin menyambut Perayaan Paska bagi Aku, Yehuwa, semua lelaki dalam keluarganya mesti disunat. Selepas itu barulah dia boleh menyambutnya, dan dia akan dianggap sebagai orang Israel asli. Tetapi lelaki yang tidak disunat tidak boleh memakan korban Paska.+ 49 Peraturan yang sama berlaku bagi kamu dan orang asing dalam kalangan kamu.”+

50 Orang Israel melakukan segala yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa dan Harun. Mereka melakukan semuanya seperti yang diperintahkan. 51 Pada hari itu, Yehuwa membawa orang Israel keluar dari Mesir secara berkumpulan, seperti pasukan askar.

13 Yehuwa berfirman kepada Musa, 2 “Khaskanlah setiap anak lelaki sulung dalam kalangan orang Israel untuk-Ku. Setiap anak lelaki sulung orang Israel, dan setiap anak jantan sulung ternakan mereka merupakan milik-Ku.”+

3 Kemudian Musa berkata kepada orang Israel, “Ingatlah akan hari ini, iaitu hari kamu meninggalkan Mesir,+ tempat kamu diperhamba. Yehuwa telah membawa kamu keluar dengan tangan-Nya yang berkuasa.+ Maka kamu tidak boleh memakan apa-apa yang beragi. 4 Hari ini, dalam bulan Abib,*+ kamu meninggalkan Mesir. 5 Yehuwa telah berjanji kepada nenek moyang kamu untuk memberi kamu+ tanah orang Kanaan, Het, Amori, Hewi, dan Yebus.+ Selepas Tuhan membawa kamu ke tanah yang melimpah dengan susu dan madu itu,+ kamu harus menyambut perayaan ini pada bulan Abib setiap tahun. 6 Selama tujuh hari, kamu mesti memakan roti yang tidak beragi.+ Pada hari yang ketujuh, kamu harus mengadakan perayaan bagi Yehuwa. 7 Kamu harus memakan roti yang tidak beragi selama tujuh hari.+ Kamu tidak boleh memiliki ragi atau apa-apa yang beragi+ di seluruh negeri kamu. 8 Pada hari itu, kamu harus memberitahu anak kamu, ‘Aku melakukan semua ini untuk memperingati perkara-perkara baik yang dilakukan oleh Yehuwa untukku semasa aku meninggalkan Mesir.’+ 9 Perayaan ini akan menjadi seperti tanda pada tangan dan dahi kamu,+ yang akan mengingatkan kamu untuk mengisytiharkan hukum Yehuwa. Hal ini demikian kerana Yehuwa telah membawa kamu keluar dari Mesir dengan tangan-Nya yang berkuasa. 10 Patuhilah peraturan untuk menyambut perayaan ini pada masa yang ditetapkan setiap tahun.+

11 “Yehuwa telah bersumpah kepada kamu dan nenek moyang kamu bahawa Dia akan memberikan tanah Kanaan kepada kamu.+ Apabila Dia membawa kamu ke tanah itu kelak, 12 kamu mesti mempersembahkan setiap anak lelaki sulung dan anak jantan sulung ternakan kamu kepada Yehuwa. Semua anak sulung milik Yehuwa.+ 13 Setiap anak sulung keldai harus ditebus dengan seekor biri-biri. Jika tidak, kamu harus mematahkan leher keldai itu. Setiap anak lelaki sulung kamu juga harus ditebus.+

14 “Pada masa hadapan, jika anak kamu bertanya, ‘Apakah makna semua ini?’ kamu harus menjawab, ‘Dengan tangan-Nya yang berkuasa, Yehuwa telah membawa kita keluar dari Mesir, tempat kita diperhamba.+ 15 Apabila Firaun berdegil dan enggan membenarkan kita pergi,+ Yehuwa membunuh setiap anak sulung di Mesir, baik anak sulung manusia mahupun anak sulung ternakan.+ Itulah sebabnya kita mempersembahkan setiap anak sulung ternakan kepada Yehuwa dan menebus setiap anak sulung kita.’ 16 Perayaan ini akan menjadi seperti tanda pada tangan dan dahi kita,+ kerana Yehuwa telah membawa kita keluar dari Mesir dengan tangan-Nya yang berkuasa.”

17 Apabila Firaun membenarkan orang Israel pergi, Tuhan tidak memimpin mereka melalui jalan yang merentasi tanah orang Filistin, walaupun jalan itu lebih pendek. Hal ini demikian kerana Tuhan berfirman, “Umat ini mungkin akan mengubah fikiran dan ingin kembali ke Mesir apabila mereka terpaksa berperang.” 18 Maka Tuhan memimpin umat itu mengelilingi padang belantara lalu menuju ke Laut Merah.+ Orang Israel meninggalkan Mesir secara teratur seperti pasukan askar. 19 Musa telah membawa tulang-tulang Yusuf bersama, kerana Yusuf pernah menyuruh orang Israel bersumpah untuk berbuat demikian. Dia berkata, “Tuhan pasti akan memperhatikan kamu, dan kamu mesti membawa tulang-tulangku bersama kamu.”+ 20 Mereka berangkat dari Sukot lalu berkhemah di Etham, yang terletak di pinggir padang belantara.

21 Pada siang hari, Yehuwa berada di hadapan mereka dan memimpin mereka dengan tiang awan.+ Pada malam hari, Dia memimpin mereka dengan tiang api untuk memberikan cahaya kepada mereka. Dengan itu, mereka dapat meneruskan perjalanan pada waktu siang dan malam.+ 22 Tiang awan itu tetap berada di hadapan mereka pada siang hari, dan tiang api itu tetap berada di hadapan mereka pada malam hari.+

14 Yehuwa berfirman kepada Musa, 2 “Suruhlah orang Israel berpatah balik dan berkhemah di hadapan Pihahirot, yang terletak di antara laut* dengan Migdol. Kamu harus berkhemah di tepi laut, berdekatan Baal-zefon.+ 3 Maka Firaun akan berkata, ‘Orang Israel sudah sesat dan tidak tahu jalan keluar dari padang belantara.’ 4 Aku akan membiarkan Firaun berkeras hati+ sehingga dia mengejar kamu. Aku akan dimuliakan apabila Aku mengalahkan Firaun dan tenteranya.+ Dengan demikian, orang Mesir pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.”+ Orang Israel melakukan semua yang diperintahkan kepada mereka.

5 Apabila raja Mesir diberitahu bahawa orang Israel sudah melarikan diri, Firaun dan para pegawainya segera mengubah fikiran.+ Mereka berkata, “Apa yang telah kita buat? Mengapa kita membebaskan orang Israel daripada perhambaan?” 6 Firaun pun mempersiapkan kereta kuda dan pasukan tenteranya.+ 7 Dia berangkat dengan semua kereta kudanya yang dipandu oleh para pahlawan, termasuk 600 buah kereta kuda yang terbaik di Mesir. 8 Yehuwa membiarkan Firaun, raja Mesir, berkeras hati sehingga dia mengejar orang Israel yang sedang meninggalkan Mesir dengan penuh keberanian.+ 9 Semua kereta kuda, askar berkuda, dan seluruh angkatan tentera Firaun mengejar orang Israel.+ Mereka semakin dekat dengan orang Israel yang sedang berkhemah di hadapan Pihahirot, yang terletak di tepi laut, berdekatan Baal-zefon.

10 Apabila orang Israel nampak bahawa Firaun dan angkatan tenteranya semakin dekat, mereka menjadi takut lalu berseru kepada Yehuwa meminta tolong.+ 11 Mereka berkata kepada Musa, “Di Mesir tidak ada kuburankah sehingga kamu perlu membawa kami ke padang belantara untuk mati?+ Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir? 12 Semasa di Mesir, bukankah kami sudah berkata, ‘Jangan ganggu kami. Biarlah kami menjadi hamba orang Mesir’? Lebih baik kami menjadi hamba orang Mesir daripada mati di padang belantara.”+ 13 Musa berkata kepada mereka, “Janganlah takut!+ Teguhkanlah hati kamu dan lihatlah bagaimana Yehuwa akan menyelamatkan kamu pada hari ini.+ Kamu tidak akan melihat semua orang Mesir itu lagi.+ 14 Yehuwa akan berjuang untuk kamu.+ Kamu hanya perlu menunggu dengan sabar.”*

15 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Mengapakah engkau terus berseru kepada-Ku? Beritahulah orang Israel supaya meneruskan perjalanan mereka. 16 Angkatlah tongkatmu dan hulurkannya ke atas laut. Air laut akan terbelah, dan umat Israel akan menyeberangi laut di atas tanah yang kering. 17 Tetapi Aku akan membiarkan orang Mesir berkeras hati sehingga mereka terus mengejar orang Israel. Dengan demikian, Aku akan dimuliakan apabila Aku mengalahkan Firaun, kereta kudanya, askar berkudanya, dan semua tenteranya.+ 18 Sesungguhnya orang Mesir akan tahu bahawa Akulah Yehuwa apabila Aku memuliakan diri-Ku dengan mengalahkan Firaun, kereta kudanya, dan askar berkudanya.”+

19 Kemudian malaikat Tuhan yang benar,+ yang sedang memimpin orang Israel, berpindah ke belakang mereka. Tiang awan yang berada di hadapan juga berpindah ke belakang mereka.+ 20 Tiang awan itu berhenti di antara orang Mesir dengan orang Israel.+ Sebelah awan itu membawa kegelapan, yang sebelah lagi menerangi malam.+ Maka sepanjang malam itu, orang Mesir tidak dapat menghampiri orang Israel.

21 Musa menghulurkan tangannya ke atas laut,+ dan Yehuwa menyebabkan angin timur yang kencang bertiup sepanjang malam. Maka secara perlahan-lahan, air laut mula terbelah+ dan dasar laut pun menjadi kering.+ 22 Air laut menjadi seperti dinding di kedua-dua belah orang Israel.+ Oleh itu mereka dapat menyeberangi laut di atas tanah yang kering.+ 23 Orang Mesir terus mengejar mereka. Semua kereta kuda dan askar berkuda Firaun mengejar orang Israel sampai ke tengah laut.+ 24 Pada waktu subuh,* dari tiang api dan tiang awan,+ Yehuwa melihat tentera Mesir lalu mengacau-bilaukan mereka. 25 Dia menyebabkan roda kereta kuda mereka tercabut sehingga susah bergerak. Maka orang Mesir berkata, “Mari kita lari daripada orang Israel, kerana Yehuwa sedang berjuang bagi mereka untuk menentang kita.”+

26 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas laut supaya air kembali lalu menimpa semua orang Mesir, berserta kereta kuda dan askar berkuda mereka.” 27 Dengan segera, Musa menghulurkan tangannya ke atas laut. Maka menjelang pagi, air laut kembali kepada keadaan asalnya. Apabila orang Mesir mencuba melarikan diri, Yehuwa menyebabkan mereka lemas di tengah laut.+ 28 Air laut itu menenggelamkan semua kereta kuda, askar berkuda, dan tentera Firaun yang telah mengejar orang Israel sampai ke tengah laut.+ Tiada seorang pun antara mereka yang terselamat.+

29 Orang Israel pula menyeberangi laut di atas tanah yang kering,+ dan air laut menjadi seperti dinding di kedua-dua belah mereka.+ 30 Pada hari itu, Yehuwa menyelamatkan orang Israel daripada tangan orang Mesir.+ Orang Israel melihat mayat orang Mesir bergelimpangan di pantai. 31 Mereka juga melihat bagaimana Yehuwa mengalahkan orang Mesir dengan kuasa-Nya yang hebat. Oleh itu, mereka mula takut akan Yehuwa dan menaruh iman terhadap Yehuwa dan hamba-Nya, Musa.+

15 Selepas itu, Musa dan orang Israel menyanyikan lagu ini untuk memuji Yehuwa:+

“Aku hendak menyanyi untuk Yehuwa, kerana Dia telah meraih kemenangan yang cemerlang.+

Dia telah melemparkan kuda dan penunggangnya ke dalam laut.+

 2 Yah* ialah kuasa dan kekuatanku, kerana Dialah Penyelamatku.+

Dialah Tuhanku, dan aku akan memuji-Nya;+ Dialah Tuhan yang disembah bapaku,+ dan aku akan memuliakan-Nya.+

 3 Yehuwa ialah pahlawan yang perkasa.+ Yehuwalah nama-Nya.+

 4 Dia telah melemparkan tentera Firaun dan semua kereta kudanya ke dalam laut.+

Pahlawan Firaun yang terhebat pun tenggelam di dalam Laut Merah.+

 5 Air laut yang bergelora menutupi mereka. Seperti batu, mereka tenggelam ke dasar laut.+

 6 Ya Yehuwa, tangan kanan-Mu sangat berkuasa.+

Ya Yehuwa, tangan kanan-Mu menghancurkan musuh.

 7 Dengan keagungan-Mu yang hebat, Engkau menumpaskan mereka yang menentang-Mu.+

Dengan kemurkaan-Mu yang bernyala-nyala, Engkau membakar mereka seperti jerami.

 8 Dengan satu hembusan nafas-Mu, air laut pun menggunung tinggi.

Airnya berdiri teguh bagaikan aliran air yang terbendung.

Airnya yang bergelora membeku di jantung laut.

 9 Musuh berkata, ‘Aku akan mengejar dan mengalahkan mereka!

Aku akan membahagi-bahagikan harta mereka sehingga puas!

Aku akan menghunus pedangku! Tanganku akan menghapuskan mereka!’+

10 Tetapi Engkau menghembuskan nafas-Mu, lalu laut menutupi mereka.+

Seperti batu yang besar, mereka tenggelam ke dalam lautan yang luas.

11 Ya Yehuwa, tuhan-tuhan manakah yang seperti Engkau?+

Siapakah yang dapat menandingi kesucian-Mu+ yang agung?

Engkaulah Tuhan yang patut digeruni dan dipuji, Tuhan yang melakukan keajaiban.+

12 Engkau menghulurkan tangan kanan-Mu, lalu bumi menelan mereka.+

13 Engkau menunjukkan kasih-Mu yang setia dengan memimpin umat-Mu yang telah Engkau selamatkan.+

Engkau menunjukkan kekuatan-Mu dengan memimpin mereka ke tempat kediaman-Mu yang suci.

14 Orang ramai yang mendengar+ pasti akan menggeletar ketakutan.

Penduduk Filistia akan dicengkam perasaan cemas.

15 Pada masa itu para pemimpin Edom akan berasa takut.

Pemerintah Moab yang gagah akan berasa gementar.+

Penduduk Kanaan akan patah semangat.+

16 Mereka dilanda rasa takut dan gentar.+

Mereka kaku seperti batu kerana tangan-Mu yang berkuasa,

Sehingga umat-Mu telah lalu di kawasan mereka, ya Yehuwa,

Sehingga umat-Mu yang Engkau bentuk+ lalu di kawasan mereka.+

17 Engkau akan memimpin dan menempatkan mereka di gunung milik-Mu,

Tempat yang telah Engkau tetapkan untuk menjadi kediaman-Mu, ya Yehuwa,

Tempat naungan yang telah Engkau bina, ya Yehuwa.

18 Yehuwa akan memerintah sebagai raja buat selama-lamanya.+

19 Apabila kereta kuda dan askar berkuda Firaun masuk ke dalam laut,+

Yehuwa menutupi mereka dengan air laut,+

Tetapi orang Israel menyeberangi laut di atas tanah yang kering.”+

20 Kemudian Miryam, seorang nabi wanita, iaitu kakak Harun, mengambil tamborinnya. Semua wanita juga turut mengambil tamborin mereka dan menari. 21 Miryam menyahut nyanyian kaum lelaki,

“Bernyanyilah untuk Yehuwa, kerana Dia telah meraih kemenangan yang cemerlang.+

Dia telah melemparkan kuda dan penunggangnya ke dalam laut.”+

22 Kemudian Musa memimpin orang Israel dari Laut Merah ke padang belantara Syur. Mereka berjalan di padang belantara itu selama tiga hari, tetapi mereka tidak menjumpai air. 23 Mereka tiba di Mara,*+ tetapi mereka tidak dapat meminum air yang ada di sana kerana airnya pahit. Itulah sebabnya Musa menamakan tempat itu Mara. 24 Maka mereka mula bersungut-sungut terhadap Musa+ dan berkata, “Apakah yang akan kami minum?” 25 Musa berseru kepada Yehuwa,+ lalu Yehuwa menunjukkan sebatang pokok kecil kepadanya. Apabila Musa mencampakkan pokok kecil itu ke dalam air, air itu menjadi manis.

Di sana Tuhan menetapkan hukum yang akan menjadi asas untuk menghakimi orang Israel. Dia berbuat demikian untuk menguji mereka.+ 26 Tuhan berfirman, “Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. Jika kamu sungguh-sungguh mentaati Aku dengan melakukan apa yang menyenangkan hati-Ku serta mematuhi semua hukum dan peraturan-Ku,+ wabak yang telah Aku timpakan kepada orang Mesir+ tidak akan menimpa kamu. Hal ini demikian kerana Akulah Yehuwa, Penyembuh kamu.”+

27 Kemudian mereka tiba di Elim. Di sana terdapat 12 buah mata air dan 70 batang pokok palma. Maka mereka berkhemah dekat air di sana.

16 Sesudah itu, seluruh umat Israel berangkat dari Elim. Pada hari ke-15, bulan kedua, setelah mereka meninggalkan Mesir, mereka tiba di padang belantara Sin,+ yang terletak di antara Elim dengan Sinai.

2 Di padang belantara itu, seluruh umat Israel mula bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun.+ 3 Mereka asyik berkata, “Lebih baik kami mati di bawah tangan Yehuwa di Mesir. Di sana sekurang-kurangnya kami dapat makan daging dan roti sampai puas.+ Tetapi sekarang kamu telah membawa kami ke padang belantara ini supaya kami semua mati kelaparan.”+

4 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku akan menghujani kamu semua dengan roti dari syurga.+ Setiap hari, kamu masing-masing harus keluar mengumpulkan roti yang diperlukan untuk hari itu.+ Dengan demikian, Aku dapat menguji sama ada umat ini akan mematuhi hukum-Ku atau tidak.+ 5 Tetapi pada hari yang keenam,+ mereka harus mengumpulkan dua kali lebih banyak makanan+ daripada apa yang biasanya dikumpulkan pada hari-hari lain. Mereka harus mengumpulkan makanan dan menyediakannya terlebih dahulu.”

6 Maka Musa dan Harun berkata kepada seluruh umat Israel, “Pada waktu petang, kamu semua pasti akan tahu bahawa Yehuwalah yang telah membawa kamu keluar dari Mesir.+ 7 Pada waktu pagi, kamu akan melihat kemuliaan Yehuwa. Yehuwa telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya. Siapakah kami ini sehingga kamu bersungut-sungut terhadap kami?” 8 Musa menyambung, “Yehuwa akan memberi kamu daging pada waktu petang dan roti pada waktu pagi. Kamu akan memakannya sehingga puas. Dengan demikian, kamu akan tahu bahawa Yehuwa telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya. Siapakah kami ini sehingga kamu bersungut-sungut terhadap kami? Sesungguhnya, sungutan kamu bukanlah terhadap kami, tetapi terhadap Yehuwa.”+

9 Kemudian Musa berkata kepada Harun, “Beritahulah segenap umat Israel, ‘Datanglah menghadap Yehuwa, kerana Dia telah mendengar sungutan kamu semua.’”+ 10 Setelah Harun habis berucap, seluruh umat Israel memandang ke arah padang belantara. Kemuliaan Yehuwa kelihatan di dalam awan.+

11 Sekali lagi, Yehuwa berfirman kepada Musa, 12 “Aku telah mendengar sungutan orang Israel.+ Beritahulah mereka, ‘Pada waktu senja,* kamu akan memakan daging, dan pada waktu pagi, kamu akan memakan roti sehingga puas.+ Dengan itu, kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan kamu.’”+

13 Pada petang itu, burung puyuh datang dan meliputi seluruh perkhemahan mereka.+ Pada waktu pagi pula, terdapat lapisan embun di sekeliling perkhemahan. 14 Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang halus seperti salji kelihatan di atas tanah.+ 15 Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya sesama sendiri, “Apakah benda ini?” Musa menjawab, “Inilah makanan yang dikurniakan oleh Yehuwa kepada kamu semua.+ 16 Inilah perintah Yehuwa, ‘Setiap orang harus mengumpulkan makanan menurut keperluannya. Kamu harus mengumpulkan makanan menurut jumlah orang yang tinggal di dalam khemah kamu. Setiap orang harus mendapat satu omer.’”*+ 17 Orang Israel berbuat demikian. Ada yang mengumpulkan banyak dan ada pula yang mengumpulkan sedikit. 18 Apabila mereka menyukatnya, orang yang mengumpulkan banyak tidak berkelebihan, dan orang yang mengumpulkan sedikit tidak berkekurangan.+ Setiap orang telah mengumpulkan makanan menurut keperluannya.

19 Musa berkata kepada mereka, “Tiada sesiapa yang boleh menyimpan makanan walau sedikit pun sehingga pagi esok.”+ 20 Tetapi ada yang mengingkari kata-kata Musa lalu menyimpan makanan itu. Pagi esoknya, makanan itu berulat dan berbau busuk. Maka Musa marah dengan mereka. 21 Setiap pagi mereka mengumpulkan makanan menurut keperluan masing-masing, dan apabila matahari panas terik, makanan yang tertinggal mencair.

22 Pada hari keenam, mereka mengumpulkan dua kali lebih banyak makanan,+ iaitu dua omer untuk setiap orang. Jadi para pemimpin orang Israel datang dan memberitahukan hal itu kepada Musa. 23 Musa berkata kepada mereka, “Yehuwa telah berfirman, ‘Esok ialah hari rehat yang suci, hari Sabat* bagi Aku, Yehuwa.+ Oleh itu, bakarlah apa yang hendak kamu bakar, dan rebuslah apa yang hendak kamu rebus.+ Hendaklah kamu menyimpan makanan yang selebihnya untuk pagi esok.’” 24 Sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Musa, mereka menyimpan lebihan makanan itu sampai keesokan harinya. Makanan itu tidak menjadi basi dan tidak berulat. 25 Kemudian Musa berkata, “Makanlah makanan itu pada hari ini, kerana hari ini hari Sabat bagi Yehuwa. Kamu tidak dapat mengumpulkan sebarang makanan pada hari ini. 26 Selama enam hari kamu akan mengumpulkan makanan. Tetapi pada hari ketujuh, hari Sabat,+ tidak ada makanan untuk dipungut.” 27 Pada hari ketujuh, ada juga orang yang keluar untuk mengumpulkan makanan, tetapi mereka tidak menjumpai apa-apa.

28 Maka Yehuwa berfirman kepada Musa, “Sampai bila umat ini enggan mematuhi perintah dan hukum-Ku?+ 29 Ingatlah bahawa Aku, Yehuwa, telah memerintahkan kamu merayakan hari Sabat.+ Itulah sebabnya pada hari keenam, Aku memberi kamu makanan untuk dua hari. Pada hari ketujuh, semua orang mesti berada di tempat kediaman masing-masing, dan tidak boleh pergi ke mana-mana.” 30 Maka orang Israel merayakan hari Sabat pada hari ketujuh.+

31 Orang Israel menamakan makanan itu “manna.”* Rupanya seperti biji-biji kecil* yang berwarna putih, dan rasanya seperti kuih nipis yang bercampur madu.+ 32 Kemudian Musa berkata, “Inilah perintah Yehuwa, ‘Simpanlah satu omer manna untuk keturunan kamu.+ Dengan demikian, mereka dapat melihat makanan yang Aku berikan kepada kamu di padang belantara, ketika Aku membawa kamu keluar dari Mesir.’” 33 Maka Musa berkata kepada Harun, “Ambillah sebuah bekas dan simpanlah satu omer manna di dalamnya. Letakkanlah bekas itu di hadapan Yehuwa untuk disimpan secara turun-temurun.”+ 34 Harun meletakkan bekas itu di hadapan sebuah kotak khas*+ untuk disimpan, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa. 35 Orang Israel memakan manna selama 40 tahun+ sehingga mereka tiba di kawasan yang berpenduduk.+ Mereka memakan manna sehingga mereka tiba di sempadan tanah Kanaan.+ 36 Satu omer sama dengan satu persepuluh efa.*

17 Segenap umat Israel meninggalkan padang belantara Sin+ lalu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain menurut perintah Yehuwa.+ Mereka berkhemah di Rafidim,+ tetapi mereka tidak menjumpai air minum di sana.

2 Maka mereka mula bertengkar dengan Musa+ dan berkata, “Berilah kami air minum.” Musa menjawab, “Mengapakah kamu mahu bertengkar dengan aku? Mengapakah kamu asyik menguji Yehuwa?”+ 3 Tetapi mereka terlalu dahaga dan terus bersungut-sungut terhadap Musa.+ Mereka berkata, “Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir? Adakah kamu mahu kami, anak-anak kami, dan ternakan kami mati kehausan?” 4 Akhirnya Musa berseru kepada Yehuwa, “Apakah yang harus aku lakukan terhadap umat ini? Tidak lama lagi mereka akan merejam aku!”

5 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pilihlah beberapa orang pemimpin Israel dan pergilah bersama mereka mendahului orang Israel. Bawalah juga tongkat yang pernah engkau gunakan untuk memukul Sungai Nil.+ 6 Aku akan berdiri di hadapan engkau di atas batu di Horeb. Pukullah batu itu, dan air akan memancar keluar agar orang dapat meminumnya.”+ Musa berbuat demikian di hadapan para pemimpin orang Israel. 7 Jadi dia menamakan tempat itu Masah*+ dan Meriba*+ kerana orang Israel bertengkar dengannya, dan kerana mereka menguji Yehuwa+ dengan bertanya, “Adakah Yehuwa menyertai kita atau tidak?”

8 Selepas itu orang Amalek+ datang menyerang orang Israel di Rafidim.+ 9 Maka Musa berkata kepada Yosua,+ “Pilihlah sebilangan lelaki untuk memerangi orang Amalek. Esok aku akan berdiri di puncak bukit sambil memegang tongkat Tuhan yang benar.” 10 Yosua melakukan apa yang disuruh oleh Musa+ dan pergi memerangi orang Amalek. Musa, Harun, dan Hur+ pula naik ke puncak bukit.

11 Selagi Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang. Tetapi sebaik sahaja dia menurunkan tangannya, orang Amalek menang. 12 Apabila tangan Musa letih, mereka mengambil sebuah batu supaya Musa dapat duduk di atasnya. Kemudian Harun dan Hur berdiri di sisi Musa untuk menyokong tangannya, supaya tangannya tetap terangkat sampai matahari terbenam. 13 Demikianlah Yosua mengalahkan orang Amalek dan pasukan mereka dengan pedang.

14 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Tulislah hal ini dalam kitab sebagai suatu peringatan, dan sampaikannya kepada Yosua, ‘Aku akan melenyapkan orang Amalek dari muka bumi ini dan mereka tidak akan dikenang lagi.’”+ 15 Musa membina sebuah mazbah dan menamakannya Yehuwa-nissi.* 16 Musa berkata, “Orang Amalek menentang pemerintahan Yah.+ Itulah sebabnya Yehuwa akan berperang melawan orang Amalek dan semua keturunan mereka.”+

18 Yitro, imam Midian, bapa mentua Musa,+ mendengar segala yang dilakukan oleh Yehuwa untuk Musa dan orang Israel ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir.+ 2 Sebelum itu, Musa telah menghantar isterinya, Zipora, balik kepada Yitro, bapa mentuanya. Maka, Yitro telah menjaga Zipora 3 dan dua orang anak lelakinya.+ Salah seorang anaknya bernama Gersom,*+ kerana Musa berkata, “Aku telah menjadi orang asing di negeri ini.” 4 Seorang lagi bernama Eliezer,* kerana Musa berkata, “Tuhan yang disembah bapaku ialah Penolongku. Dia telah menyelamatkan aku daripada pedang Firaun.”+

5 Yitro, bapa mentua Musa, datang melawat Musa di padang belantara bersama isteri dan anak-anak Musa. Musa sedang berkhemah dekat gunung Tuhan yang benar.+ 6 Kemudian, Yitro mengirim berita kepada Musa, “Aku, Yitro, bapa mentuamu,+ telah datang bersama isteri dan kedua-dua orang anak lelakimu.” 7 Oleh itu, Musa segera keluar untuk menemui bapa mentuanya. Dia bersujud dan menciumnya. Mereka saling bertanyakan khabar lalu masuk ke dalam khemah.

8 Musa memberitahu bapa mentuanya segala yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk bangsa Israel.+ Dia menceritakan perkara yang dilakukan oleh Tuhan terhadap Firaun dan Mesir, dan bagaimana Yehuwa menyelamatkan mereka daripada kesusahan yang dihadapi semasa dalam perjalanan.+ 9 Yitro bersukacita atas segala perkara baik yang dilakukan oleh Yehuwa untuk orang Israel. Dia bergembira kerana Tuhan telah menyelamatkan mereka daripada tangan orang Mesir. 10 Yitro berkata, “Pujilah Yehuwa kerana Dia telah menyelamatkan kamu daripada Firaun dan orang Mesir! Dia telah membebaskan orang Israel daripada perhambaan di Mesir. 11 Sekarang aku tahu bahawa Yehuwa lebih berkuasa daripada semua tuhan lain.+ Dia telah menunjukkan kuasa-Nya kepada orang Mesir yang bertindak angkuh terhadap umat-Nya.” 12 Kemudian Yitro, bapa mentua Musa, membawa korban bakar dan korban-korban lain untuk Tuhan. Harun dan semua pemimpin orang Israel datang untuk makan bersama-sama Yitro di hadapan Tuhan yang benar.

13 Pada keesokan hari, seperti biasa Musa mengadili perselisihan antara orang Israel. Orang Israel terus-menerus datang menghadap Musa dari pagi sampai malam. 14 Apabila bapa mentua Musa melihat segala yang dilakukan oleh Musa, dia bertanya, “Apakah semua hal ini yang kamu lakukan untuk umat ini? Mengapakah kamu melakukan tugas ini seorang diri, sehingga semua orang harus berdiri di sini dari pagi sampai malam?” 15 Musa menjawab, “Kerana umat ini terus datang kepada saya untuk mendapatkan bimbingan Tuhan. 16 Apabila timbulnya perselisihan, mereka akan datang kepada saya dan saya akan mengadili siapa antara mereka yang benar. Saya juga menyampaikan keputusan dan hukum Tuhan yang benar.”+

17 Bapa mentua Musa berkata kepadanya, “Cara kamu itu tidak baik. 18 Kamu dan orang Israel pasti akan berasa sangat letih, kerana tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri. 19 Sekarang dengarlah nasihatku, dan Tuhan akan menyertaimu.+ Kamu memang mewakili umat ini di hadapan Tuhan yang benar,+ dan kamu mengemukakan masalah mereka kepada-Nya.+ 20 Kamu mengajar mereka tentang hukum dan peraturan Tuhan,+ serta menerangkan bagaimana mereka harus hidup dan apa yang harus dilakukan. 21 Tetapi, kamu patut memilih lelaki-lelaki yang cekap+ antara umat ini. Mereka mestilah orang yang takut akan Tuhan, dapat dipercayai, dan membenci keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur.+ Lantiklah mereka untuk menjadi ketua atas 1,000 orang, 100 orang, 50 orang, dan 10 orang.+ 22 Mereka akan mengadili masalah yang timbul. Mereka boleh mengemukakan segala hal yang sukar kepadamu,+ tetapi mereka sendiri akan mengadili hal-hal yang kecil. Dengan ini, mereka akan membantu meringankan bebanmu.+ 23 Jika kamu mengikut nasihatku dan hal ini berlaku selaras dengan perintah Tuhan, kamu tidak akan meletihkan diri. Semua orang juga akan pulang ke khemah mereka dengan senang hati.”

24 Musa mendengarkan nasihat bapa mentuanya lalu segera melakukan segala yang dikatakan olehnya. 25 Musa memilih lelaki-lelaki yang cekap antara umat itu lalu melantik mereka untuk menjadi ketua atas 1,000 orang, 100 orang, 50 orang, dan 10 orang. 26 Jadi mereka mengadili masalah yang timbul. Jika masalah itu kecil, mereka akan menyelesaikannya sendiri. Tetapi jika masalah itu sukar, mereka akan mengemukakannya kepada Musa.+ 27 Selepas itu, Musa mengucapkan selamat jalan kepada bapa mentuanya,+ lalu Yitro pun pulang ke negerinya.

19 Pada bulan ketiga selepas orang Israel keluar dari Mesir, mereka tiba di padang belantara Sinai. 2 Mereka berangkat dari Rafidim+ dan tiba di padang belantara Sinai. Mereka berkhemah di hadapan gunung di situ.+

3 Kemudian, Musa naik ke atas gunung untuk menghadap Tuhan yang benar. Yehuwa memanggil Musa dari gunung itu+ dan berfirman, “Beritahulah keturunan Yakub, orang Israel, 4 ‘Kamu sudah melihat segala yang telah Aku lakukan terhadap orang Mesir.+ Seperti burung helang yang membawa anaknya di atas sayapnya, Aku telah membawa kamu kepada-Ku.+ 5 Sekarang, jika kamu sungguh-sungguh mentaati-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, kamu akan menjadi umat pilihan-Ku* antara semua bangsa,+ kerana seluruh bumi ini milik-Ku.+ 6 Kamu akan menjadi sebuah kerajaan imam dan bangsa yang suci untuk-Ku.’+ Hendaklah engkau menyampaikan firman ini kepada orang Israel.”

7 Jadi Musa pergi memanggil para pemimpin orang Israel dan memberitahu mereka segala yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya.+ 8 Selepas itu semua orang menjawab dengan sebulat suara, “Kami sudi mematuhi segala yang difirmankan oleh Yehuwa.”+ Dengan segera, Musa menghadap Yehuwa untuk menyampaikan jawapan mereka. 9 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Aku akan datang kepadamu di dalam awan tebal supaya umat ini dapat mendengar apabila Aku bercakap denganmu. Dengan itu, mereka juga akan sentiasa mempercayaimu.” Kemudian Musa menyampaikan jawapan mereka kepada Yehuwa.

10 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pergilah menemui orang Israel dan suruhlah mereka menyucikan diri pada hari ini dan esok. Mereka perlu membasuh pakaian mereka. 11 Mereka perlu bersedia pada hari ketiga kerana pada hari ketiga, Aku, Yehuwa, akan turun ke Gunung Sinai di hadapan umat ini. 12 Buatlah sempadan di sekeliling gunung itu dan beritahulah mereka, ‘Jangan naik ke gunung atau melintasi sempadannya. Sesiapa yang melintasi sempadan itu pasti akan dihukum mati. 13 Orang itu harus direjam atau dipanah, dan kamu tidak boleh menyentuhnya. Peraturan ini berlaku untuk manusia dan binatang.’+ Tetapi apabila trompet*+ ditiup, mereka boleh mendekati gunung.”

14 Kemudian Musa turun dari gunung dan menyuruh orang Israel menyucikan diri dan membasuh pakaian mereka.+ 15 Dia berkata, “Bersiaplah untuk hari ketiga. Sementara itu kamu tidak boleh melakukan hubungan seks.”

16 Pada waktu pagi hari ketiga, ada guruh dan kilat di atas gunung. Awan yang tebal+ kelihatan di situ dan ada bunyi trompet yang kuat sekali. Segenap umat Israel di perkhemahan menggeletar ketakutan.+ 17 Musa pun membawa mereka keluar dari perkhemahan untuk bertemu dengan Tuhan yang benar, dan mereka berdiri di kaki gunung. 18 Seluruh Gunung Sinai diliputi asap kerana Yehuwa telah turun ke atasnya di dalam api.+ Asap itu naik berkepul-kepul seperti asap relau, dan seluruh gunung bergoncang dengan kuat.+ 19 Seraya bunyi trompet semakin kuat, Musa bercakap dan Tuhan* yang benar menjawabnya.

20 Yehuwa turun ke atas puncak Gunung Sinai. Kemudian Yehuwa menyuruh Musa naik ke puncak gunung, maka Musa pun naik.+ 21 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Turunlah dan beritahu umat itu supaya jangan melintasi sempadan untuk melihat Aku, Yehuwa. Jika mereka melintasinya, banyak orang akan dihukum mati. 22 Biarlah para imam* yang selalu menghampiri Aku, Yehuwa, menyucikan diri mereka. Jika tidak, Aku, Yehuwa, akan menghukum mereka.”+ 23 Kemudian Musa berkata kepada Yehuwa, “Umat ini tidak akan naik ke Gunung Sinai, kerana Engkau telah memberikan amaran kepada kami. Engkau telah berfirman, ‘Buatlah sempadan di sekeliling gunung, dan anggaplah gunung ini suci.’”+ 24 Yehuwa berfirman kepadanya, “Turunlah, kemudian naiklah semula ke sini bersama Harun. Jangan benarkan para imam* dan orang lain melintasi sempadan untuk mendekat kepada Aku, Yehuwa, supaya Aku tidak menghukum mereka.”+ 25 Maka Musa pun turun dan menyampaikan semua hal itu kepada orang Israel.

20 Tuhan memberikan semua hukum ini.+ Dia berfirman,

2 “Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba.+ 3 Jangan menyembah tuhan-tuhan lain. Sembahlah Aku sahaja.+

4 “Jangan membuat patung berhala atau membentuk sesuatu yang menyerupai apa-apa yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air.+ 5 Jangan menyembah atau bersujud kepada patung apa pun,+ kerana Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. Sembahlah Aku sahaja.+ Aku menghukum orang yang membenci Aku. Kerana dosa bapa, Aku akan menghukum keturunannya sehingga generasi yang ketiga dan keempat. 6 Tetapi Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada beribu-ribu keturunan orang yang mengasihi Aku dan mematuhi hukum-Ku.+

7 “Jangan menggunakan nama-Ku, iaitu Yehuwa, secara sembarangan+ kerana Aku, Yehuwa, akan menghukum sesiapa yang menyalahgunakan nama-Ku.+

8 “Jangan lupa untuk merayakan hari Sabat dan memandangnya sebagai hari yang suci.+ 9 Kamu boleh bekerja selama enam hari,+ 10 tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat yang dikhaskan untuk Aku, Yehuwa, Tuhan kamu. Pada hari itu, kamu tidak boleh bekerja, begitu juga dengan anak lelaki dan anak perempuan kamu, hamba lelaki dan hamba perempuan kamu, ternakan kamu, dan orang asing yang menetap di kota kamu.+ 11 Selama enam hari, Aku, Yehuwa, menciptakan langit dan bumi, serta laut dan segala isinya. Tetapi Aku berehat pada hari ketujuh.+ Itulah sebabnya Aku, Yehuwa, memberkati hari Sabat dan mengekhaskannya untuk-Ku.

12 “Hormatilah ibu bapa kamu,+ supaya kamu panjang umur di tanah yang akan Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, berikan kepada kamu.+

13 “Jangan membunuh.+

14 “Jangan berzina.+

15 “Jangan mencuri.+

16 “Jangan memberikan kesaksian palsu tentang orang lain.+

17 “Jangan mengingini kepunyaan orang lain, sama ada rumahnya, isterinya,+ hamba lelakinya, hamba perempuannya, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimilikinya.”+

18 Umat itu mendengar bunyi guruh dan bunyi trompet.* Mereka juga melihat kilat sabung-menyabung dan gunung yang diliputi asap. Apabila mereka mendengar dan melihat semua perkara itu, mereka gementar ketakutan dan berdiri jauh dari situ.+ 19 Mereka berkata kepada Musa, “Kamulah yang bercakap kepada kami, dan kami akan mendengar. Tetapi janganlah Tuhan yang bercakap kepada kami, nanti kami akan mati.”+ 20 Musa menjawab, “Janganlah gentar. Tuhan yang benar datang untuk menguji kamu+ supaya kamu terus menghormati-Nya dan tidak berbuat dosa.”+ 21 Umat itu terus berdiri jauh dari situ. Musa pula menghampiri awan tebal itu, tempat Tuhan yang benar berada.+

22 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Beritahulah umat Israel, ‘Kamu sendiri sudah melihat bahawa Aku berfirman kepada kamu semua dari syurga.+ 23 Jangan membuat patung emas atau perak untuk disembah di samping Aku.+ 24 Binalah mazbah daripada tanah untuk-Ku, dan persembahkanlah ternakan kamu sebagai korban bakar dan korban pendamaian di atasnya. Di setiap tempat yang Aku pilih supaya nama-Ku dikenang,+ Aku akan datang kepada kamu dan memberkati kamu. 25 Jika kamu membina mazbah daripada batu untuk-Ku, jangan menggunakan batu yang dipahat.+ Hal ini demikian kerana jika kamu menggunakan pahat, kamu akan menajiskan mazbah itu. 26 Jangan membina tangga untuk naik ke mazbah-Ku supaya bahagian sulit* kamu tidak kelihatan.’

21 “Berikanlah hukum-hukum* ini kepada orang Israel:+

2 “Jika kamu membeli hamba berbangsa Ibrani,+ dia akan menjadi hamba kamu selama enam tahun. Tetapi pada tahun ketujuh, dia mesti dibebaskan tanpa membayar apa-apa kepada kamu.+ 3 Jika dia masih bujang ketika dia menjadi hamba kamu, dia harus pergi seorang diri. Tetapi jika dia sudah berkahwin ketika dia menjadi hamba kamu, dia harus pergi bersama dengan isterinya. 4 Jika tuannya memberikan seorang isteri kepadanya, lalu isterinya melahirkan anak lelaki atau perempuan, isteri dan anak-anaknya itu milik tuannya. Maka hamba itu harus pergi seorang diri.+ 5 Tetapi jika hamba itu berkata dengan sungguh-sungguh, ‘Aku mengasihi tuanku, isteriku, dan anak-anakku. Aku tidak mahu dibebaskan,’+ 6 tuannya harus membawanya menghadap Tuhan yang benar. Kemudian hamba itu akan bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinganya. Maka dia akan menjadi hamba tuannya seumur hidup.

7 “Jika seseorang menjual anak perempuannya sebagai hamba, perempuan itu tidak boleh dibebaskan seperti hamba lelaki. 8 Jika tuan kepada perempuan itu tidak menyukainya dan tidak lagi berniat untuk menjadikannya sebagai gundik, dia harus membenarkan perempuan itu ditebus. Tuan itu tidak boleh menjualnya kepada orang asing, kerana tuan itu telah memungkiri janjinya. 9 Jika tuan itu mengahwinkan perempuan itu kepada anak lelakinya, dia mesti memperlakukannya seperti anak perempuannya. 10 Jika anak lelaki itu berkahwin lagi, dia mesti memberikan makanan dan pakaian kepada hamba itu yang merupakan isteri pertamanya. Dia juga harus memenuhi kewajipannya+ sebagai suami. 11 Tetapi jika dia tidak memenuhi ketiga-tiga perkara ini, perempuan itu harus dibebaskan tanpa membayar apa-apa.

12 “Sesiapa yang memukul seseorang sehingga orang itu mati mesti dihukum mati.+ 13 Tetapi jika dia tidak sengaja membunuh orang itu, dan Aku membenarkan hal itu berlaku, dia boleh melarikan diri ke tempat yang telah Aku tentukan.+ 14 Jika seseorang naik marah lalu sengaja membunuh orang lain,+ dia mesti dihukum mati walaupun dia pergi ke mazbah-Ku untuk mendapat perlindungan.+ 15 Sesiapa yang memukul ayah atau ibunya mesti dihukum mati.+

16 “Jika seseorang didapati menculik orang+ dan menahan atau menjual orang itu,+ dia mesti dihukum mati.+

17 “Sesiapa yang mengutuk ayah atau ibunya mesti dihukum mati.+

18 “Jika terdapat pergaduhan, dan seseorang memukul orang lain dengan batu atau menumbuk* orang itu sehingga orang itu terlantar di katil tetapi tidak mati, 19 orang yang memukulnya itu tidak akan dihukum sekiranya orang yang tercedera itu dapat bangun dan berjalan dengan menggunakan tongkat. Namun, dia mesti membayar ganti rugi sehingga orang yang tercedera itu sembuh sepenuhnya dan dapat bekerja semula.

20 “Jika seseorang memukul hamba lelakinya atau hamba perempuannya dengan kayu sehingga hamba itu mati, dia mesti dihukum.+ 21 Tetapi jika hamba itu mati selepas satu atau dua hari, tuannya tidak akan dihukum kerana hamba itu miliknya.

22 “Jika beberapa orang bergaduh lalu mencederakan seorang wanita hamil dan dia melahirkan bayi yang belum cukup bulan,+ tetapi wanita itu dan anaknya tidak mati, pesalah mesti membayar ganti rugi menurut permintaan suami wanita itu dengan persetujuan hakim.+ 23 Tetapi jika wanita itu atau anaknya mati,* hukumannya ialah nyawa ganti nyawa.+ 24 Jika kecederaan teruk berlaku, hukumannya ialah mata ganti mata, gigi ganti gigi, tangan ganti tangan, kaki ganti kaki,+ 25 luka bakar ganti luka bakar, luka ganti luka, dan lebam ganti lebam.

26 “Jika seseorang memukul hamba lelakinya atau hamba perempuannya lalu menyebabkan matanya menjadi buta, dia harus membebaskan hamba itu sebagai ganti rugi untuk matanya.+ 27 Jika seseorang memukul hamba lelakinya atau hamba perempuannya lalu menyebabkan giginya patah, dia harus membebaskan hamba itu sebagai ganti rugi untuk giginya.

28 “Jika seekor lembu jantan menanduk seorang lelaki atau wanita dan orang itu mati, lembu itu mesti direjam sampai mati+ dan dagingnya tidak boleh dimakan. Tetapi pemilik lembu itu bebas daripada hukuman. 29 Namun jika lembu itu selalu menanduk orang dan pemiliknya sudah diberi peringatan tetapi dia masih tidak menjaganya, lalu lembu itu membunuh seorang lelaki atau wanita, lembu itu mesti direjam dan pemiliknya juga mesti dihukum mati. 30 Jika pemilik lembu itu dibenarkan membayar harga tebusan untuk menebus nyawanya, dia harus membayar seberapa banyak yang telah ditentukan. 31 Pemilik itu harus diperlakukan menurut hukum yang sama, tidak kira lembunya menanduk seorang budak lelaki atau budak perempuan. 32 Jika lembu itu menanduk seorang hamba lelaki atau hamba perempuan, pemiliknya harus membayar 30 keping wang perak* kepada tuan hamba itu, dan lembu itu mesti direjam sampai mati.

33 “Jika seseorang membuka penutup lubang atau menggali lubang dan tidak menutupinya, lalu seekor lembu jantan atau keldai jatuh ke dalamnya, 34 orang itu harus membayar ganti rugi+ kepada pemilik lembu atau keldai itu. Dia harus membayar harga binatang tersebut dan binatang yang mati itu harus menjadi miliknya. 35 Jika lembu jantan milik seseorang menanduk lembu jantan orang lain sehingga mati, pemilik kedua-dua lembu itu mesti menjual lembu yang hidup itu lalu membahagikan wang yang diperoleh. Mereka juga mesti membahagikan daging lembu jantan yang sudah mati itu. 36 Jika sudah diketahui bahawa lembu jantan itu suka menanduk dan pemiliknya tidak mengurungnya, pemiliknya mesti membayar ganti rugi, iaitu lembu ganti lembu, dan lembu yang mati itu harus menjadi miliknya.

22 “Jika seseorang mencuri seekor lembu jantan atau biri-biri lalu menyembelih atau menjualnya, dia mesti mengganti seekor lembu dengan lima ekor lembu, dan seekor biri-biri dengan empat ekor biri-biri.+

2 (“Jika seorang pencuri+ didapati memecah masuk ke dalam rumah, lalu dia dibunuh, orang yang membunuhnya tidak berhutang darah. 3 Tetapi jika hal itu berlaku pada siang hari, orang yang membunuhnya berhutang darah.)

“Orang yang mencuri mesti membayar ganti rugi. Jika dia tidak mempunyai apa-apa, dia mesti dijual sebagai hamba untuk membayar apa yang telah dicurinya. 4 Jika yang dicuri itu lembu, keldai, ataupun biri-biri, dan didapati masih hidup dalam tangannya, dia harus membayar ganti rugi sebanyak dua kali ganda.

5 “Jika seseorang membiarkan ternakannya meragut rumput di ladang atau ladang anggur, lalu ternakannya memakan tanaman di ladang orang lain, dia mesti memberikan hasil yang terbaik dari ladang atau ladang anggurnya sendiri sebagai ganti rugi.

6 “Jika seseorang menyalakan api lalu api itu merebak ke semak dan ladang orang lain sehingga membakar tanaman bijirin yang sedang tumbuh atau tanaman bijirin yang sudah dituai atau seluruh ladang itu, orang yang menyalakan api itu mesti membayar ganti rugi.

7 “Jika seseorang diberi duit atau barangan untuk disimpan lalu semua itu dicuri dari rumahnya, pencuri itu mesti membayar ganti rugi dua kali ganda,+ jika dia ditangkap. 8 Tetapi jika pencuri tidak dapat ditangkap, orang yang diberi duit atau barangan itu mesti dibawa menghadap Tuhan yang benar*+ untuk menentukan sama ada dia yang mencuri barangan itu atau tidak. 9 Jika ada pertikaian antara dua pihak tentang lembu, keldai, biri-biri, pakaian, atau apa-apa yang sudah hilang, kerana salah seorang berkata, ‘Ini milik aku,’ mereka berdua harus dibawa menghadap Tuhan yang benar.+ Orang yang Aku nyatakan bersalah mesti membayar ganti rugi dua kali ganda.+

10 “Jika seseorang bersetuju menjaga keldai, lembu, biri-biri, atau ternakan kepunyaan orang lain, kemudian binatang itu mati, tercedera, atau dirampas semasa tidak ada orang menyaksikannya, 11 dia perlu bersumpah di hadapan Aku, Yehuwa, bahawa dia tidak mengambil ternakan tersebut, dan pemilik itu mesti menerima hal itu. Dia tidak perlu membayar ganti rugi.+ 12 Tetapi jika binatang itu dicuri, dia perlu membayar ganti rugi kepada pemiliknya. 13 Jika binatang itu mati diterkam binatang buas, dia perlu menunjukkan bangkai binatang itu sebagai bukti. Dia tidak perlu membayar ganti rugi.

14 “Jika seseorang meminjam seekor binatang lalu binatang itu cedera atau mati semasa pemiliknya tidak ada di tempat kejadian itu, dia harus membayar ganti rugi. 15 Tetapi jika pemiliknya ada di tempat kejadian itu, dia tidak perlu membayar ganti rugi. Jika binatang itu disewa, bayaran sewa itulah yang menjadi ganti ruginya.

16 “Jika seorang lelaki menggoda anak dara yang belum bertunang dan bersetubuh dengannya, dia mesti membayar mas kahwin dan berkahwin dengannya.+ 17 Tetapi jika ayah anak dara itu tidak membenarkan lelaki itu mengahwini anaknya, lelaki itu masih perlu membayar mas kahwin yang telah ditetapkan bagi anak dara.

18 “Setiap perempuan yang melakukan sihir mesti dihukum mati.+

19 “Sesiapa yang melakukan hubungan seks dengan binatang mesti dihukum mati.+

20 “Sesiapa yang mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain, kecuali kepada Aku, Yehuwa, mesti dihukum mati.+

21 “Jangan menganiaya atau menindas orang asing,+ kerana dahulu kamu pun orang asing di Mesir.+

22 “Jangan menindas balu atau anak yatim.+ 23 Jika kamu menindas mereka lalu mereka berseru kepada-Ku, Aku pasti akan mendengarkan seruan mereka.+ 24 Kemurkaan-Ku akan berkobar, dan Aku akan membunuh kamu dengan pedang. Isteri kamu akan menjadi balu, dan anak-anak kamu akan menjadi yatim.

25 “Jika kamu meminjamkan wang kepada umat-Ku yang miskin dalam kalangan kamu, jangan bertindak seperti peminjam wang yang menuntut faedah daripadanya.+

26 “Jika kamu mengambil jubah orang lain sebagai jaminan hutangnya,+ kamu mesti mengembalikan jubah itu sebelum matahari terbenam. 27 Hal ini demikian kerana jubah itu sahajalah penutup tubuhnya. Jika dia tidak mempunyai jubah, apakah yang akan digunakannya semasa dia tidur?+ Apabila dia berseru kepada-Ku, Aku pasti akan mendengarkan seruannya, kerana Aku berbelas kasihan.+

28 “Jangan mengutuk Tuhan+ dan jangan mengutuk para pemimpin dalam kalangan kamu.+

29 “Jangan teragak-agak untuk mempersembahkan sebahagian daripada hasil tuaian, minyak, dan wain kamu yang melimpah kepada-Ku.+ Kamu mesti mengekhaskan setiap anak lelaki sulung kepada-Ku.+ 30 Inilah yang harus kamu lakukan terhadap anak sulung lembu dan biri-biri kamu:+ Biarlah binatang itu bersama induknya selama tujuh hari. Tetapi pada hari kelapan, kamu harus mempersembahkannya kepada-Ku.+

31 “Kamu harus menjadi umat-Ku yang suci.+ Kamu tidak boleh memakan daging sebarang binatang yang mati diterkam oleh binatang buas di padang.+ Kamu mesti membuangkan daging itu kepada anjing.

23 “Jangan sebarkan berita palsu.+ Jangan tolong orang jahat dengan menjadi saksi palsu untuk mencelakakan orang.+ 2 Jangan terikut-ikut dengan orang ramai untuk berbuat jahat. Semasa memberikan kesaksian dalam suatu perselisihan, jangan memesongkan kebenaran dan terikut-ikut dengan pendapat orang ramai. 3 Jangan bersikap berat sebelah semasa mengadili perselisihan yang melibatkan orang miskin.+

4 “Jika kamu terjumpa lembu atau keldai musuh kamu berkeliaran, kembalikanlah binatang itu kepadanya.+ 5 Jika kamu nampak keldai musuh terjatuh kerana muatan yang berat, jangan pergi begitu sahaja. Kamu mesti membantu musuhmu mengalihkan muatan itu.+

6 “Jangan memutarbalikkan keadilan semasa mengadili orang miskin di mahkamah.+

7 “Hindarilah kata-kata dusta* dan jangan menyebabkan orang yang tidak bersalah dan orang yang baik dihukum mati, kerana Aku tidak akan melepaskan orang yang melakukan kejahatan sebegini.+

8 “Jangan terima rasuah, kerana rasuah membutakan mata hakim terhadap apa yang benar, dan menyebabkan orang yang baik dan adil mengubah keputusannya.+

9 “Jangan menindas orang asing. Kamu tahu rasanya menjadi orang asing, kerana kamu pernah menjadi orang asing di Mesir.+

10 “Selama enam tahun, kamu boleh bercucuk tanam dan mengumpulkan hasil di ladang kamu.+ 11 Tetapi pada tahun ketujuh, ladang kamu harus dibiarkan dan kamu tidak boleh bercucuk tanam. Biarlah orang miskin mengambil hasilnya. Jika ada yang tersisa, binatang liar boleh memakannya. Buatlah hal yang sama dengan ladang anggur dan kebun zaitun kamu.

12 “Bekerjalah untuk enam hari, tetapi pada hari ketujuh, kamu tidak boleh bekerja. Dengan itu, lembu, keldai, dan hamba kamu, serta orang asing dalam kalangan kamu dapat berehat.+

13 “Dengarlah dengan teliti dan lakukanlah segala yang telah Aku perintahkan.+ Janganlah sebut nama tuhan-tuhan lain. Janganlah nama tuhan-tuhan itu kedengaran dari mulut kamu.+

14 “Setiap tahun, sambutlah tiga perayaan untuk-Ku.+ 15 Pada masa yang ditetapkan pada bulan Abib,*+ kamu akan menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi,+ kerana pada bulan itu kamu meninggalkan Mesir. Kamu harus memakan roti tidak beragi selama tujuh hari sebagaimana yang telah Aku perintahkan. Jangan datang ke hadapan-Ku dengan tangan kosong.+ 16 Selain itu, kamu juga harus menyambut Perayaan Menuai* semasa kamu mempersembahkan hasil pertama dari ladang kamu.+ Pada akhir tahun, sambutlah Perayaan Pondok Daun selepas kamu mengumpulkan hasil tanaman dari ladang kamu.+ 17 Tiga kali dalam setahun, semua lelaki dalam kalangan kamu mesti datang menghadap Aku, Yehuwa, Tuan yang benar.+

18 “Jangan persembahkan kepada-Ku darah korban binatang bersama apa-apa yang beragi. Lemak binatang yang dipersembahkan semasa perayaan-Ku tidak boleh ditinggalkan sehingga pagi esok.

19 “Bawalah hasil pertama yang terbaik dari ladang kamu ke rumah milik Aku, Yehuwa, Tuhan kamu.+

“Jangan memasak anak kambing di dalam air susu induknya.+

20 “Aku akan mengutus malaikat di hadapan kamu+ untuk melindungi kamu dalam perjalanan dan membawa kamu ke tempat yang telah Aku sediakan.+ 21 Dia datang atas nama-Ku, maka dengarlah dan patuhilah kata-katanya. Jangan memberontak terhadapnya kerana dia tidak akan mengampunkan kesalahan kamu.+ 22 Namun jika kamu mematuhi kata-katanya dengan sungguh-sungguh dan melakukan segala perintah-Ku, Aku akan melawan orang yang melawan kamu dan menentang orang yang menentang kamu. 23 Malaikat-Ku akan berada di hadapan kamu dan membawa kamu ke negeri orang Amori, Het, Feris, Kanaan, Hewi, dan Yebus. Aku akan membinasakan mereka semua.+ 24 Jangan bersujud kepada tuhan-tuhan mereka atau tergoda untuk menyembah tuhan-tuhan mereka. Jangan tiru amalan mereka.+ Sebaliknya, hancurkanlah patung berhala mereka dan remukkanlah tugu-tugu suci* mereka.+ 25 Sembahlah Aku, Yehuwa, Tuhan kamu.+ Aku akan memberkati kamu dengan roti dan air,+ dan Aku akan menghapuskan segala penyakit kamu.+ 26 Wanita-wanita di negeri kamu tidak akan keguguran atau mandul,+ dan Aku akan mengurniakan usia panjang kepada kamu.

27 “Sebelum kamu tiba, musuh kamu akan mendengar tentang Aku dan menggeletar ketakutan.+ Aku akan mengacau-bilaukan semua bangsa yang menyerang kamu dan menyebabkan musuh kamu berundur lalu melarikan diri.+ 28 Aku akan menyebabkan musuh kamu dilanda rasa gentar sebelum kamu tiba.+ Aku akan mengusir orang Hewi, Kanaan, dan Het dari hadapan kamu.+ 29 Aku tidak akan mengusir mereka semua dalam masa setahun, kerana hal ini akan menjadikan tanah itu terbiar, dan binatang buas akan bertambah banyak sehingga membahayakan kamu.+ 30 Aku akan mengusir mereka sedikit demi sedikit sehingga kamu menjadi cukup banyak untuk menakluki tanah itu.+

31 “Aku akan menetapkan sempadan negeri kamu, iaitu dari Laut Merah ke Laut Tengah,* dan dari padang belantara ke sungai besar.*+ Aku akan menyerahkan penduduk negeri itu ke dalam tangan kamu, dan kamu akan mengusir mereka semua.+ 32 Jangan membuat perjanjian dengan mereka atau tuhan-tuhan mereka.+ 33 Jangan biarkan mereka tinggal di negeri kamu, supaya mereka tidak membuat kamu berdosa terhadap-Ku. Jika kamu menyembah tuhan-tuhan mereka, hal itu pasti akan menjadi jerat bagi kamu.”+

24 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Naiklah ke atas gunung, engkau bersama Harun, Nadab, Abihu,+ dan 70 orang pemimpin umat Israel. Kamu semua harus sujud menyembah Aku dari jauh. 2 Musa, engkau sahaja yang boleh menghadap Aku, Yehuwa. Mereka yang lain tidak boleh datang mendekati-Ku. Umat Israel tidak boleh naik bersama engkau.”+

3 Musa pergi dan memberitahu umat Israel segala perintah dan ketetapan Yehuwa.+ Dengan sebulat suara, mereka semua menjawab, “Kami rela melakukan segala yang difirmankan oleh Yehuwa.”+ 4 Oleh itu, Musa mencatatkan segala yang difirmankan oleh Yehuwa.+ Pada awal pagi, dia bangun lalu membina sebuah mazbah di kaki gunung itu. Dia juga mendirikan 12 buah tugu batu yang mewakili 12 suku Israel. 5 Musa pun mengutus beberapa orang pemuda Israel untuk mempersembahkan korban bakar. Mereka juga mempersembahkan lembu jantan sebagai korban pendamaian+ kepada Yehuwa. 6 Kemudian Musa mengambil setengah daripada darah korban itu lalu menuangkannya ke dalam mangkuk-mangkuk, dan yang setengah lagi dipercikkannya ke atas mazbah. 7 Selepas itu, Musa mengambil kitab perjanjian dan membacakannya kepada seluruh umat.+ Mereka berkata, “Kami rela mentaati Yehuwa dan melakukan segala perintah-Nya.”+ 8 Maka Musa mengambil darah lalu memercikkannya ke atas umat Israel.+ Dia berkata, “Darah ini mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Yehuwa dengan kamu berdasarkan perintah-perintah yang telah kamu dengar tadi.”+

9 Musa, Harun, Nadab, Abihu, dan 70 orang pemimpin umat Israel mendaki gunung, 10 lalu mereka nampak Tuhan orang Israel.+ Di bawah kaki-Nya, terdapat sesuatu yang kelihatan seperti lantai yang diperbuat daripada batu nilam. Lantai itu secerah langit yang tidak berawan.+ 11 Sementara para pemimpin orang Israel+ makan dan minum, mereka nampak Tuhan yang benar dalam suatu penglihatan, tetapi Dia tidak mengapa-apakan mereka.

12 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Naiklah ke atas gunung untuk menghadap Aku dan tinggallah di sana. Aku akan memberi kamu batu-batu tulis. Aku akan menulis hukum dan perintah-Ku pada batu-batu itu untuk mengajar umat Israel.”+ 13 Maka Musa dan pembantunya Yosua+ pun bersiap-siap. Kemudian Musa naik ke atas gunung Tuhan yang benar.+ 14 Tetapi Musa berkata kepada para pemimpin orang Israel, “Tunggulah kami di sini sehingga kami balik.+ Harun dan Hur+ ada bersama kamu. Jika timbul masalah yang perlu diadili, berjumpalah dengan mereka.”+ 15 Musa pun naik ke atas gunung yang diliputi awan.+

16 Kemuliaan Yehuwa+ terus berada di Gunung Sinai,+ dan awan meliputi gunung itu selama enam hari. Pada hari ketujuh, Dia memanggil Musa dari tengah-tengah awan itu. 17 Bagi orang Israel yang menyaksikan semua itu, kemuliaan Yehuwa kelihatan seperti api besar yang menyala-nyala di atas puncak gunung. 18 Kemudian Musa terus mendaki gunung sehingga dia diliputi awan.+ Dia tinggal di situ selama 40 hari dan 40 malam.+

25 Yehuwa berfirman kepada Musa, 2 “Beritahulah umat Israel supaya memberikan sumbangan kepada-Ku. Kumpulkanlah sumbangan daripada setiap orang yang hatinya terdorong untuk memberi.+ 3 Inilah sumbangan yang harus dikumpulkan daripada mereka: Emas,+ perak,+ tembaga,+ 4 benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, kain linen halus, bulu kambing, 5 kulit biri-biri jantan yang dicelup merah, kulit anjing laut, kayu akasia,+ 6 minyak untuk pelita,+ balsam* untuk minyak suci*+ dan untuk kemenyan yang harum,+ 7 dan batu oniks serta batu-batu permata yang lain untuk ditatah pada efod*+ dan penutup dada.+ 8 Binalah sebuah tempat suci untuk-Ku, dan Aku akan tinggal bersama-sama kamu.+ 9 Khemah suci* dan semua peralatannya harus dibuat menurut reka bentuk yang Aku tunjukkan kepada engkau.+

10 “Buatlah sebuah tabut* daripada kayu akasia, yang berukuran kira-kira 111 sentimeter panjang, kira-kira 67 sentimeter lebar, dan kira-kira 67 sentimeter tinggi.*+ 11 Salutilah tabut itu dengan emas tulen.+ Bahagian dalam dan luarnya harus disaluti emas, dan bingkai yang menghiasi bahagian atasnya harus diperbuat daripada emas.+ 12 Buatlah empat gelang emas dan pasangkan gelang itu dekat keempat-empat kaki tabut, iaitu dua gelang pada satu sisi dan dua gelang pada sisi sebelah. 13 Buatlah kayu pengusung daripada kayu akasia dan salutilah kayu pengusung itu dengan emas.+ 14 Masukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang pada kedua-dua sisi tabut itu agar tabut dapat diusung. 15 Kayu pengusung harus tetap ada di dalam gelang-gelang tabut dan tidak boleh dikeluarkan.+ 16 Masukkan batu-batu tulis yang akan Aku berikan kepada engkau ke dalam tabut. Batu-batu itu bertuliskan perintah-Ku.+

17 “Buatlah penutup tabut itu daripada emas tulen, yang berukuran kira-kira 111 sentimeter panjang dan kira-kira 67 sentimeter lebar.+ 18 Buatlah dua kerub* daripada emas tempaan di kedua-dua hujung penutup tabut.+ 19 Tempatkan kerub-kerub itu pada kedua-dua hujung penutup, iaitu satu kerub pada setiap hujung penutup tabut. 20 Kerub-kerub harus saling berhadapan di atas penutup, dengan muka memandang ke bawah, ke arah penutup tabut. Kedua-dua sayap kerub harus terbentang untuk membayangi penutup tabut.+ 21 Tutuplah tabut itu dengan penutupnya.+ Batu-batu tulis yang akan Aku berikan kepada engkau haruslah disimpan di dalam tabut. 22 Aku akan menampakkan diri dan berfirman kepadamu dari atas penutup itu.+ Di antara dua kerub di atas tabut perjanjian itu, Aku akan memberimu segala perintah-Ku untuk umat Israel.

23 “Buatlah sebuah meja+ daripada kayu akasia, yang berukuran 89 sentimeter panjang, 44.5 sentimeter lebar, dan kira-kira 67 sentimeter tinggi.*+ 24 Salutilah meja itu dengan emas tulen dan buatlah bingkai emas di sekelilingnya. 25 Buatlah jalur selebar 7.4 sentimeter* di sekeliling meja dan hiasi jalur itu dengan pinggiran emas. 26 Buatlah empat gelang daripada emas dan pasangkan gelang-gelang itu pada keempat-empat sudut, iaitu pada keempat-empat kaki meja. 27 Gelang-gelang itu harus dipasang dekat jalur meja sebagai tempat untuk memasukkan kayu pengusung. 28 Buatlah kayu pengusung daripada kayu akasia dan salutinya dengan emas. Kayu-kayu itu akan digunakan untuk mengusung meja.

29 “Buatlah pinggan dan cawan, dan buatlah juga kendi dan mangkuk untuk mencurahkan korban wain. Semua itu harus diperbuat daripada emas tulen.+ 30 Roti yang dipersembahkan harus sentiasa diletakkan di atas meja di hadapan-Ku.+

31 “Buatlah kaki pelita+ daripada emas tulen yang ditempa. Kaki pelita itu hendaklah mempunyai alas dan batang, dan dari batang itu akan ada cabang-cabang. Pada setiap cabang itu, akan ada sepal, kuncup, dan kelopak bunga.+ 32 Ada enam cabang yang keluar daripada batang kaki pelita itu, iaitu tiga pada satu sisi, dan tiga pada sisi sebelah. 33 Setiap cabang pada satu sisi haruslah mempunyai tiga sepal yang berbentuk bunga badam, tiga kuncup, dan tiga kelopak bunga. Semuanya disusun secara berselang-seli. Lakukanlah hal yang sama untuk setiap cabang yang ada pada sisi sebelah. Demikianlah keenam-enam cabang yang keluar daripada batang pelita itu. 34 Batang kaki pelita haruslah mempunyai empat sepal yang berbentuk bunga badam, empat kuncup, dan empat kelopak bunga. Semuanya disusun secara berselang-seli. 35 Ada satu kuncup di bawah pasangan cabang yang pertama, satu kuncup di bawah pasangan cabang yang kedua, dan satu kuncup lagi di bawah pasangan cabang yang ketiga. Demikianlah keenam-enam cabang yang keluar daripada batang pelita itu. 36 Kesemua kuncup dan cabang serta seluruh kaki pelita itu haruslah ditempa daripada seketul emas tulen.+ 37 Buatlah tujuh buah pelita pada kaki pelita itu supaya cahayanya akan memancar ke hadapan apabila pelita-pelita itu dinyalakan.+ 38 Penyepit dan bekas perbaraannya juga harus diperbuat daripada emas tulen.+ 39 Kaki pelita itu dan semua peralatannya haruslah diperbuat daripada 34.2 kilogram* emas tulen. 40 Buatlah kaki pelita itu menurut reka bentuk yang telah Aku tunjukkan kepada engkau di atas gunung ini.+

26 “Buatlah 10 helai kain untuk khemah suci.+ Kain-kain itu hendaklah dibuat daripada kain linen halus yang dipintal, benang biru, benang merah, dan kain bulu yang dicelup ungu. Sulamlah kain-kain itu dengan gambar kerub.+ 2 Ukuran setiap kain mestilah sama, iaitu 12.5 meter panjang dan 1.8 meter lebar.*+ 3 Sambungkan lima helai kain itu menjadi sehelai kain besar, begitu juga dengan lima helai kain yang lain. 4 Buatlah gelung-gelung daripada benang biru pada pinggir kain besar itu. Buatlah demikian pada pinggir kain besar yang satu lagi supaya kedua-duanya dapat disambungkan. 5 Buatlah 50 gelung pada pinggir kain besar itu dan 50 gelung pada pinggir kain besar yang satu lagi, supaya gelungan pada kedua-dua helai kain itu saling berpadanan apabila disambungkan. 6 Buatlah 50 bentuk cangkuk emas untuk menyambungkan kedua-dua kain itu. Dengan itu, kamu akan mendapat sehelai kain yang besar untuk khemah suci.+

7 “Buatlah 11 helai kain daripada bulu kambing+ untuk dijadikan penutup khemah suci.+ 8 Ukuran setiap kain mestilah sama, iaitu 13.4 meter panjang dan 1.8 meter lebar.* 9 Sambungkan lima helai kain itu menjadi sehelai kain besar, begitu juga dengan enam helai kain yang lain. Akan ada lebihan kain di bahagian depan khemah. Lebihan kain itu harus dilipat dua. 10 Buatlah 50 gelung pada pinggir kain besar itu dan 50 gelung pada pinggir kain besar yang satu lagi, supaya kedua-duanya dapat disambungkan. 11 Buatlah 50 bentuk cangkuk tembaga, dan masukkan cangkuk-cangkuk itu ke dalam gelungan untuk menyambungkan kedua-dua kain itu. Dengan itu, kamu akan mendapat sehelai kain yang besar untuk menutupi khemah suci. 12 Akan ada lebihan kain di bahagian belakang khemah. Biarkan lebihan kain itu terjuntai. 13 Kain bulu kambing yang dibiarkan terjuntai untuk menutupi kedua-dua sisi khemah suci haruslah berukuran 44.5 sentimeter* lebih panjang daripada kain khemah yang pertama.

14 “Buatlah sehelai penutup khemah daripada kulit bebiri jantan yang dicelup merah, dan buatlah sehelai lagi daripada kulit anjing laut untuk diletakkan di atasnya.+

15 “Buatlah rangka-rangka+ daripada kayu akasia. Tegakkanlah rangka-rangka itu untuk membentuk dinding khemah suci.+ 16 Ukuran setiap rangka mestilah 445 sentimeter tinggi dan kira-kira 67 sentimeter lebar.* 17 Buatlah dua unjuran yang bersebelahan untuk setiap rangka. Semua rangka untuk khemah suci haruslah mempunyai unjuran seperti itu. 18 Buatlah 20 rangka untuk bahagian selatan khemah suci.

19 “Buatlah 40 buah alas daripada perak dan letakkan alas-alas+ itu di bawah 20 rangka khemah. Letakkan dua buah alas di bawah setiap rangka untuk menyangga kedua-dua unjurannya.+ 20 Buatlah 20 rangka untuk bahagian utara khemah suci. 21 Buatlah 40 buah alas daripada perak, dan letakkan 2 buah alas di bawah setiap rangka. 22 Buatlah enam rangka untuk bahagian belakang khemah suci yang menghadap barat.+ 23 Buatlah dua rangka untuk menyokong kedua-dua sudut belakang khemah suci. 24 Rangka itu haruslah mempunyai dua batang kayu yang bahagian atasnya disambungkan pada gelang yang pertama. Buatlah demikian untuk rangka di sudut yang lain. Rangka-rangka ini akan menyokong kedua-dua sudut belakang khemah suci. 25 Oleh itu, semuanya ada lapan rangka dengan 16 buah alas daripada perak, iaitu 2 buah alas di bawah setiap rangka.

26 “Buatlah kayu lintang daripada kayu akasia untuk menyambungkan rangka-rangka khemah: Lima batang untuk rangka-rangka pada satu sisi khemah,+ 27 lima batang pada sisi yang lain, dan lima batang lagi di bahagian belakang khemah yang menghadap barat. 28 Kayu lintang yang terdapat di bahagian tengah rangka haruslah dipasang dari satu hujung ke hujung yang lain khemah itu.

29 “Salutilah semua rangka khemah dan semua kayu lintang dengan emas.+ Buatlah juga gelang-gelang emas untuk menyangga kayu-kayu lintang itu. 30 Binalah khemah suci menurut contoh yang Aku tunjukkan kepada engkau di atas gunung ini.+

31 “Buatlah tirai+ daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Sulamlah tirai itu dengan gambar kerub. 32 Gantungkanlah tirai itu pada empat batang tiang kayu akasia yang bersalut emas, dengan menggunakan cangkuk-cangkuk emas. Tiang-tiang itu haruslah ditegakkan di atas empat buah alas perak. 33 Gantungkanlah tirai itu pada cangkuk-cangkuk, dan bawalah tabut perjanjian+ ke belakang tirai itu. Tirai itu akan menjadi pemisah antara Bilik Suci+ dengan Bilik Maha Suci.+ 34 Letakkanlah penutup pada tabut perjanjian dan bawalah tabut itu ke dalam Bilik Maha Suci.

35 “Letakkanlah meja di luar tirai pemisah itu, iaitu di bahagian utara khemah. Kaki pelita+ pula hendaklah diletakkan bertentangan dengan meja itu, iaitu di bahagian selatan khemah. 36 Tenunlah tabir untuk pintu masuk khemah. Tabir itu hendaklah dibuat daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+ 37 Buatlah lima batang tiang kayu akasia yang bersalut emas untuk tabir khemah. Buatlah juga cangkuk-cangkuk emas dan lima alas tembaga untuk tiang-tiang itu.

27 “Buatlah sebuah mazbah daripada kayu akasia.+ Mazbah itu haruslah berbentuk segi empat, berukuran kira-kira dua meter panjang, kira-kira dua meter lebar, dan kira-kira satu meter tinggi.*+ 2 Buatlah tanduk-tanduk+ pada keempat-empat sudutnya, dan tanduk-tanduk itu akan menjadi sebahagian daripada mazbah. Semuanya haruslah disaluti tembaga.+ 3 Buatlah baldi untuk mengumpulkan abu,* dan buatlah juga penyodok, mangkuk, garpu, dan bekas perbaraan. Semua peralatan mazbah haruslah diperbuat daripada tembaga.+ 4 Buatlah kekisi daripada tembaga dan empat buah gelang tembaga, lalu pasangkan satu gelang pada setiap sudut. 5 Masukkan kekisi itu di bawah jalur yang melingkari mazbah, di tengah-tengah mazbah, iaitu setengah daripada ketinggian mazbah. 6 Buatlah kayu pengusung daripada kayu akasia untuk mazbah, dan salutilah kayu-kayu itu dengan tembaga. 7 Masukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang pada kedua-dua sisi mazbah itu semasa mazbah diusung.+ 8 Gunakanlah kepingan papan untuk membuat mazbah. Mazbah itu haruslah berbentuk kotak kosong, menurut contoh yang ditunjukkan kepadamu di atas gunung ini.+

9 “Buatlah tirai di sekeliling halaman khemah.+ Pada bahagian halaman yang menghadap selatan, buatlah tirai daripada kain linen halus yang dipintal. Tirai itu haruslah berukuran 44.5 meter* panjang.+ 10 Buatlah 20 batang tiang dan 20 buah alas daripada tembaga. Buatlah juga cangkuk dan penghubung* daripada perak untuk tiang-tiang itu. 11 Tirai di bahagian yang menghadap utara juga haruslah berukuran 44.5 meter panjang. Buatlah juga 20 batang tiang dan 20 buah alas daripada tembaga, berserta cangkuk dan penghubung daripada perak untuk tiang-tiang itu. 12 Tirai di bahagian barat halaman pula haruslah berukuran kira-kira 22 meter* panjang. Buatlah juga 10 batang tiang dan 10 buah alas. 13 Bahagian timur halaman, yang menghadap ke arah matahari terbit, haruslah berukuran kira-kira 22 meter panjang. 14 Pintu masuk halaman khemah terletak di bahagian itu. Pada bahagian kiri pintu masuk, buatlah tirai yang berukuran kira-kira tujuh meter* panjang berserta tiga batang tiang dan tiga buah alas.+ 15 Pada bahagian kanan pintu masuk, buatlah tirai yang berukuran kira-kira tujuh meter panjang berserta tiga batang tiang dan tiga buah alas.

16 “Tenunlah tirai untuk pintu masuk halaman khemah. Tirai itu haruslah berukuran 8.9 meter* panjang, dan dibuat daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+ Buatlah juga empat batang tiang dan empat buah alas.+ 17 Semua cangkuk dan penghubung tiang di sekeliling halaman haruslah diperbuat daripada perak, tetapi alasnya daripada tembaga.+ 18 Seluruh halaman itu haruslah berukuran 44.5 meter panjang+ dan kira-kira 22 meter lebar, dengan dinding tirai setinggi kira-kira 2 meter.* Tirai itu haruslah dibuat daripada kain linen halus yang dipintal, dan alasnya haruslah diperbuat daripada tembaga. 19 Semua peralatan yang digunakan untuk khidmat yang dijalankan di khemah haruslah diperbuat daripada tembaga, begitu juga dengan semua pasak khemah dan pasak di halaman khemah.+

20 “Suruhlah umat Israel untuk membawa minyak zaitun tulen bagi pelita supaya pelita-pelita itu sentiasa bernyala.+ 21 Pelita-pelita di dalam khemah pertemuan, iaitu di luar tirai pemisah yang berhampiran dengan tabut,+ mesti sentiasa bernyala di hadapan Aku, Yehuwa.+ Harun dan anak-anak lelakinya haruslah memastikan agar semua pelita itu tetap bernyala dari petang sampai pagi. Perintah ini mesti sentiasa dipatuhi oleh orang Israel dan keturunan mereka.+

28 “Panggillah abangmu Harun+ dan anak-anak lelakinya,+ iaitu Nadab, Abihu,+ Eleazar, dan Itamar+ daripada kalangan umat Israel untuk berkhidmat sebagai imam kepada-Ku.+ 2 Buatlah pakaian suci sebagai lambang kemuliaan dan keindahan untuk abangmu Harun.+ 3 Panggillah orang yang mahir, yang telah Aku kurniai kebijaksanaan,+ dan suruhlah mereka membuat pakaian Harun supaya dia dapat disucikan untuk berkhidmat sebagai imam kepada-Ku.

4 “Suruhlah mereka membuat pakaian berikut: Penutup dada,+ efod,*+ jubah yang tidak berlengan,+ jubah yang bercorak petak, serban,+ dan pengikat pinggang jubah.+ Buatlah pakaian suci ini untuk abangmu Harun dan anak-anaknya supaya mereka dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku. 5 Pekerja-pekerja yang mahir haruslah menggunakan benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen yang halus.

6 “Efod haruslah ditenun daripada benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+ 7 Bahagian depan dan belakang efod haruslah disambungkan dengan menggunakan dua helai kain bahu. 8 Tenunlah pengikat pinggang+ efod daripada bahan yang sama, iaitu benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Pengikat itu haruslah dijahit pada efod supaya efod dapat diikat dengan rapi pada pinggang.

9 “Ambillah dua biji batu oniks+ dan ukirkan nama anak-anak lelaki Israel+ pada batu itu, 10 iaitu enam nama pada satu batu dan enam lagi pada batu yang lain, mengikut turutan kelahiran mereka. 11 Tukang batu haruslah mengukirkan nama anak-anak lelaki Israel pada dua biji batu itu. Mereka haruslah mengukirnya seperti mengukir meterai.+ Batu-batu itu haruslah ditatah pada bingkai emas. 12 Pasangkan kedua-dua batu itu pada kain bahu efod sebagai tanda peringatan bagi orang Israel.+ Dengan itu, Harun akan membawa nama mereka di atas bahunya sebagai tanda peringatan semasa menghadap Aku, Yehuwa. 13 Buatlah bingkai-bingkai emas 14 dan dua utas rantai emas tulen yang dipintal seperti tali,+ lalu pasangkan rantai itu pada bingkai emas.+

15 “Buatlah sehelai penutup dada penghakiman.+ Penutup dada ini haruslah disulam daripada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat efod, iaitu benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+ 16 Penutup dada itu haruslah berbentuk segi empat apabila dilipat dua. Ukurannya haruslah 22.2 sentimeter* panjang dan 22.2 sentimeter lebar. 17 Penutup dada itu harus ditatah dengan empat baris batu permata. Pada baris pertama, batu delima, batu topaz, dan batu zamrud. 18 Pada baris kedua, batu firus, batu nilam, dan batu jasper. 19 Pada baris ketiga, batu leshem,* batu akik, dan batu kecubung. 20 Pada baris keempat, batu krisolit, batu oniks, dan batu jed. Batu-batu itu haruslah ditatah pada bingkai emas. 21 Ukirkan nama 12 anak lelaki Israel di atas batu-batu itu, seperti mengukir meterai. Ukirkan satu nama di atas satu batu. Nama-nama itu melambangkan 12 suku Israel.

22 “Buatlah dua utas rantai daripada emas tulen yang dipintal seperti tali untuk penutup dada.+ 23 Buatlah juga dua gelang emas, dan pasangkan gelang-gelang itu pada kedua-dua sudut bahagian atas penutup dada. 24 Masukkan rantai emas ke dalam gelang emas pada kedua-dua sudut penutup dada. 25 Sambungkan hujung rantai emas dengan bingkai emas pada kain bahu efod. Dengan itu, penutup dada akan berada di bahagian depan efod. 26 Kemudian buatlah dua gelang emas dan pasangkan gelang-gelang itu pada sudut bahagian bawah penutup dada, yang kena pada efod.+ 27 Buatlah dua gelang emas lagi dan pasangkan gelang-gelang itu di bahagian bawah sebelah depan efod, iaitu di atas pengikat pinggang efod yang ditenun, dekat jahitan yang menyambungkan pengikat pinggang dengan efod.+ 28 Gunakanlah seutas tali biru untuk menyambungkan gelang penutup dada itu dengan gelang yang ada pada efod, supaya penutup dada itu terletak di atas pengikat pinggang dan tidak terlepas daripada efod.

29 “Semasa Harun memasuki Bilik Suci, dia haruslah memakai penutup dada penghakiman yang mengandungi nama anak-anak Israel. Dia memakai penutup ini di atas dadanya sebagai tanda peringatan di hadapan Aku, Yehuwa. 30 Masukkan Urim dan Tumim*+ ke dalam penutup dada penghakiman. Dia haruslah sentiasa memakai penutup itu di atas dadanya semasa menghadap Aku, Yehuwa. Semasa Harun menghadap Aku, Yehuwa, dia haruslah membawa Urim dan Tumim yang digunakan untuk menghakimi bangsa Israel.

31 “Buatlah jubah yang tidak berlengan untuk dipakai di bawah efod. Seluruh jubah itu haruslah dibuat daripada benang biru.+ 32 Pinggir lubang leher jubah itu haruslah ditenun seperti pinggir pada leher baju zirah, supaya tidak mudah koyak. 33 Di sekeliling hujung jubah itu, buatlah hiasan berupa buah delima daripada benang biru, benang merah, dan kain bulu yang dicelup ungu. Buatlah juga loceng emas di antara buah delima itu. 34 Susunlah buah delima dan loceng emas itu secara berselang-seli di sekeliling hujung jubah yang tidak berlengan itu. 35 Harun mesti memakai jubah itu semasa dia bertugas di hadapan Aku, Yehuwa, di dalam khemah suci. Apabila dia masuk atau keluar, bunyi loceng akan kedengaran dan dia tidak akan mati.+

36 “Buatlah satu kepingan nipis daripada emas tulen yang berkilat. Ukirkan perkataan, ‘Kesucian milik Yehuwa’+ pada kepingan itu. Ukirkannya seperti mengukir meterai. 37 Ikatkan kepingan itu di bahagian depan serban+ dengan tali biru. 38 Harun mesti memakainya pada dahinya, dan dia akan bertanggungjawab apabila orang Israel berdosa terhadap benda-benda suci,+ iaitu semasa mereka mempersembahkan korban suci kepada-Ku. Kepingan itu mestilah selalu diikat pada dahi Harun, supaya Aku, Yehuwa, berkenan kepada mereka.

39 “Buatlah serban daripada kain linen halus. Tenunlah juga pengikat pinggang jubah+ dan jubah yang bercorak petak daripada kain linen halus.

40 “Buatlah jubah, pengikat pinggang jubah, dan pengikat kepala sebagai lambang kemuliaan dan keindahan+ untuk anak-anak lelaki Harun.+ 41 Kenakanlah pakaian itu pada abangmu Harun dan anak-anak lelakinya, dan urapilah mereka.+ Lantiklah mereka+ dan sucikanlah mereka supaya mereka dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku. 42 Buatlah seluar pendek daripada kain linen untuk menutupi bahagian sulit mereka.+ Panjang seluar itu mestilah dari pinggang ke paha. 43 Semua itu haruslah dipakai oleh Harun dan anak-anak lelakinya semasa mereka memasuki khemah pertemuan, atau semasa mereka mendekati mazbah untuk bertugas di khemah suci. Mereka mesti berbuat demikian supaya mereka tidak berdosa lalu dihukum mati. Perintah ini haruslah sentiasa dipatuhi oleh Harun dan keturunannya.

29 “Lakukanlah hal-hal ini untuk menyucikan Harun dan anak-anak lelakinya supaya mereka dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku. Ambillah seekor anak lembu jantan dan dua ekor bebiri jantan yang tidak ada kecacatan.+ 2 Buatlah tiga jenis roti yang tidak beragi daripada tepung gandum yang terbaik: Roti yang berbentuk bulat, roti berbentuk gelang yang dicampurkan dengan minyak, dan roti nipis yang disapu dengan minyak.+ 3 Letakkan semua roti itu di dalam bakul.+ Kemudian persembahkanlah roti itu bersama lembu jantan dan dua ekor bebiri jantan tersebut.

4 “Bawalah Harun dan anak-anak lelakinya ke hadapan pintu masuk khemah pertemuan,+ dan suruhlah mereka membasuh diri dengan air.+ 5 Kemudian kenakanlah pakaian+ berikut pada Harun: Jubah yang bercorak petak, jubah yang tidak berlengan, efod, dan penutup dada. Pengikat yang dijahit pada efod haruslah diikatkan dengan rapi pada pinggangnya.+ 6 Pakaikan serban di atas kepalanya dan ikatkan tanda pembaktian suci pada serban+ itu. 7 Ambillah minyak suci+ dan tuangkan minyak itu ke atas kepala Harun untuk mengurapinya.+

8 “Kemudian bawalah anak-anak lelaki Harun ke hadapan dan kenakanlah jubah-jubah pada mereka.+ 9 Lilitkan pengikat pinggang jubah pada mereka, seperti yang telah engkau lakukan untuk Harun. Kenakanlah juga pengikat kepala pada mereka. Aku telah menetapkan bahawa Harun dan keturunannya akan sentiasa berkhidmat sebagai imam kepada-Ku.+ Beginilah caranya engkau melantik mereka untuk berkhidmat sebagai imam.+

10 “Bawalah lembu jantan itu ke hadapan khemah pertemuan. Harun dan anak-anak lelakinya haruslah meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu itu.+ 11 Kemudian, sembelihlah lembu itu di hadapan Aku, Yehuwa, iaitu di depan pintu masuk khemah pertemuan.+ 12 Ambillah sedikit darah lembu jantan itu, lalu dengan jarimu, sapukan darah itu pada tanduk-tanduk mazbah.+ Selepas itu, tuangkan sisa darah itu di bahagian bawah mazbah.+ 13 Ambillah semua lemak+ pada usus dan hati lembu itu, serta kedua-dua ginjal dengan lemaknya, lalu bakarlah semua itu sehingga asap naik dari mazbah.+ 14 Tetapi bakarlah daging, kulit, dan tahi lembu itu di luar perkhemahan. Buatlah semua ini sebagai korban dosa.

15 “Ambillah seekor bebiri jantan, lalu Harun dan anak-anak lelakinya haruslah meletakkan tangan mereka di atas kepala bebiri itu.+ 16 Kemudian, sembelihlah bebiri itu lalu ambillah darahnya dan percikkannya pada keempat-empat sisi mazbah.+ 17 Potonglah bebiri itu menjadi beberapa potongan. Basuhlah usus+ dan betisnya, lalu susunkan semua bahagian ini bersama dengan kepalanya. 18 Bakarlah seluruh bebiri jantan itu untuk Aku, Yehuwa, sehingga asap naik dari mazbah. Bau daripada korban yang dibakar ini menyenangkan hati-Ku.+ Inilah korban bakar untuk Aku, Yehuwa.

19 “Ambillah bebiri jantan yang satu lagi, lalu Harun dan anak-anak lelakinya haruslah meletakkan tangan mereka di atas kepala bebiri itu.+ 20 Sembelihlah bebiri itu lalu ambillah sedikit darahnya dan sapukannya pada cuping telinga kanan Harun dan cuping telinga kanan anak-anak lelakinya, ibu jari tangan kanan mereka, dan ibu jari kaki kanan mereka. Percikkan darah itu pada keempat-empat sisi mazbah juga. 21 Kemudian, ambillah sedikit darah dari mazbah dan sedikit minyak suci+ lalu percikkan semuanya pada Harun, anak-anaknya, dan pakaian mereka. Dengan ini, Harun, anak-anaknya, dan pakaian mereka akan menjadi suci.+

22 “Ambillah lemak bebiri jantan itu, termasuk lemak pada usus dan hatinya. Ambillah juga ekornya yang berlemak, kedua-dua ginjal dengan lemaknya,+ dan kaki kanannya. Inilah bebiri yang dikorbankan semasa upacara pelantikan imam.+ 23 Daripada bakul roti tidak beragi yang terletak di hadapan Yehuwa, ambillah seketul roti berbentuk bulat, seketul roti berbentuk gelang yang dicampurkan dengan minyak, dan sekeping roti nipis. 24 Letakkan semuanya di tangan Harun dan tangan anak-anak lelakinya lalu engkau harus mengayunkannya ke depan dan belakang sebagai korban kepada Aku, Yehuwa. 25 Kemudian, ambillah korban itu daripada mereka dan bakarnya di atas mazbah bersama korban bakar untuk dipersembahkan kepada Aku, Yehuwa. Bau daripada korban ini menyenangkan hati-Ku. Inilah korban bakar untuk Aku, Yehuwa.

26 “Ambillah dada bebiri jantan yang dikorbankan semasa pelantikan Harun sebagai imam,+ dan ayunkannya ke depan dan belakang sebagai korban kepada Aku, Yehuwa. Bahagian ini akan menjadi milik engkau. 27 Sucikanlah bahagian-bahagian daripada bebiri jantan yang dikorbankan semasa pelantikan+ Harun dan anak-anak lelakinya, iaitu dada bebiri jantan yang telah diayunkan ke depan dan belakang sebagai korban dan kakinya yang menjadi milik imam. 28 Dada dan kaki bebiri ialah bahagian yang dikhaskan+ untuk para imam, dan akan menjadi milik Harun dan keturunannya. Semasa orang Israel mempersembahkan korban pendamaian,+ mereka haruslah sentiasa mematuhi perintah ini dengan mengekhaskan bahagian ini untuk Aku, Yehuwa.

29 “Pakaian-pakaian suci+ milik Harun akan digunakan oleh keturunannya+ apabila mereka diurapi dan dilantik sebagai imam. 30 Keturunan Harun yang menggantikannya sebagai imam, dan yang memasuki khemah pertemuan untuk bertugas di tempat suci, haruslah memakai pakaian itu selama tujuh hari.+

31 “Ambillah daging bebiri yang dikorbankan semasa upacara pelantikan imam, dan rebuslah daging itu di tempat suci.+ 32 Harun dan anak-anak lelakinya haruslah memakan+ daging itu bersama roti yang ada di dalam bakul, di pintu masuk khemah pertemuan. 33 Mereka haruslah memakan semua ini yang telah dipersembahkan untuk pengampunan dosa semasa mereka dilantik sebagai imam dan disucikan. Tetapi orang lain* tidak boleh memakannya kerana makanan itu sesuatu yang suci.+ 34 Jika ada roti atau daging daripada bebiri yang dikorbankan itu yang tertinggal sampai keesokan paginya, roti atau daging itu mesti dibakar.+ Jangan memakannya kerana makanan itu sesuatu yang suci.

35 “Lakukanlah hal ini kepada Harun dan anak-anak lelakinya, sebagaimana yang telah Aku perintahkan kepada engkau. Laksanakanlah upacara pelantikan mereka selama tujuh hari.+ 36 Setiap hari, engkau haruslah mempersembahkan lembu jantan sebagai korban untuk memohon pengampunan dosa dan untuk menyucikan mazbah. Urapilah mazbah itu dengan minyak agar menjadi suci.+ 37 Persembahkanlah korban pengampunan dosa selama tujuh hari untuk menyucikan mazbah itu. Dengan berbuat demikian, mazbah itu akan menjadi suci sepenuhnya.+ Sesiapa yang bertugas di mazbah haruslah suci.

38 “Persembahkanlah dua ekor bebiri jantan yang berumur satu tahun di atas mazbah itu. Teruslah berbuat demikian setiap hari.+ 39 Persembahkanlah seekor bebiri pada waktu pagi dan seekor lagi pada waktu senja.*+ 40 Bersama bebiri yang pertama itu, persembahkanlah satu persepuluh efa* tepung yang terbaik, yang telah dicampurkan dengan satu perempat hin* minyak zaitun tulen, dan persembahkanlah juga satu perempat hin wain sebagai korban wain. 41 Pada waktu senja, persembahkanlah bebiri yang kedua bersama tepung yang terbaik dan korban wain kepada Aku, Yehuwa, sama seperti yang dipersembahkan pada waktu pagi. Bau daripada korban yang dibakar ini menyenangkan hati-Ku. 42 Keturunanmu haruslah sentiasa mempersembahkan korban bakar ini di pintu masuk khemah pertemuan di hadapan-Ku. Aku, Yehuwa, akan menampakkan diri dan berfirman kepadamu di sana.+

43 “Di sana, Aku akan bertemu dengan orang Israel, dan kemuliaan-Ku+ akan menjadikan tempat itu suci. 44 Aku akan menyucikan khemah pertemuan dan mazbah. Aku juga akan menyucikan Harun dan anak-anak lelakinya+ supaya mereka dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku. 45 Aku akan tinggal bersama umat Israel, dan Aku akan menjadi Tuhan mereka.+ 46 Mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan mereka. Aku telah membawa mereka keluar dari Mesir supaya Aku dapat tinggal bersama mereka.+ Akulah Yehuwa, Tuhan mereka.

30 “Buatlah sebuah mazbah daripada kayu akasia, sebagai tempat membakar kemenyan.+ 2 Mazbah itu haruslah berbentuk segi empat, berukuran 44.5 sentimeter panjang, 44.5 sentimeter lebar, dan 89 sentimeter tinggi.* Tanduk-tanduknya akan menjadi sebahagian daripada mazbah.+ 3 Salutilah seluruh mazbah itu dengan emas tulen, iaitu bahagian atas, semua sisi, dan tanduk-tanduknya. Pasangkan bingkai emas pada bahagian atasnya. 4 Di bawah bingkai, buatlah gelang emas untuk menyangga kayu pengusung mazbah. Buatlah dua gelang emas pada satu sisi mazbah dan dua gelang lagi pada sisi yang bertentangan dengannya. 5 Buatlah kayu pengusung daripada kayu akasia dan salutilah kayu-kayu itu dengan emas. 6 Letakkan mazbah itu di luar tirai pemisah yang berhampiran dengan tabut perjanjian,+ iaitu di hadapan penutupnya. Aku akan menampakkan diri kepadamu di sana.+

7 “Setiap pagi, semasa Harun+ menyediakan pelita,+ dia harus membakar kemenyan+ di atas mazbah itu+ sehingga asap naik dari mazbah. 8 Pada waktu senja,* Harun juga harus membakar kemenyan semasa dia menyalakan pelita. Kemenyan mesti sentiasa dipersembahkan kepada Aku, Yehuwa, secara turun-temurun. 9 Jangan mempersembahkan kemenyan haram,+ atau korban bakar, atau korban bijirin di atas mazbah itu. Jangan mencurahkan korban wain di atasnya. 10 Harun mesti menyapukan sedikit darah binatang daripada korban dosa pada tanduk-tanduk mazbah untuk menyucikannya.+ Dari generasi ke generasi, upacara pengampunan dosa bagi mazbah itu harus dilakukan sekali setahun.+ Mazbah itu sangat suci bagi Aku, Yehuwa.”

11 Yehuwa berfirman kepada Musa, 12 “Apabila kamu mengadakan banci untuk mengira bilangan lelaki umat Israel,+ setiap lelaki mesti membayar wang tebusan bagi nyawanya kepada Aku, Yehuwa. Dengan demikian, mereka tidak akan ditimpa bencana semasa banci dijalankan. 13 Mereka yang telah dihitung haruslah memberikan setengah syekel* perak menurut sukatan yang biasa digunakan di khemah suci.+ Satu syekel sama dengan 20 gera.* Ya, sumbangan yang harus diberikan kepada Aku, Yehuwa, ialah setengah syekel perak.+ 14 Setiap orang yang dihitung, iaitu mereka yang berusia 20 tahun dan ke atas, haruslah memberikan sumbangan kepada Aku, Yehuwa.+ 15 Orang kaya tidak boleh memberi lebih dan orang miskin tidak boleh memberi kurang daripada setengah syekel perak sebagai sumbangan kepada Aku, Yehuwa, untuk menebus nyawa mereka. 16 Kumpulkan wang perak yang diberikan oleh orang Israel dan gunakannya untuk membiayai segala kerja yang dijalankan di khemah pertemuan. Wang perak ini merupakan tebusan untuk orang Israel dan akan menjadi tanda peringatan untuk Aku, Yehuwa.”

17 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 18 “Buatlah sebuah besen daripada tembaga dan kakinya daripada tembaga juga.+ Letakkan besen itu di antara khemah pertemuan dengan mazbah, lalu isikannya dengan air.+ 19 Harun dan anak-anak lelakinya harus membasuh tangan dan kaki mereka dengan air itu.+ 20 Mereka harus berbuat demikian sebelum memasuki khemah pertemuan atau sebelum mendekati mazbah untuk mempersembahkan korban bakar kepada Aku, Yehuwa. Dengan itu, mereka tidak akan mati. 21 Perintah ini haruslah sentiasa dipatuhi oleh Harun dan keturunannya. Mereka harus membasuh tangan dan kaki agar mereka tidak mati.”+

22 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 23 “Ambillah juga bahan-bahan yang terbaik: Enam kilogram mur, tiga kilogram batang kayu manis, tiga kilogram rumput yang harum,* 24 dan enam kilogram kulit kayu manis, serta empat liter minyak zaitun.* Semuanya disukat berdasarkan sukatan yang biasanya digunakan di khemah suci.+ 25 Kemudian, buatlah minyak suci daripada semua bahan ini. Bahan-bahan ini haruslah dicampurkan sebagaimana seorang tukang yang mahir akan mencampurkannya.+ Demikianlah caranya kamu membuat minyak suci.

26 “Gunakanlah minyak suci ini untuk mengurapi khemah pertemuan+ dan tabut perjanjian, 27 meja serta segala peralatannya, kaki pelita serta peralatannya, mazbah untuk membakar kemenyan, 28 mazbah untuk membakar korban serta segala peralatannya, dan besen dengan kakinya. 29 Tahbiskanlah semua ini, agar semuanya menjadi benar-benar suci.+ Sesiapa yang menyentuh semua ini haruslah suci.+ 30 Urapilah Harun+ dan anak-anak lelakinya+ dan sucikanlah mereka agar mereka dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku.+

31 “Beritahulah orang Israel, ‘Minyak ini harus menjadi minyak suci untuk-Ku secara turun-temurun.+ 32 Minyak ini tidak boleh digunakan oleh orang biasa,* dan jangan membuat apa-apa sahaja dengan menggunakan campuran yang sama. Minyak ini suci, dan kamu harus sentiasa menganggapnya sebagai sesuatu yang suci. 33 Sesiapa yang membuat minyak wangi sepertinya dan menggunakannya bagi orang biasa, haruslah dihukum mati.’”+

34 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Ambillah minyak damar, kulit lokan, minyak raksamala, dan kemenyan putih yang tulen. Semua bahan harum ini mestilah sama banyaknya.+ 35 Campurkanlah semua bahan ini untuk membuat kemenyan,+ sebagaimana seorang tukang yang mahir akan mencampurkannya, lalu tambahkanlah garam+ ke dalamnya. Campuran yang harum ini ialah sesuatu yang murni dan suci. 36 Tumbuklah sebahagian daripada campuran ini sehingga menjadi serbuk yang halus. Kemudian, ambillah sedikit serbuk itu lalu letakkannya di dalam khemah pertemuan, iaitu di depan tabut, tempat Aku akan menampakkan diri kepadamu. Kamu harus menganggap kemenyan ini sebagai sesuatu yang sangat suci. 37 Jangan membuat kemenyan bagi dirimu dengan menggunakan campuran yang sama.+ Kemenyan ini suci bagi Aku, Yehuwa. Maka kamu juga harus menganggapnya suci. 38 Sesiapa yang membuat kemenyan seperti ini untuk menikmati baunya, haruslah dihukum mati.”

31 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, 2 “Aku telah memilih Bezaleel+ anak Uri, cucu Hur, daripada suku Yehuda.+ 3 Aku akan mencurahkan kuasa suci-Ku ke atasnya supaya dia mendapat kebijaksanaan, pemahaman, dan pengetahuan tentang segala jenis seni pertukangan. 4 Dengan demikian, dia dapat membuat pelbagai reka bentuk, menghasilkan barangan daripada emas, perak, dan tembaga, 5 membentuk dan menatah batu permata,+ serta membuat pelbagai barangan kayu.+ 6 Aku juga melantik Oholiab+ anak Ahisamakh daripada suku Dan sebagai pembantunya. Aku akan mengurniakan kebijaksanaan kepada semua pekerja yang mahir supaya mereka dapat membuat segala yang telah Aku perintahkan kepadamu,+ iaitu 7 khemah pertemuan,+ tabut perjanjian+ dan penutupnya,+ semua peralatan khemah, 8 meja+ serta peralatannya, kaki pelita daripada emas tulen serta segala peralatannya,+ mazbah untuk membakar kemenyan,+ 9 mazbah untuk korban bakar+ serta segala peralatannya, besen dengan kakinya,+ 10 pakaian bermutu tinggi, pakaian suci untuk Harun dan anak-anak lelakinya yang berkhidmat sebagai imam,+ 11 minyak suci, dan kemenyan harum untuk khemah suci.+ Mereka akan membuat semua yang telah Aku perintahkan kepadamu.”

12 Yehuwa berfirman kepada Musa, 13 “Beritahulah orang Israel, ‘Kamu wajib mematuhi hukum-Ku untuk menyambut hari Sabat+ secara turun-temurun, kerana hari itu ialah tanda perjanjian antara Aku dengan kamu. Dengan demikian, kamu akan tahu bahawa Aku, Yehuwa, menyucikan kamu. 14 Kamu mesti menyambut hari Sabat kerana hari itu ialah hari yang suci bagi kamu.+ Sesiapa yang melanggar hukum Sabat mesti dihukum mati. Jika ada sesiapa yang bekerja pada hari itu, orang itu mesti dihukum mati.+ 15 Kamu boleh bekerja selama enam hari, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat yang dikhaskan untuk berehat.+ Hari itu suci bagi Aku, Yehuwa. Sesiapa yang bekerja pada hari Sabat mesti dihukum mati. 16 Umat Israel mesti merayakan hari Sabat. Ya, mereka mesti menyambutnya secara turun-temurun. Hal ini merupakan suatu perjanjian yang kekal. 17 Hari itu menjadi tanda yang kekal antara Aku dengan umat Israel+ kerana Aku, Yehuwa, menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, tetapi pada hari ketujuh Aku mula berehat.’”+

18 Sebaik sahaja Tuhan habis berfirman kepada Musa di atas Gunung Sinai, Dia memberi Musa dua keping batu tulis.+ Dengan jari-Nya,+ Tuhan telah menulis perintah-Nya pada batu-batu itu.

32 Apabila orang Israel melihat bahawa Musa berada di gunung itu untuk waktu yang lama dan belum juga turun,+ mereka mengelilingi Harun dan berkata, “Kami tidak tahu apa yang sudah berlaku kepada Musa yang telah membawa kami keluar dari Mesir. Jadi buatlah tuhan untuk memimpin kami.”+ 2 Harun pun berkata, “Tanggalkanlah anting-anting emas+ yang ada pada telinga isteri, anak lelaki, dan anak perempuan kamu, lalu berikannya kepadaku.” 3 Maka semua orang menanggalkan anting-anting emas mereka dan memberikannya kepada Harun. 4 Harun mengambil emas itu dan membentuknya menjadi sebuah patung anak lembu+ dengan menggunakan alat pengukir. Maka, mereka berkata, “Hai Israel, inilah Tuhan kita yang membawa kita keluar dari Mesir.”+

5 Apabila Harun melihat hal itu, dia membina sebuah mazbah di hadapan lembu emas itu lalu berseru, “Esok ada perayaan untuk Yehuwa.” 6 Pada keesokan harinya, orang Israel bangun awal untuk mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian. Mereka duduk untuk makan dan minum, lalu bangkit untuk berpesta.+

7 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Turunlah dengan segera kerana umat yang engkau bawa keluar dari Mesir itu telah melakukan dosa yang besar.+ 8 Cepat sekali mereka menyimpang daripada jalan yang telah Aku perintahkan kepada mereka.+ Mereka telah membuat sebuah patung anak lembu lalu bersujud menyembahnya. Mereka mempersembahkan korban kepadanya sambil berkata, ‘Hai Israel, inilah Tuhan kita yang membawa kita keluar dari Mesir.’” 9 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, “Aku tahu bahawa umat ini memang degil.+ 10 Jadi biarlah Aku membinasakan mereka dengan api kemurkaan-Ku, dan menjadikan engkau sebuah bangsa yang besar.”+

11 Kemudian Musa merayu kepada Yehuwa, Tuhannya,+ dengan berkata, “Ya Yehuwa, mengapakah Engkau murka terhadap umat-Mu setelah Engkau membebaskan mereka dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan yang besar?+ 12 Jika Engkau berbuat demikian, orang Mesir pasti berkata, ‘Dia memimpin mereka keluar dengan niat yang jahat. Dia mahu membunuh mereka di pergunungan dan memusnahkan mereka dari muka bumi ini.’+ Janganlah murka lagi dan ubahlah fikiran-Mu. Janganlah timpakan bencana ini kepada umat-Mu. 13 Ingatlah akan hamba-Mu Abraham, Ishak, dan Israel. Engkau telah bersumpah demi diri-Mu sendiri dan berfirman, ‘Aku akan melipatgandakan keturunanmu sehingga mereka menjadi banyak, seperti bintang di langit.+ Seluruh negeri ini yang telah Aku janjikan kepada keturunanmu akan sentiasa menjadi milik mereka.’”+

14 Maka Yehuwa mengubah fikiran dan tidak menimpakan bencana itu kepada umat-Nya.+

15 Kemudian Musa turun dari gunung sambil membawa dua keping batu tulis.+ Batu-batu itu bertuliskan perintah Tuhan pada muka depan dan belakangnya. 16 Tuhan sendiri telah membuat batu-batu itu. Tulisan yang terukir pada batu-batu itu ialah tulisan Tuhan.+ 17 Apabila Yosua mendengar bunyi teriakan umat itu, dia berkata kepada Musa, “Saya mendengar bunyi pertempuran di perkhemahan.” 18 Tetapi Musa berkata,

“Bunyi itu bukan laungan kemenangan,

Bunyi itu juga bukan ratapan kekalahan,

Bunyi itu suara orang menyanyi.”

19 Apabila Musa mendekati perkhemahan, dia melihat patung anak lembu itu+ dan orang Israel yang sedang menari-nari. Dia naik marah lalu melemparkan batu-batu tulis yang dibawanya sehingga hancur berkecai di kaki gunung itu.+ 20 Dia mengambil patung yang dibuat oleh mereka dan membakarnya di dalam api lalu menumbuknya sehingga menjadi serbuk.+ Kemudian dia menaburkan serbuk itu ke atas air dan menyuruh orang Israel meminum air itu.+ 21 Musa berkata kepada Harun, “Apakah yang telah dilakukan umat ini kepadamu sehingga kamu menyebabkan mereka melakukan dosa yang besar?” 22 Harun menjawab, “Tuan, janganlah marah. Kamu tahu benar bahawa umat ini suka berbuat jahat.+ 23 Mereka berkata kepadaku, ‘Kami tidak tahu apa yang sudah berlaku kepada Musa yang telah membawa kami keluar dari Mesir. Jadi buatlah tuhan untuk memimpin kami.’+ 24 Maka aku berkata kepada mereka, ‘Tanggalkanlah emas yang kamu pakai dan berikannya kepadaku.’ Aku mencampakkan emas itu ke dalam api, lalu keluarlah patung anak lembu ini.”

25 Musa melihat bahawa Harun telah membiarkan umat itu menjadi tidak terkawal, sehingga mereka mendapat malu di hadapan musuh-musuh mereka. 26 Kemudian Musa pergi ke pintu gerbang perkhemahan dan berkata, “Sesiapa yang berpihak kepada Yehuwa haruslah datang ke sini!”+ Lalu semua orang Lewi berkumpul di sekelilingnya. 27 Selepas itu, Musa berkata kepada mereka, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Ikatkanlah pedang pada pinggang kamu dan jelajahilah seluruh perkhemahan, dari satu hujung ke hujung* yang lain, lalu bunuhlah saudara, jiran, dan sahabat karib kamu.’”+ 28 Orang Lewi melakukan apa yang diperintahkan Musa. Maka kira-kira 3,000 orang dihukum mati pada hari itu. 29 Musa berkata, “Sucikanlah diri kamu untuk berkhidmat kepada Yehuwa pada hari ini. Kamu telah menentang anak lelaki dan saudara kamu.+ Oleh itu, Dia akan memberkati kamu pada hari ini.”+

30 Pada keesokan harinya, Musa berkata kepada umat itu, “Kamu telah melakukan dosa yang sangat besar. Maka sekarang aku akan pergi menghadap Yehuwa untuk memohon pengampunan dosa bagi pihak kamu.”+ 31 Musa kembali menghadap Yehuwa lalu berkata, “Umat ini telah melakukan dosa yang besar! Mereka telah membuat patung emas untuk disembah!+ 32 Jika Engkau rela, ampunkanlah dosa mereka.+ Tetapi jika tidak, hapuskanlah namaku daripada kitab yang telah Engkau tulis.”+ 33 Namun Yehuwa berfirman kepada Musa, “Sesiapa yang berdosa terhadap-Ku, nama orang itulah yang akan Aku hapuskan daripada kitab-Ku. 34 Sekarang pergilah dan pimpinlah umat itu ke tempat yang telah Aku nyatakan kepadamu. Malaikat-Ku akan berada di hadapan kamu.+ Meskipun demikian, akan tiba masanya apabila Aku akan menghakimi dan menghukum umat itu atas dosa mereka.” 35 Kemudian Yehuwa mendatangkan bencana kepada umat itu kerana mereka membuat patung anak lembu. Ya, mereka telah menyuruh Harun untuk membuat patung anak lembu itu.

33 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Tinggalkanlah tempat ini bersama umat yang engkau bawa keluar dari Mesir. Pergilah ke tanah yang telah Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku telah berjanji untuk memberikan tanah itu kepada keturunan mereka.+ 2 Aku akan mengutus malaikat untuk mendahului kamu.+ Aku juga akan mengusir orang Kanaan, Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebus.+ 3 Pergilah ke tanah yang melimpah dengan susu dan madu.+ Tetapi Aku sendiri tidak akan pergi bersama-sama kamu, supaya Aku tidak membinasakan kamu ketika kamu dalam perjalanan,+ kerana kamu umat yang keras kepala.”+

4 Selepas umat Israel mendengar berita buruk itu, mereka mula berkabung dan tiada seorang pun yang memakai barang kemas. 5 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Beritahulah umat Israel, ‘Kamu umat yang degil.+ Sesungguhnya Aku dapat memusnahkan kamu dengan serta-merta.+ Maka jangan lagi memakai barang-barang kemas kamu sementara Aku menentukan apa yang akan Aku lakukan kepada kamu.’” 6 Oleh itu, umat Israel menanggalkan semua barang kemas mereka di Gunung Horeb dan tidak lagi memakainya.

7 Musa memasang khemahnya di luar kawasan perkhemahan orang Israel dan menamakannya khemah pertemuan.* Khemah itu terletak tidak jauh dari perkhemahan mereka. Sesiapa yang ingin meminta nasihat Yehuwa+ akan pergi ke khemah pertemuan itu. 8 Apabila Musa pergi ke khemah itu, seluruh umat Israel akan berdiri di pintu masuk khemah masing-masing dan memperhatikan Musa sehingga dia masuk ke dalam khemah itu. 9 Sebaik sahaja Musa masuk ke dalam khemah itu, tiang awan+ akan turun dan berhenti di pintu masuk khemah sementara Tuhan berfirman kepada Musa.+ 10 Apabila mereka semua nampak tiang awan berhenti di pintu masuk khemah itu, mereka bersujud di pintu masuk khemah masing-masing. 11 Yehuwa berfirman kepada Musa secara bersemuka,+ sebagaimana seseorang bercakap dengan sahabatnya. Apabila Musa kembali ke kawasan perkhemahan, Yosua+ anak Nun, iaitu pembantu dan pelayan Musa,+ tetap berada di khemah pertemuan.

12 Musa berkata kepada Yehuwa, “Engkau berfirman kepadaku, ‘Pimpinlah umat ini,’ tetapi Engkau tidak memberitahu aku siapa yang akan pergi bersamaku. Engkau juga berkata, ‘Aku mengenalmu dengan baik* dan Aku berkenan kepadamu.’ 13 Jika Engkau berkenan kepadaku, ajarlah aku kehendak-Mu,+ agar aku dapat mengenal-Mu dan terus menyenangkan hati-Mu. Ingatlah juga bahawa bangsa ini milik-Mu.”+ 14 Maka Tuhan berfirman, “Aku akan pergi bersamamu,+ dan Aku akan memberimu ketenangan.”+ 15 Kemudian Musa berkata kepada Tuhan, “Jika Engkau tidak mahu pergi bersama kami, janganlah suruh kami meninggalkan tempat ini. 16 Bagaimanakah orang lain akan tahu bahawa aku dan umat ini mendapat perkenan-Mu? Jika Engkau pergi bersama kami,+ barulah mereka tahu bahawa aku dan umat ini berbeza daripada bangsa-bangsa lain di bumi.”+

17 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Aku juga akan menunaikan permintaanmu ini, kerana Aku mengenalmu dengan baik dan Aku berkenan kepadamu.” 18 Musa berkata, “Tunjukkanlah kemuliaan-Mu kepadaku.” 19 Tuhan menjawab, “Aku akan menunjukkan segala kebaikan-Ku kepadamu, dan Aku akan mengisytiharkan nama-Ku, iaitu Yehuwa,+ kepadamu. Aku akan berkenan kepada orang yang Aku senangi, dan Aku akan menunjukkan belas kasihan kepada orang yang Aku kasihani.”+ 20 Tetapi Tuhan menyambung, “Engkau tidak boleh melihat muka-Ku kerana tiada orang yang dapat hidup setelah melihat Aku.”

21 Yehuwa berfirman lagi, “Ada sebuah tempat berhampiran-Ku. Berdirilah di atas batu yang ada di situ. 22 Semasa cahaya kemuliaan-Ku lalu, Aku akan menempatkanmu di celah batu itu, dan Aku akan melindungimu dengan tangan-Ku sehingga Aku telah lalu. 23 Selepas itu, Aku akan mengangkat tangan-Ku, dan engkau akan melihat belakang-Ku. Tetapi engkau tidak boleh melihat muka-Ku.”+

34 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua keping batu tulis seperti yang dahulu.+ Aku akan menulis padanya kata-kata yang ada pada batu-batu pertama,+ yang telah engkau pecahkan.+ 2 Bersiap-siaplah pada pagi esok untuk naik ke Gunung Sinai. Engkau akan menghadap Aku di puncak gunung itu.+ 3 Tetapi tiada sesiapa pun yang boleh naik bersamamu. Tiada seorang pun yang boleh berada di gunung itu, bahkan kawanan lembu dan bebiri tidak boleh meragut rumput di kaki gunung itu.”+

4 Maka Musa memahat dua keping batu tulis seperti yang dahulu. Pada awal pagi, dia bangun lalu mendaki Gunung Sinai dengan membawa dua keping batu itu, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa. 5 Yehuwa turun+ di dalam awan; Dia berdiri di sebelah Musa di atas gunung itu lalu mengisytiharkan nama-Nya, iaitu Yehuwa.+ 6 Yehuwa lalu di hadapan Musa dan berseru, “Akulah Yehuwa, Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan.+ Akulah Yehuwa, Tuhan yang tidak cepat murka.+ Aku berpegang pada kebenaran* dan menunjukkan kasih setia yang melimpah.+ 7 Aku menunjukkan kasih setia kepada beribu-ribu generasi.+ Aku mengampunkan kesalahan dan dosa,+ tetapi Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah bebas daripada hukuman.+ Aku akan menghukum bapa-bapa kerana dosa mereka, dan hukuman ini akan turut menimpa anak-anak dan cucu-cicit mereka, sehingga generasi yang ketiga dan keempat.”+

8 Dengan segera, Musa berlutut ke tanah lalu bersujud. 9 Kemudian Musa berkata, “Jika Engkau berkenan kepadaku, ya Yehuwa, pergilah bersama kami.+ Ya Yehuwa, kami umat yang degil,+ tetapi ampunkanlah kesalahan dan dosa kami,+ dan terimalah kami sebagai umat-Mu.” 10 Tuhan menjawab, “Sekarang Aku membuat perjanjian dengan kamu semua. Di depan mata umat Israel, Aku akan melakukan hal-hal yang menakjubkan, yang belum pernah dilakukan dalam kalangan bangsa-bangsa lain di seluruh bumi.+ Semua bangsa yang tinggal di sekeliling kamu akan melihat hal-hal luar biasa yang akan Aku, Yehuwa, lakukan dalam kalangan kamu.+

11 “Dengarkanlah perintah yang Aku berikan kepada kamu hari ini.+ Aku akan mengusir orang Amori, Kanaan, Het, Feris, Hewi, dan Yebus daripada kalangan kamu.+ 12 Berhati-hatilah dan jangan membuat perjanjian dengan penduduk di tanah yang akan kamu masuki,+ kerana hal itu akan menjadi jerat bagi kamu.+ 13 Sebaliknya, musnahkanlah mazbah-mazbah mereka. Hancurkanlah tugu-tugu suci* mereka dan tebanglah tiang-tiang suci* mereka.+ 14 Jangan menyembah tuhan-tuhan lain.+ Sembahlah Aku sahaja. Ya, kamu hanya boleh menyembah Aku, Yehuwa.+ 15 Berhati-hatilah dan jangan membuat perjanjian dengan penduduk di tanah itu. Hal ini demikian kerana apabila mereka mempersembahkan korban dan menyembah tuhan-tuhan mereka,*+ mereka akan menjemput kamu, lalu kamu akan memakan korban yang telah dipersembahkan itu.+ 16 Kemudian kamu pasti akan mengahwinkan anak lelaki kamu dengan anak perempuan mereka.+ Apabila anak perempuan mereka menyembah tuhan-tuhan lain, anak lelaki kamu juga akan berbuat demikian.+

17 “Jangan membuat tuhan-tuhan daripada logam.+

18 “Kamu harus menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi.+ Kamu harus memakan roti tidak beragi selama tujuh hari pada masa yang ditetapkan pada bulan Abib,*+ seperti yang telah Aku perintahkan. Hal ini demikian kerana pada bulan Abib, kamu telah keluar dari Mesir.

19 “Setiap anak lelaki sulung dan anak jantan sulung ternakan kamu merupakan milik-Ku,+ tidak kira lembu jantan atau biri-biri jantan.+ 20 Setiap anak sulung keldai haruslah ditebus dengan seekor biri-biri. Jika tidak, kamu harus mematahkan leher keldai itu. Setiap anak lelaki sulung kamu juga harus ditebus.+ Tiada sesiapa pun yang boleh menghadap Aku dengan tangan kosong.

21 “Selama enam hari kamu boleh bekerja. Tetapi pada hari ketujuh, kamu mesti berehat+ biarpun pada musim membajak dan musim menuai.

22 “Kamu harus menyambut Perayaan Menuai semasa kamu mempersembahkan hasil pertama gandum kamu. Sambutlah juga Perayaan Pondok Daun pada akhir tahun.+

23 “Tiga kali setahun, semua lelaki harus datang menghadap Aku, Tuan yang benar. Akulah Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 24 Apabila kamu datang menghadap Aku tiga kali setahun, tiada seorang pun yang akan merampas tanah kamu. Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, akan mengusir bangsa-bangsa lain daripada kalangan kamu+ dan meluaskan wilayah kamu.

25 “Jangan persembahkan darah korban binatang bersama apa-apa yang beragi kepada-Ku.+ Korban yang dipersembahkan semasa Perayaan Paska tidak boleh disimpan sehingga pagi esok.+

26 “Bawalah hasil pertama yang terbaik dari ladang kamu ke rumah milik Aku, Yehuwa, Tuhan kamu.+

“Jangan memasak anak kambing di dalam air susu induknya.”+

27 Yehuwa berfirman lagi kepada Musa, “Tulislah kata-kata ini+ kerana berdasarkan kata-kata ini, Aku membuat perjanjian denganmu dan dengan umat Israel.”+ 28 Musa berada di sana bersama Yehuwa selama 40 hari dan 40 malam. Dia tidak makan roti atau minum air.+ Pada batu-batu tulis itu, Tuhan menuliskan kata-kata perjanjian, iaitu Sepuluh Hukum.+

29 Kemudian Musa turun dari Gunung Sinai dengan membawa dua keping batu tulis itu.+ Semasa Musa turun dari gunung itu, mukanya bercahaya kerana dia telah bercakap dengan Tuhan, tetapi dia tidak menyedari hal itu. 30 Apabila Harun dan semua orang Israel melihat bahawa muka Musa bercahaya, mereka takut untuk mendekatinya.+

31 Tetapi Musa memanggil Harun dan semua pemimpin orang Israel. Maka mereka datang, dan Musa bercakap dengan mereka. 32 Selepas itu, semua orang Israel datang kepada Musa, dan dia pun menyampaikan semua perintah yang telah diberikan oleh Yehuwa kepadanya di Gunung Sinai.+ 33 Musa akan menutupi mukanya dengan selubung setiap kali dia habis bercakap kepada umat Israel.+ 34 Tetapi Musa akan membuka selubung itu apabila dia masuk ke dalam khemah untuk bercakap dengan Yehuwa.+ Selepas Musa keluar dari khemah, dia akan menyampaikan segala perintah yang diterimanya kepada umat Israel.+ 35 Orang Israel nampak bahawa muka Musa bercahaya. Maka Musa menutupi mukanya semula sehingga sampai masanya dia masuk ke dalam khemah untuk bercakap dengan Tuhan.+

35 Musa mengumpulkan seluruh umat Israel lalu berkata kepada mereka, “Inilah perintah Yehuwa kepada kamu semua:+ 2 Kamu boleh bekerja selama enam hari, tetapi hari yang ketujuh harus dianggap suci dan dikhaskan untuk berehat. Hari itu hari Sabat untuk Aku, Yehuwa.+ Sesiapa yang bekerja pada hari itu haruslah dihukum mati.+ 3 Kamu tidak boleh menyalakan api di rumah kamu pada hari Sabat.”

4 Musa berkata lagi kepada seluruh umat Israel, “Inilah yang telah diperintahkan oleh Yehuwa, 5 ‘Kumpulkanlah sumbangan untuk Aku, Yehuwa.+ Sesiapa yang terdorong untuk memberi dengan rela hati+ haruslah membawa sumbangan kepada Aku, Yehuwa. Bawalah emas, perak, tembaga, 6 benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, kain linen halus, bulu kambing,+ 7 kulit bebiri jantan yang dicelup merah, kulit anjing laut, kayu akasia, 8 minyak untuk pelita, balsam untuk minyak suci dan untuk kemenyan yang harum,+ 9 dan batu oniks serta batu-batu permata yang lain untuk ditatah pada efod+ dan penutup dada.+

10 “‘Semua pekerja yang mahir+ dalam kalangan kamu haruslah datang untuk membuat segala yang telah Aku, Yehuwa, perintahkan: 11 Khemah suci dengan kain khemah, cangkuk, rangka, kayu lintang, tiang, dan alas tiangnya; 12 tabut+ dengan kayu pengusung+ dan penutupnya,+ serta tirai pemisah;+ 13 meja+ dengan kayu pengusung dan semua peralatannya, serta roti yang dipersembahkan kepada-Ku;+ 14 kaki pelita+ dengan peralatan dan pelita-pelitanya, serta minyak untuk pelita;+ 15 mazbah untuk membakar kemenyan+ dan kayu pengusungnya; minyak suci dan kemenyan yang harum;+ tabir untuk pintu masuk khemah suci; 16 mazbah untuk korban bakar+ dengan kekisi tembaga, kayu pengusung, dan segala peralatannya; besen dengan kakinya;+ 17 tirai untuk halaman khemah suci+ dengan tiang dan alas tiangnya; tirai untuk pintu masuk halaman khemah; 18 pasak khemah suci; pasak dan tali di halaman khemah;+ 19 pakaian bermutu tinggi+ yang digunakan semasa bertugas di tempat suci, dan pakaian suci untuk Harun+ dan anak-anak lelakinya yang berkhidmat sebagai imam.’”

20 Seluruh umat Israel beredar dari hadapan Musa. 21 Setiap orang yang hatinya terdorong+ untuk memberi, datang lalu memberikan sumbangan kepada Yehuwa. Mereka menyumbangkan segala yang diperlukan untuk membuat khemah pertemuan dan pakaian suci. Mereka juga membawa segala yang diperlukan untuk khidmat suci. 22 Semua lelaki dan wanita terus-menerus datang dan memberikan sumbangan dengan rela hati. Mereka membawa kerongsang, anting-anting, cincin, dan barang kemas, serta pelbagai barangan emas, lalu mempersembahkan semua itu kepada Yehuwa.+ 23 Setiap orang yang mempunyai benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, kain linen halus, bulu kambing, kulit bebiri jantan yang dicelup merah, dan kulit anjing laut, mempersembahkan barang-barang itu. 24 Semua orang yang mempunyai perak dan tembaga mempersembahkannya kepada Yehuwa, begitu juga dengan mereka yang mempunyai kayu akasia yang diperlukan bagi pekerjaan itu.

25 Semua wanita yang mempunyai kemahiran+ memintal telah membawa benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus, yang dipintal oleh mereka. 26 Dengan rela hati, semua wanita yang mahir juga telah memintal benang daripada bulu kambing.

27 Para pemimpin orang Israel membawa batu oniks serta batu-batu permata yang lain untuk ditatah pada efod dan penutup dada.+ 28 Mereka juga membawa balsam dan minyak zaitun untuk menyalakan pelita, untuk menyediakan kemenyan yang harum,+ dan untuk membuat minyak suci.+ 29 Semua lelaki dan wanita yang hatinya terdorong untuk memberi telah membawa sumbangan kepada Yehuwa, untuk pekerjaan yang telah diperintahkan-Nya kepada Musa. Orang Israel memberikan sumbangan kepada Yehuwa secara sukarela.+

30 Musa berkata kepada umat Israel, “Yehuwa telah memilih Bezaleel anak Uri, cucu Hur, daripada suku Yehuda.+ 31 Tuhan telah mencurahkan kuasa suci-Nya ke atas Bezaleel supaya dia mendapat kebijaksanaan, pemahaman, dan pengetahuan tentang segala jenis seni pertukangan. 32 Dengan demikian, dia dapat membuat pelbagai reka bentuk, menghasilkan barangan daripada emas, perak, dan tembaga, 33 membentuk dan menatah batu permata, serta menghasilkan pelbagai karya seni daripada kayu. 34 Tuhan telah mengurniai Bezaleel, dan Oholiab+ anak Ahisamakh daripada suku Dan, kemahiran untuk mengajar orang lain. 35 Tuhan telah mengurniai mereka kebijaksanaan+ untuk melakukan segala jenis pekerjaan. Dengan ini mereka dapat bertukang serta menyulam dan menenun dengan menggunakan benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, kain linen halus, dan kain-kain yang lain. Mereka dapat melakukan segala jenis pekerjaan dan membuat pelbagai jenis reka bentuk.

36 “Bezaleel akan bekerja bersama Oholiab dan semua tukang yang mahir. Yehuwa telah mengurniai mereka pemahaman dan kebijaksanaan. Dengan demikian, mereka dapat melakukan semua pekerjaan yang berkaitan dengan khidmat suci, seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa.”+

2 Maka Musa memanggil Bezaleel dan Oholiab serta semua tukang yang mahir. Mereka telah dikurniai kebijaksanaan daripada Yehuwa,+ dan hati mereka terdorong untuk melakukan pekerjaan itu secara sukarela.+ 3 Musa memberi mereka segala sumbangan+ yang dibawa oleh orang Israel untuk pekerjaan suci. Sementara itu, orang Israel terus-menerus membawa sumbangan sukarela kepada Musa setiap pagi.

4 Para tukang yang mahir mula melakukan pekerjaan yang berkaitan dengan khemah suci. Kemudian mereka datang seorang demi seorang 5 kepada Musa dan berkata, “Umat ini telah memberikan lebih daripada apa yang diperlukan untuk pekerjaan yang diperintahkan oleh Yehuwa.” 6 Maka Musa mengarahkan agar pengumuman ini dibuat di seluruh perkhemahan: “Hai umat Israel, usahlah membawa sumbangan untuk khemah suci lagi.” Dengan demikian, mereka tidak lagi memberikan apa-apa sumbangan. 7 Bahan-bahan yang sudah disumbangkan lebih daripada cukup untuk menyelesaikan segala pekerjaan itu.

8 Tukang-tukang yang mahir+ membuat 10 helai kain untuk khemah suci.+ Kain-kain itu dibuat daripada kain linen halus yang dipintal, benang biru, benang merah, dan kain bulu yang dicelup ungu. Bezaleel menyulam kain-kain itu dengan gambar kerub.+ 9 Ukuran setiap kain itu sama, iaitu 12.5 meter panjang dan 1.8 meter lebar.* 10 Bezaleel menyambungkan lima helai kain itu menjadi sehelai kain besar. Dia juga berbuat demikian dengan lima helai kain yang lain. 11 Kemudian dia membuat gelung-gelung daripada benang biru pada pinggir kain besar itu. Dia juga berbuat demikian pada pinggir kain besar yang satu lagi supaya kedua-duanya dapat disambungkan. 12 Dia membuat 50 gelung pada pinggir kain besar itu, dan 50 gelung pada pinggir kain besar yang satu lagi, supaya gelungan pada kedua-dua helai kain itu saling berpadanan apabila disambungkan. 13 Akhirnya, dia membuat 50 bentuk cangkuk emas untuk menyambungkan kedua-dua kain itu, supaya mendapat sehelai kain yang besar untuk khemah suci.

14 Dia membuat 11 helai kain daripada bulu kambing untuk dijadikan penutup khemah suci.+ 15 Kesemua kain yang berjumlah 11 helai itu mempunyai ukuran yang sama, iaitu 13.4 meter panjang dan 1.8 meter lebar.* 16 Dia menyambungkan lima helai kain menjadi sehelai kain besar. Dia juga berbuat demikian dengan enam helai kain yang lain. 17 Seterusnya dia membuat 50 gelung pada pinggir kain besar itu, dan 50 gelung pada pinggir kain besar yang satu lagi, supaya kedua-duanya dapat disambungkan. 18 Dia membuat 50 bentuk cangkuk tembaga untuk menyambungkan kedua-dua kain itu, supaya mendapat sehelai kain khemah yang besar.

19 Dia membuat sehelai penutup khemah daripada kulit bebiri jantan yang dicelup merah, dan membuat sehelai lagi daripada kulit anjing laut untuk diletakkan di atasnya.+

20 Dia juga membuat rangka-rangka daripada kayu akasia.+ Rangka-rangka itu ditegakkan supaya membentuk dinding khemah suci.+ 21 Setiap rangka berukuran 445 sentimeter tinggi dan kira-kira 67 sentimeter lebar.* 22 Setiap rangka mempunyai dua unjuran yang bersebelahan. Semua rangka untuk khemah suci mempunyai unjuran seperti itu. 23 Dia membuat 20 rangka untuk bahagian selatan khemah suci. 24 Kemudian dia membuat 40 buah alas daripada perak dan meletakkan alas-alas itu di bawah 20 rangka khemah, iaitu 2 buah alas di bawah setiap rangka untuk menyangga kedua-dua unjurannya.+ 25 Dia juga membuat 20 rangka untuk bahagian utara khemah suci. 26 Kemudian dia membuat 40 buah alas daripada perak, dan meletakkan 2 buah alas di bawah setiap rangka.

27 Dia telah membuat enam rangka untuk bahagian belakang khemah suci yang menghadap barat.+ 28 Dia membuat dua rangka untuk menyokong kedua-dua sudut belakang khemah suci. 29 Rangka itu mempunyai dua batang kayu yang bahagian atasnya disambungkan pada gelang yang pertama. Demikianlah dia membuat rangka-rangka yang menyokong kedua-dua sudut belakang khemah suci. 30 Oleh itu, semuanya ada lapan rangka dengan 16 buah alas daripada perak, iaitu 2 buah alas di bawah setiap rangka.

31 Dia membuat kayu lintang daripada kayu akasia untuk menyambungkan rangka-rangka khemah: Lima batang untuk rangka-rangka pada satu sisi khemah,+ 32 lima batang pada sisi yang lain, dan lima batang lagi di bahagian belakang khemah yang menghadap barat. 33 Dia membuat kayu lintang untuk bahagian tengah rangka dan memasangnya dari satu hujung ke hujung yang lain khemah itu. 34 Dia menyaluti semua rangka khemah dan semua kayu lintang dengan emas. Dia juga membuat gelang-gelang emas untuk menyangga kayu-kayu lintang itu.+

35 Dia membuat tirai+ daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Dia menyulam tirai itu dengan gambar kerub.+ 36 Dia membuat empat batang tiang kayu akasia yang bersalut emas dan cangkuk-cangkuk emas untuk tirai itu. Dia juga membuat empat buah alas perak untuk tiang-tiang itu. 37 Kemudian dia menenun tabir untuk pintu masuk khemah. Tabir itu dibuat daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+ 38 Dia membuat lima batang tiang dengan cangkuk-cangkuknya untuk tabir tersebut. Selepas itu, dia menyaluti bahagian atas tiang dan penghubung-penghubungnya* dengan emas. Dia juga membuat lima buah alas tiang daripada tembaga.

37 Bezaleel+ membuat tabut perjanjian+ daripada kayu akasia. Tabut itu berukuran kira-kira 111 sentimeter panjang, kira-kira 67 sentimeter lebar, dan kira-kira 67 sentimeter tinggi.*+ 2 Dia menyaluti bahagian dalam dan luar tabut itu dengan emas tulen. Dia juga membuat bingkai emas untuk menghiasi bahagian atasnya.+ 3 Kemudian dia membuat empat gelang emas dan memasangkan gelang itu dekat keempat-empat kaki tabut, iaitu dua gelang pada satu sisi dan dua gelang pada sisi sebelah. 4 Dia membuat kayu-kayu pengusung daripada kayu akasia dan menyalutinya dengan emas.+ 5 Selepas itu, dia memasukkan kayu pengusung tersebut ke dalam gelang pada kedua-dua sisi tabut agar tabut dapat diusung.+

6 Dia membuat penutup tabut daripada emas tulen.+ Penutup tabut itu berukuran kira-kira 111 sentimeter panjang dan kira-kira 67 sentimeter lebar.+ 7 Kemudian dia membuat dua kerub+ daripada emas tempaan di kedua-dua hujung penutup tabut.+ 8 Dia menempatkan kerub-kerub itu pada kedua-dua hujung penutup, satu kerub pada setiap hujung penutup tabut. 9 Kerub-kerub itu saling berhadapan di atas penutup, dengan muka memandang ke bawah, ke arah penutup tabut.+ Kedua-dua sayap kerub terbentang untuk membayangi penutup tabut.+

10 Dia membuat sebuah meja daripada kayu akasia.+ Meja itu berukuran 89 sentimeter panjang, 44.5 sentimeter lebar, dan kira-kira 67 sentimeter tinggi.*+ 11 Dia menyaluti meja itu dengan emas tulen dan memasangkan bingkai emas pada bahagian atasnya. 12 Kemudian dia membuat jalur selebar 7.4 sentimeter* di sekeliling meja dan menghiasi jalur itu dengan pinggiran emas. 13 Dia juga membuat empat gelang daripada emas dan memasangkan gelang-gelang itu pada keempat-empat sudut, iaitu pada keempat-empat kaki meja. 14 Gelang-gelang itu dipasang dekat jalur meja sebagai tempat untuk memasukkan kayu pengusung. 15 Selepas itu, dia membuat kayu-kayu pengusung daripada kayu akasia dan menyalutinya dengan emas. Kayu-kayu itu digunakan untuk mengusung meja. 16 Dia membuat pinggan dan cawan, dan juga kendi dan mangkuk untuk mencurahkan korban wain. Semua peralatan itu diperbuat daripada emas tulen.+

17 Dia membuat kaki pelita+ daripada emas tulen yang ditempa. Kaki pelita itu mempunyai alas dan batang, dan cabang-cabang yang keluar daripada batang itu. Pada setiap cabang itu ada sepal, kuncup, dan kelopak bunga.+ 18 Ada enam cabang yang keluar daripada batang kaki pelita itu, iaitu tiga pada satu sisi dan tiga pada sisi sebelah. 19 Setiap cabang pada satu sisi mempunyai tiga sepal yang berbentuk bunga badam, tiga kuncup, dan tiga kelopak bunga. Semuanya disusun secara berselang-seli. Dia melakukan hal yang sama untuk setiap cabang yang ada pada sisi sebelah. Demikianlah keenam-enam cabang yang keluar daripada batang pelita itu. 20 Batang kaki pelita itu pula mempunyai empat sepal yang berbentuk bunga badam, empat kuncup, dan empat kelopak bunga. Semuanya disusun secara berselang-seli. 21 Ada satu kuncup di bawah pasangan cabang yang pertama, satu kuncup di bawah pasangan cabang yang kedua, dan satu kuncup lagi di bawah pasangan cabang yang ketiga. Demikianlah keenam-enam cabang yang keluar daripada batang pelita itu. 22 Kesemua kuncup dan cabang serta seluruh kaki pelita itu ditempa daripada seketul emas tulen. 23 Kemudian dia membuat tujuh buah pelita+ untuk kaki pelita itu. Dia juga membuat penyepit dan bekas perbaraan daripada emas tulen. 24 Kaki pelita itu dan semua peralatannya diperbuat daripada 34.2 kilogram* emas tulen.

25 Dia membuat sebuah mazbah daripada kayu akasia, sebagai tempat membakar kemenyan.+ Mazbah itu berbentuk segi empat, berukuran 44.5 sentimeter panjang, 44.5 sentimeter lebar, dan 89 sentimeter tinggi.* Dia juga membuat tanduk-tanduk yang menjadi sebahagian daripada mazbah.+ 26 Dia menyaluti seluruh mazbah itu dengan emas tulen, iaitu bahagian atas, semua sisi, dan tanduk-tanduknya. Kemudian dia memasang bingkai emas pada bahagian atasnya. 27 Di bawah bingkai, dia membuat gelang emas untuk menyangga kayu pengusung mazbah. Dia membuat dua gelang emas pada satu sisi mazbah dan dua gelang lagi pada sisi yang bertentangan dengannya. 28 Selepas itu, dia membuat kayu pengusung daripada kayu akasia dan menyaluti kayu-kayu itu dengan emas. 29 Dia juga membuat minyak suci+ dan kemenyan harum yang murni.+ Dia membuatnya sebagaimana seorang tukang yang mahir akan membuatnya.

38 Bezaleel membuat sebuah mazbah untuk korban bakar daripada kayu akasia. Mazbah itu berbentuk segi empat, berukuran kira-kira dua meter panjang, kira-kira dua meter lebar, dan kira-kira satu meter tinggi.*+ 2 Dia membuat tanduk-tanduk pada keempat-empat sudutnya, dan tanduk-tanduk itu menjadi sebahagian daripada mazbah. Kemudian dia menyaluti semua itu dengan tembaga.+ 3 Setelah itu, dia membuat segala peralatan untuk mazbah, iaitu baldi, penyodok, mangkuk, garpu, dan bekas perbaraan. Dia membuat semua peralatan itu daripada tembaga. 4 Dia membuat kekisi daripada tembaga dan memasukkan kekisi itu di bawah jalur yang melingkari mazbah, di tengah-tengah mazbah, iaitu setengah daripada ketinggian mazbah. 5 Dia membuat empat buah gelang, lalu memasangkan satu gelang pada setiap sudut dekat kekisi tembaga itu untuk menyangga kayu pengusung. 6 Selepas itu, dia membuat kayu-kayu pengusung daripada kayu akasia dan menyalutinya dengan tembaga. 7 Dia memasukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang pada kedua-dua sisi mazbah itu supaya mazbah dapat diusung. Mazbah itu berbentuk kotak kosong yang diperbuat daripada papan.

8 Dia membuat sebuah besen daripada tembaga+ dan kakinya daripada tembaga juga. Dia membuat semua itu dengan menggunakan cermin-cermin* yang diberikan oleh para wanita yang bertugas di pintu masuk khemah pertemuan.

9 Bezaleel membuat tirai untuk halaman khemah.+ Pada bahagian halaman yang menghadap selatan, dia membuat tirai daripada kain linen halus yang dipintal. Tirai itu berukuran 44.5 meter* panjang.+ 10 Dia juga membuat 20 batang tiang dan 20 buah alas tiang daripada tembaga. Kemudian dia membuat cangkuk dan penghubung* daripada perak untuk tiang-tiang itu. 11 Pada bahagian utara halaman, dia membuat tirai yang berukuran 44.5 meter panjang. Dia membuat 20 batang tiang dan 20 buah alas tiang daripada tembaga untuk tirai itu. Dia juga membuat cangkuk dan penghubung daripada perak untuk tiang-tiang itu. 12 Pada bahagian barat halaman pula, dia membuat tirai yang berukuran kira-kira 22 meter* panjang. Dia membuat 10 batang tiang dan 10 buah alas tiang untuk tirai itu. Dia juga membuat cangkuk dan penghubung daripada perak untuk tiang-tiang itu. 13 Bahagian timur halaman, yang menghadap ke arah matahari terbit, berukuran kira-kira 22 meter panjang. 14 Pintu masuk halaman khemah terletak di bahagian itu. Pada bahagian kiri pintu masuk, dia membuat tirai yang berukuran kira-kira tujuh meter* panjang, berserta tiga batang tiang dan tiga buah alas tiang. 15 Pada bahagian kanan pintu masuk, dia juga membuat tirai yang berukuran kira-kira tujuh meter panjang, berserta tiga batang tiang dan tiga buah alas tiang. 16 Semua tirai di sekeliling halaman khemah dibuat daripada kain linen halus yang dipintal. 17 Semua cangkuk dan penghubung untuk tiang-tiang di sekeliling halaman diperbuat daripada perak, tetapi alasnya daripada tembaga. Bahagian atas tiang disaluti perak, dan semua penghubung tiang yang digunakan di halaman khemah diperbuat daripada perak.+

18 Tirai untuk pintu masuk halaman khemah ditenun daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Tirai itu berukuran 8.9 meter panjang dan kira-kira 2 meter tinggi,* iaitu sama tinggi dengan tirai-tirai di halaman khemah.+ 19 Tirai itu disangga oleh empat batang tiang dengan empat buah alas tiang yang diperbuat daripada tembaga. Cangkuk-cangkuknya dan penghubung-penghubungnya diperbuat daripada perak, dan bahagian atas tiang itu pula disaluti perak. 20 Semua pasak khemah dan pasak di halaman khemah diperbuat daripada tembaga.+

21 Musa mengarahkan orang Lewi+ untuk mencatatkan bahan-bahan yang digunakan untuk membina khemah suci, tempat tabut perjanjian diletakkan. Senarai itu dibuat di bawah pengawasan Itamar+ anak Imam Harun. 22 Bezaleel+ anak Uri, cucu Hur, daripada suku Yehuda, melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa. 23 Dia dibantu oleh Oholiab+ anak Ahisamakh daripada suku Dan. Oholiab mahir bertukang dan menyulam. Dia juga pandai menenun dengan menggunakan benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus.

24 Semua emas yang diberikan sebagai sumbangan*+ telah digunakan untuk segala pekerjaan di khemah suci. Berat emas itu berjumlah 1,000 kilogram,* menurut sukatan yang biasa digunakan di khemah suci. 25 Perak yang dikumpulkan daripada umat semasa pembancian berjumlah 3,440 kilogram,* menurut sukatan yang biasa digunakan di khemah suci. 26 Bilangan lelaki yang telah dihitung, iaitu mereka yang berumur 20 tahun dan ke atas, berjumlah 603,550 orang.+ Setiap orang memberikan 5.7 gram perak,*+ menurut sukatan yang biasa digunakan di khemah suci.

27 Sebanyak 3,420 kilogram* perak telah digunakan untuk membuat 100 buah alas tiang bagi khemah suci dan tirai. Sebanyak 34.2 kilogram* perak digunakan untuk membuat setiap alas tiang tersebut.+ 28 Bezaleel telah menggunakan 20 kilogram perak* untuk membuat cangkuk dan penghubung bagi tiang-tiang dan untuk menyaluti bahagian atas tiang-tiang itu.

29 Tembaga yang telah disumbangkan berjumlah 2,421 kilogram.* 30 Bezaleel telah menggunakan tembaga ini untuk membuat alas tiang bagi pintu masuk khemah pertemuan, mazbah tembaga dengan kekisinya dan semua peralatan mazbah, 31 alas tiang di sekeliling halaman khemah, alas tiang bagi pintu masuk halaman khemah, dan semua pasak khemah serta pasak+ di halaman khemah.

39 Para pekerja yang mahir telah menggunakan benang biru, benang merah, dan kain bulu yang dicelup ungu,+ untuk membuat pakaian bermutu tinggi yang digunakan semasa bertugas di tempat suci. Mereka juga membuat pakaian suci untuk Harun,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.

2 Mereka membuat efod+ daripada benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. 3 Mereka menempa kepingan emas lalu memotongnya menjadi benang halus untuk disulam pada efod yang dibuat daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus. 4 Mereka menyambungkan bahagian depan dan belakang efod dengan menggunakan dua helai kain bahu. 5 Mereka juga menenun pengikat pinggang efod daripada bahan yang sama, iaitu benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Mereka menjahit pengikat itu pada efod supaya efod dapat diikat dengan rapi pada pinggang.+ Mereka melakukan semua ini seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.

6 Mereka menatah batu-batu oniks pada bingkai emas lalu mengukirkan nama anak-anak lelaki Israel pada batu-batu itu. Mereka mengukirnya seperti mengukir meterai.+ 7 Kemudian Bezaleel meletakkan batu-batu itu pada kain bahu efod sebagai tanda peringatan bagi orang Israel,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa. 8 Setelah itu, dia menyulam sehelai penutup dada+ daripada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat efod, iaitu benang emas, benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal.+ 9 Penutup dada itu berbentuk segi empat apabila dilipat dua dan berukuran 22.2 sentimeter* panjang dan 22.2 sentimeter lebar. 10 Penutup dada itu ditatah dengan empat baris batu permata. Pada baris pertama, batu delima, batu topaz, dan batu zamrud. 11 Pada baris kedua, batu firus, batu nilam, dan batu jasper. 12 Pada baris ketiga, batu leshem,* batu akik, dan batu kecubung. 13 Pada baris keempat, batu krisolit, batu oniks, dan batu jed. Semua batu itu ditatah pada bingkai emas. 14 Para pekerja yang mahir itu mengukirkan nama 12 suku Israel di atas batu-batu itu. Mereka mengukirnya seperti mengukir meterai. Mereka mengukirkan satu nama di atas satu batu. Batu-batu itu berjumlah 12 biji kerana Israel mempunyai 12 orang anak lelaki.

15 Mereka membuat dua utas rantai daripada emas tulen yang dipintal seperti tali untuk penutup dada.+ 16 Mereka juga membuat dua gelang emas dan memasangkan gelang-gelang itu pada kedua-dua sudut bahagian atas penutup dada. 17 Mereka memasukkan rantai emas ke dalam gelang emas pada kedua-dua sudut penutup dada. 18 Hujung rantai emas itu disambungkan dengan bingkai emas pada kain bahu efod supaya penutup dada berada di bahagian depan efod. 19 Seterusnya, mereka membuat dua gelang emas dan memasangkan gelang-gelang itu pada sudut bahagian bawah penutup dada, yang kena pada efod.+ 20 Kemudian mereka membuat dua gelang emas lagi dan memasangkan gelang-gelang itu di bahagian bawah sebelah depan efod, iaitu di atas pengikat pinggang efod yang ditenun, dekat jahitan yang menyambungkan pengikat pinggang dengan efod. 21 Selepas itu, mereka menggunakan seutas tali biru untuk menyambungkan gelang penutup dada itu dengan gelang yang ada pada efod, supaya penutup dada itu terletak di atas pengikat pinggang dan tidak terlepas daripada efod. Mereka melakukan semua ini seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.

22 Bezaleel membuat jubah yang tidak berlengan untuk dipakai di bawah efod. Seluruh jubah itu ditenun daripada benang biru.+ 23 Pinggir lubang leher jubah itu ditenun seperti pinggir pada leher baju zirah, supaya tidak mudah koyak. 24 Di sekeliling hujung jubah itu, para pekerja yang mahir membuat hiasan yang berupa buah delima yang dipintal daripada benang biru, benang merah, dan kain bulu yang dicelup ungu. 25 Mereka juga membuat loceng daripada emas tulen dan memasangkannya di antara buah-buah delima di sekeliling hujung jubah yang tidak berlengan itu. 26 Mereka menyusun buah delima dan loceng emas itu secara berselang-seli di sekeliling hujung jubah yang tidak berlengan. Jubah itu digunakan semasa menjalankan tugas suci. Mereka melakukan semua ini seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.

27 Mereka menenun jubah daripada kain linen yang halus untuk Harun dan anak-anak lelakinya.+ 28 Selain itu, mereka membuat serban+ dan pengikat kepala+ yang indah daripada kain linen halus, serta seluar pendek+ daripada kain linen halus yang dipintal. 29 Mereka juga menenun pengikat pinggang jubah daripada benang biru, benang merah, kain bulu yang dicelup ungu, dan kain linen halus yang dipintal. Mereka melakukan semua ini seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.

30 Mereka membuat tanda pembaktian suci daripada sekeping emas tulen yang berkilat. Mereka mengukirkan perkataan, “Kesucian milik Yehuwa”+ padanya. Mereka mengukirnya seperti mengukir meterai. 31 Mereka mengikatkan kepingan emas itu pada serban dengan seutas tali biru, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.

32 Akhirnya, selesailah semua pekerjaan untuk khemah suci, iaitu khemah pertemuan. Orang Israel membuat segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.+ Mereka melakukan semuanya seperti yang diperintahkan.

33 Kemudian mereka membawa khemah suci+ dan semua peralatannya kepada Musa, termasuk cangkuk,+ rangka,+ kayu lintang,+ tiang, dan alas tiangnya;+ 34 penutup khemah daripada kulit bebiri jantan yang dicelup merah,+ penutup khemah daripada kulit anjing laut, dan tirai pemisah;+ 35 tabut perjanjian dengan kayu pengusung+ dan penutupnya;+ 36 meja dengan semua peralatannya,+ serta roti yang dipersembahkan kepada Tuhan; 37 kaki pelita daripada emas tulen dengan pelita-pelitanya+ yang disusun dalam satu baris dan semua peralatannya,+ serta minyak untuk pelita;+ 38 mazbah+ emas, minyak suci,+ kemenyan yang harum,+ dan tabir+ untuk pintu masuk khemah; 39 mazbah tembaga+ dengan kekisi tembaga, kayu pengusung,+ dan segala peralatannya;+ besen dengan kakinya;+ 40 tirai untuk halaman khemah suci dengan tiang dan alas tiangnya;+ tirai+ untuk pintu masuk halaman khemah; pasak+ dan tali di halaman khemah; semua peralatan yang digunakan untuk khidmat yang dijalankan di khemah suci, iaitu khemah pertemuan; 41 pakaian bermutu tinggi yang digunakan semasa bertugas di tempat suci, dan pakaian suci untuk Harun+ dan anak-anak lelakinya yang berkhidmat sebagai imam.

42 Orang Israel melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.+ 43 Apabila Musa memeriksa segala pekerjaan mereka, dia melihat bahawa mereka telah melakukan semuanya seperti yang telah diperintahkan oleh Yehuwa, lalu Musa memberkati mereka.

40 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, 2 “Pada hari pertama bulan pertama, engkau harus mendirikan khemah suci, iaitu khemah pertemuan.+ 3 Letakkanlah tabut perjanjian di dalam khemah itu,+ lalu pasangkan tirai pemisah+ di hadapan tabut. 4 Bawalah meja+ ke dalam khemah dan susunlah segala yang terdapat di atasnya. Bawalah juga kaki pelita+ dan nyalakan pelita-pelitanya.+ 5 Selepas itu, letakkanlah mazbah emas untuk membakar kemenyan+ di hadapan tabut perjanjian, dan gantungkan tabir untuk pintu masuk khemah suci.+

6 “Letakkanlah mazbah untuk korban bakar+ di hadapan pintu masuk khemah pertemuan. 7 Letakkanlah besen di antara khemah pertemuan dengan mazbah untuk korban bakar, lalu isikan besen itu dengan air.+ 8 Pasangkan tirai di sekeliling halaman khemah,+ dan gantungkan tirai+ untuk pintu masuk halaman khemah. 9 Seterusnya, urapilah khemah suci dan segala yang ada di dalamnya dengan minyak suci+ untuk mentahbiskannya.+ Dengan demikian, khemah dan segala peralatannya akan menjadi suci. 10 Urapilah mazbah untuk korban bakar dan segala peralatannya dengan minyak suci untuk mentahbiskannya. Dengan demikian, mazbah itu akan menjadi suci sepenuhnya.+ 11 Urapilah juga besen berserta kakinya dengan minyak suci.

12 “Kemudian bawalah Harun dan anak-anak lelakinya ke hadapan pintu masuk khemah pertemuan, dan lakukanlah upacara pembasuhan bagi mereka.+ 13 Kenakanlah pakaian suci pada Harun+ dan urapinya dengan minyak.+ Dia harus disucikan supaya dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku. 14 Selepas itu, bawalah anak-anak lelaki Harun ke hadapan dan kenakanlah jubah-jubah pada mereka.+ 15 Urapilah mereka sebagaimana engkau mengurapi bapa mereka+ supaya mereka dapat berkhidmat sebagai imam kepada-Ku. Dengan berbuat demikian, mereka dan keturunan mereka akan sentiasa berkhidmat sebagai imam kepada-Ku.”+

16 Musa melakukan segala yang telah diperintahkan oleh Yehuwa.+ Dia melakukan semuanya seperti yang diperintahkan.

17 Maka khemah suci didirikan+ pada hari pertama, bulan pertama, tahun yang kedua. 18 Beginilah caranya Musa mendirikan khemah suci: Dia memasangkan alas-alas tiang+ dan rangka-rangkanya,+ memasukkan kayu-kayu lintangnya,+ dan menegakkan tiang-tiangnya. 19 Dia membentangkan kain khemah+ di atas khemah suci dan meletakkan kain-kain penutup+ yang lain di atasnya, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya.

20 Musa mengambil dua keping batu tulis itu+ dan meletakkannya di dalam tabut perjanjian.+ Dia memasukkan kayu pengusung+ tabut ke dalam gelang-gelangnya dan menutup tabut itu dengan penutupnya.+ 21 Dia membawa tabut perjanjian ke dalam khemah suci dan menggantung tirai+ pemisah di hadapan tabut itu,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya.

22 Kemudian Musa meletakkan meja+ di luar tirai pemisah, iaitu di bahagian utara khemah pertemuan. 23 Dia menyusun roti-roti yang dipersembahkan+ kepada Yehuwa di atas meja itu, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya.

24 Musa menempatkan kaki pelita+ di hadapan meja itu, iaitu di bahagian selatan khemah pertemuan. 25 Dia menyalakan pelita-pelita itu+ di hadapan Yehuwa, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya.

26 Musa meletakkan mazbah emas+ di hadapan tirai pemisah di dalam khemah pertemuan. 27 Dia berbuat demikian supaya Harun dapat membakar kemenyan+ di atas mazbah itu,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya.

28 Selepas itu, dia menggantung tabir+ untuk pintu masuk khemah suci.

29 Musa meletakkan mazbah untuk korban bakar+ di hadapan pintu masuk khemah suci, iaitu di depan khemah pertemuan. Dengan demikian dia dapat mempersembahkan korban bakar+ dan korban bijirin di atasnya, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya.

30 Musa meletakkan besen di antara khemah pertemuan dengan mazbah, lalu mengisinya dengan air.+ 31 Musa, Harun, dan anak-anak lelaki Harun membasuh tangan dan kaki mereka di sana. 32 Setiap kali mereka* memasuki khemah pertemuan atau mendekati mazbah, mereka akan membasuh tangan dan kaki mereka,+ seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.

33 Akhirnya, Musa memasang tirai untuk halaman+ di sekeliling khemah suci dan mazbah. Dia juga memasang tirai bagi pintu masuk halaman.+

Demikianlah Musa menyelesaikan segala pekerjaan itu. 34 Kemudian awan turun dan meliputi khemah pertemuan, dan cahaya kemuliaan Yehuwa memenuhi khemah suci itu.+ 35 Musa tidak dapat masuk ke dalam khemah pertemuan kerana awan meliputi khemah itu, dan kerana cahaya kemuliaan Yehuwa memenuhi khemah suci.+

36 Setiap kali awan itu naik dari khemah suci, orang Israel akan memindahkan perkhemahan mereka ke tempat lain. Mereka berbuat demikian sepanjang perjalanan mereka di padang belantara.+ 37 Selagi awan itu tidak naik dari khemah, mereka tidak akan berpindah ke tempat yang lain.+ 38 Sepanjang perjalanan orang Israel di padang belantara, mereka dapat melihat awan Yehuwa di atas khemah suci pada siang hari, dan tiang api pada malam hari.+

Gelaran bagi raja Mesir.

Atau “kotak.”

Lihat Kamus.

Maksudnya “Ditarik Keluar,” iaitu diselamatkan dari air.

Iaitu, Yitro.

Maksudnya “Orang Asing di Sana.”

Lihat Lampiran A4.

Manuskrip yang lain menyatakan “malaikat Yehuwa.”

Mungkin merujuk kepada anak lelaki Musa.

Harfiah, “Aku tidak memperkenalkan diri-Ku kepada mereka.”

Harfiah, “tongkat.”

Iaitu, saluran air dari Sungai Nil.

Sejenis serangga kecil di Mesir yang menggigit seperti nyamuk.

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus. Harfiah, “Jari Tuhan.”

Mungkin langau, sejenis lalat yang menggigit.

Mungkin merujuk kepada kilat.

Sejenis tumbuhan yang ditanam sejak masa kuno. Gentiannya digunakan untuk membuat kain linen.

Dalam ayat ini, teks Ibrani menyebutkan dua jenis gandum, dan salah satunya bermutu rendah.

Atau “Tetapi anjing pun tidak akan menyalak dan menakut-nakutkan orang Israel.”

Iaitu, selepas matahari terbenam, tetapi sebelum hari menjadi gelap sepenuhnya.

Lihat Kamus.

Orang Mesir juga termasuk dalam kumpulan ini.

Beberapa manuskrip kuno menyatakan bahawa jangka waktu ini merangkumi masa orang Israel tinggal di Mesir dan di Kanaan.

Lihat Lampiran B15.

Nampaknya merujuk kepada Laut Merah.

Atau “perlu berdiam diri.”

Iaitu, kira-kira pukul 2 pagi sehingga pukul 6 pagi.

“Yah” ialah singkatan bagi Yehuwa.

Maksudnya “Pahit.”

Iaitu, selepas matahari terbenam, tetapi sebelum hari menjadi gelap sepenuhnya.

Lihat Lampiran B14.

Lihat Kamus.

Mungkin daripada ungkapan Ibrani yang bererti “Apa itu?”

Harfiah, “biji-biji ketumbar.”

Kotak yang digunakan untuk menyimpan benda-benda yang penting sebagai peringatan.

1 efa = 22 L.

Maksudnya “Cubaan; Ujian.”

Maksudnya “Bertengkar; Menentang.”

Dalam bahasa Ibrani, “nissi” bererti “tiang untuk memberikan isyarat.”

Maksudnya “Orang Asing di Sana.”

Maksudnya “Tuhanku ialah Penolong.”

Atau “menjadi milik-Ku yang amat bernilai.”

Atau “tanduk biri-biri jantan.”

Harfiah, “suara Tuhan.”

Mungkin merujuk kepada ketua keluarga.

Mungkin merujuk kepada ketua keluarga.

Atau “tanduk biri-biri jantan.”

Atau “kemaluan.”

Atau “ketetapan-ketetapan.”

Atau mungkin, “menggunakan suatu alat untuk memukul.”

Harfiah, “jika ada kematian yang berlaku.”

Harfiah, “30 syekel.” Lihat Lampiran B14.

Iaitu, dibawa menghadap para hakim yang mewakili Tuhan yang benar.

Atau “tuduhan palsu.”

Lihat Lampiran B15.

Juga dikenali sebagai Perayaan Pentakosta.

Lihat Kamus.

Iaitu, Laut Mediterranean. Atau “laut orang Filistin.”

Iaitu, Sungai Efrat.

Lihat Kamus.

Iaitu, minyak yang digunakan semasa melantik seseorang secara rasmi untuk melakukan suatu tugas.

Lihat Kamus dan Lampiran B5.

Khemah mudah alih yang digunakan oleh orang Israel untuk beribadat; kadangkala juga dikenali sebagai “khemah pertemuan.”

Atau “peti.”

Harfiah, “2.5 hasta panjang, 1.5 hasta lebar, dan 1.5 hasta tinggi.” Lihat Lampiran B14.

Kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi.

Harfiah, “2 hasta panjang, 1 hasta lebar, dan 1.5 hasta tinggi.”

Harfiah, “1 tapak tangan.”

Harfiah, “1 talenta.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “28 hasta panjang dan 4 hasta lebar.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “30 hasta panjang dan 4 hasta lebar.”

Harfiah, “1 hasta.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “10 hasta tinggi dan 1.5 hasta lebar.”

Harfiah, “5 hasta panjang, 5 hasta lebar, dan 3 hasta tinggi.” Lihat Lampiran B14.

Iaitu, abu yang bercampur lemak daripada korban yang dibakar.

Harfiah, “100 hasta.”

Atau “gelang.”

Harfiah, “50 hasta.”

Harfiah, “15 hasta.”

Harfiah, “20 hasta.”

Harfiah, “100 hasta panjang dan 50 hasta lebar, dengan dinding tirai setinggi 5 hasta.”

Lihat Kamus dan Lampiran B5.

Harfiah, “1 jengkal.” Lihat Lampiran B14.

Sejenis batu berharga yang tidak dapat dikenal pasti, mungkin merujuk kepada batu ambar, batu hiasint, batu baiduri, atau batu turmalin.

Lihat Kamus.

Iaitu, orang yang bukan keturunan Harun.

Iaitu, selepas matahari terbenam, tetapi sebelum hari menjadi gelap sepenuhnya.

1 efa = 22 L.

1 hin = 3.67 L.

Harfiah, “1 hasta panjang, 1 hasta lebar, dan 2 hasta tinggi.” Lihat Lampiran B14.

Iaitu, selepas matahari terbenam, tetapi sebelum hari menjadi gelap sepenuhnya.

1 syekel = 11.4 g.

Lihat Lampiran B14.

Atau “500 syekel mur, 250 syekel batang kayu manis, 250 syekel rumput yang harum.” Lihat Lampiran B14.

Atau “500 syekel kulit kayu manis, serta 1 hin minyak zaitun.” Lihat Lampiran B14.

Iaitu, orang yang bukan keturunan Harun.

Atau “dari satu pintu masuk ke pintu masuk.”

Lihat Kamus.

Atau “Aku telah memilih engkau.”

Atau “kesetiaan.”

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “dan melacurkan diri dengan tuhan-tuhan mereka.”

Lihat Lampiran B15.

Harfiah, “28 hasta panjang dan 4 hasta lebar.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “30 hasta panjang dan 4 hasta lebar.”

Harfiah, “10 hasta tinggi dan 1.5 hasta lebar.” Lihat Lampiran B14.

Atau “gelang-gelangnya.”

Harfiah, “2.5 hasta panjang, 1.5 hasta lebar, dan 1.5 hasta tinggi.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “2 hasta panjang, 1 hasta lebar, dan 1.5 hasta tinggi.”

Harfiah, “1 tapak tangan.”

Harfiah, “1 talenta.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “1 hasta panjang, 1 hasta lebar, dan 2 hasta tinggi.”

Harfiah, “5 hasta panjang, 5 hasta lebar, dan 3 hasta tinggi.” Lihat Lampiran B14.

Iaitu, kepingan logam yang telah dikilatkan.

Harfiah, “100 hasta.”

Atau “gelang.”

Harfiah, “50 hasta.”

Harfiah, “15 hasta.”

Harfiah, “20 hasta panjang dan 5 hasta tinggi.”

Atau “korban yang diayunkan.”

Harfiah, “29 talenta dan 730 syekel.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “100 talenta dan 1,775 syekel.”

Harfiah, “setengah syekel.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “100 talenta.”

Harfiah, “1 talenta.”

Atau “1,775 syekel.”

Harfiah, “70 talenta dan 2,400 syekel.”

Harfiah, “1 jengkal.” Lihat Lampiran B14.

Lihat nota kaki bagi Kel 28:19.

Iaitu, Harun dan anak-anak lelakinya.

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi