PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 42 1A-2453
  • Lukas

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Lukas
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Lukas

BERITA BAIK YANG DISAMPAIKAN OLEH LUKAS

1 Tuan Teofilus yang terhormat, ramai orang telah berusaha untuk mengumpulkan dan menuliskan maklumat mengenai hal-hal yang kita percayai dengan sepenuh hati.+ 2 Catatan mereka selaras dengan keterangan daripada orang yang menyaksikan hal-hal itu dari mula lagi,+ dan selaras dengan keterangan daripada mereka yang mengkhabarkan firman Tuhan.+ 3 Tuan Teofilus yang terhormat,+ aku juga telah menyelidiki semua hal itu dari permulaannya dengan cermat. Maka aku berazam untuk menuliskan semua maklumat yang tepat itu mengikut urutannya kepada tuan, 4 supaya tuan mengetahui bahawa ajaran-ajaran yang tuan dengar sesungguhnya benar.+

5 Pada zaman Herodes,*+ raja Yudea, terdapat seorang imam bernama Zakharia yang berkhidmat dalam kumpulan Abia.*+ Isterinya Elisabet berasal daripada keluarga Harun. 6 Mereka berdua melakukan apa yang benar di mata Tuhan. Kehidupan mereka murni dan sejajar dengan semua perintah dan hukum Yehuwa.* 7 Namun, mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan mereka berdua sudah lanjut usia.

8 Semasa giliran kumpulan Zakharia untuk berkhidmat sebagai imam+ di hadapan Tuhan tiba, 9 Zakharia telah dipilih mengikut adat istiadat para imam untuk masuk ke dalam Rumah Yehuwa*+ dan mempersembahkan kemenyan.+ 10 Orang ramai sedang berdoa di luar semasa kemenyan dipersembahkan. 11 Ketika itu, malaikat Yehuwa* menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah yang digunakan untuk membakar kemenyan. 12 Zakharia berasa gelisah dan diselubungi rasa takut semasa melihat malaikat itu. 13 Namun malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Zakharia. Rayuanmu sudah didengar oleh Tuhan, dan isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah kamu menamakannya Yohanes.+ 14 Kamu akan bergembira dan sangat bersukacita. Ramai orang akan berasa senang hati atas kelahirannya,+ 15 kerana dia akan menjadi orang yang penting dalam pandangan Yehuwa.*+ Namun, dia sama sekali tidak boleh minum wain atau minuman keras.+ Dia akan dipenuhi kuasa suci Tuhan* bahkan sebelum dia dilahirkan.*+ 16 Dia akan menyebabkan ramai orang Israel kembali kepada Yehuwa,* Tuhan mereka.+ 17 Dia juga akan berjalan di hadapan-Nya dengan semangat dan kuasa seperti Elia.+ Dia akan mengubah hati bapa menjadi seperti hati anak*+ dan mengubah orang yang derhaka agar mereka menerima kebijaksanaan orang yang melakukan apa yang benar. Dengan ini, dia akan mengumpulkan suatu umat yang sudah bersiap sedia untuk Yehuwa.”*+

18 Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah aku dapat mempercayai hal ini? Aku sudah tua, dan isteriku pun sudah lanjut usia.” 19 Malaikat itu menjawab, “Aku ialah Gabriel,+ yang sentiasa berada di hadirat Tuhan.+ Aku telah diutus untuk mengisytiharkan berita baik ini kepadamu. 20 Kata-kataku akan menjadi kenyataan pada masa yang ditentukan. Namun, memandangkan kamu tidak mempercayai kata-kataku, kamu akan menjadi bisu. Kamu tidak dapat bersuara sehingga perkara-perkara ini berlaku.” 21 Sementara itu, orang ramai sedang menunggu Zakharia di luar. Mereka berasa hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan. 22 Semasa dia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Maka mereka membuat kesimpulan bahawa dia baru sahaja nampak sesuatu yang luar biasa* di dalam Rumah Tuhan. Memandangkan dia tidak dapat bersuara, dia asyik memberikan isyarat kepada mereka dengan tangannya. 23 Apabila tempoh masa untuk khidmat sucinya berakhir, dia pun pulang ke rumahnya.

24 Beberapa lama kemudian, isterinya Elisabet mengandung. Oleh itu, Elisabet tidak keluar dari rumah selama lima bulan. Dia berkata, 25 “Sekarang, Yehuwa* telah memperhatikan aku. Dia melakukan perkara ini untukku supaya aku tidak lagi berasa terhina di hadapan orang.”+

26 Semasa dia mengandung enam bulan, Tuhan telah mengutus malaikat Gabriel+ ke sebuah kota di Galilea yang bernama Nasaret 27 untuk menemui seorang anak dara+ yang bernama Maria. Dia sudah bertunang dengan seorang lelaki daripada keturunan Daud yang bernama Yusuf.+ 28 Malaikat itu masuk ke dalam rumahnya lalu berkata, “Salam sejahtera, hai kamu yang sangat diperkenankan Tuhan. Yehuwa* menyertaimu.” 29 Maria berasa tidak tenteram ketika mendengar kata-katanya dan tertanya-tanya maksud salam itu. 30 Malaikat itu pun berkata kepadanya, “Janganlah takut, Maria. Tuhan berkenan kepadamu. 31 Kamu akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki.+ Kamu harus menamakannya Yesus.+ 32 Dia akan menjadi agung+ dan digelar Anak Tuhan Yang Maha Tinggi.+ Tuhan Yehuwa* akan memberinya takhta Daud, nenek moyangnya.+ 33 Dia akan memerintah sebagai Raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya, dan Kerajaannya tidak akan berkesudahan.”+

34 Tetapi Maria berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah hal ini boleh berlaku? Aku masih dara.”+ 35 Malaikat itu menjawab, “Kuasa suci Tuhan akan datang ke atasmu,+ dan kekuatan daripada Tuhan Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Itulah sebabnya anak yang bakal dilahirkan itu akan disebut suci,+ Anak Tuhan.+ 36 Lihatlah Elisabet, salah seorang sanak saudaramu! Walaupun dia sudah tua dan dikatakan mandul, dia sudah mengandung enam bulan. 37 Semua yang diisytiharkan oleh Tuhan pasti terjadi.”*+ 38 Kemudian Maria berkata, “Aku hamba perempuan Yehuwa!* Semoga apa yang kamu isytiharkan berlaku atas diriku.” Malaikat itu pun meninggalkan Maria.

39 Pada masa itu juga, Maria berangkat dan bergegas ke sebuah kota di Yehuda yang terletak di kawasan pergunungan. 40 Dia masuk ke dalam rumah Zakharia dan memberikan salam kepada Elisabet. 41 Sebaik sahaja Elisabet mendengar salam Maria, anak di dalam rahimnya melonjak. Elisabet dipenuhi kuasa suci Tuhan 42 dan berseru dengan suara lantang, “Diberkatilah kamu antara semua wanita, dan diberkatilah anak di dalam rahimmu! 43 Alangkah besarnya penghormatanku kerana ibu Tuanku telah datang untuk melawatku! 44 Lihatlah! Sebaik sahaja salammu sampai ke telingaku, anak di dalam rahimku melonjak dengan riang. 45 Berbahagialah wanita yang percaya, kerana semua yang difirmankan oleh Yehuwa* kepadanya akan terjadi.”

46 Kemudian Maria berkata, “Jiwaku menyanjung tinggi Yehuwa,*+ 47 dan hatiku berlimpah-limpah dengan rasa sukacita kerana Tuhan, Penyelamatku.+ 48 Dia sudah memperhatikan keadaan hamba perempuan-Nya yang hina.+ Lihatlah! Mulai sekarang, semua generasi akan mengatakan bahawa aku berbahagia,+ 49 kerana Tuhan yang berkuasa telah melakukan perkara yang menakjubkan bagiku. Nama-Nya suci,+ 50 dan dari generasi ke generasi, orang yang takut kepada-Nya akan menerima belas kasihan-Nya.+ 51 Dia telah bertindak dengan tangan-Nya yang perkasa; Dia menyelerakkan mereka yang mempunyai hati yang angkuh.+ 52 Dia menurunkan orang yang berkuasa dari takhta,+ dan Dia meninggikan orang yang hina;+ 53 Dia memuaskan orang yang lapar dengan apa yang baik,+ dan Dia mengusir orang kaya agar mereka pergi dengan tangan kosong. 54 Dia membantu Israel, hamba-Nya, untuk menunjukkan bahawa Dia ingat akan janji-Nya untuk berbelas kasihan+ 55 kepada Abraham dan keturunannya+ buat selama-lamanya. Itulah yang difirmankan oleh-Nya kepada nenek moyang kita.” 56 Maria tinggal bersama Elisabet kira-kira tiga bulan. Selepas itu dia pulang ke rumahnya.

57 Apabila tiba masanya untuk Elisabet bersalin, dia melahirkan seorang anak lelaki. 58 Jiran dan saudara-maranya bersukacita bersamanya kerana mereka mendengar bahawa Yehuwa* telah melimpahi Elisabet dengan belas kasihan-Nya.+ 59 Pada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunat anak kecil itu.+ Mereka ingin menamakan anak itu Zakharia, menurut nama bapanya. 60 Tetapi ibu bayi itu berkata, “Tidak! Dia akan dinamakan Yohanes.” 61 Mereka berkata, “Tiada seorang pun dalam kalangan saudara-maramu yang mempunyai nama ini.” 62 Kemudian mereka menggunakan isyarat tangan untuk bertanya kepada bapa bayi itu nama yang hendak diberikan kepada anaknya. 63 Dia meminta sekeping papan lalu menulis, “Namanya Yohanes.”+ Mereka semua berasa kagum. 64 Pada detik itu juga, Zakharia dapat bertutur semula.* Dia mula bersuara+ dan memuji Tuhan. 65 Semua jiran mereka berasa takut, dan semua perkara itu menjadi buah mulut di seluruh kawasan pergunungan Yudea. 66 Semua orang yang mendengarnya menyimpan hal itu dalam hati mereka dan berkata, “Selepas anak ini membesar, apakah yang akan dilakukan olehnya?” Hal ini demikian kerana kuasa Yehuwa* sememangnya menyertai anak itu.

67 Kemudian, Zakharia, iaitu bapa kepada anak itu, dipenuhi kuasa suci Tuhan lalu menyatakan nubuat ini, 68 “Terpujilah Yehuwa,* Tuhan Israel,+ kerana Dia berbelas kasihan terhadap umat-Nya dan menyelamatkan mereka.+ 69 Dia telah membangkitkan seorang penyelamat yang perkasa*+ daripada keturunan Daud, hamba-Nya,+ 70 tepat seperti yang difirmankan-Nya menerusi mulut nabi-nabi suci dahulukala,+ 71 untuk menyelamatkan kita daripada musuh dan daripada tangan semua orang yang membenci kita,+ 72 untuk menunjukkan belas kasihan-Nya demi nenek moyang kita, dan untuk mengingati perjanjian-Nya yang suci,+ 73 iaitu sumpah-Nya kepada Abraham, nenek moyang kita.+ 74 Selepas Dia menyelamatkan kita daripada tangan musuh, Dia akan memberi kita penghormatan untuk menjalankan khidmat suci kepada-Nya tanpa rasa gentar, 75 supaya kita tetap setia dan melakukan apa yang benar di mata-Nya sepanjang hayat kita. 76 Tetapi mengenaimu, hai anakku, kamu akan dipanggil nabi Tuhan Yang Maha Tinggi. Kamu akan berjalan di hadapan Yehuwa* untuk menyediakan jalan bagi-Nya.+ 77 Kamu akan memberi umat Tuhan pengetahuan bahawa Dia akan menyelamatkan mereka dengan mengampunkan dosa mereka,+ 78 kerana Tuhan kita sangat berbelas kasihan. Kerana belas kasihan ini, kita akan melihat cahaya dari syurga, yang bagaikan cahaya semasa fajar menyingsing. 79 Cahaya itu akan menerangi orang yang tinggal dalam kegelapan dan bayangan maut,+ dan membimbing kita agar kita berjalan mengikut haluan yang damai.”

80 Anak itu semakin membesar dan kerohaniannya menjadi semakin teguh. Dia terus hidup di padang gurun sehingga tibanya masa dia menyampaikan perkhabaran Tuhan kepada orang Israel.

2 Pada masa itu, Kaisar* Agustus mengeluarkan perintah kepada semua penduduk bumi untuk mendaftarkan diri. 2 (Kirenius ialah gabenor Siria semasa pendaftaran pertama ini dijalankan.) 3 Maka, semua orang pergi ke kota masing-masing untuk mendaftarkan diri. 4 Yusuf+ juga berangkat dari kota Nasaret di Galilea lalu pergi ke Yudea. Memandangkan dia berasal daripada keturunan Daud, dia pergi ke kota Daud yang disebut Betlehem.+ 5 Dia mendaftarkan diri bersama-sama isterinya Maria,+ yang pada masa itu hampir bersalin.+ 6 Semasa mereka di situ, genaplah masanya bagi Maria untuk bersalin. 7 Dia melahirkan seorang anak lelaki, anaknya yang sulung.+ Dia membalutnya dengan kain dan meletakkannya di dalam palung+ kerana mereka tidak mendapat tempat untuk menginap.

8 Pada malam itu, di kawasan yang sama, para gembala berada di padang terbuka untuk menjaga kawanan biri-biri mereka. 9 Tiba-tiba, malaikat Yehuwa* berdiri di hadapan mereka dan kemuliaan Yehuwa* memancar di sekeliling mereka. Mereka menjadi sangat takut, 10 tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut! Aku datang untuk mengisytiharkan berita baik yang akan membawa sukacita yang besar kepada semua orang. 11 Hari ini, seorang Penyelamat,+ iaitu Tuan Kristus,+ telah dilahirkan di kota Daud.+ 12 Inilah tandanya bagi kamu: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibalut dengan kain dan sedang berbaring di dalam palung.” 13 Tiba-tiba, sepasukan besar malaikat* menyertai malaikat itu.+ Mereka memuji-muji Tuhan dan berkata, 14 “Semoga Tuhan yang di syurga dimuliakan, dan semoga orang di bumi yang diperkenankan-Nya mendapat kedamaian.”

15 Setelah para malaikat beredar dari sana dan kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata kepada satu sama lain, “Mari kita pergi ke Betlehem sekarang dan melihat perkara yang telah berlaku ini, yang sudah disingkapkan oleh Yehuwa* kepada kita.” 16 Mereka segera pergi lalu menemui Maria, Yusuf, dan bayi yang sedang berbaring di dalam palung. 17 Semasa mereka melihat bayi itu, mereka memberitahu orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi tersebut. 18 Semua orang yang mendengar apa yang dikatakan oleh para gembala berasa sangat hairan, 19 tetapi Maria menyimpan semua yang dikatakan itu dalam hatinya dan merenungkan ertinya.+ 20 Kemudian, semua gembala itu pulang sambil memuliakan dan memuji Tuhan, kerana segala yang telah didengari dan dilihat oleh mereka, tepat seperti yang dikatakan kepada mereka.

21 Apabila anak itu berumur lapan hari, tibalah masanya dia disunat.+ Dia dinamakan Yesus, iaitu nama yang diberikan oleh malaikat itu sebelum Maria menjadi hamil.+

22 Kemudian, tibalah masanya untuk mereka menjalankan upacara penyucian menurut Hukum Musa.+ Oleh itu, mereka membawa anak itu ke Yerusalem untuk menghadapkannya kepada Yehuwa,* 23 selaras dengan apa yang tertulis dalam Hukum Yehuwa:* “Setiap anak lelaki sulung mesti dikhususkan* untuk Yehuwa.”*+ 24 Mereka juga mempersembahkan korban menurut Hukum Yehuwa* yang menyatakan: “Kamu harus mempersembahkan sepasang burung tekukur atau dua ekor burung merpati yang muda.”+

25 Pada masa itu, ada seorang lelaki di Yerusalem yang bernama Simeon. Dia seorang yang takut akan Tuhan dan melakukan apa yang benar. Dia menantikan masanya Tuhan melegakan hati umat Israel.+ Kuasa suci Tuhan ada padanya, 26 dan melalui kuasa suci itu, Simeon diberitahu bahawa dia tidak akan meninggal sebelum dia melihat Kristus yang diutus oleh Yehuwa.* 27 Di bawah pimpinan kuasa suci Tuhan, dia masuk ke dalam Rumah Tuhan. Pada masa itu, Yusuf dan Maria membawa Yesus yang masih kecil ke situ untuk melakukan apa yang dituntut oleh Hukum.+ 28 Simeon mendukung anak itu sambil memuji Tuhan, 29 “Tuhan Yang Berdaulat, sekarang hamba-Mu dapat mati dengan tenteram.+ Seperti yang Engkau firmankan, 30 mataku sudah melihat Penyelamat+ yang datang daripada-Mu, 31 yang telah Engkau sediakan di hadapan semua orang.+ 32 Dialah cahaya+ yang akan menyingkirkan selubung bangsa-bangsa+ dan membawa kemuliaan kepada umat-Mu Israel.” 33 Ibu bapa anak itu hairan mendengar apa yang dikatakan oleh Simeon tentang anak itu. 34 Simeon juga memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Lihatlah! Disebabkan anak ini, ada orang di Israel yang akan jatuh+ dan ada yang akan bangkit.+ Walaupun Tuhan memberi mereka tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Tuhan menyertainya, banyak orang akan menghinanya.+ 35 Disebabkan dia, fikiran dan isi hati ramai orang akan didedahkan. Tetapi bagimu, kamu akan merintih kesedihan seolah-olah hatimu ditembusi sebilah pedang yang panjang.”+

36 Terdapat seorang nabi wanita yang lanjut usia, yang bernama Hana. Dia merupakan anak Fanuel dan berasal daripada suku Asyer. Selepas berkahwin, dia telah hidup bersama suaminya selama tujuh tahun 37 sebelum menjadi balu. Kini dia berumur 84 tahun dan dia sentiasa hadir di Rumah Tuhan. Dia berpuasa, berdoa dengan bersungguh-sungguh, dan menjalankan khidmat suci siang dan malam. 38 Semasa Yusuf dan Maria berada di dalam Rumah Tuhan, dia datang kepada mereka dan mula mengucapkan syukur kepada Tuhan. Dia bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Yerusalem dibebaskan.+

39 Selepas ibu bapa Yesus melaksanakan segala yang diperintahkan dalam Hukum Yehuwa,*+ mereka pulang ke kampung halaman mereka di Galilea, iaitu Nasaret.+ 40 Anak kecil itu bertambah besar dan kuat. Dia dipenuhi kebijaksanaan dan sentiasa mendapat perkenan Tuhan.+

41 Sudah menjadi kebiasaan ibu bapa Yesus untuk pergi ke Yerusalem setiap tahun bagi menyambut Perayaan Paska.*+ 42 Ketika Yesus berumur 12 tahun, mereka pergi ke perayaan itu seperti biasa.+ 43 Sehabis perayaan itu, mereka pun bertolak untuk pulang. Tetapi ibu bapa Yesus tidak sedar bahawa Yesus masih berada di Yerusalem. 44 Mereka menyangka bahawa dia sedang mengikut orang ramai yang berjalan bersama mereka. Setelah berjalan sehari suntuk, barulah mereka mencari-cari dia antara sanak saudara dan kenalan mereka. 45 Tetapi memandangkan mereka tidak menjumpainya, mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari dia dengan teliti. 46 Selepas tiga hari, mereka menjumpainya di dalam Rumah Tuhan. Dia sedang duduk bersama guru-guru agama sambil mendengar dan mengajukan soalan kepada mereka. 47 Semua orang yang mendengarnya kagum dengan daya pemahaman dan jawapannya.+ 48 Semasa ibu bapa Yesus melihatnya, mereka berasa hairan. Ibunya berkata, “Nak, mengapakah kamu berbuat seperti ini terhadap kami? Cemas hati emak dan ayah mencarimu.” 49 Tetapi Yesus menjawab, “Mengapakah emak dan ayah mencari saya? Tidakkah emak dan ayah tahu bahawa saya pasti berada di rumah Bapaku?”+ 50 Tetapi mereka tidak memahami kata-katanya.

51 Setelah itu, Yesus pulang bersama mereka ke Nasaret dan dia terus taat kepada mereka.+ Ibunya menyimpan semua perkara ini dalam hatinya.+ 52 Yesus kian membesar dan kebijaksanaannya kian bertambah. Dia semakin disenangi oleh Tuhan dan manusia.

3 Pada tahun ke-15 pemerintahan Kaisar Tiberius, ketika Pontius Pilatus ialah gabenor Yudea, Herodes*+ ialah pemerintah daerah Galilea, dan abangnya Filipus ialah pemerintah daerah Iturea dan Trakhonitis, dan Lisanias ialah pemerintah daerah Abilene, 2 semasa Hanas dan Kayafas+ menjadi ketua imam, Tuhan telah berfirman kepada Yohanes+ anak Zakharia yang berada di padang belantara.+

3 Maka dia pergi ke seluruh kawasan di sekitar Sungai Yordan untuk menyebarkan berita bahawa orang perlu dibaptis sebagai lambang mereka sudah bertaubat. Dengan ini dosa mereka akan diampunkan.+ 4 Hal inilah yang tertulis dalam kitab Nabi Yesaya: “Seseorang sedang berseru di padang belantara, ‘Hendaklah kamu menyediakan jalan bagi Yehuwa!* Luruskanlah jalan bagi-Nya.+ 5 Setiap lembah mesti ditimbus, setiap gunung dan bukit mesti diratakan, jalan yang berliku-liku mesti diluruskan, dan tempat yang berlekuk-lekak mesti diratakan. 6 Lalu semua orang akan melihat bagaimana Tuhan membawa penyelamatan.’”+

7 Kemudian, Yohanes berkata kepada orang ramai yang datang untuk dibaptis olehnya, “Kamu keturunan ular berbisa. Siapakah yang memberikan amaran kepada kamu untuk melarikan diri daripada kemurkaan Tuhan yang akan datang?+ 8 Oleh itu, tunjukkanlah melalui perbuatan kamu bahawa kamu sudah bertaubat. Janganlah berkata kepada dirimu, ‘Abraham ialah bapa kami.’ Ketahuilah bahawa Tuhan mampu memberi Abraham keturunan daripada batu-batu ini. 9 Sesungguhnya kapak sudah diletakkan di pangkal pokok. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang lalu dibuang ke dalam api.”+

10 Oleh itu, orang ramai bertanya kepadanya, “Jika begitu, apakah yang harus kami lakukan?” 11 Dia berkata kepada mereka, “Hendaklah orang yang mempunyai dua helai pakaian memberikan sehelai kepada orang yang tidak mempunyai pakaian, dan hendaklah orang yang mempunyai makanan mengongsi makanannya.”+ 12 Bahkan pemungut cukai pun datang kepadanya untuk dibaptis.+ Mereka bertanya kepadanya, “Guru, apakah yang harus kami lakukan?” 13 Dia berkata kepada mereka, “Janganlah menuntut lebih daripada kadar cukai.”+ 14 Askar-askar juga bertanya kepadanya, “Apakah yang harus kami lakukan?” Dia berkata kepada mereka, “Janganlah memeras duit sesiapa pun atau melontarkan tuduhan palsu terhadap sesiapa pun.+ Hendaklah kamu berpuas hati dengan upah kamu.”

15 Oleh sebab orang ramai pada masa itu sedang menantikan Kristus, mereka semua tertanya-tanya dalam hati tentang Yohanes, “Mungkinkah dia ini Kristus?”+ 16 Maka Yohanes berkata kepada semua orang, “Aku membaptis kamu dengan air, tetapi dia yang datang selepas aku lebih berkuasa daripada aku, dan aku tidak layak untuk membuka tali kasutnya.+ Dia akan membaptis kamu dengan kuasa suci Tuhan dan api.+ 17 Tangannya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan membersihkan tempat mengirik* gandum dan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat dipadamkan.”

18 Yohanes juga memberikan banyak nasihat lain dan terus mengisytiharkan berita baik kepada orang ramai. 19 Tetapi Yohanes menegur pemerintah daerah yang bernama Herodes, kerana Herodes mengahwini Herodias, isteri abang Herodes sendiri, dan kerana Herodes melakukan banyak kejahatan. 20 Kemudian, Herodes melakukan satu lagi perbuatan jahat: Dia mengurung Yohanes di dalam penjara.+

21 Semasa semua orang dibaptis, Yesus juga dibaptis.+ Ketika dia sedang berdoa, langit terbuka,+ 22 dan kuasa suci Tuhan yang kelihatan seperti burung merpati turun ke atasnya. Kemudian kedengaran suara dari langit yang berkata, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadamu.”+

23 Yesus+ berumur kira-kira 30 tahun+ semasa dia memulakan kerja penyebarannya. Menurut pandangan orang ramai,

dia ialah anak Yusuf;+

Yusuf ialah anak Heli;

24 Heli ialah anak Matat;

Matat ialah anak Lewi;

Lewi ialah anak Malkhi;

Malkhi ialah anak Yanai;

Yanai ialah anak Yusuf;

25 Yusuf ialah anak Matatias;

Matatias ialah anak Amos;

Amos ialah anak Nahum;

Nahum ialah anak Hesli;

Hesli ialah anak Nagai;

26 Nagai ialah anak Maat;

Maat ialah anak Matatias;

Matatias ialah anak Simei;

Simei ialah anak Yosekh;

Yosekh ialah anak Yoda;

27 Yoda ialah anak Yohanan;

Yohanan ialah anak Resa;

Resa ialah anak Zerubabel;+

Zerubabel ialah anak Sealtiel;+

Sealtiel ialah anak Neri;

28 Neri ialah anak Malkhi;

Malkhi ialah anak Adi;

Adi ialah anak Kosam;

Kosam ialah anak Elmadam;

Elmadam ialah anak Er;

29 Er ialah anak Yesus;

Yesus ialah anak Eliezer;

Eliezer ialah anak Yorim;

Yorim ialah anak Matat;

Matat ialah anak Lewi;

30 Lewi ialah anak Simeon;

Simeon ialah anak Yudas;

Yudas ialah anak Yusuf;

Yusuf ialah anak Yonam;

Yonam ialah anak Elyakim;

31 Elyakim ialah anak Melea;

Melea ialah anak Mina;

Mina ialah anak Matata;

Matata ialah anak Natan;+

Natan ialah anak Daud;+

32 Daud ialah anak Isai;+

Isai ialah anak Obed;+

Obed ialah anak Boaz;+

Boaz ialah anak Salmon;+

Salmon ialah anak Nahason;+

33 Nahason ialah anak Aminadab;

Aminadab ialah anak Arni;

Arni ialah anak Hezron;

Hezron ialah anak Perez;+

Perez ialah anak Yehuda;+

34 Yehuda ialah anak Yakub;+

Yakub ialah anak Ishak;+

Ishak ialah anak Abraham;+

Abraham ialah anak Terah;+

Terah ialah anak Nahor;+

35 Nahor ialah anak Serug;+

Serug ialah anak Rehu;+

Rehu ialah anak Peleg;+

Peleg ialah anak Eber;+

Eber ialah anak Selah;+

36 Selah ialah anak Kenan;

Kenan ialah anak Arpakhsad;+

Arpakhsad ialah anak Sem;+

Sem ialah anak Nuh;+

Nuh ialah anak Lamekh;+

37 Lamekh ialah anak Metuselah;+

Metuselah ialah anak Henokh;

Henokh ialah anak Yared;+

Yared ialah anak Mahalaleel;+

Mahalaleel ialah anak Kenan;+

38 Kenan ialah anak Enos;+

Enos ialah anak Set;+

Set ialah anak Adam;+

Adam ialah anak Tuhan.

4 Selepas itu, Yesus yang dipenuhi dengan kuasa suci Tuhan bertolak dari Sungai Yordan. Dia dipimpin oleh kuasa suci itu ke padang belantara+ 2 dan di sana, Iblis menggodanya.+ Sepanjang 40 hari di situ, dia tidak makan apa-apa. Jadi selepas tempoh itu berakhir, dia berasa lapar. 3 Maka Iblis berkata kepadanya, “Jika kamu anak Tuhan, suruhlah batu ini menjadi roti.” 4 Tetapi Yesus menjawab, “Ada tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.’”+

5 Kemudian dalam sekelip mata, Iblis membawanya ke atas sebuah gunung dan menunjukkan kepadanya semua kerajaan di bumi.+ 6 Iblis berkata kepadanya, “Semua kuasa dan kemuliaan daripada kerajaan-kerajaan ini akan aku berikan kepadamu, kerana semua ini telah diberikan kepada aku+ dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka. 7 Semua ini akan menjadi milik kamu jika kamu menyembah aku.”* 8 Yesus menjawab, “Ada tertulis, ‘Kamu mesti menyembah Yehuwa,* Tuhanmu, dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.’”+

9 Kemudian Iblis membawa dia ke Yerusalem lalu menempatkannya di puncak tembok* Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, “Jika kamu anak Tuhan, terjunlah ke bawah,+ 10 kerana ada tertulis, ‘Dia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk melindungimu,’ 11 dan, ‘Mereka akan menyambut kamu dengan tangan mereka supaya kakimu tidak terhantuk pada batu.’”+ 12 Yesus menjawab, “Ada tertulis, ‘Jangan menguji Yehuwa,* Tuhan kamu.’”+ 13 Selepas Iblis selesai menggoda Yesus, dia meninggalkan Yesus dan menantikan kesempatan yang lain.+

14 Setelah itu, Yesus dipenuhi kuasa suci Tuhan dan dia kembali ke Galilea.+ Laporan yang baik tentang Yesus tersebar ke kawasan di sekitar daerah itu. 15 Dia juga mula mengajar di rumah-rumah ibadat dan semua orang memuji-mujinya.

16 Kemudian dia pergi ke Nasaret,+ tempat dia dibesarkan. Seperti yang dilakukannya pada setiap hari Sabat, dia pergi ke rumah ibadat.+ Apabila dia berdiri untuk membaca Ayat-Ayat Suci, 17 gulungan Nabi Yesaya diserahkan kepadanya. Dia membuka gulungan itu dan mencari ayat yang berikut: 18 “Kuasa suci Yehuwa* ada padaku kerana Dialah yang mengurapi aku untuk mengisytiharkan berita baik kepada orang miskin; Dia mengutus aku untuk mengumumkan kepada orang yang ditawan bahawa mereka akan dibebaskan, dan mengumumkan kepada orang buta bahawa penglihatan mereka akan dipulihkan. Dia juga mengutus aku untuk membebaskan orang yang tertindas,+ 19 dan mengisytiharkan tahun yang diperkenankan Yehuwa.”*+ 20 Kemudian, dia menggulung gulungan itu, mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk. Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepadanya. 21 Kemudian dia berkata kepada mereka, “Pada hari ini, ayat yang baru kamu dengar tadi sudah menjadi kenyataan.”+

22 Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus menawan hati pendengarnya. Mereka semua berasa kagum dan tergerak untuk memuji-mujinya.+ Mereka berkata, “Bukankah dia anak Yusuf?”+ 23 Maka dia berkata, “Tentu kamu semua akan menujukan kata-kata ini kepadaku: ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri. Kami mendengar tentang hal-hal yang kamu lakukan di Kapernaum. Lakukanlah hal itu di kampung halamanmu juga.’”+ 24 Dia juga berkata, “Ketahuilah, seorang nabi tidak pernah diterima di kampung halamannya sendiri.+ 25 Contohnya: Pada zaman Elia, hujan tidak turun selama tiga tahun enam bulan, dan kebuluran yang dahsyat berlaku di seluruh negeri itu. Walaupun ada banyak balu di Israel,+ 26 Elia tidak diutus untuk pergi kepada mana-mana wanita di situ. Sebaliknya dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat, yang terletak di tanah Sidon.+ 27 Demikian juga, ada banyak pesakit kusta di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu.”+ 28 Semua orang di rumah ibadat yang mendengar hal itu menjadi sangat marah.+ 29 Mereka bangkit lalu segera menghalau Yesus ke luar kota. Mereka membawanya ke tebing gunung tempat kota mereka dibina dan mahu menolaknya ke bawah. 30 Tetapi Yesus berjalan di antara mereka dan meneruskan perjalanannya.+

31 Kemudian dia pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea dan mengajar orang di situ pada hari Sabat.+ 32 Mereka sangat kagum dengan cara dia mengajar+ kerana dia bercakap dengan penuh kewibawaan. 33 Di rumah ibadat itu ada seorang lelaki yang dirasuk roh jahat. Dia berteriak dengan kuat,+ 34 “Apa kena-mengena kami denganmu, hai Yesus orang Nasaret?+ Adakah kamu datang untuk membinasakan kami? Aku tahu siapa kamu. Kamu Hamba Suci Tuhan.”+ 35 Yesus menegur roh jahat itu dan berkata, “Diamlah dan keluarlah daripada lelaki ini!” Selepas menghempaskan lelaki itu di tengah-tengah mereka, roh itu keluar tanpa mencederakannya. 36 Semua orang di situ hairan dan mula berbincang sesama sendiri. Mereka berkata, “Kata-katanya sungguh berwibawa dan berkuasa! Roh-roh jahat pun keluar atas perintahnya.” 37 Maka berita tentang Yesus tersebar ke seluruh pelosok daerah itu.

38 Selepas meninggalkan rumah ibadat, dia masuk ke dalam rumah Simon. Pada masa itu, ibu mentua Simon menderita kerana demam panas, maka mereka meminta Yesus membantu dia.+ 39 Yesus berdiri di sisinya lalu menyembuhkan demamnya. Dengan serta-merta, dia berdiri dan mula melayani mereka.

40 Semasa matahari terbenam, semua orang sakit dibawa kepada Yesus. Dengan meletakkan tangannya ke atas setiap orang, dia telah menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.+ 41 Roh-roh jahat juga keluar daripada banyak orang sambil berseru, “Kamu Anak Tuhan.”+ Tetapi Yesus menegur roh-roh jahat itu dan tidak mengizinkan mereka untuk mengatakan apa-apa,+ kerana mereka tahu bahawa dia ialah Kristus.+

42 Semasa matahari terbit, dia beredar dan pergi ke suatu tempat yang sunyi.+ Jadi orang ramai mula mencari-cari dia. Selepas mereka menemuinya, mereka mencuba menghalangnya daripada meninggalkan mereka. 43 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana untuk tugas itulah aku diutus.”+ 44 Jadi dia pergi menyebarkan berita baik di dalam rumah-rumah ibadat di Yudea.

5 Pernah sekali, semasa Yesus sedang berdiri di tepi Tasik Genesaret,*+ orang ramai berasak-asak mengerumuninya untuk mendengar firman Tuhan. 2 Dia nampak dua buah perahu di tepi tasik, tetapi nelayan sudah keluar dari perahu dan sedang mencuci jala mereka.+ 3 Dia menaiki salah sebuah perahu, iaitu perahu Simon, dan menyuruh Simon untuk mendayung perahu itu jauh sedikit dari darat. Kemudian, dia duduk di dalam perahu lalu mula mengajar orang ramai. 4 Setelah Yesus selesai bercakap, dia berkata kepada Simon, “Dayunglah perahu ke tempat yang dalam, dan labuhkanlah jala kamu untuk menangkap ikan.” 5 Simon menjawab, “Guru, kami bekerja keras sepanjang malam tetapi tidak dapat menangkap apa-apa pun.+ Namun, aku akan melabuhkan jala seperti yang Guru suruh.” 6 Apabila mereka berbuat demikian, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala itu mula koyak.+ 7 Jadi mereka meminta rakan-rakan yang berada di dalam sebuah perahu yang lain untuk datang membantu mereka. Kedua-dua perahu mereka diisi penuh dengan ikan sehingga perahu mereka mula tenggelam. 8 Apabila Simon Petrus melihat apa yang berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus lalu berkata, “Tinggalkanlah aku, Tuan, kerana aku orang yang berdosa.” 9 Oleh sebab mereka menangkap begitu banyak ikan, Simon dan orang yang bersamanya berasa sangat kagum, 10 begitu juga dengan Yakobus dan Yohanes, iaitu dua orang anak Zebedeus+ yang merupakan rakan sekerja Simon. Tetapi Yesus berkata kepada Simon, “Janganlah takut. Mulai sekarang kamu akan menjala orang yang hidup.”+ 11 Jadi, mereka membawa perahu ke darat dan meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Yesus.+

12 Pada suatu masa yang lain, dia berada di sebuah kota. Di situ ada seorang lelaki yang seluruh tubuhnya dijangkiti penyakit kusta. Apabila lelaki itu nampak Yesus, dia sujud kepadanya dan merayu, “Tuan, jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku.”+ 13 Yesus menghulurkan tangannya lalu menyentuh lelaki itu sambil berkata, “Aku rela. Sembuhlah!” Dengan serta-merta penyakit kustanya hilang.+ 14 Kemudian Yesus melarang lelaki itu memberitahu sesiapa pun tentang hal tersebut. Dia juga berkata, “Pergilah berjumpa dengan imam, dan persembahkanlah korban mengikut arahan dalam Hukum Musa+ untuk membuktikan kepada para imam bahawa kamu sudah sembuh.”+ 15 Namun berita tentang Yesus semakin tersebar. Banyak orang berkumpul untuk mendengarnya dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka.+ 16 Tetapi dia sering pergi ke tempat yang sunyi untuk berdoa.

17 Pada suatu hari, semasa Yesus sedang mengajar, terdapat orang Farisi dan guru-guru Hukum yang sedang duduk di situ. Mereka datang dari Yerusalem dan semua pekan di Galilea dan Yudea. Kuasa Yehuwa* ada padanya supaya dia dapat menyembuhkan orang.+ 18 Ketika itu, beberapa orang datang sambil mengusung seorang lelaki yang lumpuh. Mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah dan meletakkannya di hadapan Yesus.+ 19 Namun, mereka tidak dapat membawa lelaki itu kepada Yesus kerana terdapat ramai orang di situ. Jadi mereka naik ke atas bumbung lalu menurunkan lelaki itu dengan usungannya di hadapan Yesus. 20 Apabila Yesus melihat iman mereka, dia berkata kepada lelaki itu, “Dosamu sudah diampunkan.”+ 21 Kemudian para jurutulis hukum dan orang Farisi mula berbincang sesama sendiri, “Siapakah orang ini yang menghina Tuhan? Tiada seorang pun yang boleh mengampunkan dosa kecuali Tuhan.”+ 22 Yesus tahu apa yang sedang difikirkan mereka. Maka dia berkata, “Mengapakah kamu memikirkan hal-hal sedemikian? 23 Manakah yang lebih mudah untuk dikatakan: ‘Dosamu sudah diampunkan,’ atau, ‘Bangunlah dan berjalanlah’? 24 Namun, untuk membuktikan kepada kamu bahawa Anak Manusia mempunyai kuasa untuk mengampunkan dosa di bumi—” dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu: Bangunlah! Angkatlah usunganmu dan pulanglah.”+ 25 Dengan segera lelaki itu bangun di hadapan mereka, mengangkat usungannya, dan pulang ke rumahnya sambil memuliakan Tuhan. 26 Semua orang di situ berasa sangat kagum dan mula memuliakan Tuhan. Mereka berasa takjub lalu berkata, “Sungguh mengagumkan perkara yang kita saksikan hari ini!”

27 Selepas itu, Yesus keluar dan nampak seorang pemungut cukai yang bernama Lewi, yang sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Jadilah pengikutku.”+ 28 Lewi pun berdiri, meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut Yesus. 29 Kemudian Lewi mengadakan jamuan yang besar untuk Yesus di rumahnya. Ramai pemungut cukai dan orang lain makan* bersama mereka.+ 30 Maka orang Farisi dan jurutulis hukum daripada golongan mereka mula merungut kepada murid-murid Yesus, “Mengapakah kamu makan dan minum bersama pemungut cukai dan pendosa?”+ 31 Yesus menjawab, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.+ 32 Aku datang bukannya untuk memanggil orang yang alim, tetapi untuk memanggil pendosa supaya mereka bertaubat.”+

33 Mereka berkata kepadanya, “Murid-murid Yohanes sering berpuasa dan berdoa dengan bersungguh-sungguh, begitu juga dengan murid-murid orang Farisi. Tetapi murid-muridmu makan dan minum.”+ 34 Yesus menjawab, “Dapatkah kamu menyuruh sahabat-sahabat pengantin lelaki berpuasa semasa pengantin lelaki itu ada bersama mereka? Tentu tidak! 35 Namun, masanya akan tiba apabila pengantin lelaki+ diambil daripada mereka. Pada waktu itulah mereka akan berpuasa.”+

36 Dia juga memberi mereka satu perumpamaan: “Tiada orang yang mengambil kain daripada pakaian baharu untuk menampal pakaian yang lama. Jika dia berbuat demikian, kain penampal itu akan terkoyak daripada pakaian yang lama. Lagipun, kain penampal daripada pakaian baharu tidak padan dengan pakaian lama.+ 37 Tambahan lagi, tiada orang yang menyimpan wain baharu di dalam kirbat lama. Jika dia berbuat demikian, wain baharu akan menyebabkan kirbat pecah, wain akan tumpah, dan kirbat itu pun rosak. 38 Sebaliknya, wain baharu mesti disimpan di dalam kirbat baharu. 39 Tiada orang yang sudah minum wain lama ingin minum wain baharu, kerana dia berkata, ‘Wain lama bagus.’”

6 Pada suatu hari Sabat, Yesus lalu di ladang gandum. Sambil berjalan, murid-muridnya memetik bulir gandum.+ Mereka menggosoknya dengan tangan, lalu memakannya.+ 2 Jadi beberapa orang Farisi berkata, “Mengapakah kamu semua melakukan apa yang dilarang pada hari Sabat?”+ 3 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Belum pernahkah kamu membaca tentang apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan anak-anak buahnya lapar?+ 4 Tidakkah dia memasuki rumah Tuhan,* menerima dan memakan roti yang sudah dipersembahkan kepada Tuhan, lalu memberikan roti itu kepada anak-anak buahnya? Sebenarnya, tiada sesiapa pun yang berhak memakan roti itu kecuali para imam.”+ 5 Kemudian dia berkata kepada mereka, “Anak Manusia ialah Tuan yang berkuasa atas hari Sabat.”+

6 Pada hari Sabat yang lain,+ dia pergi mengajar di rumah ibadat. Di sana terdapat seorang lelaki yang tangan kanannya lumpuh.+ 7 Para jurutulis hukum dan orang Farisi memperhatikan Yesus dengan teliti untuk melihat sama ada dia akan menyembuhkan orang pada hari Sabat atau tidak. Mereka berbuat demikian kerana ingin mencari alasan untuk menuduhnya. 8 Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka.+ Jadi dia berkata kepada lelaki yang sebelah tangannya lumpuh itu, “Bangunlah dan berdirilah di tengah.” Maka lelaki itu bangun lalu berdiri di situ. 9 Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Aku hendak tanya kamu semua: Apakah yang wajar kita lakukan pada hari Sabat? Hal yang baik atau jahat, membunuh atau menyelamatkan nyawa?”+ 10 Dia memandang mereka semua lalu berkata kepada lelaki itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Lelaki itu menghulurkan tangannya dan tangannya pun sembuh. 11 Tetapi mereka naik berang dan mula berbincang sesama sendiri tentang apa yang hendak dilakukan terhadap Yesus.

12 Pada suatu hari, dia pergi ke gunung untuk berdoa.+ Dia berdoa kepada Tuhan sepanjang malam.+ 13 Sebaik sahaja hari menjadi terang, dia memanggil murid-muridnya dan memilih 12 orang daripada kalangan mereka lalu menggelar mereka rasul-rasul.+ 14 Mereka terdiri daripada Simon, yang juga dipanggilnya Petrus; Andreas, iaitu saudara kandung Simon; Yakobus; Yohanes; Filipus;+ Bartolomeus; 15 Matius; Tomas;+ Yakobus anak Alfeus; Simon yang digelar “yang bersemangat”; 16 Yudas anak Yakobus; dan Yudas Iskariot yang kemudiannya menjadi pengkhianat.

17 Kemudian Yesus turun dari gunung itu bersama mereka lalu berdiri di tempat yang rata. Di situ ada ramai muridnya dan ramai orang yang datang dari seluruh Yudea, Yerusalem, dan juga kawasan Tirus dan Sidon yang terletak di tepi laut. Mereka datang untuk mendengarnya dan ingin penyakit mereka disembuhkan. 18 Bahkan orang yang diganggu roh jahat juga disembuhkan. 19 Semua orang ingin menyentuh Yesus, kerana kuasa keluar daripadanya+ dan menyembuhkan mereka semua.

20 Yesus memandang murid-muridnya dan mula berkata,

“Berbahagialah kamu yang miskin, kerana Kerajaan Tuhan ialah milik kamu.+

21 “Berbahagialah kamu yang sedang kelaparan, kerana kamu akan dikenyangkan.+

“Berbahagialah kamu yang sedang menangis, kerana kamu akan ketawa.+

22 “Berbahagialah kamu apabila kamu dibenci,+ dipulaukan,+ dihina, dan nama kamu diburukkan, kerana Anak Manusia. 23 Nenek moyang mereka juga memperlakukan nabi-nabi dalam cara yang sama. Jadi hendaklah kamu bersukacita dan melonjak kegirangan, kerana ganjaran kamu besar di syurga.+

24 “Tetapi malanglah kamu yang kaya,+ kerana kamu telah mengecap semua nikmat hidup.+

25 “Malanglah kamu yang kenyang sekarang, kerana kamu akan kelaparan.

“Malanglah kamu yang sedang ketawa, kerana kamu akan merintih dan menangis.+

26 “Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu,+ kerana nenek moyang mereka juga memuji nabi-nabi palsu.

27 “Namun aku berkata kepada kamu yang mendengar: Teruslah mengasihi musuhmu dan buatlah apa yang baik terhadap orang yang membenci kamu.+ 28 Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah bagi orang yang menghina kamu.+ 29 Jika seseorang menampar sebelah pipimu, biarlah dia menampar pipi kamu yang sebelah lagi. Jika seseorang mengambil jubah luar kamu, biarlah dia mengambil jubah dalam kamu juga.+ 30 Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu,+ berikanlah kepadanya, dan jika seseorang mengambil barang-barang kamu, janganlah meminta kembali barang itu.

31 “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, mesti kamu lakukan juga untuk mereka.+

32 “Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, patutkah kamu dipuji? Orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka.+ 33 Jika kamu hanya berbuat baik kepada mereka yang berbuat baik kepada kamu, patutkah kamu dipuji? Orang berdosa pun berbuat demikian. 34 Selain itu, jika kamu memberikan pinjaman* kepada seseorang dengan harapan bahawa dia akan membayarnya kembali, patutkah kamu dipuji?+ Orang berdosa pun memberikan pinjaman kepada orang berdosa dengan harapan bahawa semua pinjaman itu akan dikembalikan. 35 Sebaliknya, teruslah mengasihi musuh kamu. Teruslah melakukan apa yang baik, dan teruslah memberikan pinjaman tanpa mengharapkan sebarang balasan.+ Dengan demikian, kamu akan mendapat ganjaran yang besar dan kamu akan menjadi anak-anak Tuhan Yang Maha Tinggi, kerana Dia baik hati bahkan terhadap orang yang tidak tahu bersyukur dan orang yang jahat.+ 36 Teruslah berbelas kasihan sebagaimana Bapa kamu berbelas kasihan.+

37 “Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi,+ dan jangan lagi mengecam orang lain supaya kamu tidak dikecam. Teruslah mengampuni orang lain supaya kamu diampuni.+ 38 Amalkanlah tabiat memberi dan orang lain juga akan memberi kepada kamu.+ Dengan murah hati, mereka akan mencurahkan pemberian yang dipadatkan dan digoncang-goncang sehingga berlimpah-limpah di dalam lipatan jubahmu. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu.”

39 Kemudian Yesus menceritakan satu perumpamaan kepada mereka: “Bagaimanakah orang buta dapat memimpin orang buta? Kedua-duanya akan jatuh ke dalam lubang, bukan?+ 40 Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, tetapi setiap orang yang diajar dengan sempurna akan menjadi seperti gurunya. 41 Jadi, mengapakah kamu melihat jerami di dalam mata saudaramu tetapi tidak melihat kayu balak di dalam matamu sendiri?+ 42 Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudara kamu, ‘Saudara, biarlah aku mengeluarkan jerami dari matamu,’ sedangkan kayu balak di dalam matamu sendiri tidak kamu lihat? Hai orang yang bermuka dua, keluarkanlah dahulu kayu balak dari matamu sendiri, kemudian barulah kamu dapat melihat dengan jelas bagaimana untuk mengeluarkan jerami dari mata saudaramu.

43 “Pokok yang baik tidak akan menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang buruk tidak akan menghasilkan buah yang baik.+ 44 Setiap pokok dikenal daripada buahnya.+ Sebagai contoh, orang tidak dapat mengumpulkan buah ara ataupun buah anggur daripada tumbuhan berduri. 45 Orang yang baik menyimpan apa yang baik dalam hati. Oleh itu mereka mengucapkan kata-kata yang baik. Orang yang jahat menyimpan apa yang jahat dalam hati. Oleh itu mereka mengucapkan kata-kata yang jahat. Apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut.+

46 “Mengapakah kamu memanggil aku, ‘Tuan! Tuan!’ tetapi tidak menurut kata-kataku?+ 47 Beginilah keadaan setiap orang yang datang kepadaku dan mendengar kata-kataku serta menurutnya:+ 48 Dia adalah seperti seorang lelaki yang mahu membina sebuah rumah. Dia menggali lubang yang dalam lalu meletakkan asas rumahnya di atas batu. Maka apabila banjir melanda dan air sungai menghempas rumahnya, rumahnya tetap teguh kerana dibina dengan baik.+ 49 Sebaliknya, sesiapa yang mendengar kata-kataku tetapi tidak melakukan apa-apa+ adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah tanpa asas. Semasa air sungai menghempas rumahnya, rumahnya segera roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan rumah itu!”

7 Setelah Yesus selesai mengatakan semua ini kepada orang ramai, dia pergi ke Kapernaum. 2 Di situ, ada seorang pegawai tentera yang mempunyai seorang hamba yang sangat disayanginya. Hamba itu sakit tenat dan hampir meninggal.+ 3 Semasa pegawai itu mendengar tentang Yesus, dia mengutus para pemimpin orang Yahudi kepada Yesus untuk memintanya datang dan menyembuhkan hambanya. 4 Mereka datang kepada Yesus dan mula merayunya dengan bersungguh-sungguh, “Guru, dia layak mendapat bantuanmu 5 kerana dia mengasihi bangsa kita dan membina rumah ibadat di sini.” 6 Maka Yesus pergi bersama mereka. Tetapi semasa dia hampir tiba, pegawai tersebut menghantar sahabat-sahabatnya untuk berkata kepadanya, “Tuan, usahlah datang ke rumahku, kerana aku tidak layak menyambut Tuan ke dalam rumahku.+ 7 Itulah sebabnya aku tidak datang dan berjumpa dengan Tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. 8 Aku pun menurut perintah orang lain dan aku juga mempunyai askar-askar yang menurut perintahku. Semasa aku menyuruh seorang askar, ‘Pergilah!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Datanglah!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” 9 Yesus kagum semasa mendengar kata-katanya lalu berpaling untuk memberitahu orang ramai yang mengikutnya, “Aku berkata kepada kamu: Bahkan di Israel pun aku belum pernah menjumpai sesiapa yang mempunyai iman sebesar iman orang ini.”+ 10 Ketika orang yang dihantar itu pulang ke rumah pegawai tersebut, mereka mendapati hamba itu sudah sembuh.+

11 Tidak lama kemudian, Yesus pergi ke sebuah kota yang dipanggil Nain. Murid-muridnya dan sekumpulan besar orang pergi bersamanya. 12 Semasa dia hampir tiba di pintu gerbang kota itu, ada orang mengusung mayat seorang lelaki keluar. Dia ialah anak lelaki tunggal seorang balu.+ Ramai orang dari kota itu menemani ibunya. 13 Semasa Tuan Yesus melihat wanita itu, dia berasa kasihan terhadapnya+ lalu berkata, “Janganlah menangis.”+ 14 Seterusnya, dia menghampiri dan menyentuh usungan itu, lalu para pengusung berhenti. Yesus berkata, “Hai lelaki muda, aku menyuruhmu: Bangunlah!”+ 15 Lelaki yang mati itu pun duduk dan mula bercakap. Kemudian, Yesus menyerahkan lelaki tersebut kepada ibunya.+ 16 Semua orang di situ berasa takut dan mula memuliakan Tuhan dengan berkata, “Seorang nabi yang agung telah muncul dalam kalangan kita,”+ dan, “Tuhan berbelas kasihan terhadap umat-Nya.”+ 17 Maka berita tentang Yesus tersebar ke seluruh Yudea dan semua kawasan di sekitarnya.

18 Murid-murid Yohanes melaporkan semua hal ini kepada Yohanes.+ 19 Maka Yohanes memanggil dua orang muridnya dan mengutus mereka untuk bertanya kepada Tuan Yesus, “Adakah Guru merupakan Dia yang Akan Datang,+ atau adakah kami harus menantikan seorang yang lain?” 20 Apabila mereka berjumpa dengannya, mereka pun berkata, “Yohanes Pembaptis mengutus kami untuk bertanya kepada Guru, ‘Adakah Guru merupakan Dia yang Akan Datang, atau adakah kami harus menantikan seorang yang lain?’” 21 Pada masa itu, Yesus menyembuhkan ramai orang yang kurang sihat+ dan yang sakit teruk. Dia juga mengusir roh jahat dan menyembuhkan ramai orang buta supaya mereka dapat melihat. 22 Maka dia berkata kepada mereka, “Pergilah kepada Yohanes dan laporkanlah apa yang kamu lihat dan dengar: Orang buta dapat melihat,+ orang tempang dapat berjalan, pesakit kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar,+ orang mati dibangkitkan, dan berita baik sedang dikhabarkan kepada orang miskin.+ 23 Berbahagialah orang yang percaya kepadaku tanpa ragu-ragu.”*+

24 Selepas murid-murid Yohanes beredar, Yesus bertanya kepada orang ramai tentang Yohanes, “Semasa kamu ke padang belantara, apakah yang mahu kamu lihat? Rumput yang ditiup angin?+ 25 Jika tidak, apakah yang mahu kamu lihat? Seseorang yang berpakaian mewah?+ Orang yang berpakaian mahal dan hidup mewah berada di istana. 26 Sebenarnya, apakah tujuan kamu keluar? Untuk melihat seorang nabi? Ya, sesungguhnya Yohanes jauh lebih besar daripada seorang nabi.+ 27 Mengenai dia, ada tertulis, ‘Lihatlah! Aku akan menghantar utusan-Ku di hadapanmu. Dia akan membuka jalan bagimu.’+ 28 Aku berkata kepada kamu: Antara orang yang dilahirkan, tiada yang lebih besar daripada Yohanes. Namun, orang yang berkedudukan rendah dalam Kerajaan Tuhan lebih besar daripadanya.”+ 29 (Semasa orang ramai dan pemungut cukai mendengar kata-kata ini, mereka mengisytiharkan keadilan Tuhan kerana mereka telah dibaptis oleh Yohanes.+ 30 Namun, orang Farisi dan orang yang arif dalam hukum tidak mempedulikan arahan* yang diberikan oleh Tuhan kepada mereka+ kerana mereka belum dibaptis oleh Yohanes.)

31 Yesus menyambung, “Dengan siapakah dapat aku bandingkan generasi ini? Mereka seperti siapa?+ 32 Mereka seperti kanak-kanak yang duduk di tempat awam* sambil berseru kepada satu sama lain, ‘Kami meniup seruling untuk kamu, tetapi kamu tidak menari; kami meratap, tetapi kamu tidak menangis.’ 33 Semasa Yohanes Pembaptis datang, dia tidak makan roti ataupun minum wain.+ Namun kamu berkata, ‘Dia kena rasuk roh jahat.’ 34 Semasa Anak Manusia datang, dia makan dan minum. Tetapi kamu berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia gelojoh, pemabuk, dan bersahabat dengan pemungut cukai dan pendosa!’+ 35 Meskipun demikian, kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan.”*+

36 Ada seorang Farisi yang asyik menjemput Yesus untuk makan bersamanya. Maka dia pergi ke rumah orang Farisi itu lalu duduk dan makan* di meja. 37 Dalam kota itu, terdapat seorang wanita yang dikenali ramai kerana dia hidup dalam dosa. Apabila wanita itu mendapat tahu bahawa Yesus sedang makan di rumah orang Farisi itu, dia membawa sebuah botol* berisi minyak wangi+ 38 dan berlutut dekat kaki Yesus. Wanita itu mula menangis dan membasahi kaki Yesus dengan air matanya. Kemudian dia menggunakan rambutnya untuk mengeringkan kaki Yesus. Dia juga mencium kaki Yesus dan menuangkan minyak wangi pada kakinya. 39 Orang Farisi yang menjemput Yesus ke rumahnya melihat perkara ini dan berkata dalam hati, “Jika lelaki ini benar-benar seorang nabi, pasti dia tahu siapa yang menyentuhnya. Tidakkah dia tahu bahawa wanita itu hidup dalam dosa?”+ 40 Yesus tahu apa yang difikirkannya lalu dia berkata, “Simon, ada sesuatu yang hendak aku katakan kepadamu.” Simon menjawab, “Katakanlah Guru!”

41 “Ada dua orang yang meminjam wang daripada seorang lelaki. Seorang berhutang 500 denari* dan seorang lagi berhutang 50 denari. 42 Apabila mereka tidak mampu melangsaikan hutang, lelaki itu mengampuni mereka dengan rela hati. Jadi, siapakah antara dua orang itu yang akan lebih mengasihinya?” 43 Simon menjawab, “Pada pendapatku, lelaki yang hutangnya lebih banyak.” Yesus berkata kepadanya, “Betul jawapanmu.” 44 Kemudian Yesus berpaling kepada wanita itu dan berkata kepada Simon, “Adakah kamu nampak wanita ini? Semasa aku masuk ke dalam rumahmu, kamu tidak menyediakan air untuk membasuh kakiku, tetapi wanita ini membasahi kakiku dengan air matanya dan mengeringkan kakiku dengan rambutnya. 45 Kamu tidak menyambutku dengan ciuman, tetapi wanita ini tidak henti-henti mencium kakiku sejak aku masuk. 46 Kamu tidak menuangkan minyak pada kepalaku, tetapi wanita ini menuangkan minyak wangi pada kakiku. 47 Oleh itu, aku berkata kepadamu: Walaupun dosa wanita ini banyak,* dosanya sudah diampunkan.+ Maka, kasih yang ditunjukkannya pun banyak. Tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja, mengasihi sedikit juga.” 48 Kemudian dia berkata kepada wanita itu, “Dosamu sudah diampunkan.”+ 49 Orang yang duduk dan makan bersamanya di meja mula berkata sesama sendiri, “Siapakah orang ini yang dapat mengampunkan dosa?”+ 50 Tetapi dia berkata kepada wanita itu, “Kamu diselamatkan kerana imanmu.+ Pergilah dengan sejahtera.”

8 Tidak lama kemudian, Yesus pergi dari kota ke kota dan dari pekan ke pekan untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan.+ Dia pergi bersama 12 orang rasulnya 2 dan beberapa orang wanita yang telah dibebaskan daripada roh-roh jahat dan disembuhkan daripada penyakit. Antara mereka termasuk Maria yang dipanggil Magdalena, yang telah dibebaskan daripada tujuh roh jahat; 3 Yohana,+ iaitu isteri kepada pengurus rumah tangga Herodes yang bernama Khuza; Susana; dan banyak lagi wanita lain. Mereka semua menggunakan harta milik mereka untuk menolong Yesus dan rasul-rasulnya.+

4 Pada masa itu, ada sekumpulan besar orang yang berhimpun, dan ada orang dari pelbagai kota yang datang kepada Yesus. Maka dia menceritakan satu perumpamaan:+ 5 “Seorang petani keluar untuk menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan lalu dipijak-pijak orang dan dimakan burung di langit.+ 6 Ada juga benih yang jatuh di atas batu. Selepas bertunas, tanaman itu layu kerana tidak mendapat air.+ 7 Benih lain pula jatuh di antara semak berduri. Semak berduri yang tumbuh bersama-samanya membantutkan tumbuhan tersebut.+ 8 Ada juga benih yang jatuh di atas tanah yang subur. Selepas bertunas, tanaman itu menghasilkan buah seratus kali ganda.”+ Selepas Yesus memberitahukan hal-hal ini, dia berseru, “Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”+

9 Tetapi murid-muridnya bertanya kepadanya makna perumpamaan itu.+ 10 Maka dia berkata, “Tuhan sudah mengizinkan kamu untuk memahami rahsia suci tentang Kerajaan Tuhan. Tetapi orang lain dapat mendengar perumpamaan sahaja.+ Dengan ini, walaupun mereka melihat, mereka tidak dapat nampak, dan walaupun mereka mendengar, mereka tidak dapat faham.+ 11 Inilah makna perumpamaan itu: Benih itu ialah firman Tuhan.+ 12 Benih yang jatuh di jalan ialah orang yang mendengar firman Tuhan, tetapi kemudian Iblis datang dan merampas firman yang ditanam dalam hati mereka supaya mereka tidak percaya dan tidak diselamatkan.+ 13 Benih yang jatuh di atas batu ialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menyambutnya dengan sukacita. Tetapi firman itu tidak berakar dalam hati mereka. Mereka percaya untuk seketika, tetapi semasa ditimpa cubaan, mereka tidak lagi percaya.+ 14 Benih yang jatuh di semak berduri ialah orang yang mendengar firman itu, tetapi perhatian mereka disimpangkan oleh kekhuatiran, kekayaan,+ dan pelbagai nikmat dalam hidup ini.+ Akibatnya, firman itu terbantut sama sekali dan tidak menghasilkan buah yang matang.+ 15 Benih yang jatuh di tanah yang subur pula ialah orang yang memiliki hati yang baik dan jujur.+ Setelah mendengar firman itu, mereka menyimpannya di hati dan membuahkan hasil dengan tabah.+

16 “Tiada sesiapa pun yang akan menyalakan pelita lalu menutupinya dengan bekas atau meletakkannya di bawah katil. Sebaliknya, pelita itu diletakkan di atas kaki pelita agar orang yang masuk dapat melihat cahayanya.+ 17 Apa sahaja yang tertutup akan menjadi nyata, dan apa sahaja yang disembunyikan dengan cermat akan diketahui dan didedahkan.+ 18 Oleh itu, perhatikanlah cara kamu mendengar kerana sesiapa yang memiliki pengertian akan diberi lebih banyak pengertian.+ Tetapi bagi sesiapa yang tidak berpengertian, bahkan sedikit pengertian yang disangkanya ada padanya pun akan diambil daripadanya.”+

19 Ketika itu, ibu dan adik-adik lelaki Yesus+ datang kepadanya, tetapi mereka tidak dapat menghampirinya kerana orang di situ terlalu ramai.+ 20 Jadi, ada orang memberitahunya, “Ibu dan adik-adik Guru sedang berdiri di luar dan ingin berjumpa dengan Guru.” 21 Tetapi dia berkata kepada mereka, “Ibuku dan adik-adikku ialah orang yang mendengar firman Tuhan dan melakukannya.”+

22 Pada suatu hari, dia dan murid-muridnya menaiki sebuah perahu. Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberangi tasik.” Maka mereka pun bertolak.+ 23 Semasa mereka belayar, Yesus tertidur. Tiba-tiba, angin ribut yang kencang melanda tasik itu. Perahu itu mula dipenuhi air sehingga mereka berada dalam bahaya.+ 24 Oleh itu mereka pergi membangunkannya dan berkata, “Guru! Guru! Kami hampir mati!” Maka dia bangun lalu menegur angin dan air yang bergelora. Kemudian ribut itu pun reda dan keadaan menjadi tenang semula.+ 25 Kemudian dia berkata kepada mereka, “Di manakah iman kamu?” Tetapi mereka diselubungi rasa takut dan kagum. Mereka berkata kepada satu sama lain, “Siapakah sebenarnya orang ini? Angin dan air pun mematuhinya.”+

26 Selepas itu, mereka mendarat di kawasan Gerasa,+ yang terletak di seberang Galilea. 27 Semasa Yesus naik ke darat, seorang lelaki dari kota berhampiran yang dirasuk roh-roh jahat berjalan ke arahnya. Sudah lama dia tidak berpakaian. Dia juga tidak tinggal di rumah tetapi tinggal di kawasan kubur.+ 28 Apabila dia nampak Yesus, dia menjerit lalu bersujud di hadapannya dan berseru dengan suara yang lantang, “Hai Yesus, Anak Tuhan Yang Maha Tinggi, apa kena-mengena aku dengan kamu? Aku merayu kepadamu, janganlah seksa aku.”+ 29 (Hal ini demikian kerana Yesus telah memberikan perintah kepada roh-roh jahat untuk keluar daripada lelaki itu. Sudah banyak kali*+ mereka menguasai lelaki tersebut, dan sudah banyak kali orang mengawasi dia selepas merantai tangannya dan membelenggu kakinya. Tetapi dia memutuskan rantai dan belenggu itu lalu melarikan diri ke tempat-tempat yang sunyi di bawah pengaruh roh-roh jahat.) 30 Yesus bertanya kepadanya, “Siapakah nama kamu?” Dia menjawab, “Namaku Legiun,”* kerana dia telah dirasuk banyak roh jahat. 31 Roh-roh itu merayu berkali-kali agar Yesus tidak menghalau mereka ke jurang yang dalam.*+ 32 Ketika itu ada banyak babi+ yang sedang makan di gunung. Roh-roh jahat itu merayu supaya Yesus mengizinkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu. Apabila Yesus mengizinkan mereka berbuat demikian,+ 33 mereka keluar dan masuk ke dalam babi-babi itu. Kemudian, semua babi itu meluru ke arah tebing curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas. 34 Apabila orang yang menjaga kawanan babi itu nampak apa yang berlaku, mereka melarikan diri dan melaporkan hal itu di kota dan di desa.

35 Maka orang ramai pun pergi untuk melihat apa yang terjadi. Mereka datang kepada Yesus dan nampak lelaki yang sudah dibebaskan daripada roh-roh jahat itu. Mereka semua menjadi takut semasa melihatnya sudah berpakaian, berfikiran waras, dan sedang duduk dekat kaki Yesus. 36 Orang yang telah menyaksikan kejadian itu memberitahu mereka bagaimana lelaki yang dirasuk roh-roh jahat tersebut disembuhkan. 37 Lalu ramai penduduk kawasan Gerasa memohon supaya Yesus meninggalkan tempat itu kerana mereka dicengkam rasa takut. Oleh itu Yesus menaiki perahu lalu pergi dari situ. 38 Lelaki yang dibebaskan daripada roh-roh jahat itu asyik merayu supaya dia dibenarkan mengikut Yesus. Tetapi Yesus menyuruh lelaki itu pergi dengan berkata,+ 39 “Pulanglah dan beritahulah orang segala yang telah dilakukan oleh Tuhan untukmu.” Maka dia pergi ke seluruh kota dan menceritakan hal-hal yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya.

40 Semasa Yesus kembali, orang ramai menyambut dia dengan ramah kerana mereka sedang menanti-nantikannya.+ 41 Pada masa itu, seorang ketua rumah ibadat yang bernama Yairus datang kepadanya. Dia bersujud di depan kaki Yesus dan merayu supaya Yesus pergi ke rumahnya+ 42 kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur kira-kira 12 tahun, hampir meninggal.

Semasa Yesus berjalan ke situ, dia dihimpit oleh ramai orang. 43 Di situ ada seorang wanita yang menderita masalah pendarahan+ selama 12 tahun dan tidak dapat disembuhkan oleh sesiapa pun.+ 44 Wanita itu menghampiri Yesus dari belakang dan menyentuh hujung jubah luarnya,+ lalu pendarahannya berhenti dengan serta-merta. 45 Maka Yesus bertanya, “Siapakah yang menyentuh aku?” Memandangkan tiada orang yang mengaku, Petrus berkata, “Guru, orang ramai sedang berasak-asak dan menghimpit Guru.”+ 46 Tetapi Yesus berkata, “Ada orang yang menyentuh aku kerana aku sedar bahawa kuasa+ telah keluar daripada aku.” 47 Wanita itu sedar bahawa perbuatannya sudah diketahui oleh Yesus. Dengan gementar, dia bersujud di depan Yesus dan memberitahu semua orang mengapa dia menyentuh Yesus dan bagaimana dia disembuhkan dalam sekelip mata. 48 Tetapi Yesus berkata kepada wanita itu, “Hai anakku, kamu sembuh kerana kamu beriman. Pergilah dengan damai.”+

49 Semasa Yesus sedang bercakap, seorang lelaki dari rumah Yairus datang dan berkata, “Anak perempuan tuan sudah mati! Usahlah menyusahkan Guru lagi.”+ 50 Yesus terdengar kata-katanya dan berkata kepada Yairus, “Janganlah bimbang. Berimanlah dan anakmu akan diselamatkan.”+ 51 Apabila dia tiba di rumah itu, dia tidak mengizinkan sesiapa pun untuk masuk dengannya kecuali Petrus, Yohanes, Yakobus, dan ibu bapa gadis itu. 52 Memandangkan semua orang sedang menangis dan memukul dada dengan sedih, dia berkata, “Janganlah menangis.+ Gadis kecil ini tidak mati, dia hanya tidur.”+ 53 Mereka pun mentertawakannya kerana mereka tahu bahawa gadis itu sudah meninggal. 54 Tetapi dia memegang tangan gadis itu dan berkata, “Anak kecil, bangunlah!”+ 55 Nyawa*+ anak itu kembali dan pada saat itu juga dia bangun.+ Lalu Yesus menyuruh orang untuk memberikan makanan kepada anak itu. 56 Ibu bapanya tidak dapat mengawal perasaan kerana mereka terlalu gembira. Namun Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentang apa yang telah berlaku.+

9 Kemudian Yesus memanggil 12 orang rasulnya dan memberi mereka kuasa untuk mengusir semua roh jahat+ dan menyembuhkan penyakit.+ 2 Selepas itu, dia mengutus mereka untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan dan menyembuhkan orang. 3 Dia berkata kepada mereka, “Janganlah membawa apa-apa untuk perjalanan kamu. Janganlah membawa tongkat, beg makanan, roti, wang perak, ataupun dua helai baju.*+ 4 Setiap kali kamu memasuki sebuah rumah, tinggallah di sana sehingga kamu meninggalkan tempat itu.+ 5 Jika orang di sesebuah kota tidak menerima kamu, kebaskanlah debu daripada kaki kamu semasa kamu beredar sebagai amaran kepada mereka.”+ 6 Mereka pun bertolak dan pergi dari pekan ke pekan di seluruh kawasan itu. Mereka menghebahkan berita baik dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.+

7 Ketika itu, Herodes,* pemerintah daerah itu, mendengar tentang segala peristiwa yang sedang berlaku. Dia sangat bingung kerana ada orang yang mengatakan bahawa Yohanes telah dibangkitkan daripada kematian.+ 8 Tambahan lagi, ada yang mengatakan bahawa Elia telah muncul, dan yang lain pula mengatakan bahawa seorang nabi dahulukala telah dibangkitkan.+ 9 Herodes berkata, “Beta telah mengarahkan agar kepala Yohanes dipancung.+ Jadi siapakah orang ini? Beta sudah mendengar banyak perkara tentang dia.” Maka dia ingin berjumpa dengan Yesus.+

10 Apabila rasul-rasul kembali, mereka melaporkan kepada Yesus segala yang sudah dilakukan oleh mereka.+ Dia pun membawa mereka ke sebuah kota yang bernama Betsaida supaya mereka dapat bersendirian.+ 11 Tetapi orang ramai mendapat tahu tentang hal ini dan mengikutnya. Yesus menyambut mereka dengan ramah dan mula bercakap kepada mereka tentang Kerajaan Tuhan. Dia juga menyembuhkan orang yang sakit.+ 12 Apabila hari mula senja, 12 orang rasul itu datang kepada Yesus dan berkata, “Tempat ini terpencil. Jadi suruhlah orang ramai pergi agar mereka dapat mencari penginapan dan membeli makanan di desa dan pekan yang berhampiran.”+ 13 Tetapi dia berkata, “Kamu berilah mereka makanan.”+ Mereka berkata, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Perlukah kami pergi dan membeli makanan untuk semua orang itu?” 14 Ada kira-kira 5,000 orang lelaki di situ, jadi Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Suruhlah mereka duduk secara berkumpulan, kira-kira 50 orang dalam setiap kumpulan.” 15 Mereka mengikut arahannya dan menyuruh semua orang duduk. 16 Selepas itu, Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu lalu menengadah ke langit dan mengucapkan syukur.* Kemudian, dia membahagikan roti itu dan memberikan roti dan ikan kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai. 17 Semua orang makan sampai kenyang dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi 12 buah bakul.+

18 Semasa Yesus sedang berdoa sendirian, murid-muridnya datang kepadanya. Dia bertanya kepada mereka, “Menurut orang ramai, siapakah aku?”+ 19 Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis, yang lain berkata Elia, dan ada juga yang berkata Guru ialah salah seorang nabi dahulukala yang sudah dibangkitkan.”+ 20 Seterusnya dia berkata kepada mereka, “Bagaimana pula dengan kamu? Menurut kamu, siapakah aku?” Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus yang diutus oleh Tuhan.”+ 21 Kemudian dia dengan tegas melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentang hal itu.+ 22 Dia juga berkata, “Anak Manusia mesti dianiaya dengan teruk. Para pemimpin orang Yahudi, ketua imam, dan jurutulis hukum, tidak akan menerimanya. Dia akan dibunuh,+ tetapi pada hari yang ketiga, dia akan dibangkitkan.”+

23 Kemudian dia berkata kepada semua orang, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri,+ memikul tiang seksaannya* setiap hari, dan terus mengikut aku.+ 24 Sesiapa yang ingin menyelamatkan nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang kehilangan nyawanya demi aku akan menyelamatkan nyawanya.+ 25 Sesungguhnya, apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi ditimpa malapetaka atau kehilangan nyawanya?+ 26 Sesiapa yang berasa malu untuk menjadi muridku dan mematuhi kata-kataku, Anak Manusia juga akan berasa malu untuk menerimanya semasa dia datang dengan kemuliaannya, kemuliaan Bapanya, dan kemuliaan para malaikat yang suci.+ 27 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Beberapa orang yang berdiri di sini tidak akan mati selagi mereka tidak melihat Kerajaan Tuhan.”+

28 Kira-kira lapan hari selepas berkata demikian, dia membawa Petrus, Yohanes, dan Yakobus, ke atas sebuah gunung untuk berdoa.+ 29 Ketika dia berdoa, wajahnya berubah dan pakaiannya menjadi putih bersinar-sinar. 30 Tiba-tiba, dua orang lelaki muncul dan berbual-bual dengan Yesus. Mereka ialah Musa dan Elia. 31 Mereka muncul dengan cahaya kemuliaan dan mula berbincang tentang pemergian Yesus yang akan berlaku di Yerusalem.+ 32 Pada masa itu Petrus, Yohanes, dan Yakobus, sudah terlelap. Tetapi apabila mereka terjaga, mereka nampak kemuliaan Yesus+ dan dua orang lelaki yang berdiri bersamanya. 33 Apabila dua orang lelaki itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepadanya, “Guru, kami berasa sangat gembira kerana dapat berada di sini. Biarlah kami mendirikan tiga buah khemah: Satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu untuk Elia.” Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang sedang dikatakannya. 34 Semasa dia berkata demikian, sekepul awan terbentuk dan mula meliputi mereka, lalu mereka menjadi takut. 35 Kedengaran suara+ dari awan itu yang berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku pilih.+ Dengarkanlah dia.”+ 36 Ketika mereka mendengar suara itu, mereka nampak Yesus sahaja. Namun, mereka tidak mengatakan apa-apa dan tidak memberitahu sesiapa pun pada masa itu tentang apa yang dilihat oleh mereka.+

37 Keesokan harinya, apabila mereka turun dari gunung, ramai orang datang kepada Yesus.+ 38 Seorang lelaki dalam kalangan mereka berseru, “Guru, tolonglah lihat anakku kerana dia satu-satunya anakku.+ 39 Ada roh jahat yang menguasainya dan membuatnya tiba-tiba berteriak, menggigil, dan terkejang-kejang sehingga mulutnya berbuih. Roh jahat itu menyakiti dia dan tidak mahu melepaskannya. 40 Aku merayu murid-muridmu supaya mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” 41 Yesus menjawab, “Hai generasi yang tidak beriman dan yang berdosa,+ berapa lamakah aku mesti terus bersama kamu dan bersabar dengan kamu? Bawalah anakmu ke sini.”+ 42 Apabila anak tersebut menghampiri Yesus, roh jahat itu menghempaskan anak itu ke tanah dan membuatnya menggigil sambil terkejang-kejang dengan kuat. Yesus menegur roh jahat itu dan menyembuhkan anak itu, lalu menyerahkannya kepada bapanya. 43 Mereka semua terpegun setelah menyaksikan keagungan kuasa Tuhan.

Sementara mereka masih terhairan-hairan dengan semua perbuatan Yesus, dia berkata kepada murid-muridnya, 44 “Dengarlah baik-baik dan ingatlah kata-kata ini, kerana Anak Manusia akan diserahkan ke dalam tangan musuhnya.”+ 45 Namun, mereka masih tidak memahami kata-katanya, kerana maksudnya sudah dirahsiakan daripada mereka. Mereka juga tidak berani bertanya kepada Yesus tentang maksud kata-kata itu.

46 Kemudian, mereka bertengkar tentang siapa antara mereka yang terbesar.+ 47 Yesus mengetahui isi hati mereka. Maka dia memanggil seorang anak kecil dan menyuruhnya berdiri di sisinya. 48 Kemudian dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menerima anak kecil ini demi namaku menerima aku, dan sesiapa yang menerima aku juga menerima Dia yang mengutus aku.+ Sesiapa dalam kalangan kamu yang berkelakuan seperti orang yang berkedudukan rendah, dialah yang besar.”+

49 Yohanes pun berkata, “Guru, kami nampak seseorang menggunakan nama Guru untuk mengusir roh jahat. Kami mencuba menghalangnya kerana dia bukan salah seorang daripada kita.”+ 50 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Janganlah menghalangnya, kerana sesiapa yang tidak melawan kamu sedang berpihak kepada kamu.”

51 Apabila masa untuk Yesus diangkat ke syurga menjelang tiba,+ dia bertekad untuk pergi ke Yerusalem. 52 Maka, dia mengutus beberapa orang muridnya untuk pergi terlebih dahulu. Mereka bertolak dan tiba di sebuah pekan di Samaria untuk membuat persiapan bagi kedatangannya. 53 Namun, orang di situ enggan menyambut Yesus+ kerana dia bertekad untuk pergi ke Yerusalem. 54 Apabila murid-muridnya, iaitu Yakobus dan Yohanes,+ melihat hal ini, mereka berkata, “Adakah Tuan ingin kami menyuruh api turun dari langit dan melenyapkan mereka?”+ 55 Tetapi Yesus berpaling dan menegur mereka berdua. 56 Oleh itu, Yesus dan murid-muridnya pergi ke pekan yang lain.

57 Dalam perjalanan mereka, ada seseorang yang berkata kepada Yesus, “Aku akan mengikut Guru ke mana sahaja Guru pergi.” 58 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Rubah* mempunyai lubang dan burung di langit mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat tidur sendiri.”+ 59 Kemudian dia berkata kepada seorang lagi, “Jadilah pengikutku.” Orang itu berkata, “Tuan, izinkanlah aku pergi mengebumikan bapaku terlebih dahulu.”+ 60 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Biarlah orang mati+ mengebumikan orang mati. Tetapi hendaklah kamu pergi dan mengisytiharkan berita tentang Kerajaan Tuhan di merata tempat.”+ 61 Ada seorang lagi yang berkata, “Aku akan mengikut Tuan, tetapi izinkanlah aku mengucapkan selamat tinggal kepada anggota rumah tanggaku terlebih dahulu.” 62 Yesus berkata kepadanya, “Orang yang memegang bajak tetapi memandang ke belakang+ tidak sesuai untuk memasuki Kerajaan Tuhan.”+

10 Kemudian, Tuan Yesus memilih 70* orang murid yang lain lalu mengutus mereka secara berpasangan.+ Sebelum dia mengunjungi sebuah kota atau tempat, mereka akan pergi ke situ terlebih dahulu. 2 Dia berkata kepada mereka, “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit. Jadi, rayulah Pemilik tuaian supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.+ 3 Pergilah! Aku mengutus kamu seperti mengutus anak biri-biri ke tengah-tengah kawanan serigala.+ 4 Jangan bawa beg duit, beg makanan, atau kasut,+ dan jangan memberikan salam* kepada sesiapa pun di sepanjang jalan. 5 Semasa kamu memasuki rumah orang, katakan terlebih dahulu, ‘Semoga rumah ini sejahtera.’+ 6 Jika orang di situ tidak suka akan kedamaian, salam sejahtera itu akan kembali kepada kamu. Tetapi jika orang di situ suka akan kedamaian, salam sejahtera itu akan ada bersamanya. 7 Jadi tinggallah di rumah orang itu+ dan makanlah serta minumlah apa yang dihidangkan,+ kerana seorang pekerja layak menerima upahnya.+ Janganlah asyik berpindah dari sebuah rumah ke rumah yang lain.

8 “Semasa kamu memasuki sebuah kota dan penduduknya menyambut kamu, makanlah apa yang dihidangkan. 9 Sembuhkanlah orang yang sakit di kota itu dan beritahulah mereka, ‘Kerajaan Tuhan sudah dekat.’+ 10 Tetapi semasa kamu memasuki sebuah kota dan penduduknya tidak menyambut kamu, pergilah ke jalan utama kota itu dan katakanlah, 11 ‘Bahkan debu daripada kota kamu yang melekat pada kaki kami, kami kebaskan sebagai amaran kepada kamu.+ Namun, ketahuilah bahawa Kerajaan Tuhan sudah dekat.’ 12 Aku berkata kepada kamu bahawa pada Hari Penghakiman, kota itu akan menanggung hukuman yang lebih berat daripada Sodom.+

13 “Malanglah engkau Korazin! Malanglah engkau Betsaida! Jika mukjizat yang dilakukan di tempat kamu dilakukan di Tirus dan Sidon, awal-awal lagi penduduknya sudah bertaubat lalu memakai kain guni dan duduk di atas abu.*+ 14 Oleh itu, pada masa penghakiman, kamu akan menanggung hukuman yang lebih berat daripada Tirus dan Sidon. 15 Hai Kapernaum, adakah engkau akan ditinggikan sampai ke langit? Tidak! Engkau akan dibuang ke Kuburan.*

16 “Sesiapa yang mendengar kata-kata kamu, mendengar kata-kata aku juga.+ Sesiapa yang menolak kamu, menolak aku juga. Tambahan lagi, sesiapa yang menolak aku, juga menolak Dia yang mengutus aku.”+

17 Kemudian 70 orang murid Yesus kembali dengan sukacita. Mereka berkata, “Tuan, roh-roh jahat pun terpaksa mentaati kami apabila kami menggunakan nama Tuan!”+ 18 Maka, Yesus berkata kepada mereka, “Aku nampak Syaitan sudah jatuh+ dari langit seperti kilat. 19 Lihatlah! Aku sudah memberi kamu kuasa untuk memijak-mijak ular dan kala jengking serta mengalahkan semua kuasa musuh.+ Tiada apa-apa yang akan mencederakan kamu. 20 Namun demikian, janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu. Sebaliknya, bersukacitalah kerana nama kamu sudah pun tercatat di syurga.”+ 21 Pada masa itu juga, kuasa suci Tuhan menyebabkan Yesus sangat bersukacita lalu dia berkata, “Aku memuji-Mu di hadapan umum, ya Bapa, Pemerintah langit dan bumi, kerana Engkau menyembunyikan hal-hal ini dengan cermat daripada orang yang bijak pandai+ dan menyingkapkannya kepada anak-anak muda. Ya Bapa, hal ini selaras dengan kehendak-Mu.+ 22 Bapaku telah menyerahkan segala-galanya kepada aku. Tiada orang yang mengenal Anak kecuali Bapa, dan tiada orang yang mengenal Bapa kecuali Anak.+ Orang hanya dapat mengenal Bapa jika Anak rela mengajar mereka tentang Bapa.”+

23 Kemudian, semasa tiada orang lain di situ, dia berkata kepada murid-muridnya, “Berbahagialah orang yang melihat apa yang sedang kamu lihat.+ 24 Aku berkata kepada kamu: Banyak nabi dan raja ingin melihat apa yang sedang kamu lihat tetapi tidak dapat melihatnya.+ Mereka ingin mendengar apa yang sedang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya.”

25 Selepas itu, seorang lelaki yang arif dalam Hukum yang mencuba menguji Yesus berdiri lalu berkata, “Guru, apakah yang harus aku lakukan agar aku dapat meraih kehidupan yang kekal?”+ 26 Yesus menjawab, “Apakah yang tertulis dalam Hukum? Apakah yang kamu faham setelah membacanya?” 27 Lelaki itu menjawab, “‘Kamu mesti mengasihi Yehuwa,* Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa,* dengan segenap kekuatan, dan dengan segenap akal.’+ Selain itu, ‘kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’”+ 28 Yesus berkata kepadanya, “Jawapan kamu betul. Teruslah berbuat demikian dan kamu akan mendapat kehidupan kekal.”+

29 Tetapi lelaki itu mahu membuktikan bahawa pandangannya betul.+ Jadi dia berkata kepada Yesus, “Siapakah yang harus aku kasihi?” 30 Yesus berkata, “Seorang lelaki sedang turun ke Yerikho dari Yerusalem. Di tengah perjalanan, dia diserang oleh penyamun yang mengambil pakaian dan hartanya. Mereka memukulnya sampai setengah mati lalu meninggalkannya di situ. 31 Kebetulan pada masa itu, seorang imam lalu di jalan yang sama. Apabila dia nampak lelaki itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanan. 32 Selepas itu, seorang Lewi yang lalu di situ nampak lelaki tersebut. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanan. 33 Kemudian, seorang lelaki Samaria+ yang sedang dalam perjalanannya lalu di situ. Apabila dia nampak lelaki tersebut, dia berasa kasihan. 34 Jadi dia mendekati lelaki itu dan menuangkan minyak dan wain pada luka-lukanya. Selepas itu, dia membalut luka-lukanya dan menaikkan lelaki itu ke atas keldainya. Dia membawa lelaki itu ke sebuah tempat penginapan dan menjaganya. 35 Pada keesokan harinya, lelaki Samaria itu memberikan dua denari* kepada pemilik tempat penginapan itu dan berkata, ‘Jagalah dia, dan jika ada perbelanjaan lain, aku akan membayarnya apabila aku kembali ke sini.’ 36 Pada pendapat kamu, siapakah antara tiga orang lelaki ini yang mengasihi+ lelaki yang dirompak itu?” 37 Dia menjawab, “Lelaki yang menunjukkan belas kasihan terhadapnya.”+ Yesus berkata kepadanya, “Pergilah dan berbuatlah demikian.”+

38 Yesus dan murid-muridnya meneruskan perjalanan dan memasuki sebuah pekan. Di situ seorang wanita yang bernama Marta+ menjemput Yesus ke rumahnya. 39 Dia mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Maria. Maria duduk dekat kaki Tuan Yesus dan terus mendengar apa yang dikatakan olehnya. 40 Marta pula tidak dapat menumpukan perhatiannya kerana dia sibuk menguruskan banyak kerja. Jadi, dia mendekati Yesus dan berkata, “Tuan, tidakkah Tuan peduli bahawa Maria membiarkan aku menguruskan kerja seorang diri? Suruhlah dia membantu aku.” 41 Tuan Yesus berkata kepadanya, “Marta, Marta, kamu khuatir dan sibuk dengan banyak hal. 42 Sebenarnya yang diperlukan tidak banyak; satu pun sudah cukup. Maria sudah memilih perkara yang terbaik,+ yang tidak akan diambil daripadanya.”

11 Pada suatu hari, Yesus sedang berdoa di suatu tempat. Setelah dia berdoa, salah seorang muridnya berkata, “Tuan, ajarlah kami cara untuk berdoa, sebagaimana Yohanes mengajar murid-muridnya berdoa.”

2 Maka dia berkata kepada mereka, “Semasa kamu berdoa, katalah, ‘Bapa, semoga nama-Mu disucikan.+ Datanglah Kerajaan-Mu.+ 3 Berilah kami makanan* yang kami perlukan setiap hari.+ 4 Ampunkanlah dosa kami,+ kerana kami juga mengampuni semua orang yang berdosa* terhadap kami.+ Janganlah biarkan kami terjerat oleh godaan.’”+

5 Kemudian dia berkata kepada mereka, “Katakanlah salah seorang daripada kamu pergi kepada sahabatnya pada tengah malam dan berkata, ‘Kawan, pinjamkanlah tiga ketul roti kepadaku. 6 Ada seorang kawanku yang baru sahaja singgah di rumahku dalam perjalanannya, tetapi aku tidak ada apa-apa untuk dihidangkan kepadanya.’ 7 Tetapi sahabat itu menjawab dari dalam, ‘Janganlah susahkan aku. Pintu sudah dikunci, dan aku dengan anak-anak kecilku sudah tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberi kamu apa-apa.’ 8 Aku berkata kepada kamu: Meskipun kamu kawannya, dia tidak akan bangun dan memberikan apa-apa kepada kamu. Tetapi memandangkan kamu terus-menerus meminta daripadanya tanpa rasa segan,+ dia akan bangun lalu memberikan apa sahaja yang kamu perlukan. 9 Maka, aku berkata kepada kamu: Teruslah meminta,+ dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibukakan bagimu.+ 10 Hal ini demikian kerana setiap orang yang terus meminta akan menerima,+ setiap orang yang terus mencari akan menemukan, dan pintu pasti akan dibuka bagi setiap orang yang terus mengetuk. 11 Sesungguhnya, siapakah antara kamu selaku bapa yang akan memberikan ular kepada anaknya jika anaknya meminta ikan?+ 12 Atau adakah kamu akan memberinya kala jengking jika dia meminta telur? 13 Oleh itu, jika kamu yang jahat pun tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapa yang di syurga! Sudah pasti Dia akan memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.”+

14 Kemudian, dia mengusir roh jahat daripada seorang lelaki yang bisu.+ Selepas roh jahat itu keluar, lelaki bisu itu dapat bercakap. Orang ramai berasa kagum,+ 15 tetapi ada dalam kalangan mereka yang berkata, “Dia mengusir roh jahat kerana mendapat kuasa daripada Beelzebub,* iaitu ketua roh-roh jahat.”+ 16 Yang lain pula ingin mengujinya dengan memintanya agar menunjukkan tanda+ dari syurga. 17 Yesus mengetahui apa yang difikirkan oleh mereka,+ maka dia berkata, “Setiap kerajaan yang berpecah belah dan saling bermusuhan akan musnah. Setiap keluarga yang berpecah belah dan saling bermusuhan akan roboh. 18 Dengan cara yang sama, jika Syaitan melawan dirinya sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa aku mengusir roh jahat kerana mendapat kuasa daripada Beelzebub. 19 Jika aku mengusir roh jahat dengan kuasa daripada Beelzebub, murid-muridmu pula mengusir roh jahat dengan kuasa daripada siapa? Itulah sebabnya murid-muridmu akan membuktikan bahawa kamu bersalah. 20 Tetapi jika kuasa suci Tuhanlah*+ yang membolehkan aku mengusir roh-roh jahat, hal ini bermaksud Kerajaan Tuhan sudah ada di sini namun kamu tidak menyedarinya.+ 21 Apabila seorang lelaki yang kuat dan bersenjata lengkap menjaga rumahnya, harta miliknya selamat. 22 Tetapi apabila seseorang yang lebih kuat daripadanya menyerang dan mengalahkannya, senjata-senjata yang dianggapnya sebagai perlindungan akan diambil oleh orang itu. Harta milik yang dirampas daripadanya juga akan dibahagi-bahagikan oleh orang itu. 23 Sesiapa yang tidak berpihak kepada aku melawan aku, dan sesiapa yang tidak mengumpulkan orang bersama aku, orang itu akan menyebabkan orang lain tercerai-berai ke merata tempat.+

24 “Semasa roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan pergi ke tempat yang kering-kontang untuk mencari tempat rehat, tetapi tidak menemuinya. Maka roh itu berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’+ 25 Roh itu pun balik dan mendapati rumah itu disapu bersih dan dihias dengan cantik. 26 Roh itu kemudiannya pergi membawa tujuh roh lain yang lebih jahat daripadanya untuk memasuki orang itu dan tinggal di situ. Akhirnya, keadaan orang tersebut menjadi lebih buruk daripada keadaannya yang asal.”

27 Semasa Yesus berkata demikian, seorang wanita dalam kalangan orang ramai berseru kepadanya, “Berbahagialah wanita yang melahirkan dan menyusuimu!”+ 28 Tetapi dia berkata, “Tidak. Sebaliknya, berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!”+

29 Apabila orang ramai mula berkumpul, dia berkata, “Generasi ini ialah generasi jahat yang meminta tanda. Tetapi tiada tanda yang akan diberikan kepada generasi ini kecuali tanda Yunus.+ 30 Sebagaimana Yunus+ menjadi tanda kepada penduduk Niniwe, begitu juga Anak Manusia akan menjadi tanda kepada generasi ini. 31 Pada masa penghakiman, ratu dari selatan+ akan dibangkitkan bersama orang dari generasi ini. Ratu itu akan menunjukkan kesalahan mereka kerana dia datang dari hujung bumi untuk mendengar kata-kata Salomo yang bijaksana. Tetapi lihatlah! Orang yang lebih besar daripada Salomo ada di sini.+ 32 Pada masa penghakiman, penduduk Niniwe akan dibangkitkan bersama generasi ini. Penduduk Niniwe akan menunjukkan kesalahan generasi ini kerana mereka bertaubat selepas mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus.+ Tetapi lihatlah! Orang yang lebih besar daripada Yunus ada di sini. 33 Selepas seseorang menyalakan pelita, dia tidak akan meletakkannya di tempat yang tersembunyi atau di bawah bakul.* Sebaliknya dia akan meletakkannya di atas kaki pelita+ supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya. 34 Mata ialah pelita tubuhmu. Jika matamu tertumpu kepada satu perkara sahaja, seluruh tubuhmu akan terang. Sebaliknya, jika matamu jahat,* tubuhmu akan gelap.+ 35 Oleh itu, berwaspadalah supaya cahaya dalam dirimu itu bukanlah kegelapan. 36 Jika seluruh tubuhmu terang dan langsung tidak mempunyai bahagian yang gelap, seluruh tubuhmu akan bersinar terang seperti pelita yang memberimu cahaya.”

37 Selepas Yesus berkata demikian, seorang Farisi menjemputnya untuk makan bersamanya. Maka Yesus masuk ke dalam rumahnya lalu duduk dan makan* di meja. 38 Namun, orang Farisi itu berasa hairan apabila melihat dia tidak membasuh tangan* sebelum makan.+ 39 Tuan Yesus berkata kepadanya, “Hai orang Farisi, kamu semua membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan tetapi hati kamu penuh dengan ketamakan dan kejahatan.+ 40 Kamu orang yang tidak munasabah! Bukankah Tuhan yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam? 41 Maka, semasa kamu membuat kebajikan, lakukannya dengan ikhlas dari hati. Dengan demikian, kamu akan bersih dalam segala hal yang lain. 42 Tetapi malanglah kamu orang Farisi, kerana kamu memberikan satu persepuluh daripada pudina, inggu,* dan semua sayuran yang lain,+ tetapi kamu tidak mempedulikan keadilan dan kasih Tuhan! Memberikan satu persepuluh itu penting, tetapi hal-hal yang lain tidak patut diabaikan.+ 43 Malanglah kamu orang Farisi, kerana kamu suka duduk di kerusi yang terdepan* di dalam rumah ibadat dan suka menerima salam hormat di tempat awam!*+ 44 Malanglah kamu, kerana kamu seperti kubur yang tidak dapat dilihat.+ Orang pun tidak sedar bahawa mereka sedang berjalan di atasnya!”

45 Kemudian, salah seorang daripada mereka yang arif dalam Hukum berkata, “Apabila Guru berkata demikian, Guru juga menghina kami.” 46 Maka Yesus berkata, “Malanglah kamu yang arif dalam Hukum, kerana kamu memberi orang lain beban yang susah dipikul, padahal kamu sendiri tidak menghulurkan satu jari pun untuk menyentuh beban itu!+

47 “Malanglah kamu, kerana kamu membina makam bagi para nabi, padahal nenek moyang kamulah yang membunuh mereka!+ 48 Kamu bukan sahaja sedar akan perbuatan nenek moyang kamu, malah kamu menyetujui perbuatan mereka. Mereka membunuh para nabi,+ dan kamu pula membina kubur para nabi. 49 Itulah sebabnya Tuhan juga berfirman dengan bijaksana, ‘Aku akan mengutus nabi dan rasul kepada mereka, tetapi ada yang akan dibunuh dan ada yang akan dianiaya oleh mereka. 50 Dengan demikian, generasi ini akan bertanggungjawab atas penumpahan darah semua nabi yang dibunuh sejak dunia diasaskan,*+ 51 daripada darah Habel+ sehingga darah Zakharia, yang dibunuh di antara mazbah dan Rumah Tuhan.’+ Aku berkata kepada kamu: Generasi ini akan dihukum kerana penumpahan darah itu.

52 “Malanglah kamu yang arif dalam Hukum, kerana kamu mengambil kunci yang membuka pintu pengetahuan tentang Tuhan. Kamu sendiri tidak masuk ke dalam, dan kamu menghalang orang yang ingin memasukinya!”+

53 Semasa Yesus beredar dari situ, dia mula menghadapi tekanan yang besar daripada jurutulis hukum dan orang Farisi. Mereka menghujaninya dengan banyak soalan lain 54 dan menantikan kesempatan untuk memerangkapnya berdasarkan kata-katanya.+

12 Pada masa itu, beribu-ribu orang telah berkumpul. Jumlah mereka begitu banyak sehingga mereka terpijak kaki satu sama lain. Mula-mula, Yesus berkata kepada murid-muridnya, “Berjaga-jagalah terhadap ragi orang Farisi, iaitu sikap mereka yang bermuka dua.+ 2 Apa sahaja yang disembunyikan dengan cermat akan didedahkan, dan apa sahaja yang dirahsiakan akan diketahui.+ 3 Maka, apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengari di hadapan orang ramai. Apa yang kamu bisikkan di dalam bilik yang tertutup akan diumumkan dari bumbung rumah. 4 Sahabat-sahabatku, aku berkata kepada kamu:+ Janganlah takut akan mereka yang dapat membunuh tubuh tetapi selepas itu tidak dapat melakukan apa-apa lagi.+ 5 Aku akan menunjukkan siapa yang mesti kamu takuti: Takutlah akan Dia yang dapat membunuh kamu dan selepas itu mempunyai kuasa untuk membuang kamu dalam Gehena.*+ Ya, aku berkata kepada kamu: Dialah yang mesti kamu takuti.+ 6 Bukankah lima ekor burung pipit dijual dengan harga dua mata wang yang kecil nilainya?* Meskipun demikian, tidak seekor pun dilupakan* oleh Tuhan.+ 7 Sebenarnya, bahkan semua rambut yang ada di kepala kamu sudah dihitung.+ Jadi janganlah takut. Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.+

8 “Aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang mengaku dirinya sebagai muridku di hadapan umum,+ Anak Manusia pun akan mengakui orang itu sebagai muridnya di hadapan malaikat-malaikat Tuhan.+ 9 Tetapi sesiapa yang menyangkal aku di hadapan umum, aku pun akan menyangkal dia di hadapan malaikat-malaikat Tuhan.+ 10 Sesiapa yang mengucapkan kata-kata yang menentang Anak Manusia akan diampuni, tetapi sesiapa yang menghina kuasa suci Tuhan tidak akan diampuni.+ 11 Semasa kamu dibawa ke perhimpunan awam* dan dihadapkan kepada para pemerintah dan pihak berkuasa, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu hendak membela diri.+ 12 Pada waktu itu juga, kuasa suci Tuhan akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan.”+

13 Kemudian, salah seorang dalam kalangan orang ramai berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah saudaraku memberikan sebahagian daripada harta peninggalan bapa kami kepadaku.” 14 Yesus berkata kepadanya, “Siapakah yang melantik aku untuk menghakimi hal ini atau untuk membahagikan harta antara kamu berdua?” 15 Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Berjaga-jagalah dan hindarilah semua bentuk ketamakan.+ Biarpun seseorang mempunyai banyak harta, harta miliknya tidak memberinya kehidupan.”+ 16 Kemudian Yesus menceritakan satu perumpamaan kepada mereka: “Tanah seorang lelaki yang kaya menghasilkan banyak tuaian. 17 Jadi, dia mula berfikir, ‘Sekarang aku tidak mempunyai tempat untuk menyimpan hasil tuaianku. Apakah yang harus aku lakukan?’ 18 Maka dia berkata, ‘Inilah yang akan aku lakukan:+ Aku akan merobohkan gudang-gudangku dan membina gudang-gudang yang lebih besar, supaya aku dapat mengumpulkan semua gandum dan hartaku di situ. 19 Aku akan berkata kepada diriku, “Aku sudah mengumpulkan banyak harta yang dapat dinikmati untuk bertahun-tahun. Sekarang aku boleh bersenang-lenang, makan, minum, dan berseronok.”’ 20 Tetapi Tuhan berfirman kepadanya, ‘Hai orang yang tidak munasabah, malam ini engkau akan kehilangan nyawamu. Jadi siapakah yang akan mendapat apa yang sudah engkau simpan?’+ 21 Itulah yang akan terjadi kepada orang yang menyimpan harta untuk diri sendiri tetapi tidak kaya di mata Tuhan.”+

22 Kemudian dia berkata kepada murid-muridnya, “Itulah sebabnya aku berkata kepada kamu: Jangan khuatir lagi tentang hidupmu, tentang apa yang akan kamu makan, dan jangan khuatir lagi tentang tubuhmu, tentang apa yang akan kamu pakai,+ 23 kerana nyawa lebih berharga daripada makanan dan tubuh lebih berharga daripada pakaian. 24 Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai benih, menuai, atau memiliki gudang ataupun jelapang. Namun Tuhan memberi burung-burung itu makanan.+ Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung?+ 25 Siapakah antara kamu yang dapat memanjangkan hayat walaupun sedikit* dengan berasa khuatir? 26 Jika perkara sekecil itu pun tidak dapat kamu lakukan, mengapakah kamu khuatir tentang perkara-perkara lain?+ 27 Perhatikan bagaimana bunga-bunga tumbuh. Bunga-bunga tidak bekerja atau menenun pakaian. Tetapi aku berkata kepada kamu bahawa Raja Salomo dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah salah satu daripada bunga-bunga itu.+ 28 Mengapakah iman kamu begitu lemah? Jika tumbuh-tumbuhan di padang yang ada hari ini lalu esoknya dibuang ke dalam api pun diberi pakaian yang indah oleh Tuhan, apatah lagi dengan kamu! Sudah pasti Dia akan memberi kamu pakaian yang diperlukan. 29 Jadi jangan asyik berfikir tentang apa yang akan kamu makan dan apa yang akan kamu minum, dan jangan lagi terlalu khuatir.+ 30 Semua perkara ini asyik dikejar oleh orang dalam dunia ini. Tetapi Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua perkara ini.+ 31 Oleh itu, teruslah mengutamakan Kerajaan-Nya, dan perkara-perkara itu akan diberikan kepada kamu.+

32 “Hai kawanan kecil,+ janganlah takut, kerana Bapa kamu berkenan untuk memberi kamu Kerajaan-Nya.+ 33 Juallah harta milik kamu, dan buatlah kebajikan.+ Dapatkanlah dompet yang tidak akan rosak, iaitu harta di syurga+ yang tidak akan habis. Di situ pencuri tidak dapat menghampiri harta kamu dan gegat tidak dapat merosakkannya. 34 Hal ini demikian kerana di mana harta kamu, di situ juga hati kamu.

35 “Hendaklah kamu mengikat pinggang*+ dan memastikan pelita kamu dinyalakan.+ 36 Jadilah seperti hamba yang sedang menunggu tuan mereka pulang+ dari majlis perkahwinan.+ Apabila tuan mereka tiba dan mengetuk pintu, mereka dapat membuka pintu dengan serta-merta. 37 Alangkah bahagianya hamba-hamba itu jika tuan mereka datang dan mendapati bahawa mereka sedang berjaga-jaga! Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Dia akan bersiap sedia,* menyuruh mereka duduk dan makan di meja, serta melayani mereka. 38 Alangkah bahagianya mereka jika dia datang pada lewat malam,* bahkan selepas tengah malam,* dan mendapati bahawa mereka sedang berjaga-jaga! 39 Tetapi ketahuilah hal ini: Jika tuan rumah tahu pada jam berapa pencuri akan datang, dia tidak akan membenarkan pencuri pecah masuk ke dalam rumahnya.+ 40 Oleh itu, pastikan bahawa kamu sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.”+

41 Kemudian Petrus berkata, “Tuan, adakah perumpamaan ini ditujukan kepada kami sahaja atau kepada semua orang juga?” 42 Lalu Tuan Yesus menjawab, “Siapakah sebenarnya hamba* yang setia dan bijaksana,* yang akan dilantik oleh tuannya untuk menjaga hamba-hamba lain dan terus memberi mereka bekalan makanan yang mencukupi pada masa yang sesuai?+ 43 Alangkah bahagianya hamba itu jika tuannya datang dan mendapati bahawa dia sedang menjalankan tugasnya! 44 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Dia akan melantik hamba itu untuk mengurus segala hartanya. 45 Tetapi jika hamba itu berkata dalam hatinya, ‘Masih lama lagi sebelum tuanku balik,’ lalu dia mula memukul hamba lelaki dan hamba perempuan yang lain, dan makan minum serta menjadi mabuk,+ 46 tuan kepada hamba itu akan datang pada hari yang tidak dijangkakannya dan pada masa yang tidak diketahuinya. Kemudian, tuannya akan menjatuhkan hukuman yang berat sekali atasnya dan membuangnya bersama orang yang tidak setia. 47 Hamba itu memahami kehendak tuannya tetapi tidak bersedia untuk menyambut kedatangannya atau bertindak selaras dengan kehendaknya. Oleh itu, dia akan disebat banyak kali.+ 48 Tetapi ada hamba yang melakukan kesalahan kerana tidak memahami kehendak tuannya. Oleh itu, walaupun dia harus disebat, dia akan disebat beberapa kali sahaja. Sesungguhnya, semakin banyak tanggungjawab yang diamanahkan kepada seseorang, semakin besar kewajipan yang dipikulnya. Semakin banyak tanggungjawab yang diberikan kepada seseorang, semakin tinggi harapan orang lain terhadapnya.+

49 “Aku datang untuk menyalakan api di bumi. Api itu sudah dinyalakan, jadi tiada apa-apa lagi yang aku inginkan. 50 Sememangnya, ada pembaptisan yang perlu aku terima, dan aku sungguh resah selagi hal itu belum berakhir!+ 51 Adakah kamu menyangka bahawa aku datang ke bumi untuk membawa kedamaian? Tidak, sebaliknya aku datang untuk membawa perpecahan.+ 52 Mulai sekarang, akan berlakunya perpecahan antara lima orang dalam sebuah keluarga, tiga lawan dua dan dua lawan tiga. 53 Bapa akan melawan anak lelaki dan anak lelaki akan melawan bapa, ibu akan melawan anak perempuan dan anak perempuan akan melawan ibu, ibu mentua akan melawan menantu perempuan dan menantu perempuan akan melawan ibu mentua.”+

54 Kemudian Yesus berkata kepada orang ramai, “Apabila kamu melihat awan terbentuk di bahagian barat, kamu segera berkata, ‘Ribut akan melanda,’ dan hal itu terjadi. 55 Apabila kamu melihat bahawa angin selatan sedang bertiup, kamu berkata, ‘Cuaca hari ini tentu sangat panas,’ dan hal itu berlaku. 56 Hai orang yang bermuka dua, kamu tahu cara untuk menjelaskan keadaan cuaca dengan melihat langit dan bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami apa yang sedang berlaku sekarang?+ 57 Mengapakah kamu tidak turut menilai bagi diri sendiri apa yang benar di mata Tuhan? 58 Misalnya, semasa kamu dan orang yang mendakwa kamu pergi berjumpa dengan pihak berkuasa, berusahalah untuk menyelesaikan pertikaian antara kamu berdua semasa dalam perjalanan, supaya orang yang mendakwa kamu itu tidak menyerahkan kamu kepada hakim, lalu hakim menyerahkan kamu kepada pengawal untuk dipenjarakan.+ 59 Ketahuilah bahawa kamu akan terus meringkuk di dalam penjara selagi kamu tidak membayar hutang kamu sampai duit syiling kecil yang terakhir.”*

13 Pada masa itu, beberapa orang di situ melaporkan kepada Yesus bahawa sesetengah orang Galilea telah dibunuh oleh Pilatus semasa mereka mempersembahkan korban. 2 Maka dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu sangka bahawa hal ini terjadi kerana beberapa orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua orang Galilea yang lain? 3 Tidak. Aku berkata kepada kamu: Jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa seperti mereka.+ 4 Fikirkanlah juga tentang 18 orang yang terbunuh semasa menara di Siloam runtuh menimpa mereka. Adakah kamu sangka bahawa dosa mereka lebih besar daripada dosa semua penduduk Yerusalem yang lain? 5 Tidak. Aku berkata kepada kamu: Jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa seperti mereka.”

6 Kemudian dia menceritakan perumpamaan ini: “Seorang lelaki telah menanam pokok ara di ladang anggurnya. Semasa dia mencari buah pada pokok itu, dia tidak menjumpai sebiji buah pun.+ 7 Maka dia berkata kepada pekerja di ladang itu, ‘Sudah tiga tahun aku mencari buah pada pokok ara ini tetapi tidak menjumpai sebiji buah pun. Tebang sahajalah pokok ini! Apa gunanya pokok ini tumbuh di atas tanah tetapi tidak menghasilkan buah?’ 8 Pekerja itu menjawab, ‘Tuan, biarlah pokok ini hidup satu tahun lagi. Aku akan menggali tanah di sekelilingnya dan menabur baja. 9 Selepas itu, jika pokok ini menghasilkan buah, baguslah. Jika tidak, biarlah pokok ini ditebang.’”+

10 Pada hari Sabat, Yesus mengajar orang di dalam sebuah rumah ibadat. 11 Di situ ada seorang wanita yang sudah sakit selama 18 tahun. Ada roh jahat yang menyebabkannya bongkok dan langsung tidak dapat berdiri tegak. 12 Apabila Yesus nampak wanita itu, dia memanggilnya lalu berkata, “Hai wanita, kamu disembuhkan daripada penyakitmu.”+ 13 Kemudian dia meletakkan tangannya ke atas wanita itu, lalu wanita itu segera berdiri tegak dan mula memuliakan Tuhan. 14 Apabila ketua rumah ibadat nampak Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat, dia menjadi marah lalu berkata kepada orang ramai, “Ada enam hari untuk bekerja.+ Maka datanglah pada masa itu untuk disembuhkan, bukan pada hari Sabat!”+ 15 Namun Tuan Yesus berkata kepadanya, “Orang yang bermuka dua!+ Pada hari Sabat, tidakkah kamu melepaskan lembu jantan atau keldai masing-masing dan membawanya keluar dari kandang untuk minum air?+ 16 Wanita ini ialah keturunan Abraham yang telah dibelenggu oleh Syaitan selama 18 tahun. Tidak patutkah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?” 17 Semasa Yesus berkata demikian, semua penentangnya mula berasa malu. Namun, orang ramai bersukacita atas semua perbuatannya yang menakjubkan.+

18 Oleh itu, dia menyambung, “Kerajaan Tuhan bagaikan apa? Apakah yang boleh disamakan dengannya? 19 Kerajaan Tuhan seperti biji sawi yang diambil lalu ditanam oleh seorang lelaki di kebunnya. Biji itu kemudiannya bertumbuh menjadi sebatang pokok, dan burung-burung di langit pun membuat sarang di dahan-dahannya.”+

20 Sekali lagi dia berkata, “Kerajaan Tuhan boleh disamakan dengan apa? 21 Kerajaan Tuhan bagaikan ragi yang diambil oleh seorang wanita untuk dicampurkan dengan tiga bekas* tepung sehingga seluruh adunan itu naik.”+

22 Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus mengunjungi kota demi kota dan pekan demi pekan untuk mengajar orang. 23 Seorang lelaki bertanya kepadanya, “Tuan, sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?” Dia berkata kepada mereka, 24 “Berusahalah sedaya upaya untuk masuk melalui pintu yang sempit.+ Aku berkata kepada kamu: Ramai orang akan berusaha memasukinya tetapi tidak akan berjaya. 25 Selepas tuan rumah bangun dan mengunci pintu, kamu akan berdiri di luar dan mengetuk pintu sambil berkata, ‘Tuan, bukalah pintu untuk kami.’+ Tetapi dia akan berkata kepada kamu, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang.’ 26 Kemudian kamu akan berkata, ‘Kami pernah makan dan minum bersama tuan, dan tuan juga pernah mengajar di jalan utama kota kami.’+ 27 Namun dia akan berkata kepada kamu, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah dari sini, hai kamu semua yang berbuat jahat!’ 28 Kamu akan melihat Abraham, Ishak, Yakub, dan semua nabi, dalam Kerajaan Tuhan, tetapi kamu pula dibuang ke luar. Di situ kamu akan menangis dan menggertakkan gigi.+ 29 Tambahan lagi, orang yang datang dari timur, barat, utara, dan selatan, akan duduk dan makan dalam Kerajaan Tuhan. 30 Sesungguhnya, sesetengah orang yang terakhir akan menjadi yang pertama, manakala sesetengah orang yang pertama akan menjadi yang terakhir.”+

31 Pada masa itu juga, beberapa orang Farisi datang kepadanya dan berkata, “Pergilah dan tinggalkanlah tempat ini, kerana Herodes ingin membunuhmu.” 32 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah dan beritahulah si licik* itu, ‘Hari ini dan hari esok, aku akan mengusir roh jahat dan menyembuhkan orang sakit. Pada hari ketiga, kerjaku akan selesai.’ 33 Namun, aku mesti meneruskan perjalananku pada hari ini, esok, dan lusa, kerana seorang nabi tidak boleh dibunuh di luar Yerusalem.+ 34 Yerusalem, Yerusalem, kamu membunuh para nabi dan merejam orang yang diutus kepada kamu.+ Sudah banyak kali aku ingin mengumpulkan anak-anak kamu sepertimana seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya! Tetapi kamu semua tidak mahu.+ 35 Lihatlah, rumah ini* akan terbiar dan diserahkan kepada kamu!+ Aku berkata kepada kamu: Kamu pasti tidak akan melihat aku lagi sehingga kamu berkata, ‘Diberkatilah dia yang datang atas nama Yehuwa!’”*+

14 Pada suatu hari Sabat, Yesus pergi makan di rumah seorang pemimpin orang Farisi. Orang di situ memerhatikan Yesus dengan teliti. 2 Di hadapannya terdapat seorang lelaki yang menderita sejenis penyakit yang menyebabkan tubuhnya bengkak.* 3 Maka Yesus berkata kepada orang Farisi dan mereka yang arif dalam Hukum, “Salahkah untuk menyembuhkan orang pada hari Sabat?”+ 4 Tetapi mereka diam sahaja. Oleh itu Yesus menyentuh lelaki itu dan menyembuhkannya lalu menyuruhnya pergi. 5 Kemudian dia berkata kepada mereka, “Jika anak lelaki atau lembu jantan kamu jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, siapakah antara kamu yang tidak akan segera menariknya keluar?”+ 6 Mereka tidak dapat menjawabnya.

7 Apabila Yesus melihat bahawa tetamu di situ suka memilih tempat yang terbaik,+ dia menceritakan satu perumpamaan kepada mereka: 8 “Semasa orang lain menjemput kamu ke jamuan perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik.+ Barangkali seseorang yang lebih penting daripada kamu juga dijemput, 9 dan orang yang menjemput kamu berdua akan datang dan berkata kepada kamu, ‘Biarlah dia yang duduk di tempat ini.’ Kemudian, dengan malu kamu terpaksa duduk di tempat yang paling rendah. 10 Sebaliknya, apabila kamu dijemput, pergilah duduk di tempat yang paling rendah. Apabila orang yang menjemput kamu itu datang, dia akan berkata, ‘Kawan, marilah ke tempat yang lebih baik.’ Pada masa itu, kamu akan diberi penghormatan di hadapan semua tetamu lain.+ 11 Hal ini demikian kerana sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”+

12 Seterusnya Yesus juga berkata kepada orang yang mengundangnya, “Semasa kamu mengadakan jamuan tengah hari atau jamuan malam, janganlah menjemput sahabat, adik-beradik, sanak saudara, atau jiran yang kaya. Mungkin mereka juga akan menjemput kamu kelak, dan dengan demikian kamu sudah menerima balasan kamu. 13 Sebaliknya, semasa kamu mengadakan jamuan, jemputlah orang miskin, orang tempang, orang buta, dan orang lain yang kurang upaya.+ 14 Berbahagialah kamu setelah berbuat demikian, kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk membalas kamu. Kamu akan menerima balasan kamu semasa orang yang melakukan apa yang benar dibangkitkan.”+

15 Salah seorang tetamu di situ mendengar kata-katanya lalu berkata, “Berbahagialah orang yang menikmati jamuan dalam Kerajaan Tuhan.”

16 Yesus berkata kepadanya, “Ada seorang lelaki yang mengadakan jamuan malam yang besar+ dan dia telah menjemput banyak orang. 17 Apabila masa jamuan itu hampir tiba, dia mengutus hambanya untuk berkata kepada orang yang dijemput, ‘Datanglah, semuanya sudah siap.’ 18 Tetapi mereka semua mula memberikan alasan.+ Yang pertama berkata, ‘Aku sudah membeli sebidang tanah dan hendak melihatnya. Maaf, aku tidak dapat datang.’ 19 Seorang lagi berkata, ‘Aku telah membeli 10 ekor lembu dan hendak memeriksa lembu-lembu itu. Maaf, aku tidak dapat datang.’+ 20 Ada juga yang berkata, ‘Aku baru sahaja berkahwin. Itulah sebabnya aku tidak dapat datang.’ 21 Hamba itu pun pulang dan melaporkan hal itu kepada tuannya. Tuan rumah itu naik marah dan berkata kepada hambanya, ‘Cepatlah pergi ke jalan utama dan lorong kecil di kota. Bawalah orang miskin, orang buta, orang tempang, dan orang lain yang kurang upaya ke sini.’ 22 Selepas hamba itu pulang, dia berkata, ‘Perintah tuan sudah hamba laksanakan. Namun, masih ada tempat kosong.’ 23 Tuannya pun berkata, ‘Pergilah ke jalan dan lorong di luar kota. Desaklah orang di situ untuk datang supaya rumahku penuh dengan tetamu.+ 24 Aku berkata kepada kamu: Tiada seorang pun daripada semua orang yang dijemput pada mulanya akan makan di jamuan malamku.’”+

25 Sekumpulan besar orang sedang berjalan dengan Yesus. Dia berpaling lalu berkata kepada mereka, 26 “Sesiapa yang datang kepadaku mesti mengasihi aku lebih daripada* bapa, ibu, isteri, anak, adik-beradik, dan bahkan diri sendiri.+ Jika tidak, dia tidak boleh menjadi muridku.+ 27 Sesiapa yang tidak memikul tiang seksaannya* dan terus mengikut aku tidak boleh menjadi muridku.+ 28 Misalnya, siapakah antara kamu yang ingin membina sebuah menara, tetapi tidak duduk dan mengira perbelanjaannya terlebih dahulu untuk melihat sama ada wangnya cukup untuk menyiapkan pembinaan itu atau tidak? 29 Jika dia sudah meletakkan asasnya tetapi tidak dapat menyiapkan kerja pembinaannya, semua orang yang melihat hal ini akan mentertawakannya 30 dan berkata, ‘Orang ini mula membina tetapi tidak dapat menyiapkan pembinaannya.’ 31 Fikirkan lagi: Jika seorang raja akan berperang dengan seorang raja yang lain, tidakkah raja itu akan duduk dan berbincang dengan para penasihatnya terlebih dahulu untuk melihat sama ada 10,000 orang askarnya dapat melawan 20,000 orang askar yang akan menyerangnya? 32 Jika dia tahu bahawa dia tidak dapat menang, dia akan mengutus duta-dutanya untuk minta berdamai semasa pihak musuh masih jauh. 33 Dalam cara yang sama, ingatlah bahawa kamu tidak boleh menjadi muridku selagi kamu tidak meninggalkan semua harta kamu.+

34 “Garam memang baik. Tetapi jika garam hilang rasa masinnya, apakah yang akan digunakan untuk memulihkan rasanya?+ 35 Memandangkan garam itu tidak sesuai untuk dicampurkan dengan tanah atau baja, orang akan membuangnya. Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”+

15 Semua pemungut cukai dan orang yang berdosa berkumpul di sekeliling Yesus untuk mendengar kata-katanya.+ 2 Orang Farisi dan para jurutulis hukum bersungut-sungut dan berkata, “Lelaki ini menyambut orang yang berdosa dan makan bersama mereka.” 3 Oleh itu, Yesus menceritakan perumpamaan ini: 4 “Katakan seorang daripada kamu memiliki 100 ekor bebiri dan salah seekor bebirinya hilang. Tidakkah dia akan meninggalkan 99 ekor bebiri itu di padang belantara lalu pergi mencari bebiri yang hilang itu sehingga dapat?+ 5 Apabila dia menjumpai bebiri itu, dia memikulnya pada bahu dan bersukacita. 6 Setibanya di rumah, dia memanggil kawan-kawan dan jiran-jirannya lalu berkata kepada mereka, ‘Bergembiralah bersamaku kerana bebiriku yang hilang sudah dijumpai.’+ 7 Aku memberitahu kamu bahawa dalam cara yang sama, seorang pendosa yang bertaubat akan mendatangkan sukacita yang lebih besar di syurga+ berbanding dengan 99 orang yang melakukan apa yang benar, yang tidak perlu bertaubat.

8 “Atau, katakan seorang wanita memiliki 10 keping wang perak* dan sekeping daripada wang peraknya hilang. Tidakkah dia akan menyalakan pelita, menyapu rumahnya, dan mencari wang perak itu dengan teliti sehingga dapat? 9 Apabila dia menjumpai wang perak itu, dia memanggil kawan-kawan dan jiran-jirannya lalu berkata kepada mereka, ‘Bersukacitalah bersamaku kerana wang perakku yang hilang sudah dijumpai.’ 10 Dalam cara yang sama, aku memberitahu kamu bahawa malaikat-malaikat Tuhan akan bersukacita apabila seorang pendosa bertaubat.”+

11 Kemudian dia berkata, “Seorang lelaki mempunyai dua orang anak lelaki. 12 Yang lebih muda berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berikanlah harta bahagian saya.’ Lalu bapanya membahagikan hartanya antara kedua-dua orang anaknya. 13 Beberapa hari kemudian, anak yang lebih muda itu mengumpulkan semua barangnya dan mengembara ke sebuah negeri yang jauh. Di sana, dia memboroskan harta miliknya dan hidup berfoya-foya. 14 Setelah dia memboroskan semua hartanya, kebuluran yang teruk melanda seluruh negeri itu dan dia terpaksa hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. 15 Dia bahkan pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu yang menyuruh dia menjaga kawanan babi di ladangnya.+ 16 Dia teringin mengisi perutnya dengan makanan babi, tetapi tiada seorang pun yang memberinya apa-apa untuk dimakan.

17 “Akhirnya dia insaf lalu berkata, ‘Bapaku mengupah banyak orang dan mereka berlimpah-limpah dengan roti sedangkan aku hampir mati kelaparan di sini! 18 Aku akan berangkat dan pergi kepada bapaku lalu berkata kepadanya, “Ayah, saya sudah berdosa terhadap Tuhan di syurga dan terhadap ayah. 19 Saya tidak layak lagi dipanggil anak ayah. Jadikanlah saya orang gaji ayah.”’ 20 Maka dia bangun dan pulang kepada bapanya. Apabila bapanya nampak dia dari jauh, bapanya berasa kasihan terhadapnya lalu berlari ke arahnya, memeluknya, dan menciumnya. 21 Kemudian, anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, saya telah berdosa terhadap Tuhan di syurga dan terhadap ayah.+ Saya tidak lagi layak disebut anak ayah.’ 22 Tetapi bapanya berkata kepada hamba-hambanya, ‘Cepat! Bawalah jubah yang terbaik dan kenakanlah jubah itu padanya. Pakaikan cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. 23 Bawa dan sembelihlah anak lembu yang gemuk dan marilah kita makan dan berpesta, 24 kerana anakku ini mati tetapi dia telah hidup semula,+ dan dia hilang tetapi sudah ditemui.’ Maka mereka mula bersukacita.

25 “Pada masa itu, anaknya yang lebih tua berada di ladang. Semasa dia dalam perjalanan pulang dan berada tidak jauh dari rumahnya, dia terdengar bunyi muzik dan tari-tarian. 26 Maka dia memanggil salah seorang hamba untuk bertanya tentang apa yang sedang berlaku. 27 Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan sudah kembali. Bapa tuan menyembelih anak lembu yang gemuk, kerana adik tuan sudah kembali dalam keadaan yang sihat.’* 28 Mendengar hal ini, dia menjadi marah dan enggan masuk ke dalam rumah. Lalu bapanya keluar dan menasihatinya. 29 Tetapi dia berkata kepada bapanya, ‘Lihatlah! Sudah bertahun-tahun saya bekerja seperti hamba untuk ayah dan saya tidak pernah mengingkari perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada saya supaya saya boleh bersukacita bersama sahabat-sahabat saya. 30 Anak ayah itu pula memboroskan segala harta ayah bersama pelacur, tetapi sebaik sahaja dia pulang, ayah menyembelih anak lembu yang gemuk untuk dia.’ 31 Bapanya berkata kepadanya, ‘Anakku, kamu sentiasa di sisi ayah. Segala yang ayah miliki juga milikmu, 32 tetapi kita harus berpesta dan bergembira kerana adik kamu mati tetapi dia telah hidup semula, dan dia hilang tetapi sudah ditemui.’”

16 Kemudian dia juga berkata kepada murid-muridnya, “Seorang lelaki kaya mempunyai seorang hamba yang menguruskan rumah tangganya. Hamba itu dituduh membazirkan harta tuannya. 2 Jadi orang kaya itu memanggilnya lalu berkata, ‘Aku hendak memecatmu kerana aku mendengar laporan buruk mengenaimu. Serahkanlah laporan kewanganmu.’ 3 Hamba itu berkata kepada dirinya, ‘Tuanku tidak mahu aku menjadi pengurus rumah tangganya lagi. Apakah yang harus aku lakukan? Aku tidak cukup kuat untuk mencangkul, dan aku malu untuk meminta sedekah. 4 Oh ya! Aku tahu apa yang dapat aku lakukan supaya apabila aku diberhentikan kerja, orang lain akan menyambut aku ke dalam rumah mereka.’ 5 Oleh itu, dia memanggil setiap orang yang berhutang kepada tuannya. Dia berkata kepada orang yang pertama, ‘Berapakah hutangmu kepada tuanku?’ 6 Orang itu menjawab, ‘Aku berhutang 2,200 liter* minyak zaitun.’ Hamba itu pun berkata, ‘Ambillah surat perjanjian pinjamanmu. Cepatlah duduk dan tulis 1,100 liter.’ 7 Kemudian, dia berkata kepada seorang lagi, ‘Berapakah hutang kamu pula?’ Orang itu berkata, ‘Aku berhutang 100 guni* gandum.’ Hamba itu pun berkata, ‘Ambillah surat perjanjian pinjamanmu dan tulis 80 guni.’ 8 Walaupun hamba itu tidak jujur, dia dipuji oleh tuannya kerana dia bertindak dengan bijaksana. Aku berkata demikian kerana orang dalam sistem dunia ini* lebih bijaksana daripada orang yang hidup dalam terang+ semasa berurusan dengan orang dalam generasi mereka.

9 “Aku juga berkata kepada kamu: Gunakanlah kekayaan daripada dunia jahat ini untuk mendapat sahabat.+ Dengan demikian, apabila kekayaan kamu lenyap, sahabat-sahabat itu akan menyambut kamu ke dalam tempat kediaman yang abadi.+ 10 Orang yang setia dalam perkara yang kecil juga akan setia dalam perkara yang besar, dan orang yang tidak jujur dalam hal yang kecil juga tidak akan jujur dalam hal yang besar. 11 Oleh itu, jika kamu tidak setia semasa menggunakan kekayaan dalam dunia jahat ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan sejati kepada kamu? 12 Jika kamu tidak setia semasa menguruskan harta benda orang lain, siapakah yang akan memberi kamu ganjaran yang disediakan untuk kamu?+ 13 Seorang hamba tidak dapat melayani dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi, atau dia akan setia kepada yang seorang dan menghina yang seorang lagi. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.”+

14 Setelah mendengar kata-kata Yesus, orang Farisi mula mencemuhnya kerana mereka cinta akan wang.+ 15 Maka dia berkata kepada mereka, “Di hadapan orang, kamu mengatakan bahawa kamu berbuat benar,+ tetapi Tuhan mengetahui isi hati kamu.+ Sebenarnya apa yang dianggap penting di mata manusia menjijikkan di mata Tuhan.+

16 “Hukum dan Ajaran Para Nabi telah dikhabarkan sehingga zaman Yohanes. Selepas itu, berita baik tentang Kerajaan Tuhan telah dikhabarkan, dan segala macam orang kini berusaha dengan gigih untuk memasuki kerajaan itu.+ 17 Sesungguhnya, biarpun langit dan bumi lenyap, huruf yang terkecil atau satu titik pun dalam Hukum tidak akan lenyap sehingga semua yang tertulis berlaku.+

18 “Jika sesiapa menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, dia telah berzina. Sesiapa yang mengahwini seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya juga telah berzina.+

19 “Ada seorang lelaki kaya yang menikmati hidup yang serba mewah setiap hari. Dia biasa memakai pakaian yang diperbuat daripada kain ungu dan kain linen. 20 Seorang pengemis yang bernama Lazarus sering dibawa ke pintu pagar rumah lelaki kaya itu. Badannya penuh dengan bisul, 21 dan dia berharap dapat mengisi perutnya dengan sisa makanan yang jatuh dari meja lelaki kaya itu. Bahkan anjing pun datang dan menjilat bisulnya. 22 Akhirnya, pengemis itu meninggal dan dibawa oleh malaikat-malaikat ke sisi Abraham.*

“Lelaki kaya itu juga meninggal dan dikebumikan. 23 Semasa dia menderita di Kuburan,* dia mendongak dan melihat Abraham dari jauh bersama Lazarus di sisinya. 24 Maka lelaki kaya itu berseru, ‘Bapa Abraham, kasihanilah aku. Utuslah Lazarus untuk mencelup hujung jarinya ke dalam air dan menyejukkan lidahku, kerana aku sangat sengsara di dalam api yang berkobar ini.’ 25 Namun Abraham berkata, ‘Anakku, ingatlah bahawa kamu sudah menikmati segala yang baik semasa kamu masih hidup, tetapi Lazarus pula ditimpa pelbagai kesusahan. Sekarang, dia mendapat kelegaan di sini, tetapi kamu pula sedang menderita. 26 Selain itu, ada jurang dalam yang memisahkan kita, jadi orang dari sini tidak dapat pergi kepada kamu, dan orang dari situ juga tidak dapat datang kepada kami.’ 27 Lelaki kaya itu pun berkata, ‘Jika begitu bapa, utuslah Lazarus ke rumah ayahku, 28 supaya dia dapat memberikan kesaksian yang menyeluruh kepada lima orang adik-beradikku. Dengan ini mereka tidak akan menderita di sini seperti aku.’ 29 Tetapi Abraham berkata, ‘Mereka boleh mendengar perintah dalam Hukum Musa dan Ajaran Para Nabi.’+ 30 Lelaki kaya itu berkata, ‘Tidak, bapa Abraham. Jika ada orang mati yang bangkit dan pergi kepada mereka, mereka akan bertaubat.’ 31 Tetapi Abraham berkata kepadanya, ‘Jika mereka tidak mendengar perintah dalam Hukum Musa+ dan Ajaran Para Nabi, mereka juga tidak akan percaya biarpun ada orang bangkit daripada kematian.’”

17 Selepas itu, dia berkata kepada murid-muridnya, “Hal-hal yang menyebabkan orang tersandung pasti akan datang. Tetapi malanglah orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku! 2 Lebih baik jika batu kisar digantungkan pada lehernya lalu dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan salah seorang muridku yang bagaikan anak kecil tersandung.+ 3 Perhatikanlah diri kamu. Jika saudara kamu berdosa, tegurlah dia,+ dan jika dia bertaubat, maafkanlah dia.+ 4 Meskipun dia berdosa terhadap kamu tujuh kali dalam sehari dan kembali kepada kamu tujuh kali lalu berkata, ‘Aku menyesal,’ kamu mesti memaafkan dia.”+

5 Para rasul berkata kepada Tuan Yesus, “Berilah kami lebih banyak iman.”+ 6 Maka Tuan Yesus berkata, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada pokok kertau ini, ‘Tercabutlah dan tertanamlah di laut!’ dan pokok itu akan menurut perintah kamu.+

7 “Katakan kamu mempunyai seorang hamba yang sedang membajak atau menjaga ternakan. Setelah hamba itu pulang dari ladang, siapakah antara kamu yang akan berkata kepadanya, ‘Cepatlah datang dan makanlah di meja’? 8 Sebaliknya kamu akan berkata kepadanya, ‘Sediakanlah makan malam aku dan pakailah apron lalu layanilah aku sehingga aku habis makan dan minum. Selepas itu, barulah kamu boleh makan dan minum.’ 9 Memandangkan apa yang dilakukan oleh hamba itu merupakan kewajipannya, tuannya tidak akan mengucapkan terima kasih kepadanya. 10 Dalam cara yang sama, selepas kamu melakukan segala yang ditugaskan kepada kamu, katakanlah, ‘Kami hamba yang tidak layak dipuji. Apa yang kami lakukan hanyalah kewajipan kami.’”+

11 Semasa dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus lalu di Samaria dan Galilea. 12 Apabila dia masuk ke dalam sebuah pekan, 10 orang pesakit kusta melihatnya dari jauh.+ Mereka berdiri 13 dan berseru dengan suara yang lantang, “Yesus, Guru, kasihanilah kami!” 14 Apabila dia nampak mereka, dia berkata, “Pergilah berjumpa dengan para imam.”+ Ketika mereka berjalan ke sana, mereka sembuh.+ 15 Sebaik sahaja seorang daripada mereka sedar bahawa dia sudah sembuh, dia berpatah balik dan memuliakan Tuhan dengan suara yang lantang. 16 Lelaki itu bersujud di depan kaki Yesus dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Dia orang Samaria.+ 17 Yesus berkata, “Ada 10 orang yang disembuhkan, bukan? Di manakah sembilan orang yang lain? 18 Tidak adakah orang lain yang kembali untuk memuliakan Tuhan selain lelaki bangsa asing ini?” 19 Maka dia berkata kepada lelaki itu, “Bangunlah dan pulanglah. Kamu sembuh kerana kamu beriman.”+

20 Orang Farisi bertanya kepada Yesus, “Bilakah Kerajaan Tuhan akan datang?”+ Dia menjawab, “Kedatangan Kerajaan Tuhan tidak ketara bagi semua orang. 21 Orang juga tidak akan berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau, ‘Lihatlah di situ!’ kerana Kerajaan Tuhan ada dalam kalangan kamu.”+

22 Selepas itu, dia berkata kepada murid-muridnya, “Harinya akan tiba apabila kamu berharap dapat melihat masanya Anak Manusia ada bersama kamu, tetapi kamu tidak akan melihat masa itu. 23 Orang akan berkata, ‘Lihatlah di situ!’ atau, ‘Lihatlah di sini!’ Janganlah kamu keluar atau mengikut mereka.+ 24 Sepertimana kilat memancar dari satu hujung langit ke hujung langit yang satu lagi, begitulah keadaannya pada hari Anak Manusia+ menampakkan diri.+ 25 Tetapi dia harus mengalami banyak penderitaan terlebih dahulu, dan dia tidak akan diterima oleh generasi ini.+ 26 Sepertimana keadaannya pada zaman Nuh,+ begitulah keadaannya pada zaman Anak Manusia:+ 27 Orang makan dan minum; lelaki dan wanita berkahwin, sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera+ lalu Banjir melanda dan membinasakan mereka semua.+ 28 Demikian juga keadaannya pada zaman Lot:+ Orang makan minum, berjual beli, bercucuk tanam, dan membina rumah. 29 Tetapi pada hari Lot keluar dari Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua.+ 30 Demikianlah keadaannya pada hari Anak Manusia menampakkan diri.+

31 “Pada hari itu, hendaklah orang yang berada di bumbung rumah* tidak turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Begitu juga, hendaklah orang yang berada di ladang tidak balik untuk mengambil barang yang telah ditinggalkan. 32 Ingatlah akan isteri Lot.+ 33 Sesiapa yang ingin menyelamatkan nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang kehilangan nyawanya akan menyelamatkan nyawanya.+ 34 Aku berkata kepada kamu: Pada malam itu, dua orang akan berada di atas sebuah katil. Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan.+ 35 Dua orang wanita akan menggiling gandum bersama-sama. Seorang akan dibawa pergi, manakala seorang lagi akan ditinggalkan.” 36* —— 37 Murid-muridnya bertanya, “Tuan, di manakah hal ini akan berlaku?” Dia menjawab, “Di mana ada bangkai, di situlah burung helang akan berkumpul.”+

18 Kemudian, Yesus menceritakan satu perumpamaan untuk mengajar mereka bahawa mereka perlu sentiasa berdoa dan tidak berputus asa.+ 2 Dia berkata, “Di sebuah kota, terdapat seorang hakim yang tidak takut kepada Tuhan dan tidak menghormati orang. 3 Di kota itu juga ada seorang balu yang asyik pergi kepadanya dan berkata, ‘Semasa aku menghadapi lawanku di mahkamah, tolonglah tegakkan keadilan bagiku.’ 4 Buat suatu ketika, hakim itu enggan menolong balu itu, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku tidak takut kepada Tuhan dan tidak menghormati orang, 5 aku akan menegakkan keadilan bagi balu ini kerana dia asyik menyusahkan aku. Jika tidak, dia akan terus datang dan mengganggu aku dengan permintaannya itu.’”+ 6 Kemudian Tuan Yesus berkata, “Walaupun hakim itu bukanlah orang yang melakukan apa yang benar, dengarlah apa yang dikatakannya! 7 Dalam cara yang sama, walaupun Tuhan sabar,+ tidakkah Dia akan menegakkan keadilan bagi umat pilihan-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam?+ 8 Aku berkata kepada kamu: Dia akan menegakkan keadilan bagi mereka dengan segera. Namun, semasa Anak Manusia tiba, dapatkah dia menemui iman sejati di bumi?”

9 Yesus juga menceritakan satu perumpamaan kepada orang yang yakin bahawa diri mereka alim tetapi memandang hina pada orang lain. 10 Dia berkata, “Dua orang lelaki pergi ke Rumah Tuhan untuk berdoa. Seorang ialah orang Farisi dan seorang lagi ialah pemungut cukai. 11 Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya, ‘Ya Tuhan, aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini atau orang lain yang memeras ugut, berbuat salah, dan berzina. 12 Aku berpuasa dua kali seminggu, dan aku memberikan satu persepuluh daripada semua yang aku peroleh.’+ 13 Tetapi pemungut cukai itu berdiri dari jauh dan bahkan tidak berani menengadah ke langit. Dia terus memukul dadanya sambil berkata, ‘Ya Tuhan, kasihanilah aku, kerana aku orang yang berdosa.’+ 14 Aku berkata kepada kamu: Semasa orang ini pulang, di mata Tuhan dia lebih baik daripada orang Farisi itu,+ kerana sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”+

15 Pada masa itu, ada orang membawa anak-anak kecil* kepada Yesus supaya dia meletakkan tangannya ke atas mereka. Tetapi murid-murid Yesus melihat hal ini lalu memarahi mereka.+ 16 Namun, Yesus menyuruh agar anak-anak* itu dibawa kepadanya dan berkata, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepadaku. Jangan mencuba menghalang mereka, kerana Kerajaan Tuhan akan menjadi milik orang seperti mereka.+ 17 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang tidak menerima Kerajaan Tuhan seperti seorang kanak-kanak, tidak akan masuk ke dalamnya.”+

18 Salah seorang pemimpin orang Yahudi bertanya kepadanya, “Guru yang Baik, apakah yang mesti aku lakukan untuk meraih kehidupan yang kekal?”+ 19 Yesus berkata kepadanya, “Mengapakah kamu mengatakan bahawa aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan.+ 20 Kamu tahu hukum-hukum yang berikut: ‘Jangan berzina,+ jangan membunuh,+ jangan mencuri,+ jangan memberikan kesaksian palsu,+ hormatilah ibu bapa kamu.’”+ 21 Orang itu menjawab, “Aku sudah mematuhi semua hukum ini sejak muda.” 22 Selepas mendengar jawapannya, Yesus berkata, “Ada satu lagi perkara yang perlu kamu lakukan: Juallah semua harta milik kamu dan bahagikan wang itu kepada orang miskin. Dengan ini, kamu akan mempunyai harta di syurga. Kemudian, marilah dan jadilah pengikutku.”+ 23 Orang itu sedih sekali ketika mendengar kata-kata ini kerana dia sangat kaya.+

24 Yesus memandangnya dan berkata, “Alangkah susahnya bagi orang yang kaya untuk memasuki Kerajaan Tuhan!+ 25 Sebenarnya lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada orang yang kaya memasuki Kerajaan Tuhan.”+ 26 Orang yang mendengarnya bertanya, “Jika begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?”+ 27 Dia menjawab, “Apa yang mustahil bagi manusia tidak mustahil bagi Tuhan.”+ 28 Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan harta milik kami lalu mengikut Guru.”+ 29 Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah: Sesiapa yang meninggalkan rumah, isteri, adik-beradik, ibu bapa, atau anak, demi Kerajaan Tuhan+ 30 pasti menerima semuanya secara berlipat ganda pada zaman ini, dan pada sistem yang akan datang,* dia akan menerima kehidupan yang kekal.”+

31 Kemudian dia membawa 12 orang rasulnya ke tepi dan berkata kepada mereka, “Lihatlah! Kita sedang menuju ke Yerusalem, dan segala yang ditulis oleh para nabi mengenai Anak Manusia akan terjadi.+ 32 Misalnya dia akan diserahkan kepada orang daripada bangsa lain,+ diperolok-olokkan,+ dihina, dan diludahi.+ 33 Mereka akan mencambuknya dan kemudian membunuhnya,+ tetapi dia akan bangkit pada hari yang ketiga.”+ 34 Namun, mereka tidak dapat memahami semua hal ini kerana maksudnya telah dirahsiakan daripada mereka.

35 Semasa Yesus hampir tiba di Yerikho, ada seorang lelaki buta yang sedang duduk sambil meminta sedekah di tepi jalan.+ 36 Apabila dia mendengar orang ramai lalu di situ, dia bertanya tentang apa yang sedang berlaku. 37 Mereka berkata kepadanya, “Yesus, orang Nasaret itu, sedang lalu di sini!” 38 Maka dia berseru, “Yesus, Anak Daud, kasihanilah aku!” 39 Dengan tegas, orang yang berjalan di hadapan menyuruhnya diam. Namun, dia berseru dengan lebih kuat lagi, “Anak Daud, kasihanilah aku!” 40 Yesus pun berhenti dan menyuruh orang membawa lelaki buta itu kepadanya. Apabila orang buta itu sudah dekat, Yesus bertanya kepadanya, 41 “Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” Dia menjawab, “Tuan, pulihkanlah penglihatanku.” 42 Maka Yesus berkata kepadanya, “Biarlah penglihatanmu dipulihkan. Kamu sembuh kerana kamu beriman.”+ 43 Pada saat itu juga, penglihatan lelaki itu pulih lalu dia mula mengikut Yesus+ sambil memuliakan Tuhan. Semua orang yang melihat hal itu juga memuji Tuhan.+

19 Yesus masuk ke Yerikho dan berjalan melalui kota itu. 2 Di situ ada seorang lelaki kaya yang bernama Zakheus. Dia ialah ketua pemungut cukai. 3 Dia ingin melihat Yesus tetapi dia tidak dapat berbuat demikian kerana ada ramai orang di situ. Lagipun dia pendek. 4 Oleh itu, dia berlari mendahului orang ramai dan memanjat sebatang pokok ara agar dia dapat melihat Yesus yang akan lalu di situ. 5 Apabila Yesus tiba di tempat itu, dia memandang ke atas lalu berkata, “Zakheus, cepatlah turun! Hari ini aku mesti menumpang di rumah kamu.” 6 Zakheus turun dengan segera dan menyambut Yesus dengan sukacita. 7 Semua orang yang menyaksikan hal itu mula bersungut-sungut dan berkata, “Dia menumpang di rumah orang yang berdosa.”+ 8 Tetapi, Zakheus berdiri dan berkata kepada Tuan Yesus, “Tuan, aku akan memberikan separuh daripada hartaku kepada orang miskin. Apa sahaja yang pernah aku peras* daripada orang, akan aku bayar kembali empat kali ganda.”+ 9 Maka Yesus berkata, “Hari ini, Tuhan telah menyelamatkan lelaki ini dan keluarganya, kerana dia juga keturunan Abraham. 10 Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.”+

11 Sementara murid-muridnya masih mendengar, Yesus menceritakan satu lagi perumpamaan. Dia berbuat demikian kerana dia hampir tiba di Yerusalem dan mereka menyangka bahawa Kerajaan Tuhan akan muncul dalam sekelip mata.+ 12 Oleh itu, Yesus berkata, “Seorang bangsawan hendak pergi ke tempat yang jauh+ untuk menjadi raja, dan kemudian dia akan kembali. 13 Sebelum bertolak, dia memanggil 10 orang hambanya dan memberi mereka 10 mina.* Dia berkata kepada mereka, ‘Berniagalah dengan wang ini sampai aku pulang.’+ 14 Tetapi orang yang sebangsa dengannya membencinya dan menghantar duta-duta untuk berkata kepadanya, ‘Kami tidak mahu kamu menjadi raja kami.’

15 “Selepas dia dilantik sebagai raja, dia pulang dan memanggil hamba-hamba yang diberinya duit perak itu. Dia ingin mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka daripada perniagaan masing-masing.+ 16 Hamba yang pertama datang dan berkata, ‘Tuan, daripada satu mina yang tuan beri, hamba mendapat 10 mina.’+ 17 Maka dia berkata kepada hambanya, ‘Bagus, kamu hamba yang baik! Oleh sebab kamu setia dalam perkara yang sangat kecil, aku memberi kamu kuasa atas 10 buah kota.’+ 18 Hamba yang kedua datang lalu berkata, ‘Tuan, daripada satu mina yang tuan beri, hamba mendapat lima mina.’+ 19 Dia juga berkata kepada hamba tersebut, ‘Kamu akan diberi kuasa atas lima buah kota.’ 20 Tetapi seorang lagi hamba datang lalu berkata, ‘Tuan, inilah duit mina tuan yang hamba sembunyikan dalam sehelai kain. 21 Hamba takut akan tuan kerana tuan seorang yang amat tegas. Tuan mengeluarkan duit daripada bank meskipun tidak memasukkannya terlebih dahulu dan menuai meskipun tidak menanam.’+ 22 Dia berkata kepada hamba itu, ‘Hamba yang jahat! Aku akan menghakimi kamu menurut kata-kata kamu. Kamu tahu bahawa aku seorang yang amat tegas dan mengeluarkan duit daripada bank meskipun tidak memasukkannya terlebih dahulu dan menuai meskipun tidak menanam.+ 23 Kalau begitu, mengapakah kamu tidak menyimpan duit perakku di dalam bank, supaya apabila aku datang, aku dapat menerima wangku dengan bunganya?’

24 “Kemudian dia berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ambillah duit mina daripadanya dan berikan duit itu kepada hamba yang mempunyai 10 mina.’+ 25 Tetapi mereka berkata kepadanya, ‘Tuan, dia sudah ada 10 mina!’ Dia menjawab, 26 ‘Aku berkata kepada kamu: Bagi setiap orang yang mempunyai sesuatu, dia akan diberi lebih banyak. Tetapi bagi orang yang tiada apa-apa, bahkan apa yang dimilikinya pun akan diambil daripadanya.+ 27 Sekarang, bawalah musuh-musuhku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka dan bunuhlah mereka di hadapanku.’”

28 Selepas Yesus menceritakan perumpamaan itu, dia meneruskan perjalanannya ke Yerusalem. 29 Semasa dia hampir tiba di Betfagi dan Betania yang terletak di sebuah gunung yang disebut Gunung Zaitun,+ Yesus mengutus dua orang muridnya+ 30 dan berkata, “Pergilah ke pekan yang ada di hadapan itu. Selepas kamu masuk, kamu akan menjumpai seekor anak keldai yang terikat, yang belum pernah ditunggangi orang. Lepaskanlah dan bawalah anak keldai itu kepadaku. 31 Tetapi jika ada sesiapa yang bertanya, ‘Mengapakah kamu melepaskan keldai ini?’ jawablah, ‘Tuan memerlukannya.’” 32 Mereka yang diutus pun pergi dan mendapati semuanya sama seperti yang dikatakan oleh Yesus.+ 33 Semasa mereka sedang melepaskan anak keldai itu, pemiliknya berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?” 34 Mereka menjawab, “Tuan memerlukannya.” 35 Kemudian, mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus. Mereka meletakkan jubah luar mereka di atas anak keldai itu dan menolong Yesus naik ke atasnya.+

36 Semasa Yesus lalu di situ, orang ramai membentangkan jubah luar mereka di atas jalan.+ 37 Sebaik sahaja Yesus menghampiri jalan yang menurun dari Gunung Zaitun, semua muridnya mula bersukacita. Dengan suara yang lantang, mereka memuji Tuhan atas semua mukjizat yang disaksikan oleh mereka. 38 Mereka berkata, “Diberkatilah Raja yang datang atas nama Yehuwa!* Moga syurga damai dan kemuliaan diberikan kepada Tuhan yang ada di tempat tertinggi!”+ 39 Namun, beberapa orang Farisi dalam kalangan orang ramai itu berkata kepadanya, “Guru, tegurlah murid-muridmu.”+ 40 Tetapi dia berkata, “Aku berkata kepada kamu: Jika mereka diam, batu-batu akan berseru.”

41 Semasa dia menghampiri Yerusalem, dia melihat kota itu dan menangis.+ 42 Dia berkata, “Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang mendatangkan kedamaian! Tetapi sekarang hal-hal itu telah disembunyikan daripada mata kamu.+ 43 Masanya akan tiba apabila musuh kamu menancapkan kayu-kayu yang tajam di sekelilingmu. Mereka akan mengepung kamu dan mengasak kamu dari semua arah+ 44 serta menghempaskan kamu dan anak-anak kamu ke tanah.+ Mereka tidak akan membiarkan satu batu pun di dalam kota ini tersusun di atas batu yang lain,+ kerana Tuhan datang untuk menghakimi kamu tetapi kamu tidak menyedarinya.”

45 Selepas itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan dan mengusir para penjual di sana.+ 46 Dia berkata kepada mereka, “Ada tertulis, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa,’+ tetapi kamu menjadikannya sarang perompak.”+

47 Setiap hari, Yesus mengajar di Rumah Tuhan. Walaupun ketua-ketua imam, para jurutulis hukum, dan pemimpin orang Yahudi, mencari jalan untuk membunuhnya,+ 48 mereka tidak berpeluang untuk berbuat demikian kerana semua orang sentiasa mengikutinya untuk mendengar kata-katanya.+

20 Pada suatu hari, semasa Yesus mengajar orang di Rumah Tuhan dan mengisytiharkan berita baik, para ketua imam, jurutulis hukum, dan pemimpin orang Yahudi, datang kepadanya 2 lalu berkata, “Beritahulah kami, dari manakah datangnya kuasamu? Siapakah yang memberi kamu kuasa untuk melakukan semua ini?”+ 3 Dia menjawab, “Aku juga akan tanya kamu satu soalan. Beritahulah aku: 4 Siapakah yang memberi Yohanes kuasa untuk membaptis orang? Tuhan* atau manusia?” 5 Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Jika kita kata, ‘Tuhan,’ dia akan bertanya, ‘Jadi, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?’ 6 Tetapi jika kita kata, ‘Manusia,’ orang ramai akan merejam kita, kerana mereka percaya bahawa Yohanes ialah seorang nabi.”+ 7 Maka, mereka mengatakan bahawa mereka tidak tahu dari mana Yohanes mendapat kuasanya. 8 Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, aku pun tidak akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini.”

9 Kemudian dia memberitahu orang ramai perumpamaan ini: “Seorang lelaki menanam anggur di ladangnya+ dan menyewakan ladang itu kepada beberapa orang peladang. Setelah itu, dia berangkat ke luar negeri untuk masa yang agak lama.+ 10 Apabila musim anggur tiba, dia mengutus seorang hambanya kepada peladang-peladang itu untuk menerima sebahagian daripada hasil ladang anggur. Tetapi para peladang itu memukul hamba tersebut dan menyuruhnya pulang dengan tangan kosong.+ 11 Selepas itu dia mengutus seorang lagi hamba, tetapi mereka juga memukul dan memalukannya, lalu menyuruhnya pulang dengan tangan kosong. 12 Kemudian dia mengutus hamba yang ketiga, tetapi mereka mencederakannya dan membuangnya keluar dari ladang anggur. 13 Maka pemilik ladang anggur itu berkata, ‘Apakah yang harus aku lakukan? Aku akan mengutus anak kesayanganku.+ Tentu mereka akan menghormatinya.’ 14 Apabila para peladang melihatnya, mereka berkata kepada satu sama lain, ‘Ini dia pewaris ladang anggur. Mari kita bunuh dia supaya kita mendapat harta yang bakal diwarisinya!’ 15 Maka mereka membuangnya ke luar ladang anggur dan membunuhnya.+ Memandangkan mereka berbuat demikian, apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang anggur itu? 16 Dia akan datang dan membunuh para peladang itu lalu menyewakan ladang anggurnya kepada orang lain.”

Sebaik sahaja orang ramai mendengarnya, mereka berkata, “Semoga hal itu tidak akan berlaku!” 17 Tetapi Yesus memandang mereka dan berkata, “Jika begitu, apakah maksud ayat ini: ‘Batu yang dibuang oleh para pembina bangunan telah menjadi batu penjuru yang utama’?+ 18 Sesiapa yang jatuh ke atas batu itu akan hancur,+ dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk.”

19 Para jurutulis hukum dan ketua imam sedar bahawa perumpamaan Yesus ditujukan kepada mereka. Oleh itu, mereka mencuba menangkapnya pada masa itu juga tetapi mereka takut kepada orang ramai.+ 20 Jadi, mereka memperhatikannya dengan cermat. Kemudian, secara diam-diam, mereka mengupah orang untuk berpura-pura ikhlas supaya mereka dapat memerangkap Yesus berdasarkan kata-kata yang diucapkannya.+ Dengan demikian mereka dapat menyerahkannya kepada pemerintah dan gabenor.* 21 Orang yang diupah itu bertanya kepada Yesus, “Guru, kami tahu bahawa Guru sentiasa mengatakan dan mengajarkan apa yang betul. Guru tidak pilih kasih dan Guru mengajarkan jalan Tuhan berdasarkan kebenaran. 22 Jadi, patutkah kita membayar cukai kepada Kaisar?” 23 Yesus mengetahui muslihat di sebalik kata-kata mereka. Maka dia berkata, 24 “Tunjukkanlah satu denari* kepadaku. Muka dan gelaran siapakah ini?” Mereka menjawab, “Kaisar.” 25 Dia berkata kepada mereka, “Maka, berikanlah milik Kaisar+ kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”+ 26 Mereka tidak dapat memerangkap Yesus di depan khalayak ramai. Mereka sangat kagum dengan jawapannya, maka mereka diam sahaja.

27 Orang Saduki tidak percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan.+ Beberapa orang daripada mereka datang untuk bertanya kepadanya,+ 28 “Guru, Musa menuliskan perintah ini: ‘Jika seorang lelaki mati sebelum mempunyai anak, saudara kandungnya mesti berkahwin dengan balunya supaya dia mempunyai keturunan.’+ 29 Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin lalu mati tanpa mempunyai anak. 30 Maka yang kedua 31 dan kemudiannya yang ketiga mengahwini balunya. Dalam cara yang sama, ketujuh-tujuh adik-beradik itu telah mengahwininya tetapi mati tanpa mempunyai anak. 32 Akhirnya, wanita itu juga mati. 33 Memandangkan tujuh orang adik-beradik itu pernah berkahwin dengannya, siapakah antara mereka yang akan menjadi suaminya semasa pembangkitan nanti?”

34 Yesus berkata kepada mereka, “Orang dalam sistem dunia ini* berkahwin, 35 tetapi mereka yang dianggap layak untuk dibangkitkan daripada kematian dan memperoleh kehidupan dalam sistem dunia yang bakal datang tidak akan berkahwin.+ 36 Mereka menjadi seperti malaikat dan tidak dapat mati lagi. Oleh sebab mereka akan dibangkitkan, mereka akan menjadi anak-anak Tuhan. 37 Sebenarnya dalam kisah tentang pokok kecil yang bernyala, Musa pernah menyebut tentang pembangkitan orang mati. Dia menggelar Yehuwa* sebagai ‘Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub.’+ 38 Dia ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati, kerana mereka semua masih hidup dalam pandangan-Nya.”+ 39 Sesetengah jurutulis hukum berkata, “Sungguh baik jawapan Guru.” 40 Mereka tidak lagi berani untuk menanyakan apa-apa kepadanya.

41 Tetapi Yesus bertanya kepada mereka pula, “Mengapakah orang lain mengatakan bahawa Kristus ialah anak Daud?+ 42 Dalam buku Mazmur, Daud sendiri berkata, ‘Yehuwa* berfirman kepada Tuanku, “Duduklah di sebelah kanan-Ku 43 sehingga Aku menjadikan musuh-musuhmu sebagai alas kakimu.”’+ 44 Memandangkan Daud memanggil dia Tuan, bagaimana mungkin Kristus itu anak Daud?”

45 Sementara semua orang masih mendengar, dia berkata kepada murid-muridnya, 46 “Berhati-hatilah terhadap jurutulis hukum yang suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang dan suka menerima salam hormat di tempat awam.* Mereka suka duduk di kerusi yang terdepan di dalam rumah ibadat dan suka tempat yang terbaik semasa menghadiri jamuan makan.+ 47 Mereka merampas harta* milik balu, dan mereka berdoa panjang untuk dilihat orang. Mereka akan diadili dengan lebih tegas.”

21 Semasa Yesus melihat ke arah peti-peti sumbangan, dia nampak orang kaya memasukkan derma ke dalam peti-peti itu.+ 2 Selepas itu, dia nampak seorang balu miskin memasukkan dua keping mata wang yang kecil, yang sangat rendah nilainya.*+ 3 Yesus berkata, “Ketahuilah: Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada apa yang dimasukkan oleh semua orang lain.+ 4 Hal ini demikian kerana semua orang lain memberikan persembahan daripada lebihan kekayaan mereka, tetapi wanita ini, walaupun dia sangat miskin, dia memberikan segala nafkah hidup yang ada padanya.”+

5 Kemudian, beberapa orang bercakap tentang Rumah Tuhan. Mereka berkata betapa indahnya Rumah Tuhan yang dihiasi dengan batu-batu yang indah dan pelbagai pemberian yang dipersembahkan kepada Tuhan.+ 6 Yesus berkata, “Akan tiba masanya semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Batu-batu di sini pasti dirobohkan sehingga satu batu pun tidak akan tersusun di atas batu yang lain.”+ 7 Mereka bertanya kepadanya, “Guru, bilakah hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bahawa semua ini akan berlaku?”+ 8 Dia menjawab, “Berhati-hatilah supaya kamu tidak disesatkan.+ Ramai orang akan datang dengan namaku dan berkata, ‘Akulah Kristus,’ dan, ‘Waktu yang ditentukan sudah dekat.’ Janganlah mengikut mereka.+ 9 Tambahan lagi, semasa kamu mendengar tentang peperangan dan keadaan yang huru-hara, janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi akhir tidak akan datang dengan serta-merta.”+

10 Dia berkata lagi, “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain,+ dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.+ 11 Gempa bumi yang dahsyat akan berlaku. Selain itu, kebuluran dan wabak akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat,+ dan orang akan melihat kejadian yang menakutkan dan tanda-tanda yang luar biasa dari langit.

12 “Tetapi sebelum semua ini berlaku, orang akan menangkap dan menganiaya kamu.+ Kamu akan diserahkan untuk diadili di rumah ibadat lalu dipenjarakan. Kamu akan dihadapkan kepada raja-raja dan gabenor kerana namaku.+ 13 Pada masa itu, kamu akan berpeluang untuk memberikan kesaksian. 14 Oleh itu, bertekadlah dalam hati kamu untuk tidak berlatih terlebih dahulu tentang cara untuk membela diri,+ 15 kerana aku akan memberi kamu kata-kata dan kebijaksanaan. Dengan demikian, meskipun semua penentang kamu berganding bahu, mereka tidak akan dapat melawan atau membantah kata-kata kamu.+ 16 Tambahan lagi, kamu akan dikhianati oleh ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, dan sahabat kamu. Beberapa orang antara kamu akan dibunuh,+ 17 dan kamu akan dibenci oleh semua orang kerana namaku.+ 18 Namun begitu, kamu tidak akan kehilangan sehelai rambut pun.+ 19 Jika kamu tabah, nyawa kamu akan terpelihara.+

20 “Namun, apabila kamu nampak Yerusalem dikepung oleh tentera,+ ketahuilah bahawa kota itu akan dimusnahkan dengan segera.+ 21 Pada masa itu, hendaklah mereka yang berada di Yudea melarikan diri ke kawasan pergunungan,+ dan hendaklah mereka yang berada di Yerusalem keluar dari sana. Mereka yang berada di kawasan pekan pula janganlah memasuki kota itu. 22 Hal ini demikian kerana itulah masanya Tuhan menjatuhkan hukuman* agar semua yang tertulis berlaku. 23 Alangkah malangnya wanita yang hamil dan ibu yang menyusui bayi pada masa itu!+ Negeri ini akan mengalami kesusahan yang besar dan umat ini akan dihukum. 24 Mereka akan rebah mati dibunuh dengan pedang dan dibawa sebagai tawanan ke negeri-negeri lain.+ Yerusalem akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa lain sehingga waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain genap.+

25 “Selain itu, tanda-tanda akan kelihatan pada matahari, bulan, dan bintang.+ Di bumi, bangsa-bangsa akan menderita dan mereka tidak akan tahu jalan keluar kerana deruan laut yang bergelora. 26 Apabila orang menantikan apa yang bakal melanda seluruh bumi, mereka akan pengsan ketakutan kerana kuasa-kuasa di langit akan digoncangkan. 27 Selepas itu, orang akan melihat Anak Manusia+ datang dikelilingi awan dengan kuasa dan kemuliaan yang besar.+ 28 Apabila hal-hal ini mula berlaku, berdirilah dengan tegak dan angkatlah kepala kamu kerana pembebasan kamu sudah dekat.”

29 Kemudian, Yesus menceritakan perumpamaan berikut kepada mereka: “Perhatikanlah pokok ara dan semua pokok yang lain.+ 30 Sebaik sahaja kamu melihat pokok mula berdaun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. 31 Demikian juga, apabila kamu melihat perkara-perkara ini berlaku, ketahuilah bahawa Kerajaan Tuhan sudah dekat. 32 Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Generasi ini tidak akan lenyap sehingga semua perkara ini berlaku.+ 33 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kataku tidak akan lenyap sama sekali.+

34 “Tetapi perhatikanlah diri kamu agar hati kamu tidak sarat dengan makan berlebihan, minum berlebihan,+ dan kekhuatiran hidup,+ sehingga hari itu menimpa kamu dengan tiba-tiba 35 seperti perangkap.+ Hari itu akan menimpa semua penduduk di seluruh muka bumi. 36 Jadi, teruslah berjaga-jaga+ dan sentiasalah merayu kepada Tuhan+ agar kamu dapat diselamatkan daripada semua hal ini yang mesti berlaku dan dapat berdiri di hadapan Anak Manusia.”+

37 Pada siang hari, Yesus mengajar di Rumah Tuhan dan pada waktu malam, dia keluar dari sana dan bermalam di sebuah gunung yang disebut Gunung Zaitun. 38 Pada awal pagi, semua orang datang untuk mendengarkannya di Rumah Tuhan.

22 Perayaan Roti Tidak Beragi, yang juga disebut Perayaan Paska,+ sudah dekat.+ 2 Para ketua imam dan jurutulis hukum sedang mencari jalan terbaik untuk membunuh Yesus,+ kerana mereka takut kepada orang ramai.+ 3 Kemudian Syaitan memasuki Yudas Iskariot, salah seorang daripada 12 orang rasul Yesus.+ 4 Maka Yudas pergi untuk berbincang dengan para ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan tentang cara mengkhianatinya dan menyerahkannya kepada mereka.+ 5 Mereka gembira dan bersetuju untuk memberinya wang perak.+ 6 Dia pun setuju dan mula mencari kesempatan yang baik untuk mengkhianatinya dan menyerahkannya kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.

7 Pada Perayaan Roti Tidak Beragi, semasa binatang untuk Perayaan Paska dikorbankan,+ 8 Yesus berkata kepada Petrus dan Yohanes, “Pergilah dan sediakanlah jamuan Paska untuk kita.”+ 9 Mereka berkata kepadanya, “Di manakah Guru mahu kami membuat persiapan?” 10 Dia berkata kepada mereka, “Lihatlah! Semasa kamu masuk ke kota, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang membawa sebuah tembikar air. Ikutlah dia ke dalam rumah yang dimasukinya+ 11 dan beritahulah tuan rumah itu, ‘Guru bertanya kepadamu, “Di manakah bilik yang dapat aku gunakan untuk makan jamuan Paska bersama murid-muridku?”’ 12 Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan perabot. Sediakanlah jamuan Paska di situ.” 13 Maka mereka bertolak dan mendapati semuanya berlaku seperti yang telah dikatakannya kepada mereka. Kemudian mereka membuat persiapan untuk menyambut Perayaan Paska.

14 Apabila waktunya tiba, Yesus duduk dan makan* di meja bersama rasul-rasulnya.+ 15 Dia berkata kepada mereka, “Aku teringin sekali makan jamuan Paska ini bersama kamu sebelum aku menderita. 16 Aku berkata kepada kamu: Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga segala yang dilambangkan oleh Paska menjadi kenyataan dalam Kerajaan Tuhan.” 17 Setelah menerima sebuah cawan, dia mengucapkan syukur dan berkata, “Ambillah cawan ini dan edarkannya sesama kamu. 18 Aku berkata kepada kamu: Mulai sekarang, aku tidak akan minum wain lagi sehingga Kerajaan Tuhan datang.”

19 Dia juga mengambil roti+ dan mengucapkan syukur. Selepas itu, dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Roti ini melambangkan tubuhku+ yang akan diserahkan untuk kamu.+ Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.”+ 20 Begitu juga, selepas mereka makan malam, dia mengambil cawan dan berkata, “Cawan ini melambangkan perjanjian baharu+ yang termeterai dengan darahku,+ yang akan dicurahkan untuk kamu.+

21 “Tetapi lihatlah! Orang yang akan mengkhianati aku ada bersamaku di meja ini.+ 22 Sesungguhnya, seperti yang dinubuatkan, Anak Manusia akan mati.+ Namun, malanglah orang yang mengkhianatinya!”+ 23 Apabila para rasul mendengarnya, mereka mula berbincang sesama sendiri untuk mengetahui siapa sebenarnya antara mereka yang tergamak berbuat demikian.+

24 Namun, pertengkaran besar kemudiannya tercetus antara mereka tentang siapa yang terbesar.+ 25 Tetapi dia berkata kepada mereka, “Raja bangsa-bangsa lain mengawal rakyat mereka, dan orang yang berkuasa digelar Dermawan.+ 26 Namun, janganlah kamu menjadi seperti mereka.+ Sebaliknya, orang yang terbesar dalam kalangan kamu harus menjadi seperti orang yang paling muda,+ dan orang yang mengambil pimpinan harus menjadi seperti orang yang melayani. 27 Siapakah yang lebih besar, orang yang makan di meja atau orang yang melayaninya? Sudah tentu orang yang makan di meja, bukan? Namun, dalam kalangan kamu, akulah orang yang melayani kamu.+

28 “Walau bagaimanapun, semasa aku menghadapi cubaan,+ kamu sentiasa bersama-samaku.+ 29 Sebagaimana Bapaku telah membuat perjanjian dengan aku untuk memberi aku sebuah kerajaan, aku juga membuat perjanjian dengan kamu+ 30 supaya kamu dapat makan minum di mejaku dalam Kerajaanku,+ dan duduk di atas takhta+ untuk menghakimi 12 suku Israel.+

31 “Simon, Simon, lihatlah! Syaitan telah mengatakan bahawa dia mahu menampi kamu semua seperti seseorang yang memisahkan gandum daripada sekamnya.+ 32 Namun, aku telah merayu kepada Tuhan bagi pihakmu agar kamu tidak kehilangan iman.+ Sebaik sahaja kamu bertaubat, teguhkanlah iman saudara-saudaramu.”+ 33 Petrus berkata kepadanya, “Tuan, aku bersedia untuk dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuan.”+ 34 Tetapi dia berkata, “Petrus, aku berkata kepadamu: Sebelum ayam jantan berkokok hari ini, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.”+

35 Dia juga berkata kepada mereka, “Semasa kamu diutus tanpa membawa beg duit, beg makanan, dan kasut,+ adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka berkata, “Tidak!” 36 Dia berkata, “Tetapi sekarang, orang yang mempunyai beg duit atau beg makanan harus membawanya, dan orang yang tidak memiliki pedang harus menjual jubah luarnya untuk membeli pedang. 37 Ketahuilah bahawa apa yang tertulis mengenai aku mesti terjadi: ‘Dia dipandang sebagai penjahat.’+ Sebenarnya apa yang tertulis mengenai aku sedang berlaku.”+ 38 Mereka berkata, “Tuan, lihatlah! Di sini ada dua bilah pedang.” Dia berkata kepada mereka, “Itu sudah cukup.”

39 Kemudian Yesus keluar dan pergi ke Gunung Zaitun seperti biasa. Murid-muridnya juga mengikutnya.+ 40 Setibanya di situ, dia berkata kepada mereka, “Teruslah berdoa supaya kamu tidak terjerat oleh godaan.”+ 41 Kemudian, dia pergi jauh sedikit* daripada mereka lalu berlutut dan mula berdoa. 42 Dia berkata, “Bapa, jika Bapa sudi, jauhkanlah cawan ini daripadaku. Namun, biarlah kehendak-Mu yang berlaku dan bukannya kehendakku.”+ 43 Ketika itu, satu malaikat dari syurga muncul dan menguatkannya.+ 44 Namun, Yesus sangat menderita, maka dia terus berdoa dengan lebih tekun,+ sehingga peluhnya menjadi seperti darah yang menitis ke tanah. 45 Setelah berdoa, dia berdiri dan pergi kepada murid-muridnya, tetapi dia mendapati mereka sudah tertidur. Mereka sangat penat kerana terlalu sedih.+ 46 Maka dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan teruslah berdoa supaya kamu tidak terjerat oleh godaan.”+

47 Sementara dia masih bercakap, datanglah sekumpulan orang yang diketuai Yudas, iaitu salah seorang daripada 12 orang rasulnya. Dia menghampiri Yesus untuk menciumnya.+ 48 Kemudian Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah kamu mengkhianati Anak Manusia dengan ciuman?” 49 Apabila orang yang bersama Yesus nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, “Tuan, haruskah kami menyerang mereka dengan pedang?” 50 Ada seorang antara mereka yang bahkan menyerang hamba imam agung dan mengerat telinga kanannya.+ 51 Tetapi Yesus berkata, “Cukuplah,” lalu dia menyentuh telinga hamba itu dan menyembuhkannya. 52 Selepas itu Yesus berkata kepada para ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin orang Yahudi, yang datang untuk menangkapnya, “Adakah kamu datang dengan membawa pedang dan belantan seperti menangkap seorang perompak?+ 53 Tiap-tiap hari aku bersama kamu di Rumah Tuhan,+ tetapi kamu tidak menangkap aku.+ Namun inilah masa kamu dan masanya kegelapan berkuasa.”+

54 Setelah menangkap Yesus,+ mereka membawanya ke dalam rumah imam agung. Petrus mengikutnya dari jauh.+ 55 Apabila mereka menyalakan api di tengah-tengah halaman dalam rumah itu, Petrus juga duduk bersama-sama mereka.+ 56 Tetapi ada seorang hamba perempuan yang melihatnya duduk dekat unggun api. Setelah memerhatikannya, hamba perempuan itu berkata, “Dia juga bersama dengan lelaki itu.” 57 Namun Petrus menafikannya. Dia berkata, “Hai wanita, aku tidak mengenalnya.” 58 Tidak lama selepas itu, ada seorang lagi yang melihatnya dan berkata, “Kamu juga salah seorang daripada mereka.” Tetapi Petrus berkata, “Bukan!”+ 59 Kira-kira sejam kemudian, ada seorang lagi yang berkata dengan tegas, “Sudah pasti lelaki ini bersama dengannya, kerana dia orang Galilea!” 60 Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak tahu apa yang sedang kamu katakan.” Pada saat itu juga, ketika dia sedang bercakap, seekor ayam jantan berkokok. 61 Tatkala itu, Tuan Yesus berpaling dan memandang Petrus, lalu Petrus teringat kata-katanya, “Sebelum ayam jantan berkokok hari ini, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.”+ 62 Petrus pun keluar dan menangis tersedu-sedu.

63 Mereka yang mengawal Yesus mula mentertawakannya+ dan memukulnya.+ 64 Mereka menutupi mukanya dan terus-menerus berkata, “Wahai nabi, beritahulah kami siapa yang memukulmu.” 65 Mereka juga melemparkan banyak kata-kata hinaan terhadapnya.

66 Apabila matahari terbit, para pemimpin orang Yahudi, termasuk para ketua imam dan jurutulis hukum, berkumpul+ lalu membawa Yesus ke dewan Majlis Orang Yahudi. Mereka berkata, 67 “Jika kamu ialah Kristus, beritahulah kami.”+ Tetapi dia menjawab, “Biarpun aku memberitahu kamu, kamu langsung tidak akan percaya. 68 Lagipun, jika aku bertanya kepada kamu, kamu tidak akan menjawab. 69 Namun, mulai sekarang, Anak Manusia+ akan duduk di sebelah kanan Tuhan yang berkuasa.”+ 70 Mereka semua berkata, “Jadi, adakah kamu Anak Tuhan?” Dia menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakan bahawa aku ialah Anak Tuhan.” 71 Mereka berkata, “Adakah kita memerlukan saksi lagi? Kita telah mendengarnya daripada mulutnya sendiri.”+

23 Mereka semua berdiri dan membawa Yesus menghadap Pilatus.+ 2 Mereka mula menuduh dia+ dengan berkata, “Kami mendapati bahawa lelaki ini menyesatkan bangsa kami. Dia melarang orang membayar cukai kepada Kaisar+ dan mengatakan bahawa dia ialah Kristus, seorang raja.”+ 3 Pilatus bertanya kepada Yesus, “Adakah kamu Raja orang Yahudi?” Dia menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakannya.”+ 4 Maka Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai, “Aku tidak dapat mencari kesalahan lelaki ini.”+ 5 Tetapi mereka tetap berkeras dan berkata, “Dia menimbulkan banyak masalah di serata Yudea dengan menyebarkan ajarannya dari Galilea sampai ke sini.” 6 Ketika mendengar hal itu, Pilatus bertanya sama ada dia ialah orang Galilea atau tidak. 7 Selepas Pilatus mengetahui bahawa Yesus berasal dari daerah yang ditadbir oleh Herodes,+ dia menghantarnya kepada Herodes. Pada masa itu, Herodes juga berada di Yerusalem.

8 Herodes pernah mendengar banyak hal tentang Yesus. Oleh itu, dia sudah lama ingin berjumpa dengannya dan berharap dapat melihat mukjizat yang dilakukannya.+ Maka, ketika dia melihat Yesus, dia sangat gembira 9 dan mula mengajukan banyak soalan kepadanya, namun Yesus tidak menjawab sepatah kata pun.+ 10 Tetapi para ketua imam dan jurutulis hukum berdiri dan menuduh Yesus dengan marah. 11 Kemudian, Herodes dan askar-askarnya menghina Yesus.+ Dia mengolok-olokkan Yesus+ dengan mengenakan jubah yang cantik padanya lalu menghantar dia kembali kepada Pilatus. 12 Walaupun Herodes dan Pilatus dahulunya bermusuhan, sejak hari itu mereka berdua mula bersahabat.

13 Setelah itu, Pilatus mengumpulkan ketua-ketua imam, para pemimpin, dan orang ramai. 14 Dia berkata kepada mereka, “Kamu membawa lelaki ini kepada aku dan mengatakan bahawa dia menghasut orang untuk memberontak. Tetapi lihatlah! Aku sudah menyoal dia di hadapan kamu, tetapi aku mendapati semua tuduhan yang kamu lontarkan itu tidak berasas.+ 15 Sebenarnya, Herodes juga mendapati bahawa dia tidak bersalah lalu menghantarnya kembali kepada kami. Dia tidak melakukan apa-apa yang membuatnya patut dihukum mati. 16 Jadi, aku akan mencambuk dia+ lalu membebaskannya.” 17* —— 18 Tetapi orang ramai di situ berteriak, “Bunuhlah dia! Kami mahu Barabas dibebaskan!”+ 19 (Barabas dipenjarakan kerana membunuh orang dan menyertai pemberontakan yang berlaku di kota.) 20 Pilatus mahu membebaskan Yesus. Oleh itu, dia berseru lagi kepada orang ramai.+ 21 Tetapi mereka berteriak sekali lagi, “Bunuhlah dia pada tiang! Bunuhlah dia pada tiang!”+ 22 Buat kali ketiga, dia berkata kepada mereka, “Mengapa? Apakah kesalahannya? Aku mendapati bahawa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga patut dihukum mati. Oleh itu, aku akan mencambuk dia lalu membebaskannya.” 23 Tetapi mereka terus menuntut dengan suara yang keras agar Yesus dihukum bunuh. Akhirnya, Pilatus mengalah.+ 24 Dia membuat keputusan agar permintaan mereka dituruti. 25 Dia membebaskan lelaki yang dikehendaki mereka, iaitu lelaki yang dipenjarakan kerana terlibat dalam pemberontakan dan pembunuhan, tetapi dia menyerahkan Yesus kepada mereka untuk diperlakukan dengan sesuka hati.

26 Semasa mereka membawa Yesus keluar dari situ, mereka menangkap Simon, orang Kirene yang baru datang dari desa. Mereka meletakkan tiang seksaan* Yesus pada bahu Simon dan menyuruh dia memikul tiang itu sambil berjalan di belakang Yesus.+ 27 Banyak orang mengikut Yesus, termasuk wanita-wanita yang meratapinya dan asyik memukul dada kerana sedih. 28 Yesus berpaling kepada mereka dan berkata, “Hai wanita-wanita Yerusalem, janganlah menangis untuk aku. Sebaliknya, tangisilah diri kamu sendiri dan anak-anak kamu,+ 29 kerana akan tiba masanya apabila orang berkata, ‘Alangkah bahagianya wanita yang mandul dan wanita yang tidak pernah melahirkan dan menyusui anak!’+ 30 Pada masa itu, orang akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit, ‘Sembunyikanlah kami!’+ 31 Jika mereka berbuat demikian semasa pokok masih hijau, apakah yang akan berlaku apabila pokok itu layu?”

32 Ada dua orang penjenayah yang dibawa untuk dihukum mati bersama-sama Yesus.+ 33 Apabila mereka sampai di tempat yang dipanggil Tengkorak,+ mereka memakukannya pada tiang bersama-sama dua orang penjenayah itu, seorang di sebelah kanannya dan seorang lagi di sebelah kirinya.+ 34 Tetapi Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.” Mereka juga membahagi-bahagikan jubah luarnya dengan membuang undi.+ 35 Orang ramai berdiri dan melihat apa yang berlaku. Tetapi para pemimpin mentertawakannya dan berkata, “Dia menyelamatkan orang lain. Jadi jika dia ialah Kristus yang dipilih oleh Tuhan, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri.”+ 36 Bahkan askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekatinya lalu memberinya wain masam+ 37 sambil berkata, “Jika kamu Raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri.” 38 Di sebelah atas kepalanya ada tertulis: “Inilah Raja orang Yahudi.”+

39 Kemudian, salah seorang penjenayah yang digantungkan di situ mula mencelanya+ dan berkata, “Bukankah kamu Kristus? Selamatkanlah dirimu sendiri dan kami juga.” 40 Tetapi penjenayah yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Adakah kamu tidak takut sama sekali kepada Tuhan? Kamu pun menerima hukuman yang sama dengannya. 41 Hukuman yang kita terima adil dan setimpal dengan semua perbuatan kita, tetapi lelaki ini tidak membuat apa-apa yang salah.” 42 Kemudian dia berkata, “Yesus, ingatlah aku apabila kamu masuk dalam Kerajaanmu.”+ 43 Maka Yesus berkata kepada lelaki itu, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.”+

44 Meskipun masanya kira-kira jam 12 tengah hari,* seluruh bumi menjadi gelap sehingga jam 3 petang*+ 45 kerana matahari tidak bersinar. Ketika itu, tirai di Rumah Tuhan+ koyak menjadi dua.+ 46 Yesus berseru dengan suara lantang, “Ya Bapa, aku menyerahkan nyawaku ke dalam tangan-Mu.”+ Selepas berkata demikian, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.+ 47 Pegawai tentera yang melihat apa yang berlaku mula memuliakan Tuhan dan berkata, “Lelaki ini memang tidak bersalah!”+ 48 Apabila orang ramai yang berkumpul di situ melihat apa yang berlaku, mereka semua pulang ke rumah sambil memukul dada kerana sedih. 49 Semua yang mengenal Yesus, termasuk wanita-wanita yang mengikutnya dari Galilea, berdiri dari jauh sambil melihat semua perkara itu.+

50 Ada seorang ahli Majlis Orang Yahudi yang baik dan melakukan apa yang benar, yang bernama Yusuf.+ 51 (Lelaki ini tidak menyetujui atau menyokong muslihat dan perbuatan Majlis Orang Yahudi.) Dia berasal dari Arimatea, sebuah kota orang Yudea. Dia sedang menantikan Kerajaan Tuhan. 52 Dia menghadap Pilatus dan meminta mayat Yesus. 53 Kemudian, dia menurunkan mayat Yesus,+ membalutnya dengan kain linen yang bermutu tinggi, dan meletakkannya di dalam sebuah makam. Makam itu digali di bukit batu+ dan belum pernah digunakan. 54 Hari itu ialah hari Persiapan.+ Hari sudah petang dan hari Sabat+ hampir bermula. 55 Tetapi wanita-wanita yang datang dengan Yesus dari Galilea mengikut Yusuf. Mereka melihat makam Yesus dan nampak bagaimana mayatnya diletakkan di dalam makam itu.+ 56 Selepas itu, mereka pulang untuk menyediakan bahan-bahan harum dan minyak wangi. Pada hari Sabat,+ mereka berehat sesuai dengan apa yang diperintahkan dalam Hukum.

24 Pada hari Ahad,* ketika hari masih subuh, wanita-wanita itu membawa bahan wangi yang telah disediakan oleh mereka dan pergi ke makam.+ 2 Tetapi mereka mendapati bahawa batu penutup pintu makam telah digulingkan ke tepi.+ 3 Apabila mereka masuk ke dalam, mereka tidak menjumpai mayat Tuan Yesus.+ 4 Sementara mereka masih kebingungan tentang hal itu, tiba-tiba dua orang lelaki yang mengenakan pakaian yang berkilau-kilauan berdiri di sisi mereka. 5 Wanita-wanita itu tunduk memandang ke tanah kerana takut. Maka kedua-dua lelaki itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari dia yang hidup dalam kalangan orang yang mati?+ 6 Dia tiada di sini. Dia sudah dibangkitkan. Ingatlah akan apa yang telah dikatakannya kepada kamu semasa dia masih di Galilea. 7 Dia mengatakan bahawa Anak Manusia mesti diserahkan kepada pendosa dan dihukum bunuh pada tiang lalu dibangkitkan pada hari ketiga.”+ 8 Barulah mereka teringat akan kata-kata Yesus.+ 9 Maka mereka beredar dari makam dan memberitahukan hal-hal itu kepada 11 orang rasul dan semua murid yang lain.+ 10 Mereka yang memberitahukan perkara-perkara itu kepada para rasul ialah Maria Magdalena, Yohana, Maria, iaitu ibu kepada Yakobus, dan juga wanita lain yang ada bersama mereka. 11 Namun begitu, para rasul dan murid-murid lain enggan mempercayai mereka kerana berasa bahawa mereka sedang menceritakan hal yang bukan-bukan.

12 Tetapi Petrus bangun dan berlari ke makam. Dia menjenguk ke dalam makam dan hanya nampak kain pembalut mayat. Maka dia meninggalkan tempat itu sambil tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku.

13 Pada hari itu juga, dua orang murid Yesus mengadakan perjalanan ke sebuah pekan yang bernama Emaus. Emaus terletak kira-kira 11 kilometer* dari Yerusalem. 14 Mereka berbual tentang semua peristiwa yang telah berlaku.

15 Semasa mereka sedang berbual dan membincangkan hal-hal ini, Yesus mendekati mereka dan mula berjalan bersama-sama mereka. 16 Mereka nampak dia tetapi tidak mengenalnya.+ 17 Dia berkata kepada mereka, “Apakah yang sedang kamu pertikaikan dalam perjalanan kamu?” Maka mereka berhenti. Muka mereka kelihatan sedih. 18 Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas berkata kepada Yesus, “Bukankah kamu tinggal di Yerusalem? Jadi mengapakah kamu sahaja yang tidak mengetahui* apa yang telah berlaku di situ akhir-akhir ini?” 19 Maka dia bertanya kepada mereka, “Apakah peristiwa yang kamu maksudkan?” Mereka menjawab, “Peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan Yesus, orang Nasaret itu.+ Di sisi Tuhan dan dalam pandangan semua orang, dia seorang nabi yang berkuasa, baik dalam kata-katanya mahupun dalam perbuatannya.+ 20 Tetapi para ketua imam dan pemerintah kami menyerahkannya supaya dihukum mati+ dan dipakukan pada tiang. 21 Kami berharap bahawa dialah orang yang akan membebaskan Israel.+ Lagipun hari ini hari ketiga semenjak semua peristiwa ini berlaku. 22 Selain itu, kami juga terperanjat setelah mendengar kata-kata beberapa orang wanita dalam kalangan kami. Semasa mereka pergi ke makam pada awal pagi,+ 23 mereka tidak menjumpai mayat Yesus. Kemudian mereka kembali dan melaporkan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang mengatakan bahawa Yesus sudah hidup. 24 Tambahan lagi, beberapa orang yang bersama kami pergi ke makam.+ Mereka mendapati bahawa keadaannya memang seperti yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak menjumpai Yesus.”

25 Maka dia berkata kepada mereka, “Hai kamu yang tidak berakal dan lambat mempercayai semua yang dikatakan oleh para nabi, 26 bukankah Kristus perlu mengalami penderitaan itu+ agar dimuliakan?”+ 27 Kemudian, Yesus menjelaskan kepada mereka hal-hal yang berkaitan dengan dirinya dalam Ayat-Ayat Suci, bermula dari kitab-kitab Musa dan Ajaran Para Nabi.+

28 Apabila mereka menghampiri pekan yang ditujui, Yesus kelihatan seolah-olah akan meneruskan perjalanan, 29 tetapi mereka mendesaknya supaya tidak meninggalkan mereka. Mereka berkata, “Tinggallah bersama kami kerana hari sudah petang.” Maka dia masuk ke dalam rumah dan tinggal bersama mereka. 30 Semasa dia makan* bersama mereka, dia mengambil roti, mengucapkan syukur, membahagikan roti itu, lalu mengedarkannya kepada mereka.+ 31 Barulah mata mereka terbuka dan mereka mengenal bahawa dia ialah Yesus. Tetapi dia lenyap daripada pandangan mereka.+ 32 Mereka berkata kepada satu sama lain, “Tidakkah hati kita berkobar-kobar semasa dia bercakap dan menerangkan Ayat-Ayat Suci kepada kita semasa kita dalam perjalanan?” 33 Pada masa itu juga, mereka bangun dan kembali ke Yerusalem. Di sana, mereka mendapati 11 orang rasul dan murid-murid lain sedang berkumpul. 34 Mereka yang berkumpul di sana berkata, “Tuan Yesus benar-benar sudah dibangkitkan dan dia telah menampakkan diri kepada Simon!”+ 35 Kemudian mereka berdua menceritakan apa yang berlaku dalam perjalanan dan bagaimana mereka mengenali dia semasa dia membahagikan roti.+

36 Ketika mereka sedang menceritakan perkara-perkara itu, Yesus muncul di tengah-tengah mereka dan berkata, “Salam sejahtera.”+ 37 Mereka terkejut dan ketakutan kerana menyangka bahawa mereka nampak makhluk roh. 38 Maka dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu takut? Mengapakah hati kamu ragu-ragu? 39 Inilah aku! Lihatlah tangan dan kakiku dan sentuhlah aku. Makhluk roh tidak mempunyai daging dan tulang sebagaimana yang kamu lihat pada diriku.” 40 Sambil bercakap, Yesus menunjukkan tangan dan kakinya kepada mereka. 41 Namun, mereka masih tidak dapat percaya kerana mereka terlalu gembira dan hairan. Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” 42 Mereka memberinya sepotong ikan yang dipanggang. 43 Dia mengambil ikan itu dan memakannya di depan mata mereka.

44 Kemudian dia berkata kepada mereka, “Semasa aku masih bersama kamu,+ aku pernah mengatakan bahawa semua perkara yang tertulis tentang aku dalam Hukum Musa, Ajaran Para Nabi, dan Mazmur mesti berlaku.”+ 45 Kemudian Yesus membuka fikiran mereka dengan sepenuhnya supaya mereka dapat memahami maksud Ayat-Ayat Suci.+ 46 Dia berkata kepada mereka, “Ada tertulis bahawa Kristus akan menderita lalu dibangkitkan daripada kematian pada hari ketiga,+ 47 dan atas dasar namanya, perkhabaran akan disebarkan kepada semua bangsa+ bermula dari Yerusalem,+ agar manusia bertaubat daripada dosa lalu diampuni.+ 48 Kamu harus menjadi saksi untuk semua perkara ini.+ 49 Lihatlah! Aku akan memberi kamu apa yang telah dijanjikan oleh Bapaku. Tetapi kamu mesti menunggu di kota ini sehingga kamu menerima kuasa dari syurga.”+

50 Kemudian Yesus membawa mereka ke Betania. Di situ dia mengangkat tangannya dan memberkati mereka. 51 Semasa Yesus memberkati mereka, dia meninggalkan mereka dan terangkat ke syurga.+ 52 Lalu mereka sujud kepadanya dan kembali ke Yerusalem dengan penuh sukacita.+ 53 Mereka sentiasa memuji-muji Tuhan di Rumah-Nya.+

Lihat Kamus.

Atau “kumpulan imam daripada keturunan Abia.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Atau “sejak dia berada di dalam rahim ibunya.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “membuat hati bapa berbalik kepada anak-anak mereka.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “mendapat suatu penglihatan.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “Tiada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “mulut Zakharia terbuka, dan ikatan pada lidahnya terurai.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “membangkitkan tanduk penyelamatan.” Lihat Kamus, “Tanduk.”

Lihat Lampiran A5.

Gelaran bagi maharaja Roma.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “bala tentera syurga.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “disucikan.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Kamus.

Iaitu, Herodes Antipas. Lihat Kamus.

Lihat Lampiran A5.

Mengirik ialah proses memisahkan buah daripada tangkai. Menampi ialah proses mengasingkan biji-bijian daripada sekam, dan nyiru ialah alat yang digunakan untuk menampi.

Atau “menyembah aku satu kali.”

Lihat Lampiran A5.

Atau “puncak yang tertinggi di.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Iaitu, Tasik Galilea.

Lihat Lampiran A5.

Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.

Iaitu, khemah suci Tuhan.

Iaitu, tanpa faedah.

Harfiah, “tersandung.”

Atau “nasihat.”

Atau “pasar.”

Harfiah, “dibuktikan benar melalui semua anaknya.”

Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.

Harfiah, “botol alabaster.” Lihat Kamus, “Alabaster.”

Lihat Lampiran B14.

Atau “besar.”

Atau mungkin, “Sudah lama.”

“Legiun” ialah unit bagi pasukan tentera Roma kuno. Di sini perkataan “legiun” merujuk kepada angka yang besar.

Lihat Kamus.

Atau “Nafas (daya hidup).”

Atau “baju ganti.”

Iaitu, Herodes Antipas. Lihat Kamus.

Harfiah, “berkat.”

Lihat Kamus.

Sejenis binatang di negeri Israel yang menyerupai anjing.

Sesetengah naskhah kuno menyatakan 72.

Perbuatan memberikan salam ini mungkin melibatkan ciuman, pelukan, dan perbualan yang panjang.

Perbuatan ini menunjukkan bahawa seseorang sedang berdukacita atau sedang menyesal atas dosa yang dilakukannya.

Lihat Kamus.

Lihat Lampiran A5.

Lihat Kamus.

Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “roti.”

Harfiah, “berhutang.”

Gelaran yang diberikan kepada Syaitan.

Harfiah, “jari Tuhan.”

Atau “bakul penyukat.”

Atau “iri hati.”

Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.

Iaitu, membasuh mengikut upacara agama.

Sejenis tumbuhan yang digunakan dalam ubat-ubatan dan sebagai perisa makanan.

Atau “terbaik.”

Atau “pasar.”

Iaitu, sejak anak-anak Adam dan Hawa dilahirkan.

Lihat Kamus.

Harfiah, “2 asarion?” Lihat Lampiran B14.

Atau “diabaikan.”

Atau “rumah ibadat.”

Harfiah, “sehasta.” Lihat Lampiran B14.

Perbuatan ini menggambarkan seseorang yang bersedia untuk melakukan kerja.

Harfiah, “Dia akan mengikat pinggangnya.”

Harfiah, “waktu ke-2.” Kira-kira pukul 9 malam sehingga tengah malam.

Harfiah, “waktu ke-3.” Kira-kira tengah malam sehingga kira-kira pukul 3 pagi.

Atau “pengurus rumah tangga.”

Atau “cermat.”

Harfiah, “lepton yang terakhir.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “3 seah.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “rubah.”

Harfiah, “rumah kamu,” iaitu Rumah Tuhan.

Lihat Lampiran A5.

Atau “menderita penyakit edema.” Sejenis penyakit yang menyebabkan kewujudan air yang berlebihan di dalam tubuh.

Harfiah, “mesti membenci.” Maksudnya kurang mengasihi.

Lihat Kamus.

Harfiah, “10 drakma.” Lihat Lampiran B14.

Atau “kembali dengan selamat.”

Harfiah, “100 bath.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “100 kor.” Lihat Lampiran B14.

Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”

Harfiah, “dada Abraham.” Maksudnya dia mendapat perkenan istimewa.

Lihat Kamus.

Pada masa itu, kebanyakan rumah mempunyai bumbung yang rata. Orang boleh berjalan, tidur, atau menyambut tetamu, di situ.

Lihat Lampiran A3.

Harfiah, “bayi-bayi.”

Harfiah, “bayi-bayi.”

Atau “zaman yang akan datang.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”

Atau “peras dengan menggunakan tuduhan palsu.”

Lihat Lampiran B14.

Lihat Lampiran A5.

Harfiah, “Syurga.”

Harfiah, “kuasa gabenor.”

Lihat Lampiran B14.

Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”

Lihat Lampiran A5.

Lihat Lampiran A5.

Atau “pasar.”

Atau “rumah.”

Harfiah, “2 lepton.” Lihat Lampiran B14.

Atau “mendatangkan pembalasan.”

Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.

Atau “kira-kira sejauh lemparan batu.”

Lihat Lampiran A3.

Lihat Kamus.

Harfiah, “jam yang ke-6.”

Harfiah, “jam yang ke-9.”

Harfiah, “hari pertama dalam seminggu.” Bagi orang Yahudi, hari Ahad ialah hari pertama dalam seminggu.

Harfiah, “60 stadium.” Lihat Lampiran B14.

Atau mungkin, “Adakah kamu satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui?”

Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi