BUKU RAJA-RAJA YANG PERTAMA
1 Raja Daud sudah tua+ dan lanjut usia. Meskipun mereka menutupinya dengan selimut, dia masih kesejukan. 2 Maka para pegawainya berkata, “Tuanku, utuslah orang untuk mencari seorang anak dara supaya dia dapat melayan dan menjaga tuanku. Dia akan berbaring dekat tuanku dan memanaskan badan tuanku.” 3 Oleh itu, mereka pergi ke seluruh negeri Israel untuk mencari seorang gadis yang cantik lalu menjumpai Abisag,+ seorang gadis Sunem.+ Kemudian mereka membawa dia kepada raja. 4 Gadis itu cantik sekali, dan dia menjaga raja. Tetapi raja tidak bersetubuh dengannya.
5 Sementara itu, Adonia,+ anak lelaki Hagit, meninggikan diri dengan berkata, “Aku akan menjadi raja!” Dia mempersiapkan sebuah kereta kuda dan para penunggang kuda untuk dirinya. Selain itu, dia juga menyuruh 50 orang untuk berlari di hadapannya.+ 6 Tetapi bapanya tidak pernah menegurnya dengan berkata, “Mengapa kamu berbuat demikian?” Adonia juga sangat kacak, dan dia lahir selepas Absalom. 7 Dia mendapatkan nasihat daripada Yoab anak Zeruya, dan daripada Imam Abiatar.+ Mereka menyokong Adonia dan menawarkan bantuan kepadanya.+ 8 Tetapi Imam Zadok,+ Benaya+ anak Yehoyada, Nabi Natan,+ Simei,+ Rei, dan para askar Daud yang gagah+ tidak menyokong Adonia.
9 Adonia mempersembahkan+ korban biri-biri, lembu, dan binatang yang gemuk di Batu Zohelet, yang terletak dekat En-rogel. Dia menjemput semua putera, iaitu adik-beradiknya, dan semua pegawai raja dari Yehuda. 10 Tetapi dia tidak menjemput Nabi Natan, Benaya, para askar Daud yang gagah, dan adiknya Salomo. 11 Maka Natan+ berkata kepada Bat-syeba,+ ibu Salomo,+ “Adakah permaisuri tahu bahawa Adonia+ anak Hagit telah menjadi raja? Daud, tuan kita, tidak tahu tentang hal itu. 12 Jadi sekarang biarlah hamba memberi permaisuri nasihat yang dapat menyelamatkan nyawa permaisuri dan nyawa Salomo, anak permaisuri.+ 13 Pergilah kepada Raja Daud dan katakanlah kepada baginda, ‘Tuanku telah bersumpah kepada hamba, “Anakmu Salomo akan duduk di atas takhta beta dan menggantikan beta sebagai raja.”+ Jadi sekarang mengapa Adonia pula yang menjadi raja?’ 14 Semasa permaisuri masih bercakap dengan raja, hamba akan masuk dan mengesahkan kata-kata permaisuri.”
15 Maka Bat-syeba pun pergi menghadap raja di dalam biliknya. Raja sudah sangat tua, dan Abisag,+ iaitu gadis dari Sunem, sedang menjaganya. 16 Bat-syeba membongkok lalu bersujud di hadapan raja. Raja pun bertanya, “Apakah permintaanmu?” 17 Bat-syeba menjawab, “Tuanku telah bersumpah kepada hamba demi nama Yehuwa, Tuhan tuanku, ‘Anakmu Salomo akan duduk di atas takhta beta dan menggantikan beta sebagai raja.’+ 18 Tetapi sekarang Adonia sudah menjadi raja, dan tuanku sama sekali tidak tahu tentang hal itu.+ 19 Adonia mempersembahkan banyak lembu jantan, binatang yang gemuk, dan biri-biri sebagai korban. Selepas itu, dia menjemput semua putera dan Imam Abiatar serta Yoab, ketua tentera tuanku.+ Tetapi dia tidak menjemput putera* tuanku, Salomo.+ 20 Sekarang umat Israel sedang menunggu keputusan tuanku tentang siapa yang akan duduk di atas takhta tuanku, untuk menggantikan tuanku sebagai raja. 21 Jika tuanku tidak berbuat demikian, sebaik sahaja tuanku meninggal,* hamba dan anak hamba, Salomo, pasti akan dianggap sebagai pengkhianat.”
22 Semasa dia masih bercakap kepada raja, Nabi Natan pun masuk.+ 23 Dengan segera, raja diberitahu, “Nabi Natan sudah sampai!” Lalu Natan menghadap raja dan bersujud di hadapannya. 24 Natan berkata, “Tuanku, adakah tuanku berkata, ‘Adonia akan duduk di atas takhta beta dan menggantikan beta sebagai raja’?+ 25 Hamba bertanya kerana pada hari ini, Adonia telah mempersembahkan+ banyak lembu jantan, binatang yang gemuk, dan biri-biri sebagai korban. Dia juga menjemput semua putera, ketua-ketua tentera, dan Imam Abiatar.+ Mereka sedang makan dan minum bersamanya sambil berkata, ‘Daulat Tuanku Raja Adonia!’ 26 Tetapi dia tidak menjemput hamba, Imam Zadok, Benaya+ anak Yehoyada, atau putera tuanku, Salomo. 27 Adakah semua ini berlaku dengan izin tuanku? Tuanku belum memberitahu hamba tentang siapa yang akan duduk di atas takhta tuanku, untuk menggantikan tuanku sebagai raja.”
28 Raja Daud berkata, “Panggillah Bat-syeba.” Lalu dia masuk menghadap raja. 29 Maka raja bersumpah, “Demi Yehuwa yang hidup, yang menyelamatkan beta daripada segala kesusahan beta,+ 30 beta telah bersumpah kepadamu demi nama Yehuwa, Tuhan orang Israel, bahawa anakmu Salomo akan duduk di atas takhta beta dan menggantikan beta sebagai raja. Maka itulah yang akan beta lakukan hari ini.” 31 Bat-syeba membongkok lalu bersujud di hadapan raja dan berkata, “Semoga tuanku Raja Daud hidup selama-lamanya!”
32 Dengan serta-merta, Raja Daud berkata, “Panggillah Imam Zadok, Nabi Natan, dan Benaya+ anak Yehoyada.”+ Maka mereka pun datang menghadap raja. 33 Raja berkata kepada mereka, “Bawalah para pegawai beta, dan aturkanlah supaya putera beta, Salomo, menunggang seekor baghal.+ Kemudian bawalah dia ke Gihon.+ 34 Di situ, Imam Zadok dan Nabi Natan akan mengurapinya+ sebagai raja orang Israel. Selepas itu, tiuplah trompet tanduk dan berseru, ‘Daulat Tuanku Raja Salomo!’+ 35 Kemudian iringilah dia kembali ke sini. Dia akan duduk di atas takhta beta kerana dia akan menggantikan beta sebagai raja, dan beta akan menjadikannya pemimpin Israel dan Yehuda.” 36 Dengan segera, Benaya anak Yehoyada berkata, “Amin! Semoga Yehuwa, Tuhan kepada tuanku, mengesahkan hal ini. 37 Sepertimana Yehuwa menyertai tuanku, semoga Dia juga menyertai Salomo,+ dan menjadikan takhtanya lebih besar daripada takhta tuanku Raja Daud.”+
38 Kemudian Imam Zadok, Nabi Natan, Benaya+ anak Yehoyada, orang Kreti, dan orang Pleti+ mengiringi Salomo. Dia menunggang baghal Raja Daud,+ dan mereka membawa dia ke Gihon.+ 39 Imam Zadok mengambil tanduk yang berisi minyak+ daripada khemah suci+ lalu mengurapi Salomo+ dengan minyak itu. Kemudian trompet tanduk ditiup dan semua orang mula berseru, “Daulat Tuanku Raja Salomo!” 40 Selepas itu, semua orang mengiringi Raja Salomo sambil meniup seruling dan bersorak-sorak dengan gembira. Suara mereka begitu kuat sehingga bumi seakan-akan terbelah.+
41 Adonia dan para tetamu yang ada bersamanya baru sahaja selesai makan lalu mereka terdengar bunyi bising itu.+ Apabila Yoab mendengar bunyi trompet tanduk, dia berkata, “Mengapakah suasana kota begitu bising?” 42 Sementara dia masih bercakap, Yonatan,+ iaitu anak kepada Imam Abiatar, datang. Kemudian Adonia berkata, “Masuklah. Kamu orang yang baik. Sudah tentu kamu membawa berita yang baik.” 43 Tetapi Yonatan menjawab, “Tidak! Tuan kita Raja Daud telah melantik Salomo menjadi raja. 44 Raja Daud mengutus Imam Zadok, Nabi Natan, Benaya anak Yehoyada, orang Kreti, dan orang Pleti untuk mengiringi Salomo yang menunggang baghal raja.+ 45 Di Gihon, Imam Zadok dan Nabi Natan mengurapinya menjadi raja. Kemudian mereka semua pergi dari situ dengan penuh sukacita sehingga kota menjadi riuh sekali. Bunyi itulah yang kamu dengar tadi. 46 Sekarang Salomo sudah duduk di atas takhta raja. 47 Selain itu, para pegawai raja telah datang untuk mengucapkan tahniah kepada Raja Daud. Mereka berkata, ‘Semoga Tuhan tuanku menjadikan nama Salomo lebih mulia daripada nama tuanku. Semoga Dia menjadikan takhta Salomo lebih besar daripada takhta tuanku!’ Pada waktu itu, raja yang berada di atas katil menundukkan kepalanya 48 lalu berkata, ‘Terpujilah Yehuwa, Tuhan orang Israel. Hari ini, Engkau telah melantik seseorang untuk duduk di atas takhtaku, dan Engkau telah membenarkan aku melihatnya dengan mataku sendiri!’”
49 Semua tetamu Adonia menjadi takut. Mereka berdiri lalu meninggalkan tempat itu, masing-masing pergi mengikut jalan sendiri. 50 Adonia juga takut akan Salomo. Maka dia berdiri lalu pergi ke mazbah dan memegang tanduk mazbah.+ 51 Salomo diberitahu, “Adonia takut akan tuanku Raja Salomo. Dia pergi ke mazbah lalu memegang tanduk mazbah dan berkata, ‘Mintalah Raja Salomo untuk bersumpah kepada hamba terlebih dahulu bahawa baginda tidak akan membunuh hamba dengan pedangnya.’” 52 Oleh itu, Salomo berkata, “Jika dia berpegang pada janjinya, tidak ada sehelai pun daripada rambutnya yang akan gugur ke tanah. Tetapi jika dia berbuat jahat, dia akan dihukum mati.”+ 53 Maka Raja Salomo mengutus orang untuk menurunkannya dari mazbah. Kemudian Adonia menghadap Raja Salomo lalu bersujud di hadapannya. Salomo berkata kepadanya, “Pulanglah ke rumahmu.”
2 Apabila Daud hampir meninggal, dia memberikan arahan-arahan berikut kepada anaknya Salomo: 2 “Tidak lama lagi, ayahanda akan mati. Kamu mesti kuat+ dan berani.+ 3 Hendaklah kamu taat kepada Yehuwa, Tuhanmu, dengan hidup menurut haluan-Nya. Kamu haruslah mendengarkan perintah, hukum, peraturan, dan semua peringatan Tuhan yang tertulis dalam Hukum Musa.+ Dengan demikian, kamu akan berjaya dalam segala usahamu, tidak kira di mana kamu berada. 4 Yehuwa telah berjanji kepada ayahanda, ‘Jika keturunanmu memperhatikan jalan hidup mereka dan setia kepada-Ku dengan segenap hati dan jiwa,+ salah seorang daripada keturunanmu akan selalu duduk di atas takhta Israel.’+ Ya, Tuhan pasti menepati janji-Nya.
5 “Kamu juga tahu benar apa yang telah dilakukan oleh Yoab anak Zeruya kepada ayahanda dan kepada dua orang ketua tentera Israel, iaitu Abner+ anak Ner dan Amasa+ anak Yeter. Walaupun tiada perang, dia telah menumpahkan darah+ mereka dan menodai tali pinggang dan kasutnya dengan darah mereka. 6 Kamu harus bertindak dengan bijaksana. Jangan biarkan dia mati kerana usia tua.+
7 “Tetapi tunjukkanlah kasih yang setia kepada anak-anak Barzilai,+ orang Gilead itu. Mereka haruslah sentiasa duduk bersamamu di meja makanmu kerana mereka telah berbuat baik kepada ayahanda dan menyokong ayahanda+ semasa ayahanda melarikan diri daripada abangmu Absalom.+
8 “Selain itu, janganlah lupa tentang Simei anak Gera, iaitu orang Benyamin dari Bahurim. Dia telah mengutuk ayahanda dengan kejam+ sewaktu ayahanda dalam perjalanan ke Mahanaim.+ Tetapi semasa dia turun untuk berjumpa dengan ayahanda di Sungai Yordan, ayahanda telah bersumpah demi nama Yehuwa bahawa ayahanda tidak akan membunuhnya dengan pedang ayahanda.+ 9 Jangan biarkan dia terlepas daripada hukuman.+ Kamu orang yang bijaksana dan tahu apa yang harus dilakukan. Darahnya harus ditumpahkan. Jangan biarkan dia mati kerana usia tua.”+
10 Selepas itu, Daud meninggal* dan dikebumikan di Kota Daud.+ 11 Daud telah memerintah Israel selama 40 tahun. Dia memerintah di Hebron+ selama 7 tahun, dan di Yerusalem selama 33 tahun.+
12 Salomo duduk di atas takhta bapanya Daud. Pemerintahannya semakin kukuh seraya masa berlalu.+
13 Beberapa lama kemudian, Adonia anak Hagit pergi berjumpa dengan Bat-syeba, ibu Salomo. Bat-syeba bertanya, “Adakah kamu datang dengan damai?” Adonia menjawab, “Ya,” 14 lalu menambah, “Ada sesuatu yang ingin aku katakan.” Maka Bat-syeba menjawab, “Katakanlah.” 15 Adonia berkata, “Kamu tahu bahawa sayalah yang sepatutnya menjadi raja dan itulah yang diharapkan oleh semua orang Israel.+ Tetapi hal itu tidak berlaku, dan adik saya yang menjadi raja kerana Yehuwa telah memberikan takhta itu kepadanya.+ 16 Sekarang saya ada satu permintaan. Tolong jangan tolak permintaan saya ini.” Bat-syeba menjawab, “Katakanlah.” 17 Adonia berkata, “Tolonglah mohon kepada Raja Salomo supaya memberi saya Abisag,+ gadis Sunem itu, sebagai isteri. Saya tahu raja tidak akan menolak permintaanmu.” 18 Setelah mendengarnya, Bat-syeba berkata, “Baiklah! Aku akan menyampaikan permintaanmu kepada raja.”
19 Maka Bat-syeba menghadap Raja Salomo untuk menyampaikan permintaan Adonia. Raja segera menyambutnya dan tunduk kepadanya. Kemudian raja duduk di atas takhtanya dan menyuruh orang untuk menyediakan satu lagi takhta di sebelah kanannya supaya ibunya boleh duduk. 20 Bat-syeba berkata, “Bonda ada satu permintaan yang kecil. Janganlah tolak permintaan bonda ini.” Oleh itu, raja berkata, “Beritahulah saya permintaan bonda itu. Saya tidak akan menolak permintaan bonda.” 21 Bat-syeba berkata, “Berikanlah Abisag, gadis Sunem itu, kepada abangmu Adonia sebagai isteri.” 22 Kemudian Raja Salomo menjawab, “Mengapa bonda meminta saya memberikan Abisag, gadis Sunem itu, kepada Adonia? Mengapa bonda tidak meminta sahaja saya menyerahkan takhta saya kepadanya?+ Bukankah dia abang saya?+ Lagipun Imam Abiatar dan Yoab+ anak Zeruya sedang menyokongnya.”+
23 Maka Raja Salomo bersumpah demi nama Yehuwa, “Biarlah Tuhan menghukum beta, dan melipatgandakan hukuman-Nya atas beta, jika Adonia tidak dihukum mati kerana permintaannya ini. 24 Yehuwa telah mengukuhkan kedudukan beta di atas takhta ayahanda beta Daud. Dia juga telah memberikan kerajaan ini kepada beta dan keturunan beta seperti yang telah dijanjikan-Nya.+ Sekarang beta bersumpah di hadapan Tuhan yang hidup bahawa beta akan menjatuhkan hukuman mati atas Adonia hari ini juga.”+ 25 Raja Salomo segera mengutus Benaya+ anak Yehoyada untuk membunuh Adonia, lalu Benaya pun pergi membunuhnya.
26 Raja berkata kepada Imam Abiatar,+ “Pergilah ke ladangmu di Anatot!+ Kamu sepatutnya mati, tetapi beta tidak akan membunuhmu hari ini kerana kamu telah mengangkat tabut Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, di hadapan ayahanda beta.+ Kamu juga telah mengharungi pahit getir hidup bersama ayahanda beta.”+ 27 Maka Salomo mengusir Abiatar, dan Abiatar tidak lagi berkhidmat sebagai imam Yehuwa. Dengan demikian, berlakulah apa yang difirmankan oleh Yehuwa di Silo+ tentang Eli+ dan keturunannya.
28 Meskipun Yoab tidak berpihak kepada Absalom,+ dia telah berpihak kepada Adonia.+ Maka apabila Yoab mendengar apa yang telah berlaku, dia melarikan diri ke khemah Yehuwa+ lalu memegang erat tanduk mazbah. 29 Kemudian ada orang memberitahu Raja Salomo, “Yoab telah melarikan diri ke khemah Yehuwa, dan kini dia berada di samping mazbah.” Maka Salomo mengutus Benaya anak Yehoyada dengan perintah ini: “Pergilah, bunuhlah dia!” 30 Benaya pun pergi ke khemah Yehuwa dan berkata kepada Yoab, “Raja menyuruh kamu keluar dari sini!” Tetapi Yoab menjawab, “Tidak! Aku mahu mati di sini.” Maka Benaya kembali kepada raja dan memberitahunya apa yang dikatakan oleh Yoab. 31 Raja berkata kepadanya, “Lakukanlah apa yang dikatakannya. Bunuhlah dia dan kebumikanlah dia. Dengan demikian, beta dan keluarga ayahanda beta tidak perlu bertanggungjawab terhadap darah orang yang tidak bersalah yang telah ditumpahkan oleh Yoab.+ 32 Yehuwa akan menuntut hutang darah daripadanya kerana dia telah menggunakan pedang untuk membunuh dua orang yang tidak bersalah dan yang lebih baik daripadanya, iaitu Abner+ anak Ner, ketua tentera Israel,+ dan Amasa+ anak Yeter, ketua tentera Yehuda. Yoab telah membunuh mereka tanpa pengetahuan Daud, ayahanda beta.+ 33 Yoab dan keturunannya harus bertanggungjawab atas kematian mereka buat selama-lamanya.+ Tetapi semoga Daud, keturunannya, keluarganya, dan takhtanya mendapat kedamaian daripada Yehuwa buat selama-lamanya.” 34 Maka Benaya anak Yehoyada pergi menemui Yoab lalu membunuhnya. Selepas itu, Yoab dikebumikan dekat rumahnya di padang belantara. 35 Kemudian raja melantik Benaya+ anak Yehoyada sebagai ketua tentera untuk menggantikan Yoab. Zadok+ pula dilantik menjadi imam untuk menggantikan Abiatar.
36 Raja memanggil Simei+ lalu berkata kepadanya, “Binalah sebuah rumah untuk dirimu di Yerusalem. Tinggallah di kota ini dan jangan pergi ke tempat yang lain. 37 Jika kamu keluar dan menyeberangi Lembah Kidron,+ pada hari itu juga kamu pasti mati, dan kamulah yang akan bertanggungjawab terhadap kematianmu sendiri.” 38 Lalu Simei berkata kepada raja, “Tuanku memang adil. Hamba akan mematuhi perintah tuanku.” Maka Simei tinggal lama di Yerusalem.
39 Tetapi selepas tiga tahun, dua orang hamba Simei telah melarikan diri ke Gat. Mereka telah pergi kepada Akhis+ anak Maakha, iaitu raja Gat. Apabila Simei mendapat tahu bahawa hamba-hambanya ada di Gat, 40 dia segera memasangkan pelana pada keldainya lalu pergi kepada Akhis di Gat untuk mencari mereka. Apabila Simei kembali bersama hamba-hambanya, 41 Salomo diberitahu, “Simei telah keluar dari Yerusalem dan pergi ke Gat. Kini dia sudah pulang dari situ.” 42 Oleh itu, raja memanggil Simei dan berkata kepadanya, “Bukankah beta telah menyuruh kamu bersumpah demi nama Yehuwa dan memberikan amaran berikut kepadamu: ‘Jika kamu keluar dan pergi ke tempat lain, pada hari itu juga kamu pasti mati’? Bukankah kamu telah menjawab, ‘Apa yang tuanku katakan itu adil, dan hamba akan mematuhi perintah tuanku’?+ 43 Jadi mengapa kamu tidak menepati sumpahmu kepada Yehuwa, dan tidak mematuhi perintah yang beta berikan kepadamu?” 44 Raja menyambung, “Kamu sendiri tahu semua kejahatan yang telah kamu lakukan terhadap Daud, ayahanda beta.+ Sekarang Yehuwa menuntut supaya kamu bertanggungjawab atas perbuatan jahatmu.+ 45 Tetapi Yehuwa akan memberkati Raja Salomo,+ dan mengukuhkan takhta Daud buat selama-lamanya.” 46 Setelah itu, raja memberikan perintah kepada Benaya anak Yehoyada supaya membunuh Simei, lalu dia pun mati.+
Demikianlah Raja Salomo berkuasa penuh dalam kerajaannya.+
3 Salomo menjadikan Firaun, raja Mesir, sekutunya dengan mengahwini anak perempuan Firaun.+ Dia membawa isterinya ke Kota Daud+ untuk tinggal di situ sehingga istananya,+ rumah Yehuwa,+ dan tembok di sekeliling Yerusalem selesai dibina.+ 2 Tetapi rakyat masih mempersembahkan korban di tempat-tempat tinggi+ kerana pada masa itu, rumah untuk memuliakan nama Yehuwa belum lagi dibina.+ 3 Salomo mengasihi Yehuwa dan hidup menurut perintah bapanya Daud. Tetapi dia masih mempersembahkan korban dan membakarnya di tempat-tempat tinggi.+
4 Raja Salomo pergi ke Gibeon untuk mempersembahkan korban di sana kerana Gibeon ialah tempat tinggi+ yang terkenal. Dia mempersembahkan 1,000 ekor binatang sebagai korban bakar di atas mazbah yang ada di sana.+ 5 Di Gibeon, Yehuwa menampakkan diri kepada Salomo dalam sebuah mimpi pada waktu malam. Dalam mimpi itu, Tuhan berfirman, “Mintalah apa sahaja yang engkau inginkan.”+ 6 Salomo menjawab, “Engkau telah menunjukkan kasih setia yang melimpah kepada bapaku Daud kerana dia melakukan apa yang benar, dan memperlihatkan kesetiaan dan ketulusan hati di hadapan-Mu. Engkau terus menunjukkan kasih setia yang melimpah kepadanya sehingga hari ini dengan memberikan takhtanya kepada anaknya.+ 7 Sekarang Yehuwa, Tuhanku, Engkau telah menjadikan hambamu ini raja untuk menggantikan bapaku Daud walaupun aku masih muda dan tidak berpengalaman.+ 8 Hamba-Mu ini berada dalam kalangan umat pilihan-Mu,+ iaitu umat yang sangat besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung. 9 Siapakah yang dapat menghakimi umat-Mu+ yang begitu besar bilangannya? Oleh itu, berilah hamba-Mu ini hati yang taat supaya aku dapat menjadi hakim yang dapat menentukan apa yang baik dan apa yang buruk+ bagi umat-Mu.”
10 Yehuwa berkenan pada permintaan Salomo.+ 11 Maka Tuhan berfirman kepadanya, “Engkau telah meminta pengertian untuk menghakimi umat-Ku dengan baik, dan bukannya umur panjang, kekayaan, ataupun kematian musuhmu. Oleh itu,+ 12 Aku akan menunaikan permintaanmu.+ Aku akan memberi engkau hati yang bijaksana dan yang berpengertian,+ dan tiada orang yang hidup sebelum atau selepas engkau akan menjadi seperti engkau.+ 13 Selain itu, meskipun engkau tidak meminta kekayaan dan kemuliaan, Aku tetap akan memberikannya kepadamu.+ Sepanjang umurmu, tidak akan ada seorang raja pun yang setanding denganmu.+ 14 Jika engkau hidup selaras dengan peraturan dan hukum-Ku seperti bapamu Daud,+ Aku juga akan mengurniai engkau umur yang panjang.”+
15 Apabila Salomo terjaga, barulah dia sedar bahawa dia telah bermimpi. Selepas itu, dia pergi ke Yerusalem. Dia menghadap tabut perjanjian Yehuwa lalu mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian.+ Kemudian dia mengadakan sebuah jamuan untuk semua pegawainya.
16 Pada masa itu, dua orang pelacur datang menghadap raja. 17 Wanita pertama berkata, “Tuanku, perempuan ini tinggal serumah dengan hamba. Ketika hamba melahirkan anak, dia berada di rumah bersama hamba. 18 Tiga hari selepas hamba melahirkan seorang anak lelaki, dia juga melahirkan seorang anak lelaki. Hamba berdua sahaja yang tinggal di dalam rumah, dan tiada orang lain bersama hamba berdua. 19 Pada suatu malam, semasa dia sedang tidur, dia telah menindih anaknya dengan tidak sengaja sehingga anaknya mati. 20 Pada tengah malam, dia bangun lalu mengambil anak hamba dari sisi hamba semasa hamba sedang tidur. Selepas itu, dia meletakkan anaknya yang sudah mati di sisi hamba dan mengambil anak hamba lalu membaringkannya di sisinya. 21 Keesokan paginya, semasa hamba bangun untuk menyusui anak hamba, hamba mendapati bahawa anak itu sudah mati. Tetapi apabila hamba melihat anak itu dengan lebih teliti, hamba sedar bahawa anak itu bukan anak hamba.” 22 Wanita yang seorang lagi berkata, “Tidak, anak yang hidup itu memang anakku. Anak yang sudah mati itu anakmu!” Tetapi wanita yang pertama pula berkata, “Tidak, anak yang sudah mati itu anakmu. Anak yang hidup itu anakku.” Demikianlah mereka bertengkar di hadapan raja.
23 Akhirnya raja berkata, “Yang seorang berkata, ‘Anak yang hidup itu memang anakku. Anak yang sudah mati itu anakmu!’ Yang seorang lagi pula berkata, ‘Tidak, anak yang sudah mati itu anakmu. Anak yang hidup itu anakku!’” 24 Raja menyambung, “Bawakanlah beta sebilah pedang.” Maka sebilah pedang dibawa kepada raja. 25 Raja berkata, “Potonglah anak yang hidup ini menjadi dua. Berikan satu potong kepada wanita ini, dan satu potong kepada wanita yang seorang lagi.” 26 Dengan segera, ibu kepada anak yang masih hidup itu merayu kepada raja, “Ampun tuanku, berikan sahaja anak yang hidup itu kepada dia! Jangan bunuh anak itu!” Dia berkata demikian kerana dia sangat mengasihi anaknya. Tetapi wanita yang seorang lagi berkata, “Anak itu tidak akan menjadi milik kamu ataupun milik aku! Potonglah anak itu!” 27 Maka raja berkata, “Jangan bunuh anak itu! Berikanlah anak yang hidup itu kepada wanita yang pertama kerana dialah ibunya.”
28 Segenap umat Israel mendengar tentang keputusan yang dibuat oleh raja. Mereka berasa amat kagum terhadap Raja Salomo+ kerana Tuhan telah mengurniakan kebijaksanaan kepadanya untuk menghakimi mereka dengan baik.+
4 Raja Salomo memerintah atas seluruh negeri Israel.+ 2 Berikut merupakan pegawai-pegawai tingginya: Azarya anak Zadok+ ialah imam; 3 Elihoref dan Ahia, iaitu anak-anak Shisa, ialah setiausaha;+ Yehosafat+ anak Ahilud ialah pencatat; 4 Benaya+ anak Yehoyada ialah ketua tentera; Zadok dan Abiatar+ ialah imam; 5 Azarya anak Natan+ ialah ketua semua pembesar; Zabud anak Natan ialah imam dan sahabat raja;+ 6 Ahisar ialah pengurus istana; dan Adoniram+ anak Abda bertanggungjawab atas orang yang diwajibkan untuk bekerja bagi raja.+
7 Raja Salomo mempunyai 12 orang pembesar di Israel. Mereka bertanggungjawab untuk menyediakan makanan bagi raja dan seisi istananya. Setiap pembesar bertanggungjawab untuk menyediakan makanan selama sebulan dalam setahun.+ 8 Berikut merupakan nama-nama pembesar itu: Anak Hur, di kawasan pergunungan Efraim; 9 anak Deker, di Makas, di Saalbim,+ di Bet-semes, dan di Elon-bet-hanan; 10 anak Hesed, di Arubot (dia berkuasa atas Sokho dan seluruh tanah Hefer); 11 anak Abinadab, di seluruh tanah tinggi Dor (dia mengahwini Tafat, iaitu anak perempuan Salomo); 12 Baana anak Ahilud, di Taanakh, di Megido,+ dan di seluruh Bet-sean+ (yang terletak dekat Zaretan, dan di bawah Yizreel), dari Bet-sean ke Abel-mehola di kawasan Yokmeam;+ 13 anak Geber, di Ramot-gilead+ (dia berkuasa atas kampung-kampung perkhemahan milik Yair+ anak Manasye, di Gilead;+ dia juga berkuasa atas kawasan Argob+ di Basan+ yang merangkumi 60 kota besar yang mempunyai tembok dan palang pintu tembaga); 14 Ahinadab anak Ido, di Mahanaim;+ 15 Ahimaas, di Naftali (dia mengahwini Basmat, iaitu anak perempuan Salomo); 16 Baana anak Husai, di Asyer dan di Bealot; 17 Yehosafat anak Paruah, di Isakhar; 18 Simei+ anak Ela, di Benyamin;+ 19 Geber anak Uri, di Gilead+ (yang dahulunya dikuasai oleh Raja Sihon,+ iaitu raja orang Amori, dan Raja Og+ di Basan). Selain itu, terdapat seorang pembesar yang bertanggungjawab atas semua pembesar ini.
20 Penduduk Yehuda dan Israel sangat ramai seperti butir-butir pasir di laut.+ Mereka semua makan, minum, dan bergembira.+
21 Salomo berkuasa atas semua kerajaan dari Sungai Efrat+ sampai ke negeri orang Filistin dan sempadan negeri Mesir. Semua rakyat di sana membayar ufti kepada Salomo dan melayaninya sepanjang hayatnya.+
22 Setiap hari, bahan makanan yang diperlukan oleh Salomo ialah 30 bekas* tepung yang bermutu tinggi, 60 bekas* tepung, 23 10 ekor lembu kandang, 20 ekor lembu padang, 100 ekor biri-biri, burung-burung yang gemuk, kijang, dan pelbagai jenis rusa. 24 Salomo menakluki semua raja di sebelah barat Sungai Efrat,+ dari Tifsah sehinggalah ke Gaza,+ dan dia berkuasa atas segala sesuatu di situ. Semua kawasan di bawah pemerintahannya aman damai.+ 25 Sepanjang hayat Salomo, semua penduduk Yehuda dan Israel, dari Dan sampai ke Beer-syeba, hidup aman damai di bawah pokok anggur dan pokok ara masing-masing.
26 Raja Salomo mempunyai 4,000* kandang untuk kuda yang menarik kereta kuda, dan 12,000 ekor kuda.*+
27 Semua pembesar itu menyediakan makanan untuk Raja Salomo dan semua orang yang makan di mejanya. Setiap pembesar bertanggungjawab pada bulan yang telah ditentukan bagi mereka. Mereka juga memastikan agar tiada apa-apa yang kekurangan.+ 28 Selain itu, setiap pembesar bertanggungjawab untuk membekalkan barli dan jerami untuk kuda, termasuk kuda-kuda yang menarik kereta kuda, di mana sahaja makanan itu diperlukan.
29 Tuhan memberi Salomo kebijaksanaan dan hikmat yang luar biasa. Tuhan juga memberinya pengetahuan yang banyak* seperti pasir di pantai.+ 30 Raja Salomo menjadi jauh lebih bijaksana daripada semua orang yang menetap di Timur dan di Mesir.+ 31 Dia lebih bijaksana daripada semua orang. Kebijaksanaan Salomo jauh lebih hebat daripada Etan+ orang Ezrah, dan anak-anak Mahol, iaitu Heman,+ Kalkol,+ dan Darda. Nama Salomo menjadi terkenal di semua negeri di sekitarnya.+ 32 Dia mengarang 3,000 peribahasa+ dan menggubah 1,005 lagu.+ 33 Dia bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang luas tentang pokok-pokok sedar di Lebanon, tetapi juga tentang rumput hisop+ yang tumbuh pada tembok. Dia juga mempunyai pengetahuan tentang binatang yang besar,+ binatang yang menjalar,+ burung,+ dan ikan. 34 Orang dari segala bangsa datang untuk mendengar tentang kebijaksanaan Salomo, termasuk raja-raja di seluruh bumi yang telah mendengar tentang kebijaksanaannya.+
5 Sejak dahulu lagi, Raja Hiram dari Tirus+ bersahabat dengan Daud. Apabila Hiram mendengar bahawa Salomo telah diurapi sebagai raja untuk menggantikan bapanya Daud, dia mengutus para pegawainya kepada Salomo.+ 2 Salomo pun mengirim pesanan berikut kepada Hiram:+ 3 “Tuanku tahu bahawa Daud, ayahanda beta, tidak diizinkan untuk membina sebuah rumah untuk memuliakan nama Yehuwa, Tuhan baginda, kerana baginda telah berperang melawan musuh-musuh di sekelilingnya. Namun akhirnya Yehuwa memberikan kemenangan kepada baginda atas mereka semua.+ 4 Sekarang Yehuwa, Tuhan beta, telah mengurniakan kedamaian kepada beta. Seluruh kawasan pemerintahan beta aman.+ Beta tidak ada musuh, dan tidak ada malapetaka yang menimpa negeri beta.+ 5 Yehuwa telah berjanji kepada Daud, ayahanda beta, ‘Aku akan melantik anakmu untuk duduk di atas takhtamu. Anak itulah yang akan membina sebuah rumah untuk memuliakan nama-Ku.’ Oleh itu, beta ingin membina sebuah rumah untuk memuliakan nama Yehuwa, Tuhan beta.+ 6 Jika tuanku berkenan, mintalah rakyat tuanku untuk menebang pokok sedar di Lebanon+ bagi beta. Hamba-hamba beta akan bekerja bersama hamba-hamba tuanku. Beta akan membayar upah hamba-hamba tuanku, menurut kadar yang tuanku tetapkan. Sebagaimana tuanku maklum, tiada seorang pun antara rakyat beta yang pandai menebang pokok seperti orang Sidon.”+
7 Apabila Hiram mendengar kata-kata Salomo, dia sangat gembira. Dia berkata, “Terpujilah Yehuwa hari ini, kerana Dia telah mengurniakan anak yang bijaksana kepada Daud, dan anak ini akan memimpin umat yang begitu banyak bilangannya!”+ 8 Lalu Hiram mengirim jawapan ini kepada Salomo: “Beta telah menerima pesanan yang tuanku kirimkan. Beta akan memenuhi segala permintaan tuanku dengan menyediakan kayu sedar dan kayu juniper.+ 9 Dari Lebanon, hamba-hamba beta akan menghantar kayu-kayu balak itu ke laut. Kayu-kayu itu akan diikat menjadi rakit lalu dihanyutkan di laut sampai ke tempat pilihan tuanku. Di sana, hamba-hamba beta akan membuka ikatannya supaya tuanku boleh mengangkutnya. Sebagai upah beta, sediakanlah makanan yang diperlukan oleh seisi istana beta.”+
10 Maka Hiram membekalkan semua kayu sedar dan kayu juniper kepada Salomo, seperti yang dikehendakinya. 11 Salomo memberi Hiram 20,000 bekas* gandum dan 20 bekas* minyak zaitun yang bermutu tinggi sebagai makanan untuk seisi istana Hiram. Itulah yang dilakukan oleh Salomo setiap tahun.+ 12 Yehuwa menepati janji-Nya dengan mengurniakan kebijaksanaan kepada Salomo.+ Hiram dan Salomo mempunyai hubungan yang baik, dan mereka berdua membuat ikatan perjanjian.
13 Raja Salomo telah mewajibkan 30,000 orang lelaki dari seluruh Israel untuk menjadi pekerjanya.+ 14 Setiap bulan, Raja Salomo menghantar 10,000 orang ke Lebanon mengikut giliran. Mereka menghabiskan masa sebulan di Lebanon, dan balik ke rumah masing-masing untuk dua bulan. Adoniram+ bertanggungjawab atas orang yang diwajibkan untuk bekerja bagi raja. 15 Salomo mempunyai 70,000 orang pekerja yang mengangkat barang yang berat dan 80,000 orang yang memotong batu+ di pergunungan.+ 16 Selain itu, Salomo juga mempunyai 3,300 orang pembesar+ yang bertugas sebagai mandur untuk menyelia para pekerja itu. 17 Di bawah perintah raja, mereka mendapatkan batu-batu yang besar dan mahal+ lalu memotongnya untuk dijadikan sebagai asas+ Rumah Tuhan. 18 Maka para pekerja Salomo, para pekerja Hiram, dan orang Gebal+ memahat batu. Mereka juga menyediakan kayu dan batu untuk membina Rumah Tuhan.
6 Salomo mula membina Rumah Yehuwa*+ pada bulan Ziv*+ (iaitu, bulan yang kedua), pada tahun keempat dia menjadi raja Israel, iaitu pada tahun ke-480 selepas orang Israel meninggalkan Mesir.+ 2 Rumah yang dibina oleh Raja Salomo untuk Yehuwa berukuran 60 hasta* panjang, 20 hasta lebar, dan 30 hasta tinggi.+ 3 Di depan Rumah Tuhan, ada sebuah anjung+ yang berukuran 10 hasta panjang dan 20 hasta lebar, iaitu sama seperti lebar Rumah Tuhan.
4 Dia membuat tingkap yang berbingkai untuk Rumah Tuhan. Ukuran bingkai di sebelah luar tingkap lebih kecil daripada ukuran sebelah dalamnya.+ 5 Selain itu, dia membina sebuah tembok di luar yang mengelilingi dinding Rumah Tuhan, iaitu mengelilingi Bilik Suci dan Bilik Maha Suci.+ Dengan itu, terdapat ruang di antara tembok itu dengan dinding Rumah Tuhan, dan terdapat juga beberapa buah bilik di ruang tersebut.+ 6 Ruang itu dibahagi menjadi tiga tingkat: Tingkat bawah berukuran lima hasta lebar, tingkat tengah berukuran enam hasta lebar, dan tingkat atas berukuran tujuh hasta lebar. Dinding di setiap tingkat lebih nipis daripada tingkat di bawahnya, supaya terdapat kayu-kayu yang menghubungkan tembok luar dengan dinding Rumah Tuhan tanpa membuat lubang pada dinding itu.+
7 Batu-batu yang digunakan untuk membina Rumah Tuhan telah dipahat dan disediakan terlebih dahulu.+ Dengan demikian, sepanjang masa pembinaan Rumah Tuhan, bunyi tukul, kapak, atau alat-alat besi yang lain tidak kedengaran di situ. 8 Pintu masuk bagi tingkat bawah ruang itu ada di bahagian selatan Rumah Tuhan.+ Terdapat juga sebuah tangga melingkar yang menghubungkan tingkat bawah dengan tingkat tengah, dan menghubungkan tingkat tengah dengan tingkat atas. 9 Salomo meneruskan kerja pembinaan Rumah Tuhan sehingga segala-galanya selesai.+ Dia menggunakan kayu balak dan papan-papan daripada pokok sedar untuk membuat bumbung rumah itu.+ 10 Tinggi setiap tingkat bagi ruang yang dibina di sekeliling Rumah Tuhan+ berukuran lima hasta. Kayu-kayu sedar digunakan untuk menghubungkan tembok luar dengan dinding Rumah Tuhan.
11 Yehuwa berfirman kepada Salomo, 12 “Berkenaan rumah yang sedang engkau bina ini, jika engkau mematuhi dan menjalankan perintah, peraturan, dan semua hukum Aku,+ Aku akan melakukan untukmu apa yang telah Aku janjikan kepada bapamu, Daud.+ 13 Aku akan tinggal dalam kalangan umat-Ku Israel,+ dan Aku tidak akan meninggalkan mereka.”+
14 Salomo meneruskan kerja pembinaan Rumah Tuhan sehingga segala-galanya selesai. 15 Dia melapisi dinding di sebelah dalam Rumah Tuhan dengan kayu sedar, dari lantai sampai ke siling. Selain itu, dia melapisi lantai rumah itu dengan kayu juniper.+ 16 Di bahagian paling belakang Rumah Tuhan,+ dia membina sebuah bilik yang berukuran 20 hasta. Dia membina bilik ini dengan kepingan kayu sedar, dari lantai sampai ke bumbung. Bilik Maha Suci+ terletak di dalam bilik ini. 17 Di bahagian hadapan rumah itu pula, terdapat Bilik Suci+ yang berukuran 40 hasta. 18 Terdapat ukiran labu+ dan ukiran bunga yang sedang mekar+ pada kayu-kayu sedar di dalam Rumah Tuhan. Kayu-kayu itu menutupi dinding Rumah Tuhan sehingga batu-batu dinding tidak kelihatan sama sekali.
19 Dia menyediakan Bilik Maha Suci+ di dalam Rumah Tuhan untuk menyimpan tabut perjanjian Yehuwa.+ 20 Bilik itu berukuran 20 hasta panjang, 20 hasta lebar, dan 20 hasta tinggi.+ Dia melapisi bilik itu dengan emas tulen, manakala mazbah pula dilapisi dengan kayu sedar.+ 21 Salomo melapisi bahagian dalam Rumah Tuhan dengan emas tulen.+ Selain itu, dia merentangkan rantai emas di hadapan Bilik Maha Suci,+ yang juga telah dilapisi dengan emas. 22 Dia melapisi seluruh rumah itu dengan emas. Dia juga menyaluti seluruh mazbah+ dekat Bilik Maha Suci dengan emas.
23 Di dalam Bilik Maha Suci, dia membuat dua kerub*+ daripada kayu pain.* Setiap kerub berukuran 10 hasta tinggi.+ 24 Setiap kerub mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya lima hasta. Jarak antara kedua-dua hujung sayap setiap kerub ialah 10 hasta. 25 Kerub yang kedua juga berukuran 10 hasta. Kedua-dua kerub mempunyai saiz dan bentuk yang sama. 26 Kerub-kerub itu berukuran 10 hasta tinggi. 27 Kemudian dia meletakkan kedua-dua kerub+ itu di dalam Bilik Maha Suci. Sayap kerub-kerub itu terbentang dan saling menyentuh di tengah-tengah bilik. Sayap lain kerub yang pertama menyentuh dinding, dan sayap lain kerub yang kedua menyentuh dinding yang satu lagi. 28 Dia menyaluti kerub-kerub itu dengan emas.
29 Semua dinding di sekeliling kedua-dua bilik Rumah Tuhan dihiasi dengan ukiran kerub,+ pokok palma,+ dan bunga yang sedang mekar.+ 30 Lantai kedua-dua bilik itu juga dilapisi emas. 31 Dia membuat pintu masuk Bilik Maha Suci daripada kayu pain, lalu memasang ambang pintu dan tiang-tiang pintu di tepinya, yang membentuk bahagian kelima.* 32 Kedua-dua pintu itu diperbuat daripada kayu pain. Dia menghiasi kedua-dua pintu itu dengan ukiran kerub, pokok palma, dan bunga yang sedang mekar. Kemudian dia menyaluti semua itu dengan emas. Dia menggunakan tukul untuk memastikan ukiran kerub dan palma itu dilapisi emas dengan sepenuhnya. 33 Dia juga membuat tiang-tiang bagi pintu masuk Bilik Suci dengan cara yang sama. Tiang-tiang itu diperbuat daripada kayu pain, dan membentuk bahagian yang keempat.* 34 Dia membuat dua buah pintu daripada kayu juniper. Setiap pintu ada dua daun pintu yang berpusing pada paksinya.+ 35 Dia mengukir kerub, pokok palma, dan bunga yang mekar pada kedua-dua pintu itu. Selepas itu, dia melapisi ukiran-ukiran itu dengan emas.
36 Dia membina tembok bagi halaman dalam+ yang terdiri daripada tiga lapis batu yang telah dipotong dan satu lapis kayu sedar.+
37 Pada tahun yang keempat, pada bulan Ziv,* asas bagi Rumah Yehuwa telah dibina.+ 38 Pada tahun ke-11, pada bulan Bul* (iaitu, bulan yang kelapan), setiap bahagian Rumah Tuhan telah siap dibina, tepat seperti segala yang ditunjukkan dalam pelan.+ Salomo menghabiskan masa tujuh tahun untuk membinanya.
7 Salomo membina sebuah istana untuk dirinya,+ dan pembinaannya mengambil masa 13 tahun.+
2 Dia juga membina sebuah rumah yang dipanggil Rumah Hutan Lebanon.+ Rumah itu berukuran 100 hasta* panjang, 50 hasta lebar, dan 30 hasta tinggi. Rumah itu dibina di atas empat baris tiang kayu sedar. Selain itu, terdapat kayu sedar di atas tiang-tiang itu.+ 3 Bahagian atas rumah itu dilapisi papan kayu sedar yang dipasang pada batang-batang kayu yang melintang dan disokong oleh tiang-tiang. Semuanya* berjumlah 45 batang, dan setiap baris ada 15 batang. 4 Rumah itu mempunyai tiga baris jendela yang berbingkai. Jendela-jendela pada dinding yang satu berhadapan dengan jendela-jendela pada dinding yang lain. 5 Semua jendela yang terdapat pada ketiga-tiga baris itu mempunyai bingkai yang berbentuk segi empat. Begitu juga dengan semua pintu masuk dan tiang pintunya.
6 Kemudian, dia membina Dewan Tiang yang berukuran 50 hasta panjang dan 30 hasta lebar. Di depan dewan itu, ada anjung beratap yang disokong oleh tiang-tiang.
7 Selain itu, Salomo membina Dewan Takhta,+ iaitu Dewan Penghakiman.+ Di situlah dia menjalankan kerja penghakimannya. Dewan itu dilapisi kayu sedar dari lantai sampai ke bumbung.
8 Tempat tinggal Salomo dibina di halaman lain,+ iaitu sedikit jauh dari Dewan Penghakiman dan didirikan dengan cara yang serupa. Salomo juga membuat sebuah rumah yang mirip dengan dewan ini untuk isterinya, iaitu anak perempuan Firaun.+
9 Semua bangunan ini, iaitu dari asas bangunan sampai ke bahagian atas dinding sampai ke halaman besar,* dibuat daripada batu-batu yang mahal.+ Batu-batu itu dipotong menurut ukuran yang ditentukan, lalu bahagian dalam dan bahagian luarnya diratakan dengan gergaji batu.+ 10 Asas bangunan itu dibuat daripada batu-batu yang sangat besar dan mahal. Ada batu yang berukuran 10 hasta, dan ada juga yang berukuran 8 hasta. 11 Di atasnya, terdapat batu-batu mahal yang dipotong menurut ukuran yang ditentukan. Kayu-kayu sedar juga digunakan. 12 Di sekeliling halaman besar,* terdapat tembok yang terdiri daripada tiga lapis batu yang telah dipotong dan satu lapis kayu sedar, sama seperti tembok di halaman dalam+ yang mengelilingi Rumah Yehuwa dan anjung rumah itu.+
13 Raja Salomo mengutus orang untuk menjemput Hiram+ dari Tirus. 14 Ibu Hiram ialah seorang balu daripada suku Naftali, dan bapanya ialah seorang tukang tembaga dari Tirus.+ Hiram ialah seorang tukang tembaga yang sangat mahir, pandai,+ dan berpengalaman. Hiram datang kepada Raja Salomo dan melakukan segala kerja yang ditugaskan kepadanya.
15 Hiram membuat dua batang tiang tembaga.+ Setiap tiang berukuran 18 hasta tinggi, dan tiang itu dapat dililit dengan tali yang* berukuran 12 hasta panjang.+ 16 Dia membuat dua buah kepala tiang daripada tembaga untuk diletakkan di atas tiang-tiang itu. Setiap kepala tiang berukuran lima hasta tinggi. 17 Kepala-kepala tiang itu dihiasi dengan tujuh utas rantai berpintal yang disambung untuk menjadi satu rangkaian.+ Setiap kepala tiang mempunyai satu rangkaian rantai. 18 Untuk menghiasi kepala tiang, dia membuat hiasan berbentuk buah delima yang disusun dalam dua baris di sekeliling setiap rangkaian rantai. Dia juga berbuat demikian untuk kepala tiang yang satu lagi. 19 Kepala-kepala tiang di anjung Rumah Tuhan mempunyai hiasan berbentuk bunga bakung yang berukuran empat hasta tinggi. 20 Bahagian bulat kepala-kepala tiang, iaitu dekat tempat rangkaian rantai, diletakkan di atas dua batang tiang. Terdapat 200 biji buah delima yang disusun berbaris pada setiap kepala tiang.+
21 Dia meletakkan tiang-tiang itu di hadapan anjung Rumah Tuhan.+ Tiang pertama yang dinamakan Yakhin* diletakkan di sebelah kanan, dan tiang kedua yang dinamakan Boaz* diletakkan di sebelah kiri.+ 22 Bahagian atas tiang-tiang itu mempunyai hiasan berbentuk bunga bakung. Maka selesailah kerja pembinaan tiang-tiang itu.
23 Kemudian dia membuat sebuah tangki air yang besar, yang dipanggil Laut Tembaga.+ Tangki ini berbentuk bulat, garis tengahnya* berukuran 10 hasta, tingginya berukuran 5 hasta, dan dapat dililit dengan tali yang* berukuran 30 hasta panjang.+ 24 Terdapat hiasan berbentuk labu yang mengelilingi mulut tangki itu, dan terdapat 10 biji labu dalam setiap hasta.+ Hiasan itu disusun dalam dua baris dan dibentuk dalam tuangan yang sama dengan Laut Tembaga. 25 Tangki itu diletakkan di atas 12 buah patung lembu jantan.+ Tiga ekor lembu menghadap ke utara, tiga ke barat, tiga ke selatan, dan tiga ke timur. Tangki itu diletakkan di atas lembu-lembu itu, dan semua lembu itu membelakangi tangki itu. 26 Tepi tangki itu setebal satu tapak tangan.* Bahagian tepinya seperti tepi cawan, dan melengkung ke luar seperti bunga bakung yang sedang mekar. Tangki itu dapat menampung sebanyak 44,000 liter* air.
27 Selepas itu, Hiram membuat 10 buah pedati* daripada tembaga.+ Setiap pedati berukuran empat hasta panjang, empat hasta lebar, dan tiga hasta tinggi. 28 Beginilah caranya pedati-pedati itu dibina: Bahagian tepi pedati itu dibuat daripada kepingan tembaga yang diletakkan di dalam bingkai-bingkai segi empat. 29 Pada kepingan-kepingan tembaga itu, terdapat hiasan berbentuk singa,+ lembu jantan, dan kerub.+ Hiasan yang sama juga terdapat pada bingkainya. Di sebelah atas dan di sebelah bawah hiasan singa dan lembu jantan itu, terdapat ukiran timbul yang berbentuk lingkaran. 30 Setiap pedati mempunyai empat buah roda tembaga dan batang-batang tembaga yang menghubungkan roda-roda itu. Pada keempat-empat penjuru pedati itu terdapat penyangga untuk menyangga roda-roda itu. Penyangga yang terdapat di bawah besen mempunyai hiasan berbentuk lingkaran pada setiap sisi. Hiasan dan penyangga itu dibentuk dalam tuangan yang sama. 31 Di bahagian atas pedati itu terdapat sebuah bingkai bulat dan di tepi bingkai bulat itu terdapat ukiran. Besen itu dimasukkan ke dalam bingkai itu. Ukuran dari bahagian bawah besen sampai ke bingkai itu ialah satu hasta tinggi. Bingkai bulat itu merupakan sebahagian daripada penyangga yang berukuran satu hasta setengah tinggi. Pada tepi bingkai itu juga terdapat kepingan tembaga yang berbentuk segi empat, bukannya bulat. 32 Keempat-empat roda terletak di bawah pedati itu dan setiap roda berukuran satu hasta setengah tinggi. Penyangga untuk menyokong roda juga telah disambungkan pada pedati itu. 33 Roda pedati itu seperti roda kereta kuda. Penyangga roda, rim, jejari, dan pusat roda pedati itu, semuanya dibuat daripada logam. 34 Empat batang penyangga pada setiap penjuru pedati itu dibuat sekali gus dengan pedati di dalam acuan yang sama. 35 Gelungan yang mengelilingi bahagian atas pedati itu berukuran setengah hasta tinggi. Bingkai dan kepingan-kepingan tembaga pada leher pedati serta bahagian atas pedati dibuat di dalam acuan yang sama. 36 Di atas bingkai dan kepingan-kepingan tembaga itu, terdapat ukiran kerub, singa, dan pokok palma pada semua tempat yang dapat diukir. Terdapat juga hiasan lingkaran yang mengelilinginya.+ 37 Demikianlah caranya dia membina 10 buah pedati itu.+ Kesemuanya serupa,+ baik bentuknya mahupun ukurannya.
38 Dia membuat 10 buah besen daripada tembaga,+ sebuah besen untuk setiap pedati. Garis tengah* setiap besen berukuran empat hasta. Setiap besen dapat menampung sebanyak 880 liter* air. 39 Kemudian dia meletakkan lima buah pedati pada sebelah kanan Rumah Tuhan, dan lima buah pedati lagi pada sebelah kiri. Dia meletakkan Laut Tembaga pada sebelah kanan rumah itu, iaitu di sebelah tenggara.+
40 Selain itu, Hiram+ membuat besen yang lain, penyodok,+ dan mangkuk.+
Demikianlah Hiram menyelesaikan semua kerja di Rumah Yehuwa yang diperintahkan oleh Raja Salomo kepadanya. Inilah senarai hasil kerjanya:+ 41 Dua batang tiang+ dan dua kepala tiang yang bentuknya seperti mangkuk, yang diletakkan di atas tiang-tiang itu; dua rangkaian rantai+ untuk menghiasi kepala-kepala tiang itu; 42 sebanyak 400 hiasan berbentuk buah delima+ untuk kedua-dua rangkaian rantai itu, iaitu dua baris buah delima untuk setiap rangkaian rantai; 43 sebanyak 10 buah pedati+ dan 10 buah besen+ di atas pedati-pedati itu; 44 Laut Tembaga+ dan 12 ekor lembu jantan di bawahnya; 45 dan baldi, penyodok, mangkuk serta semua perkakas yang dibuat oleh Hiram daripada tembaga yang telah digilap. Semua perkakas ini dibuat untuk Raja Salomo agar dapat digunakan di Rumah Yehuwa. 46 Raja Salomo memerintahkan agar semuanya dituangkan ke dalam acuan-acuan tanah liat yang terletak di antara Sukot dan Zaretan, di daerah Yordan.
47 Salomo tidak menimbang semua perkakas itu kerana bilangannya terlalu banyak. Maka berat tembaga yang digunakan tidak diketahui.+ 48 Salomo membuat semua perabot dan perkakas untuk Rumah Yehuwa: Mazbah+ emas; meja emas+ untuk meletakkan roti yang dipersembahkan kepada Tuhan; 49 kaki pelita+ yang diperbuat daripada emas tulen yang diletakkan di hadapan Bilik Maha Suci, lima buah kaki pelita di sebelah kanan, dan lima buah lagi di sebelah kiri; bunga,+ pelita-pelita, dan penyepit yang diperbuat daripada emas;+ 50 besen, alat pemadam sumbu pelita,+ mangkuk, cawan,+ dan bekas perbaraan+ (semuanya diperbuat daripada emas tulen); dan engsel-engsel yang diperbuat daripada emas untuk pintu Bilik Maha Suci+ serta pintu Rumah Tuhan.+
51 Apabila semua kerja yang dilakukan oleh Raja Salomo bagi Rumah Yehuwa selesai, dia menyimpan semua barangan yang telah disucikan oleh bapanya+ Daud. Dia memasukkan perak, emas, dan semua perkakas ke dalam tempat penyimpanan harta di Rumah Yehuwa.+
8 Kemudian Salomo mengumpulkan+ para pemimpin, iaitu semua ketua suku dan ketua puak orang Israel.+ Mereka menemui Raja Salomo di Yerusalem untuk membawa tabut perjanjian Yehuwa dari Kota Daud,+ iaitu Sion.+ 2 Semua orang Israel berkumpul menghadap Raja Salomo sempena perayaan* pada bulan Etanim,* iaitu pada bulan ketujuh.+ 3 Apabila semua pemimpin orang Israel tiba, para imam pun mengangkat tabut itu.+ 4 Para imam dan orang Lewi membawa tabut Yehuwa, khemah pertemuan,+ dan semua peralatan suci yang ada di dalam khemah itu. 5 Raja Salomo dan segenap umat Israel yang telah dijemput untuk menghadapnya, berkumpul di hadapan tabut. Ada begitu banyak biri-biri dan lembu yang dikorbankan+ sehingga bilangannya tidak dapat dikira.
6 Kemudian para imam membawa tabut perjanjian Yehuwa ke tempat yang telah ditentukan,+ iaitu ke dalam Bilik Maha Suci. Itulah bilik di bahagian paling belakang Rumah Tuhan, dan mereka meletakkannya di bawah sayap kerub-kerub.+
7 Sayap kerub-kerub itu terbentang di atas tabut perjanjian dan membayangi tabut itu dan kayu pengusungnya.+ 8 Kayu pengusung itu+ panjang sekali sehingga hujungnya dapat dilihat dari Bilik Suci yang terletak di hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari luar. Kayu-kayu pengusung itu masih di situ sehingga sekarang. 9 Di dalam tabut itu, tidak ada apa-apa kecuali dua keping batu tulis.+ Batu-batu tulis itu dimasukkan oleh Musa semasa dia berada di Horeb,+ iaitu ketika Yehuwa membuat perjanjian+ dengan orang Israel selepas mereka keluar dari negeri Mesir.+
10 Semasa para imam keluar dari tempat yang suci itu, Rumah Yehuwa+ mula dipenuhi dengan awan.+ 11 Mereka tidak dapat meneruskan tugas mereka kerana awan itu. Sesungguhnya, kemuliaan Yehuwa telah memenuhi Rumah Yehuwa.+ 12 Pada waktu itu, Salomo berkata, “Ya Yehuwa, Engkau berfirman bahawa Engkau akan tinggal di dalam awan tebal itu.+ 13 Aku telah membina sebuah rumah yang agung untuk-Mu, sebuah tempat yang ditetapkan untuk menjadi kediaman-Mu buat selama-lamanya.”+
14 Kemudian raja berpaling menghadap segenap umat* Israel yang sedang berdiri dan mula memberkati mereka.+ 15 Dia berkata, “Terpujilah Yehuwa, Tuhan orang Israel. Dia telah berjanji kepada ayahanda beta Daud, dengan mulut-Nya sendiri, dan telah menunaikan janji-Nya dengan tangan-Nya sendiri. Dia pernah berfirman, 16 ‘Sejak Aku membawa umat-Ku Israel keluar dari Mesir, Aku belum pernah memilih kota mana pun di seluruh kawasan suku Israel sebagai tempat pembinaan sebuah rumah supaya nama-Ku tetap berada di situ.+ Tetapi Aku telah memilih Daud untuk memerintah umat-Ku Israel.’ 17 Daud, ayahanda beta, memang berhasrat untuk membina sebuah rumah bagi memuliakan nama Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 18 Tetapi Yehuwa berfirman kepada ayahanda beta, ‘Engkau berhasrat untuk membina sebuah rumah bagi memuliakan nama-Ku, dan hasratmu ini memang baik. 19 Namun engkau tidak akan membinanya. Anakmu, ya anakmu sendirilah yang akan membina rumah untuk memuliakan nama-Ku.’+ 20 Yehuwa telah menunaikan janji-Nya. Beta telah duduk di atas takhta Israel dan menggantikan ayahanda beta sebagai raja, seperti yang telah dijanjikan oleh Yehuwa. Beta juga telah membina sebuah rumah untuk memuliakan nama Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 21 Di sana, beta telah menyediakan tempat untuk tabut yang mengandungi batu-batu tulis yang mencatatkan perjanjian+ antara Yehuwa dengan nenek moyang kita, semasa Dia membawa mereka keluar dari negeri Mesir.”
22 Kemudian Salomo berdiri di hadapan mazbah Yehuwa, di hadapan semua orang* Israel. Dia mengangkat kedua-dua tangannya ke langit+ 23 lalu berdoa, “Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, tidak ada Tuhan lain seperti Engkau,+ baik di syurga mahupun di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dan memperlihatkan kasih yang setia+ kepada hamba-hamba-Mu yang menyembah-Mu dengan sepenuh hati.+ 24 Engkau menepati janji-Mu kepada bapaku Daud. Engkau telah berjanji dengan mulut-Mu sendiri, dan Engkau telah menunaikannya dengan tangan-Mu sendiri pada hari ini.+ 25 Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, tunaikanlah juga janji ini, iaitu janji yang telah Engkau ucapkan kepada bapaku Daud semasa Engkau berfirman, ‘Jika keturunanmu memperhatikan jalan hidup mereka dan menyembah Aku, seperti yang engkau lakukan, salah seorang daripada mereka akan sentiasa berada di hadirat-Ku dan duduk di atas takhta Israel.’+ 26 Ya Tuhan orang Israel, semoga janji-Mu kepada hamba-Mu Daud, bapaku, menjadi kenyataan.
27 “Tetapi adakah Tuhan akan betul-betul tinggal di bumi?+ Bahkan langit, ya seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu,+ apalagi rumah yang telah aku bina ini!+ 28 Ya Yehuwa, Tuhanku, dengarlah doa hamba-Mu, dan kabulkanlah permohonannya. Dengarlah hamba-Mu apabila hamba-Mu berdoa dan berseru meminta tolong di hadapan-Mu hari ini. 29 Semoga mata-Mu memerhatikan rumah ini siang dan malam, dan dengarlah hamba-Mu apabila dia berdoa menghadap ke tempat ini, kerana Engkau telah berfirman tentang tempat ini, ‘Nama-Ku akan ada di sini.’+ 30 Dengarlah permohonan hamba-Mu dan umat-Mu Israel semasa mereka berdoa menghadap ke tempat ini. Semoga Engkau mendengar dari tempat kediaman-Mu di syurga,+ ya semoga Engkau mendengar dan mengampuni mereka.+
31 “Jika seorang daripada hamba-Mu dituduh bersalah dan disuruh mengangkat sumpah,* lalu dia datang menghadap-Mu di depan mazbah di rumah ini selepas mengangkat sumpah itu,+ 32 dengarlah dari syurga dan hakimilah hamba-Mu itu. Ambillah tindakan dan nyatakanlah siapa yang bersalah lalu jatuhkanlah hukuman yang setimpal dengan perbuatannya, dan nyatakanlah siapa yang tidak bersalah dan berikanlah berkat yang sesuai dengan perbuatan baiknya.+
33 “Apabila umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka terus berdosa terhadap-Mu,+ tetapi kemudian mereka kembali kepada-Mu, memuliakan nama-Mu,+ dan berdoa serta membuat permohonan kepada-Mu di rumah ini,+ 34 semoga Engkau mendengar dari syurga dan mengampunkan dosa umat-Mu Israel. Bawalah mereka pulang ke tanah yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang mereka.+
35 “Apabila langit tertutup dan tidak ada hujan yang turun+ kerana mereka terus berdosa terhadap Engkau,+ tetapi kemudian mereka berdoa menghadap ke tempat ini dan memuliakan nama-Mu serta bertaubat daripada dosa mereka kerana Engkau mengizinkan mereka menderita,*+ 36 semoga Engkau mendengar dari syurga dan mengampunkan dosa hamba-hamba-Mu, umat Israel. Ajarlah mereka+ haluan benar yang harus diikuti, dan turunkanlah hujan ke atas tanah+ yang telah Engkau berikan kepada mereka sebagai warisan.
37 “Jika negeri ini ditimpa kebuluran+ atau wabak penyakit, jika tanaman diserang penyakit,*+ angin panas, atau kawanan belalang juta yang lahap, jika mana-mana kota umat-Mu dikepung oleh musuh, jika umat-Mu ditimpa tulah atau penyakit,+ 38 lalu seseorang atau segenap umat-Mu mengangkat tangan ke arah rumah ini untuk berdoa atau membuat permohonan+ (kerana masing-masing tahu akan penderitaan dalam hati sendiri),+ 39 semoga Engkau mendengar dari tempat kediaman-Mu di syurga,+ dan semoga Engkau mengambil tindakan dan mengampuni mereka.+ Berkatilah setiap orang sesuai dengan perbuatannya+ kerana Engkau tahu apa yang ada dalam hatinya. Ya, Engkau sahajalah yang benar-benar tahu isi hati setiap manusia.+ 40 Dengan demikian, mereka akan takut kepada-Mu selama mereka hidup di tanah yang Engkau berikan kepada nenek moyang kami.
41 “Selain itu, berkenaan orang asing yang bukan sebahagian daripada umat-Mu Israel, yang telah datang ke sini dari negeri yang jauh kerana nama-Mu+ 42 (kerana mereka mendengar tentang nama-Mu yang agung,+ tangan-Mu yang perkasa, dan lengan-Mu yang terentang untuk bertindak), lalu dia datang dan berdoa menghadap ke arah rumah ini, 43 semoga Engkau mendengar dari tempat kediaman-Mu di syurga.+ Kabulkanlah segala permintaan orang asing itu agar semua orang di bumi menjadi seperti umat-Mu Israel yang mengenal nama-Mu dan takut kepada-Mu+ serta mengetahui bahawa nama-Mu ada pada rumah yang telah aku bina ini.
44 “Jika Engkau mengutus umat-Mu untuk berperang melawan musuh mereka,+ dan mereka berdoa+ kepada Yehuwa di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih+ dan rumah yang telah aku bina untuk nama-Mu ini,+ 45 dengarlah doa dan permohonan mereka dari syurga, lalu pastikanlah bahawa mereka diperlakukan dengan adil.
46 “Jika mereka berdosa terhadap-Mu (kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa),+ dan Engkau murka lalu membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri yang jauh ataupun dekat,+ 47 tetapi jika mereka sedar dan berpaling kepada-Mu+ semasa menjadi tawanan di negeri musuh,+ lalu mereka merayu kepada-Mu dan berkata, ‘Kami telah berdosa dan berbuat salah. Kami telah berbuat jahat,’+ 48 dan mereka kembali kepada-Mu dengan sepenuh hati+ dan jiwa, serta berdoa sambil menghadap tanah yang Engkau berikan kepada nenek moyang mereka, kota yang telah Engkau pilih, dan rumah yang telah aku bina untuk nama-Mu,+ 49 dengarlah doa dan permohonan mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga.+ Pastikanlah mereka diperlakukan dengan adil 50 dan ampunilah umat-Mu yang telah berdosa terhadap-Mu. Maafkanlah segala kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka terhadap-Mu. Buatlah musuh mereka mengasihani mereka. Ya, umat-Mu akan mendapat belas kasihan+ 51 kerana mereka ialah umat milik-Mu+ yang telah Engkau selamatkan dari Mesir,+ iaitu daripada relau besi* itu.+ 52 Semoga Engkau mendengar permohonan hamba-Mu+ dan permohonan umat-Mu Israel setiap kali mereka berdoa kepada-Mu.+ 53 Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkau telah memilih mereka antara semua bangsa di bumi untuk menjadi umat-Mu,+ seperti yang telah Engkau isytiharkan menerusi hamba-Mu Musa ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir.”
54 Sebaik sahaja Salomo selesai berdoa dan membuat permohonan kepada Yehuwa sambil berlutut dan mengangkat tangannya ke langit, dia bangun dari hadapan mazbah Yehuwa.+ 55 Sambil berdiri, dia memberkati seluruh umat Israel dengan suara yang lantang, 56 “Terpujilah Yehuwa yang telah memberikan tempat naungan kepada umat-Nya Israel, seperti yang telah dijanjikan-Nya.+ Antara semua perkara baik yang dijanjikan-Nya menerusi hamba-Nya Musa, tiada satu pun yang gagal ditunaikan.+ 57 Semoga Yehuwa, Tuhan kita, sentiasa menyertai kita sebagaimana Dia telah menyertai nenek moyang kita.+ Semoga Dia tidak meninggalkan kita ataupun mengabaikan kita.+ 58 Semoga Dia menggerakkan hati kita untuk hidup menurut kehendak-Nya+ dan mematuhi hukum, peraturan, dan perintah yang diberikan-Nya kepada nenek moyang kita. 59 Semoga rayuan yang beta sampaikan kepada Yehuwa, Tuhan kita, diingati oleh Yehuwa siang dan malam. Semoga Dia memastikan bahawa hamba-Nya dan umat-Nya diperlakukan dengan adil sesuai dengan keperluan mereka setiap hari. 60 Dengan demikian, semua orang di bumi akan tahu bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar.+ Tiada Tuhan lain, selain Dia!+ 61 Oleh itu, hendaklah kamu menyembah Yehuwa, Tuhan kita, dengan hati yang tidak berbelah bahagi,+ dan hidup menurut peraturan serta hukum-Nya, seperti yang kamu lakukan pada hari ini.”
62 Selepas itu, Raja Salomo dan seluruh umat Israel mempersembahkan banyak korban kepada Yehuwa.+ 63 Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor bebiri sebagai korban pendamaian+ kepada Yehuwa. Demikianlah raja dan seluruh bangsa Israel mengadakan upacara perasmian bagi Rumah Yehuwa.+ 64 Pada hari itu, raja perlu menyucikan bahagian tengah halaman yang ada di depan Rumah Yehuwa. Di situ, dia mempersembahkan korban-korban bakar, korban bijirin, dan lemak binatang+ daripada korban pendamaian. Hal ini demikian kerana mazbah tembaga+ di hadapan Yehuwa terlalu kecil untuk semua korban itu. 65 Pada masa itu, Salomo dan seluruh bangsa Israel mengadakan perayaan+ di hadapan Yehuwa. Banyak orang* datang dari kawasan sejauh Lebo-hamat* sampai ke Wadi* Mesir untuk merayakan perayaan itu.+ Perayaan itu berlangsung selama 14 hari, iaitu 7 hari dan 7 hari lagi. 66 Pada hari berikutnya,* raja menyuruh semua orang pulang. Mereka memberkati raja dan pulang ke rumah dengan sukacita dan dengan hati yang gembira kerana mereka telah melihat segala berkat+ yang dicurahkan oleh Yehuwa kepada hamba-Nya Daud dan umat-Nya Israel.
9 Sebaik sahaja Salomo siap membina Rumah Yehuwa, istana raja,+ dan segala sesuatu yang ingin dibuat olehnya,+ 2 Yehuwa menampakkan diri kepada Salomo buat kali kedua, sepertimana Dia telah menampakkan diri kepada Salomo di Gibeon.+ 3 Yehuwa berfirman, “Aku telah mendengar doamu dan permohonanmu yang telah engkau ucapkan di hadapan-Ku. Aku telah menyucikan rumah yang engkau bina dengan meletakkan nama-Ku secara kekal di situ.+ Aku akan sentiasa menjaga dan melindunginya.+ 4 Jika engkau menyembah Aku seperti bapamu Daud,+ yang menyembah Aku dengan tulus* dan sepenuh hati,*+ dan jika engkau mematuhi segala hukum dan peraturan-Ku+ serta melakukan segala yang telah Aku perintahkan kepadamu,+ 5 Aku akan mengukuhkan kerajaanmu di Israel buat selama-lamanya. Hal ini demikian kerana Aku pernah berjanji kepada bapamu Daud, ‘Salah seorang daripada keturunanmu akan selalu duduk di atas takhta Israel.’+ 6 Tetapi jika engkau dan anak-anakmu berpaling daripada-Ku lalu sujud menyembah tuhan yang lain, dan tidak mengikut Aku serta tidak mematuhi hukum dan perintah yang telah Aku berikan kepadamu,+ 7 Aku akan mengusir orang Israel dari negeri yang telah Aku berikan kepada mereka.+ Rumah yang telah Aku sucikan demi nama-Ku akan Aku singkirkan daripada pandangan-Ku.+ Aku akan memastikan bahawa mereka menjadi bahan hinaan dan ejekan semua orang.+ 8 Rumah ini akan menjadi timbunan batu+ dan sesiapa sahaja yang lalu di sini akan tercengang dan menggelengkan kepala* sambil bertanya, ‘Mengapakah Yehuwa berbuat demikian terhadap negeri ini dan rumah ini?’+ 9 Kemudian orang akan berkata, ‘Mereka telah meninggalkan Yehuwa, Tuhan mereka. Dialah yang telah membawa nenek moyang mereka keluar dari negeri Mesir, tetapi mereka berpaling kepada tuhan-tuhan lain dan sujud menyembah tuhan-tuhan itu. Itulah sebabnya Yehuwa mendatangkan semua malapetaka ini atas mereka.’”+
10 Salomo mengambil masa 20 tahun untuk membina dua buah rumah, iaitu Rumah Yehuwa dan istana raja.+ 11 Hiram,+ raja Tirus, telah membekalkan kayu sedar, kayu juniper, dan emas yang diingini oleh Salomo.+ Raja Salomo pula memberikan 20 buah kota di Galilea kepada Hiram. 12 Hiram berangkat dari Tirus untuk melihat kota-kota itu, tetapi dia tidak berpuas hati dengan kota-kota itu. 13 Dia berkata, “Saudaraku, mengapa saudara berikan kota-kota seperti ini kepada beta?” Itulah sebabnya kota-kota itu dinamakan Tanah Kabul* sehingga hari ini. 14 Hiram telah menghantar 120 talenta* emas kepada Raja Salomo.+
15 Berikut merupakan catatan pembinaan yang dilakukan oleh orang yang diwajibkan+ untuk bekerja bagi Raja Salomo. Mereka telah membina Rumah Yehuwa,+ istana raja, tembok Yerusalem, tempat perlindungan,*+ kota Hazor,+ Megido,+ dan Gezer.+ 16 (Firaun, raja Mesir, datang untuk menawan Gezer dan membakar kota itu dengan api. Dia juga membunuh orang Kanaan+ yang tinggal di situ. Kemudian dia memberikan kota itu kepada puterinya,+ iaitu isteri Salomo, sebagai hadiah perkahwinan.) 17 Salomo membina semula Gezer, Bet-horon Hilir,+ 18 Baalat,+ dan Tamar. Tamar terletak di padang belantara yang berada di dalam kawasan pemerintahan Salomo. 19 Dia juga membina semua kota tempat penyimpanan bekalan dan kereta kuda,+ dan kota untuk pasukan askar berkuda. Akhirnya, segala yang ingin dibina oleh Salomo di Yerusalem, di Lebanon, dan di seluruh kawasan pemerintahannya telah disiapkan. 20 Berkenaan semua orang Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebus+ yang masih ada, mereka bukan sebahagian daripada bangsa Israel.+ 21 Keturunan mereka yang tinggal di Israel, yang tidak dibunuh oleh orang Israel, diwajibkan untuk bekerja sebagai hamba Salomo sehingga hari ini.+ 22 Namun Salomo tidak mewajibkan seorang pun daripada bangsa Israel untuk menjadi hambanya.+ Sebaliknya, mereka dijadikan pahlawan, pegawai, pemimpin, pegawai tentera, dan ketua pemandu kereta kuda serta ketua pasukan askar berkuda. 23 Sebanyak 550 orang ketua pembesar bertanggungjawab atas pekerjaan Salomo. Mereka bertugas sebagai mandur untuk mengawasi pekerja-pekerja Salomo.+
24 Puteri Firaun+ berpindah dari Kota Daud+ ke istana yang telah dibina oleh Salomo untuknya. Kemudian Salomo membina tempat perlindungan.*+
25 Tiga kali setahun,+ Salomo mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian di atas mazbah yang telah dibinanya untuk Yehuwa.+ Selain itu, dia juga membakar korban di hadapan Yehuwa sehingga asap naik dari mazbah. Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah Tuhan.+
26 Raja Salomo membina kapal-kapal di Ezion-geber,+ dekat Elot, di persisiran pantai Laut Merah di tanah Edom.+ 27 Hiram mengutus hamba-hambanya, iaitu anak-anak kapalnya yang berpengalaman, untuk bekerja di atas kapal-kapal itu+ dengan hamba Salomo. 28 Mereka belayar ke Ofir+ dan mengambil 420 talenta emas dari sana untuk diberikan kepada Raja Salomo.
10 Ratu dari Syeba mendengar tentang kemasyhuran Salomo yang berkait rapat dengan nama Yehuwa.+ Maka dia datang untuk menguji Salomo dengan pertanyaan-pertanyaan yang sukar.+ 2 Dia datang ke Yerusalem bersama rombongan yang sangat besar+ dan unta-unta yang membawa minyak balsam,*+ batu-batu berharga, dan emas yang sangat banyak. Dia menghadap Salomo untuk mendapatkan jawapan bagi semua soalannya, 3 dan Salomo menjawab semuanya. Tidak ada satu soalan pun yang terlalu susah bagi Salomo.
4 Apabila ratu dari Syeba melihat kebijaksanaan Salomo,+ istana yang telah dibinanya,+ 5 makanan di mejanya,+ aturan tempat duduk pegawainya, cara kerja dan pakaian para pelayannya, pengurus minumannya, dan korban-korban bakar yang sering dipersembahkannya di Rumah Yehuwa, ratu itu berasa sangat kagum. 6 Oleh itu, ratu berkata kepada raja, “Memang benar apa yang beta dengar di negeri beta tentang pencapaian* dan kebijaksanaan tuanku. 7 Tetapi beta tidak percaya sebelum beta datang dan melihat semuanya dengan mata sendiri. Apa yang beta dengar itu tidak separuh pun daripada apa yang beta nampak sekarang. Kebijaksanaan dan kekayaan tuanku jauh lebih banyak daripada apa yang telah beta dengar. 8 Berbahagialah rakyat tuanku dan para pegawai tuanku yang sentiasa bersama tuanku kerana mereka dapat mendengar kebijaksanaan tuanku!+ 9 Terpujilah Yehuwa, Tuhan tuanku!+ Dia berkenan kepada tuanku dan menjadikan tuanku raja Israel. Kasih Yehuwa kepada Israel kekal selama-lamanya, maka Dia telah menjadikan tuanku sebagai raja supaya tuanku dapat menegakkan keadilan dan melakukan apa yang benar.”
10 Ratu dari Syeba memberi Salomo 120 talenta* emas, minyak balsam yang banyak sekali,+ dan batu-batu berharga.+ Belum pernah ada orang yang memberikan begitu banyak minyak balsam kepada Raja Salomo seperti yang diberikan oleh ratu itu.
11 Kapal-kapal Hiram yang membawa emas dari Ofir+ juga membawa batu-batu berharga+ dan kayu cendana+ dalam jumlah yang sangat banyak. 12 Raja menggunakan kayu itu untuk membuat tiang-tiang Rumah Yehuwa dan tiang-tiang istana raja. Dia juga menggunakan kayu itu untuk membuat kecapi dan alat muzik yang bertali untuk para penyanyi.+ Kayu cendana sebanyak itu tidak pernah dibawa atau dilihat lagi sampai hari ini.
13 Dengan murah hati, Raja Salomo memberikan hadiah-hadiah kepada ratu itu. Selain itu, dia juga memberi ratu itu segala yang diminta dan diingini olehnya. Kemudian ratu itu pulang ke negerinya bersama hamba-hambanya.+
14 Setiap tahun, Salomo menerima 666 talenta emas.+ 15 Selain itu, dia juga mendapat keuntungan daripada para saudagar, para pedagang, semua raja orang Arab, dan gabenor wilayahnya.
16 Raja Salomo menggunakan emas campuran untuk membuat 200 buah perisai besar+ (sebanyak 600 syekel* emas digunakan untuk membuat setiap perisai).+ 17 Dia juga menggunakan emas campuran untuk membuat 300 buah perisai kecil* (sebanyak 3 mina* emas digunakan untuk membuat setiap perisai kecil). Selepas itu, raja meletakkan semua perisai itu ke dalam Rumah Hutan Lebanon.+
18 Raja juga membuat sebuah takhta yang besar+ daripada gading dan melapisinya dengan emas murni.+ 19 Di depan takhta itu, ada enam anak tangga, dan bahagian atas takhta itu berbentuk bulat. Takhta itu mempunyai tempat letak tangan pada kedua-dua sisinya, dan terdapat sebuah patung singa yang berdiri pada kedua-dua sisi itu.+ 20 Pada hujung kiri dan kanan tiap-tiap anak tangga itu, ada sebuah patung singa; kesemuanya ada 12 buah patung singa. Tidak ada kerajaan lain yang mempunyai takhta seperti itu.
21 Semua cawan Raja Salomo diperbuat daripada emas, dan semua perkakas di Rumah Hutan Lebanon+ diperbuat daripada emas tulen. Perak tidak digunakan sama sekali kerana pada zaman Salomo, perak dianggap tidak berharga.+ 22 Raja mempunyai kapal-kapal Tarsis+ yang belayar di laut bersama kapal-kapal Hiram. Sekali dalam tiga tahun, kapal-kapal Tarsis itu akan kembali dengan membawa emas, perak, gading,+ beruk, dan burung merak.
23 Raja Salomo lebih kaya+ dan lebih bijaksana+ daripada semua raja lain di bumi. 24 Semua orang di seluruh bumi datang menghadap Salomo untuk mendengar kebijaksanaan yang telah dikurniakan Tuhan kepadanya.+ 25 Setiap orang yang mengunjungi Raja Salomo membawa hadiah untuknya, iaitu barangan perak dan emas, pakaian, senjata, minyak balsam, kuda, dan baghal. Hal ini berterusan tahun demi tahun.
26 Bilangan kereta kuda dan kuda* Salomo terus bertambah sehingga dia mempunyai 1,400 buah kereta kuda dan 12,000 ekor kuda.*+ Dia menempatkan semuanya di kota-kota penyimpanan kereta kuda dan di tempat yang berhampiran dengan istana raja di Yerusalem.+
27 Raja Salomo menjadikan perak di Yerusalem sama banyak seperti batu, dan kayu sedar sama banyak seperti pokok ara di Syefela.+
28 Kuda-kuda milik Salomo dibeli dari Mesir. Para saudagar yang bekerja untuknya akan membeli kuda-kuda itu* dengan harga yang telah ditetapkan.+ 29 Setiap kereta kuda yang dibeli dari Mesir berharga 600 keping perak, dan setiap kuda berharga 150 keping perak. Kemudian, kereta kuda dan kuda itu dijual kepada semua raja orang Het+ dan kepada raja-raja Siria.
11 Raja Salomo mencintai banyak wanita bangsa asing.+ Selain puteri Firaun,+ dia juga mencintai wanita bangsa Moab,+ Ammon,+ Edom, Sidon,+ dan Het.+ 2 Berkenaan bangsa-bangsa itu, Yehuwa pernah berfirman kepada orang Israel, “Kamu tidak boleh berkahwin dengan mereka, dan mereka juga tidak boleh berkahwin dengan kamu, kerana mereka pasti akan mempengaruhi kamu untuk menyembah tuhan-tuhan mereka.”+ Tetapi Salomo akrab dengan mereka dan amat mencintai mereka.* 3 Dia berkahwin dengan 700 orang puteri dan mempunyai 300 orang gundik. Mereka beransur-ansur mempengaruhinya untuk menyembah tuhan-tuhan lain. 4 Ketika Salomo sudah tua,+ isteri-isterinya mempengaruhinya untuk menyembah tuhan-tuhan lain.+ Dia tidak seperti bapanya Daud, yang menyembah Yehuwa, Tuhannya dengan sepenuh hati. 5 Salomo menyembah Asytoret,+ iaitu dewi orang Sidon, dan Milkom,+ iaitu dewa menjijikkan yang dipuja orang Ammon. 6 Salomo melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa. Dia tidak seperti bapanya Daud, yang menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati.+
7 Pada waktu itulah Salomo membina tempat-tempat pemujaan*+ di atas gunung di hadapan Yerusalem untuk Kamos, dewa menjijikkan yang dipuja orang Moab, dan untuk Molekh,+ dewa menjijikkan yang dipuja orang Ammon.+ 8 Salomo membina tempat-tempat pemujaan untuk semua isterinya yang berbangsa asing. Di situ, mereka mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan mereka dan membakarnya sehingga asap naik.
9 Yehuwa murka dengan Salomo kerana hati Salomo telah menyimpang daripada Yehuwa, Tuhan orang Israel,+ yang telah menampakkan diri-Nya kepada Salomo sebanyak dua kali.+ 10 Tuhan juga telah mengingatkan Salomo bahawa dia tidak patut menyembah tuhan lain.+ Namun Salomo tidak mematuhi perintah Yehuwa. 11 Yehuwa berfirman kepada Salomo, “Oleh sebab engkau telah melakukan hal-hal ini, melanggar perjanjianmu dengan Aku, dan mengingkari perintah-Ku, Aku pasti akan mengambil kerajaanmu dan memberikannya kepada salah seorang hambamu.+ 12 Tetapi kerana janji-Ku kepada bapamu Daud, Aku tidak akan melakukan hal itu semasa engkau masih hidup. Aku akan mengambilnya daripada tangan anakmu,+ 13 namun Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaanmu.+ Demi hamba-Ku Daud dan demi Yerusalem, kota yang telah Aku pilih,+ Aku akan memberi anakmu satu suku.”*+
14 Yehuwa menyebabkan Hadad, orang Edom, untuk bangkit menentang Salomo.+ Hadad ialah anggota keluarga diraja Edom.+ 15 Semasa Daud mengalahkan Edom,+ Yoab, iaitu ketua tentera Israel, pergi mengebumikan orang yang terbunuh lalu dia mencuba untuk membunuh semua lelaki di Edom. 16 (Yoab dan semua tentera Israel tinggal di sana selama enam bulan sehingga dia habis membunuh semua lelaki di Edom.) 17 Tetapi Hadad dan beberapa orang hamba bapanya yang berbangsa Edom berjaya melarikan diri ke Mesir. Pada masa itu, Hadad masih seorang budak kecil. 18 Mereka berangkat dari Midian lalu sampai di Paran. Mereka membawa beberapa orang dari Paran+ lalu pergi ke Mesir. Firaun, iaitu raja Mesir, memberinya makanan, tanah, dan sebuah rumah. 19 Hadad begitu menyenangkan hati Firaun sehingga dia mengahwinkan adik isterinya dengan Hadad. Isteri Firaun ialah Permaisuri Tahpenes. 20 Beberapa lama kemudian, isteri Hadad melahirkan seorang anak lelaki. Namanya Genubat. Permaisuri Tahpenes membesarkannya di istana Firaun, dan Genubat terus tinggal di sana bersama dengan anak-anak Firaun.
21 Semasa di Mesir, Hadad mendengar bahawa Raja Daud dan Yoab, iaitu ketua tentera Israel, telah meninggal.+ Maka Hadad berkata kepada Firaun, “Benarkanlah hamba pulang ke negeri hamba.” 22 Tetapi Firaun berkata kepadanya, “Kamu kekurangan apa di sini sehingga kamu hendak pulang ke negerimu?” “Hamba tidak kekurangan apa-apa,” sahut Hadad, “tetapi benarkanlah hamba pergi.”
23 Selain itu, Tuhan juga menyebabkan Rezon anak Eliada untuk bangkit menentang Salomo.+ Rezon telah melarikan diri daripada tuannya Hadadezer,+ iaitu raja Zoba. 24 Rezon mengumpulkan orang dan menjadi pemimpin kepada sekumpulan perompak.+ Selepas Daud mengalahkan mereka, mereka pergi ke Damsyik.+ Mereka tinggal di sana dan mula memerintah Damsyik. 25 Sepanjang hayat Salomo, Rezon menentang orang Israel. Seperti Hadad, dia juga membawa kesusahan kepada orang Israel. Rezon membenci orang Israel semasa dia memerintah di Siria.
26 Selain itu, Yerobeam+ anak Nebat, seorang lelaki Efraim dari Zereda juga mula menentang Raja Salomo.+ Yerobeam ialah hamba Salomo+ dan ibunya ialah seorang balu yang bernama Zerua. 27 Inilah sebabnya dia melawan raja: Salomo telah membina tempat perlindungan*+ dan memperkukuh Kota Daud, kota bapanya.+ 28 Yerobeam ialah seorang pemuda cekap yang bekerja keras. Oleh itu, Salomo melantik dia menjadi penyelia+ atas semua keturunan Yusuf yang diwajibkan untuk bekerja bagi raja. 29 Semasa Yerobeam keluar dari Yerusalem, dia bertemu dengan Nabi Ahia,+ orang Silo, di tengah jalan. Pada masa itu, Ahia sedang memakai sehelai jubah yang baharu, dan mereka berdua sahaja yang ada di padang. 30 Ahia menanggalkan jubah baharunya lalu mengoyakkannya menjadi 12 bahagian. 31 Selepas itu, dia berkata kepada Yerobeam,
“Ambillah 10 bahagian jubahku untuk dirimu kerana Yehuwa, Tuhan orang Israel, telah berfirman, ‘Aku akan mengambil kerajaan Salomo daripada tangannya lalu memberi engkau 10 suku Israel.+ 32 Tetapi demi hamba-Ku Daud,+ dan demi kota-Ku Yerusalem, yang telah Aku pilih dari seluruh kawasan suku Israel,+ satu suku akan terus menjadi milik Salomo.+ 33 Hal ini demikian kerana orang Israel telah meninggalkan Aku.+ Mereka sujud menyembah Asytoret, dewi orang Sidon, dan Kamos, dewa orang Moab, serta Milkom, dewa orang Ammon. Mereka tidak melakukan apa yang menyenangkan hati-Ku. Mereka gagal mematuhi hukum dan perintah-Ku, dan tidak menyembah-Ku seperti yang dilakukan oleh Daud, bapa Salomo. 34 Tetapi Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripada tangan Salomo. Demi hamba pilihan-Ku Daud,+ yang telah mematuhi perintah dan hukum-Ku, Aku akan mengizinkan Salomo menjadi pemimpin di Israel sepanjang hayatnya. 35 Aku akan mengambil kerajaan itu daripada tangan anak lelakinya lalu memberikan 10 suku Israel kepadamu.+ 36 Aku akan memberikan satu suku Israel kepada anak lelakinya agar hamba-Ku Daud sentiasa mempunyai seorang keturunan yang memerintah* di hadapan-Ku di Yerusalem,+ kota yang Aku pilih untuk menempatkan nama-Ku di sana. 37 Aku akan memilih engkau, dan engkau akan memerintah atas segala yang engkau inginkan. Engkau akan menjadi raja Israel. 38 Jika engkau mematuhi segala yang telah Aku perintahkan kepadamu, melakukan apa yang menyenangkan hati-Ku, mengikut haluan-Ku, dan mematuhi perintah dan hukum-hukum-Ku, seperti hamba-Ku Daud dahulu,+ Aku akan menyertaimu. Aku akan membina sebuah rumah yang berkekalan untukmu, seperti yang telah Aku lakukan untuk Daud.+ Aku juga akan menjadikan engkau pemerintah atas Israel. 39 Oleh sebab dosa Salomo, Aku akan menghina keturunan Daud,+ tetapi bukan untuk selama-lamanya.’”+
40 Salomo mencuba untuk membunuh Yerobeam, tetapi Yerobeam melarikan diri dan pergi kepada Raja Sisak+ di Mesir.+ Dia tinggal di sana sehingga Salomo meninggal.
41 Berkenaan kisah hidup Salomo yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya dan kebijaksanaannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang Raja Salomo.+ 42 Salomo memerintah atas seluruh Israel di Yerusalem selama 40 tahun. 43 Salomo meninggal lalu dikebumikan di Kota Daud. Rehabeam,+ anak lelakinya, menggantikannya sebagai raja.
12 Rehabeam telah pergi ke kota Sikhem kerana semua orang Israel telah berkumpul di Sikhem+ untuk menjadikannya raja.+ 2 (Pada masa itu, Yerobeam anak Nebat masih berada di Mesir dan dia sedang tinggal di sana. Dia telah melarikan diri ke Mesir disebabkan Raja Salomo.) Sebaik sahaja Yerobeam mendengar tentang hal itu,+ 3 dia disuruh pulang. Selepas itu, Yerobeam dan segenap umat* Israel menghadap Rehabeam dan berkata, 4 “Ayahanda tuanku telah memberi hamba sekalian beban yang berat.+ Sekarang jika tuanku meringankan beban hamba sekalian dan tidak memperlakukan hamba sekalian dengan kasar, hamba sekalian akan mengabdi kepada tuanku.”
5 Maka raja berkata kepada mereka, “Pergilah dahulu dan datanglah kepada beta selepas tiga hari.” Jadi semua orang pun pergi dari situ.+ 6 Selepas itu, Raja Rehabeam meminta nasihat daripada para orang tua.* Mereka telah berkhidmat sebagai penasihat bapanya Salomo ketika bapanya masih hidup. Rehabeam bertanya, “Bagaimanakah beta harus menjawab mereka? Apakah nasihat kamu?” 7 Para orang tua itu menjawab, “Jika hari ini tuanku menjadi hamba mereka dengan mengabulkan permintaan mereka dan memberikan jawapan yang menyenangkan hati mereka, mereka akan sentiasa menjadi hamba-hamba tuanku.”
8 Tetapi dia menolak nasihat para orang tua itu. Dia meminta nasihat daripada pemuda-pemuda yang telah membesar bersamanya dan kini berkhidmat sebagai pembantunya.+ 9 Dia bertanya kepada mereka, “Apakah nasihat kamu? Mereka memohon beta untuk meringankan beban berat yang telah dikenakan oleh ayahanda beta. Jadi apakah yang harus kita katakan kepada mereka?” 10 Pemuda-pemuda itu berkata, “Rakyat telah memohon, ‘Ringankan beban yang dikenakan oleh ayahanda tuanku atas hamba sekalian.’ Maka tuanku harus memberitahu mereka, ‘Jari kelengkeng beta lebih besar daripada pinggang ayahanda beta. 11 Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi.’”
12 Pada hari ketiga, Yerobeam dan semua orang datang menghadap Rehabeam. Hal ini demikian kerana Rehabeam telah berkata, “Datanglah kepada beta pada hari ketiga.”+ 13 Tetapi raja menjawab rakyat dengan kasar. Dia menolak nasihat yang diberikan oleh para orang tua. 14 Dia menjawab mereka menurut nasihat yang diberikan oleh pemuda-pemuda itu. Katanya, “Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi.” 15 Demikianlah raja telah menolak permintaan rakyatnya. Yehuwalah yang menyebabkan hal-hal ini terjadi+ supaya firman Yehuwa yang disampaikan oleh Ahia+ orang Silo kepada Yerobeam anak Nebat menjadi kenyataan.
16 Apabila orang Israel nampak bahawa raja enggan mendengarkan mereka, mereka berkata, “Apakah kaitan kami dengan Daud? Kami tidak mendapat warisan daripada anak Isai. Hai orang Israel, kembalilah kepada tuhan-tuhan kamu! Hai keturunan Daud, jagalah dirimu sendiri!” Maka orang Israel pulang ke rumah masing-masing.+ 17 Oleh itu, Rehabeam hanya dapat memerintah orang Israel yang tinggal di kota-kota Yehuda.+
18 Kemudian Raja Rehabeam mengutus Adoram+ kepada orang Israel. Adoram bertanggungjawab atas orang yang diwajibkan untuk bekerja bagi raja, tetapi semua orang Israel merejamnya sampai mati. Raja Rehabeam pun segera menaiki kereta kudanya dan melarikan diri ke Yerusalem.+ 19 Sejak itu, orang Israel memberontak+ terhadap keluarga Daud.
20 Sebaik sahaja umat Israel mendengar bahawa Yerobeam telah kembali, mereka berkumpul dan menjemputnya lalu melantiknya menjadi raja atas seluruh Israel.+ Tidak ada orang lain yang menyokong keluarga Daud, kecuali suku Yehuda.+
21 Apabila Rehabeam tiba di Yerusalem, dia segera mengumpulkan semua orang daripada suku Yehuda dan suku Benyamin. Sebanyak 180,000 orang pahlawan yang terlatih telah dikumpulkan untuk melawan keturunan Israel dan memulihkan kuasa pemerintahan Rehabeam anak Salomo.+ 22 Tuhan yang benar menyampaikan firman-Nya kepada Nabi Semaya,+ 23 “Katakanlah kepada Rehabeam anak Salomo, iaitu raja Yehuda, dan kepada seluruh suku Yehuda dan Benyamin, serta kepada rakyat yang lain, 24 ‘Inilah firman Yehuwa: “Janganlah berperang melawan saudara-saudaramu Israel. Setiap orang haruslah pulang ke rumah masing-masing kerana Akulah yang telah menyebabkan hal ini berlaku.”’”+ Maka mereka mematuhi firman Yehuwa dan pulang ke rumah mereka, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa.
25 Yerobeam membina semula* kota Sikhem+ di kawasan pergunungan Efraim, lalu tinggal di sana. Kemudian dia meninggalkan kota itu dan pergi membina* kota Penuel.+ 26 Yerobeam berkata dalam hatinya, “Sekarang kerajaan ini akan menjadi milik keluarga Daud semula.+ 27 Jika rakyat terus pergi ke Rumah Yehuwa di Yerusalem+ untuk mempersembahkan korban, hati mereka akan berbalik lagi kepada tuan mereka, iaitu Rehabeam, raja Yehuda. Jika hal itu berlaku, mereka akan membunuh aku dan kembali kepada Rehabeam, raja Yehuda.” 28 Setelah raja berbincang dengan para penasihatnya, dia membuat dua buah patung anak lembu jantan daripada emas.+ Kemudian dia berkata kepada rakyat, “Hai orang Israel, memang sukar bagi kamu semua untuk pergi ke Yerusalem. Lihatlah! Ini Tuhan kamu yang telah membawa kamu keluar dari negeri Mesir.”+ 29 Selepas itu, dia menempatkan sebuah patung di Bethel,+ dan sebuah lagi di Dan.+ 30 Hal ini membuat orang Israel berdosa.+ Mereka sanggup pergi sejauh Dan untuk menyembah patung di situ.
31 Dia membina rumah ibadat di tempat-tempat tinggi, dan melantik imam daripada kalangan orang biasa, yang tidak berasal daripada suku Lewi.+ 32 Yerobeam juga memulakan satu perayaan pada hari ke-15 bulan yang kelapan, seperti perayaan di Yehuda.+ Di atas mazbah yang dibinanya di Bethel,+ dia mempersembahkan korban kepada patung-patung lembu. Dia juga melantik para imam untuk berkhidmat di tempat ibadat* yang telah dibinanya. 33 Dia mula mempersembahkan korban di atas mazbah yang dibinanya di Bethel pada hari ke-15 bulan yang kelapan, iaitu pada bulan yang dipilihnya. Demikianlah dia memulakan satu perayaan untuk orang Israel dan naik ke mazbah itu untuk mempersembahkan korban dan membakarnya sehingga asap naik.
13 Seorang nabi dari Yehuda telah pergi ke Bethel atas perintah Yehuwa.+ Pada masa itu, Yerobeam sedang berdiri di sisi mazbah+ sambil mempersembahkan korban yang dibakarnya sehingga asap naik. 2 Seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, nabi itu berseru kepada mazbah itu, “Hai mazbah, hai mazbah! Inilah firman Yehuwa: ‘Seorang anak lelaki yang bernama Yosia+ akan dilahirkan dalam keluarga Daud! Di atasmu, hai mazbah, dia akan membunuh imam-imam yang bertugas di tempat-tempat tinggi, dan yang mempersembahkan korban yang dibakar sehingga asap naik. Dia akan membakar tulang-tulang manusia di atasmu.’”+ 3 Nabi itu memberikan tanda pada hari itu dan berkata, “Inilah tanda daripada Yehuwa: Lihatlah! Mazbah itu akan terbelah, dan abu* di atasnya akan bertaburan.”
4 Sebaik sahaja Raja Yerobeam mendengar kata-kata yang diucapkan oleh nabi itu berkenaan mazbah di Bethel, dia mengalihkan tangannya dari mazbah dan menunjuk kepada nabi itu lalu berkata, “Tangkap dia!”+ Tiba-tiba, tangan Yerobeam menjadi lumpuh sehingga dia tidak dapat menggerakkannya.+ 5 Kemudian mazbah itu terbelah dan abu di atasnya bertaburan di tanah. Semua itu berlaku selaras dengan tanda yang diberikan oleh Yehuwa melalui nabi itu.
6 Raja berkata kepada nabi itu, “Tolonglah berdoa kepada Yehuwa, Tuhanmu. Mohonlah perkenan-Nya dan mintalah supaya Dia menyembuhkan tangan beta.”+ Maka nabi itu berdoa meminta perkenan Yehuwa, dan tangan raja pun disembuhkan. 7 Raja berkata kepada nabi itu, “Marilah makan di rumah beta. Beta hendak memberikan hadiah kepada kamu.” 8 Namun nabi itu berkata kepada raja, “Biarpun tuanku memberi hamba separuh daripada rumah tuanku, hamba tidak akan pergi bersama tuanku untuk makan roti atau minum air di tempat ini. 9 Hal ini demikian kerana Yehuwa telah memberikan perintah kepada hamba, ‘Janganlah makan roti atau minum air, dan janganlah pulang mengikut jalan yang sama.’” 10 Demikianlah nabi itu tidak pulang dari Bethel mengikut jalan yang diikutinya dahulu, tetapi dia mengambil jalan yang lain.
11 Terdapat seorang nabi tua yang tinggal di Bethel. Anak-anak lelakinya pulang ke rumah lalu menceritakan apa yang telah berlaku di Bethel pada hari itu. Mereka menceritakan segala yang telah dilakukan oleh nabi itu, dan apa yang dikatakannya kepada raja. Selepas itu, 12 bapa mereka bertanya, “Dia pergi mengikut jalan mana?” Mereka pun menunjukkan jalan yang digunakan oleh nabi dari Yehuda itu. 13 Maka dia menyuruh anak-anaknya, “Pasangkanlah pelana pada keldai.” Selepas mereka berbuat demikian, dia menunggang keldai itu.
14 Dia mencari nabi itu dan menjumpainya. Ketika itu, nabi itu sedang duduk di bawah sebatang pokok besar. Maka dia berkata, “Kamukah nabi yang datang dari Yehuda itu?”+ “Ya,” jawab nabi itu. 15 “Ikutlah aku ke rumah dan makanlah roti bersamaku,” katanya kepada nabi itu. 16 Tetapi nabi itu menjawab, “Aku tidak boleh pulang bersamamu atau menerima jemputanmu. Aku juga tidak boleh makan roti atau minum air bersamamu di tempat ini. 17 Hal ini demikian kerana Yehuwa telah berfirman kepadaku, ‘Janganlah makan roti atau minum air di tempat ini, dan janganlah pulang mengikut jalan yang sama.’” 18 Dia menjawab nabi itu, “Aku pun seorang nabi seperti kamu. Malaikat Yehuwa telah menyampaikan firman-Nya kepadaku, ‘Suruhlah dia pulang bersama kamu agar dia dapat makan roti dan minum air di rumahmu.’” Sebenarnya dia sedang menipu nabi itu. 19 Maka nabi itu pulang bersamanya untuk makan roti dan minum air di rumahnya.
20 Semasa mereka sedang duduk dan makan, Yehuwa menyampaikan firman-Nya kepada nabi tua itu. 21 Nabi tua itu berkata kepada nabi dari Yehuda, “Inilah firman Yehuwa: ‘Engkau mengingkari perintah Yehuwa dan tidak mematuhi hukum yang diberikan oleh Tuhan Yehuwa kepadamu. 22 Engkau telah kembali ke tempat ini untuk makan roti dan minum air padahal engkau telah diberitahu, “Janganlah makan roti atau minum air.” Oleh itu, mayatmu tidak akan dikebumikan di kuburan nenek moyangmu.’”+
23 Setelah nabi dari Yehuda selesai makan roti dan minum, nabi tua itu memasang pelana pada keldai untuk dia. 24 Kemudian dia bertolak, tetapi seekor singa menerkamnya di tengah jalan dan membunuhnya.+ Mayatnya terlantar di jalan, sementara keldai dan singa itu berdiri di sebelah mayatnya. 25 Beberapa orang yang lalu di situ nampak mayat itu terlantar di jalan dan seekor singa berdiri di sebelahnya. Mereka pergi ke kota tempat nabi tua itu tinggal dan menceritakan hal itu.
26 Apabila nabi tua itu mendengar tentang apa yang telah berlaku, dia segera berkata, “Inilah nabi yang telah mengingkari perintah Yehuwa.+ Maka Yehuwa membiarkannya diterkam dan dibunuh oleh seekor singa, seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa.”+ 27 Kemudian dia menyuruh anak-anak lelakinya, “Pasangkanlah pelana pada keldai.” Maka mereka pun berbuat demikian. 28 Dia menunggang keldainya, lalu pergi. Dia menjumpai mayat nabi itu terlantar di jalan dan seekor keldai serta seekor singa berdiri di sebelah mayat itu. Singa itu tidak makan mayat itu ataupun menerkam keldai itu. 29 Dia mengangkat mayat nabi itu dan meletakkannya di atas keldai. Kemudian dia membawanya balik ke kota untuk meratapi kematiannya dan mengebumikannya. 30 Dia meletakkan mayat itu di dalam makamnya. Mereka meratapinya dan berkata, “Kasihannya saudaraku!” 31 Selepas mayat itu dikebumikan, dia berkata kepada anak-anak lelakinya, “Apabila aku mati, kamu mesti mengebumikan aku di tempat yang sama dengan nabi itu. Letakkanlah tulang-tulangku di sisi tulang-tulangnya.+ 32 Firman Yehuwa yang disampaikan melalui dia tentang mazbah di Bethel dan tentang semua rumah ibadat di tempat-tempat tinggi+ yang ada di kota-kota Samaria pasti berlaku.”+
33 Selepas hal ini berlaku, Yerobeam masih tidak meninggalkan haluannya yang jahat. Dia terus melantik orang biasa untuk berkhidmat sebagai imam di tempat-tempat tinggi.+ Dia berkata, “Biarlah dia menjadi seorang imam yang berkhidmat di tempat-tempat tinggi.” Raja melantik sesiapa sahaja yang mahu menjadi imam.+ 34 Perbuatan ini menjadi dosa keluarga Yerobeam+ yang menyebabkan mereka dimusnahkan dan dilenyapkan dari muka bumi.+
14 Pada waktu itu, Abia anak Yerobeam jatuh sakit. 2 Maka Yerobeam berkata kepada isterinya, “Pergilah ke Silo, dan menyamarlah supaya tiada sesiapa pun mengenal kamu. Pergilah ke tempat tinggal Nabi Ahia. Dialah nabi yang mengatakan bahawa beta akan menjadi raja.+ 3 Bawalah 10 buku roti, kuih-kuih, dan sebotol madu. Pergilah kepada nabi itu dan dia akan memberitahu kamu apa yang akan terjadi kepada anak lelaki kita.”
4 Isteri Yerobeam melakukan apa yang disuruh oleh suaminya. Dia pergi ke Silo+ dan sampai di rumah Ahia. Ahia sudah tua dan tidak dapat melihat lagi kerana matanya sudah rosak.
5 Tetapi Yehuwa telah berfirman kepada Ahia, “Isteri Yerobeam akan datang kepadamu dan bertanya tentang apa yang akan terjadi kepada anak lelakinya yang sakit. Aku akan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan kepadanya. Dia akan menyamar semasa dia datang.”
6 Semasa Ahia mendengar bunyi langkah kaki wanita itu di pintu, dia berkata, “Hai isteri Yerobeam, masuklah. Mengapakah tuanku menyamar sebagai orang lain? Tuhan telah menyuruh hamba untuk menyampaikan berita buruk kepada tuanku. 7 Pergilah, dan beritahulah Yerobeam, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: “Aku telah memilih engkau daripada kalangan rakyat untuk menjadi pemimpin umat-Ku Israel.+ 8 Aku telah mengambil kerajaan daripada keluarga Daud dan memberikannya kepada engkau.+ Tetapi engkau tidak melakukan apa yang telah dilakukan oleh hamba-Ku Daud. Daud telah mematuhi perintah-Ku, menyembah-Ku dengan sepenuh hati, dan melakukan apa yang benar di mata-Ku.+ 9 Sebaliknya perbuatanmu lebih teruk daripada semua orang yang ada sebelummu. Engkau membuat tuhan lain untuk dirimu dan patung-patung daripada logam.+ Ya, engkau telah membuat Aku murka. Engkau telah berpaling daripada-Ku.+ 10 Itulah sebabnya Aku akan membawa malapetaka atas keturunan Yerobeam. Aku akan melenyapkan semua lelaki Israel yang berasal daripada keturunan Yerobeam, termasuk yang lemah dan yang tidak berdaya. Aku akan memusnahkan semua keturunan Yerobeam+ sepertimana orang menyingkirkan najis sampai habis! 11 Semua ahli keluarga Yerobeam yang mati di kota akan dimakan oleh anjing. Sesiapa yang mati di luar kota akan dimakan oleh burung di langit. Hal ini demikian kerana Aku, Yehuwa, telah berfirman.”’
12 “Sekarang, berdirilah dan pulanglah ke rumahmu. Sebaik sahaja tuanku melangkah masuk ke dalam kota, putera tuanku akan mati. 13 Segenap umat Israel akan mengebumikan anak itu dan meratapinya. Dialah satu-satunya anggota keluarga Yerobeam yang akan dikebumikan. Hal ini demikian kerana Yehuwa, Tuhan orang Israel, telah menemukan sesuatu yang baik dalam diri anak itu. 14 Yehuwa akan melantik seorang raja atas Israel yang akan memusnahkan keluarga Yerobeam.+ Jika Dia mahu, Dia dapat berbuat demikian sekarang juga. 15 Yehuwa akan menghapuskan orang Israel, dan mereka akan menjadi seperti rumput yang terumbang-ambing di dalam air. Dia akan mencabut umat Israel daripada tanah yang baik ini, yang telah diberikan-Nya kepada nenek moyang mereka.+ Dia akan mencerai-beraikan mereka sampai ke seberang sungai*+ kerana mereka telah membuat Yehuwa murka dengan mendirikan tiang-tiang suci.*+ 16 Tuhan akan meninggalkan orang Israel kerana Yerobeam telah berdosa dan dia juga menyebabkan orang Israel berdosa.”+
17 Selepas itu, isteri Yerobeam berdiri dan pergi ke Tirza. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke rumah, anaknya mati. 18 Maka anak itu dikebumikan, dan segenap umat Israel meratapinya, seperti yang difirmankan oleh Yehuwa melalui hamba-Nya, Nabi Ahia.
19 Berkenaan kisah hidup Yerobeam yang lain, iaitu tentang bagaimana dia berperang,+ dan bagaimana dia memerintah, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 20 Yerobeam memerintah selama 22 tahun. Selepas itu, dia meninggal+ dan anak lelakinya yang bernama Nadab menggantikannya sebagai raja.+
21 Sementara itu, Rehabeam anak Salomo menjadi raja Yehuda. Rehabeam berusia 41 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah selama 17 tahun di Yerusalem. Kota itu telah dipilih+ oleh Yehuwa dari seluruh kawasan suku Israel, supaya nama-Nya ada di sana.+ (Ibu Rehabeam ialah Naama, seorang wanita Ammon.)+ 22 Penduduk Yehuda melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa.+ Berbanding dengan segala perbuatan nenek moyang mereka, dosa mereka membuat Yehuwa lebih murka.+ 23 Mereka terus membina tempat-tempat ibadat, tugu-tugu suci,* dan tiang-tiang suci+ di atas setiap bukit yang tinggi+ dan di bawah setiap pokok yang subur.+ 24 Mereka bahkan mempunyai pelacur-pelacur lelaki di kuil yang terdapat di negeri mereka.+ Mereka melakukan semua perbuatan menjijikkan yang dilakukan oleh bangsa-bangsa yang telah diusir oleh Yehuwa di hadapan orang Israel.
25 Pada tahun kelima pemerintahan Raja Rehabeam, Raja Sisak+ dari Mesir menyerang Yerusalem.+ 26 Dia mengambil harta dari Rumah Yehuwa dan istana raja.+ Dia mengambil semuanya, termasuk perisai-perisai emas yang dibuat oleh Salomo.+ 27 Oleh itu, Raja Rehabeam membuat perisai-perisai tembaga untuk menggantikan perisai-perisai emas itu. Dia mempercayakan semua perisai itu kepada ketua pengawal yang menjaga pintu masuk istana raja. 28 Setiap kali raja masuk ke dalam Rumah Yehuwa, para pengawal akan mengangkat perisai-perisai itu, dan kemudian mereka akan mengembalikan semuanya ke dalam bilik pengawal.
29 Berkenaan kisah hidup Rehabeam yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.+ 30 Rehabeam dan Yerobeam selalu berperang.+ 31 Rehabeam meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya di Kota Daud.+ Ibunya ialah seorang wanita Ammon+ yang bernama Naama. Kemudian anak lelaki Rehabeam yang bernama Abiam+ menggantikannya sebagai raja.
15 Pada tahun ke-18 pemerintahan Raja Yerobeam+ anak Nebat, Abiam menjadi raja Yehuda.+ 2 Dia memerintah di Yerusalem selama tiga tahun. Ibunya ialah Maakha,+ cucu Abisalom. 3 Seperti bapanya, Abiam terus melakukan dosa dan tidak menyembah Yehuwa, Tuhannya, dengan sepenuh hati. Dia tidak seperti moyangnya Daud. 4 Tetapi demi Daud,+ Yehuwa, Tuhan yang disembahnya, telah mengizinkan keturunannya untuk memerintah* di Yerusalem.+ Tuhan telah melantik anaknya sebagai raja dan mengizinkan Yerusalem untuk terus wujud. 5 Daud melakukan apa yang benar di mata Yehuwa. Sepanjang hayatnya, dia tidak pernah mengingkari perintah Tuhan, kecuali dalam hal Uria, orang Het itu.+ 6 Sepanjang hidup Rehabeam, dia berperang dengan Yerobeam.+
7 Berkenaan kisah hidup Abiam yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.+ Abiam dan Yerobeam juga berperang dengan satu sama lain.+ 8 Selepas itu, Abiam meninggal dan dikebumikan di Kota Daud. Anaknya yang bernama Asa+ menggantikannya sebagai raja.+
9 Pada tahun ke-20 Yerobeam menjadi raja Israel, Asa mula memerintah Yehuda. 10 Dia memerintah di Yerusalem selama 41 tahun. Neneknya ialah Maakha,+ cucu Abisalom. 11 Asa melakukan apa yang benar di mata Yehuwa,+ seperti moyangnya Daud. 12 Dia mengusir pelacur-pelacur lelaki dari kuil di negerinya,+ dan memusnahkan semua berhala yang menjijikkan* yang dibuat oleh nenek moyangnya.+ 13 Dia bahkan menyingkirkan neneknya Maakha+ daripada kedudukannya sebagai bonda ratu. Hal ini demikian kerana Maakha telah membuat patung berhala yang lucah untuk digunakan dalam penyembahan tiang suci.* Asa merobohkan patung berhala itu+ lalu membakarnya di Lembah Kidron.+ 14 Walaupun tempat-tempat ibadat tidak dimusnahkan,+ Asa tetap menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati sepanjang hayatnya. 15 Dia meletakkan semua perak, emas, dan pelbagai perkakas yang telah disucikan olehnya dan bapanya ke dalam Rumah Yehuwa.+
16 Raja Asa dan Raja Baesa+ selalu berperang melawan satu sama lain. 17 Raja Baesa dari Israel menyerang Yehuda, dan mula memperkukuh kota Rama+ agar tidak ada sesiapa pun yang dapat keluar atau masuk ke wilayah Asa, raja Yehuda.+ 18 Maka Asa mengambil semua perak dan emas yang masih ada di dalam tempat penyimpanan harta di Rumah Yehuwa dan di istana raja, lalu menyerahkannya kepada hamba-hambanya. Kemudian Raja Asa mengutus hamba-hambanya kepada Ben-hadad anak Tabrimon, cucu Hezion. Ben-hadad ialah raja Siria+ yang tinggal di Damsyik. Asa mengirim pesanan berikut kepadanya: 19 “Kita telah membuat perjanjian seperti yang telah dilakukan oleh ayahanda beta dengan ayahanda tuanku. Semua perak dan emas ini ialah hadiah kepada tuanku. Batalkanlah perjanjian tuanku dengan Raja Baesa dari Israel agar raja itu berundur dari wilayah beta.” 20 Ben-hadad mendengar kata-kata Raja Asa lalu mengutus beberapa orang ketua pasukan tenteranya untuk menyerang kota-kota Israel. Mereka telah menakluki Iyon,+ Dan,+ Abel-bet-maakha, seluruh Kineret, dan seluruh tanah Naftali. 21 Semasa Baesa mendengar tentang hal itu, dia segera berhenti memperkukuh kota Rama lalu pergi ke Tirza dan tinggal di sana.+ 22 Raja Asa mengeluarkan perintah yang mewajibkan semua penduduk Yehuda untuk mengangkut batu-batu dan kayu-kayu dari Rama yang telah digunakan oleh Baesa. Kemudian Raja Asa menggunakan bahan-bahan itu untuk memperkukuh kota Geba+ di Benyamin, dan kota Mizpa.+
23 Berkenaan kisah hidup Asa yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya, apa yang dilakukannya, dan kota-kota yang diperkukuh olehnya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. Tetapi pada usia tuanya, kakinya kena penyakit.+ 24 Asa meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya di Kota Daud. Anaknya yang bernama Yehosafat+ menggantikannya sebagai raja.
25 Nadab+ anak Yerobeam menjadi raja Israel pada tahun kedua Asa menjadi raja Yehuda. Nadab memerintah Israel selama dua tahun. 26 Dia asyik melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, dan mengikut jejak bapanya+ yang telah berdosa dan membuat orang Israel berdosa.+ 27 Baesa anak Ahia daripada keturunan Isakhar merancang untuk menentang Nadab. Baesa membunuh Nadab di Gibeton,+ sebuah kota milik orang Filistin. Pada masa itu, Nadab dan semua tentera Israel sedang mengepung Gibeton. 28 Baesa membunuh Nadab pada tahun ketiga Asa menjadi raja Yehuda. Maka Baesa menggantikan Nadab sebagai raja. 29 Sebaik sahaja Baesa menjadi raja, dia membunuh seluruh keluarga Yerobeam. Seperti yang difirmankan oleh Yehuwa melalui hamba-Nya Ahia, orang Silo itu, Baesa membunuh setiap ahli keluarga Yerobeam yang masih hidup.+ 30 Hal ini berlaku kerana Yerobeam telah membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan orang Israel. Yerobeam telah berdosa, dan membuat orang Israel turut berdosa. 31 Berkenaan kisah hidup Nadab yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 32 Asa dan Raja Baesa dari Israel selalu berperang antara satu sama lain.+
33 Pada tahun ketiga pemerintahan Asa, Baesa anak Ahia menjadi raja seluruh Israel dan memerintah di Tirza selama 24 tahun.+ 34 Baesa asyik melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa.+ Dia mengikut jejak Yerobeam yang menyebabkan umat Israel berdosa.+
16 Yehuwa menyampaikan berita penghakiman kepada Baesa melalui Yehu+ anak Hanani.+ Dia berfirman, 2 “Aku telah mengangkat engkau dari debu dan menjadikan engkau pemimpin atas umat-Ku Israel.+ Namun, engkau terus mengikut haluan Yerobeam dan membangkitkan kemurkaan-Ku dengan menyebabkan umat-Ku Israel berdosa.+ 3 Oleh itu, Aku akan melenyapkan Baesa dan seluruh keluarganya, sama seperti apa yang telah Aku lakukan terhadap keluarga Yerobeam+ anak Nebat. 4 Semua ahli keluarga Baesa yang mati di kota akan dimakan oleh anjing, dan semua ahli keluarganya yang mati di luar kota akan dimakan oleh burung di langit.”
5 Berkenaan kisah hidup Baesa yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya dan apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 6 Baesa meninggal lalu dikebumikan di Tirza.+ Anak lelakinya yang bernama Ela menggantikannya sebagai raja. 7 Yehuwa menyampaikan berita penghakiman kepada Baesa dan keluarganya melalui Nabi Yehu anak Hanani. Hal ini demikian kerana Baesa telah melakukan banyak perkara jahat di mata Yehuwa, dan dia telah membangkitkan kemurkaan-Nya seperti yang dilakukan keluarga Yerobeam. Selain itu, dia juga telah membunuh Nadab.+
8 Pada tahun ke-26 pemerintahan Asa raja Yehuda, Ela anak Baesa menjadi raja seluruh Israel dan memerintah di Tirza selama dua tahun. 9 Zimri, iaitu seorang pegawai raja yang mengetuai separuh daripada pasukan kereta kuda diraja, membuat rancangan untuk melawan Raja Ela. Pada waktu itu, Raja Ela yang berada di Tirza sedang minum sampai mabuk di rumah Arza, iaitu pengurus keluarga raja di Tirza. 10 Zimri masuk dan membunuh Raja Ela+ lalu menggantikannya sebagai raja. Hal itu berlaku pada tahun ke-27 pemerintahan Asa raja Yehuda. 11 Sebaik sahaja dia mula memerintah sebagai raja, dia membunuh semua ahli keluarga Baesa. Semua lelaki dibunuhnya, termasuk sanak saudara dan kawan-kawan Baesa. 12 Demikianlah Zimri membunuh semua ahli keluarga Baesa, sesuai dengan firman Yehuwa yang disampaikan oleh Nabi Yehu tentang Baesa.+ 13 Hal ini berlaku kerana semua dosa yang dilakukan oleh Baesa dan anaknya Ela. Mereka telah menyebabkan umat Israel berdosa dan membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan orang Israel, dengan membuat patung-patung berhala yang tidak berguna.+ 14 Berkenaan kisah hidup Ela yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel.
15 Pada tahun ke-27 pemerintahan Asa raja Yehuda, Zimri menjadi raja dan memerintah di Tirza selama tujuh hari. Pada masa itu, ada pasukan tentera yang mengepung kota Gibeton,+ kota milik orang Filistin. 16 Beberapa lama kemudian, pasukan tentera yang sedang berkhemah mendengar orang berkata, “Zimri telah membuat rancangan jahat dan dia telah membunuh raja.” Maka pada hari itu juga di perkhemahan mereka, semua orang Israel melantik Omri,+ ketua pasukan tentera mereka untuk menjadi raja Israel. 17 Omri dan semua orang Israel yang ada bersamanya meninggalkan Gibeton lalu pergi mengepung kota Tirza. 18 Apabila Zimri nampak bahawa kota itu telah ditawan, dia masuk ke dalam menara di istana. Kemudian dia membakar istana itu dan mati dalam kebakaran itu.+ 19 Hal itu berlaku kerana Zimri berdosa. Dia melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dengan mengikut haluan Yerobeam dan menyebabkan umat Israel berdosa.+ 20 Berkenaan kisah hidup Zimri yang lain dan rancangan jahatnya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel.
21 Pada masa itu, orang Israel terbahagi kepada dua pihak. Ada yang menjadi pengikut Tibni anak Ginat, dan ingin menjadikannya raja. Ada pula yang menjadi pengikut Omri. 22 Akhirnya, pengikut Omri mengalahkan pengikut Tibni anak Ginat. Tibni meninggal lalu Omri menjadi raja.
23 Pada tahun ke-31 pemerintahan Asa raja Yehuda, Omri menjadi raja Israel dan memerintah selama 12 tahun. Dia memerintah di Tirza selama enam tahun. 24 Dia membeli Gunung Samaria daripada Semer dengan harga dua talenta* perak, lalu membina sebuah kota di gunung itu. Dia menamakan kota itu Samaria,*+ mengikut nama Semer, pemilik gunung itu dahulu. 25 Omri terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dan melakukan hal-hal yang lebih buruk daripada semua orang yang ada sebelumnya.+ 26 Dia mengikut segala haluan Yerobeam anak Nebat dan membuat patung-patung berhala yang tidak berguna. Dia menyebabkan umat Israel berdosa dan membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan orang Israel.+ 27 Berkenaan kisah hidup Omri yang lain, iaitu tentang apa yang dilakukannya dan perbuatannya yang gagah, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 28 Omri meninggal lalu dikebumikan di Samaria. Anak lelakinya yang bernama Ahab+ menggantikannya sebagai raja.
29 Ahab anak Omri menjadi raja Israel pada tahun ke-38 pemerintahan Asa raja Yehuda. Raja Ahab anak Omri memerintah atas seluruh Israel di Samaria+ selama 22 tahun. 30 Dia melakukan hal-hal yang buruk di mata Yehuwa dan dia lebih teruk daripada semua orang yang ada sebelumnya.+ 31 Tidak cukup baginya untuk berdosa seperti Raja Yerobeam+ anak Nebat. Raja Ahab melakukan hal-hal yang lebih jahat lagi; dia mengahwini Izebel,+ anak perempuan Raja Etbaal dari Sidon,+ dan dia mula sujud menyembah Baal.+ 32 Selain itu, dia membina mazbah untuk Baal di kuil* Baal+ yang dibinanya di Samaria, 33 dan dia juga mendirikan tiang suci.*+ Perbuatan Ahab telah membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan orang Israel, dan Ahab lebih teruk daripada semua raja Israel yang memerintah sebelumnya.
34 Pada masa pemerintahan Ahab, Hiel orang Bethel telah membina semula kota Yerikho. Dengan meletakkan asas kota Yerikho, Hiel menggadaikan nyawa anak sulungnya, Abiram. Dengan memasang pintu gerbang kota itu, dia menggadaikan nyawa anak bongsunya, Segub. Hal itu sesuai dengan apa yang pernah difirmankan Yehuwa melalui Yosua anak Nun.+
17 Elia,*+ orang Tisbi yang tinggal di Gilead,+ berkata kepada Ahab, “Hamba bersumpah demi Yehuwa yang hidup, Tuhan orang Israel dan Tuhan yang hamba sembah, bahawa tidak ada embun atau hujan yang akan turun selama beberapa tahun, kecuali atas perintah hamba!”+
2 Yehuwa berfirman kepada Elia, 3 “Tinggalkanlah tempat ini, dan pergilah ke arah timur. Bersembunyilah di Lembah* Kerit, di sebelah timur Sungai Yordan. 4 Minumlah air dari anak sungai, dan Aku akan menyuruh burung gagak untuk membawa makanan kepadamu di situ.”+ 5 Dia segera beredar dan melakukan apa yang difirmankan oleh Yehuwa. Dia pergi dan tinggal dekat Lembah Kerit, yang terletak di sebelah timur Sungai Yordan. 6 Setiap pagi dan setiap petang, burung gagak membawa roti dan daging kepadanya, dan dia minum air dari anak sungai yang ada di situ.+ 7 Beberapa lama kemudian, anak sungai itu pun kering+ kerana hujan tidak turun-turun di negeri itu.
8 Yehuwa berfirman kepada Elia, 9 “Pergilah ke Sarafat, kota orang Sidon, dan tinggallah di sana. Aku akan menyuruh seorang balu di sana untuk memberikan makanan kepadamu.”+ 10 Maka dia pun pergi ke Sarafat. Apabila dia tiba di pintu masuk kota itu, ada seorang balu yang sedang mengumpulkan kayu. Dia memanggil balu itu dan berkata, “Bawakanlah aku sedikit air di dalam sebuah cawan supaya aku dapat minum.”+ 11 Apabila balu itu hendak pergi mengambil air, Elia berkata lagi, “Berilah aku seketul roti juga.” 12 Balu itu menjawab, “Demi Yehuwa, Tuhanmu yang hidup, aku bersumpah bahawa aku tidak mempunyai roti. Aku hanya mempunyai segenggam tepung di dalam bekas yang besar dan sedikit minyak di dalam bekas yang kecil.+ Aku sedang mengumpulkan sedikit kayu. Sebentar lagi aku akan masuk ke dalam rumah dan memasak sesuatu untuk diriku dan anak lelakiku. Itulah makanan kami yang terakhir. Sesudah itu, kami akan menunggu maut sahaja.”
13 Elia berkata kepadanya, “Janganlah risau. Pergilah dan buatlah seperti apa yang kamu katakan. Tetapi sebelum itu, buatlah seketul roti yang kecil daripada tepung yang kamu miliki, dan berikanlah roti itu kepadaku. Kemudian kamu boleh memasak sesuatu untuk dirimu dan anak lelakimu. 14 Yehuwa, Tuhan orang Israel, telah berfirman, ‘Tepung di dalam bekas yang besar itu tidak akan habis, dan bekas kecil yang berisi minyak itu tidak akan kosong sehingga Aku, Yehuwa, menurunkan hujan ke atas permukaan tanah.’”+ 15 Maka balu itu melakukan apa yang disuruh oleh Elia. Balu itu dan keluarganya serta Elia mempunyai makanan yang cukup untuk berhari-hari lamanya.+ 16 Tepung di dalam bekas yang besar itu tidak habis, dan minyak di dalam bekas kecil itu juga tidak habis. Semuanya berlaku menurut apa yang difirmankan oleh Yehuwa menerusi Elia.
17 Beberapa lama kemudian, anak lelaki kepada wanita yang memiliki rumah itu jatuh sakit. Penyakitnya bertambah teruk, dan akhirnya dia mati.+ 18 Maka balu itu berkata kepada Elia, “Ya hamba Tuhan yang benar, mengapakah tuan melakukan hal ini kepadaku? Adakah tuan datang untuk mengingatkanku tentang kesalahanku lalu membunuh anakku?”+ 19 Elia menjawabnya, “Berikanlah anakmu itu kepadaku.” Lalu dia mengambil anak itu dari pangkuan ibunya. Selepas itu, dia membawa anak itu ke dalam biliknya yang terletak di bumbung rumah, dan membaringkan anak itu di tempat tidurnya.+ 20 Dia berseru kepada Yehuwa, “Ya Yehuwa, Tuhanku,+ aku sedang menumpang di rumah balu ini. Tetapi mengapakah Engkau menambah kesusahannya dan membiarkan anaknya mati?” 21 Kemudian dia memeluk anak itu sebanyak tiga kali lalu berseru kepada Yehuwa, “Ya Yehuwa, Tuhanku, pulangkanlah nyawa anak ini ke dalam tubuhnya!” 22 Yehuwa mendengarkan permintaan Elia+ lalu nyawa anak itu kembali ke dalam tubuhnya, dan anak itu hidup semula.+ 23 Elia membawa anak itu turun dari biliknya yang terletak di bumbung rumah dan menyerahkannya kepada ibunya. Elia berkata, “Lihatlah, anak lelakimu sudah hidup.”+ 24 Maka balu itu berkata kepada Elia, “Sekarang barulah aku yakin bahawa tuan sememangnya hamba Tuhan,+ dan firman Yehuwa yang tuan ucapkan itu memang benar.”
18 Beberapa lama kemudian, pada tahun ketiga kemarau itu,+ Yehuwa berfirman kepada Elia, “Pergilah menghadap Ahab, dan Aku akan menurunkan hujan ke atas permukaan bumi.”+ 2 Maka Elia pergi menghadap Ahab. Pada waktu itu, kebuluran di Samaria sangat dahsyat.+
3 Sementara itu, Ahab memanggil Obaja, pengurus istananya. (Obaja sangat hormat dan takut akan Yehuwa. 4 Semasa Izebel+ membunuh nabi-nabi Yehuwa, Obaja menyembunyikan 100 orang nabi di dalam gua, iaitu seramai 50 orang di dalam setiap gua. Dia juga memberikan roti dan air kepada mereka.) 5 Ahab berkata kepada Obaja, “Pergilah ke semua mata air dan lembah* di negeri ini. Kita mungkin menjumpai rumput yang cukup untuk menyelamatkan kuda dan baghal kita supaya semua ternakan kita tidak mati.” 6 Dengan demikian, Ahab dan Obaja menentukan kawasan yang akan dijelajahi oleh mereka, lalu mereka pergi ke arah yang berlainan.
7 Semasa Obaja dalam perjalanan, dia bertemu dengan Elia. Obaja mengenalinya lalu bersujud di hadapannya dan bertanya, “Betulkah tuan ini Elia?”+ 8 Elia menjawab, “Betul, akulah Elia. Pergilah kepada tuanmu dan beritahulah dia bahawa aku ada di sini.” 9 Tetapi Obaja berkata, “Apakah dosaku sehingga tuan hendak menyerahkan aku kepada Ahab untuk dibunuh? 10 Aku bersumpah demi Yehuwa, Tuhanmu yang hidup, bahawa Ahab telah mencari tuan dalam kalangan semua bangsa dan semua kerajaan. Apabila mereka melaporkan bahawa tuan tidak ada di negeri mereka, Ahab meminta supaya mereka bersumpah bahawa mereka tidak menemui tuan.+ 11 Sekarang tuan pula menyuruh aku memberitahu Ahab bahawa tuan ada di sini. 12 Setelah aku berpisah dengan tuan, Yehuwa akan menggunakan kuasa suci-Nya* untuk membawa tuan+ ke tempat yang tidak aku ketahui. Jika aku memberitahu Ahab tentang tuan, kemudian dia tidak dapat mencari tuan, dia pasti akan membunuhku. Ingatlah, aku takut kepada Yehuwa sejak muda lagi. 13 Tidakkah tuan diberitahu tentang apa yang aku lakukan semasa Izebel membunuh nabi-nabi Yehuwa? Aku telah menyembunyikan 100 orang nabi Yehuwa di dalam gua, iaitu seramai 50 orang di dalam setiap gua. Selain itu, aku memberi mereka roti dan air.+ 14 Sekarang, tuan menyuruh aku untuk memberitahu raja bahawa tuan berada di sini. Tentu raja akan membunuhku.” 15 Elia berkata, “Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup, ketua angkatan syurga, Tuhan yang aku sembah, bahawa aku akan menghadap raja pada hari ini juga.”
16 Maka Obaja pergi menemui Ahab dan memberitahukan hal itu kepadanya. Lalu Ahab pun berangkat untuk berjumpa dengan Elia.
17 Sebaik sahaja Ahab melihat Elia, dia berkata kepadanya, “Kamulah orang yang membawa malapetaka ke Israel!”
18 Elia menjawab, “Bukan hamba yang membawa malapetaka ke Israel. Tuanku dan keluarga tuankulah yang membawa malapetaka ke Israel kerana tuanku sekeluarga telah mengabaikan hukum Yehuwa dan mengikut Baal.+ 19 Sekarang perintahkanlah seluruh umat Israel untuk bertemu dengan hamba di Gunung Karmel.+ Bawalah 450 orang nabi Baal dan 400 orang nabi yang menyembah tiang suci,*+ yang makan di meja Izebel.” 20 Maka Ahab menyampaikan pesanan itu kepada semua orang Israel dan mengumpulkan nabi-nabi itu di Gunung Karmel.
21 Kemudian Elia menghadap semua orang dan berkata, “Sampai bilakah hati kamu akan berbelah bahagi?+ Jika Yehuwa ialah Tuhan yang benar, ikutlah Dia.+ Tetapi jika Baal ialah Tuhan yang benar, ikutlah Baal.” Namun, semua orang itu tidak menjawab apa-apa. 22 Elia berkata kepada umat Israel, “Nabi Yehuwa hanya tinggal aku seorang,+ sedangkan nabi Baal berjumlah 450 orang. 23 Sekarang, bawalah dua ekor anak lembu jantan. Hendaklah nabi-nabi Baal memilih seekor anak lembu jantan, memotong-motongnya lalu meletakkannya di atas kayu, tetapi mereka tidak boleh menyalakan api. Aku akan melakukan hal yang sama dengan lembu jantan yang seekor lagi, dan aku juga tidak akan menyalakan api. 24 Kamu harus memanggil nama tuhan kamu,+ dan aku akan memanggil nama Yehuwa. Tuhan yang menjawab dengan mengirim api ialah Tuhan yang benar.”+ Lalu segenap rakyat menjawab, “Baiklah.”
25 Selepas itu, Elia berkata kepada nabi-nabi Baal, “Oleh sebab bilangan kamu banyak, pilihlah seekor anak lembu jantan. Kemudian persiapkanlah lembu itu, dan panggillah nama tuhan kamu, tetapi jangan nyalakan api terlebih dahulu.” 26 Mereka mengambil lembu jantan yang diberikan kepada mereka dan menyiapkannya. Kemudian mereka asyik memanggil nama Baal dari pagi sampai tengah hari. Mereka berseru, “Ya Baal, jawablah kami!” Mereka melompat-lompat dan menari-nari mengelilingi mazbah yang telah dibina oleh mereka.+ Tetapi tidak ada suara yang kedengaran dan tidak ada sesiapa yang menjawab seruan mereka. 27 Menjelang tengah hari, Elia mula mengejek mereka. Dia berkata, “Serulah dengan lebih kuat lagi! Baal tuhan, bukan?+ Mungkin dia sedang termenung atau mungkin dia pergi buang air.* Atau barangkali dia sedang tidur dan seseorang harus membangunkannya!” 28 Mereka berseru dengan sekuat hati. Mereka juga melukai badan mereka dengan pisau belati dan tombak, seperti kebiasaan mereka, sehingga darah bercucuran dari badan mereka. 29 Selepas tengah hari, masih tidak ada suara yang kedengaran atau sesiapa yang menjawab seruan mereka. Mereka terus berkelakuan pelik* sehingga waktu petang, iaitu sehingga tiba waktunya untuk mempersembahkan korban bijirin. Namun, seruan mereka masih tidak dipedulikan.+
30 Akhirnya Elia berkata kepada semua orang di situ, “Marilah dekati aku.” Maka semua orang pun mendekatinya. Lalu dia memperbaiki mazbah Yehuwa yang telah dirobohkan itu.+ 31 Kemudian Elia mengambil 12 buah batu. Setiap batu mewakili satu suku keturunan Yakub. Yehuwa pernah berfirman kepada Yakub, “Namamu akan dipanggil Israel.”+ 32 Dengan menggunakan batu-batu itu, Elia membina sebuah mazbah+ demi nama Yehuwa. Di sekeliling mazbah itu, dia menggali parit yang cukup besar untuk ditaburi dengan dua bekas* benih. 33 Selepas itu, dia menyusun kayu-kayu di atas mazbah, memotong-motong anak lembu jantan itu, dan meletakkannya di atas kayu tersebut.+ Kemudian dia berkata, “Penuhilah empat buah bekas besar dengan air lalu tuangkan air itu ke atas korban bakar dan kayu-kayu ini.” 34 Elia berkata, “Buatlah lagi.” Maka mereka melakukannya lagi. “Buatlah untuk kali ketiga,” kata Elia. Lalu mereka melakukannya untuk kali ketiga. 35 Maka air mengalir di sekeliling mazbah itu. Dia juga memenuhi parit itu dengan air.
36 Pada waktu petang, iaitu kira-kira waktu mempersembahkan korban bijirin,+ Elia mendekati mazbah itu lalu berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan kepada Abraham,+ Ishak,+ dan Israel. Hari ini, biarlah semua orang tahu bahawa Engkaulah Tuhan orang Israel dan akulah hamba-Mu yang melakukan semua ini menurut perintah-Mu.+ 37 Jawablah aku, ya Yehuwa! Jawablah aku supaya semua orang di sini tahu bahawa Engkau, Yehuwa, ialah Tuhan yang benar, dan Engkaulah yang membawa mereka kembali kepada-Mu.”+
38 Pada masa itu, api daripada Yehuwa turun lalu membakar kayu-kayu, batu-batu, tanah di sekeliling mazbah, dan korban bakar.+ Air yang ada di dalam parit itu habis dijilat api.+ 39 Apabila semua orang di situ nampak apa yang berlaku, mereka segera bersujud dan berkata, “Yehuwa ialah Tuhan yang benar! Yehuwalah Tuhan yang benar!” 40 Maka Elia berkata kepada mereka, “Tangkaplah nabi-nabi Baal! Jangan biarkan seorang pun melarikan diri!” Dengan segera, mereka menangkap nabi-nabi itu dan Elia membawa mereka ke anak sungai di Kison+ lalu membunuh mereka di sana.+
41 Kemudian Elia berkata kepada Ahab, “Pergilah, makanlah dan minumlah, kerana hamba mendengar deru hujan yang lebat.”+ 42 Sementara Ahab pergi untuk makan dan minum, Elia naik ke puncak Gunung Karmel. Di sana, dia bersujud ke tanah dengan kepalanya di antara kedua-dua lututnya.+ 43 Selepas itu, dia berkata kepada hambanya, “Naiklah dan lihatlah ke arah laut.” Maka hambanya pergi, lalu kembali dan berkata, “Aku tidak nampak apa-apa pun.” Sebanyak tujuh kali, Elia menyuruh dia pergi melihat ke arah laut. 44 Pada kali ketujuh, hambanya kembali dan berkata, “Lihat! Aku nampak awan sekecil tapak tangan naik dari laut.” Maka Elia berkata kepada hambanya, “Pergilah menghadap Raja Ahab, dan beritahulah baginda, ‘Siapkanlah kereta kuda tuanku dan pergilah agar tuanku tidak dihalang hujan yang lebat.’” 45 Sementara itu, langit penuh dengan awan hitam, dan angin kencang bertiup, lalu hujan yang lebat pun turun.+ Ahab terus menaiki kereta kudanya lalu pergi ke Yizreel.+ 46 Pada masa itu, Elia mendapat kekuatan daripada Yehuwa. Dia mengikat jubahnya pada pinggang dan berlari mendahului Raja Ahab sepanjang jalan sampai ke Yizreel.
19 Kemudian Ahab+ memberitahu Izebel+ segala yang telah dilakukan oleh Elia, dan bagaimana Elia telah membunuh semua nabi Baal dengan pedang.+ 2 Maka Izebel mengirim seorang utusan kepada Elia dengan pesanan berikut: “Jika esok pada waktu ini aku tidak memperlakukan kamu seperti nabi-nabi yang telah kamu bunuh, biarlah dewa dewiku menghukum aku dan melipatgandakan hukuman aku!” 3 Elia menjadi takut lalu melarikan diri kerana dia tidak mahu dibunuh.+ Apabila dia sampai di Beer-syeba,+ di daerah Yehuda,+ dia meninggalkan hambanya di situ. 4 Dia berjalan di padang belantara selama sehari suntuk lalu sampai di bawah sebatang pokok renek. Dia duduk di situ dan berdoa memohon agar dia mati. Dia berkata, “Cukuplah, ya Yehuwa. Ambillah nyawaku+ kerana aku sama sahaja dengan nenek moyang aku.”
5 Kemudian dia berbaring lalu tertidur di bawah pokok renek itu. Tiba-tiba satu malaikat menyentuhnya+ dan berkata, “Bangunlah dan pergilah makan.”+ 6 Semasa dia melihat di sekelilingnya, dia nampak seketul roti berbentuk bulat di atas batu-batu yang panas dekat kepalanya. Selain itu, ada juga sebuah bekas berisi air. Dia makan dan minum lalu berbaring semula. 7 Selepas itu, malaikat Yehuwa kembali buat kali kedua. Malaikat itu menyentuhnya dan berkata, “Bangunlah dan pergilah makan supaya kamu dapat mengharungi perjalanan yang jauh ini.” 8 Elia pun bangun lalu makan dan minum. Makanan itu memberi dia cukup tenaga untuk berjalan selama 40 hari dan 40 malam sehingga dia sampai di Horeb, iaitu gunung Tuhan yang benar.+
9 Di sana, dia bermalam di dalam sebuah gua.+ Tiba-tiba Yehuwa berfirman kepadanya, “Elia, apakah yang engkau buat di sini?” 10 Elia menjawab, “Ya Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga,+ aku telah menyembah-Mu dengan penuh semangat. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian-Mu.+ Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang.+ Aku seorang sahaja yang tertinggal. Kini mereka mencari aku kerana ingin membunuh aku.”+ 11 Tuhan berfirman, “Keluarlah dan berdirilah di gunung, di hadapan Yehuwa.” Tiba-tiba Yehuwa lalu di hadapan Elia.+ Angin ribut yang kuat sedang membelah gunung-ganang dan memecahkan bukit-bukit batu di hadapan Yehuwa, tetapi Yehuwa tidak berada di dalam angin itu.+ Selepas angin ribut itu, gempa bumi berlaku, tetapi Yehuwa tidak berada di dalam gempa bumi itu.+ 12 Selepas gempa bumi, api datang,+ tetapi Yehuwa tidak berada di dalam api itu. Selepas api itu, kedengaran suatu suara yang tenang dan lembut.+ 13 Sebaik sahaja Elia mendengar suara itu, dia menutup mukanya dengan jubahnya*+ lalu keluar berdiri di mulut gua. Suara itu menanya Elia, “Elia, apakah yang engkau buat di sini?” 14 Dia menjawab, “Ya Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga, aku telah menyembah-Mu dengan penuh semangat. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian-Mu.+ Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Aku seorang sahaja yang tertinggal. Kini mereka mencari aku kerana ingin membunuh aku.”+
15 Yehuwa berfirman kepadanya, “Kembalilah, dan pergilah ke padang belantara di Damsyik. Apabila engkau tiba di sana, lantiklah Hazael+ untuk menjadi raja Siria. 16 Kemudian lantiklah Yehu+ cucu Nimsi untuk menjadi raja Israel. Selanjutnya, lantiklah Elisa* anak Safat dari Abel-mehola sebagai nabi untuk menggantikan engkau.+ 17 Sesiapa yang dapat melarikan diri daripada pedang Hazael+ akan dibunuh oleh Yehu.+ Sesiapa yang terlepas daripada pedang Yehu akan dibunuh oleh Elisa.+ 18 Selain itu, masih ada 7,000 orang di Israel+ yang belum pernah sujud menyembah Baal+ dan belum pernah menciumnya.”+
19 Selepas Elia beredar dari sana, dia bertemu dengan Elisa anak Safat yang sedang membajak tanah dengan menggunakan 12 pasang lembu jantan. Pada masa itu, Elisa berdiri bersama pasangan lembu yang ke-12. Maka Elia berlari ke arah Elisa dan memakaikan jubahnya+ pada Elisa. 20 Elisa meninggalkan kawanan lembunya dan mengejar Elia lalu berkata, “Benarkanlah aku mencium ibu bapaku terlebih dahulu. Selepas itu, aku akan mengikut tuan.” Elia menjawab, “Pergilah, aku tidak melarang kamu.” 21 Kemudian Elisa pulang dan mengambil sepasang lembu lalu menyembelih lembu-lembu itu. Dia menggunakan alatan membajak sebagai kayu api untuk memasak daging lembu itu. Dia menghidangkan makanan itu kepada semua orang dan mereka pun memakannya. Selepas itu, Elisa bangun dan mengikut Elia sebagai pembantunya.+
20 Ben-hadad,+ iaitu raja Siria,+ mengumpulkan seluruh angkatan tenteranya bersama dengan 32 orang raja yang lain berserta kuda-kuda dan kereta kuda mereka. Kemudian Ben-hadad pergi mengepung+ dan menyerang kota Samaria.+ 2 Dia mengirim utusan ke kota itu dengan pesanan kepada Ahab,+ raja Israel, “Inilah perintah Raja Ben-hadad: 3 ‘Perak dan emas tuanku akan menjadi milik beta. Demikian juga dengan isteri-isteri tuanku yang paling cantik dan anak-anak lelaki tuanku yang paling tampan.’” 4 Raja Israel menjawabnya, “Seperti yang diperintahkan oleh tuanku raja, beta dan segala milik beta akan menjadi kepunyaan tuanku.”+
5 Utusan-utusan itu kembali kepada Ahab dan berkata, “Inilah kata-kata Raja Ben-hadad: ‘Beta pernah memberikan perintah agar tuanku memberi beta perak, emas, dan anak-anak lelaki serta isteri-isteri tuanku. 6 Tetapi pada hari esok, kira-kira pada waktu ini, beta akan mengutus para pegawai beta kepada tuanku. Mereka akan menggeledah istana tuanku dan rumah-rumah pegawai tuanku. Mereka akan mengambil segala yang berharga daripada tuanku.’”
7 Maka raja Israel memanggil semua pemimpin negerinya dan berkata, “Lihatlah! Lelaki itu hendak menyusahkan kita. Semasa dia menyuruh beta menyerahkan perak, emas, dan isteri-isteri serta anak-anak lelaki beta kepadanya, beta tidak menolak permintaannya.” 8 Lalu semua pemimpin dan semua orang berkata kepada raja, “Jangan patuhi perintahnya, dan jangan turuti permintaannya.” 9 Raja Israel berkata kepada para utusan Ben-hadad, “Katakanlah kepada tuanku Raja Ben-hadad bahawa beta akan memenuhi segala tuntutannya yang pertama, tetapi beta tidak dapat menuruti permintaannya yang kedua ini.” Maka para utusan itu pergi dan menyampaikan pesanan itu kepada Ben-hadad.
10 Kemudian Ben-hadad mengirim pesanan berikut kepadanya: “Beta akan datang dengan angkatan tentera yang sangat besar untuk menghancurkan kota Samaria. Debu yang tertinggal dari kota ini tidak akan cukup untuk mengisi genggaman setiap orang yang mengiringi beta. Jika beta gagal melakukan semua hal ini, biarlah dewa dewi beta menghukum beta dan melipatgandakan hukuman beta!” 11 Raja Israel menjawab, “Beritahulah Ben-hadad bahawa sebelum perang bermula, jangan berlagak seakan-akan baginda sudah meraih kemenangan.”+ 12 Ben-hadad mendengar pesanan ini ketika dia sedang minum arak di dalam khemah bersama raja-raja yang lain. Dia berkata kepada para pegawainya, “Bersedialah untuk berperang!” Maka mereka bersiap-siap untuk menyerang kota Samaria.
13 Seorang nabi menghadap Ahab, raja Israel,+ dan berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Tengoklah angkatan yang besar ini. Hari ini, Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tanganmu. Dengan demikian, engkau akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’”+ 14 Ahab bertanya, “Bagaimanakah hal itu akan berlaku?” Nabi itu menjawab, “Yehuwa berfirman, ‘Melalui pembantu-pembantu para pegawai daerah.’” Ahab bertanya lagi, “Siapakah yang akan memulakan serangan?” Nabi itu menjawab, “Tuanku!”
15 Ahab mengira pembantu-pembantu para pegawai daerah, dan jumlahnya 232 orang. Selepas itu, dia mengira semua askar orang Israel, dan jumlahnya 7,000 orang. 16 Mereka keluar dari kota pada waktu tengah hari. (Pada masa itu, Ben-hadad sedang minum sampai mabuk di dalam khemah bersama 32 orang raja yang menolong dia.) 17 Mula-mula, para pembantu itu keluar dari kota. Ben-hadad segera menghantar utusan untuk melihat apa yang sedang berlaku. Utusan itu kembali dan melaporkan, “Ada orang yang keluar dari Samaria.” 18 Maka Ben-hadad berkata, “Jika mereka keluar untuk berdamai, tangkaplah mereka hidup-hidup. Jika mereka keluar untuk berperang, kamu juga harus tangkap mereka hidup-hidup.” 19 Apabila para pembantu itu keluar dari kota diikuti dengan askar-askar Israel, 20 mereka membunuh musuh yang ada di hadapan mereka. Maka orang Siria melarikan diri+ sambil dikejar oleh orang Israel. Tetapi Ben-hadad, raja Siria, berjaya melarikan diri dengan menaiki kudanya bersama beberapa orang askar berkuda. 21 Raja Israel keluar dan terus menawan kuda-kuda dan kereta kuda musuh sehingga orang Siria kalah teruk.*
22 Kemudian nabi itu+ menghadap raja Israel dan berkata kepadanya, “Pergilah dan kuatkanlah diri tuanku. Fikirlah masak-masak tentang tindakan tuanku yang seterusnya+ kerana pada awal tahun depan* raja Siria akan menyerang tuanku.”+
23 Para pegawai raja Siria berkata kepadanya, “Tuhan yang disembah mereka tinggal di pergunungan. Itulah sebabnya mereka dapat mengalahkan kita. Tetapi jika kita bertempur dengan mereka di tanah rata, kita pasti dapat mengalahkan mereka. 24 Tuanku juga harus melantik para gabenor untuk menggantikan semua raja itu di medan pertempuran.+ 25 Selepas itu, kumpulkan angkatan tentera sebesar angkatan tentera yang telah dikalahkan dahulu. Sediakanlah kuda dan kereta kuda yang sama bilangannya seperti dahulu. Marilah kita bertempur dengan mereka di tanah rata, dan kita pasti akan mengalahkan mereka.” Maka raja pun mendengar nasihat mereka dan melakukan segala yang dikatakan oleh mereka.
26 Pada awal tahun* yang berikutnya, Ben-hadad mengumpulkan tentera Siria lalu pergi ke Afek+ untuk bertempur dengan orang Israel. 27 Tentera Israel juga dikumpulkan dan dibekalkan dengan makanan lalu mereka keluar untuk menghadap tentera Siria. Jika dibandingkan dengan tentera Siria, tentera Israel yang berkhemah di hadapan mereka nampaknya sangat kecil, hanya seperti dua kawanan kambing, sedangkan tentera Siria memenuhi seluruh daerah itu.+ 28 Kemudian nabi Tuhan menghadap raja Israel lalu berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Memandangkan orang Siria telah berkata, “Yehuwa ialah Tuhan yang tinggal di pergunungan, dan bukannya Tuhan yang tinggal di tanah rata,” Aku akan menyerahkan tentera yang besar ini ke dalam tanganmu.+ Dengan demikian, engkau akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.’”+
29 Selama tujuh hari mereka berkhemah berhadapan dengan satu sama lain. Kemudian pada hari yang ketujuh, mereka mula berperang. Dalam masa satu hari, tentera Israel membunuh 100,000 orang askar Siria yang berjalan kaki. 30 Askar yang lain melarikan diri ke kota Afek.+ Tetapi tembok kota itu roboh lalu menimpa 27,000 orang askar Siria yang masih tinggal. Ben-hadad juga melarikan diri ke kota itu, dan dia menyembunyikan diri di dalam bilik belakang sebuah rumah.
31 Pegawai-pegawai Ben-hadad berkata kepadanya, “Hamba sekalian mendengar bahawa raja-raja keturunan Israel berbelas kasihan. Benarkanlah hamba sekalian mengenakan kain guni pada pinggang kami dan mengikat tali pada kepala kami. Kemudian hamba sekalian akan pergi menghadap raja Israel. Raja mungkin akan membiarkan tuanku terus hidup.”+ 32 Para pegawai itu pun mengenakan kain guni pada pinggang mereka dan mengikat tali pada kepala mereka. Selepas itu, mereka pergi menemui raja Israel dan berkata, “Hamba tuanku, Raja Ben-hadad, memohon supaya tuanku membenarkannya untuk terus hidup.” Raja Israel berkata, “Adakah baginda masih hidup? Baginda ialah saudara beta.” 33 Para pegawai itu menganggap hal itu sebagai petanda yang baik dan segera mempercayai kata-kata raja. Mereka menjawab, “Ben-hadad memang saudara tuanku.” Maka raja berkata, “Bawalah Ben-hadad kepada beta.” Apabila Ben-hadad tiba, raja mengajaknya untuk menaiki kereta kuda.
34 Ben-hadad berkata kepadanya, “Beta akan mengembalikan kota-kota yang telah diambil oleh ayahanda beta daripada ayahanda tuanku. Tuanku boleh membuka pasar* di Damsyik, seperti yang dilakukan oleh ayahanda beta di Samaria.”
Raja menjawab, “Atas dasar perjanjian ini, beta akan melepaskan tuanku.”
Maka Ahab membuat perjanjian dengan Ben-hadad lalu membiarkannya pergi.
35 Atas perintah Yehuwa, seorang daripada sekumpulan nabi*+ berkata kepada sahabatnya, “Pukullah aku.” Tetapi sahabatnya enggan berbuat demikian. 36 Maka nabi itu berkata kepada sahabatnya, “Memandangkan kamu tidak mendengar perintah Yehuwa, seekor singa akan membunuhmu sebaik sahaja kamu meninggalkan aku.” Oleh itu, sebaik sahaja sahabatnya pergi dari situ, seekor singa menyerangnya lalu membunuhnya.
37 Nabi itu pergi kepada orang lain dan berkata, “Pukullah aku.” Maka orang itu memukulnya sehingga dia luka.
38 Nabi itu membalut matanya dengan kain dan menyamar sebagai orang lain. Kemudian dia menunggu Raja Ahab di tepi jalan. 39 Semasa raja lalu di hadapannya, nabi itu berseru, “Tuanku, semasa hamba berada di medan pertempuran, ada seorang lelaki membawa seorang tawanan kepada hamba lalu berkata, ‘Jagalah dia. Andai kata dia melarikan diri, kamu harus menggantikan nyawanya dengan nyawamu,+ atau kamu harus membayar satu talenta* perak untuk nyawanya.’ 40 Semasa hamba sibuk ke sana ke sini, tiba-tiba tawanan itu hilang.” Raja Israel berkata kepadanya, “Begitulah hukumanmu, kamu sendiri telah menetapkannya.” 41 Nabi itu segera membuka balutan pada matanya. Pada saat itu juga raja mengetahui bahawa dia ialah seorang nabi.+ 42 Nabi itu berkata kepada raja, “Inilah firman Yehuwa: ‘Oleh sebab engkau telah membebaskan orang yang Aku perintahkan supaya dibunuh,+ nyawamu akan menggantikan nyawanya,+ dan rakyatmu akan menggantikan rakyatnya.’”+ 43 Maka raja Israel balik ke Samaria+ dengan hati yang sedih dan kecewa.
21 Selepas hal-hal itu, berlakulah peristiwa tentang ladang anggur milik Nabot, seorang lelaki dari Yizreel. Ladang itu terletak di Yizreel,+ iaitu bersebelahan dengan istana Ahab, raja Samaria. 2 Ahab berkata kepada Nabot, “Berikanlah ladang anggurmu kepada beta kerana ladang kamu terletak dekat istana beta. Beta mahu menggunakan ladang itu sebagai kebun sayur. Sebagai ganti, beta akan memberi kamu ladang anggur yang lebih baik. Atau jika kamu suka, beta akan membeli ladang itu dengan harga yang berpatutan.” 3 Tetapi Nabot berkata kepada Ahab, “Dari sudut pandangan Yehuwa, hamba tidak boleh memberikan harta warisan nenek moyang hamba kepada tuanku.”+ 4 Maka Ahab pulang ke istananya dengan sedih dan kecewa kerana Nabot telah berkata, “Hamba tidak boleh memberikan harta warisan nenek moyang hamba kepada tuanku.” Dia pun berbaring di atas katilnya dengan muka menghadap ke tembok. Dia juga tidak mahu makan.
5 Isterinya Izebel+ datang kepadanya dan bertanya, “Mengapakah kamu begitu sedih dan tidak mahu makan?” 6 Raja menjawab, “Aku telah berkata kepada Nabot, orang Yizreel itu, ‘Juallah ladang anggurmu kepada beta. Atau jika kamu suka, beta akan memberi kamu ladang anggur yang lebih baik.’ Tetapi Nabot menjawab, ‘Hamba tidak boleh memberikan ladang hamba kepada tuanku.’” 7 Izebel berkata, “Bukankah kamu raja atas seluruh Israel? Bangunlah dan makanlah. Biarlah hatimu bersukacita kerana aku akan mendapatkan ladang anggur Nabot, orang Yizreel itu, untukmu.”+ 8 Kemudian Izebel menulis beberapa pucuk surat atas nama Raja Ahab dan memeterainya dengan meterai raja.+ Selepas itu dia mengirimkan surat-surat itu kepada para pemimpin+ dan orang bangsawan yang tinggal di kota yang sama dengan Nabot. 9 Dalam surat-surat itu, Izebel menulis: “Isytiharkanlah puasa dan suruhlah Nabot duduk di tempat yang khas di depan semua orang. 10 Suruhlah dua orang yang jahat duduk di depan Nabot dan menuduh dia,+ ‘Kamu telah mengutuk Tuhan dan raja!’+ Kemudian bawalah Nabot keluar dan rejamlah dia sampai mati.”+
11 Maka orang yang tinggal di dalam kota itu, iaitu para pemimpin dan orang bangsawan, melaksanakan perintah Izebel, sesuai dengan apa yang dinyatakan dalam surat-surat yang dikirimnya. 12 Mereka mengisytiharkan puasa dan menyuruh Nabot duduk di tempat yang khas di depan semua orang. 13 Kemudian dua orang yang jahat masuk lalu duduk di depan Nabot dan menuduhnya di depan semua orang, “Nabot telah mengutuk Tuhan dan raja!”+ Setelah itu, mereka membawa Nabot ke luar kota dan merejamnya sampai mati.+ 14 Kemudian mereka mengirim berita kepada Izebel, “Nabot telah direjam sampai mati.”+
15 Sebaik sahaja Izebel mendengar bahawa Nabot telah direjam sampai mati, dia berkata kepada Ahab, “Nabot sudah tiada lagi. Ya, dia sudah mati. Sekarang bangunlah dan ambillah ladang anggur yang tidak mahu dijualnya kepadamu.”+ 16 Ketika Ahab mendengar bahawa Nabot sudah mati, dia segera bangun dan pergi untuk mengambil ladang anggur itu sebagai miliknya.
17 Yehuwa berfirman kepada Elia,+ orang Tisbi itu, 18 “Pergilah ke Samaria+ dan berjumpalah dengan Ahab, raja Israel. Dia berada di ladang anggur Nabot untuk mengambil ladang itu sebagai miliknya. 19 Engkau harus berkata kepada Ahab, ‘Inilah firman Yehuwa: “Setelah engkau membunuh pemiliknya,+ adakah engkau hendak mengambil harta miliknya pula?”’+ Kemudian beritahulah dia, ‘Inilah firman Yehuwa: “Di tempat anjing-anjing menjilat darah Nabot, di situ jugalah darahmu akan dijilat anjing.”’”+
20 Ahab berkata kepada Elia, “Hai musuhku, kamu berjaya menemui beta!”+ Elia menjawab, “Ya, hamba berjaya menemui tuanku. Inilah firman Tuhan: ‘Oleh sebab engkau bertekad untuk melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa,+ 21 Aku akan membawa malapetaka kepadamu. Aku akan menyingkirkan dan melenyapkan engkau dan semua lelaki dalam keluargamu,+ termasuk yang lemah dan yang tidak berdaya daripada kalangan orang Israel.+ 22 Keturunanmu akan menjadi seperti keturunan Yerobeam+ anak Nebat dan keturunan Baesa+ anak Ahia. Hal ini demikian kerana engkau telah membuat Aku murka dan menyebabkan orang Israel berdosa.’ 23 Berkenaan Izebel, Yehuwa juga telah berfirman, ‘Anjing-anjing akan memakan mayat Izebel di sebidang tanah di Yizreel.+ 24 Semua keturunan Ahab yang mati di dalam kota akan dimakan oleh anjing-anjing, dan semua keturunannya yang mati di luar kota akan dimakan oleh burung-burung di langit.+ 25 Sememangnya tidak pernah ada orang seperti Ahab.+ Dengan desakan isterinya Izebel, dia bertekad untuk melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa.+ 26 Dia melakukan dosa yang paling keji kerana dia menyembah patung-patung berhala yang menjijikkan.* Perbuatannya sama seperti perbuatan semua orang Amori yang telah diusir oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel.’”+
27 Sebaik sahaja Ahab mendengar kata-kata ini, dia mengoyakkan pakaiannya dan mengenakan kain guni lalu berpuasa. Dia berbaring dengan mengenakan kain guni dan berjalan dengan berdukacita. 28 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Elia, orang Tisbi itu, 29 “Adakah engkau melihat bagaimana Ahab telah merendahkan dirinya kerana Aku?+ Oleh sebab dia telah berbuat demikian, Aku tidak akan membawa malapetaka itu sepanjang hayatnya. Aku akan membawa malapetaka itu kepada keturunannya pada zaman anak lelakinya.”+
22 Siria dan Israel tidak berperang selama tiga tahun. 2 Pada tahun ketiga, Raja Yehosafat+ dari Yehuda pergi berjumpa dengan raja Israel.+ 3 Raja Israel berkata kepada para pegawainya, “Tahukah kamu bahawa Ramot-gilead+ milik kita? Tetapi mengapa pula kita teragak-agak untuk merampas semula kota itu daripada raja Siria?” 4 Lalu raja Israel berkata kepada Yehosafat, “Adakah tuanku sudi untuk pergi menawan Ramot-gilead bersama-sama beta?” Yehosafat menjawabnya, “Ya, mari kita pergi bersama-sama. Tentera dan pasukan berkuda beta akan bergabung dengan tentera dan pasukan berkuda tuanku.”+
5 Namun Yehosafat berkata kepada raja Israel, “Marilah kita meminta petunjuk daripada Yehuwa terlebih dahulu.”+ 6 Maka raja Israel mengumpulkan para nabi yang berjumlah lebih kurang 400 orang. Dia berkata kepada mereka, “Patutkah beta pergi menawan kota Ramot-gilead atau tidak?” Mereka menjawab, “Pergilah tuanku. Yehuwa pasti akan menyerahkan kota itu ke dalam tangan tuanku.”
7 Tetapi Yehosafat berkata, “Tidak adakah nabi Yehuwa di sini? Marilah kita meminta petunjuk Tuhan daripadanya.”+ 8 Maka raja Israel menjawab Yehosafat, “Masih ada seorang lagi yang boleh mendapatkan petunjuk daripada Yehuwa.+ Dia ialah Mikhaya anak Yimla. Tetapi beta membencinya+ kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta. Dia hanya bernubuat tentang hal yang buruk.”+ Tetapi Yehosafat berkata, “Tuanku tidak sepatutnya berkata demikian.”
9 Raja Israel memanggil seorang pegawai istana dan berkata, “Cepat, bawalah Mikhaya anak Yimla kepada beta.”+ 10 Pada masa itu, Ahab dan Yehosafat sedang memakai pakaian diraja dan duduk di atas takhta yang terletak di tempat mengirik* tuaian, iaitu dekat pintu masuk kota Samaria. Semua nabi bernubuat di hadapan mereka.+ 11 Kemudian Zedekia anak Kenaana membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Engkau akan menggunakan tanduk-tanduk ini untuk menyerang* orang Siria sehingga mereka lenyap sama sekali.’” 12 Nabi-nabi yang lain juga bernubuat dan berkata, “Pergilah ke Ramot-gilead. Tuanku pasti berjaya. Yehuwa akan menyerahkan kota itu ke dalam tangan tuanku.”
13 Maka utusan yang pergi memanggil Mikhaya berkata kepadanya, “Nabi-nabi yang lain mengatakan hal yang baik dengan sebulat suara. Hendaklah kamu juga mengatakan hal yang baik bagi raja, seperti mereka.”+ 14 Tetapi Mikhaya berkata, “Demi Yehuwa yang hidup, aku hanya akan menyampaikan apa yang difirmankan oleh Yehuwa kepadaku.” 15 Apabila Mikhaya menghadap raja, raja bertanya kepadanya, “Mikhaya, patutkah beta berdua pergi menawan kota Ramot-gilead atau tidak?” Mikhaya segera menjawab, “Pergilah dan tuanku pasti berjaya. Yehuwa akan menyerahkan kota itu ke dalam tangan tuanku.” 16 Maka raja berkata, “Berapa kalikah beta harus menyuruh kamu untuk bersumpah bahawa kamu akan berkata benar demi nama Yehuwa?” 17 Selepas itu, Mikhaya berkata, “Hamba nampak semua rakyat Israel berkeliaran di gunung-gunung+ seperti biri-biri tanpa gembala. Yehuwa telah berfirman, ‘Mereka tidak mempunyai tuan. Biarlah mereka pulang ke rumah masing-masing dengan aman.’”
18 Maka raja Israel berkata kepada Yehosafat, “Bukankah beta sudah berkata bahawa dia tidak akan bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta? Dia hanya bernubuat tentang hal yang buruk!”+
19 Mikhaya berkata lagi, “Dengarlah firman Yehuwa: Hamba nampak Yehuwa sedang duduk di atas takhta-Nya,+ dan seluruh angkatan tentera syurga berdiri di sebelah kanan dan di sebelah kiri-Nya.+ 20 Yehuwa bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot-gilead lalu terbunuh di sana?’ Ada malaikat yang berkata begini, ada pula yang berkata begitu. 21 Kemudian satu malaikat+ tampil dan menghadap Yehuwa lalu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Yehuwa bertanya kepadanya, ‘Bagaimanakah engkau akan berbuat demikian?’ 22 Malaikat itu menjawab, ‘Aku akan pergi lalu membuat semua nabi Ahab bercakap bohong.’+ Maka Tuhan berfirman, ‘Pergilah dan buatlah demikian. Engkau akan memperdayanya dan engkau akan berjaya.’ 23 Oleh itu, Yehuwa mengutus malaikat itu untuk membuat nabi-nabi tuanku bercakap bohong.+ Sebenarnya Yehuwa telah menyatakan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka.”+
24 Zedekia anak Kenaana menghampiri Mikhaya lalu menampar pipinya. Dia bertanya, “Adakah kamu fikir bahawa kuasa suci Yehuwa telah meninggalkan aku lalu bercakap kepadamu?”+ 25 Mikhaya menjawab, “Pada hari kamu masuk ke dalam bilik belakang untuk bersembunyi, pada hari itulah kamu akan mengetahuinya.” 26 Kemudian raja Israel berkata, “Bawa Mikhaya dan serahkannya kepada Amon, penguasa kota itu, dan kepada Yoas, anak raja. 27 Beritahulah mereka, ‘Inilah perintah raja: “Masukkan orang ini ke dalam penjara.+ Beri dia sedikit roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.”’” 28 Mikhaya berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, maksudnya Yehuwa tidak berfirman melalui hamba.”+ Dia menyambung, “Hai semua orang, dengarlah apa yang telah aku katakan ini.”
29 Maka raja Israel dan Yehosafat, raja Yehuda, pergi ke Ramot-gilead.+ 30 Raja Israel berkata kepada Yehosafat, “Apabila kita pergi bertempur, beta akan menyamar tetapi tuanku akan memakai pakaian diraja tuanku.” Oleh itu, raja Israel pun menyamar ketika pergi bertempur.+ 31 Raja Siria telah mengarahkan 32 orang ketua pasukan kereta kudanya dengan berkata,+ “Janganlah menyerang sesiapa pun, baik panglima tentera mahupun askar biasa. Seranglah raja Israel sahaja.” 32 Sebaik sahaja ketua-ketua itu nampak Yehosafat, mereka berkata kepada satu sama lain, “Sudah pasti itu raja Israel!” Maka mereka pergi menyerang dia, dan Yehosafat mula berteriak meminta tolong. 33 Apabila mereka sedar bahawa dia bukan raja Israel, mereka segera berundur dan tidak mengejarnya lagi.
34 Salah seorang askar Siria melepaskan anak panah, dan kebetulan anak panah itu menusuk Raja Ahab di antara sambungan baju zirahnya. Maka raja berkata kepada pemandu kereta kudanya, “Berundurlah dan bawalah beta keluar dari medan pertempuran ini kerana beta cedera parah.”+ 35 Pertempuran itu berlangsung sepanjang hari. Sementara itu, orang lain memegang Raja Ahab agar dia dapat berdiri di dalam kereta kudanya sambil menghadap orang Siria. Darah mengalir dari lukanya ke dalam kereta kuda, dan dia mati pada petang hari.+ 36 Kira-kira pada waktu matahari terbenam, perintah berikut dilaungkan kepada semua tentera Israel: “Pulanglah ke kota masing-masing! Setiap orang haruslah pulang ke tanah mereka!”+ 37 Demikianlah Raja Ahab meninggal. Mayatnya dibawa ke Samaria dan dikebumikan di situ. 38 Apabila kereta kuda raja dicuci di sebuah kolam di Samaria, anjing-anjing menjilat darahnya dan para pelacur mandi di situ. Semuanya berlaku tepat seperti yang difirmankan oleh Yehuwa.+
39 Berkenaan kisah hidup Ahab yang lain, iaitu kisah tentang apa yang telah dilakukannya, istana gading+ yang didirikannya, dan semua kota yang telah dibinanya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 40 Ahab meninggal+ dan anak lelakinya yang bernama Ahazia+ menggantikannya sebagai raja.
41 Yehosafat+ anak Asa mula memerintah Yehuda pada tahun keempat Ahab menjadi raja Israel. 42 Yehosafat berusia 35 tahun semasa dia menjadi raja. Dia memerintah di Yerusalem selama 25 tahun. Ibunya ialah Azubah, anak perempuan Silhi. 43 Yehosafat tidak menyimpang dan terus mengikut segala jejak bapanya Asa.+ Dia melakukan apa yang benar di mata Yehuwa.+ Tetapi dia tidak memusnahkan tempat-tempat ibadat, dan rakyat masih mempersembahkan korban di situ dan membakar korban itu sehingga asap naik.+ 44 Yehosafat terus berdamai dengan raja Israel.+ 45 Berkenaan kisah hidup Yehosafat yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya dan bagaimana dia berperang, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 46 Selain itu, Yehosafat mengusir pelacur-pelacur lelaki di kuil+ yang tidak dihalau oleh bapanya Asa. Yehosafat mengusir mereka semua dari negerinya.+
47 Pada masa itu, negeri Edom tidak ada raja.+ Negeri itu diperintah oleh seorang pembesar.+
48 Yehosafat menghantar kapal-kapal Tarsis ke Ofir untuk mengambil emas,+ tetapi kapal-kapal itu rosak di Ezion-geber dan tidak berjaya belayar ke sana.+ 49 Maka Ahazia anak Ahab berkata kepada Yehosafat, “Biarlah hamba-hamba beta belayar di atas kapal bersama hamba-hamba tuanku.” Tetapi Yehosafat menolak permintaannya.
50 Yehosafat meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya+ di Kota Daud. Anak lelakinya yang bernama Yehoram+ menggantikannya sebagai raja.
51 Ahazia+ anak Ahab menjadi raja seluruh Israel dan memerintah di Samaria pada tahun ke-17 pemerintahan Yehosafat, raja Yehuda. Ahazia memerintah Israel selama dua tahun. 52 Dia asyik melakukan hal-hal yang buruk di mata Yehuwa dan mengikut jejak ibu bapanya+ serta mengikut haluan Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ 53 Dia terus sujud menyembah Baal.+ Seperti bapanya, dia asyik membangkitkan kemurkaan Yehuwa, Tuhan orang Israel.+
Harfiah, “hamba.”
Harfiah, “dibaringkan bersama nenek moyang tuanku.”
Harfiah, “dibaringkan bersama nenek moyangnya.”
Harfiah, “30 kor.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “60 kor.”
Angka ini dijumpai dalam beberapa naskhah kuno dan di 2Ta 9:25. Sesetengah naskhah kuno menyatakan 40,000.
Atau “penunggang kuda.”
Harfiah, “hati yang luas.”
Harfiah, “20,000 kor.” Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “20 kor.”
Lihat Lampiran B8.
Lihat Lampiran B15.
Lihat Lampiran B14.
Kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi.
Harfiah, “kayu minyak,” mungkin merujuk kepada kayu daripada pokok pain Aleppo.
Mungkin merujuk kepada saiz pintu atau cara rangka pintu dibina.
Mungkin merujuk kepada saiz pintu atau cara rangka pintu dibina.
Lihat Lampiran B15.
Lihat Lampiran B15.
Lihat Lampiran B14.
Mungkin merujuk kepada kayu-kayu melintang.
Iaitu, halaman luar.
Iaitu, halaman luar.
Atau “dan lilitan tiang itu.”
Maksudnya “Semoga Dia [iaitu, Yehuwa] Menetapkan.”
Mungkin bermaksud “Dengan Kekuatan.”
Atau “diameternya.”
Atau “dan lilitannya.”
Lihat Lampiran B14.
Harfiah, “2,000 bath.” Lihat Lampiran B14.
Atau “pedati untuk mengangkut air.”
Atau “Diameter.”
Harfiah, “40 bath.”
Iaitu, Perayaan Pondok Daun.
Lihat Lampiran B15.
Atau “seluruh sidang.” Lihat Kamus.
Atau “seluruh sidang.” Lihat Kamus.
Iaitu, sumpah yang membawa hukuman jika seseorang menipu atau tidak dapat memenuhinya.
Atau “membuat mereka rendah hati.”
Atau “kulapuk.”
“Relau besi” melambangkan penindasan yang teruk.
Atau “Sidang yang besar.” Lihat Kamus.
Atau “pintu masuk kota Hamat.”
Lihat Kamus.
Harfiah, “ke-8,” iaitu hari selepas tempoh 7 hari yang kedua.
Atau “dengan mengikut haluan yang benar.”
Atau “integriti.”
Harfiah, “bersiul.”
Atau mungkin, “Tanah yang Tidak Bernilai.”
Lihat Lampiran B14.
Ibrani, mil·loh’ʹ yang bermaksud “timbunan tanah.” Lihat Kamus.
Ibrani, mil·loh’ʹ yang bermaksud “timbunan tanah.” Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Atau “kata-kata.”
Lihat Lampiran B14.
Lihat Lampiran B14.
Perisai ini biasanya dibawa oleh pemanah.
Lihat Lampiran B14.
Atau “askar-askar berkuda.”
Atau “dan 12,000 orang askar berkuda.”
Atau mungkin, “dibeli dari Mesir dan dari Kue. Para saudagar yang bekerja untuknya akan membeli kuda-kuda dari Kue,” barangkali merujuk kepada Kilikia.
Juga boleh merujuk kepada patung-patung berhala.
Harfiah, “tempat-tempat tinggi.” Lihat Kamus.
Mungkin merujuk kepada suku Benyamin yang akan tetap bersama suku Yehuda.
Ibrani, mil·loh’ʹ yang bermaksud “timbunan tanah.” Lihat Kamus.
Harfiah, “mempunyai sebuah pelita.”
Atau “seluruh sidang.” Lihat Kamus.
Atau “para penatua.”
Atau “memperkukuh.”
Atau “memperkukuh.”
Harfiah, “tempat-tempat tinggi.” Lihat Kamus.
Iaitu, abu yang bercampur lemak daripada korban yang dibakar.
Iaitu, Sungai Efrat.
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Harfiah, “telah memberinya sebuah pelita.”
Istilah ini dalam bahasa Ibrani mungkin berkaitan dengan istilah yang bermaksud “tahi” dan digunakan untuk menunjukkan perasaan meluat yang sangat mendalam.
Lihat Kamus.
Lihat Lampiran B14.
Maksudnya “Milik Puak Semer.”
Harfiah, “rumah.”
Lihat Kamus.
Maksudnya “Yehuwa ialah Tuhanku.”
Atau “Wadi.”
Atau “wadi.”
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Atau mungkin, “dia sedang mengadakan perjalanan ke tempat lain.”
Atau “berkelakuan seperti nabi.”
Harfiah, “2 seah.” Lihat Lampiran B14.
Atau “pakaian istimewanya.”
Maksudnya “Tuhan ialah Penyelamat.”
Atau “sehingga banyak orang Siria dibunuh.”
Iaitu, pada musim bunga yang seterusnya.
Iaitu, pada musim bunga.
Atau “boleh memilih mana-mana jalan.”
Harfiah, “daripada anak-anak nabi.” Ungkapan ini mungkin merujuk kepada sekolah yang melatih nabi atau merujuk kepada persatuan nabi.
Lihat Lampiran B14.
Lihat nota kaki bagi 1Ra 15:12.
Proses memisahkan buah daripada tangkai.
Atau “menolak; menanduk.”