PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 24 1A-5234
  • Yeremia

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Yeremia
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Yeremia

YEREMIA

1 Inilah kata-kata Yeremia* anak Hilkia, seorang imam dari Anatot+ di kawasan Benyamin. 2 Yehuwa berfirman kepadanya pada tahun ke-13 pemerintahan Yosia+ anak Amon,+ raja Yehuda. 3 Tuhan juga berfirman kepadanya semasa pemerintahan Yehoyakim+ anak Yosia, raja Yehuda, sehingga tahun ke-11 pemerintahan Zedekia+ anak Yosia, raja Yehuda, iaitu semasa penduduk Yerusalem dibuang negeri pada bulan kelima.+

4 Yehuwa berfirman kepadaku,

 5 “Sebelum Aku membentuk engkau di dalam rahim ibumu, Aku sudah mengenalmu,*+

Dan sebelum engkau dilahirkan, Aku sudah menyucikanmu.+

Aku melantik engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa.”

 6 Tetapi aku menjawab, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat!

Aku tidak pandai berkata-kata+ kerana aku masih sangat muda.”+

 7 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku,

“Jangan berkata, ‘Aku masih sangat muda.’

Engkau harus pergi kepada semua orang yang Aku suruh engkau pergi,

Dan sampaikanlah segala perintah-Ku kepada mereka.+

 8 Janganlah takut akan mereka,+

Kerana ‘Aku menyertaimu untuk menyelamatkanmu,’+ firman Yehuwa.”

9 Selepas itu, Yehuwa menghulurkan tangan-Nya lalu menyentuh mulutku.+ Yehuwa berfirman kepadaku, “Aku telah meletakkan firman-Ku ke dalam mulutmu.+ 10 Lihatlah! Aku melantik engkau pada hari ini supaya engkau berkuasa atas bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan. Engkau akan mencabut dan meruntuhkan, membinasakan dan merobohkan, membina dan menanam.”+

11 Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, “Yeremia, apakah yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Aku nampak dahan pokok badam.”*

12 Yehuwa berfirman kepadaku, “Betul jawapanmu. Aku sedang berjaga untuk melaksanakan firman-Ku.”

13 Yehuwa berfirman kepadaku buat kali kedua, “Apakah yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Aku nampak sebuah periuk yang sedang mendidih.* Mulut periuk itu telah dicondongkan supaya menjauhi arah utara.” 14 Lalu Yehuwa berfirman kepadaku,

“Malapetaka akan dilepaskan dari arah utara

Dan menimpa semua penduduk di negeri ini.+

15 ‘Aku memanggil semua keluarga dari kerajaan-kerajaan utara,’ firman Yehuwa,+

‘Dan mereka akan datang lalu setiap orang akan mendirikan takhta

Di depan pintu-pintu gerbang Yerusalem,+

Lalu menyerang temboknya

Dan semua kota di Yehuda.+

16 Aku akan mengumumkan penghakiman-Ku atas segala perbuatan jahat mereka.

Mereka telah meninggalkan Aku+

Dan mempersembahkan korban* kepada tuhan-tuhan lain+

Serta bersujud menyembah benda-benda buatan tangan mereka.’+

17 Tetapi engkau patut bersedia untuk bertindak.

Engkau mesti bangkit untuk memberitahu mereka segala yang telah Aku perintahkan kepadamu.

Janganlah takut akan mereka,+

Supaya Aku tidak menyebabkan engkau lebih takut lagi apabila engkau berhadapan dengan mereka.

18 Hari ini, Aku membuat engkau menjadi seperti sebuah kota berkubu,

Tiang besi, dan tembok tembaga untuk berhadapan dengan seluruh negeri ini.+

Ya, engkau akan berhadapan dengan raja-raja Yehuda, para pembesarnya,

Para imamnya, dan penduduk negeri ini.+

19 Mereka pasti akan melawanmu,

Tetapi mereka tidak akan mengalahkanmu,

Kerana ‘Aku menyertaimu,’+ firman Yehuwa, ‘untuk menyelamatkanmu.’”

2 Yehuwa berfirman kepadaku, 2 “Pergilah ke Yerusalem dan umumkanlah, ‘Inilah firman Yehuwa:

“Aku ingat akan kasih setia yang telah engkau tunjukkan semasa engkau masih muda.+

Ya, kasih yang engkau tunjukkan semasa engkau menjadi tunang-Ku.+

Engkau telah mengikut-Ku di padang belantara,

Di tanah yang tidak ditaburi benih.+

 3 Pada waktu itu, Israel suci di mata Yehuwa;+ mereka ialah hasil tuaian-Nya yang pertama.”’

‘Sesiapa yang membaham Israel akan berdosa,

Dan malapetaka akan menimpa mereka,’ firman Yehuwa.”+

 4 Dengarlah firman Yehuwa, hai keturunan Yakub,

Dan semua keluarga daripada bangsa Israel.

 5 Inilah firman Yehuwa:

“Apakah kesalahan-Ku terhadap nenek moyangmu?+

Mengapakah mereka menjauhi-Ku,

Dan mengikut patung-patung berhala yang tidak berguna+ sehingga mereka juga menjadi tidak berguna?+

 6 Mereka tidak bertanya, ‘Di manakah Yehuwa,

Tuhan yang membawa kita keluar dari Mesir,+

Yang telah membawa kita melintasi padang belantara,

Tanah yang berpasir+ dan berlubang,

Tanah yang kering+ dan yang diliputi bayangan gelap,

Tanah yang tidak dilalui manusia,

Dan yang tidak didiami orang?’

 7 Kemudian Aku menuntun engkau ke tanah yang dipenuhi kebun,

Supaya engkau dapat memakan buahnya dan menikmati segala yang baik.+

Tetapi setelah engkau datang ke tanah-Ku, engkau mencemarinya.

Engkau telah menjadikan warisan-Ku sesuatu yang jijik.+

 8 Para imam tidak bertanya, ‘Di manakah Yehuwa?’+

Orang yang sepatutnya mengajarkan hukum-Ku tidak mengenal-Ku,

Para gembala memberontak terhadap-Ku,+

Para nabi bernubuat atas nama Baal,+

Dan mereka mengikut tuhan-tuhan yang tidak berguna.

 9 ‘Oleh itu, Aku akan terus menentang engkau,’+ firman Yehuwa,

‘Dan Aku akan menentang keturunanmu.’

10 ‘Tetapi pergilah ke kepulauan Kitim+ dan lihatlah!

Ya, hantarlah utusan ke Kedar+ dan fikirlah secara mendalam;

Pertimbangkanlah sama ada hal seperti ini pernah berlaku atau tidak.

11 Pernahkah suatu bangsa menggantikan tuhan-tuhan mereka dengan tuhan-tuhan yang palsu? Tidak.

Tetapi umat-Ku telah menggantikan kemuliaan-Ku dengan tuhan-tuhan yang tidak berguna.+

12 Wahai langit, lihatlah hal ini dengan rasa hairan,

Dan terketar-ketarlah kerana takut,’ firman Yehuwa,

13 ‘Kerana umat-Ku telah melakukan dua perkara yang jahat:

Mereka telah meninggalkan Aku, sumber air yang hidup,+

Dan mereka telah menggali perigi* untuk diri sendiri.

Tetapi perigi-perigi itu bocor dan tidak dapat menampung air.’

14 ‘Adakah Israel hamba atau abdi yang dilahirkan di rumah tangga majikannya?

Jadi mengapa pula mereka menjadi seperti orang yang dijarah?

15 Singa yang muda mengaum ke arah mereka.+

Singa-singa itu mengaum dengan kuat,

Dan menjadikan tanah mereka tempat yang menakutkan.

Kota-kota mereka telah dibakar dengan api supaya tiada orang dapat mendiaminya.

16 Penduduk Nof*+ dan Tahpanes+ menggondolkan tanahmu.*

17 Bukankah engkau sendiri yang menyebabkan hal ini berlaku kepadamu?

Engkau telah meninggalkan Yehuwa, Tuhanmu+

Semasa Dia membimbingmu dalam perjalananmu.

18 Mengapa engkau mahu pergi ke Mesir+

Untuk minum air di Shihor?*

Mengapa engkau mahu pergi ke Assyria+

Untuk minum air di Sungai Efrat?

19 Engkau patut belajar daripada perbuatan jahatmu,

Dan engkau patut ditegur kerana engkau tidak setia.

Sedarlah dan ketahuilah betapa buruk dan pahitnya akibat perbuatanmu+

Kerana engkau telah meninggalkan Aku, Yehuwa, Tuhanmu;

Engkau langsung tidak takut kepada-Ku,’+ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan Yang Berdaulat.

20 ‘Dahulu Aku telah menghancurkan kukmu*+

Dan memutuskan rantai yang mengikatmu.

Tetapi engkau berkata, “Aku tidak akan berkhidmat kepada-Mu.”

Di atas setiap bukit yang tinggi dan di bawah setiap pokok yang subur,+

Engkau berbaring dan melacurkan diri.+

21 Engkau ditanam daripada baka asli pokok anggur merah yang terbaik.+

Tetapi mengapakah engkau berubah menjadi pokok anggur liar yang menghasilkan tunas-tunas yang buruk?’+

22 ‘Walaupun engkau mandi dengan menggunakan sabun dan garam,*

Dalam pandangan-Ku, engkau masih kotor kerana kesalahanmu,’+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.

23 Bagaimanakah engkau dapat berkata, ‘Aku tidak pernah menajiskan diriku.

Aku tidak pernah mengikuti Baal’?

Lihatlah perbuatanmu di lembah.

Fikirkanlah apa yang telah engkau lakukan.

Engkau seperti unta betina yang muda dan tangkas,

Yang berlari ke sana sini, tanpa arah tuju.

24 Engkau seperti keldai liar di padang belantara,

Yang menghidu-hidu angin ketika sedang berahi.

Siapakah yang dapat mengawal keldai yang sedang berahi?

Keldai-keldai jantan tidak perlu bersusah payah mencarinya

Kerana dia pasti akan ditemui pada musim mengawan.

25 Jangan biarkan kakimu tidak berkasut,

Dan jangan biarkan kerongkongmu kering.

Tetapi engkau berkata, ‘Tiada gunanya!+

Aku telah jatuh cinta dengan orang* asing,+

Jadi aku akan mengikuti mereka.’+

26 Seperti seorang pencuri yang dimalukan sewaktu ditangkap,

Begitu juga orang Israel akan dimalukan,

Termasuk raja-raja mereka, para pembesar mereka,

Imam-imam mereka, dan nabi-nabi mereka.+

27 Mereka berkata kepada sebatang pokok, ‘Engkaulah bapaku,’+

Dan kepada sebuah batu, ‘Engkaulah yang telah melahirkan aku.’

Mereka enggan menghadap Aku malah mereka berpaling daripada-Ku.+

Sewaktu mereka ditimpa malapetaka, mereka akan berkata,

‘Bangkitlah dan selamatkanlah kami!’+

28 Wahai Yehuda, di manakah patung dewa dewi yang engkau buat itu?+

Biarlah mereka bangkit dan menyelamatkanmu sewaktu engkau ditimpa malapetaka.

Bukankah bilangan dewa dewimu sebanyak kota-kotamu?+

29 ‘Mengapa kamu asyik menentang-Ku?

Mengapa kamu memberontak terhadap-Ku?’+ firman Yehuwa.

30 Sia-sia sahaja Aku menghukum anak-anakmu.+

Mereka enggan menerima disiplin-Ku.+

Pedangmu telah membunuh nabi-nabimu,+

Seperti seekor singa yang membaham mangsanya.

31 Wahai generasi, pertimbangkanlah firman Yehuwa.

Adakah Aku seperti padang belantara bagi Israel?

Atau adakah Aku seperti tanah yang gelap dan berbahaya bagi mereka?

Mengapakah mereka, umat-Ku, berkata, ‘Kami akan mengembara dengan bebas.

Kami tidak akan kembali kepada-Mu lagi’?+

32 Dapatkah seorang anak dara melupakan perhiasannya?

Dapatkah seorang pengantin perempuan melupakan ikat pinggangnya?

Namun umat-Ku telah melupakan Aku buat jangka masa yang panjang.+

33 Wahai wanita, engkau memang pandai mencari cinta.

Patutlah engkau begitu mahir berbuat jahat!+

34 Pakaianmu juga kotor dengan kesan darah orang yang miskin dan tidak bersalah.+

Meskipun Aku tidak nampak mereka pecah masuk ke dalam rumahmu,

Aku masih nampak kesan darah mereka pada semua pakaianmu.+

35 Tetapi engkau berkata, ‘Aku tidak bersalah.

Jadi Dia pasti tidak akan marah kepadaku lagi.’

Sekarang Aku akan menghukummu

Kerana engkau berkata, ‘Aku tidak berdosa.’

36 Mengapa engkau mengubah haluanmu sesuka hati?

Engkau pasti akan menanggung malu kerana Mesir,+

Sepertimana engkau telah menanggung malu kerana Assyria.+

37 Engkau juga akan berjalan keluar sambil meletakkan kedua-dua tangan di atas kepalamu,+

Kerana Yehuwa telah menolak orang yang engkau harapkan;

Mereka tidak akan membantumu untuk berjaya.”

3 Orang bertanya, “Jika seorang suami mengusir isterinya dan isterinya meninggalkan dia lalu menjadi isteri orang lain, patutkah bekas suami itu mengambil dia kembali sebagai isteri?”

Bukankah tanah ini telah tercemar sama sekali?+

“Engkau telah melacur dengan banyak orang.+

Jadi patutkah engkau kembali kepada-Ku sekarang?” firman Yehuwa.

 2 “Pandanglah ke arah bukit-bukit dan lihatlah!

Di tempat manakah engkau belum dirogol?

Engkau seperti pengembara* di padang belantara,

Yang duduk di pinggir jalan dan menantikan mereka.

Engkau asyik menajiskan tanah ini

Dengan pelacuran dan perbuatan jahatmu.+

 3 Itulah sebabnya hujan tidak turun,+

Dan hujan pada musim bunga tidak datang.

Wajahmu seperti wajah seorang isteri yang melacurkan diri secara terang-terangan;

Engkau langsung tidak tahu malu.+

 4 Tetapi sekarang engkau berseru kepada-Ku,

‘Bapaku! Engkaulah sahabat karibku sejak kecil!+

 5 Patutkah Engkau terus menaruh dendam?

Patutkah Engkau terus berasa geram?’

Itulah yang engkau katakan,

Tetapi engkau terus melakukan semua hal jahat yang dapat engkau lakukan.”+

6 Pada zaman Raja Yosia,+ Yehuwa telah berfirman kepadaku, “‘Adakah engkau nampak apa yang telah dilakukan oleh Israel yang curang itu? Dia telah melacurkan diri di atas setiap gunung yang tinggi dan di bawah setiap pokok yang subur.+ 7 Selepas dia melakukan semua ini, Aku berkali-kali menyuruh dia untuk kembali kepada-Ku,+ tetapi dia enggan kembali. Yehuda asyik memerhatikan kakaknya, pengkhianat itu.+ 8 Apabila Aku nampak hal ini, Aku mengusir Israel yang tidak setia itu dan memberikan surat cerai+ kepadanya kerana dia telah berzina.+ Tetapi adik perempuannya, iaitu Yehuda, pengkhianat itu, tidak takut, malah dia turut menjadi pelacur.+ 9 Dia memandang ringan perbuatannya itu. Dia terus mencemari tanah ini dan melakukan perzinaan dengan batu dan pokok.+ 10 Meskipun demikian, adik perempuannya, Yehuda, enggan kembali kepada-Ku dengan sepenuh hati. Dia hanya berpura-pura berbuat demikian,’ firman Yehuwa.”

11 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, “Israel yang tidak setia itu ternyata lebih baik daripada Yehuda, pengkhianat itu.+ 12 Pergilah ke arah utara dan umumkanlah kata-kata berikut:+

“‘“Wahai Israel yang suka memberontak, kembalilah kepada-Ku,” firman Yehuwa.’+ ‘“Aku tidak akan murka terhadapmu lagi+ kerana Aku setia,” firman Yehuwa.’ ‘“Aku tidak akan terus murka. 13 Tetapi engkau haruslah mengakui kesalahanmu kerana engkau telah memberontak melawan Aku, Yehuwa, Tuhanmu. Di bawah setiap pokok yang subur, engkau bersetubuh dengan orang yang tidak engkau kenal.* Engkau juga tidak mahu mendengar suara-Ku,” firman Yehuwa.’”

14 “Wahai anak-anak-Ku yang suka memberontak, kembalilah kepada-Ku,” firman Yehuwa. “Aku ialah tuan* kamu yang sebenar. Aku akan mengambil seorang dari setiap kota dan dua orang daripada setiap keluarga, dan Aku akan membawa kamu ke Sion.+ 15 Aku akan memberi kamu para gembala yang bertindak selaras dengan kehendak-Ku.*+ Mereka akan memberi kamu pengetahuan dan pemahaman. 16 Pada waktu itu, bilangan kamu akan bertambah banyak dan kamu akan beranak cucu di tanah ini,” firman Yehuwa.+ “Tiada orang akan berkata, ‘Tabut perjanjian Yehuwa!’ Tabut itu tidak akan terlintas dalam fikiran mereka. Mereka sama sekali tidak akan memikirkannya atau mengingatinya, dan tabut itu tidak akan dibina lagi. 17 Pada waktu itu, mereka akan memanggil Yerusalem sebagai takhta Yehuwa.+ Semua bangsa akan dikumpulkan di Yerusalem untuk memuliakan nama Yehuwa,+ dan mereka tidak akan berkeras lagi untuk mengikut hati mereka yang jahat.”

18 “Pada waktu itu, bangsa Yehuda dan bangsa Israel akan bersatu padu.+ Mereka akan datang bersama-sama dari tanah di utara dan kembali ke tanah yang telah Aku berikan kepada nenek moyang mereka sebagai warisan.+ 19 Aku berfikir, ‘Aku akan menempatkan kamu dalam kalangan anak-anak-Ku dan memberimu tanah yang cantik ini, ya warisan yang terindah dalam kalangan bangsa-bangsa!’+ Aku juga berfikir bahawa kamu akan memanggil Aku, ‘Bapa!’ dan bahawa kamu tidak akan meninggalkan Aku. 20 ‘Sebagaimana seorang isteri mengkhianati suaminya dan meninggalkannya, demikian juga dengan kamu, hai bangsa Israel. Kamu juga telah mengkhianati Aku,’+ firman Yehuwa.”

21 Di atas bukit-bukit, kedengaran suatu suara,

Suara orang Israel yang menangis dan merayu,

Kerana mereka telah mengikut haluan yang sesat;

Mereka telah melupakan Yehuwa, Tuhan mereka.+

22 “Kembalilah, wahai anak-anak-Ku yang suka memberontak.

Aku akan menyembuhkan kamu agar kamu tidak lagi memberontak.”+

“Ya Yehuwa, inilah kami! Kami telah datang kepada-Mu,

Kerana Engkau ialah Tuhan kami.+

23 Sesungguhnya, riuh-rendah di atas bukit-bukit dan gunung-ganang hanyalah kepalsuan.+

Sememangnya Tuhan Yehuwalah yang dapat menyelamatkan Israel.+

24 Sejak masa muda kami, benda* yang memalukan telah mengambil segala yang telah diusahakan oleh nenek moyang kami.+

Benda itu telah memakan biri-biri, kambing, lembu,

Dan anak-anak mereka.

25 Biarlah kami berbaring dengan rasa malu,

Dan biarlah rasa hina menyelubungi kami,

Kerana kami telah berdosa terhadap Yehuwa, Tuhan kami.+

Ya, kami dan nenek moyang kami telah berdosa sejak masa muda kami sehingga hari ini.+

Kami juga tidak mematuhi firman Yehuwa, Tuhan kami.”

4 “Wahai orang Israel, jika kamu kembali,” firman Yehuwa,

“Ya, jika kamu kembali kepada-Ku,

Dan jika kamu menyingkirkan berhala-berhala kamu yang jijik dari hadapan-Ku,

Kamu tidak akan menjadi pelarian lagi.+

 2 Jika kamu bersumpah,

‘Demi Yehuwa yang hidup!’ dan kamu berpegang pada kebenaran serta bersikap adil dan baik,

Semua bangsa akan meraih berkat* kerana Dia,

Dan mereka akan berbangga kerana Dia.”+

3 Yehuwa berfirman kepada penduduk Yehuda dan Yerusalem,

“Bajaklah tanah yang sesuai digunakan untuk bercucuk tanam.

Janganlah terus menabur benih di antara tanaman berduri.+

 4 Wahai penduduk Yehuda dan Yerusalem,

Bersunatlah demi Yehuwa,

Buanglah segala kenajisan yang ada dalam hati kamu.+

Jika kamu tetap melakukan hal-hal yang jahat,

Kemurkaan-Ku akan membara seperti api

Yang tidak dapat dipadamkan.”+

 5 Umumkanlah hal ini di Yehuda, dan beritakanlah hal ini di Yerusalem.

Berserulah dan tiuplah trompet di seluruh negeri.+

Berserulah dengan lantang, “Mari kita berkumpul,

Dan berlari ke kota-kota berkubu.+

 6 Angkatlah panji* ke arah Sion.

Carilah tempat naungan, dan janganlah tercegat di situ,”

Kerana Aku akan membawa malapetaka dari arah utara,+ ya Aku akan membawa malapetaka yang dahsyat.

 7 Dia telah bangkit seperti seekor singa yang keluar dari belukar.+

Ya, pemusnah bangsa-bangsa sudah berangkat.+

Dia keluar dari tempatnya untuk menjadikan negerimu tempat yang mengerikan.

Kota-kotamu akan menjadi reruntuhan yang tidak berpenghuni.+

 8 Oleh itu, kenakanlah kain guni,+

Lalu berkabunglah dan merataplah,

Kerana api kemarahan Yehuwa masih belum reda terhadap kita.

 9 “Pada hari itu,” firman Yehuwa, “raja akan patah semangat.+

Para pembesar juga akan patah semangat.

Imam-imam akan berasa takut, dan nabi-nabi akan berasa hairan.”+

10 Kemudian aku berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat! Engkau betul-betul telah memperdaya umat ini+ dan Yerusalem dengan berfirman, ‘Kamu akan hidup aman,’+ padahal pedang terhunus di leher kami.”

11 Pada waktu itu, kata-kata berikut akan disampaikan kepada umat ini dan Yerusalem:

“Angin panas dari bukit-bukit tandus di padang gurun

Akan bertiup ke arah umat-Ku.*

Angin itu bukan angin yang menerbangkan sekam dan membersihkan bijirin.

12 Angin yang kuat datang dari tempat-tempat itu atas perintah-Ku.

Sekarang Aku akan menjatuhkan hukuman atas mereka.

13 Lihatlah! Musuh akan datang bagaikan awan yang gelap.

Kereta-kereta kudanya seperti angin ribut.+

Kuda-kudanya lebih pantas daripada burung helang.+

Malanglah kita kerana kita akan binasa!

14 Hai Yerusalem, bersihkanlah hatimu daripada segala kejahatan agar engkau selamat!+

Sampai bilakah engkau akan memikirkan hal-hal yang jahat?

15 Ada suara yang membawa berita dari Dan;+

Berita tentang bencana dari kawasan pergunungan Efraim.

16 Laporkanlah hal ini kepada bangsa-bangsa.

Umumkanlah hal ini kepada Yerusalem.”

“Para pengawal* sedang dalam perjalanan dari negeri yang jauh,

Dan mereka akan berteriak ke arah kota-kota Yehuda.

17 Mereka akan mengepung Yerusalem dari semua arah seperti orang yang menjaga ladang,+

Kerana kota itu telah memberontak terhadap-Ku,”+ firman Yehuwa.

18 “Engkau akan menderita akibat tindakan dan kelakuanmu sendiri.+

Betapa dahsyatnya malapetaka yang akan menimpamu,

Kerana perbuatanmu itu telah merosakkan hatimu!”

19 Aduh! Betapa sakitnya aku!

Hatiku begitu sakit.

Jantungku berdebar-debar.

Aku tidak dapat berdiam diri,

Kerana aku telah mendengar bunyi tiupan trompet,

Yang menandakan perang.*+

20 Bencana demi bencana menimpa,

Sehingga seluruh negeri hancur musnah.

Tiba-tiba khemahku dimusnahkan,

Dan kain-kain khemahku dikoyakkan.+

21 Sampai bilakah aku harus melihat panji* itu?

Sampai bilakah aku harus mendengar bunyi tiupan trompet itu?+

22 Tuhan berfirman, “Umat-Ku bodoh.+

Mereka tidak mengendahkan Aku.

Mereka seperti anak-anak bodoh yang tidak mempunyai pengertian.

Mereka pandai sekali melakukan kejahatan,

Tetapi mereka tidak tahu berbuat baik.”

23 Aku melihat ke arah tanah itu, dan tanah itu kosong dan gersang.+

Aku melihat ke arah langit, dan cahayanya sudah terpadam.+

24 Aku melihat gunung-gunung bergoncang,

Dan bukit-bukit bergegar.+

25 Aku melihat lagi dan aku tidak nampak seorang manusia pun.

Semua burung di langit juga sudah terbang jauh.+

26 Aku melihat dusun buah-buahan menjadi padang belantara,

Dan semua kota di situ telah dibinasakan.+

Semua ini terjadi kerana Yehuwa,

Kerana kemurkaan-Nya yang meluap-luap.

27 Inilah firman Yehuwa, “Seluruh negeri ini akan menjadi tandus,+

Tetapi Aku tidak akan memusnahkannya sama sekali.

28 Itulah sebabnya negeri ini akan berkabung,+

Dan langit akan menjadi gelap.+

Aku telah berfirman, dan Aku telah membuat keputusan;

Aku tidak akan mengubah fikiran-Ku,* dan Aku pasti akan bertindak.+

29 Apabila kedengaran bunyi para penunggang kuda dan pemanah,

Semua penduduk kota pun melarikan diri.+

Mereka masuk ke dalam belukar,

Dan memanjat bukit batu.+

Setiap kota ditinggalkan,

Dan tiada seorang pun yang akan tinggal di dalamnya.”

30 Sekarang engkau telah dimusnahkan. Apakah yang akan engkau lakukan?

Dahulunya engkau mengenakan pakaian berwarna merah merak,

Menghias dirimu dengan perhiasan emas,

Dan mencantikkan matamu dengan celak.*

Tetapi sia-sia sahaja engkau mencantikkan dirimu,+

Kerana orang yang berahi terhadapmu telah menolakmu.

Sekarang mereka mahu meragut nyawamu.+

31 Aku mendengar suara seorang wanita yang kesakitan,

Teriakan wanita yang sedang melahirkan anak pertama,

Suara anak perempuan Sion yang tercungap-cungap.

Dia menghulurkan tapak tangannya dan berkata,+

“Malanglah aku! Aku letih kerana orang hendak membunuh aku!”

5 Jelajahilah jalan-jalan di Yerusalem.

Lihatlah di sekelilingmu dan tumpukanlah perhatian.

Carilah di lapangan-lapangan kotanya,

Dan lihatlah sama ada engkau dapat menemui orang yang adil,+

Yang berusaha menunjukkan kesetiaan.

Jika engkau dapat menemui seorang pun, Aku akan mengampuni kota Yerusalem.

 2 Meskipun mereka bersumpah, “Demi Yehuwa yang hidup!”

Mereka sebenarnya sedang membuat sumpah palsu.+

 3 Ya Yehuwa, bukankah mata-Mu mencari-cari orang yang setia?+

Engkau memukul umat-Mu, tetapi mereka tidak merasainya.

Engkau memusnahkan mereka, tetapi mereka enggan menerima disiplin.+

Mereka membuat hati* mereka menjadi lebih keras daripada batu.+

Mereka berdegil dan tidak mahu kembali kepada-Mu.+

 4 Tetapi aku berkata kepada diriku, “Tentunya mereka daripada golongan bawahan.

Mereka bertindak dengan bodoh kerana mereka tidak mengetahui haluan Yehuwa,

Dan hukum-hukum Tuhan mereka.

 5 Aku akan pergi kepada golongan atasan dan bercakap dengan mereka,

Kerana mereka pasti mengetahui haluan Yehuwa,

Dan hukum-hukum Tuhan mereka.+

Tetapi mereka semua telah mematahkan kuk mereka

Dan memutuskan rantai-rantai yang mengikat mereka.”

 6 Itulah sebabnya seekor singa dari hutan menyerang mereka,

Serigala dari padang gurun asyik menerkam mereka,

Dan harimau bintang menunggu di dalam kota untuk membaham mereka.

Setiap orang yang keluar dari kota akan dicabik-cabik.

Semua ini terjadi kerana mereka banyak berdosa;

Mereka berkali-kali berlaku tidak setia.+

 7 Bagaimanakah Aku dapat mengampuni engkau setelah engkau berbuat demikian?

Anak-anakmu telah meninggalkan Aku,

Dan mereka bersumpah demi tuhan-tuhan yang palsu.+

Aku telah memuaskan keperluan mereka,

Tetapi mereka terus berzina,

Dan mereka berduyun-duyun pergi ke rumah pelacur.

 8 Mereka seperti kuda-kuda yang kuat nafsu berahi,

Yang meringkik kerana menginginkan isteri orang lain.+

 9 “Tidak patutkah Aku menghukum mereka atas perbuatan mereka itu?” firman Yehuwa.

“Tidak patutkah Aku membalas perbuatan bangsa ini?”+

10 “Seranglah dan binasakanlah ladang-ladang anggurnya,

Tetapi janganlah musnahkan semuanya.+

Ambillah carang-carangnya* yang muda dan subur,

Kerana carang-carang itu bukan milik Yehuwa.

11 Bangsa Israel dan bangsa Yehuda

Betul-betul telah mengkhianati Aku,” firman Yehuwa.+

12 “Mereka telah menyangkal Yehuwa, dan mereka asyik berkata,

‘Dia tidak akan melakukan apa-apa.*+

Kami tidak akan ditimpa malapetaka.

Kami tidak akan diserang pedang ataupun ditimpa kebuluran.’+

13 Para nabi mengucapkan kata-kata kosong belaka,

Dan firman Tuhan tidak ada pada mereka.

Biarlah hal ini terjadi kepada mereka!”

14 Maka inilah firman Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga:

“Oleh sebab mereka berkata demikian,

Aku akan menjadikan firman-Ku seperti api di dalam mulutmu.+

Umat ini akan menjadi seperti kayu,

Dan api itu akan membakar mereka.”+

15 “Hai bangsa Israel, Aku akan menyuruh suatu bangsa dari tempat yang jauh untuk menyerang kamu,”+ firman Yehuwa.

“Bangsa ini sudah lama wujud.

Ya, bangsa ini sudah wujud sejak purbakala lagi.

Kamu tidak memahami bahasa mereka,

Dan kamu tidak mengerti kata-kata mereka.+

16 Bekas anak panah mereka seperti kuburan yang terbuka.

Mereka semua ialah pahlawan yang perkasa.

17 Mereka akan menghabiskan hasil tuaian kamu dan roti kamu.+

Mereka akan membunuh anak-anak kamu.

Mereka akan menyembelih kawanan bebiri, kambing, dan lembu kamu.

Mereka akan menebang pokok anggur dan pokok ara kamu.

Mereka akan menggunakan pedang untuk menghancurkan kota-kota berkubu yang kamu harapkan.”

18 “Bahkan pada waktu itu,” firman Yehuwa, “Aku tidak akan melenyapkan kamu semua.+ 19 Apabila mereka bertanya, ‘Mengapakah Yehuwa, Tuhan kami, melakukan semua ini kepada kami?’ engkau harus menjawab mereka, ‘Sebagaimana kamu telah meninggalkan Aku dan mengabdikan diri kepada tuhan asing di negeri kamu, demikian juga kamu akan mengabdikan diri kepada bangsa asing di tanah yang bukan negeri kamu.’”+

20 Umumkanlah berita ini kepada keturunan Yakub,

Dan hebahkannya di Yehuda:

21 “Hai penduduk yang bodoh dan tidak berpengertian, dengarlah!+

Kamu mempunyai mata, tetapi tidak dapat melihat.+

Kamu mempunyai telinga, tetapi tidak dapat mendengar.+

22 ‘Mengapa kamu tidak takut kepada Aku?’ firman Yehuwa,

‘Mengapa kamu tidak terketar-ketar di hadapan-Ku?

Akulah yang telah menjadikan pasir sebagai sempadan laut,

Sebagai hukum bagi laut supaya laut tidak dapat melintasinya buat selama-lamanya.

Meskipun laut bergelora, sempadan itu tidak dapat ditembusi.

Meskipun ombaknya mengamuk, batasan itu tetap tidak dapat dilampaui.+

23 Tetapi umat ini mempunyai hati yang degil dan suka memberontak.

Mereka telah menyimpang dan mengikut haluan sendiri.+

24 Mereka tidak berkata dalam hati mereka,

“Marilah kita takut kepada Yehuwa, Tuhan kita.

Dialah yang menurunkan hujan pada musimnya,

Tidak kira pada musim luruh atau pada musim bunga.

Dialah yang memastikan agar kita mempunyai musim menuai.”+

25 Kesalahan kamu telah menghalang semua perkara ini daripada berlaku.

Dosa kamu telah menghalang kamu daripada menikmati hal-hal yang baik.+

26 Ada orang jahat dalam kalangan umat-Ku.

Mereka seperti penangkap burung yang membongkok sambil memerhatikan mangsanya.

Mereka memasang jerat yang membawa maut

Untuk menangkap manusia.

27 Seperti sangkar yang penuh dengan burung,

Rumah mereka juga penuh dengan tipu daya.+

Itulah sebabnya mereka kaya dan berkuasa.

28 Badan mereka menjadi gemuk dan kulit mereka menjadi licin.

Mereka sarat dengan kejahatan.

Mereka mengutamakan kepentingan diri sendiri,

Dan tidak membela hak anak yatim.+

Mereka juga tidak menegakkan keadilan bagi orang miskin.’”+

29 “Tidak patutkah Aku menghukum mereka atas perbuatan mereka itu?” firman Yehuwa.

“Tidak patutkah Aku membalas perbuatan bangsa ini?

30 Suatu perkara yang dahsyat dan teruk telah berlaku di negeri ini:

31 Para nabi menyampaikan nubuat palsu,+

Dan para imam menggunakan kekuasaan mereka untuk menindas orang,

Tetapi umat-Ku suka akan perkara itu.+

Jadi apakah yang akan kamu lakukan apabila akhir tiba?”

6 Hai keturunan Benyamin, tinggalkanlah Yerusalem dan bersembunyilah.

Tiuplah trompet+ di Tekoa,+

Nyalakanlah api isyarat di Bet-hakherem!

Malapetaka akan datang dari utara dan membawa kehancuran yang besar.+

 2 Kota Sion seperti seorang wanita yang cantik dan ayu.+

 3 Para gembala dan ternakan mereka akan datang.

Mereka akan mendirikan khemah di sekelilingnya,+

Dan ternakan mereka akan meragut rumput di bawah jagaan gembala.+

 4 “Bersiaplah* untuk berperang melawan Yerusalem!

Bangkitlah! Marilah kita serang kota itu pada waktu tengah hari!”

“Malanglah kita kerana hari semakin gelap,

Dan bayang-bayang petang sudah mula memanjang!”

 5 “Bangkitlah! Marilah kita serang kota itu pada waktu malam,

Dan hancurkanlah menara-menaranya yang kukuh.”+

 6 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:

“Potonglah kayu dan binalah benteng untuk mengepung Yerusalem.+

Kota itu haruslah bertanggungjawab atas perbuatannya,

Kerana hanya ada penindasan di dalamnya.+

 7 Sebagaimana sebuah perigi selalu mengeluarkan air yang sejuk,*

Begitu juga kota itu selalu menghasilkan kejahatan.

Keganasan dan kemusnahan sering kedengaran di dalam kota itu;+

Aku selalu nampak wabak penyakit di situ.

 8 Hai Yerusalem, berwaspadalah. Jika tidak, Aku akan berasa jijik terhadapmu dan meninggalkanmu.+

Aku akan menjadikan kotamu tempat yang tandus dan tidak berpenghuni.”+

 9 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:

“Mereka akan mengumpulkan semua penduduk Israel yang masih hidup seperti orang mengumpulkan sisa-sisa buah anggur.

Hulurkanlah tanganmu sekali lagi seperti orang yang mengumpulkan buah anggur dari pokoknya.”

10 “Aku harus bercakap dan memberikan amaran kepada siapa?

Siapakah yang akan mendengar?

Lihatlah! Telinga mereka tertutup,* maka mereka tidak dapat mendengar.+

Lihatlah! Mereka memandang hina terhadap firman Yehuwa.+

Mereka tidak suka mendengarnya.

11 Maka kemurkaan Yehuwa terhadap mereka membara dalam diriku.

Aku penat dan tidak dapat menahannya lagi.”+

“Lampiaskanlah kemurkaan-Ku terhadap kanak-kanak di jalan,+

Terhadap orang muda yang sedang berkumpul.

Mereka semua akan merasai kemurkaan-Ku, baik suami mahupun isteri,

Baik orang tua mahupun orang yang sangat tua.+

12 Rumah-rumah mereka akan diberikan kepada orang lain.

Begitu juga dengan ladang dan isteri mereka.+

Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk menentang penduduk negeri ini,” firman Yehuwa.

13 “Baik yang muda mahupun yang tua, mengaut keuntungan dengan cara yang tidak jujur.+

Baik nabi mahupun imam, memperdaya orang.+

14 Mereka memandang ringan luka umat-Ku dan mencuba mengubatinya dengan berkata,

‘Semuanya aman damai! Semuanya aman damai!’

Meskipun kedamaian tidak wujud.+

15 Adakah mereka berasa malu kerana melakukan semua perbuatan yang jijik itu?

Mereka sama sekali tidak berasa malu!

Mereka bahkan tidak tahu caranya untuk berasa malu!+

Maka mereka akan rebah bersama orang yang sudah rebah.

Apabila Aku menghukum mereka, mereka akan tersandung,” firman Yehuwa.

16 Inilah firman Yehuwa:

“Berdirilah di simpang jalan dan lihatlah.

Tanyalah tentang jalan-jalan purbakala,

Tanyalah jalan mana yang baik, dan ikutlah jalan itu,+

Agar jiwamu mendapat ketenangan.”

Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak akan ikut jalan itu.”+

17 “Aku melantik para pengawal+ yang berkata,

‘Dengarlah bunyi tiupan trompet!’”+

Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak akan dengar.”+

18 “Hai bangsa-bangsa, dengarlah!

Hai orang yang berkumpul,

Ketahuilah apa yang akan terjadi kepada mereka.

19 Hai bumi, dengarlah!

Aku akan mendatangkan malapetaka atas umat ini+

Untuk membalas perbuatan jahat mereka,

Kerana mereka tidak menghiraukan firman-Ku,

Dan mereka menolak hukum-Ku.”*

20 “Apakah gunanya kamu membawa kemenyan putih dari Syeba,

Dan rotan wangi dari negeri yang jauh kepada-Ku?

Aku tidak mahu menerima korban bakar kamu,

Dan korban-korban kamu tidak menyenangkan hati-Ku.”+

21 Maka inilah firman Yehuwa:

“Aku sedang meletakkan batu-batu sandungan di hadapan umat ini

Supaya mereka tersandung.

Bapa dan anak,

Jiran tetangga dan sahabat handai,

Semuanya akan lenyap.”+

22 Inilah firman Yehuwa:

“Lihatlah! Sebuah bangsa akan datang dari negeri di utara.

Ya, sebuah bangsa yang kuat akan dibangkitkan dari hujung bumi.+

23 Mereka bersenjatakan busur dan lembing.

Mereka kejam dan tidak berbelas kasihan.

Suara mereka bagaikan bunyi laut yang bergelora,

Dan mereka menunggang kuda.+

Hai kota Sion, mereka seperti askar yang mahir, dan mereka akan mengatur barisan perang untuk menyerangmu.”

24 Kami mendapat berita tentang mereka.

Tangan kami tidak bertenaga,+

Kami dicengkam rasa takut,

Kami menderita seperti wanita yang bersalin.+

25 Janganlah pergi ke ladang,

Janganlah berjalan di jalan raya,

Kerana musuh membawa pedang;

Rasa takut ada di mana-mana sahaja.

26 Hai bangsaku,

Kenakanlah kain guni+ dan bergulinglah di atas abu.*

Berkabunglah dan merataplah dengan sedih seperti orang meratapi kematian anak lelaki yang tunggal,+

Kerana pemusnah akan menyerang kita secara tiba-tiba.+

27 “Aku telah melantik engkau* untuk memurnikan umat-Ku seperti orang memurnikan logam.

Selidikilah mereka;

Perhatikanlah dan periksalah haluan mereka.

28 Mereka semua sangat keras kepala.+

Mereka pergi ke sana sini dan menyebarkan fitnah.+

Mereka seperti tembaga dan besi;

Mereka semua berkelakuan buruk.

29 Meskipun alat peniup api sudah terbakar,

Hanya timah hitam yang keluar dari api.

Sia-sia sahaja orang terus membanting tulang untuk memurnikannya,+

Kerana orang yang jahat tidak dapat diasingkan.+

30 Mereka akan dipanggil perak yang tidak bernilai,

Kerana Yehuwa telah menolak mereka.”+

7 Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 2 “Berdirilah di pintu gerbang Rumah Yehuwa dan umumkanlah perkhabaran ini: ‘Dengarlah firman Yehuwa, hai semua orang Yehuda yang memasuki pintu-pintu gerbang ini untuk menyembah Yehuwa. 3 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Ubahlah haluan dan kelakuan kamu, maka Aku akan mengizinkan kamu untuk terus tinggal di sini.+ 4 Jangan mempercayai kata-kata dusta dan berkata, ‘Inilah* Rumah Yehuwa! Inilah Rumah Yehuwa! Inilah Rumah Yehuwa!’+ 5 Jika kamu betul-betul mengubah haluan dan kelakuan kamu, jika kamu menegakkan keadilan dalam suatu perkara yang melibatkan seseorang dan jirannya,+ 6 jika kamu tidak menindas penduduk asing, anak yatim, dan balu,+ jika kamu tidak menumpahkan darah orang yang tidak berdosa di tempat ini, dan jika kamu tidak mendatangkan malapetaka atas diri sendiri dengan menyembah tuhan-tuhan lain,+ 7 Aku akan mengizinkan kamu untuk terus tinggal di sini. Ya, Aku akan mengizinkan kamu untuk tinggal di tanah yang telah Aku berikan kepada nenek moyang kamu buat selama-lamanya.”’”

8 “Tetapi kamu mempercayai kata-kata dusta+ yang tidak membawa sebarang manfaat. 9 Kamu mencuri,+ membunuh, berzina, membuat sumpah palsu,+ mempersembahkan korban* kepada Baal,+ dan menyembah tuhan-tuhan yang tidak kamu kenal. 10 Biarpun kamu telah melakukan semua perbuatan jijik itu, kamu masih datang dan menghadap Aku di rumah ini, rumah yang dibina untuk nama-Ku, dan kamu berkata, ‘Kami akan selamat.’ 11 Rumah ini dibina untuk nama-Ku, tetapi adakah rumah ini telah menjadi sarang perompak?+ Ya, Aku nampak semua ini,” firman Yehuwa.

12 “‘Sekarang pergilah ke tempat-Ku di Silo,+ iaitu tempat pertama yang telah Aku pilih untuk memuliakan nama-Ku.+ Lihatlah apa yang telah Aku lakukan terhadap tempat itu kerana kejahatan umat-Ku Israel.+ 13 Tetapi kamu terus melakukan semua kejahatan ini,’ firman Yehuwa, ‘dan meskipun Aku berfirman kepada kamu berkali-kali, kamu enggan mendengar.+ Sudah berkali-kali Aku memanggil kamu, tetapi kamu tidak menjawab.+ 14 Oleh itu, apa yang telah Aku lakukan terhadap Silo akan Aku lakukan terhadap rumah yang dibina untuk nama-Ku,+ iaitu tempat yang kamu harapkan.+ Ya, tempat yang telah Aku berikan kepada kamu dan nenek moyang kamu akan Kuperlakukan seperti Silo.+ 15 Aku akan mengusir kamu dari hadapan-Ku seperti Aku mengusir semua saudaramu, iaitu semua keturunan Efraim.’+

16 “Hai Yeremia, janganlah berdoa bagi pihak umat ini. Jangan berseru kepada-Ku atau merayu kepada-Ku atau berdoa bagi pihak mereka+ kerana Aku tidak akan mendengar engkau.+ 17 Adakah engkau tidak nampak apa yang dilakukan oleh mereka di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem? 18 Anak-anak lelaki mengumpulkan kayu, bapa-bapa menyalakan api, dan isteri-isteri mencampurkan adunan lalu membuat roti untuk dipersembahkan kepada Ratu Syurga.*+ Mereka juga mencurahkan korban wain kepada tuhan-tuhan lain untuk menyakiti hati-Ku.+ 19 ‘Tetapi adakah mereka menyakiti Aku?’ firman Yehuwa. ‘Bukankah mereka sedang menyakiti diri mereka sehingga mereka sendiri dimalukan?’+ 20 Maka inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Lihatlah! Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku dan kemurkaan-Ku terhadap tempat ini,+ terhadap manusia dan binatang, dan juga terhadap pokok di padang dan hasil tanah. Kemarahan-Ku membara seperti api yang tidak dapat dipadamkan.’+

21 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Pergilah, persembahkanlah korban bakar kamu bersama korban-korban yang lain, dan makanlah daging korban itu.+ 22 Pada hari Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir, Aku tidak berfirman kepada mereka atau memberikan peraturan tentang korban bakar dan korban-korban yang lain.+ 23 Sebaliknya Aku memberikan perintah berikut kepada mereka: “Patuhilah firman-Ku. Maka Aku akan menjadi Tuhan kamu dan kamu akan menjadi umat-Ku.+ Kamu mesti hidup menurut haluan yang telah Aku tetapkan bagi kamu supaya kamu hidup sejahtera.”’+ 24 Tetapi mereka menutup telinga mereka dan tidak mahu mendengar.+ Mereka berkeras untuk hidup menurut fikiran dan keinginan hati mereka yang jahat.+ Mereka berundur dan tidak membuat kemajuan 25 sejak nenek moyang mereka keluar dari Mesir sehingga hari ini.+ Oleh itu, Aku selalu mengutus semua hamba-Ku, iaitu para nabi, kepada mereka. Aku berbuat demikian setiap hari tanpa henti.+ 26 Namun mereka tetap menutup telinga mereka dan tidak mahu mendengar.+ Mereka berdegil dan bertindak lebih teruk daripada nenek moyang mereka!

27 “Engkau akan menyampaikan firman-Ku kepada mereka,+ tetapi mereka tidak akan mendengar. Engkau akan memanggil mereka, tetapi mereka tidak akan menjawab. 28 Oleh itu, engkau akan berkata kepada mereka, ‘Inilah bangsa yang enggan mematuhi firman Yehuwa, Tuhan mereka, dan enggan menerima disiplin. Kesetiaan mereka sudah lenyap, malah mereka tidak menyebut tentangnya lagi.’+

29 “Potonglah rambut kamu yang panjang* dan buanglah rambut kamu itu. Nyanyikanlah lagu ratapan di bukit-bukit yang gondol kerana Yehuwa telah menolak generasi ini, dan Dia akan meninggalkan generasi ini yang telah membuat-Nya sangat marah. 30 ‘Bangsa Yehuda telah melakukan apa yang jahat di mata-Ku,’ firman Yehuwa. ‘Mereka telah meletakkan patung-patung berhala yang jijik di dalam rumah yang dibina untuk nama-Ku. Mereka berbuat demikian untuk menajiskan Rumah-Ku.+ 31 Mereka telah membina tempat-tempat ibadat* di Tofet, yang terletak di Lembah Hinom,*+ supaya mereka dapat membakar anak-anak mereka di dalam api,+ padahal Aku tidak pernah menyuruh mereka berbuat demikian. Hal itu bahkan tidak pernah terlintas dalam fikiran-Ku.’*+

32 “‘Lihatlah! Akan tiba masanya,’ firman Yehuwa, ‘apabila tempat ini tidak lagi dipanggil sebagai Tofet atau Lembah Hinom,* melainkan Lembah Pembunuhan. Mereka akan mengebumikan mayat di Tofet sehingga tiada lagi ruang kosong di situ.+ 33 Mayat umat ini akan dimakan oleh burung di langit dan binatang liar di bumi. Tiada sesiapa pun yang akan mengusir burung dan binatang itu.+ 34 Aku akan menghentikan suara kegembiraan, suara sukacita, suara pengantin lelaki, dan suara pengantin perempuan+ yang kedengaran di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem, kerana negeri itu akan menjadi reruntuhan.’”+

8 “Pada waktu itu,” firman Yehuwa, “tulang raja-raja Yehuda dan para pembesar, dan juga tulang para imam dan para nabi serta tulang penduduk Yerusalem akan dikeluarkan dari kubur mereka. 2 Tulang-tulang mereka akan diselerakkan di bawah matahari, bulan, dan semua bintang di langit* yang dicintai, dilayani, diikuti, dicari, dan disembah oleh mereka.+ Tulang-tulang mereka tidak akan dikumpulkan ataupun dikuburkan, tetapi akan dibiarkan di atas permukaan tanah seperti baja.”+

3 “Orang daripada bangsa jahat ini yang masih hidup, yang telah Aku cerai-beraikan ke pelbagai tempat, akan lebih rela mati daripada hidup,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.

4 “Engkau haruslah berkata kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa:

“Jika seseorang terjatuh, bukankah dia akan bangun semula?

Jika seseorang mengubah haluannya, bukankah yang seorang lagi akan mengubah haluannya juga?

 5 Mengapakah umat ini, umat Yerusalem, selalu tidak setia?

Mereka berpegang pada tipu daya;

Mereka enggan mengubah haluan mereka.+

 6 Aku terus mendengar dengan teliti, tetapi mereka tidak mengatakan apa yang benar.

Tiada seorang pun yang bertaubat daripada kejahatannya atau bertanya, ‘Apakah yang telah aku buat?’+

Setiap orang asyik kembali ke haluan yang diikuti ramai, seperti seekor kuda yang meluru ke medan pertempuran.

 7 Bahkan burung bangau tahu akan musimnya;*

Burung tekukur, burung layang-layang, dan burung murai,* tahu masanya untuk kembali.*

Tetapi umat-Ku tidak mengetahui masanya Aku, Yehuwa, akan menghakimi mereka.”’+

 8 ‘Berani kamu berkata, “Kami bijak. Kami mempunyai hukum Yehuwa.”

Sebenarnya pena palsu milik para jurutulis*+ hanya digunakan untuk menulis hal-hal yang tidak benar.

 9 Orang yang bijak telah dimalukan.+

Mereka diselubungi ketakutan dan akan ditangkap.

Mereka telah menolak firman Yehuwa.

Sekarang, kebijaksanaan apakah yang ada pada mereka?

10 Aku akan memberikan isteri mereka kepada lelaki lain,

Dan ladang mereka kepada pemilik yang baharu;+

Kerana baik yang muda mahupun yang tua, mengaut keuntungan dengan cara yang tidak jujur;+

Baik nabi mahupun imam, memperdaya orang.+

11 Mereka memandang ringan luka umat-Ku dan mencuba mengubatinya dengan berkata,

“Semuanya aman damai! Semuanya aman damai!”

Meskipun kedamaian tidak wujud.+

12 Adakah mereka berasa malu kerana melakukan semua perbuatan yang jijik itu?

Mereka sama sekali tidak berasa malu!

Mereka bahkan tidak tahu caranya untuk berasa malu!+

Maka mereka akan rebah bersama orang yang sudah rebah.

Apabila Aku menghukum mereka, mereka akan tersandung,’+ firman Yehuwa.

13 ‘Setelah Aku mengumpulkan mereka, Aku akan membinasakan mereka,’ firman Yehuwa.

‘Tidak ada lagi buah anggur pada pokok anggur, tidak ada lagi buah ara pada pokok ara, dan daun-daun pada pokok-pokok itu akan layu.

Mereka akan kehilangan apa sahaja yang telah Aku berikan kepada mereka.’”

14 “Mengapakah kita duduk di sini?

Marilah kita berkumpul dan masuk ke dalam kota-kota berkubu+ lalu mati di sana.

Yehuwa, Tuhan kita, mahu membinasakan kita.

Yehuwa memberi kita racun untuk diminum,+

Kerana kita telah berdosa terhadap-Nya.

15 Kita mengharapkan kedamaian, tetapi tiada apa-apa yang baik datang.

Kita mengharapkan penyembuhan, tetapi yang ada hanyalah ketakutan!+

16 Dari Dan, dengus kuda-kuda musuh sudah kedengaran.

Seluruh bumi bergegar,

Apabila kuda-kuda jantan itu meringkik.

Musuh itu datang dan membinasakan seluruh negeri dan segala isinya,

Kota dan penduduknya.”

17 “Lihatlah! Aku akan mengirim ular ke tengah-tengah kamu,

Ular-ular berbisa yang tidak dapat dijinakkan.

Ular-ular itu pasti akan mematuk kamu,” firman Yehuwa.

18 Betapa sakitnya hatiku.

Kesedihanku tidak dapat diubati.

19 Dari jauh, kedengaran seruan meminta tolong,

Ya, bangsaku berseru,

“Bukankah Yehuwa ada di Sion?

Bukankah raja-raja Sion ada di situ?”

“Mengapakah mereka membuat Aku murka dengan berhala mereka,

Dan dengan dewa dewi palsu mereka yang tidak berguna?”

20 “Musim menuai telah berlalu dan musim panas telah berakhir,

Tetapi kita belum diselamatkan!”

21 Hatiku hancur atas malapetaka yang menimpa bangsaku;+

Aku sangat kecewa.

Ketakutan telah menguasai aku.

22 Tiadakah minyak balsam* di Gilead?+

Tiadakah tabib* di sana?+

Mengapakah bangsaku belum sembuh?+

9 Alangkah baiknya jika kepalaku seperti perigi yang penuh dengan air,

Dan mataku seperti pancuran yang terus mengalirkan air mata,+

Supaya aku dapat menangis siang dan malam

Untuk orang sebangsaku yang terbunuh!

 2 Alangkah baiknya jika aku mempunyai tempat menginap di padang belantara,

Supaya aku dapat meninggalkan bangsaku dan menjauhi mereka,

Kerana mereka semua penzina,+

Segerombolan pengkhianat!

 3 Mereka melengkungkan lidah mereka seperti busur,

Sehingga negeri ini dipenuhi kepalsuan, dan bukannya kesetiaan.+

“Mereka semakin jahat,

Dan mereka tidak mengendahkan Aku,”+ firman Yehuwa.

 4 “Hai semua orang, berwaspadalah terhadap jiranmu,

Dan janganlah mempercayai saudara kandungmu,

Kerana semua saudaramu ialah pengkhianat,+

Dan semua jiranmu ialah pemfitnah.+

 5 Setiap orang menipu jirannya,

Dan tiada seorang pun yang bercakap benar.

Mereka mengajar lidah sendiri untuk mengucapkan dusta.+

Mereka memenatkan diri sendiri dengan melakukan apa yang salah.

 6 Kamu hidup dikelilingi penipuan.

Mereka menipu dan enggan mengenal Aku,” firman Yehuwa.

 7 Maka inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:

“Aku akan memurnikan* mereka dan menguji mereka,+

Kerana apa lagi yang dapat Kulakukan terhadap umat-Ku ini?

 8 Lidah mereka mengucapkan dusta seperti anak panah yang membawa maut.

Seseorang menggunakan mulutnya untuk bercerita tentang kedamaian kepada jirannya,

Tetapi dalam hatinya, dia memasang perangkap.”

 9 “Tidak patutkah Aku menghukum mereka atas perbuatan mereka itu?” firman Yehuwa.

“Tidak patutkah Aku membalas perbuatan bangsa ini?+

10 Aku akan berkabung dan meratapi gunung-gunung.

Aku juga akan menyanyikan lagu ratapan untuk padang-padang rumput,

Kerana semuanya sudah dibakar sehingga tiada orang dapat melaluinya.

Bunyi ternakan tidak kedengaran lagi.

Burung di langit dan binatang liar sudah melarikan diri; semuanya sudah lesap.+

11 Aku akan menjadikan Yerusalem timbunan batu+ dan sarang serigala,+

Dan Aku akan menjadikan kota-kota Yehuda tanah yang tandus dan tidak berpenghuni.+

12 Siapakah yang cukup bijaksana untuk memahami hal ini?

Siapakah yang telah menerima firman Yehuwa supaya dia dapat mengumumkannya?

Mengapakah negeri ini binasa?

Mengapakah negeri ini kering-kontang seperti padang belantara,

Sehingga tiada orang yang melaluinya?”

13 Yehuwa menjawab, “Hal ini berlaku kerana mereka menolak hukum* yang telah Kuberikan kepada mereka, dan kerana mereka tidak menuruti hukum-Ku serta mematuhi firman-Ku. 14 Sebaliknya, mereka berkeras mahu mengikut keinginan hati mereka.+ Mereka menyembah patung-patung Baal, seperti yang diajarkan oleh nenek moyang mereka.+ 15 Maka inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan menyuruh umat ini makan tanaman yang pahit, dan Aku akan memaksa mereka minum racun.+ 16 Aku akan mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa yang tidak dikenali mereka dan nenek moyang mereka.+ Aku juga akan mendatangkan sebilah pedang untuk menyerang mereka sehingga mereka semua lenyap.’+

17 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:

‘Bertindaklah dengan pengertian.

Panggillah para wanita yang menyanyikan lagu ratapan,+

Dan jemputlah wanita-wanita yang mahir bernyanyi untuk datang.

18 Biarlah mereka segera menyanyikan lagu ratapan untuk kamu,

Supaya air mata bercucuran dari mata kamu,

Dan air mata mengalir dari kelopak mata kamu.+

19 Suara ratapan kedengaran dari Sion:+

“Kami sudah hancur binasa!

Betapa malunya kami!

Kami harus meninggalkan negeri kami, dan rumah kami telah dirobohkan.”+

20 Hai para wanita, dengarlah firman Yehuwa.

Terimalah firman yang keluar dari mulut-Nya.

Ajarkanlah lagu ratapan ini kepada anak-anak perempuan kamu,

Dan ajarkanlah lagu ratapan ini kepada wanita-wanita yang lain.+

21 Kematian menyelinap masuk melalui jendela-jendela kamu.

Ya, kematian telah masuk ke dalam menara-menara kamu yang kukuh

Untuk meragut nyawa kanak-kanak di jalan

Dan pemuda-pemuda di dataran kota.’+

22 Katakanlah, ‘Inilah firman Yehuwa:

“Mayat-mayat orang akan bergelimpangan di permukaan tanah seperti baja,

Seperti hasil tuaian* yang baru dipotong oleh para penuai,

Dan tidak dikumpulkan oleh sesiapa pun.”’”+

23 Inilah firman Yehuwa:

“Orang yang bijaksana tidak harus berbangga dengan kebijaksanaannya;+

Orang yang kuat tidak harus berbangga dengan kekuatannya;

Dan orang yang kaya tidak harus berbangga dengan kekayaannya.”+

24 “Tetapi orang yang ingin berbangga haruslah berbangga

Kerana dia mempunyai pengertian dan pengetahuan tentang Aku,+

Dan kerana Aku, Yehuwa, ialah Tuhan yang menunjukkan kebaikan dan kasih yang setia serta Tuhan yang menegakkan keadilan di bumi.+

Semua ini menyenangkan hati-Ku,”+ firman Yehuwa.

25 “Lihatlah! Masanya akan tiba,” firman Yehuwa, “apabila Aku akan menghukum setiap orang yang bersunat tetapi sebenarnya tidak bersunat,+ 26 iaitu orang Mesir,+ orang Yehuda,+ orang Edom,+ orang Ammon,+ orang Moab,+ dan semua penduduk di padang belantara yang telah memotong rambut pada pelipis* mereka.+ Aku akan berbuat demikian kerana semua bangsa tidak bersunat, dan seluruh bangsa Israel tidak membuang kenajisan yang ada dalam hati* mereka.”+

10 Hai bangsa Israel, dengarlah perkhabaran Yehuwa kepada kamu. 2 Inilah firman Yehuwa:

“Janganlah ikut haluan bangsa-bangsa lain.+

Janganlah berasa takut semasa melihat tanda-tanda dari langit,

Walaupun bangsa-bangsa lain berasa takut.+

 3 Adat resam mereka sia-sia sahaja.

Seorang tukang kayu menebang sebatang pokok di dalam hutan,

Lalu membuat patung berhala daripadanya.+

 4 Patung itu dihiasi dengan emas dan perak+

Lalu dikukuhkan dengan tukul dan paku supaya patung itu tidak terjatuh.+

 5 Patung-patung itu seperti orang-orangan di kebun timun yang tidak dapat bercakap.+

Patung-patung itu harus diangkat kerana tidak dapat berjalan.+

Janganlah takut kepada patung-patung itu kerana patung-patung itu tidak dapat mencederakan kamu

Atau membawa kebaikan kepada kamu.”+

 6 Ya Yehuwa, tiada sesiapa pun yang seperti Engkau.+

Engkau sungguh perkasa, dan nama-Mu agung dan berkuasa.

 7 Wahai Raja bangsa-bangsa, siapakah yang tidak takut* kepada-Mu?+ Engkau harus ditakuti oleh semua

Kerana antara semua orang bijaksana daripada bangsa-bangsa dan di dalam semua kerajaan mereka,

Tiada sesiapa pun yang setanding dengan-Mu.+

 8 Mereka semua bodoh dan tidak berakal.+

Sia-sia sahaja mereka menerima arahan daripada sebatang pokok.+

 9 Piring-piring perak dibawa dari Tarsis+ dan emas dibawa dari Ufaz;

Semua itu digunakan oleh tukang besi dan tukang-tukang yang mahir.

Patung-patung itu dikenakan pakaian yang diperbuat daripada benang biru dan kain bulu yang berwarna ungu.

Semua patung itu dibuat oleh tukang-tukang yang mahir.

10 Tetapi Yehuwa ialah Tuhan yang benar.

Dia ialah Tuhan yang hidup+ dan Raja yang kekal.+

Bumi akan bergoncang kerana kemurkaan-Nya,+

Dan tiada bangsa yang dapat bertahan menghadapi hukuman-Nya.

11* Engkau haruslah berkata kepada mereka,

“Tuhan-tuhan itu tidak menciptakan langit dan bumi.

Mereka akan dilenyapkan dari bumi dan dari bawah langit.”+

12 Dengan kuasa-Nya, Tuhan telah menjadikan bumi,

Dengan kebijaksanaan-Nya, Dia telah menciptakan tanah yang subur,+

Dan dengan pengertian-Nya, Dia telah membentangkan langit.+

13 Apabila Dia melantangkan suara-Nya,

Dia membuat air di langit bergelora,+

Dia menyebabkan awan* naik dari hujung bumi;+

Dia membuat kilat terpancar semasa hujan turun;*

Dia memerintahkan angin keluar dari gudang-Nya.+

14 Tindakan semua orang tidak masuk akal dan mereka tidak mempunyai pengetahuan.

Setiap tukang besi akan dimalukan kerana patung berhala yang diukirnya,+

Kerana patung besi buatan mereka itu palsu

Dan tidak bernyawa.*+

15 Patung-patung itu tidak berguna dan patut dihina.+

Semua patung itu akan dibinasakan apabila hari penghakiman tiba.

16 Tetapi Tuhan Yakub tidak seperti patung-patung itu,

Kerana Dialah Tuhan yang telah menciptakan segala-galanya.

Israel ialah tongkat warisan-Nya.+

Nama-Nya ialah Yehuwa, ketua angkatan syurga.+

17 Hai kaum wanita yang sedang dikepung,

Kumpulkan barang-barang kamu yang ada di atas lantai.

18 Inilah firman Yehuwa:

“Pada waktu ini, Aku akan mengusir* penduduk negeri ini,+

Dan Aku akan membuat mereka menderita.”

19 Malanglah aku kerana aku sudah hancur!+

Lukaku tidak dapat diubati,

Dan aku berkata, “Inilah penyakitku! Aku harus menanggungnya.

20 Khemahku sudah rosak, dan tali-tali khemahku semuanya putus.+

Semua anak lelakiku telah meninggalkan aku, dan mereka sudah tiada.+

Tiada sesiapa lagi yang dapat memasang khemahku atau menggantung kain-kainnya.

21 Para gembala bertindak dengan bodoh,+

Dan mereka tidak meminta petunjuk daripada Yehuwa.+

Itulah sebabnya mereka bertindak tanpa pemahaman,

Dan semua kawanan mereka tercerai-berai.”+

22 Dengarlah! Inilah berita yang baru diterima!

Kedengaran bunyi huru-hara dari negeri di utara.+

Angkatan tentera datang dari situ untuk menjadikan kota-kota Yehuda tanah yang tandus dan tempat tinggal serigala.+

23 Ya Yehuwa, aku tahu benar bahawa manusia tidak berkuasa untuk menentukan jalan hidupnya,

Bahkan manusia yang sedang berjalan pun tidak dapat mengarahkan langkahnya.+

24 Ya Yehuwa, betulkanlah kesalahanku dengan saksama.

Tetapi janganlah berbuat demikian semasa Engkau marah+ supaya aku tidak dilenyapkan.+

25 Lampiaskanlah kemarahan-Mu terhadap bangsa-bangsa yang tidak menghiraukan-Mu,+

Dan terhadap suku-suku yang tidak menyeru nama-Mu

Kerana mereka telah menyerang Yakub.+

Ya, mereka telah menyerangnya sehingga dia hampir pupus,+

Dan mereka telah menjadikan negerinya tanah yang gersang.+

11 Yehuwa menyampaikan perkhabaran berikut kepada Yeremia, 2 “Hai umat-Ku, dengarlah kata-kata dalam perjanjian ini!

“Sampaikanlah* hal ini kepada orang Yehuda dan penduduk Yerusalem. 3 Katakanlah kepada mereka, ‘Yehuwa, Tuhan orang Israel, berfirman, “Terkutuklah orang yang tidak mematuhi kata-kata dalam perjanjian ini,+ 4 iaitu perjanjian yang telah Aku berikan kepada nenek moyang kamu pada hari Aku membawa mereka keluar dari Mesir,+ tempat yang bagaikan relau api untuk meleburkan besi.+ Pada hari itu, Aku berfirman, ‘Patuhilah firman-Ku, dan laksanakanlah segala perintah-Ku, maka Aku akan menjadi Tuhan kamu dan kamu akan menjadi umat-Ku.+ 5 Aku akan menunaikan janji-Ku kepada nenek moyang kamu, untuk memberi mereka tanah yang melimpah dengan susu dan madu,+ iaitu tanah yang kamu diami sehingga hari ini.’”’”

Aku menjawab, “Amin,* ya Yehuwa.”

6 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, “Umumkanlah semua hal ini di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem: ‘Dengarlah kata-kata dalam perjanjian ini, dan hendaklah kamu mematuhinya. 7 Pada hari Aku membawa nenek moyang kamu keluar dari Mesir, Aku telah menasihati mereka dengan tegas: “Patuhilah firman-Ku.” Sampai hari ini, Aku masih menasihati mereka tentang hal itu. Ya, Aku telah berbuat demikian berkali-kali.+ 8 Namun, mereka menutup telinga mereka dan tidak mahu mendengar. Mereka berkeras untuk mengikut keinginan hati mereka yang jahat.+ Oleh itu, Aku menyebabkan kata-kata dalam perjanjian ini menimpa mereka kerana mereka enggan mematuhi perintah-Ku.’”

9 Yehuwa berfirman kepadaku, “Orang Yehuda dan penduduk Yerusalem berkomplot untuk melawan Aku. 10 Mereka telah melakukan dosa-dosa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka, yang enggan mematuhi firman-Ku sejak dahulu lagi.+ Mereka juga melayani dan menyembah tuhan-tuhan lain.+ Bangsa Israel dan bangsa Yehuda telah melanggar perjanjian yang telah Aku buat dengan nenek moyang mereka.+ 11 Maka inilah firman Yehuwa: ‘Aku akan mendatangkan malapetaka atas mereka,+ dan mereka tidak akan berjaya melepaskan diri. Apabila mereka berseru kepada-Ku untuk meminta tolong, Aku tidak akan mendengar mereka.+ 12 Kemudian penduduk kota-kota Yehuda dan Yerusalem akan pergi kepada tuhan-tuhan lain yang dipuja mereka dengan mempersembahkan korban.* Mereka akan berseru kepada tuhan-tuhan itu dan meminta tolong,+ tetapi tuhan-tuhan itu tidak dapat menyelamatkan mereka pada waktu mereka ditimpa malapetaka. 13 Hai Yehuda, kamu mempunyai banyak tuhan, sebanyak kota-kota kamu. Kamu telah mendirikan banyak mazbah untuk benda* yang memalukan itu, sebanyak jalan-jalan di Yerusalem. Ya, kamu telah mendirikan mazbah-mazbah untuk mempersembahkan korban kepada Baal.’+

14 “Hai Yeremia, janganlah berdoa bagi pihak umat ini. Jangan berseru kepada-Ku atau berdoa bagi pihak mereka+ kerana Aku tidak akan mendengar apabila mereka berseru kepada-Ku sewaktu mereka ditimpa malapetaka.

15 Adakah umat yang Aku kasihi masih layak untuk berada di Rumah-Ku,

Meskipun ramai antara mereka telah melakukan rancangan-rancangan yang jahat?

Hai Yehuda, dapatkah mereka mencegah malapetaka yang menimpa engkau dengan korban-korban binatang yang suci?*

Dapatkah engkau bersukacita pada waktu itu?

16 Yehuwa pernah memanggil engkau sebatang pokok zaitun yang subur,

Yang lebat dengan buah-buah yang baik.

Tetapi dengan bunyi yang gemuruh, Dia telah membakar pokok itu,

Dan mereka telah mematahkan dahan-dahan pokok itu.

17 “Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan yang telah menanammu,+ telah mengumumkan bahawa malapetaka akan menimpa engkau kerana kejahatan yang dilakukan oleh bangsa Israel dan bangsa Yehuda. Bangsa-bangsa ini telah membuat Aku marah dengan mempersembahkan korban kepada Baal.”+

18 Yehuwa telah memberitahu aku supaya aku mengetahuinya;

Pada waktu itu, Engkau menunjukkan kepada aku apa yang sedang dilakukan oleh mereka.

19 Aku seperti anak bebiri yang jinak, yang sedang dibawa ke tempat penyembelihan.

Aku tidak tahu bahawa mereka sedang berkomplot untuk menentang aku dengan berkata,+

“Marilah kita membinasakan pokok itu dengan buahnya.

Marilah kita bunuh dia,

Supaya namanya dilupakan orang.”

20 Tetapi Yehuwa, ketua angkatan syurga, menghakimi orang dengan adil.

Dia memeriksa hati dan fikiran manusia yang tersembunyi.*+

Biarlah aku menyaksikan pembalasan-Mu terhadap mereka

Kerana aku telah menyerahkan perkaraku ke dalam tangan-Mu.

21 Oleh itu, Yehuwa berfirman kepada orang Anatot+ yang ingin membunuh aku. Mereka pernah berkata kepadaku, “Kamu tidak boleh bernubuat demi nama Yehuwa.+ Jika kamu berbuat demikian, kami akan membunuh kamu”; 22 maka inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Aku akan menghukum mereka. Pemuda mereka akan mati dibunuh pedang,+ dan anak-anak mereka akan mati kebuluran.+ 23 Tiada seorang pun antara mereka akan selamat kerana Aku akan membawa malapetaka atas orang Anatot+ pada tahun mereka dihukum.”

12 Ya Yehuwa, aku mengemukakan perkaraku kepada-Mu,

Dan aku bercakap tentang keadilan dengan-Mu kerana Engkau Tuhan yang adil.+

Tetapi mengapakah orang jahat hidup makmur?+

Mengapakah para pembelot hidup tanpa kekhuatiran?

 2 Engkau menanam mereka, dan mereka berakar.

Mereka bertumbuh dan menghasilkan buah.

Mereka selalu menyebut tentang-Mu, tetapi dalam hati,* mereka tidak mempedulikan Engkau.+

 3 Ya Yehuwa, Engkau sangat mengenaliku.+ Engkau melihatku;

Engkau telah memeriksa hatiku dan mendapati bahawa hatiku bersatu dengan-Mu.+

Asingkanlah mereka seperti biri-biri yang akan disembelih,

Dan sisihkanlah mereka untuk hari penyembelihan.

 4 Berapa lama lagi tanah ini akan dibiarkan menjadi gersang,

Dan tanaman-tanaman di setiap ladang menjadi kering?+

Binatang dan burung sudah lenyap,

Kerana kejahatan penduduk di situ.

Mereka telah berkata, “Dia tidak nampak apa yang akan berlaku kepada kita.”

 5 Tuhan berfirman kepadaku, “Jika engkau letih berlari dengan manusia,

Mana mungkin engkau dapat berlumba dengan kuda?+

Engkau berasa selamat di negeri yang aman,

Tetapi apakah yang akan engkau lakukan apabila engkau berada di dalam hutan belukar di sepanjang Sungai Yordan?

 6 Bahkan saudara-saudara kandungmu, ya keluargamu sendiri,

Telah mengkhianatimu.+

Mereka telah mengutukmu.

Janganlah mempercayai mereka,

Walaupun mereka mengatakan hal-hal yang baik kepadamu.”

 7 “Aku telah meninggalkan Rumah-Ku.+ Aku telah mengabaikan harta warisan-Ku.+

Aku telah menyerahkan umat-Ku yang tersayang ke dalam tangan musuh-musuh mereka.+

 8 Harta warisan-Ku telah menjadi seperti seekor singa di dalam hutan.

Singa itu mengaum terhadap-Ku.

Itulah sebabnya Aku membencinya.

 9 Harta warisan-Ku seperti seekor burung pemangsa yang berwarna-warni.*

Burung-burung pemangsa yang lain mengelilinginya dan menyerangnya.+

Marilah berkumpul, hai binatang-binatang di padang.

Datanglah ke sini untuk makan.+

10 Ramai gembala telah memusnahkan ladang anggur-Ku.+

Mereka memijak-mijak tanah milik-Ku.+

Mereka telah mengubah tanah-Ku yang indah menjadi padang belantara yang tandus.

11 Tanah-Ku telah menjadi tempat yang gersang.

Tanah-Ku menjadi kering-kontang.*

Tanah-Ku menjadi terbiar di hadapan-Ku.+

Seluruh tanah itu tidak berpenghuni,

Tetapi tiada orang yang ambil peduli.+

12 Para pemusnah telah datang menerusi jalan-jalan yang sering dilalui di padang belantara,

Kerana pedang Yehuwa menyerang seluruh negeri ini.+

Tiada seorang pun yang dapat hidup damai.

13 Mereka telah menanam gandum, tetapi menuai semak berduri.+

Mereka telah memeras keringat, tetapi tidak meraih manfaat.

Mereka akan berasa malu dengan hasil tuaian mereka

Kerana Yehuwa sangat murka terhadap mereka.”

14 Inilah firman Yehuwa: “Hai semua jiran-Ku yang jahat, kamu telah menyentuh warisan yang telah Aku berikan kepada umat-Ku Israel sebagai milik mereka.+ Sekarang Aku akan mencabut mereka dari tanah itu,+ dan Aku akan mencabut bangsa Yehuda daripada kalangan mereka. 15 Tetapi selepas Aku mencabut mereka, Aku akan mengasihani mereka lagi. Aku akan membawa mereka kembali kepada warisan mereka, setiap orang ke tanahnya sendiri.”

16 “Mereka pasti akan hidup makmur dalam kalangan umat-Ku, jika mereka berusaha mempelajari cara hidup umat-Ku dan bersumpah atas nama-Ku dengan berkata, ‘Demi Yehuwa yang hidup!’ sepertimana mereka pernah mengajar umat-Ku untuk bersumpah demi Baal. 17 Tetapi jika mereka enggan mematuhi-Ku, Aku pasti akan mencabut bangsa itu. Ya, Aku akan mencabut bangsa itu dan membinasakannya,” firman Yehuwa.+

13 Yehuwa berfirman kepadaku, “Pergilah beli seutas tali pinggang yang diperbuat daripada kain linen. Ikatlah tali itu pada pinggangmu, tetapi jangan mencelupkannya ke dalam air.” 2 Maka aku membeli tali pinggang itu seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa, lalu mengikatnya pada pinggangku. 3 Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, 4 “Ambillah tali pinggang yang telah engkau beli dan yang telah engkau ikatkan pada pinggangmu. Bangunlah dan pergilah ke Sungai Efrat lalu sembunyikanlah tali pinggang itu di celah-celah bukit batu di situ.” 5 Maka aku pun pergi menyembunyikan tali pinggang itu dekat Sungai Efrat, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa.

6 Beberapa lama kemudian, Yehuwa berfirman kepadaku, “Bangunlah dan pergilah ke Sungai Efrat. Ambillah tali pinggang itu yang telah Aku suruh engkau sembunyikan.” 7 Oleh itu, aku pergi ke Sungai Efrat dan menggali keluar tali pinggang itu dari tempat aku menyembunyikannya. Tali pinggang itu sudah rosak dan langsung tidak boleh digunakan.

8 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, 9 “Inilah firman Yehuwa: ‘Begitulah caranya Aku akan menghancurkan keangkuhan Yehuda dan Yerusalem.+ 10 Bangsa yang jahat ini enggan mematuhi firman-Ku.+ Mereka berkeras mengikut keinginan hati mereka yang jahat.+ Mereka juga melayani dan sujud menyembah tuhan-tuhan lain. Oleh itu, mereka akan menjadi seperti tali pinggang itu yang langsung tidak boleh digunakan.’ 11 ‘Sebagaimana tali pinggang berpaut pada pinggang orang, demikian juga Aku membuat seluruh bangsa Israel dan seluruh bangsa Yehuda berpaut pada-Ku,’ firman Yehuwa, ‘supaya mereka menjadi umat-Ku,+ kemasyhuran-Ku,+ pujian-Ku, dan kemuliaan-Ku. Tetapi mereka tidak mematuhi Aku.’+

12 “Sampaikanlah perkhabaran ini kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: “Setiap bekas besar haruslah dipenuhi wain.”’ Mereka akan menjawabmu, ‘Adakah kami tidak tahu bahawa setiap bekas besar harus dipenuhi wain?’ 13 Kemudian katakanlah kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku akan memenuhi semua penduduk tanah ini+ dengan wain sehingga mereka menjadi mabuk. Aku akan berbuat demikian kepada raja-raja yang duduk di atas takhta Daud, para imam dan nabi, serta semua penduduk Yerusalem. 14 Sepertimana bekas-bekas yang dihantukkan bersama akan pecah, demikian juga Aku akan menyebabkan mereka membinasakan satu sama lain. Tidak kira bapa atau anak, mereka akan membinasakan satu sama lain,” firman Yehuwa.+ “Aku tidak akan berbelas kasihan terhadap mereka. Aku tidak akan bersedih atau mengasihani mereka. Tiada apa-apa pun yang akan menghalang Aku daripada memusnahkan mereka.”’+

15 Dengarlah dan tumpukanlah perhatian.

Janganlah bersikap angkuh kerana Yehuwa telah berfirman.

16 Muliakanlah Yehuwa, Tuhan kamu,

Sebelum Dia membawa kegelapan,

Dan sebelum kaki kamu tersandung di kawasan pergunungan pada waktu senja.

Kamu mengharapkan cahaya,

Tetapi Dia akan membawa kegelapan.

Ya, Dia akan mengubah cahaya menjadi kegelapan yang pekat.+

17 Jika kamu enggan mendengar,

Aku akan menangis dengan diam-diam kerana keangkuhan kamu.

Aku akan mencucurkan banyak air mata, dan air mata akan terus berlinang dari mataku,+

Kerana kawanan Yehuwa+ telah dibawa pergi dan dijadikan tawanan.

18 Beritahulah raja dan bonda ratu,+ ‘Duduklah di tempat yang lebih rendah,

Kerana mahkota kamu yang indah akan jatuh dari kepala kamu.’

19 Kota-kota di sebelah selatan sudah ditutup,* dan tiada orang yang akan membukanya.

Seluruh Yehuda sudah ditawan, ya, mereka semua telah dibuang negeri.+

20 Layangkanlah pandanganmu, dan lihatlah orang yang datang dari arah utara.+

Di manakah biri-biri kamu yang cantik, kawanan yang telah diberikan kepada kamu itu?+

21 Apakah yang akan kamu katakan apabila kamu dihukum

Oleh orang yang telah menjadi sahabat rapatmu sejak dahulu lagi?+

Bukankah kamu akan berasa sakit seperti wanita yang sedang bersalin?+

22 Kamu akan berkata dalam hatimu, ‘Mengapakah semua perkara ini menimpaku?’+

Hal ini demikian kerana kamu telah banyak berbuat salah, maka pakaianmu telah ditanggalkan,+

Dan tumit kakimu telah dicederakan dengan teruk.

23 Dapatkah orang Kus* mengubah warna kulitnya, atau seekor harimau bintang mengubah tompoknya?+

Jika ya, kamu pun dapat berbuat baik,

Meskipun kamu telah diajar untuk berbuat jahat.

24 Maka Aku akan mencerai-beraikan kamu seperti jerami yang ditiup angin dari padang gurun.+

25 Inilah bahagianmu, ya, bahagian yang telah Aku tentukan untukmu,” firman Yehuwa,

“Kerana kamu telah melupakan Aku+ dan mempercayai kata-kata dusta.+

26 Oleh itu, Aku akan menanggalkan pakaianmu,

Dan kamu akan dimalukan di hadapan semua orang.+

27 Kamu berzina,+ meringkik dengan penuh nafsu,

Dan melacurkan diri tanpa rasa malu.

Aku nampak kamu melakukan semua perbuatan yang jijik ini,+

Di atas bukit-bukit dan di padang-padang.

Hai Yerusalem, malanglah engkau!

Berapa lama lagikah engkau akan tetap dalam keadaan najis?”+

14 Demikianlah firman Yehuwa kepada Yeremia tentang masa kemarau:+

 2 Yehuda meratap,+ dan pintu-pintu gerbangnya sudah roboh.

Pintu-pintu itu tenggelam ke dalam tanah dengan sedih,

Dan kedengaran seruan dari Yerusalem.

 3 Para pekerja disuruh oleh tuan mereka untuk mencari air.

Mereka pergi ke perigi-perigi* tetapi tiada air di situ.

Mereka kembali dengan bekas-bekas yang kosong.

Mereka malu dan kecewa,

Dan kepala mereka berselubung.

 4 Oleh sebab hujan tidak membasahi tanah,

Tanah menjadi begitu kering sehingga merekah.+

Para petani putus asa dan kepala mereka berselubung.

 5 Bahkan rusa betina di padang meninggalkan anaknya yang baru lahir

Kerana tidak ada rumput di situ.

 6 Keldai liar berdiri di bukit-bukit yang tandus.

Keldai-keldai itu tercungap-cungap seperti serigala.

Mata keldai-keldai itu kabur kerana tidak menjumpai tumbuhan.+

 7 Walaupun dosa kami membuktikan bahawa kami bersalah,

Tolonglah kami demi nama-Mu, ya Yehuwa.+

Kami selalu tidak setia,+

Dan kami telah berdosa terhadap-Mu.

 8 Ya harapan Israel, Engkaulah Penyelamat+ Israel pada waktu kesusahan.

Tetapi mengapakah Engkau seperti orang asing di negeri ini,

Dan seperti pengembara yang singgah hanya untuk satu malam?

 9 Mengapakah Engkau seperti orang yang bingung,

Dan seperti orang kuat yang tidak dapat menyelamatkan sesiapa pun?

Ya Yehuwa, Engkau berada dalam kalangan kami,+

Dan kami dipanggil dengan nama-Mu.+

Janganlah tinggalkan kami.

10 Inilah firman Yehuwa tentang umat ini: “Mereka suka merayau-rayau+ dan enggan mengawal kaki mereka.+ Maka Aku, Yehuwa, tidak berkenan terhadap mereka.+ Sekarang Aku akan mengingati kesalahan mereka dan menghukum mereka atas dosa-dosa mereka.”+

11 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, “Janganlah berdoa bagi kesejahteraan umat ini.+ 12 Apabila mereka berpuasa, Aku tidak akan mendengar rayuan mereka.+ Apabila mereka mempersembahkan korban bakar dan korban bijirin, Aku akan menolak korban-korban itu.+ Aku akan mendatangkan pedang, kebuluran, dan wabak penyakit untuk menghapuskan mereka.”+

13 Aku pun berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, para nabi berkata kepada mereka, ‘Kamu tidak akan nampak pedang. Kebuluran tidak akan menimpa kamu. Tuhan akan mengurniakan kedamaian yang sejati kepada kamu di negeri ini.’”+

14 Yehuwa berfirman kepadaku, “Para nabi itu menyampaikan nubuat palsu atas nama-Ku.+ Aku tidak menyuruh mereka untuk berbuat demikian. Aku tidak mengutus mereka atau berfirman kepada mereka.+ Nubuat-nubuat mereka hanyalah penglihatan yang palsu, ramalan yang tidak berguna, dan rekaan hati mereka yang licik.+ 15 Meskipun Aku tidak mengutus mereka, mereka bernubuat atas nama-Ku dan berkata bahawa pedang atau kebuluran tidak akan melanda negeri ini. Maka inilah firman-Ku, Yehuwa, berkenaan nabi-nabi itu: ‘Mereka akan dihapuskan dengan pedang dan kebuluran.+ 16 Orang yang mendengar nubuat mereka akan mati kerana pedang dan kebuluran. Mayat mereka akan dilemparkan ke jalan-jalan di Yerusalem. Tiada orang yang akan mengebumikan mereka,+ isteri mereka, dan anak-anak mereka kerana Aku akan mendatangkan malapetaka yang setimpal dengan perbuatan mereka.’+

17 “Engkau mesti menyampaikan perkhabaran ini kepada mereka,

‘Biarlah air mataku bercucuran siang dan malam tanpa henti,+

Kerana bangsaku yang bagaikan anak dara telah dicederakan dan dihancurkan sama sekali.+

Lukanya sangat parah.

18 Jika aku keluar ke padang dan melayangkan pandanganku,

Aku nampak orang yang telah mati dibunuh pedang!+

Jika aku masuk ke dalam kota,

Aku nampak orang yang sakit disebabkan kebuluran!+

Para nabi dan imam merayau-rayau di negeri yang asing bagi mereka.’”+

19 Adakah Engkau menolak Yehuda sama sekali, atau adakah Engkau membenci Sion?+

Mengapakah Engkau menghukum kami sehingga kami tidak mendapat penyembuhan?+

Kami mengharapkan kedamaian, tetapi tiada apa-apa yang baik datang.

Kami mengharapkan penyembuhan, tetapi yang ada hanyalah ketakutan!+

20 Ya Yehuwa, kami mengaku bahawa kami jahat,

Dan kami mengakui dosa nenek moyang kami.

Ya, kami telah berdosa terhadap-Mu.+

21 Demi nama-Mu, janganlah tinggalkan kami.+

Janganlah memandang hina takhta-Mu yang mulia.

Ingatlah perjanjian-Mu dengan kami, dan janganlah batalkannya.+

22 Dapatkah tuhan-tuhan bangsa lain yang tidak berguna itu menurunkan hujan?

Dapatkah langit mencurahkan air hujan dengan sendirinya?

Ya Yehuwa, Tuhan kami, bukankah Engkau sahaja yang dapat berbuat demikian?+

Kami berharap kepada-Mu,

Kerana hanya Engkau yang dapat melakukan semua hal ini.

15 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, “Biarpun Musa dan Samuel berdiri di hadapan-Ku,+ Aku tidak akan berkenan kepada umat ini. Usirlah mereka dari hadapan-Ku. Biarlah mereka pergi. 2 Jika mereka bertanya kepadamu, ‘Ke manakah kami harus pergi?’ jawablah mereka, ‘Inilah firman Yehuwa:

“Sesiapa yang akan mati kerana penyakit, biarlah dia mati kerana penyakit!

Sesiapa yang akan mati kerana pedang, biarlah dia mati kerana pedang!+

Sesiapa yang akan mati kebuluran, biarlah dia mati kebuluran!

Sesiapa yang akan menjadi tawanan, biarlah dia dijadikan tawanan!”’+

3 “‘Aku akan mendatangkan empat malapetaka*+ atas mereka,’ firman Yehuwa, ‘iaitu pedang untuk membunuh, anjing untuk mengheret mayat mereka, dan burung dari langit serta binatang buas di bumi untuk memakan dan membinasakan mereka.+ 4 Aku akan menyebabkan semua kerajaan di bumi menjadi takut setelah melihat apa yang menimpa mereka.+ Aku berbuat demikian kerana apa yang telah dilakukan oleh anak Hizkia, iaitu Raja Manasye dari Yehuda, ketika dia berada di Yerusalem.+

 5 Wahai Yerusalem, siapakah yang akan mengasihanimu?

Siapakah yang akan bersimpati terhadapmu?

Siapakah yang akan singgah untuk bertanya tentang keadaanmu?’

 6 ‘Engkau telah meninggalkan Aku,’ firman Yehuwa.+

‘Engkau asyik membelakangi Aku.*+

Oleh itu, Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk menentangmu dan membinasakanmu.+

Aku sudah penat menunjukkan belas kasihan terhadapmu.*

 7 Aku akan menampimu seperti menampi* bijirin di pintu-pintu gerbang negeri ini.

Aku akan membunuh anak-anakmu.+

Wahai umat-Ku, Aku akan membinasakan kamu,

Kerana kamu tidak mahu mengubah haluan hidup kamu.+

 8 Aku akan menyebabkan bilangan balu kamu menjadi lebih banyak daripada pasir di laut.

Aku akan membawa pemusnah untuk memusnahkan ibu-ibu dan pemuda-pemuda pada waktu tengah hari.

Aku akan membuat mereka runsing dan takut dengan tiba-tiba.

 9 Wanita yang telah melahirkan tujuh orang anak menjadi lemah;

Dia susah bernafas.

Baginya, matahari sudah terbenam meskipun hari masih siang.

Dia dimalukan dan dihina.’*

‘Beberapa orang daripada kalangan mereka yang masih hidup

Akan Aku serahkan kepada pedang musuh mereka,’ firman Yehuwa.”+

10 Wahai ibuku, malanglah aku kerana engkau telah melahirkan aku!+

Aku sering terlibat dalam pertengkaran dan perselisihan di seluruh negeri ini.

Aku tidak pernah menerima pinjaman atau memberikan pinjaman,

Tetapi mereka semua mengutuk aku.

11 Yehuwa berfirman, “Aku pasti akan melayan engkau dengan baik.

Aku pasti akan menolong engkau sewaktu malapetaka menimpa,

Sewaktu engkau berhadapan dengan musuh.

12 Siapakah yang dapat mematahkan besi dari utara?

Siapakah yang dapat mematahkan tembaga?

13 Aku akan membiarkan kekayaan dan harta bangsamu menjadi barang jarahan,+

Bukan kerana Aku ingin mendapatkan apa-apa daripada mereka, tetapi kerana mereka telah melakukan banyak dosa di seluruh negeri ini.

14 Kemurkaan-Ku seperti api yang bernyala-nyala,

Yang akan membakar mereka.+

Maka Aku akan menyerahkan kekayaan dan harta mereka kepada musuh-musuh mereka,

Dan musuh-musuh mereka akan membawanya ke negeri yang asing bagi mereka.”+

15 Ya Yehuwa, Engkau tahu tentang keadaanku.

Ingatlah aku dan halakanlah perhatian-Mu kepadaku.

Balaslah mereka yang menganiaya aku.+

Janganlah terlalu sabar* terhadap mereka sehingga mereka dapat membinasakan aku.

Ingatlah bahawa aku dikutuk kerana-Mu.+

16 Aku menemui firman-Mu, dan aku memakannya.+

Firman-Mu membuat hatiku gembira dan bersukacita,

Kerana aku menyandang nama-Mu, ya Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga.

17 Aku tidak duduk bersama orang yang berpesta dan bersuka ria.+

Aku duduk bersendirian kerana bimbingan daripada tangan-Mu,

Kerana Engkau telah memenuhi aku dengan kemarahan.*+

18 Mengapakah kesakitanku begitu teruk dan lukaku tidak sembuh-sembuh?

Ya, lukaku tidak mahu sembuh.

Adakah Engkau seperti sumber air yang tiba-tiba mengering,

Yang tidak dapat dipercayai?

19 Maka inilah firman Yehuwa:

“Jika engkau kembali kepada-Ku, Aku akan berkenan kepadamu sekali lagi,

Dan engkau akan berdiri di hadapan-Ku.

Jika engkau mengasingkan apa yang bernilai daripada apa yang tidak bernilai,

Engkau akan menjadi jurucakap-Ku.*

Mereka terpaksa berpaling kepadamu,

Tetapi engkau tidak akan berpaling kepada mereka.”

20 “Aku akan menjadikan engkau seperti tembok tembaga yang kukuh dalam kalangan umat ini.+

Mereka pasti akan melawan engkau,

Tetapi mereka tidak akan mengalahkanmu,+

Kerana Aku menyertaimu untuk melindungi dan menyelamatkanmu,” firman Yehuwa.

21 “Aku akan menyelamatkan engkau daripada orang jahat,

Dan membebaskan engkau daripada cengkaman orang yang zalim.”

16 Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi, 2 “Janganlah berkahwin dan janganlah mempunyai anak-anak di negeri ini. 3 Hal ini demikian kerana inilah firman Yehuwa berkenaan anak-anak yang dilahirkan di sini, berkenaan ibu-ibu yang telah melahirkan mereka, dan berkenaan bapa-bapa yang menyebabkan kelahiran mereka di negeri ini: 4 ‘Mereka akan mati kerana penyakit,+ tetapi tiada sesiapa pun yang akan berkabung untuk mereka atau menguburkan mereka. Mereka akan dibiarkan di permukaan tanah seperti baja.+ Mereka akan mati dibunuh pedang dan mati kebuluran.+ Mayat mereka akan dimakan oleh burung di langit dan binatang liar di bumi.’

 5 Inilah firman Yehuwa,

‘Janganlah masuk ke dalam rumah orang yang sedang berkabung,

Dan janganlah menangis atau menunjukkan rasa simpati.’+

‘Hal ini demikian kerana Aku tidak lagi mengurniakan kedamaian kepada umat ini,’ firman Yehuwa,

‘Aku tidak lagi menunjukkan kasih setia dan belas kasihan terhadap mereka.+

 6 Baik orang kaya mahupun orang miskin akan mati di negeri ini.

Mayat mereka tidak akan dikebumikan.

Tiada orang akan berkabung untuk mereka,

Dan tiada sesiapa pun yang akan melukakan tubuh atau membotakkan kepala untuk mereka.*

 7 Tiada sesiapa yang akan menyediakan makanan untuk orang yang sedang berkabung,

Untuk melegakan hati mereka semasa mereka kehilangan orang tersayang.

Tiada sesiapa yang akan memberi mereka secawan wain untuk menenangkan perasaan mereka

Semasa mereka kehilangan ibu atau bapa.

 8 Selain itu, janganlah pergi ke rumah orang yang sedang berpesta.

Janganlah duduk dan makan minum bersama-sama mereka.’

9 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan menghentikan suara kegembiraan, suara sukacita, suara pengantin lelaki, dan suara pengantin perempuan yang kedengaran di negeri ini. Kamu akan melihat hal ini berlaku semasa kamu masih hidup.’+

10 “Apabila engkau menyampaikan semua hal ini kepada umat ini, mereka akan bertanya, ‘Mengapakah Yehuwa mahu mendatangkan malapetaka yang besar ini atas kami? Apakah kesalahan dan dosa kami terhadap Yehuwa, Tuhan kami?’+ 11 Hendaklah engkau menjawab, ‘“Nenek moyang kamu telah meninggalkan Aku,”+ firman Yehuwa, “dan mereka asyik melayani dan sujud menyembah tuhan-tuhan lain.+ Mereka telah meninggalkan Aku, dan melanggar hukum-Ku.+ 12 Tetapi perbuatan kamu pula jauh lebih buruk daripada perbuatan nenek moyang kamu.+ Kamu berkeras mengikut keinginan hati kamu yang jahat dan enggan mematuhi Aku.+ 13 Maka Aku akan mengusir kamu dari negeri ini, dan kamu akan pergi ke negeri yang asing bagi kamu dan nenek moyang kamu.+ Di situ, kamu akan menyembah tuhan-tuhan lain siang dan malam+ kerana Aku tidak akan berkenan kepada kamu.”’

14 “‘Akan tiba masanya,’ firman Yehuwa, ‘apabila mereka tidak lagi berkata, “Kami bersumpah demi Yehuwa, Tuhan kami yang hidup, yang telah membawa orang Israel keluar dari Mesir!”+ 15 Sebaliknya mereka akan berkata, “Kami bersumpah demi Yehuwa, Tuhan kami yang hidup, yang telah membawa orang Israel keluar dari negeri di utara dan dari semua negeri tempat Dia mencerai-beraikan mereka!” Ya, Aku akan membawa mereka kembali ke negeri mereka, iaitu negeri yang telah Aku berikan kepada nenek moyang mereka.’+

16 ‘Aku akan mengutus banyak nelayan,’ firman Yehuwa,

‘Dan nelayan-nelayan itu akan menangkap mereka.

Selepas itu, Aku akan mengutus banyak pemburu,

Dan pemburu-pemburu itu akan memburu mereka di setiap gunung dan bukit,

Serta di celah-celah bukit batu.

17 Mata-Ku memerhatikan setiap gerak-geri mereka.

Tiada apa-apa pun yang tersembunyi daripada-Ku.

Aku nampak semua dosa mereka.

18 Mula-mula, Aku akan menghukum mereka setimpal dengan dosa dan kesalahan mereka,+

Kerana mereka telah menajiskan tanah-Ku dengan patung-patung berhala mereka yang tidak bernyawa dan* menjijikkan.

Ya, mereka telah memenuhi tanah warisan-Ku dengan benda-benda yang menjijikkan.’”+

19 Ya Yehuwa, Engkaulah kekuatanku dan kubuku,

Tempat naunganku ketika aku ditimpa kesusahan.+

Bangsa-bangsa dari keempat-empat penjuru bumi akan datang kepada-Mu,

Dan mereka akan berkata, “Nenek moyang kami telah mewarisi patung-patung berhala,*

Benda yang sia-sia dan tidak membawa sebarang kebaikan.”+

20 Dapatkah manusia membuat tuhan sendiri?

Tuhan-tuhan yang dibuat oleh mereka bukanlah Tuhan yang benar.+

21 “Oleh itu, Aku akan mengajar mereka.

Ya, Aku akan mengajar mereka tentang kuasa dan kekuatan-Ku,

Dan mereka akan tahu bahawa nama-Ku ialah Yehuwa.”

17 “Dosa Yehuda ditulis dengan pena besi.

Dengan mata pena berlian, dosa mereka diukir pada hati mereka,

Dan pada tanduk-tanduk mazbah mereka.

 2 Anak-anak lelaki mereka terkenang akan mazbah dan tiang-tiang suci* mereka yang telah didirikan+

Di sebelah setiap pokok yang subur, di bukit-bukit yang tinggi,+

 3 Dan di gunung-ganang yang terletak di kawasan padang yang lapang.

Maka Aku akan membiarkan kekayaan dan harta kamu dijarah.+

Aku juga akan membiarkan tempat-tempat ibadat kamu dijarah kerana kamu telah melakukan banyak dosa di seluruh negeri ini.+

 4 Kamu akan kehilangan warisan yang telah Aku berikan kepada kamu kerana perbuatan kamu sendiri.+

Aku akan membiarkan kamu menjadi hamba musuh-musuh kamu di negeri yang tidak kamu kenal,+

Kerana kamu telah membangkitkan api kemarahan-Ku.*+

Ya, kemarahan-Ku akan membara buat selama-lamanya.”

 5 Inilah firman Yehuwa:

“Terkutuklah orang yang berharap kepada manusia fana,+

Yang bergantung pada kekuatan manusia,+

Dan yang hatinya meninggalkan Yehuwa.

 6 Orang itu akan menjadi seperti sebatang pokok di padang gurun yang luas.

Dia tidak akan mengalami apa-apa yang baik.

Dia akan terus tinggal di tanah yang kering di padang belantara,

Di tanah masin yang tidak dapat dihuni oleh sesiapa pun.

 7 Terpujilah orang yang berharap kepada Yehuwa,

Yang bergantung pada Yehuwa.+

 8 Orang itu akan menjadi seperti sebatang pokok yang ditanam di tepi air,

Yang akarnya bertumbuh ke arah sungai.

Meskipun matahari panas terik, dia tidak akan merasainya.

Daun-daunnya sentiasa lebat.+

Pada musim* kemarau, dia tidak risau,

Atau berhenti menghasilkan buah.

 9 Hati manusia nekad* dan lebih licik* daripada segala-galanya.+

Siapakah yang dapat memahami hati manusia?

10 Aku, Yehuwa, memeriksa hati manusia,+

Dan menyelidiki fikiran manusia yang tersembunyi,*

Agar Aku dapat memperlakukan setiap orang menurut tingkah lakunya,

Dan setimpal dengan perbuatannya.+

11 Seperti burung yang menetaskan telur yang bukan miliknya,

Begitulah orang yang memperoleh kekayaan dengan cara yang tidak jujur.+

Pada pertengahan umurnya, dia akan kehilangan kekayaannya,

Dan pada akhir hidupnya akan terbukti bahawa dia orang yang bodoh sekali.”

12 Takhta Tuhan yang agung telah dimuliakan sejak mula lagi.

Takhta itu ialah tempat suci kita.+

13 Ya Yehuwa, Engkaulah harapan Israel.

Semua orang yang meninggalkan-Mu akan dimalukan.

Nama-nama orang yang murtad dan yang berpaling daripada-Mu* akan ditulis di atas tanah,+

Kerana mereka telah meninggalkan Engkau, ya Yehuwa, sumber air yang hidup.+

14 Ya Yehuwa, jika Engkau menyembuhkan aku, aku akan sihat.

Jika Engkau menyelamatkan aku, aku akan selamat.+

Engkau sahajalah yang aku puji.

15 Lihatlah! Ada orang yang berkata kepadaku,

“Mengapakah firman Yehuwa belum terjadi?+

Biarlah firman-Nya menjadi kenyataan!”

16 Tetapi aku tidak melarikan diri. Aku terus menjadi gembala yang mengikuti-Mu.

Aku juga tidak menanti-nantikan kedatangan hari malapetaka.

Engkau tahu benar segala kata-kata yang bibirku ucapkan.

Semuanya berlaku di hadapan-Mu!

17 Janganlah menyebabkan aku menjadi takut.

Engkaulah tempat naunganku pada hari malapetaka melanda.

18 Biarlah orang yang menganiayaku dimalukan,+

Tetapi janganlah biarkan aku dimalukan.

Biarlah mereka menjadi gentar,

Tetapi janganlah buat aku menjadi gentar.

Datangkanlah malapetaka atas mereka,+

Hancurkanlah mereka dan binasakanlah mereka sama sekali.

19 Yehuwa berfirman kepadaku, “Pergilah dan berdirilah di pintu gerbang utama* yang dilalui raja-raja Yehuda apabila mereka keluar masuk kota. Kemudian berdirilah di pintu-pintu gerbang yang lain di Yerusalem.+ 20 Katakanlah kepada mereka, ‘Dengarlah firman Yehuwa, wahai raja-raja Yehuda, semua orang Yehuda, dan semua penduduk Yerusalem, yang masuk melalui pintu-pintu gerbang ini. 21 Inilah firman Yehuwa: “Berjaga-jagalah! Janganlah angkat barang pada hari Sabat atau membawanya masuk melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem.+ 22 Janganlah bekerja atau mengangkat barang keluar dari rumah kamu pada hari Sabat.+ Pastikanlah agar hari Sabat tetap suci, seperti yang telah Aku perintahkan kepada nenek moyang kamu.+ 23 Tetapi mereka menutup telinga dan tidak mahu mendengar. Mereka berdegil dan enggan mematuhi-Ku atau menerima disiplin daripada-Ku.”’+

24 “‘“Namun, jika kamu mematuhi-Ku dengan sepenuhnya,” firman Yehuwa, “dan tidak mengangkat barang melalui pintu-pintu gerbang kota ini pada hari Sabat, dan jika kamu memastikan agar hari Sabat tetap suci dengan tidak bekerja,+ 25 raja-raja dan para pemerintah yang duduk di atas takhta Daud+ akan masuk melalui pintu-pintu gerbang kota ini dengan mengenderai kereta kuda dan menunggang kuda. Raja-raja, para pemerintah, orang Yehuda, dan penduduk Yerusalem,+ akan masuk ke kota ini bersama-sama. Kota ini akan dihuni buat selama-lamanya. 26 Orang akan datang dari kota-kota Yehuda, dari kawasan sekitar Yerusalem, dari negeri Benyamin,+ dari kawasan tanah rendah,+ dari kawasan pergunungan, dan dari Negeb.* Mereka akan membawa korban bakar,+ korban-korban binatang,+ korban bijirin,+ kemenyan putih, dan korban-korban kesyukuran ke Rumah Yehuwa.+

27 “‘“Tetapi, jika kamu tidak mematuhi Aku dan tidak memastikan agar hari Sabat tetap suci, dan jika kamu mengangkat barang melalui pintu-pintu gerbang Yerusalem pada hari Sabat, Aku akan membakar pintu-pintu gerbang kota ini. Api itu akan membakar menara-menara kukuh di Yerusalem,+ dan api itu tidak akan dipadamkan.”’”+

18 Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 2 “Bangunlah dan pergilah ke rumah seorang tukang tembikar.+ Di situ, Aku akan berfirman kepadamu.”

3 Oleh itu, aku pun pergi ke rumah seorang tukang tembikar dan aku nampak dia sedang membuat sebuah tembikar. 4 Dia menggunakan tanah liat untuk membentuk tembikar itu, tetapi tembikar yang sedang dibentuknya itu menjadi rosak di dalam tangannya. Maka dia membentuk semula tanah liat itu menjadi tembikar yang lain, sesuai dengan kehendaknya.

5 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, 6 “‘Hai bangsa Israel, Aku juga akan melakukan apa yang dilakukan oleh tukang tembikar itu!’ firman Yehuwa. ‘Lihatlah! Sebagaimana tanah liat itu di dalam tangan tukang tembikar, demikian juga kamu di dalam tangan-Ku, hai bangsa Israel.+ 7 Apabila Aku berfirman bahawa Aku mahu mencabut, merobohkan, dan membinasakan sebuah bangsa atau sebuah kerajaan,+ 8 tetapi kemudian bangsa itu berhenti berbuat jahat, maka Aku akan mengubah fikiran-Ku dan niat-Ku untuk mendatangkan malapetaka yang telah Aku firmankan itu.+ 9 Sebaliknya, apabila Aku berfirman bahawa Aku mahu membina dan mendirikan* sebuah bangsa atau sebuah kerajaan, 10 tetapi kemudian bangsa itu melakukan apa yang jahat di mata-Ku dan tidak mematuhi firman-Ku, maka Aku akan mengubah fikiran-Ku dan niat-Ku untuk melakukan hal-hal yang baik bagi mereka.’

11 “Sekarang, katakanlah kepada orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku sedang bersedia untuk mendatangkan malapetaka atas kamu dan merancang untuk membinasakan kamu. Berpalinglah daripada haluan jahat kamu, dan ubahlah cara hidup dan amalan kamu.”’”+

12 Tetapi mereka berkata, “Tiada gunanya!+ Biarlah kami hidup menurut fikiran dan keinginan hati kami yang jahat.”+

13 Maka Yehuwa berfirman,

“Tanyalah setiap bangsa

Sama ada mereka pernah mendengar hal seperti ini atau tidak.

Orang* Israel telah melakukan sesuatu yang begitu teruk.+

14 Dapatkah salji lenyap dari lereng gunung berbatu di Lebanon?

Dapatkah air sejuk yang mengalir dari tempat yang jauh menjadi kering?

15 Tetapi umat-Ku telah melupakan Aku.+

Mereka telah mempersembahkan korban-korban kepada benda-benda yang tidak berguna.+

Mereka telah menyebabkan orang lain tersandung di jalan yang dilalui mereka, iaitu jalan purbakala.+

Ya, mereka menyebabkan orang lain mengikut jalan yang tidak rata dan licin,

16 Sehingga negeri mereka menjadi tempat yang mengerikan+

Dan bahan ejekan* buat selama-lamanya.+

Setiap orang yang melalui negeri itu akan memerhatikannya dengan perasaan ngeri sambil menggelengkan kepala.+

17 Aku akan mencerai-beraikan mereka di hadapan musuh, sebagaimana angin timur meniup debu.

Aku akan membelakangi mereka dan memalingkan muka-Ku daripada mereka pada hari mereka ditimpa bencana.”+

18 Kemudian mereka berkata, “Marilah kita bersepakat untuk melawan Yeremia.+ Imam yang mengajarkan hukum, orang bijaksana yang memberikan nasihat, dan nabi-nabi yang menyampaikan perkhabaran Tuhan akan selalu bersama kita. Jadi marilah kita menuduh dia, dan jangan dengar kata-katanya.”

19 Ya Yehuwa, perhatikanlah aku.

Dengarlah apa yang dikatakan oleh musuh-musuhku.

20 Wajarkah kebaikan dibalas dengan kejahatan?

Mereka telah menggali lubang untuk membunuh aku.+

Ingatlah bahawa aku telah berdiri di hadapan-Mu dan mengatakan hal-hal yang baik tentang mereka,

Agar Engkau tidak murka terhadap mereka.

21 Oleh itu, biarlah anak-anak lelaki mereka mati kebuluran.

Biarlah mereka mati dibunuh dengan pedang.+

Biarlah isteri-isteri mereka kehilangan anak dan suami.+

Biarlah kaum lelaki mereka mati kerana wabak penyakit,

Dan pemuda-pemuda mereka mati dalam peperangan.+

22 Biarlah bunyi jeritan kedengaran dari rumah mereka,

Apabila Engkau membiarkan perompak menyerang mereka secara tiba-tiba.

Mereka telah menggali lubang untuk menangkap aku,

Dan memasang perangkap untuk menjerat kakiku.+

23 Tetapi Engkau, ya Yehuwa,

Engkau tahu semua muslihat mereka untuk membunuh aku.+

Janganlah ampunkan kesalahan mereka,

Dan janganlah hapuskan dosa mereka.

Biarlah mereka tersandung di hadapan-Mu+

Apabila Engkau bertindak terhadap mereka semasa Engkau murka.+

19 Yehuwa berfirman, “Pergilah beli sebuah kendi tembikar daripada seorang tukang tembikar.+ Bawalah beberapa orang pemimpin bangsa dan beberapa orang imam yang berpengalaman 2 lalu pergilah ke Lembah Hinom,+ yang terletak di depan Pintu Gerbang Serpihan Tembikar. Engkau harus mengisytiharkan firman-Ku di situ. 3 Engkau akan berkata, ‘Wahai raja-raja Yehuda dan penduduk Yerusalem, dengarlah firman Yehuwa. Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel:

“‘“Aku akan mendatangkan malapetaka atas tempat ini, dan sesiapa yang mendengarnya akan terkejut. 4 Aku berbuat demikian kerana mereka telah meninggalkan Aku+ dan membuat tempat ini menjadi sebuah tempat yang tidak dapat dikenali.+ Di sini, mereka mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain, iaitu tuhan-tuhan yang asing bagi mereka dan nenek moyang mereka. Mereka juga telah memenuhi tempat ini dengan darah orang yang tidak bersalah.+ 5 Mereka telah membina tempat-tempat ibadat untuk Baal supaya mereka dapat membakar anak-anak mereka di dalam api sebagai korban,+ padahal Aku tidak pernah berfirman atau menyuruh mereka berbuat demikian. Hal itu bahkan tidak pernah terlintas dalam fikiran-Ku.”’*+

6 “‘“Lihatlah! Akan tiba masanya,” firman Yehuwa, “apabila tempat ini tidak lagi dipanggil sebagai Tofet atau Lembah Hinom, melainkan Lembah Pembunuhan.+ 7 Aku akan menggagalkan rancangan Yehuda dan Yerusalem di tempat ini. Aku akan membiarkan mereka dibunuh dengan pedang di hadapan musuh-musuh mereka dan di hadapan orang yang ingin membunuh mereka. Aku akan memberikan mayat mereka kepada burung-burung di langit dan binatang buas di bumi untuk dimakan.+ 8 Kota ini akan menjadi tempat yang mengerikan dan bahan ejekan.* Setiap orang yang melalui kota ini akan memerhatikannya dengan perasaan ngeri lalu mengejeknya kerana tulah yang menimpa kota ini.+ 9 Aku akan membiarkan musuh-musuh yang hendak membunuh mereka untuk mengepung mereka. Pengepungan itu akan begitu dahsyat sehingga mereka menjadi sangat terdesak. Mereka akan makan teman sendiri, dan bahkan makan anak-anak sendiri.”’+

10 “Setelah itu, pecahkanlah kendi tembikar itu di hadapan orang yang mengikut engkau, 11 lalu katakanlah kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Sebagaimana seseorang memecahkan sebuah kendi tembikar sehingga tidak dapat dibaiki lagi, Aku juga akan menghancurkan kota ini dan penduduknya. Mereka akan dikuburkan di Tofet sehingga tiada lagi ruang kosong di situ.”’+

12 “‘Itulah yang akan Aku lakukan terhadap tempat ini,’ firman Yehuwa, ‘dan terhadap penduduknya, supaya kota ini akan menjadi seperti Tofet. 13 Rumah-rumah di Yerusalem dan rumah raja-raja di Yehuda akan menjadi najis seperti Tofet,+ kerana di atas bumbung rumah-rumah itu, mereka mempersembahkan korban kepada segala sesuatu di langit+ dan mempersembahkan wain kepada tuhan-tuhan lain.’”+

14 Apabila Yeremia kembali dari Tofet, tempat Yehuwa menyuruhnya untuk bernubuat, Yeremia berdiri di halaman Rumah Yehuwa dan berkata kepada semua orang, 15 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan mendatangkan malapetaka atas kota ini dan semua pekannya seperti yang telah Aku firmankan, kerana mereka degil dan tidak mahu mematuhi firman-Ku.’”+

20 Apabila Yeremia menubuatkan hal-hal ini, Pasyhur anak Imer sedang mendengarnya. Pasyhur ialah seorang imam yang juga bertugas sebagai ketua pemimpin di Rumah Yehuwa. 2 Kemudian Pasyhur memukul Nabi Yeremia dan mengenakan pasung*+ padanya di Pintu Gerbang Benyamin, yang terletak di kawasan yang lebih tinggi di Rumah Yehuwa. 3 Tetapi pada keesokan harinya, apabila Pasyhur melepaskan Yeremia, Yeremia berkata kepadanya,

“Nama yang diberikan oleh Yehuwa kepadamu bukan Pasyhur, tetapi Ketakutan di Mana-Mana.+ 4 Maka inilah firman Yehuwa: ‘Aku akan membuat engkau dan kawan-kawanmu menjadi sangat takut. Engkau akan nampak mereka dibunuh dengan pedang musuh.+ Aku akan menyerahkan seluruh Yehuda ke dalam tangan raja Babilon, dan raja itu akan membawa penduduknya ke Babilon sebagai tawanan dan membunuh mereka dengan pedang.+ 5 Aku akan membiarkan musuh-musuh mengambil semua kekayaan kota ini, semua sumbernya, semua barangnya yang berharga, dan semua harta benda raja-raja Yehuda.+ Ya, semuanya akan dijarah, dirampas, dan dibawa ke Babilon.+ 6 Hai Pasyhur, engkau dan seisi rumahmu akan ditawan. Engkau akan dibawa ke Babilon dan mati di situ. Engkau akan dikuburkan di situ bersama dengan semua kawanmu kerana engkau telah menyampaikan nubuat yang palsu kepada mereka.’”+

 7 Ya Yehuwa, Engkau telah memperdaya aku, dan aku terpedaya.

Engkau menggunakan kekuatan-Mu dan mengalahkan aku.+

Aku menjadi bahan ejekan sepanjang hari.

Ya, semua orang mengetawakan aku.+

 8 Setiap kali aku bercakap, aku mesti berteriak dan mengumumkan,

“Keganasan! Kemusnahan!”

Aku telah dihina dan diejek sepanjang hari kerana firman Yehuwa.+

 9 Oleh itu aku berkata, “Aku tidak akan menyebut tentang Dia lagi.

Aku tidak akan menyebut nama-Nya lagi.”+

Tetapi firman-Nya membara dalam hatiku, seperti api yang terkurung dalam tulang-tulangku.

Aku letih kerana berusaha menahannya,

Dan aku tidak dapat bertahan lagi.+

10 Aku terdengar banyak khabar angin,

Dan aku diselubungi ketakutan.+

“Kutuklah dia! Marilah kita kutuk dia!”

Orang yang mengucapkan salam damai kepadaku, sebenarnya menantikan kejatuhanku.+ Mereka berkata,

“Harap-harap dia akan tersilap langkah,

Supaya kita dapat mengalahkannya dan membalas dendam.”

11 Yehuwa seperti pahlawan perkasa yang berada di sisiku.+

Itulah sebabnya orang yang menganiaya aku akan tersandung dan tidak dapat bertahan.+

Mereka akan menjadi sangat malu kerana mereka tidak akan berjaya.

Kehinaan mereka akan kekal buat selama-lamanya dan tidak akan dilupakan orang.+

12 Tetapi ya Yehuwa, ketua angkatan syurga, Engkau memeriksa orang yang baik.

Engkau nampak hati dan fikiran manusia yang tersembunyi.*+

Biarlah aku menyaksikan pembalasan-Mu terhadap mereka+

Kerana aku telah menyerahkan perkaraku ke dalam tangan-Mu.+

13 Bernyanyilah kepada Yehuwa! Pujilah Yehuwa!

Kerana Dia telah menyelamatkan orang yang miskin daripada cengkaman orang yang jahat.

14 Terkutuklah hari kelahiranku!

Semoga hari ibuku melahirkan aku tidak diberkati!+

15 Terkutuklah orang yang membuat bapaku bersukacita

Dengan membawa berita baik ini kepadanya:

“Kamu mendapat seorang anak lelaki!”

16 Biarlah orang itu menjadi seperti kota-kota yang dihancurkan oleh Yehuwa tanpa rasa kesal.

Biarlah dia mendengar jeritan pada waktu pagi dan seruan perang pada waktu tengah hari.

17 Mengapakah aku tidak dibunuh ketika aku masih di dalam kandungan ibuku,

Supaya ibuku menjadi kuburku,

Dan aku tetap dikandung ibuku?+

18 Mengapakah aku harus dilahirkan,

Dan melihat kesusahan dan penderitaan,

Lalu mengakhiri hari-hariku dengan rasa malu?+

21 Yeremia mendapat perkhabaran daripada Yehuwa ketika Raja Zedekia+ mengutus Pasyhur+ anak Malkia dan Imam Zefanya+ anak Maaseya kepadanya dengan permintaan berikut: 2 “Hai Yeremia, mintalah petunjuk daripada Yehuwa bagi pihak kita, kerana Raja Nebukadnezar* dari Babilon telah datang untuk berperang dengan kita.+ Mungkin Yehuwa akan melakukan mukjizat untuk kita, dan raja itu akan berundur.”+

3 Yeremia berkata kepada mereka, “Sampaikanlah perkhabaran ini kepada Zedekia, 4 ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: “Tangan kamu sedang memegang senjata untuk melawan raja Babilon+ dan orang Kasdim yang mengepung kota kamu. Tetapi Aku akan menggunakan senjata perang kamu sendiri untuk melawan kamu. Aku juga akan mengumpulkannya* di tengah-tengah kota ini. 5 Aku sendiri akan menentang kamu+ dengan tangan-Ku yang perkasa dan lengan-Ku yang terentang, kerana Aku marah, berang, dan sangat murka.+ 6 Aku akan membunuh penduduk kota ini. Baik manusia mahupun haiwan, semuanya akan mati kerana wabak penyakit yang dahsyat.”’+

7 “‘“Selepas itu,” firman Yehuwa, “Raja Zedekia, iaitu raja Yehuda, bersama para pegawainya dan rakyat di dalam kota ini yang terselamat daripada penyakit, pedang, dan kebuluran, akan Aku serahkan ke dalam tangan Raja Nebukadnezar dari Babilon. Ya, mereka semua akan diserahkan ke dalam tangan musuh-musuh mereka yang ingin meragut nyawa mereka.+ Raja itu tidak akan mengasihani mereka dan akan membunuh mereka dengan pedang. Dia akan membunuh mereka semua tanpa rasa belas kasihan dan tanpa ampun.”’+

8 “Katakanlah kepada umat ini, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku memberikan dua pilihan kepada kamu, iaitu jalan yang menuju kehidupan atau jalan yang menuju kematian. 9 Orang yang tinggal di dalam kota ini akan mati dibunuh pedang, kebuluran, dan wabak penyakit. Tetapi orang yang keluar dan menyerah diri kepada orang Kasdim yang sedang mengepung kota ini akan terus hidup. Orang itu akan menyelamatkan nyawanya sendiri.”’+

10 “‘“Aku menentang kota ini. Aku akan membawa malapetaka atasnya, dan bukannya berkat,”+ firman Yehuwa. “Kota ini akan diserahkan ke dalam tangan raja Babilon,+ dan raja itu akan membakarnya dengan api.”+

11 “‘Wahai seisi rumah raja Yehuda, dengarlah firman Yehuwa. 12 Wahai keluarga Daud, inilah firman Yehuwa:

“Tegakkanlah keadilan setiap pagi,

Dan selamatkanlah orang yang dirompak daripada tangan perompak,+

Agar kemarahan-Ku tidak membara seperti api,+

Yang terus membakar dan tidak dapat dipadamkan

Kerana perbuatan-perbuatan jahat kamu.”’+

13 ‘Hai bukit batu di tanah rata,’ firman Yehuwa,

‘Hai penduduk lembah,* Aku akan menentang kamu.’

‘Berkenaan orang yang berkata, “Siapakah yang akan menentang kami?

Siapakah yang akan menyerang tempat tinggal kami?”

14 Aku akan menghukum kamu

Setimpal dengan perbuatan kamu,’+ firman Yehuwa.

‘Aku akan membakar hutan-hutan kamu,

Dan segala sesuatu di sekelilingmu akan turut terbakar.’”+

22 Yehuwa berfirman, “Pergilah ke istana raja Yehuda, dan sampaikanlah perkhabaran ini. 2 Katakanlah, ‘Dengarlah firman Yehuwa, hai raja Yehuda yang duduk di atas takhta Daud, para pegawai, dan rakyat yang masuk melalui pintu-pintu gerbang ini. 3 Inilah firman Yehuwa: “Tegakkanlah keadilan dan kebenaran, selamatkanlah orang yang dirompak daripada tangan orang yang menipunya, janganlah menindas penduduk asing, balu, dan anak yatim,+ dan janganlah menumpahkan darah orang yang tidak bersalah di tempat ini.+ 4 Jika kamu melakukan semua ini dengan sebaik-baiknya, raja-raja yang duduk di atas takhta Daud+ akan masuk melalui pintu-pintu gerbang istana ini dengan mengenderai kereta kuda dan menunggang kuda-kuda. Mereka akan masuk bersama para pegawai dan rakyat mereka.”’+

5 “‘Tetapi jika kamu mengingkari firman-Ku ini, Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri,’ firman Yehuwa, ‘bahawa istana ini akan menjadi reruntuhan.’+

6 “Inilah firman Yehuwa berkenaan istana raja Yehuda:

‘Dalam pandangan-Ku, engkau seperti Gilead,

Seperti puncak Lebanon.

Tetapi Aku akan menjadikan engkau padang belantara,

Dan semua kotamu tidak akan didiami orang.+

 7 Aku akan melantik para pemusnah untuk menyerangmu.

Mereka akan membawa senjata masing-masing,+

Dan menebang pokok sedarmu yang terbaik

Lalu melemparkannya ke dalam api.+

8 “‘Bangsa-bangsa yang lalu di kota ini akan saling bertanya, “Mengapakah Yehuwa berbuat demikian terhadap kota yang indah ini?”+ 9 Kemudian orang akan menjawab, “Kerana mereka telah melanggar perjanjian mereka dengan Yehuwa, Tuhan mereka, dan sujud menyembah tuhan-tuhan lain.”’+

10 Janganlah meratapi orang yang telah mati,

Dan janganlah bersimpati terhadapnya.

Sebaliknya, tangisilah orang yang akan dibawa pergi,

Kerana dia tidak akan melihat tanah kelahirannya lagi.

11 “Inilah firman Yehuwa berkenaan Salum*+ anak Yosia, yang telah menggantikan bapanya sebagai raja Yehuda,+ dan yang akan dibawa pergi dari tempat ini: ‘Dia tidak akan kembali ke sini lagi 12 kerana dia akan mati di negeri pembuangan, dan dia tidak akan melihat negeri ini lagi.’+

13 Malanglah orang yang mendirikan rumahnya dengan ketidakjujuran,

Dan mendirikan bilik-bilik atasnya tanpa keadilan,

Yang memaksa orang lain bekerja tanpa upah,

Dan yang enggan membayar gaji mereka.+

14 Orang itu berkata, ‘Aku akan mendirikan rumah yang besar untuk diriku,

Dengan bilik-bilik atasnya yang besar.

Aku akan memasang jendela-jendela,

Dan melapisinya dengan kayu sedar lalu mengecatnya dengan warna merah.’

15 Adakah engkau akan terus memerintah semata-mata kerana engkau menggunakan lebih banyak kayu sedar berbanding orang lain?

Bapamu juga makan dan minum.

Tetapi dia telah menegakkan keadilan dan kebenaran,+

Maka dia hidup sejahtera.

16 Dia membela tuntutan orang yang ditindas dan orang yang miskin,

Maka dia hidup sejahtera.

‘Bukankah itu ertinya mengenal Aku?’ firman Yehuwa.

17 ‘Tetapi matamu dan hatimu hanya tertumpu kepada kekayaan yang diraih dengan cara yang tidak jujur.

Kamu juga asyik mencari peluang untuk menumpahkan darah orang yang tidak bersalah,

Dan menipu serta memeras ugut orang lain.’

18 “Maka inilah firman Yehuwa berkenaan Yehoyakim+ anak Yosia, raja Yehuda:

‘Mereka tidak akan meratapi kematiannya dengan berkata,

“Aduhai saudara lelakiku! Aduhai saudara perempuanku!”

Mereka tidak akan meratapi kematiannya dengan berkata,

“Aduhai tuanku! Aduhai rajaku!”

19 Dia akan diheret dan dibuang+

Di luar pintu-pintu gerbang Yerusalem,

Seperti yang dilakukan orang terhadap bangkai seekor keldai.’+

20 Pergilah ke Lebanon dan berserulah di sana.

Lantangkanlah suaramu di Basan,

Dan berteriaklah dari Abarim,+

Kerana semua kekasihmu sudah pun dihancurkan.+

21 Aku pernah berfirman kepadamu ketika engkau hidup makmur.

Tetapi engkau berkata, ‘Aku tidak akan patuh kepada-Mu.’+

Itulah yang engkau lakukan sejak zaman mudamu.

Engkau enggan mematuhi firman-Ku.+

22 Angin akan menghalau semua gembalamu,+

Dan semua kekasihmu akan ditawan.

Kemudian engkau akan dimalukan dan dihina kerana malapetaka yang akan menimpamu.

23 Hai kamu yang tinggal di Lebanon,+

Kamu yang menetap di tengah-tengah pokok sedar,+

Betapa kuatnya raunganmu apabila kamu ditimpa kesakitan,

Seperti kesakitan yang dialami oleh wanita yang sedang bersalin!”+

24 “‘Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri,’ firman Yehuwa, Tuhan yang hidup, ‘bahawa meskipun engkau, Konia*+ anak Yehoyakim,+ raja Yehuda, merupakan cincin mohor pada tangan kanan-Ku, Aku masih akan menanggalkan engkau dari tangan-Ku! 25 Aku akan menyerahkan engkau ke dalam tangan orang yang ingin meragut nyawamu dan orang yang engkau takuti, iaitu ke dalam tangan Raja Nebukadnezar dari Babilon dan ke dalam tangan orang Kasdim.+ 26 Aku akan mengusir engkau dan ibumu yang telah melahirkanmu. Ya, Aku akan mencampakkan kamu ke negeri yang bukan tempat kelahiranmu, dan kamu akan mati di sana. 27 Biarpun kamu rasa rindu akan negeri ini, kamu semua tidak akan kembali ke sini.+

28 Adakah Konia seperti periuk pecah yang telah dibuang,

Dan yang tidak disukai lagi?

Mengapakah dia dan keturunannya diusir

Dan dicampakkan ke negeri yang tidak dikenali mereka?’+

29 Hai bumi, bumi, bumi! Dengarlah firman Yehuwa!

30 Inilah firman Yehuwa:

‘Catatlah lelaki ini sebagai orang yang tidak mempunyai anak.

Dia akan gagal seumur hidupnya.

Tiada seorang pun daripada keturunannya yang akan berjaya

Duduk di atas takhta Daud dan memerintah Yehuda lagi.’”+

23 “Malanglah para gembala yang sedang membunuh dan mencerai-beraikan biri-biri di padang rumput-Ku!” firman Yehuwa.+

2 Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, berkenaan para gembala yang sepatutnya menjaga umat-Nya: “Kamu telah mencerai-beraikan bebiri-Ku. Kamu asyik berbuat demikian, dan kamu tidak menjaga mereka.”+

“Maka Aku akan menghukum kamu kerana perbuatan jahat kamu,” firman Yehuwa.

3 “Kemudian Aku akan mengumpulkan bebiri-Ku yang masih hidup yang telah Aku cerai-beraikan ke negeri-negeri asing,+ dan membawa mereka pulang ke padang rumput mereka.+ Di situ, mereka akan beranak cucu dan bilangan mereka akan bertambah banyak.+ 4 Aku akan melantik para gembala yang benar-benar akan menggembala mereka.+ Umat-Ku tidak akan takut atau gentar lagi, dan tiada seorang pun antara mereka yang akan hilang,” firman Yehuwa.

5 “Lihatlah! Masanya akan tiba,” firman Yehuwa, “apabila Aku membuat tunas yang baik bertumbuh bagi* Daud.+ Ya, seorang raja akan memerintah.+ Raja itu akan menunjukkan pengertian, dan menegakkan keadilan dan kebenaran di negeri ini.+ 6 Pada masa itu, Yehuda akan diselamatkan,+ dan Israel akan hidup dengan aman.+ Inilah nama raja itu: Yehuwa ialah Keadilan Kita.”+

7 “Akan tiba masanya,” firman Yehuwa, “apabila mereka tidak lagi berkata, ‘Kami bersumpah demi Yehuwa, Tuhan kami yang hidup, yang telah membawa orang Israel keluar dari Mesir!’+ 8 Sebaliknya mereka akan berkata, ‘Kami bersumpah demi Yehuwa, Tuhan kami yang hidup, yang telah membawa keturunan orang Israel keluar dari negeri di utara dan dari semua negeri tempat Dia mencerai-beraikan mereka,’ dan mereka akan tinggal di negeri mereka.”+

9 Inilah perkhabaran kepada para nabi:

Hatiku hancur remuk.

Semua tulangku terketar-ketar.

Aku seperti orang yang mabuk,

Seperti orang yang minum terlalu banyak wain,

Kerana Yehuwa dan kerana firman-Nya yang suci.

10 Negeri ini sarat dengan orang yang berzina.+

Negeri ini meratap kerana telah dikutuk,+

Dan rumput di padang belantara telah menjadi kering.+

Mereka mengikut haluan yang jahat dan menyalahgunakan kuasa mereka.

11 “Para nabi dan para imam sudah tercemar.*+

Aku mendapati mereka berbuat jahat bahkan di dalam Rumah-Ku,”+ firman Yehuwa.

12 “Oleh itu, jalan yang dilalui mereka akan menjadi licin dan gelap.+

Mereka akan ditolak dan mereka akan jatuh.

Pada tahun mereka dijatuhi hukuman,

Aku akan mendatangkan malapetaka atas mereka,” firman Yehuwa.

13 “Aku telah nampak hal-hal yang menjijikkan dalam kalangan nabi-nabi Samaria.+

Nubuat-nubuat mereka berasal daripada Baal,

Dan mereka menyesatkan umat-Ku Israel.

14 Aku telah nampak hal-hal yang buruk dalam kalangan nabi-nabi Yerusalem.

Mereka berzina+ dan bercakap bohong.+

Mereka menggalakkan orang berbuat jahat,

Dan mereka sendiri juga tidak berhenti berbuat jahat.

Di mata-Ku, mereka seperti Sodom,+

Dan penduduk Yerusalem seperti Gomora.”+

15 Maka inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, berkenaan nabi-nabi itu:

“Aku akan menyuruh mereka makan tanaman yang pahit,

Dan Aku akan memberikan racun kepada mereka untuk diminum,+

Kerana nabi-nabi Yerusalem telah menyebabkan seluruh negeri ini menjadi murtad.”

16 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:

“Janganlah dengar nubuat yang disampaikan oleh para nabi itu.

Mereka sedang menipu kamu.*+

Penglihatan yang disampaikan oleh mereka berasal daripada rekaan hati mereka,+

Dan bukannya daripada mulut Yehuwa.+

17 Mereka berkali-kali memberitahu orang yang tidak menghormati Aku,

‘Yehuwa telah berfirman, “Kamu akan hidup aman.”’+

Mereka juga berkata kepada setiap orang yang bertindak mengikut hatinya yang degil,

‘Kamu tidak akan ditimpa malapetaka.’+

18 Siapakah sahabat rapat Yehuwa

Yang dapat melihat dan mendengar firman-Nya?

Siapakah yang telah menumpukan perhatian agar dia dapat mendengar firman Tuhan?

19 Lihatlah! Kemarahan Yehuwa akan melanda seperti ribut kencang,

Seperti puting beliung yang berpusing-pusing, yang melanda kepala orang yang jahat.+

20 Selagi Yehuwa belum melaksanakan dan menyempurnakan keinginan hati-Nya,

Kemarahan-Nya tidak akan reda.

Pada hari-hari terakhir, kamu akan memahami hal ini dengan jelas.

21 Aku tidak mengutus nabi-nabi itu, tetapi mereka lari ke situ.

Aku tidak berfirman kepada mereka, tetapi mereka masih bernubuat.+

22 Seandainya mereka sahabat rapat-Ku,

Mereka tentu akan menyuruh umat-Ku mendengar firman-Ku,

Supaya umat-Ku berpaling daripada haluan jahat dan berhenti berbuat dosa.”+

23 “Adakah Aku ini Tuhan yang hanya dapat melihat apa yang dekat,” firman Yehuwa, “dan bukannya apa yang jauh?”

24 “Dapatkah seseorang menyembunyikan dirinya sehingga Aku tidak dapat melihatnya?”+ firman Yehuwa.

“Bukankah Aku yang telah memenuhi langit dan bumi?”+ firman Yehuwa.

25 “Aku mendengar nabi-nabi menyampaikan nubuat palsu demi nama-Ku. Mereka berkata, ‘Aku mendapat mimpi! Aku mendapat mimpi!’+ 26 Sampai bilakah mereka akan terus menyampaikan nubuat palsu? Mereka sedang menyampaikan dusta yang berasal daripada hati mereka yang licik.+ 27 Sebagaimana nenek moyang mereka telah melupakan nama-Ku kerana Baal, mereka juga ingin menyebabkan umat-Ku melupakan nama-Ku dengan menceritakan mimpi mereka kepada satu sama lain.+ 28 Biarlah nabi yang mendapat mimpi menceritakan mimpinya. Tetapi nabi yang menerima firman-Ku haruslah menyampaikan firman-Ku dengan jujur.”

“Apakah persamaan antara jerami dengan bijirin?” firman Yehuwa.

29 “Bukankah firman-Ku seperti api?+ Bukankah firman-Ku seperti tukul yang menghancurkan bukit batu?” firman Yehuwa.+

30 “Aku akan melawan nabi-nabi itu,” firman Yehuwa, “yang telah mencuri firman-Ku daripada satu sama lain.”+

31 “Aku akan melawan nabi-nabi itu,” firman Yehuwa, “yang telah menggunakan lidah mereka untuk berkata, ‘Tuhan telah berfirman!’”+

32 “Aku akan melawan nabi-nabi yang menyampaikan mimpi palsu,” firman Yehuwa. “Mereka menceritakan mimpi-mimpi palsu itu dan menyesatkan umat-Ku dengan dusta dan cakap besar mereka.”+

“Tetapi Aku tidak mengutus mereka atau menyuruh mereka berbuat demikian. Mereka tidak membawa sebarang manfaat kepada umat ini,”+ firman Yehuwa.

33 “Apabila umat ini, atau seorang nabi, atau seorang imam bertanya kepadamu, ‘Apakah itu beban* Yehuwa?’ engkau harus menjawab, ‘“Kamulah beban itu! Aku akan membuang kamu,”+ firman Yehuwa.’ 34 Jika seorang nabi, atau seorang imam, atau umat ini berkata, ‘Inilah beban* Yehuwa!’ Aku akan menghukum orang itu dan seisi rumahnya. 35 Setiap orang bertanya kepada kawannya dan kepada saudaranya, ‘Apakah jawapan Yehuwa? Apakah yang telah difirmankan oleh Yehuwa?’ 36 Tetapi kamu tidak patut menyebut tentang beban* Yehuwa lagi kerana beban* setiap orang ialah kata-katanya sendiri, dan kamu telah mengubah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan kita yang hidup.

37 “Katakanlah kepada nabi-nabi itu, ‘Apakah jawapan Yehuwa kepada kamu? Apakah yang telah difirmankan oleh Yehuwa? 38 Jika kamu asyik berkata, “Inilah beban* Yehuwa!” maka Yehuwa berfirman, “Kamu masih berkata, ‘Firman ini ialah beban* Yehuwa,’ meskipun Aku telah memberitahu kamu, ‘Jangan berkata, “Inilah beban* Yehuwa!”’ 39 Oleh itu, Aku akan mengangkat kamu dan mengusir kamu dari hadapan-Ku. Ya, Aku akan berbuat demikian terhadap kamu dan terhadap kota yang telah Aku berikan kepada kamu dan nenek moyang kamu. 40 Aku akan menyebabkan kamu dimalukan buat selama-lamanya dan dihina buat selama-lamanya. Hal itu pasti tidak akan dilupakan orang.”’”+

24 Raja Nebukadnezar dari Babilon telah menawan Yekhonya*+ anak Yehoyakim,+ iaitu raja Yehuda, bersama para pemimpin Yehuda, tukang-tukang yang mahir, dan tukang besi.* Mereka semua telah ditawan dari Yerusalem dan dibawa ke Babilon.+ Setelah itu, Yehuwa menunjukkan dua buah bakul yang berisi buah ara kepadaku. Bakul-bakul itu terletak di hadapan Rumah Yehuwa. 2 Bakul yang pertama berisi buah ara yang sangat baik, seperti buah ara yang paling awal masak. Bakul yang kedua pula berisi buah ara yang sangat buruk, sehingga tidak dapat dimakan.

3 Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, “Yeremia, apakah yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Buah ara. Buah ara yang baik itu sangat baik. Buah ara yang buruk itu pula begitu buruk sehingga tidak dapat dimakan.”+

4 Yehuwa pun berfirman kepadaku, 5 “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Aku menganggap orang Yehuda yang telah ditawan seperti buah ara yang baik ini, dan Aku berkenan kepada mereka. Meskipun Aku telah membuang mereka ke tanah orang Kasdim, 6 Aku akan memerhatikan mereka, menjaga mereka, dan membawa mereka kembali ke negeri ini.+ Aku akan membangun dan bukannya meruntuhkan mereka. Aku akan menanam dan bukannya mencabut mereka.+ 7 Aku akan memberi mereka hati yang rela untuk mengenal Aku. Mereka akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.+ Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku akan menjadi Tuhan mereka.+ Mereka akan kembali kepada-Ku dengan sepenuh hati.+

8 “‘Sebaliknya, inilah firman Yehuwa berkenaan buah ara yang begitu buruk itu,+ yang tidak dapat dimakan: “Aku menganggap Raja Zedekia+ dari Yehuda, para pemimpinnya, penduduk Yerusalem yang masih tinggal di negeri ini, dan orang yang tinggal di Mesir, seperti buah ara yang buruk itu.+ 9 Aku akan menyebabkan semua kerajaan di bumi menjadi takut setelah melihat malapetaka yang menimpa mereka.+ Di mana sahaja Aku mencerai-beraikan mereka, mereka akan dihina, diejek, dikutuk,+ dan dicemuh.+ 10 Aku akan menyerang mereka dengan pedang,+ kebuluran, dan wabak penyakit+ sehingga mereka semua lenyap dari negeri yang telah Aku berikan kepada mereka dan nenek moyang mereka.”’”

25 Pada tahun keempat pemerintahan Yehoyakim+ anak Yosia, raja Yehuda, iaitu pada tahun pertama pemerintahan Raja Nebukadnezar dari Babilon, Yeremia menerima perkhabaran tentang semua penduduk Yehuda. 2 Inilah perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi Yeremia tentang* semua penduduk Yehuda dan Yerusalem:

3 “Sejak tahun ke-13 pemerintahan Yosia+ anak Amon, raja Yehuda, sehingga hari ini, iaitu selama 23 tahun, Yehuwa telah berfirman kepadaku. Aku telah menyampaikan firman-Nya kepada kamu berkali-kali, tetapi kamu enggan mendengar.+ 4 Yehuwa juga berkali-kali mengutus semua hamba-Nya, iaitu nabi-nabi-Nya, kepada kamu, tetapi kamu menutup telinga dan tidak mahu mendengar.+ 5 Nabi-nabi itu berkata, ‘Berbaliklah daripada haluan kamu yang jahat.+ Berhentilah berbuat jahat agar kamu dapat terus menetap di negeri yang telah Aku, Yehuwa, berikan kepada kamu dan nenek moyang kamu sejak dahulu lagi. 6 Jangan mengikuti, melayani, dan sujud menyembah tuhan-tuhan lain. Jangan membangkitkan kemarahan-Ku dengan membuat patung berhala, supaya Aku tidak mendatangkan malapetaka atas kamu.’

7 “‘Tetapi kamu enggan mendengarkan Aku,’ firman Yehuwa. ‘Sebaliknya kamu membangkitkan kemarahan-Ku dengan membuat patung berhala. Kamu sendiri telah mendatangkan malapetaka atas diri kamu.’+

8 “Maka inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘“Oleh sebab kamu enggan mematuhi firman-Ku, 9 Aku akan memanggil semua keluarga dari sebelah utara,”+ firman Yehuwa, “ya Aku akan memanggil hamba-Ku,+ iaitu Raja Nebukadnezar dari Babilon, dan Aku akan menyuruh mereka menyerang negeri kamu+ dan penduduk di negeri kamu serta semua bangsa di sekeliling kamu.+ Aku akan memusnahkan kamu dan semua bangsa itu. Orang yang lalu di hadapan kamu akan berasa takut dan mengejek kamu.* Kamu akan menjadi reruntuhan buat selama-lamanya. 10 Aku akan menghentikan suara kegembiraan, suara sukacita,+ suara pengantin lelaki, suara pengantin perempuan,+ dan bunyi bijirin dikisar. Aku juga akan memadamkan cahaya dari pelita. 11 Seluruh negeri ini akan menjadi reruntuhan dan orang yang lalu di sini akan berasa takut. Bangsa-bangsa ini akan menjadi hamba raja Babilon selama 70 tahun.”’+

12 “‘Tetapi selepas 70 tahun itu berlalu,+ Aku akan menghukum raja Babilon dan bangsa itu kerana kesalahan mereka,’+ firman Yehuwa, ‘dan Aku akan membuat negeri orang Kasdim menjadi tanah tandus yang tidak berpenghuni buat selama-lamanya.+ 13 Aku akan mendatangkan semua hal yang telah Aku firmankan atas negeri itu, iaitu semua hal yang tertulis dalam kitab ini, seperti yang telah dinubuatkan oleh Yeremia berkenaan bangsa-bangsa itu. 14 Mereka akan menjadi hamba+ kepada banyak bangsa dan raja yang berkuasa.+ Aku akan membalas mereka setimpal dengan tingkah laku dan perbuatan mereka.’”+

15 Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, kepadaku: “Ambillah cawan yang berisi wain kemurkaan-Ku, lalu pergilah ke mana sahaja Aku mengutus engkau, dan suruhlah bangsa-bangsa di situ untuk minum dari cawan ini. 16 Mereka akan minum lalu mereka akan terhuyung-hayang. Mereka akan berkelakuan seperti orang gila kerana peperangan yang akan Aku datangkan atas mereka.”+

17 Aku pun mengambil cawan itu dari tangan Yehuwa lalu pergi kepada bangsa-bangsa itu kerana Yehuwa telah mengutus aku kepada mereka. Kemudian aku menyuruh mereka minum dari cawan itu.+ 18 Mula-mula, aku pergi ke Yerusalem dan kota-kota Yehuda,+ dan kepada raja-raja dan para pemimpin di situ. Tempat itu akan menjadi reruntuhan, dan orang yang melihatnya akan menjadi takut. Mereka akan diejek dan dikutuk,+ seperti yang berlaku sampai hari ini. 19 Kemudian aku pergi kepada Firaun, iaitu raja Mesir, pegawainya, pemimpinnya, semua rakyatnya,+ 20 dan semua penduduknya yang berbilang bangsa; semua raja di negeri Uz; semua raja di negeri orang Filistin,+ Askelon,+ Gaza, Ekron, dan orang yang masih tinggal di Asdod; 21 Edom,+ Moab,+ dan orang Ammon;+ 22 semua raja di Tirus, semua raja di Sidon,+ dan semua raja di pulau-pulau; 23 Dedan,+ Tema, Buz, dan semua orang yang memotong rambut pada pelipis mereka;+ 24 semua raja orang Arab+ dan semua raja daripada bangsa-bangsa lain yang tinggal di padang belantara; 25 semua raja di Zimri, semua raja di Elam,+ dan semua raja di Media;+ 26 dan semua raja di sebelah utara, tidak kira jauh atau dekat. Aku berjumpa dengan mereka satu demi satu. Aku juga pergi ke semua kerajaan yang ada di atas muka bumi ini. Raja Sheshak*+ akan minum dari cawan itu setelah mereka semua minum.

27 “Engkau haruslah berkata kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, ketua angkatan syurga: “Minumlah dari cawan itu sampai kamu mabuk, termuntah-muntah, dan terjatuh. Kamu tidak dapat bangun lagi+ kerana peperangan yang Aku datangkan atas kamu.”’ 28 Jika mereka tidak mahu mengambil cawan itu dari tanganmu dan meminumnya, katakanlah kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Kamu mesti minum! 29 Aku akan mendatangkan malapetaka bermula dengan kota yang dibina untuk nama-Ku,+ jadi mengapa pula kamu menyangka bahawa kamu tidak akan dihukum?”’+

“‘Kamu pasti akan dihukum kerana Aku akan mendatangkan pedang untuk menyerang semua penduduk bumi,’ firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.

30 “Engkau haruslah menyampaikan nubuat ini kepada mereka:

‘Yehuwa akan mengaum seperti singa dari tempat yang tinggi,

Dan Dia akan membuat suara-Nya kedengaran dari tempat kediaman-Nya yang suci.

Dia akan mengaum dengan begitu kuat ke arah tempat tinggal-Nya di bumi.

Seperti orang yang memeras buah anggur,

Dia akan menyanyikan lagu kemenangan kepada semua penduduk bumi.’

31 ‘Bunyi kekecohan akan kedengaran sampai ke hujung bumi,

Kerana terdapat persengketaan antara Yehuwa dengan bangsa-bangsa.

Dia akan menghakimi semua manusia,+

Dan membinasakan orang jahat dengan pedang,’ firman Yehuwa.

32 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:

‘Lihatlah! Malapetaka akan menimpa bangsa demi bangsa,+

Dan badai yang kuat akan bertiup dari hujung-hujung bumi.+

33 “‘Pada hari itu, mayat orang yang dibunuh oleh Yehuwa akan bergelimpangan dari satu hujung bumi ke hujung bumi yang lain. Mereka tidak akan diratapi atau dikumpulkan atau dikuburkan, tetapi akan dibiarkan di atas permukaan tanah seperti baja.’

34 Berteriaklah, hai para gembala, dan berserulah!

Berguling-gulinglah di atas tanah, hai para pemimpin kawanan,

Kerana sudah tiba waktunya kamu disembelih dan dicerai-beraikan ke tempat-tempat lain.

Kamu akan jatuh dan pecah seperti bekas yang bernilai!

35 Ya, para gembala tidak dapat melarikan diri ke mana-mana,

Dan para pemimpin kawanan tidak dapat menyelamatkan diri.

36 Dengarlah! Para gembala sedang berseru,

Dan para pemimpin kawanan sedang merintih,

Kerana Yehuwa sedang memusnahkan padang rumput mereka.

37 Tempat kediaman yang aman kini menjadi tandus*

Kerana kemarahan Yehuwa yang meluap-luap.

38 Dia telah meninggalkan tempat kediaman-Nya seperti seekor singa yang muda.+

Orang yang lalu di negeri mereka akan berasa takut

Kerana serangan pedang yang kejam,

Dan kerana kemarahan-Nya yang meluap-luap.”

26 Pada awal pemerintahan Yehoyakim+ anak Yosia, raja Yehuda, aku menerima perkhabaran ini daripada Yehuwa: 2 “Inilah firman Yehuwa: ‘Berdirilah di halaman Rumah Yehuwa dan bercakaplah tentang* semua penduduk kota Yehuda yang datang untuk beribadat di Rumah Yehuwa. Beritahulah mereka segala yang telah Aku perintahkan kepadamu. Jangan kurangi sepatah kata pun. 3 Jika mereka mendengar dan berpaling daripada haluan mereka yang jahat, Aku akan mengubah fikiran-Ku dan* niat-Ku untuk mendatangkan malapetaka atas mereka kerana perbuatan jahat mereka.+ 4 Katakanlah kepada mereka, “Inilah firman Yehuwa: ‘Jika kamu enggan mendengarkan Aku dengan menuruti hukum yang telah Aku berikan kepada kamu, 5 dan jika kamu enggan mendengar apa yang dikatakan oleh hamba-hamba-Ku, iaitu para nabi yang telah Aku utus kepada kamu berkali-kali,+ 6 maka Aku akan menjadikan rumah ini seperti Silo,+ dan Aku akan menjadikan kota ini bahan kutukan semua bangsa di bumi.’”’”+

7 Para imam, nabi, dan semua orang mendengar apa yang telah diucapkan oleh Yeremia di Rumah Yehuwa.+ 8 Maka apabila Yeremia selesai mengumumkan semua yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya, para imam dan nabi serta semua orang menangkapnya lalu berkata, “Kamu harus dibunuh! 9 Mengapakah kamu bernubuat atas nama Yehuwa dan berkata, ‘Rumah ini akan menjadi seperti Silo. Kota ini akan dimusnahkan dan tiada orang akan tinggal di sini lagi’?” Kemudian orang ramai mengerumuni Yeremia di Rumah Yehuwa.

10 Apabila para pemimpin Yehuda mendengar kata-kata ini, mereka keluar dari istana dan pergi ke Rumah Yehuwa lalu duduk di depan pintu gerbang baharu Rumah Yehuwa.+ 11 Para imam dan nabi berkata kepada para pemimpin dan semua orang, “Lelaki ini harus dihukum mati+ kerana dia telah bernubuat bahawa kota ini akan ditimpa malapetaka. Kamu semua telah mendengarnya dengan telinga kamu sendiri.”+

12 Kemudian Yeremia berkata kepada semua pemimpin dan semua orang di situ, “Yehuwalah yang telah mengutus aku untuk bernubuat bahawa kota ini dan rumah ini akan ditimpa malapetaka, seperti yang telah kamu dengar.+ 13 Jadi ubahlah haluan hidup kamu dan tingkah laku kamu. Patuhilah firman Yehuwa, Tuhan kamu, supaya Yehuwa mengubah fikiran-Nya* dan tidak lagi mendatangkan malapetaka yang telah difirmankan-Nya itu.+ 14 Sekarang aku berada dalam genggaman kamu. Perlakukanlah aku sesuai dengan apa yang baik di mata kamu. 15 Sesungguhnya, Yehuwalah yang telah mengutus aku kepada kamu untuk menyampaikan kata-kata ini kepada kamu. Maka jika kamu membunuh aku, kamu dan kota ini serta penduduk kota ini akan berdosa kerana membunuh orang yang tidak bersalah.”

16 Kemudian para pemimpin dan semua orang di situ berkata kepada para imam dan nabi, “Lelaki ini tidak patut dihukum mati kerana dia menyampaikan perkhabaran atas nama Yehuwa, Tuhan kita.”

17 Selepas itu, sebilangan pemimpin negeri berdiri dan berkata kepada semua orang yang berkumpul di situ, 18 “Mikha+ dari Moresyet pernah bernubuat pada zaman Raja Hizkia+ dari Yehuda. Dia berkata kepada semua orang Yehuda, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:

“Sion akan dibajak seperti ladang,

Yerusalem akan menjadi runtuhan batu,+

Dan gunung tempat Rumah Tuhan akan menjadi seperti gunung yang berhutan.”’+

19 “Adakah Raja Hizkia dari Yehuda dan semua penduduk Yehuda membunuh dia? Bukankah Raja Hizkia takut kepada Yehuwa dan meminta perkenan Yehuwa supaya Yehuwa mengubah fikiran-Nya* dan tidak mendatangkan malapetaka yang difirmankan-Nya?+ Sekarang adakah kita mahu mendatangkan malapetaka atas diri kita sendiri?

20 “Ada seorang lagi lelaki yang bernubuat atas nama Yehuwa, iaitu Uria anak Semaya dari Kiryat-yearim.+ Dia pun pernah bernubuat tentang kota ini dan negeri ini seperti Yeremia. 21 Selepas Raja Yehoyakim,+ semua pahlawannya, dan semua pemimpinnya mendengar kata-kata Uria, raja berusaha untuk membunuh dia.+ Sebaik sahaja Uria mendengar tentang hal itu, dia menjadi takut lalu melarikan diri ke Mesir. 22 Kemudian Raja Yehoyakim mengutus Elnatan+ anak Akhbor bersama beberapa orang lain ke Mesir. 23 Mereka menangkap Uria di Mesir lalu membawanya kepada Raja Yehoyakim. Kemudian raja membunuh Uria dengan pedang+ lalu membuang mayatnya ke perkuburan rakyat biasa.”

24 Tetapi Yeremia dibantu oleh Ahikam+ anak Safan,+ maka dia tidak diserahkan kepada rakyat untuk dibunuh.+

27 Pada awal pemerintahan Yehoyakim anak Yosia, raja Yehuda, Yeremia mendapat perkhabaran berikut daripada Yehuwa: 2 “Inilah firman Yehuwa kepadaku: ‘Buatlah tali-tali pengikat dan beberapa batang kuk. Pasangkanlah sebatang kuk pada tengkukmu. 3 Kemudian kirimkanlah tali dan kuk kepada raja Edom,+ raja Moab,+ raja orang Ammon,+ raja Tirus,+ dan raja Sidon+ melalui para utusan mereka yang datang ke Yerusalem untuk berjumpa dengan Zedekia, raja Yehuda. 4 Mintalah para utusan itu menyampaikan perintah ini kepada raja-raja mereka:

“‘“Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, dan inilah perintah yang patut kamu sampaikan kepada raja-raja kamu: 5 ‘Akulah yang telah menciptakan bumi, manusia, dan haiwan di atas permukaan bumi dengan kuasa-Ku yang menakjubkan dan kekuatan-Ku. Aku telah memberikan semua itu kepada sesiapa sahaja yang Aku kehendaki.+ 6 Sekarang Aku telah menyerahkan semua negeri ini ke dalam tangan hamba-Ku, iaitu Raja Nebukadnezar+ dari Babilon, bahkan binatang liar di padang pun telah Aku serahkan ke dalam tangannya. 7 Semua bangsa akan menjadi hamba kepada dia, anaknya, dan cucunya sehingga masa negerinya dimusnahkan.+ Pada masa itu, dia akan menjadi hamba kepada banyak bangsa dan raja-raja yang kuat.’+

8 “‘“‘Jika suatu bangsa atau kerajaan tidak mahu tunduk kepada Raja Nebukadnezar dari Babilon dan enggan meletakkan kuk raja Babilon pada tengkuk mereka, Aku akan menghukum bangsa itu dengan pedang,+ kebuluran, dan wabak penyakit,’ firman Yehuwa, ‘sehingga bangsa itu musnah di bawah tangannya.’

9 “‘“‘Oleh itu, janganlah dengar nabi-nabi kamu, tukang tilik, pentafsir mimpi, ahli ilmu ghaib, dan tukang sihir yang berkata, “Kamu tidak akan menjadi hamba raja Babilon.” 10 Jika kamu mendengar nubuat-nubuat palsu mereka, kamu akan dibawa jauh dari negeri kamu. Aku akan mencerai-beraikan kamu dan kamu akan binasa.

11 “‘“‘Tetapi jika suatu bangsa tunduk kepada raja Babilon dan meletakkan kuk raja itu pada tengkuk mereka, Aku akan membenarkan bangsa itu tinggal di negeri mereka,’ firman Yehuwa, ‘untuk bercucuk tanam dan hidup di sana.’”’”

12 Aku juga menyampaikan perkhabaran yang sama kepada Raja Zedekia+ dari Yehuda. Aku berkata, “Letakkanlah kuk raja Babilon pada tengkuk kamu. Hendaklah kamu semua menjadi hamba raja itu dan rakyatnya supaya kamu dapat terus hidup.+ 13 Yehuwa telah berfirman bahawa bangsa yang enggan tunduk kepada raja Babilon akan mati kerana kebuluran+ dan wabak penyakit,+ dan kerana dibunuh pedang.+ Adakah tuanku dan rakyat tuanku mahu mati dengan cara demikian? 14 Janganlah dengar para nabi yang berkata, ‘Kamu tidak akan menjadi hamba raja Babilon,’+ kerana mereka menyampaikan nubuat palsu.+

15 “‘Aku tidak mengutus mereka,’ firman Yehuwa, ‘tetapi mereka menyampaikan nubuat palsu atas nama-Ku. Jika kamu mendengarkan mereka, Aku akan mencerai-beraikan kamu dan membinasakan kamu bersama dengan nabi-nabi yang menyampaikan nubuat palsu itu.’”+

16 Aku memberitahu para imam dan semua orang, “Inilah firman Yehuwa: ‘Janganlah dengar nabi-nabi yang berkata, “Lihatlah! Tidak lama lagi, perkakas-perkakas Rumah Yehuwa akan dibawa balik dari Babilon!”+ kerana mereka sedang menyampaikan nubuat palsu.+ 17 Jangan dengarkan mereka! Tunduklah kepada raja Babilon supaya kamu dapat terus hidup.+ Mengapakah kota ini harus menjadi reruntuhan? 18 Tetapi jika mereka ialah nabi yang menerima perkhabaran daripada Yehuwa, biarlah mereka merayu kepada Yehuwa, ketua angkatan syurga. Biarlah mereka merayu agar perkakas-perkakas yang masih ada di Rumah Yehuwa, istana raja Yehuda, dan Yerusalem tidak dibawa ke Babilon.’

19 “Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman tentang tiang-tiang,+ Laut Tembaga,+ pedati-pedati,+ dan perkakas lain yang masih ada di dalam kota ini. 20 (Barang-barang ini ditinggalkan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilon semasa dia membawa Yekhonya anak Yehoyakim, iaitu raja Yehuda, dari Yerusalem ke Babilon sebagai tawanan. Dia juga membawa semua golongan bangsawan Yehuda dan Yerusalem sebagai tawanan.)+ 21 Ya, inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel, berkenaan barang-barang yang masih ada di Rumah Yehuwa, istana raja Yehuda, dan Yerusalem: 22 ‘“Semua barang ini akan dibawa ke Babilon+ dan disimpan di sana sehingga Aku memerhatikannya lagi,” firman Yehuwa. “Kemudian barulah Aku akan membawa semuanya kembali ke sini.”’”+

28 Pada tahun yang sama, pada awal pemerintahan Raja Zedekia+ dari Yehuda, iaitu pada bulan kelima tahun keempat, Nabi Hanania anak Azur dari Gibeon+ bercakap kepada Yeremia di Rumah Yehuwa, di hadapan para imam dan semua rakyat. Hanania berkata, 2 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan mematahkan kuk raja Babilon.+ 3 Meskipun Raja Nebukadnezar dari Babilon telah mengambil semua perkakas Rumah Yehuwa dari tempat ini dan membawanya ke Babilon, Aku akan mengembalikan semua perkakas itu ke tempat asalnya dalam masa dua tahun.’”+ 4 “‘Aku juga akan membawa kembali Yekhonya+ anak Yehoyakim,+ iaitu raja Yehuda, dan semua orang Yehuda yang telah pergi ke Babilon sebagai tawanan,’+ firman Yehuwa, ‘kerana Aku akan mematahkan kuk raja Babilon.’”

5 Kemudian Nabi Yeremia bercakap kepada Nabi Hanania di hadapan para imam dan semua rakyat yang berkumpul di Rumah Yehuwa. 6 Nabi Yeremia berkata, “Amin!* Semoga Yehuwa berbuat demikian! Semoga Yehuwa menjadikan nubuatmu itu kenyataan, dan membawa kembali perkakas Rumah Yehuwa dari Babilon bersama semua orang yang telah ditawan! 7 Akan tetapi, dengarlah apa yang akan aku katakan kepadamu dan kepada semua rakyat. 8 Nabi-nabi dahulukala, sebelum zaman kita, telah bernubuat tentang banyak negara dan kerajaan-kerajaan yang besar, tentang peperangan, malapetaka, dan wabak penyakit. 9 Jika seorang nabi bernubuat tentang keamanan dan nubuatnya itu menjadi kenyataan, ternyatalah bahawa nabi itu diutus oleh Yehuwa.”

10 Kemudian Nabi Hanania mengambil kuk yang ada pada tengkuk Nabi Yeremia, lalu mematahkannya.+ 11 Di hadapan semua rakyat, Hanania berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Demikianlah Aku akan mematahkan kuk Raja Nebukadnezar dari Babilon yang ada pada tengkuk semua bangsa, dan Aku akan melakukannya dalam masa dua tahun.’”+ Nabi Yeremia pun beredar dari situ.

12 Selepas Nabi Hanania mematahkan kuk yang ada pada tengkuk Nabi Yeremia, Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 13 “Pergilah kepada Hanania dan katakanlah kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa: “Engkau telah mematahkan kuk yang diperbuat daripada kayu,+ tetapi sekarang kuk itu akan digantikan dengan kuk yang diperbuat daripada besi.” 14 Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: “Aku akan meletakkan kuk besi pada tengkuk semua bangsa ini, dan mereka akan tunduk kepada Raja Nebukadnezar dari Babilon.+ Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tangan raja itu, bahkan binatang liar di padang pun akan Aku serahkan kepadanya.”’”+

15 Kemudian Nabi Yeremia berkata kepada Nabi Hanania,+ “Wahai Hanania, tolonglah dengar! Yehuwa tidak mengutus kamu, tetapi kamu telah membuat rakyat mempercayai kata-kata dustamu.+ 16 Maka inilah firman Yehuwa: ‘Lihatlah! Aku akan melenyapkan engkau dari muka bumi ini. Pada tahun ini, engkau akan mati kerana engkau telah membuat orang memberontak terhadap Aku, Yehuwa.’”+

17 Pada tahun itu juga, pada bulan ketujuh, Nabi Hanania mati.

29 Semasa Yeremia berada di Yerusalem, dia mengirim surat kepada orang Israel yang telah dibuang negeri, iaitu semua orang yang telah dibawa oleh Nebukadnezar dari Yerusalem ke Babilon sebagai tawanan, termasuk para pemimpin, para imam, nabi, dan rakyat. 2 Yeremia berbuat demikian selepas Raja Yekhonya+ meninggalkan Yerusalem sebagai tawanan bersama bonda ratu,+ para pegawai istana, para pemimpin Yehuda, para pemimpin Yerusalem, tukang-tukang yang mahir, dan tukang besi.*+ 3 Surat ini dikirim menerusi Elasa anak Safan+ dan Gemaria anak Hilkia, yang telah diutus oleh Zedekia,+ raja Yehuda, ke Babilon untuk menghadap Nebukadnezar, raja Babilon. Surat ini berbunyi,

4 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel, kepada semua orang yang telah dibiarkan-Nya ditawan, lalu dibawa dari Yerusalem ke Babilon: 5 ‘Binalah rumah dan tinggallah di dalamnya. Buatlah kebun dan nikmatilah hasilnya. 6 Berkahwinlah dan lahirkanlah anak-anak. Hendaklah anak-anak kamu berkahwin supaya mereka pun boleh beranak cucu. Jumlah kamu haruslah bertambah dan tidak boleh berkurang. 7 Berusahalah untuk hidup dengan aman di kota itu, iaitu tempat kamu tinggal sebagai tawanan. Berdoalah kepada Yehuwa demi keamanan kota itu kerana jika kota itu aman, kamu pun akan hidup aman.+ 8 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Janganlah terpedaya oleh para nabi dan tukang tilik yang menipu kamu.+ Janganlah dengar tentang mimpi-mimpi yang diceritakan oleh mereka, 9 kerana ‘mereka menyampaikan nubuat-nubuat palsu atas nama-Ku meskipun Aku tidak mengutus mereka,’+ firman Yehuwa.”’”

10 “Inilah firman Yehuwa: ‘Selepas kamu berada di Babilon selama 70 tahun, Aku akan menumpukan perhatian kepada kamu.+ Aku akan menunaikan janji-Ku untuk membawa kamu pulang.’+

11 “‘Aku sendiri tahu apa yang akan Aku lakukan untuk kamu,’ firman Yehuwa, ‘Aku akan memberi kamu kedamaian, bukannya malapetaka.+ Ya, Aku akan memberi kamu harapan dan masa depan yang baik.+ 12 Kamu akan berseru kepada-Ku. Kamu akan datang untuk berdoa kepada-Ku, dan Aku akan mendengar doa kamu.’+

13 “‘Kamu akan mencari Aku,+ dan kamu pasti akan menemui Aku kerana kamu telah mencari-Ku dengan sepenuh hati.+ 14 Aku akan membenarkan kamu menemui Aku,’+ firman Yehuwa. ‘Aku akan mengumpulkan kamu biarpun Aku telah mencerai-beraikan kamu dalam kalangan bangsa-bangsa di pelbagai negeri,’+ firman Yehuwa. ‘Ya, biarpun Aku membiarkan kamu ditawan, Aku akan membawa kamu pulang.’+

15 “Tetapi kamu berkata, ‘Yehuwa telah melantik nabi-nabi untuk kami di Babilon.’

16 “Inilah firman Yehuwa kepada raja yang duduk di atas takhta Daud+ dan kepada semua orang yang tinggal di kota ini, iaitu saudara-saudara kamu yang tidak dibuang negeri bersama kamu: 17 ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Aku akan mendatangkan pedang, kebuluran, dan wabak penyakit atas mereka.+ Aku akan menyebabkan mereka menjadi seperti buah ara yang begitu buruk* sehingga tidak dapat dimakan.”’+

18 “‘Aku akan menghukum mereka dengan pedang,+ kebuluran, dan wabak penyakit. Aku akan menyebabkan semua kerajaan di bumi menjadi takut dan bingung setelah melihat apa yang menimpa mereka.+ Aku akan mencerai-beraikan mereka dalam kalangan bangsa-bangsa, dan mereka akan diejek,* dihina, dan dikutuk di situ,+ 19 kerana mereka tidak mendengar firman-Ku yang disampaikan oleh hamba-hamba-Ku, iaitu para nabi yang telah Aku utus kepada mereka berkali-kali,’ firman Yehuwa.+

“‘Kamu memang tidak mendengar,’+ firman Yehuwa.

20 “Oleh itu, dengarlah firman Yehuwa, hai kamu semua yang telah dibuang negeri, yang telah Aku usir dari Yerusalem ke Babilon. 21 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel, berkenaan Ahab anak Kolaya dan berkenaan Zedekia anak Maaseya, yang sedang menyampaikan nubuat palsu atas nama-Ku:+ ‘Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tangan Raja Nebukadnezar dari Babilon, dan raja itu akan membunuh mereka di depan mata kamu. 22 Apa yang berlaku kepada mereka akan menjadi kutukan yang diucapkan oleh semua orang Yehuda yang ditawan dan dibawa ke Babilon: “Semoga Yehuwa memperlakukan engkau sepertimana Dia memperlakukan Zedekia dan Ahab, yang telah dipanggang di dalam api oleh raja Babilon!” 23 Begitulah kesudahan mereka kerana mereka telah melakukan perbuatan yang memalukan.+ Mereka berzina dengan isteri-isteri jiran mereka, dan menyebarkan kata-kata dusta atas nama-Ku meskipun Aku tidak menyuruh mereka berbuat demikian.+

“‘“Aku mengetahuinya dan Aku sendiri menjadi saksi,”+ firman Yehuwa.’”

24 “Katakanlah kepada Semaya+ anak Nehelam, 25 ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Engkau telah menggunakan namamu sendiri untuk mengirim surat kepada semua orang di Yerusalem, kepada Imam Zefanya+ anak Maaseya, dan kepada imam-imam yang lain. Surat itu berbunyi, 26 ‘Yehuwa telah melantik engkau, Zefanya, menjadi imam untuk menggantikan Imam Yehoyada, dan sekarang engkaulah pemimpin di Rumah Yehuwa. Engkau bertanggungjawab untuk memastikan supaya setiap orang gila yang berkelakuan seperti nabi dipasung dan lehernya diikat dengan rantai besi.+ 27 Oleh itu, mengapa pula engkau tidak menegur Yeremia dari Anatot,+ yang sedang berkelakuan seperti nabi di hadapanmu?+ 28 Dia telah mengirim surat kepada kami di Babilon. Katanya, “Lama lagi kamu akan tinggal di sana! Binalah rumah dan tinggallah di dalamnya. Buatlah kebun dan nikmatilah hasilnya,+—”’”’”

29 Apabila Imam Zefanya+ membaca surat ini di hadapan Nabi Yeremia, 30 Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 31 “Kirimkanlah surat berikut kepada semua orang yang dibuang negeri: ‘Inilah firman Yehuwa berkenaan Semaya dari Nehelam: “Semaya telah menyampaikan nubuat kepada kamu, meskipun Aku tidak mengutusnya. Dia juga mencuba menipu kamu dengan kata-kata dustanya.+ 32 Oleh itu, inilah firman Yehuwa: ‘Aku akan menghukum Semaya dari Nehelam dan keturunannya. Dia tidak akan mempunyai keturunan yang tinggal dalam kalangan umat ini, dan dia tidak akan melihat hal-hal baik yang akan Aku lakukan untuk umat-Ku,’ firman Yehuwa, ‘kerana dia telah membuat orang memberontak terhadap Aku, Yehuwa.’”’”

30 Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 2 “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Tulislah dalam sebuah kitab segala yang Aku firmankan kepadamu 3 kerana “masanya akan tiba,” firman Yehuwa, “apabila Aku akan mengumpulkan umat-Ku, iaitu bangsa Israel dan Yehuda, yang telah ditawan,”+ firman Yehuwa, “dan Aku akan membawa mereka pulang ke negeri yang telah Aku berikan kepada nenek moyang mereka. Mereka akan memiliki negeri itu semula.”’”+

4 Yehuwa berfirman kepada bangsa Israel dan Yehuda.

 5 Inilah firman Yehuwa:

“Kamu telah mendengar suara orang yang ketakutan;

Hanya ada ketakutan, dan tidak ada kedamaian.

 6 Fikirlah sejenak, bolehkah seorang lelaki melahirkan anak?

Jika tidak, mengapakah setiap lelaki memegang perut masing-masing,

Seperti wanita yang hendak bersalin?+

Mengapakah muka mereka pucat?

 7 Malanglah! Hari itu ialah hari yang mengerikan,+

Hari yang tiada bandingnya.

Itulah waktu yang sukar bagi Yakub,

Tetapi dia akan diselamatkan.”

8 “Pada hari itu,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, “Aku akan mematahkan kuk yang ada pada tengkuk mereka, dan tali pengikat mereka akan Aku putuskan menjadi dua. Mereka* tidak akan menjadi hamba kepada bangsa asing lagi. 9 Mereka akan menyembah Yehuwa, Tuhan mereka, dan tunduk kepada raja yang telah Aku lantik untuk mereka, iaitu Daud.”+

10 “Hai hamba-Ku Yakub, janganlah berasa takut,” firman Yehuwa,

“Hai Israel, janganlah gentar.+

Aku akan menyelamatkan engkau dari tempat yang jauh,

Dan Aku akan menyelamatkan keturunanmu dari negeri tempat mereka ditawan.+

Yakub akan pulang lalu hidup dengan aman tanpa sebarang gangguan.

Tidak ada sesiapa pun yang akan membuat mereka takut.”+

11 “Aku akan menyertaimu,” firman Yehuwa, “dan menyelamatkanmu.

Aku telah mencerai-beraikan engkau dalam kalangan bangsa-bangsa, dan Aku akan membinasakan semua bangsa itu.+

Tetapi Aku tidak akan membinasakanmu.+

Namun demikian, engkau tidak akan terlepas daripada hukuman.

Aku akan mendisiplinkan engkau dengan saksama.”+

12 Inilah firman Yehuwa:

“Kecederaanmu sangat parah.+

Lukamu tidak dapat disembuhkan.

13 Tiada seorang pun yang akan membelamu.

Tiada penawar untuk menyembuhkan bisulmu.

Engkau tidak akan sembuh.

14 Semua kekasihmu sudah melupakanmu.+

Mereka tidak mencarimu lagi.

Aku telah menyerang engkau dengan pukulan musuh,+

Dengan hukuman yang kejam,

Kerana engkau telah banyak berdosa dan melakukan kesalahan yang amat berat.+

15 Apa gunanya engkau mengeluh kerana luka-lukamu?

Kesakitanmu tiada penawar!

Aku memperlakukan engkau sedemikian

Kerana engkau telah banyak berdosa dan melakukan kesalahan yang amat berat.+

16 Tetapi semua orang yang melahapmu akan dilahap,+

Dan semua musuhmu akan ditawan.+

Orang yang menjarah negerimu akan dijarah.

Aku akan membiarkan orang yang merompakmu dirompak.”+

17 “Dahulu mereka memandang engkau sebagai orang yang diusir. Mereka berkata,

‘Tiada orang yang akan mencari Sion.’+

Tetapi Aku akan memulihkan kesihatanmu dan mengubati lukamu,”+ firman Yehuwa.

18 Inilah firman Yehuwa:

“Aku akan pergi ke khemah-khemah Yakub dan mengumpulkan orang yang telah ditawan.+

Aku akan mengasihani mereka dan memulihkan keadaan tempat tinggal mereka.

Kota itu akan dibina semula di atas gunungnya,+

Dan menaranya yang kukuh akan didirikan di atas tapak asalnya.

19 Mereka pasti akan bersyukur dan ketawa dengan gembira.+

Aku akan melipatgandakan bilangan mereka, dan jumlah mereka akan terus bertambah.+

Ya, Aku akan membuat mereka menjadi ramai,*

Dan jumlah mereka tidak akan berkurang.+

20 Keturunan mereka akan kembali makmur seperti dahulu,

Dan bangsa mereka akan dikukuhkan di hadapan-Ku.+

Aku akan menghukum semua orang yang menindas mereka.+

21 Pemimpin mereka akan berasal daripada bangsa mereka.

Ya, pemerintah mereka akan datang daripada kalangan mereka.

Aku akan membenarkan pemerintah itu untuk menghampiri-Ku dan menghadap-Ku.”

“Tanpa kebenaran-Ku, siapakah yang berani menghampiri-Ku?” firman Yehuwa.

22 “Kamu akan menjadi umat-Ku+ dan Aku akan menjadi Tuhan kamu.”+

23 Lihatlah! Kemarahan Yehuwa akan melanda seperti ribut kencang,+

Seperti ribut yang tidak akan reda, yang melanda kepala orang yang jahat.

24 Selagi Yehuwa belum melaksanakan dan menyempurnakan keinginan hati-Nya,

Api kemarahan-Nya tidak akan reda.+

Pada hari-hari terakhir, kamu akan memahami hal ini.+

31 “Pada waktu itu,” firman Yehuwa, “Aku akan menjadi Tuhan kepada semua keluarga Israel, dan mereka akan menjadi umat-Ku.”+

 2 Inilah firman Yehuwa:

“Orang yang selamat daripada serangan pedang akan mendapat perkenan Tuhan di padang belantara

Apabila Israel berjalan ke tempat rehatnya.”

 3 Dari jauh, Yehuwa menampakkan diri-Nya kepadaku dan berfirman,

“Aku telah menunjukkan kasih abadi kepadamu.

Kerana kasih ini, Aku memimpin engkau kepada-Ku.*+

 4 Aku akan membangun engkau semula, dan engkau akan dibina.+

Hai Israel yang bagaikan anak dara, engkau akan mengambil tamborinmu sekali lagi

Dan menari-nari dengan sukacita.*+

 5 Engkau akan membuka semula ladang-ladang anggur di pergunungan Samaria;+

Para peladang akan bercucuk tanam dan menikmati hasilnya.+

 6 Akan tiba masanya apabila para pengawal di pergunungan Efraim akan berseru,

‘Bangkitlah, dan marilah kita naik ke Sion, kepada Yehuwa, Tuhan kita.’”+

 7 Inilah firman Yehuwa:

“Berserulah kepada Yakub dengan gembira.

Bersorak-sorailah kerana kamu memimpin bangsa-bangsa.+

Hebahkanlah hal ini, dan pujilah Tuhan dengan berkata,

‘Ya Yehuwa, selamatkanlah umat-Mu, iaitu orang Israel yang masih hidup.’+

 8 Aku akan membawa mereka pulang dari negeri di sebelah utara.+

Aku akan mengumpulkan mereka dari hujung bumi.+

Bersama mereka, ada orang buta dan orang lumpuh,+

Wanita yang hamil dan wanita yang hendak bersalin; ya, mereka semua

Akan kembali ke sini sebagai sebuah kumpulan yang besar.+

 9 Mereka akan kembali sambil menangis.+

Mereka akan memohon perkenan-Ku dan Aku akan memimpin mereka.

Aku akan membawa mereka ke sungai-sungai,*+

Melalui jalan yang rata agar mereka tidak tersandung.

Akulah Bapa Israel, dan Efraim ialah anak sulung-Ku.”+

10 Wahai bangsa-bangsa, dengarlah firman Yehuwa,

Dan umumkannya di pulau-pulau yang jauh:+

“Tuhan yang telah mencerai-beraikan Israel akan mengumpulkannya semula.

Dia akan menjaga Israel seperti seorang gembala menjaga kawanannya.+

11 Yehuwa akan menebus Yakub,+

Dan menyelamatkan Yakub daripada tangan orang yang lebih kuat daripadanya.+

12 Mereka akan datang dan berseru dengan gembira di atas Gunung Sion.+

Mereka akan berseri-seri kerana kebaikan* Yehuwa,

Kerana bijirin, wain baharu,+ dan minyak,

Dan kerana biri-biri, kambing, dan lembu yang muda.+

Mereka akan menjadi seperti taman yang cukup airnya,+

Dan mereka tidak akan merana lagi.”+

13 “Pada waktu itu, anak dara akan menari dengan gembira.

Pemuda-pemuda dan lelaki yang tua juga akan menari bersama-sama.+

Aku akan mengubah kesedihan mereka menjadi kebahagiaan.+

Aku akan melegakan hati mereka dan memberi mereka sukacita, bukannya dukacita.+

14 Aku akan memuaskan para imam dengan makanan yang berlimpah-limpah.

Umat-Ku akan berpuas hati dengan kebaikan-Ku,”+ firman Yehuwa.

15 “Inilah firman Yehuwa:

‘Kedengaran suara tangisan dan ratapan di Rama.+

Itulah suara Rahel yang sedang menangisi anak-anaknya.+

Dia enggan dihiburkan,

Kerana mereka sudah tiada lagi.’”+

16 Inilah firman Yehuwa:

“‘Hentikanlah rintihanmu dan tangisanmu,

Kerana jerih payahmu akan diberikan ganjaran,’ firman Yehuwa.

‘Mereka akan pulang dari negeri musuh.’+

17 ‘Ada harapan bagi masa depanmu,’+ firman Yehuwa.

‘Anak-anakmu akan kembali ke negeri mereka.’”+

18 “Sememangnya Aku telah mendengar Efraim meratap dan berkata,

‘Aku seperti seekor anak lembu yang belum dilatih,

Tetapi Engkau mengajar aku, dan aku telah menerima ajaran-Mu.

Bawalah aku kembali, dan aku akan kembali dengan rela,

Kerana Engkaulah Tuhanku, ya Yehuwa.

19 Aku menyesal, dan aku kembali kepada-Mu.+

Apabila Engkau membuat aku faham, aku memukul pahaku dengan sedih.

Aku berasa malu dan hina,+

Atas apa yang telah aku lakukan pada masa mudaku.’”

20 “Bukankah Efraim seperti anak kesayangan-Ku, anak-Ku yang tercinta?+

Meskipun Aku sering memarahinya, Aku masih ingat padanya.

Hati-Ku tersentuh kerana dia.+

Aku pasti akan mengasihaninya,” firman Yehuwa.+

21 “Letakkanlah tanda jalan bagi dirimu,

Dan pasanglah petunjuk jalan.+

Perhatikanlah jalan yang harus kamu tempuh dengan baik-baik.+

Hai Israel yang bagaikan anak dara, pulanglah dan kembalilah ke kota-kotamu.

22 Hai bangsa yang tidak setia, sampai bilakah kamu akan ragu-ragu?

Yehuwa telah menciptakan sesuatu yang baharu di bumi:

Seorang isteri akan mencari suaminya* dengan bersungguh-sungguh.”

23 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Apabila Aku mengumpulkan semua orang yang telah ditawan, kata-kata ini akan kedengaran lagi di negeri Yehuda dan kota-kotanya: ‘Hai gunung suci,+ tempat orang menemui kebenaran,+ semoga Yehuwa memberkatimu.’ 24 Orang akan tinggal di Yehuda dan semua kotanya. Para petani dan para gembala dengan ternakan mereka akan tinggal di sana.+ 25 Aku akan menyegarkan orang yang letih dan menguatkan orang yang merana.”+

26 Oleh sebab hal ini, aku terbangun dan membuka mataku. Aku sudah tidur dengan nyenyak.

27 “Lihatlah! Masanya akan tiba,” firman Yehuwa, “apabila Aku akan membuat keturunan Israel dan keturunan Yehuda bertambah banyak. Aku juga akan melipatgandakan bilangan ternakan mereka.”+

28 “Sebagaimana Aku memerhatikan mereka supaya Aku dapat mencabut, merobohkan, meruntuhkan, membinasakan, dan mencelakakan mereka,+ demikian juga Aku akan memerhatikan mereka supaya Aku dapat menanam dan membina mereka,”+ firman Yehuwa. 29 “Pada waktu itu, mereka tidak lagi berkata, ‘Bapa makan anggur mentah, tetapi anak yang ngilu* gigi.’+ 30 Sebaliknya, sesiapa yang makan anggur mentah, dia sendirilah yang akan ngilu gigi. Ya, setiap orang akan mati kerana dosanya sendiri.”

31 “Lihatlah! Masanya akan tiba,” firman Yehuwa, “apabila Aku akan membuat perjanjian baharu dengan keturunan Israel dan keturunan Yehuda.+ 32 Perjanjian ini bukan seperti perjanjian yang telah Aku buat dengan nenek moyang mereka pada hari Aku memegang tangan mereka untuk memimpin mereka keluar dari Mesir.+ ‘Mereka melanggar perjanjian-Ku,+ meskipun Aku ialah tuan* mereka yang sebenar,’ firman Yehuwa.”

33 “Selepas masa itu, Aku akan membuat perjanjian ini dengan bangsa Israel,” firman Yehuwa. “Aku akan meletakkan hukum-Ku dalam diri mereka+ dan Aku akan menuliskannya dalam hati mereka.+ Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.”+

34 “Tidak ada seorang pun yang akan mengajar jirannya dan saudara-saudaranya sendiri dengan berkata, ‘Kenalilah Yehuwa!’+ Hal ini demikian kerana mereka semua akan mengenal Aku, daripada orang yang paling kecil sehingga orang yang paling besar,”+ firman Yehuwa. “Aku akan mengampunkan kesalahan mereka dan Aku tidak akan mengingat dosa mereka.”+

35 Yehuwa membuat matahari untuk menerangi siang,

Memberikan perintah kepada* bulan dan bintang untuk menerangi malam,

Mengocakkan air laut dan membuat ombaknya bergelora.

Nama-Nya ialah Yehuwa, ketua angkatan syurga.

Inilah firman-Nya:+

36 “‘Sebagaimana peraturan-peraturan ini tidak akan lenyap,’ firman Yehuwa,

‘Demikian juga keturunan Israel tidak akan lenyap dari mata-Ku sebagai sebuah bangsa.’”+

37 Inilah firman Yehuwa: “‘Seandainya pada suatu masa langit dapat diukur dan asas bumi dapat diterokai, pada masa itulah Aku akan menolak semua keturunan Israel kerana segala perbuatan mereka,’ firman Yehuwa.”+

38 “Lihatlah! Masanya akan tiba,” firman Yehuwa, “apabila kota itu akan dibina+ bagi Yehuwa, dari Menara Hananel+ sampai ke Pintu Gerbang Sudut.+ 39 Tali pengukur akan direntangkan+ sampai ke Bukit Gareb lalu membelok ke Goa. 40 Seluruh lembah,* iaitu tempat mayat dan abu* dibuang, dan semua padang sejauh Lembah Kidron,+ sampai ke penjuru Pintu Gerbang Kuda+ di sebelah timur, akan menjadi sesuatu yang suci bagi Yehuwa.+ Semuanya tidak akan dicabut atau dirobohkan lagi.”

32 Pada tahun ke-10 pemerintahan Raja Zedekia dari Yehuda, iaitu pada tahun ke-18 pemerintahan Nebukadnezar,+ Yeremia menerima perkhabaran daripada Yehuwa. 2 Pada waktu itu, tentera raja Babilon sedang mengepung Yerusalem, dan Nabi Yeremia ditahan di Halaman Pengawal+ di dalam istana raja Yehuda. 3 Raja Zedekia dari Yehuda telah mengurung nabi itu+ dan berkata kepadanya, “Mengapakah kamu menubuatkan hal-hal ini? Kamu berkata, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku akan menyerahkan kota ini ke dalam tangan raja Babilon, dan raja itu akan menawan kota ini.+ 4 Zedekia, raja Yehuda, tidak akan dapat melarikan diri daripada orang Kasdim. Dia akan diserahkan ke dalam tangan raja Babilon. Dia akan bersemuka dengan raja itu dan bercakap dengannya.”’+ 5 ‘Raja itu akan membawa Zedekia ke Babilon, dan Zedekia akan tinggal di sana sampai Aku menghalakan perhatian-Ku kepadanya,’ firman Yehuwa. ‘Meskipun kamu terus melawan orang Kasdim, kamu tidak akan berjaya.’”+

6 Yeremia berkata, “Yehuwa telah berfirman kepadaku, 7 ‘Hanamel, iaitu anak lelaki bapa saudaramu* Salum, akan datang kepadamu dan berkata, “Belilah tanahku di Anatot,+ kerana kamulah yang paling berhak untuk membelinya kembali.”’”+

8 Hanamel, iaitu anak lelaki bapa saudaraku, datang kepadaku, seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa. Dia berjumpa dengan aku di Halaman Pengawal dan berkata, “Tolonglah beli tanahku di Anatot yang terletak di negeri Benyamin, kerana kamulah yang berhak memiliki tanah itu dan membelinya kembali. Belilah tanah itu untuk dirimu.” Demikianlah aku tahu bahawa Yehuwa benar-benar telah berfirman kepadaku.

9 Oleh itu, aku membeli tanah itu daripada Hanamel. Aku menimbang wang+ sebanyak 7 syekel* dan 10 keping wang perak sebagai bayaran. 10 Aku mencatatkannya dalam surat pembelian,+ memeterai surat itu, memanggil beberapa orang saksi,+ dan menimbang wang itu dengan neraca. 11 Aku mengambil surat pembelian itu, yang telah dimeterai menurut hukum dan undang-undang, dan aku juga mengambil salinan surat yang tidak dimeterai. 12 Kemudian aku memberikan surat-surat itu kepada Barukh+ anak Neria,+ cucu Mahseya, di hadapan Hanamel, iaitu anak lelaki bapa saudaraku. Semua saksi yang telah menandatangani surat itu dan semua orang Yahudi yang sedang duduk di Halaman Pengawal juga melihat hal ini.+

13 Di hadapan mereka, aku memberikan perintah kepada Barukh dan berkata, 14 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Ambillah surat-surat itu, iaitu surat pembelian yang telah dimeterai dan salinan surat yang tidak dimeterai. Kemudian masukkanlah kedua-dua surat itu ke dalam sebuah bekas tanah liat supaya surat-surat itu dapat disimpan buat masa yang lama.’ 15 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Rumah, ladang, dan kebun anggur akan dibeli lagi di negeri ini.’”+

16 Selepas aku menyerahkan surat pembelian itu kepada Barukh anak Neria, aku berdoa kepada Yehuwa, 17 “Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkau telah menciptakan langit dan bumi dengan kekuatan-Mu dan kuasa-Mu yang menakjubkan.+ Tiada apa-apa yang terlalu sukar bagi-Mu. 18 Engkau menunjukkan kasih setia kepada ribuan orang, tetapi Engkau juga membiarkan anak-anak menderita kerana dosa bapa mereka.+ Engkau Tuhan yang benar, yang agung dan perkasa. Nama-Mu ialah Yehuwa, ketua angkatan syurga. 19 Engkau pandai memberikan nasihat* dan melakukan perbuatan yang hebat.+ Mata-Mu memerhatikan semua orang+ supaya Engkau dapat memperlakukan setiap orang menurut tingkah lakunya dan setimpal dengan perbuatannya.+ 20 Engkau telah melakukan banyak mukjizat dan perkara yang menakjubkan di Mesir, dan sampai sekarang pun orang mengetahuinya. Demikianlah Engkau membuat nama-Mu masyhur dalam kalangan orang Israel dan semua bangsa yang lain,+ sehingga hari ini. 21 Engkau membawa umat-Mu keluar dari Mesir dengan tangan-Mu yang kuat dan perkasa. Engkau melakukan banyak mukjizat dan perkara yang menakjubkan serta perbuatan yang dahsyat.+

22 “Kemudian Engkau memberi mereka tanah ini yang telah Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka,+ iaitu tanah yang melimpah dengan susu dan madu.+ 23 Tetapi selepas mereka datang ke tanah ini dan mendudukinya, mereka tidak mendengar firman-Mu atau hidup menurut hukum-Mu. Mereka tidak melakukan satu pun daripada perintah-Mu. Oleh itu, Engkau menyebabkan semua bencana ini menimpa mereka.+ 24 Lihatlah! Orang sudah membuat timbunan tanah untuk mengepung kota ini.+ Kerana serangan pedang,+ kebuluran, dan wabak penyakit,+ kota ini pasti akan jatuh ke dalam tangan orang Kasdim yang menyerangnya. Apa yang Engkau firmankan telah menjadi kenyataan, seperti yang Engkau lihat sekarang. 25 Tetapi ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Engkau telah berfirman kepadaku, ‘Belilah tanah ini dengan wangmu dan panggillah beberapa orang saksi,’ meskipun kota ini akan diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim.”

26 Selepas itu, Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 27 “Akulah Yehuwa, Tuhan segenap manusia. Tiada apa-apa pun yang terlalu sukar bagi-Ku. 28 Maka inilah firman Aku, Yehuwa: ‘Aku akan menyerahkan kota ini kepada orang Kasdim dan kepada Nebukadnezar, raja Babilon. Raja itu akan menawan kota ini.+ 29 Orang Kasdim yang menyerang kota ini akan masuk dan membakar kota ini sehingga semuanya hangus,+ termasuk rumah orang yang membangkitkan kemarahan-Ku dengan mempersembahkan korban kepada Baal dan mempersembahkan wain kepada tuhan-tuhan lain di atas bumbung rumah mereka.’+

30 “‘Hal ini demikian kerana orang Israel dan Yehuda telah melakukan apa yang jahat di mata-Ku sejak masa muda mereka.+ Orang Israel asyik membangkitkan kemarahan-Ku dengan perbuatan mereka,’ firman Yehuwa. 31 ‘Sejak kota ini didirikan sehingga hari ini, penduduknya sentiasa membuat Aku marah dan murka.+ Maka kota ini harus dilenyapkan dari hadapan-Ku.+ 32 Orang Israel dan Yehuda, termasuk raja-raja,+ para pemimpin,+ para imam, dan nabi-nabi mereka+ serta semua penduduk Yehuda dan Yerusalem, telah melakukan apa yang jahat dan membuat Aku marah. 33 Mereka asyik berpaling daripada-Ku dan enggan menghadap-Ku.+ Meskipun Aku mencuba mengajar mereka berkali-kali, tiada seorang pun yang ingin mendengar dan menerima disiplin.+ 34 Malah mereka menajiskan rumah yang dibina untuk nama-Ku dengan meletakkan patung-patung berhala yang menjijikkan di dalam rumah itu.+ 35 Mereka telah membina tempat-tempat ibadat untuk Baal di Lembah Hinom*+ supaya mereka dapat membakar anak-anak mereka di dalam api sebagai korban kepada Molekh,+ padahal Aku tidak pernah menyuruh mereka berbuat demikian. Bahkan tidak pernah terlintas dalam fikiran-Ku* untuk menyuruh mereka melakukan perkara yang begitu menjijikkan itu,+ yang menyebabkan Yehuda berdosa.’

36 “Kamu telah berkata bahawa serangan pedang, kebuluran, dan wabak penyakit akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan raja Babilon. Maka inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, berkenaan kota ini: 37 ‘Aku akan mengumpulkan mereka dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Biarpun Aku marah, berang, dan sangat murka terhadap mereka,+ Aku masih akan membawa mereka pulang ke tempat ini dan membiarkan mereka hidup dengan aman.+ 38 Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku akan menjadi Tuhan mereka.+ 39 Aku akan memberi mereka satu hati+ dan satu haluan, supaya mereka akan sentiasa takut dan hormat kepada-Ku, demi kebaikan mereka dan keturunan mereka.+ 40 Aku akan membuat perjanjian yang kekal dengan mereka,+ dan Aku akan sentiasa melakukan hal-hal yang baik untuk mereka.+ Aku akan membuat mereka takut dan hormat kepada-Ku supaya mereka tidak akan berpaling daripada-Ku.+ 41 Dengan penuh sukacita, Aku akan berbuat baik terhadap mereka.+ Dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa, Aku akan membuat mereka menjadi penduduk tetap di tanah ini.’”+

42 “Inilah firman Yehuwa: ‘Sebagaimana Aku telah mendatangkan semua bencana yang dahsyat atas umat ini, demikian juga Aku akan mendatangkan hal-hal baik* yang Aku janjikan kepada mereka.+ 43 Ladang akan dibeli lagi di negeri ini,+ walaupun kamu berkata, “Tanah ini tandus dan tidak didiami manusia dan haiwan. Tanah ini telah diserahkan kepada orang Kasdim.”’

44 “‘Ladang akan dibeli dengan duit, surat-surat pembelian akan dicatatkan dan dimeterai, dan saksi-saksi akan dipanggil. Hal ini akan berlaku di negeri Benyamin,+ di kawasan sekitar Yerusalem, di kota-kota Yehuda,+ di kota-kota yang terletak di kawasan pergunungan, di kota-kota yang terletak di kawasan dataran rendah,+ dan di kota-kota yang terletak di sebelah selatan, kerana Aku akan membawa pulang orang yang telah ditawan,’+ firman Yehuwa.”

33 Semasa Yeremia masih ditahan di Halaman Pengawal,+ Yehuwa menyampaikan perkhabaran kepadanya buat kali kedua: 2 “Inilah firman Yehuwa yang telah menciptakan bumi dan mengukuhkannya. Ya, Dialah Pencipta bumi, dan nama-Nya ialah Yehuwa. Inilah firman Yehuwa: 3 ‘Berserulah kepada-Ku, dan Aku akan menjawabmu. Aku pasti akan memberitahu engkau perkara-perkara yang tidak engkau ketahui. Aku akan memberitahu engkau banyak perkara yang hebat dan susah difahami.’”+

4 “Aku, Yehuwa, Tuhan orang Israel, berfirman tentang rumah-rumah di kota ini dan istana-istana raja Yehuda yang telah dirobohkan akibat pengepungan dan serangan pedang.+ 5 Aku juga berfirman tentang orang yang datang untuk melawan orang Kasdim, dan yang memenuhi tempat-tempat ini dengan mayat-mayat orang yang telah Aku bunuh, ketika Aku marah dan berang. Kejahatan mereka telah membuat Aku memalingkan muka-Ku daripada kota ini. Inilah firman-Ku: 6 ‘Aku akan memulihkan dan menyembuhkan kota ini.+ Aku akan mengubati mereka, dan memberikan kedamaian dan keamanan yang berlimpah-limpah kepada mereka.+ 7 Aku akan membawa pulang orang Yehuda dan Israel yang telah ditawan,+ dan Aku akan membangun mereka supaya keadaan mereka kembali seperti dahulukala.+ 8 Aku akan menyucikan mereka daripada semua dosa dan kesilapan yang dilakukan oleh mereka terhadap-Ku.+ Aku akan mengampunkan semua kesalahan, kesilapan, dan dosa yang telah dilakukan oleh mereka terhadap-Ku.+ 9 Aku akan bersukacita apabila mendengar nama kota ini disebut. Kota ini akan menjadi pujian dan keindahan-Ku di hadapan semua bangsa di bumi. Mereka akan mendengar tentang hal-hal baik yang telah Aku lakukan untuk kota ini.+ Ya, mereka akan berasa takut dan gentar+ kerana semua kebaikan dan kedamaian yang akan Aku curahkan ke atasnya.’”+

10 “Inilah firman Yehuwa: ‘Kamu mengatakan bahawa tempat ini ialah tanah tandus yang tidak didiami manusia atau ternakan. Kamu juga mengatakan bahawa kota-kota Yehuda dan jalan-jalan Yerusalem sunyi, dan tiada orang, penduduk, atau ternakan di situ. Tetapi di tempat-tempat ini akan kedengaran lagi 11 suara kegembiraan, suara sukacita,+ suara pengantin lelaki, suara pengantin perempuan, dan suara orang yang berkata, “Bersyukurlah kepada Yehuwa, ketua angkatan syurga, kerana Yehuwa baik.+ Kasih setia-Nya kekal abadi!”’+

“‘Mereka akan membawa korban kesyukuran ke Rumah Yehuwa,+ kerana Aku akan membawa balik penduduk negeri ini yang telah ditawan, dan keadaan mereka akan kembali seperti dahulukala,’ firman Yehuwa.”

12 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Di tanah tandus ini, yang tidak didiami manusia atau ternakan, dan di semua kota di tanah ini, akan ada lagi padang rumput, tempat gembala membawa kawanan mereka untuk berehat.’+

13 “‘Di kota-kota yang terletak di kawasan pergunungan, di kota-kota yang terletak di kawasan dataran rendah, di kota-kota yang terletak di sebelah selatan, di negeri Benyamin, di kawasan sekitar Yerusalem,+ dan di kota-kota Yehuda,+ akan ada lagi para gembala yang mengira biri-biri mereka,’ firman Yehuwa.”

14 “‘Lihatlah! Masanya akan tiba,’ firman Yehuwa, ‘apabila Aku akan menunaikan janji yang telah Aku buat berkenaan keturunan Israel dan keturunan Yehuda.+ 15 Pada waktu itu, Aku akan membuat tunas yang baik bertumbuh bagi* Daud,+ dan dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran di negeri ini.+ 16 Pada waktu itu, Yehuda akan diselamatkan+ dan Yerusalem akan hidup dengan aman.+ Kota ini akan dinamakan Yehuwa ialah Keadilan Kita.’”+

17 “Inilah firman Yehuwa: ‘Salah seorang daripada keturunan Daud akan sentiasa duduk di atas takhta Israel.+ 18 Selain itu, salah seorang imam daripada keturunan Lewi akan sentiasa berdiri di hadapan-Ku untuk membakar korban bijirin dan mempersembahkan korban bakar dan korban-korban lain.’”

19 Yehuwa berfirman lagi kepada Yeremia, 20 “Inilah firman Yehuwa: ‘Aku telah membuat perjanjian dengan siang dan malam supaya siang dan malam selalu datang tepat pada waktunya. Tetapi andai kata kamu dapat membatalkan perjanjian ini,+ 21 maka perjanjian yang Aku buat dengan hamba-Ku Daud juga dapat dibatalkan.+ Jika begitu, keturunan Daud tidak akan menjadi raja dan duduk di atas takhtanya,+ dan perjanjian-Ku dengan hamba-hamba-Ku, iaitu para imam daripada keturunan Lewi, juga akan dibatalkan.+ 22 Aku akan melipatgandakan bilangan keturunan hamba-Ku Daud dan orang Lewi yang berkhidmat kepada-Ku sehingga jumlah mereka tidak dapat dihitung, seperti pasir di pantai dan segala sesuatu yang ada di langit.’”

23 Yehuwa berfirman lagi kepada Yeremia, 24 “Adakah engkau tahu bahawa umat ini sedang berkata, ‘Yehuwa akan menolak kedua-dua keluarga yang telah dipilih-Nya’? Mereka tidak menghormati umat-Ku dan tidak lagi menganggap mereka sebagai sebuah bangsa.

25 “Inilah firman Yehuwa: ‘Sebagaimana perjanjian-Ku dengan siang dan malam+ dan hukum-Ku bagi langit dan bumi tidak dapat dibatalkan,+ 26 demikian juga Aku tidak akan menolak keturunan Yakub dan keturunan hamba-Ku Daud. Aku akan memastikan bahawa keturunannya akan sentiasa memerintah keturunan Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan mengumpulkan semula mereka yang telah ditawan+ dan menunjukkan belas kasihan kepada mereka.’”+

34 Yeremia menerima perkhabaran daripada Yehuwa ketika Nebukadnezar, raja Babilon, dan semua angkatan perangnya menyerang Yerusalem dan kota-kota di sekitarnya. Raja itu disertai semua kerajaan di bumi yang takluk kepadanya dan orang daripada bangsa-bangsa lain. Inilah perkhabaran itu:+

2 “Yehuwa, Tuhan orang Israel, berfirman, ‘Pergilah menghadap Zedekia,+ raja Yehuda, dan beritahulah dia, “Inilah firman Yehuwa: ‘Aku akan menyerahkan kota ini ke dalam tangan raja Babilon, dan raja itu akan membakarnya dengan api.+ 3 Engkau tidak akan dapat melarikan diri daripada raja itu. Engkau pasti akan ditangkap dan diserahkan kepadanya.+ Ya, engkau pasti akan pergi ke Babilon, dan engkau akan bersemuka dengan raja Babilon dan bercakap dengannya.’+ 4 Tetapi dengarlah firman Yehuwa, hai Raja Zedekia dari Yehuda, ‘Inilah firman Yehuwa berkenaanmu: “Engkau tidak akan dibunuh dengan pedang. 5 Sebaliknya, engkau akan mati dengan tenteram.+ Rakyat akan menyalakan unggun api untuk menghormatimu, sebagaimana yang telah dilakukan bagi nenek moyangmu, iaitu raja-raja sebelummu. Mereka akan meratapimu dan berkata, ‘Aduhai, tuanku!’ kerana ‘Aku telah mengatakannya,’ firman Yehuwa.”’”’”

6 Kemudian Nabi Yeremia menyampaikan segala-galanya kepada Raja Zedekia di Yerusalem. 7 Pada waktu itu, angkatan tentera raja Babilon sedang menyerang Yerusalem dan semua kota Yehuda yang masih belum ditawan,+ iaitu kota Lakhis+ dan kota Azeka,+ dua buah kota berkubu yang masih bertahan di Yehuda.

8 Yeremia menerima perkhabaran daripada Yehuwa setelah Raja Zedekia membuat perjanjian dengan semua orang di Yerusalem untuk membebaskan hamba abdi mereka.+ 9 Setiap orang harus membebaskan orang Ibrani yang menjadi hamba mereka, baik lelaki mahupun perempuan, supaya tiada orang Yahudi yang memperhamba orang yang sebangsa dengannya. 10 Semua pemimpin dan rakyat bersetuju untuk berbuat demikian. Mereka membuat perjanjian dan bersetuju bahawa setiap orang harus membebaskan hamba lelaki dan hamba perempuan mereka, dan tidak sekali-kali akan memperhamba mereka lagi. Demikianlah semua orang mematuhi perintah raja dan membebaskan hamba mereka. 11 Tetapi kemudian mereka mengambil kembali hamba lelaki dan hamba perempuan yang telah dibebaskan itu, dan memaksa mereka menjadi hamba semula. 12 Maka Yehuwa berfirman kepada Yeremia. Inilah firman Yehuwa:

13 “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Aku telah membuat perjanjian dengan nenek moyang kamu+ pada hari Aku membawa mereka keluar dari Mesir, tempat mereka diperhamba.+ Aku memberitahu mereka, 14 “Jika seorang Ibrani dijual kepada kamu sebagai hamba, kamu mesti membebaskan dia selepas dia bekerja bagi kamu selama enam tahun. Kamu mesti membebaskan saudara kamu itu pada tahun yang ketujuh.”*+ Tetapi nenek moyang kamu menutup telinga dan tidak mahu mendengarkan Aku. 15 Baru-baru ini,* kamu mengubah haluan dan melakukan apa yang baik di mata-Ku dengan membebaskan orang yang sebangsa dengan kamu daripada perhambaan. Kamu telah membuat perjanjian di hadapan-Ku di rumah yang dibina untuk nama-Ku. 16 Tetapi kemudian kamu mengubah haluan lagi dan menghina nama-Ku.+ Kamu mengambil kembali hamba lelaki dan hamba perempuan yang telah kamu bebaskan menurut kehendak mereka, dan memaksa mereka menjadi hamba semula.’

17 “Maka Yehuwa berfirman, ‘Kamu tidak mematuhi Aku dan kamu tidak membebaskan saudara kamu dan orang yang sebangsa dengan kamu daripada perhambaan.+ Jadi sekarang Aku akan memberi kamu kebebasan,’ firman Yehuwa, ‘ya, kamu akan mendapat kebebasan apabila kamu mati kerana kebuluran, pedang, dan wabak penyakit.+ Aku akan menyebabkan semua kerajaan di bumi menjadi takut setelah melihat apa yang menimpa kamu.+ 18 Inilah hal yang akan berlaku kepada orang yang melanggar perjanjian-Ku. Meskipun mereka telah memotong seekor anak lembu menjadi dua lalu berjalan di antara dua belahan daging itu,* mereka masih tidak memenuhi syarat-syarat perjanjian yang telah dibuat oleh mereka di hadapan-Ku.+ 19 Ya, para pemimpin Yehuda, para pemimpin Yerusalem, pegawai-pegawai istana, para imam, dan semua penduduk negeri itu telah berjalan di antara dua belahan lembu itu. 20 Maka Aku akan menyerahkan mereka semua ke dalam tangan musuh-musuh mereka yang ingin membunuh mereka. Mayat mereka akan dimakan oleh burung di langit dan binatang liar di bumi.+ 21 Aku akan menyerahkan Zedekia, iaitu raja Yehuda, dan para pemimpinnya ke dalam tangan musuh-musuh mereka yang ingin membunuh mereka, dan ke dalam tangan tentera raja Babilon+ yang sedang berundur daripada kamu.’+

22 “‘Aku akan mengeluarkan perintah,’ firman Yehuwa, ‘dan Aku akan membawa mereka kembali ke kota ini. Mereka akan menyerang kota ini, menawannya, dan membakarnya dengan api.+ Aku akan membuat kota-kota Yehuda menjadi tempat tandus yang tidak berpenduduk.’”+

35 Pada zaman pemerintahan Yehoyakim+ anak Yosia, raja Yehuda, Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 2 “Pergilah ke rumah-rumah orang Rekhab+ dan bercakaplah dengan mereka. Kemudian bawalah mereka ke salah sebuah bilik makan* di Rumah Yehuwa, lalu jemputlah mereka untuk minum wain.”

3 Oleh itu, aku membawa Yazania anak Yeremia, cucu Habazinia, bersama saudara-saudara lelakinya, semua anak lelakinya, dan seluruh keluarga Rekhab 4 ke Rumah Yehuwa. Aku membawa mereka ke bilik makan Hanan anak Igdalia, seorang hamba Tuhan yang benar. Bilik itu terletak di sebelah bilik makan para pemimpin, iaitu di atas bilik makan Maaseya anak Salum, penjaga pintu itu. 5 Kemudian aku meletakkan beberapa buah bekas dan cawan yang berisi wain di hadapan orang Rekhab itu. Aku berkata kepada mereka, “Sila minum wain ini.”

6 Tetapi mereka berkata, “Kami tidak minum wain kerana Yehonadab*+ anak Rekhab, iaitu nenek moyang kami, telah memberikan perintah ini kepada kami: ‘Kamu dan keturunan kamu sama sekali tidak boleh minum wain. 7 Kamu tidak boleh membina rumah, menyemai benih, dan mengusahakan atau memiliki kebun anggur. Sebaliknya, kamu hanya boleh tinggal di dalam khemah supaya kamu dapat hidup lama di tanah ini sebagai orang asing.’ 8 Maka kami mematuhi semua perintah Yehonadab anak Rekhab, nenek moyang kami. Kami, isteri kami, dan anak-anak kami tidak pernah minum wain. 9 Kami juga tidak membina rumah dan mendiaminya. Kami tidak memiliki kebun anggur dan ladang, dan kami tidak menyemai benih. 10 Kami terus tinggal di dalam khemah dan mematuhi apa sahaja yang telah diperintahkan oleh Yehonadab,* nenek moyang kami. 11 Tetapi apabila Raja Nebukadnezar dari Babilon menyerang negeri ini,+ kami berkata, ‘Marilah kita pergi ke Yerusalem untuk melarikan diri daripada tentera orang Kasdim dan orang Siria.’ Itulah sebabnya kami tinggal di Yerusalem sekarang.”

12 Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 13 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Pergilah dan katakanlah kepada orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, “Bukankah Aku selalu menyuruh kamu untuk mematuhi firman-Ku?”+ firman Yehuwa. 14 “Yehonadab anak Rekhab menyuruh keturunannya untuk tidak minum wain, dan mereka mematuhi perintahnya sehingga hari ini. Ya, mereka mematuhi perintah nenek moyang mereka.+ Kamu pula tidak pernah mematuhi Aku biarpun Aku telah berfirman kepada kamu berkali-kali.+ 15 Aku selalu mengutus semua hamba-Ku, iaitu para nabi, kepada kamu. Aku berkali-kali menyuruh mereka berkata kepada kamu,+ ‘Berbaliklah daripada haluan kamu yang jahat,+ dan buatlah apa yang baik! Janganlah pergi kepada tuhan-tuhan lain dan menyembah tuhan-tuhan itu, agar kamu dapat terus menetap di negeri yang telah Aku berikan kepada kamu dan nenek moyang kamu.’+ Tetapi kamu menutup telinga kamu dan tidak mahu mendengar. 16 Keturunan Yehonadab anak Rekhab telah mematuhi perintah nenek moyang mereka,+ tetapi kamu* tidak mendengar firman-Ku.”’”

17 “Maka inilah firman Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan mendatangkan semua malapetaka atas Yehuda dan semua penduduk Yerusalem, seperti yang telah Aku firmankan. Aku telah memberikan amaran kepada mereka,+ tetapi mereka tidak mahu mendengar. Aku telah memanggil mereka berkali-kali, tetapi mereka tidak menjawab.’”+

18 Yeremia berkata kepada seluruh keluarga Rekhab, “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Kamu telah mematuhi perintah Yehonadab, nenek moyang kamu, dan kamu terus melakukan semua yang telah diperintahkan olehnya kepada kamu. Oleh itu, 19 inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Salah seorang daripada keturunan Yehonadab* anak Rekhab akan sentiasa berkhidmat di hadapan-Ku.”’”

36 Pada tahun keempat pemerintahan Yehoyakim+ anak Yosia, raja Yehuda, Yehuwa berfirman kepada Yeremia, 2 “Ambillah sebuah gulungan dan tuliskanlah segala yang telah Aku firmankan kepadamu tentang Israel, Yehuda,+ dan semua bangsa.+ Tuliskanlah segala yang telah Aku beritahu engkau sejak Aku berfirman kepadamu buat kali pertama pada zaman Yosia sehingga hari ini.+ 3 Bangsa Yehuda mungkin akan berpaling daripada haluan mereka yang jahat apabila mereka mendengar tentang semua malapetaka yang akan Aku datangkan atas mereka. Jika demikian, Aku akan mengampunkan kesalahan dan dosa mereka.”+

4 Oleh itu, Yeremia memanggil Barukh+ anak Neria dan memberitahu Barukh segala firman Yehuwa, supaya dia dapat menulis semuanya dalam gulungan itu.+ 5 Kemudian Yeremia memberikan perintah kepada Barukh, “Aku ditahan dan tidak dapat masuk ke dalam Rumah Yehuwa. 6 Aku telah memberitahu kamu semua firman Yehuwa dan kamu telah menulisnya dalam gulungan ini. Sekarang pergilah ke Rumah Yehuwa pada hari orang berpuasa, lalu bacakanlah gulungan ini dengan suara yang lantang kepada semua orang Yehuda yang datang dari kota-kota mereka. 7 Mudah-mudahan permohonan mereka akan didengari Yehuwa, dan mereka mahu berpaling daripada haluan mereka yang jahat, kerana Yehuwa telah menyatakan bahawa Dia akan melampiaskan kemarahan dan kemurkaan-Nya atas bangsa ini.”

8 Maka Barukh anak Neria melakukan semua yang diperintahkan oleh Nabi Yeremia. Dia pergi ke Rumah Yehuwa dan membaca firman Yehuwa yang tercatat dalam gulungan itu dengan suara yang lantang.+

9 Pada bulan kesembilan dalam tahun kelima pemerintahan Yehoyakim+ anak Yosia sebagai raja Yehuda, semua orang di Yerusalem dan semua orang yang pergi ke sana dari kota-kota Yehuda berpuasa di hadapan Yehuwa.+ 10 Barukh membacakan kata-kata Yeremia yang tercatat dalam gulungan itu kepada semua orang di Rumah Yehuwa, iaitu di bilik* Gemaria+ anak Safan,+ seorang jurutulis.* Bilik itu terletak di halaman atas, dekat pintu masuk baharu di Rumah Yehuwa.+

11 Apabila Mikhaya anak Gemaria, cucu Safan, mendengar segala firman Yehuwa yang tertulis dalam gulungan itu, 12 dia pergi ke bilik setiausaha di dalam istana. Semua pemimpin* sedang duduk di dalam bilik itu. Elisama,+ iaitu setiausaha, Delaya anak Semaya, Elnatan+ anak Akhbor,+ Gemaria anak Safan, Zedekia anak Hanania, dan semua pemimpin yang lain ada di situ. 13 Mikhaya memberitahu mereka segala yang didengarnya ketika Barukh membacakan gulungan itu kepada rakyat.

14 Kemudian semua pemimpin mengutus Yehudi anak Netania, iaitu cucu Syelemia anak Kushi, kepada Barukh dengan pesanan, “Bawalah gulungan yang kamu bacakan kepada rakyat, dan datanglah kepada kami.” Barukh anak Neria mengambil gulungan itu dan pergi kepada mereka. 15 Mereka berkata, “Sila duduk, dan bacakanlah gulungan itu kepada kami.” Barukh pun membacakannya.

16 Sebaik sahaja mereka mendengar apa yang dibacakan, mereka memandang satu sama lain dengan cemas. Mereka berkata kepada Barukh, “Kami mesti memberitahukan hal ini kepada raja.” 17 Mereka bertanya kepada Barukh, “Beritahulah kami, bagaimana kamu dapat menulis semua ini? Adakah Yeremia menyuruh kamu mencatatkan semua ini?” 18 Barukh menjawab, “Ya, dia memberitahu aku semua ini dengan mulutnya sendiri, lalu aku mencatatkannya dengan dakwat pada gulungan ini.” 19 Mereka berkata kepada Barukh, “Pergilah! Kamu dan Yeremia harus bersembunyi. Jangan biar sesiapa pun mengetahui tempat persembunyian kamu.”+

20 Mereka meletakkan gulungan itu di bilik Elisama, setiausaha itu. Kemudian mereka menghadap raja di halaman dan memberitahu raja segala yang didengar oleh mereka.

21 Raja menyuruh Yehudi+ mengambil gulungan itu dari bilik Elisama, setiausaha itu. Yehudi mula membacakan gulungan itu kepada raja dan semua pemimpin yang sedang berdiri di sebelah raja. 22 Waktu itu ialah bulan yang kesembilan,* dan raja sedang duduk di istana musim sejuk. Di hadapan raja, terdapat api yang sedang bernyala di perapian. 23 Setelah Yehudi selesai membaca tiga atau empat lajur, raja memotong bahagian itu dengan pisau* dan membuangnya ke dalam perapian untuk dibakar. Raja terus melakukan hal itu sampai seluruh gulungan itu dibakar. 24 Meskipun gulungan itu sudah dibaca, raja dan para pegawainya tidak takut dan tidak mengoyakkan jubah mereka. 25 Elnatan,+ Delaya,+ dan Gemaria+ merayu kepada raja agar gulungan itu tidak dibakar, tetapi raja tidak mempedulikan mereka. 26 Selain itu, raja menyuruh Yerahmeel, iaitu anak raja, Serayah anak Azriel, dan Syelemia anak Abdeel untuk menangkap Barukh, setiausaha itu, dan Nabi Yeremia. Tetapi Yehuwa telah menyembunyikan mereka berdua.+

27 Selepas raja membakar seluruh gulungan yang mengandungi kata-kata Yeremia yang ditulis oleh Barukh,+ Yehuwa berfirman lagi kepada Yeremia, 28 “Ambillah satu lagi gulungan dan tuliskan semula segala isi gulungan yang pertama itu, iaitu gulungan yang telah dibakar oleh Yehoyakim, raja Yehuda.+ 29 Katakanlah kepada Yehoyakim, raja Yehuda, ‘Inilah firman Yehuwa: “Engkau telah membakar gulungan itu dan berkata, ‘Mengapakah kamu menulis bahawa raja Babilon pasti akan menyerang negeri ini sehingga tiada manusia dan binatang di negeri ini?’+ 30 Maka inilah firman Yehuwa tentang Yehoyakim, raja Yehuda: ‘Tiada seorang pun daripada keturunannya yang akan duduk di atas takhta Daud.+ Mayatnya akan dibiarkan terdedah kepada panas pada waktu siang dan sejuk pada waktu malam.+ 31 Aku akan meminta dia, keturunannya, dan para pegawainya untuk bertanggungjawab atas kesalahan mereka. Aku akan mendatangkan semua malapetaka atas mereka, penduduk Yerusalem, dan orang Yehuda, seperti yang telah Aku firmankan,+ kerana mereka tidak mahu mendengar.’”’”+

32 Oleh itu, Yeremia mengambil satu lagi gulungan dan memberikannya kepada Barukh anak Neria, setiausaha itu.+ Kemudian dia memberitahu Barukh sekali lagi semua yang tertulis dalam gulungan pertama yang telah dibakar oleh Yehoyakim, raja Yehuda.+ Barukh menuliskan semuanya dalam gulungan itu, dan banyak lagi kata-kata lain yang serupa ditambahkan ke dalam gulungan itu.

37 Raja Zedekia+ anak Yosia mula memerintah. Dia menggantikan Konia*+ anak Yehoyakim kerana Nebukadnezar, raja Babilon, telah melantik dia untuk menjadi raja Yehuda.+ 2 Tetapi dia, para pegawainya, dan rakyat di negerinya tidak mendengar firman Yehuwa yang telah disampaikan oleh Nabi Yeremia.

3 Raja Zedekia mengutus Yehukal+ anak Syelemia dan Zefanya+ anak Maaseya, iaitu seorang imam, kepada Nabi Yeremia dengan pesanan, “Berdoalah kepada Yehuwa, Tuhan kita, bagi pihak kami.” 4 Yeremia masih bebas bergerak dalam kalangan rakyat kerana dia belum dipenjarakan.+ 5 Pada waktu itu, orang Kasdim sedang mengepung Yerusalem. Tetapi apabila mereka mendengar bahawa angkatan tentera Firaun telah bertolak dari Mesir,+ mereka pun berundur dari Yerusalem.+ 6 Kemudian Nabi Yeremia mendapat perkhabaran daripada Yehuwa, 7 “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Katakanlah kepada raja Yehuda yang mengutus kamu kepada-Ku untuk meminta petunjuk, “Lihatlah! Angkatan tentera Firaun yang datang untuk membantu kamu akan pulang ke Mesir, negeri mereka.+ 8 Orang Kasdim akan kembali dan menyerang kota ini. Mereka akan menawan kota ini lalu membakarnya dengan api.”+ 9 Inilah firman Yehuwa: “Janganlah menipu diri kamu sendiri dengan berkata, ‘Orang Kasdim pasti tidak akan kembali,’ kerana mereka pasti akan kembali. 10 Biarpun kamu berjaya menumpaskan seluruh angkatan tentera Kasdim yang sedang menyerang kamu, sehingga yang tinggal hanya orang yang luka dalam kalangan mereka, mereka masih akan bangkit dari khemah mereka dan membakar kota ini dengan api.”’”+

11 Apabila tentera Kasdim telah berundur dari Yerusalem kerana tentera Firaun,+ 12 Yeremia meninggalkan Yerusalem dan pergi ke negeri Benyamin+ untuk menerima warisan daripada bangsanya. 13 Tetapi apabila Yeremia sampai di Pintu Gerbang Benyamin, ketua pengawal yang bernama Iriya anak Syelemia, cucu Hanania, menangkap Yeremia dan berkata kepadanya, “Engkau mahu membelot dan lari kepada orang Kasdim!” 14 Tetapi Yeremia berkata, “Tidak! Aku tidak membelot.” Tetapi Iriya tidak mahu mendengar kata-katanya. Dia menangkap Yeremia dan membawanya kepada para pemimpin. 15 Para pemimpin itu sangat marah terhadap Yeremia.+ Mereka memukul Yeremia lalu mengurungnya+ di rumah Yehonatan, seorang setiausaha. Pada waktu itu, rumah Yehonatan telah dijadikan penjara. 16 Yeremia dimasukkan ke dalam sebuah bilik di bawah tanah, dan dia ditahan di sana berhari-hari lamanya.

17 Kemudian Raja Zedekia memanggil Yeremia ke istana dan menyoalnya secara rahsia,+ “Adakah kamu mendapat perkhabaran daripada Yehuwa?” Yeremia menjawab, “Ya!” dan menyambung, “Tuanku akan diserahkan ke dalam tangan raja Babilon!”+

18 Yeremia juga berkata kepada Raja Zedekia, “Apakah kesalahan hamba terhadap tuanku, para pegawai tuanku, dan rakyat tuanku, sehingga tuanku memasukkan hamba ke dalam penjara? 19 Sekarang di manakah nabi-nabi yang bernubuat kepada tuanku dan berkata, ‘Raja Babilon pasti tidak akan menyerang tuanku dan negeri ini’?+ 20 Ya tuanku, dengarlah permintaan hamba, dan kabulkanlah permintaan hamba. Janganlah hantar hamba kembali ke rumah Yehonatan,+ setiausaha itu, kerana hamba akan mati di sana.”+ 21 Oleh itu, Raja Zedekia memberikan perintah agar Yeremia ditahan di Halaman Pengawal.+ Setiap hari, Yeremia diberi sebuku roti yang berbentuk bulat dari tempat membuat roti,*+ sehingga kota itu kehabisan roti.+ Demikianlah Yeremia tinggal di Halaman Pengawal.

38 Shefatiya anak Matan, Gedalia anak Pasyhur, Yukal+ anak Syelemia, dan Pasyhur+ anak Malkia mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Yeremia kepada semua orang. Yeremia berkata, 2 “Inilah firman Yehuwa: ‘Orang yang tinggal di dalam kota ini akan mati dibunuh pedang, kebuluran, dan wabak penyakit.+ Tetapi orang yang menyerah diri kepada orang Kasdim akan terus hidup. Orang itu akan menyelamatkan nyawanya sendiri.’+ 3 Inilah firman Yehuwa: ‘Kota ini pasti akan diserahkan kepada tentera raja Babilon, dan raja itu akan menawan kota ini.’”+

4 Para pemimpin berkata kepada raja, “Tuanku, bunuhlah lelaki ini!+ Dia sedang melemahkan semangat tentera yang masih ada di dalam kota dan semua rakyat yang lain dengan kata-katanya itu. Dia bukannya mahu rakyat hidup dengan damai, sebaliknya dia mahu mereka ditimpa malapetaka.” 5 Raja Zedekia menjawab mereka, “Perlakukanlah dia sesuka hati kamu. Beta tidak dapat menghalang kamu.”

6 Maka mereka menangkap Yeremia dan memasukkannya ke dalam perigi milik Malkia, seorang anak raja. Mereka menurunkan Yeremia ke dalam perigi itu dengan tali. Perigi itu terletak di Halaman Pengawal.+ Di dalam perigi itu, tidak ada air, hanya ada lumpur, dan Yeremia mula tenggelam ke dalam lumpur itu.

7 Di istana, ada seorang sida-sida* berbangsa Etiopia* yang bernama Ebed-melekh.+ Dia mendapat tahu bahawa Yeremia telah dimasukkan ke dalam sebuah perigi. Pada waktu itu, raja sedang duduk di Pintu Gerbang Benyamin.+ 8 Maka Ebed-melekh keluar dari istana dan pergi menghadap raja. Dia berkata, 9 “Tuanku, para pegawai itu telah memasukkan Nabi Yeremia ke dalam perigi. Perbuatan mereka sungguh jahat! Yeremia akan mati kelaparan di situ kerana kota ini sudah kehabisan roti.”+

10 Kemudian raja memberikan perintah kepada Ebed-melekh, orang Etiopia itu, “Bawalah 30 orang lelaki bersamamu. Tariklah Nabi Yeremia keluar dari perigi itu sebelum dia mati.” 11 Ebed-melekh pun membawa 30 orang lelaki bersamanya dan pergi ke istana. Mereka pergi ke sebuah bilik di bawah tempat penyimpanan harta.+ Dari sana, mereka mengambil beberapa helai kain dan pakaian yang lama, lalu menurunkannya kepada Yeremia dengan tali. 12 Kemudian Ebed-melekh, orang Etiopia itu, berkata kepada Yeremia, “Letakkanlah kain-kain dan pakaian itu di bawah ketiakmu sebagai alas.” Yeremia pun berbuat demikian, 13 dan mereka menggunakan tali untuk menarik Yeremia keluar dari perigi itu. Sejak itu, Yeremia tinggal di Halaman Pengawal.+

14 Raja Zedekia memanggil Nabi Yeremia untuk menghadapnya di pintu masuk ketiga, yang terletak di Rumah Yehuwa. Raja berkata, “Beta hendak menanya kamu tentang sesuatu. Jangan sembunyikan apa-apa daripada beta.” 15 Yeremia menjawab Zedekia, “Jika hamba berterus terang dengan tuanku, tuanku pasti akan membunuh hamba. Jika hamba memberikan nasihat kepada tuanku, tuanku tidak akan mendengar.” 16 Oleh itu, Raja Zedekia bersumpah kepada Yeremia secara rahsia. Raja berkata, “Beta bersumpah demi Yehuwa yang hidup, yang memberi kita nyawa, bahawa beta tidak akan membunuhmu, dan beta tidak akan menyerahkan kamu kepada orang yang hendak membunuhmu.”

17 Kemudian Yeremia berkata kepada Zedekia, “Inilah firman Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Jika engkau menyerah diri kepada pegawai-pegawai raja Babilon, engkau akan selamat, dan kota ini tidak akan dibakar dengan api. Engkau dan seisi rumahmu akan terus hidup.+ 18 Tetapi jika engkau enggan menyerah diri kepada pegawai-pegawai raja Babilon, kota ini akan diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim. Mereka akan membakarnya dengan api,+ dan engkau tidak akan terlepas daripada cengkaman mereka.’”+

19 Raja Zedekia pun berkata kepada Yeremia, “Beta takut kepada orang Yahudi yang telah memihak kepada orang Kasdim, kerana jika beta diserahkan kepada mereka, mereka mungkin akan melayan beta dengan kejam.” 20 Tetapi Yeremia berkata, “Tuanku tidak akan diserahkan kepada mereka. Jika tuanku mematuhi firman Yehuwa yang telah hamba sampaikan kepada tuanku, tuanku akan selamat dan terus hidup. 21 Yehuwa telah menunjukkan kepada hamba apa yang akan berlaku jika tuanku enggan menyerah diri: 22 Semua wanita yang masih tinggal di dalam istana raja Yehuda yang dibawa menghadap pegawai-pegawai raja Babilon+ akan berkata,

‘Lelaki-lelaki yang tuanku percayai telah menipu tuanku dan menguasai tuanku.+

Mereka telah menyebabkan kaki tuanku tenggelam di dalam lumpur,

Dan sekarang mereka meninggalkan tuanku dan berundur.’

23 Semua isteri dan anak tuanku akan diserahkan kepada orang Kasdim, dan tuanku tidak akan terlepas daripada cengkaman mereka. Raja Babilon pasti akan menangkap tuanku,+ dan kota ini pasti akan dibakar dengan api kerana tuanku.”+

24 Zedekia berkata kepada Yeremia, “Jangan benarkan sesiapa pun mengetahui hal-hal ini supaya kamu tidak mati. 25 Jika para pemimpin mendengar tentang perbualan kita, mereka akan datang kepadamu dan berkata, ‘Beritahulah kami apa yang telah kamu beritahu raja. Kami tidak akan membunuh kamu jika kamu memberitahu kami segala-galanya.+ Jadi beritahulah kami apa yang telah raja katakan kepadamu!’ 26 Jika hal ini terjadi, jawablah mereka, ‘Aku sedang memohon raja supaya raja tidak menghantar aku kembali ke rumah Yehonatan kerana aku akan mati di sana.’”+

27 Tidak lama kemudian, para pemimpin itu pun datang dan bertanya kepada Yeremia. Dia menjawab mereka tepat seperti yang telah diperintahkan oleh raja. Mereka tidak mengatakan apa-apa lagi kerana tiada sesiapa pun yang mendengar perbualan antara raja dengan Yeremia. 28 Yeremia tinggal di Halaman Pengawal+ sampai hari Yerusalem ditawan. Dia masih ada di sana ketika Yerusalem ditawan.+

39 Pada bulan ke-10 tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia dari Yehuda, Raja Nebukadnezar dari Babilon dan seluruh angkatan tenteranya datang ke Yerusalem dan mengepungnya.+

2 Mereka berjaya menembusi tembok kota itu pada hari kesembilan, bulan keempat, tahun ke-11 pemerintahan Zedekia.+ 3 Semua pegawai raja Babilon masuk ke dalam kota itu dan duduk di Pintu Gerbang Tengah.+ Antara mereka ialah Samgar* Nergal-sarezer, ketua pegawai istana* yang bernama Nebo-sarsekim,* Rabmag* Nergal-sarezer, dan semua pegawai raja Babilon yang lain.

4 Ketika Zedekia, iaitu raja Yehuda, dan semua askarnya nampak apa yang berlaku, mereka melarikan diri.+ Pada malam hari, mereka keluar melalui pintu gerbang di antara dua tembok yang berdekatan taman di istana lalu mengambil jalan yang menuju ke Araba.+ 5 Tetapi tentera Kasdim mengejar mereka dan menemui Zedekia di padang gurun Yerikho.+ Zedekia ditangkap dan dibawa menghadap Nebukadnezar, raja Babilon. Dia dibawa ke Ribla,+ yang terletak di tanah Hamat,+ dan raja Babilon menjatuhkan hukuman atasnya di situ. 6 Di Ribla, raja Babilon membunuh anak-anak lelaki Zedekia di depan mata Zedekia. Raja Babilon juga membunuh semua bangsawan Yehuda.+ 7 Kemudian raja membutakan mata Zedekia dan mengikatnya dengan rantai tembaga lalu membawanya ke Babilon.+

8 Orang Kasdim membakar istana dan rumah-rumah orang,+ dan merobohkan tembok Yerusalem.+ 9 Nebuzaradan,+ iaitu ketua pengawal istana, menawan rakyat yang masih tinggal di kota Yerusalem, orang yang telah membelot dan memihak kepadanya, dan penduduk lain yang masih hidup. Dia membawa mereka semua ke Babilon.

10 Tetapi Nebuzaradan meninggalkan penduduk yang paling miskin di negeri Yehuda, iaitu penduduk yang tidak memiliki apa-apa. Pada hari itu, dia juga memberi mereka kebun anggur dan ladang untuk diusahakan.*+

11 Berkenaan Yeremia, Raja Nebukadnezar dari Babilon memberikan perintah berikut kepada Nebuzaradan, ketua pengawal istana itu: 12 “Bawalah Yeremia, dan jagalah dia. Jangan apa-apakan dia, dan penuhilah segala permintaannya.”+

13 Oleh itu, Nebuzaradan bersama ketua pegawai istana* yang bernama Nebusyazban, Rabmag* Nergal-sarezer, dan semua pembesar raja Babilon menghantar utusan 14 untuk membawa Yeremia keluar dari Halaman Pengawal.+ Kemudian Yeremia diserahkan kepada Gedalia+ anak Ahikam,+ cucu Safan,+ supaya dia dapat tinggal di rumah Gedalia. Demikianlah Yeremia tinggal dalam kalangan rakyat.

15 Ketika Yeremia masih ditahan di Halaman Pengawal,+ Yehuwa berfirman kepadanya, 16 “Pergilah dan beritahulah Ebed-melekh,+ orang Etiopia* itu, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Aku telah berfirman bahawa Aku akan membawa malapetaka atas kota ini, dan bukannya berkat, dan Aku pasti akan melaksanakannya. Pada hari hal ini berlaku, engkau akan menyaksikannya.”’

17 “‘Tetapi Aku akan menyelamatkan engkau pada hari itu,’ firman Yehuwa, ‘dan engkau tidak akan diserahkan kepada orang yang engkau takuti.’

18 “‘Aku pasti akan membuka jalan bagimu untuk melarikan diri, dan engkau tidak akan dibunuh dengan pedang. Engkau pasti akan menyelamatkan nyawamu sendiri+ kerana engkau percaya kepada-Ku,’+ firman Yehuwa.”

40 Yehuwa berfirman kepada Yeremia selepas Nebuzaradan,+ ketua pengawal istana itu, membebaskannya di Rama.+ Tangan Yeremia masih dibelenggu ketika dia dibawa ke situ bersama semua orang dari Yerusalem dan Yehuda yang akan dibuang negeri ke Babilon. 2 Ketua pengawal istana itu membawa Yeremia ke tepi lalu berkata, “Yehuwa, Tuhanmu, telah menubuatkan bahawa tempat ini akan ditimpa malapetaka, 3 dan Yehuwa telah melakukan apa yang difirmankan-Nya. Hal ini demikian kerana bangsamu berdosa terhadap Yehuwa dan tidak mematuhi firman-Nya. Itulah sebabnya hal-hal ini menimpa kamu semua.+ 4 Sekarang aku akan membebaskan kamu dan membuka belenggu di tanganmu. Jika kamu mahu, ikutlah aku ke Babilon, dan aku akan menjagamu. Tetapi jika kamu tidak mahu pergi ke Babilon bersamaku, janganlah pergi. Lihatlah seluruh negeri yang ada di hadapanmu! Kamu bebas pergi ke mana sahaja yang kamu suka.”+

5 Sewaktu Yeremia masih berfikir, Nebuzaradan berkata, “Pergilah kepada Gedalia+ anak Ahikam,+ cucu Safan,+ yang telah dilantik oleh raja Babilon untuk menjadi gabenor di kota-kota Yehuda. Kamu boleh tinggal dengan Gedalia dan hidup dalam kalangan bangsa kamu. Jika tidak, pergilah ke mana sahaja yang kamu suka.”

Kemudian ketua pengawal istana itu memberi Yeremia hadiah dan bekalan makanan, lalu membiarkan dia pergi. 6 Yeremia pun pergi kepada Gedalia anak Ahikam yang berada di Mizpa.+ Dia tinggal bersama Gedalia dan hidup dalam kalangan orang yang masih ada di negeri itu.

7 Beberapa waktu kemudian, semua ketua tentera dan askar mereka yang berada di kawasan padang terbuka mendengar bahawa raja Babilon telah melantik Gedalia anak Ahikam untuk menjadi gabenor di negeri itu. Mereka juga mendengar bahawa Gedalia akan memimpin semua lelaki, wanita, dan kanak-kanak, iaitu semua orang miskin yang tidak dibuang negeri ke Babilon.+ 8 Oleh itu, mereka pergi ke Mizpa+ untuk berjumpa dengan Gedalia. Antara mereka ialah Ismael+ anak Netania, Yohanan+ dan Yonatan, iaitu anak-anak Kareah, Serayah anak Tanhumet, anak-anak Efai dari Netofa, dan Yezania,+ iaitu anak kepada seorang lelaki dari Maakha. Mereka pergi ke situ bersama dengan askar-askar mereka. 9 Gedalia anak Ahikam, cucu Safan, bersumpah kepada mereka dan askar-askar mereka. Dia berkata, “Janganlah takut untuk menjadi hamba kepada orang Kasdim. Tinggallah di Yehuda dan taatilah raja Babilon. Maka kamu akan selamat.+ 10 Aku pula akan tinggal di Mizpa untuk menjadi wakil kamu apabila orang Kasdim datang. Tetapi kamu patut mengumpulkan wain, buah-buahan, dan minyak lalu meletakkan semuanya ke dalam bekas-bekas penyimpanan kamu. Kamu juga patut tinggal di kota-kota yang telah kamu takluki.”+

11 Semua orang Yahudi di Moab, Ammon, Edom, dan negeri-negeri lain juga mendapat tahu bahawa raja Babilon telah membenarkan sebilangan orang untuk tinggal di Yehuda, dan bahawa raja itu telah melantik Gedalia anak Ahikam, cucu Safan, untuk memimpin mereka. 12 Oleh itu, semua orang Yahudi yang telah dicerai-beraikan itu mula meninggalkan tempat mereka, lalu kembali ke Yehuda. Mereka datang kepada Gedalia di Mizpa. Mereka mengumpulkan banyak sekali wain dan buah-buahan.

13 Yohanan anak Kareah dan semua ketua tentera yang berada di kawasan padang terbuka datang kepada Gedalia di Mizpa. 14 Mereka berkata kepadanya, “Tahukah tuan bahawa Baalis, raja Ammon,+ telah mengutus Ismael anak Netania untuk membunuh tuan?”+ Tetapi Gedalia anak Ahikam tidak mempercayai kata-kata mereka.

15 Kemudian Yohanan anak Kareah berkata kepada Gedalia di Mizpa dengan sembunyi-sembunyi, “Benarkanlah aku bunuh Ismael anak Netania. Tiada sesiapa pun yang akan mengetahuinya. Mengapakah dia harus dibiarkan membunuh tuan? Mengapakah semua orang Yehuda yang telah berkumpul dengan tuan harus tercerai-berai semula? Mengapakah orang Yehuda yang masih hidup harus binasa?” 16 Gedalia+ anak Ahikam menjawab Yohanan anak Kareah, “Jangan lakukan hal itu! Kata-katamu tentang Ismael itu tidak benar!”

41 Pada bulan ketujuh, Ismael+ anak Netania, cucu Elisama, iaitu seorang pegawai tinggi yang berasal daripada kerabat diraja, pergi ke Mizpa bersama 10 orang yang lain untuk membunuh Gedalia anak Ahikam. Semasa mereka sedang makan bersama-sama di Mizpa,+ 2 Ismael anak Netania dan 10 orang itu menghunus pedang dan membunuh Gedalia anak Ahikam, cucu Safan. Demikianlah Ismael membunuh gabenor yang telah dilantik oleh raja Babilon. 3 Ismael juga membunuh semua orang Yahudi yang ada bersama Gedalia di Mizpa, termasuk tentera Kasdim yang ada di situ.

4 Pada hari kedua setelah Gedalia dibunuh, sebelum sesiapa pun mengetahui tentang pembunuhan itu, 5 80 orang datang dari Sikhem,+ Silo,+ dan Samaria.+ Mereka telah mencukur janggut, mengoyakkan pakaian, dan melukakan badan sendiri.+ Mereka membawa korban bijirin dan kemenyan putih+ untuk dipersembahkan di Rumah Yehuwa. 6 Maka Ismael anak Netania keluar dari Mizpa untuk menemui mereka. Sambil berjalan, dia menangis, dan apabila dia bersemuka dengan mereka, dia berkata, “Marilah kita pergi berjumpa dengan Gedalia anak Ahikam.” 7 Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kota, Ismael anak Netania dan para pengikutnya membunuh mereka dan mencampakkan mayat mereka ke dalam sebuah perigi.

8 Tetapi ada 10 orang antara mereka yang berkata kepada Ismael, “Tolonglah, jangan bunuh kami! Kami ada bekalan gandum, barli, minyak, dan madu yang telah kami sembunyikan di ladang.” Oleh itu, mereka tidak dibunuh bersama saudara-saudara mereka yang lain. 9 Ismael mencampakkan mayat semua orang yang telah dibunuhnya ke dalam sebuah perigi yang besar sehingga perigi itu penuh dengan mayat. Perigi itu telah digali oleh Raja Asa semasa dia diancam oleh Raja Baesa dari Israel.+

10 Ismael menangkap semua orang yang masih tinggal di Mizpa,+ termasuk anak-anak perempuan raja dan semua rakyat di situ. Sebelum itu, mereka telah diserahkan oleh Nebuzaradan, ketua pengawal istana itu, ke bawah jagaan Gedalia+ anak Ahikam. Ismael anak Netania menangkap mereka semua lalu berangkat ke negeri orang Ammon.+

11 Apabila Yohanan+ anak Kareah dan semua ketua tentera yang bersamanya mendengar tentang semua perbuatan jahat yang telah dilakukan oleh Ismael anak Netania, 12 mereka mengumpulkan askar-askar mereka dan pergi menyerang Ismael. Mereka menjumpai dia dekat kolam besar di Gibeon.

13 Semua orang yang ditawan oleh Ismael bersukacita apabila mereka nampak Yohanan anak Kareah dan ketua-ketua tentera yang ada bersamanya. 14 Kemudian semua orang yang telah ditawan oleh Ismael dari Mizpa+ berpatah balik dan pergi bersama Yohanan anak Kareah. 15 Tetapi Ismael anak Netania dan lapan orang pengikutnya berjaya melepaskan diri daripada Yohanan. Mereka pergi kepada orang Ammon.

16 Yohanan anak Kareah dan semua ketua tentera yang bersamanya mengumpulkan orang dari Mizpa, yang telah diselamatkan oleh mereka daripada Ismael setelah Ismael membunuh Gedalia.+ Dari Gibeon, mereka membawa balik lelaki, wanita, kanak-kanak, askar-askar, dan para pegawai istana. 17 Sebelum mereka bertolak ke Mesir,+ mereka tinggal di tempat penginapan Kimham dekat Betlehem+ 18 kerana mereka takut kepada orang Kasdim. Hal ini demikian kerana Ismael anak Netania telah membunuh Gedalia anak Ahikam, yang telah dilantik oleh raja Babilon untuk menjadi gabenor negeri itu.+

42 Semua ketua tentera, termasuk Yohanan+ anak Kareah, Yezania anak Hoshaiah, dan semua rakyat, tidak kira orang biasa atau orang yang berkedudukan tinggi, pergi kepada 2 Nabi Yeremia dan berkata, “Tolonglah dengar permintaan kami. Berdoalah kepada Yehuwa, Tuhanmu, bagi pihak kami dan bagi pihak semua orang yang masih hidup. Dahulu kami ramai, tetapi sekarang bilangan kami tinggal sedikit sahaja,+ seperti yang kamu nampak. 3 Semoga Yehuwa, Tuhanmu, memberitahu kami jalan yang harus kami ikuti dan apa yang harus kami lakukan.”

4 Nabi Yeremia menjawab mereka, “Baiklah, aku akan berdoa kepada Yehuwa, Tuhan kamu, seperti yang kamu minta. Apabila Yehuwa menjawab kamu, aku akan memberitahu kamu segala yang difirmankan-Nya. Aku tidak akan merahsiakan apa-apa pun daripada kamu.”

5 Mereka berkata kepada Yeremia, “Biarlah Yehuwa menjadi saksi yang jujur dan setia bagi kami. Biarlah kami dihukum jika kami tidak mematuhi semua perintah yang disampaikan oleh Yehuwa melalui kamu. 6 Kami telah meminta kamu berdoa bagi pihak kami. Oleh itu, tidak kira jawapan Yehuwa menyenangkan atau tidak, kami akan mematuhi firman Tuhan kami. Keadaan kami akan menjadi baik jika kami mematuhi firman Yehuwa, Tuhan kami.”

7 Sepuluh hari kemudian, Yeremia menerima perkhabaran daripada Yehuwa. 8 Maka dia memanggil Yohanan anak Kareah, semua ketua tentera yang ada bersamanya, dan semua rakyat, tidak kira orang biasa atau orang yang berkedudukan tinggi.+ 9 Dia berkata kepada mereka, “Kamu telah menyuruh aku menyampaikan permintaan kamu kepada Yehuwa, Tuhan orang Israel. Inilah firman-Nya: 10 ‘Jika kamu terus tinggal di negeri ini, Aku akan membangun kamu dan tidak memusnahkan kamu. Aku akan menanam kamu dan tidak mencabut kamu. Aku akan berasa kesal* atas malapetaka yang telah Aku datangkan atas kamu.+ 11 Janganlah takut kepada raja Babilon.’+

“‘Ya, janganlah takut kepadanya,’ firman Yehuwa, ‘kerana Aku menyertai kamu untuk melindungi dan menyelamatkan kamu daripada cengkamannya. 12 Aku akan menunjukkan belas kasihan kepada kamu.+ Raja Babilon juga akan menunjukkan belas kasihan kepada kamu dan membenarkan kamu pulang ke negeri kamu.

13 “‘Tetapi jika kamu berkata, “Tidak. Kami tidak akan tinggal di negeri ini!” dan kamu mengingkari firman Yehuwa, Tuhan kamu, 14 dengan berkata, “Kami akan pergi ke negeri Mesir.+ Di sana, kami tidak akan kelaparan, mengalami peperangan, dan mendengar tiupan trompet perang. Oleh itu, kami akan tinggal di sana,” 15 maka dengarlah firman Yehuwa, hai kamu yang masih tinggal di Yehuda. Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Jika kamu berkeras hendak pergi ke Mesir lalu kamu pergi dan tinggal di situ,* 16 peperangan dan kebuluran yang kamu takuti itu akan mengejar kamu sampai ke Mesir, dan kamu akan mati di sana.+ 17 Semua orang yang bertekad untuk pergi ke Mesir dan tinggal di sana akan mati dibunuh pedang, kebuluran, dan wabak penyakit. Tiada seorang pun yang akan selamat atau terlepas daripada malapetaka yang akan Aku datangkan atas mereka.”’

18 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Sebagaimana Aku telah melampiaskan kemarahan dan kemurkaan-Ku terhadap penduduk Yerusalem,+ demikian juga Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadap kamu jika kamu pergi ke Mesir. Orang akan menjadi takut setelah mereka melihat keadaan kamu. Kamu akan dikutuk, dihina, dan dicemuh.+ Kamu tidak akan melihat tempat ini lagi.’

19 “Hai kamu yang masih tinggal di Yehuda, Yehuwa telah berfirman kepada kamu. Janganlah pergi ke Mesir. Ketahuilah bahawa aku telah memberikan amaran kepada kamu pada hari ini. 20 Ingatlah bahawa kamu sedang melakukan kesalahan besar dan nyawa kamu akan tergadai. Kamu telah menyuruh aku berdoa kepada Yehuwa, Tuhan kamu, ‘Berdoalah kepada Yehuwa, Tuhan kami, bagi pihak kami. Beritahulah kami segala yang difirmankan oleh Yehuwa, Tuhan kami, dan kami akan mematuhi-Nya.’+ 21 Hari ini, aku telah menyampaikan firman Yehuwa, Tuhan kamu, kepada kamu. Tetapi kamu pasti tidak akan mematuhi atau melakukan apa yang telah difirmankan-Nya.+ 22 Oleh itu, ketahuilah bahawa kamu pasti akan mati dibunuh pedang, kebuluran, dan wabak penyakit di negeri yang ingin kamu pergi dan tinggal.”+

43 Tuhan Yehuwa telah mengutus Yeremia untuk menyampaikan firman-Nya kepada semua rakyat. Selepas Yeremia selesai menyampaikan semua yang telah diperintahkan oleh Yehuwa, Tuhan mereka, 2 Azarya anak Hoshaiah, Yohanan+ anak Kareah, dan semua orang yang sombong berkata kepada Yeremia, “Kamu berbohong! Yehuwa, Tuhan kami, tidak mengutus kamu kepada kami untuk berkata, ‘Jangan pergi ke Mesir dan tinggal di sana.’ 3 Tetapi Barukh+ anak Neria menghasut kamu supaya kamu menyerahkan kami kepada orang Kasdim untuk dibunuh atau dibawa sebagai tawanan ke Babilon.”+

4 Maka Yohanan anak Kareah, semua ketua tentera, dan seluruh rakyat mengingkari perintah Yehuwa. Mereka tidak mahu tinggal di negeri Yehuda. 5 Sebaliknya, Yohanan anak Kareah dan semua ketua tentera membawa setiap orang yang masih tinggal di Yehuda, termasuk semua orang yang telah pulang dari bangsa-bangsa lain, iaitu tempat mereka dicerai-beraikan.+ 6 Mereka membawa lelaki, wanita, kanak-kanak, anak-anak perempuan raja, dan semua orang yang telah diserahkan oleh Nebuzaradan,+ ketua pengawal istana itu, ke bawah jagaan Gedalia+ anak Ahikam,+ cucu Safan.+ Selain itu, mereka juga membawa Nabi Yeremia dan Barukh anak Neria bersama mereka. 7 Mereka tidak mematuhi firman Yehuwa. Oleh itu, mereka pergi ke Mesir dan tiba di Tahpanes.+

8 Kemudian Yehuwa berfirman kepada Yeremia di Tahpanes, 9 “Ambillah beberapa buah batu yang besar. Kemudian sembunyikanlah semua batu itu di laluan berbatu dekat pintu masuk rumah Firaun di Tahpanes, lalu tutuplah semua batu itu dengan simen. Biarlah orang Yahudi nampak engkau berbuat demikian. 10 Katakanlah kepada mereka, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: “Aku akan memanggil hamba-Ku, iaitu Raja Nebukadnezar dari Babilon.+ Aku akan meletakkan takhtanya di atas batu-batu yang telah Aku sembunyikan itu, dan raja itu akan membentangkan khemah diraja ke atasnya.+ 11 Raja itu akan datang ke Mesir dan menyerangnya.+ Sesiapa yang akan mati kerana penyakit, biarlah dia mati kerana penyakit. Sesiapa yang akan menjadi tawanan, biarlah dia dijadikan tawanan. Sesiapa yang akan mati kerana pedang, biarlah dia mati kerana pedang.+ 12 Aku akan membakar kuil-kuil tuhan orang Mesir,+ dan raja itu pasti akan membakar kuil-kuil itu dan menjadikan tuhan-tuhan itu tawanan. Sebagaimana seorang gembala memakai jubahnya dengan mudah, demikian juga raja itu akan menawan seluruh negeri Mesir dengan mudah.* Ya, dia akan berangkat dari sana tanpa gangguan.* 13 Dia akan merobohkan tugu-tugu* Bet-semes* di negeri Mesir, dan membakar kuil-kuil tuhan orang Mesir dengan api.”’”

44 Yeremia mendapat perkhabaran untuk disampaikan kepada semua orang Yahudi yang tinggal di negeri Mesir,+ iaitu di Migdol,+ di Tahpanes,+ di Nof,*+ dan di Patros.+ Perkhabaran itu berbunyi, 2 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Kamu telah menyaksikan semua bencana yang Aku datangkan atas Yerusalem+ dan semua kota Yehuda. Hari ini, kota-kota itu masih reruntuhan dan tidak berpenghuni.+ 3 Hal itu berlaku kerana mereka telah berbuat jahat dan membangkitkan kemurkaan-Ku. Mereka menyembah tuhan-tuhan yang tidak dikenali oleh mereka, dan mempersembahkan korban+ kepada tuhan-tuhan itu. Ya, kamu dan nenek moyang kamu juga tidak mengenali tuhan-tuhan itu.+ 4 Aku selalu mengutus semua hamba-Ku, iaitu para nabi, kepada kamu. Aku berkali-kali menyuruh mereka berkata kepada kamu, “Tolonglah jangan buat perkara yang menjijikkan ini kerana Aku membencinya.”+ 5 Tetapi mereka menutup telinga mereka dan tidak mahu mendengar. Mereka tidak mahu berpaling daripada haluan mereka yang jahat dan berhenti mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu.+ 6 Maka Aku melampiaskan kemarahan dan kemurkaan-Ku yang membara, dan Aku menghukum kota-kota Yehuda dan jalan-jalan Yerusalem sehingga semuanya menjadi reruntuhan dan tanah yang tandus seperti hari ini.’+

7 “Inilah firman Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Mengapakah kamu mendatangkan bencana yang besar ini atas dirimu sendiri? Adakah kamu mahu semua lelaki, wanita, kanak-kanak, dan bayi di Yehuda dilenyapkan sehingga tiada seorang pun daripada bangsa kamu yang tertinggal? 8 Kamu membangkitkan kemarahan-Ku dengan perbuatanmu. Kamu mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan di negeri Mesir, tempat tinggal kamu sekarang. Kamu pasti akan lenyap, dan kamu akan menjadi bahan hinaan dan ejekan semua bangsa di bumi.+ 9 Kamu melakukan kejahatan di negeri Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem. Adakah kamu sudah lupa akan semua perbuatan jahat kamu dan isteri kamu,+ perbuatan jahat nenek moyang kamu, dan perbuatan jahat raja-raja Yehuda+ dan isteri mereka?+ 10 Sehingga hari ini, mereka tidak pernah merendahkan diri mereka dan berasa takut kepada-Ku.*+ Mereka juga tidak mematuhi hukum dan perintah yang telah Aku berikan kepada kamu dan nenek moyang kamu.’+

11 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku bertekad untuk mendatangkan malapetaka atas kamu dan memusnahkan seluruh Yehuda. 12 Aku akan mengumpulkan orang Yehuda yang masih hidup dan yang bertekad untuk pergi ke Mesir untuk tinggal di sana.+ Mereka semua, tidak kira orang biasa atau orang yang berkedudukan tinggi, pasti akan lenyap di Mesir. Mereka akan mati dibunuh pedang dan mati kebuluran. Mereka akan dikutuk, dihina, dan dicemuh. Orang akan menjadi takut setelah melihat keadaan mereka.+ 13 Aku akan menghukum mereka yang tinggal di negeri Mesir sepertimana Aku telah menghukum Yerusalem dengan pedang, kebuluran, dan wabak penyakit.+ 14 Meskipun orang Yehuda yang masih hidup telah pergi ke Mesir untuk tinggal di situ, mereka tidak akan berjaya melarikan diri atau kembali ke Yehuda dengan selamat. Mereka akan rindu untuk kembali dan menetap di situ, tetapi mereka tidak akan berjaya berbuat demikian, kecuali beberapa orang.’”

15 Semua lelaki yang tahu bahawa isteri mereka telah mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain, dan isteri-isteri yang berdiri di situ dalam sebuah kumpulan yang besar, termasuk semua orang yang tinggal di Mesir,+ di Patros,+ menjawab Yeremia, 16 “Kami tidak mahu mendengar apa yang telah kamu katakan demi nama Yehuwa. 17 Sebaliknya, kami pasti akan melakukan semua yang telah kami katakan. Kami akan mempersembahkan korban dan wain kepada Ratu Syurga*+ di semua kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem seperti yang biasa kami lakukan, dan seperti yang biasa dilakukan oleh nenek moyang kami, raja-raja kami, dan para pemimpin kami. Pada waktu itu, kami mempunyai banyak makanan dan hidup dengan makmur. Kami tidak mengalami sebarang malapetaka. 18 Tetapi sejak kami berhenti mempersembahkan korban dan wain kepada Ratu Syurga,* kami hidup serba kekurangan. Kami mengalami kebuluran dan dibunuh dengan pedang.”

19 Wanita-wanita itu berkata, “Semasa kami mempersembahkan korban dan wain kepada Ratu Syurga,* bukankah suami kami menyetujui perbuatan kami? Bukankah mereka tahu bahawa kami membuat roti menurut gambaran ratu itu dan mempersembahkan korban wain kepadanya?”

20 Kemudian Yeremia menjawab mereka semua, iaitu semua lelaki, isteri-isteri mereka, dan semua orang yang sedang bercakap dengannya, 21 “Yehuwa tidak akan melupakan semua perbuatan kamu. Tidak mungkin Dia melupakan semua korban yang kamu persembahkan dan semua korban yang dipersembahkan oleh nenek moyang kamu, raja-raja kamu, para pemimpin kamu, dan semua penduduk negeri ini di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem!+ 22 Akhirnya, Yehuwa tidak dapat bersabar lagi dengan perbuatan jahat dan hal-hal menjijikkan yang telah kamu lakukan. Oleh itu, negeri kamu telah menjadi tempat yang terkutuk, tempat yang menakutkan, tempat yang tandus, dan tempat yang tidak berpenghuni, seperti hari ini.+ 23 Kamu telah mempersembahkan korban-korban itu, dan kamu telah berdosa terhadap Yehuwa dengan tidak mematuhi firman Yehuwa. Kamu tidak hidup menurut hukum-Nya, perintah-Nya, dan peringatan-Nya. Itulah sebabnya malapetaka ini menimpa kamu, seperti yang berlaku pada hari ini.”+

24 Yeremia berkata kepada semua orang dan kepada semua wanita itu, “Hai orang Yehuda yang tinggal di Mesir, dengarlah firman Yehuwa. 25 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Kamu dan isteri kamu telah melakukan segala perkara yang telah kamu katakan. Kamu telah berkata, “Kami pasti akan mengotakan janji kami untuk mempersembahkan korban dan wain kepada Ratu Syurga.”*+ Kamu dan isteri kamu pasti akan mengotakan janji kamu dan melaksanakannya.’

26 “Hai orang Yehuda yang tinggal di Mesir, dengarlah firman Yehuwa. Inilah firman-Nya: ‘“Aku bersumpah atas nama-Ku yang agung,” firman Yehuwa, “bahawa tiada orang Yehuda yang tinggal di Mesir akan bersumpah atas nama-Ku lagi+ dengan berkata, ‘Demi Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, Tuhan yang hidup!’+ 27 Sekarang Aku sedang memerhatikan mereka dan Aku akan membawa malapetaka atas mereka, dan bukannya berkat.+ Semua orang Yehuda di Mesir akan mati dibunuh pedang dan mati kebuluran sehingga mereka semua lenyap.+ 28 Hanya beberapa orang yang dapat melepaskan diri daripada serangan pedang dan kembali dari Mesir ke Yehuda.+ Kemudian barulah semua orang Yehuda yang tinggal di Mesir akan tahu kata-kata siapa yang menjadi kenyataan, firman-Ku atau kata-kata mereka.”’”

29 “‘Inilah tanda bagi kamu,’ firman Yehuwa, ‘bahawa Aku akan menghukum kamu di negeri ini. Kemudian barulah kamu akan tahu bahawa janji-Ku untuk mendatangkan malapetaka atas kamu akan ditepati. 30 Inilah firman Yehuwa: “Aku akan menyerahkan Firaun Hofra, iaitu raja Mesir, ke dalam tangan musuh-musuhnya dan orang yang ingin membunuhnya, sebagaimana Aku telah menyerahkan Raja Zedekia dari Yehuda ke dalam tangan Raja Nebukadnezar dari Babilon yang memusuhi Zedekia dan yang ingin membunuhnya.”’”+

45 Berikut merupakan kata-kata Nabi Yeremia yang dicatatkan oleh Barukh+ anak Neria dalam sebuah kitab. Kata-kata ini disampaikan oleh Yeremia+ kepada Barukh pada tahun keempat pemerintahan Yehoyakim+ anak Yosia, raja Yehuda:

2 “Hai Barukh, inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, mengenaimu: 3 ‘Engkau berkata, “Malanglah aku kerana Yehuwa telah menambahkan kesedihan kepada kesusahanku! Aku sudah penat mengeluh, dan aku tidak mendapat ketenangan.”’”

4 Tuhan berfirman, “Beritahulah Barukh, ‘Inilah firman Yehuwa: “Lihatlah! Aku akan merobohkan apa yang telah Aku bina di seluruh negeri ini. Aku juga akan mencabut apa yang telah Aku tanam di seluruh negeri ini.+ 5 Tetapi engkau pula sibuk memburu kejayaan.* Jangan lakukan hal itu lagi.”’

“‘Aku akan mendatangkan malapetaka atas semua orang,’+ firman Yehuwa, ‘tetapi ke mana sahaja engkau pergi, Aku akan menyelamatkan nyawamu.’”+

46 Yehuwa berfirman kepada Nabi Yeremia berkenaan bangsa-bangsa.+ 2 Angkatan tentera Firaun Nekho,+ iaitu raja Mesir,+ yang berada dekat Sungai Efrat telah dikalahkan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilon. Hal ini berlaku di Karkemis pada tahun keempat pemerintahan Yehoyakim+ anak Yosia, raja Yehuda. Berikut merupakan firman Tuhan berkenaan Mesir:

 3 “Sediakanlah perisai kecil* dan perisai besar kamu,

Dan maralah ke medan pertempuran.

 4 Hai penunggang kuda, pasanglah perlengkapan kuda dan naiklah ke atas kuda kamu.

Ambillah tempat kamu masing-masing dan pakailah topi besi kamu.

Gilaplah tombak kamu dan kenakanlah baju zirah kamu.

 5 ‘Mengapakah Aku nampak mereka begitu takut?

Mereka berundur, dan pahlawan mereka tumpas.

Mereka lari lintang-pukang, dan pahlawan mereka tidak menoleh ke belakang.

Rasa takut ada di mana-mana sahaja,’ firman Yehuwa.

 6 ‘Orang yang tangkas tidak dapat melepaskan diri, dan para pahlawan tidak dapat melarikan diri.

Mereka tersandung dan terjatuh

Di sebelah utara, di tebing Sungai Efrat.’+

 7 Siapakah yang naik seperti air Sungai Nil,

Seperti air sungai yang bergelora?

 8 Mesir naik seperti air Sungai Nil,+

Seperti air sungai yang bergelora.

Mesir berkata, ‘Aku akan naik dan membanjiri bumi.

Aku akan memusnahkan kota itu dan penduduknya.’

 9 Hai kuda-kuda, maralah!

Hai kereta-kereta kuda, majulah dengan cepat!

Biarlah para pahlawan maju ke hadapan.

Biarlah orang Kus dan Put, yang memegang perisai,+

Dan orang Ludim+ yang mahir menggunakan busur, maju ke hadapan.+

10 “Hari itu milik Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ketua angkatan syurga. Itulah harinya Dia melakukan pembalasan terhadap musuh-musuh-Nya. Pedang akan melahap mereka sehingga kenyang dan minum darah mereka sehingga puas, kerana Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ketua angkatan syurga, akan menyembelih korban-Nya di negeri utara yang berdekatan Sungai Efrat.+

11 Hai Mesir yang bagaikan anak dara,

Pergilah ke Gilead untuk mendapatkan minyak balsam di situ.+

Tetapi sia-sia sahaja engkau menyediakan banyak ubat,

Kerana engkau tidak dapat diubati.+

12 Bangsa-bangsa telah mendengar bahawa engkau telah dimalukan,+

Dan suara tangisanmu kedengaran di seluruh negeri.

Pahlawan yang satu tersandung pada pahlawan yang lain,

Lalu mereka jatuh bersama-sama.”

13 Inilah firman Yehuwa kepada Nabi Yeremia berkenaan Nebukadnezar, raja Babilon, yang datang untuk menyerang negeri Mesir:+

14 “Umumkanlah di Mesir, hebahkanlah di Migdol.+

Hebahkanlah di Nof* dan di Tahpanes.+

Katakanlah, ‘Ambillah tempat kamu masing-masing dan bersiap sedialah,

Kerana sebilah pedang akan melahap semua yang ada di sekeliling kamu.

15 Askar-askar kamu yang gagah telah dihanyutkan.

Mereka tidak mempertahankan tempat masing-masing,

Kerana Yehuwa telah menjatuhkan mereka.

16 Ramai antara mereka yang tersandung dan jatuh.

Mereka berkata kepada satu sama lain,

“Bangunlah! Marilah kita kembali kepada bangsa kita dan pulang ke negeri kelahiran kita

Untuk melarikan diri daripada pedang yang kejam itu.”’

17 Di sana, mereka mengumumkan,

‘Firaun, raja Mesir, hanya pandai bercakap besar,

Dan melepaskan peluang yang baik.’+

18 ‘Aku bersumpah demi diri-Ku sendiri,’ firman Raja yang bernama Yehuwa, Tuhan yang hidup, ketua angkatan syurga,

‘Bahawa kedatangan orang itu* seperti Gunung Tabor+ yang menjulang tinggi di antara gunung-gunung lain,

Dan seperti Gunung Karmel+ di tepi laut.

19 Hai penduduk Mesir,

Kemaskanlah barangmu dan bersedialah untuk dibuang negeri,

Kerana Nof* akan menjadi tempat yang ditakuti orang.

Ya, Nof* akan dibakar dengan api* dan tiada orang akan mendiaminya.+

20 Mesir seperti seekor lembu* yang cantik,

Tetapi nyamuk akan datang dari utara untuk menyerangnya.

21 Bahkan askar-askar upahannya juga seperti anak-anak lembu yang gemuk.

Tetapi mereka semua telah berpatah balik dan melarikan diri.

Mereka tidak dapat mempertahankan tempat masing-masing,+

Kerana sudah tiba masanya mereka dihukum.

Ya, sudah sampai harinya mereka ditimpa malapetaka.’

22 ‘Suaranya seperti desis ular yang melarikan diri,

Kerana musuh-musuhnya yang kuat datang untuk menyerang dia dengan kapak,

Seperti lelaki yang menebang pokok.*

23 Mereka akan menebas hutannya,’ firman Yehuwa, ‘meskipun hutan itu nampaknya tidak dapat ditembusi,

Kerana bilangan mereka tidak terhitung banyaknya. Mereka lebih banyak daripada belalang juta.

24 Mesir yang bagaikan anak dara akan dimalukan.

Dia akan diserahkan kepada bangsa dari utara.’+

25 “Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel, berfirman, ‘Sekarang Aku akan menumpukan perhatian-Ku kepada Amon+ dari No,*+ kepada Firaun, dan ke arah Mesir, tuhan-tuhannya,+ dan raja-rajanya. Ya, Aku akan menumpukan perhatian-Ku kepada Firaun dan semua orang yang berharap kepadanya.’+

26 “‘Aku akan menyerahkan mereka kepada orang yang ingin membunuh mereka, iaitu kepada Raja Nebukadnezar dari Babilon+ dan para pegawainya. Namun pada kemudian hari, orang akan tinggal lagi di Mesir, seperti pada masa lampau,’ firman Yehuwa.+

27 ‘Tetapi hai hamba-Ku Yakub, janganlah berasa takut.

Hai Israel, janganlah gentar.+

Aku akan menyelamatkan engkau dari tempat yang jauh,

Dan Aku akan menyelamatkan keturunanmu dari negeri tempat mereka ditawan.+

Yakub akan pulang lalu hidup dengan aman tanpa sebarang gangguan.

Tidak ada sesiapa pun yang akan membuat mereka takut.+

28 Oleh itu, janganlah berasa takut, hai hamba-Ku Yakub,’ firman Yehuwa, ‘kerana Aku akan menyertaimu.

Aku telah mencerai-beraikan engkau dalam kalangan bangsa-bangsa,+ dan Aku akan membinasakan semua bangsa itu.

Tetapi Aku tidak akan membinasakanmu.+

Namun demikian, engkau tidak akan terlepas daripada hukuman.+

Aku akan mendisiplinkan engkau dengan saksama.’”

47 Yehuwa telah berfirman kepada Nabi Yeremia berkenaan orang Filistin,+ sebelum Firaun memusnahkan Gaza. 2 Inilah firman Yehuwa:

“Lihatlah! Air sedang mengalir dari utara.

Air itu akan menjadi banjir yang besar.

Air itu akan membanjiri seluruh negeri dan segala isinya,

Termasuk kotanya dan penduduknya.

Orang akan berseru,

Dan semua penduduk negeri itu akan meratap.

 3 Orang akan mendengar bunyi derap kuda-kuda jantannya,

Bunyi derak-derik kereta kudanya,

Dan bunyi kertak-kertuk rodanya.

Pada waktu itu, bapa tidak akan berpatah balik untuk menolong anak mereka,

Kerana tangan mereka telah menjadi lemah.

 4 Akan tiba harinya apabila semua orang Filistin+ dimusnahkan.

Ya, setiap orang Filistin yang masih hidup dan yang berpakat dengan Tirus+ dan Sidon+ akan dimusnahkan.

Hal ini demikian kerana Yehuwa akan melenyapkan orang Filistin yang masih hidup,

Yang telah datang dari Pulau Kaftor.*+

 5 Gaza akan menjadi botak.*

Askelon telah berdiam diri.+

Hai penduduk yang masih hidup dan tinggal di dataran rendah,

Sampai bilakah kamu akan terus melukakan tubuh sendiri?+

 6 Hai pedang Yehuwa,+

Sampai bilakah baru engkau akan berdiam diri?

Masuklah ke dalam sarungmu.

Tinggallah di situ dan berehatlah.

 7 Tetapi bagaimanakah pedang itu dapat berdiam diri,

Sedangkan Yehuwa telah memberikan perintah kepadanya

Untuk menyerang Askelon dan persisiran laut?+

Ke sanalah Dia memerintahkan pedang itu untuk pergi.”

48 Berikut merupakan firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel, berkenaan Moab:+

“Malanglah Nebo+ kerana dia telah dimusnahkan!

Kiryataim+ telah dimalukan dan ditawan.

Tempat perlindungan* itu telah dimalukan dan diruntuhkan.+

 2 Mereka tidak memuji Moab lagi.

Di Hesybon,+ mereka merancang kejatuhannya. Mereka berkata,

‘Marilah kita memusnahkan bangsa Moab.’

Hai Madmen, engkau juga patut berdiam diri

Kerana pedang sedang memburumu.

 3 Kedengaran teriakan dari Horonaim.+

Ya, terdapat kemusnahan dan kehancuran yang dahsyat.

 4 Moab telah dirobohkan.

Anak-anaknya yang kecil menangis.

 5 Orang berjalan di jalan yang naik ke Luhit sambil menangis.

Semasa mereka turun dari Horonaim, mereka mendengar orang meraung kerana malapetaka yang berlaku.+

 6 Larilah, dan selamatkanlah diri kamu!

Hendaklah kamu menjadi seperti pokok juniper di padang belantara.

 7 Hai Moab, engkau bergantung pada kekayaanmu dan perbuatanmu,

Maka engkau akan dikalahkan.

Kamos+ akan ditawan,

Bersama dengan imam-imam dan para pemimpinnya.

 8 Pemusnah akan masuk ke dalam setiap kota;

Tiada satu kota pun yang akan terlepas.+

Lembah* itu akan dimusnahkan.

Tanah rata* juga akan dimusnahkan, seperti yang difirmankan oleh Yehuwa.

 9 Buatlah sebuah tanda untuk Moab,

Kerana apabila kota-kotanya menjadi reruntuhan, penduduknya akan melarikan diri.

Kota-kota itu akan menjadi tempat yang ditakuti orang,

Dan tiada orang akan tinggal di sana.+

10 Terkutuklah orang yang melakukan perintah Yehuwa secara sambil lewa!

Terkutuklah orang yang tidak menghunus pedangnya untuk membunuh!

11 Orang Moab hidup dengan aman sejak zaman muda mereka,

Dan mereka tidak pernah hidup dalam pembuangan.

Mereka seperti wain yang telah dibiarkan mengendap di dalam bekas.

Mereka tidak pernah dituang dari satu bekas ke bekas yang lain.

Itulah sebabnya rasa wain itu tidak pernah berubah,

Dan baunya tetap sama.

12 “‘Lihatlah! Sudah sampai masanya,’ firman Yehuwa, ‘apabila Aku akan mengutus orang untuk menumpaskan mereka. Orang itu akan menterbalikkan mereka dan mengosongkan bekas-bekas mereka, lalu menghancurkan bekas-bekas mereka yang besar. 13 Orang Moab akan berasa malu kerana Kamos, sebagaimana bangsa Israel berasa malu kerana Bethel, yang pernah menjadi harapan mereka.+

14 Berani kamu berkata, “Kami ialah pahlawan-pahlawan gagah yang bersedia untuk berperang”!’+

15 ‘Moab telah dibinasakan,

Kota-kotanya sudah dicerobohi musuh,+

Dan pemuda-pemudanya yang terbaik telah dibunuh,’+

Firman Raja yang bernama Yehuwa, ketua angkatan syurga.+

16 Orang Moab akan ditimpa malapetaka tidak lama lagi.

Kejatuhan mereka akan datang dengan cepat.+

17 Semua orang yang mengenali mereka,

Semua orang di sekeliling mereka akan bersimpati terhadap mereka.

Beritahulah mereka, ‘Tongkat yang agung itu, ya, tongkat yang indah itu, sudah patah!’

18 Hai penduduk Dibon,+ turunlah dari tempatmu yang mulia,

Dan duduklah di atas tanah dalam keadaan dahaga,*

Kerana pemusnah Moab telah datang kepadamu,

Dan dia akan meruntuhkan kubu-kubumu.+

19 Hai penduduk Aroer,+ berdirilah di tepi jalan dan lihatlah apa yang sedang berlaku!

Tanyalah lelaki dan wanita yang sedang melarikan diri, ‘Apakah yang telah berlaku?’

20 Moab telah dimalukan dan dicengkam rasa gentar.

Meraunglah dan berserulah.

Umumkanlah di Arnon+ bahawa Moab telah dimusnahkan.

21 “Hukuman telah dijatuhkan atas kawasan tanah rata,*+ iaitu atas Holon, Yahas,+ Mefaat,+ 22 Dibon,+ Nebo,+ Bet-diblataim, 23 Kiryataim,+ Bet-gamul, Bet-meon,+ 24 Keriot+ dan Bozra, serta semua kota di negeri Moab, tidak kira yang jauh atau yang dekat.

25 ‘Kekuatan* Moab telah dihancurkan.

Ya, lengannya sudah dipatahkan,’ firman Yehuwa.

26 ‘Buatlah dia mabuk+ kerana dia telah meninggikan dirinya dan menentang Yehuwa.+

Moab berguling-guling di atas muntahnya,

Dan dia menjadi bahan ejekan.

27 Bukankah Israel juga menjadi bahan ejekanmu?+

Adakah engkau menggelengkan kepala dan mengutuk dia

Kerana engkau menemui dia dalam kalangan pencuri?

28 Hai penduduk Moab, keluarlah dari kota-kota kamu dan tinggallah di bukit batu,

Seperti burung merpati yang membuat sarangnya di pinggir gaung.’”

29 “Kami telah mendengar tentang kesombongan Moab; dia angkuh sekali.

Kami mendengar bahawa dia bongkak, sombong, angkuh, dan tinggi hati.”+

30 “‘Aku tahu bahawa dia cepat marah,’ firman Yehuwa,

‘Namun cakap besarnya kosong belaka.

Mereka tidak akan bertindak.

31 Maka Aku akan meraung kerana Moab.

Aku akan mengerang kerana seluruh Moab

Dan Aku akan meratapi orang Kir-heres.+

32 Hai pokok anggur Sibma,+ tangisan-Ku untukmu

Lebih daripada tangisan-Ku untuk Yaezer.+

Carang-carangmu yang subur telah bertumbuh merentasi laut.

Ya, carang-carangmu sudah sampai ke laut, ke Yaezer.

Pemusnah itu telah datang untuk memusnahkan

Buah musim panasmu dan hasil tuaian anggurmu.+

33 Sukacita dan kegembiraan telah dilenyapkan dari kebun buah-buahan

Dan dari negeri Moab.+

Aku telah menghentikan aliran wain dari tempat memeras anggur.

Tiada orang akan memeras anggur sambil bersorak dengan gembira.

Suara yang kedengaran bukanlah sorakan kegembiraan.’”+

34 “‘Kedengaran laungan dari Hesybon+ sampai ke Eleale.+

Mereka meninggikan suara sehingga kedengaran di Yahas.+

Kedengaran laungan dari Zoar sampai ke Horonaim+ dan Eglat-selisia.

Bahkan air sungai di Nimrim pun akan menjadi kering.+

35 Orang yang membawa korban ke tempat ibadat

Dan orang yang mempersembahkan korban kepada tuhannya,

Akan Aku lenyapkan dari Moab,’ firman Yehuwa.

36 ‘Itulah sebabnya hati-Ku akan mengeluh seperti bunyi tiupan seruling.*+

Ya, hati-Ku akan mengeluh untuk Moab dan orang Kir-heres

Kerana kekayaan yang dikumpulkannya akan lenyap.

37 Kepala setiap orang dibotakkan,+

Dan janggut setiap orang dicukur.

Tangan setiap orang dilukai,+

Dan pinggang setiap orang diikat dengan kain guni!’”+

38 “‘Di atas semua bumbung rumah Moab,

Dan di semua dataran kotanya,

Akan kedengaran suara ratapan sahaja,

Kerana Aku telah memecahkan Moab,

Seperti tempayan yang tidak disukai orang,’ firman Yehuwa.

39 ‘Betapa takutnya Moab! Hai penduduk Moab, menangislah!

Moab telah berpaling ke belakang kerana malu!

Moab telah menjadi bahan ejekan,

Dan semua orang di sekitarnya berasa takut setelah melihatnya.’”

40 “Inilah firman Yehuwa:

‘Lihatlah! Sebagaimana burung helang menyambar mangsanya,+

Demikian juga musuh akan membentangkan sayap semasa menyerang Moab.+

41 Pekan-pekan Moab akan ditawan,

Dan kubu-kubunya akan ditakluki.

Pada hari itu, para pahlawan Moab akan berasa takut

Seperti wanita yang sedang bersalin.’”

42 “‘Moab akan dilenyapkan dan tidak akan menjadi sebuah bangsa lagi,+

Kerana dia telah meninggikan dirinya di hadapan Yehuwa.+

43 Ketakutan, lubang, dan perangkap sedang menunggu kamu,

Hai penduduk Moab,’ firman Yehuwa.

44 ‘Sesiapa yang mencuba melepaskan diri daripada ketakutan itu akan jatuh ke dalam lubang,

Dan sesiapa yang keluar dari lubang itu akan masuk ke dalam perangkap.’

‘Aku akan mendatangkan tahun untuk menjatuhkan hukuman atas Moab,’ firman Yehuwa.

45 ‘Orang yang melarikan diri tidak berdaya dan hanya dapat berdiri di bawah bayang-bayang Hesybon,

Kerana api akan keluar dari Hesybon

Dan nyala api akan keluar dari dalam Sihon.+

Api itu akan membakar dahi Moab,

Dan tengkorak semua orang yang suka berperang.’+

46 ‘Hai Moab, malanglah engkau!

Para penyembah Kamos+ sudah lenyap.

Anak-anak lelakimu telah ditangkap,

Dan anak-anak perempuanmu sudah dibuang negeri.+

47 Tetapi pada kemudian hari, Aku akan mengumpulkan orang Moab yang telah ditawan,’ firman Yehuwa.

‘Demikianlah hukuman yang akan dijatuhkan atas Moab.’”+

49 Berikut merupakan firman Yehuwa berkenaan orang Ammon:+

“Adakah Israel tidak mempunyai anak-anak lelaki?

Adakah dia tidak mempunyai waris?

Mengapakah Malkam*+ menakluki Gad?+

Mengapakah para penyembahnya tinggal di kota-kota Israel?”

 2 “‘Lihatlah! Masanya akan tiba,’ firman Yehuwa,

‘Apabila Aku akan membuat laungan perang* kedengaran di Raba,+ kota orang Ammon.+

Kota itu akan menjadi timbunan tanah dan tempat yang tandus.

Pekan-pekan di sekelilingnya akan dibakar dengan api.’

‘Israel akan mengambil tanah orang yang telah merampas tanahnya,’+ firman Yehuwa.

 3 ‘Hai Hesybon, meraunglah kerana kota Ai telah dihancurkan!

Hai pekan-pekan di sekeliling Raba, menangislah!

Pakailah kain guni,

Meraunglah dan merayau-rayaulah di dalam kandang bebiri,*

Kerana Malkam akan ditawan

Bersama dengan imam-imam dan para pemimpinnya.+

 4 Hai kota yang tidak setia, mengapakah engkau bermegah dengan lembah-lembahmu,*

Iaitu, dataran-dataran yang melimpah dengan air?

Engkau bergantung pada kekayaanmu

Dan berkata, “Siapakah yang akan menyerang aku?”’”

 5 “‘Aku akan mendatangkan sesuatu yang buruk atasmu,’ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ketua angkatan syurga,

‘Perkara buruk ini akan datang daripada semua orang di sekelilingmu.

Kamu semua akan dicerai-beraikan ke setiap arah,

Dan tiada sesiapa pun yang akan mengumpulkan orang yang melarikan diri.’”

 6 “‘Tetapi kemudian Aku akan mengumpulkan orang Ammon yang telah ditawan,’ firman Yehuwa.”

7 Berikut merupakan firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, berkenaan orang Edom:

“Tiada lagikah kebijaksanaan di Teman?+

Adakah orang yang berpengertian tidak dapat memberikan nasihat yang baik lagi?

Adakah kebijaksanaan mereka sudah menjadi sia-sia?

 8 Berpalinglah dan larilah!

Hai penduduk Dedan,+ turunlah ke kawasan rendah dan bersembunyilah di situ!

Apabila tiba masanya, Aku akan menumpukan perhatian-Ku kepada Esau

Dan Aku akan mendatangkan bencana atasnya.

 9 Jika orang memetik buah anggur,

Bukankah mereka akan meninggalkan sedikit buah untuk dipungut oleh orang lain?

Jika pencuri datang pada waktu malam,

Bukankah mereka hanya melakukan seberapa banyak kerosakan yang diingini mereka?+

10 Tetapi Aku akan membuat Esau telanjang.

Aku akan mendedahkan semua tempat persembunyiannya,

Supaya dia tidak dapat bersembunyi lagi.

Anak-anaknya, saudara-saudaranya, dan jiran tetangganya akan dimusnahkan,+

Dan dia tidak akan wujud lagi.+

11 Tinggalkanlah anak-anak yatimmu,

Dan Aku akan memelihara mereka.

Balu-balumu akan mempercayai Aku.”

12 Inilah firman Yehuwa: “Sedangkan orang yang tidak patut minum dari cawan kemurkaan-Ku pun terpaksa minum dari cawan itu, apatah lagi engkau? Engkau tidak akan terlepas daripada hukuman dan engkau pasti akan minum dari cawan itu.”+

13 “Aku telah bersumpah demi diri-Ku sendiri,” firman Yehuwa, “bahawa Bozra akan dimusnahkan dan semua kotanya akan menjadi reruntuhan buat selama-lamanya. Orang yang melihatnya akan menjadi takut+ lalu menghina dan mengutuknya.”+

14 Aku telah mendengar berita daripada Yehuwa;

Seorang utusan telah dihantar kepada bangsa-bangsa. Utusan itu berkata,

“Berkumpullah dan seranglah Edom.

Bersiaplah untuk berperang.”+

15 “Aku telah merendahkan engkau dalam kalangan bangsa-bangsa;

Engkau sangat hina di mata orang.+

16 Ketakutan yang telah engkau timbulkan,

Dan keangkuhan hatimu telah memperdayamu,

Hai engkau yang tinggal di gunung-gunung batu,

Dan di bukit yang tertinggi.

Biarpun engkau membuat sarangmu di tempat tinggi seperti burung helang,

Aku akan menurunkan engkau dari sana,” firman Yehuwa.

17 “Edom pasti akan menjadi tempat yang ditakuti orang.+ Setiap orang yang lalu di situ akan memerhatikannya dengan perasaan ngeri sambil mengejeknya* kerana semua tulah yang telah menimpanya. 18 Sebagaimana Sodom dan Gomora serta pekan-pekan di sekelilingnya telah dimusnahkan sama sekali, demikian juga Edom akan dimusnahkan,”+ firman Yehuwa, “dan tiada orang akan tinggal di sana. Ya, tiada manusia akan menduduki tempat itu.+

19 “Lihatlah! Seperti seekor singa yang keluar dari semak belukar di sepanjang Sungai Yordan, seseorang akan keluar untuk menyerang padang-padang rumput yang aman.+ Tetapi seketika lagi, Aku akan membuat orang itu melarikan diri daripadanya. Kemudian Aku akan melantik orang yang telah Aku pilih untuk menguasainya. Siapakah yang setanding Aku? Siapakah yang berani mencabar Aku? Gembala manakah yang dapat menentang Aku?+ 20 Oleh itu, dengarlah keputusan Yehuwa berkenaan Edom dan apa yang hendak dilakukan-Nya terhadap penduduk Teman:+

Sesungguhnya anak-anak bebiri akan diseret pergi.

Dia akan membuat tempat tinggal mereka menjadi tanah yang tandus kerana penduduk itu.+

21 Bumi bergoncang kerana bunyi kejatuhan mereka.

Mereka menjerit-jerit,

Dan jeritan mereka itu akan kedengaran sampai ke Laut Merah.+

22 Lihatlah! Seperti seekor burung helang, dia akan terbang tinggi lalu turun dan menyambar mangsanya.+

Ya, dia akan membentangkan sayapnya semasa menyerang Bozra.+

Pada hari itu, para pahlawan Edom akan berasa takut

Seperti wanita yang sedang bersalin.”

23 Berikut merupakan perkhabaran tentang Damsyik:+

“Hamat+ dan Arpad telah dimalukan,

Kerana mereka mendengar berita buruk.

Hati mereka menjadi takut.

Mereka seperti air laut yang tidak dapat ditenangkan.

24 Damsyik telah hilang keberanian.

Dia berpaling dan ingin melarikan diri, tetapi rasa takut mencengkamnya.

Dia kesakitan dan menderita,

Seperti wanita yang sedang bersalin.

25 Mengapakah orang masih enggan meninggalkan kota yang terpuji itu,

Kota yang penuh dengan kegembiraan itu?

26 Pemuda-pemudanya akan rebah di dataran kotanya,

Dan semua askarnya akan dibinasakan pada hari itu,” firman Yehuwa, ketua angkatan syurga.

27 “Aku akan membakar tembok Damsyik dengan api,

Dan api itu akan melahap menara-menara Ben-hadad yang kukuh.”+

28 Berikut merupakan firman Yehuwa berkenaan Kedar+ dan kerajaan-kerajaan Hazor, yang telah dijatuhkan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilon:

“Bangkitlah dan pergilah ke Kedar.

Hapuskanlah orang dari Timur.

29 Khemah dan kawanan mereka akan dirampas,

Termasuk kain-kain khemah dan semua barang mereka.

Unta-unta mereka akan dibawa pergi,

Dan orang akan berkata kepada mereka, ‘Rasa takut ada di mana-mana sahaja!’”

30 “Larilah jauh-jauh!

Hai penduduk Hazor, turunlah ke kawasan rendah dan bersembunyilah di situ,” firman Yehuwa.

“Nebukadnezar, iaitu raja Babilon, telah membuat keputusan untuk menyerang kamu.

Ya, dia telah membuat rancangan untuk menentang kamu.”

31 “Bangkitlah dan seranglah bangsa yang aman,

Yang sedang hidup dengan damai!” firman Yehuwa.

“Kota mereka tidak mempunyai pintu gerbang ataupun palang pintu, dan mereka tinggal sendirian.

32 Unta-unta mereka akan dijarah,

Dan binatang ternakan mereka yang banyak akan dirampas.

Orang yang telah memotong rambut pada pelipis mereka

Akan Aku cerai-beraikan ke semua arah.+

Aku juga akan mendatangkan malapetaka atas mereka dari semua arah,” firman Yehuwa.

33 “Hazor akan menjadi sarang serigala,

Tempat yang tandus buat selama-lamanya.

Tiada orang akan tinggal di sana.

Ya, tiada manusia akan menduduki tempat itu.”

34 Pada awal pemerintahan Raja Zedekia+ dari Yehuda, Yehuwa berfirman kepada Nabi Yeremia tentang Elam,+ 35 “Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Aku akan mematahkan busur Elam,+ iaitu sumber kekuatan mereka. 36 Aku akan menyerang Elam dengan angin dari keempat-empat penjuru langit. Aku akan mencerai-beraikan mereka ke semua arah sehingga tiada satu negeri pun yang tidak didatangi orang dari Elam.’”

37 “Aku akan membinasakan orang Elam di hadapan musuh-musuh mereka dan di hadapan orang yang ingin membunuh mereka. Aku akan mendatangkan malapetaka atas mereka, iaitu kemarahan-Ku yang meluap-luap,” firman Yehuwa. “Aku juga akan mendatangkan sebilah pedang untuk menyerang mereka sehingga mereka semua lenyap.”

38 “Aku akan meletakkan takhta-Ku di Elam,+ dan Aku akan memusnahkan raja dan para pemimpin di situ,” firman Yehuwa.

39 “Tetapi pada kemudian hari, Aku akan mengumpulkan orang Elam yang telah ditawan,” firman Yehuwa.

50 Inilah firman Yehuwa kepada Nabi Yeremia berkenaan Babilon,+ iaitu negeri orang Kasdim:

 2 “Umumkanlah dan hebahkanlah perkhabaran ini dalam kalangan bangsa-bangsa.

Angkatlah panji* dan isytiharkanlah perkhabaran ini.

Janganlah rahsiakan apa-apa pun!

Katakanlah, ‘Babilon sudah ditawan.+

Bel telah dimalukan.+

Merodakh sudah menjadi takut.

Ya, patung-patung berhalanya telah dimalukan.

Berhala-berhalanya yang menjijikkan* sudah menjadi takut.’

 3 Sebuah bangsa sudah datang dari utara untuk menyerangnya.+

Bangsa itu menjadikan negerinya tempat yang mengerikan,

Dan tiada orang yang akan tinggal di situ.

Manusia dan haiwan telah melarikan diri;

Mereka semua sudah pergi.”

4 “Pada waktu itu dan pada saat itu,” firman Yehuwa, “orang Israel dan orang Yehuda akan berkumpul bersama-sama.+ Mereka berjalan sambil menangis+ dan mencari Yehuwa, Tuhan mereka.+ 5 Mereka akan menanyakan jalan ke Sion lalu menghalakan wajah mereka ke arah itu+ dan berkata, ‘Marilah kita menjadi umat Yehuwa sekali lagi dan berpegang pada perjanjian kekal yang tidak akan dilupakan.’+ 6 Umat-Ku seperti kawanan bebiri yang sesat.+ Mereka disesatkan oleh gembala-gembala mereka sendiri.+ Gembala-gembala itu telah memimpin mereka ke kawasan pergunungan, dan mereka merayau-rayau di gunung dan di bukit. Mereka tidak ingat tentang tempat rehat mereka lagi. 7 Sesiapa sahaja yang menjumpai mereka telah memakan mereka,+ dan musuh-musuh mereka berkata, ‘Kami tidak bersalah kerana merekalah yang telah berdosa terhadap Yehuwa, harapan nenek moyang mereka. Ya, merekalah yang telah berdosa terhadap Yehuwa, Tuhan yang adil dan benar.’”*

 8 “Larilah dari Babilon,

Keluarlah dari negeri orang Kasdim,+

Seperti haiwan jantan yang mengetuai kawanannya.

 9 Aku sedang mengumpulkan bangsa-bangsa yang kuat dari utara,

Dan Aku akan menyebabkan mereka bangkit untuk menyerang Babilon.+

Mereka akan mengatur barisan perang untuk melawannya,

Dan dia akan ditawan.

Anak panah mereka seperti anak panah pahlawan

Yang menyebabkan ibu bapa kehilangan anak-anak;+

Mereka tidak akan kembali dengan tangan yang kosong.

10 Kasdim akan dijarah.+

Orang yang menjarahnya akan berasa sangat puas hati,”+ firman Yehuwa.

11 “Kamu asyik bergembira dan bersukacita+

Sewaktu kamu menjarah harta warisan-Ku.+

Kamu seperti seekor lembu betina muda* yang melompat-lompat di padang rumput,

Dan seperti kuda-kuda jantan yang asyik meringkik.

12 Ibu kamu telah dimalukan.+

Wanita yang melahirkan kamu telah dikecewakan.

Lihatlah! Dialah yang paling tidak penting dalam kalangan bangsa-bangsa.

Dia seperti gurun dan padang belantara yang tidak berair.+

13 Kerana kemurkaan Yehuwa, dia tidak akan mempunyai penduduk;+

Dia akan menjadi sunyi sepi.+

Setiap orang yang lalu di Babilon akan memerhatikannya dengan perasaan ngeri

Dan mengejeknya* kerana semua tulah yang telah menimpanya.+

14 Hai orang yang mahir menggunakan busur,

Aturlah barisan perang dan seranglah Babilon dari semua arah.

Lepaskanlah anak panahmu ke arahnya, jangan sayang akan anak panahmu,+

Kerana dia telah berdosa terhadap Yehuwa.+

15 Laungkanlah seruan perang di sekelilingnya.

Dia sudah menyerah kalah.

Tiang-tiangnya sudah roboh dan tembok-temboknya sudah runtuh.+

Ya, inilah pembalasan daripada Yehuwa.+

Hendaklah kamu membalas dendam terhadapnya.

Perlakukanlah dia sebagaimana dia telah memperlakukan orang lain.+

16 Bunuhlah orang yang menabur benih di Babilon;

Bunuhlah orang yang memegang sabit semasa musim menuai.+

Kerana pedang yang kejam, setiap orang akan kembali kepada bangsanya,

Setiap orang akan lari dan pulang ke tanah masing-masing.+

17 “Orang Israel seperti bebiri yang telah dicerai-beraikan oleh singa.+ Mula-mula, raja Assyria memakan mereka,+ dan kemudiannya Raja Nebukadnezar dari Babilon menggigit-gigit tulang mereka.+ 18 Oleh itu, inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan memperlakukan raja Babilon dan negerinya sepertimana Aku telah memperlakukan raja Assyria.+ 19 Aku akan membawa Israel pulang ke padang rumputnya.+ Dia akan makan rumput di Karmel, di Basan,+ dan di kawasan pergunungan Efraim+ dan Gilead,+ sehingga dia berasa puas.’”

20 “Pada waktu itu dan pada saat itu,” firman Yehuwa,

“Orang akan mencari-cari kesalahan Israel,

Tetapi mereka tidak akan menjumpainya.

Dosa-dosa Yehuda juga tidak dapat dijumpai,

Kerana Aku telah mengampuni semua orang yang Aku biarkan hidup.”+

21 “Pergilah serang negeri Merataim dan penduduk Pekod.+

Bunuhlah mereka dan hapuskanlah mereka semua,” firman Yehuwa.

“Laksanakanlah segala perintah-Ku.

22 Bunyi pertempuran kedengaran di negeri itu,

Dan malapetaka yang dahsyat menimpa mereka.

23 Tukul yang dahulunya menghancurkan bangsa-bangsa di seluruh bumi telah dipatahkan dan diremukkan!+

Ya, bangsa-bangsa lain berasa takut setelah melihat kesudahan Babilon!+

24 Hai Babilon, engkau masuk ke dalam perangkap yang telah Aku pasang untukmu,

Tetapi engkau tidak menyedarinya.

Engkau telah dijumpai dan ditangkap+

Kerana engkau menentang Yehuwa.

25 Yehuwa telah membuka gudang-Nya,

Dan mengeluarkan senjata-senjata kemurkaan-Nya,+

Kerana Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan Yang Berdaulat, akan menyelesaikan pekerjaan-Nya

Di negeri orang Kasdim.

26 Seranglah dia dari tempat-tempat yang jauh.+

Bukalah gudang-gudang bijirinnya.+

Timbunlah barang jarahan yang kamu rampas seperti longgokan bijirin.

Musnahkan dia sama sekali,+

Sehingga tiada seorang pun yang tertinggal.

27 Bunuhlah semua anak lembu jantannya;+

Bawalah mereka ke tempat penyembelihan.

Malanglah mereka kerana sudah tiba masanya

Mereka dihukum!

28 Kedengaran bunyi orang yang melarikan diri;

Mereka lari dari negeri Babilon

Untuk menghebahkan pembalasan Tuhan Yehuwa di Sion.

Dia sudah melakukan pembalasan demi Rumah-Nya.+

29 Panggillah para pemanah yang mahir menggunakan busur,+

Dan suruhlah mereka menyerang Babilon.

Berkhemahlah di sekelilingnya supaya tiada orang dapat melarikan diri.

Balaslah dia setimpal dengan perbuatannya.+

Perlakukanlah dia sebagaimana dia telah memperlakukan orang lain.+

Dia telah bertindak dengan angkuh terhadap Yehuwa,

Tuhan Israel Yang Suci.+

30 Pemuda-pemudanya akan rebah di dataran kotanya,+

Dan semua askarnya akan dibinasakan pada hari itu,” firman Yehuwa.

31 “Hai engkau yang suka memberontak,+ Aku akan melawanmu,”+ firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, ketua angkatan syurga,

“Kerana harimu sudah tiba, ya, sudah tiba masanya Aku menghukummu.

32 Hai engkau yang suka memberontak, engkau akan tersandung dan jatuh.

Tetapi tiada orang akan membantu engkau bangun.+

Aku akan membakar kota-kotamu dengan api,

Dan api itu akan melahap segala yang ada di sekelilingmu.”

33 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:

“Orang Israel dan orang Yehuda ditindas.

Semua orang yang menangkap mereka telah mengawal mereka dengan ketat,+

Dan enggan melepaskan mereka.+

34 Tetapi Penebus mereka kuat.+

Namanya ialah Yehuwa, ketua angkatan syurga.+

Dia pasti akan memperjuangkan perkara mereka,+

Supaya negeri mereka aman damai,+

Dan supaya penduduk Babilon menderita.”+

35 “Sebilah pedang akan menyerang orang Kasdim,” firman Yehuwa,

“Dan menyerang penduduk Babilon, para pemimpinnya serta orangnya yang bijaksana.+

36 Sebilah pedang akan menyerang orang yang bercakap kosong,* dan mereka akan bertindak dengan bodoh.

Sebilah pedang akan menyerang para pahlawannya, dan mereka akan berasa sangat takut.+

37 Sebilah pedang akan menyerang kuda-kuda mereka dan kereta-kereta kuda mereka,

Serta penduduknya yang berbilang bangsa,

Dan mereka akan menjadi seperti wanita.+

Sebilah pedang akan menyerang hartanya, dan semua harta itu akan dijarah.+

38 Kemusnahan akan menimpa air sungainya, dan semua sungai itu akan menjadi kering.+

Hal ini demikian kerana negerinya penuh dengan patung-patung berhala.+

Mereka menjadi gila kerana penglihatan-penglihatan ngeri mereka.

39 Maka binatang gurun dan binatang yang meraung akan tinggal di dalamnya.

Burung-burung unta juga akan tinggal di dalamnya.+

Dia tidak akan dihuni lagi,

Dan tiada sesiapa pun yang akan tinggal di dalamnya buat selama-lamanya.”+

40 “Sebagaimana Sodom dan Gomora+ serta pekan-pekan di sekelilingnya+ telah dimusnahkan sama sekali oleh Tuhan, demikian juga Babilon akan dimusnahkan,” firman Yehuwa, “dan tiada orang akan tinggal di sana. Ya, tiada manusia akan menduduki tempat itu.+

41 Lihatlah! Sebuah bangsa akan datang dari utara.

Ya, sebuah bangsa yang kuat dan raja-raja yang perkasa+ akan bangkit

Dari hujung bumi.+

42 Mereka bersenjatakan busur dan lembing.+

Mereka kejam dan tidak berbelas kasihan.+

Suara mereka bagaikan bunyi laut yang bergelora,+

Dan mereka menunggang kuda.

Hai kota Babilon, mereka akan bersatu padu dan mengatur barisan perang untuk menyerangmu.+

43 Raja Babilon mendapat berita tentang mereka,+

Dan tangannya menjadi tidak bertenaga.+

Dia menderita,

Dan mengalami kesakitan seperti wanita yang bersalin.

44 “Lihatlah! Seperti seekor singa yang keluar dari semak belukar di sepanjang Sungai Yordan, seseorang akan keluar untuk menyerang padang-padang rumput yang aman. Tetapi seketika lagi, Aku akan membuat mereka melarikan diri daripadanya. Kemudian Aku akan melantik orang yang telah Aku pilih untuk menguasainya.+ Siapakah yang setanding Aku? Siapakah yang berani mencabar Aku? Gembala manakah yang dapat menentang Aku?+ 45 Oleh itu, dengarlah keputusan Yehuwa berkenaan Babilon+ dan apa yang hendak dilakukan-Nya terhadap negeri orang Kasdim.

Sesungguhnya anak-anak bebiri akan diseret pergi.

Dia akan membuat tempat tinggal mereka menjadi tanah yang tandus kerana penduduk itu.+

46 Bumi akan bergoncang kerana bunyi kejatuhan Babilon,

Dan suara tangisannya akan kedengaran dalam kalangan bangsa-bangsa.”+

51 Inilah firman Yehuwa:

“Aku akan mendatangkan angin yang membawa kemusnahan

Ke arah Babilon+ dan penduduk Leb-kamai.*

 2 Aku akan mengutus orang ke Babilon untuk menampinya.

Mereka akan mengosongkan negerinya seperti angin yang menerbangkan sekam.

Mereka akan menyerangnya dari segala arah pada hari malapetaka.+

 3 Janganlah benarkan pemanah melengkungkan busurnya.

Janganlah benarkan sesiapa pun bangkit dan memakai baju zirah.

Janganlah tunjukkan belas kasihan terhadap pemuda-pemudanya.+

Hapuskanlah seluruh angkatan tenteranya.

 4 Mereka akan dibunuh di negeri orang Kasdim.

Ya, mereka akan ditikam di jalan-jalannya.+

 5 Israel dan Yehuda tidak ditinggalkan oleh Tuhan Yehuwa, ketua angkatan syurga;+ mereka bukanlah seperti seorang balu.

Tetapi di mata Tuhan Israel Yang Suci, negeri orang Kasdim sarat dengan dosa.

 6 Larilah dari Babilon,

Dan selamatkanlah nyawamu.+

Janganlah turut terbunuh kerana dosa-dosanya.

Waktunya telah tiba bagi Yehuwa untuk melakukan pembalasan.

Dia akan menghukumnya setimpal dengan perbuatannya.+

 7 Dahulu Babilon seperti cawan emas di tangan Yehuwa;

Babilon membuat seluruh bumi mabuk.

Bangsa-bangsa telah minum wainnya.+

Itulah sebabnya bangsa-bangsa itu menjadi gila.+

 8 Tiba-tiba, Babilon dijatuhkan dan dipecahkan.+

Ratapilah dia!+

Ambillah balsam untuk lukanya; mungkin dia akan sembuh.”

 9 “Kita mencuba mengubati Babilon, tetapi dia tidak dapat disembuhkan.

Tinggalkanlah dia dan marilah kita pulang ke negeri masing-masing.+

Dosanya sudah bertimbun-timbun sampai ke syurga,

Setinggi awan di langit, dan dia harus dihukum.+

10 Yehuwa telah menegakkan keadilan bagi kita.+

Marilah kita pergi ke Sion dan menceritakan perbuatan Yehuwa, Tuhan kita.”+

11 “Gilaplah anak-anak panah!+ Angkatlah perisai-perisai bulat!*

Yehuwa telah membangkitkan semangat raja-raja Media,+

Kerana Dia ingin membinasakan Babilon.

Inilah pembalasan Yehuwa dan Dia melakukan pembalasan demi Rumah-Nya.

12 Angkatlah panji*+ sebagai isyarat untuk menyerang tembok Babilon.

Ketatkanlah kawalan dan suruhlah para pengawal untuk bertugas.

Bersedialah untuk melancarkan serangan hendap.

Yehuwalah yang telah mengaturkan semua ini,

Dan Dia akan melaksanakan apa yang telah dijanjikan-Nya tentang penduduk Babilon.”+

13 “Hai wanita yang tinggal di atas air yang banyak,+

Engkau melimpah dengan kekayaan,+

Tetapi akhirmu sudah tiba, dan engkau tidak dapat mengaut keuntungan lagi.+

14 Yehuwa, ketua angkatan syurga, telah bersumpah demi diri-Nya sendiri,

‘Aku akan memenuhimu dengan banyak orang, sebanyak belalang juta,

Dan mereka akan melaungkan sorakan kemenangan.’+

15 Dengan kuasa-Nya, Tuhan telah menjadikan bumi,

Dengan kebijaksanaan-Nya, Dia telah menciptakan tanah yang subur,+

Dan dengan pengertian-Nya, Dia telah membentangkan langit.+

16 Apabila Dia melantangkan suara-Nya,

Dia membuat air di langit bergelora,

Dia menyebabkan awan* naik dari hujung bumi;

Dia membuat kilat terpancar semasa hujan turun;*

Dia memerintahkan angin keluar dari gudang-Nya.+

17 Tindakan semua orang tidak masuk akal dan mereka tidak mempunyai pengetahuan.

Setiap tukang besi akan dimalukan kerana patung berhala yang diukirnya,+

Kerana patung besi buatan mereka itu palsu

Dan tidak bernyawa.*+

18 Patung-patung itu tidak berguna+ dan patut dihina.

Semua patung itu akan dibinasakan apabila hari penghakiman tiba.

19 Tetapi Tuhan Yakub tidak seperti patung-patung itu,

Kerana Dialah Tuhan yang telah menciptakan segala-galanya,

Termasuk tongkat warisan-Nya.+

Nama-Nya ialah Yehuwa, ketua angkatan syurga.”+

20 “Engkau seperti belantan-Ku dan senjata perang-Ku.

Aku akan menggunakan engkau untuk menghancurkan bangsa-bangsa.

Aku akan menggunakan engkau untuk menjatuhkan kerajaan-kerajaan.

21 Aku akan menggunakan engkau untuk menghancurkan penunggang kuda dan kudanya.

Aku akan menggunakan engkau untuk menghancurkan kereta kuda dan pemandunya.

22 Aku akan menggunakan engkau untuk menghancurkan lelaki dan wanita.

Aku akan menggunakan engkau untuk menghancurkan orang tua dan kanak-kanak.

Aku akan menggunakan engkau untuk menghancurkan pemuda dan pemudi.

23 Aku akan menggunakan engkau untuk menghancurkan gembala dan kawanannya.

Aku akan menggunakan engkau untuk menghancurkan petani dan haiwan-haiwan yang digunakannya untuk membajak.

Aku akan menggunakan engkau untuk menghancurkan para gabenor dan para pembesar.

24 Aku akan melakukan pembalasan terhadap Babilon dan semua penduduk Kasdim

Kerana mereka telah melakukan banyak perkara yang jahat di Sion, di depan mata kamu sendiri,”+ firman Yehuwa.

25 “Hai gunung yang membawa kemusnahan, Aku akan melawanmu,”+ firman Yehuwa,

“Engkau telah memusnahkan seluruh bumi.+

Maka Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk menyerang engkau, menggulingkan engkau dari bukit batu,

Dan menjadikan engkau gunung yang hangus.”

26 “Orang tidak akan mengambil batu darimu untuk dijadikan batu penjuru atau batu asas,

Kerana engkau akan menjadi tempat yang gersang buat selama-lamanya,”+ firman Yehuwa.

27 “Angkatlah panji* di negeri itu.+

Tiuplah trompet dalam kalangan bangsa-bangsa.

Suruhlah bangsa-bangsa itu menyerangnya.

Panggillah kerajaan Ararat,+ Mini, dan Askenas+ untuk berperang dengannya.

Lantiklah seorang pegawai tentera untuk menyerangnya.

Kerahkanlah kuda yang sebanyak anak belalang juta untuk menyerangnya.

28 Suruhlah bangsa-bangsa menyerangnya.

Ya, suruhlah raja-raja Media,+ para gabenornya, semua pembesarnya,

Dan semua rakyat di bawah pemerintahan mereka untuk menyerangnya.

29 Bumi akan bergegar dan bergoncang,

Kerana Yehuwa akan melaksanakan apa yang ingin dilakukan-Nya terhadap Babilon.

Babilon akan menjadi negeri yang ditakuti orang dan tidak berpenduduk.+

30 Para pahlawan Babilon sudah berhenti berperang.

Mereka duduk di dalam kubu.

Kekuatan mereka sudah lenyap.+

Mereka menjadi seperti wanita.+

Rumah-rumah Babilon dijilat api.

Palang-palang pada gerbangnya telah dipatahkan.+

31 Seorang utusan berlari untuk menemui utusan yang lain,

Dan seorang pembawa berita berjumpa dengan pembawa berita yang lain,

Untuk memberitahu raja Babilon bahawa setiap penjuru kotanya telah ditakluki,+

32 Bahawa tempat-tempat penyeberangan sungai telah dirampas,+

Bahawa perahu-perahu papirus* telah dibakar dengan api,

Dan bahawa angkatan tentera sudah kecut hati.”

33 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan orang Israel:

“Kota Babilon seperti tempat mengirik* tuaian.

Inilah masanya untuk memijak-mijaknya sampai padat

Kerana tidak lama lagi, musim menuai akan tiba baginya.”

34 “Raja Nebukadnezar dari Babilon, telah memakan aku.+

Dia telah membuat aku keliru.

Dia telah membuat aku menjadi seperti bekas yang kosong.

Dia telah menelan aku seperti seekor ular yang besar.+

Dia telah memenuhi perutnya dengan benda-benda baik yang diambil daripadaku.

Dia telah membuang aku.

35 ‘Biarlah Babilon diperlakukan dengan kejam seperti yang telah dilakukannya terhadap aku dan tubuhku!’ kata penduduk Sion.+

‘Biarlah penduduk Kasdim bertanggungjawab atas darahku!’ kata Yerusalem.”

36 Maka inilah firman Yehuwa:

“Aku akan memperjuangkan perkaramu,+

Dan Aku akan melakukan pembalasan bagimu.+

Aku akan mengeringkan lautnya dan periginya.+

37 Babilon akan menjadi timbunan batu,+

Sarang serigala,+

Bahan ejekan* dan tempat yang mengerikan,

Yang tidak berpenghuni.+

38 Mereka semua akan mengaum seperti singa muda.

Mereka akan menggeram seperti anak singa.”

39 “Apabila keinginan mereka membara, Aku akan menyediakan jamuan untuk mereka dan membuat mereka mabuk,

Supaya mereka dapat bersuka ria.+

Kemudian mereka akan tidur buat selama-lamanya.

Mereka tidak akan bangun lagi,”+ firman Yehuwa.

40 “Aku akan membuat mereka rebah seperti anak biri-biri yang dibawa ke tempat penyembelihan,

Seperti bebiri jantan dan kambing jantan yang akan disembelih.”

41 “Sheshak* sudah ditangkap.+

Ya, kota yang dipuji oleh seluruh bumi telah ditawan!+

Babilon telah menjadi tempat yang mengerikan antara bangsa-bangsa!

42 Air laut sudah naik dan membanjiri Babilon.

Dia telah diliputi ombak yang menderu-deru.

43 Kota-kotanya menjadi tempat yang mengerikan dan padang gurun yang gersang;

Tanah yang tidak berpenghuni dan tidak akan dilalui oleh sesiapa pun.+

44 Aku akan menumpukan perhatian-Ku kepada Bel+ di Babilon,

Dan Aku akan memaksanya memuntahkan apa yang telah ditelannya.+

Bangsa-bangsa tidak akan pergi kepadanya lagi,

Dan tembok Babilon akan roboh.+

45 Hai umat-Ku, keluarlah daripadanya!+

Selamatkanlah diri kamu+ daripada kemarahan Yehuwa yang meluap-luap!+

46 Janganlah takut atau gerun dengan berita yang akan disampaikan di negeri itu.

Dalam masa setahun, berita akan diumumkan,

Dan pada tahun yang berikutnya, satu lagi berita akan diumumkan,

Tentang keganasan di dalam negeri dan tentang raja-raja yang saling berperang.

47 Maka masanya akan tiba

Apabila Aku akan menumpukan perhatian-Ku kepada patung-patung berhala Babilon.

Seluruh negerinya akan dimalukan,

Dan semua orang yang terbunuh akan rebah di tengah-tengahnya.+

48 Langit dan bumi serta segala sesuatu yang ada di dalamnya

Akan bersorak-sorai kerana kejatuhan Babilon.+

Para pemusnah akan datang dari utara untuk menyerangnya,”+ firman Yehuwa.

49 “Babilon bukan sekadar menyebabkan orang Israel terbunuh,+

Tetapi juga menyebabkan orang dari seluruh bumi terbunuh di Babilon.

50 Kamu yang terselamat daripada serangan pedang, teruslah lari dan jangan tercegat di situ!+

Ingatlah pada Yehuwa dari jauh,

Dan ingatlah tentang Yerusalem.”+

51 “Kami telah dimalukan kerana kami telah mendengar kata-kata hinaan.

Rasa malu telah menyelubungi muka kami,

Kerana orang asing telah datang untuk menyerang tempat-tempat suci di Rumah Yehuwa.”+

52 “Masanya akan tiba,” firman Yehuwa,

“Apabila Aku akan menumpukan perhatian-Ku kepada patung-patung berhalanya,

Dan orang yang cedera di seluruh negerinya akan mengerang.”+

53 “Biarpun Babilon dapat mencapai langit,+

Biarpun dia dapat memperkukuh kubu-kubunya yang tinggi,

Aku masih akan mengutus orang untuk memusnahkannya,”+ firman Yehuwa.

54 “Dengarlah! Kedengaran suara tangisan dari Babilon,+

Bunyi malapetaka yang besar dari negeri orang Kasdim,+

55 Kerana Yehuwa sedang membinasakan Babilon.

Dia akan melenyapkan suara Babilon yang nyaring itu.

Suara musuh-musuhnya seperti bunyi deruman ombak,

Sehingga semua orang dapat mendengarnya.

56 Para pemusnah akan datang untuk menyerang Babilon.+

Para pahlawannya akan ditangkap,+

Dan busur-busur mereka akan dipatahkan,

Kerana Yehuwa ialah Tuhan yang membalas kejahatan.+

Dia pasti akan melakukan pembalasan.+

57 Aku akan membuat para pemimpin dan orang bijaksana mabuk,+

Termasuk para gabenor, pembesar, dan pahlawannya.

Mereka semua akan tidur buat selama-lamanya,

Dan mereka tidak akan bangun lagi,”+ firman Raja yang bernama Yehuwa, ketua angkatan syurga.

58 Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga:

“Meskipun tembok Babilon tebal, tembok itu tetap akan dirobohkan.+

Meskipun pintu-pintu gerbangnya tinggi, pintu-pintu itu tetap akan dibakar dengan api.

Sia-sia sahaja orang bekerja keras;

Bangsa-bangsa memenatkan diri, tetapi hasil usaha mereka akan dimakan api.”+

59 Demikianlah kata-kata yang diperintahkan oleh Nabi Yeremia kepada Serayah anak Neria,+ cucu Mahseya. Kata-kata ini disampaikan apabila Serayah pergi ke Babilon bersama Zedekia, raja Yehuda, pada tahun keempat pemerintahannya. Pada waktu itu, Serayah bertugas sebagai pembantu raja. 60 Yeremia telah mencatatkan dalam sebuah kitab semua malapetaka yang bakal menimpa Babilon dan segala perkhabaran tentang Babilon. 61 Selain itu, Yeremia berkata kepada Serayah, “Apabila kamu tiba di Babilon dan nampak kota itu, kamu harus membaca kata-kata ini dengan suara yang lantang. 62 Kemudian katakanlah, ‘Ya Yehuwa, Engkau telah berfirman bahawa tempat ini akan dimusnahkan dan ditinggalkan. Baik manusia mahupun haiwan, tidak akan tinggal di dalamnya. Tempat ini akan dibiarkan kosong buat selama-lamanya.’+ 63 Apabila kamu selesai membaca kitab ini, ikatlah kitab ini pada sebuah batu lalu lemparkanlah kedua-duanya ke dalam Sungai Efrat. 64 Kemudian katakanlah, ‘Demikianlah Babilon akan tenggelam dan tidak akan timbul lagi+ kerana malapetaka yang akan didatangkan Tuhan atasnya, dan penduduknya akan menjadi lemah longlai.’”+

Demikianlah kata-kata Yeremia.

52 Zedekia+ berusia 21 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama 11 tahun. Ibunya ialah Hamutal+ anak Yeremia dari Libna. 2 Zedekia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, seperti Yehoyakim.+ 3 Yerusalem dan Yehuda ditimpa malapetaka kerana Yehuwa murka terhadap penduduknya dan ingin menyingkirkan mereka dari pandangan-Nya.+ Kemudian Zedekia memberontak terhadap raja Babilon.+ 4 Pada hari ke-10, bulan ke-10, tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia, Raja Nebukadnezar dari Babilon dan seluruh angkatan tenteranya menyerang Yerusalem. Mereka mendirikan khemah di sekeliling kota itu dan membina tembok untuk mengepungnya.+ 5 Kota itu dikepung sehingga tahun ke-11 pemerintahan Raja Zedekia.

6 Pada hari kesembilan bulan keempat tahun itu,+ kebuluran menjadi begitu teruk sehingga penduduk di dalam kota itu tidak mempunyai makanan lagi.+ 7 Akhirnya, tembok kota ditembusi musuh, dan semua askar melarikan diri dari kota itu pada malam hari ketika orang Kasdim sedang mengepung kota itu. Askar-askar itu keluar melalui pintu gerbang di antara dua tembok yang berdekatan taman di istana, dan mereka mengambil jalan yang menuju ke Araba.+ 8 Tetapi Raja Zedekia+ dikejar oleh tentera Kasdim, dan mereka menangkapnya di padang gurun di Yerikho. Semua askarnya melarikan diri dan meninggalkannya. 9 Selepas mereka menangkap Zedekia, mereka membawanya kepada raja Babilon untuk diadili. Dia dibawa ke Ribla yang terletak di tanah Hamat. 10 Raja Babilon membunuh anak-anak lelaki Zedekia di depan matanya. Setelah itu, Nebukadnezar juga membunuh semua pemimpin Yehuda di Ribla. 11 Kemudian raja Babilon membutakan mata Zedekia+ dan mengikatnya dengan rantai tembaga lalu membawanya ke Babilon. Zedekia dipenjarakan di situ sehingga dia mati.

12 Pada hari ke-10, bulan kelima, tahun ke-19 pemerintahan Raja Nebukadnezar dari Babilon, seorang pegawainya yang bernama Nebuzaradan, iaitu ketua pengawal istana, datang ke Yerusalem.+ 13 Nebuzaradan membakar Rumah Yehuwa,+ istana, dan semua rumah di Yerusalem. Dia juga membakar semua rumah yang besar di kota itu. 14 Tembok yang mengelilingi Yerusalem dirobohkan oleh seluruh angkatan tentera Kasdim yang ada bersama ketua pengawal istana itu.+

15 Nebuzaradan, ketua pengawal istana itu, menawan rakyat yang miskin, orang yang masih tinggal di kota Yerusalem, orang yang telah membelot dan memihak kepada raja Babilon, dan tukang-tukang yang mahir.+ 16 Tetapi Nebuzaradan meninggalkan penduduk yang paling miskin di situ supaya mereka dapat bekerja di ladang anggur dan menjadi buruh paksa.+

17 Orang Kasdim menghancurkan tiang-tiang tembaga+ di Rumah Yehuwa dan pedati-pedati+ serta Laut Tembaga+ di Rumah Yehuwa. Lalu mereka membawa semua tembaga itu ke Babilon.+ 18 Mereka juga mengambil baldi, penyodok, alat pemadam sumbu pelita, mangkuk,+ cawan,+ dan semua perkakas tembaga yang digunakan di dalam Rumah Tuhan. 19 Ketua pengawal istana itu mengambil besen,+ bekas perbaraan, mangkuk, baldi, kaki pelita,+ cawan, dan mangkuk-mangkuk yang diperbuat daripada emas dan perak tulen.+ 20 Tembaga yang digunakan oleh Raja Salomo untuk membina dua batang tiang, Laut Tembaga dan 12 buah patung lembu jantan+ yang ada di bawahnya, dan pedati-pedati di Rumah Yehuwa, begitu banyak sehingga tidak dapat ditimbang.

21 Berkenaan tiang-tiang itu, setiap tiang berukuran 18 hasta* tinggi, dan tiang itu dapat dililit dengan tali yang* berukuran 12 hasta panjang.+ Tebalnya ialah empat lebar jari* dan bahagian dalam tiang itu berongga. 22 Kepala tiang yang terletak di atas tiang itu diperbuat daripada tembaga. Kepala tiang itu berukuran lima hasta tinggi,+ dan rangkaian rantai serta buah delima yang mengelilingi kepala tiang itu juga diperbuat daripada tembaga. Tiang yang kedua dan buah delimanya sama seperti tiang yang pertama. 23 Terdapat 96 buah delima di sisi kepala tiang. Secara keseluruhannya, terdapat 100 buah delima di sekeliling rangkaian rantai itu.+

24 Ketua pengawal istana itu menangkap Serayah+ yang bertugas sebagai ketua imam, dan Zefanya,+ iaitu imam yang menjadi penolongnya, serta tiga orang penjaga pintu.+ 25 Dari kota itu, dia juga menangkap seorang pegawai istana yang mengetuai pasukan tentera, tujuh orang penasihat peribadi raja, seorang setiausaha ketua tentera yang mengumpulkan pasukan tentera, dan 60 orang rakyat biasa. 26 Nebuzaradan membawa mereka ke Ribla untuk menghadap raja Babilon. 27 Raja Babilon membunuh mereka semua. Mereka dihukum mati di Ribla+ yang terletak di tanah Hamat. Demikianlah orang Yehuda dibuang negeri.+

28 Inilah bilangan orang yang telah dibawa oleh Nebukadnezar sebagai tawanan: Pada tahun ketujuh pemerintahannya, 3,023 orang Yahudi.+

29 Pada tahun ke-18 pemerintahan Nebukadnezar,+ 832 orang ditawan dari Yerusalem.

30 Pada tahun ke-23 pemerintahan Nebukadnezar, 745 orang Yahudi ditawan oleh Nebuzaradan, ketua pengawal istana itu.+

Secara keseluruhannya, 4,600 orang telah ditawan.

31 Selepas Ewil-merodakh menjadi raja Babilon, dia membebaskan Raja Yehoyakhin+ dari penjara. Hal ini berlaku pada hari ke-25, bulan ke-12, tahun ke-37 setelah Raja Yehoyakhin ditawan dari Yehuda.+ 32 Ewil-merodakh memperlakukan Yehoyakhin dengan baik dan memberinya kedudukan yang lebih tinggi daripada raja-raja lain yang ada bersamanya di Babilon. 33 Maka Yehoyakhin tidak lagi memakai pakaian penjara dan dia selalu makan di meja raja seumur hidupnya. 34 Sepanjang hidup Yehoyakhin, keperluan makanannya dijaga oleh raja Babilon setiap hari sehingga dia mati.

Mungkin bermaksud “Yehuwa Meninggikan.”

Atau “memilihmu.”

Atau “seseorang yang berjaga.”

Harfiah, “yang ditiup,” merujuk kepada api di bawah periuk itu yang dikipas.

Atau “membakar korban sehingga asap naik.”

Kemungkinan besar perigi-perigi ini digali di kawasan berbatu.

Atau “Memfis.”

Harfiah, “makan di atas mercu kepalamu.”

Iaitu, salah satu cabang Sungai Nil.

Lihat Kamus.

Perkataan Ibrani merujuk kepada bahan kimia yang dikenali sebagai soda.

Atau “tuhan-tuhan.”

Harfiah, “orang Arab.”

Atau “dengan tuhan-tuhan asing.”

Atau mungkin, “suami.”

Harfiah, “hati-Ku.”

Atau “tuhan.”

Mungkin menunjukkan bahawa usaha diperlukan untuk memperoleh berkat.

Atau “tiang penanda.”

Harfiah, “anak perempuan umat-Ku.” Ungkapan kiasan “anak perempuan” mungkin menyampaikan rasa kasihan dan simpati.

Iaitu, orang yang memerhatikan kota bagi menentukan masanya untuk melancarkan serangan.

Atau mungkin, “mendengar bunyi laungan perang.”

Atau “tiang penanda.”

Atau “tidak akan menyesal.”

Atau “pembayang mata.”

Harfiah, “wajah.”

Bahagian ranting tumbuhan menjalar yang melingkar-lingkar.

Atau mungkin, “Dia tidak wujud.”

Atau “Sucikanlah diri.”

Atau “yang segar.”

Harfiah, “Telinga mereka tidak bersunat.”

Atau “arahan-Ku.”

Perbuatan ini menunjukkan bahawa seseorang sedang berdukacita atau sedang menyesal atas dosa yang dilakukannya.

Iaitu, Yeremia.

Merujuk kepada semua bangunan di dalam kawasan Rumah Tuhan.

Atau “membakar korban sehingga asap naik.”

Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad; barangkali dewi kesuburan.

Atau “yang dikhaskan.”

Harfiah, “tempat-tempat tinggi.” Lihat Kamus.

Lihat Kamus, “Gehena.”

Atau “timbul dalam hati-Ku.”

Lihat Kamus, “Gehena.”

Harfiah, “dan seluruh angkatan syurga.”

Atau “waktu yang ditentukan.”

Atau mungkin, “burung jenjang.”

Atau “untuk berhijrah.”

Atau “setiausaha.”

Lihat Kamus.

Atau “doktor.”

Merujuk kepada proses meleburkan logam untuk menyingkirkan bendasing.

Atau “arahan.”

Atau “bijirin.”

Pelipis ialah bahagian kepala di antara dahi dengan telinga.

Harfiah, “tidak bersunat di hati.”

Atau “hormat.”

Pada asalnya, ayat 11 ditulis dalam bahasa Aram.

Atau “wap.”

Atau mungkin, “Dia membuka pintu-pintu supaya hujan turun.”

Atau “tidak mempunyai nafas hidup.”

Atau “melemparkan.”

Nampaknya Tuhan sedang berfirman kepada Yeremia.

Atau “Semoga begitu.”

Atau “korban yang dibakar sehingga asap naik.”

Atau “tuhan.”

Iaitu, korban-korban yang dipersembahkan di Rumah Tuhan.

Atau “dan perasaan manusia yang terdalam.” Harfiah, “ginjal.”

Harfiah, “ginjal.”

Atau “bertompok.”

Atau mungkin, “Tanah-Ku berkabung.”

Atau “dikepung.”

Atau “Etiopia; Habsyah.”

Atau “lubang-lubang.”

Atau mungkin, “empat jenis hukuman.” Harfiah, “empat keluarga.”

Atau mungkin, “asyik berjalan mundur.”

Atau “sudah penat berasa kesal.”

Proses mengasingkan biji-bijian daripada sekam.

Atau mungkin, “Matahari itu berasa malu dan segan-silu.”

Atau “lambat marah.”

Atau “dengan perkhabaran yang buruk.”

Atau “menjadi seperti mulut-Ku.”

Adat perkabungan orang kafir yang nampaknya diamalkan oleh orang Israel yang murtad.

Harfiah, “dengan bangkai-bangkai berhala mereka yang.”

Harfiah, “mewarisi kepalsuan.”

Lihat Kamus.

Atau mungkin, “Kerana kamu seperti api yang telah membuat kemarahan-Ku membara.”

Harfiah, “tahun.”

Atau mungkin, “tidak dapat disembuhkan.”

Atau “lebih suka menipu.”

Atau “perasaan manusia yang terdalam.” Harfiah, “ginjal.”

Harfiah, “daripada-Ku,” nampaknya merujuk kepada Yehuwa.

Harfiah, “pintu gerbang anak-anak lelaki rakyat.”

Atau “dari selatan.”

Harfiah, “menanam.”

Harfiah, “Anak dara.”

Harfiah, “Dan sesuatu yang disiulkan.”

Atau “timbul dalam hati-Ku.”

Harfiah, “dan sesuatu yang disiulkan.”

Lihat Kamus.

Atau “dan perasaan manusia yang terdalam.” Harfiah, “ginjal.”

Harfiah, “Nebukadrezar,” ejaan lain bagi nama ini.

Atau “mengumpulkan mereka.”

Atau “dataran rendah.”

Juga dipanggil Yehoahas.

Juga dipanggil Yehoyakhin dan Yekhonya.

Atau “Aku memberikan waris yang baik kepada.”

Atau “sudah menjadi murtad.”

Atau “Mereka memberi kamu harapan kosong.”

Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.” Perkataan “beban” dalam bahasa Ibrani mempunyai dua maksud, iaitu “perkhabaran yang penting daripada Tuhan” atau “sesuatu yang membebankan.”

Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”

Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”

Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”

Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”

Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”

Atau “perkhabaran yang membebankan daripada.”

Juga dipanggil Yehoyakhin dan Konia.

Atau mungkin, “pembina benteng.”

Atau “kepada.”

Harfiah, “bersiul.”

Nampaknya nama ini ialah kriptografi (nama rahsia) bagi Babel (Babilon).

Atau “menjadi tidak bernyawa.”

Atau “kepada.”

Atau “akan menyesal dan mengubah.”

Atau “menyesal.”

Atau “menyesal.”

Atau “Semoga begitu!”

Atau mungkin, “pembina benteng.”

Atau mungkin, “yang sudah reput.”

Harfiah, “menjadi sesuatu yang disiulkan.”

Atau “Dia.”

Atau mungkin, “membuat mereka dihormati.”

Atau “Aku sentiasa menunjukkan kasih setia kepadamu.”

Atau “dengan orang yang sedang ketawa.”

Atau “ke wadi-wadi.”

Atau “kerana hal-hal baik daripada.”

Harfiah, “Seorang wanita akan mencari seorang lelaki.”

Harfiah, “tumpul.”

Atau mungkin, “suami.”

Atau “Menetapkan hukum bagi.”

Atau “dataran rendah.”

Iaitu, abu yang bercampur lemak daripada korban yang dibakar.

Iaitu, bapa saudara sebelah bapa.

Lihat Lampiran B14.

Atau “pandai dalam hal yang berkenaan dengan kehendak-Mu.”

Lihat Kamus, “Gehena.”

Atau “timbul dalam hati-Ku.”

Atau ”mendatangkan kebaikan.”

Atau “Aku akan memberikan waris yang baik kepada.”

Harfiah, “pada akhir tahun yang ke-7.”

Harfiah, “Hari ini.”

Adat kuno untuk mengesahkan perjanjian yang telah dibuat.

Atau “salah sebuah bilik.”

Harfiah, “Yonadab,” singkatan bagi Yehonadab.

Harfiah, “Yonadab,” singkatan bagi Yehonadab.

Atau “bangsa ini.”

Harfiah, “Yonadab,” singkatan bagi Yehonadab.

Atau “bilik makan.”

Atau “penyalin hukum Tuhan.”

Atau “pegawai istana.”

Iaitu, pada pertengahan bulan November sehingga pertengahan bulan Disember. Lihat Lampiran B15.

Atau “pisau setiausaha.”

Juga dipanggil Yehoyakhin dan Yekhonya.

Harfiah, “jalan pembuat roti.”

Atau “pegawai istana.” Lihat Kamus, “Sida-sida.”

Atau “Habsyah.”

Nampaknya gelaran bagi Nergal-sarezer.

Atau “Rabsaris.”

Atau menurut teks Ibrani yang lain, “Antara mereka ialah Nergal-sarezer, Samgar-nebo, Sarsekim, Rabsaris.”

Atau “ketua ahli sihir (ahli nujum).”

Atau mungkin, “dan menjadikan mereka buruh paksa.”

Atau “Rabsaris.”

Atau “ketua ahli sihir (ahli nujum).”

Atau “Habsyah.”

Atau “sedih.”

Atau “tinggal di situ buat sementara waktu.”

Harfiah, “Sebagaimana seorang gembala menyelimuti dirinya dengan jubahnya, demikian juga raja itu akan menutupi dirinya dengan negeri Mesir.”

Atau “dengan aman.”

Atau “batu obelisk.”

Atau “Kuil Matahari,” iaitu Heliopolis.

Atau “Memfis.”

Atau “menghormati-Ku.”

Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad; barangkali dewi kesuburan.

Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad; barangkali dewi kesuburan.

Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad; barangkali dewi kesuburan.

Gelaran dewi yang disembah oleh orang Israel yang murtad; barangkali dewi kesuburan.

Harfiah, “hal-hal yang besar.”

Perisai ini biasanya dibawa oleh pemanah.

Atau “Memfis.”

Iaitu, orang yang akan menakluki Mesir.

Atau “Memfis.”

Atau “Memfis.”

Atau mungkin, “akan menjadi tanah yang gersang.”

Merujuk kepada lembu betina yang belum pernah melahirkan anak.

Atau “mengumpulkan kayu.”

Iaitu, Tebe.

Iaitu, Kreta.

Iaitu, mereka akan membotakkan kepala sebagai tanda berkabung dan rasa malu.

Atau “tempat perlindungan yang tinggi.”

Atau “Dataran rendah.”

Atau “Dataran tinggi.”

Atau mungkin, “di atas tanah yang kering.”

Atau “dataran tinggi.”

Harfiah, “Tanduk.”

Iaitu, seruling yang dimainkan untuk lagu ratapan semasa upacara pengebumian.

Lihat Kamus.

Atau mungkin, “membuat bunyi yang menandakan perang.”

Atau “kandang bertembok batu.”

Atau “dataran-dataran rendahmu.”

Harfiah, “bersiul.”

Atau “tiang penanda.”

Istilah ini dalam bahasa Ibrani mungkin berkaitan dengan istilah yang bermaksud “tahi” dan digunakan untuk menunjukkan perasaan meluat yang sangat mendalam.

Atau “Yehuwa, tempat tinggal keadilan.”

Merujuk kepada lembu betina yang belum pernah melahirkan anak.

Harfiah, “bersiul.”

Atau “nabi-nabi palsu.”

Nampaknya nama ini ialah kriptografi (nama rahsia) bagi Kasdim.

Atau mungkin, “Isilah tabung anak panah.”

Atau “tiang penanda.”

Atau “wap.”

Atau mungkin, “Dia membuka pintu-pintu supaya hujan turun.”

Atau “tidak mempunyai nafas hidup.”

Atau “tiang penanda.”

Lihat Kamus.

Proses memisahkan buah daripada tangkai.

Harfiah, “Sesuatu yang disiulkan.”

Nampaknya nama ini ialah kriptografi (nama rahsia) bagi Babel (Babilon).

Lihat Lampiran B14.

Atau “dan lilitannya.”

Lihat Lampiran B14.

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi